January 21, 2016

Bukhari Dan Abu Hanifah Turut Mengukuhkan Akidah Sunnah


BBB, 10 Rabiul Akhir 1437 = 20 Januari 2016 (Rabu):


Berhubung dengan sifat Kalam Allah ini,  Ali bin Abi al-`Izz al-Adhra`i memetik pendapat Bukhari untuk sharhnya terhadap Matn `Aqidah al-Tahawi sebagaimana berikut:
Srh: Berkata Al-Bukhari di dalam Sahihnya (Kitab Hadith Sahih Bukhari), dalam `Bab Kalam Tuhan Tabaraka wa Ta`ala Bersama Ahli Syurga`. Dia menarik beberapa Hadith. Dia mengatakan bahawa seafdal-afdal nikmat ahli syurga; Ialah melihat WajahNya Tabaraka wa Ta`ala, dan PercakapanNya kepada mereka itu, maka mengingkar yang sedemikian adalah ingkar bagi ruh kesyurgaan dan ketinggian nikmatnya dan kelebihannya yang berterusan yang tidak ada terlebih baik bagi ahlinya melainkan dengannya.
Persoalan ditimbulkan oleh Pensharh tentang ayat Al-Qur`an sebagai memihak kepada pendapat Mu`tazailah seperti ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Sesungguhnya Kami jadikan Al-Qur`an berbahasa `Arab semoga kamu memahami.`` (Al-Zukhruf: 3), bukan bermaksud  bahawa Al-Qur`an Kena Jadi`, tetapi bermaksud `Kalam Asli` sebagai Kalam Tuhan yang Abadi itu dibawa Jibril kepada Nabi menurut kalam Rasulnya berbahasa bahasa `Arab.
Ini adalah masalah bahasa, sebagaimana juga firman Allah yang bermaksud:
``Sesungguhnya ia adalah perkataan Rasul yang Mulia (Al-Takwir: 19).
Dilihat secara langsung memberi kefahaman bahawa ianya seolah-olah Al-Qur`an itu sebagai perkataan langsung Rasul, tetapi maksudnya diturunkan Al-Qur`an ke atas Nabi melalui Jibril secara bahasa yang digunakan Nabi.
Sebagai penjelasan pensharh memetik pendapat zahir kalam al-Imam Abu Hanifah r.h.m di dalam kitabnya `Al-Fiqh al-Akbar`:
``Dan Al-Qur`an pada mushaf-mushaf adalah tertulis (kena tulis), dan di dalam hati dihafaz, dan di atas lisan kena baca, dan ke atas Nabi s.a.w. diturunkan (kena turun), dan kita lafazkan dengan Al-Qur`an adalah makhluk dan Al-Qur`an bukan Makhluk.``
Pensharh juga mengukuhkan pendapat dengan menyatakan bahawa:
``Dari segi keseluruhan, maka Ahlu al-Sunnah keseluruhan dari mazhab yang empat dan yang lain daripada mereka itu daripada salaf dan khalaf sepakat pendapat bahawasanya Kalam Allah Bukan Makhluk. Sepatut menurut fitrah manusia yang sempurna diri dan akal yang betul, tidak berlaku perselisihan pendapat antara mereka itu, tetapi syaitan selalu mencampakkan perselisihan di kalangan mereka yang boleh memecahbelahkan mereka, sebagaimana  firman Allah bermaksud:
``Dan sesungguhnya yang berselisih pendapat tentang Al-Kitab, menjadikan mereka berpecah yang menjauhkan antara mereka (Al-Baqarah: 176).
Seterusnya Pensharh menerangkan selanjutnya bahawa, dari segi hakikat, bahawa Kalam Allah luaran, iaitu yang didengar daripadanya atau dari orang yang menyampaikannya, maka apabila didengar oleh pendengar, maka dia mengetahui dan menghafaznya, maka Kalam Allah itu didengar baginya, dihafaz secara maklum, apabila dikata oleh pendengar, maka ia adalah dibaca, baginya yang ditilawah, maka jika ditulis, maka dia kena tulis secara bertulisan, dia adalah hakikat pada kewujudan ini, yang tak boleh dinafikan, tetapi secara `majaz`  sah menafikannya, maka tidak harus bahawa dia berkata, ``Tidak ada di dalam mushaf-mushaf itu Kalam Allah dan tidak juga boleh berkata, `Tidaklah apa yang dibaca oleh al-qari` itu Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Ta`ala berfirman bermaksud:
``Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta pertolongan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar `Kalam Allah` (tentang hakikat Islam itu.`` ( Al-Taubah: 6).
Bermaksud dia tidak mendengar Kalam daripada Allah, tetapi mendengar dari penyampainya daripada Allah. Ayat ini menunjukkan rosaknya kata-kata yang berkata, ``Bahawa yang didengar ialah ibarat daripada Kalam Allah dan bukan dia Kalam Allah.``Allah berfirman bermaksud:
``Sehingga dia mendengar Kalam Allah.`` (Al-Taubah: 6).
Pensharh juga menerangkan maksud Matan `Aqidah Al-Tahawi:
``Dan katanya dengan tidak ada kayfiyat`, iaitu tidak dikenali percakapan kalamNya dengannya – Maksud kata bukan secara majaz. Dia adalah diturunkan ke atas Rasulnya secara wahyu, iaitu diturunkan kepadanya di atas lisan malaikat, maka didengarnya oleh Malaikat Jibril daripada Allah dan didengar oleh Rasul s.a.w. daripada Malaikat dan dibacakannya kepada manusia, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Diturun dengannya oleh Ruh al-Amin, di atas hati engkau supaya engkau memberi peringatan, dengan bahasa `Arab yang nyata-terang.`` (Al-Shu`ara`: 193-195).
Dan berkata Al-Tahawi:
Mtn. 37 (Dan barang siapa mensifatkan Allah dengan makna daripada makna-makna kemanusiaan, maka sesungguhnya dia kufur, maka siapa yang mendapati ungkapan sedemikian dan seperti ungkapan orang kafir, maka ditolak sekerasnya. Sesungguhnya sifat Allah tidak sebagaimana manusia).
Srh:  Selepas Sharih menyebut (bahawa Al-Qur`an Kalam Allah bersifat Hakiki darinya nyata), Al-Tahawi mengingatkan selepas daripada itu bahawasanya Allah Ta`ala dengan sifat-sifatNya tidak sebagaimana manusia, bersih dari tashbih, tidak berakibat dari ithbat, yakni Allah Ta`ala, walaupun disifatkan bahawa Dia Mutakallim, tetapi tidak disifatkan dengan makna daripada makna-makna kemanusiaan yang adalah manusia dengan bercakap, kerana Allah tidak ada seumpamaNya sesuatu, Dia Amat Mendengar lagi Amat Melihat.
Demikian perbincangan berhubung dengan Kalam Allah, sebagaimana Al-Qur`an - dua persoalan yang amat rumit dari segi perbahasan dan banyak pendapat mengenai kedua-duanya. Namun satu yang jelas bahawa pendapat Ahl al-Kalam Sunni, para mazhab fiqh dan juga Bukhari sebagaimana telah diterangkan , mereka semua berpendapat sama dengan kalangan ahl Sunnah tentang Kalam Allah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam.

Sekian.


January 20, 2016

Akidah Berhubung Dengan Al-Qur`an - Rumit Persoalan


BBB, 09 Rabiul Akhir 1437 = 19 Januari 2016 (Selasa):


                                      Bab III
Antara rukun iman ialah percayakan kepada kitab., bahawa Allah menurunkan kitab-kitab kepada Rasul-Rasul.  Antara kitab yang wajib dipercayai ialah kitab-kitab:
Kitab Taurat turun kepada Nabi Musa
Kitab Zabur turun kepada Nabi Daud
Kitab Injil turun kepada Nabi Isa
Kitab Al-Qur`an turun kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Al-Tahawi memfokuskan pembicaraan pada Al-Qur`an, walapun begitu persoalan akidah berhubung dengan kitab-kitab ini adalah sama dengan Al-Qur`an sebagai Kalam Allah. Aspek-aspek akidah yang berhubung dengan Al-Qur`an adalah rumit dan berlaku perselisihan pendapat antara aliran-aliran  akidah di dalam Islam.
Berkata Al-Tahawi rahimahu Allah, Mtn. 36:
 (Bahawasanya Al-Qur`an ialah Kalam Allah, daripadanya ternyata tidak dengan sebarang kayfiyah dari segi kata, dan ianya diturunkan ke atas RasulNya selaku wahyu, dan membenarkannya oleh orang-orang mukmin di atas yang sedemikian secara haqq. Mereka yakin  bahawasanya adalah Kalam Allah Ta`ala dengan hakikat, bukan makhluk sebagaimana kalam manusia. Maka siapa mendengarnya  menyangka mereka itu bahawasnya kalam manusia, maka sesungguhnya dia kufur, dan sesungguhnya dia dihina Allah dan meng`aibkannya dan dijanji akannya masuk neraka Saqar., sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Akan disalaikannya di dalam neraka Saqar``. Maka adalah janji Allah dengan Saqar bagi siapa yang berkata:
``Bahawasanya ini (tiada lain) melainkan kata manusia.``
 Kita ketahui dan kita yakin bahawasnya ia adalah kata Pencipta manusia, dan tidak menyerupai kata manusia).
Srh: Berkata Ibn Abi al`Izzi al-Adhra`i Pensharh Matan Akidah Al-Tahawi:
Dan ini adalah kaedah yang mulia, umbi utama dari segi usuluddin, namun sesat dalamnya banyak kumpulan daripada manusia. Dan ini dicatat oleh Al-Tahawi r.h.a. Dia adalah kebenaran yang ditunjuk oleh dalil-dalil daripada Kitab dan Sunnah. Bagi mereka yang tadabbur dengan keduanya, dan menyaksikannya dengan  fitrah yang sempurna yang tidak berubah dengan shubahat, shak-shak dan kebatilan.
Dan daripada kata (Al-Tahawi), ``Daripadanya nyata dengan tiada kayfiyah dari segi perkataan``, adalah bertujuan menolak  ke atas pendapat Mu`tazilah dan lain daripada mereka, kerana Mu`tazilah menyangka bahawa Al-Qur`an tidak secara  nyata denganNya. Mereka berkata, idafah (disandar) kepadaNya sebagai idafah memuliakan, sebagai contoh dikatakan `Baitillah al-Haram`, ``Unta Allah` yang dipalingkan Al-Qur`an dari tempatnya, dan kata mereka itu adalah batal ! Kerana bahawasanya sandaran kepada Allah Ta`ala, mempunyai makna dan ketentuan, maka idafah sesuatu kepada Allah sebagai memuliakan, dan dia adalah makhluk baginya (bagi Mu`tazilah – Penulis), seperti Baitillah, berlainan dengan idafah makna-makna, seperti ilmu Allah,, dan kudratNya dan KemuliaanNya dan kalamNya, kerana semua ini adalah sifatNya., yang tidak mungkin sesuatu daripada demikian adalah makhluk.
Disifatkan dengan `Bercakap` adalah daripada sifat kesempurnaan, dan lawannya adalah dari sifat kekurangan.
Sesungguhnya Allah Ta`ala berkata-kata dan begitu banyak di dalam Kitab (Al-Qur`an) dan Al-Sunnah dari dalil-dalil bahawa  bercakap Allah Ta`ala kepada ahli syurga dan yang lain. Antaranya firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Salam  perkataan dari Tuhan yang Amat Mengasihani.`` (Yasin: 58).
Dan berfirman Allah Ta`ala  bermaksud:
``Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka (yang dibuat), mereka itu tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari Akhirat, dan Allah Ta`ala tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.``(Ali Imran: 77).
Hr. Perselisihan pendapat nyata adalah antara Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah sebagai pegangan umum umat Islam, bahawa Allah bersifat dan antara sifatNya ialah `kalam` - berkata-kata, manakala bagi Mu`tazilah berpendapat adalah tidak boleh dinisbahkan bersifat. Allah bercakap adalah dengan DhatNya, demikianlah sifat-sifat yang lain dengan Dhat. Bagi Mu`tazazilah Al-Qur`an adalah makhluk yang diciptakan Allah, tetapi bagi Ahlu ahli al-Sunnah Al-Qur`an sebagai kalam yang asal adalah qadim.
Dengan kedua faham yang berlainan ini kedua aliran berhujah dengan bukti dan dalil masing-masing. Pihal Sunnah membuktikan dengan dalil ayat-ayat Al-Qur`an dan juga Hadith, manakala pihak Mu`tazilah yang banyak berpegang pada rasional akal, menghujahkan pendapat mereka (Mu`tazilah dan pengikut-pengkut) dengan hujah-hujah rasional akal.
Contoh dikemukakan pendapat tentang Mu`tazilah ini:
``Kerana itu  Qur`an adalah makhluk. Ertinya Tuhan menciptakan perkataan (kalam) pada Luh Mahfuz atau Jibril atau UtusanNya.``
(A.Hanafi M.A., Theology Islam (Ilmu Kalam), Bulan Bintang, Jakarta, 1974, 105).
Perselisihan antara Ahlu al-Sunnah dan Mu`tazilah ini bukan setakat `kalam`, tetapi melibatkan banyak persoalan mengenai akidah.

Sekian.


January 19, 2016

Akidah Berhubung Dengan Rasulullah S.A.W.


BBB, 08 Rabi`ul Akhir 1437 = 18 Januari 2016 (Isnin):


Apa yang telah dibicarakan ialah akidah berhubung dengan Allah Subhanahu wa Ta`ala yang boleh dikategorikan sebagai Bab 1 (Biarpun tidak diberi pecahan oleh Al-Tahawi). Berikut ialah  akidah berhubung dengan Rasulullah s.a.w. sebagai bahagian kedua dari kandungan dalam `Kalimah Shahadatayn`- Dua Kaliamah Shahadat`.
                       Bab 2 – Akidah Berhubung Dengan Rasulullah S.A.W.
Berkata Al-Tahawi, Mtn 29 (Bahawasanya Muhammad ialah HambaNya al-Mustafa, dan Nabi Al-Mujtaba dan Rasulnya Al-Murtada).
Srh: Al-Istifa` wa Al-Ijtiba` dan Al-Irtida` berhampiran makna (terpilih, istimewa dan diredai) . Ketahuilah bahawa kesempurnaan makhluk pada mentahqiq kehambaan kepada Allah Ta`ala. Bilamana bertambah hamba dengan `Tahqiq ma`budiyyah` hamba bertambahlah sempurnanya dan makin tinggi darjatnya. Siapa yang waham bahawa makhluk boleh keluar dari ubudiyyah dengan cara dari berbagai cara, dan keluar darinya dianggap lebih sempurna, maka dia adalah dari sejahil-jahil makhluk dan kalangan mereka yang sesat.
Firman Allah Ta`ala bermaksud::
``Mereka berkata Tuhan Al-Rahman mempunyai anak, Maha Suci Tuhan, bahkan mereka hamba-hamba yang dimuliakan.`` (Al-Anbiya` 26).
Srh. Tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. pensharh memberi huraian panjang lebar tentang kerasulannya. Antaranya:
·         Allah memuliakan NabiNya s.a.w. dengan menyebur `al-abd`` dalam menyebut Isra` sebagaimana firmaNya bermaksud: ``Mahasuci Dia Yang Menjalankan Hambanya waktu malam.`` (Al-Isra` : 1).
·         Biarpun mu`jizat bukti kenabian, tetapi kenabian itu sebenarnya – lebih dari segala yang benar (Asdaq al-sadiqin).
·         Kebenaran kenabian Rasulullah s.a.w ditasdiqkan oleh Khadijah, Al-Najashi, bahkan oleh Waraqah bin Naufal.
Berkata Al-Tahawi:
Mtn. 30 (Sesungguhnya dia Khatam al-Anbiya`)
Srh: Firman Allah bermaksud: ``Dia Khatam al-Nabiyyin dan akan tetapi juga Rasulullah.`` Al-Ahzab: 40).
Dan bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud::
``Sesungguhnya tamsil diriku dan tamsil nabi-nabi sebelum daripadaku seperti seorang lelaki membina sebuah rumah, maka dia memperelok dan mencantikkannya, melainkan satu tempat batu bata dari satu sudut, maka jadilah manusia berkeliling dan takjub dengannya, maka berkata mereka itu, ``Mengapa tidak diletakkan batu bata ini di situ ? Maka Baginda bersabda, Aku batu bata itu, dan Aku Khatam al-Nabiyyin.`` Riwayat al-Bukhari.
Berkata Al-Tahawi: Mtn. 31 (Dia Imam bagi segala yang bertaqwa).
Srh. Imam ialah yang diimami dengannya, iaitu mengikut dengannya dan Nabi s.a.w sesungguhnya dibangkitkan untuk diikuti dengannya sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Katakanlah jika kamu kasihkan Allah maka ikutkanlah aku nescaya kamu dikasihi Allah.`` (Ali `Imran: 31)
Dan siapa yang mengikutinya dan berpandu dengannya dia adalah daripada kalangan al-Atqiya`.
Berkata Al-Tahawi: Mtn. 32 (Dan Penghulu segala Rasul):
Srh: Bersabda Rasulullah s.a.w, bermaksud:
``Aku Penghulu dari anak Adam pada hari Kiamat, dan terawal dibangkit dari kubur, Aku seawal yang memberi syafaat dan seawal yang mensyafaat.`` Riwayat Muslim.
Dan berkata Al-Tahawi, Mtn. 33 (Dia Kekasih Tuhan sekalian alam).
Srh: Maka sesungguhnya telah thabit baginya s.a.w. setinggi martabat al-mahabbah, iaitu `Teman dikasihi, sebagaimana disahkan daripadanya s.a.w Baginda bersabda bermaksud:
``Allah menjadikanku Khalil sebagaimana Dia menjadikan Ibrahim Khalil dan besabda Baginda,, ``Kalau aku mengambil daripada penduduk bumi `Khalil`, nescaya aku mengambil Abu Bakar sebagai Khalil, akan tetapi sahabat kamu itu Khalil al-Rahman.
Berkata Al-Tahawi, Mtn. 34 (Sebarang dakwaan kenabian selepasnya adalah sesat dan menurut hawa nafsu).
Srh. Oleh kerana dia adalah Khatam al-Nabiyyin, maka diketahui orang yang mendakwa kenabian selepasnya, maka ia adalah dusta.
Berkata Al-Tahawi,Mtn.  35 (Baginda adalah dibangkit kepada semua jin  dan keseluruh kejadian dengan kebenaran, hidayah, dengan cahaya dan benderang)                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            
Srh. Bahawa adalah Rasulullah dibangkitkan kepada seluruh kejadian. Firman Allah bermaksud:
``Dan tidaklah kami utuskan engkau melainkan untuk seluruh manusia.`` (Saba`; 28).
 Dan firmanNya lagi bermaksud:
``Katakanlah wahai sekalian manusia, bahawasnya aku Rasul Allah kepada kamu semua.`` ( Al-A`raf 158).
Demikianlah di dalam bab dua Al-Tahawi menjelaskan di dalam matannya tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. yang banyak dibuktikan dengan ayat-ayat Al-Qur`an dan juga Hadith-Hadith, ternyata persoalan mudah difaham dan tidak mempunyai kerumitan seperti memperkatakan tentang ketuhanan yang memerlukan ketelitian agar tidak tersalah dan bercanggah dari segi akidah. Perbicaraan tentang kerasulan ini pun lebih ringkas dan pendek dari pembicaraan tentang ketuhanan. Ini bererti pengakhiran ini merupakan pengakhiran bagi bab 2 mengenai kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Sekian.




January 18, 2016

`Sesuatu Berlaku Dengan TakdirNya` - Antara Akidah Al-Tahawi Beraliran Sunni


BBB, 07 Rabiul Askhir 1437 = 17 Januari 2016 (Ahad):b


Hingga ke bahagian akhir pembicaraan ini lengkaplah pembicaraan Al-Tahawi tentang akidah berhubung dengan Allah, sebagai kepercayaan terawal di dalam rukun shahadah.
Berkata Al-Tahawi:
Mtn: 23 (Dan setiap sesuatu berlari (berlaku) dengan takdirNya, kemahuanNya lulus, bukan kemahuan hamba-hamba, melainkan apa yang Dia kehendak bagi mereka itu, adalah berlaku, dan apa yang tidak Dia kehendak tidak berlaku).
Srh: Sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan tidaklah kamu berkemahuan melainkan kemahuan Allah, sesungguhnya Allah adalah Amat Mengetahui lagi Bijaksana.(Al-Dahr: 30).
Firman Allah lagi bermaksud (Dan tidaklah kamu berkemahuan, melainkan kemahuan Allah Tuhan sekalian alam`` (Al-Takwir: 29).
Pensharh menyelitkan sebuah cerita berhubung dengan `Kehendak` di atas,
Berhujjah seorang pencuri yang dihukum terhadap `Umar Ibn al-Khattab, bahawa dia mencuri kerana takdir, maka dijawab `Umar, ``Aku memotong Tangan Engkau dengan qada` Allah dan kadarnya !``
Berkata Al-Tahawi:
Mtn 24 (Dia memberi hidayah kepada yang dikehendak, Memelihara dan Mengafiat, sebagai kelebihan, Dia Menyesatkan siapa yang Dia Kehendak, Dia Menghina dan Memberi bala`, sebagai keadilan).
Srh. Dan ini sebagai menolak (radd) ke atas Mu`tazilah ketika mereka berkata dengan wajib Allah melakukan aslah bagi hamba . Dia adalah masalah hidayah dan kesesatan.
Berkata Mu`tazilah: Hidayah dari Allah sebagai kenyataan keterangan yang betul dan kesesatan dinamakan hamba sesat. Dan hukum Allah ke atas hamba dengan kesesatan ketika hamba melakukan kesesatan dengan dirinya.
Ini adalah dibina di atas asal  kerosakan (fasid), adalah perbuatan hamba ciptaan (makhluk) bagi mereka.
Dan dalil sebagaimana telah kami katakan, iaitu firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya engkau tidak memberi hidayah kepada orang yang engkau kasihi dan akan tetapi Allah memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.`` (Al-Qasas: 56)
Dan walaupun hidayah menyatakan jalan, tatkala mana sah penafian terhadap Nabi, kerana bahawasnya s.a.w. menerangkan jalan kepada yang dia suka dan marah dan dalam mana pertunjukan adalah dari Allah bagi menyatakan – Dia adalah am bagi tiap-tiap diri, dalam mana Dia mengesahkan kelulusan dengan kehendakNya.
Hr. Penulis mengangkat semua penulisan sharih, untuk penjelasan dan mengelak dari kekeliruan. Penulis juga menambah, bahawa di dalam aliran Ash`ari dan Maturidi ada aspek aspek `Ikhtiar` bagi hamba.
Dan katanya 25 (Al-Tahawi): (Keseluruhan dalam perbalikan kehendakNya, di antara kelebihanNya dan KeadilanNya.
Srh. Memetik ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dialah yang menjadikan kamu, maka daripada kamu ada kafir dan daripada kamu mu`min (Al-Taghabun: 2).
Katanya lagi Mtn.26: (Dia Tertinggi suci dari mempunyai lawan dan penyerupaan).
Srh: Seperti firman Allah bermaksud:
`` Dan tidak ada baginya kesamaan oleh sesuatu (Al-Ikhlas: 4).
Katanya: Mtn.  27 (Tidak ada penolakan bagi qada`Nya, dan tidak ada mengakhir  bagi HukumNya dan tidak ada yang mengalahkan di atas suruhanNya)
Srh. Huraian ringkas lebih kurang sama dengan teks Matan.
Berkata ia: Mtn. 28 (Kami beriman dengan demikian seluruhnya, dan kami yakin bahawa setiapnya dariNya).
Hr. Hingga ke sini Al-Tahawi melengkapkan pembicaraan yang berhubung dengan keimanan kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala sebagai rukun iman yang pertama yang terkandung di dalam shahadah.
Kepercayaan kepada Allah adalah paling penting di dalam keimanan. Ia adalah `Pandangan Wujud` yang paling utama. Dengan `Pandangan Wujud` yang betul akan membetulkan skema `Pandangan Wujud` yang lain. Dengan keyakinan bahawa Allah Tuhan yang disembah dan tidak ada yang lain seumpama dan menyamaiNya, bahkan yang lain adal;ah makhluk ciptaanNya, maka asas utama `Pandangan Wujud` adalah betul, insya Allah membetulkan segala pandangan yang lain menurut falsafah tauhid Islam. Sebaliknya jika `Pandangan Wujud` tidak betul dari segi keyakinan terhadap Tuhan, maka segala `Pandangan Wujud` yang lain akan turut tidak betul.
Walau bagaimana `Pandangan Wujud` tentang ketuhanan tidak lepas dari kekeliruan jika tidak didasarkanm kepada keilmuan yang betul. Misalnya `Pandangan Wujud` boleh menyeleweng dan mengelirukan berdasarkan pandangan rasional Mu`tazilah, apa lagi yang mulhid, begitu juga dengan pandangan moden seperti pluralisme dan leberalisme yang tendensinya menentang agama.
Untuk keselamatan dari segi akidah, maka Al-Tahawi mengambil pendekatan salaf yang lebih bergantung pada sumber asas iaitu Al-Qur`an dan Al-Hadith. Beliau tidak mengaitkan dengan aliran-aliran akidah yang sudah berkembang pada masanya, namun di dalam sharah turut menyinggung pendapat-pendapat yang mencanggahi akidah Sunni.
Kita memberi perhatian terhadap Akidah Al-Tahawi, di samping akidah Al-Ash`ari dan Al-Maturidi yang semuanya diterima sebagai pendekatan akidah Sunni agar dapat memahami semua aliran ini dan membandingnya agar dengan kefahaman yang dicapai dapat dimanfaatkan di dalam mengukuhkan akidah pegangan dan sebagaimana disebut dengan memahami prinsip utama Akidah Tauhid berhubung dengan Allah, insya Allah membetulkan akidah dan `Pandangan Wujud` yang lain yang terletak di bawah kerajaan dan kekuasaan Allah – Insya Allah.

Sekian.

January 17, 2016

Penyebutan Dan Menafikan Dari Allah Kekurangan - Begitu Halus Makna Perlu Faham


BBB, 06 Rabiul Akhir 1437 = 16 Januari 2016 (Sabtu):
Satu kaedah penggunaan kata di dalam Matan `Aqidah Al-Tahawi ialah dengan menyebut sesuatu kata dengan menafikan dari maksud kata berkenaan dari Allah sebarang kekurangan sebagai contoh:
Berkata Abu Ja`afar al-Tahawi :
Mtn. 14. (Tiada selepas mencipta ciptaan (makhluk) mengambil faedah dari nama sebagai Pencipta (al-Khalik) dan tiada dengan keesaanNya Mengada mengambil faedah dari nama Pengadanya.
Srh. Allah tidak memerlu apa-apa dari ciptaanNya sama ada pada masa lampau dan demikian tidak perlu  juga dari pengadaannya pada masa mendatang.
Hr. Allah tidak memerlukan suatu dari penciptaan dan tidak berhajat dari sebarang pengadaan.
Berkata Abu Ja`afar Al-Tahawi:
Mtn. 15: (BagiNya makna al-Rububiyyah dan tidaklah Dia kena marbub sebagaimana dia Pencipta (Khalik) Dia tidak pula kena cipta (Makhluk).
Srh. Yakni Allah Ta`ala disifatkan bahawasanya Dia  `al-Rabb` sebelum dari diadakan yang kena ada (marbub) dan disifatkan bahawa dia Pencipta (Khalik) sebelum diadakan ciptaan (makhluk).
Hr. Mengelak dari fahaman nama Allah itu sebagai baharu lantaran timbulnya selepas mencipta. Bermaksud nama adalah sedia, bukan baharu !
Berkata Al-Tahawi lagi:
Mtn. 16 (Dan seperti mana Dia Penghidup yang mati selepas ada dia hidupkan, selayak nama  ini sebenarnya sebelum  menghidupkan), demikian nama Pencipta (Khalik) sebelum  mencipta).
Srh. Rangka yang sama sebelumnya, yakni Allah Subhanahu wa Ta`ala disifatkan bahawa Dia Penghidup yang mati sebelum dari menghidupkannya, begitu juga disifatkan Pencipta (Khalik) sebelum menciptanya. Ini bagi menolak kata Mu`tazilah (Nama diberi  dengan mencipta), sedangkan Allah berterusan melakukan apa yang Dia kehendak.
Hr. Kiaskanlah dengan  nama-nama yang lain yang disifatkan.
Berkata Al-Tahawi Lagi:
Mtn. 17: (Sedemikian lantaran bahawasanya Dia di atas sesuatu Berkuasa, Dan tiap sesuatu kepadaNya faqir jua. Segala perkara mudah saja, berhajat kepadanya sesuatu, tiada sepertinya sesuatu, Dia Amat Mendengar lagi Amat Melihat sesuatu).
Srh. Demikian bagi mengisyarat kepada tetapnya sifat-sifat Allah sejak azali sebelum menciptanya lagi
Hr. Ayat asal begitu kaya dengan rima hujung ayat yang sama. Penulis berusaha menjaga rima-rima akhir yang sama sebagaimana di dalam teks matan.
Berkata Al-Tahawi lagi.
Mtn. 18 (Dia Mencipta Ciptaan (makhluk) dengan ilmuNya.
Srh. Bermaksud Dia mencipta,mengada dan membuat. Di sini mencipta juga bermakna menentukan (qaddara) adalah dengan ilmuNya.
Kata Al-Tahawi lagi:
Mtn.19 (Dia menkadar kepada mereka kadar-kadar).
Srh. Maka sesungguhnya Allah Ta`ala berfirman bermaksud: ``Dia Mencipta segala sesuatu maka Dia mengkadarkannya kadar-kadar` (Al-Furqan: 2).
Dan firman Allah Subhanahu wa Ta`ala lagi mbermaksud:
`` Sesungguhnya Kami segala sesuatu Kami ciptanya dengan kadar (Al-Qamar: 49).
Dan berkata Al-Tahawi lagi:
Mtn. 20 ( Dan Kami tentukan bagi mereka itu ajal-ajal).
Srh. Yakni bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta`ala menentukan ajal-ajal segala makhluk, sekira-kira apabila tiba ajal mereka itu tidak terlewat walau sesaat dan tidak terdahulu.
Firman Allah bermaksud:
``Dan tidaklah bagi satu diri menemui maut, melainkan dengan izin Allah penentuan ajal`` (Ali `Imran:145).
Berkata Al-Tahawi:
Mtn. 21 (Tidak sunyi ke atasNya sesuatu sebelum Dia menciptakannya dan Dia Mengetahui apa yang mereka lakukan sebelum menjadikan mereka).
Srh: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta`ala mengetahui apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku dan apa yang tidak berlaku, jika adalah ia, bagaimana sedang adalah ia. Sebagaimana Allah berfirman bermaksud: (Dan kalaulah mereka dikembalikan (ke dunia) mereka kembali melakukan apa yang dilarang daripadanya (Al-An`am: 28).
Berkata Al-Tahawi:
Mtn. 22 (Dan suruhan kepada mereka dengan ta`at kepadaNya, dan larangan kepada mereka maksiat kepadaNya).
Menyebut oleh Al-Shaykh (Al-Tahawi) tentang suruh dan tegah selepas menyebut tentang mencipta dan qadar sebagai isyarat bahawa Allah Ta`ala Mencipta makhluk untuk beribadat kepadanya. Sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.`` (Al-Dhariyat: 56).

Sekian.

January 16, 2016

Indah Ungkapan Mendalam Kandungan


BBB, 05 Rabiul Akhir 1437 = 15 Januari 2016 (Jumaat):


Dari pemerhatian yang dibuat dan kefahaman yang ditanggap bahawa ungkapan-ungkapan dalam Matan `Al-Tahawi adalah  menggunakan bahasa indah, bersastera dan berestetika dan kandungannya bersifat mendalam. Maksud bersastera, bahawa penggubah atau penyusun dengan penuh sedar menggunakan unsur bunyi atau rima di dalam ayat-ayat yang digunakan, tetapi tidaklah sampai dikatakan sebagai puisi. Ada mirip ungkapan bahasa Ibn `Ata` Allah al-Sakandari. Tetapi perlu diingat Al-Tahawi jauh lebih dahulu dari zaman Ibn. Atai Allah (m.709/1309). Dalam hal ini mungkin boleh dikatakan bahawa Ibn `Ata` Allah terpengaruh pada ungkapan Al-Tahawi di samping Hikam Abi Madyan. Apa lagi mereka dari satu kawasan di Mesir dan Utara Afrika.
Ungkapan seterusnya oleh Al-Tahawi tentang Allah:
Mtn. 6. (Dan katanya (Dia tidak fana dan tidak binasa).
Srh: Iqrar dengan berkekala baqa` Allah s.n.w.. Berfirman Allah Yang Mulia  bermaksud:``Semua siapa di atasnya adalah fana dan yang Kekal ialah Wajah Tuhan engkau yang bersifat Jalal lagi Mulia`` (Al-Rahman: 26-27).
Mtn 7. Berkata Al-Tahawi ( Dan  sesuatu tidak ada melainkan dengan kehendakNya jua).
Srh: Ini adalah menolak pendapat Qadariyyah dan Mu`tazilah , kerana mereka menyangka bahawa Allah menghendaki keimanan daripada manusia seluruhnya., dan kafir menghendaki kekufuran. Perkataan mereka adalah rosak tertolak, kerana bersalahan dengan `Kitab` dan `Al-Sunnah`, dan ma`qul yang sahih. Dia adalah masalah `qadar` yang masyhur. Dan akan datang penerangan insya Allah Ta`ala.
Adapun pendapat Ahlu al-Sunnah, mereka berkata,: Sesungguhnya Allah, jika Dia Mau orang yang berdosa akan qadar, maka Dia tidak menyukainya dan tidak meredai dengannya, dan tidak menyuruh dengannya, bahkan Dia Marah dan Merendah dan membencinya dan menegah daripadanya. Inilah pendapat salaf secara qat`iyyah, maka berkata mereka itu, ``Apa yang dikehendaki Allah terjadi, dan apa yang tidak dikehendaki tidak terjadi``
Adalah kalangan muhaqqiqin dari kalangan Ahl al-Sunnah mereka berkata, ``Iradah di dalam kitab Allah ada dua jenis
Iradah Qadariyyah Kauniyyah Khalqiyyah dan Iradah Diniyyah Amriyyah Shar`iyyah. Maka kehendak shar`iyyah mengandungi mahabbah dan reda dan Al-Kauniyyah ialah kehendak yang mengandungi semua yang baharu. Ini adalah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Maka siapa yang dikehendaki Allah Dia memberi pertunjuk baginya diterangkan dadanya dengan Islam dan siapa yang dikehendaki disesatkannya  dia jadikan dadanya  sempit menyesak seolah-olah  menaiki ke langit.`` (Al-An`am: 125).
Mtn. 8. Berkata Al-Tahawi: (Tidak MenyampaikanNya oleh waham dan tidak mendapatinya oleh faham).
Srh: Ini bermakna sebagaimana firman Allah bermaksud:`Dan meliputi dengan Nya sebarang Ilmu (Taha: 110).
Dimaksud oleh Al-Tahawi r.h.a. maksud matan ``Bahawa tidak sampai kepadanya waham dan tidak meliputinya oleh ilmu makhluk
Hr. pecahan ini indah ungkapan membawa makna mendalam
Mtn  9. Berkata Al-Tahawi ( Dan tidak menyerupaiNya oleh makhluk).
Srh. Ini menolak pendapat qaul mushabbah yang menyerupakan (mentashbih) Khalik dengan makhluk, Subhanahu wa Ta`ala. Berfirman Allah `Azza wa Jalla bermaksud: ``Tidak menyerupainya oleh sesuatu dan Dia Amat Mendengar lagi Amat Melihat`` [Al-Shura: 11].
Dan tidak bermaksud menafi sifat-sifat sebagaimana kata ahli bid`ah. Daripada kalam Abi Hanifah rahmat Allah alayh di dalam `Al-Fiqh al-Akbar`: Tidak menyerupaiNya sesuatu daripada makhlukNya. Kemudian dia berkata selepas itu. Dan sifatNya keseluruhannya berlainan dari sifat makhluk-makhluk. Dia Mengetahui bukan seperti ilmu kita. Dia Berkuasa bukan seperti kekuasaan kita dan Dia Melihat bukan seperti penglihatan kita.
Mtn. 10. Adapun katanya (Al-Tahawi) (Hidup tidak mati, Jaga tidak tidur)
Srh: Maka demikian firman Allah T`ala bermaksud: ``Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia Yan g Hidup Mentadbir dan tidak mengantuk dan tidak tidur (Al-Baqarah: 255)..
Penafian terhadap mengantuk dan tidur (tidak lalai) dalil di atas kesempurnaan hidup dan tadbiranNya.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Sesungguhnya Allah tidak tidur dan tidak sayugia bagiNya tidur``.
Mtn. 11. Berkata Al-Tahawi (Dia Mencipta dengan tidak memerlukan, Pemberi rezeki  dengan tidak perlu balasan)
Srh. Sesungguhnya Allah berfirman bermaksud: ``Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Ku. Tidak aku perlu dari mereka dari rezeki dan tidak diberi makan. Sesungguhnya Allah Pemberi rezeki dan mempunyai kekutana yang teguh.`` (Al-Dhariyat: 56-58).
Dan firman Allah bermaksud``Wahai manusia kamu semua faqir kepada Allah dan Dia Kaya lagi Terpuji (Fatir: 15).
Mtn. 12 Kemudian berkata Al-Tahawi: (Mematikan tanpa takut, membangkitkan tanpa masyaqqah).
Srh. Yang demikian, kerana mati adalah sifat yang ada, bersalahan bagi falsafah dan yang semuafakat bersama mereka. Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dia yang menjadikan maut dan hidup untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalan.`` (Al-Mulk: 2).
Dan jika tiada tidak disifatkan dengan keadaannya sebagai makhluk.
Mtn 13 Berkata Al-Tahawi; (Berterusanlah sifat-sifatNya qadim sebelum penciptaanNya, tidak bertambah – dengan keadaan semua – sesuatu, tidak sebelum dari sifatNya, sebagaimana dengan sifatNya azali, sebagaimana berterusan dengan abadi)
Srh. Yakni bahawa Allah Subhanahu wa Ta`ala berterusan bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan, sifat-sifat Dhat,  dan sifat-sifat perbuatan, dan tidak harus bahawa dii`tiqadkan bahawa Allah Ta`ala disifat dengan sifat (umpamanya – Hr.) selepas tidak bersifat dengannya. Kerana sifat-sifatNya –Subhanah, sifat-sifat Kamal, - (kiranya - Hr) luput darinya adalah sifat kurang, maka tidak harus bahawa terhasilnya sifat Kamal selepas bahawa Dia bersifat dengan lawannya (tidak kamal – Hr.).. Dan sifat-sifat ikhtiariyyah dan sifat-sifat f`il (membuat) semuanya azali juga seperti menjadikan, merupakan (taswir), menghidup dan mematikan dan lain-lain.
Matan  Al-Tahawi bersih dari mengaitkan aliran-aliran akidah, namun pensharh mengaitkannya di mana perlu. Pengukuhan pendekatan Sunni salafi bahawa penghujahan banyak menggunakan ayat-ayat Al-Qur`an, di samping Hadith - tidak sebanyak ayat-ayat Al-Qur`an.

Sekian.


January 15, 2016

Usul Al`Aqidah Al-Islamiyyah - Format Dan Kandungan


BBB, 04 Rabiul Akhir 1437 = 14 Januari 2016 (Khamis):


Nama buku di atas Usul al`Aqidah al-Islamiyyah adalah terdiri dari tiga usaha:
1)      Matn Al-Aqidah Al-Tahawiyyah oleh Abu Ja`afar Ahmad al-Tahawi (m. 321H.)
2)      Sharh terhadap Matan al-`Aqidah al Tahawiyyah oleh `Ali bin Abi al-`izzi al-Adhra`i (731-792H.). Beliau murid bagi Hafiz Ibn Kathir.                                                                                                                                                                                                                                                                               
3)      Petikan-petikan yang dibuat terhadap matan dan sharh sebagaimana terdapar di dalam buku berkenaan dilakukan oleh `Abd al-Mu`im al Izziyy.
Lantaran buku ini penting, ianya merupakan buku akidah Sunni yang awal yang mendukung Mazhab Salaf. Buku Sharh ini pertama kali diterbitkan di Makkah pada 1349H. dan  buku yang diguna ini dicetek oleh al-Muassasah al-Risalah di Beirut (1407H./1987M.) Penulis bercadang memetik dan menterjemahkan keseluruhan matan dan memungut terhadap sharh Matn `Aqidah al-Tahawi yang dianggap penting.
Pembahagian dilakukan oleh sharih dan dibuat petikan oleh penyelenggara (`Abd al-Mun`im).
Dan sesungguhnya memulakan Shaykh Al-Tahawi kalamnya, maka berkata rahimahu Allah:
Tauhid Kepada Allah:
Mtn.1.  Kami berkata tentang tauhid Allah mereka beriktiqad – dengan taufiq Allah: Sesungguhnya Allah itu Esa yang tidak ada sekutu bagiNya.
Srh.  Aku kata: Ilmu tauhid adalah awal dakwah bagi Rasul, seawal pemulaan jalan dan seawal maqam berdiri padanya seorang salik kepada Allah. Firman Allah bermaksud:
`` Sesungguhnya kami utuskan Nuh kepada kaumnya, maka katanya, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah. Tiadalah Tuhan bagi kamu selain dariNya. Aku takut kamu mendapat azab pada hari yang besar (kiamat)`` (Al-A`raf:59).
Dan berkata Hud a.s kepada kaumnya:
``Sembahlah kamu kepada Allah yang tidak ada Tuhan bagi kamu selain dariNya.`` (Al-A`raf: 65). Ia juga kata-kata Saleh a.s. dan kata Shu`ayb a.s.
Dan firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya kami bangkitkan kepada setiap umat Rasul supaya mereka meyembah Allah dan menjauhi Taghut.`` ( (al-Nahl: 36)
Dan firman Allah bermaksud:
``Dan tidaklah kami utuskan sebelum dari engkau daripada Rasul melainkan kami wahyukan kepadanya bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan kepadaNya (Allah) kami sembah (al-Anbiya`: 25).
Bersabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
``Aku disuruh memerangi manusia sehinggalah mereka itu bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah.``
Dengan ini adalah sahih bahawa seawal-awal kewajiban di atas setiap mukallaf: Bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah.
Maka tauhid adalah seawal-awal apa yang dimasuki dengannya oleh seseorang jikalau dia mahukan Islam, dan ia adalah akhir yang dia keluar dengannya daripada dunia., sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud:``Siapa yang akhir kalamnya `La ilaha 1lla Allah` dia masuk syurga.
Maka diadalah seawal wajib dan seakhir wajib.
Maksud kami dengannya,
Tauhid al-Uluhiyyah, kerana tauhid mengandungi tiga jenis:
Pertamanya: `Al-Kalam` tentang sifat-sifat
Kedua: Tauhid al-Rububiyyah, dan keterangan bahawa Allah secara Tunggal mencipta segala sesuatu.
Ketiga: Tauhid al-Ilahiyyah: Bahawa berhaknya Subhanahu wa Ta`ala bahawa disembah dengan keesaanNya, tidak ada sekutu bagiNya.
Huraian Penulis =Hr. seterusnya pensharh menghuraikan maksud, sifat, tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah dengan hujah-hujah ayat-ayat Al-Qur`an..
Sesungguhnya huraian terhadap ayat ini memakan halaman 11 halaman. (hlm 13-23). Penulis hanya mengambil  dari kandungannya hanya satu setengah halaman sahaja. Dalam huraian oleh pensharah ada disentuh tentang pihak lawan yang tidak secucuk dengan aliran akidah Sunni, iaitu terhadap `Al-Jaham bin Safyan yang menafikan sifat.
Mtn. 2: Dan berkata Imam al-Tahawi (Dan tidak sesuatu seumpamaNya)
Srh: Sesungguhnya Ahlu al-Sunnah telah sepakat bahawa Allah T`a`ala tidak ada sepertinya oleh sesuatu, tidak pada dhatNya, tidak pada sifatNya dan tidak pada af`alNya, tetapi lafaz (al-tashbih) sesungguhnya terjadi pada kalam manusia lafaz yang digunakan pada tempat yang dikehendaki dengannya makna yang sahih, dan dia ialah apa yang dinafikan  Al-Qur`an dalil dengannya oleh akal. Daripada ketentuan Tuhan Ta`ala tidak disifat dengannya oleh sesuatu daripada makhluk-makhluk, dan tidak menyerupainya oleh sesuatu daripada makhluk-makhluk, pada sesuatu daripada sifatnya dan (Tidak seperti seumpamanya oleh sesuatu sebagai menolak terhadap yang menyamai dan mentashbih denganNya (Dia Amat Mendengar lagi Melihat).
Hr. Penerangan ungkapa kedua ini lebih pendek dari yang pertama (hlm. 23-25).
Mtn.3.Berkata Al-Tahawi: (Dan tidak sesuatu melemahkanNya).
Srh. Yang demikian kerana sempurna qudratNya
Firman Allah bermaksud ``Sesungguhnya Allah di atas segala sesuatu adalah berkuasa`` (al-Talaq: 12)
Dan firmanNya lagi bermaksud:
``Dan tidaklah Allah melemahkanNya daripada sesuatu di langit dan tidak di bumi. Sesungguhnya Dia  adalah  amat Mengetahui dan Berkuasa` (Fatir:44).
Seterusnya dihuraikan dengan ayat kursi sepenuhnya.
Mtn.4. Dan berkata (Al-Tahawi): (Dan tidak ada Tuhan selainNya)
Srh. Ini adalah kalimah tauhid yang mendakwah dengannya rasul-rasul dan mengithbatkan tauhid dengan kalimah ini dengan iktibar nafi dan ithbat.
Hr. Sharh bagi ungkapan di atas adalah ringkas
Mtn. 5. Berkata Al-Tahawi bermaksud:
``Qadim tanpa permulaan, selama tanpa hujungan``
Srh: Demikian seperti firman Allah bermaksud: `Dia Yang Awwal dan Yang Akhir` (al-Hadid:3).
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: ``Allahumma Engkau Yang Awwal, maka tiada sesuatu sebelum Engkau dan Engkau Yang Akhir, maka tiada sesuatu selepas Engkau.``
Hr. Ungkapan indah berseni (estetika)                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                             
Demikianlah contoh huraian bagi lima ungkapan yang walaupun ringkas, tetapi sharahnya adalah panjang. Namun dengan contoh diberi di atas dapat difahami format persembahan oleh matan, pensharah dan paling penting dapat dinilai dari segi ciri akidah salafiyyah yang disebut-sebut  sebagai pendekatan oleh Al-Tahawi.

Sekian.