December 7, 2016

`ULUM AL-AHWAL PERTAMA AL-KALABADZI IALAH AL-TAUBAH


BBB,  06 Rabi`ul Awwal 1438 = 06 Disember 2016 (Selasa):
Baik bagi Al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf, maupun oleh Al-Sarraj dari peringkat yang lebih awal di dalam Al-Luma` , maupun  bagi `Abdul Qadir bin `Isa di dalam Haqa`iq `an al-Tasawwuf semuanya mengambil `Al-Taubah` sebagai tahap pertama perjalanan kualiti kerohanian sufi di dalam menuju kepada Allah. Bagi Al-Sarraj dan `Abdul Qadir bin `Isa yang kedua-duanya  mengklasifikasikan perjalanan kualiti kerohanian ini kepada maqam dan hal, kedua-duanya meletakkam `Al-Taubah` adalah pada tahap `Maqam`. Sedangkan bagi Al-Kalabadzi yang tidak membuat pengkategorian sebagaimana Al-Sarraj dan `Abdul Qadir, sudah tentulah meletakkan  pada bahagian hal.
Dari segi meletakkan `Al-Taubah`  seawal pembicaraan adalah wajar, lantaran tasawuf sebagai – antara ciri bermaksud dan berkonsep `Bersih`, bagaimana hendak memulakan perjalanan kualiti, jika diri masih bergelumang dengan dosa – dosa silam dan dosa keklinian. Langkah permulaan ialah dengan bertaubat, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang berimanan  bertaubatlah kepada Allah sebagai taubat nasuha.`` (Al-Tahrim: 8).
Al-Sarraj memberi penerangan bahawa, taubat ialah awal maqam bagi siapa memutuskan azam di dalam menuju kepada Allah. `Abdul Qadir dengan lebih jelas menyatakan bahawa taubat ialah kembali daripada apa yang dikeji shara` kepada apa yang dipuji shara`. Katanya dia adalah permulaan jalan bagi salikin, kunci kebahagiaan muridin dan syarat bagi sah perjalanan kepada Allah. Manakala Al-Kalabadzi terus mengambil pendapat Al-Junayd bin Muhammad sebagai penerangan kata taubah.
Menurut Al-Junayd, taubah ialah engkau melupakan dosa engkau (Bermaksud tidak akan kembali melakukannya). Al-Kalabadzi seterusnya memetik pendapat Sahl bin Abdullah yang bercanggah dari segi lahir. Bagi Sahl taubah bahawa engkau tidak lupa dari dosa engkau (Kesal) dan menginsafkan diri.
Al-Kalabadzi juga memetik pendapat Ruym, bahawa makna taubah, bahawa engkau bertaubat daripada taubat, maknanya sebagaimana kata Rabi`ah  al-`Adawiyyah:
``Aku memohon kepada Allah daripada sedikit sidqku pada perkataannku astaghfirullah.``
Al-Kalabadzi juga memetik pendapat al-Husain al-Maghazili tentang taubah. Maka dia berkata, ``Engkau menanyaku daripada taubat inabah atau taubat al-istijabah ? Maka ditanya orang kepadanya , ``Apa itu taubah al-inabah ?` Maka katanya, Engkau takut kepada Allah Ta`ala, kerana kudratNya ke atas engkau. Dan dia ditanya `Apa itu taubat al-istijabah?.  Maka katanya, Engkau malu kepadaNya, kerana dekatnya dengan diri engkau.
Menurut Dhu al-Nun al-Misri, taubat  ada beberapa  kategori, iaitu
Taubat `Am, iaitu taubat daripada dosa.
Taubat Khas, iaitu taubat daripada lalai.
Taubat al-anbiya`, (Bukan kerana dosa tapi penglahiran rasa hamba). Pastilah tahapnya tidak dapat sampai oleh yang lain.
Berkata Al-Nuri, Al-taubah ialah engkau bertaubat lantaran mengingat sesuatu yang lain daripada Allah `Azza wa Jalla.
Dan terakhir yang dipetik al-Kalabadzi ialah pendapat Ibrahim al-Daqqaq. Menurutnya, Taubat ialah engkau menumpu kepada Allah secara bermuraqabah dan takut.
Dilihat kepada konsep maqam dan hal kepada taubah, maka taubah pada peringkat awam dan biasa, ialah gambaran seseorang yang sebelum daripada itu adalah kemungkinan seorang yang jauh dari Allah, tidak taat, bahkan tidak mengamalkan kewajipan fardhu diwajibkan ke atas seorang muslim. Dia ditakdirkan insaf yang disebabkan oleh berbagai kemungkinan. Antaranya dia jatuh sakit yang teruk, hingga menyedarkan dirinya yang selama ini jauh dari Allah menyebabkan dia bertekad untuk kembali kepada Allah dan dia bertaubat. Atau kemungkinan seorang selama ini jahil dari keilmuan agama, selama ini ia  tidak berilmu, atau mempelajari ilmu lain dari ilmu agama sahaja, dsitakdirkan ia insaf dan membawa ia turut sama mempelajari bidang agama, menjadikan ianya insaf dan bertaubat atau berbagai-bagai lagi kemungkinan. Keinsafan yang membawa kepada bertaubat adalah merupakan perubahan dari keadaan selama ini jahil kepada keinsafan. Dengan keinsafan dan menggerakkannya kepada bertaubah dan taubah, ertinya ia telah berubah dari tempat sebelumnya sebagai jahil kepada tempat baru, yang dikenali dengan maqam. Maqam insaf dan taubah. Jadi mengkategorikan taubah sebagai salah satu maqam, bahkan maqam permulaan bagi langkah perjalanan menuju kepada Allah adalah tepat.
Adapun bagi al-Kalabadzi yang tidak membicarakan tentang maqam dan baginya ianya adalah hal atau ahwal, lantaran baginya tasawuf ialah ilmu tentang ahwal juga adalah releven, iaitu dengan melihat kepada situasi, kondisi yang dialami oleh orang insaf. Halnya berubah dari jahil, angkuh dan sombong sebelumnya kepada insaf, tawadhu` dan tenang adalah mencerminkan hal-hal yang dialami yang insaf dan taubah.
Adalah didapati pendapat-pendapat yang dipetik oleh  Al-Kalabadzi berhubung dengan taubah ini banyak mempunyai persamaan dengan apa yang dipetik oleh Al-Sarraj. Ini bermakna persoalan-persoalan yang dibicarakan oleh mereka berdua pada masa itu popular diperkatakan dan dipelajari oleh kalangan sufi pada zaman mereka, kecuali mereka berdua bersifat pro-aktif, iaitu mengabadikan keilmuan tasawuf pada masa itu kepada  penulisan yang dihasilkan mereka berdua sehingga kita mendapat faedah dari usaha yang dilakukan oleh mereka berdua.
Sebagaimana dikatakan bahawa pengkategorian aspek-aspek kerohanian di dalam tasawuf kepada maqam dan hal, terutama oleh Al-Sarraj dan Al-kalabadzi dengan aspek hal sahaja merupakan pendekatan yang menjelaskan aspek-aspek dan tahap-tahap kerohanian bagi dipelajari dan dijalani oleh yang terlebat di dalam bidang berkenaan. Pentahapan yang dibuat mereka bukan sekadar membuat semata-mata, tetapi adalah berdasarkan ayat-ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith, kerana bagi setiap aspek yang dibicarakan biasanya diperkukuhkan dengan ayat-ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith dan juga berpandukan kepada amalan yang dilakukan oleh para sahabat, para auliya`   dan  ulama` al-muqarrabin.

Sekian.

December 6, 2016

AL-KALABADZI: BAGINYA TIADA KATEGORI MAQAM ?


BBB, 05 Rabi`ul-Awwal  1438H. =  05 Disember 2016M. (Isnin):
Satu ciri penting di dalam tasawuf ialah pencapaian dalaman yang bersifat kerohanian yang diistilahkan sebagai `maqam`  (maqamat) dan hal (ahwal). Telah dibicarakan  apabila memperkatakan kitab `Al-Luma``  oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi (m.378H.) sebagai kitab terawal membicarakan pendekatan tasawuf secara lengkap, bahawa didapati Abu Nasr al-Sarraj adalah pengarang terawal membuat pendekatan dan penyusunan kitab tasawuf secara teratur dan lengkap. Antara peranan penting Al-Sarraj selain daripada membicarakan tentang asal usul istilah tasawuf, makna dan aplikasi penggunaannya, bahawa Al-Sarraj adalah pengarang pertama yang mengemukakan  pendekatan tentang  pencapaian dan peningkatan kualiti kerohanian yang dikenali sebagai  - Maqam dan hal.
Apakah maqam dan hal itu ?
Menurut Al-Sarraj, maqam maknanya tempat (maqam) hamba di sisi Allah `Azza wa Jalla, iaitu apa yang didirinya dari segi ibadat, mujahadah, latihan (riyadhiyyat) dan tumpuan kepada Allah dan memutuskan dari yang lain dari Allah, sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
`Itulah bagi siapa yang takut,  pada maqamku dan takut,  pada maqam yang dijanjikan`tentang azabku.``  (Ibrahim: 14).
Adapun makna ahwal, ialah apa yang singgah  di hati  lantaran bersihnya ingatan.
Walau bagaimana oleh kerana semua berlaku pada hati, agak sukar untuk membezakan antara maqamat dan ahwal. Terdapat 23 persoalan yang berhubung dengan maqam dan hal yang disifatkan sebagai jalan menyampaikan diri kepada Allah sebagaimana disusun oleh `Abdul Qadir bin `Isa di dalam bukunya yang berjudul, ``Haqa`iq `an al-Tasawwuf`, iaitu;
Al-taubah,  al-muhasabah, al-khauf, al-raja`, al-sidq, ai-ikhlas, al-sabr, al-wara`, al-zuhd, al-faqr, al-ridha, al-tawakkal, al-Shukr, al-muraqabah, al-qurb, al-mahabbah, al-khauf, al-raja` al-shauq, al-uns, al-tama`ninah, al-mushahadah  dan al-yaqin.
Kebanyakan diletak di bawah kategori ahwal, kecuali tujuh daripdanya, iaitu
Al-taubah, al-sabr, al-wara`, al-zuhd, al-faqr, al-rida, al-tawakkal.
Manakala  Al-Sarraj  yang mula-mula menampilkan konsep maqam dan hal mensenaraikan 16 perkara yang termasuk di bawah kategori maqam dan hal.
Sembilan terawal adalah ahwal, iaitu al-qurb,, al-mahabbah, al-khauf, al-raja`, al-shauq, al-uns,  al-tama`ninah, al-mushahadah dan al-yaqin manakala tujuh lagi termasuk di bawah maqam iaitu taubah, al-wara`, al-zuhd, al-faqr, al-sabr, al-tawakkal dan al-ridha.
Melihat kepada  Al-Kalabadhi, bahawa beliau merangkumi semua perkara adalah di bawah ahwal dan tidak membicarakan persoalan maqam. Ini sesuai dengan kata-katanya, bahawa, ``Ketahui olehmu, bahawasanya ilmu tasawuf itu ialah ilmu ahwal.``  Ya`ni tiada maqamat baginya. Al-Kalabadhi menyebut persoalan ahwal di dalam bukunya `Al-Ta`arruf, ialah sebanyak   24 persoalan yang sebenarnya bagi kitab-kitab yang lain mengkategorikannya kepada bidang maqam dan hal, tetapi al-Kalabadzi menambahkan jumlahnya lebih dari biasa.
Di dalam kitab Al-Ta`arruf` dikemukakan 24 persoalan (Dari bab 35 – 59) – Tujuh pertama dikenali dengan maqam  bagi kitab lain  - seperti Al-Luma`, bagi Al-Kalabadhi  semuanya  terletak di bawah hal iaitu:
1)      Al-Taubah           2) Al-Zuhd             3) Al-Sabr
4)      Al-Faqr                5) Al-Tawadhu`    6)  Al-Ridha  
7)      Al-Tawakkal
8)      Al-Khauf             9) Al-Taqwa          10) Al-Ikhlas
11) Al-Shukr           12) Al-Yaqin            13) Al-Uns
14) Al-Qurb            15)  Al-Mahabbah              16) Al-Ittisal
17) Al-Tajrid wa al-tafriq                       18) Al-Wajd
19) Al-Ghalabah                                     20) Al-Sakr
21)  Al-Ghaibah wa al-Shuhud           22) Al-Jam` wa al-Tafriqah
23)  Al-Tajalli wa al-Istitar                   24)  Al-Fana` wa al-Baqa`
Bagi kitab-kitab lain seperti Al-Luma` dan Haqa`iq `an al-Tasawwuf,mulai dari no. 16 (Al-Ittisal) hingga kepada akhir, iaitu no. 24  (Al-Fana` wa al-Baqa`) tidaklah memasukkan aspek-aspek yang berkenaan sama ada di dalam maqam atau hal.
Dapatlah dikatakan bahawa Al-Kalabadzi mungkin tidak menyedari akan perbezaan antara ciri yang dikatakan maqam dan hal atau mungkin disedari, tetapi oleh kerana tidak mempunyai perbedaan yang ketara, lantaran itu dimasukkan kesemuanya sebagai ahwal, lantaran ianya sendiri melihat dan membuat kesimpulan bahawa tasawuf baginya,  ialah ilmu berkenaan ahwal. Walau bagaimana ada aspek-aspek yang kontroversi  dilihat dari segi tasawuf Sunni seperti persoalan `Al-Ittisal`, al-Sakar dan kaitan dengannya. Kita cuba memahami apa yang dibawa oleh Al-Kalabadzi dengan ingatan bahawa aspek kesufian mempunyai kesamaan aspek seni tinggi yang kita katakan `Seni Rohani`. Pada peringkat ini, apa yang diungkapkan adalah dipengaruhi oleh elemen estetika seni rohani tinggi yang bukan dalam suasana sedar dan realiti, jika pada peringkat seni biasa diistilahkan sebagai `kemabukan rasa` dan pada peringkat rohani dapatkah dikatakan sebagai `Kemabukan Seni Rohani ?` yang luar dari normal.

Sekian.

December 5, 2016

MEMBICARAKAN MAKSUD TASAWUF SECARA TERHAD


BBB, 04 Rabi `ul Awwal 1438H. =  04 Disember 2016 (Ahad):
Melihat kepada kehadiran Abu Bakar al-Kalabadzi (m. 380H.) lebih kemudian daripada Abu Nasr al- Sarraj al-Tusi (m. 378H.) atau sekurang-kurangnya dapat dikatakan sezaman dan dapat diandaikan bahawa pada zaman mereka sudah lumrah dibicarakan persoalan tasawuf, maka adalah dijangka kedua-duanya  sama rancak membicarakan tentang istilah dan asal usul tasawuf, namun tidak berlaku sedemikian. Dalam maksud Abu Bakar al-Kalabadzi tidaklah membicarakan secara detail berhubung dengan peristilahan tasawuf, asal usul dan maksud.
Sebagaimana telah  dibincangkan bahawa Abu Nasr al-Sarraj dengan karyanya Al-Luma`  adalah karya permulaan membicarakan persoalan tasawuf dengan secara terperinci. Al-sarraj membincangkan tentang mengapa dinamakan dengan tasawuf, tabaqat, kekhususan, turut dibicarakan tentang adab, sumber, istinbat*,  perbedaan pendekatan berbanding dengan keilmuan yang lain, asal istilah tasawuf dan hubungan dengan maksud-maksud istilah, sifat dan ciri-ciri tasawuf. Pendek kata dengan membaca huraiana yang diberi Al-Sarraj kita dapat memahami akan isrtilah, asal usul, maksud, bahkan pensejarahan berhubung dengan kelahiran ilmu tasawuf.
Tetapi apa yang dikemukakan oleh Al-Kalabadzi adalah amat terhad dan ringkas. Beliau tidak membicarakan asal usul istilah tasawuf dan makna-makna  yang dikaitkan dengan asal usul istilah berkenaan. Beliau memulakan pembicaraan berkenaan tasawuf bermula dengan pernyataan bahawa, `Ilmu tasawuf adalah ilmu yang berhubung dengan ahwal, dan diikuti dengan soalan, ``Apakah itu tasawuf dan jawapan berdasarkan pendapat-pendapat dari ahli-ahli tasawuf terkenal yang terus membicarakan tentang tasawuf.
Berkata Al-Kalabadzi, ``Aku mendengar Aba al-Hasan  Muhammad bin Ahmad al-Farisi berkata, Rukun tasawuf katanya, ada sepuluh, iaitu.
Pengukuhan dari segi tauhid, memahami aspek al-sima`, baik pergaulan, kekesanan, meninggalkan ikhtiar, segera dengan wujdan,  kashaf dengan lintasan, banyak bermusafir, meninggalkan usaha  dan menegah dari menyimpan.  Ada beberapa syarat yang boleh dipersoalkan  seperti meinggalkan ikhtiar, meninggalkan usaha dan mencegah dari myimpan. Ia merupakan pendapat peribadi yang tidak dikaitkan dengan Al-Qur`an dan Al-Hadith seperti bukti ayat l-Qur`an yang menggalakkan bermusafir sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi serta memerhatikan bagaimana kesudahan  orang-orang terdahulu daripada mereka.` (Al-Rum: 99).  
Adapun gesaan meninggalkan ikhtiar, usaha dan tidak menggalakkan menyimpan adalah bercanggah dengan ayat-ayat Al-Qur`an yang menggesa kepada gesaan sebaliknya. Contoh di dalam surah al-Jumu`ah yang menggesa supaya berusaha  mencari rezeki sebaik selepas menunaikan Juma`at (Al-Jumu`ah:  10) . Pokoknya ianya adalah pendapat Abu al-Hasan Muhammad bin Muhammad al-Farisi.
Lagi pula kalau kita lihat di dalam bab `Al-Makasib` di dalam buku yang sama sebelumnya, bahawa setiap orang harus bekerja di dalam berbagai-bagai bidang kemahiran seperti pertukangan, perniagaan, pertanian  dan sebagainya. Dengan bekerja tidak menghalang dari beribadat dan mengamalkan aspek-aspek kerohanian dan pekerjaan yang halal dan bertujuan baik itu sendiri adalah menjadi sebahagian dari ibadat.
Abu Bakar al-Kalabadzi membicarakan tentang lintasan (khatir) yang menurutnya kata setengah shaykh ada empat wajah, iaitu mengingat kepada Allah, pada pemerintah, bersifat nafsu dan daripada seteru.  Adapun mengingat kepada Allah sebagai ingatan, daripada raja sebagai ketaatan, daripada nafsu menolak ajakan syahwat dan daripada seteru supaya meninggalkan ma`siat. Aspek sedemikian tidak dibicarakan di dalam kitab-kitab tasawuf yang lain.
Abu Bakar al-Kalabadzi juga membicarakan soal fungsi atau peranan tasawuf yang dipetik dari pendapat dari berbagai sufi. Petikan-petikan adalah sebagaimana berikut:
Berkata Al-Junayd, Tasawuf berperanan menjaga waktu. Seseorang itu tidak cuba melampai hadnya, tidak berfokus kepada selain dari Tuhannya dan tidak bersama lain dari waktunya.
Ditanya kepada Al-Junayd, Apa itu tasawuf ?
Katanya, bagi haq-haq rahsia  dengan haq dan tidak dapat mencapainya melainkan dengan fana` diri dari segala sebab oleh kekuatan roh dalam mendirikan bersama haq.
Ditanyai Al-Shibli, mengapa dinamakan sufi itu kesufian ?
Katanya, kerana  tertulis lantaran dengan wujudnya tulisan dan thabitnya sifatan. Walaupan yang telah terakam sudah terpadam,  maka ianya tetap dengan gambaran.
Berkata Ibn `Ata`,  `Bertasawuf ialah menghantar diri bersama Yang Haqq.`
Berkata Abu Ya`kub al-Susi, sufi ialah yang tidak menggoncangkannya oleh penolakan atau oleh tarikan.
Berkata Abu Yazid, ``Para sufi ialah anak-anak dalam ribaan yang Haqq.``
Ditanyai Al-Nuri tentang tasawuf, katanya ialah memperluaskan maqam dan berhubungan secara lebih kuat. Bila ditanya tentang akhlak mereka, katanya `Dia membawa kegembiraan kepada yang lain dan tidak membawa kesusahan kepada mereka..
Demikianlah sebahagian dari petikan maksud tasawuf dari sebahagian dari kalangan sufi. Kalangan sufi tidak memberi jawapan secara langsung berhubung dengan  istilah tasawuf, maksud dan asal usul.  Sebagaimana telah disebut pada pembicaraan yang lepas, khususnya tentang  maksud dan definisi tasawuf begitu banyak. Kadang-kadang seorang sufi memberi makna dan tasawuf berlainan dan lebih dari sekali dan berlainan pula ungkapan dan maksud bergantung kepada masa, suasana dan pengalaman rohani yang dilalui pada masa dia memberi pendapat.
Berbanding dengan apa yang dibicarakan oleh Al-Sarraj di dalam bukunya Al-Luma`, maka apa yang dibicarakan oleh Al-Kalabadzi  di dalam  bukunya Al-Ta`arruf  adalah terhad.

Sekian.

December 4, 2016

MEMULAI PEMBICARAAN ILMU TASAWUF BAGI AL-KALABADZI


BBB, 03 Rabi`ul Awwal 1438H. = 03 Disember 2016M.) (Sabtu);
Selepas daripada Abu Bakar al-Kalabadzi membicarakan  pandangan kesufian  mengenai berbagai bidang seperti tentang akidah, shari`at dan beberapa persoalan yang lain, memakan ruang 30 bab  (hlm. 28 – 104 hlm.) daripada 75 bab (104- 191), maka barulah beliau dengan bab 31 membicarakan tentang tasawuf. Walaupun dari bab pertama hingga ke tiga puluh, bukanlah pembicaraan tentang tasawuf, tetapi penting dan menarik, kerana melalui pembicaraan tentang aspek-aspek akidah dan shari`ah  memberi maklumat kepada kita bagaimana pandangan sufi terhadap persoalan akidah dan shari`ah. Dari pembicaraan kita telah dapat melihat dan menilai bahawa pandangan orang-orang sufi terhadap aspek-aspek di dalam kedua-dua bidang  adalah dapat dikatakan bersamaan dengan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Walaupun selepas bab 30 dan seterusnya Al-Kalabadzi membicarakan topik-topik tasawuf  hampir sama dengan pendekatan-pendekatan tasawuf yanng lain, tetapi kita akan melihat tentang pendekatan dan kandungan keilmuan tasawuf dari perspektif pandangan Al-Kalabadzi sendiri. Sesungguhnya ada kelainan-kelainan yang dibawa.
Misalnya memulakan pembicaraan bidang tasawuf bagi bab 31, Al-Kalabadzi membicarakan tentang dan  pendapatnya bahawa; Ilmu,
 Tasawuf Adalah Ilmu Ahwal
Judul yang agak lain dan tidak biasa dibawa oleh orang lain  selama  ini. Kata Al-Kalabadzi,
``Ketahui olehmu bahawa ilmu-ilmu tasawuf ialah ilmu-ilmu mengenai ahwal. Dari ahwal mewariskan amalan dan tidak mewarithkan  ahwal, melainkan dari orang yang sah amalan.``
Seawal-awal cara bagi mengetahui sah amal, ialah mengetahui keilmuan yang berkait dengan amalan. Perkara amalan berkait dengan  ilmu-ilmu berhubung dengan hukum-huklum shara` yang menjadi umbi bagi fiqh dan pecahan-pecahannya  daripada  bidang ibadat seperti   solat, puasa, dan segala kefardhuan yang lain . Ilmu yang berkait dengan mu`amalat  seperti perkahwinan  dan perceraian (t*alaq), persoalan jual beli, pinjam meminjam, sewa, hutang piutang dan segala yang diwajibkan Allah Ta`ala, disunat dan segala keharusan dari segi urusan jual beli dan kehidupan. Kaum sufi tidak memisahkan diri dari kewajipan utama bagi menunaikan  tuntutan amalan lahir, iaitu ibadat-ibadat dengan melakukan tuntutan shara`.
Keilmuan di atas dikategorikan oleh  Al-Kalabadzi ialah ilmu yang bersiafat lahiri dan perlu memahaminya dengan menuntut keilmuan ini (shara`)  sebagaimana juga tuntutan keperluan satu lagi bidang, iaitu ilmu akidah, iaitu pengajian berdasarkan kitab Al-Qur`an Al-Sunnah dan ijama` al-salaf al-salih.
Manakala bidang  kedua adalah bidang kerohanian yang bergantung kesempurnaannya pada kesempurnaan amalan shariat.
Ilmu kerohanian ini perkara lazimnya ialah mengenali kekejian diri, mema`rifatnya, melatih diri mengawalnya, mendidik akhlaknya, mengatasi tipudaya seteru, mengerti tentang tipu daya dunia, cara menyelamat diri daripadanya. Ilmu ini menurut Al-Kalabvadzi adalah ilmu yang berhubung dengan hikmah.
Aspabila diri dapat mengekalkan secara istiqamah terhadap perkara-perkara wajib, baik dari segi tabiatnya, beradab dengan adab yang disuruh Allah beradab dengannya, menjaga anggota, segala perlakuan diri, menjaga segala panca indera, maka mudahlah baginya mengislahkan diri, membersih yang lahir dan mengosong dari kekejian dan berpaling dari godaan dunia, pada kala itu  membuka ruang bagi diri bermuraqabah lintasan, membersihkan rahsia . Inilah menurut Al-Kalabadzi sebahagian daripada ilmu ma`rifat.
Klemudian di belakang dari ini ialah ilmu-ilmu lintasan,ilmu mushahadat dan mukashafat, iaitulah ilmu yang takhassus dengan isyarat. Ialah khusus yang tersendiri bagi sufi, iaitu selepas  dia mempelajari dan menguasai keilmuan-keilmuan pra-syarat bagi seorang sufi seperti akidah, ilmu shari`at, akhlak dan adab sebagaimana telah dibicarakan.
Menurut Al-Kalabadzi, adapun dinamakan ilmu tasawuf sebagai ilmu isharat sebagaimana diberi penekanan oleh Al-Kalabadzi,  lantaran ialah secara mushahadat hati, mukashafat asrar (rahsia) yang tidak mampu diterangkan secara susunan kata, menurut pendapat secara tahqiq. Sebaliknya ianya ilmu isyarat, wujdan bersifat seni rohani, tidak dapat mengetahuinya melainkan orang yang berada di dalam ahwal dan meningkat kepada maqamat sedemikian. Gambaran sedemikian dialami para pengamal seni, khususnya seni yang bersifat rohani. Ketepuan jiwa dengan estetika rohani jika digambarkan dengan bahasa atau  apa cara, sesungguhnya dia tidak menepati apa yang dialami.
Meriwayat Sa`id bin al-Musayyab daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud):
``Ada  daripada ilmu seperti sesuatu yang tersembunyi, tidak mengetahuinya melainkan ahli ma`rifat dengan Allah, maka apabila dicakapkan, maka tidak dia mungkir, mereka ahli yng mendekati Allah.``
Juga daripada `Abdul Wahid bin  Zayd berkata, aku bertanya  Al-Hasan tentang ilmu batin, maka dia berkata, aku bertanya Al-Huzaifah al-Yaman tentang ilmu batin, maka katanya, aku bertanya Rasulullah s.a.w. tentang  ilmu batin, maka kata Baginda, aku bertanya Jibril tentang ilmu batin, maka katanya, aku bertanya Allah `Azza wa Jalla tentang ilmu batin, maka firmanNya, ``Dia adalah rahsia daripada rahsiaKu, aku jadikannya di dalam hati hambaKu, tidak berdiri padanya seseeorang daripada hambaKu.``
Berkata Abu al-Hasan bin Abi Dzarr di dalam kitabnya `Minhaj al-Din`, gubahannya bagi Al-Shibli katanya,
Ilmu tasawuf ilmu tiada bandingan seperti
Ilmu seni melangit tinggi  juga bersifat rububi
Memberi faedah kepada yang berma`rifah
Balasan bertambah dengan  secara khususiah.

Bagi ilmu tasawuf ada maqam permulan dan pengakhiran dan di antaranya ada ahwal yang berimbang dan tiap-tiap maqam ada ilmu, bagi tiap-tiap hal ada isyarat dan bersama setiap maqam ada ithbat dan nafi dan tidaklah apa yang dinafikan pada maqam menafikan apa yang sebelumnya dan tidaklah apa yang thabit padanya menthabitkan apa yang lain  daripadanya.
Demikianlah permulaan  bagi pembicaraan tentang tasawuf oleh A l-Kalabadzi yang nampaknya ada kelainan pembicaraan dari pembicaraan-pembicaraan sebelumnya, walaupun persoalan yang sama.

Sekian.                                                                                                                                              

December 3, 2016

PENDAPAT SUFI MENGENAI MADZHAB


BBB,  02  Rabi`ul Awwal  1438H. =  02 Disember 2016 (Juma`at):
Abu Bakar al-Kalabadzi juga membicarakan tentang sikap dan pendirian sufi berhubung dengan madzhab-madzhab shar`iyyah atau dikenali juga sebagai madzhab fiqhiyyah. Sebagaimana dimaklumi pada perngkat awal Islam tidak ada apa yang dinamakan madzhab. Al-Qur`an dan Al-Hadith adalah menjadi sumber hukum dan rujukan. Pada zaman Rasulullah s.a.w. Baginda sendiri adalah menjadi rujukan. Selepas zaman baginda para sahabat menjadi rujukan seperti Ibn `Abbad, Ibn `Umar dan sebagainya, tetapi selepas Islam berkembang luas ke luar dari Madinah dan timbul berbagai-bagai masalah hukum yang perlu kepada jawaban, memerlukan kepada tokoh-tokoh yang faham dan mendalam bidang shar`iyyah atau fiqhiyyah. Pendapat tokoh terkenal yang mempunyai ketinggian ilmu dan berkemampuan berijtihad dan mengeluarkan fatwa diikuti. Semakin ramai pengikut dan pendukung mengukuhkan pendapat dan fatwa yang menjadi ikutan. Antara tokoh terkenal ialah Al-Malik bin Anas r.a. (93-179H. ) yang menghasilkan kitab Al-Muwat*t*a` yang menjadi pegangan pengikut-pengikutnya, berikutnya lahir tokoh Al-Imam Shafie (767-820M.) murid kepada Imam Malik yang menghasilkan kitab terkenalnya ialah Al-Umm yang menjadi ikutan bagi pengikut-pengikutnya, seterusnya lahir  Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H./780-855M.) yang terkenal dengan kitab Musnadnya dan sebelumnya  tokoh Abu Hanifah al-Nu`man (m. 182H./798M.) yang dikatakan tidak mengarang kitab, tetapi pendapat-pendapatnya dicatat oleh murid-muridnya  dan menjadi panduan bagi madzhab Hanafi.Pendapat mereka ini mendapat dokongan pengikut-pengikut hingga menjadikan mereka sebagai madzhab. Bukan tidak ada tokoh-tokoh lain sebelum dan sezaman mereka seperti Al-Thauri, al-Auzai, al-layth dan sebagainya, tetapi mereka tidak mendapat dokongan pengikut-pengikut dan akhirnya ianya tidak berkembang dan tidak menjadi madzhab  yang diikuti selanjutnya
Berhubung dengan madzhab-madzhab ini , berkata Al-Kalabadzi, kalangan sufi mengambil ahwat dan berhati-hati dan mencari pendapat yang kukuh sebagai pegangan dan mengelak dari perpecahan pendapat. Pada dasarnya mereka melihat  ikhtilaf kalangan fuqaha` adalah di atas jalan yang betul dan tidak bercanggah antara satu pendapat dengan pendapat yang lain. Tiap seorang daripada mereka adalah mujtahid yang betul. Mereka adalah mengukuh pendapat di atas madzhab mereka, dan sah di sisi mereka dengan apa yang didasarkan kepada  Al-Kitab dan Al-Sunnah. Mereka juga dari kalangan yang mahir dari segi istinbat, mereka adalah betul dengan apa yang diyakini. Siapa yang bukan dari ahli al-ijtihad dia hendaklah mengambil fatwa sebelumnya yang lebih diketahui dan berdasarkan hujah-hujah yang kuat.
Apakah perlunya madzhab ? Pada dasarnya tidak perlu kepada madzhab, kerana pada zaman Nabi dan sahabat-sahabat tidak ada mdzhab. Tetapi memahami hukum-hakam memerlukan kemahiran di dalam bidang fiqh,  khususnya memerlukan  kefahaman terhadap Al-Qur`an, Al-Hadith, memahami tentang istinbat, qiyas, kelayakan berijtihad dan sebagainya yang tidak mudah difahami dan dicapai oleh orang perseorangan. Sebab  itu lebih selamat mengikut tokoh-tokoh terkenal di dalam bidang fiqh yang kemudian dikenali dengan madzhab. Tetapi bolehkah beramal secara taqlid ? Menurut pengarang kitab Usul al-Fiqh Ustaz Haji Hasan bin Haji Ahmad dan kitab  al-Qawa`id al-Fiqhiyyah yang disatukan sebagai satru kitab menyatakan:
``Para kebanyakan `ulama yang muhaqqiqin yang sepakat berpendapat wajib bertaqlid ke atas orang-orang awam dan mereka yang tidak mempunyai keahlian berijtihad, tetapi  berselisih pendapat  mengenai wajib terikat dengan madzhab di dalam kesemua masalah.
Bagi orang awam yang telah mengikut pendapat dari madzhab tertentu tidaklah harus baginya menarik balik dan mengikut pendapat mujtahid yang lain. Namun ada yang berpendapat tidak semestinya  seorang terikat dan mengikut pendapat atau madzhab tertentu, kerana tidaklah wajib ke atas mereka, kecuali yang diwajibkan oleh Allah dan RasulNya. Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Maka bertanyalah kamu kepada mereka yang berpengetahuan agama, jika kamu tidak mengetahui.`` (Al-Nahl: 43).
Namun masalahnya berapa ramai yang berkemampuan dari segi ijtihad dan berkelayakan ? Lagi pula jika berlaku kebebasan cara tafsiran dan ijtihad boleh membawa kepada kecelaruan hukum,.
Di samping itu dengan kebebasan memilih pendapat boleh membawa kepada talfiq. Maksud talfiq seorang yang mengamalkan sesuatu hukum dengan cara yang tidak diakui oleh mujtahid.  Atau mencampur adukkan antara mujtahid. Misalnya seorang mengambil wudhu` mengikut kaedah madzhab Shafie yang wudhu`nya batal jika menyentuh isteri, dia mengambil sikap talfiq dari segi tidak batal wudhu` berdasarkan madzhab Maliki yang berpendapat tidak batal wudhu` menyentuh perempuan yang harus dikahwini – termasuk isteri. Ini membawa kepada masalah sah atau tidak solat seorang yang menyentuh perempuan tadi. juga membawa kepada kecelaruan dari segi amalan. Sebab itu bertalfiq hendaklah dielekkan, kecuali di dalam masalah tertentu sahaja.
Memanglah ideal untuk tidak terikat kepada madzhab, tetapi dia boleh membawa kepada kecelaruan, sebab itu perlu berpegang kepada kesatuan pendapat yang tidak mencelarukan.  Namun mengikuti madzhab juga tidak boleh bebas dan beracmpur aduk untuk mengelak dari kekeliruan dan percampuradukkan. Penetapan mengikut Madzhab Shafie di Alam Melayu ialah kerana  menyatukan ikutan, lagi pula madzhab ini bertapak dan berkembang di alam Melayu sejak agama Islam tiba di alam Melayu. Dengan berpegang kepada madzhab ini setakat ini tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan penganut-penganut agama Islam di alam Melayu, lantaran itu ianya seharusnya dipertahankan agar tidak menimbulkan pertentangan dan perbalahan sebagimana berlaku di negeri-=negeri yang mempunyai pegangan berlainan madzhab seperti di India, Pakistan, bahkan di Iran.
Al-Kalabadzi menmgemukakan pendapat kalangan sufi agak terbuka. Mereka bersetuju dengan pendapat dengan ahli al-istinbat yang berwibawa, mereka betul dengan pegangan mereka yang dianggap betul. Ini bererti mereka bersetuju dengan pendapat-pendapat madzhab-madzhab yang mereka adalah ahli mujtahid dan berkelayakan memberi fatwa.
Mengenai beberapa persoalan fiqh mencatat Al-Kalabadzi, bahawa kalangan sufi secara jama`ah berpendapat  bahawa perlu bersegera menunaikan solat apabila masuk waktu dan ia adalah lebih afdhal daripada melewatkannya. Begitulah perlu nersegara bagi kewajipan-kewajipan fardhu yang lain, kecuali ada keuzuran. Mereka juga bersetuju amalan qasar solat dalam persafiran yang layak diqasar. Juga boleh berbuka puasa secara harus di dalam safar. Mereka juga berpendapat  wajib menunaikan haji bila  berkemampuan.
Demikian lah pendirian kalangan sufi berhubung dengan amalan-amalan fiqhiyyah yang tidak ada percanggahan dengan pendirian kalangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.

December 2, 2016

USAHA MENCARI PENDAPATAN ADALAH KEWAJIPAN


01 Rabi`ul Awwal 1438H. = 01 Disember 2016M. (Khamis):
Tanggapan umum terhadap sufi bahawa mereka ialah orang yang meninggalkan dunia dan menumpukan perhatian beribadat kepada Tuhan. Tergambar mereka  adalah orang yang faqir, miskin dan hidup dalam kesusahan dan menjadi beban masyarakat ?
Abu Bakar al-Kalabadzi di dalam kitabnya berjudul  `Al-Ta`arruf` memperuntukkan satu bab membicarakan persoalan  tentang `Al-Makasib` (Berusaha mencari rezeki, pendapatan, sumber ekonomi). Kata  Al-Kalabadzi:
`Secara berjama`ah kaum sufi berpendapat bekerja dalam berbagai kemahiran, perniagaan, pertanian dan berbagai kerja lagi adalah harus menurut shara` dengan sedar dan pasti serta berusaha mengelak dari terjatuh di dalam  perkara shubhah. Bekerja mencari pendapatan antaranya memupuk sifat tolong menolong di kalangan masyarakat, tidak bersifat tamak, tidak memasalahkan orang, sebaliknya mengukuhkan silaturrahim di kalangan jiran.
Premis bagi bab ini dikemukakan oleh Al-Kalabadzi adalah baik. Pandangannya adalah bersesuaian dengan zaman tradisi dan kini. Menariknya tidak ada seruan kepada meninggalkan dunia (biasa), tiada gesaan hidup faqir dengan  keadaan menderita yang dianggap lebih intim beribadat kepada Allah  ? Apakah dengan semangat ini sebagai tuntutan kesufian ?
Kita berpendapat nilai-nilai kesufian  yang murni seperti, kebersihan, ketaatan, kejujuran, Kemesraan dan kecintaan hendaklah diaplikasikan kepada kehidupan realiti semua masyarakat kini. Begitu banyak kerja-kerja halal yang dilibatkan oleh masyarakat melalui kelayakan yang ada pada mereka bagi mendapat rezeki bagi menyara diri, keluarga, bagi kepentingan masyarakat agama, bangsa dan negara. Mereka seperti  petani di ladang, buruh yang membanting tulang, nelayan di lautan, guru yang mendidik bagi berbagai peringkat , peniaga yang menyediakan kemudahan mendapat barangan, pegawai-pegawai  dan pekerja-pekerja di jabatan, pasukan-pasukan menjaga keamanan dan pertahanan, mereka yang mendakwah dan mengembangkan agama, orang-orang politik berwibawa, bahkan apa saja yang menjadi sumber pekerjan dan kerjaya hendaklah meneruskan kerjaya masing-masing dengan penuh dedikasi, tanggungjawab dan amanah.
Firman Allah bermaksud:
``Barangsiapa berbuat kebaikan dari lelaki dan perempuan pada hal dia beriman, maka Kami akan hidupkan dia dengan penghidupan yang baik.`` (Al-Nahl: 97).
Bagi membentuk suatu masyarakat bernilai dan bermutu, semua pihak sejak awal pendidikan hinggalah meningkat kepada berbagai darjat dan peringkat hendaklah ditanam di dalam jiwa mereka niali-nilai kesufian:
Kebersihan,  ketaatan, kejujuran,  kemesraan  dan  kecintaan.
Antara nilai-nilai yang disuruh Allah ialah amanah. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan amanah terhadap ahli-ahlinya.`` (Al-Nisa`: 58).
Ini adalah antara ciri kesufian  yang harus ditanam di dalam pendidikan, pengajian dan pembelajaran. Nilai di dalam keluarga, nilai dalam berbagai-bagai sektor pekerjaan, nilai di dalam pentadbiran, pemerintahan dan di dalam apa saja sektor kehidupan. Dengan mendukung minimum lima nilai di atas, dapat membentuk individu, keluarga, masyarakat dan berbagai sektor hidup di dalam aman tenteram. Dengan kesedaran nilai di atas menimbulkan msyarakat yang bertanggungjawab, suka menolong  dan kasih sayang yang menjadikan masyarakat dan negara berada di dalam tenteram dan kasih sayang.
Dengan prinsip nilai yang ditanamkan ke tengah masyarakat melalui berbagai-bagai mekanisme pendidikan dan pengajaran tidak menghalang individu atau kelompok bagi meningkatkan  potensi yang ada pada mereka. Misalnya dengan nilai yang ada sebagai asas tidak menghalang seorang yang meminati kerohanian mendalam bidang kerohanian dan menjadi sufi berwibawa dengan keilmuan dan amalan, bahkan menjadi pemimpin dalam bidang berkenaan. Dia seharusnya juga mempunyai kemampuan ekonomi dan menjadi sufi, walaupun tidak semestinya  watak luarannya kelihatan.
Nilai kesufian boleh tumbuh dan berkembang pada seorang pegawai yang jujur da berkembang nilai-nilai kerohanin di dalam  diri yang memperbaiki potensi diri dan kelilingannya. Dengan nilai-nilai berkenaan pegawai berkenaan amanah, tidak rasuah dan bertanggungjawab. Nilai berkenaan dapat membentuk mereka yang bekerja dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara bekerja dengan dedikasi . Berusaha dengan jujur misalnya mempertahankan sempadan dari dimasuki oleh penceroboh dan musuh yang boleh mengancam keamanan dan ketenteraman negara. Bagi usahawan  yang kaya tidak menghalang dari mereka bersifat dengan sifat-sifat yang disebutkan,bahkan dengan kekayaan dapat menyumbang kepada pendapatan negara, memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai dan dengan sifat pemurah dapat dia  membuat kebajikan.
Orang politik juga  dengan mempunyai nilai-nilai murni ia berkhidmat kepada rakyat dan negara dengan baik dan disayangi masyarakat. Jika ciri-ciri kesufian yang disebutkan berada di dalam jiwa seniman dan ahli seni, maka jiwa seni yang ada di dalam dirinya lebih bersemarak, maka seni alamiah dan seni rohaniah akan meningkatkan bakat mereka menjadi seniman di dalam bidang seni yang berjaya. Telah dibincangkan bahawa seniman alami yang diperkukuhkan dengan elemen seni rohani meningkatkan potensi kesenimanan. Misalnya jiwa seni kerohanian menghasilkan monumen-monumen yang agung seperti masjid-masjid  terkenal, penyair-penyair yang agung, penulis-penulis khat yang berwibaya, istana-istana yang menawan dan sebagainya.
Berkata Al-Junayd berhubung dengan pekerjaan, hendaklah pekerjaan yang mendekati diri kepada Allah. Ini termasuklah yang memberi manfaat dan kebajikan. Contoh yang jelas para petani yang bekerja di sawah ladang menghasilkan makanan bagi keperluan orang ramai, sebagai contoh menghasilan tanaman padi adalah kerja yang memberi manfaat kepada orang ramai yang setiap masa memerlukan beras sebagai makanan utama, demikian juga dengan penghasilan sayur-sayuran dan buah-buahan, yang buah-buahan dan penghasilan pertanian dapat menyediakan bahan makanan yang diperlukan oleh rakyat dan negara.
Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Tiap-tiap anggota daripada manusia itu adalah sadaqah.``  Termasuk anggota membanting tulang bagi menghasilkan bahan pertanian.
Berkata Sahl bin Abdullah, bekerja dengan tugas-tugas yang hak dan aula dan tidak berpaling dari ikhtiar adalah sebagai kewajipan.
Pendeknya mencari pendapatan adalah perlu. Menjaga keselamatan bagi menjaga keperluan  adalah kewajipan. Ia adalah kemudahan – termasuk  bagi mendekati diri dengan Tuhan.

Sekian.

December 1, 2016

KONSEP IMAN DAN HAKIKATNYA


BBB, 30 Safar 1438H. = 30 November 2016M. (Rabu):
Abu Bakar al-Kalabadzi juga menampilkan  `Konsep Keimanan` iaitu topik yang penting yang seharusnya  telah dibicarakan pada peringkat awal lagi – terutama tentang Islam dan Iman dan di manakah kedudukan tasawuf. Dengan itu dapat difahami  skema tasawuf bersama Islam dan Iman dari peringkat awal lagi.
Islam  selain dari memahami  bahawa ialah mematuhi kelima-lima rukun Islam, juga  Islam adalah bersifat menyeluruh  sebagaimana dibicarakan oleh Maududi di dalam bukunya `Toward Understanding Islam, bahawa segala yang wujud adalah Islam (menyerah ikut aturan) terhadap Allah, termasuklah manusia yang dengan Islam yang bermaksud selamat,  turut selamat. Manakala Iman yang pada pokoknya yakin dan  berpegang dengan rukun Iman,  dan di dalam konteks yang lebih luas, memahami semua dengan kedudukan dan peranan yang dilaksanakan, maka ianya  memberi keamanan terhadap wujud, alam dan termasuklah manusia. Dalam mana apabila meyakini ketuhanan dan melihat keseluruhan adalah dari qudrat dan kemahuanNya, maka keseluruhan termasuk manusia  berada di dalam keamanan termasuk dari segi minda, hati nurani dan rohani.
Kata Sayid Sabiq Mantan Rektor Universiti al-Azhar di dalam bukunya yang berjudul: ``Akidah Islam` (terjemahan):
``Keimanan itu bukanlah semata-mata ucapan yang keluar dari bibir dan lidah saja, atau hanya semacam keyakinan dalam hati belaka, tetapi keimanan yang sebenar-benarnya adalah merupakan suatu akidah atau kepercayaan yang memenuhi seluruh isi hati nurani dan dari situ akan muncul pulalah bekas-bekas atas kesan-kesannya, sebagaimana munculnya cahaya yang disorotkan oleh matahari dan juga sebagaimana semerbaknya bau harum yang disemarakkan oleh setangkai bunga mawar.`` (Sayid Sabiq, Akidah Islam, Pustaka Nasional, Singapura, 1991: 96)
Berkata Abu Bakar al-Kalabadzi, pada pendapat jumhur sufi, bahawa iman, ialah perkataan, amalan dan niat. Dan makna niat ialah tasdiq (membenarkan). Mereka juga berkata, asal iman iqrar lisan, dan tasdiq dengan hati dan cabangannya ialah beramal dengan segala yang fardhu. Mereka juga berkata, iman ialah pada zahir dan batin merupakan sesuatu yang satu, iaitu hati dan pada lahirnya, ialah sesuatu yang berlainan.
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. daripada jalan Ja`afar bin Muhammad daripada bapanya  daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda:
``Al-iman iqrar dengan lisan, tasdiq dengan hati dan amal dengan rukun-rukun.``
Kaum sufi juga berpendapat beriman hendaklah melibatkan zahir dan batin dan tidak boleh beriman pada zahir, tetapi tidak pada batin atau sebaliknya dan tidak boleh beriman pada satu bahagian dan tidak pada bahagian yang lain.
Mereka juga berpendapat bahawa iman boleh bertambah dan boleh berkurang.
Berkata Al-Junayd,Sahl bin Abdullah dan lain dari keduanya, bahawa tasdiq adalah bertambah dan tidak boleh berkurang, berkurangnya boleh  keluar daripada iman, kerana bahawasanya ia melibatkan kepada tasdiq kepada khabar-khabar tentang Allah dan janji-janjiNya, wujud sebarang syak padanya boleh membawqa kepada kufur, dan bertambahnya dari segi kekuatan, yakin dan iqrar lisan tidak bertambah dan tidak berkurang, dan  amalan dengan arkan  boleh bertambah dan berkurang.
Iman di kalangan penganut ada yang kuat dan lemah  sebagaimana ,
Hadith diriwyatkan daripada Abi Sa`id al-Khudri r.a. berkata, aku mendenfgar Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud): Siapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya, maka jika dia tidak berkuasa hendaklah dengan lisannya, maka jika dia tidak berkuasa, maka dengan hatinya, dan demikian adalah selemah-lemah iman. Riwayat Muslim.
Maka para  anbiya` adalah ma`sum daripada terjatuh kepada perkara-perkara maksiat, dari perkara-perkara dilarang. Mereka memelihara perkara yang fardhu tanpa taksir. Maka tidak boleh disifatkan sebagai kekurangan pada sesuatu pada sifat mereka dari segi hakikat keimanan..
Berkata kalangan shaykh-shaykh bahawa hakikat iman itu ada empat.
Pertama tauhid tanpa had, kedua dzikr berterusan, ketiga hal tanpa na`at dan wajad tanpa  waktu. (berterusan).
Kata mereka itu, sidq dengan iman ialah membesarkan Allah dan buahnya ialah malu daripada Allah.
Sabda  Rasulullah s.a.w. bermaksud: ``Syirik itu lebih halus pada umatku daripada pergerakan semut di atas safa pada malam yang gelap``  - Riwayat al-Hakim.
Disoal kepada setengah shaykh tentang iman, katanya, ``Engkau menurut sebenar sebagaimana keyakinan engkau dengan menghilangkan sebarang keraguan, menjauhkan engkau dari syirik Menyaksikan pembuktian secara zahir dan ghaib,
Yang lain disoal juga tentang keimanan, maka katanya, ``Iman ialah keyakinan yang tidak berlaku padanya percanggahan.``
Kata setengah mereka iman dan Islam itu satu.
Yang lain melihatnya  Islam ialah am  dan iman ialah khas.
Kata yang lain, Islam itu zahir dan iman itu batin
Kata yang lain lagi, iman ialah tahqiq dan i`tiqad, manakala Islam ialah khudhu` dan patuh.
Antara yang lain membezakan bahawa:
Tauhid ialah tanzih Allah dari sebarang elemen syirik
Ma`rifat ialah mengenali Allah dengan sifat-sifatNya
Iman ialah simpulan hati dengan memelihara rahsia dan ma`rifah dengan kebajikan
Dan Islam ialah mushahadah dengan mendirikan perkara Haqq dengan melksanakan apa yang dituntut. Manakala tasawuf membersih, mengindah dan menyerikan.
Demikian berbagai pendapat mengenai iman, pendapat yang indah dan mengkagumkan. Semuanya benar, fahami dan hayati insya Allah makin menambahkan keimanan.

Sekian.