August 14, 2018

PRINSIP KOMUNIKASI BAGI IMAM, GURU DAN NAZIR


PRINSIP KOMUNIKASI BAGI IMAM, GURU DAN NAZIR
BBB, 01 Zulhijah 1439H. = 13 Ogos 2018M. (Isnin):
Di dalam kertaskerjanya, sebelum membicaratentang khutbah dan kuliah dari lima buah masjid dari empat negara, Prof. Dr. Mohd. Yusof Hussein membicarakan tentang prinsip komunikasi yang juga dapat difahami sebagai etika komunikasi. Prinsip atau etika komunikasi ini tidaklah tertentu kepada khatib atau kepada penceramah semata-mata, tetapi dapat diaplikasikan termasuk kepada semua kakitangan masjid, pengerusi atau nazir dan ahli jawatankuasa, bahkan termasuk kalangan guru-guru yang mengajar di masjid. Mereka semua dapat diistilahkan sebagai`Ahli Masjid`, sebagai orang masjid adalah orang yang dipercayai dan bersifat dengan keakhlakan keislaman yang tinggi, kalau tidak mereka tidak berkedudukan sebagai  `Ahli Masjid`.
Pembentang membentangkan sebelas sifat positif yang disertai dengan ayat-ayat Al-Qur`an yang harus ada pada `Ahli Masjid` dan lima sifat negatif.
Sifat-sifat positif yang harus ada pada `Ahli Masjid` ialah,
1) Bercakap benar                                    2) Bercakap berlandaskan ilmu pengetahuan
3) Berbicara dengan lemah lembut      4) Menyeru ke jalan Allah dengan hikmah
5) Bercakap dengan hormat kepada kedua-dua ibu bapa  6) Gunakan perkataan-perkataan yang baik
7) Gunakan hujah yang lebih baik        8) Sesuaikan percakapan dengan tahap pendidikan pendengar
9) Dengan ahli al-kitab hendaklah bersikap dengan cara terbaik  10) Minta bantuan kepada Allah setiap kali mau melakukan tugas komunikasi yang penting    11) Kata mesti sama dengan perbuatan.
Manakala sifat negatif yang harus dihindari pengamal komunikasi
1)      Jangan mengumpat
2)      Jangan memperolak-olak orang
3)      Jangan meninggikan suara bila bercakap
4)      Jangan menyuarakan kata-kata yang tidak sedap didengar
5)      Jangan memaki-maki sembahyang penganut agama yang lain.
Meneliti sifat positif yang seharusnya ada pada pengamal komunikasi dan sifat negatif yang harus dijauhi oleh pengamal komunikasi, sebenarnya ianya adalah sifat-sifat positif yang harus ada pada semua orang Islam dan sifat negatif yang seharusnya mereka jauhi.
Dilihat kepada semua pihak di masjid dari segi komunikasi masjid, maka ianya dari satu dimensi tidak lain dari elemen dakwah yang berlangsung di masjid itu sendiri. Mereka adalah kalangan da`i yang melalui komunikasi masjid menyampaikan dakwah, baik secara langsung atau tidak langsug kepada kalangan mad`u, iaitu para jama`ah masjid dan juga kepada khalayak umum dari kalangan masyarakat. Komunikasi dakwah ini berlangsung secara hal, lisan dan amal.
Dakwah secara hal adalah pembawaan dan peribadi kakitangan dan keluarga masjid adalah disifatkan sebagai orang-orang baik yang dipercayai dan harus dicontohi. Puncak dari tokoh dari segi dakwah al-hal ini yang menjadi lambang utama dari segi hal, ialah para imam yang mereka seharusnya orang yang wara` dan berkeperibadian  tinggi. Pemimpin solat dan segala yang berhubung dengan upacara-upacara keagamaan. Mereka diminta nasihat dan kata-kata mereka didengar dan  diikuti. Di mana saja dia adalah dihormati dan dipandang tinggi. Dia adalah lambang peribadi murni. Watak dan peribadi tingginya dapat dilihat dari segi luaran -  dari segi pakaian seperti berjubah dan berpembawaan dihormati.
Dari segi contoh komunikasi secara lisan dan kalam dapat dilihat kepada perwatakan guru-guru. Mereka lambang kealiman dan mengajar berbagai-bagai keilmuan yang menjadi panduan jama`ah dan masyarakat. Apa yang diajar adalah benar dan diterima masyarakat. Sifat mursyid mereka dari segi pengajaran menjadi tarikan kepada jama`ah untuk menghadiri sesi pengajaran mereka  dan secara langsung dapat memakmurkan masjid. Para guru adalah dari kalangan ulama yang mewarisi  para anbiya` yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat.
Komunikasi dakwah secara amal dapat dilihat kepada kalagan pengerusi atau nazir masjid. Mereka dilihat sebagai orang yang bijaksana dari segi kepimpinan, merangka  berbagai pendekatan dan kegiatan yang dapat memajukan masjid.
Kombinasi antara imam dan kakitangan, guru-guru dan para pentadbir dari pengerusi dan jawatankuasa menjadi kesatuan yang berdaya maju menggerak dan  mengimarahkan masjid.
Sekian.

August 13, 2018

WIBAWA GURU DALAM MENGIMARAHKAN MASJID


WIBAWA GURU DALAM MENGIMARAHKAN MASJID
BBB, 30 Zulkaedah 1439H. = 12 Ogos 2018M. (Ahad):
Selain daripada imam dan pegawai-pegawai masjid, pengerusi atau nazir merupakan sebagai kalangan penting  yang seharusnya berwibawa di dalam mengimarahkan masjid, guru-guru adalah sama pentingnya berperanan di dalam mengimarahkan masjid. Masjid sebagaimana dikatakan bukan sahaja sebagai pusat ibadat, tetapi juga adalah pusat pengajian dan kegiatan kemasyarakatan.
Daya tarikan bagi jama`ah untuk datang berjama`ah di masjid antaranya, kerana pihak pentadbiran dapat mengendalikan pentadbiran masjid dengan baik, manakala  imam-imam dan pegawai-pegawainya dapat menjalankan tugas dengan baik – seperti imam-imam yang baik dari segi bacaan yang menyebabkan jama`ah tertarik untuk datang.
Antara daya tarikan yang kuat ialah dengan adanya pengajaran-pengajaran yang diatur dengan baik. Maksud diatur dengan baik oleh pihak pentadbiran, umpamanya pengajian meliputi dengan berbagai pengajian yang seharusnya diatur di masjid, misalnya ada pengajian-pengajian yang berhubung dengan Al-Qur`an. Ada pengajian aqidah, fiqh, tasawuf,  tafsir , hadith, sirah, ekonom Islam, tahfiz dan sebagainya. Yang paling penting di dalam pengajian ini, bahawa guru-guru bukan saja berkelayakan dari segi kelulusan di dalam berbagai-bagai mata pelajaran yang dianjurkan, tetapi guru-guru bersifat mursyid yang mendalami ilmu yang diajarkan, tetapi mempunyai kemampuan dan daya tarikan yang menyebabkan jama`ah ingin datang mengikuti pengajian-pengajian yang disampaikan.
Bagi pihak pentadbir sememangnya berusaha bagi mendapat guru-guru terbaik di dalam pengajaran bagi setiap pengajian. Mereka dipilih berdasarkan prestasi mereka yang sudah dikenali di dalam kalangan guru-guru. Pihak pentadbir sememangnya inginkan guru-guru terbaik dan inginkan agar ramai jama`ah yang hadir mengikuti pengajian. Semakin ramai yang datang, biasanya makin tinggi mendapat sumbangan dari jama`ah yang hadir mengikuti pengajian.
Sebenarnya pihak pentadbiran yang menganjurkan pengajian-pengajian kadang-kadang menghadapi dilema. Andainya guru yang datang mengajar, kurang mendapat sambutan, maka kurang jama`ah dan kurang derma yang didapati, sedang guru berkenaan terpaksa dibayar menurut rate yang ditentukan. Jika berterusan ianya menjadi beban bagi pihak masjid. Tetapi dari pegalaman yang dialami, untuk mendapat guru yang baik dan terkenal di dalam pengajaran, misalnya di dalam mengajar qira`at Al-Qur`an, maka guru sedemikian mendapat tawaran untuk mengajar diberbagai-bagai tempat, lantaran itu sukar untuk mendapat ruang masa yang dapat dihadiri, bagi yang dapat hadir, biasanya tidak dapat memenuhi jadual sebagaimana diaturkan, bahkan lebih banyak tak datang dari datang, menyebabkan berlaku kekosongan jadual. Dengan ini tidak menyenangkan para jama`ah. Satu masalah yang dihadapi berhubung dengan guru terkenal, bahawa mereka sebenarnya diberi imbuhan oleh pihak masjid tertentu yang kuat dengan kewangan dengan bayaran tinggi setiap kali datang mengajar. Bagi masjid, katakan seperti Al-Umm tidak mampu membayar guru-guru terkenal dengan kadar bayaran yang tinggi dengan secara berterusan. Dari pengalaman mereka yang sedemikian akan hadir untuk satu dua kali dan selepas itu tidak datang lagi.
Dalam hal ini pihak masjid rela mendapat guru yang dapat mengekalkan kehadiran menurut jadual yang ditentukan dan mereka secara ikhlas mengajar dan menerima imbuhan secara sederhana dan bersesuaian. Dengan keadaan ini masjid dapat menawarkan pengajian secara berterusan megikut jadual yang diaturkan dan para jama`ah hadir sebagaimana biasa bersolat jamaah dan mengikuti pengajian secara berterusan. Adalah diharap dengan pengajian-pengajian yang ada dan diusahakan peningkatan dapat menarik jama`ah dan mengharapkan pertambahan.
Satu dilema yang dihadapi masjid, selain dari menyediakan tempat yang selesa, imam yang berwibawa dan pengajaran-pengajaran yang tetap dan mantap, kesukaran mendapat tambahan jama`ah , ialah kerana keliling kawasan masjid dan berdekatan terdapat – bagi Masjid al-Umm ada tujuh surau sekelilingnya. Setiap surau mempunyai kegiatan dan pengimarahan. Bagi penduduk setempat  mereka mempunyai sentimen bagi memajukan surau masing-masing, sebab itu selain sebahagian dari penduduk datang berjama`ah di Masjid Al-Umm, maka sebahagian besar menjadi jama`ah tetap di surau masing-masing.
Walau bagaimana kita bersyukur kerana sebahagian daripada mereka datng ke Masjid Al-Umm, ada yang datang secara bergilir-gilir  di samping sebahagian menjadi jamaah di surau masing-masing. Walau bagaimana masjid akan terus berusaha menyediakan tempat dengan imam dan pegawai yang baik dengan tadbiran teratur dan mengadakan pengajian-pengajian terbaik dari guru-guru yang baik bagi menarik minat jama`ah datang memakmurkan Masjid Al-Umm dengan ibadat dan pengajian secara berterusan.
Sekian.

August 12, 2018

PERSOALAN WIBAWA DALAM KOMUNIKASI MASJID


PERSOALAN WIBAWA DI DALAM KOMUNIKASI MASJID
BBB, 29 Zulkaedah 1439H. = 11 Ogos 2018M. (Sabtu):
Di dalam membicarakan tentang komunikasi masjid Pembentang kertaskerja Profesor Dr. Mohd Yusof Hussain juga membicarakan tentang wibawa di dalam komunikasi masjid yang beliau namakan sebagaiprinsip komunikasi.Sebagaimana maklum bahawa institusi masjid adalah institusi murni yang dipandang tinggi oleh masyarakat dan dihormati. Pimpinan masjid adalah berkedudukan tinggi dalam masyarakat sebaris dengan ketua masyarakat. Masyarakat banyak bergantung pada pimpinan masjid. Pandangan pimpinan masjid diminta mengenai sesuatu persoalan di dalam masyarakat. Jika ada perselisihan, maka fikiran dan usaha untuk mendamaikan diminta dari pimpinan masjid di samping ketua kampung dan masyarakat. Banyak upacara diminta untuk melicinkan diminta dari pimpinan masjid. Misdalnya upacara kesyukuran, maupun kesusahan seperti kematian, bala bencana diminta restu dan do`a daripadanya. Demikian kelahiran, kematian dan berbagai lagi.
Mengapa penghormatan dan kepercayaan diberi kepada pimpinan masjid ? Ini adalah kerana adanya elemen-elemen wibawa yang terdapat  di masjid yang selamanya berada di masjid. Wibawa dan kepercayaan lantaran wibawanya komunikasi antara pihak masjid dan masyarakat. Wibawa yang  terbina di masjid lantaran kedudukan pegawai-pegawai  masjid seperti imam, bilal, pengerusi, setiausaha, bendahari dan jawatankuasa masjid.
Wibawa masjid juga adalah mereka yang ada hubungannya dengan masjid, seperti guru-guru yang mengajar, penyampai kuliah, tazkirah dan pembimbing-pembimbing di dalam berbagai kegiatan masjid.
Antara faktor penting yang dipandang sebagai wibaya masjid, bahawa mereka dipandang hormat kerana berilmu. Pandangan tentang berilmu ini ada perbezaan di antara berbagai-bagai tokoh yang berada di masjid. Yang paling utama dan tonggak bagi masjid ialah imam.
 Istilah imam pada asalnya bermaksud `berada di hadapan` atau `orang yang dikehadapankan` oleh kerana wibawanya, antaranya kerana ianya berilmu dan menjadi ikutan bagi orang ramai. Maksud khusus adalah pimpinan masjid. Seseorang itu tidak dapat diterima sebagai imam, jika tidak ada wibaya dari segi keilmuan.
Seorang imam di sebuah masjid kini sudah menjadi kebiasaan seorang yang lulus dan pemegang ijazah sekurang-kurang pada peringkat ijazah pertama (sarjanamuda) di dalam bidang pengajian Islam. Dia lulus misalnya dariFakulti Islam dalam bidang pengajian Al-Qur`an, hadith atau bidang-bidang yang lain, misalnya  dari Fakulti Prngajian Islam, UKM, Akademi Islam Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Kolej Islam Antarabangsa Selangor. Antrara mereka berkelulusan di dalam pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar Mesir, dari universiti di Jordan, Syria dan sebagainya. Satu kriteria yang penting kini diutamakan imam-imam hafiz yang keluar dari pengajian tinggi yang menawarkan bidang tahfiz.
Imam yang berwibawa bukan saja memimpin solat dengan bacaan Al-Qur`an secara baik, tetapi dari imam imam berkenaan diharap mereka dapat membimbing jama`ah di dalam membaca Al-Qur`an, bahkan mempunyai kelas-kelas pengajaran khusus yang dapat diikuti pada jama`ah termasuk juga bagi anak-anak. Lebih daripada itu para imam yang berilmu ini diharap dapat mengajar keilmuan-keilmuan biasa yang diajar di masjid yang dapat diikuti oleh para jama`ah seperti keilmuanm `aqidah, fiqh, tasawuf, Al-Qur`an, tajwid, sirah dan berbagai bidang keilmuan keislaman.
Sebagai imam dia juga diharap dapat menguruskan keperluan-leperluan amalan  yang bersifat keislaman seperti mengurus kematian, upacata-upacara kemasyarakatan, majlis-majlis tertentu. Imam juga seharusnya seorang yang mempunyai perbadi tinggi yang dihormati di dalam masyarakat. Bilal juga seorang yang berilmu dan baik dari segi suara.
Keperluan keilmuan juga harus ada pada pengerusi dan nazir yang banyak berhubung dengan pentadbiran. Biasanya ianya juga mempunyai rekod perkhidmatan yang baik sebelum menjadi pengerusi masjid seleum bersara dari jawatan, mempunyai hubungan yang baik dengan mastarakat dan disenangi. Mudah memberi pertolongan kepada masyarakat. Manakala setiausaha juga berilmu dan seharusnya seorang yang rajin bekerja dan ikhlas dalam pekerjaan.  Manakala seorang bendahari adalah seorang yang berilmu dan faham dari segi urusan kewangan. Adalah diharap darinya selain dari pandai mencari sumber kewangan dia  diharap mempunyai amanah yang tinggi.
Pendek kata semua ahli jawatankuasa juga seharusnya mempunyai keilmuan dan berkebolehan di dalam bidang-bidang  yang diamanahkan kepada mereka.
Pendeknya jika semua pihak adalah berilmu dan berkebolehan, maka pegawai-pegawai dan ahli jawatankuasa masjid adalah berwibawa, dipandang tinggi dan dihormati. Lebih daripada itu masing-masing dapat menjalankan tugas-tugas dengan baik, maka wibawa masjid dapat dipertingkat dan dihormati.
Sekian.

August 11, 2018

KULIAH SEBAGAI KOMUNIKASI PENGAJARAN


KULIAH SEBAGAI KOMUNIKASI PENGAJARAN
BBB, 28 Zulkaedah 1439H.  = 10 Ogos 2018M. (Juma`at):
Sungguhpun Pembentang lebih memberi tumpuan dari segi komunikasi masjid, ialah terhadap khutbah, tetapi pada bahagian akhir kertaskerjanya juga ditambah dari segi komunikasi masjid ialah `Kuliah`.
Istilah kuliah agak terbuka, ianya boleh bermaksud kepada ceramah, tetapi ceramah ialah ucapan - `Ceramah Agama`, ialah ucapan tentang hal-hal agama.  Biasanya tidak menggunakan kitab sebagai teks pengajaran, jika percakapan ringkas dan padat dan dikaitkan dengan waktu, misalnya maghrib atau subuh, maka biasanya disebut sebagai tazkirah. Tetapi bukan maksud demikian yang dikehendaki oleh pembentang. Kuliah yang dimaksudkan ialah sebagai  `Kuliah Agama` , iaitu `Pengajaran Agama`.. Ini ialah kerana kuliah disampaikan ialah dengan menggunakan teks atau kitab panduan khusus. Walaupun untuk masa yang pendek dan juga panjang.
Ini bererti Pembentang mau menyampaikan bahawa antara komunikasi masjid, selain dari khutbah ialah melalui pengajaran, khususnya pengajaran agama berkitab. Dengan pengajaran berkitab, pengajaran adalah berfokus dari segi bidang dan  topik-topik yang dibicarakan. Pengajaran adalah tersusun dan dapat diikuti oleh pengaji-pegaji secara berpandu dan tersusun dan dapat sama `menadah kitab`
Pendekatan yang digunakan ialah sebagaimana pendekatan komunikasi masjid dengan menyebut satu negara dan diikuti oleh satu negara yang lain. Kuliah yang dimaksudkan ialah:
Kuliah Subuh, Kuliah Maghrib, iaitu dua waktu kuliah yang popular, namun ada lagi kuliah yang dikenali dengan Kuliah Dhuha, Kuliah `Asar atau `Kuliah Wanita` yang khusus bagi muslimat.
Sebagai contoh (Disebut nama guru yang mengajar):
Kuliah Maghrib di Masjid Negara 2 Februari 2018 menggunakan kitab Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Kuliah Subuh di Masjid Al-Sharif pada 10 Februari 2018 dengan menggunakan kitab `Anak Kunci Syurga.
Kuliah Maghrib di Masjid Nasional Surabaya pada 26 Februari 2018 menggunakan kitab Fiqh Dakwah
Kuliah Maghrib di Masjid Darul Ghufran Singapura pada 17 Februari 2018, kitab Hadith-Hadith Pilihan,
Kuliah Muslimat Darul Ghufran Singapura pada 3 Fabruari 2018, Pembentukan Keluarga Cemerlang.
(Tiada contoh dari Brunei).
Demikianlah contoh petikan secara sewenang-wenang dari masjid-masjid di Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Dapat dikatakan bahawa masjid sebagai pusat pendidikan, khususnya keagamaan tidak ada bezanya baik di Malasia, Indonesia, Singapura dan Brunei, bahkan bagi seluruh negara Islam. Bahawa masjid adalah bukan saja sebagai pusat ibadat secara khusus, tetapi ianya adalah sebagai pusat pendidikan dan kemasyarakatan baik di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, bahkan diseluruh negara Islam, malah  di mana saja ada masjid, walaupun  di negara bukan Islam.
Masjid sebenarnya adalah pusat utama bagi  dakwah keislaman. Dakwah yang paling berkesan ialah melalui pengajaran. Kita lihat semua masjid dari empat negera menjadikan masjid adalah pusat dakwah bagi menyampaikan pengajaran Islam. Pengajaran yang disampaikan sebenarnya kepada semua peringkat dari anak-anak kepada remaja, orang tua, kaum muslimin dan muslimat dan bagi sesiapa yang mau menganut agama Islam.
Walaupun berlakui perubahan zaman, tetapi pendidikan masjid terus popular dengan pengajaran yang bersiaft mengajar, kuliah, tazkirah dan bimbingan seperti pengajian Al-Qur`an, tetapi tidak bermaksa kaedah pengajaran moden tidak digunakan, contoh dengan menggunakan alat-alat komunikasi moden.
Mata-mata pelajaran tradisi masih tetap menjadi mata pelajaran yang mantap dan terus diajarkan dan dipelajari seperti pengajian Al-Qur`an, tauhid, fiqh, tasawuf, tafsir, hadith, sirah dan Bahasa `Arab tetap terus menjadi bidang pengajian yang terus dipelajari. Dengan demikian pengajian bidang-bidang keilmuan Islam terus berperanan di dalam menanam keilmuan dan jiwa keislaman kepada umatnya yang terus hidup secara Islam dan mempertahan dan menyebarluaskan Islam.
Sesungguhnya masjid adalah institusi agung yang terus  berperanan menyebarkan Islam.
Sekian.

August 10, 2018

MENELITI TEKS KHUTBAH DI LIMA MASJID TERPILIH


MENELITI TEKS KHUTBAH DI LIMA MASJID TERPILIH
BBB, 27 Zul-Kaedah 1439H. = 09 Ogos 2018M. (Khamis):
Sebagaimana telah disebut, bahawa Penulis kertaskerja Prof. Dr. Yusof Hussein menumpukan kajian tentang komunikasi masjid  terhadap khutbah sebagai komunikasi masjid yang utama.  Khutbah-khutbah adalah dari lima masjid terpilih, iaitu masjid-masjid:
1)      Masjid Negara Malaysia
2)      Masjid Asy-Syarif, Kelang
3)      Masjid Nasional Al-Akbar, Surabaya, Indonesia
4)      Masjid Umar Ali Saifuddin, Brunei
5)      Masjid Darul Ghufran Singapura.
Pemilihan lima masjid ini dapatlah dikatakan sebagai mewakili masjid-masjid di Nusantara.
Khutbah-khutbah yang dipilih adalah khutbah-khutbah yang diterbitkan melalui laman web dari awal Januari  2018 hingga akhir Mac 2018.
Menurut Pembentang:
``Penelitian sepintas lalu ini dilakukan dengan meneliti laman web masjid-masjid tersebut. Saya mengaku kaedah ini tidaklah benar-benar saintifik. Tetapi untuk mendapat kefahaman awal, saya rasa mencukupi.``
Menurut Pembentang.  Ada perbezaan dari penyediaan teks khutbah antara negara. Misalnya di Malaysia disediakan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam, Malaysia (JAKIM) dan juga disediakan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), manakala di Brunei disediakan oleh Kementyerian Hal Ehwal Agama Negara Brunei Darussalam. Di Singapura pula disediakan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Manakala di Surabaya, khatib diberi kebebasan menyusun khutbah dan kadangkala khatib tidak perlu menyediakan teks secara tertulis, tetapi menyampaikan secara spontan mengenai topik  dan isu releven semasa.
Penulis sebenarnya menyenaraikan topik-topik khutbah yang disediakan oleh pihak yang berkuasa dari Januari 2018 hingga akhir Mac 2018 menurut isu yang bersesuaian dengan peristiwa semasa yang isu-isu berkenaan disampaikan menurut perspektif Islam. Pada dasarnya isu-isu yang dibawa tidak begitu berbeza. Antaranya:
·         Awas ancaman mulhidin (Klang)
·         Urgensi pemurnian aqidah dalam pembangunan bangsa (Surabaya)
·         Menjaga kebersihan (Brunei)
·         Tawakkal (Singapura)
·         Pengisian Ramadhan (Malaysia).
Tajuk-tajuk di atas adalah merupakan petikan sewenang-wenang sahaja, tetapi kalau kita teliti bahawa tajuk-tajuk di atas adalah bersesuaian bukan saja bagi satu negara, tetapi bagi semua negara yang dibicarakan. Bahkan Penulis melihat hampir keseluruhan tajuk bagi satu negara, misalnya Brunei, maka ianya adalah sesuai juga diaplikasi keseluruhannya bagi  negara-negara yang lain. Dalam kata yang lain tajuk-tajuk khutbah membicarakan antaranya
·         Pentingnya kemantapan akqidah bagi umat Islam
·         Peristiwa-peristiwa penting dalam Islam yang saeharusnya menjadi panduan
·         Kepentingan ibadat
·         Galakan membuat kebajikan
·         Mengukuhkan perpaduan umat.
Pendek kata topik-topik pembicaraan di dalam negera-negera yang dibicarakan bukan sesuatu yang asing bagi negara yang lain. Ianya membicarakan berbagai-bagai topik dari perspektif Islam. Sedangkan khutbah-khutbah khatib adalah dikawal oleh rukun-rukun khutbah.
Penulis membicatakan bahawa penyelarasan khutbah oleh pihak berkuasa adalah bertujuan mengawal khutbah dari digunakan bagi tujuan yangf tidak sepatutnya. Ianya juga mengawal dari berlaklunya kesilapan, dapat mengawal masa dan dapat menyampaikan pengajaran di dalam tempoh masa yang terhad. Penulis juga membicarakan ada baiknya diberi kebebasan bagi khatib menyusun khutbah, kerana dapat diisi dengan peristiwa atau hal-hal setempat, walau bagaimana tidak semua khatib dapat menyusun khutbah dengan baik dan dengan menyusun sendiri tanpa diteliti oleh pihak lain boleh berlaku kesilapan.
Sekian.

August 9, 2018

KHUTBAH KOMUNIKASI WAJIB DI MASJID


KHUTBAH KOMUNIKASI WAJIB DI MASJID
BBB, 25 Zulkaedah 1439H. = 08 Ogos 2018M. (Rabu):
Penulis kertaskerja `Komunikasi Masjid:  Satu Penilaian` oleh profesor Dr. Mohd. Yusof Hussain di dalam kertaskerjanya memberi penekanan tentang `Komunikasi Masjid` ialah terhadap `Khutbah` yang menjadi  syarat sah bagi mendirikan Juma`at. Khutbah adalah disampaikan kepada jama`ah pada setiap hari Juma`at. Ini bererti khutbah seharusnya didengar oleh setiap yang datang bersolat Juma`1at  pada hari Juma`at. Jama`ah adalah  diberi ingatan oleh Bilal sebelum khatib menyampaikan khutbah supaya semua jama`ah memberi perhatian terhadap khutbah dengan menyebut sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bermaksud:
``Apabila engkau mengatakan kepada sahabat engkau, sedang khatib sedang berkhutbah  ``Diam !` sekalipun, maka laghalah (hilang) pahala Juma`at.``
Ini menunjukkan betapa pentingnya khutbah, tanpanya tidak sah Juma`at, yang  mencuai dari memberi perhatian dengan  bercakap menghilang pahala dan sia-sia solat Juma`at.
Ini memberi erti konsentrasi jama`ah dikehendaki dan memahaminya  adalah dituntut. Ia juga bererti bahawa khutbah adalah saluran menyampaikan maklumat, pengajaran dan nasihat adalah penting.
Khutbah adalah tradisi komunikasi penting di dalam masyarakat `Arab sebelum Islam lagi.  Dua medium penting sebelum Islam bagi orang `Arab dan menjadi khazanah peradaban dan sastera ialah, khutbah dan berpuisi. Khutbah yang menjadi fokus pembicaraan biasanya disampaikan oleh pemimpin `Arab bagi peristiwa-peristiwa penting. Khutbah-khutbah yang penting, sebagaimana puisi dihafal dan diwarisi oleh generasi.  Elemen tradisi yang baik ini diwarisi di dalam Islam, Khutbah menjadi salah satu warisan tradisi budaya dan keilmuan di dalam Islam seperti khutbah Rasulullah s.a.w, pada Hari `Arafah dan khutbah pada Hajjatul Wada`. Namun penerimaan khutbah yang wujud pada zaman sebelum Islam diterima dan diwarisi dengan pengubahsuaian dengan ciri-ciri keislaman. Misalnya di dalam khutbah selain dari mesej yang hendak disampaikan yang harus menjadi fokus pendengaran jama`ah, di dalam khutbah diwajibkan menyertakan didikan, iaitu menyebut perkara-perkara yang menjadi rukun khutbah iaitu:
1)      Memuji Allah
2)      Bersolawat kepada Rasulullah
3)      Membaca petikan dari Al-Qur`an yang biasanya mencerminkan topik pembicaraan dalam khutbah
4)      Bewasiat agar bertakwa kepada Allah
5)      Duduk antara dua khutbah
6)      Berdo`a
Dalam kata lain dalam meyampaikan mesej tertentu di dalam khutbah, jama`ah dididik dengan pendidikan keislaman dan menerima mesej di dalam khutbah berorientasikan Islam. Khutbah pada dasarnya seharusnya sampai kepada setiap lelaki dari kalangan umat setempat sebagaimana di tempat-tempat yang lain. Dengan demikian mesej adalah menyeluruh disampaikan kepada umat pada setiap minggu. Kini komunikasi melalui khutbah adalah lebih meluas, kerana ianya disalurkan melalui media letronik yang dapat diikuti oleh berbagai pihak.
Pentingnya khutbah di dalam Islam, konsep khutbah, bukan saja khutbah yang disampaikan oleh khatib-klhatib melalui mimbar-mimbar masjid, tetapi juga menjadi sebahagian dar kepegarangan. Bermaksud bagi mengarang sebuah kitab, maka pada permulaan bagi sebuah karangan seperti kitab secara tradisi mestilah juga disertai dengan khutbah. Lantaran itu bila kita membaca permulaan bagi sesebuah karangan kitab, maka pada permulaannya ada aspek khutbah dan apa yang seharusnya ada di dalam sesebuah khubah sebagaimana telah disebutkan, bahkan konsep khutbah ini berlaku juga bagi ucapan-ucapan, walaupun tidak disertai dengan rukun-rukun khutbah sepenuhnya. Biasanya ada pujian kepada Allah, salawat kepada Rasulullah dan penyebutan ayat-ayat Al-Qur`an.
Lantaran itu dari segi rukun khutbah adalah bersamaan di mana-mana jua khutbah disampaikan, tetapi mesej yang hendak disampaikan berbeza mengikut situasi,  isu dan kepentingan setempat. Hal inilah yang mau disampaikan oleh pembentang di dalam kertas kerja yang akan dibicarakan.
Sekian.

August 8, 2018

FORUM KOMUNIKASI POPULAR


FORUM KOMUNIKASI POPULAR
BBB, 25 Zulkaedah 1439H. = 07 Ogos 2018M. (Selasa).
Salah satu komunikasi popular yang turut diadakan di masjid-masjid ialah `Forum`.  Dimaksud forum adalah majlis ilmu  (atau maklumat) yang terdiri dari beberapa orang ahli forum yang biasanya antara 2 hingga empat orang  ahli forum (biasanya tiga) yang berada di hadapan khalayak pendengar yang agak ramai. Jika di masjid, maka majlisnya berlangsung di hadapan – ruang solat utama, biasanya para peserta berada di atas kerusi  sebarisan pada meja berhadapan dengan jama`ah. Bersama dengan para panel atau ahli forum ini ialah seorang moderator yang mempengerusikan forum tersebut. Jika forum diadakan di luar masjid, ianya mungkin didirikan khemah-khemah dengan ahli forum berada di atas pentas berhadapan pendengar yang duduk di atas kerusi-kerusi yang disediakan. Forum juga diadakan di di dewan-dewan atau bangunan-bangunan, bahkan di hotel-hotel yang dapat memuatkan peserta dalam jumlah yang ramai.
Forum di dalam masjid juga dilakukan dengan ahli-ahli panel duduk di hadapan pada bahagian hadapan bagi ruang solat di masjid dan para jamaah berada pada ruang berhadapan dengan moderator dan ahli-ahli panel. Forum-forum adalah satu bentuk penyampaian maklumat popular yang biasa diadakan pada pengajian-pengajian tinggi yang ahli-ahlinya terdiri dari para ilmuan yang memperkatakan sesuatu topik popular yang dapat menarik minat orang ramai atau pelajar-pelajar menghadirinya. Masa forum tidak panjang, ahli panel akan membicarakan isu penting, menarik, ilmiah, berfakta dan kadang-kadang disertakan dengan sesuatu yang mencuit perasaan pendengar. Bagi setiap ahli panel diberi peluang bercakap dua kali (round) diakhiri dengan kesimpulan dan penutup.
Kini forum menjadi media komunikasi popular yang menarik minat masyarakat mengikutinya. Popularnya forum ialah sejak saluran tv Satu memulakan forum hal ehwal Islam yang dikenali dengan `Forum Perdana`. Sejarah Forum Perdana ialah bermula pada awal tahun 1990an dan kekal popular hingga sekarang. Pada awal tahun 1990 ini lantaran ada seorang tokoh PTD yang cenderung kepada bidang agama dan sering berucap saecara menarik di dalam majlis-majlis keagamaan, termasuk di masjid-masjid berqiyam al-lail dan majlis-majlis khas. Akhirnya  tercetus ruangan  yang dikenali dengan `Forum Perdana` yang segera menjadi popular yang biasanya diadakan mulai jam 8.30-0.30 pada setiap malam Juma`at.
Popularnya slot Forum perdana ini kerana adanya tokoh pada peringkat permulaan ini iaitu Dato` Dr. Hasan Ali PTD. Dato` Dr. Haron Din tokoh akademik dari  Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan  Dato` Ismail Kamus selaku pendakwah bebas. Ketiga-tiga mereka mempunyai karisma tersendiri. Dato` Dr. Hasan Ali Pegawai PTD yang begitu petah bercakap, Dato` Dr. Haron Din ahli akademik dan terkenal sebagai tokoh perubatan Islam, begitu juga Dato` Ismail Kamus (Lepasan UKM), pendakwah bebas da juga selaku tokoh perubatan Islam. Pada ketika itu mereka tidak menonjolkan diri dalam politik kepartian. Gandingan ketiga-tiga orang ini begitu mantap dan menarik minat melalui forum perdana yang diadakan mengenai berbagai-bagai topik yang dipilih. Dato` Dr, Hasan Ali terkenal dengan kelancarannya bercakap dan bersemangat, Dato` Dr. Haron Din dengan keilmuan agamanya dan Dato` Ismail Kamus dengan ucapan-ucapan yang sering mencuit hati dan ungkapan dan komen-komen spontanya. Mereka membina imej Forum Perdana hingga menjadi satu rancangan paling popular dan diikuti penonton seluruh Nusantara. Forum perdana terus popular, walaupun ahli-ahli pemulanya mulai mengundurkan diri, antaranya kerana keterlibatan diri dengan politik yang tidak sealiran dengan pemerintah dan anataranya uzur kerana sakit. Tapi slot Forum Perdana terus popular kerana terus dapat diisi dengan tokoh-tokoh baru yang mampu bercakap dengan lancar dan menarik dan wujudnya moderator yang berwibawa.
Popularnya bentuk forum menjadi pendekatan yang digunakan di dalam menyampaikan pengajaran, bahkan bagi menarik minat peserta-peserta bagi menghadiri majlis-majlis sambutan seperti Sambutan Maulid al-Rasul dan majlis-majlis keagamaan yang lain. Namun popularnya majlis komunikasi secara berforum ini bergantung kepada:
a)      Popularnya ahli forum bagi sesuatu forum – termasuklah moderatornya
b)      Menarik  atau tidaknya topik forum yang diadakan
c)       Isu  semasa yang melibatkan orang ramai.
Selain dari forum ada beberapa pendekatan komunikasi yang bersifat ilmu seperti konvensyen yang merluukan perhimpunan lebih besar mungkin seharian atau lebih yang di dalamnya berbagai upacara seperti majlis pembukaan, ucapan-ucapan, persidangan, ceramah, forum dan sebagainya. Pendekatan ini jarang digunakan sebagai medium komunikasi di masjid, walau bagaimana Masjid Al-Umm  ada menyediakan ruang konvensyen yang digunakan oleh masjid bila bersesuaian atau disewa oleh orang luar bagi mengadan konvensyen.  Selain dari konvensyen ialah kolokium yang merupakan majlis ilmu yang lebih khusus mengenai aspek keilmuan khusus dan jumlah peserta terhad  hanya kepada mereka yang meminati majlis keilmuan terhad tersebut. Ianya bersifat akademik dan biasanya diadakan pada pengajian-pengajian tinggi.
Sekian.