October 25, 2016

`ABDULLAH BIN `UMAR ANAK GENERASI AWAL ISLAM BERKEPERIBADIAN TINGGI


BBB,   22  Muharram 1438H. = 23  Oktober 2016 (Isnin):
`Abdullah bin `Umar  atau ringkasnya  Ibn `Umar adalah tidak lain dari anak  `Umar ibn al-Khattab. Dilahirkan di Makkah sebelum Hijrah dan turut sama berhijrah ke Madinah bersama keluarganya. `Abdullah dididik  oleh keluarganya dengan nilai Islam dan memberi komitmen yang tinggi terhadap Islam. Beliau amat rapat dengan Rasulullah, di samping salah seorang adik beradiknya adalah isteri Rasulullah s.a.w. Pada ketika berlakunya peperangan Badar, `Abdullah mendaftar diri sebagai salah seorang tentera yang mau menyertai peperangan berkenaan, tetapi oleh kerana ianya masih dianggap di bawah umur, maka dia tidak  dibenar menyertai peperangan tersebut.
Meskipun Ibn `Umar masih muda, beliau adalah seorang pemuda yang cerdas dan berhati terang. Dia mempelajari berbagai ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah di masjid Madinah dan sepanjang penyertaannya dengan Rasulullah. Melalui didikan secara langsung beliau menjadi seorang yang tinggi akhlak, cermat, hati-hati dan berhemah tinggi. `Abdullah bin `Umar cuba mengikuti peribadi dan apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sehingga apa peristiwa yang pernah dilakukan pada suatu tempat dan bila dia berkesempatan akan dilakukan sebagaimana pernah dilakukan oleh Rasulullah. Dia amat teliti dari segi pengambilan Hadith dari Rasulullah s.a.w. dan cuba mengelak dari berlaku kesalahan ambilan, kekurangan atau tambahan. Dia kemudian menjadi sebagai guru yang dirujuk pendapatnya tentang berbagai-bagai perkara, tetapi dia amat cermat di dalam memberi jawapan atau fatwa yang diajukan kepadanya. Jika sesuatu yang ditanya di luar dari pengetahuannya, maka ia tidak menjawabnya. Ia juga mengelak dari melakukan ijtihad, meskipun dengan ijtihad, jika betul. maka dia akan mendapat dua pahala, dan jika tersilap akan mendapat satu pahala. Ia mengelak dari membuat ijtihad, takut dari berlaku kesilapan.
Kedalaman ilmu pengetahuan Ibn `Umar melayakkannya menjdai kadhi atau Hakim Negara. Beliau pernah dipanggil oleh Khalifah `Uthman bin `Affan dan menawarkannya jawatan Kadhi atau Hakim Negara. Tetapi Ibn `umar menolak. Apabila ditanya mengapa dia menolak jawatan berkenaan. Dia merujuk kepada  kata-kata bermaksud, tiga kadhi yang berhukum, dua daripadanya masuk neraka. Khalifah `Uthman akur dengan hujah Ibn `Umar, tetapi tidak menggalakkan diperbesar-besarkan, lantaran jika semua berpegang sedemikian  akan kosong jawatan dan mengganggu perjalanan pemerintahan.
`Ibn `Umar walaupun dia bersifat zuhud, taqwa dan wara`, beliau adalah seorang peniaga, bahkan saudagar yang berjaya yang dapat dikatakan kehidupannya dan kelurganya dalam keadaan senang lenang, tetapi dengan  kekayaan yang ada padanya, dia tidak lokek dan sentiasa menderma. Jika jamuan diadakan, maka turut dijemput fakir miskin bersama. Selain dari suka menderma, kegemarannya ialah beribadat malam. Beliau berpegang dengan sabda Rasulullah s.a,w. yang bermaksud:
``Sebaik-baik hamba ialah yang beribadat kepada Allah dan jika ia bersolat pada malam hari, maka diperbanyakkan.``
Amalannya yang lain termasuklah membaca Al-Qur`an, tahajjud, witir dan zikir.
Bila berlaku peristiwa pembunuhan terhadap Khalifah `Uthman bin `Affan, beliau pernah dipujuk bagi menggantikan tempat `Uthman, tetapi beliau menolak. Beliau tidak mau melibatkan diri dalam politik. Berhubung dengan pertelingkahan antara `Ali – Mu`awiyah beliau berkecenderungan membela `Ali, tetapi dia mengekang diri dari melibatkan diri dalam konflik. Namun beliau menegur terhadap kekejaman Hajjaj bin Yusof governor pada zaman Mu`awiyah sehingga beliau pernah dianam oleh Hajjaj, tetapi Hajjaj tidak berani bertindak terhadap Ibn `Umar.
`Ibn `Umar seorang yang berusia lanjut - 85 tahun hingga berkesempatan pada zaman pemerintahan Mu`awiyah.  Di dalam memenuhi ruang waktu yang dikurnia Allah dia memenuhinya dengan ibadat dan pengajaran. Beliau adalah salah seorang ulama` terkenal padsa peringkat awal sama seperti `Abdullah bin `Abbas,  `Abdullah bin Mas`ud dan lain-lain lagi. Beliau juga terus menyampaikan Hadith-Hadith Rasulullah, tetapi dengan penuh teliti dan mengelak dari berlaku kesalaham pertambahan dan pengurangan. Sebagai perawi Hadith, maka Hadith-Hadith yang diriwayarkan tidaklah sebanyak seperti oleh Abu Hurairah, Anas bin Malik dan beberapa yang lain. Beliau meriwayatkan antaranya:
1)      Dari Abi `Abd al-Rahman `Abdillah bin `Umar al-Khattab r.`anhuma berkata: ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud), ``Dibina Islam atas lima perkara, mengucap, tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan Haji ke Bayt dan puasa Ramadhan,  Meriwayatkannya oleh Bukhari dan Muslim.
2)      Daripada Ibn `Umar r.`anhuma, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud), ``Aku disuruh memerangi  manusia hingga mereka bershahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah, dan merela  mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Maka apabila mereka lakukan sedemikian terpeliharalah mereka itu dariku darah mereka  dan harta benda mereka, melainkan dengan Haqq Islam dan hisab mereka itu di atas Allah Ta`ala. Riwayat Bukhari dan Muslim.
3)      Daripada Ibn `Umar r.`anhuma berkata, ``Rasulullah s.a.w. memegang dua bahuku sambil berkata: Jadikanlah kehidupan di dunia engkau sebagai orang dagang atau penyeberang jalan. Dan adalah Ibn `Umar r.`anhuma berkata, ``Apabila engkau di waktu petang jangan menunggu pagi. Dan apabila engkau di waktu pagi jangan menunggu petang, ambil kesempatan waktu sihat sebelum sakit dan daripada hidup engkau sebelum engkau mati.`` Diriwayatkan oleh Bukhari.
(Hadith-Hadith di atas dari  al-Arba`in al-Nawawiyyah).
4)      Berkata Ibn `Umar, ``Tidak sampai hamba kepada hakikat takwa hingga hilang apa yang meragukan di dalam dada.
5)      Daripada `Abdullah bin `Umar r.`anhuma daripada Nabi s.a.w bersabda (bermaksud), ``Seorang muslim ialah yang orang-orang muslim selamat daripada lidahnya dan tangannya. Dan orang yang berhijrah ialah yang berhijrah dari apa yang dilarang Allah daripadanya
6)      Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa seorang leleki bertanya  Nabi s.a.w. ``Manakah Islam yang baik ?, Maka bersabda Baginda, ``Engkau memberi makan (kepada faqir miskin) dan memberi  salam kepada orang yang engkau kenal dan yang engkau tidak kenal.
(Hadith-Hadith di atas dari Jawahir al-Bukhari wa Sharh al-Qistillani).
Demikianlah watak dan peribadi `Abdullah bin `Umar yang berusaha mengikuti Rasulullah sebagai uswah hasanah. Dia berusaha mendapatkan ilmu pegetahuan dan mendalam dari segi keilmuan. Dia tidak menyenangi dengan konflik-konflik politik yang berlaku pada zamannya dan bersikap berkecuali. Dia lebih menumpukan kepada ibadat dan melakukan kebajikan. Ibn `Umar adalah contoh yang ideal dari segi ketasawufan.

Sekian.

October 24, 2016

ABU HURAIRAH PERAWI HADITH TERKENAL


BBB, 22 Muharram 1438H. =  23  Oktober 2016 (Ahad):
Buka saja mana-mana kitab Hadith, maka kita akan bersua dengan Hadith-Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Bagaimana dia dapat meriwayatkan begitu banyak Hadith ? Ini ada hubungan dengan latar sejarah dan kehidupan Abu Hurairah dan hubungannya dengan Rasulullah s.a.w.
Nama Abu Hurairah yang sebenarnya pada zaman Jahiliyyah ialah Abu Shams dan bila Islam diberi nama `Abdul Rahman bin Sakhr. Gelaran Abu Hurairah kepada beliau, kerana dikatakan Abu Hurairah sangat kasihan dan mesra kepada hidupan, khususnya binatang. Dikatakan beliau mempunyai kucing peliharaannya yang sangat di sayangi sebab itu dia dipanggil `Abu Hurairah` bererti `Bapa Kucing`.
Ada riwayat yang sedikit berbeza tentang Abu Hurairah, pertama Abu Hurairah dikatakan  adalah seorang yamg miskin, anak yatim  dan mengambil upah bekerja dengan keluarga  Busrah binti Ghazwan.  Bila Hijrah beliau turut sama berhijrah bersama dengan penghijrah-penghijrah peringkat awal yang belum mempunyai kediaman dan belum ada kemudahan dan bersama tinggal di anjung Masjid Madinah dan beliau adalah menjadi penghuni Masjid  Madinah tersebut. Beliau disifatkan sebagai ketua kalangan ahli suffah dan apabila ada berita mau disampaikan, atau  makanan yang mau dibahagikan kepada penghuni-penghuni, maka beliau antara yang bertanggungjawab menyampaikan berita  dan menguruskan pembahagian rezeki yang didapati . Tetapi menurut Dr. Khalid Muhammad Khalid dalam buku `Sejarah 133 Wira Terbilamg`` , bahawa Abu Hurairah datang kepada Nabi pada tahun ke 7H. semasa di Khaibar memeluk Islam.
Apa pun Abu Hurairah mempunyai peluang dan kesempatan yang banyak menemui dan mengikuti pengajaran yang dilakukan di Masjid Madinah. Dari seorang miskin di Madsinah beliau telah mewakafkan dirinya berkhidmat kepada Rasulullah, beliau sentiasa bersama Rasulullah s.a.w. kecuali wakti waktu Baginda rihat.  Lantaran itu beliau banyak mendengar, menghayati dan mudah mengingati apa yang diajar dan di sampaikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.. Abu Hurairah sebagaimana tradisi masyarakat `Arab yang mementingkan hafalan, turut menghafal dari sabda, apa yang dibuat, pembawaan dan segala yang berhubung dengan Baginda.
Adalah dikatakan bahawa selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Abu Hurairah adalah terus mengeluarkan Hadith-Hadith yang pernah diterima dari Rasulullah s.a.w.. Oleh kerana banyaknya Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, adalah dibimbangi berlaku pertambahan dari apa  yang dikatakan oleh Rasulullah atau  berlaku tokok tambah berkenaan Hadith. Jika demikian merosakkan Hadith dan juga hukum hakam dalam Islam itu sendiri, lantaran Hadith adalah sumber hukum dan peraturan di dalam Islam. Menurut fakta Abu Hurairah pernah diuji dari segi kesahihan riwayatnya. Dia dikatakan pernah dipanggil oleh Marwan bin Al-Hakam pemerintah pada zamannya. Dia ditanya tentang Hadith-Hadith yang diriwayatkan, dalam masa dia meriwayatkan Hadith dicatat oleh seorang yang diarahkan oleh pihak Marwan tanpa disedari oleh Abu Hurairah. Pada masa yang lain beliau diminta meriwayatkan Hadith antaranya Hadith yang pernah disebut sebelumnya. Dari perbandingan yang dibuat didapati apa yang pernah disebut sebelumnya adalah bersamaan. Dalam kata yang lain apa yang diriwayatkan dari segi Hadith adalah benar. Abu Hurairah adalah seorang yang cerdas, mudah menghafal dan kuat daya ingatan.  Pengambil-pengambil Hadith dari Abu Hurairah adalah serama i 800 orang.
 Konsep menghafal adalah mnenjadi tradisi orang-orang `Arab sejak zaman sebelum Islam lagi. Ungkapan-ungkapan puisi dan ucapan-ucapan  pemimpin mereka menjadi hafalan dan menjadi warisan yang diperturunkan. Kalau kita lihat puisi-puisi atau ungkapan-ungkapan yang menjadi hafalan ini biasanya dalam jumlah 20 baris, iaitu satu jumlah yang normal bagi hafalan. Tradisi hafalan ini adalah menjadi kaedah biasa dalam pengajian tradisi. Tiap-tiap mata pelajaran yang dipelajari misalnya nahu, fiqh, akidah dan sebagainya mempunyai matan-matan yang menjadi asas maklumat dihafal oleh pelajar-pelajar. Tradisi menghafal Al-Qur`an adalah  tradisi mulia dan siapa yang menghafal Al-Qur`an dipanggil dengan panggilan yang mulia, iaitu `Hafiz` atau `Huffaz` (ramai).
Hadith-Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dengan banyaknya itu melibatkan berbagai-bagai bidang. Sebagai contoh sebuah Hadith dipetik dari kitab Jawahir al-Bukhari wa Sharh al-Qistillani bermaksud:
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata, Adalah Rasulullah s.a.w, keluar  kepada  orang ramai pada suatu hari, maka datang kepadanya seorang lelaki, maka dia bertanya, ``Apakah itu iman ? Maka menjawab (Rasulullah), Iman ialah engkau beriman dengan Allah dan malaikatNya dan pertemuan denganNya, dan dengan rasulNya dan engkau beriman dengan kebangkitan. Dia bertanya, `Apakah Islam ? Maka berkata (Rasulullah), Islam engkau menyembah Allah, dan engkau tidak mensyurik denganNya, dan engkau mendirikan solat, dan engkau menunaikan zakat yang difardhukan  dan engkau puasa pada bulan Ramadhan (tidak disebut haji, kemungkinan lupa – kata sharih).
Dan dia bertanya, ``Apakah itu Ihsan ?. Berkata (Rasulullah), engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNYa, Jikalau engkau tidak melihatNya – Subhanahu wa Ta`ala, maka sesungguhnya Dia melihat engkau. Dia bertanya, Bila berlaku sa`ah (kiamah) ? (Rasulullah)  berkata, ``Tidaklah yang kena soal lebih tahu dari yang menyoal.. Dan aku mengkhabarkandikau dari tanda-tandanya, Apabila melahirkan amah anak kepada tuannya, dan apabila berlumba-lumba meninggi-ninggikan binaan pengembala-pengembala unta. Lima perkara yang tidak mengetahuinya melainakan Allah. Kemudian Nabi s.a.w membaca `Sesungguhnya Allah jua yang mengetahui tentang Sa`ah. ( Al-Ayat). Kemudian dia berlalu, maka berkata Rasulullah s.a.w.a.w. Tanpa kesan dan tidak mereka lihat sesuatu, maka berkata s.a.w. Ini Jibril datang mengajar manusia tentang  agama mereka. Dan berkata Abu `Abdullah. Itu semuanya juga daripada iman..
Jika kita lihat di dalam Matan al-Arba`in al-Nawawiyyah Hadith yang sama (Hadith kedua) diriwayatkan oleh `Umar dengan sedikit perbezaan matan. (Ertinya kebenaran peristiwa yang dilihat oleh Abu Hurairah dan `Umar). Ini membuktikan kebenaran Hadith yang dilihat oleh Abu Hurairah menurut persepsi , penglihatan dan gambarannya. Ini adalah membuktikan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah adalah benar. Demikianlah dengan Hadith-Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang lain.
Dari segi pentadbiran, pada zaman `Umar ibn al-Khattab, Abu Hurairah pernah dilantikkan oleh `Umar menjadi governor di Bahrain. Tetaoi selepas meninggalnya  Khalifah `Umar al-Khattab Abu Hurairah ditawarkan jawatan di tempat yang lain, tetapi beliau menolak. Beliau menumpukan kehidupann di dalam beribadat. Beliau meninggal pada tahun 59H. dalam usia  78 tahun sebagai sahabat  berjasa kepada Rasulullah, keilmuan dan Islam.

Sekian.

October 23, 2016

`ABDULLAH BIN `ABBAS ILMUAN DIDIKAN RASULULLAH


BBB, 21 Muharram 1438H. -  22 Oktober 2016 (Sabtu):
Rasulullah s.a.w. menyampaikan Islam dengan Qur`an, Hadith dan perjuangan Baginda bersama sahabat-sahabat dan dilanjutkan oleh generasi seterusnya. Antara peranan pelanjut yang mengolah dan mentafsirkan Islam ialah para ulama` sebagai warathatul anbiya`. Antara bintang para sahabat yang menyinar dengan keilmuan Islam ialah `Abdullah bin `Abbas atau Ibn `Abbas  yang merupakan sepupu Baginda sendiri. `Abdullah bin `Abbas  bin `Abdul Muttalib bin Hashim.
Ibn `Abbas rapat dengan Rasulullah sejak kecil dan berada di bawah didiukan Baginda dan `Ibn `Abbas diberi gelaran `Khabir Hadzihil Ummah` - `Ilmuan Ummah Ini`. Ibn `Abbas seorang yang cerdas otaknya, teliti, terang hati, kuat ingatan dan hafalan. Beliau sentiasa menghadiri majlis ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah dan menghafal apa yang disampaikan oleh Rasulullah. Meskipun usianya masih muda. (usianya 13 tahun bila Rasulullah wafat).
Satu sifat yang ada pada Ibn `Abbas ialah sifat talib al-ilm  yang suka bertanya mengenai sesuatu masalah yang tidak difahaminya sesuatu dengan pepatah yang mengatakan bahawa:
``Pertanyaan ialah kunci ilmu pengetahuan.``
Beliau pernah dtanya bagaimana dia mendapat ilmu. Beliau menjawab ialah  dengan bertanya dan menggunakan akal sentiasa berfikir.
Adalah dikatakan pernah  persoalan yang mau dipastikan kebenaran beliau menanyakannya kepada 30 orang sahabat. Ini bererti Ibn `Abbas mempunyai ciri ilmuan yang antaranya seharusnya suka membuat penyelidikan. Antara bukti kecerdasan dan kedalaman ilmu yang menandakan beliau juga suka bermutala`ah, bahawa beliau bijak menghurai dan menjelaskan sesuatu persoalan dan mampu berdebat mengenai sesuatu persoalan yang diragunya.
Apabila berlaku pertikaian `Ali – Mu`awiyah, timbul perbahasan mengenai`Tahkim` yang ditimbulkan oleh golongan Khawarij yang mulai lahir pada masa itu. Ibn `Abbas menjawab dan menerangkan persoalan dengan jelas. Beliau mempertahankan Sayyiduna `Ali dengan kedudukannya sebagai Khalifah. Kekuatan hujah Ibn `Abbas dan ketinggian ilmu pengetahuannya menyebabkan kalangan Khawari gerun berdepan dengannya, yang beliau dapat mematahkan hujah lawan (khawarij) dengan tepat dan jelas.
Kecepatan Ibn `Abbas berfikir dan kemampuan memberi penjelasan dengan terang diakui lawan seperti Khawarij, kalangan sahabat seperti  Sa`ad bin  Abi Waqqasa dan `Ubaidah bin `Utbah. Bahkan kalangan Khulafa` al-Rashidin seperti Sayyiduna `Umar bin al-Khattab, `Uthman dan `Ali k.w. sering merujuk pendapat Ibn `Abbas dan membawa ke dalam mesyuarat-mesyuarat bagi menjana fikiran bernas beliau.
Pada zaman Khalifah `Ali  k.w.  Ibn `Abbas telah dilantik oleh Khalifah sebagai Governor di Basrah dan beliau telah m,enjalankan tugasnya dengan baik.
Ibn `Abbas teristimewa di dalam bidang tafsir, beliau adalah dianggap tokoh awal yang menafsirkan Al-Qur`an.  Pendapat-pendapatnya banyak dirujuk oleh pentafsir-pentafsir awal seperti oleh Ibn Kathir. Antara tokoh-tokoh diriwayatkan di dalkam tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir seperti Mujahid, Qatadah, Ibn Jarir, Al-Dahhak, `Ikrimah, al-Suddi dan ramai lagi.
Sebagai contoh  dalam menafsirkan ayat yang melarang dipaksa dan memudaratkan wanita dari segi perkahwinan  dengan mengambil kembali bahagian yang telah kamu berikan kepadanya, Melainkan jika mereka melakukan pekerjaan yang keji yang nyata. (Al-Nisa`: 19) ditafsirkan:
``Ibnu Mas`ud, Ibn `Abbas, Sa`id bin al-Musayyab, al-Shu`bi, al-Hasan al- Basari, Muhammad bin Sirin.  Sa`id bin Juhair,, Mujahid, `Ikrimah, `Ata` al-Khurasani,, al-Dahhak, Abu Qilabah, al-Suddi,, Zaid bin Aslam, Sa`id bin Abi Hilal mengatakan yang dimaksudkan dengan `al-fahsha`` di sini ialah perbuatan zina., iaitu apabila isteri berzina, maka engkau berhak meminta kembali mahar (maskawin) menjadikannya gelisah dan menerima cerai. (Tafsir, Ibn Kathir, al-Nisa`: 19).
Demikian tafsir Ibn Kathir yang sering membuat rujukan kepada Ibn `Abbas dalam berbagai ayat, si samping rujukan-rujukan kepada tokoh-tokoh lain seperti di atas.
Ibn `Abbas selain dari merupakan antara pentafsir awal yang membuat tafisian terhadap Al-Qur`an yang banyak dibuat rujukan terhadapnya, Ibn `Abbas juga terkenal sebagai  perawi Hadith yang meriwayatkan Hadith-Hadith dari Rasulullah s.a.w. dan yang diriwayatkan daripada sahabat-sahabat yang sebagaimana telah disebutkan, beliau adalah seorang yang rajin mencari dan menyelidik ilmu dan juga bersifat teliti. Walaupun Ibn `Abbas seorang yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan langsung menerima ilmu dari Rasulullah s.a.w. tetapi beliau tidaklah  meriwayatkan Hadith  sebanyak seperti Abu Hurairah  atau Anas bin Malik, namun beliau dengan penuh teliti  mempunyai riwayat-riwayat Hadith, walaupun tidak begitu banyak seperti dikatakan. Misalnya di dalam Kumpulan Hadith al-Arba`in al-Nawawiyyah terdapat. Misalnya Hadith ke 33  mengenai `Dakwaan dan perlu sumpah terhadap dakwaan. Hadith ke 37 (Hadith Qudsi), iaitu tentang amalan baik dan jahat, iaitu seorang berhasrat membuat baik, tapi tak dapat dilakukan dia mendapat satu balasan kebaikan yang sempurna, jika dilakukan amalan baik berkenaan maka dia mendapat ganjaran dari sepuluh   kali ganda hingga 700 kali ganda dan gandaan-gandaan yang lebih, manakala yang berhasrat melalkukan kejahatan dan tidak dilakukan dia mendapat satu balasan yang baik, sebaliknya jika dilakukan  kejahatan dia mendapat balasan satu kejahatan dan Hadith ke 39, bahawa Allah memaafkan  kesalahan hamba jika dilakukan secara kesilapan dan kelupaan dan apa yang dipaksa terhadap mereka.
Ibn `Abbas, sesungguhnya ilmuan didikan Rasulullah s.a.w. Terkenal sebagai seorang cerdas, terang hati dan mempunyai kesungguhan dari segi pengajian. Dia sebenarnya adalah sebagai `Ilmuan Ummah` sebagaimana didoa dan digelar oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Dengan kemahuan yang tinggi terhadap ilmu, dia adalah pengolah dan pentafsir terawal terhadap Al-Qur`an. Pendapat-pendapatnya menjadi rujukan oleh pentafsir-pentafsir terawal dan pentafsir kini. Dia juga adalah perawi Hadith yang berwibawa. Dengan kedalaman kefahaman dan ketajaman fikiran , pengolahan dan tafsirannya dia dilihat  begitu berwibawa dan membuka ruang kepada perkembangan ilmu tafsir yang dirintisnya. Beliau juga meriwayatkan Hadith-Hadith  secara berwibawa. Dengan tafsiran dan keilmuan Hadith yang dikuasai Ibn`Abbas adalah pengasas dan pemula bagi keilmuan-keilmuan Islam yang terus menjadi rujukan bagi pendapat tradisi di samping pengolahan-pengolahan yang bersifat kini.

Sekian.

October 22, 2016

AL-BARRA` BIN MALIK REBUT PELUANG BERJIHAD


BBB,  20 Muharram 1438H = 21 Oktober 2016 (Juma`at):
Satu peluang berada pada generasi awal dari kurun awal perutusan Rasulullah s.a.w. ialah  (bagi yang mendapat hidayah) berjihad bersama Rasulullah s.a.w. Konsep jihad adalah luas. Jihad dalaman seperti menjauhi diri daripada sifat-sifat keji dan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji. Jihad bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, jihad diri bagi mengatasi kemiskinan dan menyediakan keselisaan bagi keluarga. Manakala jihad luaran ialah seperti mempertahankan negara dari ancaman musuh, jihad bagi mengatasi kemiskinan masyarakat dan jihad bagi meningkatkan prestasi kemajuan negara. Pada zaman permulaan Islam yang amat mendepani tekanan dan serangan musuh, jihad paling utama pada masa itu ialah jihad menentang musuh bagi menegakkan Islam.
Semua mereka yang berada pada generasi Rasulullah s.a.w. adalah terlibat bagi menegakkan Islam. Hampir semua sahabat semasa Rasulullah s.a.w. adalah terlibat dengan jihad yang bersifat peperangan dengan musuh yang mau menjatuhkan Islam. Antara contoh kesufian yang dipilih oleh Al-Sarraj adalah Al-Barra` bin Malik. Tokoh ini kurang dikenali dan kurang disebut sebagai kalangan sahabat, tetapi kalau disebutkan Anas bin Malik r.a., orang mengenalinya sebagai perawi yang banyak meriwayatkan Hadith daripada Rasulullah s.a.w. Al-Barra` sebenarnya ialah saudara bagi Anas bin Malik r.a. dari seorang ibu yang dikenali sebagai Ummu Salam. Si ibu berkenaan yang mempunyai dua anak dua beradik lelaki, sebagai kalangan sahabat dari generasi muda memang berhasrat agar kedua-duan anak beliau menjadi generasi yang membela Islam . Sebab itu anaknya yang bernama Anas diserah kepada Rasulullah s.a.w untuk menjadi pembantunya sejak dari umur 10 tahun. Ummu  Salam memohon Rasulullah mendoakannya agar menjadi anak yang baik, salih dan diberakati. Dari hubungan Anas dengan Rasulullah s.a.w. beliau menjadi seorang yang alim dan banyak meriwayatkan Hadith-Hadith Rasulullah dan beliau berumur panjang sehingga 99 tahun dan  mempunyai  zuriat yang ramai.
Anak Ummu Salam yang kedua yang menjadi fokus pembicaraan ialah Al-Barra` bin Malik. Beliau mendalam dari segi keilmuan ketuhanan dan minda dan jiwanya tidak luput dari mengingati Allah, sebagaimana firman Allah bermaksud;
``Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan (semasa) mereka  mengiring, dan mereka pula berbaring memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), Wahai Tuhan kami ! tidaklah Engkau menjadikan tanda-tanda ini dengan sia-sia. Mahasuici Engkau, maka peliharakanlah kami dari azab neraka.  (Ali `Imtan: 191)``
Berlainan dengan Anas bin Malik Al-Barra` bin Malik adalah seorang bersemangat berkubar-kubar dan tidak gentar bagi melibatkan diri dengan peperangan yang tujuannya ialah mencari shahid di jalan Allah dan mendapat balasan syurga dari Allah.
Firman Allah bermaksud:
``Mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, nereka itu mendapat kedudukan yang besar di sisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.`` (Al-Taubah: 20).
Lantaran itu dengan semangat yang tinggi, Al-Barra` tidak pernah melepaskan peluang menyertai mana-mana peperangan yang disertai Rasulullah s.a.w. dan juga peperangan yang tidak disertai Rasulullah. Beliau bercita-cita  tidak mati di tempat tidur, tetapi berhasrat untuk meninggal di medan pertempuran.
Pada zaman Khalifah `Umar bin Al-Khattab banyak berlaku peperangan dan pembukaan negeri, Al-Barra` juga mengambil peluang berjihad. Al-Barra` menyertai peperangan Yamamah di bawah kepimpinan Panglima Khalid bi al-Walid. Ternyata  Al-Barra` luar biasa beraninya dengan suaranya yang lantang dan tinggi menggerunkan musuh. Beliau mengalami  luka yang parah, tetapi  akhirnya beliau sembuh dari kesan-kesan perang.
Namun beliau tidak berhasrat mundur dari seruan jihad, bahkan Al-Barra` menyertai beberapa peperangan  berdepan dengan tentera-tentera Rum  dan Parsi dipersempadan syria dan Parsi. Khalifah `Umar ibn al-Khattab menulis surat kepada panglima Sa`ad bin Abi Waqqas di Kufah meminta dikirim tentera ke Ahwaz, juga meminta Abu Musa al-Ash`ari   di Basrah juga menghantar tentera ke Ahwaz. Kedua-dua  pasukan tentera tambahan bergabung  di Ahwaz bagi menentang tentera Parsi. Di dalam kumpulan ini turut serta dalam peperangan ialah  Al-Barra` dan saudaranya Anas. Walau bagaimana di dalam peperangan menentang Parsi Al-Barra` yang menentang dengan kepahlawanan yang tinggi syahid di dalam peperangan dengan wajah tersenyum lantaran hasratnya tercapai – syahid.
Jihad adalah perkara yang amat ditekankan di dalam Islam yang melibatkan banyak perkara. Jihad adalah daya gerak dan kemahuan yang tinggi bagi sesuatu motif yang suci dan kudus dan dipandang mulia dan tinggi. Dengan jihad dapat mencapai objektif yang mulia, sebaliknya tanpa ada kemahuan jihad, maka akibat negatif akan dialami yang merugikan semua. Bayangkan jika tidak ada tentera mempertahankan tanah air, maka negara akan dikuasai oleh pihak asing dan semua pihak mengalami kerugian dan kehinaan. Bayangkan jua tanpa jihad pasukan keselamatan, maka semua pihak hilang keselamatan dan kedamaian yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau sebarang nilai material. Bayangkan juga jika individu tidak berjihad mempertahankan maruah diri atau menjauhi dari perkara-perkara keji, maka dia terjatuh di dalam kehinaan. Pokoknya dengan jihad para mujahidin pada zaman Rasulullah Islam dapat dipertahan dan dikembangkan hingga kita termasuk antara yang menerima hidayah dan kebaikan Islam. Jihad mereka yang mempertahankan kemerdekaan dan keselamatan negara kita dapat menikmati hidup dalam aman dan selesa.
Satu fakta yang dapat diambil kesimpulan lagi, bahawa tasawuf tidak terhad kepada aspek dalaman diri peribadi semata-mata seperti zuhud, wara`, taqwa dan sebagainya,  tetapi juga melibatkan masyarakat dan negara. Al-Sarraj banyak mengambil contoh bahawa selain dari menekankan aspek tasawuf yang bersifat peribadi, bahawa Jihad adalah juga sebagai elemen tasawuf, iaitu yang bersifat  pertahanan negara, keselamatan  penduduk,  kecukupan dari segi keperluan ekonomi dan berbagai-bagai kemudahan yang bersifat kemasyarakatan adalah merupakan jihad dan mereka yang terlibat di dalam  menjayakan  keperluan-keperluan berkenaan dan dilakukan secara bersih, insaf dan kerana Allah, mereka juga sebenarnya mengamalkan nilai-nilai tasawuf kemasyarakatan !

Sekian.

October 21, 2016

`ABDULLAH BIN MAS`UD ISTIMEWA DENGAN BACAAN AL-QUR`AN - ILMUAN

BBB,  19 Muharram 1438H. =   20 Oktober 2016M. (Khamis):
Membaca dan memahami tentang sejarah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.  membantu kita mendalami tentang shakhsiyyah dan perwatakan  mereka  yang mengukuhkan dakwah dan perjuangan Rasuluillah s.a.w.  dan menjadi contoh teladan bagi kita sebagai ikutan. Salah seorang dari mereka yang disebut oleh Al-Sarraj di dalam Al-Luma`nya  ialah `Abdullah bin Mas`ud atau secara ringkasnya adalah  dikenali dengan  Ibn Mas`ud.
Dari segi latar Ibn Ma`ud adalah dari keluarga yang miskin di Makkah, bertubuh kecil dan kurus. Sejak remaja beliau menjadi gembala kambing kepada pemiliknya  iaitu `Uqbah bin Mu`ith. Rasulullah dan Sayyiduna Abu Bakar pernah menemuinya di kawasan gembalaan dan mendapati dia seorang yang cerdas dan menjangka dia kelak  akan menjadi seorang yang  `Berkeilmuan Tinggi`. Ibn Mas`ud adalah dari kalangan sepuluh terawal memeluk agama Islam dan terus mempunyai hubungan yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan banyak menghafal ayat-ayat Al-Qur`an dari Rasulullah. Keistimewaan Ibn Mas`ud dengan rapatnya beliau dengan Rasulullah secara langsung dan tidak langsung beliau menerima dan mendapt ilmu-ilmu  daripada Rasulullah s.a.w. Dengan itu beliau dapat menyampaikan keilmuan yang ada padanya kepada yang lain.

Satu keistimewaan lagi bahawa Ibn Mas`ud mempunyai suara yang merdu dan begitu indah dan fasahah di dalam membaca Al-Qur`an. Kemampuan membaca Al-Qur`an dengan baik dan kefahamannya tentang keilmuan Islam dari kandungan ayat-ayat Al-Qur`an  mengistimewakannya di kalangan masyarakat. Pada permulaan Islam tradisi mengungkap puisi memang terkenal di kalangan masyarakat menjelang Islam. Mereka bermegah dengan penyair-penyair seperti Al-Walid bin al-Mughirah, Labid, Hassan bin Thabit dan sebagainya. Tetapi mereka ini bila berdepan dengan Al-Qur`an, mereka mengaku tentang keistimewaan Al-Qur`an dan setengahnya tegak sama membela Islam dengan  puisi-puisi mereka  seperti yang dilakukan oleh Hassan bin Thabit yang terkenal sebagai Penyair Rasulullah. Jadi keistimewaan yang ada pada Ibn Mas`ud membaca Al-Qur`an dan memahami kandungan dan hukum hakam mengistimewakan beliau di dalam mendepani pakar-pakar bahasa dan puisi zaman Jahiliyyah dan mengatasi mereka dari segi keilmuan
Keistimewaan Ibn Mas`ud dapat dilihat dari hubungan beliau dengan Rasulullah, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berpesan bermaksud:
``Berpegang teguhlah kamu  kepada ilmu yang diberikan oleh  Ibn Umm `abdin (bermaksud Ibn `Umar).
Bermaksud keilmuan Al-Qur`an dari segi tartil, fasahah dan tajwid dan keilmuan-keilmuan yang dapat dikeluarkan daripada kandungan ayat-ayat Al-Qur`an dan diterima langsung dari Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya Rasulullah suka mendengar bacaan al-Qur`an yang dibacakan kepada Baginda, khususnya dari Ibn Mas`ud:
Baginda pernah meminta Ibn Mas`ud membaca ayat-ayat Al-Qur`an, tapi Ibn Mas`ud agak kaget bagaimana Al-Qur`an yang diturunkan kepada Baginda, tiba-tiba Baginda meminbtanya membacanya.. Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa Baginda ingin mendengarnya dibaca oleh orang lain. Antaranya Ibn Mas`ud membaca ayat-ayat bermaksud:
``Maka bagaimanakah (keadaan  orang-orang kafir pada hari akhirat kelak) apabila kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), Dan kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini.
Pada hari itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika sekiranya mereka disamaratakan dengan bumi. Dan (pada ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah katapun dari pengetahuan Allah.`` (Al-Nisa`: 41-42)
Pembacaan ayat ini menyentuh hati Rasulullah s.a.w. menyebabkan Baginda menangis.  Terdapat lagi peristiwa-peristiwa yang lain yang diminta Rasulullah dari orang lain membacanya.
Pada tempat dan masa yang lain di hadapan khalayak yang lain turut dibaca oleh Ibn Ma`ud yang membuka hati dan jiwa bagi yang mendapat hidayah dari Allah untuk beriman.
Ibn Mas`ud adalah menjadi contoh teladan bagi para huffaz dan qurra` pada zamannya dan keistimewaannya membaca Al-Qur`an dan mendalami kandungannya adalah terus menjadi contoh teladan kepada huffaz dan qurra` hingga kini.
Sungguhpun Ibn Mas`ud rapat dengan Rasulullah s.a.w., tetapi secara relatifnya beliau tidak banyak meriwayatkan Hadith-Hadith, kerana beliau begitu teliti dan takut tersilap dari segi  meriwayatkan. Bila beliau memperturunkan riwayat dikatakan beliau tidak tenteram kerana takut berlaku kesilapan. Di dalam Hadith Al-Arba`in oleh Al-Imam al-Nawawi hanya terdapat dua Hadith diriwayatkan oleh beliau satu daripadanya Hadith Keempat tentang kejadian manusia hingga ke akhir hayat jika pada akhir hayatnya berakhir dengan kejahatan, masuk neraka, tetapi jika diakhir dengan kebaikan masuk syurga. Sedang sebuah Haduth lagi ialah Hadith ke 14 bahawa Ibn Mas`ud berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud,
``Tidak halal darah seorang muslim, melainkan dengan salah satu daripada tiga perkara, iaitu janda yang berzina, dan jiwa dengan jiwa dan yang meninggalkan agamanya yang memisahkan dari jamaah (kaum muslimin). Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Ibn Mas`ud turut sama berjuang dan bersama di dalam peperangan-peperangan yang disertai Rasulullah s.a.w, termasuklah peperangan Badar. Dalam kehidupan harian Ibn Mas`ud terkenal sebagai seorang yang salih dan bertaqwa. Kerana beliau diberi kepercayaan dan bebas berhubungan dengan Rasulullah s.a.w. sehingga beliau digelar sebagai `Peti Rahsia Rasulullah`.
Pada zaman pemerintahan Khalifah `Umar bin al-Khattab beliau telah dilantik oleh Khalifah sebagai Pemerintah di Kota Kupah dan menjalankan tugasnya dengan  baik. Tetapi pada zaman Khalifah `Uthman bin `Affan beliau tidak menyetujui sikap Khalifah `Uthman menyebabkan hubungannya dengan `Uthman tidak begitu baik, tetapi dari segi pentadbirabn beliau menjalankan tugas dengan baik dan tidak mensabotaj polisi-polisi yang dijalankan oleh `Uthman  bagi menunjukkan bahawa beliau tidak bercanggah dengan pemerintahan `Uthm
Ibn Mas`ud terkenal sebagai ilmuan pada zaman awal Islam dan qari Al-Qur`an  yang menjadi teladan bagi qari-qari  hingga sekarang.

Sekian.

October 20, 2016

ABU `UBAIDAH IBN AL-JARRAH KEPERCAYAAN RASULULLAH


BBB, 18 Muharram  1438H. =  19 Oktober 20`6 (Rabu):
Benarlah dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang memaksudkan bahawa sebaik-baik mereka adalah yang berada pada kurunnya dan diikuti dengan kurun-kurun berikut dan seterusnya (Maksud Hadith riwayat `Imran bin Al-Hus*ayn – Jawahir al-Bukhari, tt. 357). Kita mengkagumi sahabat-sahabat yang bersama Rasulullah s.a.w. menegakkan Islam. Mereka benar-benar adalah generasi pilihan, tetapi jangan  pula  lupa ada  yang malang, mereka yang tergolong sebagai penentang seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya.
Antara yang tergolong sebagai kalangan terawal menerima Islam yang dicatat oleh Al-Sarraj sebagai contoh kesufian ialah Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah. Beliau adalah dari kalangan keturunan Quraisy Makkah. Sedang kaum Quraisy yang bermegah dengan kabilah dan keturunan mereka yang mulia mempertahankan status kedududukan, pegangan tradisi dan budaya mereka dan menentang habis-habisan terhadap dakwah Rasulullah s.a.w. maka Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah adalah salah seorang penerima Islam pada peringkat awal.  Beliau menerima Islam melalui Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq. Nama penuhnya ialah Abu `Ubaidah Amir bin `Abdullah Ibn al-Jarrah yang mempunyai tubuh badan yang tinggi, tetapi kurus berjanggut nipis dengan dua batang gigi hadapannya tercabut yang berkait dengan peristiwa kudus dalam perjuangannya. Dengan perwatakannya yang meyakinkan dan kejujurannya , Rasulullah menggelarkannya sebagai `Amin al-Ummah` (Kepercayaan Ummah). Gelaran ini tidak setakat gelaran semata-mata, tetapi  terbukti dengan rentetan perjuangannya.
Tatkala pengikut Nabi pada peringkat permulaan menghadapi tekanan kafir Quraisy, Abu `Ubaidah menyertai kumpulan kali kedua berhijrah ke Habasyah. Tetapi beliau tidak tenteram tidak bersama Rasulullah di dalam perjuangan menegakkan Islam. Lantaran itu beliau pulang dan bersama-sama dalam membantu perjuangan Rasulkullah s.a.w. Beliau menyertai Rasulullah dalam peperangan Badar dan turut sama di dalam peperangan Uhud. Di dalam peperangan ini  (Uhud) yang diketahui tujuan kafir Quraisy ialah untuk menghapuskan Rasulullah, sebab itu beliau terus melindungi Rasulullah. Beliau menengkis panah dari musuh terhadap Rasulullah. Pada peringkat yang lebih sengit apabila  dua gigi rantai baju perang Rasulullah melekat pada pipi Rasulullah,  Abu `Ubaidah yang sebelumnya secepat kilat menyerbu musuh dan mengkucarkacirkan mereka,  beliau menggunakan giginya mencabut satu mata rantai dari pipi Rasulullah sehingga satu batang giginya tercabut dan seterusnya mencabut satu lagi mata rantai  pada pipi Rasulullah s.a.w. sehingga gigi keduanya tecabut, sebagaimana digambarkan sebelumnya perwatakannya yang tidak mempunyai dua gigi utamanya.
Apabila rombongan dari Najran dan Yaman datang menemui Rasulullah dan menerima Islam. Pihak rombongan memohon dari Rasulullah menyertai mereka pulang dengan seorang guru yang akan mengajar dan membimbing mereka di dalam hal ehwal keislaman, maka orang yang dipilih oleh Rasulullah tidak lain dari Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah.
Kepahlawanan `Ubaidah Ibn al-Jarrah diiktiraf dalam mana beliau telah dihantar membantu kepimpinan `Umar bin al-`As  dalam  peperangan `Dzat al-Salasil` yang mana dalam ketumbukan tentera tersebut bersama ialah Abu Bakar dan `Umar Ibn al-Khattab.
Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. kesetiaan terus diberikan oleh Abu `Ubaidah terhadap khalifah-khalifah yang dilantik . Beliau memilih kehidupan  secara zuhud, taqwa, amanah dan teguh hati dan tidak terlintas dihatinya untuk mendapat habuan harta benda dan kedudukan. Beliau terus diberi kepercayaan memimpin pasukan ketenteraan. Misalnya satu kisah terkenal bahawa beliau telah dihantar bagi memimpin expedisi yang dikenali dengan `Expedisi al-Khabath`  - bermaksud `Daun`. Beliau memimpin 300 orang dengan bekalan hanya sebakul kurma. Dalam expedisi berkenaan, walaupun mereka berjimat, tetapi bekalan tidak kecukupan. Bagi mengatasi kelaparan mereka telah menumbuk daun-daun menjadi serbuk dan di makan dan daun berkenaan menjadi bekas minuman. Ia merupakan ujian bagi pasukan yang dapat mengatasi kegawatan yang dihadapi.
Pada zaman Khalifah `Umar Ibn al-Khattab setelah  Khalifah menghantar Khalid bin al-Walid ke medan tempur di kawasan pemerintahan Rum dan Parsi di kawasan Syria,, maka Sayyiduna `Umar kemudiannya membuat keputusan menggantikannya  mengambil  tempat Khalid Ibn al-Walid, tetapi surat yang tiba kepada Abu `Ubaidah dalam masa perang sedang berlaku, maka atas kepentingan strategik peperangan Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah sengaja merahsiakan surat sehinggalah peperangan selesai dan dimenangi oleh pihak Islam, maka maklumat itu baru disampaikan. Ini mencerminkan kemuliaan hati Abu `Ubaidah yang beliau tidak tamak kepada pangkat dan pimpinan. Pengambilan alih kepimpinan tentera adalah atas kepatuhan kepada arahan khalifah.
Berikut daripada itu Khalifah `Umar ibn al-Khattab pergi ke Syria, dan dari pemergiannya beliau turut membuat penilaian terhadap kepimpinan Abu `Ubaidah dan dari tinjauan berbagai pendapat, penduduk adalah berpuashati di atas kepimpinan Abu `Ubaidah. Semasa kunjungan Khalifah `Umar ibn al-Khattab dia sempat ke rumah Abu `Ubaidah dan didapati tiada apa perabut dan perhiasan di dalam  rumahnya kecuali pedang, perisai dan pelana kenderaan berkudanya. Abu `Ubaidah meneruskan hidupnya secara zuhud, taqwa dan kepercayaan yang teguh.
Semasa betugas di Syria inilah Abu`Ubaidah Ibn al-Jarrah meninggal dunia, iaitu di kawasan yang pernah menjadi sebahagian dari empayar Rum dan Parsi. Adalah Khalifah `Umar al-Khattab menyebut-nyebut bahawa Abu `Ubaidah adalah merupakan salah seorang calon yang kemungkinan akan menggantikannya, tetapi Abu `Ubaidah terlebih dahulu berpulang ke rahmatullah.
Jika diperhatikan bahawa konsep sufi berdasarkan contoh yang dipilih oleh Al-Sarraj , walaupun zuhud, wara` dan taqwa sifat sufi bukan bererti mengasingkan diri dan tidak terlibat dengan perjuangan sebaliknya mereka adalah pejuang-pejuang yang berjuang di medan peperangan dan pada masa yang sama kuat beribadat, bersifat zuhud, wara`, mempunyai akhlak yang mulia dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap masyarakat dan umat. Mereka sepert Mu`adz bin Jabal, Imran bin al-Hus*ayn, Salman al-Farisi, Abu al-Darda`, Abu Dzar al-Ghifari, Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah sebagaimana telah dibincangkan dan ramai lagi yang bakal dibincangkan. Keutamaan dari segi kesufian ialah mereka yang jujur, patuh kepada perintah Allah dan menjauhi larangaNya , zuhud, wara`, amanah dan  berakhlak dengan nilai-nilai akhlak yang baik. Jika nilai-nilai berkenaan ada pada individu, masyarakat lebih-lebih lagi pada pimpinan maka ianya dapat memberi  sumbangan kepada kesejahteraan dan keamanan masyarakat dan negara.

Sekian.

October 19, 2016

ABU DZARR AL-GHIFARI PERTAHAN KEBENARAN RELA BERSENDIRIAN


BBB,  17 Muharram 1438H. = 18 Oktober 2016M. (Selasa):
Nama sebenar bagi Abu Dzarr al-Ghifari ialah Jundub bin Janadah dari kabilah Ghifar sebuah perkampungan di padang pasir di luar Makkah. Semenjak Rasulullah s.a.w. dibangkitkan dan Baginda masih menyeru agama Islam secara senyap-senyap, tetapi berita kebangkitan ini telah sampai ke telinga Abu Dzar. Berita tentang agama baru ini menggerak kuat hatinya untuk mengetahuinya secara lebih dekat. Secara persendirian Abu Dzarr merentas padang pasir ke Makkah dan berjaya menemui Rasulullah di persembunyian secara persendirian. Beliau mendengar bacaan Al-Qur`an dan penerangan dari Rasulullah tentang Islam dan lantas mengucap dua kalimah shahadah. Beliau adalah merupakan kumpulan pertama enam orang yang terawal memeluk Islam. Abu Dzarr seorang keras pendirian dan tidak takut menghadapi ancaman. Beliau bertekad tidak akan pulang ke perkampungan Ghifari, tanpa mengumumkan tentang Islamnya. Dia pergi ke Baitullah dan mengumumkan pengislamannya kepada orang ramai, menyebabkan beliau dipukul. Berita sampai kepada `Abbas bin `Abdul Muttalib dan beliau pergi mengingatkan kepada pembesar-pembesar Quraisy bermaksud,
``Tuan-tuan adalah pedagang-pedagang yang berulang alik antaranya melintasi kampung Ghifari, tindakan tuan-tuan terhadap Abu Dzar mengundang bala yang mungkin mereka  membuat  sekatan  terhadap jalan perdagangan.``
Abu Dzar bertanya Rasulullah apa yang seharusnya dilakukan, beliau dinasihati Rasulullah agar pulang mendakwah kepada penduduk kampungnya. Sekembalinya Abu Dzarr ke kampung, beliau telah berjaya mengislamkan semua kaumnya baik kecil, besar, tua  muda, lelaki dan perempuan, bahkan lebih daripada itu beliau juga turut mengislamkam kabilah Aslam yang berjiran dengan kampungnya.

Apabila Hijratul Rasul s.a.w. dan sahabat-sahabat berhijrah ke Madinah, tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada Rasulullah s.a.w. Abu Dzar memimpin kedua-dua kabilah – Ghifari dan Aslam sama berhijrah dan menyokong Rasulullah. Pada ketika kesampaian kedua-dua kabilah di pinggir Madinah dan kelihatan debu padang pasir menggelap pandangan, pada jangkaan penduduk Madinah ada serangan musuh dari pihak Quraisy, tetapi ternyata yang datang mengukuh sokongan ialah kabilah Ghifari dan Aslam yang sungguh menggembirakan Rasulullah s.a.w. dan juga penduduk Madinah. Menyambut mereka Rasulullah mengucapkan ungkapan yang menggembirakan mereka . Maksud sabda Rasulullah s.a.w.
``Kabilah Ghiffar yang di ampunkan Allah kepada mereka. Dan
Kabilah Aslam yang Allah menyelamatkan mereka.``
Abu Dzarr bersama Rasulullah dan sahabat-sahabat sama berdakwah dan berjihad menyibarkan Islam serta turut mendalami keilmuan-keilmuan Islam yang disampaikan Rasulullah. Abu Dzarr sendiri meriwayatkan Hadith-Hadith Rasulullah s.a.w. antara Hadith bermaksud:
Dari Abi Dzarr  Jundub bin Junadah dan Abi `Abd al-Rahman Mu`adz bin Jabal r. `anhuma daripada Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud:
``Takutlah kepada Allah di mana saja engkau berada, ikutlah kejahatan dengan kebaikan boleh menghapuskannya dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik. Meriwayatkannya oleh Al-Tirmidzi. Dan dikatakan Hadith Hasan dan pada setengah naskhah Hasan Sahih.
Pengajaran dari Hadith ini menjadi pegangan Abu Dzar. Dia menegakkan kebenaran dan tidak takut kepada siapa melainkan Allah, walaupun tindakannya menyebabkan beliau kehilangan kawan.
Menyebut tentang Abu Dzarr Al-Sarraj memetik maklumat berhubung dengannya dengan mengatakan.
``Adapun mengenai  Abu Dzarr r.a., maka sesungguhnya diriwayatkan daripadanya, bahawasanya ia berkata, ``Perdirianku tentang kebenaran tentang Haqq  Allah Ta`ala, menyebabkan tidak ada yang tinggal bersamaku seorang kawan. Sesungguhnya takutku pada hari hisab tidak tinggal pada tubuhku sebarang daging. Dan keyakinanku pada pahala dari Allah Ta`ala hingga tidak ada sesuatu di rumahku.
Kekerasan Abu Dzar di dalam menegakkan kebenaran dapat dilihat dari sikapnya terhadap Mu`awiyah bin Abu Sufyan semasa menjadi governor di Syria semasa pemerintahan Khalifah `Uthman bin `Affan dan Abu Dzarr juga diutuskan ke sana dalam rangka mengukuhkan pemerintahan dan agama Islam di sana. Abu Dzar tidak menyenangi sikap Mu`wiyah bin Abu Sufyan yang hidup bermewah-mewah. Dia menentang secara terbuka dan berdebat dengannya, menyebabkan Mu`awiyah tidak selesa. Apa lagi Abu Dzar menubuh sebagai satu NGO yang terdiri dari suara rakyat jelata yang menyuarakan ketidaksenangan mereka terhadap sikap Mu`awiyah yang melampau-lampau dari segi kemewahan. Mu`awiyah merasa kedudukannya tergugat , kerana ia bukan saja ditentang oleh Abu Dzarr, tetapi oleh rakyat jelata, menyebabkan Mu`awiyah menulis surat kepada `Uthman yang menganggap  tindakan Abu Dzarr merosakkan kestabilan dan keamanan penduduk. Sayyiduna `Uthman menurut kehendak Mu`awiyah  dan memanggil Abu Dzarr pulang ke Madinah bagi memudahkannya mengawalnya.
Oleh kerana pihak pemerintah tidak mendengar kritikannya, maka apabila kemudiannya  beliau ditawarkan untuk menjadi Amir di Iraq, maka beliau menjangka beliau akan menghadapi masalah yang sama sebagaimana di Syria, lantaran itu tawaran yang dibuat kepadanya ditolak. Beliau tidak memandang pangkat dan elaun bulanan yang bakal didapatinya, apa yang dipentingkan ialah kebenaran dan perjalanan menurut batas keislaman.
Pada akhir hayatnya Abu Dzarr mengambil keputusan untuk mengasingkan diri dari masyarakat. Dia dan isterinya memilih tempat di Padang Pasir – tempat bernama Rabazah. Di sini dia bersama isterinya menghabiskan sisa-sisa hidup dengan beribadah dan mendekati diri dengan Allah. Selama lebih dua dekad dia berjuang bagi menegakkan Islam dan meninggal dalam keadaan dagang. Tepat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. berhubung dengan episod kehidupan Abu Dzarr yang bermaksud:
``Allah merahmati Aba Dzarr, dia berjalan berseorangan (untuk menemui Rasulullah untuk menerima Islam), dia  mati berseorangan dan akan dibangkitkan secara berseorangan.``
Demikian episod hidup seorang yang berprinsip. Dia meninggal terus berpegang dengan prinsip kebenaran.

Sekian.