April 2, 2016

Keimanan Perkara Selepas Kematian, Hisab Dan Balasan


BBB,  23 Jamadil Akhir 1`4327 = 01` April 2016 (Jumaat):


Penggubah Nazam  Jauharat al-Tauhid – Shaykh Ibrahim al-Laqani membicarakan perkara-perkara selepas kematian, katanya:
Pertanyaan  dan azab kubur antara keimanan  *   Nikmat,  azab  dan di mahsyar kebangkitan
Dikatakan dikembalikan jisim tubuh sekalian    *   Tapi ada yang tidak berpendapat sedemikian
Tiada khilaf tentang anbiya` kebangkitan       *  Sebagaimana  di dalam nas dinyatakan
Soal yang dibicarakan ialah balasan baik dan buruk mulai dirasai di dalam kubur. Soal adakah dibangkiykan dari kubur sebagai jisim sediakala.  Pendapat seperti sediakala ini adalah tahqiq, berlainan dari Mu`tazilah yang tidak sependapat. Tetapi tidak khilaf dari segi anbiya. Di dalam kubur juga berlaku soal dari Munkar dan Nakir sebagaimana diyakini.
Penggubah matan pergi lebih detail:
Soal dikembalikan sifat tubuh dibincang   *   Dua pendapat antara asal  dan berlainan
Pendapat kukuh menerut pola sediakala bagi setiap orang. Kata Penggubah:
Soal hisab menjadi keimanan  *  Adalah hak, tiada padanya keraguan
Kejahatan dibalas setimpal kejahatan   *  Bagi kebaikan balasan digandakan
Menjauhi dosa besar dan keampunan  * Kebajikan sekecil berwudhu` dihisabkan
Hari akhirat, huru hara penungguan  *  Adalah haq mohon Tuhan ringankan.
Penggubah matan dan Sharih membicarakan soal kematian, soal dalam kubur, kebangkitan hari mahsyar dan sebagainya begitu detail dan tidak perlu ditambah dari segi huraian.
Selepas membicarakan tentang soal kubur, pertanyaan, kebangkitan dan hisab Penggubah beralih membicarakan tentang Al-Mizan (Timbangan). Kata Penggubah:
Demikian percaya kepada timbangan dan neraca  *   Ditimbang semua catatan amalan semua
Demikian titian sirat juga dipercaya   + Berlainan laluan menurut amalan jua.
Dari timbangan dan titian sirat  Penggubah berpindah kepada: kepercayaan:
Dan `Arasy, Kursi dan juga qalam  *   Penulisan pada lauh hikmat catatan
Sebagai tercatat wajib beriman     *   Wahai insan sebagaimana disenaraikan.
Seterusnya percaya sebagaimana digubahkan:
Neraka  sebagaimana syurga adalah balasan  *  Tiada pilihan setiap berdepan hukuman
Tempat balasan syurga bagi yang bahagia      *   Tempat azab  sengsara bagi yang durhaka  
Termasuk soal keimanan kata Penggubah:
Wajib pula iman kita dengan Kauthar  * Keistimewaan Nabi kita seperti dalam athar
Meminum darinya berbagai pihak        *  Yang layak sebagai janji  bagi yang berhak
Seterusnya berhubung dengan persoalan shafa`at kata Penggubah Matan:
Dan  shafa`at bagi pemberi shafa`at  *  Nabi Muhammad mendahului dari segi shafa`at
Selain dari Baginda dari yang direda pilihan  * Memberi shafa`at sebagaimana dalam perkhabaran
Harus mendapat keampunan selain dari kuffar * Maka jangan kita menuduh orang mu`min dengan kufur
Siapa meninggal tidak bertaubat dari dosa  *    Persoalannya trepulang kepada Tuhan nasibnya.
Walau  bagaimana dari segi hukum lahir yang berdosa akan dihukum dan dibalas dengan sebab dosanya. Kata Penggubah Nazam:
Wajib mengi`tiqad  mereka yang melakukan  * Dosa besar diazab tanpa di neraka berkekalan
Disifatkan syahid peperangan terus hidup  *  Dengan rezeki bagai dari syurga  diperuntuk
Selepas membicarakan tentang kematian dan hari akhirat Penggubah Matanb dan Sharih kembali membicarakan persoalan yang dihadapi di dalam kehidupan realitI:
Rezeki bagi satu kaum apa yang dimanfaat * Ada kata tidak; bergantung pada yang didapat
Ketahuilah Allah menyediakan halal rezeki * Elaklah dari yang makruh, haram jangan dicari
Pihak Sharih menurunkan pendapat mengenai rezeki, katanya:
Menurut Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, erti nama rezeki itu barang suatu yang diberikan Allah Ta`ala akan hambanya serta memanfaatkandia. Dan rezeki itu, tiada khusus kepada yang bersifat makanan, tetapi barang suatu yang dianugerahkan bagi hambanya itu rezeki namanya sama ada makanan atau pakaian atau ilmu atau barang sebagainya.
Dalam maksud kini rezeki, ialah segala sumber dapatan yang diusahakan secara betul dan halal yang daripadanya digunakan bagi kepentingan kehidupan sama ada individu, maupun masyarakat melalui perusahanan-perusahaan dan sebagainya.
Dalam kata lain carilah rezeki dari perkara yang halal dan baik, kerana rezeki yang halal dan baik memberi kesan yang baik pada diri dan keluarga yang sama memanfaatkan rezeki, demikian rezeki yang tidak halal dan tidak baik memberi kesan tidak baik kepada diri dan keluarga.

Sekian.

April 1, 2016

Kepercayaan Kepada Mala`ikat Dan Kematian: Soal Roh Dan Akal


BBB, 22 Jamadil Akhir 1437 = 22
Sebagaimana antara rukun iman ialah percayakan mala`ikat, maka demikianlah Penggubah Matan Jauharat al-Tauhid Shaykh Ibrahim al-Laqani menyatakan:
Setiap hamba ada penjaganya daripada  *  Malaikat yang menulis baik-buruk sentiasa
Dari segala amalan tanpa tinggalan          *  Walaupun rintihan ketika sakit dinukilkan
Muhasabahlah dengan diri dari lalai              * Semoga dengan prehatin diri terbelai
Kata Sharih:
Wajib atas tiap-tiap yang mukallaf itu mengi`tiqadkan bahawasanya tiap-tiap manusia yang akil baligh lelaki atau perempuan, iaitu ada malaikat yang hafazah (memelihara), dan iaitu sepuluh malaikat dan malaikat yang menyurat amal manusia yang dinamai keduanya Kiraman-Katibin – menyurat yang baik dan jahat.
Kata Sharih:
``Apabila telah mengenal engkau barang yang telah tersebut itu, maka janganlah zahir akan tubuhmu dan hawa nafsumu dan cita-cita kamu daripada perbuatan yang tiada ada manfaatnya.
Seterusnya kata Nazim:
Dan wajib beriman dengan ajal maut  *   Mencabut nyawa oleh Malakul Maut
Kematian pasti datang dengan apa cara *  Sama ada terbunuh atau mati biasa
Semua tahu bahawa setiap yang bernyawa akan mengalami kematian. Banyak ayat Al-Qur`an menyebut tentang maut antaranya ayat yang bermaksud:
``Apabila tiba ajal mereka itu tidak akan tertangguh walau sesaat dan tidak mendahului (Al-A`raf: 34). 
Kematian tetap datang dan ia adalah ketentuan dari Allah Ta`ala sama ada mati terbunuh, kemalangan atau mati biasa.
Dalam soal selepas kematian ada khilaf pendapat. Ini diperturunkan oleh Penggubah di dalam susunan matan berikut:
Selepas  binasa bertiupnya sangkakala  *  Menyatakan Imam al-Sabki kekalnya perkara
`Ajbu al-dhanab seperti ruh tetapi ditashih * Al-Muzani akan binasa sebagai sahih
Sesungguhnya segala sesuatu adalah binasa *  Peganglah pada ketentuan tentang segala

Bahawa selepas berlaku kiamat adalah semuanya binasa kecuali Allah yang Maha Berkuasa. Pensharih ada menyebut tentang ``Ajbu al-Dhanab` (tulang seni pada bahagian belakang), yang merupakan bahagian dari diri jasmani manusia sebagai `benih` bagi kebangkitannya kelak seperti yang dikatakan oleh Imam Sabki, tetapi Imam Muzani tidak menerimanya, sebaliknya mengatakan semuanya binasa. Ayat Al-Qur`an jelas menyatakan bahawa bermaksud:
``Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa.
Dan akan kekallah Dhat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan,`` (Al-Rahman: 26-27).
Berhubung dengan orang yang mati tiada khilaf bahawa:
Bagi roh orang yang mu`min di dalam rihat, sebaliknya bagi roh bagi yang kafir di dalam kesiksaan.
Berhubung dengan soal roh, kata Penggubah Nazam:
Jangan engkau bicara soal roh sebagai disebut   *  Nas dalam shara` akan tetapi berikut
Tujuan mengenal hakikat  ia adalah kejadian  * Cukup dengan nas sebagai panduan
Penggubah matan dan Pensharah menyebut tentang pendapat `ulama`  mengenai pembicaraan tentang roh oleh kerana ada nas yang melarang membicarakannya .
Ayat bermaksud:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh, katakanlah ``Roh itu dari perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan, melainkan sedikit sahaja.`` (Al-Isra`: 85).
Ikhtilaf ulama tentang membicarakannya ada yang berpendapat, harus membicarakannya, tetapi ada yang berpendapat, tiada harus melainkan kita i`tiqadkan bahawasanya roh itu wujud yang baharu yang dijadikan oleh Allah Ta`ala, halnya ada di dalam tubuh kita  selagi kita hidup, tetapi tiada khusus tempatnya.
Menurut jumhur Malikiyyah, roh itu maujud yang ada rupanya seperti jasad di dalam shakal (bentuk), bukan kasarnya, maka memadalah bagimu nas Qur`an dengan isnad ini, bahawasanya hakikat roh itu tiada mengetahui dia melainkan Allah Ta`ala, maka kata jumhur Malikiyyah itu marjuh dengan zahir nas Qur`an dan tempat roh kata jumhur al-Malikiyyah itu di dalam hati.
Menurut pendapat lain, `` Syahadan dalam membicarakan hakikat roh itu makruh di atas qaul yang rajih
Dan bagi setiap orang itu satu roh jua, tiada berbilang-bilang. Inilah pendapat ulama` yang rajih.``
Seperti roh ialah akal kata Penggubah:
Dan akal seperti roh, tetapi  ada khilaf pendapat  * Lihatlah tafsiran tiada serumit roh dilihat
Akal kata Penggubah dan Sharih adalah sebagai maujud yang baharu yang dijadikan Allah. Ia adalah alat bagi memikirkan termasuk bagi mengenal Allah. Sifatnya waras berada pada diri manusia yang letaknya adalah pada tempat yang mulia iaitu pada kepala. Akal dapat disuburkan dari segi fizikal dengan zat makan minum yang sihat dan dari segi maknawinya ialah meningkatkannya dengan ilmu pengetahuan. Ianya adalah keperluan bagi manusia bagi kehidupan dan bagi amal ibadat. Adalah bermanfaat mengenalinya dan meningkatkan potensi perkembangannya.

Sekian.

March 31, 2016

Para Sahabat Dan Tabi`in: Kedudukan Mereka


BBB, 21 Jamadil  Akhir 1437 =  30 Mac 2016 (Rabu):
Pendekatan akidah yang disusun oleh Penggubah Matan Jauharat al-Tauhid juga melibatkan pembicaraan tentang sahabat-sahabat dan yang selepas daripada mereka. Kata Penggubah Nazam:
Para sahabat terbaik pertama kurun dengarkanlah *  Kemudian tabi`in dan atba` al-Tabi`in terserlah
Para sahabat pada zaman Nabi (di dalam kurunnya) adalah sebaik-baik generasi (Berdasarkan Hadith Nabi yang menyebut kurunnya terbaik dan diikuti kurun-kurun berikutnya).
Menurut Sharih:


Kurun Sahabat:
``Maka kurun sahabat daripada Rasulullah s.a.w. sampai akhir orang mati daripada sahabat. Dan iaitu seratus dua puluh tahun.``
Maka kata setengah `ulama`, ``Maka Nabi s.a.w. itu daripada waktu bi`th (dibangkitkan) Rasulullah sampai  akhir orang mati daripada sahabat.``
Kurun Tabi`in
``Maka kurun tabi`i daripada seratus tujuh puluh tahun.``
Kurun Tabi` al-Tabi`in
``Iaitu dua ratus dua puluh tahun``
Maka bagi kurun pertama lebih baik dari selepasnya. Diikuti oleh kurun demi kurun selepasnya.
Dari segi  martabat kedudukan mereka, kata Penggubah Matan:
Sebaik sahabat yang menjawat khalifah  *    Kelebihan juga dengan tugas khilafah
Mengikuti mereka termulia golongan       *   Enam ditambah sepuluh bilangan
Ahli Badar  besar mulia kedudukan           *  Ahli Uhud dan mereka dalam Bai`ah Ridhwan
Al-Sabiqun kelebihan mereka nas diketahui * Untuk menentukan setiap mereka tak pasti.
Daripada matan di atas bahawa.
1)      Khalifah-Khalifah selepas Rasul terbaik iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali
2)      Diikuti sahabat digembirakan mereka dengan syurga. Empat khalifah dan yang lain Talhah, Zubair, Abdul Rahman, Sa`ad dan Sa`id, Abu `Ubadah Ibn al-Jarrah.
3)      Berikutnya ialah shuhada` Perang Badar.
4)      Berikutnya  Shuhada` Perang Uhud
5)      Kalangan Sabiqun al-Awwalun dari kalangan Muhajirin yang mereka pada mula bersolat mengadap ke Baitul Maqdis dan bertukar kepada berkiblatkan Baitullah di Masjid al-Haram.
Seterusnya kata Penggubah Matan:
Kiranya berlaku di antara mereka pertikaian * Takwilkan kebaikan atau serah kepada Tuhan
Misalnya pertikaian Ali – Aishah berhubung dengan peperangan Siffin atau antara, Ali dan Mu`awiyah dan Saydina Husin dan Yazid, maka hendaklah dita`wil secara baik atau serhakan kepada Allah.


Kata Penggubah Matan lagi:
Imam Malik dan sekalian Imam  * Demikian Abu  al-Qasim dikira Imam
Maka wajib mengikut kebaikan mereka * Demikian riwayat kaum lafaz kebaikan mereka
Pengggubah matan memberi kedudukan terhormat terutama kepada imam-Imam empat, iaitu Imam Malik, Imam Shafie, Imam Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal. Turut tersenarai bertaraf Imam ialah Abu al-Qasim Junayd al-Baghdadi sebagai tokoh sufi Sunni. Termasuk juga bersama mereka ialah Abu Hasan al-Ash`ari dan Abu Mansur al-Maturidi sebagai imam dalam aqidah yang menegakkan aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Seterusnya kalangan yang mempunyai kedudukan di sisi Allah kata Penggubah Matan:
 Thabit berlaku bagi wali-wali karamah  *  Siapa menafinya jangan didengar mudah
Penggubah Matan dan Sharih berpendapat bahawa ada golongan wali-wali hatta dalam zaman kini yang mereka tidak disedari dan tidak menonjol dengan publisiti-publisiti yang memang pada mereka tidak diperlukan. Mereka adalah lebih dari cukup keilmuan.
Kepada mereka di atas susunan martabat kedudukan mereka bukan dicari, bahkan tidak diketahui lantaran tidak perlu kepada mereka, tetapi mereka dinilai dari kerangka luar yang melihat kedudukan dan peranan-mereka kepada agama dan umat.
Yang penting kata Sharih kita perlu sentiasa berdoa semoga kita berada di dalam hidayah Allah dengan mematuhi perintah Allah dan menjauhi segala larangan sebagaimana kata Penyusun Nazam Jauharat al-Tauhid bahawa:
Pada kami berdo`a adalah bermanfaat  *  Sebagaimana dari Al-Qur`an janji ditaat.
Pada Penggubah dan Sharih berdoa adalah amalan yang bermanfaat, bahkan terdapat dalil naqli yang menggalakkan berdoa seperti antaranya firman  Allah yang bermaksud:
``Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan suara perlahan-lahan (Al-A`raf: 55).
Orang Islam dituntut mempelajari Al-Qur`an dan membacanya lantaran membacanya memberi kefahaman,  penghayatan dan mendapat pahala.
Sharih juga membawa pendapat tentang membaca Al-Qur`an di atas mayat yang telah dikuburkan. Mengenainya khilaf pada Mazhab Shafie, tetapi pendapat yang dipegang umum, bahawa tiada dalil yang menunjukkan yang sedemikian.
Tetapi menurut ulama yang rajih daripada jumhur Shafie radiya Allah `anhum, maka iaitu barang yang dinaqal oleh Shaykh Ibn Qasim, Shaykh Ziyadi dan lainnya daripada kitab Shihab al-Ramli dan Shaykh Ibn Hajar, hasil pahala membaca Qur`an kepada mayat dengan wujud salah suatu daripada tiga syarat:
Pertama: Hendaklah ada ia di atas kubur halnya mutlak
Kedua: Hendaklah ada ia berniat ketika membaca Qur`an diqasadkan pahalanya kepada mayat – ia hadir dikubur atau tidak sama jua
Ketiga:  Ia membacakan doa dengan  menghasilkan pahala membaca Qur`an itu kepada mayat.
Seterusnya menurut Sharih bahawasanya sedekah atas mayat itu memberi manfaat pula, sama jua daripada ahli warisnya atau lainnya dengan niatnya. Inilah nas daripada jumhur `ulama`.

Sekian..




March 30, 2016

Kerasulan Dan Sifat-Sifat Mereka


BBB,  20 Jamadil Awwal 1437 = 29 Mac 2016 (Selasa):


Selepas membicarakan perkara-perkara yang berat berhubung dengan Allah Ta`ala, maka Penggubah Matan Jauharat al-Tauhid Shaykh Ibrahim al-Laqani berpindah membicarakan persoalan-persoalan yang berhubung dengan rasul. Kata Shaykh Ibrahim al-Laqani:
Daripada keimanan mengutus Rasul alahim al-salam.  * Bukan kewajiban, bahkan semata kelebihan
Akan tetapi keimanan kita wajib berkepercayaan  *  Tinggalkan tuduhan kaum dengan mereka mainan
Percaya perutusan rasul adalah mulai Nabi Adam hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. dari rukun iman. Dari segi akidah tidak wajib Allah menghantar rasu-rasul kepada umat manusia, tetapi penghantaran dari kelebihan Allah dan rahmatNya kepada masyarakat manusia, termasuklah perutusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul akhir perutusan  sebagai rahmat kepada masyarakat umat berterusan.
Saifat-sifat bagi Rasul digubah penyusun nazam sebagaimana berikut:
Wajib pada hak mereka itu bersifat amanah *  Mereka sama wajab bersifat  sidq dan fatanah
Sedemikian juga yang dibawa disampaikan   *   Mustahil pula bagi mereka sifat-sifat  lawan
Harus pula pada hak mereka seperti makan  *  Bersatu dengan isteri dalam keadaan halalan
Bayt-bayt di atas jelas dan tak perlu diberi tafsiran. Tapi tujuan dihantar Rasul kata Sharih ada lima tujuan.
1)       Supaya menjadikan mereka bertambah pahala
2)      Kerana mengajar umat dari segi shara`nya
3)      Mewaspadakan umat dari lalai dan lazat keduniaan
4)      Mengingatkan kepada umat akan Allah Ta`ala
5)      Bagi menolak sangkaan bahawa rasul bersifat dengan sifat uluhiyyah.
Seterusnya makna Uluhiyyah itu empat perkara:
1)      Kaya Tuhan  sebenarnya daripada segala yang lain dariNya (Allah)
2)      Berkehendak sekalian barang yang lain dari pada Allah kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala
3)      Dialah (Allah) yang berhak daripada ibadat sebenarnya
4)      Dialah semata-mata yang Wajib al-Wujud.
Seterusnya kata Penggubah Matan:
Menghimpun segala makna yang diiqrar  * Dua kalimah shahadah buang yang dirar
Segala yang dibincangkan yang lepas adalah terkandung di bawah dua kalimah shahadah.
Sharih banyak memetik pendapat Shaykh al-Sanusi yang menghasilkan Matan al-Sanusi yang merupakan pendekatan yang menjadi penduan bagi banyak pengarang dan pensharah dan Penghashiah terhadap Matan Al-Sanusi yang juga diikuti oleh Shaykh Ibrahim al-Laqani.. Di sini tidak berhasrat untuk diulang kembali. 
Seterusnya tentang kenabian kata Penggubah:
Tidaklah kerasulan suatu diusahakan  *  Walau tinggi kebaikan menjulang kelebihan
Adalah kelebihan dari Allah kurniaan  *  Bagi yang dikehendakiNya dengan pemberian
Mengatasi  semua makhluk oleh  kelebihan *  Nabi kita Muhammad tanpa  perbalahan
Dan nabi-nabi lain  mengikuti kelebihan *  Selepas mereka mala`ikat segi kedudukan
Inilah tertib  mereka dengan kelebihan *  Ketinggian martabat kelebihan dari susunan

Selepas kerasulan dari segi kelebihan kedudukan ialah para sahabat Nabi., iaitu sayyiduna Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radiya Allah `anhum. Kemudian Penggubah Matan menyebut keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w. katanya:
Istimewa Baginda sebaik makhluk lagi sempurna  *   di tengah semua Allah melebihkannya
Shariat dibawanya tidak  dinasakh           *  Oleh yang lain hingga zaman  yang ternasakh
Naskhahnya menjadi shara` bagi lain    * Allah menghinakan mana-mana yang seleweng
Menasakh setengah shara`nya oleh setengah * Diganti dengan yang lebih baik dari sudah
Bayt dua bermaksud shariat Nabi Muhammad akan berterusan hingga akhir zaman
Bayt ketiga  bila Nabi `Isa diturunkan ia akan melaksanakan shariat Nabi Muhammad.
Bayt empat contoh pemansuhan dari mengadap solat ke Baitul Maqdis kepada Baitullah al-Haram dan beberapa contoh yang lain. Seterusnya kata Penggubah Matan:
Mu`jizatnya banyak terserlah  *  Antaranya Al-Qur`an lawannya  lemah
Setiap Rasul dikurniakan mu`jizat yang mengistimewakannya dan melemahkan musuh melawannya. Keistimewaan yang diberi berkait dengan kemegahan masyarakat bagi zaman rasul-rasul dibangkitkan. Misalnya Nabi Musa diberi mu`jizat dengan kemampuan melawan sihir-sihir musuhnya yang berpihak kepada Fir`aun hingga tukang-tukang sihir tunduk mengaku kalah. Pada zaman Nabi Allah Isa dibangkitkan, masyarakat pada zamannya mahir dari segi perubatan, maka antara mu`jizat Nabi Isa ialah dapat menyembuhkan penyakit orang buta hingga dapat celik kembali, juga Nabi Isa dapat menyembuh dengan izin Allah pesakit yang sakit baras atau penyakit safak.
Seterusnya pada zaman dibangkitkan Rasulullah s.a.w. masyarakat Arab, khususnya dari kalangan kaum Quraisy bermegah-megah dengan kemampuan kalangan mereka berpuisi dan berkhutbah. Mereka bertanding menggubah puisi di Pasar Ukkaz, mana-mana puisi terbaik diberi penghargaan menyangkut puisi mereka di dinding Ka`bah. Upacara pertandingan dan penghormatan diberi ini secara tahunan. Bila Rasulullah dibangkitkan kalangan sasterawan mereka  Labid, Ka`b  bin Malik, Al-Walid bin al-Mughirah dan beberapa yang lain terpesona dengan ke dalaman dan keindahan Al-Qur`an dan tidak mampu berdepan dengan keistimewaan Al-Qur`an. Keistimewaan Al-Qur`an berterusan menjadi mu`jizat utama bagi Nabi Muhammad s.a.w.

Sekian.


March 29, 2016

Keimanan Dengan Qadar Dan Qadha`: Soal Melihat Tuhan


BBB, 19 Jamadil Akhir 1437 = 28 Mac 2016 (Isnin):


Persoalan-persoalan di atas antara persoalan yang berat dan perlu ketelitian yang tinggi dari segi pembicaraan untuk kefahaman.
Berhubung dengan keimanan dengan qadar dan qadha`, kata Penggubah Matan  Shaykh Ibrahim Al-Laqani:
Dan wajib keimanan kita dengan qadar   *   Juga dengan qadha` sebagaimana datang dalam khabar
Kata Sharih: ``Ya`ni wajib atas orang yang mukallaf itu percaya dengan qadar dan dengan qadha`, dan erti:
Qadar dan Qadha` pada Mazhab Imam Ash`arI:
Qadar, iaitu recana daripada tentu kejadian makhluk dalam kharijiyyah dan itu baharu kepadanya, manakala,
Qadha`, iaitu pasti Allah A`azza wa Jalla itu sekalian makhluk di dalam azal yang tiada berubah sekali-kali, maka iaitu qadim kepadaNya.
Qadar dan qadha` pada mazhab Imam Abu Mansur al-Maturidi itu:
Qadar Recana daripada pasti Allah Ta`ala akan sekalian makhluknya di dalam azali yang tiada berubah sekali-kali dan iaitu qadim, manakala;
Qadha` Recana daripada kejadian segala  makhluk, halnya muwafakat barang yang pasti ia  dalam azal.
Ada sedikit perbezaan pendapat antara kedua Imam Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
Imam Ash`ari melihat bahawa qadar adalah manifestasi lahir dari penentuan peringkat qadha` yang bersifat qadim
Manakala bagi Imam Abu Mansur al-Maturidi, bahawa qadar adalah penentuan sekalian makhluk pada azali yang tiada berubah dan qadim, manakala qadha`, penentuan kejadian pada makhluk muwafakat barang yang pasti pada azali.
Ada semacam kebalikan pendapat antara kedua tokoh berkenaan.
Kedua-duanya berpendapat bahawa ada ketentuan pada peringkat azali dan bersifat qadim dan apa yang lahir dan manifestasi pada makhluk adalah menepati dengan ketetapan  pada peringkat awal berkenaan.
Persoalan qadar dan qadha` sebenarnya mempunyai pertalian dengan  persoalan perbuatan manusia dan ikhtiar sebagaimana telah dibicarakan. Dari kenyataan lahir seolah-olah ada semacam kontradik antara segala perbuatan manusia untuk berikhtiar yang pada hakikatnya tidak memberi bekas untuk pertimbangan bagi perubahan qadar dan qadha` yang telah ditentukan. Timbul persoalan di manakah ruang ikhtiar, terutama bila semuanya telah ditentukan mengikut kadar dan qadha`  ? Sekali lagi semua persoalan berkenaan adalah di luar maklumat hamba. Ikhtiar adalah usaha hamba sebagai insentif di dalam tindakan yang hasilnya belum diketahui kecuali sesudah berlaku. Ianya seolah bergerak serentak yang pastinya ketentuan Allah menurut qadar dan qadha` yang pastinya di luar maklumat hamba  hinggalah berlaku. Sebenarnya sebagaimana telah dikatakan seharusnya tidak timbul kerisauan hamba dengan falsafah qadar dan qadha` apa yang harus dilakukan hamba ialah pergerakan dan tindakan dinamik secara ikhtiar hingga terlaksana apa yang ada pada qadar dan qadha`.
Persoalan aqidah adalah himpunan persoalan yang setiap satu seharusnya teratur dan tidak kontradik antara satu sama lain. Ianya merupakan pandangan wujud yang lojik berhubung dengan Allah, kenabian, alam, hamba , alam akhirat dan sebagainya sehingga setiap satu teratur dan selaras dan tidak kontradik dan tidak bercanggah antara satu sama lain. Jika ada perbezaan, ialah perbezaan kecil misalnya berlaku di antara Ash`ari dan Maturidi yang sama mendukung aliran Sunni.
Berhubung dengan kepercayaan terhadap qadar dan qadha` yang merupakan satu dari rukun iman ini kata Sharih:
``Dan percaya kepada qadar dan qadha`. Iaitu supaya menjadi reda ia dengan barang suatu yang maujud di dalam kharijiyyah dan triada mencela ia barang suatu, melainkan jikalau ada shara` menyuruh mencela dia, maka kita mencela dia kerana ittiba` kepada shara` Allah Ta`ala dan inilah barang yang dikata oleh jumhur ahl al-tasawwuf radiya Allah `anhum.
Seterusnya Penggubah Matan  Jauharat al-Tauhid membicarakan persoalan  `Melihat Tuhan`, katanya:
Antara kepercayaan melihat akan Tuhan  *  Tanpa kayfiyat dan tanpa ruang batasan
Bagi orang mukmin harus kemungkinan   *   Oleh dalil thabit  terakam dalam Al-Qur`an
Dalam huraiannya kata Sharih:
``Dan setengah daripada ja`iz kepada Allah Ta`ala pada hukum akal dan wajib percaya pada shara` bahawa melihat akan Allah Ta`al dengan mata kepala dalam akhirat, tetapi tiada dengan kayfiyat yang baharu dan tiada inhisar yakni dihinggakan bagi segala orang yang mu`min kerana dalilnya itu barang suatu yang ja`iz lagi dita`liqkan ia dengan barang suatu yang mumkin. Maka imkan ia wujudnya pada hukum dan wajib tentu adanya ia pada dalil shara` yang wajib dipercayai ia dengan dia, maka yakinkanlah hatimu dengan perkataan itu..
Antara dalil naqal ialah firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Pada hari akhirat itu (muka orang-orang beriman) berseri-seri.  Melihat kepada Tuhan. Dan pada hari itu muka (orang-orang kafur) muram huduh. Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpakan mala petaka (azab seksa) yang membinasakan (Al-Qiyamah: 22-25).
Adapun cara melihat Tuhan dimaksudkan adalah lebih selamat dengan mengatakan.
``Melihat cara yang layak bagiNya`.

Sekian.


March 28, 2016

Persoalan Ikhtiar


BBB, 18 Jamadil Akhir 1437 = 27 Mac 2016 (Ahad):


Beberapa persoalan akidah yang rumit dan perlu berhati-hati dan teliti membicarakannya ialah seperti Al-Qur`an sebagai Kalam Allah seperti telah dibicarakan, persoalan perbuatan – termasuk ikhtiar dan qada` dan qadar.
Menyambung pembicaraan sebelum ini bahawa bagi hamba hanya berusaha yang diberi ikhtiar kepada mereka, tetapi usaha mereka tidak  memberi kesan dan tidak terpisah dari kehendak dan kekuasaan Allah yang memberi bekas terhadap perbuatan mereka. Persoalan yang timbul, ialah sejauhmanakah `perbuatan ikhtiariyyah` hamba yang tidak memberi bekas, melainkan oleh Allah ini berbeza dengan pegangan Jabariyyah yang mengatakan:
``Sekalian perbuatan hamba itu dengan qudrat-iradat Allah jua, tiada sekali-kali menyertai dengan qudrat yang baharu. Wa Allah a`lam``. Demikian huraian Sharih terhadap Matan  Jauharat al-Tauhid.
(Pegangan Qadariyyah dan Mu`tazilah jelas, mereka mengatakan mereka melakukan perbuatan dengan qudrat-iradat pada mereka).
Bagi menjawab persoalan di atas Musannif (Penggubah Matan) menjawab sebagaimana di dalam matan berikut bermaksud bahawa perbutan bagi hamba:
Tidaklah dipaksa  hingga  tiada ikhtiar       *  Tidak keseluruhan sendiri  ikhtiar
Kiranya diberi pahala ganjaran kelebihan *  Jika diazab semata-mata keadilan
Pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah tidak seperti pegangan Jabariyyah yang berpegang bahawa hamba adalah terpaksa melakukan perbuatan – hamba tidak dijabar hingga tiada ikhtiar, tetapi tidak pula seperti Qadariyyah, juga Mu`tazilah yang berpegang bahawa manusia dengan kudrat padanya melakukan  perbutan. Menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah hamba  mempunyai ikhtiar, tetapi yang memberi bekas hanya Allah Ta`ala.
Sesuai dengan pegangan bahawa harus bagi Allah melakukan atau sebaliknya tidak melakukan sesuatu  perbuatan, maka demikianlah i`tiqah Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah, bahawa Allah tidak semestinya memberi ganjaran bagi yang membuat kebaikan dan tidak semestinya menyiksa hamba yang berbuat kejahatan. Ia boleh berlaku secara sebaliknya. Lantaran itu kata Sharih:
``Dan jikalau memberi pahala Allah Ta`ala akan kita, maka sungguhnya dengan fadl Allah Ta`ala. Dan erti fadl itu, iaitu recana  daripada memberi rahmat Allah Ta`ala  akan hambaNya dengan ikhtiar, tiada dengan ijab seperti i`tiqad orang Mu`tazilah. Dan jikalau menyiksa Allah Ta`ala akan hambaNya, sanya dengan adilnya yang khalis dan erti adil itu menjadikan barang suatu dalam tempatnya dan Maha Suci Allah Ta`ala zalim, kerana bahawasanya barang suatu daripada mumkinat samanya itu makhluk Allah Ta`ala. Dan erti zalim itu memerintahkan barang suatu bukan miliknya.
Tindakan yang sewajarnya bagi hamba yang mengetahui pada hakikatnya Allah menentukan kesegalaan dan hamba tidak mengetahui ketentuan mendatang tentang dirinya dan yang lain, dia hendaklah ikhtiar bergerak dengan dinamika makhluk yang terus bergerak dan meneroka ketidaktahuan itu dengan dinamika diri secara ikhtiariyyah, semoga dinamika menyeluruh itu sebahagian dari ketentuan Allah bagi dirinya yang memang diikhtiarnya. Dalam hal ini seharusnya tidak timbul hamba dikuasai (Jabariyyah) atau menguasai (Qadariyyah dan Mu`tazilah). Seharusnya hamba terus berada pada status-quo dinamika berkenaan. Dia boleh jatuh (di luar atau tidak menepati ikhtiariyyah), tetapi tiada halangan baginya bangun bergerak dengan dinamika berkenaan.
Penggubah Matan membawa persoalan salah dan Aslah, katanya:
Kata mereka itu melakukan salah wajib  *  Demikian Aslah juga sama jua wajib
Apakah mereka mengambil ibarat bayi   *  Dan umpama orang tua lambat mati ?
Isu klasik di atas, ialah berkait dengan dialog Abu Hasan al-Ash`ari dengan gurunya Wasil bin At`a (Di dalam Tuhfat al-Murid dikatakan dengan gurunya Al-Juba`i) yang berpendapat Allah wajib melakukan yang baik dan terbaik bagi hambanya. Persoalan ditimbulkan anak mati kecil dibalas syurga, kerana tidak berdosa, dan orang tua berdosa masuk neraka mengadu, tidakkah lebih baik dia dimatikan kecil dapat masuk syurga ? Untuk keadilan Wasil melihat sewajarnya Allah menyediakan satu tempat antara dua tempat, bagi anak kecil yang tidak berdosa. Dengan cadangan ini menyebabkan hamba yang mati tua berdosa menghujah, tidakkan lebih baik bagi dirinya yang mati tua itu mati kecil, sehingga dia tidak tersiksa. Anak kecil juga boleh bertanya mengapa dia tidak dimatikan tus nescaya dia boleh berada disyurga, bukan berada pada tempat antara dua tempat. Pertanyaan ini mematikan hujah Wasil bin `Ata dan menyebabkan Ash`ari keluar dari mengikutinya dan mengukuhkan aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Ertinya tidak wajib bagi Allah menyediakan satu tempat antara dua tempat. Allah berhak menentukan balasan kepada yang dikehendakinya..
Bahkan dalam penentuan, walaupun yang baik dibalas dengan yang baik dan yang jahat dibalas dengan jahat, adalah sewajarnya bagi Allah tetapi Dia berhak melakukan sebaliknya , kerana harus baginya. Demikian  kata Penggubah Matan sebagaimana pendapat di atas::
Harus ke atasNya mencipta kejahatan  * Dan kebaikan demikian Islam kekufuran
Demikian juga harus bagi Allah dan Ianya tidak terikat untuk mencipta kejahatan dan kebaikan menjadikan seorang itu mendapat hidayah menerima Islam atau tidak menerima Islam seperti Abu Talib sebagaimana yang diharapkan oleh anak saudaranya Nabi Muhammad s.a.w. Segalanya adalah hak Allah Ta`ala dan ada hikmatnya yang memang kita tidak ketahui.
Apa yang lebih wajar bagi hamba, jangan mempersoalkan persoalan yang berhubung dengan hakikat tertinggi. Yang perlu adalah memahami kedudukan dan jangan mempersoalkan persoalan. Bagi hamba yang sebagaimana dikata sebenarnya tidak mengetahui apa yang belum terjadi, sebab itu hendaklah dia sentiasa positif dan tafa`ul dengan yang baik dan berikhtiar ke arah itu. Dengan ini manusia seharusnya sebok dengan memperbaiki diri dengan  plan harapan yang ikhtiari sesuai dengan perjalanan masa dan tidak perlu sebok mempersoalkan persoalan-persoalan yang bersifat rahsia dan berhikmah pada hakikat tertinggi.

Sekian.


March 27, 2016

I`tiqad Mengenai Al-Qur`an. Persoalan Mustahil, Harus Dan Perbuatan



BBB, 17 Jamadil Akhir 1437 = 26  Mac 2016 (Sabtu):


Mempercayai  akan Kitab adalah salah satu daripada rukun iman yang enam. Mengenai kepercayaan terhadap kitab, khususnya Al-Qur`an berkata Shaykh Ibrahim al-Laqani Penggubah Nazam, Matan Jauharat Al-Tauhid, didahului kata Sharih:
``Wajib atas orang yang mukallaf mensucikan Al-Qur`an daripada segala tanda baharu. Kata Matan:
Bersihkan Al-Qur`an ya`ni kalamnya  *     Daripada baharu waspada dari pertanda
Setiap nas membawa kepada baharu  *   Bawalah lafaz kepada maksud lain dari itu
Sharih memberi takrif tentang Al-Qur`an ialah lafaz dan kalimat yang diturunkan oleh Allah `Azza wa Jalla kepada Nabi s.a.w., halnya bahasa  `Arab dan lisan Jibril `a.s.. Ia adalah Kalam Allah Ta`ala yang nafsi lagi qadim azali, tiada berhuruf dan tiada bersuara yang qa`im kepada Dhat Allah Ta`ala, dan tiada harus mengucapkan itu baharu.
Kata Sharih, ``Dan kata setengah jumhur `ulama` r.`anhum di dalam kayfiyat menurunkan Al-Qur`an yang `Azim kepada Nabi s.a.w. beberapa wajah:
Pertama: Bahawasanya Nabi kita Nabi Muhammad itu berupa ia dengan haykal mala`ikat, dan
Kedua:   Bahawasanya Jibra`il a.s. itu berupa ia dengan haikal manusia. Maka qaul yang kedua ini adalah yang rajih.
Bermula kafiyat (cara) bagaimana Jibra`il membawa Al-Qur`an kepada Nabi Muhammad s.a.w. menurut Sharih adalah dengan tiga cara:
1)      Jibra`il membawa Al-Qur`an secara makna kepada Nabi Muhammad dan Baginda mengibaratkannya dengan bahasa `Arab.
2)      Jibra`il mengibaratkan dengan lafaznya serta maknanya, dan Nabi kita mengibaratkannya dengan demikian itu
3)      Jibra`il mengibarat itu dengan lafaznya, maka Nabi kita Muhammad itu mengibaratkan dengan demikian itu serta maknanya. Menurut Sharih, bahawa kayfiyat yang kedua adalah rajih.
Bagaimana dengan penyusunan ayat-ayat dan surah ?
Kata Sharih:
``Bahawasanya tertib ayat-ayat daripada Al-Qur`an yang Amat Mulia dan tertib surah itu `taufiqiyyah`, bukan ijtihadiyyah atas qaul yang rajih. Tetapi kata setengah`ulama` tertib surah itu ijtihadi.
Menurut Sharih berdasarkan Hadith bahawa tempoh masa penurunan kitab-kitab suci ke langit dunia berbeda-beda:
Taurat diturunkan ke langit dunia bagi Nabi Musa  dalam enam hari pada bulan Ramadhan
Injil diturunkan ke langit dunia bagi Nabi `Isa dalam masa tiga belas hari pada bulan Ramadhan. Ada yang berpendapat dalam tempoh lapan belas hari pada bulan Ramadhan
Zabur ke langit dunia bagi Nabi Daud a.s. dalam lapan belas hari pada bulan Ramadhan
Al-Qur`an pula diturunkan ke langit dunia bagi Nabi Muhammad s.a.w. dalam empat belas hari pada bulan Ramadhan. (Suhuf bagi Nabi Ibrahim diturunkan pada permulaan bulan Ramadhan).
Cara turun kepada Rasul/Nabi juga berlainan kata Sharih:
``Dan bahawasanya sekalian kitab itu diturunkan ia pada ketika sekali-sekali melainkan Qur`an, maka diturunkan ia kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam lebih dari dua puluh tahun.
Selain dari kepercayaan kepada Kitab, berikutnya Penggubah Matan Shaykh Ibrahim al-Laqani membicarakan tentang konsep mustahil katanya:
Mustahil adalah lawan bagi wajib  sifat * Tiada bagiNya seperti berada pada jihat
Jika dibicarakan jumlah dua puluh sifat yang wajib diketahui, maka sifat mustahil bagi Allah juga adalah dua puluh, iaitu lawan bagi sifat-sifat wajib yang adalah mustahil bagi Allah seperti Allah berada pada jihat, Allah baharu dan sebagainya dan tak perlu diulang pembicaraan, kerana telah dibicarakan sebelum ini.
Turut dibicarakan konsep harus bagi Allah. Shaykh Ibrahim al-Laqani menggubah tentang Jaiz:
``Harus pada HaqNya perkara mumkin * mengada atau meniadakan memberi rezeki kepada miskin``
Jaiz yang bererti harus, bahawa Allah bebas dan berhak misalnya untuk menghidup atau mematikan seseorang dan sebagainya.
Berhubung dengan perbuatan kata Pematan:
Dia mencipta hambaNya dan apa yang dibuat * Muwafakat dengan apa yang hamba buat
Dia menghina bagi siapa dikehendaki menjauh *  Membalas janji bagi siapa ditunai sepenuh
Demikian i`tiqad Ahlu al-Sunnah agar pegangan tidak bercanggah. Kata Penggubah Nazam lagI;
Jaya bahagia di sisiNya sejak azali  *  Demikian celaka tidak pindah-berubah sama sekali
Demikian segala perbuatan dijadi oleh Allah, tetapi bagi manusia kata Pematan:
Pada kita hamba usaha  serta    * Tetapi tiada kesan hanya Dia.
Pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah adalah berada di antara dua ekstrim, iaitu Mu`tazilah yang mengatakan bahawa manusia mencipta perbuatannya, manakala Jabariyyah, bahawa manusia tidak ada daya dan usaha melainkan Allah semata-maya mencipta.

Sekian.