February 14, 2018

CABARAN DAN UJIAN MENJELANG PEMBINAAN FIZIKAL MASJID AL-UMM



BBB, 28 Jamadi Awwal 1439H. = 14 Februari 2018M. (Rabu):
Selepas pelancaran tapak Masjid Al-Umm oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 Januari 2013M.(23 Safar 1434H.) ada beberapa cabaran yang seharusnya di atasi oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm bagi memulakan pembinaan Masjid Al-UMM. Tanpa mengatasinya pembinaan tidak dapat dilakukan. Ianya merupakan ujian kemampuan Jawatankuasa  melaksanakan misi bagi pembangunan masjid itu. Ada tiga cabaran besar:
Pertama:  Kewangan
Kedua:   Mendapat kelulusan plan dari MPKj.
Ketiga:  `Pemasalah` yang timbul dalam jawatankuasa.
Ketiga-tiga masalah di atas menggugat kemampuan kepimpinan dan jawatankuasa.
Namun dari satu segi, mana mungkin di dalam mengendalikan sesuatu projek pembinaan masjid yang dapat dikatakan begitu besar yang kosnya asalnya RM10 juta meningkat kepada RM20 juta itu tidak menghadapi masalah. Bahkan masalah-masalah adalah ujian dari segi Takmilah. Dalam kerja yang bertujuan baik pun  pun mesti ada masalah. Masalah-masalah perlu dikendali dan diatasi dengan sebaik mungkin. Ianya merupakan ujian-ujian yang jika lulus memantapkan Takmilah dan jika sebaliknya merosakkannya.
Ujian pertama dan terpenting ialah kewangan !
Pada peringkat permulaan ketika melancarkan Tabung Masjid Al-Umm pada 19 Mei 2012 adalah menggalakkan yang jumlah yang dapat dipungut ialah RM150,000 yang kita sebut sebagai induk bagi Tabung Kewangan Masjid Al-Umm.  Ini menambahkan dana masjid yang dipungut  yang  pada 23 April 2012 hanya sebanyak  RM13,700/=  (Laporam Mesyuarat  bil. 7/2012). Pemungutan derma juga dilakukan pada Majlis Mesra Kenduri Kampung yang dilancarkan oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor pada 6 Januari 2013. Namun pungutan pada hari ini tidaklah menggalakkan, hanya lebihkurang separuh dari pungutan berbanding punguitan pada pelancaran pertama. Barangkali orang ramai lebih beri tumpuan untuk mendapat berita, banyak mana Kerajaan Negeri Selangor akan membiayai kos bagi membina masjid berkenaan. Dan kalau kerajaan negeri dapat membiayai, maka tidaklah perlu diharap sangat derma dari orang ramai. Namun untuk mendapat jumlah sumbangan yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Selangor itu  (RM6 juta)  adalah cabaran dan tidak mudah didapat (bakal dibicarakan pada masa akan datang).
Bagi mengejar tempoh jangkaan untuk memulai pembinaan fizikal Masjid Al-Umm adalah bergantung  sepenuhnya pada peringkat permulaan adalah hasil dari derma orang ramai yang dipungut melalui atau menerusi pemungut-pemungut derma yang diizinkan oleh MAIS seramai 10 orang itu (Tidak semua berfungsi).
Kerja membina masjid adalah kerja yang amat baik, ini ditegaskan  oleh ayat Al-Qur`an yang seharusnya dibina di atas rasa taqwa (al-Taubah: 108-109). Juga Hadith Nabi yang menjanjikan balasan di akhirat kelak. Kerja-kerja kebajikan ini seharusnya berasaskan keikhlasan hati dan tidak mengambil kesempatan  untuk sebarang kepentingan. Perkara ini telah dibawa di dalam Mesyuarat Bil. 7/2002 yang berlangsung pada 23 April 2012 dalam butir  7.6 bahawa:
``Mesyuarat bersetuju supaya (10) ahli pemungut derma Tabung Masjid TIDAK DIBENARKAN mengambil komisyen daripada hasil kutipan derma tabung masjid.``
Keputusan ini wajar memandangkan bahawa ianya adalah kerja kebajikan  dan tidak seharusnya ada sebarang kepentingan di dalam pemungutan berkenaan.
Dilihat dari segi Takmilah, keikhlasan adalah peringkat tinggi dari konsep pembersihan rohani. Ianya merupakan kemurnian dan keindahan rohani yang dapat dicapai oleh seseorang.
Mekanisme yang berjalan dari segi pungutan ini bahawa seorang  ahli yang diberi hak memungut derma adalah menerima derma dari orang ramai. Lebih dari itu pemungut-pemungut derma itu berusaha mencari  dari orang ramai dan sesiapa yang sanggup menderma. Derma-derma yang didapati oleh pemungut-pemungut ini diserahkan kepada Bendahari. Bendahari pula melapor kan kepada Ahli Jawatankuasa saetiap kali bermesyuarat juga tentang perbelanjaan yang dilakukan.
Sekian.

February 13, 2018

MEMILIH TERBAIK PRINSIP TAKMILAH



BBB,  23 Jamadil-Awwal 1439H. = 11 Februari 2018M. (Ahad):
Berdasarkan prinsip Takmilah di atas dan diaplikasikan kepada Masjid l-Umm, bahawa  dalam usaha AJK Pembinaan Masjid Al-Umm, bahawa kita berusaha sedaya upaya bagi membina `Masjid Terbaik` menurut usaha, ikhtiar dan kemampuan kita, walaupun kita sedar banyak kekurangan yang ada pada bakal Masjid Al-Umm, misalnya dari segi keluasan tapak masjid tersebut yang  hanya sekadar dua ekar. Dengan keluasan ini tidak banyak ruang bagi meluas-lebarkan kawasan masjid. Kita juga sedar dari peringkat permulaan lagi kita hanya bergantung pada keikhlasan derma dari orang ramai. Memang kita rasa sukar untuk mendapat sejumlah anggaran awal sebanyak RM10 juta, apalagi dengan pertambahan kos selepas daripada itu yang lebih menyukarkan kita untuk mendapat  derma dengan pertambahan kos yang akan berlaku. Tapi  kita bersangka baik (bertafa`ul)  dengan urusan yang agak licin mendapat kelulusan gezet terhadap tanah tapak masjid, begitu juga kelulusan dari pihak JAIS untuk membina masjid dan pihak MAIS pula memberi kebenaran untuk memungut derma bagi membiayai kos pembinaan masjid. Keizinan-keizinan yang didapati memberi semangat kami untuk bekerja.
Sebagai mengikut procedure standard, selepas mendapat keizinan semua, bahkan selepas kunjungan YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor, apa lagi dengan janji bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan menderma sejumlah apa yang didapati masjid dari derma sehingga RM6 juta betul-betul melegakan kami AJK, bahkan memberi semangat untuk melipatgandakan usaha bagi mendapat derma dari orang ramai.
Antara usaha dan mengikut procedure pembinaan biasa juga memberi pilihan terbaik bagi pihak masjid ialah dengan membuka tender untuk kontrektor-kontrektor membuat permohonan untuk mejadi kontrektor kepada pembinaan Masjid  Al-Umm. Spesifikasi tender antaranya:
Tender adalah bermula 4 @ 5 Mac 2013 sehingga 18 @ 19 Mac 2013.
Perlantikan ialah 16 April 2013, tetapi tarikh perlantikan ini diubah kepada 21 April 2013.
Manakala Masuk Tapak ialah 2 Mei 2013. (Perubahan-perubahan tarikh dilakukan dengan makluman kepada pihak-pihak berkenaan).
Terdapat respond terhadap tender ini sebanyak  12  pembida (Pemohon)  dan hari interview ditentukan ialah pada 20  Oktober 2013. Namun daripada 12 pembida yang hadir ialah 9 pemohon sahaja, iaitu:
1)      GIS Contractor  Sdn. Bhd.
2)      Tekad Nusantara Sdn. Bhd.
3)      Mergong Jaya Service Sdn. Bhd.
4)      Vastec Engineering Sdn. Bhd
5)      Twinty Enterprise Sn. Bhd.
6)      Iqtiqad Maju Sdn. Bhd.
7)      Bangi Mas Sdn. Bhd.
8)      Ufuk  Rata Sdn. Bhd.
9)      Pembinaan Sham.
Interview dijalankan oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm dengan diketuai oleh Pengerusinya.
Antara kriteria yang diberi perhatian oleh jawatankuasa di dalam interview ialah kemampuan syarikat kontrektor untuk membina Masjid Al-Umm berkenaan. Modal yang ada bagi pihak kontrektor dan yang penting ialah pengalaman dari segi pembinaan dengan contoh pembinaan-pembinaan yang telah berjaya dibina. Perkiraan juga diambil tentang kesanggupan kontrektor berkenaan bertahan jika terpaksa pihak Masjid menghagapi kekurangan kewangan pada tahap-tahap tertentu sehingga menyebabkan bayaran-bayaran tertangguh.
Penjualan buku dokumen ialah pada 18 September 2013 dan tarikh tutup ialah 1 Oktober 2013. Kemudian tarikh tutup dilanjutkan sehari lagi kepada 2 Oktober 2013 (26b Zulkaedah 1434H.)
Melalui interview 20 November 2013, maka pada  25 November 2013 diumumkan pemilihan – Setuju menerima tender Tekad Nusantara (Hj. Marzuki Haji Che` Omar).
Penerimaan berasaskan pengalamanya mengambil kontrek pembinaan bangunan swasta dan kerajaan, antaranya membina Kompleks Pendidikan Bangi, kekukuhan kewangan dan kesediaan menanggung beban kelewatan pembayaran sehingga ke jumlah RM2 juta.
Dengan pemilihan kontrektor Tekad Nusantara berpejabat di Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi dipercayai Tekad Nusantara mampu membina Masjid Al-Umm – Insya Allah.
Sekian.

February 12, 2018

PERASMIAN TAPAK OLEH YAB DATO` MENTERI BESAR SELANGOR



BBB,  23 Jamadil Awwal 1439H. = 11 Februari 2018M. (Ahad):
Selepas mengemaskan kedudukan AJK Pembinaan Masjid Al-Umm sekitar Ogos 2012 dengan berlakunya pertambahan ahli jawatankuasa, termasuk keahliannya ialah pegawai pembangunan kampus  UKM, En. Omar Ja`far,  engineer pembangunan   Ir. Tuan Haji Ishak Haji Arshad juga keahlian sedia ada  iaitu Tuan Ar. Raja Fuaddin Raja Ahmad, dan sudah diambil Setiausaha Kerja saudara Adham bin Anuar,  bahkan atas syor En. Omar Ja`far agar diwujudkan jawatankuasa teknikal, maka sudah diwujudkan jawatankuasa Teknikal berkenaan yang dipengerusikan oleh Ir. Tuan Haji Ishak Arshad.
Kerja seterusnya yang diputuskan oleh Jawatankuasa di dalam mesyuarat Pembinaan sejak Ogos 2012 ialah mau menjemput YAB. Tan Seri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor  untuk datang merasmikan tapak bagi Masjid  Al-Umm. Peluang untuk mendekati YAB Dato` Menteri Besar Selangor bagi Penulis selaku Pegerusi Pembinaan Masjid Al-Umm dan selaku ADUN Bangi agak mudah, kerana penulis sering berjumpa dengan YAB Dato` Menteri Besar Selangor melalui pertemuan waktu rehat dari Sidang dan bertemu dan bercakap secara langsung dengan beliau di dalam Dewan, juga pertemuan mingguan yang diadakan  d i Dewan Mesyuarat di Tingkat 22 Bangunan Sultan Salahuddin `Abdul Azi Shah dan juga pertemuan bulanan di rumah Rasmi Dato` Menteri Besar Selangor di Bukit Mutiara, Seksyen 17 dalam mana setiap satu kali sebulan pada malam Jumaat diadakan Majlis Ilmu – Membaca kitab Politik Pentadbiran Islam  (Fiqh al-Awlawiyyat) oleh Al-Shaykh Yusof al-Qaradhawi  antara  solat maghrib dan Isya`. Biasanya pada masa makan malam selepas solat Isya` Penulis sering makan semeja dengan YAB Dato` Menteri Besar, semasa bercakap ini pada majlis-majlis di atas Penulis mengambil peluang bercakap dan mengharap YAB Dato` Meteri Besar ke Bangi untuk merasmikan tapak Masjid Al-Umm yang diistilahkan  sebagai `Majlis Mesra Kenduri Kampung`. Yang Amat berhormat setuju datang dan urusan surat menyurat diminta dibuat terhadap Setiausahanya.
Permohonan dibuat dengan secara rasmi dan akhirnya mendapat persetujuan YAB Dato` Menteri Besar. Bersama kehadirannya merasmikan tapak Masjid Al-Umm pada sebelah pagi akan juga merasmikan tapak Sekolah  Agama Sungai Tangkas yang juga adalah usaha ADUN Bangi bersama Ketua Kampung bagi mendapat tapak dan dirasmikan oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor. Tarikh yang dipersetyjui ialah pada 6 Januari 2013 bertempat di tapak Masjid Al-Umm.
Sebagai mematuhi protokol pihak Jawatankuasa telah bermesyuarat dengan pihak Pejabat Daerah Hulu Langat mnngenai program lawatan berkenaan, bahkan dengan pihak MPKj yang dengan kemurahan MPKj telah menaiktaraf jalan dekat tapak masjid, jalan sekolah, bahkan membina tangga semin lebih dari 30 anak tangga untuk YAB Dato` Menteri Besar naik ke atas – Tapak lokasi bagi melakukan perasmian.
Ketiban YAB Dato` Menteri Besar Selangor pada pagi 6 Januari 2013 itu diiringi oleh pasukan pemuda-pemuda bermotor besar dan disambut oleh ADUN Bangi yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm, Tuan Pegawai Daerah, YDP MPKj, Dr. Tajul Ariffin Nordin selaku YDP Prsatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, pegawai-pegawai dan orang ramai.
Dalam ucapannya YAB Dato` Menteri Besar berterima kasih di atas jemputan jawatankuasa ke Majlis Mesra Kenduri Kampung, dengan demikian katanya,  beliau dapat bermesra dengan penduduk. Beliau menyebut bahawa AJK perlu bekerja lebih kuat bagi mendapat sokongan dan derma dari orang ramai yang menurut Dato` Menteri Besar bahawa Masjid Al-Umm akan didirikan dari derma orang ramai. Beliau percaya penduduk Bandar Baru Bangi yang terdiri dari kalangan intelektual bersedia menderma bagi mendirikan masjid tersebut. Puncak dari ucapan Dato` Menteri Besar, bahawa pihak kerajaan Negeri Selangor sedia memberi peruntukan atas dasar dolar to dolar sehingga jumlah RM6 juta. Pengumuman itu disambut baik oleh hadirin.
Sebelum daripada itu ADUN Bangi mengucapkan terima kasih di atas kesudian YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor kerana sudi hadir bagi merasmikan Majlis Mesra Kenduri Kampung. Beliau juga mengharapkan orang ramai yang turut hadir menyokong  projek pembinaan Masjid Al-Umm dan turut menderma bagi membolehkan masjid dapat dibina dengan segera.
Pada majlis itu YAB Dato` Menteri Besar Selangor turut  menerima derma yang disampaikan oleh orang ramai. Selepas itu Dato`  Menteri Besar Selangor melawat Pameran tentang plan  bagi pembinaan Masjid Al-Umm  yang diselanggarakan oleh Yg. Mulia Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad. Kemudian Dato` Menteri Besar diiringi mendaki Bukit melalui tangga ke Tapak Perasmian. Dato` Menteri Besar menandatangani plak yang disediakan dan melihat tapak bagi kawasan Masjid  Al-Umm yang beberapa hari sebelum itu tapak berkenaan telah dibersihkan dan sebahagian tapak diratakan dengan batu-batu kasran.
Majlis berakhir dengan jamuan sebelum Dato` Menteri Besar Selangor itu diiringi termasuk oleh ADUN Bangi ke Sungai Tangkas dan merasmikan tapak Sekolah Agama, Sungai Tangkas yang pada masa itu sedang dibangunkan.
Lawatan YAB  Dato` Menteri Besar Selangor ke Tapak Masjid Al-Umm merupakan tahap penting ke arah permulaan  pembinaan bangunan Masjid Al-Umm yang diharap tidak sampai setahun (sebelum akhir 2013) pembinaan fizikal masjid dapat dimulakan.
Sekian.

February 11, 2018

PERLANTIKAN JAWATANKUASA TEKNIKAL


BBB, 24 Jamadil Awwal 1439H. = 10 Februari 2018M. (Sabtu):
Jawatankuasa permulaan yang telah dilantik pada 4 Februari 2010  sebagaimana telah disenaraikan telah berjaya menguruskan keperluan-keperluan bagi mendirikan sebuah masjid, termasuk gezet tanah, kebenaran dari JAIS-MAIS, membuat permohonan mendirikan masjid dan kebenaran memungut derma bagi mendirikan masjid.
Hingga kepada mesyuarat Bil. 9/2012 bertarikh 14 Mei 2012, beberapa jawatankuasa baru telah ditambah bagi mengukuhkan kedudukan dengan pakar-pakar pembinaan seperti Tuan Haji Ghazali Haji Abbas, En. Omar bin Ja`afar bersama Dr. Tajul Ariffin Noordin sebagai YDP Persatuan Penduduk BBB., Dalam mesyuarat seterusnya En. Omar Ja`afar Pegawai Tadbir UKM, telah mencadangkan diwujudkan jawatankuasa Teknikal bagi mengendalikan pembinaan Masjid al-Umm apabila dibina kelak. Seorang  Ir. dari UKM telah dicadang untuk dilantik dalam jawatankuasa, beliau adalah Ir. Tuan Haji  Ishak bin Haji Arshad. Cadangan Tuan Haji Omar ini diterima Ahli.
Dengan perubahan Jawatankuasa dan mesyuarat pertama jawatankuasa baru (selepas jawatankuasa bemesyuarat selama 16 kali), maka mesyuarat yang baru dengan AJK baru, mulai membuka fail baru dengan mesyuarat pertama Bil 1/2012 (14 Ogos 2012). Mereka terdiri dari:
1)      YB. Dr. Shafie Abu Bakar         - Pengerusi
2)      Tuan Haji Mohd. Nor bin Hj Mohd Yasin (Bendahari)
3)      Tuan Haji Abdul Rahman Daud    AJK
4)      Tuan Haji Ahmad Hasbullah   AJK
5)      Tuan Haji Mohd. Kalok  bin A.Latiff  AJK
6)      YM  Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad
7)      HAJI Omar bin Ja`far
8)      Ir.Haji Ishak bin Haji Arshad  
9)      Tuan Haji Hussin Yunos  - Setiausaha
10)   En. Nik Mohd. Adham bin Nik Anuar (13 Ogos 2012), Setiausaha Kerja.
 Turut hadir:
·         Ir. Mohd. Safari Ahmad (Safari Ingeniuers)
·         Ir.  Mat Simen Mohd Yazid – Safari Ingeniuers)
·         En. Fazri  Suhailan Harun Perunding Azfari M & E.
·         Mohd Solah Ya`kob My Consult
Pada peringkat awal pra-pembangunan fizikal, bahawa perlunya dibentangkan tentang plan awal bagi Masjid Al-Ummn.
Jika dlihat di dalam senarai AJK di atas terdapat  nama YM. Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad. Beliau adalah seorang penduduk  Bandar Baru Bangi dan tinggal tidak  jauh dari Surau Damai yang tidak jauh dari tapak Masjid al-Umm. Oleh kerana beliau adalah seorang arkitek, maka kawan seperti Tuan Haji Mohd. Kalok bin  A.Latiff yang juga tinggal di kawasan berdekatan Surau Damai sebagai AJK beliau telah mencadangkan agar YM Tuan Ir Raja Fuaddin  dimasukkan sebagai AJK Pembangunan Masjid al-Umm. Maka di dalam mesyuarat AJK beliaulah yang dicadangkan bagi menyediakan plan bagi Masjid al-Umm.
Melalui mesyuarat AJK yang baharu Tuan Haji Omar Ja`far salah seorang AJK Pembangunan Masjid yang mempunyai banyak pengalaman pembinaan di dalam membina bangunan-bangunan di Kampus UKM, beliau melihat di samping wujudnya jawatankuasa (Induk), perlu adanya satu lagi AJK yang berhubung dengan teknikal. Jawatankuasa ini akan mengendalikan khusus tentang teknik dan pembangunan fizikal. Cadangan ini diterima baik.
Maka pada 9 April 2013 ditubuhkan Jawatankuasa Teknikal yang keahliannya terdiri dari:
1)      Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad – Pengerusi Jawatankuasa Teknikal
2)      Tuan Haji Omar bin Ja`far
3)      Tuan Ar. Haji Raja Fuaddin bin Raja Ahmad
4)      En. Alauddin bin Mokhtar – Safari Ingeniurs.
5)      Mohd Tarmizi bin Muhammad  - Safari Ingeniurs
6)      En. Mohd Syazuan Yusof
7)      En. Zulhilmi bin Abdullah
8)      Haji Marzuki Che Omar
9)      En. Mohd Adham bin Anuar – Setiausaha Kerja.

Pada masa ini Baki Tabung Masjis al-Umm, ialah RM13,700/=). Dalam kata lain, Jawatankuasa Pembinaan Masjid al-Umm pada masa itu kekurangan dana yang kos peminaan pada masa itu telah meningkat dari anggaran awal RM10 juta kepada RM12 juta. Jadi disamping memikirkan soal pembangunan fizikal, Jawatankuasa juga memikirkan bagaimana untuk menambah dana yang kekeringan itu.
Sekian.

February 10, 2018

PENTINGNYA PENGAWASAN - KEPERLUAN TAKMILAH



BBB, 23 Jamadil-Awwal 1439H. = 09 Februari 2018M. (Juma`at):
Pengawasan adalah penting bagi mejamin  sesuatu yang diawasi berjalan di atas jalan yang betul dan boleh sampai kepada tujuan dan hasil yang betul. Ibarat mendidik anak, bagi kebaikannya ianya dididik, dijaga dan diawasi supaya ianya sempurna dan menjadi orang sempurna dan berguna.
Bagi sebuah projek pembinaan, termasuklah masjid, sesudah memilih kontrektor yang difikir berkelayakan membina sebagaimana disediakan oleh arkitek, maka projek yang begitu mahal itu tidak diserahkan begitu sahaja kepada kontrektor, tanpa pengawasan. Perlu diingat  seorang kontrektor yang `tangkap kontrek` adalah bertujuan dari hasil kerja yang dilakukan oleh pekerja-pekerja mereka adalah mendapat keuntungan dari kerja-kerja yang mereka lakukan. Siapa yang mau melakukan kerja tanpa keuntungan ?
Perlu juga diingat, bahawa bagi mencapai keuntungan maksimum, maka berbagai cara boleh dilakukan dengan secara wajar atau tidak wajar. Misalnya dengan membeli bahan-bahan batu bata yang lebih murah dan kurang baik dari segi mutunya atau melakukan campuran semin yang tidak standard, misalnya lebih pasir dari campuran semin yang sepatutnya dan berbagai cara lagi. Sebab itu untuk mengawasi mutu pembinaan yang diharapkan, pemilik mungkin tidak  tau semua aspek pembinaan atau tidak mempunyai masa untuk memberi tumpuan, kerana ianya mempunyai kerja-kerja lain yang perlu diberi keutamaan. Sebab itu  di dalam pengurusan pembinaan, maka perlu dilantik seperti:
Perunding Kejuruteraan Awam
Kerja-kerja pembinaan melibatkan tapak, penanaman cerucuk, melibatkan struktur bangunan, melibatkan penegakan tiang, struktur bangunan, lantai, dinding,  penegakan bahagian bumbung, tetulang bumbung dan sebagainya. Bagi mengawasi pembinaan berlaku secara betul dan menurut standard piawayan yang dikehendaki, maka perlu dilantik  perunding kejuruteraan awam yang mengawasi semua aspek  yang melibatkan kejuruteraan awam. Jika ada kesilapan atau kerosakan, maka dari awal dapat dikesan dan dibaiki. Ini tidak lain dari menjaga mutu binaan dan tidak lari dari spesifikasi yang ditentukan. Jika ada perkara-perkara yang perlu diubahsuai dan diperbaiki, maka pihak Perunding Kejuruteraan akan berbincang dan memberi nasihat. Pada dasarnya pihak Perunding mengawasi perjalanan pembinaan berlaku menurut sebagaimana di dalam plan arkitek.
Perunding Mekanikal & Elektrical
Sebagai amalan kebiasaan pihak pemilik juga perlu melantik Perunding yang berhubung dengan mekanikal, misalnya penggunaan mesin dan berbagai peralatan yang diperlukan bagi menjalankan pembinaan. Bagi menjamin keselamatan bangunan  persoalan yang berhubung dengan elektrik diberi perhatian agar misalnya pemasangan wayar elektrik bagi sistem letrik dipasang secara sempurna menurut peraturan elektrik yang diamalkan. Ianya tidak boleh bersifat sub-standard. Ianya semestinya tepat sebagaimana dispesifikasinya. Sebarang kesilapan  boleh mengundang bahaya misalnya kebakaran dan sebagainya.
Perunding Juru Ukur Bahan
Pembinaan melibatkan bahan-bahan pembinaan seperti batu, pasir, kayu, semin, dan berbagai-bagai bahan yang diperlukan bagi pembinaan. Membeli keperluan bahan-bahan perlu pihak  yang tahu bahan yang mau dibeli, jumlah sesuatu bahan yang hendak dibeli supaya tidak membeli secara berlebihan atau berlaku kekurangan. Pembelian juga mengawal dari segi mutu dan kos yang sepatutnya. Juru ukur bahan menilai dan membuat pengakuan bahan yang benar-benar yang dikehendaki dan tidak berlaku penukaran bahan kepada yang tidak bermutu dan tepat sebagaimana yang dikehendaki.
Dari segi membina bangunan ini memerlukan sub-sub kontrektor bagi bahagian-bahagian tertentu. Ini berlaku antara kontrektor dan sub-sub yang dibawahnya. Sub-sub ini misalnya ada sub kontrektor dari segi pemasangan paip dan pembetung, sub kontrektor di dalam bidang dekorasi, penyediaan bahan kayu, besi dan sebagainya. Lagi besar projek lagi banyak sub-sub kontrektor dan melibatkan banyak pekerja.
Demikianlah pembinaan yang agak besar dan menelan belanja yang tinggi, maka bagi penyempurnaan pembinaan memerlukan perlantikan:
1)      Arkitek berlesen dan bertauliah
2)      Memerlukan kontrektor yang berjaya
3)      Memerlukan Perunding kejuruteraan Awam
4)      Memerlukan kejuruteraan mekanikal dan Elektrical
5)      Memerlukan Perunding Ukur Bahan.
Dalam pembinaan kos yang perlu ditanggung bukan setakat mencari bahan dan mengupah  pekerja-pekerja seperti kaedah pembinaan biasa, tetapi memerlukan perunding-perunding bagi  menjamin projek pembinaan berjalan secara teratur professional dan menghasilkan binaan siap yang bermutu.
Kos membina melibatkan 70% harga binaan, manakala 30% lagi kepada juru-juru perunding, bahkan cukai GST. Ini menyebabkan harga premis begitu tinggi.
Sekian.

February 9, 2018

TAKMILAH PRA-PEMBINAAN



BBB, 22 Jamadil Awwal 1439H. =  08 Februari  2018M. (Khamis):
Pembinaan bangunan berskala besar yang melibatkan peruntukan dana berpuluh juta ringgit, bahkan berbilion  perlu kepada ketelitian. Ini  sebagaimana diperkatakan bermula dari segi penyiapan plan oleh arkitek agar ia menepati dengan kehendak pemiliknya – contoh rumah, sama ada dari segi keluasan, jumlah bilik, ruang tamu, ruang dapur, ruang keluarga, bilik-bilik air dan sebagainya. Begitulah dengan keperluan-keperluan yang lain bagi projek-projek yang besar dan mega.  Jangan lupa bagi sebuah bangunan ada aspek seni dan estetika pada binaan. Ada pemilik memberi tumpuan lebih pada aspek estetika dan sanggup berbelanja lebih bagi memenuhi cita rasa estetika yang mungkin unik dan mencerminkan cita rasa seni dan estetika yang tinggi yang tidak semua arkitek dapat memenuhinya, kecuali yang mempunyai daya seni, kreativiti dan inovasi yang tinggi. Jika seni bina yang melibatkan masjid sudah pasti meurut ciri-ciri masjid dengan perubahan, tambahan, kelainan dari segi seni, kreativiti dan inovasi.
Bagi membina sebuah bangunan sama ada binaan rumah, pejabat atau masjid yang lebih tinggi dari segi kos,istimewa dari segi senibinanya, lain dari yang lain, seharusnya membuat perkiraan bukan saja dari kelas kontrektor yang dia berkelayakan, tetapi juga kemampuan dari segi memenuhi kehendak senibina, kelayakan pekerja-pekerjanya dan pengalaman mereka, di samping kemampuan dari segi kelayakan kewangan. Bayangkan  keperluan kepakaran bagi membina twin towers, membina bangunan moden yang menjadi kemegahan negara dan membina masjid yang yang berciri estetika tinggi dan beridentiti.
Bagi membina sebuah bangunan seperti masjid yang mempunyai plan arkitek yang canggih umpamanya, maka tidak sebarang kontrektor yang belum tahu berpengalaman dan berkelayakan menyanggupi untuk membeda sesuatu tender.
Antara ketelitian yang perlu dilakukan sebelum melakukan pembinaan, ialah memilih kontrektor yang paling layak dengan jumlah kos pembinaan yang ditawarkan. Caranya ialah dengan membuat iklan agar maklumat diketahui dan ada kontrektor-kontrektor yang berkelayakan dan berpengalaman memohon. Keluasan penyebaran maklumat bergantung kepada besar atau kecilnya projek. Jika ianya projek yang bernilai berbiliom ringgit, maka ianya diiklan ke peringkat antarabangsa agar kontrektor-kontrektor pakar melamar. Misalnya mungkin kontrektor besar dari German, Jepun, Perancis, Cina dan sebagainya melamar. Jika  projek adalah sederhana, mungkin cukup di dalam negara sahaja dan jika lebih kecil, maka ianya memada bersifat tempatan, tetapi biasanya selain dari mempunyai kebolehan ``Tangkap Kontrek` dilihat juga pada pengalamannya dan prestasinya berdasarkan kejayaan kontreknya membina binaan-binaan yang telah dihasilkan. Jika rekodnya baik,  maka ianya mungkin dipilih.
Pengiklanan yang dibuat adalah dalam jangka masa  tertentu yang membolehkan maklumat sampai kepada kontrektor-kontrektor dan membolehkan mereka bertindak membeli borang-borang bagi projek yang ditender dan  membuat permohonan dan melengkapkan syarat-syarat yang diperlukan. Berkebiasaan juga jika diketahui ada kontrektor-kontrektor berpengalaman dan  ianya dilihat amat berkelayakan, tidak jarang pula tawaran-tawaran dibuat kepada mereka untuk menghantarkan permohonan dan akan dinilai bersama-sama dengan pemohon-pemohon yang lain.
Dalam membuat iklan, penerimaan untuk mendapat tawaran dan permohonan-permohonan yang dihantar, maka layanan yang dibuat terhadap semua kontrektor  yang memohon hendaklah dilakukan secara adil dan telus. Adalah menjadi kebiasaan, jika tawaran membina kepada kontrektor-kontrektor ini menarik, munasabah dan wajar, sudah tentulah ramai yang memohon hasil dari tender yang dibuat. Semakin ramai pemohon yang membuat permohonan adalah lebih baik, kerana ianya memberi ruang untuk memilih yang terbaik dari berbagai-bagai permohonan.
Biasanya sebelum permohonan dibuat, walaupun maklumat ada pada tawaran tender, tetapi bagi mempastikan kedudukan lokasi seseorang kontrektor yang mau membeda sesebuah projek perlu melihat tapak dan lokasi projek agar lebih jelas kedudukan dan memudahkan membuat anggaran dan berbagai-bagai kemungkinan yang perlu dihadapi. Sebab itu pada kebiasaannya selepas iklan dibuat dan mendapat pertanyaan dari banyak pihak, maka  diadakan sesi penerangan kepada kontrektor-kontrektor yang berminat dan mereka dibawa melihat lokasi binaan agar semua pihak mendapat penjelasan dan membuat tindakan.
Semua proses yang berlaku ialah untuk memberi peluang dan kemudahan tentang maklumat projek dan tidak menimbulkan masalah kemudiannya. Sesungguhnya membina sebuah atau lebih bangunan yang memakan kos yang tinggi, perlu dibuat secara professional dari peringkat awal dan mempunyai procedure standard diikuti dan masing-masing mendapat kefahaman yang jelas sebelum memohon sesuatu projek yang ditender dan diiklankan.
Sekian.

February 8, 2018

RUMUSAN KERTASKERJA



BBB,  21 Jamadil-Awwal 1439H. = 07 Februari 2018M. (Rabu):
Apa yang dibentang dan dibicarakan sebelum ini ialah hasil dari pembentangan spontan oleh pembentang -  Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri terhadap tajuk ``Masjid Memartabatkan Masyarakat – Rujukan Kepada Masjid al-Umm``. Ianya boleh dikatakan sebagai nilai tambah bagi kertaskerjanya.


Rumusan dari kertaskerjanya  yang sepanjang 10 halaman adalah.
Pembentang bertolak dari masjid adalah institusi termulia di dalam Islam, Iantaran ianya merupakan sebagai pusat kegiatan ibadat,  pengajian dan kemasyarakatan.  Sebagai institusi termulia dan banyak fungsinya, masjid didirikan di mana terdapat masyarakat Islam, bahkan ia menjadi landmark dan mercutanda bagi sesuatu tempat yang berperanan memenuhi keperluan masyarakat setempat baik dari segi rohani, pengajian dan kemasyarakatan. Masjid awal yang menjadi contoh umat Islam sejak bermula Islam hingga kini ialah Masjid Quba`, Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi di Madinah. Masjid Madinah berfungsi sebagai tempat ibadat, pengajian, pentadbiran, bahkan tempat perlindungan para muhajirin pada peringkat awal Hirah al-Rasul. Fungsi masjid diteruskan oleh khulafa` al-Rashidin. Masjid terkenal sebagai pusat pengajian pada zaman Kerajaan Umawiyyah ialah Masjid Umayyi di Damshiq, Pada zaman Kerajaan `Abbasiyyah ialah Masjid `Umar ibn al-`Ass di Mesir dan Masjid-Masjid di Basrah dan Kufah yang menjadi pusat-pusat  pengajian terkenal pada zaman kerajaan `Abbasiyyah.
Apa yang diharapkan dari Masjid Al-Umm ?
Pembentang berharap masjid Al-Umm yang kedudukan fizikalnya di tengah-tengah Bandar Baru Bangi.
·         Menjadi pusat pendidikan formal dan tidak formal bagi penduduk Bandar Baru Bangi, iaitu sebagai tempat ibadat, tempat pengajian fardhu `ayn, pembelajaran di dalam berbagai-bagai bidang keilmuan Islam seperti Al-Qur`an, tajwid, akidah, fiqh, tafsir, hadith, bahasa `Arab, sirah adab danberbagai-bagai keilmuan lagi.
·         Oleh kerana Masjid Al-Umm mempunyai jiran paling dekat, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, maka AJK Masjid wajar  menjadikan pelajar-pelajar berkenaan sebagai mad`u untuk melatih mereka bersama pihak sekolah, khusus dari segi pendidikan kerohanian dan akhlak. Pihak Masjid dan sekolah perlu bekerjasama bagi mencapai visi dan misi yang murni. Perbincangan hendaklah  diadakan antara pihak AJK Masjid, PIBG Sekolah Menengah dan Rendah, Pengetua dan Guru Besar bagi merangkakan pendekatan dan program yang dapat bukan saja mengawal mereka, tetapi berperanan sama mendidik mereka. Sebarang perancangan dan program yang baik sudah tentu mendapat sokongan dan bantuan dari ibu bapa pelajar-pelajar dan anak-anak dan dari berbagai pihak.
·         Masjid Al-Umm wajar menjadi Pusat satu Hentian Ilmu dan Masyarakat, masyarakat dapat menimba keilmuan dari masjid dan menjadi rujukan masalah diri, keluarga dan masyarakat. Masjid perlu melengkapkan diri menjadi tempat tumpuan dan rujukan masyarakat. Pentadbir  dan jawatankuasa hendak cekap dan bersifat professional.
·         Masjid juga hendaklah menarik kalangan remaja dan anak-anak muda  ke masjid. Masjid perlu ada jawatankuasa Remaja yang dapat mendekati kalangan remaja misalnya melalui riadhah, sukan, rekreasi dan pertandingan-pertandingan sukan dan kegiatan-kegiatan remaja yang sesuai.
·         Penbentang kertaskerja juga maukan masjid menjadi Pusat Dakwah, Perlindungan, Latihan saudara Baru dan juga bimbingan bagi kalangan yang kurang upaya. Masjid juga berfungsi sebagai institusi kebajikan, misalnya menziarah mereka yang uzur, sakit, bahkan menyampaikan bantuan kepada mereka yang susah, khususnya  pada hari-hari kebesaran Islam.
·         Dalam perkembagan pesat komunikasi moden masjid juga hendaklah bersifat pro-aktif dengan menyediakan kemudahan ICT bukan saja untuk kegunaan masjid, tetapi juga oleh pihak luar seperti bagi kemudahan pembelajaran, khususnya bagi pelajar-pelajar  dan bagi siapa juga yang mau menggunakan kemudahan tersebut.
·         Masjid seharusnya mempunyai CEO yang cekap dalam mengurus hal-hal  masjid dan segala jaringan yang berhubung dengannya.
Sebagai penutup Pembentang maukan masjd mengubah tanggapan salah terhadap masjid, bahawasanya ianya sebagai tempat beribadah semata-mata. Masjid adalah pusat ilmu pengetahuan dan kegiatan masyarakat, selain dari ibadat. Semua pihak digalakkan mengimarahkan masjid. Masjid adalah pusat kecemerlangan darinya terpancar nilai, peradaban dan tamadun Islam dari dahulu hingga kini dan berterusan.
Sekian.