MASJID MESRA GOLONGAN MUDA
(Fikrah Bangi: 72):
BBB, 22 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 30 November
201`8M. (Juma`at):
Di dalam Enakmen Masjid Dan Surau JAIS-MAIS
(2017) berhubung dengan perlantikan Jawatankuasa Masjid diperuntukkan calon
perlantikan ialah untuk Belia. Ertinya masjid hendaklah memberi perhatian kepada belia bagi melibatkan diri dengan masjid. Mereka adalah generasi
yang akan mewarisi pimpinan, termasuk juga pimpinan masjid.
Masjid Al-Umm memang memberi perhatian
terhadap golongan muda, sebagaimana tersebut masjid wajar mengadakan kursus
bimbingan mengasuh anak-anak sama ada bagi mereka yang terlibat bekerja
mengasuh bayi dan anak-anak, tetapi juga bagi ibu-ibu yang menjadi suri rumah tangga dan menjaga
sendiri anak-anak. Pihak masjid juga menggalakkan ibu-bapa mengadakan upacara
aqiqah bagi anak-anak masing-masing di masjid.
Satu yang unik bagi Masjid Al-Umm, bahawa di
dalam masjid ini terdapat ruang mainan kanak-kanak seperti pondok bertangga, papan gelunsur, buaian dan beberapa jenis permainan yang lain. Ini
bagi menggalakkan ibu-bapa muda datang ke masjid, sementara anak-anak mereka
bermain di ruang permainan. Bagi anak yang telah besar dan mumayyiz adalah
digalakkan mereka turut sama dilatih untuk sama bersolat jamaah yang bagi
lelaki di belakang saf lelaki dan perempuan di belakang saf perempuan. Mereka
dilatih menjaga disiplin dan tidak membuat bising.
Di masjid ada guru-guru Qur`an yang melatih
dan mengajar anak-anak mengenal huruf dan membaca Al-Qur`an. Di samping ada
kelas khas bagi kumpulan anak-anak mebaca Al-Qur`an, ada keluarga menempah guru
dan mereka sekeluarga datang secara satu keluarga membaca Al-Qur`an.
Sebagaimana pernah disebutkan bahawa Masjid
Al-Umm berdekatan dengan dua buah sekolah, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi
dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Pihak Masjid Al-Umm
mempunyai kerjasama yang rapat dengan sekolah-sekolah berkenaan melalui
mesyuarat antara pihak masjid dengan PIBG-PIBG dan guru-guru. Ruang terbuka di
masjid sering diguna oleh pihak sekolah-sekolah berkenaan bagi menjalankan
aktiviti-aktiviti sekolah seperti motivasi pelajar, persediaan menghadapi
peperiksaan. Ruang-ruang seminar dan kuliah juga ditempah oleh sekolah
bagi kelas-kelas persediaan bagi
menghadapi peperiksaan. Pihak masjid dan sekolah mengadakan pembacaan Yasin dan
solat hajat menjelang pelajar-pelajar menghadapi peperiksaan baik pada
peringkat rendah, maupun pada peringkat menengah. Sebahagian dari jama`ah bagi
solat zohor dan `asar dipenuhi oleh
pelajar-pelajar sekolah. Sesungguhnya banyak lagi kerjasama antara masjid dan
sekolah yang dapat diadakan bagi faedah pelajar-pelajar, sekolah dan masjid.
Kepentingan golongan muda di masjid adalah
disedari dari peringkat awal penggunaan Masjid Al-Umm dan ahli jawatankuasa yang
dilantik pada masa itu antaranya dari golongan muda.. Mereka mempunyai
jawatankuasa sendiri. Mereka terlibat sama di dalam mesyuarat Jawatankuasa
Pembangunan dan Pengimarahan Masjid dan
banyak mengadakan kegiatan-kegiatan seperti sama menggerakkan kerja-kerja
gotong royong masjid, mengadakan
kegiatan sukan, kegiatan kebajikan dan menjemput penceramah-penceramah dari
luar yang ditaja oleh golongan belia.
Dalam pemilihan jawatankuasa Pentadbiran dan
Pengimarahan Masjid bagi sesi 2019-2021 turut dipilih belia dari lelaki dan
perempuan. Bila jawatankuasa baru yang akan memulakan tugas pada awal 2019
nanti, maka diharap baik dari belia lelaki dan perempuan mempunyai biro
masing-masing yang akan dapat menyusun
program masing-masing dan diharap biro brlia lelaki dan perempuan akan dapat
memberi sumbangan yang efektif di dalam memajukan Masjid Al- Umm - Insya Allah.
Sekian.