July 7, 2016

PERSOALAN DALAM JUZ` PERTAMA DALAM KITAB AL-ZUHD WA AL-RAQA`IQ - TAATKAN ALLAH


BBB, 01  Syawal 1437  = 06  Julai  2016 (Rabu):
Persoalan di dalam juz` pertama daripada 11 juz`  bagi kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq, ialah yang diberi pecahan kepada bab-bab (7 bab).  Bab pertama,  ialah bab mengenai ketaatan kepada Allah Ta`ala, iaitu selepas diberi contoh tiga naskhah tulisan tangan bagi kitab tersebut,  riwayat bagi sanad pertama dan kedua adalah bersambung kepada Rasulullah s.a.w. Bererti matan Hadith adalah dari sabda rasulullah s.a.w.
1)      Dua Nikmat Tak Disedari (Tak beri perhatian)
Mengkhabarkan kami oleh al-Shaykh Abu Ghalib Ahmad bin al-Husayn bin Ahmad bin al-Banna` berkata. Mengkhabarkan kami oleh Abu Muhammad al-Hasan bin `Ali bin Muhammad bin al-Hasan al-Jauhariyy berkata, mengkhabarkan kami oleh Abu Umar Muhammad bin al-`Abbas ibn Muhammad al-Warraq berkata, mengkhabarkan kami Abu Muhammad Yahya bin Muhammad bin Sa`id pada hari Khamis lastu khalun  daripada bulan Rabi`il Awwal tahun 315H. di tepi pintu rumahnya berkata, Aku al- Husayn bin al-Hasan al-Maruzi Abu Abdullah tahun 245H. berkata:
``Bercakap kepada kami `Abdullah bin Al-Mubarak dan al-Fadhl bin  Musa, keduanya berkata: Telah mengkhabarkan kami Abdullah bi Sa`id bin Abi Hind daripada bapanya daripada Ibn `Abbas radiya Allah `anhuma berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w. ``Dua nikmat  tidak disedari (tak beri perhatian)  pada keduanya oleh kebanyakan manusia ialah kesihatan dan waktu lapang.
2)      Masa Lapang Dan Hidup Sebelum  Mati
Memberitahu kamu oleh Abu `Umar bin Hayawayh dan Abu Bakar al-Warraq. Keduanya berkata mengkhabarkan kami Yahya berkata bercakap kepada kami al-Husayn berkata:  Aku Abdullah bin al-Mubarak berkata, Telah mengkhabarkan kami  Ja`afar bin al-Barqan daripada Ziyad bin al-Jarrah daripada Amrin bin  Maimun al-Auzi berkata:  Bersabda Nabi s.a.w. bagi seorang yang Baginda menasihatinya. ``Beri perhatian lima sebelum lima, `Muda engkau sebelum tua engkau, dan sihat engkau sebelum sakit engkau, dan kaya engkau sebelum faqir engkau, dan masa lapang engkau sebelum seboknya engkau  dan hidup engkau sebelum mati engkau.``
Adalah didapati  bahawa terdapat riwayat-riwayat Hadith Rasulullah bercampur dengan riwayat terhadap ungkapan tokoh-tokoh (bukan Hadith Nabi). Antaranya mengenai persoalan yang hampir sama dengan  kandungan atau maksud dua Hadith Rasulullah s.a,w. Umpamanya   terdapat dua riwayat yang dinisbah kepada tokoh-tokoh dengan perawi-perawi hampir bersamaan.
3)      Nasihat Menasihati Empat Perkara:
Mengkhabarkan kamu oleh Abu `Umar bin Hayawiyyah  dan Abu Bakar al-Warraq, keduanya berkata,, Aku Yahya berkata, bercakap kepada kami al-Husayn berkata, Aku Abdullah bin al-Mubarak berkata, mengkhabarkan kami Kahmas bin al-Hasan daripada Abi al-Salil  daripada Ghanim bi Qays berkata,
``Kami  nasihat menasihati pada awal Islam dengan empat perkara, kami berkata:
``Beramallah waktu muda engkau  untuk  waktu  tua engkau. Dan
Berfamallah pada waktu lapang engkau untuk kesebokan engkau, Dan
Beramalah pada waktu sihat engkau untuk waktu sakit engkau. Dan
Beramalah semasa engkau hidup  untuk  mati engkau.``
4)      Empat Sebelum Empat Perkara
Mengkhabarkan kamu oleh Abu `Umar bin Hayawiyyah  dan Abu Bakar al-Warraq kedua berkata:  Aku Yahya Bercakap kepada kami Muhammad  bin `Uthman  bin Karamah, berkata ia, ``Aku `Abdullah bin Musa bin Isra`il daripada Abi Ishaq daripada Amrin bin Maimun, berkata ia: ``
``Beramallah kamu  ketika sihat  sebelum  sakit.
Dan  pada ketika  hidup sebelum  mati
Dan  pada ketika  muda sebelum  tua.
Dan pada ketika lapang sebelum sebok.``
Bahkan terdapat rawi-rawi di dalam sanad yang hampir sama, membawa matan yang sedikit berbeza dari segi peringatan, iaitu:
5)      Tentang Dunia
Mengkhabarkan kamu oleh Abu `Umar bin Hayawiyyah dan Abu Bakar al-Warraq, keduanya berkata, telah mengkhabarkan kami Yahya, ia berkata, telah bercakap kepada kami al-Husayn, ia berkata, telah mengkhabarkan kami oleh Abdullah bin al-Mubarak, berkata ia,, telah mengkhabarkan kami Shu`bah daripada Sa`id bin Abi Burdah daripada bapanya daripada Abi Musa al-Ash`ari berkata:
``Tidaklah kita tunggu daripada dunia, melainkan  letih mendukacitakan dan fitnah kemungkinan.
Dan dengan rawi dan sanad hampir sama, kecuali pada bahagian atas:
6)      Dunia Kepelbagaian Mengelirukan
Mengkhabarkan kamu oleh Abu `Umar bin Hayawiyyah  dan  Abu Bakar al-Warraq, keduanya berkata,`Telah mengkhabarkan kami oleh Yahya, ia berkata, telah bercakap kepada kami oleh Abdullah  bin al-Mubarak, berkata ia, telah mengkhabarkan kami oleh Hanzalah bin Abi Sufyan daripada `Ata` Ibn Abi Rabah berkata: Berkata `Abdullah bin  Mas`ud, ``Alangkah banyak kekeliruan dari dunia.``
Daripada contoh enam riwayat Hadith atau Gaya Hadith di atas  dapat diambil rumusan:
1)       Terdapat merupakan riwayat tentang Hadith yang langsung dari Rasulullah s.a.w.
2)      Sebahagian dari Hadith dinisbahkan kepada sahabat.
3)      Sanad Hadith/Gaya Hadith kebanyakan bermula  (bagi bab Ketaatan kepada Allah) dengan riwayat Abu `Umar bin Hayawiyyah dan Abu al-Warraq bagi 41 daripada  42 sanad riwayat.  Perbezaan adalah pada bahagian atas dekat dengan matan.
4)      Tema memang berkenaan `Ketaatan kepada Allah` sebagaimana diberi judul.
5)      Abdullah bin al-Mubarak berada di dalam riwayat sebagai perawi, terdapat riwayat tanpa namanya.
Agak rumit, teknikal dan perlu teliti untuk mendapat inti maklumat bagi poecahan-pecahan persoalan yang berkait dengan persoalan tasawuf. Kita mengkagumi dengan kerja dan ketelitian Abdulklah bin al-Mubarik yang menggunakan mekanisme Hadith bagi bukunya `Al-Zuhd wa al-Raqa`iq`.

Sekian.

July 6, 2016

ADA GARIS PILU PADA PENGHUJUNG RAMADHAN INI



Dengan witir terakhir
Mengakhiri  tarawih  ini
Lengkap sebulan bersolat sunat Ramadhan
Kesempurnaan pada Tuhan menentukan
Tapi walau apapun  syukur  terluah
Di atas kurniaan  berterusan
Tatkala usia tujuh setengah dekad
Masih diberi kesihatan
Mampu berdiri rukuk sujud
Mengikut  Imam  Hafiz al-Qur`an
Khatam bersama imam
Masih mampu mengecapi nikmat makanan
-          Tanpa  pantang
Bersama keluarga berbuka nikmat berpuasa.

Namun bersama syukur itu
Tergaris pilu di kalbu
Inilah terakhir Ramadhan
-  Jika tiada masalah berterusan
Khidmat Surau Tua  kami
Lebih tiga setengah dekad
Tempat kami beribadat
Seusia Bandar Baru Bangi
Seusia kami menghuni di sini
Dari sini setiap waktu
Bilal setia kami mengalun azan
Suaranya makin garau  meningkat usia
Tetapi khidmat  setianya berterusan
Hingga status surau hilang
Diganti masjid baru berdekatan.

Di akhir Ramadhan
Berbaur pertanyaan dan mohonan
Berkesempatankah kembali bersama Ramadhan ?
Ketika mana  usia di lembayung senja
Jatuhnya bila-bila
Namun kerja-kerja perlu diselesaikan
Tak terkejar masa dan tenaga
Biarpun sehari-hari  di pejabat menyepi
Menyelesaikan kerja-kerja ini.

Menyedari,
Terlalu banyak kurnia diterima
Tetapi  ihsan terus dipohon
Menyelesaikan tugasan
Menambahkan kepatuhan.

Semoga pada tahun depan
Ramadhan  bakal menjelang
Diri masih berkesempatan
Menumpahkan kesetiaan.

Bandar Baru Bangi,
30 Ramadhan 1437

05  Julai 2016.


July 5, 2016

KANDUNGAN KITAB AL-ZUHD WA AL-RAQA`IQ

BBB,   29  Ramadhan 1437 = 04 Julai 2016 (Isnin):
Sebagaimana penulisan pada peringkat permulaan adalah mengambil `gaya Hadith`,  maka demikianlah dengan kitab `Al-Zuhd wa al-Raqa`iq`  yang membicarakan tentang zuhud dan kehalusan  persoalan mengenainya. Kitab ini secara keseluruhannya adalah setebal 713 halaman, iaitu:
1)      Teks utama  (Riwayat Al-Maruzi dari Ibn Al-Mubarak)  setebal   564   halaman
2)      Tambahan (Riwayat  Na`im bin Ahmad dari Ibn al-Mubarak
Di dalam naskhahnya                                                                              132   halaman
3)      Bahan-bahan  rujukan                                                                               17   halaman
Jumlah halaman                                                                                        713   halaman.
Kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`iq dipecahkan kepada  11  juz` yang di bawah sebahagian juz`  ada bab-bab
Manakala di bawah bahagian tambahan ialah 38 bab.
Juz`-juz` bagi kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`iq yang mencerminkan kandungannya  ialah juz`-juz`:
1)      Ta`atkan  Allah  `Azza wa Jalla  (Mula dengan baba ini)
2)      Al-Ijtihad fi al-`Ibadat          (Mula dengan bab  ini –seterusnya)
3)      Jalis al-Sidq wa ghayr dhalik
4)      Al-Taqalluli min al-dunya
5)      Al-Sadaqah
6)      Ma ja`a fi dhanb al-tana`ami  fi al-dunya
7)      Fi akhbar abi rayhanah wa ghayruhu
8)      -  (11)   Riwayat-Riwayat  dengan juz` berasingan.
Jelas daripada kandungan secara kasar membawa persoalan-persoalan yang berhubung dengan ibadat, berbagai-bagai amalan kebajikan.
Bagi bahagian awal bagi kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq terdapat muqaddimah setebal 63 halaman oleh penyelenggara iaitu Habib `Abdul Rahman al-A`azami yang antaranya:
a)      Penekanan pada al-Kitab (Al-Qur`an) dan al-Sunnah
b)      Kehidipan sebenarnya ialah kehidupan akhirat (diserta pembuktian dengan ayat-ayat Al-Qur`an dan hurai-huraian tentang kehidupan sebenarnya.
c)       Apakah kehidupan dunia yang dikeji dan disuruh zuhud padanya? Dijawab dengan contoh apa yang dihuraikan oleh  Al-Ghazali dengan Ihya` `Ulum al-Din, Ibn al-Jauzi dengan Minhaj al-Qasidin dan dalam Talkhis Ibn Qudamah.
d)      Darajat zuhd dan pembahagiannya
e)      Zuhd pada perkara-perkara yang berhubung dengan kepentingan hidup daripada makan minum, pakaian, tempat tinggal, perabut dan peralatan, perkahwinan, harta dan pangkat kebesaran.
f)       Karangan-karangan tentang zuhd sebagaimana telah dibicarakan
g)      Tentang  kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`iq, disifatkan bukan saja kitab terawal tetapi terbaik dalam konteks zaman permulaan itu. Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq berbeza dari kitab Al-Zuhd Imam Ahmad bin Hanbal yang mengambil pendekatan tentang zuhud tokoh-tokoh terutama rasul-rasul, tetapi bagi kitab Abdullah bin Mubarik yang membicarakan tentang topik-topik persoalan yang berhubung dengan zuhd.
h)      Sifat naskhah yang diselenggara. Penyelenggara terpaksa membuat perbandingan dan memakan masa membuat penelitian.
i)        Pembicaraan tentang rawi-rawi bagi kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`iq. – 16 Rawi utama.
j)        Latar  mengenai pengarang  Abdullah bin al-Mubarak
·         Kelahiran dan asalnya
·         Pengajian, penghafalan dan kedudukannya
·         Kedudukan di dalam isnad, muzakarahnya tentang keilmuan dan ketelitiannya
·         Kecintaannya terhadap ilmu, ijtihadnya pada menyibarkannya, kepengarangannya dan pendekatannya dari segi pengajaran dan sifat murshidnya.
·         Keindahan dan kesopanan adabnya
·         Sirah perjalanannya
·         Pendepanannya di kalangan mereka sezaman, kepimpinan dan pujian mereka terhadapnya
·         Kata-Kata istimewa Abdullah bin al-Mubarak
·         Ungkapan-Ungkapan mengenainya (Shadharat)
·         Kewafatan Ibn al-Mubarak
·         Sanad Penyelenggara terhadap pengarang (Abdullah al-Mubarak)
·         Kaedah tahqiq dan ta`liq al-Kitab oleh penyelenggara.
Dalam membuat rumusan terhadap muqaddimah kita Al-Zuhd wa al-Raqa`iq oleh penyelenggara berbagai-bagai kekaguman dan penghormatan terlintas di dalam minda, bahawa sejak pertengahan abad ke 2H. telah lahir kesedaran tinggi terhadap keilmuan  yang dicetuskan oleh Islam, kesedaran mencatat maklumat-maklumat bidang keilmuan – di sini tentang topik khusus yang dilakukan oleh Abdullah al-Mubarak, sebagaimana telah disebutkan kesedaran ini antaranya dicetuskan oleh kesedaran keilmuan Hadith yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w. Pengaruh dari gaya Hadith banyak terakam berbagai-bagai keilmuan di dalam Islam.
Melalui catatan gaya Hadith ini dapat diketahui:
·         Persoalan  yang dibicarakan di dalam matan
·         Meyakinkan dari segi  ilmiah
·         Dapat diketahui latar bagi ungkapan
·         Mengetahui sejarah terutama berkenaan rawi-rawi
·         Membentuk ciri dan budaya ilmu, khususnya bagi tasawuf.
Sungguhnya tasawuf  ilmu yang sudah wujud di dalam Al-Qur`an  seawal Islam datang, tetapi sebagaimana ilmu-ilmu  lain  yang berasaskan Al-Qur`an  perlu kepada pengolahan, maka demikianlah dengan ilmu tasawuf. Abdullah bin al-Mubarak pemula bagi persuratan tasawuf yang menjadi asas bagi pendukung-pendukung yang lain  meneruskannya.

Sekian.

July 4, 2016

KITAB AL-ZUHD WA AL-RAQA`IQ DAN PENGARANGNYA


BBB, 28 Ramadhan  1437 = 03  Julai 2016 (Ahad):


Telah disebutkan bahawa istilah awal yang lebih digunakan bagi menepati istilah tasawuf ialah `Al-Zuhd`. Banyak karangan yang memaksudkan kepada pengertian sedemikian. Antaranya dihasilkan oleh Al-Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241H./855M.) dengan judul kitabnya iaitu `Al-Zuhd` dan yang lain-lain sebagaimana telah disebutkan. Antara yang mendahului semua itu ialah `Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq` oleh Al-Imam Shaykh al-Islam  `Abdullah  bin al-Mubarak al-Maruzi (m. 181H.). Kalau hendak diterjemahkan judul kitab Ibn al-Mubarak ini adalah bermasud `Kitab Zuhd Dan Kehalusannya` bermaksud `Halus dan Seninya`  zuhud berkenaan. Ini adalah sebagaimana diperkatakan oleh pengarang di dalkam kitabnya setebal  713 halaman sebagaimana  diselanggarakan oleh Al-Ustaz al-Shaykh Habib `Abdul Rahman al-Aa` zami.
Nama dan turunan pengarang ialah Al-Imam al-Hafiz al-`Allamah  al-Shaykh al-Islam, Fakhr al-Mujahidin, Qudwah bagi orang-orang zahid:
`Abdullah bin al-Mubarak bin Wadhih,  Abu `Abdul Rahman al-Hanzaliyy, Maula al-Maruzi, bapanya berketurunan Turki, ibunya berketurunan al-Khuarizmi, seorang saudagar, pengembara yang menghasilkan karangan yang bermanfaat ini disebut oleh al-Dhahabiyy di dalam karangannya  `Tadhkirat al-Huffaz` dan disebut oleh Al-Hafiz al-Qurashiyy di dalam karangannya `Al-Jawahir` sebagai Imam al-Rabbaniyy al-Zahid`.
Ibn al-Mubarak dilahirkan pada zaman pemerintahan Hisham bin `Abdul Malik dari kerajaan Umawiyyah pada tahun 118H. atau setahun lewat dari itu. Ibn al-Mubarak berkesempatan ramai dari kalangan al-tabi`in. Antara kalangan al-salihin  ialah seperti Ibrahim bin al-Adham, Da`ud al-Ta`i dan Sufyan al-Thauri dan dari kalangan al-fuqaha`  ialah Abu Hanifah, Malik dan al-Awza`i.
Abdullah bin al-Mubarak seorang pencinta ilmu. Maklumat pengajiannya dicatat ramai pencatat keilmuan seperti kata Abu Usamah, ``Aku  tidak lihat yang mengatasinya dari segi menuntut ilmu sebagaimana Abdullah al-Mubarak.`. Abdullah al-Mubarak adalah seorang mendalami Hadith dan membuat catatan Hadith di dalam bukunya sebanyak 20 atau 21 ribu Hadith.
Kata Ibrahim bin Shammas, ``Aku melihatnya seorang yang teramat faqih, sewarak manusia dan penghafal Hadith. Menyebut kewarakannya oleh Fudayl bin `Iyad dan tentang penghafalamn oleh Waqi` bin al-Jarrah. Abdullah al-Mubarak dibariskan dengan lima orang terkenal pada zamannya iaitu, Ibn al-Mubarak, Waqi`, Yahya, Abdul Rahman dan Abu Na`im.
Bahkan menyebut Abdul Rahman bin Mahdi. Empat orang terkenal pada zamannya, iaitu, Sufyan al-Thauri, Malik bin Anas,, Hammad bin Zaid dan Ibn al-Mubarak.
Apabila meninggal Abdullah bin al-Mubarak, Khalifah Harun al-Rashid menyatakan,
``Sesungguhnya meninggal Sayyidul `Ulama``
`Ammar bin al-Husain bermadah memuji Abdullah bin al-Mubarak dengan bayt-bayt puisi:
Apabila Abdullah berjalan di laluan malam
Bergerak bersamanya cahaya dan keindahan
Apabila menyebut ilmuan di dalam negera
Dialah purnama di antara bintang menyala.
(Abdullah al-Mubarak, Kitab al-Zuhdi wa al-Raqa`iq, tt:  35-38).
Abdullah bin al-Mubarak terkenal sebagai seorang yang teliti berkenaan keilmuan yang berhubung dengan sanad, bermuzakarah dengan keilmuan dan menghalusi dan mendalaminya  yang melambangkan ketelitian dan prihatin beliau dengan keilmuan.
Ibn al-Mubarak mengarang kitab menyusun, memberi bab-bab. Beliau meluas dan memperdalam ilmu hingga ke Iraq, Hijaz, Sham, Mesir dan Yaman dan ramai mengambil faedah dari keilmuannya.
Majlis ilmunya dihadiri ramai pelajar-pelajar dan beliau menggalakkan perbincangan bagi memperluas persoalan dan kefahaman.
Beliau terkenal sebagai orang yang warak dan merendah diri.
Berkata Abu Umayyah bin al-Aswad, aku mendengan Abdullah bin al-Mubarak berkata:
``Aku suka kepada orang-orang salih dan aku bukan seorang daripada mereka. Aku benci orang-orang talih (jahat) dan aku seorang yang lebih jahat dari mereka.``  Lantas Abdullah mengungkap bayt-bayt bermaksud:
Diam itu permata pemuda
Dari bercakap perkara sia-sia
Bercakap benar pemuda dipercayai
Menjadikan   diri   tidak  diragui
Pemuda   hendaklah  berwawasan
Pada wajahnya tanda kebijaksanaan
Sahabatnya watak-watak meyakinkan
Sesungguhnya mereka cerminan kawan
Seorang  teman boleh dirosakkan
Oleh silap memilih teman
Lebih-lebih lagi  merosakkan
Menjual agama kerana kepentingan.
Seorang lelaki bertanya kepada Abdullah al-Mubarak tentang al-Ribat (organisasi tasawu – Ikatan), dia menjawab, ``Ikatlah  diri engkau dengan kebenaran hingga engkau menemui kebenaran, ianya lebih afdal daripada ribat.
Beliau bermadah tentang memilih kawan, katanya:
Apabila engkau bersahabat pilihlah sahabat
Bersifat pemalu, bersih dan mulia diri
Dia berkata tidak seperti kau kata tidak
Dan berkata ya seperti kau kata ya juga.
Demikian antara perwatakan Abdullah al-Mubarak pengarang kitab terawal tasawuf `Al-Zuhd wa al-Raqa`iq sebagai panduan bagi pembicaraan kandungan kitab berkenaan.

Sekian.


July 3, 2016

TURATH PERSURATAN TASAWUF PERINGKAT AWAL


BBB,  27 Ramadhan 1437 =  02  Julai  2016 (Sabtu):


Kita telah membicarakan tentang pertunbuhan keilmuan  tasawuf dan cuba melihatnya  sejak pada peringkat awal sebagai satu ilmu `Tasawuf`. Ianya adalah sebagaimana keilmuan yang lain contoh akidah dan fiqh. Sebagaimana keilmuan-keilmuan tersebut berasal dari Al-Qur`an, baik dari segi istilah apalagi dari segi kandungan persoalan, demikian juga dengan `Tasawuf` unsurnya terdapat di dalam Al-Qur`an – dan juga Hadith Nabi, tetapi untuk kelahiran dari segi istilah, lebih-lebih lagi dari segi pendekatan mengambil masa. Dari segi fiqh misalnya dengan kelahiran Imam Malik dengan kitab al-Muwatta` dari segi fiqh, manakala dalam bidang akidah dengan kelahiran Ash`ari yang antara kitabnya,  Maqalat al-Ash`ariyyin.
Keadaan yang sama berlaku bagi pertumbuhan keilmuan tasawuf. Pertumbuhannya agak sederhana lambatnya, bermula pencarian terhadap kewujudan istilah tasawuf itu pada peringkat permulaan yang ketara terawal dikaitkan dengan Hasan Basar (m. 110H.)  dan juga Abu Hashim al-Sufi (m. 150H.), maka diambil kesimpulan bahawa istilaha tasawuf lahir pada  awal abad ke 2H.  atau paling lewat pada pertengahannya.  Kemudian diikuti dengan pencarian kelahiran definisi tasawuf itu sendiri yang berlaku pada akhir abad ke 2H. atau selepasnya.
Sesungguhnya pendapat-pendapat mengenai tasawuf itu dilahirkan oleh berbagai-bagai  tokoh sufi. Antara seorang sufi dengan yang lain berlainan bergantung kepada sudut pandangan, keadaan semasa dan tumpuan yang diberikan. Kadang-kadang seorang sufi memberi pandangan yang berlainan bila berada pada situasi berlainan. Pendapat-pendapat sufi atau pengkaji tasawuf pada peringkat permulaan biasanya diwarisi berdasrkan riwayat yang dicatat oleh perawi-perawi sebagaimana gaya riwayat Hadith.
Walau bagaimana pengukuhan  dari segi pendapat seharusnya bersifat penulisan oleh seorang sufi atau yang mengarang berkenaan tasawuf berkenaan. Sesungguhnya karangan bersifat kitab atau buku amat penting sebagai bukti tertulis yang dapat dijadikan hujah, bukan sahaja dari segi tarikh penghasilan kitab, tetapi ialah dari segi kandungan kitab yang bersifat tasawuf berkenaan. Sebagaimana telah diperkatakan bahawa istilah tasawuf bukan istilah terawal yang membawa  ciri-ciri ketasawufan, sebaliknya  pada peringkat awal istlah `Zuhud`  adalah istilah popular terkenal sebagai  pembawa maksud kandungan tasawuf. Istilah  zuhud sebenarnya istilah yang terdapat di dalam Al-Qur`an (Yusuf: 20) disamping terdapat di dalam Hadith-Hadith sebagaimana telah diperkatakan. (Zuhudlah engkau  di dunia engkau dikasihi Allah dan zuhudlah daripada apa yang ada pada tangan manusia nescaya engkau dikasihi mereka –Maksud Hadith- riwayat Ibn Majah) dan Hadith-Hadith  yang  lain.
Sebenarnya, walaupun sesudah istilah tasawuf dipopularkan, maka didapati bahawa penulisan-penulisan yang lebih awal, masih mengambil istilah zuhud sebagai tajuk bagi tulisan atau kitab-kitab penulisan mereka.  Bahkan kitab tasawuf dijangka terawal adakah juga mengambil judul zuhud.
Kitab di maksudkan ialah  `Kitab al-Zuhdi wa al-Raqa`iq`  yang dihasilkan oleh  Al-Imam Shaykh al-Islam Abdullah bin al-Mubarak al-Maruzi (m. 181H.) Ini bererti terhasilnya karangan ini dalam tempoh lahirnya definisi-definisi tasawuf. Penekanan pada aspek zuhud membayangkan bahawa keilmuan tasawuf adalah menekankan pada aspek dalaman yang membawa kesan pada pembawaan diri secara tasawuf. Zuhud adalah pembawaan termanifestasi pada luaran dan pembawaan sebagai pancaran dalaman yang pada peringkat awal ini belum lagi ditekan pada aspek hati sebagaimana menjadi pendekatan popular kemudiannya membicarakan aspek hati, khususnya oleh al-Imam al-Ghazali.
Di dalam kitab `Al-Zuhdi wa al-Raqa`iq`  juga diterangkan betapa popularnya istilah zuhd, sehingga terdapat pada zaman permulaan  (abad 2 & 3H.)  tidak kurang daripada  17 judul karangan tasawuf yang mengambil judul al-zuhd  (tidak diberi judul lengkap)  yang pengarangnya, iaitu:
1)       `Amran al-Musili (m. 185H.)
2)      Al-Hafiz Muhammad bi Fudail bin Ghazwan al-Kufi (m. 195H.)
3)      Imam al-Waqi` al-Jarrah guru Imam Ahmad bin Hanbal (m. 197H.)
4)      Al-Hafiz Asad bin Musa terkenal dengan Asad al-Sunnah (m.212H.)
5)      Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal (m. 241H.).
6)      Al-Hafiz al-Zahid Hannad bin al-Sarri sahabat Waki` (m. 243H.)
7)      Ahmad bin Harb bin Abdullah al-Zahid (m. 234H.)
8)       Imam Abu Daud Sulaiman al-Ash  al-Sijistani (m. 275H.)
9)      Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin `Abid (m. 281H.)
10)   Al-Hafiz al`Alim Ibrahim bin al-Junayd (m. 260H.)
11)   Al-Hafiz al-Qadhi Abu Ahmad  muhammad bin Ahmad al-Asal al-Asbahani (m. 249H.)
12)   Muhammad bin Hussain  Abu Bakar  al-Ajra (m. 360H.)
13)    Al-Hafiz al-Mufid Abu Hafs `Umar bin Ahmad (m. 385H.)
14)   Al-Hafiz Abu Bakar Ahmad bin al-Husayn al-Bayhaqi (m. 458H.)
15)   Al-Imam Abu al-Qasim Khalaf bin al-Qasim al-Andalusi (m. 393H.)
16)   Al-Faqih Abu Ahmad  Muhammad bin  Ahmad bin Shu`ayb al-Shu`bi al-Nisaburi (m. 357H.)
17)   Al-Hafiz al`Allamah `Abd al-Haqq bin Abdul Rahman al-Ishbili (m. 581H.).
(Abdullah al-Mubarak. Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq,  tt. 14-16).
Demikianlah popularnya tajuk Al-Zuhd yang menjadi judul karangan-karangan mereka.
Berkata Ibn Qudamah tujuh perkara yang menjadi kemegahan bagi manusia dan perlu dikawal  dengan zuhud supaya tidak menjadi diri bermegah  dan merosakkan, iaitu:
1)       Zuhud Dan Mengawal Makan Minum
Makan minum  yang melimpah ruah seperti yang berlaku pada bulan Ramadhan, sepatutnya dikawal supaya tidak berlaku pembaziran dan jika berlaku lebihan patut disedekahkan. Berlebihan makan minum bukan saja membazir, tetapi menyebabkan banyak penyakit.
2)      Zuhud Dari Segi Pakaian
Kadang-kadang pakaian bukan untuk menutup aurat, tetapi lebih kepada hendak menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah dengan  fesyen dan kemahalan harga. Wajar jika ada kelebihan disedekahkan kepada anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan.
3)       Zuhud Dengan Tempat Tinggal
Rumah sewajarnya cukup dengan keperluan penggunaan. Rumah menjadi bahan kemegahan, dengan bangunan besar, berada pada tempat strtegik dan menarik. Menjadi kawasan larangan. Jurang perbezaan status dari orang awam.
4)      Zuhud Dengan Peralatan
Menunjuk-nunjuk misalnya dengan kenderaan besar tanpa memikir ianya kadang-kadang mengundang bahaya dari pihak penjenayah dan mereka yang dengki
5)       Zuhud Dari Segi Majlis
Mengadakan majlis mewah seperti perkahwinan dengan peruntukan yang besar, lebih bersifat megah dari melaksanakan tuntutan agama. Kadang-kadang menjadi beban hutang.
6)      Zuhud Dari Segi Harta
Adalah tidak dilarang dari pemilikan harta, tapi harus sederhana dan tidak bersifat menunjuk-nunjuk yang mengundang penjahat mengambil kesempatan dan mengundang jenayah dan kemalangan.
7)      Zuhud Dengan Pangkat Kedudukan
Sewajarnya pangkit sebagai pengiktirafan dan bukan sebagai kemegahan yang mewujudkan jurang dengan  masayrakat awam.
(Abdullah al-Mubarak: 10).
Demikian  Abdullah al-Mubarak menampilkan pendapat Ibn Qudamah yang sebenarnya jika dapat dikawal diri dengan kezuhudan dan kesyukuran  lebih selamat dan lebih menjamin kebahagiaan.

Sekian.


July 2, 2016

BEBERAPA ISTILAH RAPAT DENGAN TASAWUF - Zuhud & WARA`


BBB,  26  Ramadhan 1437 = 01 Julai  2016  (Jumaat):


Antara istilah yang rapat dengan tasawuf, ialah istilah `zuhud ` yang  di dalam maksud  biasa  ialah, sedikit, watak sebagai orang yang memada, imej orang yang berkeperibadaian yang tidak menonjol dan tidak mementingkan diri, bahkan tidak mementingkan dunia dan tidak menunjukkan kemewah-mewahan. Kamus Dewan mengatakan, zuhud  ialah orang yang salih hidupnya dan tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia.
Istilah ini begitu popular di dalam tasawuf. Shaykh `Abdul Qadir bin `Isa di dalam bukunya berjudul `Haqa`iq `an al-Tasawwuf` memetik beberapa takrif tasawuf, antaranya pendapat Ibn al-Jala` yang dipetiuk dari Al-Risalah al-Qushayriyyah oleh Al-Imam al-Qushayri al-Naisaburi,
``Zuhud ialah melihat dunia tanpa dipengaruhi dan tidak mudah berpaling daripadanya.``
Kata al-Imam al-Junayd yang juga dipetik dari Al-Risalah al-Qushayriyyah, ialah memanding kecil terhadap sesuatu yang bersifat keduniaan sebagai kesan tarbiah hati.
Berkata Ibrahim bin Adham putera raja Balakh yang turun takhta itu, bahawa, Zuhud ialah mengosongkan  hati, bukan mengosongkan tangan. Ia merupakan peringkat arifin, adapun pada peringkat muqarrabin ialah mementingkan pendekatan kepada Allah Ta`ala berbanding dengan  yang lain.
Dalam konteks ini zuhud bukan bererti miskin atau papa, tetapi bagi yang zahid mungkin dia berharta, tetapi  tidak melalaikannya dari Allah Ta`ala. Zuhud adalah sifat jiwa yang tidak dilupa dan tidak dipengaruhi material.
Kezuhudan disifatkan sebagai ciri jiwa kesufian yang mendekatkan diri kepada Allah Ta`ala.
Antara ayat Al-Qur`an yang mencerminkan ke zuhudan seperti ayat bermaksud:
``Adapun harta dan anak pinak adalah perhiasan hidup di dunia dan yang kekal ialah amalan-amalan salih terlebih baik di sisi Tuhan engkau yang memberi pahala dan harapan.`` (Al-Kahfi: 46)
Juga ayat bermaksud: ``Dan tidaklah kehidupan di dunia ini melainkan melalaikan dan bagai mainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih menghidupkan kalau mereka itu mengetahui.`` (al`Ankabut: 64). Dan ayat bermaksud:
``Wahai manusia sesungguhnya janji Allah itu  benar, maka janganlah kamu tertipu daya oleh kehidupan dunia dan janganlah kamu diperdaya oleh bisikan syatan hingga melanggar  perintah Allah (Luqman: 33).
Beberapa Hadith juga ada yang dapat difahami sebagai isyarat kepada maksud zuhud. Antaranya:
``Diriwayatkan oleh Sahl bin Sa`ad al-Sa`idi r.`a. berkata: Telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w.  lalu berkata:  Ya Rasulallah, tunjukkan daku satu amal apabila aku melakukannya mengasihi akan daku oleh Allah dan mengasihi akan daku oleh manusia. Bersabda Baginda  kepadanya,  ``Zuhudlah didunia nescaya engkau dikasihi Allah dan zuhudlah pada apa yang ada pada tangan manusia, mereka mengasihi engkau. (Riwayab Ibn Majah di dalam Kitab al-Zuhd)
(`Abdul Qadir Isa, Haqa`iq  an al-Tsawwuf:  346 -348)
Zuhud pada hakikatnya mendidik jiwa kebal dari dipengaruhi atau  kecintaan terhadap dunia, sehingga  terpengaruh dan diri tenggelam di dalamnya yang kemungkinan terdorong kepada perbuatan-perbuatan yang dilarang. Zuhud mendidik diri dengan keperibadian yang mulia. Zuhud bukan bererti menolak usaha dan kerja dari mendapat rezeki kehidupan di dunia, tetapi hendaklah secara yang betul. Ini ditegaskan sebagai olahan makna zuhud bahawa,
``Tidaklah makna zuhud mengosongkan  seorang dari dunia hingga kosong tangannya dari harta dan meninggalkan pekerjaan yang mendapat rezeki halal. Dan jangan membiarkan diri dan keluarga bergantung pada orang. Rasulullah s.a.w. menerangkan maksud hakiki tentang zuhud. Baginda bersabda bermaksud:
``Zuhud didunia bukanlah mengharamkan yang halal dan bukan menghilangkan harta, tetapi zuhud itu bahawa  apa yang ditangan Allah lebih  engkau mempercayai daripada apa yang ada di tangan engkau dan adalah pahala yang diberi kepada engkau lebih engkau gemari lebih lagi dikekalkan kepada engkau.`` Hadith riwayat Abu Dharr, dikeluarkan oleh Al-Tirmidhi -  Hadith Hasan.
Berkata al-`Allamah al-Munawi, bahawa Rasulullah adalah sebaik-baik contoh bagi zahidin, Baginda memakan daging, hulwa dan madu. Baginda mengasihi perempuan, memakai bau-bauan, memakai pakaian yang cantik tidak bersifat boros dan sia-sia. Jaga-jagalah dari kezahidan para ruhban. (Haqa`iq `an al-Tasawwuf: 353).
Zuhud memang istilah tasawuf dan topik yang popular. Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241H./855M.) turut menghasilkan sebuah kitab yang berjudul `Al-Zuhd` yang membicarakan tentang zuhud rasul-rasul dan nabi-nabi, para sahabat, auliya` dan para salihin.
Sebagai contoh diriwayatkan dari  Rasulullah s.a.w.:
Bertcakap  kepada kami `Abdah bin Sulaiman, bercakap kepada kami Hisham bin `Urwah daripada seorang lelaki berkata, ditanya `Aishah r.`anha, Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di rumahnya. Kata `Aishah  adalah Baginda menjahit bajunya yang koyak, menampal seliparnya yang rabak dan sebagainya.`` (Ahmad bin Hanbal, Al-Zuhd, 1403/1983: 9). Selanjutnya Ahmad bin Hanbal meriwayatkan kezuhudan yang lain di dalam bukunya.
Dengan istilah zhud dan istilah-istilah ketasawufan yang lain adalah sebenarnya membina  kandungan tasawuf berkenaan, bahkan istilah-istilah yang penting menjadi sebagai topik bahkan buku yang mengukuhkan pendekatan dan kandungan tasawuf itu sendiri. Misalnya istilah `Wara`` adalah juga istilah berhampiran maksud dengan zuhud. Untuk istilah ini juga Ahmad bin Hambal turut mengarang sebuah buku berjudul `Kitab al-Wara`` Tentang kewarakan Ahmad bin Hanbal;
Berkata Harmalah, Aku mendengar Imam Shafie berkata, Aku tidak menemui seorang kawan di Baghdad  yang lebih   faqih, lebih wara` dan lebih alim seperti Ahmad bin Hanbal` (Ahmad bin Hanbal, Kitab al-Wara`, 1403H.1983M. : 2). Di dalam Kitab al-Wara` ini diriwayatkan tentang kewarakan tokoh-tokoh dan cerita-cerita tentang kewarakan.
Sesungguhnya istilah-istilah seperti ubudiyyah, zuhud, warak  juga seperti muhasabah, khauf, raja`,  sidq, ikhlas sabar, redha, tawakkal, syukur dan  berbagai-bagai istilah ketasawufan  yang lahir mencorakkan pendekatan, kandungan dan keilmuan serta identiti tasawuf itu sendiri. Sesungguhnya istilah-istilah adalah pendukung bagi satu-satu bidang keilmuan dan memperkukuhkannya.

Sekian.


July 1, 2016

PERTUMBUHAN ISTILAH KETASAWUFAN


BBB, 25 Ramadhan 1437 – 30 Jun 2016 (Khamis):


Kelahiran satu bidang ilmu semestinya diikuti dengan kelahiran atau penggubalan istilah-istilah bagi keilmuan tersebut. Pengistilahan penting bagi mendukung dan meluaskan keilmuan tersebut. Istlah-istilah menggambarkan  ciri-ciri keilmuan, pengembangan, pecahan dan klasifikasi bagi keilmuan tersebut sehingga ilmu tersebut matang dengan dukungan  istilah-istilah yang tepat.
Kita telah membicarakan tentang pertumbuhan keilmuan tasawuf dan kelahiran istilah tasawuf dan asal usul istilah itu berlaku selepas seabad kedatngan Islam, biarpun elemen-elemen ketasawufan sudah wujud bersama dengan kedatangan Islam. Kelahiran istilah tasawuf sebagai satu bidang keilmuan tidak cukup. Ianya memerlukan kepada peristilahan-peristilahan yang dapat mendukung keilmuan tersebut. Ianya memerlukan ulama` atau mereka yang pakar di dalam bidang berkenaan yang mengolah  keimuan  berkenaan – pecahan dan bidang-bidang. Mereka tidak lain dari kalangan pendukung tasawuf, pelajar-pelajar,  pengamal-pengamal dan pengkaji-pengkaji.
Penggubalan istilah adalah berkait rapat dengan sifat, ciri dan identiti keilmuan berkenaan. Misalknya  `maudu` ilmu tasawuf  ialah `Allah` sebagai objek dan tumpuan  pembicaraan, di samping ada yang mengatakan maudu` bagi ilmu tasawuf ialah diri insan itu sendiri (diri,  hati dan ruh) (Ibn `Ajibah: Iqaz al-Himam: 5). Ini bererti  fokus pembicaraan ilmu tasawuf terhadap insan dalam hubungannya dengan Allah – Membersih diri – akal, hati dan ruh agar   memungkin diri mendekati Allah.
Dilihat dari aspek yang lain, bahawa hubungan antara manusia dengan Allah, tiada lain sebenarnya, melainkan hubungan hamba (`abd) dengan Allah. Iaitu insan bersifat hamba dan melakukan kepatuhan kepada Allah sebagai yang layak disembah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dan tidaklah aku jadkan jin dan manusia melainkan untuk menyembah akan daku.`` (Al-Dhariyat: 56).
Konsep menyembah Allah secara khusus seperti melalui solat, tetapi ianya bererti lebih luas daripada itu yang merujuk kepada aturan dan hubungan hamba dengan Allah, termasuk  tasawuf. Bahkan ibadat seperti solat dan ibadat-ibadat yang lain adalah merupakan makanisme bag i mematuhi, membersih diri dalam mendekati Allah.
Istilah abd, ibadat, abid, ma`bud, ubbad dan pecahan-pecahan yang lain daripadanya sebenarnya telah wujud seawal Islam di dalam Al-Qur`an mendahului dari kewujudan istilah tasawuf.  Di dalam hubungan Insan dengan Allah ada konsep  perhubungan kehambaan melahirkan istilah yang lebih khusus yang lebih bersifat kerohanian, tasawuf yang juga bersifat kehambaan lahir istilah yang identik dengan tasawuf, iaitu istilah `Ubudiyyah`  Hubungan kehambaan – insan` dengan Allah  yang meletakkan insan pada tahap hamba dan Allah Pencipta` yang kena sembah `Ma`bud`.  Dalam kata lain bagi menggambarkan hubungan, kewajipan dan kepatuhan didukung oleh istilah `Ubudiyyah`. Konsep ubudiyyah bererti keubudiyyah hamba insan  kepada Allah contoh sebagaimana di dalam kandungan Surah al-Fatihah:
1)       Pengakuan ketuhanan yang Maha Esa
2)      Pengakuan bahawa Dialah Pencipta bagi segala
3)      Dia adalah bersifat Rahman dan Rahim kepada hamba
4)      Dialah yang selayaknya disembah
5)      Kepadanya dituju segala permohonan

Konsep ubudiyyah secara khusus menjadi terminologi tasawuf  yang menjadi mekanisme ibadat dan peningkatan kerohanian hamba yang bersih di dalam menuju kepada Allah.
Profesor Emiratus Dr. Muhammad  Kamal Hassan yang pernah mengkaji  konsep `Ubudiyyah kesufiyan berdasarkan karangan Abdul Wahab al-Sha`rani (m. 973H./1493M.) berjudul Al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma`1rifat Qawa`id al-Sufiyyah  mencatat tentang istilah `Ubudiyyah, bahawa:
``The term `Ubudiyyah in a general sense denotes slavery,, bondage, servitude the state or condition of a slave, worship, adoration, devotion, and obidience  with  humality  or submissiveness. In Sufism the term `ubudiyyah refers to the state of absolute servitude of man in relation to the Lord of the universe.`` (Kamal  Hassan, The Sufi Concept of `Ubudiyyah, 1982: 1).
Sebenarnya dalam hubungan `abid  (hamba) dengan Ma`bud (Allah) berlaku pengolahan dari segi doktrin, prinsip dan konsep keilmuan tasawuf, juga hubungan insan sesama insan dan juga alam dan bagaimana pandangan dan seharusnya berinteraksi memperkembangkan keilmuan tasawuf dan berlakunya perkembangan dan pertambahan istilah-istilah yang digunakan yang mempunyai ciri dan tanggapan kesufian.
Misalnya di dalam hubungan abid dan Ma`bud banyak mengambil istilah-istilah yang ada di dalam Al-Qur`an menurut kesesuaian dengan kontekks dan persoalan. Misalnya bagi hubungan yang melihat kekuasaan dan keagungan Allah digunakan istilah sepert Dia al-Qayyum, Al-Qadir, Al-Khaliq. Bagi melihat hubungan ancaman terhadap abid yang tidak patuh kepada Allah digunakan istilah misalnya Al-Muntaqim, Al-Jabbar, Al-Mutakabbir dan bagi menunjukkan hubungan kemesraan digunakan istilah seperti  Al-Rahman, Al-Rahim, Al-`Aziz dan sebagainya.
Di dalam konteks pembaikan diri dan jiwa dalam hubungan dengan sesama insan  digunakan istilah-istilah yang sudah ada atau istilah-istilah yang  diwujudkan menurut kesesuaian seperti nafsu ammarah, lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radiah, mardhiyah, sabar, tenang,  reda, taubat, syukur dan berbagai-bagai lagi. Dalam hubungan dengan sesama insan seperti dengki, khianat, pemarah, baik sangka, tolong menolong, gotong royong dan sebagainya.
Kesufian juga mempunyai hubungan yang bersifat alamiah yang seharusnya bersifat prihatin dan sukakan kebersihan, benci kepada kekotoran,  menjaga hidupan supaya tidak teraniaya dan tidak pupus  dan sebagainya.
Sebagai kesimpulan, bahawa perkembangan sesuatu bidang ilmu akan menyebabkan lahirnya istilah-istilah yang berkaitan dengan bidang berkenaan seperti bidang tasawuf umpamnya. Dengan kelahiran dan pertambahan istilah-istilah tasawuf memperkayakan bidang berkenaan. Ciri  bahasa tertentu seperti bidang tasawuf lebih membawa persoalan dan istilah yang lebih bersifat keagamaan, kerohanian dan estetik. Pertambahan istilah-istilah ketasawufan memperkayakan bidang berkenaan.

Sekian.