November 7, 2018

KAGUM MELIHAT KECERDASAN TUN MAHATHIR DALAM USIA LANJUT


KAGUM DENGAN KECERDASAN TUN MAHATHIR DALAM USIA LANJUT
(Fikrah Bangi: 50):
BBB,  29 Safar 1440H. = 07 November 2018M. (Rabu):
Penulis secara kebetulan kelmarin(Rabu 6 Nov.)  petang sekitar jam 3.00 - 4.00 berkesempatan mengikuti Seminar mengenai Pelaburan Di Malaysia  di Jepun yang ucapan Utama yang ringkas dan padat disampaikan oleh Tun Mahathir yang ke Jepun dalam rangka menerima anugerah``Grand Order of the Orders`, iaitu anugerah tertinggi dari Maharaja Jepun yang setakat ini Tun Mahathie  adalah Negarawan Ketiga menerima anugerah berkenaan dari Maharaja Jepun, iaitu selepas Lee Kuan Yu dari Singapura dan Mohand Singh dari India.
Dalam ucapannya Tun Mahathir yang memang diketahui telah lanjut usianya – 93 tahun (1925-2018),kelihatan masih cergas mindanya di dalam menyampaikan ucapan dan lebih kagum lagi menjawab soalan-soalan  para jemputan secara spontan dengan tepat dan padat.
Tun Mahathir bercakap tentang perubahan pemerintahan  di Malaysia secara aman setelah berlalunya 61 tahun pemerintahan yang lalu. Rakyat mau perubahan dan kerajaan baru  menurutnya, setelah berleluasanya rasuah dan rosaknya jentera pentadbiran. Kerajaan lama membuat pinjaman kepada jumlah yang  membebankan kerajaan baru untuk melunaskannya.
Beliau menyebut tentang kemasukan buruh dari luar tanpa tapisan dan memasalahkan dari segi keamanan.
Ketika ditanya  mengenai  polisi kemasukan pelabur luar, beliau menyatakan , ``Kita mengalu-ngalukan kemasukan pelabur luar, khususnya dari Jepun yang ingin melabur di Malaysia. Mereka memberi faedah kepada Malaysia. Mereka boleh melabur dan mendapat keuntungan. Kita mendapat 26% dari keuntungan mereka.  Ketika ditanya berkenaan dengan pendidikan di Malaysia, katanya, ``Kita menggalakkan pengajian di dalam bidang sains dan teknologi dan menggalakkan pelajar kita belajar  di luar negara, termasuklah di Jepun untuk mendapat pengalaman dan teknologi baru. Menurut Tun Mahathir Malaysia mengambil contoh dan pengalaman pendidikan di Jepun dari peringkat tadika hinggalah ke peringkat teknikal dan universiti.
Ketika ditanya mengenai perang perdagangan antara dua gergasi ekonomi dunia, iaitu Amerika dan Cina. Beliau berkata, ``Peperangan berkenaan tidak baik,``  bagaimanapun beliau berharap dari peperangan itu, menyebabkan pelabur-pelabur mengalihkan pandangan mereka ke tempat-tempat lain dan Malaysia berharap antara mereka  datang ke Malaysia dan kita mengharapkan kehadiran pelabur-pelabur termasuk dari Cina dan negara-negara yang lain.
Ketika ditanya, bagaimana kedudukan Asean dan peranan Malaysia dalam hubungan dengan negara-negara serantau ini. Beliau mengakui Asean adalah penting bagi Malaysia, Mereka adalah rakan terdekat dan serantau yang seharusnya berusaha ke arah kemajuan dan kemakmuran  bersama.
Walau bagaimana dilihat, hubungan Malaysia dan Jepun, khususnya sebagaimana tercermin di dalam slogan ``Memandang ke Timur``  dan  ``Wawasan 2020``, khususnya dalam era pertama pemerintahan Tun Mahathir (1987-2003) adalah baik dan melonjakkan  kemajuan Malaysia, tetapi Malaysia janganlah menjadikan Jepun sebagai `Tuan`  berterusan dan terus menagih bantuan. Sudah tiba masanya Malaysia mencapai kedudukan yang sama rata antara Tun Mahathir dengan Santero Abe Perdana Menteri Jepun. Malaysia seharusnya bersifat sebagai Korea yang pada tahun 1960an-hingga 1970an adalah berkedudukan sama dengan Malaysia dan kini mejadi negara yang maju dari segi teknologi, budaya dan sukan dan kini jauh meninggalkan Malaysia.
Malaysia hendaklah mencari kekuatan dan membina jati dirinya sendiri  yang dirumus dari sifat rakyat dan budaya yang multi-rasial. Malaysia seharusnya tidak terusan menjadi pengikut dan pak turut. Malaysia harus melihat pada keadaan sekelilingnya, iaitu Asean. Malaysia hendaklah bangkit bersama mereka dan kalau boleh dilihat sebagai pemimpin di dalam Asean.
Sekian.

November 6, 2018

YANG DILUPA, TERABAI DAN PERMASALAHAN


YANG DILUPA, TERPINGGIR DAN BERMASALAH
(Fikrah Bangi: 49),
BBB, 28 Safar 1440H. = 06 November 2018M. (Selasa):
Dalam usaha PH untuk mengemukakan Belanjawan pertamanya sebaik mungkin, ketara banyak kekurangan yang berlaku. Sebagaimana kata Najib Tun Razak, Mantan  Perdana Menteri,  ``Belanjawan 2019  tidak merangsangkan pertumbuhan ekonomi.`` (BH, 3.11.2018: 19). Dan kata Dato` Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO, ``Bahawa tiada significant dari Belanjawan 2019 dan tidak memberi perhatian pada petani dan nelayan.`` (BH, 3 November 2018: 19).
Dalam hal ini kata Tun Mahathir, ``Untuk tunai janji tidaklah mudah.` (UM, 5.11.2018: 3).
PH yang mau membawa nilai progresif dan pragmatik ini tidak terserlah dalam Belanjawan yang nampaknya bersifat konservatif, hingga nasib terutama nelayan terabai, bahkan dianggap lalai dan lupa. Ini terbukti dari pengakuan yang dibuat oleh Mohd Faiz Fadzil Pengerusi LKIM yang mengaku, tiada peruntukan di dalam Belanjawan 2019 untuk nelayan. Menurutnya, beliau akan berunding dengan Menteri Pertanian, Dato` Salahuddin Ayob, bagaimana boleh diperuntukkan  sebahagian dari peruntukan pertanian kepada nelayan (Berita TV `1, 5.00 petang, 5.11.2018).
Kelalaian juga berlaku terhadap peruntukan subsidi petrol Ron95, 30 sen seliter dengan menghad 100 liter bagi pemilik kereta 1,500 cc. Persoalannya bagaimanakah mekanisme bagi pelaksanaan subsidi ini. Dato` Zainuddin Hamzah Menteri yang mengatur harga minyak secara mingguan pada masa pemerintahan BN berpendapat ianya sukar dilaksana. Banyak masalah akan timbul. Misalnya, minyak yang dibeli dengan kereta dibawah 1,500 cc dapat dikeluarkan kepada yang lebih dari 1,500 cc. Tiada siapa dapat mengawal bagi yang membeli minyak harga murah itu akan dijual secara pasaran gelap. Jika diwajib menggunakan kad, maka kad boleh diselewengkan dan tiada cara mencegah dari dijual minyak yang di bawah harga biasa itu dan macam-macam penipuan boleh berlaku. Yang nyata,  tawaran subsidi dibuat, tanpa memikirkan kaedah perlaksanaan hingga pihak berkuasa meminta masa untuk memikirkan kaedah yang bersesuaian. Ini bererti apa yang dilakukan adalah secara tergesa-gesa, tanpa menyediakan mekanisme bagi melaksanakannya.
Dari satu pihak, di samping yang dilupa, terdapat pihak yang  terpinggir. Menurut  Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man Timbalan Presiden Pas, `` Tiada satu agenda pembangunan yang ketara bagi negeri-negeri Pantai Timur. (BH, 3 November 2018: 19). Beliau berharap keterpinggiran yang berlaku bukan dari agenda politik, oleh kerana negeri-negeri di Pantai Timur  - Pahang, Terengganu dan Kelantan bukan di bawah pemerintahan PH. Beliau berharap akan ada pendekatan  yang dapat dibuat bagaimana negeri-negeri berkenaan mendapat hak dari segi pembangunan.
Datin Seri Wan Azizah Timbalan Perdana Menteri di dalam Berita TV 1, ketika melawat Kelantan dalam rangka  meninjau usahawan wanita di sana (5.11.2018), menyedari tentang diskriminasi terhadap Kelantan dan sebagai mengurangkan rasa bersalah dia mengatakan, ``Bahawa kerajaan Pusat tidak mengabaikan Kelantan``, tetapi jika benar, mengapa kekesalan diperkatakan ? Hakikatnmya negeri-negeri Pantai Timur sememangnya didiskriminasikan. Misalnya menarik balik projek keretapi laju ke Pantai  Timur dikatakan menyelamatkan peruntukan berbilion ringgit bagi Kerajaan Pusat, biarpun dengan projek itu sebenarnya merancakkan pembangunan di Pantai Timur , memudahkan lalulintas dan menguntungkan kerajaan dalam jangka panjang.
Satu masalah besar yang dihadapi kerajaan ialah kekurangan dana. Penghapusan GST secara semerta menghilangkan pendapatan sebanyak RM20 bilion, cukai ganti  GST kepada SST tidak dapat memenuhi keperluan sehingga terpaksa diperkenalkan cukai baru yang tidak begitu jelas  perlaksanaannya. Ini menyebabkan beberapa janji terpaksa tidak dilaksanakan. Contoh penghapusan tol tidak jadi ditiadakan, Cuma dibekukan kenaikan bagi tahun 2019, begitu juga dengan penangguhan bayaran PTPTN  tidak jadi dan pembayaran hendaklah diteruskan dan banyak projek dibatalkan.
Apakah Belanjawan 2019, ibarat kata pepatah. ``Indah khabar dari rupa ?``
Sekian.

November 5, 2018

BELANJAWAN MESRA RAKYAT


BELANJAWAN MESRA RAKYAT
(Fikrah Bangi: 48)
BBB, 27 Safar 1440H. = 05 November 2018M. (Isnin):
Sesebuah kerajaan yang memerintah semestinya mempunyai falsafah, dasar , matlamat, visi dan misi pemerintahannya. PH sebagai kerajaan yang memerintah, meskipun tidak memperlihatkan secara jelas falsafah, dasar, matlamat, visi dan misi pemerintahannya tapi dapat difahami matlamat komponan yang ada di dalam PH, iaitu menegakkan keadilan sebagaimana yang terbayang di dalam PKR, menjaga amanah rakyat sebagaimana yang terbayang di dalam Amanah dan berusaha menyatupadukan rakyat, khususnya dari kalangan Bumiputra bersatu. Yang jelas baik PH atau kerajaan sebelum darinya, tidak mendukung aristokrasi, diktator, sosialis atau komunis. Semuanya adalah mendukung demokrasi. Termasuk di bawah demokrasi ialah keadilan rakyat dan amanah terhadap mandat yang diberi rakyat.Demikianlah melihat kepada belanjawan pertama PH dapat dirumuskan adalah belanjawan mesra rakyat.
Dilihat secara makro bahawa peruntukan  belanjawan sebanyak RM314.5 bilion itu secara keseluruhannya adalah bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Secara mikro sebagaimana dimaklumi, bahawa untuk hidup perlu kepada tiga perkara asas, iaitu makanan, pakaian dan perlindungan. Antara keluhan rakyat yang berterusan bahawa kebanyakan rakyat tidak mampu memiliki rumah kerana harganya mahal di luar dari kemampuan bertbanding dengan pendapatan mereka. Rintihan rakyat diberi keutamaan oleh kerajaan dengan komitmennya yang mau mendirikan sejuta rumah bagi rakyat. Dalam belanjawan  pertamanya (2 November 2018) kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion yang tiap satu rumah adalah seharga RM150,000 bagi mereka yang berpendapatan RM2,300 sebulan. Di samping itu pihak kerajaan menyediakan sebanyak RM1.5 bilion bagi menyiapkan rumah mampu milik.
Antara keperluan asas  yang dapat memberi keselisaan hidup ialah kehidupan yang sihat. Prihatin terhadap rakyat kerajaan menyediakan keperluan menjaga kesihatan, iaitu sebanyak RM100 juta bagi perlinungan kesihatan bagi golongan B40 yang berumur 50 tahun ke atas yang melibatkan  800,000 orang. Malaysia akan mempunyai ramai rakyat berumur lanjut dalam tahun 2020, maka kebajikan mereka diberi perhatian dengan memperkenalkan dana insuran, takaful dan berbagai dana kebajikan.
Jaminan utama bagi kehidupan ialah pelajaran. Adalah menjadi dasar bagi mana-mana kerajaan yang memerintah seharusnya memberi tumpuan kepada menyediakan peluang bagi rakyat mendapat pelajaran secukup dan sebaik mungkin. Tidak ada halangan bagi pelajar berkelayakan  di Malaysia menyambung pengajian ke peringkat tertinggi yang mampu dicapai. Semakin ramai rakyat yang berpelajaran di dalam berbagai bidang semakin meningkatkan negara dari segi kemajuan. Menyedari tentang kepentingan pelajaran ini kerajaan memperuntukkan jumlah tertinggi bagi pendidikan iaitu sebanyak RM60.2 bilion. Iaitu menghampiri satu perlima dari belanjawan negara. Hasilnya negara tergolong dari negera yang mempunyai mutu pelajaran yang tinggi dengan  sejumlah universiti negara ini berada di dalam ranking 100 universiti terbaik di dunia dan negara ini menjadi salah satu destinasi bagi pelajar-pelajar dari luar negara menyambung pengajian.
Berikut dari mutu rakyat yang meningkat dari segi pelajaran, mereka seharusnya mendapat pulangan dari pendidikan yang didapati dengan pendapatan yang mencukupi. Dalam hal ini kerajaan menetapkan gaji minimum di negara ini ialah sebanyak RM1,100 bulanan. Ini melibatkan semua sektor pekerjaan yang berkembang hasil dari kemajuan pendidikan di negara ini.
Salah satu kepentingan moden ialah kemajuan dari segi perhubungan dan komunikasi. Kerajaan menyediakan kemudahan jalanraya termasuk di Sabah dan Sarawak  dengan projek Pan-Borneo (Projek Kerajaan BN dahulu) sepanjang 2,325 km. Lebuhraya merentasi Sarawak dan Sabah yang melibatkan kos sebanyak RM29 bilion. Lebuhraya ini dijangka siap pada tahun 2022.
Bagi kepentingan pengangkutan kerajaan memberi subsidi sebanyak 100  liter sebulan bagi kenderaan di bawah 1,500 cc bagi golongan B40. Di samping kenaikan tol  bagi 2019 adalah dibekukan. Manakala pas bulanan RM100 bagi khidmat rel dan bas rapid KL. Manakala perkhidmatan jalur lebar  dipertingkatkan bagi kemudahan rakyat sebagai media komunikasi moden.
Sebagaimana biasa di dalam masyarakat ada golongan yang susah, bagi mereka kerajaan menyediakan bagi isi rumah yang mendapat antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dengan elaun tambahan sebanyak RM750/= sebulan, manakala bayaran khas bagi penjawat awam gred 54 ke bawah sebanyak RM500/= sebulan.
Demikianlah antara pecahan belanjawan pertama PH yang mencerminkan Belanjawan Mesra Rakyat.
Sekian.

November 4, 2018

PERBELANJAAN PERTAMA PH SECARA BERHATI-HATI


BELANJAWAN  PERTAMA PH SECARA BERHATI-HATI
(Fikrah Bangi: 47)
BBB, 26 Safar 1440H. = 04 November 2018M,. (Ahad):
Belanjawan Kerajaan PH yang dibentang di Parlimen bagi kali pertam (2.11.2018) sejak memerintah (10.5.2019) merupakan sebagai satu yang bersejarah dan menarik untuk dinilai. Belanjawan nampaknya dilakukan secara berhati-hati dan bersifat  ukur baju di badan sendiri. Belanjawan yang menyedari  negara di dalam keadaan berhutang dan kalau boleh tidak mau menambahkan hutang yang sedia ada. Tidak ada projek mega yang dapat menjadi legasi bagi satu kerajaan yang memerintah, bahkan apa yang cuba dibangunkan kerajaan terdahulu cuba ditiadakan. Misalnya pada era Najib, beliau membangunkan infra-struktur pengangkutan dan perhubungan mengikuti era pertama  dengan  Wawasan 2020 Mahathir  yang gah dengan pembangunan fizikal seperti Bangunan Twin Towers,  KLIA, Putrajaya, Proton Saga dan lain-lain. Najib berkesempatan membina LRT dari Sungai Buluh ke Kajang, Pan Borneo Highway (dalam pembinaan), tetapi tersekat kerana kekalahan dalam pilihanraya ke 14, rancangan untuk membina keretapi laju dari KL  ke Singapura dan keretapi laju ke Pantai Timur terhalang. Alasan Kerajaan PH tidak melaksanakan projek yang baru mula dijalankan, kerana ketiadaan dana. Bahkan dikatakan dengan menghentikan projek ECRL dapat menyelamatklan peruntukan sebanyak RM10.02 bilion. Walau bagaimana sebagaimana didakwa negara masih menanggung beban sebanyak satu trilion,  namun kita tidak diberi maklumat apakah projek yang telah dilaksanakan sehingga menyebabkan terhutangnya negara sejumnlah sedemikian banyak dan tidak diberi maklumat bagaimana perancangan  membayar balik hutang berkenaan secara jangka panjang.
Belanjawan negara secara makro dapatlah dibanding belanjawan satu keluarga secara mikro. Bajet bagi perbelanjaan satu keluarga yang prihatin adalah dengan menyedari kemampuan keluarga. Misalnya jika pendapatan bulanan bagi keluarga sekitar RM5,000 sebulan, maka pendapatan ini hendaklah diagih secara saksama bagi kehidupan keluarga bagi setiap bulan. Misalnya dari pendapatan itu diagihkan kepada, makan minum keluarga, pengajian dan persekolahan anak-anak, hutang rumah, perbelanjaan kenderaan - termasuk bayaran insuran kereta, pakaian, bayaran bil-bil, peruntukan kepada orang tua (ibu ayah), sadaqah, simpanan tetap bulanan dan sebagainya.
Secara  makro bagi negara seharusnya menyedari tentang sumber dana bagi negara, termasuk percukaian dari kerajaan negeri yang perlu diagih kembali secara adil dan sama rata. Apakah sumber bagi kerajaan untukbelanjawan negara ?
Disebutkan bahawa kerajaan menjangka dapat memungut hasil:
·         Percukaian                 RM261.80    bilion
·         Royalty Petronas      RM   30.00    bilion
·         Bon Samurai Jepun  RM     7.40    bilion
·         Berbagai                     RM   15.30    bilion
Sumber peruntukan Kerajaan Persekutuan adalah RM314.5 bilion. Dan tambahan dengan pendapatan yang lain.
Inilah saecara kasar  pendapatan negara yang merupakan sumber perbelanjaan yang diagihkan kepada berbagai-bagai sektor.
Secara kasar  dikatakan dari pendapatan di atas dipecahkan kepada:
·         Perbelanjaan mengurus          RM 259.8  bilion
·         Perbelanjaan pembangunan  RM   54.7  bilion
·         Jumlah perbelanjaan               RM 314.5  bilion
Demikianlah aggaran pendapatan dan perbelanjaan bagi kerajaan PH yang dapat dianggap amat sederhana dan berhati-hati. Ianya disifatkan oleh Bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak sebagai, ``Belanjawan yang tidak mampu menjanakan ekonomi.`` (BH, 3 Nov. 2018: 19).
Sekian.

November 3, 2018

SETENGAH TAHUN PH, WAJAH DAN WATAK MAKIN KELIHATAN


SETENGAH TAHUN PH, WAJAH DAN WATAK MAKIN  KELIHATAN
(Fikrah Bangi: 46):
BBB, 25 Safar 1440H. = 03 November 2018M. (Sabtu):
Tempoh antara kemenangan Pakatan Harapan (PH) dari  9 Mei 2018 hingga pembentangan baget pertamanya kelmarin (2 November 2018) adalah merupakan setengah tahun umur PH. Walaupun tempoh ini  relatifnya adalah pendek, tetapi setengah tahun sudah cukup bagi melihat wajah dan watak PH yang terbina dalam tempoh tersebut. Ia merupakan satu persepulh dari tempoh sepenggal pemerintahan bagi PH.
Setengah tahun memperlihatkan imej PH bercampur-campur.  Yang pasti kejutan yang dialami kerajaan itu kerana kemenangan di luar jangka sudah menghilang dankejutan rakyat yang mengharap, nampaknya masih belum ke mana. Melihat secara makro kerajaan dilihat terpalit dengan hutang yang banyak akibat digembar-gemburkan hutang terkumpul sebanyak  satu trilion itu. Sebagai lojiknya kerajaan perlu berjimat dan rakyat tidak boleh mengharapkan kemewahan dan terpaksa sama berjimat. Kerajaan berusaha memperbaiki kedudukan melalui pembentangan bajet pertama kali bagi kerajaan PH. Beban rakyat dengan kenaikan kos sara hidup tidak semakin ringan, bahkan dirisaukan lagi dengan  SST dan `Cukai Baru`. Usaha kerajaan PH membersih iklim  negara dari imej rasuah adalah baik, tetapi suasana negara berterusan  dengan imej  `SPRM, Tindakan Mahkamah dan Undang-undang`, diijangka isu ini tidak berakhir dengan berakhirnya penggal pemerintahan PH, tetapi terus menjadi bayang dan imej PH.
Kesebokan PH dengan pembersihan dan beban hutang yang diwar-warkan, kelihatan PH tidak mempunyai peluang menampilkan apakah Falsafah, dasar dan arah pemerintahan negara yang mau dibawa. Ini jauh berbeza dari era pertama pemerintahan Tun Dr. Mahathir yang dinamik dan kaya dengan idea pembaharuan seperti kelihatan dalam slogan `Pandang Ke Timur, Malaysia Boleh dan kejayaan pembangunan fizikal yang banyak. Kini dinamika itu tidak kelihatan. Istilah `Tiger Asia` yang cuba dikibarkan sebenarnya tidak asli, kerana imej ini diharap  terbina dari `pasukan bola sepak remaja negara itu kini dipinjam kepada aspek ekonomi.
Apa yang diungkapkan sebagai `Malaysia Baru` lebih kepada ungkapan dan rhetorik semata-mata. Dilihat kepada imej pemerintahan sebenarnya lebih kembali kepada imej BN yang sebenarnya adalah `Ibu Kandung ` bagi PH yang mau ditiadakan itu. Setengah tahun pemerintahan PH makin jelas dari segi wajah dan perwatakan yang kebanyakannya mirip kepada wajah ibu kandung – BN.
Dalam setengah tahun  YB-YB Wakil Rakyat PH telah dapat mencapai hasrat dan  berstatus  sosial yang tinggi di dalam masyarakat dengan pendapatan antara  RM60,00 hingga lebih RM100,000 secara bulanan (Star, 2 November, 2018: 1). Jumlah ini jauh tingginya berbanding dengan nelayan, petani dan buruh yang merintih sepanjang dengan kenaikan harga barang dan ketinggian taraf hidup. Manakala bagi setengah YB-YB pula belum setengah tahun dikira `Orang Berjasa` yang sudah layak dikurniai bintang-bintang dan darjah kebesaran.  Inilah ganjaran bila menjadi Wakil Rakyat, tetapi harap tidak lupakan rakyat !.  Dalam hal ini kita menghormati Wakil-Wakil Rakyat DAP dan sebahagian dari Pas yang lebih sabar  dan  tidak  terkejar-kejar  dengan kurniaan dan ganjaran.
Melihat kepada imej Wakil Rakyat  di dalam keghairahan memberi pendapat ada yang  tergelincir membuat kenyataan yang melukakan bangsa dan budayanya. Manakala ada yang mebuat kenyataan berulang mencerminkan ketidakmatangan. Setengah mereka tidak mampu memperlihatkan approach yang bertolak dari prinsip, dasar  secara kulli, sebaliknya menyentuh soal ranting dan remeh, akibatnya memasalahkan kerana tiada dasar, prinsip asas dan falsafah, hingga menyebabkan sukar  dan bercelaru, tiada perkembalian kepada dasar. Keadaan ini berlaku oleh kerana PH sebagai komponan parti yang memerintah masih belum mempersatukan arah, matlamat, falsafah yang menjadi visi dan misi pemerintahan.
Dari perkembangan mutakhir memperlihatkan perlumbaan PH bukan saja berlaku dengan parti musuh dan lawan, tetapi sesama parti di dalam PH. Keadaan nampaknya lebih teruk dari BN. PKR memperlihatkan imej perbalahan dan pertikaian yang teruk di dalam  memilih pemimpin yang bakal memiliki kuasa pemerintahan. Kelihatan parti ini lemah dari segi disiplin. Bumiputra Bersatu menyedari kerusinya tidak sebanyak PKR, cuba mengukuhkan kedudukan dengan mendapatkan kerusi dari wakil-wakil BN bagi mengimbangi PKR  dan berusaha mendapat keahlian dikatakan hingga sejumlah 500,000 orang. Usaha bagi mendapat jumlah sedemikian juga dilakukan oleh Amanah. Perlumbaan dalaman ini tentulah bagi mengkuhkan kedudukan yang bererti kekuasaan,  jika tidak terkendali boleh membawa konflik dalaman, walaupun kini belum ada pertanda perpecahan.
Dari wajah, imej dan watak terbina selama setengah tahun ini, PH tidaklah boleh dikatakan sebuah parti yang benar-benar kukuh dan utuh, jika tiada usaha memperkukuhkan kedudukan, maka ianya boleh dicabar oleh BN dan komponan atau parti-parti yang lain jika ada kekuatan.
Sekian.

November 2, 2018

ISU ICERD: MENGAPA TUNJUK PERASAAN ?


ISU ICERD: MENGAPA TUNJUK PERASAAN ?
(Fikrah Bangi: 45):
BBB,  24 Safar 1440H. = 02 November 2018M. (Juma`at):
Kelmarin  (1 November 2018) semua akhbar melaporkan tentang protes dan tunjuk perasaan 10 NGO yang diketuai  Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas  membantah ICERD (Persidangan Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum di Kuala Lumpur). Tunjuk perasaan itu membawa kepada penyerahan memorandum bantahan  kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial (Dr. Mad. Farid bin Rafik) di Bangunan Parlimen.
Mengapa mereka membantah ?
Kerana implikasinya kepada dasar dan perundangan negara jika resolusi persidangan itu diterima oleh kerajaan, apa lagi jika ianya menjadi panduan yang akan dijadikan dasar pemerintahan kerajaan. (BH, 1 November 2018: 3). Kebimbangan ini dilihat releven dengan ungkapan Syed Sadiq Menteri Belia dan Sukan yang menjadi harapan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pernah mengungkapkan sebelum daripada itu, bahawa `Hak Ketuanan ` Melayu dan Bumiputera` dipersoalkan dan akan mengalami penghakisan. Kebimbangan ini diperkukuhkan lagi dengan pengakuan Tun Mahathir Perdana Menteri Malaysia, bahawa beliau  terpaksa menyesuaikan fikirannya dengan aliran Sosialisme dan Liberalisme dalam PH. (UM, 23 Oktober 2018: 4). Ungkapan dan pengakuan seperti di atas memberi implikasi terhadap dasar dan polisi negara jika, resolusi ICERD diterima. Penerimaan akan menggugat dasar dan polisi negara seperti:
·         Hak istimewa Melayu dan Bumiputra
·         Kedudukan Raja-Raja Melayu
·         Kedudukan agama Islam
·         Perkara 152 mengenai Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Rasmi
Perkara-perkara di atas memang dilihat dari satu segi sebagai diskriminasi terhadap yang lain. Sebenarnya perkara-perkara di atas, walaupun tanpa resolusi menggugatnya telah dan sedang mengalami penghakisan, apa lagi  jika ada resolusi yang mau menghapuskan sebarang diskriminasi.
Dilihat kepada Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputra, maka didapati umpamanya pengurangan tanah reserve Melayu yang tidak diganti. Biasiswa bagi Bumiputra tidak terlaksana dengan sepenuhnya dan penghakisan-penghakisan yang lain.
Berhubung dengan Kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Raja-Raja Berperlembagaan kita mengetahui ada hak-hak keistimewaan yang ditarik, kerana dilihat sebagai menghalang.
Manakala kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, adalah dibimbangkan membawa kepada tuntutan agar semua agama adalah  sama di dalam perlembagaan. Tuntutan mungkin membawa kepada dijadikan JAKIM sebagai Jabatan Agama bagi semua kaum. Manakala berhubung dengan perkara 152, iaitu  kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Rasmi, sebenarnya bahasa itu sedang menghadapi tekanan penggunaan dan psikologi yang teruk. Pendewaan dan penggunaan bahasa Inggeris  mengambil tempatnya di dalam suasana sepatutnya bahasa itu diberi tempat, hak  dan keutamaan . Badan-badan seperti Kementerian Pendidikan tidak menunjukkan kesungguhan memperkasakan bahasa itu. Dewan Bahasa dan Pustaka yang satu masa dahulu sebagai institusi yang mempertahankan dan mengukuhkan bahasa kebangsaan kelihatan tidak bermaya di dalam menjalankan tugas memperkasakan bahasa Kebangsaan. Jikalaulah  tidak bahasaini dipertahankan penggunaannya di Parlimen, di dalam pentadbiran rasmi kerajaan dan keperluan lulus di dalam peperiksaan yang ditetapkan, maka bahasa kebangsaan dan rasmi akan pupus.
Melihat kepada situasi yang dialami oleh empat perkara yang dibincangkan mengalami penghakisan, maka apa lagi jika  resolusi ICERD diterima dan dilaksanakan, maka ianya pertanda satu bala bencana dan mala petaka  yang akan dialami oleh negara, bangsa, agama dan bahasa. Kita tidak boleh berpegang dengan janji Tun Mahathir Perdana Menteri Malaysia bahawaL
``Tandatangani ICERD selepas dipersetujui semua kaum.` (BH, 1 November 2016: 3).
Persetujuan mungkin akan diambil berdasarkan majoriti. Perlaksanaan mungkin dilakukan tanpa mempedulikan majoriti.
Dalam hal ini kita memahami mengapa 10 NGO mengambil tindakan membantah dan menghantar memorandum ke parlimen.
Bagi yang prihatin tidak rela bala dan malapetaka akan berlaku, lantaran itu sepatutnya ianya dibantah dan dicegah.
Sekian.

November 1, 2018

CAWANGAN PARTI POLITIK DI UNIVERSITI AWAM ?


CAWANGAN PARTI POLITIK DI UNIVERSITI AWAM ?
(Fikrah Bangi: 44)
BBB, 23 Safar 1440H. = 01 November 2018M. (Khamis):
Menteri Pelajaran Malaysia YB Muszlee Malik meyebut (BH, 31.10.2018) bahawa selepas penarikan Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU:1971) dan kelulusan parlimen bahawa umur layak mengundi diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun, maka dengan itu kampus-kampus universiti awam terbuka untuk diterokai oleh parti-parti politik untuk membuka cawangan-cawangan di dalam kampus-kampus univeriti. Demikian tafsir Menteri itu.
Kita bersetuju dengan penarikan balik AUKU  yang memberi kebebasan pelajar bergiat di kampus dan tidak menentang tentang umur kelayakan mengundi, tetapi tidak bererti kebebasan bagi parti-parti politik untuk masuk ke universiti-universiti membuka cawangan parti-parti politik, kerana implikasi buruknya lebih banyak dari kebaikan. Universiti mempunyai autonomi tersendiri yang harus dihormati. Dan harus mempertimbangkan sehalus-halusnya tentang baik buruknya jika dibiarkan parti-parti politik masuk ke universiti-universiti menubuhkan cawangan parti masing-masing.
Pencerobohan parti-parti politik ke kampus-kampus akan mengganggu suasana pembelajaran pelajar-pelajar di dalam, menghadapi tugas utama mereka, iaitu menimba ilmu pengetahuan di dalam masa terhad semasa mereka berada di kampus. Jika mereka diganggu dengan masa yang berharga, akan menurunkan prestasi mereka di dalam menimba ilmu pengetahuan. Bayangkan jika parti politik ditubuh di dalam kampus dan tiba masa pengundian untuk memilih kepimpinan sebagaimana yang berlaku kepada PKR sekarang, maka suasana memilih kepimpinan  akan berlaku di kampus dan lebih-lebih lagi bergolak apabila tiba musim pilihanraya, maka kempen parti politik pilihanraya turut melempah, bahkan lebih hebat berlaku di kampus-kampus. Suasana berpolitik juga akan berlaku sepanjang tahun sebagaimana berlaku di luar kampus. Jadi universiti bukan lagi wadah keilmuan, tetapi bercampur aduk dengan politik.
Bayangkan juga dengan kebenaran  masuk  parti-parti politik di kampus akan berlaku penekanan pihak yang berkuasa – kerajaan terhadap parti-parti lawan. Dominasi kerajaan membawa implikasi tidak sihat, bahkan lebih membawa konflik pertentangan antara parti dan pelajar-pelajar. Dalam kata lain membenarkan parti-parti politik membuka cawangan di kampus-kampus lebih banyak membawa  kerosakan kepada kehidupan kampus yang seharusnya memberi tumpuan kepada  pengajian.  Bayangkan adalah begitu buruk, jika kampus menjadi medan politik yang tokoh-tokoh politik keluar masuk ke kampus  bagi meluaskan pengaruh politik bagi parti-parti masing-masing dan adalah lebih buruk juga, jika pihak kerajaan lebih memberi peluang kepada parti-parti politik kerajaan dan pimpinan masuk ke kampus, sedang parti-parti lawan tidak diberi peluang atau diiskriminasi dari segi peluang. Perlu diingat bahawa, tidak semua orang , termasuk pelajar-pelajar berminat terhadap politik, bahkan tidak memberi faedah sangat bagi mereka melihat orang-orang politik yang tamak pada kuasa, ketamakan ini jangan merosakkan pelajar-pelajar. Politik boleh dikaji oleh pelajar-pelajar di dalam kursus  politik di luar kampus.
Latihan berorganisasi dan berpolitik cukup dengan  kegiatan berorganisasi di dalam persatuan-persatuan dan organisasi-organisasi di kampus. Ianya cukup  sebagai bekalan bagi pelajar-pelajar yang meminati politik untuknya bergiat di dalam politik.  Selepas menamatkan pengajian mereka boleh menceburkan diri di dalam kegiatan-kegiatan politik di luar kampus. Berhubung dengan kelayakan mengundi dengan umur 18 tahun, sebenarnya tidak menjadi halangan bagi mereka mengundi di kampung halaman mereka atau di luar kampus semasa mereka sebagai pelajar kampus.
Jika apa yang dibayangkan oleh YB Menteri Pelajaran itu akan diterjemahkan menjadi kenyataan  maka pihak universiti-universiti patut berbincang terlebih dahulu dan memikirkan implikasi baik-buruknya, Kita berpendapat keburukan lebih banyak dari kebaikan dan parti-parti politik jangan dibiarkan mengotori kampus dengan konflik kepartian memanjang.
Sekian.