April 7, 2016

Menuju Pengakhiran Berintuisi Ketasawufan


BBB,  28 Jamadil Akhir 1437 =  06  April 2016 (Rabu):


Menutup karangannya Shaykh Ibrahim al-Laqani dan Sharih menghuraikan ungkapan bagi penutup dengan intuisi ketasawufan. Kata Shaykh Ibrahim al-Laqani bagi bayt-bayt nazam pengakhiran, katanya:
Dengan ini aku mengharapkan Allah keikhlasan    *    Jauh dari riya` kemudian mendapat kelepasan
Dari syaitan direjam dan kekejian  hawa-nafsu      *    Siapa cenderung kekejian itu  dia tertipu.
Pada asasnya sebagaimana dimaksudkan oleh Nazim sebagai disharh oleh Pengsaharah, bahawa Penggubah Nazam mengharapkan apa yang dihasilkan dalam karangan Jauharat al-Tauhid ianya adalah sebagai kerja ikhlas yang tidak disertai sifat riya`, selamat dari godaan syaitan yang direjam dan terlepas dari unsur nafsu.
Sharih mengulas panjang lebar terhadap kandungan dua bayt ini dengan elemen-elemen ketasawufan. Misalnya menerangkan erti raja`, ikhlas  dan riya`  yang disebut di dalam bayt-bayt di atas. Raja` adalah merupakan antara tahap-tahap perjalanan kualiti kerohanian di dalam tasawuf. Raja` menurut Sharih bahawa:
Raja` itu mengharap hasil barang suatu dalam zaman mustaqbal serta mengerjakan sebabnya.
Manakala ikhlas, ialah mengkasadkan kerana keredaan Allah Ta`ala dengan ibadat yang dilakukan.
Kedua-duanya adalah elemen positif di dalam tasawuf. Manakala riya` adalah sebahagian dari elemen negatif yang meruntuhkan kualiti kerohanian. Kata Sharih:
`Dan erti riya` yang mazmumah itu mengerjakan barang suatu adat kerana mengqasadkan bagi manusia atau lainnya seperti melakukan sadaqah bagi mendapat pujian yang menghilangkan pahala.
Riya` adalah sebahagian dari nafsu yang Sharih menerangkan nafsu terbahagi secara minimum kepada dua iaitu:
Pertama:  Nafsu ammarah, iaitu nafsu yang cenderung kepada kejahatan seperti mengumpat, mencuri dan sebagainya.
Kedua:  Nafsu lawwamah.
Nafsu lawwamah ada kalanya  cenderung ia bagi ibadat kepada Allah, maka dinamai nafsu mutmainnah.
Dan  ada kala cenderung ia kepada pekerjaan yang mubah, maka iaitu nafsu lawwamah jua namanya.
Manakala hawa cenderung kepada sesuatu yang dikasihi tanpa memikir akibat perbuatannya yang biasanya bersifat negatif dan merosakkan.
Sesungguhnya selepas membicarakan tiga perkara di atas yang ada di dalam matan Sharih masuk kepada pembicaraan khusus tentang tasawuf sebagai tambahan bagi  penutup dengan agak panjang lebar (8 hlm.)
Dalam membicarakan tentang tasawuf Sharih mentakrifkan ilmu tasawuf berdasarkan pendekatan Imam al-Ghazali iaitu ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah Ta`ala dan melupakan yang lain dariNya. Sebagaimana Imam Al-Ghazali membicarakan sifat muhlikat bagi diri, demikian Sharih menyebutkannya sebagai sifat mazmumah, iaitu tujuh sifat:
1)       Hubb  al-dunya      2)  tamak           3)   Hasad  
4)    `Ujub                        5)   Riya`             6)   Takabbur
7)  Sum`ah
Setiap satu diberi takrif. Contoh sum`ah, iaitu mengerjakan ibadat supaya didengar oleh manusia.
Al-Imam Al-Ghazali juga memecahkan pembicaraan kepada sifat-sifat positif disebut Munjiyat. Sharih juga membicarakannya dengan menamakannya sebagai sifat-sifat mahmudah (terpuji). Menurut Sharih sifat-sifat mahmudah ini ada sembilan sifat, iaitu:
1)       Zuhud          2)    Qana`ah       3)   Sabar
4)    Tawakkal      5)    Reda             6)   Shukur
7)    Ikhlas             8)    Khawf           9)   Raja`
Sebagaimana sifat-sifat keji diberi takrif, maka demikianlah juga dengan sifat-sifat terpuji, sebagai contoh:
Qana`ah itu, iaitu berkifayah dengan barang yang ada ia  dalam tangannya dan tiada mengharap-harap barang yang tiada ia di dalam tangannya lainnya. Maka zuhud dan qana`ah itu terlebih afdal daripada sekalian sifat yang mahmudah dan iaitu kelakuan segala nabi dan rasul dan sekalian auliya` Allah Ta`ala.
Namun Sharih membuat kesimpulan bahawa:
Shahadan bermula sifat yang mazmumah dan sifat yang mahmudah itu terlebih banyak daripada barang yang telah tersebut itu..
Menurut Sharih: Dan asal jalan orang yang ahl al-tasawwuf itu lima perkara:
Pertama:   Takut kepada Allah di dalam zahirnya dan batinnya.
Kedua:  Reda ia daripada hukum Allah Ta`ala dan kenyataan reda itu dengan tafwid kepada Allah Ta`ala dan qana`ah.
Ketiga:  Ittiba` shara` Rasulullah s.a.w. pada zahirnya dan batinnya
Keempat:  Membuangkan sekalian sifat yang mazmumah
Kelima:  Ruju` ia kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala halnya semata-mata.
Memasukkan unsur tasawuf pada bahagian akhir Matan Jauharat al-Tauhid  bagi memantapkan pendekatan akidah yang biasanya mengambil pendekatan rasional, iaitu menekankan kepada logik dan kefahaman dan tidak bercanggah antara  hukum dan  sifat antara satu sama lain. Dapat dikatakan kering dari elemen rohani, maka dengan memasukkan tasawuf pada hujung karangan, ianya melengkapkan pendekatan. Contoh yang mempelajari ilmu akidah ialah bagi memahami akidah dan menjauhi dari elemen syirik. Dengan kefahaman secara rasional sahaja tidak menimbulkan rasa khudu`, mesra, patuh setia, takwa  dan kasih cinta yang elemen-elemen berkenaan terdapat di dalam tasawuf. Dengan memasukkan elemen tasawuf yang mempelajari ilmu akidah tidak saja memahami, tetapi mempunyai elemen patuh setia, kasih cinta dan taqwa terhadap Ilahi. Lantaran jika dua pengajian  dipelajari, bahkan tiga bidang, iaitu akidah, tasawuf dan fiqh dipelajari melengkapkan kefahaman, memupuk kepatuhan dan menyuburkan rasa kasih dan mesra Ilahi.

Sekian.


April 6, 2016

Perbaiki Diri Dan Generasi Menurut Ajaran Nabi, Dari Salaf Kepada Khalaf Al-Salihin


BBB, 27 Jamadil Akhir 1437 = 05 April 2016 (Selasa):
Selepas membicarakan tentang Imam selaku yang memerintah dan  masyarakat umat selaku yang diperintah dan bagaimana seharusnya sikap kedua pihak di dalam sebuah negara atau sebuah kawasan yang mempunyai kedaulatan memerintah, maka Penggubah Nazam menumpukan perhatian pada membicarakan bagaimana meningkatkan kualiti diri individu di dalam khalayak masyarakat ummah. Kata Penggubah:
Jadilah dirimu menjejaki sebaik makhluk pilihan  *  Bersikap lembut menurut jalan kebenaran
Maka setiap kebaikan menurut generasi  salaf     *   Setiap kejahatan menurut bid`ah khalaf
Setiap pertunjuk dari Nabi pendapat yang tepat   *   Yang harus boleh buat tinggalkan yang disekat
Ikutlah  para  salihin  dari   kalangan   salaf             *    Jauhlah  bid`ah  dari  kalangan  khalaf
Baik pihak Penggubah Nazam Jauharat al-Tauhid maupun dari pihak Sharih mereka teguh berpendapat sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa sebaik-baik generasi ialah dari generasi zaman Baginda yang terdiri dari khalifah-khalifah al-Rashidin, para sahabat, tabi`in, ulama, para auliya` dan salihin, selepas dari generasi Baginda diikuti generasi berikutnya dan seterusnya generasi-generasi seterusnya. Logiknya jika generasi terbaik ialah generasi awal, iaitu generasi Baginda, maka seharusnya nereka yang dari generasi terawal ini menjadi ikutan bermula dari Nabi sendiri membawa kepada khalifah-khalifah, sahabat, tabi`in, ulama, auliya` dan para salihin. Itulah sebagaimana realiti.
Ini adalah sebagaimana kata Sharih
``Terlebih afdal makhluk Allah Ta`ala daripada sekalian Nabi dan Rasul dan segala sahabat, dan ulama`, dan shuhada`, saluha` dan sekalian auliya` Allah Ta`ala yang telah masyhur, istimewa penghulu sekalian mereka itu, dan iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang bersifat mereka itu dengan menyungguh-nyungguh daripada mukhalafah ia akan syaitan dan hawa nafsunya lagi menanggung ia atas masyaqqah ibadat dan memerang nafsunya dan menjauh barang ditegahkan oleh Allah Ta`ala dan kerana bahawasanya perangai mereka itu yang telah memahdudah kepada Allah Ta`ala lagi mengikut ia akan mengerjakan yang benar, kerana bahawasanya tiap-tiap kebajikan ia dalam mengikut sekalian orang yang telah tersebut itu. Dan kerana bahawasanya tiap-tiap kejahatan ia hasil dalam mengikut bagi orang yang bid`ah daripada orang yang kemudian yang membuangkan ia akan shari`at yang telah zahir lagi suci dan lagi meninggalkan ia akan i`tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah radiya Allah `anhum.

Dengan berpandukan kepada perjalanan Nabi, sahabat, tabi`in dan seterusnya maka kata Sharih:
``Maka barang yang diharuskan ia oleh shara`, maka engkau kerjakanlah akan dia, halnya wajib, jikalau ada ia wajib, dan sunat jikalau ada ia sunat, dan mubah jikalau ada ia mubah. Dan engkau tinggalkan mengerjakan barang yang tiada harus daripada pekerjaan yang haram atau makruh. Maka engkau ikutlah akan perangai orang yang salih daripada orang yang dahulu-dahulu daripada segala sahabat dan auliya` Allah Ta`ala dan engkau jauhkanlah akan perangai sekalian orang yang bid`ah daripada orang yang kemudian yang meninggalkan sembahyang lima waktu dan berbuat barang yang ditegahkan Allah Ta`ala dan barang sebagainya.
Adalah diterima bahawa generasi terawal zaman Rasulullah adalah generasi terbaik. Mereka menjadi generasi terawal  menegakkan  Islam, walaupun di tengah-tengah halangan dan cabaran mereka berjihad dan berjaya menegakkan Islam. Mereka menjadi generasi contoh dan tauladan, bahkan panduan bagi akidah, hukum hakam, kepimpinan dan perjalanan pemerintahan. Mereka yang dirumuskan sebagai generasi `salaf` adalah generasi `Puncak`, generasi `qudwah` dan `uswah`. Tidak ada siapa yang meragukan dari kedudukan ini.
Tetapi Penggubah Matan dan Sharih meletakkan bahawa:
``Setiap kejahatan menurut bid`ah khalaf`  dan kata Penggubah lagI;
`Jauhilah bid`ah dari kalangan khalaf`
Mereka  mewarnakan bahawa khalaf adalah sebagai tidak baik, menimbulkan perkara bid`ah.
Seolah-olah melihat bahawa banyak perkara yang tidak baik adalah dari kalangan khalaf. Mungkin tidak semuanya sebagaimana yang dianggap dan digambarkan. Kalangan khalaf juga adalah mempunyai kedudukan dan pujian dari Nabi, bahawa mereka yang merupakan generasi yang jauh dari zaman nabi dan jauh pula dari segi fizikal dan geografi, tidak kurang daripada mereka yang berjihad dan berdakwah mengembangkan agama Islam hingga sampai kepada segala penjuru dunia. Mereka juga mempunyai saham kebaikan dari segi jihad, menghuraikan agama Islam  dan menyebarkannya ke seluruh dunia. Mereka diakui oleh faktor zaman banyak menghadapi perkara-perkara bid`ah, tetapi tidak bererti semua yang bid`ah itu tidak baik, lantaran bid`ah ada yang baik dan ada yang tidak baik. Yang baik banyak memberi kemudahan dan kebaikan.
Walau bagaimana adalah diakui memanglah banyak permasalahan timbul dari generasai khalaf sama ada dari watak manusianya yang menentang agama, atau dari faham yang dibawa yang tidak jarang bercanggah dengan Islam atau dari komitmen mereka yang tidak sepenuhnya, tetapi  sebagaimana pada peringkat salaf ada watak-watak yang jelas menentang Islam, ada musuh-musuh dari dalam dan dari luar, maka demikian pada zaman khalaf. Walau bagaimana dalam penerusan generasi dari zaman Nabi Muhammad - generasai Baginda dan generasi demi generasi selepas Baginda sehingga kini sudah tentu ada mereka yang komited dengan perjuangan dan dakwah Islam memperperkembangkan keilmuan, memperluas dan mendalamkan pengajian Islam hingga mampu menentang sebarang perkembangan dan kefahaman moden yang bercanggah dengan Islam dan Islam mampu menentang dan mencabar, bermakna ianya merupakan hasil dari perjuangan mereka yang ikhlas terus mendukung perjuangan. Semua pihak dari generasi ke generasi adalah merupakan mata-mata rantaian yang kukuh yang tiap satu bersambung menyambung dari generasi salaf kepada khalaf, mereka sebenarnya satu rantaian  yang terus sambung bersambung meneruakan perkembangan akidah Islam, menjunjung syariat dan nilai yang dibawa oleh Islam.

Sekian.

April 5, 2016

Akidah Juga Melibatkan Politik Pentadbiran: KewajipanPemerintahDanRakyat


BBB, 26 Jmadil Akhir 1437 = 04 April 2016 (Isnin):



Meskipun pembicaraan mengenai akidah lebih tertumpu kepada persoalan rukun iman yang enam, tetapi keberadaan seorang muslim-mu`min dan masyarakat umat semestinya berada  di dalam satu-satu kawasan yang melibatkan negara dan negeri dan bagi negara dan negeri melibatkan kepimpinan, dan kepimpinan yang baik memungkinkan individu dan masyarakat umat dapat berpegang dengan akidah tanpa diganggu gugat dan pengembangan akidah dan dakwah bergantung pula dengan suasana pemerintahan yang mungkin menggalakkan perkembangan akidah dan dakwah atau melarang atau tidak mengambil kisah dan perhatian, lantaran itu dilihat kepimpinan mempunyai kaitan dan kepentingan dari segi akidah dan dakwah, bahkan kepimpinan dianggap berada pada lapisan terkedepan dari segi kedudukan akidah kepimpinan selepas Rasulullah s.a.w. seperti kalangan Khulafa` al-Rashidin, para sahabat, tabi`in, ulama`, auliya`, muttaqin dan para salihin.  Dari segi kepimpinan ini kata Penggubah Nazam Jauharat al-Tauhid Shakh Ibrahim al-Laqani:
Wajib melantik imam yang adil  memerintah    *     Secara shara` bukan atas akal dibantah
Bukan sebagai rukun wajib agama  seperti  fardu *  Jangan menentang perintah patuh perlu
Kecuali  perkara yang melibatkan kekufuran   *  Hilang patuh tumpuan kepada Allah  Ketunggalan
Jika tidak menghalang patuhlah pada pemerintahan * Tidaklah hilang kepatuhan semata kurang keadilan
Sharih mengulas tentang perlantikan kepimpinan bahawa:
Wajib atas tiap-tiap orang yang mukallaf atas kifayah menegakkan atau melantik imam yang adil dari segi shara`. Pendapat ini berlainan dengan pendapat Mu`tazilah yang berpendapat wajib melantik imam yang adil itu atas pertimbangan akal. Kewajipan ini tidak sebagaimana kewajipan yang fardhu seperti wajib mendirikan solat lima waktu, puasa, zakat dan sebagainya. Kewajipan ini menghendaki masyarakat umat patuh dengan pemerintahan yang benar, kecuali perintah dan larangan yang menggugat ugama Islam seperti melibatkan perkara-perkara kufur maka tidaklah diberi kepatuhan. Selain daripada itu kata Sharih tidaklah menghilangkan kepatuhan dan kesetiaan kepada pemerintah, walaupun kelihatan makin menghilang keadilannya. Tetapi hendaklah berusaha membaikinya.
Syarat seseorang layak menjadi imam atau pemimpin:
Ialah:  Islam, baligh, akil, adil, shuja` (berani) dan kamil (sempurna) akalnya.
Faktor diangkat seorang menjadi imam atau pemimpin disebut Sharih tiga faktor:
1)      Dengan `aqad daripada ahli `aqd seperti ulama` dan sebagainya dan daripada Ahli al-Halli, yakni orang yang kuat dalam pekerjaan menjadikan imam seperti mendahuli kematangan (baligh) dan berkebolehan.
2)      Sebab wasiat imam kepada khalifah sebagai penggantinya
3)      Sebab mengalih atau berubah kesetiaan dan jikalau fasik sekalipun, bahkan kata Sharih dan jikalau kafir sekalipun atas kata setengah ulama yang rajih.
Manakala kewajipan Imam yang terpilih atau dilantik:
a)      Wajib atas imam  menyuruh akan rakyatnya daripada mengerjakan barang yang disuruhkan Allah Ta`ala akan hambanya dan menegahkan barang yang ditegahkan oleh Allah Ta`ala atas hambanya.
b)      Wajib Imam menolakkan sebarang kezaliman yang menimpa rakyat dan masyarakat dan memberi pembelaan jika berlakunya kezaliman.
c)       Melaksanakan berbagai-bagai program kebajikan kepada rakyat
Di samping kewajipan pada pihak kepimpinan, maka bagi umat, rakyat, masyarakat juga mempunyai kewajipan, lantaran pemerintahan tidak akan berlaku, tenpa kesetiaan rakyat. Kesetiaan rakyat membolehkan zakat dan cukai dipungut bagi menjalankan pentadbiran dan kemajuan rakyat.
Kata Shaykh Ibrahim al-Laqani:
Menyuruh berbuat baik dan jauhi umpat dendam *   mencegah mungkar elemen merosakkan
Ujub, takabur dan berbagai jenis hasad dengki  * Tinggi diri, berbantah, mengkritik segala segi
Sebagaimana pihak pemerintah (Imam) mempunyai kewajipan di dalam pentadbiran, khususnya mempastikan pembetulan akidah, perjalanan akhlak dan memelihara kebajikan umat, maka kewajipan juga  berada pada setiap umat di dalam sesebuah negara, negeri atau pemerintahan. Antara kewajipan ialah menyuruh berbuat baik dan meninggalkan kejahatan sesama di dalam masyarakat. Untuk mengelak dari berlaku perpecahan di dalam masyarakat hendaklah menjauhkan dari sifat mengadu domba dan mengumpat. Individu pula tidak bersifat ujub, takabbur, hasad dengki, berbantah, sentiasa mencari kesalahan, mengkritik  berterusan dan bersifat perseteruan, sebaliknya hendaklah bersifat ukhuwwah dan ihsan sesama masyarakat dan umat.
Dari penerangan di atas dapatlah dilihat, bahawa skema ilmu akidah dan pendekatannya tidaklah berfokus kepada akidah tentang ketuhanan sahaja, tetapi mempunyai pendekatan menyeluruh mulai dari mempastikan `Pandangan Wujud` yang betul dari  kefahaman dan akidah pada peringkat tertinggi yang dihurai secara detail dan sistematik agar difahami betul-betul rangka akidah pada peringkat tertinggi melibat dan berkait dengan segala yang wujud dengan pandangan yang menyeluruh. Kemudian kefahaman tentang alam sebagai fenomena kejadian ciptaan Allah sebagai manifestasi dari kemahuan dan kekuasaanNya. Selepas itu dikuti dengan peranan insan  di alam ini bermula dari Adam sebagai khalifah Allah yang pertama memimpin manusia, membawalah kepada rasul-rasul seterusnya hingga kepada Nabi Muhgammad s.a.w.
Manusia sebagai kelompok masyarakat bukan saja memerlukan bimbingan dan kepimpinan, tetapi panduan-panduan. Dilihat dari aspek akidah sahaja, maka kepimpinan adalah budaya warisaan umat secara berterusan. Kepimpinan dari peringkat rasul-rasul kepada peringkat khalifah, sahabat, tabi`an , tabi` al-tabi`n, ulama, imam-imam dan apa juga nama kepimpinan yang diberi, bahawa penerusan di atas nama Islam hendaklah berlandaskan ajaran Islam yeng telah diatur dan diikuti oleh kepimpinan, di samping kreativiti di dalam kepimpinan mereka terutama dari segi keadilan, kebajikan  dan keselematan mereka. Di dalam hal ini umat dan masyarakat mempunyai peranan bagi melangsungkan penerusan kepimpinan yang baik yang diredhai Allah dan didukung umat.

Sekian.






April 4, 2016

Maqasid Shari`ah Juga Maqasid `Aqidah ? Kulliyyat Lima Atau Enam


BBB, 25 Jamadil Akhir 1437 =  03  April 2016 (Ahad):


Penggubah Matan Jauharat al-Tauhid Shaykh Ibrahim al-Laqani membicarakan di dalam gubahan puisinya tentang perkara-perkara yang wajib dipelihara, yang lebih terkenal sebagai maqasid al-Shari`ah yang dilihat juga adalah sebagai Maqasid al-Aqidah yang sebenarnya juga boleh diperluas dan releven sebagai Maqasid al-Ummah.
Kata Shaykh Ibrahim al-Laqani di dalam gubahannya:
Dan memelihara agama,  diri, harta dan nasab   *    Seumpamanya akal dan kehormatan adalah wajab
Sharih menghuraikan bahawa, ``Yakni wajib atas setiap mukallaf itu memelihara lima perkara yang dikenali dengan `Al-Kulliyyat al-Khams`  atau `Al-Kulliyyat al Sitt`` Al-Kulliyyat al-Khams` lantaran  Sharih menyebutnya lima perkara, tetapi juga dikenali sebagai `Al-Kulliyyat al-Sitt`, lantaran sebenarnya yang disebut di dalam matan ialah enam perkara. Semua perkara ini adalah penting bagi perjalanan shari`at, menegakkan akidah, bahkan bagi pembangunan ummah. Kata Sharih:
!)  Memeliharakan agama
Erti ugama itu barang suatu yang memerintahkan Allah Ta`ala  bagi hambanya daripada sekalian hukum, maka tiada harus sekali-kali, membinasakan ia akan ugama dan sebab demikian itu diwajibkan oleh Allah Ta`ala perang sabil dengan orang kafir atas sekalian mukallaf.
2)   Memeliharakan tubuh kita daripada perkara yang membinasakan dia
Maka  tiada harus membinasakan tubuh sendirinya atau lainnya yang ma`sum darahnya dan hartanya  dengan dalil nass yang putus. Dan sebab demikian itu diwajibkan Allah Ta`ala hukum qisas atas orang yang membinasakan tubuh.
3)  Memelihara harta sendirinya atau lainnya
Erti nama harta itu sekalian barang yang halal miliknya pada shara`, dan jikalau sedikit sekalipun, maka tiada harus membinasakan itu dengan dicuri atau ghasab (rampas) atau sebagainya dan sebab demikian itu diwajibkan Allah Ta`ala atas mukallaf hukum had sariqah (mencuri) dan had bagi orang yang qati` tariq (perompak) dan had orang yang hirabah (Penderhaka negara).
4)  Memeliharakan nasab, ya`ni bangsa yang kembali ia kepada wiladah yang hampir bagi pihak bapa. Maka tiada harus ia  dengan  zina dan barang sebagainya dan sebab demikian itu diwajibkan oleh Allah Ta`ala akan hukum had zina dalamnya.
5)   Memeliharakan akal daripada barang yang membinasakan akal
Dan sebab demikian itu diwajibkan oleh Allah Ta`ala hukum had bagi orang yang membinasakan akal seperti minum arak  dan sebagainya.
6)  Wajib memeliharakan kemuliaan manusia
Maka tiada harus ia mendakwakan seorang zina dan memaki akan seorang dan barang sebagainya dengan sebab demikian, iaitu diwajibkan oleh Allah Ta`ala  atas mukallaf hukum  qazaf dan sebagainya.
Al-Kulliyyat al-Sitt (Kuliyyah Enam) ini bukan tertentu kepada maqasid al-Shari`ah sahaja, tetapi dapat diaplkikasikan kepada akidah.
Kulliyyah pertama, iaitu menjaga agama jelas berkait rapat dengan akidah, bahawa setiap orang Islam wajib menjaga agamanya dalam maksud mesti berpegang kepada akidah yang betul, supaya ianya benar-benar menjadi seorang Islam yang tulin yang beramal dengan syariat dan bergaul dengan masyarakat dengan nilai-nilai akhlak yang digariskan oleh Islam yang demikian dirinya dan masyarakat sesama Islam atau dengan bukan Islam selamat.
Gesaan supaya menjaga kuliyyah kedua, iaitu menjaga diri fizikal supaya tidak terjerumus ke dalam bahaya dan kerosakan ialah tuntutan universal dan perundangan. Individu walaupun tubuh badannya adalah miliknya dia tidak boleh bertindak sewenang-wenang hingga merosakkan dirinya. Ini sesuai dengan tuntutan dan ajaran Islam. Firman Allah yang bermaksud;
``Jangan  kamu campakkan dirimu di dalam kebinasaan,` (Al-Baqarah: 195).
Sebagaimana undang-undang agama, demikian juga undang-undang negara yang boleh mengambil tindaklan undang-undang terhadap siapa yang cuba merosakkan dirinya seperti cuba bunuh diri atau melukakan orang lain dan sebagainya.
Demikian juga menjaga harta ada hubungan dengan akidah yang mereka yang mempunyai harta dan sumber penghidupan boleh menghindar dari kemiskinan yang pernah disifatkan kefakiran mendekatkan diri dengan kekufuran. Menjaga nasab keturunan melalui perkahwinan dan permakanan yang halal dan baik, membersihkan fizikal dan jiwa di dalam beribadat dan mendekati diri kepada Allah. Sebaliknya nasab yang tidak bersih menjerumus individu ke dalam permasalahan sosial dan memasalahkan masyarakat. Menjaga akal amat penting bagi diri, ianya menjadi piawaian yang melayakkan diri sebagai mukallaf. Dengan akal membolehkan seseorang mempelajari tuntutan-tuntutan syara` dan kehidupan dengan mempelajari keilmuan yang dapat mengelak seseorang dari kejahilan. Dengan ilmu mengangkat diri indivudu di sisi Allah, dan masyarakat. Seterusanya bagi kulliyyah keenam iaitu, betapa pentingnya seseorang menjaga maruah diri, keluarga dan masyarakat. Mereka yang tidak menjaga maruah, mereka yang tidak mempunyai integriti diri, tidak diterima masayarakat dan Allah.
Kulliyyah Enam di atas sebenarnya boleh diaplikasikan kepada warga negara dan masyarakat yang perlu mempertingkatkan mereka dengan tuntutan enam yang dapat meningkat diri sebagai warga negara  yang mempertahankan kedaulatan negara dan maruahnya.
Seterusnya  Penggubah matan membicarakan persoalan:
Siapa yang maklum  menentang jelas hukum  *  Perintah agama atau kufur keras dihukum
Demikian mereka yang jelas menafi hukum     * Atau mengharus  seperti zina sama dihukum
Aturan syariat dan hukum-hukum agama tidak boleh dipermainkan, siapa yang menentang hukum yang jelas atau kufur maka ia adalah jenayah yang boleh dihukum hingga ke peringkat boleh dibunuh jika thabit. Demikian juga tidak boleh menafikan hukum yang telah ditetapkan atau mengubahnya dari hukum wajib, larang kepada harus misalnya berhubung dengan zina, maka hukuman berat perlu dikenakan, bagi memelihara aturan hukum dan perjalanannya. Jika tidak ianya menjadi kacau dan anarkis.

Sekian.


April 3, 2016

Usaha Dan Tawakkal, Konsep Wujud Dan Taubat


BBB,  24 Jamadil Akhir 1437 = 02 April 2016 (Sabtu):
Penggubah Matan Jauharat al-Tauhid Shaykh Ibrahim al-Laqani mengungkap berkenaan usaha (kasab) dan tawakkal, katanya:
Tentang usaha dan tawakkal berlainan pendapat  *    Dari segi rajih adalah tafsil tercatat
Sebagaimana kata matan ada perbezaan pendapat berhubung dengan kasab dan tawakkal. Kedua perkara ini ditimbul bukan bermaksud kepada makna lahir yang usaha adalah bermaksud mengambil inisiatif bagi melakukan sesuatu pekerjaan. Misalnya berniaga bagi menghasilkan pendapatan dan dengan pekerjaan itu dilakukan secara bersungguh-sungguh bagi menjayakan perniagaan sebagai ikhtiar dan mendapat keuntungan atau sebaliknya. Persoalan ditimbulkan bagi melihat dari segi akidah di manakah kedudukan usaha, apakah peranan usaha bagi manusia dan dimanakah kedudukan ikhtiar dari segi akidah dan keberhasilan atau kegagalan, Dimanakah kedudukan akidah dengan perkara-perkara berikut.
Takrif usaha (kasab) dan ikhtiar menurut Sharih adalah berbeza,
Erti kasab itu mubasharah sebab dengan ikhtiar seperti musafir kerana tijarah dan berubat dan memeliharakan hartanya serta mengi`tiqadkan  demikian  tiada memberi bekas sekali-kali. Dan
Erti tawakal pada Imam Qushayri itu i`timad pada Allah Ta`ala serta meninggalkan sebab serta kuasa atas kasab.
Manakala Imam Al-Ghazali berpendapat tawakal itu  thiqah (percaya) kepada Allah Ta`ala dan yakin hatinya bahawasanya hukum Allah Ta`ala itu tentu lulusnya.
Adapun kepada mazhab jumhur `ulama` yang rajih, maka bahawasanya kasab dengan ikhtiar barang yang telah tersebut itu tiada menolakkan ia akan tawakkal, kerana bahawasanya  kasab dengan ikhtiar barang yang telah tersebut itu daripada kelakuan hati, maka sah berhimpun keduanya itu. Maka jikalau telah mengenal engkau daripada perkataan ini, maka kasab dengan ikhtiar yang telah tersebut itu terafdal atas tiap-tiap hal kerana telah maklum bahasanya ittiba` akan Rasulullah s.a.w. dalam zahirnya dan batinnya terlebih afdal kelakuan orang yang mu`min.
Sebagai rumusan bahawa istilah kasab (usaha) dan ikhtiar mempunyai pertalian yang seakan-akan seturut. Kasab adalah tindakan yang lebih dahulu, iaitu dengan melakukan sesuatu perbuatan atau tindakan yang diambil seperti pergi memancing adalah ikhtiar yang dilakukan oleh pemancing bagi mendapat ikan.  Tindakan melakukan pemancingan sudah masuk di dalam ruang ikhtiar, walaupun boleh difahami  kasab masih berterusan, kasab dan ikhtiar berakhir dengan kejayaan mendapat ikan  atau kegagalan mendapat sebarang ikan.. Itu adalah dilihat dari segi manusianya. Tetapi dilihat dari segi akidah usaha dan tindakan yang merupakan ikhtiar dari pihak hamba, tetapi dari segi hakikat tidak memberi bekas dari segi pihak hamba. Tergeraknya usaha dan berjaya ikan ditanggap atau gagal adalah dari Allah Ta`ala.
Selepas membicarakan konsep kasab dan ikhtiar Penggubah Matan berpindah kepada persoalan waujud lahiri, kata Pematan:
Di sisi  kami  sesuatu itu ialah yang ada  *    Thabit pada luaran  akan ada
Wujud sesuatu adalah dengan ain atau jauhar * pecahan jauhar itu baharu tidak diingkar
Persoalan wujud yang wajib al-wujud telah dibicarakan, khususnya tentang wujud Allah dengan sifat-sifat,  dalili-dalil dan berbagai pecahan yang dibuat untuk difahami lebih mendalam
Wujud di sini lebih kepada membicarakan tentang wajud nyata yang baharu. Sememangnya bila menyebut sesuatu itu wujud bermakna ada, Adanya mungkin bersifat benda fizikal seperti pokok, rumah, kenderaan dan sebagainya. Atau pecahan dari yang ada sebagai dimisalkan  pecahan hingga terkecilnya dari satu jauhar, seperti ketulan batu dari bongkahnya yang besar. Pokoknya ianya ada dan bersifat berjisim dan berjirim.
Dalam huraian oleh Sharih dikatakan bahawa, bermula nama sesuatu itu iaitu yang telah maujud dan thabit dalam kharij itu yang telah maujud, kerana bahawasanya wujud shay` (sesuatu) dan jauhar yang fard itu tentu baharunya kepada mazhab ahlu al-Islam, halnya tiada munkir yang demikian itu sebagaimana kata Ash`ari r.a.
Kata Sharih lagi tentang wujud yang kharij itu kita telah yakin lagi putus dengan bahawasanya hakikat  sekalian yang maujud itu tentu thabit dan thabit ia dalam kharij dan dalam hakikat wajib keadaannya atau mumkin dan barang yang kita i`tiqadkan dengan dia halnya kita namai dengan nama langit dan bumi dan manusia dan kuda dan barang sebagainya..
Kemudian Penggubah Matan berpindah memperkatakan perkara dosa, kata Pematan:
Kemudian dosa di sisi kami dua     *  Dosa kecil dan besar maka yang kedua
Dosa besar wajib taubat segera     *  Tidak rosak taubat jika kembali berdosa
Hendaklah memperbaharui taubat *  Penerimaan pula berbeza pendapat
Kata Sharih bahawa yang melakukan dosa besar hendaklah bertaubat segera. Menurut pendapat bahawa tiada binasa taubat itu, kiranya kembali melakukan dosa  orang itu berbuat dosa, tetapi perlu kembali bertaubat secara bersegera. Dosa besar dosa yang disebut oleh Al-Qur`an dan Hadith Nabi dengan balasan seksa yang amat sangat.
Syarat taubat dari dosa itu tiga perkara:
Pertama:  Menghilangkan dosa ketika taubatnya (Tidak melakukannya)
Kedua:  Menyesal dirinya dari berbuat dosa
Ketiga: Tidak kembali sekali-kali membuat dosa.
Adalah perlu bertaubat bagi yang melakukan dosa besar. Tindakan hendaklah dilakukan sebelum ajal tiba. Kata Jumhur Malikiyyah radiya Allah `anhum sah taubat orang itu daripada dosanya dan jikalau dengan mujmal (ringkas) sekalipun dan dosa yang besar itu tiada dimaafkan dia melainkan dengan taubat serta sempurna syaratnya atau dengan fadl Allah Ta`ala atau dengan mengucapkan kalimah yang musharrafah serta ikhlas hatinga dan iaitu `La ilaha illa Allah` seperti kata Shaykh Sanusi r.a.

Sekian.

April 2, 2016

Keimanan Perkara Selepas Kematian, Hisab Dan Balasan


BBB,  23 Jamadil Akhir 1`4327 = 01` April 2016 (Jumaat):


Penggubah Nazam  Jauharat al-Tauhid – Shaykh Ibrahim al-Laqani membicarakan perkara-perkara selepas kematian, katanya:
Pertanyaan  dan azab kubur antara keimanan  *   Nikmat,  azab  dan di mahsyar kebangkitan
Dikatakan dikembalikan jisim tubuh sekalian    *   Tapi ada yang tidak berpendapat sedemikian
Tiada khilaf tentang anbiya` kebangkitan       *  Sebagaimana  di dalam nas dinyatakan
Soal yang dibicarakan ialah balasan baik dan buruk mulai dirasai di dalam kubur. Soal adakah dibangkiykan dari kubur sebagai jisim sediakala.  Pendapat seperti sediakala ini adalah tahqiq, berlainan dari Mu`tazilah yang tidak sependapat. Tetapi tidak khilaf dari segi anbiya. Di dalam kubur juga berlaku soal dari Munkar dan Nakir sebagaimana diyakini.
Penggubah matan pergi lebih detail:
Soal dikembalikan sifat tubuh dibincang   *   Dua pendapat antara asal  dan berlainan
Pendapat kukuh menerut pola sediakala bagi setiap orang. Kata Penggubah:
Soal hisab menjadi keimanan  *  Adalah hak, tiada padanya keraguan
Kejahatan dibalas setimpal kejahatan   *  Bagi kebaikan balasan digandakan
Menjauhi dosa besar dan keampunan  * Kebajikan sekecil berwudhu` dihisabkan
Hari akhirat, huru hara penungguan  *  Adalah haq mohon Tuhan ringankan.
Penggubah matan dan Sharih membicarakan soal kematian, soal dalam kubur, kebangkitan hari mahsyar dan sebagainya begitu detail dan tidak perlu ditambah dari segi huraian.
Selepas membicarakan tentang soal kubur, pertanyaan, kebangkitan dan hisab Penggubah beralih membicarakan tentang Al-Mizan (Timbangan). Kata Penggubah:
Demikian percaya kepada timbangan dan neraca  *   Ditimbang semua catatan amalan semua
Demikian titian sirat juga dipercaya   + Berlainan laluan menurut amalan jua.
Dari timbangan dan titian sirat  Penggubah berpindah kepada: kepercayaan:
Dan `Arasy, Kursi dan juga qalam  *   Penulisan pada lauh hikmat catatan
Sebagai tercatat wajib beriman     *   Wahai insan sebagaimana disenaraikan.
Seterusnya percaya sebagaimana digubahkan:
Neraka  sebagaimana syurga adalah balasan  *  Tiada pilihan setiap berdepan hukuman
Tempat balasan syurga bagi yang bahagia      *   Tempat azab  sengsara bagi yang durhaka  
Termasuk soal keimanan kata Penggubah:
Wajib pula iman kita dengan Kauthar  * Keistimewaan Nabi kita seperti dalam athar
Meminum darinya berbagai pihak        *  Yang layak sebagai janji  bagi yang berhak
Seterusnya berhubung dengan persoalan shafa`at kata Penggubah Matan:
Dan  shafa`at bagi pemberi shafa`at  *  Nabi Muhammad mendahului dari segi shafa`at
Selain dari Baginda dari yang direda pilihan  * Memberi shafa`at sebagaimana dalam perkhabaran
Harus mendapat keampunan selain dari kuffar * Maka jangan kita menuduh orang mu`min dengan kufur
Siapa meninggal tidak bertaubat dari dosa  *    Persoalannya trepulang kepada Tuhan nasibnya.
Walau  bagaimana dari segi hukum lahir yang berdosa akan dihukum dan dibalas dengan sebab dosanya. Kata Penggubah Nazam:
Wajib mengi`tiqad  mereka yang melakukan  * Dosa besar diazab tanpa di neraka berkekalan
Disifatkan syahid peperangan terus hidup  *  Dengan rezeki bagai dari syurga  diperuntuk
Selepas membicarakan tentang kematian dan hari akhirat Penggubah Matanb dan Sharih kembali membicarakan persoalan yang dihadapi di dalam kehidupan realitI:
Rezeki bagi satu kaum apa yang dimanfaat * Ada kata tidak; bergantung pada yang didapat
Ketahuilah Allah menyediakan halal rezeki * Elaklah dari yang makruh, haram jangan dicari
Pihak Sharih menurunkan pendapat mengenai rezeki, katanya:
Menurut Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, erti nama rezeki itu barang suatu yang diberikan Allah Ta`ala akan hambanya serta memanfaatkandia. Dan rezeki itu, tiada khusus kepada yang bersifat makanan, tetapi barang suatu yang dianugerahkan bagi hambanya itu rezeki namanya sama ada makanan atau pakaian atau ilmu atau barang sebagainya.
Dalam maksud kini rezeki, ialah segala sumber dapatan yang diusahakan secara betul dan halal yang daripadanya digunakan bagi kepentingan kehidupan sama ada individu, maupun masyarakat melalui perusahanan-perusahaan dan sebagainya.
Dalam kata lain carilah rezeki dari perkara yang halal dan baik, kerana rezeki yang halal dan baik memberi kesan yang baik pada diri dan keluarga yang sama memanfaatkan rezeki, demikian rezeki yang tidak halal dan tidak baik memberi kesan tidak baik kepada diri dan keluarga.

Sekian.

April 1, 2016

Kepercayaan Kepada Mala`ikat Dan Kematian: Soal Roh Dan Akal


BBB, 22 Jamadil Akhir 1437 = 22
Sebagaimana antara rukun iman ialah percayakan mala`ikat, maka demikianlah Penggubah Matan Jauharat al-Tauhid Shaykh Ibrahim al-Laqani menyatakan:
Setiap hamba ada penjaganya daripada  *  Malaikat yang menulis baik-buruk sentiasa
Dari segala amalan tanpa tinggalan          *  Walaupun rintihan ketika sakit dinukilkan
Muhasabahlah dengan diri dari lalai              * Semoga dengan prehatin diri terbelai
Kata Sharih:
Wajib atas tiap-tiap yang mukallaf itu mengi`tiqadkan bahawasanya tiap-tiap manusia yang akil baligh lelaki atau perempuan, iaitu ada malaikat yang hafazah (memelihara), dan iaitu sepuluh malaikat dan malaikat yang menyurat amal manusia yang dinamai keduanya Kiraman-Katibin – menyurat yang baik dan jahat.
Kata Sharih:
``Apabila telah mengenal engkau barang yang telah tersebut itu, maka janganlah zahir akan tubuhmu dan hawa nafsumu dan cita-cita kamu daripada perbuatan yang tiada ada manfaatnya.
Seterusnya kata Nazim:
Dan wajib beriman dengan ajal maut  *   Mencabut nyawa oleh Malakul Maut
Kematian pasti datang dengan apa cara *  Sama ada terbunuh atau mati biasa
Semua tahu bahawa setiap yang bernyawa akan mengalami kematian. Banyak ayat Al-Qur`an menyebut tentang maut antaranya ayat yang bermaksud:
``Apabila tiba ajal mereka itu tidak akan tertangguh walau sesaat dan tidak mendahului (Al-A`raf: 34). 
Kematian tetap datang dan ia adalah ketentuan dari Allah Ta`ala sama ada mati terbunuh, kemalangan atau mati biasa.
Dalam soal selepas kematian ada khilaf pendapat. Ini diperturunkan oleh Penggubah di dalam susunan matan berikut:
Selepas  binasa bertiupnya sangkakala  *  Menyatakan Imam al-Sabki kekalnya perkara
`Ajbu al-dhanab seperti ruh tetapi ditashih * Al-Muzani akan binasa sebagai sahih
Sesungguhnya segala sesuatu adalah binasa *  Peganglah pada ketentuan tentang segala

Bahawa selepas berlaku kiamat adalah semuanya binasa kecuali Allah yang Maha Berkuasa. Pensharih ada menyebut tentang ``Ajbu al-Dhanab` (tulang seni pada bahagian belakang), yang merupakan bahagian dari diri jasmani manusia sebagai `benih` bagi kebangkitannya kelak seperti yang dikatakan oleh Imam Sabki, tetapi Imam Muzani tidak menerimanya, sebaliknya mengatakan semuanya binasa. Ayat Al-Qur`an jelas menyatakan bahawa bermaksud:
``Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa.
Dan akan kekallah Dhat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan,`` (Al-Rahman: 26-27).
Berhubung dengan orang yang mati tiada khilaf bahawa:
Bagi roh orang yang mu`min di dalam rihat, sebaliknya bagi roh bagi yang kafir di dalam kesiksaan.
Berhubung dengan soal roh, kata Penggubah Nazam:
Jangan engkau bicara soal roh sebagai disebut   *  Nas dalam shara` akan tetapi berikut
Tujuan mengenal hakikat  ia adalah kejadian  * Cukup dengan nas sebagai panduan
Penggubah matan dan Pensharah menyebut tentang pendapat `ulama`  mengenai pembicaraan tentang roh oleh kerana ada nas yang melarang membicarakannya .
Ayat bermaksud:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh, katakanlah ``Roh itu dari perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan, melainkan sedikit sahaja.`` (Al-Isra`: 85).
Ikhtilaf ulama tentang membicarakannya ada yang berpendapat, harus membicarakannya, tetapi ada yang berpendapat, tiada harus melainkan kita i`tiqadkan bahawasanya roh itu wujud yang baharu yang dijadikan oleh Allah Ta`ala, halnya ada di dalam tubuh kita  selagi kita hidup, tetapi tiada khusus tempatnya.
Menurut jumhur Malikiyyah, roh itu maujud yang ada rupanya seperti jasad di dalam shakal (bentuk), bukan kasarnya, maka memadalah bagimu nas Qur`an dengan isnad ini, bahawasanya hakikat roh itu tiada mengetahui dia melainkan Allah Ta`ala, maka kata jumhur Malikiyyah itu marjuh dengan zahir nas Qur`an dan tempat roh kata jumhur al-Malikiyyah itu di dalam hati.
Menurut pendapat lain, `` Syahadan dalam membicarakan hakikat roh itu makruh di atas qaul yang rajih
Dan bagi setiap orang itu satu roh jua, tiada berbilang-bilang. Inilah pendapat ulama` yang rajih.``
Seperti roh ialah akal kata Penggubah:
Dan akal seperti roh, tetapi  ada khilaf pendapat  * Lihatlah tafsiran tiada serumit roh dilihat
Akal kata Penggubah dan Sharih adalah sebagai maujud yang baharu yang dijadikan Allah. Ia adalah alat bagi memikirkan termasuk bagi mengenal Allah. Sifatnya waras berada pada diri manusia yang letaknya adalah pada tempat yang mulia iaitu pada kepala. Akal dapat disuburkan dari segi fizikal dengan zat makan minum yang sihat dan dari segi maknawinya ialah meningkatkannya dengan ilmu pengetahuan. Ianya adalah keperluan bagi manusia bagi kehidupan dan bagi amal ibadat. Adalah bermanfaat mengenalinya dan meningkatkan potensi perkembangannya.

Sekian.