April 25, 2016

Ubudiyyah Dan Iman


BBB,  16 Rajab 1437 = 24 April 2016 (Ahad):


Persoalan Islam dan iman adalah dua bidang yang berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan. Keislaman seseorang hendaklah dengan beriman dan tiada Islam tanpa iman. Islam ialah pengakuan seseorang bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad ialah Rasulullah di samping mengamalkan rukun-rukun yang lain ialah mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan. Amalan keislaman lebih termanifestasi  secara lahir. Adapun Iman ialah `Engkau Percaya` (an tu`mina) dengan keyakinan yang putus (jazam), bahawa beriman dengan Allah, Rasul, Malaikat, kitab, kiamat dan dengan qadha` dan qadar. Keimanan lebih merupakan elemen dalaman yang merupakan keyakinan yang penuh tanpa belah bahagi, tanpa zan, syak atau waham.
Iman dari segi bahasa berasal dari kata amana bererti , aman dan iman (percaya). Aman bererti tenang, tenteram, percaya sepenuh tanpa ragu, percaya secara yakin.
`Iman dari segi istilah ialah tasdiq (membenarkan)  dengan hati, iqrar dengan lisan dan beramal dengan rukun-rukun`
Kesempurnaan iman selepas tasdiq ialah dilengkapkan dengan pengakuan dengan lisan dan amalan dengan rukun-rukun – khususnya yang diwajibkan seperti solat, zakat dan puasa.
Rukun Iman pada hakikatnya ialah inti bagi keimanan menyeluruh yang melihat kesegalaan wujud dari perspekti Islam.
Sebagai contoh keimanan akan cacat, walaupun seseorang beriman dengan rukun iman yang enam, sedang dia misalnya mempercayai bahawa alam ini kekal dan tidak binasa sebagaimana pendapat golongan al-Dahriyyin atau mana-mana pendapat yang seumpamanya. Demikianlah dengan pendapat-pendapat yang lain yang bercanggah dengan Islam. Pokoknya kesempurnaan rukun iman tanpa dicanggahi kepercayaan yang lain yang mencacatkan keimanan.
Jika Islam mempunyai significant dari segi makna `Selamat` dan ia adalah manifestasi kewujudan yang secara tab``i dan fitri menurut aturan adalah Islam – termasuk manusia pada hakikat dalam keseluruhan adalah Islam (Ali `Imran: 83), kecuali yang enggan, maka significant dari segi keimanan, ialah berhubung hakikat, keilmuan dan kepercayaan yang menatijah dan menghasilkan keimanan yang menjadikan yang beriman itu aman, tenteram, tidak ragu, menerima dan menempuh masa depan dengan penuh yakin dan tenteram. Dan di akhirat kelak insya Allah lebih aman dan tenteram bila mendapat balasan syurga.
Sebagaimana terhasil keselamatan bagi Islam ialah dengan mempraktikkan dan mengamalkan Islam menurut acuan keislaman, demikian terhasilnya keamanan dan ketenteraman, dicapai melalui tasdiq, iqrar dan juga amalan. Faktor utama keberhasilan  ialah dengan ilmu. Seseorang tidak dapat mencapai keyakinan, sekiranya ianya jahil dengan sesuatu yang hendak diyakini dan jahil itu sebagaimana diungkapkan adalah musuh utama bagi manusia. Jahil bererti gelap, bererti sesat dan bererti tidak mencapai maksud dan tujuan.
Dalam kata lain bagi meletakkan diri dalam keimanan dan keamanan hendaklah mempelajari segala yang bersangkutan dengan keimanan.
Keimanan di dalam Islam selengkapnya, haruslah mengetahui sewajarnya tentang rukun Islam dan mengamalkan, juga seharuslah mengetahui tentang rukun iman sedalamnya dan mengamalkan. Ada keperluan-keperluan yang lain yang mengukuhkan kedalaman maklumat yang berhubuing dua rukun kewajipan (Islam dan iman). Harus mengetahui keilmuan-keilmuan yang berkait dengan rukun Islam seperti dari segi fiqh,  dan akidah dan keilmuan-keilmuan bantu yang lain. Pendek kata makin luas  ilmu yang dikuasai menurut perspektif keislaman, makin mendalam dari segi kefahaman terhadap keislaman, dan sewajarnya makin bertambah keimanan.
Adalah diibaratkan, bahawa orang jahil, tanpa sebarang ilmu ibarat orang yang sesat di dalam pelayaran di lautan yang tidak tahu tepi dan tidak tahu ke mana arah pelabuhan atau destinasi yang hendak dituju. Baginya di tengah lautan dari perahu yang dinaiki segala arah kelilingan adalah sudut-sudut ragu dan tidak tahu, dengan situasi sedemikian menjadikannya keciwa, putus asa dan tidak ada matlamat yang hendak dituju dan akhirnya ianya tewas dalam keraguan dan tidak mengetahui ke masa destinasi yang hendak dituju. Orang sesat dan ragiu dan tiada ketahui arah dituju adalah orang yang tidak mungkin mencapai keamanan.
Adalah diibaratkan dengan beriman dan mengetahui keperluan-keperluan keimanan dan mempunyai sudut pandangan menyeluruh memberi keamanan bagi seorang yang beriman, sebagaimana dikatakan seorang patut menguasai ilmu bukan saja aqidah dan fiqh, tetapi banyak bidang kalau dapat semuanya diketahui. Orang yang berilmu sedemikian adalah orang yang mengetahui semua arah dan kedudukan. Dia tidak ragu. Jikalau dia sebagai pelaut dia ada ilmu pelayaran dan ketahui mana pelabuhan yang dituju, walaupun menghadapi berbagai gangguan dan halangan. Tiada erti keciwa, kerana dia tahu arah yang dituju.
Di dalam kehidupan diyakini tentang ketentuan dari Allah, kesementaraan alam, kewajipan sebagai seorang muslim terhadap Allah, Rasul,  masyarakat  dan  umat. Individu muslim sedemikian yang berada di tengah masyarakat yang memahami Islam dan keimanan dan mengamalkannya, maka individu berkenaan  bersedia menghadapi masa depan  berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang ada.  Dalam menghadapi hidup dan berusaha melakukan kebaikan dan kebajikan ia bersedia menghadapi kematian bila-bila kiranya ajal ditentu dan tiba masanya dengan tenang, kerana ianya sesuatu yang perlu dihadapi dengan keimanan yang kukuh.
Keilmuan dan kepercayaan meletakkan seseorang, bahkan masyarakat berada pada paksinya yang sebenar, Ia berada di dalam kebenaran, keyakinan, keamanan dan kesejahteraan yang situasi sedemikian dialami sama mereka yang seumpamanya.
Iman adalah sesuatu yang amat berharga dan tidak ternilai.  Sejarah umat adalah sejarah mempertahan dan mengukuhkan keimanan. Rasulullah s.a.w. diutuskan ialah bagi menyampaikan keimanan kepada Allah dan Rasul dan keimanan-keimanan yang lain. Para sahabat seperti Bilal bin Rabah dan Ammar bin Yasir sanggup menempuh penderitaan lantaran kerana mempertahankan keimanan. Para sahabat berjihad dan berpereang kerana mempertahan dan mengukuhkan keimanan. Perjuangan mempertahan dan mengukuhkan keimanan bereterusan hingga kini dan adalah manifestasi ubudiyyah kepada Allah.

Sekian. 

April 24, 2016

Ubudiyyah Dan Islam


BBB, 15 Rajab 1437 = 23 April 2016 (Sabtu):
Telah dibicarakan `Ubudiyyah` bermakna antaranya, kehambaan, kepatuhan dan kerelaaan (Dibicarakan oleh Muhammad Kamal Hassan dalam bukunya, The Sufi Concept of `Ubudiya, 1982).
Manakala Islam dari segi lughahnya ialah bermakna selamat, sejahtera, harmoni dan khudu`.
 (Dibicarakan oleh Maududi di dalam bukunya, Towards Understanding Islam, 1972).
Kedua istilah di atas mempunyai pertalian dari segi makna dan kaitan persoalan.
Manakala Islam dari segi istilah adalah agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan rasul-rasul terdahulu dari Allah yang disampaikan kepada umat masing-masing. Sebagai agama, Islam menawarkan keselamatan, kesejahteraan, kebahagiaan kepada penganut-penganutnya. Sesungguhnya tiada siapa yang tidak menginginkan selamat, sejahtera dan bahagia baik bagi diri, keluarga dan masyarakat umat. Keselamatan yang ditawarkan ialah dengan menerima Islam dan mengamalkannya  sebagai cara hidup yang akan memberi keselamatan, kesejahteraan dan kebahagiaan di dalam berbagai-bagai aspek di dunia dan juga di akhirat.
Melihat secara sepintas lalu kepada maksud ubudiyyah semacam ada kesamaan, bererti dengan Islam wujud di dalamnya ubudiyyah, tetapi diteliti secara halus ada perbezaan antara keduanya.
Ubudiyyah secara halus adalah sebagai pra-syarat bagi Islam. Ertinya dengan melaksanakan ubudiyyah maka insya Allah menyempurnakan keislaman.
Menurut Maududi di dalam bukunya `Towards Understanding Islam`  adalah keseluruhan kejadian ciptaan Allah semuanya Islam, kecuali manusia.
Berdasarkan apa yang dibawa oleh Haji Said di dalam bukunya Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, Kamal Hassan  dan Maududi dengan buku masing-masing kita mengolah pendapat mereka yang ada kaitan antara ubudiyyah dan Islam
Konsep ubudiyyah  sebagai pra-syarat bagi penghasilan selamat dalam Islam ini dapat dilihat kepada;
Kajadian Tabi`i:
Berdasarkan kepada kepatuhan alam tabi`i, maka pada hakikatnya terhasil kejadian alam adalah Islam. Misalnya:
Cakrawala dengan planet dan bintang bergerak di atas orbit patuh poda aturan masing-masing adalah Islam (selamat)
 laut dengan kepatuhan tabi`i bergelombang maka ia adalah Islam (selamat).
Hujan turun dengan patuh pada aturan menumbuhkan tumbuhan untuk dimakan hewan adalah Islam (selamat).
Keselamatan yang dicapai kerana adanya kepatuhan (terlebih dahulu) maka terhasillah Islam (selamat).
Namun alam tabi`i boleh berubah dari sifat tabi`inya yang patuh secara fitrah bila ianya diganggu secara tidak beretika oleh tangan-tangan luar seperti merosakan alam sekitar, penggondolan hutan dan pencemaran darat, laut dan sungai yang mengganggu kehidupan, seperti firman Allah yang bermaksud:
``Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan dilaut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali insaf `` (Al-Rum; 41).
Lebih ketara bahawa penghasilan Islam yang di dalamnya membawa pengertian selamat sejahtera, patuh, tunduk dan khudhu` adalah menjadi pra-syarat, bahawa konsep ta`abbudiyyah, patuh, menerima dan melaksanakan keislaman terlebih dahulu baru diikuti natijah keselamatan atau sekurang-kurangnya pengakuan menerima Islam terlebih dahulu diikuti amal maka barulah keselamatan, kesejahteraan dan kebahagian dapat dicapai. Lebih jauh maksud ubudiyyah terlebih dahulu seharusnya penerimaan secara sempurna yang menuntut penerimanya mempelajari, mengkaji, memahami dan mengamalkan bagi dirinya dan masyarakat. Perlu diingat bahawa penerimaan dan pengajian tidak terhad kepada hidup di dunia, tetapi adalah lebih-lebih lagi di akhirat dan itulah puncak pencapaian keislaman.
Kekecualian manusia yang menerima Islam tidak secara tabi`i dan fitri sebagaiomana kejadian-kejadian alam yang lain bersifat tabi`i, lantaran di kalangan manusia yang ada akal fikiran, lantaran ada yang  jauh dari menerima Islam, tetapi mempertikaikan  agama fitrah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang sepatutnya diterima secara fitrah oleh manusia. Namun adanya ubudiyyah ada juhudiyyah (penentangan) sepanjang zaman, iaitu dari mereka yang kufur dan dari kalangan mereka bukan saja  di dalam kufur tetapi menentang secara kefahaman baik atas nama agama seperti Yahudi, Nasrani,  dan berbagai-bagai agama , tetapi berbagai faham dan ism seperti sekularisme, liberalisme pluralisme dan sebagainya (Mereka diibarat sebagai pencemaran fitrah). Sebenarnya inilah cabaran utama dan semasa yang perlu dikendalikan.
Sebenarnya kita tidak mau bahawa dengan ungkapan, Islam agama fitrah  dan syumul, maka cukup dengan keistimewaan agama itu bagi penganutnya mengasingkan diri dan berubudiyyah, tetapi harus menjadi cabaran mendalami tentang Islam dari berbagai aspek dan perspektif bagi memberi kefahaman secara segar tentang Islam selain dari sifat selamatnya ialah sifat universal dan kemampuan menyelesaikan masalah umat dan masyarakat, misalnya dari segi ekonomi dan sosial. Dengan pendalaman terhadap Islam dan meluaskan pengetahuan tentangnya sebenarnya memberi makna ubudiyyah yang lebih luas dan pematuhan yang lebih mendalam.
Ubudiyah hendaklah dilihat dalam makna yang lebih luas, selain dari ubudiyyah khusus seperti ibadat solat, puasa dan zakat, ubudiyyah juga ialah kerja-kerja yang tidak diwajibkan tetapi bersifat kebajikan yang memang digalakkan yang dengan kesedaran tinggi menjadikan masyarakat berkebajikan yang merupakan kerja ma`ruf yang digalakkan oleh Islam.
Sebagai kesimpulan, dilihat secara menyeluruh bahawa semua  ciptaan Allah tergolong di bawah kategori bersifat ubudiyyah terhadap Allah sebagai Pencipta hatta manusia, tetapi manusia sebagai kejadian sempurna ada ikhtiariah dan daya memilih dan ini adalah hak dirinya dengan izin Allah membuat pilihan dari segi tindakan adakah ia selari  dari segi ubudiyyah dengan kejadian yang lain yang bersifat fitrah ataukah ia mengambil jalan menyimpang atau menentang yang risikonya dia sendiri membuat pilihan.
Sekian.

April 23, 2016

Uluhiyyah, Rububiyyah Dan Ubudiyyah


BBB,  14 Rajab 1437 =  22 April 2016 (Jumaat):


Telah kita bincangkan konsep Uluhiyyah dan Rububiyyah.
Uluhiyyah `melihat ke atas` pada  tahap Ketuhanan yang Agung yang padanya segala sifat kesempurnaNya dari segi Jalal, Qahhar,  Jabbar, Kamal, Jamal dan segala sifat kesempurnaan.
Manakala Rububiyyah melihat Ketuhanan (dari atas ke bawah) dalam hubunganNya dengan makhluk. Dia Pencipta, Rahman, Rahim, Razzak, Khaliq, Bari`, Musawwir,  Muhyi, Mumit dan segala sifat Ketuhanan yang berhubung dengan makluk yang Dia Mencipta, Mentadbir, Memelihara, Menjaga bahkan Membinasa.
Pada kali ini kita membincangkan `tahap bawah`, iaitu tahap ``Ubudiyyah` sebagai makhluk yang menjalankan fungsi kemakhlukan di bawah Rububiyyah, juga Uluhiyyah.
Pada tahap ubudiyyah yang dikenali dengan makhluk ini tidak sama dari segi tindaklaku. Namun semuanya diletakkan di bawah kategori `Ubudiyyah`.
Erti ubudiyyah, ialah kehambaan yang patuh, taat beribadat dan menjalankan fungsi kehambaan di bawah kerajaan Tuhan. Segala perlakuan hamba sebagai ciptaan Tuhan – Termasuk yang  enggan dan menentang, tapi tak terkeluar dari ubudiyyah yang enggan dan berdosa. Mereka tidak dapat keluar dari ruang alam yang mereka kena cipta dan berada.
Untuk meluaskan pembicaraan Ubudiyyah terhadap Tuhan Pencipta dapat dibahagian kepada:
1)      Ubudiyyah Tabi`i  (fitrah)
2)      Ubudiyyah Adat
3)      Ubudiyyah Ibadat
a)      Formal Taklif
b)      Enggan Taklif

1)      Ubudiyyah Tabi`i (Fitrah)
Adalah melibatkan seluruh kejadian ciptaan Tuhan selain dari manusia.
Semua kejadian ini dari segi fitrah patuh memperhambakan diri kepada Tuhan menurut fitrah yang dijadikan. Ubudiyyah Tabi`i yang fitri sifatnya ini ialah dari sebesar-besar kejadian yang dicipta Tuhan dari cakerawala, planet dan bintang-bintang semuanya patuh pada kejadian Tuhan dan menurut tabi`i  fitrahnya seperti galaksi dan planet patuh bergerak di atas orbit  garisan laluan dan pergerakan yang  mencerminkan ubudiyyah. Pada tahap yang lebih kecil bumi satu dari planet ciptaan Allah juga bergerak menurut tabi`i. Dari pergerakan berlaku siang dan malam menghasilkan musim-musim, turunnya hujan menyuburkan tanaman sebagai makanan bagi kejadian Tuhan. Kepada aspek yang lebih kecil gunung tegak berdiri, angin bertiup kencang, menurunkan hujan, dan air berlari dari alur dan sungai ke lautan mengulangi proses menghidupkan hidup-hidupan. Begitulah kepada yang lebih kecil, pokok, padang, hutan, unggas dan binatang terus  berkembang secara tabi`i. Tahap `ubudiyyah Tabi` yang fitri ini tiada permasalahan.
2. Tahap Ubudiyyah Adat
Adalah berkait dengan manusia sebagai makhluk istimewa yang mempunyai daya berfikir yang dari keistimewaan berdaya maju misalnya menghasilkan adat susila, mempunyai kediaman, mampu mengusahakan rezeki untuk kehidupan. Menggunakan ruang untuk pergerakan, mempunyai bahasa untuk berkomunikasi dan berbahasa. Pola ini berlaku kepada semua kelompok manusia yang meneruskan adat dan budaya yang mereka warisi dan menjadi lebih berkembang. Proses kehidupan yang ditingkatkan oleh pengalaman menghasilkan cara hidup yang dikenali dengan adat budaya yang dipertahankan dan terus berkembang. Dalam erti kata yang lain makin lama makin berpengalaman dan mempunyai nilai dan cara hidup mereka. Semuanya ini  adalah merupakan ubudiyyah tabi`i yang berkembang hasil tuntutan dan gaya hidup menurut kesesuaian.
3. Ubudiyyah Ibadat
Juga berkait dengan manusia (beza dari di atas tidak dikait dengan pegangan keyakinan) yang mencapai peringkat berfikiran tinggi yang melihat kejadian bukan setakat kejadian, tetapi memikirkan tentang fenomena kejadian alam dan fungsi manusia. Memandu kesedaran ini ialah dengan perutusan rasul-rasul yang memberitahu tentang kelkhalifahan manusia, peneraju kepimpinan sebagai penerusan misi dan visi kerasulan yang diutuskan. Dengan perutusan kerasulan meningkatkan budaya yang mereka bina. Menyedarkan mereka tentang Pencipta. Dengan kesedaran yang diterima, pegangan dan nilai dipakai mereka memakmurkan bumi, memanfaatkan segala ciptaan Allah bagi kepentingan  manusia. Mereka menyedari melalu perutusan, bahawa jika alam tabi`i yang fitri itu patuh pada peraturan tanpa sanggahan. Demikian manusia sewajarnya  mengakui Ketuhanan yang Maha Esa dan kerasulan yang diutuskan.
a) Menerima Taklif
Sesungguhnya ketamadunan kerasulan telah berterusan berpuluhribuan tahun yang lepas.Kesedaran manusia adalah berasal dari perutusan kerasulan dan tunjuk ajar mereka.  Menerangkan aturan-aturan hidup yang membentuk nilai-nilai murni yang mengharmonikan kehidupan individu dan jamaah.  Sesungguhnya  misi kerasulan terus dipatuhi – termasuk menerima dan mengamalkan apa yang ditaklifkan yang tidak lain mengajar, mendidik dan meninggikan tamadun dan budaya manusia.
c)       Enggan  Taklif
Walau bagaimana ada perbezan dari ubudiyyah tabi`i dan fitri, berbanding dengan manusia yang berdepan dengan Ubudiyyah ibadat yang menerima taklif dan ada yang tidak menerima. Mereka ini ibarat sebuah tubuh badan manusia yang dari segi fizikalnya menerima kejadian dan aturan tabi` bagi manusia. Misalnya tubuh patuh pada keperluan makan minum, mematuhi keperluan tidur dan jaga, menghidup secara tabi`` menerima  nikmat udara yang segar, tetapi dari aspek minda mereka tidak terbuka bagi menerima  tentang Uluhiyyah-Rububiyyah yang mencipta manusia. Mereka pada hakikatnya penentang atau pemberontak yang tidak menyedari hakikat diri dalam kewujudan sebenar. Dalam istilah yang lain mereka terlindung dan tertutup dari memahami dan tidak dapat menerima kebenaran. Maka mereka adalah tergolong di bawah ubudiyyah negatif yang diistilah sebagai kufur dan kafir.
Konsep Ubudiyyah yang  (Enggan Taklif) adalah memaksudkan kepada  kehidupan terbuka manusia di luar dari mematuhi taklif formal, mereka diberi ruang kebebasan mengisi konsep ubudiyyah. Mereka adalah realiti kehidupan dan menjadi sebahagian dari masyarakat yang didepani. Adalah menjadi tugas yang menerima taklif, menyedarkan mereka akan fungsi mereka yang tidak terhad kepada kehidupan di dunia sementara, tetapi kehidupan dan kewujudan ada hubungan dengan hakikat tertinggi yang perlu kita berbakti kepadaNya dan berbakti kepada masyarakat yang dengannya  menambahkan kebaikan  dan ganjaran.

Sekian. 

April 22, 2016

Konsep Uluhiyyah Dan Rububiyyah


BBB,  13  Rajab 1437 = 21 April 2016 (Khamis):
Menampilkan konsep Uluhiyyah dan Rububiyyah sebagai fasal-fasal bagi kandungan sebuah buku atau kitab akidah adalah kelainan dan pembahruan. Pembicaraan tentang Uluhiyyah dan Rububiyyah adalah memperkatakan tentang ketuhanan yang dilihat dari aspek Uluhiyyah dan Rububiyyah. Namun membicarakan kedua-duanya sebelum pembaca dan pengaji memahami tentang Allah  dan sifat-sifat kesempurnaanNya, bahkan sebelum mengenali  tentang nafsiyyah, salbiyah dan ma`ani (termasuk ma`nawiyyah), tidakkah mengejut lantaran mendepani sesuatu yang berat bagi pembaca dan pengaji ? Dua konsep di atas adalah memang elok menjadi topik pembicaraan, supaya pembicaraan tidak menurut pola yang sama dan terus diulang-ulang. Mungkinkah sesuai dua konsep tersebut diletak pada bahagian akhir setelah konsep ketuhanan sudah difahami terlebih dahulu ?
Uluhiyyah dan Rububiyyah menjadi topik yang besar dan penting. Pendekatan Uluhiyyah dan Rububiyyah ini adalah menjadi pendekatan dan kandungan akidah bagi mazhab Wahabi yang anti sifat 20 itu. Kefahaman akidah melalui pendekatan Uluhiyyah dan Rububiyyah amat wajar diolah secara teratur dan mendalam sebagai pendekatan memahami ketuhanan. Pendekatan ini dapat mengelak dari terjebak secara berlebih-lebihan mengenai konsep takdir manusia berdaya atau tiada berdaya, konsep kalam  dan sebagainya. Tetapi kita seharusnya tidak terikat dengan pendekatan Wahabi dan sebagainya, tetapi membinanya sebagai  antara pendekatan Sunni.
Uluhiyyah dan Rububiyyah adalah kedua-duanya merujuk kepada Ketuhanan, tetap mempunyai perbezaan dari segi angle pendekatan. Pendekatan adalah berasaskan sumber di dalam Islam itu sendiri khususnya dari ayat-ayat Al-Qur`an:
Tentang Uluhiyyah Al-Qur`an menyebut, bermaksud:
1)       Dan Tuhan kamu adalah Tuhan yang satu  (Al-Baqarah: 163).
2)      Allah  yang tiada Tuhan melainkan Dia yang mempunyai nama-nama yang indah (Taha: 8)
3)      Allah yang tiada Tuhan Dialah Yang Mengetahui yang ghaib dan nyata (Al-Hashr: 22)
4)      Dialah Allah yang tiada ada Tuhan melainkan Dia yang menguasai sekalian Alam, Yang Maha Suci. Yang Maha Selamat sejahtera, Yang melimpahkan keamanan, Yang Maha Pengawal lagi Pengawas, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kuat Yang melengkapi segala kebesaranNya, Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengaNya (al-Hashr: 23).
5)      Katakanlah Dia Allah Yang Maha Esa, Allah menjadi tumpuan, tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada siapa yang setara denganNya (Al-Ikhlas: 1 – 4)..
Ketuhanan adalah Yang Maha Agung, Maha  Berkuasa, Yang Maha Mengetahui yang segala kesempurnaan adalah padaNya dan Dia berhak kepada segala-galanya.
Dari segi ini Uluhiyyah adalah melihat `ke atas` kepada Tuhan yang segalanya sempurna dengan ketuhanannya. Antara salah satu yang  dirumuskan oleh Tuan Haji Said;
``Uluhiyyah ialah Ketuhanan, iaitu mengi`tiqadkan dengan i`tiqad yang jazam, bahawa Allah adalah Tuhan yang berhak disembah, tiada Tuhan yang lain selain darinya.``
Manakala konsep Rububiyyah – konsepnya dapat  difahami dari istilah Rububiyyah yang berasal dari Rabb yang bermaksud, menjaga, memelihara, mentarbiah, mendidik dan menyelamatkan. Dari segi pendekatan ialah Memandang yang Tinggi ke bawah dalam hubunganNya dengan makhluk. Kepadanya makhluk menghantar pelbagai harapan. Allah dengan sifat Rububiyyah mentadbir dan menguruskan perjalanan alam.
Konsep Rabb yang menjadi harapan bagi hamba dapat difahami dari maksud ayat-ayat-Al-Qur`an:
1)       Seluruh ayat di dalam al-Faftihah yang mengarah kepada Allah yang bersifat rububiyyah yang Dia bersifat Rahman dan Rahim, Tuhan sekalian Alam, Pemilik Hari Kiamat, Dia disembah dan Dia diminta pertolongan. Dia dipohon menunjuk jalan yang lurus dan dipohon tidak  kepada jalan yang sesat.
2)      ``Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya kebaikan. Sesungguhnya Engkau Amat Berkuasa atas tiap-tiap suatu.``(Ali Imran: 26)
3)      ``Lihatlah manusia bagaimana kami menyediakan makanannya``  (Abas: 24).
4)      ``Dan Dialah yanjg menurunkan air hujan dari langit lalu kami tumbuhkan  dengan air itu segala jenis tumbuh-tumbuhan.`` (Al-An`am:  99).
5)      ``Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah-indah berhias pada setiap kali pergi ke tempat ibadat (masjid bagi bersolat) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidajk suka kepada orang yang melampaui batas.`` (Al-A`raf:  31).
Dengan rububiyyah bahawa kehambaan melihat kepada Tuhan yang memberi rahmat, rezeki, makanan, pakaian, kehidupan yang selesa. Allah menyediakan tempat tinggal yang baik. Allah menyediakan tumbuhan dan binatang sebagai rezeki untuk dimakan. Hidup dalam sihat dan aman di dalam negara yang diperintah dengan baik. Dalam pada itu manusia juga berdoa kepada yang berkuasa supaya menjauhi diri dari kesusahan, kepapaan, kekurangan makanan, kemiskinan, penyakit, huru hara, tiada ketenteraman dan sebagainya.
Pendek kata dengan konsep Uluhiyyah memupuk di dalam diri hamba mengenali Yang Maha Berkuasa, Yang Mencipta,  Menjadikan alam  dan manusia bagi menjalani kehidupan, menurut fitrah kejadian. Apa yang dijadikan Allah tidak sia-sia serta mempunyai hikmat keagungan. Allah Maha Agung dengan Ciptaan  yang melahirkan kemahuan dan kekuasaan.
Dari segi Rububiyyah manusia sebagai salah satu ciptaan Allah yang istimewa yang diberi dan dibekalkan dengan segala kemudahan dan kenikmatan, maka manusia seharusnya patuh kepada Allah dengan melakukan segala suruhan dan menjauhi segala larangan. Hidup menurut garisan yang ditentukan dan hidup dalam keadaan harmoni, tidak merosakkan alam yang disediakan sebagai tempat tinggal sementara dan yakin dalam diri akan balasan baik dan buruk yang dijanjikan Tuhan. Kelak setiap manusia akan menerima balasan di atas amalan yang dilakukan pada masa hidupnya sama ada baik maupun buruk.
Dengan berpegang kepada akidah Uluhiyyah menyedar manusia dan mengakui tentang Keagungan, Kekuasaan dan Kemuliaan Allah dan dengan Rububiyyah menyedarkan manusia tahap kehambaan yang menerima rahmat dan nikmat dari Allah dan menjadikan manusia hamba yang baik dan patuh kepada Allah, hidup dengan aturan mengharmonikan kehidupan sesama manusia dan juga  alam sekitaran.

Sekian.

April 21, 2016

Kandungan Buku Akidah Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jama`ah


BBB, 12 Rajab 1437 =  20  April 2016 (Rabu):


Dari segi kandungan buku di atas pada dasarnya ialah mengenai persoalan yang berhubung dengan rukun iman yang enam, iaitu beriman kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab, Hari Kiamat dan Qaha` dan Qadar. Tetapi sebelum daripada membicarakan rukun iman yang enam  Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim selaku Penulis buku Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, membicarakan Islam sebagai agama Fitrah, Akidah tauhid, kepentingan akidah dan Islam, Akidah yang sahih dan yang batil dan penjelasan mengenai Uluhiyyah dan Rububiyyah. Selepas dari membicarakan tentang rukun iman yang enam secara seturut Pengarang membicarakan, Hakikat Iman, Yang Membatalkan Iman, Yang Membatalkan Islam dan orang-orang yang melakukan maksiat. Semua kandungan dipecahkan kepada 18 fasal.
Berikut dari pembicaraan terhadap konsep fitrah sebagaimana telah dibicarakan Tuan Haji Said mebicarakan akidah tauhid yang menjadi inti utama bagi falsafah tauhid di dalam Islam, maka dibicarakan.
Akidah tauhid ialah ilmu  yang berkaitan dengan kepercayaan terhadap ketuhanan, kerasulan dan sam`iyyat dengan dalil-dalil akliah dan  naqliyyah.
Dan akidah tauhid ialah akidah tentang keesaan Allah yang bersifat dengan Kamalat dan Maha  Suci dari kekurangan.
Akidah menurut Haji Said amat penting bagi seorang Islam, lantaran segala amalan dan penerimaan amalan di sisi Allah bergantung kepada akidah yang betul. Dengan akidah yang betul menyatu-padukan umat.
Akidah yang sahih menurut Haji Said  ialah akidah yang betul dari segi kepercayaan terhadap rukun iman yang enam. Manakala akidah yang batil ialah akidah yang tidak menepati dengan akidah Islam yang benar sebagaimana terkandung di dalam Al-Qur`an dan Al-Hadith.  Dalam kata lain akidah yang batil ialah akidah-akidah yang menyeleweng dari Islam  seperti Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah dan sebagainya.
Satu yang membezakan pendekatan di dalam buku Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang merupakan kelainan dari kitab-kitab atau buku-buku akidah biasa, bahawa pada setiap akhir sesuatu fasal diberi kesimpuan-kesimpulan secara bernombor. Tujuan menyediakan kesimpulan ini ialah bagi mengingatkan kembali kandungan bagi sesuatu fasal sebagai rumusan apa yang telah dibicarakan. Kecuali Fasal Satu (tanpa rumus kesimpulan), maka jumlah rumusan bergantung pada banyak atau sedikit kandungan yang telah dibicarakan. Jumlah rumusan ialah antara sepuluh rumusan bagi satu fasal hinggalah jumlah  tiga puluh, bahkan empat puluh.
Meneliti kepada jumlah rumusan bagi sesuatu fasal ini didapati setengahnya terlalu panjang, sehingga ianya seolah-olah bukan rumusan, tetapi adalah sebagai bahan tambahan bagi kandungan bagi fasal yang diberi rumusan. Jika demikian sepatutnya ianya dijadikan bahagian daripada huraian bagi fasal-fasal berkenaan. Rumusan kesimpulan sepatutnya bersifat padat sebagai intisari bagi fasal yang dibicarakan. Cukup rumusan secara point bernomber berjumlah antara lima hingga sepuluh point.
Misalnya rumusan bagi Akidah tauhid dan keistimewaannya  terdapat 18 rumusan
Antara yang penting: ialah:
1)       Ilmu tauhid adalah paksi keyakinan bagi setiap orang Islam
2)      Ilmu tauhid ialah ilmu membicarakan tentang rukun iman secara sahih untuk dipelajari
3)      Ilmu tauhid bersumberkan Al-Qur`an dan Al-Hadith
4)      Menjadi ukuran sejauh mana kesahihan iktikad seseorang Islam.
5)      Ilmu tauhid benteng kekuatan diri dan menyatukan umat
Bagi fasal tiga, iaitu kepentingan akidah dalam Islam, kesimpulannya terlampau panjang iaitu 28. Sebahagian patut menjadi kandungan huraian. Dan dirumuskan kepada intisari bagi fasal berkenaan. Umpamanya
1)      Amalan seseorang bergantung pada kesempunaan akidah
2)      Dengan akidah mengenal diri, alam dan Pencipta secara sebenar
3)      Memberi ketenangan diri dengan keyakinan akidah
4)      Membentuk peribadi dan jati diri ummah
5)      Mendidik diri dengan cara berfikir teratur dengan hujah dan dalil
Bagi fasal empat bagi akidah yang sahih kesimpulan dibuat adalah padat. Namun daripada 10 rumusan dapat dikecilkan bagi mengelakkan perulangan. Rumusan kesimpulan:
1)      Akidah yang sahih ialah berasaskan rukun iman
2)      Berdasarkan dalil Al-Qur`an dan Al-Hadith
3)      Sah amal ibadat bergantung kepada kesahihan dari segi akidah
4)      Akidah sahih bersifat yakin, tiada syak dan ragu
5)      Kejayaan dakwah Rasulullah adalah dengan kekuatan akidah
Bagi akidah yang batil pula dirumuskan kepada 18 perkara. Antara yang penting:
1)      Akidan yang bertentang dengan Al-Qur`an dan Al-Sunnah akidah batil
2)      Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah adalah yang betul
3)      Akidah menyeleweng seperti Mu`tazilah,, Qadariyyah, Jabariyyah adalah batil.
Walau apa pun format yang disusun oleh Tuan Haji Said bagi bukunya adalah baik. Kebagusan ini tentulah berkait dengan pihak Hal Ehwal Islam , Jabatan Perdana Menteri. Kini JAKIM) yang menyusun kurikulum yang seharusnya diikuti. Pembaca dan pengaji diberi huraian permulaan berikut dari muqaddimah mengenai konsep fitrah, iaitu mengenai konsep tauhid, kepentingan akidah dan bagaimana akidah yang sahih dan akidah yang batil memberi persediaan kepada pembaca sebagai persediaan mempelajari aspek akidah yang berhubung dengan rukun iman. Walau bagaimana didapati kandungan, antaranya tidak berfokus kepada judul bagi sesuatu fasal dan rumusan kesimpulan pula seharusnya rumusan terhadap kandungan bagi fasal yang dibicarakan sepatutnya bersifat padat dan tidak berulang dan bertindih.

Sekian.


April 20, 2016

Muqaddimah Dengan `Fitrah` Baik. Tapi Akidah Boleh Didekati Dengan Semua Fakulti Diri


BBB,  11  Rajab 1437  =  19 April  2016 (Selasa):
Pada bahagian permulaan atau muqaddimah bagi kitab-kitab usuluddin seperti bagi Matan  Jauharat  al-Tauhid oleh Ibrahim al-Laqani, Kitab Bidayat al-Hidayah berdasarkan Matan Umm al-Barahin oleh Muhammad Yusuf al-Sanusi yang disharah oleh al-Shaykh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin dan Risalah al-Tauhid dari Jabatan Agama Islam Johor dan kebanyakan kitab-kitab usuluddin yang lain adalah bermula dengan muqqimah kitab-kitab mereka bertolak dari hulum akal  yang menjadi sebagai syarat bagi mukallaf mempelajari ilmu akidah. Pendekatan sedemikian menjadi pola  dan tradisi pendekatan muqaddimah bagi kitab-kitab dan buku-nuku akidah
Tetap bagi Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim, beliau mengambil pendekatan berlainan dan menyimpang dari tradisi yang seharusnya membukakan pembicaraan dengan `Hukum Akal`, tetapi memulai pendekatan bagi muqaddimah kitab Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah ialah dengan konsep `Fitrah`
Fitrah mempunyai ertinya yang luas:
Fitrah boleh bererti sebagai  semula jadi,  asli, menurut tabi`i, bukan dibuat-buat, bersih  dan bukan artifisial.
Fitrah boleh dikaitkan dengan segala keaslian sesuatu, misalnya Allah menciptakan langit dan bumi menurut fitrah, planet-planet bergerak di atas orbitnya secara fitrah, kejadian malam dan siang dengan waktu-waktu bagi masing-masing juga bersifat fitrah.
Fitrah boleh dikaitkan dengan diri manusia yang merupakan fitrah kejadian Allah yang dari segi fitrahnya dikurnia akal untuk berfikir, dikurniai  inderawai untuk menanggapi, dikurnia hati untuk memesrai dan dikurnia rohani untuk mencintai. Semuanya secara fitrah.
Di dalam pembicaraan mengenai akidah, iaitu iktikad terhadap sesuatu secara tepat dan yakin dan merupakan kebenaran adalah merupakan fitrah bagi manusia mau mengetahui ketepatan, kebenaran dan keyakinan yang menjadi pegangannya. Manusia adalah dijadikan secara fitrah dan fitrah manusia mau mengetahui kelilingannya dan lebih dari itu mau mengetahui dirinya dan mau mengetahui alam keliling, dari mana semuanya, bagaimana ianya ada dan siapa yang mengadakannya. Bagi menjawab semua adalah melalui ilmu (berfikir) yang membawa kepada keyakinan dan pegangan. Ini merupakan fitrah manusia.
Menurut fitrah manusia semula jadinya memerlukan kepada keyakinan agama yang fitrah sifatnya, iaitu agama Islam. Menurut Haji Said:
``Islam adalah agama samawi yang diturunkan Allah sesuai dengan fitrah manusia yang menseimbangkan jasmani dan rohani dan akhirat.``
Ciri utama bagi Islam ialah berfalsafahkan tauhid.
Mengenai kefitrahan manusia yang tabi`i dan asli ini turut disebut oleh Tuan Haji Sai`d secara tidak langsung berlandaskan akal, tanpa menyebutkan rukun dan hukum akal, kata Tuan Haji Said:
``Menurut akidah Islam dan ajaran tauhid, seseorang itu boleh membuktikan kewujudan Allah dan mentauhidkannya ialah dengan berasaskan dalil naqli dan dalil akli. Mereka yang mengasaskan akidahnya dengan berdalilkan dalil-dalil tersebut adalah dikira sebagai seorang muslim yang beriman.``
Konsep fitrah yang menjadi tabi`i manusia mau mencari kebenaran dan keyakinan diperkukuhkan kefitrahan dan pembuktian dengan bukti akli dan naqli.
Bukti akli misalnya dengan melihat kepada kejadian alam yang mengkagumkan atau kemusnahan melalu gempa bumi dan saebagainya  yang merosakkan membuktikan ada kekuasaan yang esa.  Hujah ini dapat dibuktikan dengan bukti naqli. Seperti ayat bermaksud:
``Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa. Lalu Ia bersemayam di atas arash`` (al-A`raf : 54)
Atau ayat bermaksud: ``Katakanlah Dia Allah Yang Tunggal yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.`` (al-Ikhlas: 1- 2).
Dari segi pendekatan akidah kitab-kitab tauhid atau usululuddin sebagaimana dikatakan adalah amat memberi penekanan terhadap rasional akal, akal sebagai satu fakulti utama bagi diri manusia, diterima sebagai fakulti teristimewa bagi diri manusia dan menjadi alat membuktikan kebenaran dengan dalil dan burhan, tetapi perlu diingat akal mempunyai kemampuan terhad dan ada kekurangan ianya dapat menaggapi terhadap sesuatu yang wujud bersifat lahiri dan konsepsi seperti konsep angka, tetapi tidak mampu di luar dari batas dari itu.
Apa yang hendak ditekankan di sini jika akal sebagai satu fakulti diri yang terhad dari segi kemampuan, maka adalah wajar dibuat pendekatan di dalam menanggapi hakikat wujud berdasarkan fakulti-fakulti yang lain di dalam diri yang bersifat fitrah tersendiri. Jika fakulti akal digunakan bagi membuktikan tentang kewujudan secara rasional, maka boleh dibuat pendekatan melalui fakulti inderawi bagi menanggapi wujud secara indera yang walaupun menanggapi sesuatu yang lebih lahir dan nyata, tetapi juga membuktikan kebenaran seperti indera penglihatan amat besar peranan di dalam  mempastikan sesuatu benda secara nyata, walaupun mata ada kelemahan, misalnya bergantung pada jarak jauh dan bergantung pada cahaya, tetapi ianya adalah alat pembuktian dan boleh dibuktikan dengan dalil. Begitulah dengan indera-indera yang lain seperti, pendengaran, rasa, kecapan, bau yang semuanya sebagai alat dapat membuktikan kebenaran.
Fakulti diri yang lain  yang dapat membuktikan kebenaran yang lebih subjektif. Misalnya konsep kasih terhadap Pencipta yang mencipta, kasih sesama makhluk  sebagai pancaran dari fakulti hati,  yang dikurniakan secara terhad kepada manusia, yang menjalinkan kasih sayang, hormat menghormati dan bertolong-tolongan yang mengharmonikan hidup mereka.
Satu fakulti diri yang penting ialah fakulti rohani yang lebih subjektif yang penggarapan melaluinya lebih memurnikan jiwa dan lebih mendekati kepada Yang Maha Pencipta. Rohani adalah aspek subjektif tertinggi diberi kepada diri manusia yang dengan meningkatkan diri manusia dan lebih mendekati Maha Pencipta.
Penggunaan keempat-empat fakulti di dalam diri manusia sebagai lebuh diri  manusia dapat mnenyampaikan mereka kepada destinasi-destinasi yang sesuai dengan sifat fakulti yang ada pada diri manusia dan mengukuhkan pegangan dan keyakinan. Dari satu segi akidah tidak saja didekati secara rasional yang kering dari sentuhan, emosi dan rohani. Aqidah tidak semestinya hanya bersifat rasional, tetapi juga seharusnya dibuktikan dengan inderawi, rasa mesra, kasih dan cinta yang melengkapkan pancaran dari diri manusia terhadap alam, bahkan kepada yang tertinggi – Tuhan.

Sekian.

April 19, 2016

Karangan Akidah Oleh Haji Said Haji Ibrahim


BBB, 10 Rajab 1437 =  18  April 2016 (Isnin):


Jika buku I`tiqad Ahlu Al-Sunnah wa al-Jama`ah oleh K.H. Sirajuddin mewakili buku akidah terbaru dari Indonesia, maka bagi pemilihan buku akidah terbaru dari Malaysia Penulis memilih karangan akidah oleh Tuan  Haji  Said bin Haji Ibrahim. Tidak banyak mengenai latar Penulis dan sememangnya tidak diberi maklumat Penulisnya secara khusus, kecuali disebut beliau adalah Bekas Mufti Negeri Sabah. Namun dengan latar sebagai Bekas Mufti Negeri Sabah itu sudah cukup mencerminkan kewibawaan Haji Said bin Haji Ibrahim di dalam bidang keilmuan Islam, khususnya bidang akidah yang dilibati. Dengan kewibawaannya maka Tuan Haji Said menghasilkan buku akidah berjudul:
Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah (cetakan pertama 1995) di dalam tulisan jawi yang diterbitkan oleh Penerbit Dar al-Ma`rifat, Kuala Lumpur dan dicetak oleh Yayasan Terengganu Sdn. Bhd. Kuala Terengganu.
Sedikit lagi tambahan mengenai Penulis dan latar dari muqaddimah Penulis menyatakan:
``Kandungan kitab ini disusun berdasarkan kurikulum kelas pengajian ta`mir masjid dan surau  yang diterbitkan oleh bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri dan tajuk-tajuk penting yang berkaitan dengan akidah.``
Ini mencerminkan bahawa buku yang dihasilkan adalah memenuhi kehendak kurikulum yang disusun oleh Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri. Ini bererti buku ini digunakan termasuk oleh Tuan Haji Said mengajar di masjid dan surau dan sudah tentulah bahan yang menjadi kandungan buku ini ialah bahan-bahan yang telah biasa digunakan termasuk oleh Haji Said bin Haji Ibrahim sebagai Imam dan guru yang mengajar termasuk di dalam bidang akidah di masjid dan surau.
Dari segi format pendekatan dan penyusunan buku berbanding dengan buku I`tiqad Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah  oleh K.H. Sirajuddin Abbas adalah berlainan. Di dalam buku I`tiqad Ahli al-Sunnah wa al-Jama`ah oleh K.H. Sirajuddin Abbas, beliau membicarakan di dalam satu buku tersebut tentang akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah berserta dengan akidah-akidah yang lain seperti Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Shi`ah, Murjiah, Ibn Taimiyah, Wahabi dan lain-lain, sambil membandingkan akidah-akidah yang bukan dari Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah  dengan akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama`ah. Tetapi bagi Haji Said bin Haji Ibrahim beliau mengambil pendekatan membicarakan semua yang berkait dengan akidah Al-Sunnah wa al-Jama`ah di dalam satu buku Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Ini adalah bertujuan:
1)       Bagi memenuhi kehendak kurikulum Pengajian Akidah yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
2)      Kandungan buku Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang khusus adalah sesuai untuk digunakan bagi pengajaran orang ramai yang hadir selaku jamaah masjid-surau bagi pengajian akidah bagi tahap awam.
3)      Memasukkan akidah-akidah yang bukan dari Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah seperti  Shi`ah, Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Wahabi dan sebagainya tidak sesuai sebagai bahan pengajaran bagi orang awam dan boleh mengelirukan mereka. Buku K.H. Sirajuddin sesuai sebagai buku yang dipelajari secara khusus dan menjadi rujukan pada pengajian yang lebih tinggi.
4)      Dengan persamaan kurikulum dan persamaan pengajaran dapat menyatukan kaedah pengajian dan kandungan akidah di dalam masayrakat umat.
5)      Mudah menjalankan ujian.
Walau bagaimana Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim menyedari tentang berbagai-bagai akidah yang bukan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang lahir di dalam kalangan umat Islam. Akidah-akidah yang bukan Ahli al-Sunnah wa al-Jama`ah perlu diketahui oleh umat Islam, terutama bagi kalangan yang mempunyai keilmuan yang lebih tinggi, agar dapat memahami dan membezakan pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah  dengan akidah-akidah bukan dari Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah agar dapat mengenal pasti penyelewengan dan kesilapan mereka dan menghuraikannya kepada mereka yang berkelayakan bagi memahami dan menghendari dari terjebak di dalam akidah-akidah yang salah.
Memahami perlunya difahami oleh kalangan yang lebih tinggi keilmuan terhadap akidah-akidah yang bukan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, maka Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim mengarang secara khusus di dalam buku yang berlainan yang diberi judul:
Perbandingan Akidah dan Fahaman Umat Islam
Buku ini dihasilkan dalam masa berdekatan dengan buku `Akidah Ahlu al-Sunnah wal Jama`ah (1995), sedang buku di atas bagi cetakan pertama (1997) yang diterbitkan oleh Dar al-Ma`rifat dan sama dicetak oleh Percetakan Yayasan Terengganu Sdn. Bhd., Kuala Terengganu.
Kesedaran Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim untuk menyedarkan kepelbagaian akidah yang tumbuh dan berkembang dan perlu mengelak dari terjebak di dalam akidah-akidah yang salah, maka kata Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim di dalam buku `Perbandingan Akidah Dan Fahaman Umat Islam, katanya:
``Sungguhpun umat Islam di negara ini sejak dahulu lagi menganut fahaman dan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, tetapi kini mereka telah banyak diresapi oleh fahaman akidah-akidah yang berlawanan dan bertentangan dengan  fahaman dan Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`h, sehingga sudah ada yang dipengaruhi oleh fahaman dan akidah Shi`ah  dan Mu`tazilah, bahkan ada pula  yang telah terpengaruh dan menganut fahaman  dan Akidah Ibn Taimiyah dan lain-lain.``
Bagi menjelas  dan  membetulkan fahaman dan mengukuhkan pegangan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah kata Tuan Haji Said:
``Justeru itu saya merasa bertanggungjawab dan berkewajipan untuk mengkaji perbezaan akidah fahaman umat Islam itu dan membuat perbandingan di antara akidah dan fahaman Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dengan akidah dan fahaman firqah-firqah umat Islam tersebut, dan juga membuat perbandingan perbezaan di antara fahaman  dan akidah aliran salaf dan khalaf.``
Usaha yang dilakukan oleh Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim ini sudah tentulah bukan setakat perbandingan dan kefahaman, tetapi sebagai kata Tuan Haji Said lagi sebagai harapannya, tambahnya,
``Kitab ini menjadi garis panduan  untuk menentukan akidah mereka itu bercanggah dengan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dan terkeluar dari akidah Islam, atau sebaliknya. Dan adalah diharapkan kitab ini menjadi sumbangan dari penyusun dan akan memberi manfaat dan faidah kepada semua umat Islam untuk mengenalpasti dan menilai isi kandungannya dan memahami perbandingan  di antara akidah dan fahaman Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dengan akidah dan fahaman umat Islam yang lain.
Dalam kata lain kefahaman terhadap akidah-akidah lain diharap akan lebih menyerlahkan kebenaran dan kekuatan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.

Sekian.