January 7, 2017

FITNAH DAN GUGATAN DIHADAPI AL-QUSHAIRY: KUKUHKAN KEDUDUKAN


BBB,  07 Rabi`ul Akhir  1438H. =  06 Januari 2017 (Juma`at):
Pada dasarnya  Abu al-Qasim bin `Abdul Karim bin Hawazin (376-465H.) Imam yang alim yang menghimpunkan antara  shari`at dan haqiqat menumpukan kegiatan keilmuannya di Naisaburi.
Kealimannya di dalam berbagai bidang keilmuan seperti akidah, tasawuf, fiqh, tafsir, hadith dan sastera dan kemampuannya menyampaikan pengajaran dengan  berkesan dengan bahasa yang menawan, menarik ramai pengikut-pengikut dan pelajar-pelajar. Pada zaman kegiatannya ini Al-Qushairy berada pada zaman pemerintahan kerajaan Saljuk yang mendukung faham Mu`tazilah, sedangkan Al-Qushairy adalah pendukung madzhab Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Popularitinya tidak disenangi oleh kalangan yang tidak sealiran dengannya. Lantaran itu beliau menghadapi fitnah dari kalangan pendukung Mu`tazilah dan kalangan yang digelar sebagai pendukung Neo Hanbalisme yang kuat pengaruhnya di kalangan pemerintah Saljuk. Akibat dari fitnah dan gugatan dari kalangan pendukung Mu`tazilah dan Neo-Hanbalisme ini pengkut-pengikut dan murid-muridnya berpecah. Bahkan ada cadangan oleh pihak musuh-musuhnya terhadap pemerintah agar menangkapnya. Akibatnya beliau terpaksa keluar dari Naisabur dan berpindah ke Baghdad. Di Baghdad beliau tidak menghadapi sekatan, bahkan diterima baik oleh pemerintah pada masa itu. Beliau menghadapi tentangan dan gugutan dan perpindahab ini berlaku antara (440-455H.). Dalam masa tersebut beliau sekali sekala  ke Tus, walaupun tidak dapat terus ke Naisaburi.
Pada akhir tempoh tersebut berlaku perubahan politik pemerintah. Peristiwa yang terkenal dengan  `Thurghulbeg` dan kuasa Sultan Arsalan al-Saljuki (m. 1072H.)  diambil alih oleh Abu Shuja`, maka  Al-Qushairy bersama dengan rombongannya  bertolak dari Khurasan kembali ke tanah asalnya bergiat di Naisaburi. Sultan  dan Perdana Menteri Nizam al-Muluk pada masa itu, iaitu Al-Hasan bin `Ali al-T*usy  dan pemuka-pemuka semasa amat menghormati Al-Qushairy dan mereka turut sama hadir di dalam majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh Al-Qushairy.
Menurut Al-Qushayry di dalam muqaddimah kitab Al-Risalat al-Qushaiuriyyahnya bahawa menurutnya:
``Ini Risalah ditulis oleh yang  faqir terhadap Allah Ta`ala `Abdul Karim bin Hawazin al-Qushairy ditujukan kepada kumpulan sufi di negara-negara Islam, iaitu pada tahun 437H.).``
Iaitu sebelum dari zaman gugatan yang dihadapi oleh al-Qushairy (440-455H.).
Walaupun dikatakan Risalahnya ditujukan kepada kumpulan sufi di negara-negara Islam, hakikatnya dituju  kepada semua pihak baik kalangan sufi atau bukan dari kalangan sufi, khususnya bagi yang mau mengkaji bidang tersebut dan juga kepada pihak yang mencari tentang kesalahannya yang mau menggunakan bagi melemahkan Al-Qushairy sebagaimana dilakukan oleh musuh-musuh Al-Qushairy.
Al-Qushairy meletakkan golongan sufi yang sebenar pada tempat yang tinggi. Menurutnya:
``Allah menjadikan golongan ini adalah mereka yang  murni jiwa di kalangan auliya`Nya. Dan melebihkan mereka di atas kalangan hambanya selepas rasul-rasul dan anbiya`Nya salawat dan salam ke atas mereka`` . Menurut Al-Qushairi, ``Allah menjadikan hati-hati mereka logam-logam rahsia-rahsiaNya dan mengkhususkan mereka di tengah umat  menjenguh cahaya-cahaya, memahami hakikat secara mendalam. Mereka bersih dari kotoran kekejian biasa  insan.  Mereka bermushahadah hakikat Ahadiyyah. Mereka adalah  ditaufik mendirikan adat-adat kehambaan dan menyaksikan larian hukum al-Rububiyyah. Mereka melakukan kewajipan taklif. Mereka bersifat iftiqar kepada Allah. Mereka tidak memperkatakan apa yang dialami dari amalan-amalan dan ahwal yang dilalui untuk mengelak dari fitnah terutama bagi yang tidak memahaminya.  Al-Qushairy meletakkan kalangan yang benar-benar sufi begitu tinggi. Menurutnya kalangan sedemikian pernah wujud, tetapi kini kalangan sedemikian sukar dan hampir tidak dapat mencapai taraf sedemikian ideal lalu beliau secara nostalgik menggambarkan kehilangan dan ketiadaan mereka  ini dalam puisi yang digubah begitu indah:
Adapun khemeh-khemah seperti khemah mereka didirikan
Aku melihat wanita mengurusnya telah  sama  menghilang
Puisi ini begitu indah yang menggunakan konsep tasbih hissi dengan tasbih maknawi yang menimbulkan kesan mengharukan.  Al-Qushairy membandingkan secara hissi (nampak dilihat dan dapat disentuh secara nyata) akan khemah-khemah adalah sama dengan khemah-khemah  mereka, tetapi sebenarnya tidak sama, lantaran di dalamnya tidak ada lagi penghuni yang hidup dengan mesra dan cinta. Bermaksud yang dapat dilihat secara nyata ada golongan sufi yang dilihat dari segi luaran sama dengan golongan sufi sebenarnya, tetapi perbandingan dari segi maknawi yang lebih diutamakan maksudnya, hakikat sebenarnya mereka yang dilihat serupa itu itu tidak serupa. Apa yang dilihat serupa adalah luaran, akan tetapi hakikat dalaman adalah kekosongan. Tiada pada mereka roh kesufian sebenar dan tiada mencapai hakikat mesra dan cinta ketuhanan.
Apakah yang dihasratkan oleh Al-Qushairy ? Beliau dengan penuh rindu dan berharap dapat mengembalikan  alam kesufian sebenarnya, lantaran menurut beliau taraf kesufian telah menurun, begitu kurang kalangan muda yang mampu menjejaki jejak kesufian, hilang daripada mereka kewarakan, bahkan ternyata mereka dikuasai ketamakan, mereka dikelirukan antara membezakan antara yang halal dan haram – terjebak di dalam syubhah, bahkan tidak bersungguh dari segi ibadat seperti solat dan puasa, mereka terseret ke medan kelalaian, bahkan terikut-ikut dengan kemahuan nafsu dan syahwat. Dan berbagai lagi kelemahan yang disebut oleh Al-Qushairiy. Sebab itu beliau merasa bertanggungjawab mengarang kitab Al-Risalat al-qushairiyyat ini dengan tujuan untuk mengingatkan masyarakatnya yang dianggap telah lari dari mengikuti jalan yang benar dan kembali di atas jalan yang benar.
Menurut Al-Qushairi di samping menyebut kaedah dan pendekatan ketasawufan di dalam kitab,  beliau menyebut setengah shaykh-shaykh kesufian (pada akhir kitabnya sememang disebut tentang sejumlah tokoh sufi dari segi latar dan perjalanan, adab dan akhlak mereka) agar menjadi contoh dan teladan kesufian bagi mereka.
Dalam kata lain Al-Qushairi menyebut tentang kesufian sebenar dan sikap  yang dihadapi masyarakat semasa. Beliau berhasrat dan merupakan risalahnya  membimbing mereka  dan mereka yang mengikuti pendekatan dan pengajarannya kembali ke jalan sebenarnya. Sebagaimana telah disebut tidak mudah bagi Al-Qushairy mencapai hasrat, dalam mana beliau menghadapi tentangan yang menyebabkan terkeluarnya beliau dari tanah kelahiran dan pusat pengajarannya, namun akhirnya beliau dapat kembali meneruskan misi  dalwah dan kesufiannya.

Sekian.

January 6, 2017

KITAB AL-RISALAT AL-QUSHAIRIYYAH - TEKNIK DAN FORMAT


BBB, 06 Rabi`ul-Akhir 1438H. =  05 Januari 2017M (Khamis):
Sebelum daripada ini  pembicaraan terhadap kitab-kitab tasawuf yang telah dibuat adalah berdasarkan  kitab-kitab  tasawuf yang telah bercetak yang baiasanya diketahui bukan saja nama kitab, pengarang, tetapi juga penerbit, tempat diterbit dan tarikh diterbitkan, tetapi bagi kitab Al-Risalat al-Qushairiyyah ini, walaupun bukan bersifat manuskrip, menandakan ianya lebih lama, tetapi ia adalah kitab yang dicetak pada zaman awal wujudnya percetakan di Makkah dan juga di Mesir yang dikira dari pertengahan abad ke 19M atau pada akhir abad ke 13H. Kitab ini (Al-Risalat al-Qushairiyyah)  ini ada elemen-elemen keunikannya.
Perlu diingat bahawa pada pertengahan abad ke 19M., kertas adalah bahan yang sukar didapati dan faktor kesukaran kertas mempengaruhi dari segi teknik dan format penyusunan kitab. Sebagaimana telah disebutkan bahawa kitab Al-Risalat al-Qushairiyyah  adalah dikarang pada tahun 434H./1046M. Iaitu pada waktu pengarangnya mencapai kematangan dari segi usia (62 tahun) dan keilmuan. Sudah tentulah pada peringkat permulaan kitabnya ini tersebar melalui penyalinan tangan berbentuk manuskrip sebagaimana terbukti kewujudannya di perpustakaan Nasional al-Asad di Damshiq dan tentu ada di tempat-tempat lain lagi. Dan kitab yang Penulis gunakan adalah merupakan cetakan di Bulaq, Mesir tahun 1287H./1870M. Setebal 219 halaman yang setiap helaian adalah berukuran 27 x 19 sm.
Konsep kitab ialah bahan tulisan agama yang ditulis tangan atau dicetak dan dihimpun secara kurrasah kepada jumlah halaman tertentu yang disatukan didalam kulit – yang standard kulitnya dibuat dari kulit kambing atau di dalam sebagai folder dari kertas tebal yang dibalut secara gam dengan kertas dan diberi berlidah memudahkan untuk dubuka dan ditutup.
Demikianlah dengan kitab Al-Risalat al-Qushairiyyah  ini  terdiri dari 219 halaman adalah terdiri dari 20 kurrasah, tiap-tiap kurrasah ada 10 helai – satu kumpulan lipatan yang terkenal dengan kurrasah menjadikan semuanya 11 kurrasah – tanpa berjahit, iaitu bagi memudahkan bagi guru yang mengajar atau murid yang belajar membawa satu kurrasah atau lebih, bagi mengajar atau mempelajarinya, tanpa membawa semuanya, khususnya bagi kitab-kitab yang tebal. Kitab Al-Risalat al-Qushairiyyah ini yang dianggap sebagai kitab istimewa, diberi berkulit dari kulit kambng. Padakulit  cetakan bermotif awan larat dari berdasarkan motif bunga dan tumbuhan pada bahagian tepi dan  pada bahagian tengah berbentuk crest. Motif adalah sama pada kulit pada bahagian hadapan dan belakang.
Dalam tradisi keilmuan dan kepengarangan  dalam Islam terdapat karangan yang berbentuk matan, sharah dan hashiah. Matan ialah khulas*ah bagi sesuatu bidang ilmu, atau teks asal bagi sesuatu bidang ilmu, misalnya  matan bagi bidang nahu seperti Matan Al-Fiyah. Matan ini padat dan ringkas yang merumuskan kaedah-kaedah ilmu nahu `Arab dalam seribu buah bayt puisi. Seseorang boleh memahami langsung dari kandungan 1,000 bayt puisi ini, tetapi tidak ramai dapat memahaminya secara langsung, sebab itu ada ulama yang mensharahkannya,yang dikenal dengan Sharh Ibn `Aqil, maka dengannya memudahkan orang memahami kandungan Matan Al-Fiyah berkenaan. Kadangkala sharh yang dibuat oleh pensharah memerlukan sharh terhadap sharh berkenaan, sharh terhadap sharh ini dikenali sebagai `hashiah`. Adalah menjadi kebiasaan bagi keilmuan Islam tradisi baik, nahu, fiqh, akidah dan sebagainya  yang dikarang oleh pengarang diberi sharh dan sharh ini diberi huraian dan sharh lagi dikenali sebagai `hashiah` bagi meluaskan ilmu dan kefahaman bagi bidang-bidang berkenaan.
Di dalam konteks penulisan kitab, khususnya pada peringkat awal penulisan dan telah disebutkan pada peringkat awal ini, kertas merupakan sebagai bahan yang sukar didapati dan perlu berjimat di dalam menggunakannya. Bagi kitab yang mempunyai sharh atau huraian terhadap kandungan, maka teks kitab asal adalah biasa berada pada halaman tengah sebagai fokus pembacaan dan bagi mengekonomikan penggunaan kertas, maka pada bahagian margin, atau tepi diletakkan sharh atau penerangan terhadap kandungan kitab pada bahagian tengah. Tetapi bagi kitab yang mempunyai sharh dan hashiah, maka pada bahagian separuh di atas adalah untuk teks asal bagi kitab, maka pada bahagian separuh di bawah adalah bahagian sharh dan pada bahagian margin adalah bagi hashiah, tetapi tidak jarang pula jika sharh dan hashiah adalah panjang, maka sharh mempunyai kitab yang berasingan dan begitu juga dengan hashiah.,
Di dalam konteks kitab Al-Risalat al-Qushairiyyah  yang dibicarakan yang dicetak pada peringkat awal, maka konsep mengekonomikan penggunaan kertas dan ruang juga berlaku. Maka pada pertengahan kitab ialah kitab asal, iaitu Al-Risalat al-Qushairiyyah, maka pada bahagian tepi – yang dikenali dengan istilah `Hamish` ialah disertakan sharh terhadap kandungan kitab Al-Risalat al-Qushayriyyah yang dilakukan oleh Shaiyk Zakariyya al-Ansari yang juga tokoh sufi dan sharh beliau ini dikenali dengan `Sharh Shaykh al-Islam Zakariyya al-Ansari r.h.a.` Konsep sharh juga ada berbagai-bagai. Ada sharh terhadap semua kandungan yang terkandung di dalam teks. Tetapi sharh yang dilakukan oleh Shaykh Zakariyya al-Ansari ini ialah sharh terhadap istilah-istilah khusus  daripada teks pada bahagian tengah. Bermaksud Shaykh Zakariyya al-Ansari  mengambil  istilah-istilah yang sukar di dalam teks dengan meletakkannya di dalam kandungan dan memberi huraian terhadapnya. Misalnya pada bahagian permulaan  - bahagian pembukaan diambil  istilah seperti:
(Malakutih) ya`ni milikNya yang agung, sebagaimana memberi faedah dengan mubalaghah menyebutnya dengan pertambahan  lafadz.
(Jabarutih) ya`ni kekuasaanNya ke atas yang lain  menurut iradatNya. Maka `al-Jabbar` bermaksud Dia meluluskan apa kemahuanNya dengan menundukkan segala sesuatu pada tiap-tiap suatu (Huraian terhadap `Jabarutih` memakan seluruh ruang tepi.
(Qadha`) – juga huraian tentang istilah ini memakan ruang sepenuhnya bagi margin tepi bagi helaian yang membicarakannya.
Dalam kata lain, peranan sharh adalah memberi huraian terhadap istilah-istilah  khusus bagi tasawuf atau yang digunakan di dalam teks bagi memudahkan fahaman. Dapat difahamkan sharh adalah terhadap istilah-istilah khusus dan tidak terhadap semua kandungan teks. Dalam hal ini sharh adalah lebih pendek daripada teks asal, sebab itu cukup dengan  menggunakan ruangan tepi berbetulan dengan istilah yang berada pada bahagian dalam. Ia seolah-olah semacam kamus istilah-istilah bagi kita Al-Risalat al-Qushairiyyah dan ia amat berguna kepada mereka yang membaca atau mempelajari atau mengikuti pengajaran yang disampaikan oleh guru..
Bagi menyelamatkan ruang, maka kita dapati pihak penerbit kitab meletakkan bab-bab dan fasal-fasal bersambung-sambung di dalam ruang yang padat. Bermaksud tidak bermula bagi halaman yang baharu atau meletakkan bab-bab atau fasal-fasal  ini  pada permulaan halaman. Ini tidak lain dari menggunakan ruang semaksimum yang dapat, tanpa memikirkan keperluan teknik penyusunan yang lebih menarik. Penyusun menyenaraikan pada bahagian belakang indeks persoalan yang dibicarakan kepada 135 persoalan di dalam 219 halaman.

Sekian.

January 5, 2017

KARANGAN-KARANGAN AL-QUSHAIRY


BBB, 05 Rabi`ul Akhir 1438H. =  04 Januari 2016 (Rabu):
Sungguhpun Abu al-Qasim bin `Abdul Karim bin Hawazin al-Qushairy terkenal sebagai seorang tokoh sufi dengan karangannya berjudul Al-Risalat al-Qushairiyyah, tetapi Al-Qushairy  menghasilkan karangan-karangan yang lain dari bidang tasawuf, ini termasuklah di dalam bidang tafsir, hadith, fiqh,  tauhid, akhlak, adabiyyah, puisi dan dzikir.
Menurut Muhammad Luqman Hakiem yag membuat kajian tentang Al-Qushairy  dan  menterjemahkan Al-Risalat al-Qushairiyyah  ke dalam bahasa Indonesia (1417H.), terdapat 29 buah karangan Al-Qushairy  di dalam berbagai bidang. Karya-karya berkenaan (menurut abjad):
1.       Ahkam Shar`i
2.       Adab al-Sufiyyah
3.       Al-Arba`in fi al-Hadith – Hadith-hadith  empat puluh yang dihimpunkannya yang di dalamnya  ada sanad yang muttasil dengan gurunya sendiri – Abu `Ali al-Daqqaq.
4.       Istifadat al-Muradat
5.       Bughyat al-Maqasid al-Tasawwuf.
6.       Al-Tahbir al-Tadzkir
7.       Tartib al-Suluk  fi T*ariq Allah Ta`ala
8.       Al-Tauhid al-Nabawiyy
9.       Al-Taysir fi `Ilm al-Tafsir  (Dianggap tafsir terbaik oleh Ibn Khalikan,  Al-Subky dan Jalaluddin al-Suyut*iyy).
10.    Al-Jawahir,
11.   Hayat al-Arwah wa al-Dalil ila T*ariq al-Islah
12.   Dewan Shi`r
13.   Al-Dzikr wa al-Dzakir
14.   Al-Risalat al-Qushairiyyat fi `Ilm al-Tasawwuf (438H//1046M.).
15.   Sirat al-Mashayikh
16.   Sharh al-Asma` al-Husna
17.   Shakayat Ahli al-Sunnah ma` Nalahum min al-Mihnaj (Mempertahankan madzhab Ash`ari dari serangan lawan)
18.   `Uyun al-Ajwibah li Usul al-As`ilah.
19.   Al-Fusul fi al-Usul
20.   Lat*`if al-Isharat (Tafsir dari  ayat-ayat terpilih mengenai haqiqat dan Ma`rifat).
21.   Al-Luma` fi al-I`tiqad
22.   Majalis Abu `Ali Hasan al-Daqqaq.
23.   Al-Mi`raj
24.   Al-Munajat
25.   Al-Manthur al-Khitab fi Shuhud al-Bab
26.   Naskh al-Hadith wa  Mansukhih
27.   Nahwu al-Qulub al-Saghir
28.    Nahwu al-Qulub al-Kabir
29.   Nukatu Uli al-Nuha.
Memandangkan pada jumlah karangan di dalam berbagai bidang yang dihasilkan oleh Al-Qushairy menunjukkan beliau seorang yang kreatif dan mendalam di dalam berbagai bidang yang didalaminya, terutama di dalam bidang tasawuf.
(Imam Al-Qushairy al-Naisabury, Risalatul Qushairiyyah (Terjemahan Muhammad Luqman Hakiem, Penerbit Risalah Gusti, Surabaya, 1417/1997: XXIV-XXV). 
Adapun karya Al-Risalah al-Qushairiyyah yang menjadi bahan pembicaraan, menurut Muhammad Luqman Hakiem terdapat 9 nakhah kitab  Al-Risalat al-Qushayriyyah tersimpan  di Perpustakaan Nasional Al-Asad, Damascus, Syria. Pada dasarnya adalah banyak persamaan, Cuma perbezaan dari segi saiz kertas dan tebal nipisnya.
Terdapat pula  9 percetakan yang telah menerbitkan naskhah Al-Risalat al-Qushairiyyat. Penulis mempunyai sebuah kitab berkenaan, tetapi tidak jelas tentang penerbit dan di mana diterbitkan.
Penulis membuat bandingan dengan  cetakan yang ada pada penulis dan didapati adalah  sama sebagaiumana yang disebutkan bagi cetakan kedua iaitu  diterbitkan di Penerbitan Bulaq, Mesir, tahun 1287H./1870M., iaitu setebal 219 halaman., berkulit kambing berhias awan larat.
Penerbitan kitab ini adalah istimewa dan merupakan satu penghargaan yang tinggi terhadap Shaykh Al-Qushairy, lantaran sebelum dari akhir abad ke 13H atau pertengahan abad ke 19M, teknologi percetakan bagi kitab  belum wujud. Sebelum daripada itu kitab-kitab yang dihasilkan adalah disebarkan melalui penyalinan tulisan tangan. Percetakan mula lahir pada pertengahan abad ke 19 atau akhlir abad ke 13H.  di Makkah seperti percetakan Al-Miriyyah al-Ka`nah, atau al-`Amirah dan di Mesir ialah seperti percetakan Bulaq dan Penerbitan al-Maymaniyyah.
Pada halaman hadapan percetakan Bulaq ini secara simple di atas permukaan kertas yang kosong terdapat maklumat berikut:
              Al-Risalat al-Qushairiyyah mengenai ilmu tasawuf bagi Imam yang alim
                          Yang  menghimpun  antara shari`at  dan  hakikat   Abi
                                     Al-Qasim `Abd al-Karim  bin  Hawazin
                               Al-Qushairy mencahayakan  Allah tempat rehatnya
                                         Dilebihkan  kebaikannya
                                                Dan dipeliharakan
                                                            M.
Dan pada bahagian tepinya ialah keterangan  daripada sharh Shaykh Islam Zakaria al-Ansari                                     rahimahullah
Pengarang dilahirkan pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 376H. dan meninggal subuh hari Ahad 16 Rabi`l-Akhir tahun 465H. di Naisabur. Sekian.
Kitab ini digunakan di dalam kajian dan pembicaraan di samping menggunakan ediri terjemahan Indonesia dan kitab-kitab yang berhubungan.

Sekian.

January 4, 2017

TANAH AL-T*USI AL-NAISABURY MELAHIRKAN RAMAI PEMUKA SUFI - AL-QUSHAIRY


BBB, 04 Rabi`ul-Akhir 1438H. =  03 Januari  2017M. (Selasa):
Jika  Baghdad sebagai pusat pemerintahan Kerajaan `Abbasiyyah banyak melahirkan `ulama` fiqh dan ilmu al-Kalam, ilmu yang membicarakan persoalan aturan dan undang-undang dan ilmu yang membicarakan persoalan Ketuhanan dan kedua-duanya di samping mensandarkan kepada hujah-hujah naqli, banyak pula bergantung pada logik akli, terutama dari segi ilmu al-kalam. Tetapi dari satu pihak yang lain kawasan yang berada di bahagian timur Baghdad dan berada di kawasan yang dikenali dengan Khurasan, iaitu  Al-T*usi al-Naisabury. Paling tidak ada tiga orang sufi Sunni terkenal dari kawasan ini, iaitu:
1)      Abu Nasr  `Abdullah bin `Ali  al-Sarraj al-T*usi (m. 378H.) dengan karangan tasawuf terbesarnya berjudul  `Al-Luma`` sebagaimana telah dibicarakan.
2)      Abu al-Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qushairy  (376H—465H.) dengan karangan terbesar dan terkenalnya iaiatu  `Al-Risalat al-Qushayriyyah` yang mulai dibicarakan.
3)      Al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Abu Hamid al-T*usi al-Ghazali  (m.505H/1111) dengan karangan terbesar dan terkenalnya, iaitu  Ihya` `Ulum al-Din, akan dibicarakan kelak.
Kelahiran tokoh-tokoh sufi dari tanah Tusi al-Naisaburi atau kawasan sekitar bukanlah secara kebetulan, tetapi adalah dari tradisi pengajian keilmuan Islam, khususnya kerohanian –ya`ni tasawuf.
Antara faktor suburnya keilmuan Islam, khususnya kerohanian di kawasan ini, ialah kemerosotan Baghdad, khususnya selepas dikalahkan oleh tentera Tartar, membawa kepada kenaikan pusat pemerintahan dan pusat-pusat pengajian yang baru yang menandingi Baghdad, bahkan mengatasi Baghdad, bukan saja di T*usi al-Naisabury, tetapi Kota Timur seperti Samarqand. Agak ketara pusat-pusat keilmuan di Timur ini selain dari kelahiran tokoh-tokoh keilmuan  seperti akidah  contoh Mataridi dan kelahiran ulama-ulama Hadith seperti Bukhari, Nasai dan Al-Tirmidhi, ketara lahir dan berkembang bidang-bidang yang berhubung dengan  aspek seni rohani, dan juga seni-seni bina, seni hias.
Seni yang bersifat rohani sebagaimana kita katakan ialah tasawuf. Asas yang diterokai oleh Abu Nasr al-Sarraj dengan kitabnya `Al-Luma` yang tinggi mutunya yang diterima sebagai pendekatan tasawuf Sunni, berkembang subur di kawasan timur berkenaan yang membawa kepada kelahiran tokoh besar tasawuf iaitu  Abu al-Qasim `Adul Karim bin Hawazin al-Qushairy  dengan kitab terkenalnya iaitu Al-Risalah al-Qushayriyyah yang bakal dibicarakan. Elemen ketasawufan yang dibina oleh antaranya sebelumnya seperti oleh  Al-Muhasibi dengan kitabnya yang berjudul `Al-Ri`ayah` sebagai tokoh yang memulakan pendekatan tasawuf berasaskan akhlak, diperluaskan lagi oleh Al-Qushayri, iaitu dengan kitab yang istimewa dari segi kandungan, termasuk pendekatan akhlak dan ketinggian dari seni berbahasa dan pengungkatan kata, seolah-olah menyediakan jalan kepada Al-Ghazali mendekatkan pendekatan tasawuf berasaskan akhlak disamping  mengintegrasikan dengan elemen-elemen akidah, fiqh dengan elemen hati-rohani.
Al-Qushairy   mendepat pendidikan di Naisaburi dan berguru antara guru terkenal yang juga seoarang sufi, iaitu Abu `Ali al-Hassan bin `Ali al-Naisabury yang lebih popular dengan panggilan `Al-Daqqaq` yang pendapat-pendapat ketasawufan guru ini banyak dirujuk oleh kalangan sufi dan kitab-kitab tasawuf.
Al-Qushary  berkahwin dengan anak gurunya yang bernama Fatimah seorang yang terkenal sebagai sasterawanita. Mereka medapat anak enam lelaki dan seorang perempuan.,
Antara gurunya (selain dari Abu `Ali al-Daqqaq)   ialah:
1.       Abu Abdul Rahman Muhammad bin al-Hassan  di Naisaburi, seorang sufi terkenal dan juga sebagai seorang sejarawan.
2.       Abu Bakar Muhammad bin Abu Bakar al-T*usi seorang guru yang mahir di dalam bidang fiqh
3.       Abu Bakar Muhammad bin al-Husain. Seorang ulama` usul. Dengannya Al-Qushairiy mempelajari ilmu al-kalam.
4.       Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad bin Mahran. Ulama` fiqh dam usuluddin
5.       Abul Abbas bin Shuraih, guru fiqh
6.       Abu Mansur, Andul Qahir bin Muhammad. Guru fiqh bermazhab Shafie.
Pengajiannya meningkatkan beliau di dalam berbagai ilmu pengetahuan, tetapi bidang tasawuf lebih menonjol, khususnya dengan  karya beliau yang berjudul Al-Risalah al-Qushayriyyah.
Namun kedudukan beliau sebagai ulama` Sunni di Naisabur y tidak sunyi daripada menghadapi gugatan terutama dari kalangan fuqaha` di Kota Naisaburi. Sebagai pendukung mazhab Sunni beliau berdepan dengan kalangan pendukung mazhab Mu`tazilah yang mendapat dokongan pemerintah Kerajaan Saljuq pada masa itu. Beliau difitnah dan murid-muridnya berpecah-pecah. Beliau bertahan di Naisaburi sejak tahun 440-455H., tetapi akhirnya terpaksa berpindah ke Baghdad. Dan mendapat tempat, bahkan dimuliakan oleh pemerintah pada masa itu. Walau bagaimana di dalam masa-masa tertentu beliau kembali ke T*usi al-Naisabury.
Bila berlaku pertukaran pemerintah  di Naisabury  (Arsalan al-Saljuq) diganti dengan pemerintah lain dari Nizamiyyah,  al-Qushayiry  kembali mengajar di Naisabury. Beliau amat dimuliakan oleh Perdana Menteri Nizam al-Mulk pada masa itu, iaitu Al-Hasan bin `Ali al-T*usi (m. 485H.). Majlis-majlis ilmu yang dikendalikannya dihadiri oleh ulama-`ulama` dan pembesar-pembesar pada masa itu.
Al-Qushayri sebagaimana disebut oleh Al-Subky:
`Al-Qushairy  adalah ahli bahasa dan sastera, seorang pengarang dan penyair, pada masa kecilnya Al-Qushairy  mempelajari bahasa `Arab dan sastera, sehingga terkenal sebagai seorang penyair yang hebat.``  Namun puisi-puisi adalah berhubung dengan ketasawufan. Namun begitu kepopularannya di dalam bidang sastera di atasi kehebatannya di dalam bidang tasawuf.

Sekian.

January 3, 2017

TASAWUF TAHSIN AL-`AMAL DALAM IBADAT


BBB,  03 Rabi`ul Akhir 1438H. =  02 Januari 2017M. (Isnin):
Kita telah membicarakan beberapa  daripada  rukun Islam, iaitu solat, puasa, zakat dan haji. Semua nya  teratur menurut kaedah-kaedah ibadat-ibadat berkenaan, termasuklah yang tidak dibicarakan misalnya dari segi mu`amalat, munakahat dan jinayah adalah lengkap dari segi kandungan dan panduan. Tanpa panduan dari tasawuf, tidak mencacat cela dari segi peraturan. Namun  dari segi amali yang dilakukan oleh seseorang itu  mungkin ada  yang kurang dari segi kualiti amalan.
Di dalam hal ini bolehlah diibaratkan amalan seseorang terhadap kefardhuan yang dilakukan misalnya solat dan puasa diibaratkan sebagai membina sebuah bangunan kediaman – rumah. Ianya siap, bahkan boleh didiami, namun ada ruang-ruang yang boleh dipertingkatkan dan dibaiki sehingga ianya menjadi lebih sempurna, menarik,  indah dan berestetik,  seperti menyempurnakan lagi dari segi lantai, siling dan berbagai-bagai alat perabut yang lebih  sempuna. Jika di luar disempurnakan dari segi landscaping, taman dan tambahan perkara-perkara yang perlu, termasuk kebersihan.
Demikianlah dibanding sebagai contoh misalnya untuk mendirikan solat perlu kepada pra-syarat, iaitu taharah. Bagi membicarakan soal taharah ini dibicarakan dari segi kebersihan air atau tanah untuk ditayammum. Kedua-duanya pula perlu bersih,  bagi membersih  dengan  mengangkat hadath bagi membersihkan dirinya sama ada dari hadath kecil atau besar. Dan ada kaedah-kaedah bagi mengangkat kedua hadath  yang membolehkan seseorang itu bersolat. Kita lihat bahawa konsep bersih yang ditekankan adalah bersih dari segi lahir dari air, tanah dan tubuh seseorang. Tetapi di sana ada satu lagi aspek bersih iaitu bersih dalaman. Ini dibicarakan oleh bidang tasawuf, iaitu seperti bersih hati dari diganggui oleh nafsu dan syaitan, tawadhu`, tumpuan jiwa kepada Allah, merasa dekat dengan Allah, takut, khudhu` tartib, dan taqwa. Persoalan-persoalan seperti ini adalah dibicarakan oleh tasawuf. Kombinasi bersih luaran dan dalaman meningkatkan lagi kualiti solat seseorang. Ini dimaksudkan bahawa apa yang dibicarakan di dalam bidang fiqh tentang solat adalah mencukupi, tetapi pertambahan  penyempurnaan aspek-aspek dalaman lebih meningkatkan lagi kualiti solat, dan yang menunaikan solat lebih khusyu` tenteram dan kurang gangguan terutama dari segi dalaman.
Sebagai contoh lagi  baik dari segi ibadat solat dan puasa, sah atau tidak berpuasa misalnya bergantung pada niat. Tanpa niat, kedua-duan ibadat berkenaan tidak sah. Lantaran Hadith Rasulullah s.a.w. – Riwayat Bukhari, bermaksud:
``Bahawasanya semua amalan hendaklah dengan niat.``
 Menurut Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari di dalam kitabnya berjudul: Sabil al-Muhtadin bahawa niat ialah ``Qasad tentang sesuatu beserta melakukannya.``  Menurutnya lagi , bagi niat ada tujuh perkara, iaitu hakikat, hukum, tempat, zaman, kayfiyat, syarat dan maksud yang baik.
Hakikat niat pada lughah ialah qasad ertinya menyehaja dan pada shara`, ialah qasad tentang suatu perkara yang disertai dengan perbuatan
Hukumnya ialah wajib,
Tempat di dalam hati
Zaman ialah masa permulaan ibadat yang lain daripada puasa fardhu
Kayfiyat niyat berlainan sebab berlainan jenis ibadat,
Syarat, ialah Islam orang yang beribadat, juga mumayyiz
Dan maksud berniat ialah melakukan perkara yang baik untuk solat.
Jelas apa yang diterangkan oleh Shaykhk Muhammad Arshad begitu detail dan halus dari segi persoalan niat.
Namun dari segi niat tersebut ada ruang yang dapat dipertingkat niat, bahawa niat melakukan sesuatu perkara ibadat lebih tinggi mutunya, jika dia adalah timbul dari hati yang berniat itu dengan penuh ikhlas hati – sepenuhnya kerana Allah, bukan kerana menunjuk-nunjuk atau takut dikatakan `orang yang tidak solat dan sebagainya.
Persoalan ikhlas ini dibicarakan dari sudut tasawuf.
Berkata Abu al-Qasim al-Qushairi r.h.a. tentang ikhlas bahawa ikhlas ialah:
``Mengifradkan Allah Subhanahu wa Ta`ala pada kataatan dengan qasad. Bermaksud dengan ketaatan mendekatkan diri kepada Allah Ta`ala, tidak kepada sesuatu yang lain.``
Atau dapat dikatakan bahawa,, ``Ikhlas ialah membersihkan perbuatan bukan untuk perhatian atau sanjungan makhluk.``
Atau menurut pendapat al-Imam Al-Junayd  r.h.a.
``Ikhlas ialah rahsia antara Allah dan hamba, yang tidak diketahui malaikat hingga dia menulisnya, tidak diketahui syaitan hingga dia merosakkannya dan tidak diketahui hawa nafsu hingga dia cenderung kepadanya.``
Demikianlah halusnya makna ikhlas, maka jika ianya dapat diaplikasikan ke dalam amalan ibadat seperti solat yang bermula dengan niat yang dari awal dilakukan dengan ikhlas dan juga pada aspek-aspek yang lain dilakukan dengan khusyu`, tawadhu`, tama`ninah dan taqwa, maka dapat meningkatkan lagi kualiti solat. Sebagaimana kata Al-Suhrawardi di dalam kitab  Awarif al-Ma`arif bahawa:
``Sebaik-baik adab orang yang bersolat tidak ada suatu mengganggu kalbunya, dari solat walau sedikit pun.``
Tambahnya, ``Hadir solat adalah kenyataan lahir dan mengosongkan hati dalam solat, selain daripada Allah adalah pernyataan batin.``.
Demikianlah misalnya puasa bukan sahaja dalam erti biasa, iaitu dengan berniat puasa pada malam dan menahan diri dari makan minum dan perkara yang membatalkana puasa pada siang, tetapi menurut adab puasa dari segi kesufian sebagaimana lata al-Suhrawardi:
``Bahawa puasa adalah melibatkan  dhabt zahir dan batin, mencegah anggota dari dosa-dosa seperti menegah nafsu dari makan atau menyekat nafsu dari perhatian dan bahagian.``
Pendeknya walaupun tanpa tasawuf tidak menyebabkan ibadat rosak, tetapi dengan kebersihan dan penekanan aspek-aspek pembaikan dalaman  menjadikan  meningkatnya kualiti amalan.

Sekian. 

January 2, 2017

ZIARAH MENINGKATKAN KECINTAAN TERHADAP RASULULLAH


BBB, 02 Rabi`ul Akhir 1438H. = 01 Januari  2016M. (Ahad):
Kesan penting dari menunaikan ibadat haji atau `umrah ialah  dari `Ziarah` yang biasanya menjadi agenda bagi pengunjung-pengunjung, khususnya  bagi yang pergi bagi kali pertama. Dengan ziarah memperkukuhkan  `ungkapan`, bahawa menunaikan haji dan `umrah, bukan saja amalan yang lebih  bersifat fizikal, tetapi juga mental dan rohani, walaupun ianya tidak diperkata atau tidak diberi penekanan oleh penyampai-penyampai kursus haji atau pegajaran di masjid-surau secara kitab umpamanya, peranan ini lebih banyak disampaikan oleh mutawwif-mutawwif atau pengiring-pengiring bagi penziarah-penziarah.
Sebelum  pergi menunaikan haji atau umrah, kita biasanya telah mempelajari tentang Rasulullah s.a.w. tentang sifat Baginda dan sejarah yang berhubung dengan Baginda sama ada semasa di Makkah atau di Madinah dan gambaran kedua-dua  tempat. Namun sebelum pergi  kefahaman adalah terhad  seperti melalui gambar-gambar dan imaginasi melalui penerangan-penerangan.
Menziarah adalah meningkatkan kefahaman dan kecintaan terhadap Rasulullah, lantaran apa yang diterima melalui pengajaran dapat difahami secara yang lebih nyata. Misalnya bila tiba di Makkah dapat difahami tentang kedudukan kota ini, dapat difahami tentang masjid dan ka`bah, kedudukan Gua Hira` tempat pertama Nabi menerima wahyu. Dapat dilihat latar masjidil Haram yang pada peringkat permulaan Islam diisi dengan berhala-berhala. Dapat dibayangkan pada peringkat penerimaan Islam, dakwah Rasulullah disangkal oleh pemuka-pemuka Quraisy termasuk Abu Jahal dan Abu Lahab. Dapat dibayangkan bahawa Rasulullah dan pengikut-pengikutnya  - termasuklah Sayyiduna Abu Bakar menghadapi tentangan. Dakwah terpaksa dijalankan secara senyap-senyap selama beberapa tahun. Antara pengikut-pengikut menghadapi tekanan dan penyiksaan seperti Bilal bin Rabah. Ini menyebabkan  berlaku penghijrahan awal ke Habasyah.
Di bawah tekanan Rasulullah mengatur strategi menemui perutusan dari Madinah dan berlaku bai`ah-bai`ah yang mendorong Baginda dengan sahabat setia dan pengikut-pengikut  yang lain berhijrah ke Madinah. Bagi yang menziarah  Gua Thur dapat memahami betapa Rasulullah dan Sayyiduna Abu Bakar berlindung dalam mengatur strategi perjalanan ke Madinah.
Bagi yang menziarahi Kota Madinah, khususnya melalui kenderaan darat, apa lagi kalau menunggang unta atau sekurang-kurangnya melihat qafilah perjalanan unta dapat membayangkan betapa sukar dan panas jika diwaktu siang menunggang unta bagi merentasi padang pasir yang jarak antara Makkah ke Madinah melebihi 300 km. Itu. Memahami situasi di Makkah dengan mengimaginasinya pada zaman permulaan Islam membuka kefahaman berbanding dengan sebelum kunjungan. Ianya juga melibatkan kerohanian yang menghayati tentang dakwah Rasulullah dan tentangan. Dapat digambarkan betapa tekanan dihadapi Rasulullah dan sahabat-sahabat Baginda dan betapa kerasnya hati penduduk Makkah yang kukuh dengan budaya jahiliyyah hingga  dalam masa 13 tahun Rasulullah berdakwah tidak sampai 200 orang yang menerima Islam.
Berbanding dengan situasi di Madinah selepas Hijaratul Rasul, Baginda dan sahabat-sahabat disambut dengan baik. Disambut dengan ahlan wa sahlan dan nasyid dari penduduk setempat. Imej kota Makkah pada masa itu sebagai kota yang enggan dan keras hati penduduk, manakala Kota Madinah adalah Kota Mesra yang jiwa penduduknya adalah lebih berwatak `lembut`.
Firman Allah bermaksud:
``Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula  berhijrah, dan memberi bantuan dari antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang menurut (jejak langkah)  mereka  dengan  kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia.`` (Al-Taubah: 100).
Dari hasil kerjasama yang didapati oleh Rasulullah bahawa hijrah Rasulullah s.a.w. bukan saja disambut dengan baik, tetapi mendapat kerjasama dari penduduk Madinah yang kemudian dikenali sebagai orang Ansar mendirikan seperti Masjid Quba` yang merupakan masjid pertama di dalam Islam, Masjid al-Qiblatayn dan masjid utama yang didirikan oleh Rasulullah .
Bukan itu saja kalangan Muhajirin mendapat pertolongan daripada kalangan Ansar bagi memulakan penghidupan mereka.
Masjid Madinah yang juga dikenali sebagai Masjid Nabawi adalah menjadi pusati ibadah, pentadbiran dan pengajaran. Sudah pastilah sesiapa yang menziarah Madinah berpeluang bersoalat jama`ah sebanyak waktu yang dapat dan beribadat di situ, iaitu masjid dalam mana Rasulullah bersolat dan beribadat, Baginda  tinggal berhampiran dengan masjid tersebut.  Bahkan maqam Baginda  diziarah di situ. Bahkan dalam menjejaki  sejarah, kalangan penziarah turut berjama`ah di masjid-masjid yang ada hubungan dengan Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya  di Madinahlah bermulanya Negara Islam yang pertama. Sebagaimana di Tanah Makkah sebagai tempat penerimaan wahyu, demikianlah dengan Tanah Madinah yang lebih subur dan menghijau lebih bersemarak dengan wahyu dan perkembangan ilmu. Bagi memperkukuhkan negera Rasulullah memperkukuhkan pertahanan dan kekuatan negara. Lantaran itu berlaku beberapa siri prprrangan yang antaranya disertai Rasulullah dan antaranya tidak disertai Rasulullah. Antara peperangan yang penting  yang disertai Rasulullah seperti peperangan Badar, Uhud dan al-Ahzab sehingga Negara Madinah dapat berdiri teguh dan digeruni musuh, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Hendaklah kamu bersiap siaga semampu kamu daripada kekuatan daan dari pasukan berkuda yang menggerunkan musuh.`` (Al-Anfal: 60).
Bagi yang menziarah ke Madinah, kesan-kesan sejarah seperti kawasan peperangan Badar, Uhud, Ahzab dan lain-lain memperkukuhkan keyakinan dan keimanan.
Kota Madinah yang dimakmurkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah kota yang lebih tenteram dan damai adalah memberi ketenteraman dan kedamaian kepada pengunjung-pengunjungnya. Dengan menyaksikan berbagai-bagai kesan yang berhubung  dengan Rasulullah, khususnya, Masjid Nabawi  sebagai pusat perkembangan keislaman, keilmuan dan pentadbiran dan dari sini Islam berkembang pada zaman Rasulullah ke seluruh Jazirah `Arab menyuburkan kemesraan dan kasih sayang terhadap Rasulullah.
Hadith diriwayatkan oleh Anas r.a. bahawa dia berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dikasihi kepadanya daripada bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.`` (Hadith Bukhari).

Sekian.

January 1, 2017

ELEMEN KENANGAN MENJADI SEBAHAGIAN DARI AMALAN HAJI ?


BBB,  01 Rabi`ul-Akhir 1438H. = 31 Disember 2016 (Sabtu):
Mungkin ada yang memperkatakan bahawa, melakukan amalan haji seharusnya diturut sahaja apa yang menjadi rukun, wajib, sunat dan sebagainya seperti yang diajar dan dikursuskan kepada bakal-bakal haji. Dengan menurut setepat mungkin, insya Allah amalan haji,  diterima  Allah sebagai haji yang mabrur ! Tetapi tidak ada siapa yang dapat menegah atau menahan daripada terbetiknya persoalan di dalam minda, misalnya pertanyaan,
Mengapakah apabila bersolat seharusnya menghadap qiblat ?
Mengapakah mesti melakukan haji, umrah atau secara sunat mesti mengelilingi ka`bah ?
Mengapakan mesti melakukan amalan sa`i berulang alik antara  Safa dan Marwah ?
Mengapakah mesti melontar beberapa jenis lontaran di dalam melakukan amalan haji ?
Mengapakah mesti  berwuquf di `Arafah, mabit di Muzdalifah dan bermalam di Mina ?
Dan persoalan-persoalan yang lain yang dapat ditimbulkan.
Memang benar dengan melakukan amalan-amalan tersebut secara patuh tanpa menimbulkan berbagai persoalan, insya Allah amalan haji atau umrah dan perlakuan sunat diterima Allah dan jika haji, insya Allah ditrerima Allah sebagai haji mabrur.
Tetapi perkara-perkara di atas mempunyai elemen sejarah dan kenangan-kenangan terhadapnya. Dengan huraian yang berhubung sebagai kenangan sejarah dan diterangkan berhubung dengan logik mengukuhkan keyakinan dan makin meningkatkan dari segi kerohanian. Mengapa tidak ? Sepatutnya diberi huraian.
Misalnya dengan bersolat menghadapi qiblat, lebih-lebih lagi berdepan langsung dengan qiblat (ka`bah), sudah tentulah dengan penuh  khusyu`, tetapi dengan peranan minda, maksudnya ilmu, mengetahui asal usul tanah Makkah dan peranan Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail  dan ibunya Siti Hajar membangunkan Makkah dan Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail mendiriokan Ka`bah sebagai pusat ibadat antara yang terawal, dan mengetahui Nabi Ibrahim sebagai Rasul yang membawa agama Hanif, bersifat tauhid sebagaimana ketauhidan yang dipegang umat Islam kini, maka hati, minda dan rohani bersatu mengakur keistimewaan Ka`bah dan wajarlah ianya menjadi qiblat orang-orang yang menyatukan arah mengadap kepadanya di dalam menunaikan solat.
Demikian dengan persoalan mengapa seharusnya mengelilingi ka`bah – bila bertawaf. Selain dari melakukan sebagai kepatuhan di dalam menunaikan haji, umrah dan tawaf sunat yang sudah tidak dinafikan disertai dengan zikir, tilawah, do`a dan sebagainya yang meningkatkan jiwa dengan elemen kerohanian, tetapi dengan penerangan yang bersifat ilmu, bahawa dapat menyaksiklan yang  planet-planet juga bertawaf mengelilingi matahari, dan bintang-bintang  juga bergerak berkelilingan di dalam gugusan orbit, bahkan bagi sebuah atom atau zarrah juga dikelilingi oleh proton, elektron dan neutron, bahkan pengelilingan mengimbangkan  keadaan. Semua pergerakan adalah manifestasi kejadian   alam dari segi tabi`nya berkeliling mematuhi tabi`i yang dijadikan Tuhan, maka kita juga di dalam ibadat bertawaf adalah sama mematuhi peraturan yang ditentukan oleh Allah.
Adapun berhubung denga Safa dan Marwah, firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya  Safa dan Marwah, itu adalah sebahagian daripada syi`ar atau lambang agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke Baitillah, atau mengerjakan `umrah, maka tiadalah menjadi salah ialah bersa`i (berulang alik) di antara keduanya. Dan siapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Amat Mengetahui.`` (Al-Baqarah: 158).
Sesungguhnya mematuhi  peraturan bagi mengerjakan haji atau umrah dengan bertawaf dan bersa`i, adalah   melengkapi sebahagian dari pada keperluan bagi haji dan umrah dan  dapat dihayati dengan kejiwaan dan kekudusan pengalaman. Tetapi sebagaimana Allah menyebut bahawa `pergerakan ulang alik antara Safa dan Marwah yang dikenali dengan Sa`i itu adalah merupakan antara  syiar-syiar  Allah, tetapi dengan memahami huraian tentang perlambangan, bahawa ianya merupakan lambang kenangan peristiwa dalam mana Siti Hajar mencari air bagi anaknya – Ismail dalam kedahagaan, yang akhirnya diketemui mata air mengalir – yang kini dikenali sebagai zam-zam sesungguhnya megukuhkan keyakinan dan adalah releven dengan kenangan sejarah yang berlaku. Dengan kefahaman ini menebalkan keyakinan, keluhuran dan kekudusan amalan yang dilakukan.
Antara shi`ar Allah ialah melontar jamrah yang melambangkan penolakan perkara yang jahat yang antaranya bersifat syaitan, iblis dan nafsu yang banyak mengganggu dan merosakkan manusia.
Manakala wuquf di `Arafah adalah puncak daripada rukun dan amalan yang tanpanya tidak sah haji. Sebagaimana dimaklumi bahawa para haji adalah datang dari berbagai ceruk rantau dunia dan wuquf di `Arafah adalah perhimpunan agung yang menjadi tempat  pertemuan mereka.  Tidak ada perbezaan antara mereka dan pakaian ihram sama berwarna putih. Perhimpunan di `Arafah juga melambangkan mahshar kecil sebagai perlambangan apa yang akan dialami pada padang mahshar di hari akhirat kelak. Pada  hari  `Arafah ini tumpuan utama ialah terhadap ibadat. Di sini mereka memperbanyakkan solat, tilawah, takbir, tasbih, tahmid, tabhil, do`a dan berbagai amalan. Ibadat . Perlanjutan dari ibadat diteruskan ketika di Muzdalifah dan Mina hinggalah kepada tawaf,  sa`i dan bercukur.
Sesungguhnya amalan haji  telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir bin `Abdullah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. tinggal di Madinah selama sembilan tahun tanpa mengerjakan ibadat haji. Pada tahun kesepuluh hijrah dihebahkan berita kepada orang ramai bahawa Rasulullah s.a.w. akan mengerjakan haji. Maka ramailah orang yang datang ke Madinah untuk bersama Rasulullah s.a.w. dan mengerjakan amalan, sebagaimana dilakukan Baginda.``.
Amalan haji seharusnya menurut aturan dari segi rukun, wajib dan sunatnya sebagaimana ditentukan di dalam ibadat haji yang sebagaimana  dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Perjalanan bagi melakukan ibadat haji adalah merupakan perjalanan bukan saja fizikal,tetapi  juga minda dan rohani. Banyak di dalam amalan haji merupakan imbasan dan shi`ar-shi`ar yang jika dapat difahami, dan dihayati sudah tentulah dapat meningkatkan amalan haji itu sendiri.

Sekian.