August 21, 2018

CADANGAN PERKEMBANGAN FIZIKAL MASJID AL-UMM: PERLU PENELITIAN


CADANGAN PERKEMBANGAN FIZIKAL MASJID AL-UMM:  PERLU PENELITIAN
BBB, 08 Zulhijjah 1439H. = 20 Ogos 2018M. (Isnin):
Sebagaimana telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, bahawa Masjid Al-Umm yang berorientasikan ilmu pada masa depan seharusnya menjadi sebagai Masjid Institusi Ilmu. Hasil dari perbincangan sejak 2015 itu sebuah buku tentang perkembangan fizikal Masjid Al-Umm telah disediakan oleh Syarikat Consultan  Ir. Haji Ghazali bin Husin setebal 32 helai.
Proposal yang disetujui bahawa, kawasan yang terlibat dengan pembangunan tamabahan termasuk kawasan Medan Selera (Usahawan), Padang Awam dan kawasan Pasar Basah Bandar Baru Bangi.
Dalam bahagian pengenalan  dicatat, bahawa secara keseluruhan melibatkan tiga tapak yang disebut di atas. Pembangunan dicadangkan:
A.      Kompleks Ilmu
Satu blok 3 tingkat yang  mengandungi:
Aras bawah:  Dataran serbaguna, dewan serbaguna, kelas pengajian, dewan makan dan bilik perbincangan
Aras Satu: Perpustakaan, pentadbiran, kelas pengajian, kelas hafazan Al-Qur`an
Aras Dua: Asrama pelajar muslimin, asrama pelajar muslimat, ruang hafazan dan utiliti.
B.      Kondominium
Satu blok bangunan 19 tingkat yang mengandungi:
Aras Bawah:  Lobi, retail outlet
Aras  1 – 3,  Tempat letak kereta bertingkat,
Aras 4, Kediaman condominium dan sky park
Aras 5 – 7, Kediaman kondominium
Aras 8, Kolam mandi, sky garden, gimnisium, dewan serbaguna, dan kemudahan eksklusif kondominium.
Aras 9 – 18: Kediaman kondominium
C.      Pusat Komersil
Satu blok bangunan 3 tingkat yang mengandungi:
Aras Bawah:  Pasar basah
Aras Satu: Gerai makan
Aras Dua: Kedai
Reka bentuk pembinaan bertujuan mewujudkan kompleks ilmu bagi meluaskan pengajian masjid
Mewujudkan  bahagian kediaman yang melibatkan pelajar, kakitangan dan bahagian komersil bagi menggantikan kawasan pasar sekarang dengan cara yang lebih teratur dan lebih bersih.
Reka bentuk bangunan bagi ketiga-tiga kawasan yang mengalamai perubahan (Medan Selera, kawasan padang dan kawasan pasar).
Kos bagi pembangunan yang dicadangkan adalah sebanyak RM100 juta.
Untuk membangunkan bangunan yang dicadangkan akan melibatkan pihak PKNS bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor. Ianya mungkin melibatkan pihak swasta.
Walau bagaimana perancangan yang dicadangkan oleh pihak consultant dilihat agak luar dari kemampuan masjid.
Cadangan yang lebih realistik ialah berusaha untuk mendapat milik tanah Medan Selera bagi dijadikan bagunan antara sepuluh hingga 15 tingkat yang disambung dengan jambatan ke masjid, kosnya dijangka melibatkan RM 70 juta. Pada bangunan ini ada:
1)      Bilik kuliah,  tutorial dan tahfiz
2)      Bilik-bilik  pensyarah
3)      Aras pentadbiran
4)      Perpustakaan, Bilik IT, dan Bilik pelajar
5)      Asrama pelajar
6)      Kedai buku dan peralatan, pakaian dan berbagai kemudahan pelajar.
7)      Kedai-kedai awam,  restoram dan kedai-kedai makan.
Pasar basah tidak diganggu, terpulang kepada pihak berkuasa tempatan bagi mengangkat tarafnya.
Padang awam juga tidak diganggu, tetapi dipertingkatkan dari segi fizikal bagi diguna oleh pihak masjid dan orang awam.
Perbincangan dan perundingan lanjut perlu dilakukan bagi perkembangan masa hadapan tidak saja melibatkan bangunan fizikal tetapi lebih-lebih lagi dari konsep pengajian agar ianya releven, sesuai dengan keperluan umat dan mendapat sambutan masyarakat.
Sekian.

August 20, 2018

VISI MASA DEPAN MASJID AL-UMM SEBAGAI INSTITUSI ILMU


VISI  MASA DEPAN MASJID AL-UMM SEBAGAI INSTITUSI ILMU
BBB, 07 Zulhijjah 1439H. = 19 Ogos 2018M. (Ahad):
Pada bangunan fizikal Masjid Al-Umm dibina sebagai masjid berorientasikan ilmu dalam mana pada sebahagian besar dari ruang masjid dapat digunakan bagi kegiatan keilmuan. Ianya melibatkan ruang utama bagi solat – termasuk dua serambi kanan dan kiri yang dapat digunakan sebagai ruang terbuka bagi pengajian ilmu. Begitu dengan ruang serbaguna di bawah tanah dapat digunakan sebagai ruang konvensyen bila jumlah kehadiran dalam jumlah yang besar, memuat dalm lingkungan 1,000 secara berkerusi. Selain daripada itu terdapat bilik seminar (dua bilik boleh disatukan), dua bilik kuliah, bilik IT (bilik tahfiz) dan perpustakaan. Bilik mesyuarat juga dapat dijadikan bilik seminar yang dapat memuatkan 100 orang.
Ruang-ruang berkenaan adalah bagi menampung kegiatan keilmuan harian dan pengajian hujung minggu, pengajian berpakej, pengajian tahfiz, seminar bulanan, konvensyen dwi-tahunan, pengajian-pengajian secara kerjasama dengan dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang banyak terdapat di sekitar Bangi dan sebagainya.
Di samping itu Masjid Al-Umm mempunyai visi dan misi masa depan. Dalam perancangannya Masjid Al-Umm berhasrat untuk mencapai tahap masjid berorientasikan ilmu pada tahap `Al-Jami`ah` sebagaimana yang dialami oleh Masjid Al-Qairawan di Maghribi dan Al-Azhar di Mesir yang kedua-dua pusat pengajian Islam ini adalah bermula dengan masjid. Di dalam perkembangannya pengajian akan diubahsuai dengan perkembangan keilmuan moden.
Sebagai sebuah Al-Jami`ah yang bertaraf universiti yang akan menganjurklan berbagai-bagai pengajian bertaraf universiti dengan pelajar-pelajar diterima dari dalam dan luar negara, sudah tentulah ruang yang disediakan di Masjid Al-Umm tidak mencukupi bagi menampung keperluan ruang bagi sebuah pengajian pada peringkat Al-Jami`ah.
Perkara ini disedari oleh Jawatankuasa pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, sebagaimana kesedaran menjadikan Masjid Al-Umm sebagai sebuah masjid berorientasikan ilmu, pada peringkat permulaan dengan menyediakan ruang-ruanmg bagi kegiatan-kegiatan keilmuan, demikian kesedaran mau menjadikan Masjid Al-Umm telah wujud dalam perbincangan berhubung dengan perkembangan fizikal Masjid Al-Umm dan  keperluan kepada perkembangan kepada taraf Al-Jami`ah. Ini dibincangkan serentak dengan pembinaan fizikal Masjid Al-Umm sejak 2015.
Bagi mengisi keperluan di atas memerlukan ruang bagi perkembangan fizikal bagi konsep Al-Jami`ah. Adalah disedari dan timbul cadangan bagi pihak Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimatahan Masjid Al-Umm melihat dua kawasan tanah berdekatan dengan Masjid Al-Umm. Tanah berkenaan ialah:
1)      Tanah bagi kawasan Medan Selera (Medan Usahawan) pada bahagian depan – kanan bagi Masjid Al-Umm yang luasnya lebih kurang  setengah ekar.
2)      Kawasan padang  awam pada bahagian kanan bagi Masjid Al-Umm yang luasnya seluas kawasan Masjid Al-Umm, sebanyak dua ekar. Konsep padang tidak diubah, tetapi dibina sedemikian rupa hingga ianya menjadi konsep padang dan sukan secara teratur di samping ada kompleks bersama dengannya.
Bagi mendapat keizinan bagi penggunaan kedua-dua ruang ini pihak Masjid Al-Umm perlu berbincang dengan pihak  JAIS,  PKNS, Pejabat Daerah dan Kerajaan Negeri Selangor berhubung
dengan cadangan bagi meningkatkan status Masjid Al-Umm sebagai `Masjid Institusi` dan menggunakan ruang Medan Selera dan Padang menjadi sebahagian dari perkembangan Masjid Al-Umm kepada sebuah Jami`ah.
Cadangan ini bukan setakat bermesyuarat, tetapi Plan Pembangunan Fizikal bagi Jami`ah Al-Umm telah diminta oleh Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan, kepada  Syarikat Consultant Haji Ghazali bin Husin menyediakan kertas proposal dan plan pembangunan fizikal bagi kedua tapak berkenaan  dan bersifat integrated dengan Masjid Al-Umm. Peruntukan RM5,000 telah dikeluarkan
bagi menyiapkan  plan berkenaan.
Sekian.

August 19, 2018

PERKARA-PERKARA PENTING DITIMBULKAN DALAM PERBINCANGAN


PERKARA-PERKARA PENTING DITIMBULKAN DALAM PERBINCANGAN
BBB, 06 Zulhijjah 1439H. = 18 Ogos 2018M. (Sabtu):
Pada akhir pembentangan kertaskerja  `Komunikasi Masjid: Satu Penilaian`` oleh Prof. Dr. Mohd. Yusof bin Hussein dan ualasan yang dibuat oleh Prof. Dr. Mahyuddin Yahya, seminar dibuka kepada pertanyaan dan perbincangan.
Ada beberapa perkara ditimbulkan, iaitu tentang bagaimana menarik jama`ah supaya lebih ramai datang ke Masjid Al-Umm.
Cadangan: Meningkatkan mutu pengajaran dengan mejemput guru-guru mursyid.
Jawapan: Memang dijemput. Namun guru-guru mursyid dan popular ini terlalu banyak jemputan. Mereka memang datang menurut jadual yang ditentukan, tetapi selepas beberapa kali, bahkan sekali datang,  mereka tidak lagi datang, walaupun diingatkan. Kemungkinan:
Kurang jama`ah, tidak ketara dari segi pertambahan jama`ah. Ini mungkin mengurangkan semangat untuk mereka hadir seterusnya. Mungkin juga saguhati yang diberi tidak memuaskan. Kita hanya member sekadar RM200/= untuk tempoh pengajaran antara selepas Maghrib hingga Isya`. Sedang seorang guru popular biasanya dibayar antara RM300/= hingga RM500/= bagi sekali kehadiran. Kita tak mampu menyediakan bayaran tinggi. Masjid masih menanggung beban hutang pembinaan.
Faktor yang lain, keliling Masjid Al-Umm ada 6 buah surau yang masing-masing menarik jama`ah, khususnya setempat. Masjid Al-Umm memang menyediakan tempat yang selesa dan menjemput guru-guru setiap hari antara Maghrib-Isya` dan waktu-waktu lain. Kemampuan dari segi kewangan menjadi kekangan untuk membuat bayaran yang di luar dari kemampuan.
Turut ditimbulkan kurangnya kalangan belia terlibat dengan masjid.
Dicadangkan antaranya mengadakan kegiatan sukan.
Kita mempunyai Jawatankuasa Belia. Jawatankuasa yang agak aktif. Sukan seperti badminton dan cadangan table tennis diadakan. Mereka memang giat dan banyak mengadakan kerja-kerja amal kebajikan.
Cadangan mengadakan konsep `Twin-mosque`  sebagaimana kata seorang peserta berkata, sebagaimana diadakan di Amerika.
Cadangan yang baik, mungkin akan dibawa  sebagai salah satu  item dalam mesyuarat.
Ada cadanga supaya masjid  tidak saja menekankan pada pengajian agama dengan menggunakan kitab-kitab sahaja, tetapi patut membincangkan persoalan-persoalan semasa dengan menggunakan buku-buku termasuk tentang Islam secara semasa.  Termasuk menggunakan buku-buku dalam bahasa Inggeris yang dianggap terbaik di dalam membincangkan tentang Islam, bahkan patut juga penyampaian dalam bahasa Inggeris, selain dari bahasa `Arab.
Kita memamngnya menyediakan ruang, bilik seminar, bilik-bilik kuliah dan dewan konvensyen. Kita memang berhasrat mengadakan seminar, kuliah dan konvensyen dan memang berusaha ke arah itu. Bandar Baru Bangi memang mempunyai ramai pakar di dalam berbagai bidang dan kita memang berusaha mau meningkatkan kegiatan ilmiah di Masjid Al-Umm. Namun setakat ini kehadiran bagi seminar bulanan adalah bersifat sederhana. Kita berusaha bagi meningkat jama`ah masjid dan mereka yang meyertai kegiatan-kegiatan ilmiah yang  kita adakan.
Ada cadangan menggunakan laman web bagi mengiklankan kegiatan.
Memang kita menggunakan  media letronik dalam mengiklan kegiatan masjid. Mungkin akan dipertingkatkan dengan kerjasama dengan pihak lain.
Cadangan ditingkatkan mutu khiutbah dan ada badan penapis dan penilai.
Masjid-masjid dikehendakli m,engikuti khutbah yang disediakan oleh JAIS. Kita belum mengadakan solat Juma`at. Kita akan mematuhi peraturan yang dikehendaki apabila dapat mendirikan Juma`at Insya Allah.
Sebagai kesimpulan Seminar `Komunikasi Masjid: Satu Penilaian` adalah berjaya dan banyak maklumat yang disampaikan. Buah-buah fikiran yang disampaikan, begitu juga cadangan-cadangan akan diambil perhatian – Insya Allah. Terima kasih
Sekian.

August 18, 2018

KONSEP KEPELBAGAIAN KEMAJUAN


KONSEP KEPELBAGAIAN KEMAJUAN
BBB, 05 Zulhijjah 1439H. = 17 Ogos 2018M. (Juma`at):
Dalam pembicaraan Prof. Dr. Mahyuddin terhadap kertaskerja Prof. Dr. Yusof Hussein dan kegiatan ilmiah yang dianjurkan oleh pihak Masjid Al-Umm, beliau menimbulkan tujuan kegiatan – termasuk yang berkaitan dengannya, misalnya kegiatan ilmiah di pengajian tinggi, beliau menimbulkan tujuan  -  Visi dan misi dari kegiatan sedemikian.
Dengan menimbulkan persoalan yang sedemikian, beliau memberi pandangan berhubung dengan tujuan adalah bagi mencetuskan  apa yang disifatkan sebagai kemajuan. Beliau bertanya, banyak istilah yang memaksudkan dengan kemajuan antaranya katanya ialah:
Hadharah, peradaban, tamadun dan `umran (`imarah).
Menurut Profesor Dr. Mahyuddin, sepanjang kajiannya dan terlibat membicarakan kemajuan-kemajuan yang dicapai kelompok, bangsa dan umat.
Beliau berpendapat dan menyatakan sokongan dengan apa yang diistilahkan oleh Ibn Khaldun di dalam bukunya Muqaddimah yang menggunakan istilah kemajuan ialah ``Umran`. Ibn Khaldun  menggunakan istilah ``Umran` bagi menggambarkan kemajuan yang dicapai oleh negara bangsa yang  dia mengkajinya. Beliau berpendapat istilah yang digunakan oleh Ibn Khaldun ini lebih tepat bagi menggambarkan kemajuan dicapai oleh kelompok, puak, negara dan bangsa. Menurutnya beliau kini menggunakan istilah ini di dalam membicarakan kemajuan  negara bangsa – termasuk bagi umat Islam.
Walau bagaimana pendapat berkenaan adalah pendapat peribadi Profesor Dr. Mahyuddin.
Sebenarnya di sana terdapat berbagai istilah yang mencerminkan kemajuan yang setiap satunya mencerminkan sifat dan ciri kemajuan berkenaan. Istilah-istilah seperti:
Hadharah, tamadun, peradaban dan `imarah
Adalah merujuk kepada kemajuan yang  dicapai, tetapi setiap satu mempunyai ciri an perbezaan yang seharusnya digunakan pada tempatnya yang sesuai.
Menyebut hadharah kita teringat dengan istilah `Islam Hadhari` yang digunakan pada zaman  Tun Abdullah Badawi pada zaman beliau mnjadi Perdana Malaysia – Zaman antara Tun Mahadhir pada peringkat pertama hingga zaman  kenaikan Dato` Seri Najib Tun Razak`
Konsep Hadhari lebih memaksudkan kemajuan  kini (hadharah = kini, hadir sekarang). Islam Hadhari ialah `Kemajuan Islam Terkini` yang seharusnya sentiasa segar. Bermaksud juga kemajuan keislaman yang dicapai hingga kekinian.
Adapun tamadun, adalah dapat diasosiasikan dengan istilah `Madinah` yang merujuk kepada `Madinah al-Munawwarah` dan juga kepada sebarang bandar.
Status yang dikatakan Madinah, ialah satu kependudukan yang penduduknya hidup menurut peraturan dan teratur, khususnya dari segi fizikal. Termasuk kemajuan yang dicapai ialah kemajuan peraturan, undang-undang dan kaedah kehidupan yang maju dan adil. Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w. mencapai ciri tamadun lahiri dan rohani yang dilambangkan dengan nama Madinah.
Adapun istilah `Peradaban`  lebih merujuk kepada kemajuan nilai yang dicapai seperti kemajuan keilmuan, etika dan peraturan  yang memaksudkan dengan pencapaian masyarakat berada di dalam kemajuan dan kebahagiaan (bersifat nilai).
Adapun `umran (`Imarah) yang dari pecahan dari istilah ini ialah imarah. Maksud lahir dari istilah ini ialah kemajuan negara kota dengan binaan secara teratur yang melambangkan kemajuan. Tentulah bersamanya ada aturan, nilai dan budaya hidup, agama dan kepercayaan. Ciri sedemikian digambar oleh Ibn Khaldun dalam menggambarkan negara kota  yang disifatkan sebagai kemajuan secara `Imran`.
Masjid Al-Umm menggunakan istikah `mengimarahkan masjid` . Iaitu mengadakan berbagai-bagai kemajuan dari segi ibadat, pengajian dan kegiatan kemasyarakatan yang mana dengan kegiatan ini kita sifatkan mengimarahkan masjid.
Walau bagaimana kita tidak setuju dengan Pengulas yang terpesona dengan istilah `Umran Ibn Khaldun dan mau memasukkan semua kegiatan dan kemajuan di bawah istilah `Umran. Kita berpendapat berbagai istilah ada makna yang membezakannya dari istilah yang memaksudkan kepada kemajuan dan berciri sendiri. Banyaknya istilah berkenaan mencerminkan banyaknya ciri kemajuan dan berpelbagaian yang sekaligun mencerminkan kekayaan tamaduan dan peradaban umm,ah.
Sekian.

August 17, 2018

KONSEP KOMUNIKASI DALAM ISLAM MENURUT PENGULAS


KONSEP KOMUNIKASI DALAM ISLAM MENURUT PENGULAS
BBB,  04 ZulHijah 1439H. = 16 Ogos 2018M. (Khamis):
Profesor Dr. Mahyuddin Yahaya sebagai Pengulas terhadap kertaskerja `Komunikasi Masjid` Satu Penilaian` oleh Prof. Dr. Haji Yusof Hussain. Pembentang Prof. Dr. Yusof melihat komunikasi masjid adalah bersifat dua hala, khususnya antara khatib dan penceramah terhadap jama`ah atau masyarakat.. Bagi prof. Dr Mahyuddin bahawa komunikasi di dalam Islam adalah lebih dari dua hala. Beliau menyebut konsep komunikasi di dalam Islam  dengan merujuk kepada konsep `Hablun min All;ah` dan  konsep  `Hablun min al-Nas`. Menurut beliau konsep komunikasi di dalam Islam ialah komunikasi:
1)      Konsep komunikasi dari Allah
2)      Konsep komunikasi sesama insan
3)      Konsep komunikasi dengan alam sekitar
Pengulas menggunakan istilah komunikasi dengan alam sekitar, iaitu komunikasi bi`ah.
Menurut Prof. Dr. Mahyuddin, komunikasi dari Allah, ialah segala ajaran Islam , baik suruh dan larang yang diterima  dari Kitab Allah dan Sunnah Rasul adalah sesuatu yang  sebati dalam jiwa seseorang Islam. Sebarang komunikasi berlaku ianya melalui tapisan nilai keislaman yang berada di dalam diri seorang. Ianya bukan saja bersifat dua hala, tetapi banyak hala yang interaksi terhadap banyak hala ini juga melalui tapisan  nilai keislaman di dalam diri seorang. Misalnya bila seseorang muslim mau bercakap, dia bercakap benar, kerana tapisan nilai yang berada di dalam diri seorang muslim itu. Dalam kata lain komunikasi seorang muslim membawa nilai dan peribadinya yang menjadi ciri dan perabadi diri, bahkan menjadi identiti baginya. Seorang penceramah muslim msalnya, ianya disanjung dan dihormati kerana ilmu dan peribainya yang diyakini.
Seorang yang tidak dihormati dan tidak diyakini, antaranya  kerana lemah ilmunya dan  tiada diyakini kemampuan dan kebenaran apa yang dibawa. Dalam erti kata  yang lain, lemah nilai komunikasinya kerana rendah kemampuan dan kredibilitinya.
Komunikasi dua hala antara seorang dengan seorang yang lain dan juga dengan jama`ah atau khalayak yang ramai, sebenarnya adalah komunikasi nyata antara dua hala berkenaan, tetapi dari segi dalaman, ia juga komukasi yang membawa bersama nilai yang ada pada  pencermah. Dirinya diketahui oleh jama`ah, misalnya dari  segi kemampuan ilmunya dan dari segi kemampuan menarik jama`ah yang secara dalaman sudah dinilai masyarakat terhadapnya selaman ini. Manakala pencermah adalah menyampaikan sesuatu dengan  perkara dan keadaan yang sesuai yang  ada paka khalayak sama ada dari segi ilmu dan pengalaman yang ada pada jama`ah atau khalayak.
 Adapun komunikasi secara bi`ah – didikan dan pandangan terhadap alam sekitar dan sekeliling  adalah kesedaran yang tinggi terhadap alam sekitar yang seharusnya  diberi perhatian di dalam komunikasi. Alam sekitar dapatlah diibaratkan sebagai diri besar bagi seseorang yang dia hidup di dalam lingkungannya. Hidupnya adalah hidup dengan lingkungannya. Ia tidak dapat memisahkan diri dari lingkungan. Rosak lingkungan bererti rosak dirinya. Dari kesedaran ini menimbulkan kesedaran bahawa, alam sekitar haruslah dijaga dan dipelihara. Alam sekitar yang baik dan sihat memberi kebaikan dan kesihatan bagi seseorang. Kemusnahan alam sekitar, misalnya  kelil;ingan yang beracun atau kelilingan yang boleh rosak misalnya berlaku gempa dan sebagainya merosakkan seseorang. Kesedaran kini makin jelas dan timbul pada masyarakat tentang perlunya dipelihara alam sekitar. Misalnya alam sekitar yang kotor merosakkan kesiahatan yang berada di dalamnya. Penggondolan terhadap muka bumi misalnya dengan menebang hutan-hutan dan menggodol bukit bukau mengundang kepanasan dan juga banjir yang membawa kemusnahan pada manusia.
Nampaknya konsep komunikasi yang dibawa oleh Pengulas, bukan setakat komunikasi yang menggunakan bahasa semata-mata, tetapi  bersifat keilmuan dan kesedaran yang seharus ada pada masyarakat. Dengan kesedaran sedemikian mencorak cara dan gaya yang seharusnya masyarakat bertindak. Dalam kata yang lain, konsep komunikasi adalah kesedaran yang berlapis, iaitu:
Kesedaran dari nilai tertinggi yang mencorak dan memandunya bertindak terhadap manusia dan alam keliling.
Komunikasi lisan adalah luaran yang keluar bersama di dalam komunikasi lisan ialah nilai, keilmuan dan pengalaman yang disampaikan kepada khalayak yang mempunyai ciri-ciri sedemikian yang menjadikan mereka mengerti dan faham dan bertindak secara bersesuaian.
Alam keliling adalah diri kita luaran yang kita tidak terpisah dengannya. Baik buruk diri adalah bersama baik buruk luaran, sebab itu hubungan dengannya hendaklah baik agar hubungan dengan yang lain dapat berlaku dengan baik.
Sekian.

August 16, 2018

KOMENTAR TERHADAP KERTASKERJA `KOMUNIKASI MASJID` - MASALAH ISTILAH


KOMENTAR TERHADAP KERTASKERJA `KOMUNIKASI  MASJID` - MASALAH ISTILAH
BBB, 03 Zulhijah 1439H. = 15 Ogos 2018M. (Khamis):
Kertaskerja yang dibentang oleh Profesor Dr. Yusof bin Hussain bertajuk ``Komunikasi Masjid: Satu Penilaian` di Bilik Seminar Masjid Al-Umm pada  Sabtu 15 Zulkaedah 1439H. bersamaan 28 Julai 2018 itu diulas oleh Profesor Dr. Mahyuddin bin Yahaya dari Universiti Islam Sultan Ali (UNISA) Brunei. Profesor Mahyuddin secara kebetulan pulang bercuti ke Bangi ). Beliau Mantan Pensyarah Sejarah Islam, di Jabatan Sejarah, UKM) sebelum ke Brunei. Penulis mendekatinya dan memohon persetujuan darinya untuk mengulas kertaskerja yang yang dibentangkan oleh Prof. Yusof, al-hamdulillah beliau bersetuju.
Sebelum membuat ulasan beliau membincangkan dari segi istilah. Beliau meyebut bahawa istilah `Masjid` adalah istilah murni yang memang terdapat di dalam banyak tempat di dalam Al-Qur`an dan terakam dalam sejarah. Masjid adalah institusi yang awal diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. apabila Baginda dan sahabat-sahabat berhijrah ke Madinah dengan membina Masjid Quba` dan Masjid Madinah. Dan institusi masjid menjadi inatitusi yang penting di dalam pembangunan ummah. Masjid bukan saja sebagai tempat ibadat, tetapi juga pusat bagi penbdidikan, pentadbiran dan kegiatan kemasyarakatan.
Prof. Mahyuddin bertanya, `Masjid` bererti `Tempat Sujud`, kalau di dalam bahasa `Arab isim makan, seharusnya disebut `Masjad`, tetapi di dalam Al-Qur`an dan dalam sirah disebut `Masjid`, mengapa ?
Menurut Profesor Mahyuddin, ini menunjukkan bahawa `Masjid` adalah nama khas yang bukan saja bermaksud tempat sujud, tetapi berbagai-bagai kegiatan dilakukan di masjid sebagaimana berlaku dalam sirah dan tamadun dan peradaban ummah. Ianya membedakan dari semata-mata sebagai isim makan (Masjad), tetapi nama bagi tempat yang mempunyai konsepsi yang luas (Masjid).
Dengan menanggapi erti masjid dengan konsepsi yang luas, menurut Profesor Mahyuddin, membuka ruang yang luas bagi kita memhami erti masjid dan kaitannya dengan `komunikasi` yang berhubung dengan `Masjid` dengan erti kata yang luas itu.
Berhubung dengan istilah yang berhubung dengan masjid juga, Profesor Mahyuddin juga menyatakan ketidaksenangan beliau berhubung dengan istilah `Sembahyang`, iaitu salah satufungsi dan aktiviti yang berlaku di masjid.
Menurut Profesor Mahyuddin, jika penggunaan istilah sembahyang itu digunakan, lantaran pada peringkat permulaan – dalam keadaan mencari-cari istilah, bolehlah diterima secara sementara.
Menurutnya `Sembahyang` adalah dari istilah Sanskrit yang merujuk kepada kegiatan:
Sembah  = Menyembah
Yang       = Roh nenek moyang
Jadi di dalam istilah `Sembahyang` bercampur aduk yang di dalamnya ada unsur, Sanskrit, Hindu-Buddha dan animisma.
Elemen-elemen di atas adalah tidak sesuai dikekalkan sebagai istilah keislaman.
Sememangnya menurut Profesor Mahyuddin, istilah `Sembahyang` boleh diguna dan memang diguna sebagai istilah ibadat di dalam upacara keagamaan dalam agama Hindu dan Buddha dan amalan keagamaan yang lain.
Beliau menekankan bahawa istilah yang paling tepat ialah istilah `Solat`. Istilah ini termaktub di dalam Al-Qur`an dan digunakan di dalam tradisi keilmuan, pengajaran dan amalan ibadat keislaman. Beliau berharap iatilah `Solat` ini sahaja digunakan di dalam ibadat ibadat solat.
Istilah ini tidak diterjemahkan kepada kata yang lain dan tidak ada istilah yang tepat yang menggambarkan ciri ibadat `Solat` yang  melibatkan lahiri dan rohani. Istlah `Solat` diberi takrif oleh ulama` fiqh sebagai:
``Kata-kata dan perbuatan yang bermula dengan dengan takbir dan berakhir  dengan salam.``
Takrif yang lebih lengkap dengan ditambah elemen rohani adalah:
`Komunikasi lahiri dan rohani antara hamba dengan Allah,  dengan  kata-kata dan perbuatan  menurut rukun-rukun bermula dengan takbir dan berakhir dengan salam.``
Dengan istilah-istilah yang tetap dan tepat  memurnikan ibadat.
Sekian.

August 15, 2018

FOKUS DAN TUJUAN KOMUNIKASI MASJID


FOKUS DAN TUJUAN KOMUNIKASI MASJID
BBB, 02 Zulhijjah 1439H. = 14 Ogos 2018M. (Selasa):
Setelah membincangkan konsep komuniukasi masjid secara khusus dari segi khutbah dan ceramah dan  secara luas yang melibatkan pentadbiran, pegawai-pegawai masjid dan guru-guru yang mengajar berbagai pelajaran, timbul pertanyaan apakah fokus dan tujuan semua yang dilakukan ?
Semua yang dibicarakan tidak lain dari berfokus kepada jama`ah yang lebih luas tidak lain dari mesyarakat umat itu sendiri.
Masjid adalah institusi umat dan masyarakat. Merekalah yang mendirikan masjid. Masjid didirikan bukan sekadar lambang ianya penanda bahawa peduduk setempat sempurna dari segi kependudukan sebagai sebuah kariah, pekan atau bandar. Jika demikian ia mungkin menjadi bangunan, walaupun indah tetapi adalah sebuah kekosongan  yang tidak seharusnya mendukung nama dan imej sebagai sebuah masjid. Masjid adalah sebuah bangunan yang merupakan alat dan infra-struktur yang digunakan bagi mengimarahkan umat dan masyarakat setempat. Konsep `imarah hendaklah dilihat dalam maknanya yang luas. Konsep `imarah bermaksud ma`mur, pembinaan, pembangunan, bahkan peradaban dan tamadun bagi masyarakat. Inilah merupakan fokus dan tujuan bagi komunikasi dari masjid yang dituju tidak lain dari `insan` atau manusia, umat dan masyarakat. Bertujuan bagi mengangkatkan martabat manusia dengan bantuan berbagai infra-struktur  bagi peningkatan kepada darajat. Contoh ketara dari sejarah yang telah berlaku, bagaimana fungsi masjid yang telah didirikan oleh Rasulullah s.a.w. di Madinah yang dapat meningkatkan umat Islam kepada  darajat dari segi ibadat, pembelajaran, pentadbiran dan kemasyarakatan, sehingga masjid Madinah dilihat sebagai pusat segala kegiatan bagi meningkatkan umat Islam kepada umat yang mentadbir, memerintah dan metadbir sebuah negara yang asalnya bernama yathrib kepada sebuah negara kota yang dikenali dengan Madinah.
Masjid bagi sebuah masyarakat umat adalah sebagai pusat bagi pendidikan dan pembangunan umat sejak dari anak-anak membawa kepada remaja dan dewasa.
Masjid dilihat di dalam konteks Bandar Baru Bangi, walaupun tidak dapat dilihat sebagai pusat `Imran`  bagi peradaban bangsa dan umat sebagai masjid di Madinah pada peringkat awal pembangunan dan umran umat, tetapi dari segi fungsinya adalah merangkumi dari segi inspirasi, semangat dan tujuan. Masjid Al-Umm kini  menjadi institusi masyarakat yang dikunjungi oleh semua kalangan masyarakat. Ianya menjadi tempat kehadiran anak-anak dari sekolah rendah dan menengah. Dilihat secara sepintas lalu anak-anak ini datang  ke masjid sebagai tempat  transit dan berihat sebelum memasuki kelas pada sesi pagi dan sesi petang, tetapi kini mereka telah dididik turut sama beribadat dan solat waktu bila tiba masa. Sebahagian daripada mereka duduk-duduk di berbagai ruang mengkaji pelajaran dan berdiskusi sesama mereka. Antara mereka dibimbing  oleh pembimbing-pembimbing mempelajari Al-Qur`an. Kini ruang legar masjid dijadikan tempat guru membimbing pelajaran murid-murid dan pelajar-pelajar mereka. Kini waktu-waktu solat seperti zohor dan asar dipenuhi oleh mereka di samping jama`ah biasa. Masjid sebagai tempat membimbing generasi muda mendekati masjid dapat dicapai, Cuma dari segi penggunaan ruang dan pengisian mungkin dapat diperbaiki dan dipertingkatkan. Perlu kepada perbincangan bagi pendekatan.
Fokus dan tujuan komunikasi masjid terhadap golongan generasi ibu bapa dan orang tua, sebagaimana telah dibincangkan berlaku bukan saja melalui ibadat solat setiap waktu, tetapi pengisian dengan berbagai pengajian pada waktu maghrib hingga Isya`, tazkirah waktu subuh dan bimbingan  dan berbagai pengajian pada waktu siang ialah bagi memenuhi  masjid sebagai pusat ibadat dan pengajian. Segala kegiatan yang dilakukan adalah bagi meningkatkan keilmuan di kalangan jama`ah. Dengan demikian mereka bukan saja dapat menambahkan keilmuan yang bersifat agama, tetapi meningkatkan kualiti ibadat dengan peningkatan keilmuan yang dipelajari.
Sebenarnya pengisian pengajian kepada jama`ah Masjid Al-Umm adalah lebih mencabar. Mereka adalah dari  kalangan masyarakat yang berada di Bangi Bandar Ilmu, tarap pendidikan dan ekspektasi pengajian yang diberi harus bersesuaian dengan mereka yang dianggap dari kalangan intelektual. Cabaran ini dihadapi terutama dari kalangan guru-guru yang mengajar yang seharusnya memyampaikan pengajaran yang sesuai bagi taraf keilmuan dan kebolehan mereka di dalam berbagai-bagai bidang keilmuan. Bukan setakat itu kalangan mereka terutama dari kalangan muslimat terkenal sebagai mereka yang rajin belajar. Mereka mahir di dalam bidang keilmuan yang dipelajari dan mendalam dari segi keimuan tajwid dan bacaan Al-Qur`an. Mereka yang menjadi imam perlu baik dari segi pembacaan hingga kalau dapat tidak keluar kritikan tentang kelemahan imam, dari segi bacaan. Sebagai mereka yang rajin belajar guru-guru juga seharusnya berhati-hati dalam pengajaran sehingga tidak menimbulkan kritikan, Sesungguhnya ada guru yang terpaksa menarik diri bila menyedari mereka tidak disenangi dari segi pengajaran. Dari satu segi suasana ini adalah baik, kerana ia mengingatkan kepada merekla yang terlibat berhati-hati dalam pengajaran dan juga dari segi ibadat dan bacaan. Perkara ini juga menjadi cabaran kepada pentadbir yang menjalankan tadbiran seharusnya dapat memenuhi piawan yang diharap oleh jama`ah yang  sekaligus sebenarnya menuntut satu piawan yang tinggi bagi Masjid Al-Umm di dalam barbagai bidang agar ianya menjadi masjid yang sesuai berada di Bangi Bandar Ilmu yang menjunjung keunggulkan ilmu.
Sekian.