January 7, 2016

`Pandangan Wujud` Asas Pemantapan Theologi Yang Penting Bagi Perluasan


BBB, 25 Rabiul Awwal 1437 = 06 Januari 2016 (Rabu):


Al-Ghazali menyifatkan bahawa pendekatan theologi atau yang dikenali sebagai `Ilmu al-Kalam`Pada masanya sebagai `Pendekatan Memada`, tetapi `Tidak Memada` baginya. Theologi sebagai `Pandangan Wujud` utama amat penting dari segi epistimologi, lantaran dengan demikian seorang pembicara, atau bagi seorang pelaku, bahkan bagi sesiapa yang `sedar` dapat meletakkan atau berada pada paksi atau posisi diri secara `hak` bersama dengan siapa atau apa yang lain yang juga berhak. Sepatutnya setiap yang mempunyai hak ini berusaha dengan segala cara mempastikan hak ini benar-benar `hak` baginya.Tanpanya seseorang, atau apa saja, berbicara atau apa saja tidak menepati `hak`nya dan dia bukan saja berada pada bukan pada posisinya yang betul yang semestinya diyakini, lantaran jika tidak dia berbicara dari posisi yang salah dan terpinggir.
Tugas mengenali `hak` adalah tugas yang besar, bahkan tugas bagi tamadun dan peradaban yang dikaitkan dengan manusia sebagai khalifah dan kejadian pilihan Tuhan. Tugas ini tidak tepat jika disifatkan sebagai bersifat global, bahkan bukan bersifat alamiah, tetapi tugas yang meliputi segala `Pandangan Wujud` ! Bayangkan betapa luas dan banyaknya kewujudan - termasuk Tuhan. Kita tunduk kagum memikiri dan menghayati keluasan cakerawala dan segala kandungan, tetapi betapa lebih luas `Kewujudan` yang seharusnya berada di dalam `Pandangan Wujud` termasuk persoalan metafizik dan konsepsi. Pandangan yang seharusnya tepat bagi setiap wujud bagi `Pandangan Wujud`. Tepatlah dengan keraguan Al-Ghazali terhadap kalangan Al-Mutakallimun yang membicarakan soal-soal ketuhanan, iaitu `Kewujudan Tertinggi`, iaitu juga `Hakikat` bagi `Hak Tertinggi`. Dia bimbang berlaku kesilapan atau tidak tepat dari `Pandangan Wujud` terhadap `Wujud Tertinggi`, bahkan `Wujud Hakiki` ! Benarlah suara damir dirinya – Dia tidak mengatakan salah, tetapi dia menggunakan istilah `Tidak Puas`, tetapi merupakan kepuasan bagi mereka. Dan merupakan `Bukan Kepuasan ` baginya.
Kritik terhadap Al-Ghazali, oleh kerana Ilmu Kalam yang berhubung dengan akidah adalah terpenting dan seharusnya bersifat sentral membetulkan `Pandangan Wujud` bagi bidang-bidang yang lain, maka seharusnya Al-Ghazali dengan rasa tidak memada pendekatan yang dibuat dari segi Ilmu Al-Kalam selama ini, seharusnya dia berada dihadapan meneroka dan mengkaji dan mendalam keilmuan theologi sehingga menemui pendekatan yang boleh memuaskan baginya, dan sudah tentu akan memuaskan pihak-pihak yang lain. Timbul pertanyaan, apakah Al-Ghazali bersifat pelarian dari menghadapi cabaran sebenar dari segi keilmuan, sehingga mengalah di dalam bidang Ilmu Al-Kalam, lantas dia bukan saja pelarian dari segi keilmuan, tetapi juga pelarian dari segi fizikal, sehingga kembali bersunyi di kampung asalnya dan di sini Al-Ghazali memberi tumpuan sepenuhnya di dalam bidang kerohanian. Seharusnya ia berdepan dengan cabaran berbagai bidang ilmu pengetahuan. Sesungguhnya meninggalkan bidang ini bukannya penyelesaian, sedangkankan misalnya `Faham Al-Dahriyyun` terus berkembang dan melangkaui kini dengan jenama berbagai-bagai seperti materialis, sekular, pluralisme dan liberalisme yang merupakan lanjutan dari faham `Al-Dahriyyun` yang seharusnya `Pesaing` sejak zaman Al-Ghazali turut sama berkembang sebagai wadah bagi dialog tamadun dan peradaban ummah dan sejagat.
Tumpuan Al-Ghazali terhadap tasawuf atau bidang kerohanian sememangnya dapat dilihat sebagai pelarian dan menghadkan diri  kepada tumpuan kerohanian dari menghidupkan sama bidang akli dan intelektual yang mana bidang falsafah dan ilmu Al-Kalam banyak menggunakan elemen akli dan bersifat rasional. Sebenarnya kedangkalan (kalau boleh digunakan istilah ini), sebagaimana yang dianggap Al-Ghazali terhadap theologi tidak terbiar begitu sahaja, bahkan sebenarnya pengolahan terhadap Ilmu Al-Kalam, Usuluddin atau aqidah, tidak terabai, sesungguhnya  bidang yang telah berkembang dari abad  ke 3H./8M. Sebagaimana yang telah dicetuskan oleh Ashari, Maturidi, Mu`tazilah dan lain-lain terus bergerak di dalam bidang berkenaan menuju ke arah mematang keilmuan tersebut, ianya sama seperti bidang tasawuf dan fiqh, jika pun tidak boleh dikatakan lebih mantap. Walau bagaimana pendekatan berkenaan tersudut kepada ruang lingkup terhad yang dikenali dengan theologi agama, aqidah, usuluddin atau ilmu tauhid dan bidang falsafah terbuka tetap tidak ditangani menurut perspektif Islam dan ianya berkembang dengan pendekatan terbuka dan sekular dan tetap kosong untuk didekati secara theis yang meyakinkan. Sebenarnya di sini Al-Ghazali membiarkan medan tempur intelektual kosong dan bererti kekalahan dan jika tidak gemar menggunakan kekalahan – meminta disikan.
Sebenarnya di dalam mempastikan yang `haq` dan berada pada paksinya yang sebenarnya yang melibatkan begitu banyak bidang dan pendukung-pendukung bidang berkenaan. Jika dilihat dari skima keislaman, jika semua bidang  adalah sebagai jalur-jalur dari puncak sebuah bulatan seperti `glob`, maka pada puncaknya seharusnya keilmuan aqidah yang berada pada puncak bulatan yang merupakan mahkota dan induk bagi segala keilmuan. Maka pada puncak bulatan ini bermulanya segala jalur keilmuan sebagai tali turun ke titik bawah.
Sebenarnya tugas bagi memastikan setiap satu dari jalur berada pada `haq` atau pada kedudukan selari dengan puncak yang merupakan `Pandangan Wujud` menyeluruh adalah merupakan tugas semua pihak. Mekanisame utama bagi mengenal pasti dan mempastikan kedudukan yang `haq` atau dapat juga digunakan istilah `kebenaran` adalah merupakan tugas semua pihak, mekanisme bagi mengenal pasti ini tiada lain dari `Ilmu`. Dengan ilmu juga bererti `kemajuan` yang menjadi mekanisme mencapai kebenaran. Tidak ada pihak yang tidak mau mencapai kemajuan. Sebab itu mengenal pasti hak dan kebenaran adalah dinamika yang menggerakkan semua pihak bergerak maju bagi mencapai hak dan kebenaran dari segi kedudukan.
Sebenarnya kesedaran bagi meletakkan diri pada paksi yang hak, berlaku di dalam semua bidang, makin mutakhir  kesedaran ini makin tinggi dan makin meningkat.  Namun kesedaran lebih kepada kesedaran dan perlumbaan yang bersifat fizikal dan kemajuan tampak, serentak dengan kesedaran minda dan intelek sedang kesedaran yang bersifat metafizik, rohani dan konsepsi kurang diberi perhatian. Manusia sebagai anak zaman sedang dihanyutkan bahtera material yang rungutan dari mereka tidak pernah henti-henti terutama yang tidak berpeluang mendapat habuan, kerana  ada di luar dari skema yang melayak atau membolehkan mereka bersama mendapat habuan. Apakah ini merupakan `ruang kehidupan` yang dipaksakan terhadap mereka yang mereka ketinggalan, kerana tidak bersama atau tidak sebijaksana mereka yang ada di dalam mekanisme peluang yang sengaja diciptakan. Apakah pemastian dari `hak` telah jauh menyimpang dan apakah harapan mencapai hak yang di dalamnya hak termasuk, kebahagiaan, kerohanian, keselamatan sermakin terabai dan merisaukan ?

Sekian.

January 6, 2016

Al-Ghazali Tidak Puashati Terhadap Theologi, Sekadar Ilmu Memada:Alternatif ?


BBB,  24 Rabiul Awwal 1437 = 05 Januari 2015 (Selasa):


Al-Ghazali menyerang falsafah dan menyatakan tidak puashatinya terhadap pendekatan theologi (Ilm al-Kalam). Dalam kitabnya yang berjudul Al-Munqidh Min al-Dalal wa Abhath fi al-Tasawwuf. Menurut Al-Ghazali yang dicarinya ialah `Hakikat Ilmu` sebenarnya. Al-Ghazali bertanya, Apakah itu `Hakikat Ilmu` ? Beliau menjawab:
``Hakikat ilmu itu ialah `Al-Ilmu al-Yaqiniyy``. Iaitu ilmu yang terbuka dengannya maklumat, sebagai keterbukaan yang tidak tersisa padanya sebarang keraguan, tidak menyertainya kemungkinan kesilapan dan waham dan tidak terbetik dihati sedemikian, bahkan aman dari kesilapan.``
(Al-Ghazali, Al-Munqidh Min al-Dalal, Maktabat al-Anglo al-Misriyyah, Al-Qahirah, 1964: 13-14).
Berhubung dengan `Ilmu al-Kalam` kata Al-Ghazali bahawa para mutakalimun mereka adalah ahli fikiran dan penelitian (hlm. 19). Berhubung dengan ilmu ini, ``Kudapatkan karangan mengenainya dan aku cuba fahamkan dan aku mutalaah kitab-kitab kalangan muhaqqiqin daripada mereka itu,`` bahkan Al-Ghazali cuba mengarang mengenai bidang ini, tetapi kata Al-Ghazali, ``Aku tak terkarang.`` (Ibid.).
Tentang `Ilmu Al-Kalam` ini Al-Ghazali membuat kesimpulan:
``Aku dapati aku berdepan dengan `Ilmu Bertarap Memada` dengan maksudnya, tetapi tidak memada dengan maksudku !`` (Ibid.). Kata Al-Ghazali lagi:
``Adapun tujuan `Ilmu al-Kalam` Memelihara `Aqidah Ahl al-Sunnah` dan menjaganya daripada waswas ahli al-bid`ah`. (Ibid.).
Sesungguhnya Allah Ta`ala mengurniakan kepada hamba-hambanya melalui lisan Rasulnya ``Aqidah`. Dia adalah kebenaran dalam mana ianya memberi kebaikan bagi agama dan dunia mereka, sebagaimana diungkapkan dengan mengenalinya melalui Al-Qur`an dan Akhbar (Hadith-Hadith Nabi) – (Ibid. 20-21).
Kata Al-Ghazali, ``Namun syaitan mencampakkan rasa waswas dengan perkara-perkara yang bid`ah yang bercanggah dengan Sunnah. Maka membiasa mereka itu dengannya, hingga hampir-hampirlah mereka diusik was-was daripada pegangan aqidah yang benar bagi mereka. (Ibid. Hlm.21).
Sesungguhnya Allah Ta`ala  menyediakan satu golongan mutakallimun, menggerakkan dakwah mereka bagi menegakkan Sunnah dengan susunan kalam yang teratur. Dengannya tersingkap bahaya ahl al-bid`ah yang baharu, bertentang dengan Sunnah yang betul. Mereka mengatur `Ilmu al-Kalam` kepada orang ramai. (Ibid.21).
Sesungguhnya bangkit golongan dari kalangan mereka itu dengan apa yang ditunjuk Allah kepada mereka, mereka memperelokkan jejak-jejak Sunnah, berjuang dengan aqidah yang diterima dari kenabian, dan mengubah dari apa yang bersifat bid`ah. Tetapi mereka berpegang pada muqaddimah yang menyelamat dari seteru-seteru mereka yang pernah mengganggu mereka dari menerimanya. Namun kalangan mereka ada yang bertaraf taqlid, atau berdasarkan ijma` ummah, atau menerima menurut Al-Qur`an dan Hadith-Hadith. (Ibid. 22-23).
Adalah kebanyakan mereka mengharungi persoalan aqidah mereka dari berlaku pertentangan, dan ambilan-ambilan mereka dari kebiasaan diterima.
Menurut penilaian Al-Ghazali ``Ini kurang memberi manfaat dari segi hak orang yang tidak seharusnya menerima pada tahap melepaskan daruriyyat pada asal. (Ibid. 23).
Al-Ghazali menegaskan lagi, ``Tidaklah pendekatan Ilmu al-Kalam sebenarnya bagiku ``Memada`` (Tidak memada), bahkan tidak meringankan penyakut yang aku mengadu (sterss yang dihadapi), bahkan  tidak  pun sembuh. (Ibid.)
Al-Ghazali berpendapat, ``Semakin berkembang Ilmu Al-Kalam, semakin mereka mengharunginya dan makin lama mereka berusaha menjejaki jalan Sunnah dengan berbahas mengenai hakikat perkara-perkara seperti jauhar, sifat dan hukum makin tiada rumus kepastian, tetapi, oleh kerana bukan sedemikian yang dimaksudkan, tidak sampai maksud perbahasan mereka kepada tujuan tertinggi. Mereka tidak mampu menghilangkan kegelapan keheranan dengan kepelbagaian kelainan pendapat. Kata Al-Ghazali,`` Ku jangka demikian juga pendapat selain dariku. Kuragu akan penghasilan yang dapat dicapai, bahkan tidak lebih daripada  bersifat taqlid dalam banyak perkara yang diberi keutamaan.``
Mengakhiri pendapatnya tentang Ilmu al-Kalam Al-Ghazali membuat alegori, bahawa,
``Tidaklah ada halangan bagi mereka yang berusaha menyembuh penyakit dengannya, tapi untuk menyembuh bagi penyakit berlainan, berapa daripada ubat boleh menyembuhkan penyakit, tetapi tidak pula bagi yang lain yang mengharapkan.`` (Ibid. Hlm. 24).
Menurut Dr. Abdul Halim Mahmud (pernah menjadi Rektor Al-Azhar) yang membuat ulasan terhadap teks Al-Munqidh Min al-Dalal, bahawa Al-Ghazali dengan keadaan tidak berpuashati dengan Ilmu al-Kalam sebagaimana diulang berkali-kali, dia masih berbaik sangka dengan golongan al-Mutakallimun (hlm. 19). Al-Ghazali pada dasarnya mau mempretahankan kemurnian aqidah dari diperbahaskan dengan secara kalam yang hakikat Allah adalah berlainan dari yang diungkapkan. Dr. Abdul Halim Mahmud memetik pendapat Ibn `Abd al-Barr (m.463H.) dalam kitab `Jami` Bayan al-`Ilm wa Fadlih` mengatakan, ``Ulama` salaf rahimahum Allah  menegah daripada berbantah (jidal) tentang Allah Jalla Sha`nuh sama ada tentang sifatNya dan namaNya.`` (Ibid.) tambah dalam huraian, ``Tidaklah i`tiqad sedemikian, kerana Allah Jalla wa `Azza, tidak boleh disifat, menurut pendapat jamaah Ahl al-Sunnah, melainkan dengan apa yang disifatkan oleh Allah tentang diriNya dan disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. atau jamaah ummah dengannya (Allah tidak boleh  dibandingkan dengan sesuatu), Maka dia didapati dengan qiyas atau sempurna pandangan (nazar). Sesungguhnya kita dilarang dari memikirkan tentang Allah, kita disuruh berfikir tentang makhlukNya yang menjadi dalil bagiNya. (Ibid.).
Sebagai kesimpulan Al-Ghazali tidak bersetuju dengan pendekatan Ilmu al-Kalam, lantaran baginya tidak memberi kepuasan, tetapi beliau bersifat tolerans dan menyatakan, Ilmu Al-Kalam boleh memberi kefahaman kepada orang awam, tetapi tidak pada tahap tinggi.  Al-Ghazali memberitahu beliau tertekan memikirkan bahawa bagaimana diusahakan, falsafah tidak mampu memberi jawapan memuaskan, apa lagi  jawapan yang betul seperti diharapkan, Beliau memikirkan bagaimana pendekatan Ilmu Kalam ditangani sebaik mungkin,  persoalan yang menekankan jiwa dan minda Al-Ghazali menyebabkan beliau jatuh sakit.  Al-Ghazali seharusnya menawarkan pendekatan Ilmu Kalam yang betul sebagai alternatif, namun beliau sendiri mengakui tidak mampu (berhenti dari mengarangnya). Persoalan akidah yang dihuraikan di dalam Ihya` `Ulum al-Din adalah ringan , iaitu m,enyebut tentang tanzih dan sifat-sifat Allah dan Nabi berasaskan dua kalimah Shahadah. (Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad, Ihya` `Ulum al-Din, Jil I, Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan, 1409/1989: 108-112).
Dalam kata lain beliau mengkritik pendekatan Ilmu al-Kalam, tetapi tidak memberi pendekatan konkrit sebagai alternatif.

Sekian.

January 5, 2016

Sikap Al-Ghazali Begitu Obses Terhadap Falsafah


BBB, 23 Rabiul Awwal 1437 = 04 Januari 2015 (Isnin):


Keterlibatan Al-Ghazali dengan bidang falsafah ialah bermula dengan falsafah murni dan asli dalam Islam, iaitu mengenai `Usul Al-Fiqh`. Kemudian dia meluaskan talaah terhadap bidang falsafah secara terbuka dan bertembung dengan campur aduk pendapat falsafah, terutama terhadap unsur-unsur luar yang bercanggah sama sekali dengan falsafah dan kemurian Islam. Ini membuat Al-Ghazali sebagai enggan berkompromi dan menolaknya. Sudah tentu dari kajiannya memperlihatkan bahawa Falsafah secara umum tidak membantu, bahkan memudaratkan penggunaannya di dalam Islam, lantaran itu kelihatan beliau mengambil sikap menentang faham falsafah. Bukti utama, nyata dan jelas dari karangan terbesarnya di dalam bidang falsafah, iaitu Tahafut al-Falasifah – bermaksud kekacauan para filosof.
Penelitian ini amat bergantung pada teks Tahafut al-Falasifah yang diterjemahkan oleh  Sabih Ahmad Kamali yang diterbitkan oleh Pakistan Philosophical Congres, Lahore (1963), lebih-lebih lagi terjemahan ke bahasa Indonesia-Melayu oleh Ahmadie Thaha dari Indonesia yang menterjemahkan dari teks terjemahan  Sabih Ahmad Kamili yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (1993) yang kedua-dua teks ada pada Penulis.Teks terjemahan Sabih Ahmad Kamali ini dianggap oleh Ahmadie Thaha lebih bermutu dari terjemahan yang pernah dilakukan oleh Yohanna anak Al-Bithriq, Ibnu al-Na`imah al-Hims dan yang lain-lain.
Semua serangan Al-Ghazali terhadap falsafah di dalam Tahafut al-Falasifah yang disenaraikan sebanyak 20 persoalan ialah mengenai persoalan yang berhubung dengan ketuhanan (Sabih Ahmad Kamili, Al-Ghazali`s Tahafut al-Falasifah,  Pakistan Philosophical Congerss, Lahore, Pakistan, 1963: VII-VIII).
Ahmadie Thaha merumuskan 20 persoalan yang disanggah Al-Ghazali ini kepada tiga golongan:
1)      Golongan  Etheis Materialis (Al-Dahriyyun)
Golongan ini menyangkal adanya Allah. Mereka berpendapat tentang kekalnya alam. Mereka berpendapat alam tercipta dengan sendirinya.
2)      Golongan Natural atau Dieisme (Tabi`yyun)
Golongan ini mengaku tentang teratur dan indahnya alam dan menerima akan adanya Pencipta Yang Maha Bijaksana. Walaupun demikian mereka menyangkal akan adanya Hari Kiamat, kebangkitan semula, Hari Akhirat, Syurga dan Neraka. Mereka terdorong hidup secara nafsu seperti binatang, iblis dan syaitan.
3)      Golongan Falsafah Ilahiyyun
Mereka terdiri dari ahli-ahli falsafah Yunani seperti Socrates,  Plato dan Aristotle, tetapi menurut Al-Ghazali, kepercayaan mereka tidak terlepas dari unsur kekufuran dan kebid`ahan.
Bidang-bidang falsafah umum ialah logik, Ilmu alam dan fizik, theologi dan metafizik, politik dan etika. Bidang yang berhubung dengan ketuhanan ialah theologi dan metafizik. Berdasarkan klasifikasi di atas, Al-Ghazali menganggap theologi tidak lebih baik dari ilmu falsafah. Sebab itu Al-Ghazali tutut menyerang Ilmu Theologi termasuk Mu`tazilah, Ash`ariyyah dan Al-Maturidiyyah yang telah berkembang di dalam Islam secara mantap jauh dari zaman sebelumnya. (Ahmadie Thaha, Al-Ghazali Tahafut al-Falasifah: Kekacauan Para Filsuf, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1993: XIV-XV).
Rumusan Ahmadie Thaha berhubung dengan 20 perkara falsafah yang disanggah oleh Al-Ghazali merangkumi.
1.       Hubungan Allah dengan Alam yang meliputi masalah keazalian alam, keabadian alam dan zaman, Allah Pencipta dan Pembuat alam dan tetapi ketidakmampuan filosof membuktikan adanya Pencipta alam.
2.       Keesaan dan ketidakmampuan membuktikan mustahilnya dua Tuhan (masalah kelima)
3.       Masalah sifat-sifat Tuhan (keenam hingga dua belas)
4.       Pengetahuan Allah tentang perkara-perkara yang kecil (juz`iyyat) (masalah ketiga belas)
5.       Masalah falak dan alam (masalah keempat belas hingga keenam belas).
6.       Masalah sebab akibat (masalah ketujuh belas).
7.       Tentang jiwa manusia (masalah kelapan belas dan kesembilan belas).
8.       Masalah kebangkitan jasmani pada Hari Kiamat (masalah kedua puluh)
(Ibid., hlm. VII-VIII).
Ahmadie Thaha juga membuat rumusan sikap global Al-Ghazali terhadap masalah—masalah yang dibicarakannya yang merupakan pandangan dan pendapatnya:
1)      Allah adalah Pelaku yang `berkehendak` secara selektif (Fa`il al-Mukhtar) dan bukan sebab yang objeknya selalu bersama sebab itu selama-lamanya.
2)       Allah telah mengadakan alam dan berbuat setelah sebelumnya tidak mengadakan dan tidak menjadi pelaku bagi alam tetapi tanpa murajjih (faktor penentu) yang membuat Nya berbuat setelah sebelumnya tidak berbuat tanpa kehendak. Kerana , Dia berkehendak secara selektif, dan kerana objek perbuatan harus didahului oleh berlakunya menurut zaman.
3)      Kehendaklah yang menjadi faktor penentu Nya untuk `berbuat` setelah bukan menjadi `pelaku` sejak azali. (Ibid., hlm. XVII- XVIII).
Al-Ghazali terlalu obses mengenai persoalan yang berhubung dengan falsafah, lebih-lebih lagi mengenai ketuhanan, lantaran ianya merosakkan akidah. Namun tidak semua persoalan falsafah  adalah mengenai ketuhanan dan ada pembicaraan tentang ketuhanan secara falsafah murni, misalnya pendekatan yang dibuat Ash`ari dan Maturidi di dalam bidang falsafah usuluddin (walaupun ditolak Al-Ghazali), lebih-lebih lagi falsafah usul al-fiqh yang dilibat oleh Al-Ghazali juga adalah persoalan falsafah.  Jadi membuat kesimpulan menyeluruh bahawa semua pendekatan falsafah adalah salah dan menyeleweng mungkin dapat dipersoalkan. Prof. Dr. Harun Nasution berpendapat antara kelemahan dan terencatnya perkembangan falsafah di dalam Islam, khususnya selepas kejatuhan Baghdad ada hubungan dengan pendangan Al-Ghazali. Pendapat sedemikian disuarakan sama oleh Dr. Ahmad Syaf`i Ma`arif, bahkan oleh Dr. Nurcholish Majid. Mereka terkenal sebagai pendukung falsafah Islam dan moden di Indonesia. (Ibid., hlm. IX-X).
Walau bagaimana hingga kini pemikir-pemikir falsafah tidak mampu menjelaskan persoalan-persoalan kebenaran secara total, menandakan bahawa falsafah gagal menjadi pemangkin kebenaran yang sepenuhnya diyakini, manakala sebahagian besar dari pendirian Al-Ghazali ada kebenaran. Lantaran itu pendirian tentang falsafah di dalam Islam adalah secara terpilih dan hati-hati, lantaran itu pendekatan falsafah murni tetap diterima di dalam Islam seperti pendekatan di dalam usul al-fiqh, usuluddin sebagai ilmu al-kalam dan juga tasawuf yang berelemen falsafah.

Sekian.

January 4, 2016

Al-Ghazali Mujaddid Zaman - Pengukuh Agama Islam


BBB, 22 Rabiul Awwal 1437 = 03 Jannuari 2016 (Ahad):


Al-Ghazali (450-505H./1058-1111M.) berasal dari Tus, Wilayah Khurasan dianggap sebagai penyelamat jiwa agama dari kecelaruan pemikiran falsafah yang berkembang pada masanya sebagai lanjutan dari apa yang telah berlaku dalam kalangan umat Islam, misalnya dari pertikaian politik Ali-Mu`awiyah melahirkan Khawarij yang mengakibatkan berlaku perpecahan pendapat yang melahirkan Qadariyyah, Jabariyyah, Mu`tazilah, murjiah dan Ahlu al-Sunnah. Pengaruh luar termasuk pertembungan dengan pengaruh pemikiran Yunani dari tokoh-tokoh  pemikir Socrates, Plato. Aristotle dan Plotinus mengalir di dalam pemikiran Islam mempengaruhi bidang falsafah, ilmu kalam dan tasawuf falsafah di dalam Islam yang mencelarukan.
Al-Ghazali mendapat pendidikan awal di kampungnya dengan seorang guru bernama Shaykh Ahmad al- Razkani. Berpindah ke Jurjan, Naisabur berguru dengan al-Shaykh Ismail bin Sa`adah al-Ismail (m.487H.), Kemudian belajar dengan guru Abu al-Ma`ali Dhiya`al-Din al-Juwaini Imam al-Haramayn. Beliau juga belajar ilmu  mantiq dan ilmu falsafah dan fiqh al-Shafie. Selepas kematian gurunya Al-Juwaini beliau berkhidmat di bawah kerajaan Nizam al-Mulk pada zaman Nizam al-Mulki (Turki). Beliau dilantik sebagai pensyarah di Pengajian Tinggi Nizam al-Mulk (484H.). Pada peringkat permulaan beliau menulis di dalam bidang fiqh dan Usul Fiqh (bidang falsafah murni Islam). Dalam tahun (488H.) beliau meninggalkan jawatan pensyarah dan berpindah ke Syria. Minat penulisannya berpindah kepada ilmu tasawuf. Antara (488-490H.) beliau menghasilkan antaranya kitab Ihya` `Ulum al-Din . Pada tahun (493H.) Al-Ghazali kembali ke kampung halamannya di Tus, tetapi pada tahun (498H./1105M.) beliau dijemput kembali mengajar di Pengajian Tinggi Nizam al-Mulk di Baghdad. Pada kali ini beliau menghasilkan bukunya yang berjudul al-Munqidh Min al-Dalal.  Pada pengakhiran hayatnya  beliau  kembali ke kampungnya mengasaskan madrasah pengajian dan terus menghasilkan karya-karya yang berjumlah lebih kurang 100 buah.  Beliau meninggal pada 505/1111M.
(Sidek Baba, Riwayat Hidup Imam Al-Ghazali, Seminatr Al-Imam Al-Ghazali Dan Sumbangannya, Anjuran Akademi Islam , Universiti Malaya Dan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 12-14 Safar 1409H.= 23-25 September 1988M., hlm. 1 -7.)
Era Al-Ghazali adalah berada pada penghujung zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah (132-656H.=749-1258M.), Zamannya sebagaimana disebut berlaku kekacauan politik dalam negara, pergolakan di Andalusia dan  peperangan-peperangan salib. Dengan kekacauan politik pada zamannya Al-Ghazali turut berdepan dengan gerakan Batiniyyah (Syi`ah Ismailiyyah), para Mutakallimun. Pemikiran falsafah dan Tasawuf.
Dalam bidang falsafah lahir golongan Al-Dahriyyun yang berpendapat dunia adalah kekal seperti sediakala. Beliau juga berdepan dengan golongan percayakan Tuhan selaku Penggerak Utama dan menyeluruh , tetapi tidak perlu tahu secara detail.  Di atas kekacauan pendapat bersifat falsafah dia bangkit dengan karangan-karangannya menentang penyelewengan-pnyelewengan yang terjadi bagi membetulkan persepsi terhadap Islam lantaran itu beliau dianggap sebagai salah seorang Mujaddid Islam.
(Ahmad Zaki Haji Ibrahim, Al-Imam Al-Ghazali dengan Rujukan Kepada Zaman Dan Alam Sekitarnya, , Seminar Al-Imam Al-Ghazali Dan Sumbangannya, hlm. 10-64).
Sebagai pendukung Mazhab Shafie Al-Imam Al-Ghazali mengukuhkan mazhab Shafie dan mempunyai pendiriannya sendiri, menurut Mahmud Zuhdi Abdul Majid berhubung dengan pandangan fiqhiyyah Al-Ghazali. Beliau berpendapat:
``Imam Al-Ghazali seorang faqih yang mempunyai pandangan yang mendalam. Beliau adalah seorang mujtahid yang patuh kepada prinsip ijtihad yang dianutinya. Beliau bukan seorang ulama` taqlid dan juga bukan `ulama` bid`ah. Pemikirannya tidak mengenali erti jumud dan beku. Di bidang metodologi hukum (Ilmu Usul Fiqh) beliau muncul sebagai seorang ahli falsafah yang ketara, sementara di bidang ijtihad dan pentafsiran hukum (furu` fiqhiyyah) beliau seorang penyelidik yang halusi dan kritis (muhaqqiq) yang sentiasa berpegang kepada dalil dan alasan, dan bukan kepada personaliti. Beliau telah membenarkan dirinya sama  ada untuk bersetuju atau tidak dengan imam mazhabnya - Shafie dengan syarat bahawa semua sikap yang diambil itu perlulah berasaskan kepada alasan dan  dalil yang jelas. Sesungguhnya kesan dan sumbangan beliau dalam ilmu hukum tidak kurang besarnya dari sumbangan beliau sendiri dalam ilmu kalam dan falsafah. Benarlah, kalau bukan kerana kemasyhurannya yang sangat menonjol di bidang ilmu Kalam dan Falsafah tentu sekali beliau akan tertonjol di bidang fiqh sebagai seorang faqih yang amat terbilang.``
(Mahmud Zuhdi Haji Abdul Majid, Sumbangan Al-Ghazali Terhadap Pengajian Ilmu Hukum, Seminar Al-Imam Al-Ghazali Dan Sumbangannya, hlm.118-169.)
Dari segi pemimpin yang menegakkan Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah di samping berpegang dengan mazhab Shafie, beliau juga adalah pembela aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Sebenarnya dari segi akidah, walaupun beliau tidak menyenangi pendekatan Ilmu al-Kalam, lantaran ilmu al-Kalam lebih menekankan perbahasan.  Sumber akidah bagi beliau adalah Al-Qur`an yang tidak menjadi keutamaan di dalam perbahasan Ilmu al-Kalam. Sebenarnya beliau membela akidah dengan menentang pandangan yang bersifat falsafah yang mempunyai hubungan rapat dengan persoalan akidah. Ini terbukti dari penghasilan karangan –karangan besar beliau di dalam bidang falsafah terutama:
1)      Al-Munqiz min al-Dalal
2)      Tahafut al-Falasifah
3)      Maqasid al-Falasafah
4)      Mi`yar al-`Ilm fi Fann al-Mantiq
5)      Mishkat al-Anwar
6)      Ihya` `Ulum al-Din
7)      Minhaj al-Abidin
Karangan-karangan di atas adalah sebahagian dari 100 buah karangan beliau. Karangan-karangan di atas lebih kepada bidang falsafah dan tasawuf. Di dalam karamgan-karangannya ini beliau menentang falsafah  yang menyeleweng bagi memurnikan falsafah Islam yang benar, demikian juga beliau tidak menyenangi Ilmu al-Kalam bagi memurnikan akidah Islam yang sebenar. Demikian juga dengan ilmu tasawuf yang membawa beliau merumuskan pendekatan tasawuf yang  merupakan kombinasi dari pendekatan akidah murni, syariat, muamalat, aspek muhlikat dan munjiyat bersifat akhlak sebagaimana di dalam kitabnya Ihya` `Ulum al-Din dan Minhaj al-`Abidin. Al-Ghazali dikira sebagai salah seorang Mujaddid zaman yang memperkukuhkan Islam.

Sekian.

January 3, 2016

Tasawuf Dan Falsafah Kiri


BBB, 21 Jamadil Awal 1437 = 02 Januari 2016 (Sabtu):


Tasawuf pada dasarnya merupakan bidang falsafah utama Islam. Tetapi ada pembawaan tasawuf yang tidak cocok dengan Islam, maka kita istilahkan sebagai `Tasawuf Dan Falsafah Kiri`. Sememangnya pada dasar tasawuf adalah tekun beribadat dan mensucikan diri dalam mendekati Allah, tetapi  akibat dari pertembungan budaya keilmuan dengan budaya luar, khususnya selepas meluasnya Islam ke kawasan-kawasan yang selama ini di bawah pengaruh Parsi, Kristian, Yahudi, Hindu, Budddha, maka berlaku pengolahan dan asimilasi budaya, fikiran dan filsafat sama ada disedari atau tidak ada kesengajaan melakukan penyesuaian dengan falsafah dan agama luar dan antaranya menjadii pendekatan falsafah kesufian tersendiri.
Seawal tokoh sufi yang dikaitkan dengan tasawuf falsafah kiri ialah Abu Yazid al-Bistami (m. 261H.) Nama beliau adalah Abu Yazid Tayfur bin bin Isa bin Sarushan berbangsa Parsi. Dato`nya Sarushan ini seorang Majusi dan menganut agama Islam. Abu Yazid membicarakan soal ma`rifat dan kashaf, sebagaimana turut membicarakannya oleh Dhu al-Nun al-Misriyy. (Abdul Rahman Al-Sulamiyy, Tabaqat al-Sufiyyat, Maktabat al-Hashimiyy - Al-Maktab al-Arabiyy, Al-Qahirah-Al-Kuwait, 1389/1969: 69-70).
Ibn Khaldun melihat ada pengaruh luar meresap ke dalam tasawuf Islam yang membawa kepada tasawuf falsafah kiri yang dari mereka lahirnya pendapat mengenai `Ittihad - Hulul (Penyatuan- Penjelmaan) dan Wahdat al-Wujud. Ittihad dikaitkan dengan Al-Bistami yang mempunyai hubungan dengan  Pengaruh Hindu-Parsi mengenai fana` dan penyatuan - Ittihad, manakala al-Hulul dikaitkan dengan Al-  Hallaj yang mempunyai hubungan dengan pengaruh Kristian, manakala Wahdat al-Wujud dikaitkan  dengan Ibn `Arabi yang  lahir secara  genius falsafah pemikiran Wahdat al-Wujud. Konsep ma`rifat yang luas dari segi maknanya boleh dikaitkan keilmuan dengan aliran Sunni dan boleh juga dikaitkan dengan ma`rifat kepada aliran-aliran falsafah yang dipengaruhi luar berkenaan.
(Ahmad Taufiq `Ayyad, Al-Tasawwuf al-Islamiyy, Tarikhuh wa Madarisuh wa Tabi`atuh wa Atharuh, Maktabat al-Anglo al-Misriyyah, Al-Qahirah, 1970: 75-80).
Konsep `Ittihad` bermaksud tahap bawah – hamba boleh meningkatkan diri dari tahap bawah kepada bersatu pada tahap tertinggi – Ketuhanan. Galuran pemikiran falsafah sedemikian misalnya digunakan bagi mengolah tahap kehambaan Nabi Isa dan Maryam dari faham Kristian meningkat kepada tahap ketuhanan. Ini dapat difaham dari konsep Triniti, bahawa Maryam dan Isa meningkat dari tahap manusia kepada tahap ketuhanan, iaitu tiga uknum ketuhanan. Dalam konsep kesufian yang bersifat kiri, melihat penyucian dan peningkatan hamba boleh mencapai tahap tertinggi – Ketuhanan yang sudah tentu faham yang sedemikian adalah salah dari segi Islam.
Adapun faham Hulul adalah di sebalik dari faham Ittihad. Jika dengan ittihad tahap hamba meningkat ke tahap tertinggi, maka `Hulul` adalah sebaliknya, iaitu tahap tertinggi turun menjelma ke tarap hamba. Konsep ini juga boleh dilihat dan dipakai dari segi faham Kristian, bahawa Allah turun ke tahap hamba pada diri Maryam dan Isa yang menerima unsur ketuhanan – yang juga bercanggah dengan akidah keislaman. Sedar atau tidak bahawa dari segi pengaruh budaya tradisi, konsep penjelmaan sering menjadi tema cerita-cerita dalam sastera Melayu lama seperti menjelma dari buluh betung, dari kepala gajah dan buih yang mencerminkan pengaruh Hindu-Budhdha yang tebal pengaruhnya pada masyarakat Melayu Tradisi.
Faham falsafah Wahdat al-Wujud adalah falsafah yang paling teratur yang mencerminkan kebijaksanaan Ibn `Arabi (560-638H. /1164- 1240M.) pembawa faham ini, sehingga falsafah wahdat al-wujud ini disifatkan sebagai `Doktrin Wahdat al-Wujud`.
Dengan falsafah Wahdat al-Wujud  Ibn `Arabi bertujuan mau mendirikan konsep benar-benar tauhid Allah Ta`ala yang Allah wujud benar-benar hakiki, sedang yang lain daripadanya ialah wujud idafi yang pada hakikatnya tidak wujud dari segi wujud sebenarnya. Bagi menjustifikasi tunggalnya wujud Allah dan kaitanNya dengan makhluk (istilah makhluk tidak sesuai bagi falsafah wahdat al-wujud) Ibn `Arabi memecahkan konsep Tunggal kepada tiga iaitu Ahadiyyah, Wahdah dan Wahidiyyah.
1)      Ahadiyyah – Peringkat Tunggal Tuhan yang Dia semata Wujud Yang Hakiki. Dia semata Ada dan Hakikatnya tiada yang lain. Dia Wujud, Qidam, Baqa` dan segala sifat kesempurnaan yang lain. Ibarat satu titik di atas ruang tiada yang lain, melainkan titik itu.
2)      Wahdah – Peringkat Esa Tuhan dinisbahkan Dia ada dan ada alam dilihat secara ringkas dan menyeluruh. Ini dihuraikan apa yang dikatakan Hadith Qudsi yang bermaksud:``Aku perbendaharaan tersembunyi, Aku  Suka diketahui, maka Aku jadikan alam. Jadi pada peringkat wujud Allah yang Esa dinisbahkan sudah ada bersama wujud yang nisbi/idafi/tidak hakiki.
3)      Wahidiyyah – Peringkat Satu Tuhan dalam mana dilihat Satu Tuhan bersama segala wujud yang lain secara detail seperti dalam wujud itu ada manusia, pokok, gunung, bintang, matahari dan berbagai lagi. Semua yang lain daripada Satu Tuhan adalah wujud nisbi/idafi/tidak mutlak.
Point penting dari segi faham falsafah wahdat al-wujud ini, bahawa yang wujud hanya Allah Yang Tunggal. Adapun nisbi itu dilihat dari permukaan atau angle berlainan secara nisbi, wujud bulan, bintang dan bumi nisbi dan pada hakikatnya tidak wujud, Yang Wujud adalah Allah yang Tunggal. Segala yang wujud selaian dari Allah adalah bayangan yang pada hakikatnya tidak wujud.
(Affifi, A.E. The Mystical Philosophy of Muhyid Din Ibnul Arabi, Sh. Muhammad Ashraf, Kashmiri Bazar, Lahore, Pakistan, 1964,  213hlm.).
Faham falsafah wahdat al-Wujud adalah kemas dari rangka pemikiran yang bersifat falsafah teratur, tetapi mempunyai kelemahan-kelemahan:
1)      Memberi ruang kepada kefahaman serba Tuhan
2)      Melemahkan dari segi hukum hakam termasuk hukum shari`at, lantaran memberi implikasi suruhan dan hukuman dari Tuhan kepada DiriNya sendiri.
3)      Menjadi kacau dan tidak dapat ditegakkan nilai akhlak
4)      Faham Wahdatul wujud menjadikan syurga dan neraka tidak berfungsi.
5)      Hilang tanggungjawab hamba kepada Allah dan mengundang kekecauan di dalam masyarakat.
Dapatlah dikatakan Wahdatul wujud indah dari rangka falsafah, tetapi tidak mungkin berfungsi dari segi praktik.
Selain dari faham falsafah kiri berhubung dengan ittihad, hulul dan wahdat al-wujud terdapat faham-faham yang lain yang menyimpang dan menyeleweng yang tidak secocok dan tidak sesuai dengan kesucian Islam yang murni yang sengaja tidak dibincangkan di ruang yang ringkas ini.

Sekian.

January 2, 2016

Perbezaan Antara Maqam Dan Hal - Perjalanan Kualiti Ketasawufan


BBB,  20 Jamadil Awal 1437 = 01 Januari 2016 (Jumaat):


Bertasawuf adalah perjalanan kualiti diri meningkat kepada peringkat `Ihsan`. Peringkat di mana  Malaikat Jibril bertanya Rasulullah s.a.w. tentang Iman, Islam dan Ihsan, sebagaimana diriwayat oleh Abu Hurairah r.a., bahawa tentang Ihsan ini, Baginda Rasulullah s.a.w menjawab bermaksud:
``Ihsan ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, dan jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah melihat engkau.``
(Terjemahan Sahih Al-Bukhari, Jil 1, Yayasan Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur, 1406/1986: 56-58).
Atau juga mencapai maksud Hadith yang diriwayatkan oleh Anas daripada Nabi s.a.w. bersabda (Bermaksud): ``Tiga macam perkara, barangsiapa yang di dalam dirinya terdapat tiga macam perkara itu, dia dapat merasakan kemanisan iman (1) Bahawa dia menjadikan Allah dan RasulNya lebih dicntai olehnya daripada selain keduanya. (2) Dan bahawa dia mencintai seseorang, tiada lain cintanya itu, melainkan semata-mata kerana Allah (3) Dan bahawa dia benci akan kembali kepada kekufuran seperti dia benci akan dicampakkan ke dalam neraka. (Ibid., hlm. 26-27).
Perjalanan menuju ke tahap `Ihsan` dan perjalanan menuju ke tahap mencintai Allah dan Rasul adalah merupakan tahap cinta tertinggi. Dia merupakan tahap perjalanan kualiti seorang hamba dari peringkat paling awal iaitu menyempurnakan keislaman dan keimanan membawa kepada peningkatan keihsanan.
Antara perjalanan kualiti yang dilalui ialah melalui tahap-tahap maqam dan hal-hal. Apakah maqam dan hal itu ? Apakah perbezaan antara keduanya ? Menurut Abdul Qadir bin Isa di dalam bukunya Haqa`iq `an al-Tasawwuf, ia adalah ` jalan menyampaikan kepada Allah` (`Abdul Qadir Isa, Haqa`iq `an al-Tasawwuf, Diwan Press, Norwich, England, 1970: 269).
Menurut Dr. Zaki Mubarak di dalam bukunya al-Tasawwuf al-Islamiyy fi al-Adab wa al-Akhlak,
``Maqam di kalangan sufi bermakna tempat (maqam) hamba di sisi Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan apa yang dapat didirikan dari segi ibadat, mujahadah, latihan dan memutuskan diri dari yang lain kepada Allah dengan tabaruk dengan nama-namanya. Antaranya bukti ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Demikianlah bagi siapa yang takut mencapai maqamKu dan dia takut dengan balasan-balasan (wa`id) (Ibrahim: 14).
Maqam-maqam ialah seperti maqam taubah, , maqam sabar, maqam shukur, maqam al-raja`, maqam khauf (takut), maqam reda,, maqam zuhud,, maqam al-faqr dan maqam wara`.
Adapun `Hal ialah situasi yang turun ke atas hati dan tidak bersifat kekal. Perbezaan antara maqam dan hal, bahawa maqam diusahakan dengan cara mjahadah, ibadat dan latihan (riyadat), sedangkan hal dia datang dari limpahan kurnia Allah. Ini diungkapkan oleh Al-Jurjani berkenaan `hal` ini ketika ia berkata:
``Hal di sisi ahl al-haqq makna yang datang ke atas hati dengan tidak dibuat-buat dan bukan usaha menariknya, misalnya dengan cara memukul diri, bersedih atau memagang situasi (qabd), bersantai atau bertenang. Dia menghilang dengan lahirnya sifat-sifat nafs berikutnya atau tidak. Tetapi apabila berterusan dapatan maka ianya menjadi `maqam`. Ringkasnya `Hal` adalah kurniaan` dan maqam ialah diusahakan, hal datang tanpa diundang bersuasana dan maqam terhasil dengan usaha bersungguh.``
Hal ialah hal muraqabah, hal dekat (qurb), hal cinta, hal shauq,, hal jinak (uns), hal tama`ninah dan hal yaqin.
(Zaki Mubarak, Al-Tasawwuf al-Islamiyy fi al-Adab wa al-Akhlaq,, Al-Maktabat al-`Asriyyah, Beirut, tt: 117-118.
Huraian terhadap sebahagian maqam contoh maqam terawal iaitu  taubat, dimaksud ialah taubat nasuha ialah kesal dengan hati, istighfar dengan lisan, anggota badan tinggal dari melakukannya dan jauh dihati azam tidak akan kembali melakukan dosa. Manakala sabar ialah maqam yang mulia. Sabar adalah mengandungi unsur keberanian di dalam menghadapi kesusahan. Sabar sama ada pada ibadat, menuntut ilmu, pekerjaan, muamalah sesama manusia, sabar dari penyakit, sabar dari segi kasih, marah, nikmat dan bala. Kesan dari kesabaran membentuk jiwa yang cekal dan akhlak yang tinggi. Manakala maqam shukur ialah berkait dengan nikmat yang dikira lebih rendah dari kedudukan sabar, namun ianya lahir dari jiwa mulia yang mengenang kurnia dan menghargainya. Raja` merupakan harapan yang disertai baik sangka terhadap kurniaNya, tetapi tidak keciwa dan berputus esa jika tiada ada kurnia segera yang barangkali mempunyai hikmat tersembunyi yang Allah lebih tahu. Raja` mengkuhkan peribadi mu`min. Mendekati raja` ialah takut (khauf) kiranya tidak mendapat kurnia Allah dan takut dari kemarahanNya, sebab itu hamba seharusnya waspada dan tenang, tidak mendukacitakan tidak tercapai maksud dan selalu menyalahkan  pada kekurangan diri. Dengan demikian membangkitkan kesedaran bagi membaiki kelemahan diri.
Manakala reda dikatakan sebagai pintu Allah yang maha besar dan merupakan syurga mukmin di dunia. Dengannya hati mu`min tenang dengan reda dengan segala hukum dan ketentuan Allah. Dan dikatakan antara maqam yang penting ialah zuhud dan dia menjadi asas bagi keadaan reda. Dimaksud zuhud ialah pada perkara halal yang wujud, adapun perkara haram dan shubhah maka meninggalkannya adalah wajib, manakala taqwa ialah tidak berhajat kepada yang lain daripada Allah oleh kaya jiwanya biarpun miskin harta, hidupnya memada dan tenang jiwa.. Ini diikuti dengan sifat wara` yang tidak gelojoh dan tama` dan tidak mementing diri dan melebihutamakan orang banyak.

Berhubung dengan `Hal` dari segi muraqabah ialah seorang yang bermuraqabah (mendekati) kepada Allah dan memohon dariNya memeliharanya, kerana tidak ada yang sempurna dari segi perlindung selain daripada Allah. Permohonan kepada Allah semoga diri benar-benar taat dan benar-benar berubudiyyah. Manakala hal bagi `Mahabbah` , maka jalannya ialah mesra dengan nikmat Ilahi dan tumpuan kepadaNya sepenuh jiwa. Dhu al-Nun al-Misri pernah ditanya, ``Apakah mahabbah yang bersih yang tidak ada kekeruhan padanya, maka dijawab, ``Cintakan Allah yang murni yang tidak ada kekeruhan padanya ialah engkau menggugurkan mahabbah daripada hati dan anggota kepada yang dikasihi semata sehingga kosong dirimu darinya dan adalah engkau dengan Allah dan bagi Allah, itulah mahabbah bagi Allah !.
Adapun `Shauq` mempunyai kaitan dengan mahabbat, ialah rasa mesra mendalam dalam `menatapi`  yang dikasihi. Ia adalah gambaran lisan al-hal yang lebih fasih dari gambaran kalam yang tidak mencukupi istilah bagi gambaran.
Adapun hal `Uns` berjinak mesra ialah bergantung kepada Allah, tenang denganNya dan berlindung denganNya dari uns membawa kepada tama`ninah diri dalam segala hal. Dari tama`ninah membawa kepada `Mushahadah` dan puncaknya membawa kepada `Yaqin` iaitu mentahqiqkan kebenaran yang ghaib tanpa syak dan ragu yang tidak perlu kepada kata atau huraian, kerana segalanya nyata berdepan  ! (Zaki Mubarak,Dr., Al-Tasawwuf al-Islamiyy fi al-Adab wa al-Akhlaq, 117-139).
Demikian perbezaan antara maqam dan hal dalam perjalanan kualiti ketasawufan.

Sekian.

January 1, 2016

Perkembangan Dan Aliran Dalam Tasawuf


BBB,  19 Rabiul Awwal 1437 = 31 Disember 2015 (Khamis):


Pada peringkat awal tasawuf adalah lahir dari kecenderungan terhadap ibadat – mendekati diri  kepada Allah dan mesra kepadaNya dengan mengamalkan apa yang disuruh dan menjauh segala yang dilarang lantas terpancar dari mereka nilai-nilai murni berakhlak tinggi.  Di dalam pembicaraan tasawuf dilihat dua aliran utama, iaitu aliran Sunni dan aliran yang bersifat falsafah.
Al-Junayd al-Baghdadi (m. 297H.) dinisbahkan kepada aliran tasawuf sunni yang terdapat di dalam kategori kedua di kitab Al-Tabaqat al-Sufiyah yang di susun oleh Abdul Rahman al-Sulamiyy. Nama penuh bagi Al-Junayd ialah Al-Junayd bin Muhammad, Abu al-Qasim al-Khazzar, bapanya peniaga bahan kaca, sebab itu dia dikenali sebagai `Al-Qawaririyy` (Peniaga kaca). Al-Junayd berasal dari Nahawand, Iraq. Dia adalah seorang yang faqih berguru pada Abi Thaur seorang ulama` fiqh. Dia bersahabat dengan Sari al-Saqati dan Al-Harith al-Muhasibi dan Muhammad Ali al-Qassab al-Baghdadi. Dia dianggap tokoh yang dihormati di kalangan masyarakat. Daripadanya diwarisi ungkapan-ungkapan yang mencerminkan roh dan jiwa ketasawufannya seperti katanya:
``Mendekati mesra kerohanian menghimpunkan dan liar dengan manusia memecahkan.`` Katanya lagi,``Kami tidak mengambil tasawuf dari kata anu dan sianu, tetapi kami mengambilnya dari lapar, meninggalkan dunia, memutus diri, berjinak dan mesra denganNya, kerana tasawuf ialah bersih muamalah bersama Allah, asalnya mengenali dunia, sebagaimana kata Al-Harith, ``Aku mengenali diriku dengan dunia, maka aku berjaga malam (beribadat) dan bertenang di siangnya.`` Contoh kata Abu Bakar al-Mala`iqiyy, ``Aku dengar Al-Junayd berkata, ``Adapun tasawuf itu sifat bagi diri hamba yang mendukungnya. Maka kata Abu Bakar, ``Sayyidi Sifat bagi hamba atau bagi kebenaran ?, katanya, ``Sifat  bagi kebenaran ialah Haqiqat dan sifat bagi hamba ialah garis panduan.`` dan Al-Junayd ditanya tentang siapa itu Al-Arif``, jawabnya, ``Ia tidak ditawan oleh walau sedikit masa dan tidak oleh ungkapan kata``.
Abdul Rahman al-Sulamiyy, Al-Tabaqat al-Sufiyyat, Maktabat al-Hashimiyy-Maktabat al-`Arabiyy,  Al-Qahirah-Al-Kuwaiti, 1389/1969:155-163).
Demikianlah antara ungkapan Al-Junayd yang mencerminkan sikap, keilmuan dan jiwa ketasawufannya.
Daripada ungkapan Al-Junayd di atas bahawa pada masanya istilah tasawuf sudah mulai dikenali.
Tasawuf  pada asasnya ialah usaha membersihkan diri dari kekotoran lahiri dan maknawi sesuai dengan erti istilah tasawuf itu sendiri yang bererti bersih, jernih, mengusahakan diri agar berada pada saf terkedepan mendekati Allah, sanggup menghadapi kesempitan sebagaimana kalangan ahli suffah yang berhijrah dari Makkah dan berlindung di Masjid Nabawi di Madinah. Antara karangan terawal selepas Abdullah al-Mubarak dengan Al-Zuhd wa al-Raqa`iq ialah oleh Al-Muhasibi yang nama penuhnya ialah Al-Harith bin Asad al-Muhasibi. Dia mendalami di dalam keilmuan zahir (fiqh), muamalat dan isharat (tasawuf). Dia adalah guru bagi kalangan ulama` di Baghdad dan juga di Basrah. Dia menghasilkan kitab tasawuf yang dianggap karangan terawal iaitu kitab Al-Ri`ayat li Huquq Allah (Menjaga Hak-Hak Allah) dan kitab A`mal al-Qulub wa al-Jawarih (Amalan Hati Dan Anggota). Dia meninggal di Baghdad pada tahun (243H.).
Kalau kita lihat pada kedua-dua judul karangan Al-Muhasibi di atas adalah menekankan persoalan Adab dan kewajipan hamba terhadap Allah dan karangan kedua Menjaga Hati Dan Anggota dalam hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia dalam interaksi dengan mereka. Lantaran sedemikian ada yang berpendapat bahawa Al-Muhasibi adalah pengasas bagi pendekatan tasawuf berasaskan akhlak dan ianya membuka jalan kepada Al-Ghazali yang datang kemudian (m.505H./1111M.) mengolah pendekatan tasawuf yang berasaskan akhlak yang pendekatan akhlak dan etika sedemikian diterima sebagai pendekatan tasawuf Sunni.
Antara petikan dan ungkapan Al-Muhasibi yang dirakam oleh Abdul Rahman al-Sulamiyy di dalam bukunya Al-Tabaqat al-Sufiyyah bahawa Al-Muhasibi amat berpegang dengan Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda` r.a. daripada Rasulullah s.a.w. bahawa Baginda bersabda bermaksud:
``Seberat-berat perkara diletak pada neraca timbangan pada hari kiamat ialah elok akhlak.``
Antara petikan lagi bahawa Al-Junayd al-Baghdadi memetik kata-kata Al-Muhasibi bermaksud;
``Muhasabah dan pertimbangan pada empat kiraan, iaitu antara iman dan kufur, antara benar dan dusta, antara tauhid dan syirik dan antara ikhlas dan riya`.``
Dicatatkan juga bahawa `Uthman al-Baladi mendengar Al-Muhasibi berkata:
``Ilmu mewariskan takut kepada Allah, zuhud mewariskan kerehatan dan ma`rifat mewariskan tenang kedudukan.``
Dan katanya lagi, ``Tidaklah sayugia seorang hamba menuntut kewarakan sehingga mencuaikan kewajipan.``
(Abdul Rahman al-Sulamiyy, Tabaqat al-Sufiyyat, 1389/1969: 56-58.).
Jelas pendekatan tasawuf al-Muhasibi yang dianggap pengasas bagi pendekatan tasawuf Sunni adalah berasaskan ibadat, akhlak dan hubungan baik dalam interaksi kemasyarakatan.
Di dalam pendekatan tasawuf Sunni bahawa berlaku peningkatan kualiti diri dari segi perjalanan rohani yang disebut sebagai maqam dan hal yang dicapai oleh seseorang salik di dalam amalan ketasawufannya melalui pengajian dengan guru dan amalan dirinya. Peningkatan kualati diri ini ialah melalui tahap taubat, muhasabah, khauf, al-raja`, al-Sidq, Ikhlas, sabar, wara`, zuhd, reda, tawakkal dan syukur.
(Abdul Qadir Isa, Haqa`iq `an al-Tasawwuf, Dewan Press, Norwich, England, 1970: 269).
Ini adalah peringkat amalan dan mujahadah yang harus dilalui oleh seorang salik yang tidak lain dari membina peribadi dirinya dalam hubungannya dengan Allah dan alam kelilingnya sehingga terbentuk dirinya sebagai diri yang waja tidak dipengaruhi oleh unsur nafsu-syaitan dan alam kelilingan yang boleh merosakkan diri dan berada pada paksa kehambaan yang benar. Dalam konteks keakhlakan seorang salik berusaha melengkapkan diri dengan jiwa murni dengan nilai akhlak yang tinggi yang dia tidak dipengaruhi luaran sebaliknya dengan cahaya peribadinya dia menerang dan mempengaruhi luaran.

Sekian.