February 7, 2018

ULASAN DAN PENDAPAT


BBB, 20 Jamadil-Awwal 1439H. = 05 Februari 2018M. (Selasa):
Sesudah sesi pembentangan kertaskerja oleh Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri, Prof. Dr. Amran bin Abdul Majid menyampaikan ulasan. Menurut Dr. Amran, bahawa kertaskerja yang dibentang oleh Prof. Dato` Dr, Ab. Halim adalah lengkap dan jelas dari segi skop, konsep dan apa yang diharapkan dari sebuah masjid, khususnya Masjid Al-Umm. Menurutnya Prof. Dato` Dr. Ab. Halim maukan Masjid Al-Umm:


Agar menjadi sebuah masjid yang unggul. Lantaran itu,  adalah menjadi cabaran kepada pentadbir-pentadbir dan jawatankuasa Masjid Al-Umm bagi mencapai  apa yang digariskan di dalam pembentangan yang disampaikan. Beliau juga sama berharap agar Masjid Al-Umm menjadi sebuah masjid yang mempunyai identiti dan keistimewaannya yang tersendiri.
Ketika majlis dibuka kepada perbinbcangan, ramai yang ingin menyampaikan pendapat. Antara yang terawal ialah Ustaz Ya`kob Mohd. Nor yang mau masjid diimarahkan sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:


``Adapun yang mengimarahkan masjid ialah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka semoga mereka adalah dari kalangan yang mendapat hidayah.`` (al-Taubah: 18).
Dr. Tajul Ariffin Nordin melahirkan pendapat dan maukan  Masjid Al-Umm menjadi  masjid yang terkehadapan dari segi penganjuran keilmuan dan menjadi contoh tauladan bagi masjid-masjid yang lain dan menjadi rujukan permasalahan  sesuai dengan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Beliau juga mau masyarakat yang ada di BBB, khususnya para ilmuannya menjadi rujukan dan pendapat oleh pihak luar. Beliau maukan agar Bangi mempunyai pemikir-pemikir yang dikenali dengan `Pemikirn Bangi` yang menjadi rujukan bagi semua hal. Beliau maukan Masjid al-Umm mempunyai identiti tersendiri dan surau-surau di bawahnya yang mempunyai 15 surau bergiat dan mempunyi identiti dan keistimewaan masing-masing. Masjid Al-Umm seharusnya menjadi induk bagi surau-surau berkenaan  dan  terkehadapan dengan segala kegiatan.


Pendapat Dr. Tajul disetujui oleh Prof. Dato` Dr. Abdul Halim. Beliau mau setiap surau di bawah Masjid Al-Umm mempunyai program yang menyokong antara satu sama lain tetapi bukan bertanding antara satu sama lain. Tiap-tiap satu daripadanya hendaklah lengkap melengkapi dan bekerjasama rapat dengan Masjid al-Umm.
Puan Hajah Kasmani mencadangkan agar Pengetua dan Guru Besar sekolah dan PIBG dijadikan sebahagian daripada AJK masjid agar masalah pelajar sekolah yang berdekatan dengan masjid itu dapat ditangani dan mereka dididik dengan baik. Beliau juga mau ditubuhkan jawatankuasa pemuda yang dapat mengendalikan persoalan anak muda dan remaja.
Sedang saudara Abdul Qawi bin Abdul Halim mencadangkan agar dlibatkan para pelajar lepasan SPM  dengan kegiatan masjid..
Seterusnya Haji Arief Shahrani maukan masjid mempunyai kerjasama melalui kerajaan Malaysia dengan kerajaan `Arab Saudi, misalnya melalui kedutaan `Arab Saudi  di sini. Beliau juga mau program yang dijalankan di masjid melibatkan surau-surau yang menunjukkan kerjasama antara kedua pihak dan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh masjid.  Beliau juga mencadangkan Al-Marhum Dato` Dr. Haron Din yang berjasa dengan masjid al-Umm diberi penghormatan dengan menamakan salah sebuah dewan di Masjid al-Umm dengan Dewan Dr. Haron Din.
Cadangan memberi nama ini disetujui pembentang dan disokong para peserta.
Seterusnya Puan Hjh. Jalilah Mail mau dicari jalan agar semua surau menarik ahli jamaah masing-masing dan turut sama mengimarahkan masjid.


Manakala saudara Roslan Ariffin, Penolong Pengetua Kanan  Sekolah Menengah Kebangsaan BBB (SMKBBB)  mengucapkan terima kasih di atas jemputan masjid dan maklum tentang tingkah laku pelajar-pelajar dan sedia bekerja sama  dengan pihak masjid bagi mengatasi masalah dan membimbing mereka. Dan pada akhirnya, sebagai mengakhiri pembentangan, kata Prof. Dato` Dr. Ab. Halim,
``Saya  amat berterimakasih kepada semua yang memberi pendapat``.
Beliau berpendapat cadangan-cadangan yang disampaikan peserta-peserta melengkapkan kertaskerja dan lebih penting cadangan-cadangan berkenaan haruslah dipertimbang bagi diambil tindakan.

Sekian.

February 6, 2018

ALU-ALUAN DARI PENGERUSI - PELBAGAI WACANA ILMIAH AKAN DILAKSANAKAN


BBB,  19 Jamadil Awwal 1439H. = 05 Februari 2018 (Isnin):
Sebelum daripada Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri menyampaikan kertaskerja,  Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar menyampaikan alu-aluan. Beliau mengucap terima kasih kepada Prof. Dato` sebagai Penaung bagi AJK, kerana sudi membentangkan kertaskerja. Terima kasih juga kepada Pengulas, Prof. Dr. Amran bin Abdul Kadir dan Dato` Dr. Abdul Wahid Shamsuddin Mantan Timbalan Naib Canselor UKM yang sudi mempengerusikan seminar. Seterusnya terima kasih kepada peserta-peserta seminar yang memberi sambutan hangat dengan kehadiran memenuhi  dewan  seminar.


Menurut Pengerusi, seminar hari ini adalah bersejarah, kerana inilah pertama kali wacana bersifat ilmiah menurut gaya pengajian di universiti di Masjid Al-Umm, juga pertama kali Dewan seminar ini digunakan. Menurutnya tuan-tuan dan puan-puan sama mencipta sejarah bagi masjid ini.
Menurutnya Masjid Al-Umm memang dari awal direkabentuk untuk keselesaan tempat ibadat dan tempat pengajian bagi  berbagai corak pengajian. Selain dari ruang berjamaah biasa yang juga digunakan untuk pengajian berkitab disampaikan oleh guru-guru berwibawa, masjid juga menyediakan Dewan Konvensyen untuk peserta melebihi 1,000 orang, bilik kuliah, bilik perpustakaan, IT dan tahfiz. Selain daripada itu disediakan juga bilik mesyuarat.
Menurut Pengerusi seminar secara bulanan pada hari ini adalah salah satu dari kegiatan akademik pada peringkat permulaan, Ianya salah satu dari keputusan yang telah diambil di dalam Bengkel Bagi Pengimarahan Masjid Al-Umm yang telah diadakan pada 21 September 2014 bertempat  di Hotel Puri Pujangga UKM. Kegiatan-kegiatan ilmiah yang lain yang akan diadakan secara bertahap ialah:
·         Pengajian hujung minggu yang mempunyai kurikulum khusus yang ditawarkan kepada kumpulan yang berminat mengikutinya  di dalam keilmuan-keilmuan terpilih dalam tempoh tertentu
·         Pengajian berpekej yang diadakan dalam tempoh tertentu menurut keperluan kumpulan sebagaimana ditaja oleh Masjid atau oleh pihak lain untuk kumpulan tertentu
·         Kursus pengajian di dalam bidang tertentu dengan kerjasama universiti tertentu di dalam tempoh tertentu dan dikeluarkan diploma atau sijil bagi yang layak.
·         Konvensyen secara tahunanmengenai topik-topik ilmiah yang releven dengan situasi semasa.
·         Mengadakan forum atau kolokium ilmiah secara dwi-tahunan
·         Pengajian Pondok Moden – Menjemput Tuan-Tuan Guru terkenal menyampaikan pengajaran ala pondok dalam tempoh tertentu.
·         Diskusi dan kritikan buku dan kitab
·         Pameran dan demonstrasi seni Islam
·         Perayaan Hari Ilmu dan Penjualan buku
·         Berbagai-bagai kegiatan ilmiah yang releven.
Adalah menjadi hasrat Masjid Al-Umm meningkatkan dirinya sebagai sebuah `Jami`ah (universiti)` sebagaimana pernah dicapai oleh Universiti tertua di dunia iaitu Jami`ah Qairawan di Maghribi dan juga Universiti Al-Azhar di Mesir. Konsep Jami`ah di sini tidak semestinya sebagaimana universiti-universiti yang jumlahnya 20 buah di Bangi dan sekelilingnya, tetapi Masjid Al-Umm mengambil manfaat dari situasi ilmu yang Masjid Al-Umm berada di tengahnya, iaitu dengan menjemput tenaga-tenaga pengajar yang berada di Bangi dan sekelilingnya yang menurut pendapat Profesor Emeritus Shahrir Mohd. Zain, bahawa di Bangi saja terdapat tak kurang daripada 30 profesor dengan ratusan lagi pemegang ijazah Ph. D di dalam berbagai-bagai bidang. Mereka ini dijemput secara berkala dan teratur menurut tema dan bidang-bidang masing-masing, khususnya yang ada hubungan dengan Islam. Kertaskerja dan buah fikiran mereka dirakam dan insya Allah akan diterbitkan. Ini bererti Masjid Al-Umm turut sama menjana keilmuan di dalam berbagai-bagai bidang.  Hasilnya dapat dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang. Kita berharap kegiatan ini akan sama mendapat dokongan dan tunjangan kewangan serta tajaan dari berbagai pihak. Kegiatan ini secara tak langsung melonjakkan imej Bangi sebagai Bandar Ilmu.


Kembali kepada seminar hari ini. Bahawa seminar pada hari ini adalah permulan bagi siri seminar bulanan. Untuk beberapa bulan akan datang seminar adalah bertemakan masjid. Beberapa pembentang pada masa akan datang sudah dikenalpasti dan mereka membentangkan kertaskerja menurut tajuk-tajuk yang ditentukan kepada mereka. Kertas-kertaskerja di bawah tema masjid ini akan disatukan dan insya Allah akan diterbitkan di dalam bentuk buku. Berbagai-bagai tema pada masa akan datang akan dipilih dan pembentang-pembentang bersesuaian dijemput membentangkan kertas kerja  di dalam tema-tema yang akan dipilih.


Selain dari seminar akan diadakan berbagai kegiatan ilmiah yang disebutkan di atas dan akan dilaksanakan secara bertahap menurut kesesuaian.
Mengakhiri alu-aluannya Pengerusi berharap kegiatan-kegiatan yang akan dijalankan akan terus mendapat sokongan dari tuan-tuan dan puan-puan. Pihak jawatankuasa akan memikirkan cara terbaik bagi segala wacana ilmiah yang akan dijalankan dan diharap mencapai objektif yang ditentukan.

Sekian.

February 5, 2018

PELAJAR DAN ANAK MUDA MAD`U MASJID AL-UMM


BBB, 18 Jamadil Awwal 1439H. =  04 Februari 2018 (Ahad):
Antara yang diperkatakan oleh Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri dalam Seminar Bulanan Masjid al-Umm kelmarin (Sabtu, 3 Feb.), bahawa Masjid al-Umm mempunyai jiran terdekat yang menjadi cabaran bagi masjid. Jiran terdekat dimaksudkan ialah sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Pelajar-pelajar  ini ialah mad`u (fokus dakwah) bagi Masjid al-Umm, selain dari generasi biasa yang pergi ke masjid. Mereka jangan dipandang sebagai `pembawa masalah`, misalnya datang waktu-waktu ko-korikulum melepak, buat bising dan ada yang berlari di dalam masjid, bahkan mengotorkan masjid dengan membawa makanan, lantaran di masjid ada disediakan  kemudahan mesin coway untuk air panas dan sejuk – antaranya dapat memanaskan maggie dan sebagainya. Bagi anak-anak kecil yang dibawa oleh iubu bapa mereka, mereka bermain pada tempat mainan kanak-kanak yang disediakan. Mereka dianggap membuat bising dan menghilangkan ketenteraman.


Prof. Dato` tidak setuju mereka dihalang dari datang ke masjid, bahkan sepatutnya dialu-alukan. Baginya pihak masjid harus menerima kedatangan mereka. Mereka jangan dibiarkan bertabur, sebaliknya hendaklah disediakan bimbingan untuk mereka. Misalnya bimbingan membaca Al-Qur`an, memberi ruang bagi mereka mutalaah dan membincangkan pelajaran di kalangan mereka. Bila tiba masa solat mereka hendaklah diajak sama bersolat.
Bagi Prof. Dato` melihat, pihak masjid wajar menyediakan makan tengahari bagi anak yang berlindung di masjid sebelum ibu bapa mereka datang menjemput. Mungkin perkara ini membebankan masjid, tetapi kiranya ia diatur dengan baik, tentu mendapat sokongan dari ibu bapa, PIBG,  Sekolah dan mungkin ada pihak yang sanggup sponsor dari segi peruntukan.
Pokoknya menurut Prof. Dato` pihak masjid wajar membuat hubungan dengan pihak sekolah dan PIBG membincangkan kaedah-kaedah terbaik bagi sekolah dan masjid untuk kepentingan pelajar-pelajar. {Perbincangan pernah dibuat dengan pihak sekolah, khususnya soal keselamatan pelajar-pelajar).
 Selain daripada itu pihak masjid hendaklah ada jawatankuasa pemuda yang dapat mengendalikan pelajar-pelajar berkenaan dan merangka program untuk mereka. Kalangan pemuda adalah lebih memahami dan lebih serasi dengan kehendak anak-anak muda . (Jawatankuasa Pemuda Masjid al-Umm baru ditubuhkan pada Sabtu 27 Januari 2018 lalu dan sedang bergerak langkah bagi melakukan kegiatan-kegiatan yang bersesuaian).
Menurut  Prof. Dato` Dr. Halim lagi, Masjid al-Umm mempunyai beberapa kemudahan yang baik. Misalnya bersebelahan dengan masjid dan berjiran dengan sekolah-sekolah ada padang awam yang baik. Di samping di sebelah masjid juga terdapat Dewan Orang Ramai yang menjadi tempat anak-anak muda – juga orang tua, bermain badminton. Menurutnya beliau telah meninjau ke kawasan padang ini dan didapati ramai anak-anak muda yang bermain bola sepak pada petang hari. Mereka ini perlu didekati. Misalnya sebelum mereka memulakan permainan pada sebelah petang mereka diajak bersolat asar berjamaah. Minat dari mereka dapat ditarik, misalnya dengan menyediaka bola,  bahkan minuman dan sebagainya. Begitu juga pihak masjid perlu mendekati kalangan yang bermain badminton, tua dan remaja untuk mendekatkan mereka dengan masjid. Antara program yang dapat mendekatkan mereka dengan masjid, misalnya dengan mengadakan pertandingan bola dan badminton, pada peringkat yang lebih tinggi ialah mengadakan pertandingan antara surau dan masjid dan sebagainya bagi permainan bola sepak dan badminton. Pihak masjid yang menjadi penganjur menyediakan piala  pusingan masjid dan hadiah-hadiah yang lain. Bagi mendapat kewangan, tentu ada pihak yang mau sponsor hadiah-hadiah, bahkan peruntukan bagi pertandingan-pertandingan. Pihak masjid, pemuda, sekolah, PIBG  dan sebagainya perlu kerjasama bagi menjayakan program berkenaan yang dapat memberi manfaat kepada masjid, sekolah, ibu bapa, PIBG  dan sebagainya.
Prof. Dato` Dr. Ab. Halim berulang kali menyebut, bagi menjayakan sesuatu program dan apa juga kegiatan, tidak sunyi dari masalah dan kekurangan, namun menurutnya ianya ibarat  peremainan puzzle, setiap satu sama lain seharusnya mengambil peranan masing-masing bagi melengkapkan kedudukan dan kesempurnaan bagi keseluruhan. Insya Allah dengan kerjasama berbagai pihak secara ikhlas dapat dicapai tujuan yang dapat memberi kebaikan bagi masjid, sekolah, PIBG, pemuda dan masyarakat di Bangi ini, Insya Allah.

Sekian.

February 4, 2018

SEMINAR MASJID AL-UMM OLEH PROF. DATO` DR. HALIM TAMURI MENARIK


BBB, 17 Jamadil Awwal 1439H. = 03 Februari 2018M. (Sabtu):
Masjid, khususnya Masjid a-Umm memang didesign bagi memenuhi fungsi sebagai Pusat Ibadat, Pengajian (Pendidikan) dan kegiatan kemasyarakatan. Bagi tujuan pengajian dari segi fizikalnya  pada aras utama adalah bagi kegiatan ibadat dan pengajian, manakala pada aras satu (di atasnya) diwujudkan berdasarkan plannya ruang solat muslimat, bilik seminar, bilik-bilik kuliah, perpustakaan dan bilik IT di samping terdapatnya bilik mesyuarat. Manakala dewan bawah tanah, adalah boleh digunakan sebagai Dewan Konvensyen (bagi peserta yang lebih ramai), di samping boleh digunakan untuk berbagai-bagai majlis termasuk majlis sambutan dan perkahwinan. Kalau dilihat ruang-ruang yang disediakan kebanyakannya ialah untuk kegiatan keilmuan. Dan sememangnya menjadi objektif bagi mendirikan Masjid al-Umm (sudah tentulah tujuan  bagi Ibadat), ialah menjadi mekanisme melonjakkan Bangi sebagai Bandar Ilmu.


Adalah dirangka dan disusun bahawa  beberapa pendekatan pengajian yang akan diadakan di Masjid Al-Umm, iaitu:
1)      Pengajian keilmuan-keilmuan agama secara berkitab yang sedang berjalan.
2)      Pengajian secara akademik
3)      Berbagai cara dan pendekatan yang lain.
Setelah Masjid al-Umm mulai digunakan pada 16 Disember 2017, maka pada hari ini Masjid al-Umm memulakan pengajian bersiri secara akademik bertempat di Dewan Seminar yang lengkap dan canggih di aras satu bangunan masjid tersebut. Siri pengajian permulaan mengambil tema `Masjid`.
Maka bagi memulakan pengajian ilmiah secara akademik ini sengaja diatur dan dijemput Ybhg. Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri Penaung Masjid al-Umm yang juga Rekor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) membentangkan kertaskerja berjudul:
``Masjid Memartabatkan Masyarakat: Konsep Dan Pelaksanaan (Rujukan Masjid Al-Umm)``.
Pada 03 Februari 2018, Jam 9.30 pagi Bilik Seminar Masjid al-Umm.
Al-Hamdulillah seminar pada hari ini mendapat  sambutan peserta dengan memenuhi dewan seminar yang memuatkan seramai 100 orang peserta.
Seminar pagi ini dipengerusikan oleh Dato` Dr. Abdul Wahid Shamsuddin Mantan Timbalan Naib Canselor UKM dan kertas dibahaskan oleh Prof. Dr. Amran Abdul Kadir dari Fakulti Sains UKM.
Selepas kata-kata alu-aluan disampaikan oleh Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar, Prof. Dato` Dr. Abdul Halim yang menyiapkan kertaskerja secara lengkap dan bersifat akademik itu tidak menyampaikan kertas sebagaimana di dalam kertas yang disusunya (bakal diterbitkan), sebaliknya bercakap  secara sponton mengenai perkara-perkara yang releven dan patut diberi perhatian oleh Masjid al-Umm.


Prof.  Dato` Dr. Abdul Halim bertolak sebagai induk pembicaraannya melihat :
``Masjid Pusat bagi pembangunan`` - baik dari segi ibadat, pendidikan dan kemasyarakatan.
Masjid yang diambil dari kata dasar `sajada` `sujud` dan masjid adalah tempat sujud sudah mencerminkan bahawa masjid tempat ibadat yang kita melahirkan kepatuhan kita kepada Allah dengan sujud – bersolat, bukan setakat solat lima waktu, tetapi solat-solat  sunat yang lain, juga tempat tadarus al-Qur`an baik secara berkumpulan (lebih baik) atau perseorangan, juga tempat beriktikaf di dalam ruang yang dikira sebagai masjid.
Prof. Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri yang pakar di dalam bidang pendidikan mau masjid menjadi tempat  yang menjadi sumber pendidikan yang berkualiti bagi semua peringkat dan memberi khidmat  dan terbuka kepada masyarakat selama 24 jam. Beliau memberi contoh masjid yang baik dan menjadi tarikan  bagi masyarakat ialah seperti Masjid Salahuddin – Masjid Negeri Shah Alam. Masjid ini mempunyai program ibadat dan pengajian secara teratur dan terancang dengan ibadat dan pengajaran oleh guru-guru yang terbilang. Menurut Prof. Dato`, ``Kerana tertarik untuk beribadat dan mengikuti pengajian, bukan saja pada bulan Ramadhan, tetapi pada masa-masa yang lain ada mereka yang di luar dari Shah Alam sengaja datang menyewa bilik hotel berdekatan masjid  dan datang bersama beribadat dan mengikuti pengajian-pengajian yang dianjurkan oleh masjid itu dalam  tempoh tertentu.``


Menurutnya ini adalah contoh terbaik yang dapat diikuti oleh Masjid al-Umm di dalam mengendalikan masjid. Ia bergantung pada jawatankuasa yang mengendalikan masjid yang bersifat pro-aktif yang sentiasa kreatif dan inovatif dari segi pimpinan dan kegiatan yang melibatkan semua pihak. Prof. Dato` juga menyebut di dalam mengendalikan masjid mesti ada CEO yang cekap yang mengendalikan semua  kegiatan masjid dan  tidak hanya bekerja sebagai pegawai di pejabat, tetapi turun samadi dalam semua persoalan yang berhubung dengan masjid.
Sebagai Rektor KUIS, beliau menyebut, pihak KUIS telah merangka kursus pada peringkat diploma pentadbiran masjid yang harus diikuti oleh nazir dan pengerusi-pengerusi surau. Kelak menurutnya, untuk menjadi nazir di masjid-masjid dia seharusnya mempunyai diploma pentadbiran masjid. Keperluan ini bukan saja dikehendaki berkelayakan diploma pentadbiran masjid di Selangor, tetapi diterima pakai oleh beberapa negeri yang lain.
Menurut Prof. Dato`, pihak KUIS sedia bekerjasama dengan pihak Masjid al-Umm, berhubung dengan latihan pentadbiran, pemilihan imam, bilal dan memilih tenaga-tenaga pengajar yang berkelayakan. Perkara ini menurutnya, terbuka untuk rundingan.
Bersambaung ...

Sekian.

February 3, 2018

WACANA ILMIAH DI MASJID AL-UMM


BBB, 16 Jamadil-Awwal 1439H. = 02 Februari 2018M. (Juma`at):
Sebelum daripada penggunaan Masjid Al-Umm sudah diadakan dua kali bengkel bagi pengimarahan Masjid Al-Umm.


1)      Bengkel Merancang dan mengimarahkan Masjid Al-Umm yang diadakan di Puri Pujangga UKM pada 26 Zulkaedah 1435H. bersamaan 21 September 2014.
Dalam bengkel ini dibentangkan  (Penulis) mengenai keilmuan yang diajar di Masjid al-Umm seperti Al-Qur`an dan Tajwid, `Aqidah, Fiqh, Tafsir, Hadith, Tasawuf, Sirah, Ekonomi Islam, Bahasa  (Melayu, `Arab dan Inggeris), Seni (tarannum dan khat)dan bidang-bidang professional.
Kurikulum bagi bidang-bidang keilmuan di atas disusun dan kitab-kitab yang dapat dijadikan panduan pengajian juga disertakan
2)      Bengkel Penentuan dan Penulisan Program Pengimarahan Masjid Al-Umm juga di Hotel Puri Pujangga, UKM pada 3 hb. Rabi`ul-Akhir 1436H. = 24 Januari 2015.
Bidang pengajian yang disarankan adalah bersamaan dengan bidang-bidang keilmuan di dalam bengkel pertama.
Bidang keilmuan dipecahkan kepada 4 kumpulan berdasarkan kumpulan matapelajaran. Mereka dikehendaki menulis berkenaan kurikulum bagi setiap pelajaran dan mencadangkan kitab-kitab dan buku-buku yang dapat dijadikan panduan. Ada perbedaan buku cadangan berbanding dengan bengkel pertama. Ada nama-nama guru yang dicadangkan. Sayangnya selepas bengkel berlaku tidak terhasil tulisan-tulisan yang diharapkan.
Walau bagaimana oleh kerana bidang keilmuan yang dicadangkan oleh bengkel kedua hampir bersamaan, maka selepas Masjid Al-Umm digunakan pada 16.12.2017, maka pengisian pengajian dan pengimarahan Masjid Al-Umm lebih berpandu kepada hasil bengkel yang telah dibukukan (Bengkel Pertama).
a)      Pengajian Berkitab
Secara bertahap pengajian dilakukan di Masjis Al-Umm, pengajian yang diajar antara waktu maghrib dan isya` ialah, pengajian Al-Qur`an, Tajwid, Aqidah, Fiqh, Tafsir dan l-Hadith. Guru-guru yang djemput setakat ini ialah guru-guru yang biasa mengajar di Masjid Al-Hasanah, di Surau al-Nur dan beberapa surau lain yang berdekatan. Peningkatan pengajian dan penambahan bidang pengajian akan dilakukan secara bertahap dari masa ke masa.
b)      Wacana Ilmiah Ala Universiti


Satu konsep pengajian yang pernah dicadangkan di dalam bengkel pertama, bahawa Masjid Al-Umm selain dari mengadakan pengajian berkitab yang masanya antara maghrib dengan Isya` ialah mengadakan wacana ilmiah antaranya bersifat  seminar .  Sebagaimana diputuskan di dalam mesyuarat adalah bersifat bulanan. Tema-tema tertentu akan dipilih bagi satu-satu bulan.
Seminar pertama akan diadakan pada Sabtu 3 Februari 2018 bertemakan masjid, yang tajuknya ialah:
``Masjid Memartabatkan Masyarakat: Konsep Dan Pelaksanaan (Rujukan Masjid Al-Umm).
Kertas dibentangkan oleh Ybhg. Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri Penaung Masjid Al-Umm yang juga merupakan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Selangor (KUIS).
Kertas diulas oleh Prof. Amran bin Abdul Kadir AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid al-Umm yang merupakan Profesor dari Fakulti Sains, UKM. Seminar akan dipengerusikan oleh Dato` Dr. Abdul Wahid  bin Shamsuddin Mantan Timbalan Naib Canselor UKM.
Masjid Al-Umm memang dari awal mengwujudkan bilik seminar, bilik konvensyen dan bilik-bilik kulian. Bilik-bilik ini agak selesa.
Untuk seminar 3 Februari Sabtu 2018 adalah percuma dan dijemput sesiapa yang mau mengikuti hadir mulai jam 9.30 pagi pendaftaran dan sesi seminar antara jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Jamuan ringan disediakan.
Semua dijemput hadir. Mari kita semarakkan Bangi dengan ilmu.

Sekian.

February 2, 2018

KEPERLUAN BAGI PEMBINAAN FIZIKAL MASJID - ARKITEK


BBB,  15 Jamadil Awwal 1439H. = 01 Februari 2018 (Khamis):
Membina bangunan di kawasan perbandaran, termasuklah masjid, bukan seperti membina sebuah rumah atau masjid dikampung. Jika sebuah rumah dikampung, maka ianya boleh dibina secara gotong royong dalam mana bentuknya secara spontan boleh terbina, demikian sebuah masjid atau surau dikampung,  dari kombinasi pendapat ketua kampung dan imam dan anak buah tentang bentuk dan dibangunkan secara gotong royong hingga siap dengan kosnya tidaklah begitu tinggi.
Idea mudah sedemikian terlintas juga di dalam minda, bahawa cukup untuk membina Masjid al-Umm dengan mendapatkan seorang tukang  (kontrektor)  dan dengannya berbincang tentang plan yang dikehendaki dan dapat diturut pihak yang membina dengan pekerja-pekerjanya dengan jumlah khas yang sepatutnya.
Tetapi membina sebuah masjid yang berada pada lokasi bandar atau pinggir bandar, bahkan di kampung dengan kosnya berpuluh juta, tidak cukup dengan hanya mendapat kelulusan tapak dari kerajaan negeri, kelulusan bagi medirikan masjid dari JAIS dan MAIS dan MPKj, tetapi lebih banyak keperluan-keperluan yang dikehendaki  sebagai Takmilah bagi menyempurnakan pembinaan bangunan.  Antara keperluan ini seperti dikehendaki oleh Majlis Perbandran  dengan memenuhi syarat-syuarat diperlukan. Antaranya memerlukan plan arkitek.
Dengan pembinaan rangka plan bangunan sudah dapat dijangka dan dikenal bentuknya dan setiap bahagian mempunyai  spesifikasi dan ukuran yang tepat diketahui,  luas  ruang dan kapasiti yang dapat memuatkan dalaman dapat diketahui. Rangka plan arkitek dapatlah dikatakan sebagai gambaran awal tentang sesebuah bangunan yang darinya diikuti dari segi pembangunan fizikal.
Untuk menghasilkan plan arkitek memerlukan kepada kepakaran dan yang berpengalaman. Bidang yang berkait dengan plan. Bidang arkitek dapat dikatakan bidang yang  meyatukan antara bidang sains dan bidang yang berkait dengan seni. Untuk membina sebuah masjid dari awal memerlukan keilmuan sains dari ukuran, jenis tanah, kedudukan tanah, kaedah membina bangunan dari pesiapan tapak, penanaman cerocok, tiang, melepakan semin bagi lantai hinggalah kepada bumbung, kapasiti bumbung, kubah dan keseluruhan dari segi beban dan sebagainya.
Dari satu segi yang lain, pembinaan bukan setakat menegakkan bangunan semata-mata, tetapi ada bentuk dan elemen estatika dan kerohanian (masjid) diperlukan. Sebagaimana telah disebut, pada dasarnya  seseorang membuat sesuatu, contohnya masjid, dia mengambil model atau dalam istilah yang lain meniru dari contoh-contoh yang sedia ada, kadang-kadang secara keseluruhan, atau diubah dan ditambah di sana sini sehingga kadang-kadang bentuknya sama atau hampir-hampir sama.
Namun dari segi kreativiti dan Takmilah, seseorang yang mau membuat  bangunan atau masjid, biasanya tidak mau bangunannya sama dengan yang lain dan kalau boleh menghasilkan satu bentuk yang unik, indah dan lain dari yang lain. Untuk menghasilkan sesuatu hasil yang unik dan lain dari yang lain ini, tidak mudah sebagaimana yang dapat dicakap, tetapi memerlukan seorang arkitek atau kumpulan arkitek yang dapat menghasilkan rupa bentuk lebih dari sebagaimana yang dikehendaki pemilik, dengan menampilkan  elemen estetika dan daya kreativiti dan inovasi yang tinggi. Seseorang arlitek yang baik mempunyai jiwa seni, rohani, daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, jikalau tidak dia tidak dapat menghasilkan hasil seni bangunan yang tinggi mutunya. Bayangkan betapa  sebuah Taj Mahal dihasilkan, ianya memerlukan seni, rohani, kreativiti dan inovasi yang tinggi dari perekanya sehingga terhasilnya binaan Taj Mahal yang indah  yang merupakan sebuah warisan dunia. Bayangkan bagaimana sebuah istana `Al-Hamra` di Cordova dihasilkan atau yang dekat dengan kita  bagaimana `Twin Towers` dapat dihasilkan. Semuanya memerlukan arkitek yang berwibawa, mendalam bidang sains dan tinggi dari segi imaginasi, kreativiti, inovasi dan cita seni.
Jadi untuk membangun sebuah masjid, juga masjid Al-Umm yang memerlukan kos lebih dari RM20 juta, maka agar ia tidak menjadi sebuah binaan yang dianggap dalam kategori biasa, tetapi mempunyai ciri-ciri seni yang tinggi dan tidak menghabiskan jumlah wang yang begitu tinggi secara tidak berbaloi, masjid tidak boleh dibina begitu saja, tetapi  memerlukan arkitek berwibawa yang mempunyai daya estetik yang tinggi, berkreativiti dan daya rohani  yang tinggi.
Aspek arkitek adalah penting dari segi seni bina, sekiranya dapat dihasilkan sesuatu hasil yang unik, indah, kreatif, inovatif berestetik dan rohani, maka nilainya meningkat tinggi yang kelak bukan lagi boleh dinilai dengan nilai ringgit, tetapi ianya menjadi monomun warisan yang abadi di dalam kenangan zaman.

Sekian.

February 1, 2018

MUHASABAH ANTARA CIRI TAKMILAH


BBB,  14 Jamadil-Awwal 1439H. = 31` Januari 2018M. (Rabu):
Dalam apa juga perkara sama ada pekerjaan, pelajaran dan kehidupan dilihat dari segi Takmilah perlu ada arah dan tujuan yang perjalanan kepadanya seharusnya terus meningkat dari segi kualitinya. Bagi proses ke arah Takmilah ini perlu ada muhasabah untuk menilai perjalanan yang dilalui ke peningkatan kualiti dan sepatutnya tidak berlaku sebaliknya, tetapi jika berlaku kebalikan, maka ianya hendaklah diambil tindakan memperbaiki supaya arah yang ditujui tidak terseleweng dan dapat mencapai kejayaan.
Di dalam hal pembinaan Masjid Al-Umm, apa yang dibicarakan setakat ini adalah tahap permulaan, iaitu tahap persediaan. Pada tahap ini ada kemajuan yang dicapai sebagaimana telah dibicarakan, iaitu kejayaan menubuhkan jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm, kejayaan mendapat gezet terhadap tanah bagi Masjid al-Umm, kejayaan mendapat kebenaran dari JAIS mendirikan masjid, kejayaan mendapat keizinan dari MAIS kebenaran memungut derma untuk masjid dan menghantar permohonan untuk mendirikan masjid dan mendapat sokongan dari berbagai pihak. Pada peringkat persediaan ini juga berjaya diadakan Majlis Pelancaran pemungutan derma bagi Masjid yang menjadi induk  derma bagi masjid.
Dalam masa peringkat persediaan ini pihak AJK telah mengadakan beberapa gotong royong bagi membersih tapak bagi masjid.
Dalam mesyuarat bulanan bagi bulan April 2010, mulai dibincangkan mengenai plan bagi Masjid Al-Umm, Tuan Haji Mohd Said bin Yunos sebagai ketua bagi plan dan landscaping membentang plan permulaan bagi Masjid Al-Umm dituruti dengan perbincangan tentang kewangan oleh Bendahari Tuan Haji Mohd. Nor Yasin yang target bagi mendapat kewangan pada peringkat permulaan ialah satu juta ringgit.
Manakala pada mesyuarat pada bulan Mei 2010 membincangkan berkenaan plan induk, soal dana, tapak dan geran.
Kesan dari muhasabah terhadap kedudukan jawatankuasa, maka timbul cadangan  pada 20 Mei 2010 bagi memasukkan  Encik Omar Ja`far sebagai salah satu AJK. En. Omar Ja`far adalah Pentadbir bagi pembangunan bagi UKM, khusus pembangunan fizikal bangunan-bangunan kampus UKM, beliau adalah ahli mewakili UKM di dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Daerah Hulu Langat dan juga selaku Yang Dipertua Persatuan Penduduk BBB. Dengan adanya beliau yang begitu berpengalaman, terutama dari segi pembangunan fizikal UKM diharap dapat membantu melicinkan pentadbiran dan pembangunan Masjid Al-Umm itu sendiri.
Dalam mesyuarat ini turut dibincangkan skop yang lebih luas seperti kedudukan Dewan Orang Ramai yang berdekatan dengan tapak Masjid BBB, Medan Selera (Medan Usahawan) dan kedudukan Padang Awam yang kemungkinan antaranya dapat meluaskan kawasan masjid atau sekurang-kurangnya masjid mendapat faedah daripadanya.
Hasil dari perbincangan di dalam mesyuarat pada peringkat persediaan ini juga difikirkan bahawa bagi perkembangan seterusnya dari perbincangan bahawa, walaupun ada setiausaha bagi AJK Pembangunan (Tuan Haji Hussin  bin  Yunos) , adalah difikirkan bahawa AJK perlu ada Setiausaha Kerja yang bekerja sepenuh masa dan perlu ada pejabat khas bagi pejabat Jawatankuasa Pembangunan Masjid al-Umm. Sememangnya pihak AJK Pembangunan Masjid selama ini tidak mempunyai pejabat. Mesyuarat-mesyuarat selama ini banyak diadakan di Pejabat ADUN Bangi no. 8, Jalan ¼, BBB. Apabila pihak Persatuan Penduduk menaikkan taraf dua unit warung yang disatukan sebagai Pejabat Persatuan Penduduk sekitar (2012) dan agak selesa, maka mesyuarat  lebih banyak diadakan di Pejabat Persatuan ini, di samping Pejabat Adun juga terus digunakan sebagai tempat mesyuarat. Bilik mesyuarat di Pejabat Persatuan itu lebih kerap digunakan apabila kompleks pendidikan Islam di Seksyen 16 siap dan digunakan sekitar 2012 dan Persatuan Penduduk mempunyai pejabat di sana dan kurang menggunakan pejabat di Medan Usahawan, maka msyuarat masjid lebih kerap menggunakan Pejabat Persatuan Penduduk di Medan Usahawan.
Sebagai disyorkan bagi mengendalikan kerja-kerja pentadbiran bagi pembangunan Masjid, maka seorang Setiausaha Kerja dilantik. Setiausaha yang dipilih ialah saudara Mohd. Adham bin Anwar yang mula berkhidmat dan berkuatkuasa  mulai  18 Julai 2012 dengan gaji permulaan RM1,500 sebulan. Pejabat bagi  Setiauasaha kerja ialah dengan menggunakan sebuah warung atas nama ADUN Bangi yang digunakan bagi  jawatankuasa Bertindak ADUN seperti Penerangan dan Kebajikan. Pejabat ini terus digunakan atas nama peribadi (Shafie Abu Bakar) hingga kini dan akan terus digunakan untuk bahagianPenerangan dan Publisiti masjid, walaupun Pejabat Pentadbiran Masjid berpindah berikut dari penggunaan Masjid pada 16 Disember 2017.
 Perubahan ialah bagi mengemaskan pentadbiran masjid yang makin bertambah. Sesungguhnya muhasabah menyedarkan kekurangan dan usaha dilakukan ke arah Takmilah.

Sekian.