December 17, 2016

CINTA ILAHI PUNCAK PERJALANAN KUALITI MAQAM DAN HAL


BBB, 16 Rabi`ul  Awwal 1438H. =  16  Disember 2016M. (Juma`at):
Ibarat perjalanan menuju ke destinasi  yang bergerak secara kualiti dari satu maqam-kepada maqam sebagimana telah dibicarakan juga meningkat dari segi kualiti dari satu hal kepada hal-hal yang juga telah dibicarakan, atau secara rangkuman kedua-dua aspek ya`ni  maqam dan hal,  yang dikirakan sebagai `Turuq` – Jalan-Jalan Menuju  Allah maka `Cinta Ilahi` adalah dibaratkan sebagai `Buah Ranum` hasil dari mujahadah perjalanan yang dilalui kaum sufi.
Berkata `Abdul Qadir bin `Isa di dalam bukunya `Haqa`iq `an al-Tasawwuf`  dia mengatakan  bahawa, `Cinta Ilahi` ialah puncak bagi pergerakan maqamat, juga adalah tertinggi darajat bagi darajat-darajat. Apa yang dicapai melalui maqam dan hal, maka dia adalah merupakan buah dari buah-buah dan ikutan-ikutan bagi sebelumnya dari al-shauq, al-uns dan al-redha. Dan tidak ada maqam sebelum mahabbah, kecuali maqam yang dia adalah muqaddimah bagi muqaddimah seperti taubah sabar dan zuhud.
Dan kata `Abdul Qadir `Isa, bagi `Mahabbah` tidak ada definisi yang tepat dengannya dapat diberi. Jika dita`rif, maka dia adalah sebagai identiti bagi tasawuf itu sendiri, manakala `Mahabbah` dari segi hakikat `Suasana yang intuitif rohaniah` yang melimpah dari hati-hati Pencinta (al-Muhibb). Tiada disebut setepat dhauq dan wujdan` sebagai pengalaman intuitif estetika rohaniah. Tiada ketepatan ta`rif baginya dan sebarang ungkapan tentang `Cinta Ilahi`, maka dia adalah kenyataan sebagai kesan-kesan darinya, ungkapan sebagai hasil (buah) dan menerangkan bagi sebab-sebab.
Ditanya Al-Junayd tentang `al-Mahabbah`, maka jawapannya ialah secara hal dengan air matanya berguguran, hatinya  tepu dengan al-hiyam al-shauq. Gambaran yang diberi  adalah kesan dari `Mahabbah` berkenaan dan bukan `Mahabbah` itu sendiri.
Abu Bakar al-Kattani menceritakan peristiwa di musim haji, bahawa kalangan shaykh-shaykh bercakap tentang cinta Ilahi dan  Al-Junayd adalah yang paling kecil di antara  mereka. Dia ditanya oleh shaykh-shaykh tentang cinta Ilahi, ``Beri pendapatmu wahai yang datang dari `Iraq !``
``Maka dia mengangguk sedang air matanya berlinangan, lalu ia menyatakan:
``Dia adalah hamba yang hilang dari dirinya, berhubungan dzikir kepada Tuhannya, sentiasa menunaikan  hak-hak Allah. Dia melihatNya  dengan hatinya, terbakar kalbunya oleh cahaya-cahaya kehaibatanNya, bersih minumannya dari piala mesranya, tersingkap baginya oleh Al-Jabbar daripada lapisan-lapisan keghaibannya. Maka jika dia bercakap adalah dengan Allah, maka jika dia menyebut, maka dengan Allah , maka jika dia bergerak maka dengan suruhan Allah,, kalau dia diam, maka bersama Allah. Maka dia dengan Allah, bagi Allah dan bersama Allah.``
Mendengar jawapan oleh Al-Junayd, maka semua shaykh yang terpegun dengan jawapannya semuanya menangis !
Mereka berkata, cukup sempurna, tiada memerlukan tambahan. Allah membalaskan engkau wahai `Mahkota al-`Arifin.`` (Dipetik oleh `Abdul Qadir dari Madarij al-Salikin).
Jawapan di atas dapat juga dijadikan contoh, bahawa laras bahasa tasawuf berbeza dari bahasa biasa. Bahasanya bersifat intuitif kerohanian dengan dzauq dan wujdan`. Sesungguhnya menarik dan memukau pendengaran. Al-Junayd sesungguhnya  bercakap dengan bahasa hakikat !
Sesungguhnya ayat-ayat cinta banyak kedapatan di dalam Al-Qur`an. Antaranya bermaksud:
``Dia mencintai mereka itu dan mereka itu mencintainya.`` (Al-Ma`idah: 54).
Dan firmanNya yang bermaksud:
``Dan orang yang beriman bersangatan cinta terhadap Allah.`` (Al-Baqarah: 165).
Dan firmanNya yang bermaksud:
``Katakanlah (Wahai Muhammad), jika sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya kamu dikasihi Allah dan diampunkan bagi kamu dosa-dosa kamu.`` (Ali `Imran: 31).
Manakala Hadith tentang cinta seperti Hadith diriwayatkan oleh Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Tiga orang yang mendapat kemanisan iman, bahawasanya Allah dan Rasulnya lebih dikasihi daripada selain daripada keduanya., dan bahawa kasih seorang yang dia tidak kasihnya melainkan  kerana Allah. Dan yang dia benci untuk kembali kepada kekufuran, sebagaimana dia benci kiranya dirinya dicampak di dalam neraka.`` Hadith Bukhari.
Dari Abi al-Darda` r.a. dari Nabi s.a.w. Baginda  bersabda  (bermaksud):
``Adalah  daripada do`a Nabi Daud a.s., ``Wahai Tuhanku aku memohon daripada Engkau cinta Engkau dan cinta orang yang mencintai Engkau dan amalan yang boleh menyampaikan cintaku kepada Engkau. Wahau Tuhanku jadikanlah  cintakan Engkau lebih  kucinta daripada diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk.`` Hadith dikeluarkan oleh al-Tirmidzi.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menjadikan syarat kasihkan Allah dan Rasul daripada syarat-syarat iman di dalam banyak Hadith. Antaranya sabda Baginda bermaksud:
``Tidak beriman sal;ah seorang daripada kamu sehinggalah adalah aku lebih dikasihi kepadanya daripada keluarganya, hartanya dan manusia seluruhnya.`` Riwayat al-Bukhari.
Sesungguhnya hakikat Islam ialah amalan-amalan, kewajipan,, hukum-hukum dan rohnya ialah al-mahabbah. Sesungguhnya  amalan tanpa mahabbah seperti  rangka kosomg yang tidak ada kehidupan padanya.
Berkata `Abdullah bin al-Mubarak tentang cinta:
Kau derhaka pada Pencipta sedang kau cinta padaNya beranggapan
Demi seumurku amalan sedemikian adalah menyimpang
Kalau adalah cinta engkau sebenar  nescaya engkau mentaati
Sesungguhnya yang mencintai kepada yang dicinta  ditaati.


Sekian.

December 16, 2016

MESRA DAN KEDEKATAN ROHANI


BBB,  15 Rabi`ul Awwal 1438H. = 15 Disember 2016 (Khamis):
Perlu disebut dan diulangi bahawa apa yang  diungkapkan  oleh pengalaman kesufian dari segi kemesraan dan kedekatan adalah bukan dari segi fizikal dan ruang, tetapi adalah dari segi dalaman hati-rohani yang bangkit dari rasa mesra dan wujdan yang kita istilahkan sebagai `estetika rohani`. Sebagai contoh akibat rasa mesra dan kasih sayang seorang terhadap yang lain secara alamiah , kerana persahabatan, bahkan kerana cinta, menjadikan yang dikasihi  dan dicintai  dekat dihati, dirindui dan ingin bersama. Pengalaman sedemikian  meningkatkan dan berlaku dari segi rohani yang diistilahkan sebagai  cinta Ilahi.
Demikianlah dilihat berlaku di dalam keilmuan dan pengalaman ketasawufan. Pengalaman adalah bersifat seni rohani dan bukan realiti dan alamiah sifatnya.
Antara aspek ahwal yang nesra sifatnya dalam hubungan dengan yang Tertinggi diistilahkan sebagai `al-uns`  (jinak mesra), al-qurb (rasa kedekatan) bahkan merasa seolah berhubungan (al-Ittisal) yang semuanya bersifat intuitif dan rohani sifatnya. Namun ciri estetika yang bersifat rohani adalah lebih tinggi dari estetika qalbi.
Antara rasa kemesraan terhadap yang Tertinggi, ialah al-Uns. Apa itu al-uns ?
Menurut Al-Sarraj, Al-uns dengan Allah Ta`ala, ialah bergantung padaNya, tertumpu padaNya dan mengharapkan kepadanya dan tidak melebihi daripada itu. Dan al-Uns dengan Allah berlaku bagi hamba yang telah sempurna taharahnya dan bersih dzikirnya, menghindari diri dari perkara yang mengganggu dari konsentrasinya terhadap Allah.. Ketika itu dikatakan dia jinak dengan Allah.
Sebagaimana dilihat oleh Al-Sarraj bahawa ada tiga tahap ahwal al-uns:
Pertama: Mereka yang menumpukan pada dzikir, menjauhi dari lalai, mengekalkan ketaatan dan menjauhi dari dosa.
Kedua: Yang jinak dengan Allah dan memaling diri dari yang lain dan dari lintasan yang mengganggu
Ketiga: Yang berdepan dengan rasa kehaibatan dan kedekatan hingga  tenggelam aspek al-uns.
Manakala bagi Abu Bakar Muhammad al-Kalabadzi memetik pendapat Al-Junayd  tentang al-uns, ialah terangkatnya ketakutan dengan wujudnya rasa kehaibatan.
Manakala kata Dzu al-Nun al-Misri, bahawa menghamparkan jiwa yang mengasihi kepada yang dikasihi.
Ditanyai Ibrahim al-Marastani tentang al-uns,, maka katanya, ``Gembira hati dengan yang dikasihi.``
Dan dekat  dengan rasa al-uns ialah merasa dekat (al-qurb)  dengan  yang dikasihi.
Al-Kalabadzi mengambil maksud al-qurb dari kata Sari al-Saqati, bahawa al-qurb tidak lain dari `Ketaatan`.
Berkata yang lain, bahawa al-qurb ialah merendah diri dan mematuhi berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Wa`s-jud wa`q-tarib` - Sujudlah dan dampingi diri kepada Allah (Al-`Alaq: 19).
Dan disoal Ruym tentang erti al-qurb, katanya, ``Menghilangkan segala rintangan.``
Dan ditanya yang lain tentang al-qurb,, ``Bahawa engkau menyaksikan perbuatanNya pada diri engkau.``
Sebuah lagi aspek hal ialah merasa berhubungan `Al-Ittisal`. Sekali lagi  diperingatkan bahawa ungkapan sedemikian adalah bersifat yang distilahkan dengan dzauq dan wujdan, atau pengalaman intuisi kerohanian dan tidak berlaku secara realiti. Pengalaman sedemikian boleh berlaku dalam pengalaman seni alamiah yang diistilahkan sebagai `kemabukan rasa` demikian juga dari segi kerohanian yang  ungkapan  dipengaruhi atau ditenggelamai `kemabukan cinta, dan tidak sekali-kali berlaku dari segi realiti.
Berkata Al-Kalabadzi, bahawa  al-ittisal ialah, bahawa terputus diri dari yang lain dari Allah.
Berkata Al-Thauri, al-ittisal ialah mukashafah (terbuka) hati, seperti menyaksikan perkara-perkara yang rahsia dari segi kerohanian adalah merupakan mukashafah.
Al-Kalabadhi memberi contoh daripada Hadith Rasulullah s.a.w.
Daripada Hadith `Umar r.a, ketika menceritkan seorang (Jibril) yang mnenyoal Nabi s.a.w. tentang  Islam, Iman dan Ihsan.
Ketika Rasulullah s.a.w. ditanya Jibril tentang ihsan, maka bersabda Rasulullah s.a.w.
`Al-ihsan bahawa engkan menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya,, maka jika engkau tidak melihatNya maka Dia melihat engkau.``
Penglihatan juga dikaitkan dengan kerahsiaan-kerahsiaan yang disaksikan – Contoh sebagaimana penyaksian Rasulullah s.a.w. pada malam Isra` dan Mi`raj.
Al-Ittisal juga bermaksud seseorang yang memberi tumpuan  (membesarkan) kepada Allah hingga menghilangkan  tumpuannya kepada yang lain.
Sesungguhnya pengalaman Aal-uns, al-qurb dan al-Ittisal adalah bersifat rohani yang mencerminkan kemesraan hamba terhadap Tuhannya. Ianya bukan berlaku dari segi realiti alamiah yang boleh bercanggah dari segi akidah. Sesungguhnya ungkapan dipengaruhi oleh hal kejiwaan yang berlainan. Bahasa sastera misalnya berlainan cara pengungkapan dari bahasa biasa, maka demikianlah bahasa cinta kerohanian adalah berlainan dari bahasa sastera biasa. Bahasa kerohanian adalah dipengaruhi hal-hal yang kerohanian sifatnya. Bahasanya boleh diberi olahan secara  bercabang maknanya.

Sekian.

December 15, 2016

DZIKIR MESRA DI HATI MENYEBUT-NYEBUTNYA YANG MENCINTAI


BBB, BBB 14 Rabi`ul Awwal 1438H. =  14 Disember 2016 (Rabu):
Dzikir adalah aspek daripada ibadat. Dzikir bermakna  menyebut,  mengingat, berada dalam perhatian. Dzikir merupakan pertanda hubungan antara yang mengingat dan yang diingati, makin menebal dan  intim ingatan menandakan meningkat ingatan dan kasih sayang. Dzikir kepada Allah dan salawat kepada Rasulullah s.a.w. mencerminkan sejauhmanakah ingatan terhadap Allah dan Rasulullah s.a.w.
Berdzikir adalah  amalan ibadat yang disuruh Allah. Banyak ayat  yang menggesa supaya berdzikir. Antaranya ayat bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman berdzikirlah  akan Allah dengan dzikir yang banyak dan bertasbihlah kepadaNya  pada waktu pagi dan petang.`` (Al-Ahzab: 41).
Firman Allah lagi bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman janganlah melalaikan kamu oleh harta benda kamu dan tidak jua oleh anak-anak kamu daripada mengingati Allah, siapa yang melakukan sedemikian, maka  mereka itulah orang-orang yang rugi.`` (Al-Munafiqun: 9).
Dan firman Allah lagi yang bermaksud:
``Orang-orang  beriman dan hati  mereka tenang dengan  dzikir kepada Allah. Ingatlah dengan berdzikir kepada Allah menenangkan  hati.`` (Al-Ra`d: 28).
Menurut Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam bukunya (Risalah) tentang zikir, bahawa, ``Dzikir adalah ibadat yang paling mudah. Dzikir tidak memerlukan waktu dan tenaga. Dzikir dapat dilakukan pada bila-bila masa atau di mana-mana jua. Dzikir boleh dilaksanakan dalam keadaan berwudhu` atau sebaliknya. Dzikir adalah ibadat yang Allah sukai.``
Menurut Tuan Guru, antara maksud sabda Rasulullah s.a.w., ``Bahawa ibadat yang disukai Allah ialah yang dikerjakan secara tetap, walaupun sedikit.`` (Riwayat Muslim).
Menurut Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman di dalam bukunya (Risalah) berjudul `Zikir Pagi Petang & Selepas Solat, bahawa antara dzikir untuk diamalkan ialah  Dzikir daripada Al-Qur`an, Dzikir daripada al-Sunnah dan Dzikir selepas solat.
Antara fatwa beramal katanya, bermula selepas solat Subuh atau sebaik-baiknya sebelum terbit matahari hingga waktu Zuhur. Pada waktu petang bermula selepas solat `Asar sebaik-baiknya sebelum terbenam matahari (Maghrib) hingga waktu `Isya`.  Sekiranya tidak sempat berdzikir dalam tempoh tersebut bacalah ketika hendak tidur. Sesiapa yang tidak dapat membaca semuanya, bacalah sekadar yang mampu agar tidak terlepas memperolehi kelebihannya..
Menurut Haji (Dr.) Zahazan Mohamed  di dalam bukunya  `Do`a dan Dzikir Harian`
``Dzikir ialah perbuatan mengingati Allah s.w.t dengan menyebut kalimah seperti subhanallah, astaghfirullah, Allahu akbar dan sebagainya dalam tiga bentuk. Iaitu melalui perbuatan lidah dan hati – juga akal.
Dhikir adalah menjadi sebahagian amalan sufi, bahkan bagi setengah tariqat mempunyai wirid-wirid dan ahzab yang menjadi amalan pengikut-pengikutnya.  Amalan-amalan dzikir ini adalah bagi memperkukuhkan kejiwaan pengamal-pengamal dan pengikut-pengikut tariqat-tariqat berkenaan. Tetapi sebagaimana telah diperkatakan amalan zikir yang aula adalah diambil dari Al-Qur`an  dan amalan Sunnah.
Menurut Al-Kalabadzi haqiqat dzikir, bahawa engkau melupakan apa yang selain daripada yang engkau  sebutkan di dalam dzikir, kerana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Ingatlah kepada Tuhan engkau apabila engkau lupa.`` (Al-Kahfi: 24).
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Mendahului  al-Mufarradun.  Dikatakan, siapakah al-Mufarradun itu, wahai Rasulallah ?. Maka bersabda Baginda, ``Mereka adalah yang berdzikir banyak-banyak lelaki dan perempuan.`` Hadith  reiwayat al-Tirmidhi dan al-Hakim.
 Dan al-Mufarrad  bermakna  tidak ada yang lain bersamanya.
Berkata setengah kalangan sufi, ``Dzikir ialah menghapuskan  lalai, apabila hilang lalai, maka engkau ialah orang yang berdzikir, meskipun diam.``
Digubah ungkapan kepada Al-Junayd sebagaimana berikut:
Ku dzikirkan Engkau tidak sekejip kulupakan
Paling mudah dhikir ialah dhikir dengan lisan.
Dzikir adalah tanda ingatan dan cinta, lantaran kerana cinta menyebutnya dengan penuh mesra dan tidak jemu-jemu mengulanginya, bahkan meningkatkan cinta.
Berkata Al-Junayd, ``Barangsiapa menyebut Allah tanpa mushahadah menandakan dia dusta, lantaran firman Allah bermaksud:
``Mereka berkata,  kami bersaksi bahawasanya engkau adalah Rasulullah.`` (Al-Munafiqun: 1) Kemudian Dia berkata, ``Allah bersaksi bahawa orang-orang munafik adalah mereka yang dusta.`` (Al-Mufiqun: 1).
Bermaksud, Allah mendustakan kata-kata mereka, walaupun dari segi luaran kata-kata mereka betul, tetapi dari hakikat dalaman, mereka adalah dusta, lantaran tidak sebenarnya `mushahadah`.
Dikatakan juga, ``Hati adalah mushahadah, sedangkan lisan adalah mengibarah daripada mushahadah, siapa yang mengibarat lain dari mushahadah, maka sesungguhnya ia adalah mushahadah dusta !``
Dzikir seharusnya adalah luahan dari hati yang mesra dan cinta terhadap Allah, lisan  menyebutnya  dengan rasa senang dan ringan, tiada keberatan, kerana tiap yang dicinta hati sering disebut dan diulang-ulangi.

Sekian.

December 14, 2016

KONSEP YAQIN


BBB,  14 Rabi`ul Awwal  14328H. =  14 Disember 2016 (Rabu):
Yaqin  ialah puncak bagi keilmuan umum, juga dibicarakan di dalam ilmu akidah dan turut juga dibicarakan  di dalam ilmu tasawuf, tetapi pendekatan  agak berbeza.
Di dalam keilmuan umum apa yang mau dicapai atau apa yang mau disampaikan ialah kebenaran sesuatu ilmu itu, maksud kebenaran ialah tepat dengan realiti dan hakikat keilmuan yang dipelajari seperti pembelajaran ilmu matematik misalnya, maka jawapan yang dicapai adalah tepat dan benar. Begitulah dengan keilmuan-keilmuan yang lain benar yang mau dicapai dan dia adalah menjadi `Yakin` - tidak diragui. Benar yang diyakini ini adalah penting, hingga apa yang diyakini menjadi pegangan dan diaplikasikan di dalam  amalan.
Yaqin juga menjadi tujuan di dalam pembelajaran ilmu akidah agar penganutnya  berpegang teguh dan tidak berada di dalam ragu yang merosakkan akidah. Keilmuan dalam bidang akidah dikenali sebagai  ma`rifat. Misalnya `Ma`rifat Allah` adalah kewajipan terawal di dalam ilmu akidah. Mengenal Allah adalah dengan `Yaqin` tanpa berlebih kurang – tidak pada taraf z*an, syak dan waham yang merosakkan akidah. Pengajian akidah mempunyai pendekatan yang tersendiri di dalam menghuraikan keilmuan berkenaan.
Di dalam tasawuf `Yakin`  adalah keperluan utama dan seharusnya seseorang itu perlu memantapkan diri terlebih dahulu dengan keilmuan  akidah bahkan dengan keilmuan shari`at  (fiqh), lantaran kata Imam Malik r.a.
``Siapa bertasawuf tidak berfiqh boleh membawa kepada zindiq
Siapa berfiqh tidak bertasawuf boleh membawa kepada fasiq
Siapa yang menghimpun antara keduanya dia tahqiq.
Pencapaian kepada tahqiq tentulah termasuk sama ilmu aqidah atau usuluddin,
Di  dalam pembicaraan keilmuan tasawuf, tidaklah dihurai kembali berkenaan pendekatan keilmuan aqidah dan fiqh. Ianya  adalah komponan yang telah sedia ada bagi seseorang sufi. Percakapan tentang tasawuf adalah gambaran pegangan sufi  dengan ketiga-tiga bidang berkenaan – termasuk tauhid, sebagaimana kata  Junayd di dalam al-Luma` tentang tauhid kesufian, katanya:
``Ialah menunggalkan yang Esa dengan tahqiq wahdaniyyatNya, dengan sempurna keesaanNya. Dialah yang Esa yang tidak beranak dan tidak  diperanakkan, menafikan lawan dan persamaan dan penyerupaan, tidak disembah selainNya, tidak tashbih dan tidak bagaimana, tidak ada gambaran dan tidak ada sebarang tamthil. Dialah Tuhan Yang Esa Yang Samad lagi Tunggal yang tidak ada sepertimNya  sesuati Dialah Yang Amat Mendengar lagi Amat Melihat.``
Dari ungkapan di atas terbayang kedalaman tentang hakikat dan pegangan ketasawufan  Al-Junayd yang membayangkan juga ke dalaman bidang akidahnya.
Apakah konsep yaqin dari segi kesufian ? Al-Kalabadzi mengambil pendapat Al-Junayd  tentang yaqin. Menurutnya ``Yaqin ialah terangkat dari syak.``
Al-Kalabadzi juga memetik pendapat Al-Nuri tentang yaqin, maka katanyaL ``Yaqin ialah al-Mushahadah.``
Dan kata Ibn `Ata`, Yakin ialah yang hilang daripadanya pertentangan sepanjang zaman.
Tentang yaqin kata Dzu al-Nun al-Misri, ``Apa yang dilihat oleh mata dinisbah kepada ilmu dan apa yang dihayati hati adalah dinisbah kepada yaqin.
Bahkan kata yang lain, `Yaqin ialah `ayn al-qalb.`
Berkata Sahl, `Yaqin ialah al-Mukashafah.``
Al-Sarraj menyebut bahawa yaqin mempunyai tiga  tahap, iaitu.
`Ilmu  al-Yaqin`, iaitu keyakinan melalui keilmuan yang antaranya secara rasional akal.
`Ayn al-yaqin`,iaitu keyakinan melalui penglihatan mata yang antaranya membawa kepada ilmu.
Dan Haqqul-Yaqin, iaitu keyakinan bertahap tinggi, iaitu mencapai hakikat keyakinan.
Berkata Al-Sarraj lagi, Al-Yaqin adalah tahap tinggi dan ada tiga hal berkenaan yaqin:
Tahap rendah, iaitu yaqin orang awam dan para murid pada peringkat permulaan.
Sebagaimana kata Al-Junayd, Yaqin ialah terangkat dari syak.
Tahap pertengahan, yang juga dikenali tahap khusus seperti kata Ibn `Ata`, iaitu yang tiada pertentangan dalam penerusan zaman
Tahap tinggi, iaitu khusus al-khusus seperti kata `Uthman al-Makki, ``Yaqin ialah tahqiq ithbat bagi Allah dengan segala sifatNya.``
Yaqin termasuk di bawah ahwal, dan yaqin adalah asal bagi semua ahwal, dan kepadanya puncak bagi semua ahwal, dia adalah akhir bagi ahwal, batin bagi semua ahwal,, zahir bagi al-ahwal dan nihayah bagi ahwal, tahqiq tasdiq dengan yang ghaib dengan hilang syak dan ragu. Dan puncak yakin ialah rasa mesra  dan manis munajat dan bersih renungan terhadap Allah dengan mushahadah hati dengan hakikat yaqin dengan hilang illah dan mu`aradhah bertentangan.
Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya  pada yang sedemikian itu menjadi tanda bagi mereka yang memerhati dan memikirkannya.`` (Al-Hijr:  75)
Dan maksud ayat:
``Dan pada bumi ada tanda-tanda bagi orang-orang yang yaqin.`` (Al-Dzariyat: 20).
Demikian konsep dan penghayatan kesufian berhubung dengan konsep yaqin .

Sekian.

December 10, 2016

TAWAKKAL DAN REDHA DINAMIKA MENYELESAIKAN


BBB,  09 Rabi`ul Awwal 1438H. = 09  Disember 2016 (Juma`at):
Dua istilah yang kukuh dan positif di dalam keyakinan orang muslim. Ianya membawa sudut pandang wujud bagi seorang muslim yang amat positif  dan dinamik sifatnya. Pandang wujud dari perspektif diri muslim bahawa segala  sesuatu yang berlaku sesungguhnya  dalam ilmu Allah, tetapi bagi diri individu tidak mengetahui apa yang akan berlaku dan dia seharusnya selalu bertafa`ul – mengharap baik dengan ikhtiar serta berdo`a semoga sesuatu yang berlaku dan dipohon membawa hasil yang baik, maka jika apa yang ditawakkal dan  dipohon jika berlaku perkara yang dipohon, maka dia syukur,  tetapi jika sebaliknya dia redha menerima takdir dan sabar. Tawakkal dan redha adalah sebagaimana biasa adalah ahwal bagi Al-Kalabadzi, tetapi kedua-duanya  maqam bagi pandangan yang lain. Di dalam hal ini tiada kekeciwaan `sebenarnya` di dalam hidup dan harapan, segala yang berlaku adalah di dalam ketentuan qadha` dan qadar Tuhan. Dan seorang muslim harus meneruskan kehidupan secara syukur dan sabar yang keduanya berkeseimbangan dengan syukur dia mendapat pahala dan jika  sabar dengan qadha` dan qadar dia juga menerima pahala dan ganjaran.
Di dalam hal ini Al-Kalabadzi menampilkan  ta`rif tawakkal berdasarkan pendapat Sari al-Saqati yang mengatakan tawakkal ialah `Tercabut` dari kuasa dan kekuatan (tiada penentuan diri). Manakala  Ibn Masruq pula berkata,
``Tawakkal ialah meyerah  kepada larian qadha` bagi segala hukum``, manakala Sahl bin `Abdullah, bahawa tawakkal ialah menghantar kesegalaan di dalam penentuan Allah.
Berkata Abu `Abdullah al-Qurashiyy ialah, ``Meninggalkan segala perlindungan melainkan kepada Allah.``
Berkata Abu Ayyub, ``Tawakkal ialah mencampak badan di dalam `ubudiyyah dan mensangkut hati dengan rububiyyah dan tama`ninah dengan kifayah.``
Berkata Al-Junayd, ``Hakikat tawakkal bahawa adalah bagi Allah Ta`ala ada sebagaimana adalah Dia, maka adalah bagi Allah Ta`ala sebagimana berterusan ada Ia.
Berkata Abu Sa`id  al-Kharraz, ``Tawakkal adalah berlaku segala kifayat daripada Tuannya kepada ahli miliknya. ``
Berkata setengah mereka, `Tawakkal ialah apa yang di antara hamba dan Allah.``
Al-Sarraj mengemukakan pendapat tentang tawakkal, iaitu, meletakkan badan pada `ubudiyyah, ta`alluq hati dengan rububiyyah, tama`          ninah dengan kifayah, maka jika diberi dia bersyukur dan jika ditegah dia bersabar redha muwafaqat sebagaimana ditakdirkan.
Disoal Dhu al-Nun al-Misri tentang tawakkal, maka katanya, ``Tawakkal adalah meninggalkan tadbir diri dan tercabut daripada daya dan kekuatan.
Ruym pula berpendapat, tawakkal ialah  teguh dengan janji,  dan kata Sahl tawakkal ialah menghantar diri kepada Allah menurut kemahuanNya.
Tawakkal menurut `Abdul Qadir `Isa, sebagaimana dipetik dari pendapat Al-Sayyid katanya, ``Berpegang teguh dengan janji Allah dan berputus asa dengan apa yang ada pada tangan manusia.`` Dan berkata Ibn `Ajibah, Tawakkal ialah teguh hati dengan Allah dan tidak berpegang dengan lain dariNya.
Tentang tawakkal firman Allah bermaksud:
``Dan kepada Allah hendaklah bertawakkal oleh yang bertawakkal.``    (Ibrahim: 12).
Dan firmanNya lagi  bermaksud: ``Dan hendaklah bertawakkal kepada Yang Hidup dan tidak mati serta bertasbihlah dengan memujiNya dan cukuplah  Ia Mengetahui secara mendalam  akan dosa-dosa hambaNya.`` (Al-Furqan:  58).
Sebagaimana disebutkan bahawa redha mempunyai hubungan rapat dengan tawakkal, khususnya sebagai penerimaan dari hasil tawakkal, iaitu redha.
Redha adalah berkedudukan sebagai maqam dan sebagai hal dari berbagai ahwal bagi al-Kalabadzi. Beliau memetik pendapat Al-Junayd tentang redha, iaitu meninggalkan ikhtiar, tetapi kata al-Muhasibi sebagaimana dipetik Al- Sarraj, Redha ialah tenang hati menurut larian hukum,  dan berkata Dhu al-Nun al-Misri,  ``Redha gembira hati dengan larian al-qadha`
Berkata Al-Sarraj, bahawa redha adalah pintu Allah yang besar, syurga di dunia,, lantaran hati hamba tenang  di bawah hukum Allah Ta`ala.
Manakala `Abdul Qadir `Isa  menyatakan berbagai-bagai takrif tentang redha, tiap-tiap satu bercakap menurut suasana (hal) dan maqam yang dilalui. Antaranya beliau memetik pendapat Al-Sayyid yang dianggap pendapat yang paling popular, bahawa, ``Gembira hati dengan laluan qadha`.``
Dan berkata Ibn `Ajibah r.a. ``Menerima kecelakaan dengan senyuman atau bergembira hati bila terungkainya qadha`, atau meninggalkan ikhtiar menurut apa yang ditadbir Allah dan berlalu atau  lapang dada dan terangkat keengganan dengan apa yang ditentukan Allah yang Maha Esa lagi Berkuasa.``
Berkata Ibn `At*a`  Allah al-Sakandari r.a. ``Redha ialah melihat hati kepada qidamnya ikhtiar Allah Ta`ala  kepada hamba dan meninggalkan berbagai andaian.``
Redha ialah maqam hati, apabila tahqiq dengannya hati seorang mukmin dia mampu menempuh segala ujian masa dan berbagai-bagai kesusahan dengan iman yang kukuh, jiwa yang tenang, hati yang tenteram, bahkan lebih dari itu diterima dengan hati yang gembira dan rela menerima qadha`. Ini adalah merupakan natijah tahqiqnya ma`rifat dengan Allah Ta`ala dan kecintaan terhadapNya.
Tentang redha firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Allah redha mereka itu dan mereka redha denganNya. Itulah kejayaan yang Amat Besar`` (Al-Ma`idah: 119).
Dan ayat bertmaksud, ``Dan Keredhaan Allah itu lebih besar.`` (Al-Taubah: 72).
Demikianlah pandangan wujud para muslimin. Allah menentukan segala yang dikenali dengan qadha` dan qadar, pun begitu manusia tidak mengetahui apa ketentuan diri masa depan. Dia mesti bekerja dan berikhtiar serta bertawakkal  tanpa mempersoalkan apa yang ditentulah. Apa yang dia ikhtiar dan bertawakkal dan berkau, itulah ketentaun Allah – qadha` dan qadar. Dia bersyukur dengan kurnia dan bersabar jika sebaliknya. Dia mendapat pahala bagi kedua-duanya.

Sekian.

December 9, 2016

EMPAT JENIS AHWAL - AL-KALABADZI


BBB, 08  Rabi`ul Awwal 1438H. =  08 Disember 2016 (Khamis):
Empat jenis sifat  berikut  dikategori sebagai ahwal, khususnya oleh Abu Bakar al-Kalabadzi, maupun oleh yang lain, iaitu al-khauf, al-taqwa, al-Ikhlas dan al-Shukr.  Ianya adalah merupakan pengalaman yang berlaku kepada jiwa.
Apa itu al-khauf ?
Bermaksud kebimbangan seseorang kerana tidak menepati keperluan darinya terhadap tuntutan yang mendepaninya. Misalnya takut berhadapan dengan Allah kerana kekurangan amalannya dan takut di atas pembalasanNya.
 Al-Kalabadzi memetik pendapat Abu `Amrin  al-Dimashqi,  bahawa al-khauf yang bererti takut, ialah pengalaman yang ditakuti oleh seseorang – terhadap Allah adalah lebih daripada apa yang ditakut dari seteru.
Berkata Ruym Yang takut ialah yang tidak takut selain daripada Allah. Maknanya dia tidak takut bagi dirinya, dan sesungguhnya dia takut lantaran mengagugungkanNya (Allah), dan takut bagi diri ialah akibat yang akan diterima.
Berhubung dengan takut firman Allah bermaksud:
``Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri  di mahkamah Tuhannya (untuk dihisab), serta  ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya adalah syurgalah tempat kediamannya.``  (Al-Nazi`at: 40-41).
Al-Sarraj memetik makna takut dari kata-kata Ibn al-Jala`, bahawa yang takut pada pendapatku ialah yang tidak takut melainkan kepada  Allah. Pendapat ini sama dengan pendapat Ruym di atas.
Adapun Al-Taqwa, ialah tahap pencapaian hati dan diri yang walaupun bermakna takut sebagaimana al-khauf tapi berbeza dengan `al-Taqwa`. Taqwa adalah pencapaian hati dari segi ta`abbudiyyah terhadap Allah.
Berkata Sahl bin `Abdullah  sebagaimana dipetik oleh Al-Kalabadzi, bahawa taqwa ialah pencapaian hati di dalam kepatuhan dan  ada keikhlasan di dalam taqwa berkenaan.
Adapun tentang ikhlas, ialah niat dan  melakukan sesuatu pekerjaan bukan yang lain dari kerana Allah.
Al-Kalabadszi memetik pendapat Al-Junayd tentang ikhlas, bahawa ialah sesuatu yang dilakukan kerana Allah  daripada apa amalan baiknya.
Dan berkata Ruym, ikhlas ialah terangkat pandangan engkau dari melihat amalan engkau.
Bertanya kepada Abi al-`Abbas bin `Ata`,  Apakah yang ikhlas daripada amal ?
Maka katanya, ``Ialah yang bersih dari kekejian.
Tentang ikhlas firman Allah Ta`ala bermaksud:
`Mereka tidak disuruh melainkan menyembah Allah dengan secara ikhlas. (Al-Bayyinah: 5).
Manakala syukur, ialah penglahiran rasa terima kasih di atas sebarang kurniaan yang baik dari Allah. Penglahiran rasa syukur adalah melalui perkataan, perbuatan dan pernyataan suasana.
Tentang shukur ini Al-Kalabadzi memetik pendapat Al-Muhasibi, bahawa shukur menurutnya adalah pertambahan kesyukuran dalam maksud, apabila ia bersyukur, maka dia ditambah taufiq, maka makin bertambahlah kesyukuran.
Berkata Abu Sa`id al-Kharraz, syukur ialah pengiktirafan yang menerima ni`mat terhadap Pemberi ni`mat dan iqrarnya dengan sifat rububiyyah Pemberi.
`Abdul Qadir bin `Isa memetik tentang syukur dari Ibn al-Qayyim, di dalam Ma`arij al-Salikin, bahawa tertumpu hati pada mengasihi yang memberi ni`mat, sedang anggota melakukan ketaatan dan lisan menyebut dan mengulang-ngulang pujian.
Berkata Ibn `Ajibah r.h.a. Syukur ialah penglahiran rasa gembira hati dengan  terhasilnya ni`mat dengan anggota melaksanakan ketaatan kepada yang memberi  ni`mat dan mengiktiraf kepada  pemberi nikmat dan khudhu` kepadanya .
Firman Allah tentang ni`mat bermaksud:
``Dan jika sekiranya engkau mau mengira nikmat Allah, nescaya tidak  terkira.`` (Ibrahim:  34).
Menurut `Abdul Qadir bin `Isa. Ada tiga jenis syukur:
Pertama syukur dengan  kehidupan di dunia seperti kelawasan rezeki  dan  hidup di dalam keadaan sihat.
Kedua syukur bersifat keagamaan seperti bekerja, beramal  dan membuat kebajikan
Ketiga  syukur bersifat ukhrawiyyah seperti mendapat pahala dari amalan yang salih dan insya Allah di balas dengan nikmat syurga.
Tetapi syukur yang paling utama, syukur kerana menerima nikmat Iman dan Islam serta ma`rifat Allah.
Syukur antaranya melalui lisan iaitu dengan menyebut-nyebut tentang nikmat dan pemberi nikmat seperti firman Allah bermaksud, ``Dan adapun dengan ni`mat  Tuhan engkau maka hendaklah disebut dan dilahirkan (Al-Dhuha: 11).
Nikmat juga dimanifestasikan dengan perlakuan anggota, misalnya dengan membanyakkan solat
Dan ada pada peringkat hati yang mengingati dan memuji dalam hati.
Sesungguhnya syukur adalah puncak ujian yang terhasil  selepas melalui   kesusahan, menuntut waktu, tenaga, masa dan berbagai-bagai pengorbanan  yang memberinya pahala dan ganjaran.

Sekian.

December 8, 2016

ZUHUD, SABAR, FAQR DAN AL-TAWADHU: NILAI PERIBADI TINGGI


BBB, 07 Rabi`ul Awwal 1438H. = 07 Disember 2016 (Rabu):
Bagi keempat-empat sifat yang dibicarakan oleh Al-Kalabadzi secara seturut adalah merupakan pada kategori maqam pada pendekatan yang lain seperti oleh Al-Sarraj dan juga oleh `Abdul Qadir `Isa.  Al-Sarraj  tidak menyebut tentang  al-Tawadhu`, tetapi yang disebut  ialah al-wara`. Bagi `Abdul Qadir `Isa dengan bukunya Haqa`iq `an al-Tasawwuf sebagaimana Al-Sarraj tidak memasukkan al-Tawadhu` sebagai satu aspek, tetapi memasukkan  al-wara` sebagai satu aspek yang sebagaimana Al-Sarraj meletakkannya di bawah al-Maqam.
Al-Zuhd memanglah istilah popular  di dalam ilmu tasawuf, bahkan ia merupakan istilah awal digunakan bagi maksud tasawuf. Antara yang mmengguna dan mempopularkan istilah ini ialah Al-Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H.). Istilah ini menjadi judul  bagi salah satu bukunya yang diberi judul- `Al-Zuhd`. Beliau membincangkan tentang zuhud para rasul, nabi dan para sahabat r.`anhum. Beliau juga memberi  judul bagi sebuah bukunya, iaitu  `Al-Wara`  yang menjadi salah satu sifat yang diletakkan di bawah maqam.` Buku Al-Wara` membincangkan perkara-perkara yang perlu dielakkan dari trerjatuh kepada perkara yang shubhah, apa lagi perkara yang haram.
Sebagaimana kebanyakan judul yang dibicarakan oleh Al-Kalabadzi, tidak memberi ta`rif dan huraian terhadap judul yang dibicarakan, maka demikianlah dengan judul `Zuhud`nya Untuk makna zuhud, beliau terus memetik pendapat Al-Junayd.
Menurut Al-Junaid, Zuhud ialah mengosongkan tangan dari memiliki dan hati dari  dimiliki. Menurut catatan  kaki maksud mengosongkan tangan dari memiliki, bukan seorang tidak mempunyai harta, tetapi dengan hartanya yang dimiliki menyebabkan dia menjadi seorang yang pemurah  dan suka menmderma.
Manakala sabar yang  bagi lain dari Al-Kalabadzi termasuk di bawah maqam, menurut Al-Kalabadzi yang memetik pendapat  Sahl  bin `Abdullah. Maksud sabar ialah sabar dalam menunggu kelapangan dan kelawasan dari Allah.
Berkata Sahl lagi, bahawa sabar ialah sifat yang memurnikan sesuatu.
Manakala erti faqr yang juga termasuk di bawah maqam. Al-Kalabadzi memetik pendapat Abu Muhammad al-Jariri , bahawa al-faqr  engkau tidak menuntut hilangnya sesuatu hinggalah kewujudannya hilang. Bermaksud tidak mengharapkan bantuan orang kerana takut lemah dari beribadat fardhu, sebab itu dia harus berusaha mengatasi dari al-faqr.
Dan aspek keempat yang tidak diketengahkan pihak lain, iaitu `Al-Tawadhu`` - tempat bagi tawashu` bagi Al-Sarraj dan `Abdul Qadir `Isa  ialah `al-wara`.
Tawadhu`  yang dikemukakan oleh  Al-Kalabadzi ialah bermaksud, sebagaimana dipetik dari pandapat A l-Junayd, Bahawa tawadhu` ialah engkau merendahkan sayap engkau  dan memecahkan  kelebihan.``. Sebagaimana kata Ruym, bahawa al-tawadhu`, ialah merendahkan hati kepada Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Berkata Sahl bin `Abdullah bahawa sempurna dzikir ialah al-mushahadah dan sempurna tawadhu` ialah redha dengannya.
Pembicaraan yang dilakukan bagi setiap aspek oleh Al-Kalabadzi agak ringkas  antara  satu halaman atau kurang daripadanya.
Aspek yang tidak dibicarakan oleh Al-Kalabadzi, ialah al-wara` yang seolah-olah  Al-Kalabadzi  menggantikannya  dengan  al-tawadhu` sebagaimana telah dibicarakan.
Ada sedikit perbezaan antara al-tawadhu` dengan al-wara`.  Al-tawadhu` lebih merujuk kepada peribadi seorang yang berakhlak, teratur, lemah lembut dan,merendah dan tidakmementingkan diri. Manakala al-wara` lebih mencerminkan sikap dan peribadi yang mementingkan kebersihan amalan. Misalnya amat hati-hati dari segi halal dan haram. Dia berusaha menjauhkan dirinya daripada terjatuh kepada perkara shubhah, lebih-lebih lagi daripada terjatuh kepada perkara yang haram.
Sebagai contoh tentang wara`, Ahmad bin Hanbal  ditanya tentang perkara yang berunsur riba, dia berkata, yang menmgamal dengan riba dan mengambilnya  dari modal (ra`su malihi) dan jika diketahui oleh sahabatnya, maka hendaklah dikembalikan kepada mereka itu dan jangan engkau  menerima dengan kelebihan.`` (Ahmad bin Hanbal, Kitab al-Wara`(1403/1983: 45).
Al-Sarraj meletakkan al-wara` sebagai maqam yang mulia. Beliau memetik sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: ``Kawallah agama kau dengan sifat wara`.
Menurut amalan yang dinisbahkan kepada wara` ada tiga kategoroi;
Mereka yang berbuat wara` daripada shubhah yang memang mengandubgi unsur shubhah, iaitu perkara yang antara haram yang nyata dan halal yang nyata.
Perkara yang nyata tidak halal secara mutlak dan tidak haram secara mutlak
Dan  dia wara` antara keduanya.
Sabda  Rasulullah s.a.w. bermaksud, ``Perkara dosa apa yang menempelak dada engkau.``
Bagi `Abdul Qadir bin `Isa beliau memetik beberapa pendapat berhubung dengan wara`, iaitu seperti l-Sayyidal-Jurjani berpendapat,, wara` ialah menjauhi perkara shubahat, lantaran takut terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.
Beliau juga memetik pendapat Ibn `Ajibat r.a., ``Wara` ialah menahan diri daripada terjatuh kepada perkara-perkara yang akibatnya dibenci.
Dan berbagai-bagai lagi pendapat.
Dapatlah difahami dan dapat dibuat  kesimpulan perjalanan maqam-maqam dan ahwal adalah  perjalanan pembersihan dan peningkatan diri dengan nilai-nilai peribadi dan akhlak yang tinggi di dalam menuju kepada Ilahi.

Sekian.