October 24, 2018

PRAGMATISME DR. MAHATHIR ERA PERTAMA, BAGAIMANA ERA KEDUA ?


PRAGMATISME  DR. MAHATHIR ERA PERTAMA, BAGAIMANA DENGAN ERA KEDUA ?
(Fikrah Bangi, 36)
BBB, 15 Safar 1440H. = 24 Oktober 2018M. (Rabu):
Tun Dr. Mahathir adalah pejuang pol;itik sejak zaman muda. Dia yang berkelulusan MBBS dari Universiti di Singapura (1953) pernah bekerja dengan kerajaan dan kemudian membuka Klinik MAHA  di Alor Star. Sejak umur 21 tahun terlibat dengan Umno (1946). Pernah bertanding di Kota Star (1964), berikutnya di Kubang Pasu (1974). Beliau memimpin Pemuda Umno dan seterusnya menjadi Presiden Umno (1981) dan menjadi Perdana Menteri bagi era pertama (1987-2003).
Dr. Mahathir seorang yang pragmatik dan energetik. Beliau tidak senang dengan sikap Melayu yang conservatik dan mundur dan beliau mau merubah mereka kepada bangsa yang maju. Kritik beliau dapat dibaca di dalam bukunya yang berjudul `Malay Dilemma` yang dihasilkan berikut dari peristiwa 13 Mei 1969. Beliau tidak memuja Barat, sebaliknya mencontohi Jepun dengan konsep `Memandang Ke Timur` dengan meletakkan Wawadan Kemajuan yang mau dicapai dengan Wawasan 2020nya.
 Era pemerintahan pertamanya negara mempunyai kekukuhan ekonomi, terutama dari hasil petrolnya. Beliau menggerakkan negara yang bergantung pada pertanian kepada  Negera Industri dengan melancarkan projek `Kereta Proton.  Beliau membina legasinya  dengan membina bina-binaan yang hebat-hebat bermula dengan bangunan  berdekatan dengan stesyen keretapi dekat Masjid Negara (milik Petronas) membawa kepada pembinaan bangunan Twin Tower yang satu ketika dikatakan bangunan tertinggi di dunia. Pada 1990an beliau membina KLIA yang menjadi salah sebuah Lapangan Terbang yang tercanggih di dunia pada masa itu. Puncak dari pembangunan fizikal yang direalisasikan ialah membangun Putrajaya (2001) yang menjadi Pusat Pemerintahan negara Malaysia. Dengan sifat pragmatiknya Dr. Mahathir berjaya memberi impak kemajuan kepada Malaysia dan berjaya mengubah masyarakat Melayu yang konservarif dan berdilemma kepada bangsa yang bergerak ke urban dan bandar dan melalui pendidikan (Beliau pernah menjadi Menteri Pendidikan) masyarakat Melayu yang mundur dapat dimaju dan ditingkatkan melalui pelajaran.  Tidak ada Perdana Menteri Malaysia yang berjaya membawa  Pembangunan dan kemegahan sebagai satu bangsa  dibangga sepertinya  hingga kini. Beliau berundur buat sementara (2003) kerana kemelut yang dihadapinya dan menyerahkan kepimpinan kepada Tun  Abdullah Badawi.
Tidak berpuashati dengan kepimpinan Datuk Seri Najib, beliau kembali ke pentas  politik dan memimpin Pakatan Harapan. Atas paltform Pakatan Harapan beliau dan pasukannya memenangi pilihanraya ke 14 pada 9 Mei 2018 dengan PH (113) dan BN  (79). Dengan kemenangan Pakatan Harapan yang bagi Dr. Mahathir adalah era kedua baginya, apakah Dr.  Mahathir dapat mengulangi atau mengatasi kejayaannya pada era pertamanya. Jawabnya adalah sukar !
Ini ialah kerana berbanding era pertama negara di dalam keadaan segar dari segi ekonomi dan Dr. Mahathir dalam keadaan cergas dan penuh dengan  tenaga dan cita-cita meluap-luap. Ini merupakan katalis bagi kegiatan pembangunannya.
Manakala bagi era keduanya mulai 2018, dari awal lagi Malaysia dilihat dan digambar sebagai orang yang sakit tenat dan uzur. Ketenatan dan keuzuran akibat dari berbagai-bagai penyakit,. Antaranya.
·         Ekonomi negara di dalam keadaan tenat dengan hutang negara  mencecah RM1 trilion.
·         Berbagai-bagai dan bertambah kes rasuah antaranya berprofile tinggi
·         Ada negeri-negeri yang makin lantang menuntut hak, bahkan mau berotonomi
·         Kenaikan harga barangan dan kediaman di luar kemampuan rakyat dan makin meningkat rakyat menderita mental.
·         Gugatan keamanan negara, khususnya dari pendatang luar yang masih belum diatasi.
·         Ditambah cukai SST dan Cuka i baru yang dikenakan dan janji-janji pilihanraya (manifesto)  tidak dapat fitunaikan.
Ibarat sebagai seorang doktor – memang dia doktor perubatan, dalam keadaan sekarang Dr. Mahafhir terpaksa menghadapi berbagai penyakit yang dihadapi oleh negara. Dr. Mahathir terpaksa menggunakan banyak masa bagi membersih, merawat dan memulih penyakit-penyakit berkenaan. Di samping jawapan terpaksa diberi secara wajar dan meyakinkan mengapa projek-projek yang dijangka memberi faedah kepada rakyat dibatalkan seperti lebuh raya, keretapi laju dan sebagainya.
Dr. Mahathir dijangka tidak dapat mengulangi apa lagi mengatasi kejayaan era pertama pemerintahannya, Beliau dijangka banyak menggunakan masa merawat masalah penyakit negara yang dihadapi negara. Beliau juga sebenarnya amat kesuntukan masa.
Sekian.

October 23, 2018

HARAPAN MENANG: MAHATHIR KEMBALI KE JAWATAN PERDANA MENTERI


HARAPAN MENANG: MAHATHIR KEMBALI KE JAWATAN PERDANA MENTERI
(Fikrah Bangi: 35)
BBB, 14 Safar 1440H. = 23 Oktober 2018M. (Selasa):
Kepimpinan Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihanraya ke 14 menghadapi banyak cabaran. Antaranya:
·         PH tidak  dapat selesai didaftarkan dan terpaksa dibubar untuk penyusunan semula
·         Sikap Pas yang dianggap parti terkuat di dalam menarik sokongan orang Melayu enggan menyertai PH kerana tidak  mau bersama antaranya parti yang di dalamnya sering mengecamnya dan  parti yang dianggap derhaka kepadanya. Sebaliknya Pas dituduh pengkhianat  (BH. 4.1.2018: 1) dan dengan kekuatannya Pas mampu berdikari dan bertanding bersendiri.
·         Berlaku pergolakan di dalam PKR  (UM, 26 April 2018: 1)
·         PH bertanding menggunakan lambang PKR. Terpaksa membuat plan B, jika kemungkinan berlaku halangan (Sinar, 14.3.2018: 1).
·         Fokus utama ialah bagi menjatuhkan Dato` Seri Najib. Isu utama ialah 1MDB dan hutang negara.
Sementara itu pemilihan Dr. Mahathir sangat dibimbangi oleh BN. Beliau yang  yang pada permulaan belum diketahui di mana beranding dibuat spekulasi kemungkinan bertanding di  Kubang Pasu kawasan tradisinya di samping Langkawi. Serangan dilakukan terhadap Dr. Mahathir  yang media pada masa itu masih dan (terpaksa ?) condong kepada kerajaan.
Berbagai  serangan terhadap Dr. Mahathir. Misalnya beliau dianggap calon kitar semula (UM, 8.1.2018:1)  bahkan dikatakan, berlaku gelombang penolakan terhadap Dr. Mahathir (UM, 9.1.2018: 1). Terdapat tuduh-tuduhan yang lebih berat yang tidak sesuai dipaparkan di sini.
Melihat kepada media cetak, akhbar-akhbar biasa  dan media letronik kerajaan (tv), pada dasarnya kempen adalah normal bagai biasa sebagaimana pilihanraya-pilihanraya yang lalu. Adalah dijangka BN tidak mampu  dikalahkan, walaupun kemungkinan mengalami kekurangan dari segi kerusi. Namun adalah dikatakan bahawa `Orang Muda` menjuarai kempen dengan menggunakan media baru. Mereka mempunyai rangkaian jaringan yang meluas dan menyeluruh, lantaran itu dikatakan berlaku perubahan menyeluruh. Revolusi senyap ini mendapat tempat dihati rakyat yang merubah sokongan dari BN kepada PH.
Lantaran itu berlaku apa yang dinamakan `Tsunami Rakyat` (Sinar, 10 Mei, 2018: 1).
Dan lahir istilah yang diberi kepada kerajaan baru yang menguasai pemerintahan ,
``Suara Malaysia Baru Di Pentas Dunia``.
Sebelum daripada itu, Dr. Mahathir pada pagi 10 Mei 2018 mengisytiharkan `Harapan Menang dan kesal kerana kelewatan pengumuman SPR (Sinar, 10.5.2016: 2).
Menurut Sinar,
``Pengerusi Pakatan Harapan Tun Mahathir Mohamad menegaskan kemenangan berpihak kepada mereka, walaupun keputusan rasmi PRU 14 lewat diumumkan malam tadi. Beliau yang kecewa dengan kelewatan pengumuman daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) itu berkata ketika sidang media dibuat. Kemenangan Harapan didakwa jauh meninggalkan BN.`` (Sinar, 10.5.2018: 2).
Sememangnya keputusan rasmi kemudiannya menunjukkan bahawa Pakatan Harapan memenangi sebanyak 113 kerusi, manakala BN hanya memenangi sebanyak 79 kerusi, manakala Pas 18 kerusi, Warisan 8 kerusi, manakala Bebas 3 dan Star 1.
Dari kemenangan itu timbul istilah baru yang diberi kepada PH sebagai Suara Malaysia Baharu.
Dengan kemenangan itu Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi kali kedua. Metro mencatat:
``Selepas 15 tahun bersara, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 7 di hadapan Yang Di Pertruan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara jam 9.56 malam tadi. Beliau melakar sejarah menjadi Perdana Menteri sebanyak  dua kali selepas partinya Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke 14 kelmarin.`` (Metro,  11 Mei 2018: 1).
Dan dengan itu  `Sejarah Baru` trercipta di Malaysiayang membuka gerbang bagi  Malaysia Baru.``.
Sekian.

October 22, 2018

SIFAT, CIRI PARTI DAN KEPIMPINAN DALAM PH


SIFAT, CIRI PARTI DAN KEPIMPINAN
(Fikrah Bangi: 34):
BBB 13 Safar 1440H. = 22 Oktober 2018M. (Isnin):
PAKATAN HARAPAN – Kumpulan parti yang mengejutkan negara dengan kemenangannya menguasai majoriti kerusi pilihanraya ke 14 pada 9 Mei 2018 adalah terdiri dari parti-parti DAP, PKR, Amanah dan Bumiputera Bersatu. Bagi mengenali Pakatan Harapan, antaranya ialah mengenali sifat, ciri dan kepimpinan parti-parti dalam komponan Pakatan Harapan.
DAP akronim bagi Demokrat Action Parti ialah parti  tertua dalam PH yang diasas dan dipimpin oleh Lim Kit Siang hingga kini. Sebagaimana namanya iDap memperjuangkan  demokrasi untuk semua. Parti yang kuat dari segi prinsip  ini pada dasarnya untuk semua kaum, tetapi oleh kerana keahlian dan penyokong pada peringkat permulaan terdiri ramai dari kaum Cina, maka dilihat ianya parti orang Cina yang mewakili orang Cina. Hakikatnya parti ini untuk semua rakyat Malaysia. Motto terkenalnya ialah `Malaysian Malaysia` ungkapan yang digeruni musuhnya terutama Umno. Dap pernah dituduh pada peringkat awal penubuhannya dan penubuhan Malaysia, ia adalah proksi dari PAP dari Singapura, kerana Lim Kit Siang pernah berkhidmat dengan parti itu, khususnya dengan Lee Kuan Yu, sebelum pulang ke Malaysia (Melaka) dan Singapura berpisah dari Malaysia (1965). Tuduhan ini tidak berasas. Imej Dap di kalangan masyarakat di Malaysia, makin menyerlah. Ianya makin diterima oleh semua kaum. Sudah ada `Dap Melayu`, bahkan sudah ada Melayu yang sudah memenangi pilihanraya melalui tiket Dap. Lim Kit Siang makin menyerlah dari segi kepimpinan. Dia tunjukkan bahawa dalam masa Dap berkuasa, dia merendah diri dan  tidak merebut sebarang jawatan di dalam kabinet dan kini lebih banyak mendiamkan diri. Pada hakikatnya dia makin dihormati.
Parti yang sama kuat pengaruhnya di dalam PH, ialah PKR bermotto `Keadilan Untuk Rakyat` . Parti ini ditubuh (4.4.1999) kerana kemelut yang dihadapi Anwar dan terpenjara. Anwar terlepas peluang keduanya untuk menjadi Perdana Menteri ke 7, kerana penubuhan PH semasa beliau dalam penjara. Sebagai pemimpin  PKR yang terkuat dalam PH, kiranya beliau tidak di dalam penjara, beliau layak memimpin PH yang beliau  mengetuai PKR yang terkuat. Beliau hanya dibebas selepas PH memenangi pilihanraya dan dipilih secara formal memimpin PKR dan menjadi ahli parlimen bagi kawasan Port Dickson (13 Oktober 2018). Kini Anwar menunggu giliran untuk menjadi Perdana Menteri ke 8, jika tiada kemelut dan perubahan dari ketentuan Tuhan.
Walaupun Dap salah satu komponan terkuat, PKR dilihat memimpin dari  segi kepartian dalam pemerintahan negara sekarang, meskipun Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Parti ini menjadi rebutan untuk menjadi ahli. Parti ini mempunyai ramai tokoh  pemimpin dan pelapis yang bakal meneruskan dominan parti ini di dalam pemerintahan negara.
Berbanding dengan Dap dan PKR, Amanah adalah parti yang lebih muda. Sebagaimana telah disebutkan ia adalah belahan dari Pas. Kumpulan yang  berpecah dari Pas menubuhkan  Amanah  (16.9.2015). Amanah memperjuangkan Islam secara `progresif` dengan motto `Islam Rahmatan lil `Alamin` . Setakat ini tidak jelas falsafah dan konsep Amanah. Beberapa pemimpin tertingginya dilihat bukan pakar di dalam Islam dan teragak-agak di dalam tindakan berhubung dengan Islam. Beberapa pandangannya dikecam oleh tokoh-tokoh Islam tanahair. `Ulama` di belakangnya ialah Ustaz Ahmad Awang dan Abdul Ghani Samsudin yang tidak nampak menampilkan diri, khususnya memperkatakan persoalan berhubung dengan Islam. Dapatkah disamakan Amanah dengan Berjasa yang jika tidak kuat dari falsafah dan prinsip boleh membawa kepada kepupusan, meskipun parti ini dikatakan bertambah dari segi keahlian.
Tun Dr. Mahathir adalah tokoh bernasib baik kerana kewibawaan kepimpinan, menjadi Perdana Menteri bagi kali pertama (1987-2003). Ketika PH mau menghadapi pilihanraya ke 14 parti Bumiputra Bersatunya masih menghadapi masalah dan terpaksa dibubarkan  (Sinar, 6 April 2018: 1) untuk disusun bagi didaftar kembali. Dalam kepimpinan PH beliau dilihat paling berwibawa dan dapat diterima masyarakat, maka beliau diangkat menjadi Perdana Mentari, manakala Wan Azizah dari PKR parti terkuat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau nampaknya begitu berpuashati dengan kedudukannya.
Deri segi parti Bumiputra Bersatu tidak begitu significant, kerana ianya masih membawa trend lama seperti Umno yang dilihat perkauman dan membela `Bumiputra`. Ianya seperti bayangan dari Umno dan mau mengambil alih Umno. Parti ini jika tidak kerana kekuatan kepimpinan semasa Mahathir-Mahyudin, sukar diterima sebagai parti pilihan bagi seluruh rakyat Malaysia seperti PKR dan Dap. Dia tidak boleh bersendiri untuk memerintah kecuali di dalam komponan seperti di dalam PH sekarang.
Inilah realiti, wajah dan imej serta identiti PH yang di dalam pembinaan. PKR dan Dap mempunyai kekuatan dari segi falsafah dan bersifat multirasial. Namun melalui pakatan dalam PH, kekuatan berkenaan dapat mempersatukan yang lain selagi solidaritinya teguh dan tidak berlaku perpecahan sebagaimana dihadapi Umno sekarang dan komponannya yang lain.
Sekian.

October 21, 2018

MEMAHAMI KERAJAAN PAKATAN HARAPAN


MEMAHAMI  KERAJAAN PAKATAN  HARAPAN
(Fikrah Bangi:  33):
BBB, 12 Safar 1440H. = 21 Oktober 2018M. (Ahad):
Pemrintahan negara selama ini (61) tahun sejak kemerdekaan (1957) adalah dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) yang di dalamnya terdapat berbelas parti politik bergabung  membentuk  BN yang mendominasi pemerintahan selama ini, tetapi kejutan berlaku dengan keputusan pilihanraya pada 9.5.2018 apabila parti-parti yang menentang BN yang dikenali dengan Pakatan Harapan  (PH) memenangi pilihanraya  dengan PH memenangi 113 kerusi dan BN 79. (Perubahan berlaku dari segi jumlah, kerana berlaku lompat parti dan perletakan jawatan).
PH adalah baharu, diwujudkan bagi mendepani pilihanraya (Mei, 2018). Tetapi di dalam PH terdiri dari gabungan parti yang lama dan baru. DAP komponan utama bersama PKR sudah wujud seusia dengan Malaysia. Parti ini memperjuangkan demokrasi bagi semua rakyat, tanpa mengira kaum,  manakala PKR relatifnya baru, ditubuhkan dari gerakan penyokong yang membela Anwar Ibrahim yang terpenjara kerana `Kes Liwat`. Penyokong berhimpun di Hotel Rannaisance, Kuala Lumpur pada  4 April 1999. Perhimpunan dirasmikan oleh Wan Azizah Ismail,  Isteri Anwar Ibrahim. Pada hari itu tertubuhlah  PKR dan bermulanya pendaftaran ahli. Parti Keadilan Rakyat, sebagaimana nama parti, iaitu Keadilan Rakyat bertujuan menuntut keadilan, terutama terhadap Anwar. Nama ini – Tuntut Keadilan  terus sesuai sebagai  motto parti yang berjuang bagi menuntut keadilan rakyat secara berterusan.
Sebuah lagi parti, ialah parti Amanah Negara, parti ini adalah belahan dari Pas. Satu kelompok – antaranya intelektual dan professional  yang tidak berpuashati dengan kepimpinan Pas yang dianggap konservatif  dan tidak mau meneruskan penyertaan di dalam Pakatan Rakyat (Pendekatan dirintis oleh Dato` Fadzil Nor), menyebabkan golongan ini berpisah dan menubuhkan parti yang dinamakan Amanah Negara  pada 16 September 2015 diketuai sebagai Presiden ialah Mat Sabu dan Timbalannya Salahuddin Ayob.. Satu kumpulan lagi yang membawa tertubuhnya Parti Bumiputra Bersatu, ialah diakibatkan oleh penyingkiran Mahyuddin Yassin dari Timbalan Perdana Menteri dan Umno yang menyebabkan Mahyuddin bergabung dengan Mahathir yang amat  anti Najib dan tidak bersetuju dengan kepimpinan Najib, membawa kepada penubuhan Parti Bumiputra Bersatu. Sehingga kepada hampir pilihanraya parti ini masih menguruskan pendaftarannya.
Sebuah parti lagi yang asalnya bersama dengan Pakatan Rakyat dan bekerjasama sejak pilihanraya 1999 dan makin meningkat sekongan terhadapnya oleh semua kaum (meningkat  dalam pilihanraya 1999, 2008 dan 2013) ialah Pas. Pas mempunyai kekuatan di dalam menarik sokongan orang Melayu. PH amat berharap agar Pas bersama dengan PH, kerana  pengaruh kuatnya di dalam menarik undi Melayu, namun Pas yang tidak sebulu dengan Dap, kerana dianggap pemimpin parti itu sering menyelar Pas dan kepimpinan dan Pas juga menyelar sama Dap, menyebabkan Pas membuat keputusan memasuki pilihanraya Mei 2018 bersendirian. Selepas itu Pas mulai berbaik dengan Umno yang mencetus berbagai spekulasi, bahkan kepimpinan Pas menyatakan, ``Pas mau Najib Kekal` (Sinar, 3.1.2018: 1) . Selain dari Mahyuddin disingkir dari Umno, turut disingkir ialah Shafie Afdhal Menteri Pembangunan Luar Bandar yang mewakili Sabah di dalam Umno. Shafie menubuhkan parti Warisan di Sabah yang akhirnya mengatasi majoriti BN di Dewan Undangan Negeri Sabah dan menguasai Sabah. Kesilapan Najib menyingkir Mahyuddin dan Shafie Afdhal mengurangkan sokongan terhadapnya.
Dengan kemarahan rakyat terhadap Najib dan BN, khususnya isu GST dan peningkatan kos hidup menyebabkan rakyat membuat keputusan mengalahkan BN dan memberi kemenangan PH memerintah.
Pas  sebagai sebuah parti yang kuat dan berpengaruh terutama di kalangan pengundi Melayu dapat  meningkatkan sokongan  dengan mengusai pemerintahan  di Kelantan dan Terengganu dan hampir-hanpir menguasai negeri Kedah yang majoriti masyarakatnya Melayu dan teguh dengan pegangan keislaman. Walau bagaimana Pas yang semasa bersama di dalam Pakatan Rakyat dulu telah bertapak di negeri-negeri Pantai Barat dengan sokongan bukan Melayu dan bukan Islam mengalami kekurangan sokongan  di negeri-negeri yang dahulu Pas mulai bertapak seperti di Selangor, Pahang,  Negeri Sembilan, Perak, Johor, Melaka, Perlis dan Pulau Pinang.
Pakatan Harapan telah menang. PH telah memerintah 5 bulan, kita masih kabur dari segi falsafah kenegaraan PH, arah yang dituju, visi dan misi PH. Walaupun banyak janji yang dibuat, banyak dari janji diakui tidak dapat dilaksanakan.
Bagi memahami Kerajaan PH tidak dapat dilihat pada janji-janji sahaja, tetapi hendaklah dilihat dan dinilai apa yang  telah dan sedang dilakukan.
Sekian.

October 20, 2018

UMNO, SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA - TUNTUT KESETIAAN AHLI


UMNO, SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA – TUNTUT KESETIAAN AHLI
(Fikrah  Bangi: 31):
BBB,  11 Safar 1440H. = 20 Oktober 2018M. (Sabtu):
Setelah berusia 61 tahun Umno mengalami kekalahan pada pilihanya ke 14 dengan hanya mendapat  79 dari jumlah kerusi parlimen 222, ini diikuti oleh sejumlah yang memenangi kerusi berkenaan meletak jawatan dan keluar parti. Ibarat `Sudah jatuh ditimpa tangga`.  Sudahlah kalah` Bekas presiden yang juga Bekas Perdana Menteri diseret ke mahkamah berdepan dengan 25 pertuduhan (Sinar, 21 September 2018: 1, 2 & 3).
Meskipun Dato` Seri Najib tidak lagi memimpin Umno, namun  memberi kesan terhadap imej Umno. Dengan ketiadaan Najib, Umno diharap dapat dipulih kembali di bawah pimpinan presiden baru yang dilantik menggantinya, iaitu Dato`  Seri Zahid Hamidi, malangnya Zahid juga turut terseret ke mahkamah dengan 45 tuduhan  (TV 1, 18.10.2018).
Sebagai Presiden kepada Umno yang sedang giat bersama pemimpin-pemimpin yang lain memulihkan Umno, tentulah kemelut yang dialami oleh Zahid yang dalam proses pengadilan termasuk Najib memberi kesan kepada usaha pemulihan Umno. Inilah ujian besar yang dialami oleh kepimpinan yang mengalami jatuh bangun.  Sebagai contoh Burhanuddin Hilmi pemimpin Pas peringkat awal merengkok dalam penjara dan kesan dari penderitaan yang dialami membawa kepada kematiannya. Ahmad Boestamam pemimpin radikal (memimpin API, PUTERA dan PKMM) merengkok berlamaan dalam penjara yang disifatkan `Malam Memanjang dan berada di dalam neraka !). Tidak kurang contoh apa yang dialami Anwar sendiri  yang keluar masuk penjara. Pejuang sejati lebih banyak mengalami derita dari balasan nikmat perjuangan.  Ramai lagi contoh pejuang  yang berjuang  memerdekakan tanahair. Sejarah mengadili pejuang-pejuang.
Umno sedang mengalami ujian yang pahit. Kita simpati dengan parti tertua dan banyak berjasa bagi kemerdekaan tanahair, pembangunan bangsa, negara  dan agama. Kebanyakan parti yang ada adalah pecahan dari Umno seperti Semangat 46 (pupus), Usno di Sabah (Pupus), PKR dan Bumiputra Bersatu. Umno tidak seharusnya dibiarkan mati beragan. Semua pihak tidak sepatutnya  bergembira melihat penderitaan yang dihadapi Umno sebagai sebuah parti induk.  Sejarah gemilang , sebagai parti kanan perlu dipertahan.  Pendukung-pendukung Umno yang lebih banyak menerima nikmat dari Umno tidak seharusnya membiarkan umno kepupusan. Yang bertindak keluar parti setelah mendapat nikmat daripadanya boleh disifatkan bukan saja tidak mengenang jasa tetapi sebagai penderhaka.
Walau bagaimana di dalam kemelut yang dihadapi Umno ada penegasan yang diberi oleh pemimpin pelapis. Mereka seperti:
Muhammad Hassan Timbalan Presiden Umno
Dr. Noraini Ahmad Ketua Wanita Umno
Ashraf Wajdi Dusuki Ketua Pemuda Umno
Dr. Maslina Harun Exco Pergerakan Puteri Umno
Seluruh kepimpinan Umno Selangor yang memberi komitmen berdiri teguh dengan kepimpinan Umno. Begitu juga Umno dari negeri-negeri yang lain.
Jika  dalam enam dekad, kepimpinan Umno dan ahli lebih banyak menerima nikmat, maka kini  Allah menguji di atas kelalaian dan kealpaan selama ini. Ruang bagi pembaikan, transformasi, inovasi terbuka luas bagi pemimpin-pemimpin pelapis.
Umno menunggu kepimpinan  kreatif, inovatif  dan dedikasi bagi memimpin  `Kebangkitan Kedua Umno`  – Insya Allah.
Sekian.

October 19, 2018

MEMPERBAIKI KELEMAHAN DARI SOLAT JUMA`AT PERTAMA MASJID AL-UMM


MEMPERBAIKI KELEMAHAN DARI SOLAT JUMA`AT PERTAMA MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi: 31),
BBB,  10 Safar 1440H. = 19 Oktober 2018M. (Juma`at):
Bersyukur kepada Allah, kerana setelah melalui tahap persediaan dan tahap pembinaan yang tiap satunya memakan masa 5 tahun, akhirnya pada 4 Oktober 2018 Masjid Al-Umm menerima CCC, didaftarkan dan  dapat mendirikan solat Juma`at pertama di Masjid Al-Umm, iaitu pada Juma`at 12 Oktober 2018 bersamaan 3 Safar 1440.


Sebelum mengadakan solat Juma`at pertama ini gotong royong bagi persediaan Juma`at diadakan pada Ahad sebelumnya (7 Oktober) dengan menumpukan kepada persiapan luar dan dalam dan kebersihan secara menyeluruh dan pada pagi Juma`at pertama  sekali lagi membersih dan menghampar carpet dan sejadah di dalam dan di luar. Walau bagaimana bila diadakan Juma`at kali pertama, iaitu pada 12 Oktober disedari banyak kelemahan yang perlu dibaiki. Antaranya:
a)      Lalulintas –Guna Khidmat RELA
Kelemahan bagi Masjid Al-Umm ialah kekurangan tempat parkir. Tempat parkir di dalam kawasan masjid hanya terdapat 51 ruang parkir rasmi, tetapi jika disusun secara teratur dapat menuatkan sekadar 80 buah kenderaan. Maka bagi kenderaan yang lain terpaksa parking di Medan Usahawan berdepan masjid yang menjadi parkir awam. Selain daripada itu parkir dilakukan di bahu-bahu jalan ke masjid di Jalan 1/3K, Jalan ¼, 1/4A, jalan ke sekolah dan jalan dari Surau Damai ke sekolah. Setakat ini tempat parkir dapat menampung kenderaan yang datang. Bagi mengawal kenderaan yang keluar masuk dan parking, khidmat RELA digunakan. Setakat ini sejumlah 8 tenaga RELA digunakan bagi menjaga lalulintas. RELA juga akan memperkemaskan lagi kaedah kawalan.
b)      Masalah Kebisingan
Masjid Al-Umm berdekatan dengan Sekolah Rendah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi. Mereka ini memberi faedah kepada masjid bagi meramaikan jama`ah dan kegiatan pendidikan. Bagi pertama kali ini jama`ah dari Bandar  Baru Bangi adalah ramai dan memenuhi ruang  masjid, sama ada bahagian sayap kanan dan kiri dan juga bahagian atas. Jumlah melebihi 2,500 orang. Mungkin antara mereka sengaja datang kerana ini Juma`at pertama Masjid Al-Umm an mereka mau tau tentang masjid baru dan keselesaan yang ada padanya. Masalah yang dihadapi ialah kebisingan pelajar-pelajar sekolah, walaupun sudah ditentu pihak yang mengawal, pengawal-pengawal memakai vest, tetapi setengahnya terlepas ke atas dan tidak terkawal. Mereka disetujui ditempatkan disayap kanan masjid dengan diawas oleh pengawas-pengawas  dan juga dari kalangan guru mereka.
c)       Ruang  Solat
Setakat ini ruang solat yang digunakan ialah Ruang Solat utama yang di dalamnya dapat memuatkan sebanyak  1,500  jama`ah
Sayap kanan 500
Sayap kiri 500
Ruang Legar 800
Setakat ini  Ruang Serbaguna aras bawah tanah yang dapat memuatkan 800 jama`ah belum digunakan. Tetapi jika sekiranya ruang-ruang yang digunakan sekarang tidak mencukupi, maka ruang bawah tanah ini kemungkinan akan dibuka. Bahagian di bawah ini disediakan alat TV yang dapat diikuti khutbah dan pengajaran pada ruang utama.
d)      Imam


Diminta mempastikan kemasukan makmum ke ruang kosong dan tidak segera takbir  selepas iqamah sebelum ruang kosong  dipenuhi dan mereka yang di luar sempat masuk dan dapat bersama berjama`ah. Khutbah diminta  agar dipancarkan ke luar agar dapat diikuti oleh kalangan ibu dari rumah mereka, khususnya yang berdekatan. Seeloknya sebelum  solat diperdengarkan ayat-ayat Al-Qur`an sama ada secara life atau rakaman.
e)      Petugas-Petugas
Mereka adalah sekarelawan yang datang bergotong royong membersih masjid, menghampar carpet dan sajadah. Mereka juga akan menyimpan  carpet dan sejadah yang digunakan pada hari Juma`at ke dalam stor.
f)       Pungutan Derma
Ialah dengan menggunakan peti kecil bergerak. Wang yang dipungut diminta dikira pada hari yang sama. Jumlah dapatan hendaklah dipaparkan pada papan kenyataan – termasuk pendapatan harian.
Akhirnya, pihak AJK akan memperbaiki keadaan dari masa ke semasa sehingga ke peringkat memuaskan – Insya Allah.
Sekian.

October 18, 2018

KUASA, DOLAR DAN TITLE


KUASA, DOLAR DAN TITLE
(Fikrah Bangi:  30)
BBB, 09 Safar 1440H. = 18 Oktober 2018M. (Khamis):
Ketiga-tiga perkara di atas menjadi kemegahan di dalam hidup dan ada orang yang hidup memburuinya sepanjang hidup dengan apa cara yang dapat. Di dalam kehidupan kekinian jalan pintas bagi mencapai ketiga-tiga perkara atau sebahagian daripadanya ialah melalui politik ! Ini bukan bererti politik  semata-mata keji, kerana ada yang berjuang melalui politik dengan tujuan murni. Ini berlaku sejak tradisi. Mereka seperti Mat Kilau,  Haji Abdul Rahman Limbong  dan Tok Janggut yang berjuang menentang British dan mempertaruhkan jiwa raga mereka bagi mempertahankan agama dan tanahair. Melalui politik juga tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanah air  mepertaruhkan jiwa raga, mereka seperti Abu Bakar al-Baqir, Dr.  Burhanuddin Hilmi, Tunku Abdul Rahman. Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Razak  dan ramai lagi yang memperjuangkan kemerdekaan tanahair.
Kekuasaan yang dicapai melalui politik yang diwarisi dari pejuang-pejuang yang ikhlas, kadang-kadang menjadi budaya bagi bukan saja bagi mendapat kuasa, tetapi kekayaan dan juga pangkat kedudukan. Kekuasaan yang dicapai melalui politik oleh Umno-Perikatan dan BN telah membentuk budaya, bahawa melalui jalur politik ,memberi jalan mudah bagi mencapai kuasa, kekayaan dan juga gelaran. Ianya berterusan dan menjadi sebati bagi yang mencapai kuasa melalui politik. Adalah dipandang bahawa melalui politik peluang  dan mudah mencapai kuasa, kekayaan dan kedudukan.  Mencapai kedudukan dalam politik, maka pangkat bergolek datang. Kelalaian dengan kuasa, harta dan pangkat ini memualkan rakyat dan tiba-tiba selepas enam dekad berkuasa, maka kekuasaan, peluang kekayaan dan peluang mendapat pangkat dicabut dari mereka, bahkan antara mereka diseret ke muka pengadilan. Dengan seketika kekuasaan yang begitu gah runtuh dan menjadi kerdil sekejap masa. Segala peluang hilang.
Melihat pada kekuasaan baru, sindrom yang berlaku pada kekuasaan yang baru dijatuhkan, nampaknya tidak dijadikan pengajaran, kecuali yang teguh dengan iman dan prinsip. Kita melihat kemenangan dan kekuasaan yang dicapai diluar jangka yang diakui oleh pemimpin tertinggi mereka menjadikan mereka terkejut dengan kekusaan yang diberi. Selama ini mereka yang sama menderita bersama rakyat jelata tanpa harta tiba-tiba diberi jawatan menteri, timbalan menteri dan kedudukan lain lagi  menjadikan mereka kaget dan gugup, tidak biasa dengan kedudukan dan membuat kenyataan, kadang-kadang melucukan, sebelum dapat menyesuaikan diri.
Belum berlamaan masa kita melihat politik sebagai jalan mencapai kuasa, harta dan title kembali menjadi buruan. Di dalam PKR berapa banyak peristiwa perebutan, cabar mencabar, pertentangan fizikal berlaku, bahkan budaya yang berlaku di dalam kerajaan dahulu yang diruntuhkan kembali menjadi benih penyakit di dalam PKR. Seorang pemimpin yang mau merebut jawatan kedua tertinggi di dalam parti berkenaan menuduh berlaku pembelian undi untuk dipilih dengan seharga RM100 bagi satu undi (UM, 17.10, 2018: 1 & 3). Sesungguhnya  yang menawarkan ganjaran dan yang menerimanya dipengaruhi nafsi ammarah yang berada di bawah garisan akhlak keji atau lebih dikenali dengan rasuah. Parti yang relatifnya muda (ditubuhkan pada 4 April 1999) berbanding dengan Umno dan Pas sesungguhnya telah mulai dijangkiti penyakit dalaman (jiwa) yang jika tidak dibendung akan mengulangi  apa yang menjadi budaya dan amalan parti tertua itu. Perebutan dan  perbalahan bagi mendapat peluang  kuasa, kekayaan dan kedudukan secara tidak tertib itu, ialah kerana kurangnya pertahanan dalaman. Sememangnya parti itu tidak menekankan dari segi tarbiah keagamaan dan kerohanian sebagaimana  yang dilakukan di dalam PAS. PKR sesungguhnya tidak mempunyai kekukuhan dalaman, jika sindrom yang menjadi penyakit dalaman ini berterusan, maka lambat laun  PKR juga akan mengalami keruntuhan.
Kekuatan iman dan dalaman tercabar  dan kelihatan mulai berlaku di dalam Amanah yang merupakan belahan dari parti Pas, Sebaik kemenangan yang diterima dengan cara mengejut, bagai dalam mimpi sebahagian daripada mereka terkejut dengan jawatan-jawatan tinggi sebagai menteri dan timbalan menteri, tanpa diketahui apakah jasa yang telah dibuat, tiba-tiba mereka  menadah bintang-bintang yang berguguran ke haribaan ! Sesungguhnya rakyat tersenyum melihat gelagat mereka, bagai anak-anak yang  mendapat mainan yang menyeronokkan  !
DAP yang selama ini kental sebagai pembangkang, tidak kurang juga menerima kejutan. Kini menguasai pusat dan menjawat di dalam jawatan-jawatan tinggi sebagai menteri, timbalan menteri dan berbagai jawatan dan kemudahan. Ada antara mereka ghairah dan tidak tahan dengan kilauan  bintang. Ada antara mereka melanggar pantang, sehingga terpaksa dibuat teguran. Kata Guan Eng,
``DAP not a party going after awards.`` (Star, 15.10.2018: 9).
Ada anggota parti yang kemarut bintang cuba mempertahankan bintang, tetapi akhirnya akur dengan arahan DAP Pusat. Demikianlah DAP yang terkenal kuat dengan disiplin tidak terelak dari menerima tempias sindrom kuasa, harta dan pangkat kedudukan.
Kedudukan dan wibawa seorang pemimpin sejati tidak memerlukan kepada hiasan luaran yang bukan jati diri.
Pelajarilah kepimpinan Lee Kuan Yu, Obama dan beberapa yang lain yang gemerlap dengan kepimpinan dan jati diri !
Sekian.