January 14, 2016

Al-Tahawi: Pengukuh Akidah Salaf


BBB, 04 Rabiul Akhir 1437 = 14 Januari 2016 (Rabu):


Bagi kita aliran akidah Sunni yang biasa diperkatakan ialah Aliran Ash`ari (260-324H./873-933) dan Maturidi (Pertengahan abad ke 3- 332H.). Menyebut Aliran Al-Tahawi agak asing dan jarang kedengaran dan kurang diperkatakan, terutama bagi pengikut-pengikut Islam di Timur Jauh. Al-Tahawi adalah pengukuh aliran Sunni yang hidup dalam era berdekatan dengan Ash`ari dan Maturidi. Al-Tahawi nama penuh baginya ialah Abu Ja`afar Ahmad bin Muhammad bin Salamat al-Azdi al-Hajri al-Tahawi (229-321H. /843-933M.), berkelahiran di Taha, sebuah perkampungan di Hulu Mesir. Al-Tahawi berketurunan Yaman yang moyangnya datang ke Mesir selepas negara itu di bawah pemerintahan Islam.
Al-Tahawi  di samping mendalami bidang akidah juga pakar di dalam bidang Hadith dan fiqh menurut Mazhab Hanafi dan pernah dilantik sebagai ketua Kadi (270H./883M.) di Mesir. Sebelumnya Al-Tahawi pernah ke Syria (268H./882M), kerana mempelajari bidang fiqh dalam Mazhab Hanafi dan menjadi pelajar bagi Kadhi Abu Khazim Abd. Hamid bin Ja`afar yang kemudian menjadi Ketua Hakim di Syria. Al-Tahawi mempelajari Hadith dari guru-guru yang hadir ke Mesir dan beliau sendiri mempunyai ramai pelajar yang mengikuti pengajarannya.
Al-Tahawi juga seorang yang banyak menghasilkan karangan-karangan iaitu seperti:
1)      Sharh Ma`ani al-Athar                     
2)      Mushkil al-Athar
3)      Ahkam al-Qur`an
4)      Ikhtilaf al-`Ulama`
5)      Al-Nawadir al-Fiqhiyyah
6)      Kitab al-Sharaf  al-Kabir
7)      Al-Sharaf al-Ausat
8)      Sharh al-Jami` al-Saghir
9)      Sharh al-Jami` al-Kabir
10)   Al-Mukhayar
11)   Manaqib Abi Hanifah
12)   Tarikh al-Kabir
13)   Al-Radd `ala Kitab al-Mudallisin
14)   Al-Radd `ala Abi `Ubaid
15)   Al-Radd `ala Isa bin `Abidin
16)   Hukum Aradi Makkah.
(A.K.M. Ayub `Ali,  Tahawism, in, A History of Muslim Philosophy, Vol. I, Edited by M.M.Sharif, Otto Harrassowitz, Wiesbaden, 1963: 244-245).
Al-Tahawi sebagaimana Al-Maturidi pengikut Abu Hanifah dari segi mazhab fiqh, tetapi mempunyai pendekatan dan kekuatan sendiri dari segi pendekatan akidah.
Abdul al-Mun`im Saleh yang memilih ungkapan-ungkapan Aqidah Al-Tahawi dari Sharh dibuat oleh Ali bin Abi al-`Izz al-Adhra`iyy melahirkan rasa kekaguman kepada kebolehan Al-Tahawi pada menyusun keilmuan akidah sebagai antara terawal membuat pendekatan dari segi akidah. Al-Tahawi sezaman dengan Ash`ari dan Al-Maturidi, tetapi Al-Tahawi lebih dulu meninggal antara mereka bertiga. Mereka tidak bermuafakat dari segi memulakan pendekatan ilmu aqidah lantaran berlainan tempat dan berjauhan seorang di Basrah, seorang di Samarqand dan seorang di Mesir dan dalam masa yang sama mereka menghasilkan keilmuan akidah yang ketiga-tiga pendekatan mereka diterima sebagai pendekatan akidah Sunni, lebih dari itu pendekatan Al-Tahawi lebih mendekati secara Salaf. Sesungguhnya pujian patut diberi, khususnya kepada Al-Tahawi yang dengan sedar, bahawa di tengah berbagai keilmuan yang dipelajari dan menghasilkan kitab-kitab, ia memberi perhatian tinggi bagi mendidik masyarakat umat dengan akidah yang betul. Bagi tujuan ini ia menghasilkan Kitab Al-`Aqidah al-Tahawi yang amat tinggi nilai dan amat berharga, keistimewaan teks akidah ini mendorong `Ali bin Abi al-`Izz al-Adhra`iyy mensharahnya yang dari sharh ini dipetik oleh `Abd al-Mun`im menerbitkannya sebagaimana judul `Usul al`Aqidat al-Islamiyyat` karya yang dibicarakan ini.
Kata Al-Mun`im Saleh, ``Al-Tahawi rahimahu Allah menghasilkan satu aqidah yang sempurna lagi sahih yang melazimkan kefahaman salaf Sunni yang dulu lagi awal, bersih dari pentakwilan, perbandingan dan gangguan  dan kata Abd al-Mun`im Saleh yang memperkenalkan Matan al-`Aqidah al-Tahawi dan sharh terhadapnya oleh  Al-Qadi Ibn Abi al-`Izzi al-Adhra`iyy adalah semuanya sebagaimana menepati apa yang dimaksudkan oleh Al-Tahawi di dalam Matan al-`Aqidahnya.. Di dalamnya dilengkapi dengan nas-nas ayat Al-Qur`an dan Hadith beserta memberi pendapat para Jumhur al-Fuqaha` pada perkara khilaf.`
Berkata tokoh-tokoh `ulama` antaranya Ibn Yunus,
``Adalah Al-Tahawi seorang yang kukuh dan amat dipercayai, faqih, intelek dan amat sukar  bagi seseorang menyamainya.`` Demikian juga pendapat al-Dhahabi dalam bukunya  Tarikh al-Kabir.
Berkata Ibn Kathir di dalam kitab, Al-Bidayah wa al-Nihayah, ``Dia seorang amat dipercayai dan kukuh kedudukan dan penghafal yang lancar.``
Demikian karangan-karangannya mencapai puncak kebenaran, menghimpun segala  faedah dan elok segi pembentangan. Adapun dari segi kitab `Al-`Aqidah al-Tahawiyyah``, walaupun bentuknya kecil, tapi banyak manfaatnya, menurut manhaj salafiyyah, tanpa seleweng dan keliru.``
(`Abd al-Mun`im Saleh, Usul al-`Aqidah al-Islamiyyah, Muassasah al-Risaloah, Beirut, 1407H./1987M: 5-8).
Berkata Al-Shaykh al-`Allamah Ketua Kadi-Kadi `Ali bin Abi Al-Izz rahimah Allah: sebagai permulaan bagi sharhnya, antaranya katanya:
``Sesungguhnya ilmu Usuluddin adalah semulia-mulia ilmu, memerlukannya oleh hamba-hamba Allah mmengatasi keperluan ilmu-ilmu yang lain, oleh kerana tidak hidupnya hati, melainkan dengan mengenal Tuhannya, menyembahNya sebagai keperluan secara fitrah dengan mengenalinya melalui nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya. Adalah mustahil untuk sampai mengetahui sedemikian dan mendapati kefahaman secara detail, maka dengan kehendak Tuhan yang Maha Mulia lagi  Maha Rahmat dibangkitkan rasu-rasul yang mengetahu dan menyampaikan kepada umat. Siapa yang menyambut dakwah dia mendapat berita gembira, sebaliknya siapa yang enggan menerima hukuman balasan. Penyampaian maklumat sebagai kunci dakwah dan inti risalah, puncaknya mengetahui Allah Subhanahu wa Ta`ala yang disembah. Dengan mengetahui apa yang didakwah terbina tuntutan risalah keseluruhan dari awal hingga akhirnya. Kemudian diturut oleh dua perkara besar:
Pertama: Menerangkan jalan yang menyampaikan, iaitu syariat yang mengandungi suruhan dan larangan
Kedua: Mengetahui jalan-jalan diikuti yang dibawa oleh Rasul yang menyampaikan kepada yang membawa kepada  kenikmatan dengan jalan yang diikuti.
(Ibid. 9).
Demikian sebagai pengenalan bagi latar  Al-Tahawi dan keilmuan yang diusahakan bagi kepentingan ummah, alu-aluan oleh pengusaha yang memilih dan  menyusun sebagai teks bagi `Aqidah Al-Tahawi, iaitu `Abd al-Mun`im Saleh al-`Aliyy al-Izziyy dan pensharh kepada  Matan Aqidah Al-Tahawi `Ali bin Abi al-`Izz al-Adhra`iyy yang melengkapkan kitab yang dibicarakan iaitu `Usul al-`Aqidat al-Islamiyyat`.

Sekian.


January 13, 2016

Sharh Al-`Aqa`id Al-Nasafiyyah Oleh Al-Taftazani


BBB, 02 Rabi`ul  Akhir 1437 =12 Januari 2016 (Selasa):


Kita dimaklumi bahawa Al-Taftazani  menghasilkan sejumlah 24 kitab di dalam berbagai bidang keilmuan Islam, kita juga dimaklumi bahawa Al-Taftazani menghasilkan tiga buah kitab di dalam bidang ilmu al-kalam, iaitu Kitab Al-Maqasid wa Sharhuh, Fadihat al-Mulhidin wa Nasihat ai-Muwahhidin fi Naqd Fusus Muhyi al-Din dan  Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah.
Dua buah kitab terawal tidak diberi huraian, sekadar menerangkan tentang judul dan perhatian ialah kepada judul ketiga, sesuai dengan buku diberi judul `Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah`.
Buku pertama yang judul penuhnya ialah `Maqasid al-Talibin fi `Ilm Usul al-Din` bermaksud, `Tujuan Pelajar-Pelajar Mempelajari Ilmu Usul al-Din`, disebut oleh Al-Taftazani 6 tujuan, tetapi tidak diberi penerangan oleh pengantar (Klaud Salamat), tetapi sudah tentulah untuk memelihara akidah keislaman yang betul agar tidak terjatuh di dalam syirik, dengan akidah yang betul, amal kita diterima Allah dan selamat di dunia dan akhirat dengan insya Allah mendapat balasan syurga.
Buku yang kedua `Fadihat al-Mulhidin wa Nasihat al-Muwahhidin Fi Naqd Fusus Muhyi alaDin` bermaksud, `Padah Orang Mulhid Dan Nasihat Orang Mengesakan (Allah) Pada Mengkritik Kitab Fusus al-Hukam  (Permata-Permata Hikmah) Muhyi al-Din`. Tujuan Al-Taftazani mengarang kitab ini ialah mengkritik faham falsafah Wahdat al-Wujud Muhyi al-Din Ibn Arabi yang berasal dari Murcia, Andalusia (Lahir 560H./1164M.) Beliau menimba ilmu dan meyibarkannya hingga beliau meninggal di Damshiq (m.638H./1240M.). Beliau banyak menghasilkan karangan, tetapi dua buah karangan beliau yang terkenal ialah Futuhat Makkiyyah dan Fusus al-Hikam. Kedua-duanya mengenai falsafah Wahdat al-Wujud, iaitu satu rangka jaringan falsafah Wahdat al-Wujud yang teratur, terutama di dalam karangan Fusus al-Hikam. Falsafahnya banyak mempengaruhi kalangan intelektual selepasnya. Pengaruhnya termasuk pendukungnya`Abdul Karim al-Jili dengan karangan `Al-Insan al-Kamil` sampai ke Acheh seperti melalui Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumatrani. (Affifi. A.E. The Mystical Philosophy of Muhyid Din Ibnul `Arabi, Sh. Muhammad Ashraf Kashmiri Bazar, Lahore, Pakistan, 1964: 210hlm.).
Sharh al-`Aqaid al-Nasafiyyah
Adapun kitab Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah dilakukan oleh Al-Taftazani terhadap Matan `Aqa`id al-Nasafiyyah, iaitu sebuah Matn (Intisari) Al-Nasafi menurut akidah Mazhab al-Maturidi yang dikarang oleh Imam Abi Hafs `Umar bin Muhammad bin Ahmad bin Ismail bin Muhammad bin `Ali bin Luqman Najm al-Din Abu Hafs al-Nasafi al-Samarqandi (461-537H.). Al-Nasafi  pernah ke Baghdad, tetapi menetap di Samarqand, menguasai banyak bidang ilmu seperti tafsir, fiqh, Hadith, ilmu al-kalam,, usul, sejarah, adab, syair dan bahasa, Oleh kealimannya Al-Nasafi  digelar `Mufti al-Thaqalayn` - Mufti Dua Kejadian – Manusia dan Jin !
(Al-Taftazani, Sa`du al-Din Mas`ud bin `Umar, Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah, Wizarah al-Thaqafat wa al-Irshad, Damshiq, 1974: 32-33).
Matan `Al-`Aqa`id al-Nasafiyyah amat terkenal dan diberi perhatian oleh `ulama`-`ulama usuluddin dan ramai daripada mereka yang membuat sharh terhadap matan tersebut, tetapi Sharh Matn Al-`Aqa`id al-Nasafiyyah yang dilakukan oleh Al-Taftazani adalah terbaik. Beliau dengan karangan ini dianggap pendukung utama bagi aliran Al-Maturidi.
Kitab Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah
Al-Taftazani membahagikan kandungan kepada 17 pecahan:
1.       Mengenal Hakikat-Hakikat Yang Tetap (Thabitah)
Ada hakikat-hakikat yang tetap yang menjadi pegangan. Contoh tentang Tuhan, Tuhan bersifat, tetapi konsep sifat ada berbagai-bagai pendapat yang dibahaskan, khususnya dari segi falsafah
2.       Sebab Ma`rifat
Menurut Al-Nasafi, tiga cara mendapat ilmu iaitu secara penyaksian – melalui pancaindera  seperti lihat, mendapat maklumat secara perkhabaran yang benar dan melalui akal
3.       Alam
Alam adalah baharu. Di dalamnya ada benda dan ada sifat. Sifat berada pada zat. Zat terdiri dari juz` yang membentuk jisim. Ada yang tidak dapat dibahagi seperti dharrah (atom)
4.. Allah
Maujud, Dia bersifat dengan sifat-sifat sempurna. Dia berlainan dari yang lain, Dia bukan jisim, bukan sifat seperti makhluk, bukan jauhar. Dia berlainan dari makhluk
5.Sifat
Allah bersifat dengan sifat-sifat sempurna seperti melihat, mendengar, mengetahu, kudrat dan sifat-sifat sempurna yang lain.
6.  Kalam
Allah bersifat kalam. KalamNya sifatNya yang azali, bukan dari jenis berhuruf, bersuara. Allah bercakap dengan kalam yang layak bagiNya.
7. Sifat Mencipta dan Iradah
Mencipta dan Iradah ialah sifat Allah yang azali yang berdiri pada ZatNya.
8.  Melihat Allah
Warid di dalam Al-Qur`an. Melihat dengan penglihatan harus pada akal, wajib dari segi naqal. Lihat bukan bertempat dan jihat,
9. Allah Dan Perbuatan Hamba
Allah membuat segala perbuatan hamba daripada kufur dan iman daripada taat dan berdosa. Bagi hamba ialah perbuatan ikhtiariyyah, diberi pahala kepada perbuatan baik dan dosa bagi perbuatan jahat. Yang baik direda Allah dan yang tidak baik tidak diredainya.
10. Taklif Dan Permasalahan Insan
Iaitu istita`ah bersama perbuatan. Dia adalah hakikat kudrat yang berlaku dengan perbuatan. Tidak dipaksa hamba yang tidak berkemampuan. Apa yang lebih baik bagi hamba bukan kewajiban bagi Allah.
11. Hal-Hal Akhirat
Azab kubur bagi orang kafir dan bagi pendosa orang mu`min dan nikmat bagi mereka yang taat. Mengalami soal munkar dan nakir seperti di dalam dalili-dalil sam`iyyat. Dibangkit adalah haq, timbangan adalah haq,, kitab haq,, soal haq,,  al-haud haq, sirat haq, syurga dan neraka adalah haq.
12. Pendosa Bersar
Tidak mengeluarkan seorang mu`min dari iman dan tidak termasuk dalam kekufuran. Allah tidak mengampun yang mensyirikNya, tetapi mengampun selain daripada itu, bagi yang dikehendakinya sama ada dosa besar atau kecil.
13. Iman
Ialah membenarkan apa yang didatangkan daripada Allah dan iqrar dengannya. Maka amalan bertambah dengannya (amalan).
14. Rasul dan Mala`ikat
Penghantaran Rasul-Rasul mempunyai hikmat menyampaikan perutusan Allah. Malaikat ialah hamba-hamba Allah yang mengerjakan segala suruhan.
15. Mujizat dan Karamat
Mu`jizat bagi Rasul dan Karamah bagi auliya`
16. Khilafah dan Imamah
Khilafah empat memerintah selama 30 tahun. Model kekhilafahan. Selepasnya ada raja dan pemerintah. Bagi orang muslim wajib ada pemimpin yang memimpin mereka dan memandu mereka di dalam melaksanakan hukum-hukum. Menjaga ketenteraman dan wilayah pemerintahan.
17. Ahlu al-Sunnah
Aqidah yang diredai, membezakan mereka dari yang lain dan keistimewaan-keistimewaan.
(Ibid., hlm. 37-43).
Persoalan-persoalan yang dibicarakan di dalam Sharh `Aqa`d al-Nasafiyyah tidak begitu berbeza dengan aliran-aliran Sunni yang lain.

Sekian.


January 12, 2016

Al-Taftazani Pendukung Ilmu Al-Kalam Al-Maturidi Dan Keilmuan Dikuasai


BBB, 01 Rabiul Akhir 1437 – 11 Januari 2016 (Isnin):


Tokoh ilmuan terkenal, khususnya yang membawa aliran dan pembaharuan selalunya kekal dan terkenal lantaran ada pengikut-pengikut yang memperkembangkan alirannya, khususnya dengan penghasilan karya-karya ilmiah yang mendukung aliran tersebut yang kadang-kadang meningkat kepada mazhab.
Demikianlah misalnya berlaku kepada aliran Al-Ash`ari lantaran ada pendukung-pendukung terkenal seperti  Al-Baqillani dan Al-Juwaini. Bagi  Al-Maturidi, maka antara pendukung utamanya ialah Al-Taftazani. Keadaan sedemikian juga berlaku bagi tokoh-tokoh mazhab fiqh seperi Maliki, Shafie, Hanafi dan Hanbali.
Nama penuh bagi Al-Taftazani ialah Mas`ud bin `Umar bin Abdullah. Dilahirkan pada tahun 712H.=1312M. di Taftazan sebuah kampung di wilayah Khurasan. Dipanggil Sa`d al-Din dan dnisbahkan kepada namanya Al-Taftazani. Beliau meninggal di Samarqand  pada tahun 791H.-1389M. Dari segi politik pemerintahan, Samarqand yang dipilih oleh Timur Lang pemerintah Tartar berikut dari serangan Hulago terhadap Baghdad (656H.), Timur Lang pemerintah pada masa itu telah memilih Samarqand yang berasal di bawah kerajaan Sammaniyah menjadi pusat pemerintahan Tartar. Timur Lang berusaha menjadikan  Samarqand bandar yang maju yang terkenal agar  mengatasi Baghdad dengan melahirkan para ilmuan, tokoh falsafah,  sasterawan, pakar seni dan budayawan. Turut bangkit maju beberapa bandar sekelilingnya seperti Turkistan, Khawarizmi, , Kashghar, Zulistan, Tabarstan, Rayy, Ghaznah, Istrabad dan lain-lain. Samarqand menjadi pusat pertemuan kemajuan tamadun dan peradaban.
Dalam situasi politik dan peradaban sedemikianlah Al-Taftazani lahir dan muncul bersama ilmuan di dalam bidang matematik, Algebra, perubatan dan falsafah. Al-Taftazani belajar bersama tokoh terkenal iaitu Adu al-Din al-Iji pengarang kitab (al-Mawaqif) di Khurasan. Kemudian dia ke Damshiq dan belajar dengan Qutub al-Din al-Razi al-Tahtani di Madrasah al-Tahirah. Ketika itu berkembangnya pengajian dan pengarangan di dalam keilmuan bahasa Arab, mantiq,, bayan, nahu, saraf, fiqh, usul dan ilmu al-kalam. Kemudian Al-Taftazani berpindah ke Khawarizmi dan tinggal beberapa masa sekitar 768H. dan berkesempatan mengarang kitab-kitab.  Ia diminta oleh Timur Lang berkhidmat di Sarkhus dan kemudian menetap di Samarqand. Tokoh ilmuan semasanya ialah al-Sayyid  al-Sharif al-Jurjani, berlaku pertikaian pengaruh oleh perselisihan mazhab dan juga masalah politik semasa. Dikatakan kematiannya - Al-Taftazani ( (791/1389) berhubung dengan  munaqasyah ilmiah antaranya dengan Al-Jurjani yang petah berbahas yang dihadiri sama oleh Timur Lang. Pengadilan dilakukan oleh Nu`man al-Din al-Khuwarizmi al-Mu`tazili.  Kematiannya secara mengejut yang dikebumi di Sarkhus, Samarqand  dirai sama oleh Timur Lang dan Al-Jurjani.
(Al-Taftazani, Sa`du al-Din Mas`ud bin `Umar, Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah  fi Usul al-Din wa `Ilm al-Kalam, Wizarat al-Thaqafat wa al-Irshad al-Qaumiyy, Damshiq, 1975: 6-10).
Al-Taftazani diterima sebagai salah seorang ulama terpenting di dalam banyak bidang ilmu pengetahuan,  khususnya dalam bidang theologi. Pendekatannya digunakan dalam pengajian dan sebagai pegangan akidah Islam dari timur hingga ke barat. Ibn Khaldun memuji Al-Taftazani di dalam buku Muqaddimah di dalam bab Ilmu-Ilmu Akliah, katanya:
`` Semasa di Mesir aku melihat karangan berbagai jenis yang dihasilkan oleh pengarang ulama Hirrah, negeri Khurasan, yang terkenal dengan nama Sa`d al-Din al-Taftazani yang mendalami dalam bidang ilmu al-kalam, usul al-fiqh, al-bayan, dengan penyaksian bahawa dia mempunyai kebolehan yang luas dalam bidang-bidang ini dan menunjukkan jua dia banyak mutalaah di dalam ilmu-ilmu hikmah, begitu juga mendalam di dalam bidang ilmu-ilmu akliah.`` (Ibid.10).

Al-Taftazani mempunyai ramai murid-murid yang mengikuti pengajarannya di dalam berbagai bidang. Dari segi akidah dan ilmu kalam, tidak diragui bahawa dia adalah pendukung aliran Al-Maturidi, tetapi dari segi mazhab fiqh ada beberapa pendapat, ada yang berpendapat dia pendukung Mazhab Hanafi, tetapi ada pula mengatakan dia pengikut Shafie. Al-Imam al-Sayuti mengatakannya bermazhab Shafie. Demikian juga disebut oleh Haji Khalifah bagi satu kitab disebut bahawa ``Kitab Taudih adalah Sharh Bagi Taftazani al-Shafie, beberapa kitab menyebutnya pengikut Hanafi. Adapun al-Baghdadi di dalam kitab Idah al-Maknun menyebutnya sebagai Pengikut Hanafi-Shafie !  (Ibid. 12-14).
Al-Taftazani pendukung aliran ilmu al-kalam al-Maturidi ini adalah seorang `ulama yang prolifik yang banyak menghasilkan karangan di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan. Misalnya alat yang penting di dalam perbahasan di dalam ilmu al-kalam ialah al-mantiq, maka Al-Taftazani menghasilkan kita di dalam bidang mantq dan lain-lain:
1.       Bidang Mantiq (Logik)
a)      Sharh al-Risalah al-Shamsiyyah
b)      Tahdhib al-Mantiq wa al-Kalam
2.       Bidang Nahu dan Saraf
a)      Sharh Tafsir al-`Uzza
b)      Kitab al-Irshad
c)       Kitab al-Isbah fi Sharh Dibajat al-Misbah fi al-Nahwi
d)      Tarkib al-Jalil
e)      Kitab Qawanin al-Sarf
3.       Bidang Fiqh
a)      Al-Miftah
b)      Sharh Talkhis al-Jami` al-Kabir
c)       Al-Fatawa al-Hanafiyyah
d)      Takmilah Sharh al-Hidayat li al-Saruji
e)      Sharh Khutbat al-Hidayat
f)       Sharh al-Sirajiyyat fi al-Mirath
4.       Bidang Tafsir Al-Qur`an
a)      Kashf al-al-Asrar wa Iddat al-Abrar
b)      Hashiyat `ala al-Kashshaf
5.       Bidang Al-Bayan
a)      Sharh al-Takhlis al-Mutawwil au Sharh al-Mutawwil
b)      Mukhtasar Sharh Talkhis al-Ma`ani
c)       Sharh al-Qism al-Thalith Min Miftah al-`Ulum
6.       Bidang Usul al-Fiqh
a)      Al-Tarikh ila Kashf Haqa`iq al-Tankih
b)      Sharh Sharh al-Mukhtasar fi al-Usul
7.       Bidang Fiqh al-Lughah
a)      Al-Ni`am al-Sawabigh fi Sharh al-Kalim al-Nawabigh
b)      Tarjamat bi al-Lughat al-Turkiyyat li al-Shi`r al-Musamma al-Bustan al-Ladhi Allafahu al-Taftazani
8.       Bidang al-Hadith
a)      Kitab al-Arba`in au Sharh al-Arba`in al-Nawawiyyah
9.       Bidang Ilm al-Kalam
a)      Kitab al-Maqasid wa Sharhuh
b)      Fadihah al-Mulhidin wa Nasihat al-Muwahhidin fi Naqd Nusus  Muhyi al-Din
c)       Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah. (Ibid. 21-33).
Demikianlah bidang-bidang dan keilmuan yang dikuasai oleh Al-Taftazani yang dengan kealimannya menghasilkan kitab-kitab di dalam keilmuan yang berkenaan dengan banyak yang mencerminkan ketokohan dan kealiman Al-Taftazani.

Sekian.


January 11, 2016

Aliran Maturidi - Ilmu Al-Kalam Terpenting Selepas Ash`ari


BBB,  29 Rabiul Awwal 1437 = 10 Januari 2016 (Ahad):


Selepas dari berkembangnya aliran al-kalam yang dipelopori Imam Ash`ari (260-324H/873-936M) di Basrah yang merupakan pendekatan akidah Sunni, maka dalam tempoh yang berhampiran, lahir juga tokoh yang memperkembangkan aliran ilmu kalam dipimpin oleh Maturidi. Nama penuh beliau ialah Abu Mansur Muhammad bin Muhammad al-Ansari al-Hanafi bertempat di Maturid tidak jauh dari Samarqand. Jika Abu Musa al-Ash`ari mendukung Mazhab Shafie dari segi fiqh, maka Al-Maturidi adalah pendukung Mazhab Hanafi. Beliau meninggal pada tahun 332H. Sebagaimana namanya dinisbahkan kepada Al-Ansari, beliau adalah keturunan Abu Ayyub al-Ansari yang keturunan ini berpindah ke Samarqand. Beliau mendapat pendidikan setempat dan antara gurunya ialah Nasir bin Yahya al-Balakhi (m.268H.). Di samping itu beliau mendalami bidang-bidang ilmu Al-Qur`an, usul, ilmu al-kalam, syariat dan perdebatan. Ini terbukti dari judul-judul karangannya yang berjumlah sebanyak 13 buah, iaitu:
1.       Kitab Ta`wil al-Qur`an
2.       Kitab Ma`khadh al-Shari`ah
3.       Kitab al-Jidal
4.       Kitab al-Usul
5.       Kitab al-Maqalat
6.       Kitab al-Tauhid
7.       Kitab Bayan Wahm al-Mu`tazilah
8.       Kitab Radd Awa`il al-`Adalah li al-Ka`b
9.       Kitab Radd Tahdhib al-Jadal li al-Ka`b
10.   Kitab al-Radd Wa`id al-Fussdq li al-Ka`b
11.   Kitab Radd Haul al-Khamsah li Abi Muhammad al-Bahili
12.   Kitab al-Imamah li Ba`d al-Rawafid
13.   Kitab al-Radd `ala al-Qaramitah
Menurut A.K.M. Ayub Ali yang membuat kajian tentang peranan dan penulisan Al-Maturidi, bahawa setakat beliau membuat kajian pada masanya belum diterbitkan walaupun satu naskhah daripada penulisan Al-Maturidi.
(A.K.M. Ayub Ali,  Maturidism, dlm. A History of Muslim Philosophy, Edited by M.M.Sharif, Otto Harrossowitz, Wiesbaden, 1963: 259-274).
Daripada jumlah karangan-karangan Al-Maturidi di atas, tiga buah daripadanya membicarakan persoalan akidah aliran Al-Maturidi, iaitu
1)      Ta`wil al-Qur`an
2)      Kitab al-Tauhid
3)      Al-Maqalat
Berhubung dengan Ta`wil Al-Qur`an, sudah tentu baik dalam bidang akidah, fiqh dan bidang-bidang keilmuan Islam yang lain tentulah menjadikan Al-Qur`an sebagai sumber maklumat. Di dalam membicarakan ilmu kalam Islam yang alirannya diterima sebagai pendekatan akidah Islam sudah tentulah Al-Maturidi mengambil sumber akidah bagi ilmu kalamnya daripada Al-Qur`an. Sebagaimana dimaklum terdapat di dalam Al-Qur`an ialah ayat-ayat `mutashabihat` tentang Allah dan yang berkaitan dengan akidah keislaman, maka di situlah kepentingan dibuat ta`wil. Contoh ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
`Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka itu.` (Al-Fath: 10).
Atau ayat yang bermaksud:
`Al-Rahman di atas `arasy menguasai.`` (Taha: 5).
Dan banyak lagi ayat yang lain yang perlu diberi ta`wilan untuk mengelak dari kekeliruan tanggapan dari segi akidah.
Adapun karyanya yang berjudul Kitab al-Tauhid`, sudah tentulah kitab ini sebagaimana judulnya dibawa oleh Al-Maturidi tentang pendekatan tauhid yang disifatkan bahawa Al-Maturidi mengambil jalan tengah dari segi pendekatan. Dia mengecam Mu`tazilah yang terlalu terpengaruh dengan penggunaan logik Aristotle dan terlalu berpegang pada logik akal, manakala Al-Maturidi mengambil pendekatan kesederhanaan dengan mengambil pendekatan `Tanzih` dan `Hikmah`. Dapatan dari pendekatan Al-Maturidi adalah melalui tiga saluran iaitu:
Melalui pengalaman langsung dengan melihat melalui mata, berikutnya adalah melalui khabar yang betul dan mutawatir dan seterusnya melalui `nazar`, fikir, akal dan reason yang membawa kepada dapatan yang betul.
Berbanding dengan Ash`ari, menurut A.Hanafi M.A., bahawa Al-Maturidi, walaupun dianggap sederhana dari segi pendekatan, tetapi Al-Maturidi lebih tinggi dari segi penggunaan elemen rasional akal berbanding dengan Ash`ari.
Menurut A.Hanafi M.A. lagi, ada beberapa perbedaan antara pendekatan Al-Maturidi berbanding dengan Ash`ari, iaitu:
1)      Menurut aliran Ash`ari, bahawa mengetahui Tuhan adalah merupakan kewajipan syara`, manakala Maturidi adalah kewajipan akal.
2)      Menurut Ash`ari, sesuatu perbuatan tidak mempunyai sifat baik dan buruk. Baik dan buruk menurut perintah syara` dan larangannya, manakala bagi Al-Maturidi baik dan buruk itu ada pada perbuatan itu sendiri, sama ada baik atau buruk – bergantung pada penilaian akal.
Kedua-dua pendapat di atas berlainan dari segi cara menilai, tetapi tidak dari segi prinsip, iaitu tidak berubah dari segi baik dan buruk dan hukum terhadapnya.
(A.Hanafi, M.A., Theology Islam (Ilmu Kalam), Bulanm Bintang, Jaklarta, 1974: 70).
Sebagaimana aliran Ash`ari mempunyai pengaruh yang besar dan menjadi pegangan akidah bagi penganut Islam, maka demikian jugalah aliran Al-Maturidi juga mempunyai pengikut yang ramai. Terdapat pendukung-pendukung Ash`ari yang terpengaruh dan mengambil pendekatan Al-Maturidi dan sebaliknya. Kedua-dua aliran – Ash`ari dan Al-Maturidi ialah aliran akidah Sunni. Kedua-duanya kukuh dan mengukuhkan akidah Islam.

Sekian.

January 10, 2016

Hakikat Tauhid Menurut Al-Imam Al-Haramayn Al-Juwaini


BBB, 28 Rabiul Awwal 1437 = 09 Januari 2016 (Sabtu):


Persoalan `Tauhid` adalah persoalan penting di dalam akidah dan falsafah ilmu al-kalam. Ayat-ayat Al-Qur`an banyak  menyebut tentang `Tauhid` Allah Subhanahu wa Ta`ala. Antaranya ialah seluruh kandungan Surah Al-Ikhlas, ayat al-Kursi dan al-Asma` al-Husna.
Al-Imam al-Haramayn al-Juwaini memberi perhatian terhadap aspek tauhid dan salah sebuah karangannya berjudul `Kitab al-Tauhid`.  Berbanding dengan tiga karangannya yang lain, maka `Kitab al-Tauhid` lebih jelas dari segi falsafah tauhidnya.
Bagi permulaan bagi Kitab al-Tauhid dibawa tentang `Hakikat Tauhid dan Maknanya`. Menurutnya:
``Ada pendapat-pendapat mengenai tauhid di kalangan imam-imam tauhid` tentang definisi hakikat tauhid  dan maknanya. Kebanyakannya berpendapat kata Al-Juwaini,
``Bahawa satu (al-wahid), ialah sesuatu yang tidak menerima pembahagian`
Manakala pendapat yang lain, ialah bermakna:
``Satu. Ialah yang tidak menerima bahagian (qadar).
Kedua-duanya sama dari segi maksud.
Dalam konteks ketuhanan dimaksudkan, Dia Satu pada Zatnya yang bersih dari pembahagian dan juz`. Dia adalah Satu  yang tidak menyerupakan akan sesuatu dan tidak menyerupainya oleh sesuatu. Dia adalah Satu yang menjadi tempat lindungan (malja`) di dalam menolak mudarat dan bala dan tidak ada lindungan yang lain. Tiada yang menarik manfaat dan menolak mudarat melainkanNya.``
(Al-Juwaini, Kitab al-Tauhid, (Kompile), dlm. Al-Shamil fi Usul al-Din,, Al-Ma`arif, Al-Iskandariyyah, Misr, 1969: 345 – 347).
Al-Juwaini membawa persoalan:
``Apabila dikatakan tentang sesuatu, bahawasanya ianya satu, adakah ia dari sifat nafsiyyah atau dari sifat ma`ani ?
Kata kami (Al-Juwaini), bahawa keadaan satu itu satu, tidak merujuk kepada makna (ma`nawiyah) yang bertambah ke atas zatnya (Sifat tidak bertambah ke atas zat), kerana kalau wahid (satu) makna, adakah  makna satu itu makna juga, jika (ma`ani) demikian membawa kepada mengisbatkan  sesuatu yang tidak ada pengakhiran dari segi makna (Ibid. Hlm. 249).
Seterusnya Al-Juwaini menyebut, ``Sesungguhnya disebut hakikat tauhid dan maknanya, Apakah itu tauhid dan apakah maknanya ?
Kata kami (Al-Juwaini),  `Tauhid` lafaz yang diguna oleh yang lain juga (dari segi bahasa), maka dimaksud daripada  memecahkan (fassal) sesuatu dari sesuatu, dan menjadinya satu selepas dia bersama, maka dikatakan dia dipecah kepada dua jauhar (benda), maka didapati satu dari keduanya, maka dimaksud dari tauhid ialah, mendatangkan  perbuatan yang satu. Maksud tauhid dalam hubungan denganm Allah ialah:
``I`tikad dengan wahdaniyyah  beserta dengan dalil kewahdaniyyahnya ketuhanan. Tidak ada Tuhan selainNya. Sebagai dalil bahawa jika tidak satu dan ada yang lain, maka akan berlaku pertembungan kehendak, seperti satu mau mengadakan dan satu lagi mahu meniadakan, maka akan berlaku pertembungan dan membawa kepada perbalahan dan kehancuran. Jika demikian adalah mustahil. Demikian juga contoh jika sesuatu itu pada masa yang sama bergerak dan diam, maka juga tidak mungkin terjadi yang mencerminkan sesuatu yang mustahil terjadi. (Ibid, hlm, 352).
(Catatan: Penulis sengaja menggunakan istilah `wahid` kepada makna `satu` dan tidak menggunakan istilah yang bermaksud kepada makna sedemikian seperti tunggal dan esa, kerana – termasuk satu, boleh membawa perbezaan makna dari segi falsafah yang melibatkan faham-faham falsafah yang lain di dalam Islam).
Di dalam kitab al-Tauhid ini turut dibincang, persoalan-persoalan  ada hubungan dengan tauhid misalnya mengenai:  jisim dan maknanya (hlm. 401-406), perbahasan dan pendapat ahli falsafah dan Mu`tazilah tentang tauhid (407-406). Persoalan mustahilnya qadimnya jisim (409-414), Gagalnya Mu`tazilah membuktikan qadimnya jisim (414-419), Tentang tashbih yang berjisim dan peleraiannya (419-414),, Penolakan terhadap pendapat Allah berjisim dan tidak bersusun (415-427), Tentang kejadian Makhluk (427-429). Sifat gerak dan diam (429-431). Dan berbagai-bagai persoalan yang berkait dengan Mu`tazilah dan lain-lain (431-625).
Pada penghujung dari Kitab al-Tauhid dibincang persoalan ``illah` (jama`nya `al-`ilal). `Illah  ialah sifat yang mewajibkan sesuatu yang berdirinya akan hukum (hlm. 646), iaitu persoalan yang berhubung dengan tindakan yang menghasilkan - akibat. Misalnya – Digerakkan jari, maka bergerak sama cincin yang ada dijari. Ia adalah persoalan yang berkait dengan sebab musabbab. Ini dikaitkan perbuatan dan akibat yang berkait dengannya. Perbahasan mengenainya dikaitkan dengan `ahwal`, berbagai-bagai pendapat dan khilaf mengenainya seperti hakikat `illah, hakikat ma`lul, hukum `iiah dan syarat-syarat dan ikhtilaf pendapat dan berbagai-bagai persolan mengenainya (hlm. 629-716).
Kitab al-Shamil Fi Usul al-Din oleh Al-Imam al-Haramayn al-Juwaini sesungguhnya kitab akidah yang lengkap membicarakan persoalan falsafah tauhid dari berbagai persoalan. Pendekatan yang dibuat oleh Al-Imam al-Haramayn al-Juwaini melengkapkan pendekatan persoalan akidah menurut mazhab Ash`ari yang didukung oleh beberapa pendukung terkenalnya seperti al-Baqillani dan al-Juwaini sendiri. Sesungguhnya pendekatan yang diasaskan oleh mereka menjadi asas dan panduan bagi pengolahan bagi kitab-kitab akidah Islam, khususnya bagi Mazhab Ash`ari. Al-Imam al-Haramayn al-Juwaini menyatukan pendekatan akidah yang diolah dengan pendekatan fiqh Shafie.
Adalah satu yang menarik bahawa pendekatan yang dibuat oleh Al-Imam al-Haramayn al-Juwaini  yang menyatukan pendekatan mazhab Ash`ari dengan mazhab fiqh al-Shafie dan turut mendukungnya oleh Al-Imam al-Ghazali, maka lanjutannya berlaku di alam Melayu bahawa ketiga-tiga komponan,  mazhab Fiqh Shafie, akidah Ash`ari dan tasawuf Al-Ghazali adalah juga menjadi mazhab `tiga serangkai` yang menjadi pegangan bagi umat Islam di alam Melayu.

Sekian.


January 9, 2016

Peranan Al-Juwaini Dalam Mengukuh Pendekatan Ash`ari


BBB, 27 Rabiul Awwal 1437 = 08 Januari 2016 (Juma`at):


Selain dari Al-Baqillani, Al-Juwaini (419-478/1028-1085) adalah tokoh terpenting yang mengukuh aliran ilmu al-kalam Abu Hasan al-Ash`ari. Namanya ialah Abu Muhammad Abdullah al-Ma`ali bin Yusuf bin Muhammad al-Juwaini yang dilahirkan di Nisabur. Kemudian Al-Juwaini  ke Kota Mu`askar dan berpindah ke Baghdad. Dia adalah pendukung kuat aliran Ash`ari dan Al-Baqillani dan menjunjung kuat  pada rasional akal, pendekatan yang tidak begitu digemari oleh ahli-ahli Hadith. Dia kemudian berpindah ke Makkah dan Madinah bagi menyampaikan pengajaran di kedua-dua buah kota Suci yang membawa kepada gelaran beliau sebagai Al-Imam al-Haramayni – Imam Dua Kota Suci – Makkah dan Madinah. Al-Ghazali pernah berguru dengan Imam al-Haramayn ini semasa di kedua kota Suci ini.Tetapi selepas kerajaan Nizam al-Mulk mendirikan pengajian tinggi di Nisabur, beliau diminta oleh pihak Nizam al-Mulk kembali ke Nisabur bagi mengajar di pengajian tersebut. Ia dianggap sebagai pelopor bagi Fiqh Shafie atas dasar aliran Ash`ari – Pendekatan berdasarkan Usul al-Fiqh yang merupakan bidang falsafah murni di dalam Islam.
Antara karangan-karangan Al-Imam al-Haramayni al-Juwaini ialah:
1)      Al-Irshad
2)      Al-Shamil
3)      Kitab al-Tauhid
4)      Al-`Ilal
(N0. 2 – 4 terhimpun dalam `Al-Shamil Fi Usul al-Din yang diberi pengenalan oleh Dr. Ali Sami al-Nashshar, Profesor bagi Kursi Falsafah Islam, Kuliah Adab di Universiti Iskandariyah di Mesir (1389/1969).
(`Ali Sami al-Nashshar, Al-Shamil fi Usul al-Din Li Imam al-Haramayn al-Juwaini, Al-Ma`arif, Al-Iskandariyyah, Misr, 1969: 731hlm.).
Berhubung dengan kandungan Kitab Al-Irshad, kata A. Hanafi M.A..
``Al-Juwaini bekerja dalam lapangan Usul-fiqih dan Ilmu kalam. Ia adalah orang pertama-tama membentuk Fiqih Shafii atas dasar aliran Asy`ari, sebagaimana yang ditulis dalam bukunya Al-Irsyad berisi pokok-pokok kepercayaan. Dalam kitab tersebut pertama-tama ia menandaskan, bahawa kewajiban pertama seorang Muslim dewasa ialah mengadakan penyelidikan yang bisa membawa kepada kepercayaan bahawa alam ini adalah baru (dulunya tidak ada), dan kalau baru tentu ada yang mengadakannya. Itulah dia Tuhan.``
(A.   Hanafi M.A., Theology Islam (Ilmu Kalam), Bulan Bintang, Jakarta, 1974: 64).
Bagi Al-Juwaini, kewajipan ini adalah merupakan kewajiban disepakati umat seluruhnya (kewajiban syara`), bukan sebagaimana kata Mu`tazilah adalah `kewajiban akal`, kerana akan mampu berfikir ke arah itu.
Al-Juwaini juga meletakkan kaedah penkategorian sifat-sifat Allah yang dikategorikan kepada:
1)      Sifat Nasfsiyyah yang ada pada Zat Tuhan, tanpa `Illat. (Difahami sebagai sifat Wujud).
2)      Sifat Ma`nawiyyah, iaitu yang timbul sebagai kelanjutan Sifat Nafsiyah tersebut.
Dan sifat-sifat Tuhan ialah:
1.       Wujud (ada)
2.       Baqiin (kekal/abadi)
3.       Tidak ada yang menyamainya, dan
4.       Tidak berukuran (imtidad)
Al-Juwaini menggunkan dalil Naqal dan Akal dalam hujah dan huraian. Sebagai berkemahiran dalam bidang ilmu al-kalam, Al-juwaini dan juga tokoh-tokoh Ilmu al-Kalam banyak menggunakan istilah-istilah yang bersifat akliah. Demikianlah di dalam Kitab Al-Shamil dibicarakan persoalan-persoalan yang berhubung.
a)      12 perkara mengenai dua pertentangan tidak berhimpun dalam satu masa misalnya ada dengan tiada tidak mungkin berada pada masa dan tempat yang sama, ciri kehalusan kaedah berfikir, tentang baharunya alam, tentang ahwal, syarat pada ilmu, ilmu yang dicari dan yang diperlu dan penelitian terhadapnya, Marifat Allah dan hukum mengenainya, Berfikiran sebagai wajib syar`i, seawal-awal kewajipan di atas setiap mukallaf dan kelemahan berfikir.
b)       14 perkara  Tentang baharunya alam dan pecahan perbahasan
c)       08 perkara yang berhubung dengan `arad (sifat)
d)      06 persoalan mustahil benda terasing dari sifat
e)      03 penolakan pendapat mustahil tidak ada awal bagi yang baharu
f)       09 Peolakan terhadap pendapat yang mengatakan qidamnya benda
g)      10  tentang perkara nafi bagi tashbih
(Al-Juwaini, Al-Shamil fi Usul al-Din, hlm.  97-338).
Ini bererti di dalam buku Al-Shamil membicarakan persoalan-persoalan falsafah al-Kalamiah yang berhubung dengan mustahil dua yang bertentang berada pada tempat dan masa yang sama, tentang baharunya alam, persoalan arad (sifat), sifat mustahil berpisah dari zat,, tentang sifat yang baru, menyangkal pendapat benda seperti pendapat dahriyyun sebagai qidam dan benda tidak terpisah dari sifat dan bagi yang baharu mesti ada permulaan dan konsep tashbih.
Aspek-aspek tersebut di atas sudah tentulah pada zaman tersebut merupakan  persoalan-persoalan  baharu dan segar dari segi pembicaraan dan perbahasan dan tentulah sebagai bidang falsafah adalah pembicaraan yang bertaraf tinggi. Cara berfikir dan berhujah pada masa itu tentulah jauh ke depan, tetapi mungkin pada masa kini, bukan lagi sesuatu anih dan asing, lantaran bidang-bidang sedemikian dibincang di dalam banyak bidang-bidang keilmuan kini. Kini banyak bidang-bidang keilmuan yang bersifat rasional banyak yang timbul, apakah tidak ada pemikir atau ahli falsafah memikirkan bagi menggunakan bukti-bukti keilmuan sebagai aspek theologi moden yang dapat menjawabb soal-soal ketuhanan dan bidang-bidang falsafah yang lain bagi  mengkuhkan keislaman.

Sekian.

January 8, 2016

Pengukuh Akidah Islam - Ash`ari Dan Al-Baqillani


BBB, 26 Rabiul Awwal 1437 = 07 Januari 2016 (Khamis):


Sebenarnya akidah Islam sedia wujud bersama dengan  agama Islam. Rukun Iman dan Rukun Islam menjadi asas yang utama. Pengolahan terhadapnya terdapat di dalam Al-Qur`an dan Al-Hadith. Dengan perkembangan negara Islam, berlaku pergolakan politik dan pertembungan dengan unsur-unsur luar, namun tidak menggugat kewajaan akidah Islam sebagaimana yang dibimbang oleh Al-Ghazali. Ancaman yang banyak dari dalam akibat dari pergolakan politik dalaman yang melahirkan, Qadariyyah, Jabariayah, Murjiah dan Mutazilah, namun tidak menggugat kemurnian akidah Keislaman lantaran pada masa yang sama lahir mereka yang mempertahankan kemurnian Islam dan mengolah pendekatan-pendekatan yang bukan saja sesuai, bahkan memperkukuhkan dan mempekasakan akidah Islam yang berfalsafah `Tauhid`. Dua tokoh penting ialah Ash`ari dan Maturidi.
Ash`ari (260-324H/873-935M), bangkit di tengah kekecohan dan gugatan dari faham Mu`tazilah. Ironinya Ash`ari pada mulanya sebagai pelajar menurut faham Mu`tazilah, tetapi menentangnya dengan mengarang karangan-karangan  berjumlah 90 buah dalam berbagai lapangan, khususnya dalam bidang akidah. Tiga buah kitabnya yang terkenal dalam bidang akidah ialah:
1.       Maqalat al-Ash`ariyyin:  yang membicarakan tentang ilmu al-Kalam dan menegakkan Ahl al-Sunnah.
2.       Al-Ibanah `an Usul al-Diyanah: Membicarakan tentang Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah
3.       Alluma`: Bertujuan membantah pendapat Ahl al-Kalam yang tidak disetujui tentang pendapat mereka.
Dengan karangan beliau di atas beliau mengambil pendekatanm berbaik dan menerima mazhab-mazhab yang ada  di dalam bidang fiqh pada masa itu, iaitu seperti Shafie, Malik, Hanbali. Ini  merupakan usaha menyelaras dengan aliran yang dibawanya bagi memperkukuhkan Aliran Sunni yang didukungnya. Dari segi akidah Ash`ari lebih kembali kepada Al-Qur`an misalnya tentang sifat-sifat Tuhan yang terdapat di dalam Al-Qur`an sedangkan Mu`tazilah menafikan Tuhan berbilang sifat sebagaimana mereka menafikan dari kemungkinan melihat Tuhan. Ash`ari menolak pendapat `Tempat antara dua tempat` di syurga yang ditegak Mu`tazilah, sebagai menegakkan keadilan yang Mu`tazilah berpendapat wajib bagi Allah membalas baik dengan baik dan balas jahat dengan jahat. Sedang bagi Ahl al-Sunnah adalah `Harus`. Juga pendapat mereka tentang Al-Qur`an adalah baharu (dicipta). Aliran Asy`ari mendapat kekuatan apabila pemerintah Nizam al-Mulk di Baghdad (m. 485/1092) menerima Aliran Ash`ari sebagai aliran rasmi diajar di Pengajian Tinggi Nizam al-Mulk di Naisabur dan Baghdad.
Pengukuhan terhadap aliran Asy`ari dilalkukan oleh pendukung-pendukung yang mendukung aliran ini. Tokoh-tokoh besar yang datang kemudian ini ialah seperti Al-Baqillani (m. 403/1013), Al-Juwaini (419—478/1028-1085) dan Al-Ghazali sendiri (m.505/1111).
Peranan yang didukung oleh Al-Baqillani yang nama penuhnya ialah Abu Bakar Muhammad bin Tayyib yang dijangka berkelahiran di Kota Basrah, iaitu tempat kelahiran gurunya Asy`ari. Kitabnya yang terkenal ialah Al-Tamhid. Di dalamnya Al-Baqillani membicarakan masalah saintifik yang menjadi topik perbicaraan pada masa itu dengan mengaitkannya dengan ciptaan Tuhan. Misalnya Al-Baqillany membicarakan soal jauhar yakni benda di alam ini dan kandungan adalah terdiri dari benda-benda yang dapat dilihat secara fizikal. Sebagai contohnya seketul batu, benda batu ini –  adalah merupakan jisim – benda  yang memerlukan ruang yang dikenali sebagai jirim, iaitu berkedudukan seperti atas tanah. Satu perkara yang dibincangkan dalam keilmuan theologi pada masa itu ialah tentang sifat. Bagi setiap benda ada bersifat. Ketul batu tadi ada sifatnya yang berdiri di atas zat bagi benda tadi, misalnya batu itu berbentuk bulat atau bujur, berwarna hitam atau putih, sifatnya juga seperti besar dan kecil dan batu sudah tentu bersifat berat. Satu aspek yang penting dibicarakan tentang benda yang berjauhar, berzat, mengambil jirim, ruang dan bersifat, bahawa benda tersebut adalah kumpulan dari jauhar al-fard, iaitu himpunan juzu`-juzu` yang kecil dan terkecil yang disifatkan tidak boleh dibahagi yang dikenali sebagai zarrah atau atom. Dan sebenarnya muka bumi dan alam fizikal adalah terdiri dari jauhar al-fard dan atom-atom. Dengan memahami kandungan dan sifat benda yang ada di dalam alam, maka difahami tentang Allah yang berlainan dengan sifat benda di dalam alam ini, maka diambil kesimpulan Allah yang berzat dan bersifat sebagaimana disebut di dalam Al-Qur`an adalah berlainan dari sifat benda dan alam. Allah bersifat sebagaimana dipelajari di dalam sifat 20, tetapi  zat dan suifatNya berlainan dengan zat dan sifat alam.  Zat Allah tidak seperti benda yang alamiah dan sifatnya juga tidak seperti sifat benda di alam.
Di dalam pendekatan Ash`ari terdapat pendekatan tashbih dan tanzih, tashbih ialah sebagai bandingan dengan sesuatu, tetapi tidak sama dengan yang dibandingkan itu. Sebagai contoh misalnya bagi memahami persoalan zat dan sifat. Allah sememangnya  berzat, iaitu zat yang tidak sama sekali sedagaimana zat alam yang tersusun dari jauhar al-fard. Untuk memahami tentang zat maka dipinjam konsep zat yang ada di dalam alam sebagai `tashbih, tetapi tashbih ini dinafikan dari zat Allah, yakni Allah tidak mempunyai zat seperti zat Alam. Demikian tentang sifat seperti wajah seseorang yang tampan dan cantik, tinggi, garang dan sebagainya, Allah mempunyai sifat-sifat sebagaimana banyak disebut di dalam Al-Qur`an, tetapi sifatnya tidak sebagaimana sifat alam atau sifat orang yang digambarkan. Ditegaskan bahawa Allah mempunyai sifat-sifat dan sifat-sifatNya adalah sifat-sifat yang sempurna.. Ditegaskan bahawa sesebuah zat alamiah boleh mempunyai lebih dari satu sifat seperti tinggi, kurus, hitam dan sebagainya. Demikian bagi Allah juga mempunyai lebih dari satu sifat yang tidak menggugat dari sifat tauhidNya. Hal ini adalah berlainan dengan pegangan Mu`tazilah yang wajib Esa pada zat, sifat dan perbuatan. (A.Hanafi, M.A. Theologi Islam (Ilmu Kalam), Bulan Bintang, Jakarta, 1974: 58-64).  
Dengan pengolahan Ash`ari dan pendukung-pendukungnya, maka ia meletakkan pendekatan yang jelas dan diterima sebagai pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jam`ah. Ash`ari menegakkan mazhabnya berasaskan naqal dan akal. Naqal bermaksud berdasarkan dalil-dalil ayat-ayat Al-Qur`an berhubung dengan Ketuhanan dan juga berdasrkan Hadith Nabi. Semua pendekatan theologi adalah juga bergantung pada akal, iaitu membahaskan persoalan berdasarkan akal, seperti membahaskan tentang jisim, zarrah, sifat dan sebagainya. Aliran Ash`ari terus dikembang dan didukung sebahagian besar dari penganut-penganut Islam seluruh dunia. Antara tokoh mutakhir yang mengolah pendekatan Ash`ari ialah Muhammad Abduh (1849-1905) dengan karangan terkenalnya berjudul Risalah Tauhid (Muhammad Abduh, Risalah Tauhid, Bulan Bintang, Jakarta,  1979, 270hlm.) Dan digunakan bagi berbagai peringkat pengajian hingga kini.

Sekian.