March 26, 2016

Bahasa Tepat (Denotatif) Dan Bercabang Makna (Konotatif) : Implikasi


BBB, 16 Jamadil Akhir 1437 = 25 Mac 2016 (Juma`at):
Bahasa adalah lambang bunyi dan tulisan bagi komunikasi. Pada dasarnya pada setiap patah perkataan/tulisan mempunyai makna yang tersendiri. Keberadaannya di dalam ayat membawa maksud yang lebih luas. Tetapi bahasa sebagai alat yang digunakan oleh pengguna yang mempunyai daya kreatif, maka bahasa juga tidak sunyi dari mengalami elemen kreatif yang menjadi kata dan bahasa yang bercabang makna. Lantaran itu bahasa ada yang tepat dari segi makna. Contoh `rumah` bermaksud tempat kediaman atau lindungan atau `hariman` bererti sejenis binatang buas. Namun makna boleh berubah lantaran dipengaruhi daya kreativiti dan pengaruh budaya, contoh dua perkatan di atas boleh berubah makna bila disebut misalnya `Harimau di dalam rumah`, maknanya (boleh dengan maksud asal) sudah berubah sama sekali, ianya bermaksud `Seorang yang garang berada di dalam rumah !` Demikianlah bahasa boleh bersifat kreatif dan memberi makna konotatif. Ciri-ciri bahasa sedemikian adalah dikenali sebagai bahasa sastera yang antaranya bersifat kreatif sama ada dari segi lahir dan makna. Contoh dari segi lahir seperti bentuk nazam, syair dan sajak yang mempunyai bentuk dan ciri tersendiri. Sebagai contoh bentuk nazam yang digunakan bagi Matan Jauharat al-Tauhid ini sendiri dan dari segi kandungan  yang tersusun dari kata-kata dan istilah yang antaranya membawa makna yang tepat atau bercabang.


Ada kontradiksi dan kepentingan di dalam penggunaan bahasa. Bahasa sastera mementingkan kreativiti dan keindahan yang mementingkan penggunaan bahasa kreatif. Bahasa bagi bidang kreatif seperti puisi, cerpen dan noval melihat semakin kreatif dan bercabang dan bervariasi makna dalam penggunaan bahasa adalah semakin indah dan semakin tinggi daya estetiknya. Tetapi  ada kontra terhadap penggunaan bahasa sastera, iaitu bahasa akidah, perundangan, matematik dan sains tidak memerlukan bahasa sastera, bahkan mengusahakan penggunaan bahasa yang tepat dan tidak bercabang dari segi makna. Bagi bahasa  akidah misalnya penggunaan perkataan `Allah` ialah istilah tepat  bagi ketuhanan bagi akidah tauhid orang Islam. Ianya tidak digunakan bagi maksud yang lain. Begitu juga bagi bahasa perundangan shara` perkataan misalnya `munkar` bermaksud perkara yang jahat dan tidak baik. Bahkan di dalam matematik dan sains untuk mendapat ketepatan  kedua-dua bidang ini sebahagian besar langsung menggunakan lambang seperti lambag angka, bentuk geometri dan sebagainya yang tidak menggunakan kata dan terpelihara dari maksud yang mungkin tidak tepat jika dihuraikan di dalam bahasa. Ianya boleh dibaca oleh siapa-siapa tanpa penggunaan bahasa.
Dari segi praktiknya, kita tidak dapat membataskan penggunaan bahasa kepada keseluruhannya tepat dengan istilah secara ketat seperti para matematik, saintis, hakim dan lawyer menggunakan istilah dan tidak pula bagi kelompok tertentu di dalam masyarakat menggunakan bahasa sastera seluruhnya di dalam percakapan seperti penghulu luak di Negeri Sembilan menggunakan teromba keseluruhan di dalam berkomunikasi dengan masyarakat beradatnya  atau menggunakan pantun keseluruhannya bagi ketua kampung di dalam masyarakat Melayu. Sebaliknya dari segi praktiknya elemen bahasa yang tepat dan baku bercampur dengan bahasa sastera di dalam penggunaan masyarakat. Di dalam kata lain di dalam penggunaan bahasa harian baik di dalam percakapan dan juga tulisan sering bercampur antara elemen kreatif, bahasa bercabang makna dengan bahasa yang baku dan tepat.
Bahasa Al-Qur`an yang diturun dari Allah Subhanahu wa Ta`ala, disampaikan melalui malaikat Jibril dan disampaikan kepada rasul menurut bahasa rasul yang menerima wahyu berkenaan, Sebagai contohnya Al-Qur`an adalah menggunakan bahasa `Arab sebagai bahasa bagi Nabi Muhammad s.a.w. dan masyarakat pada masanya.
Sebagaimana  maklum bahasa Al-Qur`an adalah bahasa yang tinggi dari segi ketepatan dan ketingginan bahasa dan  kaya dengan elemen sastera dan balaghah sehingga menundukkan para sasterawan `Arab Jahiliyyah yang ego dan bermegah-megah dengan kemampuan mereka berbahasa dan bersastera.
Ketinggian bahasa Al-Qur`an ini terbukti Al-Qur`an menjadi induk bagi perkembangan bahasa `Arab dan menjadi contoh rujukan nahu dan saraf dan kepelbagaian ilmu bahasa. Demikian juga Al-Qur`an kaya dengan elemen-elemen sastera yang daripadanya terhasil ilmu balaghah dan tafsir bagi memahami bahasa dan keindahan Al-Qur`an. Jadi bahasa Al-Qur`an di samping membawa bahasa dan istilah yang tepat dari segi makna, maka bahasanya kaya dengan elemen sastera yang bahasanya mempunyai makna yang bercabang. Perkara ini dibicarakan di dalam Matan Jauharat al-Tauhid. Kata Shaykh Ibrahim al-Laqani:


Dan setiap nas mewahamkan oleh tashbih  *  Takwilkan atau maksudkan secara tanzih
Bermaksud bahawa jika berdepan dengan nas sama ada ayat Al-Qur`an yang membawa maksud yang `tashbih` (penyerupaan makna, bercabag makna, tidak direct dan tepat), juga Hadith, maka hendaklah ditakwil, yakni tafsiran yang layak dan sesuai atau diberi maksud yang membersih (tanzih) Allah Ta`ala dari makna yang tidak sesuai dan tidak layak bagi Allah. Sememangnya terdapat di dalam Al-Qur`an ayat-ayat yang bersifat tashbih dan pelbagai makna yang boleh  difaham dari makna pada perlapisan lahir atau perlapisan lain. Sebagai contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka itu.``  (Al-Fath: 10)
Atau ayat bermaksud:
``Dan Dia (Allah) bersama kamu di mana kamu berada` (Al-Hadid: 4)
Atau ayat bermaksud:
`Al-Rahman  di atas  `arash memerintah (Taha: 5)
Ayat  (Al-Fath: 10) memberi konotasi bahawa Allah bertangan sebagai tangan manusia dan ayat (Al-Hadid: 4) memberi konotasi bahawa Allah bertempat dan bersama dengan manusia dan ayat (Taha: 5) memberi konotasi bahawa Allah berada pada tempat, iaitu `arash`
Semua maksud ayat di atas membawa maksud penyerupaan (tashbih) dengan sifat-sifat nakhluk yang boleh mengelirukan dari segi tanggapan dan akidah. Sebab itu kata Pematan dan Sharih bahawa maksud ayat seperti ini perlu ditakwil atau diberi maksud yang sesuai yang layak dan tidak menimbulkan kekeliruan.
Di dalam mendepani ayat-ayat yang metashabihat terdapat dua pandangan, iaitu :
1)       Ulama  Salaf
2)      Ulama` khalaf
`Ulama salaf berpendapat hendaklah mengikut maksud asal dan serahlah menurut selayak bagi Allah sebagaimana kata Sharih:
``Dan kata mazhab Salaf itu engkau tafwidkan akan dia kepada Allah `Azza wa Jalla halnya qasadkan mensucikan Allah `Azza wa Jalla daripada makna yang zahirnya itu mustahil bagi Allah Ta`ala.``
Maka bagi mazhab Khalaf: ``Mazhab Khalaf itu katanya engkau takwilkan akan dia dengan takwil yang patut bagi Haq Allah Ta`ala.``
Namun Sharih berpendapat: ``Ittifaq dua mazhab dalam takwilkan yang ijma` serta mensucikan akan Allah `Azza wa Jalla pada zahirnya nas dan ikhtilaf dua mazhab itu dalam takwil yang tafsil. Tetapi menurut Sharih bahawa mazhab salaf adalah lebih selamat bagi mengelak dari kekeliruan dan perbalahan.

Sekian.




March 25, 2016

Lanjutan Sifat-Sifat Wajib, Ta`alluq Dan Al-Asma` Al-A`zam


BBB,  15 Jamadil Akhir 1437  =  24 Mac  2016 (Khamis):


Selepas Pematan dan Sharih membicarakan tentang sifat 20 dan pengelompokannya kepada nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah, Pematan menggubahkan nazam berikut:
Maka Kudrat dengan mumkin ta`alluq   *  Tanpa kesudahan barang yang dita`alluq
Esa wajib  ta`alluq baginya  sama seperti * Iradat Ilmu kepada sekalian  mumkin tadi
Tetapi terhadap wajib dan mustahil beza * bagi ilmu dan kalam perlu diberi perhatian.
Yang dibicarakan ialah persoalan ta`alluq, iaitu sebagaimana kata Sharih:
``Maka sifat  qudrat bagi tiap-tiap mumkin itu ta`alluq dengan tiada kesudahannya barang yang dita`alluq oleh sifat qudrat. Ia esa, tiada berbilang ta`alluq  dan jikalau berbilang barang yang dita`alluq sekalipun.  Dan seperti qudrat itu sifat iradat, thabit ta`alluq ia atas yang mumkin.``
Maka tidak ta`alluq  qudrat dan iradat akan barang yang mustahil.
Kata Sharih, adapun ta`alluq qudrat-iradat itu ada kalanya salahi dan ada kalanya  tanjizi.
Maka yang pertama itu qadim dan iaitu nafsiyyah bagi sifat qudrat dan iradat atas kata Imam Ash`ari r.a. dan iaitu qaul yang rajih.
Dan yang kedua  itu ta`alluq itu baharu, dan iaitu yang dimu`tamadkan oleh Kadhi Baqillani, halnya mengikut kata Imam Abu Mansur Maturidi r.a. dan iaitu qaul yang daif.
Selanjutnya sebagaimana kata Pematan dan Sharih:
``Ya`ni ilmu dan kalam itu seperti ta`alluq qudrat-iradat kepada sekalian mumkin, tetapi ilmu dan kalam itu ta`alluq kepada yang wajib dan juga mustahil. Kata Sharih:
``Syahadan erti ta`alluq ilmu itu, iaitu inkishaf bagi sekalian maklum. Dan erti ta`alluq kalam itu mengkhabarkan barang maklumnya``. Kata Sharih lagi:
Bermula ta`alluq kalam di dalam azali itu terbahagi kepada amar, dan nahi dan khabar sebagaimana kata jumhur `ulama`.
Seterusnya kata Penggubah Matan:
Setiap maujud ta`alluq bagi sama` *  Begitu basar idraknya jika dikata dengannya
Selain dari ilmu sebagaiamana ditetap *  Kemudian tanpa ta`alluq ialah hayat
Seterusnya Sharih menerangkan bahawa sama` adalah ta`alluq bagi tiap-tiap yang maujud demikian juga sifat basar. (Juga disebut  dengan idrak, kerana terdapat di dalam matan yang disifatkan sebagai daif bagi Idrak).
Disebut juga bahawa  ta`alluq qudrat itu, iaitu mengikut ia atas ta`alluq iradat dan ta`alluq iradat itu mengikut ta`alluq ilmu.
Dan ta`alluq sifat itu terbahagi atas tiga bahagi:
Pertama; Ta`alluq atas sekalian yang mumkin yang ja`iz, iaitu qudrat-iradat.
Kedua:  Ta`alluq kepada sekalian yang maujud qadim keadaannya atau baharu, iaitu sama`-basar.
Ketiga:  Ta`alluq kepada sekalian hukum yang bangsa akal, ya`ni wajib dan jaiz dan muhal, iaitu ilmu dan kalam.
Selepas dari membincangkan tentang sifat-sifat, maka  Pematan berpindah kepada memperkatakan tentang `Asma` Allah al-A`zam. Kata Nazim Shaykh Ibrahim al-Laqani:
Pada kami nama-nama Yang Besar  diberi  * Seperti sifat-sifat DhatNya  Yang Qadim terperi
Pemilihan nama-nama semata taufiqiyyah *  Demikian sifat berdasarkan sam`iyyah
Penggubah membawa persoalan baru, iaitu berhubung dengan nama-nama Allah. Kata Sharih:
Kepada i`tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah  asma` Allah yang Maha Tinggi, demikian sifat bangsa dhati – sifat ma`ani dan ma`nawiyyah, maka samanya itu tentu qadimnya dan qaul yang rajih bahawasanya asma` Allah Ta`ala itu taufiqiyyah – ya`ni barang yang dikhabarkan oleh shara` dan Hadith Nabi s.a,w. dan demikian sifat, maka engkau peliharakan dalilnya pada shara`.
Asma` Allah  yang Mu`azzanah itu, ialah barang yang menunjukkan dia atas Dhat Allah Ta`ala seperti lafaz ``Allah``, atau barang yang menunjukkan atas sifat Allah yang berdiri pada Dhat seperti Qadir (Yang Berkuasa) atau Murid (Yang Berkehendak) dan barang sebagainya, maka namanya qadim.
Sharih menerangkan bahawa Asma` Allah itu terbahagi kepada tiga:
Pertama:  Barang yang menunjuk atas Dhat Allah Ta`ala semata-mata seperti `Allah`.
Kedua: Barang yang menunjukkan atas sifat Allah Ta`ala yang tiada berdiri bagi Dhat Allah Ta`ala seperti `Khaliq` dan `Raziq` dan barang sebagainya.
Ketiga:   Barang yang menunjukkan ia atas sifat Allah Ta`ala yang bangsa di hati seperti Qadim,, Murid, `Alim, Hayy dan sebagainya.
Bahawa Ismu al-A`zam itu `Allah` dan `Al-Hayy al-Qayyum`  dan kata setengah ialah `Ya dha al-Jalal  wa al-Ikram`. Dan di dalam Hadith yang sahih, bahawasanya bagi Allah Ta`ala itu sembilan puluh sembilan asma` di dalam itu ada isim a`zam yang tiada khusus `aynnya. Dinyatakan bahawa tiada harus menamai ia dengan nama akan Allah Ta`ala melainkan dengan izin shara`, tetapi menurut Imam Ghazali r.a. harus ia di dalam sifat Allah Ta`ala dan iaitu barang yang menunjukkan ia atas kemuliaanNya yang za`idah atas DhatNya dan tiada harus ia dalam ism  Allah Ta`ala, dan iaitu barang yang menunjukkan atas diri Dhat dan tawaqquf Al-Imam al-Haramayn di dalam perkara demikian itu


Sekian.


March 24, 2016

Konsep Idrak Dan Sifat-Sifat Yang Lain


BBB, 14 Jamadil Akhir 1437 = 23 Mac 2016 (Rabu):
Penyusun nazam Shaykh Ibrahim al-Laqani membawa isu yang tidak biasa diperkatakan di dalam membicarakan akidah yang berhubung dengan Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kata Pematan:
Adakah bagiNya `Idrak` atau tidak ?   *     Ada kaum setuju tawaqquf mengelak
Apakah `Idrak` itu ?
Menurut Shaykh Ibrahim al-Bayjuri yang menghashiahkan terhadap Matan Ibrahim al-Laqani di dalam Hashiahnya berjudul Tuhfat al-Murid: ``Idrak ialah tasawwur hakikat suatu yang di idrak (Mudrak= Kena Dapat ) oleh yang mendapat (Mudrik).``  Sebagai contoh mudah seorang berhasrat minum air bagi menghilangkan dahaga, maka tatkala dia mendapat meminim air, maka peminum itu yang mendapat air (Mudrik- Isim Fa`il)) dan air adalah yang kena dapat (Mudrak = Isim Maf`ul) – terhasil kehendak. Konsep Idrak ini dikaitkan dengan Pencipta sebagai contoh konsep `Takwin` (Ciptaan). Persoalan yang ditimbulkan ialah adakah keberhasilan cipta itu dapat dikatakan `Idrak` bagi Pencipta ?
Di dalam menghuraikan terhadap bayt Matan Nazam di atas, kata Sharih:
``Ya`ni jika ditanyai orang akan dikau, Adakah mempunyai bagi Allah `Azza wa Jalla sifat Idrak akan barang suatu yang maujud dengan `Idrak Yang Qadim lagi Azali atau tiada ?``
Berhubung dengan isu yang ditimbulkan ini terdapat tiga pendapat:
Pertama:  Menerimanya sebagai satu sifat sempurna bagi sifat-sifat sempurna yang banyak bagi Allah Ta`ala, ianya sebagai sifat ilmu, mendengar dan melihat. Ia adalah sifat qadim yang berdiri pada DhatNya. Idrik mencerminkan kamal, maka setiap yang kamal wajib bagi Allah, jikalau Dia tidak bersifat dengannya, nescaya dia bersifat dengan lawannya, ianya bererti kurang, dan kekurangan bagi Allah Ta`ala adalah mustahil. Mereka yang berpendapat sedemikian dari pendukung kuat Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah ialah Al-Qadhi al-Baqillani dan Al-Imam al-Haramayni dan pendukung-pendukung bagi kedua mereka.
Kedua:  Pendapat yang tidak setuju dengan `Idrak`.Iaitu pendapat golongan yang tidak diberi identiti dengan jelas. Kumpulan ini berpendapat bahawa, jikalau Allah bersifat dengan `Idrak` melazimkan dia berhubung (ada konteks berpisah) dengan yang diidrak sebagai lazim akli, maka adalah tidak kemungkinan tasawwur sedemikian, maka ia adalah sesuatu yang mustahil dan tidak dapat diterima.
Ketiga: Pendapat untuk mengelak dari kekeliruan dan memasalahkan perbahasan. Golongan ini berpendapat persoalan sedemikian hendaklah di tawaqquf dan dihentikan, lantaran ianya lebih baik bagi semua. Sebagaimana kata Sharih: ``Ikhtilaf kata ulama dan qaul yang rajih, iaitu tawaqquf kepada Allah Ta`ala``. Sharih menyatakan pendapat yang menerima adanya Idrak itu sebagai qaul yang daif. 
Penggubah Matan bukan sengaja mengemukakan persoalan `idrak` ini atas inisiatif darinya, sebaliknya ditimbulkan oleh kerana perkara ini telah dibincangkan oleh tokoh-tokoh besar aqidah sepeti Al-Baqillani dan Al-Juayni dan pengikut-pengikut mereka. Isu yang dibincangkan adalah halus dan memang boleh dijadikan persoalan dan ada kewajaran. Idrak ialah peringkat pengukuh selepas sebelumnya bersifat umum. Sebagai contoh menyebut `kuasa` ianya menyeluruh, tetapi bila sesuatu yang spesifik dari segi terhasilnya `kuasa` misalnya mengadakan bangunan, aspek yang dibicarakan ialah  bila terhasilnya bangunan berkenaan sebagai manifestasi dari kekuasaan sebagai `idrak` bagi kekuasaan. Namun sebagai kata pihak tidak setuju bahawa isu ini merupakan tambahan bagi  manifestasi qudrat, yang mungkin ada kewajaran, tetapi sebenarnya lebih baik tidak ditimbulkan. Lantaran dengan anologi yang ditimbulkan banyak lagi tambahan boleh dibuat yang boleh dikatakan sebagi cerminan bagi kesempurnaan.
Pendirian tidak setuju  ini adalah merupakan pendirian banyak, sebab itu ianya tidak menjadi topik pembicaraan biasa dan merupakan kewajaran.
Setelah membicarakan sifat-sifat Allah yang tergolong di bawah sifat nafsiyyah, salbiyyah dan sifat ma`ani, maka Pematan  menggubah nazam selanjutnya iaitu:
Keadaan  Hidup, Mengetahui Kuasa Berkehendak  * Mendengar Melihat terjadi apa yang dikehendak
Mutakallimun kemudian semuanya adalah sifat  Dhat       *  Bukan yang lain dan bukan tambah `ayn Dhat
Sekali lagi disebut bahawa Penulis tidak akan mengulangi perkara yang telah dibicarakan. Di dalam nazam Matan di atas yang dibawa Pematan  ialah mengenai sifat ma`nawiyyah. Beberapa catatan berhubung dengannya. Berekata Sharih:
``Sifat Dhati itu ya`ni sifat ma`ani dan sifat ma`nawiyyah itu tiada lainnya DhatNya dan tiada `ayn Dhatnya. Shahadan bahawasanya sifat ma`ani dan ma`nawiyyah itu tiada harus dikata lain daripada Dhat kerana lazim dua qadim dan tiada harus pula dikata bahawasanya sifat itu `ayn Dhat kerana lazim ia  dua Tuhan dan iaitu muhal (mustahil). Dan jikalau dikata sifat itu lain daripada Dhat, maka lazimlah baharu sifat, maka menjadi Dhat Allah Ta`ala itu bagi tempat yang baru dan iaitu muhal. Tetapi i`tiqad yang sahih, bahawasanya sifat DhatNya itu tiada lain daripada Dhat dalam pihak tiada harus berdirinya dan tiada `ayn Dhat dalam pihak mafhumnya sifat itu berlainan dengan mafhumnya Dhat. Maka inilah perkataan yang sahih.``
Adapun hakikat Dhat itu berlainan dari hakikat sifat:
Hakikat Dhat itu wujud yang Qadim dengan DhatNya, halnya tiada bersandar bagi lainnya, manakala
Hakikat Sifat itu wujud yang Qadim, sebab Qadim DhatNya disandarkan bagi Dhat.
Berhubung dengan kaitan antara sifat-sifat ma`ani dan sifat ma`nawiyyah yang diistilahkan sebagai `illah dan ma`lul Sharih bagi Matan Jauharat al-Tauhid berkata:
``Erti `illah dan ma`lul  pada Haq Allah Ta`ala itu dengan makna mulazamah antara keduanya.`` Yakni kaitan seperti sifat qudrat dengan kaunuhu qadiran dan seterusnya sifat-sifat yang lain dari sifat ma`ani-ma`nawiyyah. Konsep maknawiyah ini bukan tambahan sesuatu bagi Dhat.

Sekian.

March 23, 2016

Iman Boleh Bertambah Atau Berkurang: Perbezaan Pendapat Antara Ash`ariDan Maturidi


BBB, 13 Jamadil Akhir 1437 = 22 Mac 2016  Selasa):


Perkara yang menarik di dalam Sharah bagi Matan Jauharat al-Tauhid oleh Sharih yang berasal dari Sambas ini, bahawa ianya banyak menimbulkan pendapat-pendapat dan perbezaan pendapat antara Imam Ash`ari dan Maturidi dua `ulama aqidah Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, sehingga memberi lebih kefahaman kepada kita tentang dua aliran dominan di dalam aqidah ini, baik dari segi persamaan dan perbedaan, juga dengan pendapat imam-imam yang lain. Berhubung dengan iman kata Shaykh Ibrahim al-Laqani di dalam matan gubahannya:
Dirajihkan boleh bertambah iman  *   Dengan bertambah ketaatan insan
Dan berkurangnya dengan kurang  *  Dikatakan tidak, tapi ada  kelainan
Definisi iman, ialah tasdiq kepercayaan ke peringkat maksimim. Ditambah dengan iqrar dengan lisan dan amal dengan arkan.
Implikasi dari takrifan bahawa:
·         Iman  yang sempurna ialah iman yang penuh – maksimum
·         Jika tidak penuh. Iman dipersoalkan. Kurang.
·         Iman sempurna, tiada ruang pertambahan – tetap penuh maksimum
·         Logiknya tiada pertamabahan iman ?
·         Adalah bercanggah dengan realiti kehidupan.
Point-point ini dapat dipadankan dengan ungkapan dalam matan nazam di atas.
 Kandungan bagi dua bayt di dalam matan di atas, bahawa iman boleh bertambah dan boleh berkurang dengan bertambah dan berkurangnya amalan. Ini adalah pendapat Ash`ari yang dikira pendapat yang rajih – kuat.
Ini merupakan realiti kehidupan. Contoh seorang yang mengalamai kemalangan atau kematian orang yang dikasihi, boleh menjadikannya insaf dan lebih menjadikannya lebih taat dan mendekati diri kepada Ilahi. Kualiti ketaatan pasti bertambah.  Apakah bererti sebelum berlaku keinsafan bererti dia tidak beriman ? Tentu tidak dan tidak wajar dihukum sedemikian. Sedang seorang yang mengakhiri hidupnya dengan dua kalimah shahadah dia dikira beriman. Di dalam hal ini adalah wajarnya pendapat Ash`ari dan pengikut-pengikutnya yang berpendapat bahawa iman itu boleh bertamabah dan berkurang dengan bertambah dan berkurangnya amalan. Ini adalah realiti yang dihadapi. Juga realiti kualiti orang Islam yang kita boleh tanggapi dan membuat kesimpulan. Misalnya antara seorang `ulama` dengan seorang muslim biasa, maka kita membuat kesimpulan bahawa ulama berkenaan tentulah lebih tinggi keimanan berbanding orang biasa.
Namun kita lihat pendapat kedua, iaitu pendapat Abu Mansur al-Maturidi dan disokong oleh Abu Hanifah radiya Allah `anhuma, bahawa:
``Dan kata Imam Abu Mansur dan Abu Hanifah radiya Allah `anhuma . .. dan iman itu tiada boleh bertambah dan tiada boleh berkurang, kerana bahawa sesungguhnya hakikat iman itu recana daripada i`tiqad yang jazam lagi sampai kesudah-sudahan jazam.``
Pendapat ini melihat yang dikatakan iman i`tiqad yang penuh beserta jazam. Peringkat ini adalah peringkat rasul dan anbiya`, tetapi bolehkah kita katakan selain dari mereka tidak beriman ? Realitinya mereka beriman, walaupun tidak sampai pada martabat rasul, nabi dan awliya.`.
Di dalam hal ini Ash`ari melihat:
``Shahadan kata jumhur Ash`ari erti iman boleh bertambah-tambah dan boleh berkurang itu tiada menilik kepada sifat yang tertentu.``
Yakni bukan pada ukuran penuh atau tidak penuh, lantaran antara baik dengan lebih baik dan amat baik ada nilai dan jarak kualiti, tetapi semuanya berada di dalam lingkungan dan batas baik. Di dalam hal ini juga boleh dilihat dari aspek kualiti iman yang sebenar memberi insentif dan ruang bagi mereka yang insaf dan sedar untuk memperbaiki dan meningkatkan iman.
Perlu diambil kefahaman bahawa yang kurang iman, bukan bererti tidak beriman. Dia berada di dalam lingkungan keimanan dan tidak timbul bagi mereka tidak beriman.
Selepas daripada ini Sharih masuk membicarakan tentang rukun akal yang tiga (wajib, mustahil, harus) yang biasa dibicarakan oleh kita-kitab lain yang pernah dibicarakan juga di dalam tulisan ini.
Berhubung dengan sifat-sifat Allah ada perbezaan, Ashari menjumlahkan sifat yang wajib diketahui hanya 12 campur wujud sebagai wujud yang Dhatiyyah (`ayn Dhat) . Manakala Abu Mansur adalah sejumlah 20 sifat. Pengelompokan sifat nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah adalah pendekatan yang dibuat oleh Abu Mansur al-Maturidi.
Di dalam bayt-bayt seterusnya dibicarakan sifat-sifat Allah sebagaimana kata matan:
Bahawa Allah tidak dikait dengan `adam  *  Bercanggah burhan menunjukkan qidam
Berdiri sendiri bersifat  keesaan                 *   Bersih sifat-sifatNya dari bandingan
Sama ada lawan, syirik, penyerupaan        *       Bukan bapa atau anak atau kawan
Qudrat, iradat menjelma kejadian              *  Di dalam ilmu dan reda sebagai ditetapkan
IlmuNya tidak dikata diusahakan                *  Ikut kebenaran dan lontarkan keraguan
Sharih dalam menghuraikan matan di atas menyebut tentang sifat dua puluh dan huraian bagi setiap sifat.  Penulis tidak berhasrat mengulangi perbincagan  perkara-perkara yang sama, kecuali ada kelainan dan merupakan maklumat baharu lebih diberi perhatian. Seterusnya bagi melengkapkan jumlah sifat. Penggubah Matan mengatakan:
HidupNya demikian kalam pendengaran  *   Kemudian melihat sebagaimana  didengarkan
Sifat ini juga diberi huraian sebagaimana sifat-sifat yang lepas dalam jumlah sifat 20.

Sekian.


March 22, 2016

Konsep Iman Dan Islam

BBB,   11  Jamadil Awwal 1437 =  21 Mac 2016 (Isnin):
Selepas membicarakan tentang Nazar dan Ma` rifat Penggubah Matan masuk membicarakan tentang:

Ditafsir iman itu ialah dengan tasdiq   *    mengucap bersalahan pendapat tujuan tahqiq
Ada pendapat syarat sebagai amalan  *    Ada pendapat tidak – cukup sekadar dalaman
Penyataan Islam seperti haji dan  solat   *    Demikian  menunaikan  puasa dan zakat

Penggubah Matan  Shaykh Ibrahim al-Laqani membicarakan kewajipan mukallaf dari segi keimanan dan keislaman. Dalam ungkapan biasa dan terkenal bahawa syarat bagi Iman dan Islam ialah:
``Tasdiq dengan hati, iqrar dengan lisan dan beramal dengan rukun-rukun`
Secara huraiannya kesempurnaan iman ialah membenarkan keimanan terhadap Allah dan Rasul dengan hati dan dizahirkan pembenaran ini secara ikrar dengan lidah dengan bukti pernyataan keislaman ialah  menunaikan segala kewajipan yang difardukan ke atas setiap orang Islam yang mukallaf.
Konsep iman menurut Iman Abu Hasan Ash`ari:
``Erti iman itu Tasdiq yang putus akan wujud Allah Subhanahu wa Ta`ala yang bersifat dengan sifat Uluhiyyah dan Maha Suci daripada sifat naqa`is (kekurangan) dan Nabi Muhammad itu tentu Pesuruh Allah Subhanahu wa Ta`ala yang benar khabarnya lagi kepercayaan dan barang yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu tentu benarnya khabarnya.
Manakala Imam Abu Mansur al-Maturidi berpendapat:
``Erti iman i`tiqad yang putus yang sampai kesudahan putus akan wujud Allah Subahanahu wa Ta`ala dan benar barang yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Disebut syarat iman ialah `Penerimaan` dan``Pernyataan`. Adalah dikira tidak sah tanpa kedua syarat ini. Namun berhubung dengan  pernyataan iqrar terdapat perbezaan pendapat di kalangan  ulama Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Menurut Sharih, Imam Abu Hasan Ash`ari pernyataan  (Iqrar) adalah sebagai syarat bagi kepentingan urusan  di dunia, tetapi bukan sebagai rukun bagi urusan di akhirat.
Tetapi bagi al-Maturidi dan pengikut-pengikutnya. Tidak menjadi syarat itu, tetapi menjadi rukun bagi mahiah iman, yakni tiada sah iman yang bangsa dunia dan iman yang bangsa akhirat melainkan dengan iqrar dua kalimah shahadah, dan jikalau wujud yang tasdiq yang putus sekalipun.
Menurut satu qaul lagi yang dimu`tamad oleh Abu Hanifah r.a., iaitu apabila tasdiq seorang dalam hatinya yang putus halnya, tiada iqrar ia dengan dua kalimah shahadah halnya, tiada munkir ia dengan iqrar jikalau disuruh ia dengan iqrar, maka iaitu mu`min kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, halnya tiada mu`min kepada manusia, ya`ni kepada hukum shara`.
Sebaliknya barang siapa iqrar ia dengan lidahnya serta tasdiq di dalam hatinya, maka iaitu mu`min kepada shara` dan mu`min kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Pensharah membawa pendapat, bahawa kata jumhur Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah seperti Imam Abu Mansur al-Maturidi, Shaykh Sanusi, Shaykh Muhammad Fanjij. Abdul Salam dan lain-lain, bahawa wajib atas tiap-tiap orang yang mukallaf, iaitu iqrar dengan lidahnya beserta dengan niat dalam hatinya dalam enam perkara:
1)       Iqrar dengan dua kalimah shahadah
2)      Iqrar dengan salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
3)      Mengiqrarkan `A`udhu biil-Llah min  al-shaitan al-rajim
4)      Mengiqrarkan Bism`l-Llahi`r-Rahmani`r-Rahaim
5)      Mengiqrarkan istighfar serta niat taubah daripada dosa besar dan dosa kecil
6)       Mengiqrarkan al-Hamdu li`l-Llah serta niat syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Menurut pendapat ini, setiap mukallaf seharusnya mengiqrarkan dengan yang demikian sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.
Adapun maksud dengan Islam ialah engkau lakukan seperti menunaikan solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menunaikan haji bila berkemampuan dan mengeluarkan zakat bila berkelayakan.
Demikianlah persoalan Iman dan Islam. Iman  adalah bersifat dalaman melibatkan minda dan hati yang berhubung dengan i`tiqad dan membenarkan terhadap Allah dan Rasul. Ianya merupakan hubungan individu muslim secara vertikal terhadap Allah dan Rasul. Iman adalah ikatan keyakinan yang melibatkan `Pandangan Wujud` dan melibatkan sikap, pembawaan dan tindakan di dalam hidup-mati.
Manakala Islam adalah pernyataan lahir bertalian dengan keimanan di atas dan menjadi manifestasi kepada tingkah laku, pembawaan individu muslim. Ia adalah hubungan vertical dan horizontal bagi muslim berkenaan. Vertical sebagai manifestasi keyakinan dan tercermin dalam amalan dengan mematuhi perintah Allah seperti menunaikan solat, puasa, zakat dan rukun-rukun Islam yang lain. Sifat horizontalnya kerana amalan terhadap suruhan antaranya melibatkan interaksi kemsayarakatan. Misalnya ibadat solat secara jamaah yang melibatkan hunbungan dengan kalangan jamaah. Mengeluarkan zakat juga melibatkan masyarakat, begitu juga dari segi amalan haji yang melibatkan hubungan yang lebih luas, iaitu pada pereingkat umat.
Dilihat secara lebih luas, iman dan Islam adalah dua elemen kukuh yang mengikat dan menyatukan umat Islam sebagai umat yang mempunyai kepercayaan yang sama, mengaku tentang keesaan Allah Ta`ala dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan secara sama dan menyeluruh mereka mengamalkan suruhan-suruhan di dalam rukun Islam. Mereka bersatu dari segi keyakinan dan kepercayaan, bersatu dari segi amalan dan nilai yang membentuk nilai murni yang mencirikan tamadun dan peradaban mereka.

Sekian.

March 21, 2016

Khilaf Pendapat, Antara Ma`rifat Dan Nadzar: Yang Mana Dulu ?


BBB,  11 Jamadil Akhir 1437 – 20 Mac 2016 (Ahad):


Telah dibicarakan pra-syarat bagi mukallaf ialah baligh dan berakal. Namun timbul perbahasan yang lebih halus, apakah keutamaan kewajipan bagi mukallaf dari segi akidah.  Pendapat popular dan umum adalah sebagaimana diungkapkan oleh Pematan ialah:
``Seawal-awal kewajipan bagi manusia mukallaf ialah ma`rifat (Mengenal) Allah Ta`ala``. Persoalan yang timbul apakah seseorang mukallaf itu terus dapat mengenal Allah Ta`ala ?  Persoalannya begitu subjektif dan ghaib, apakah  `Ma`rifat` begitu mudah dicapai ?
Inilah yang dibawa oleh Penggubah (Pematan) di dalam bayt berikut:
Jazamkan bahawa seawal-awal apa yang wajib   *   `Ma`rifat`, tapi ada khilaf padanya berbangkit
Sebagaimana dikatakan dan juga sebagaimana terkandung di dalam matan, bahawa kewajipan terawal bagi seorang mukallaf ialah ma`rifat (mengenal) Allah Ta`ala – termasuk juga mengenal Rasul sebagai komponan bagi dua kalimah shahadah. Tetapi menurut Pematan dan juga Sharih, bahawa ada khilaf pendapat berhubung dengan `kewajipan awal` bagi mukallaf ini.
Al-Imam Abu Hasan al-Ash`ari sebagai pemimpin akidah Sunni berpendapat bahawa;
``Permulaan yang wajib atas mukallaf itu ma`rifat akan wujud Allah dan segala sifat yang bangsa Uluhiyyah dan ma`rifat akan Rasulnya.`` Menurut Pematan dan Pensharah, ini adalah merupakan pendapat Jumhur Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Manakala Al-Imam Abu Mansur al-Maturidi Imam kedua penting yang menegakkan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah berpendapat:
``Permulaan yang wajib itu, iaitu nadzar yang sahih bagi ma`rifat yang jazim.``
Turut sependapat dengan Al-Maturidi ialah Al-Ustaz Abu Ishak al-Isfiraini, bahawa perlunya nadzar yang boleh menyampaikan kepada ma`rifat sebagaimana dipetik oleh Al-Baijuri di dalam Tuhfat al-Murid. Turut sama dipetik pendapat Al-Baqillani dan Al-Imam al-Haramain yang melihat perlu kepada nadzar terlebih dahulu sebagai muqaddimah awal sebelum sampai kepada natijah.
Pendapat Al-Imam Abu Mansur al-Maturidi ada rasionalnya, lantaran persoalan ma`rifat Allah adalah persoalan yang besar, penting dan tidak mudah difahami dan tidak mungkin terhasil dengan spontan selepas mukallaf seseorang, melainkan selepas nadzar.
Nadzar  adalah bermakna, perhati, memikir. merenung dan mengkaji. Semuanya ini boleh dirumuskan kepada makna `Belajar secara teratur dan berguru`. Dalam maksud Al-Imam Abu Mansur al-Maturidi, seseorang mukallaf ini perlu belajar atau mengaji secara teratur berhubung dengan keperluan mengenal Allah dan Rasulnya. Melalui pembelajaran baru dapat difahami mengenai Allah dan Rasul. Dalam konteks ini ada kewajaran hujjah yang ditekankan oleh Al-Imam Abu Mansur al-Maturidi dan mereka yang bersependapat dengannya.
Walau bagaimana khilaf pendapat di atas hanyalah tentang mana yang lebih dahulu antara nadzar dan ma`rifat, tetapi tidak khilaf tentang kewajipan ma`rifat, kata Pensharah:
``Dan tiada  ikhtilaf `ulama` Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah bahawasnya nadzar yang menyampaikan ia ma`rifat akan wujud Allah Subhanahu wa Ta`ala dan Rasulnya itu, maka iaitu wajib, melainkan yang diikhtilafkan itu pihak yang didahulukannya.``
Contoh ma`rifat dikemukakan oleh Sharih secara soal jawab:
Soal: Betapa Mengenal kita kepada Dhat Allah Ta`ala ?.
Jawab: Dengan mengenal yang yakin bahawasanya Dhat Allah Ta`ala itu tentu wajib adaNya halNya Maha Suci daripada segala tanda  yang baharu, ya`ni Maha Suci Dhat Allah Ta`ala dan sifatNya daripada segala tanda yang baharu dan tiada dapat oleh pekerjaan nadzar dan waham, Maha Suci Dhat Allah Ta`ala itu daripada dihinggakan oleh akal dan khayal dan fikir dan barang sebagainya.
Penggubah Nazam (Pematan) membawa contoh pemerhatian yang bersifat alamiah dan kaedah logik yang boleh membawa kesimpulan wujud dan qidamnya Pencipta Allah Subhanahu wa Ta`ala:
Lihatlah kepada dirimu kemudian berpindah  *   Ke alam tinggi kemudian turun ke bawah
Kau  dapati  ciptaan    indah  mengkagumkan  *   Tetapi padanya ada dalil-dalil ketiadaan
Tiap  sesuatu yang harus  padanya ketiadaan   *   Menandakan bukti putus mustahilnya qidam

Konsep nadzar  yang  dibawa oleh Penggubah nazam matan ialah dengan merenung berasaskan ilmu yang dipelajari terhadap yang paling dekat, iaitu tidak lain dari diri sendiri. Ianya dapat dilihat betapa Allah Ta`ala menjadikan diri kita sebagai kejadian yang paling sempurna berbanding dengan kejadian-kejadian  yang lain. Kejadian sempurna tidak lain dari kekuasaan dan ciptaan Allah serta Rahmat dan RahimNya. Ini membuktikan Allah yang Berkuasa dan Maha Bijaksana. Dari diri juga dapat dinadzar, bahawa diri, walaupun betapa sempurna, tetapi tidak yang kekal, semuanya mati dan fana, bila tiba masanya. Ini menandakan bahawa Allah yang Mencipta bersifat Kekal dan Abadi.

Selain daripada melihat pada diri dapat dilihat pada alam tinggi dari cakrawala, langit  dan bumi. Planet dan bintang-bintang semuanya bergerak dengan teratur di atas orbit dan mengikut waktu yang ditetapkan, lantaran itu semua selamat sejahtera. Sesungguhnya semua aturan ini dan kejadian di langit dan di bumi tidak berlaku dengan sendiri dan tidak terjadi secara kebetulan. Ini menandakan ada pengatur yang mengatur hingga semua kejadian berjalan dengan teratur dan selamat. Maka Pengatur yang Maha Bijaksana ini tidak lain dari Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Daripada perkara yang besar , nadzar berpindah kepada yang bersifat rendah. Contoh Allah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan sebagai makanan kepada hidup-hidupan di dunia ini. Ini menandakan betapa Rahmat Allah terhadap makhluk kejadiannya. Walau bagaimana pada makhluk kejadiannya terdapat tanda-tanda kerosakan dari gempa bumi, banjir, kebakaran, ribut-taufan dan sebagainya yang memusnahkan. Ini menandakan ketidakkekalan alam ini, dan menandakan baharunya alam ini. Sebagai sesuatu yang binasa dan rosak tidak mungkin kekal. Yang Kekal dan Abadi hanya Allah Ta`ala sebagai Pencipta Yang Maha Berkuasa.

Sekian.


March 20, 2016

Topik Permulaan: Kewajipan Mukallaf Dan Piawaian Standard


BBB,  10 Jamadil Akhir 1437 =  19 Mac 2016 (Sabtu):
Selepas intro atau muqaddimah  pembicaraan Pematan baru mulai masuk kepada topik keilmuan akidah. Kata Pematan:
Setiap orang ditaklif shara`  berkewajipan  *   Mengetahui perkara wajib bagi Tuhan
Demikian yang harus dan juga mustahil      *    Begitu juga bagi rasul tanpa takwil.
Dengan masuk kepada persoalan yang wajib bagi mukallaf ini adalah menandakan pembicraan masuk kepada soal akidah. Kewajipan permulaan bagi mukallaf mengenal Tuhan dan pra-syarat bagi individu ialah orang yang berakal. Ini adalah merupakan pendekatan dominan bagi permulaan kitab tauhid. Di dalam hal ini kata Pensharah:
``Ya`ni wajib atas segala orang yang baligh lagi `aqil itu mengenal yang yakin kepada barang yang wajib bagi Allah Ta`ala dan barang yang mustahil bagi Allah Ta`ala dan wajib pula atas orang itu mengenal yang yakin kepada barang yang wajib dan barang yang mustahil dan barang yang ja`iz yang bagi Rasul Allah salla Allah `alayh wa sallam.``
Pensharah membicarakan konsep Mengenal atau lebih tepat `Ma`rifat. Menurut Sharih:
``Syahadan, ma`rifat kepada Allah Ta`ala itu hendaklah ada ia wujud empat perkara:
1)      Hendaklah  yakin
2)      Hendaklah dengan dalil yang yakin dan, iaitu baharunya  alam
3)      Hendaklah kekal pada pendirian
4)      Hendaklah ada permulaan ma`rifat itu kemudian daripada akil baligh.
Sharih menerangkan, , ``Dan tiada wajib ma`rifat kanak-kanak sebelum sampai baligh seperti kata al-Imam Abu Hasan al-Ash`ari sebagai qaul yang rajih di samping kata Imam Abu Mansur al-Maturidi berkata, ``Dan kanak-kanak sebelum sampai aqil baligh itu wajib ma`rifat akan Allah Ta`ala, jikalau ada ia mempunyai akal ia dan jikalau mati sebelum ma`rifat akan Allah Ta`ala, maka diseksa oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala di dalam neraka dan demikian lagi orang yang mati di dalam zaman `fitrah`. Maka qaul ini marjuh yakni daif.``
Maksud `Taklif Shara`, iaitu berkewajipan bagi yang aqil baligh iaitu melazimkan mengerjakan barang yang diwajibkan oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala atau meninggalkan barang yang ditegahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala kepadanya atau i`tiqadkan barang yang wajib itu tentu wajibnya dan barang yang haram itu dii`tiqadkan haramnya dan barang yang makruh itu dii`tiqadkan makruh dan barang yang mandub itu dii`tiqadkan mandubnya.
Seterusnya kata Penggubah Matan:
Kerana yang bertaklid pada tauhid    *     Imannya tidak sunyi dari berbolak-balik
Pendapat mengenainya bersalahan    *    Setengahnya mentahqiq dengan pembuktian
Jika dia jazam dengan yang diikuti        *    Memada, jika tidak, tiada sah perlu dibaiki
Maksud orang taklid, ialah pengikut yang tidak mampu membuktikan kepercayaan dengan dalil dan hujah sendiri yang membuktikan kefahamannya yang tidak bersifat ikut-ikutan yang dibimbangkan ianya tidak jazam dan berada di dalam ragu dan syak, maka tiada sah imannya sebagaimana dirajih dan  dinaqalkan  daripada pendapat Qadhi al-Baqillani, Imam al-Haramayn dan jumhur `ulama` radiya Allah `anhum.
Membicarakan ilmu aqidah adalah membicarakan persoalan ghaib, konsepsi dan tidak bersifat nyata dan tidak berbenda. Jikalau kita teliti di sana ada beberapa tahap piawaian yang menjadi ukuran tahap yang bersifat subjektif. Ukuran piawaian ini melibatkan individu seperti  baligh dan berakal yang berhubung dengan ma`rifat. Konsep berakal adalah ukuran dinilai pada individu sebagai piawaian standard. Sudah tentulah ada perbezaan tahap berakal antara seorang dengan yang lain yang meletakkan seorang sebagai mukallaf. Tetapi itulah piawaian umum baik pada  syara` atau akidah.
Penilaian yang lebih subjektif lagi ialah ukuran bagi piawaian beriman  sempurna dan tidak sempurnanya
Sharih menghuraikan perbezaan antara lima kategori tahap keimanan, iaitu antara ilmu, i`tiqad, zan, syak dan waham.
1)       Erti ilmu, iaitu mengetahui barang sesuatu dengan pengenal yang yakin tulus ithbat keadaannya  atau nafi
2)      Erti i`tiqad itu, iaitu mengenal yang yakin dengan dalil yang yakin. Ada dua
a)      I`tiqad yang mewafakat dalam hakikatnya pekerjaannya, maka iaitu i`tiqad yang sahih seperti i`tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah radiya Allah `anhum
b)      I`tiqad yang tiada muwafakat dalam hakikat pekerjaannya, maka iaitu i`tiqad orang falasifah dan Mu`tazilah yang sesat mereka itu
3)      I`tiqad pada tahap zan yang lebih berat kepada pihak benar.
4)      I`tiqad pada tahap syak yang lebih berat pada tidak benar.
5)      I`tiqad pada tahap waham yang tidak benar sama sekali.
Dengan i`tiqad pada tahap zan, syak dan waham, maka iman seseorang itu tiada sah sekali-kali.
Demikianlah batas-batas piawaian yang terlebih dahulu dibicarakan oleh Pematan, juga Sharih dan Penghashiah. Ianya menjadi piawaian nilai dalam pembicaraan seterusnya di dalam pembicaraan yang melibatkan persoalan-persoalan  sepereti konsep baligh, berakal, yakin, jazam, hujah  atau bukti yang `qati` dan sebagainya. Konsep berakal ini juga melibatkan pembicaraan tentang konsep-konsep, hukum akal, bukti, dalil, burhan, akal dan naqal dan sebagainya.

Sekian.