November 14, 2018

PAS TIDAK SABAR ?


PAS TIDAK SABAR ?
(Fikrah Bangi: 57),
BBB, 6 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 14 November 2018 (Rabu):
Beberapa hari lepas,  selepas solat `Asar, tiba-tiba di luar ruang solat Penulis bersua dengan seorang sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. Penulis bertanya, ``Mengapa tiba-tiba berada di sini ?` Katanya, ``Sengaja datang kerana mau bersolat dan melihat masjid yang indah ini.`` Beliau yang ditemani isterinya, berjabat tangan dan dengan spontan memeluk Penulis dan katanya,   `` Luas ruang masjid`, `` Katanya,  ``Ini pertama kali datang ke masjid ini.`` Ia bertanya, ``Berapa ramai jama`ah dapat muat ?`` Jawabku, ``Lebih dari tiga ribu.`` Penulis memaklumkan kepadanya masjid adalah tiga tingkat. Aras utama di mana kami berada, aras satu bahagian atas dan aras bawah tanah. Penulis maklumkan kepadanya yang masjid dibina berorientasikan ibadat dan ilmu; selain dari aras utama dijadikan ruang ibadat dan pengajaran secara terbuka. Pada sebelah atas kita mempunyai dua bilik seminar dan dua bilik kuliah. Sebuah perpustakaan dan bilik IT. Manakala pada aras bawah tanah Dewan Konvensyen bagi  persidangan yang lebih ramai yang dapat menuatkan peserta hingga  500 orang, Ianya dapat digunakan bagi berbagai fungsi seperti majlis perkahwinan, jamuan dan sebagainya.
Penulis mengalihkan pertanyaan, berhubung dengan kegiatannya, selain dari tugas rasminya sebagai Pegawai Petronas yang sering berulang alik ke selatan. Beliau yang dulu seorang ketua cawangan semasa Penulis menjadi Adun memaklumkan,  kini beliau lebih menumpukan pada kegiatan NGO, sambil menyatakan kekesalannya, Menurutnya,
``Apa yang kita bina dulu, mewujudkan hubungan baik antara kaum dan mereka memberi sokongan padu, khususnya dalam pilihanraya ke 12 dan 13 dan mengukuhkan Pas dan diterima baik oleh semua kaum hasil dari kerjasaama yang diasaskan oleh Ustaz Fadzil Nor dan Tuan Guru Dato` Nik `Aziz nampaknya tersekat.
Menurutnya,  ``Pas tidak sabar ``, menurutnya jika Pas toleransi dan kerjasama dengan berbagai kaum dan sabar hingga ke pilihanraya ke 14, maka  Pas bukan saja bertapak di Kelantan dan Terengganu, tetapi meluaskan pengaruhnya di negeri-negeri di Pantai Barat dan di tengah kepelbagaian kaum.
Menurutnya untuk membina kembali apa yang telah dibina oleh Dato` Faszil Nor dan Tuan Guru Dato` Nik `Aziz` adalah sukar dan memakan masa yang lama dan mesti bermula dari awal kembali.
Beliau menyatakan kebimbangannya, ``Dalam keadaan sekarang, Pas mempunyai ruang kapasiti di kalangan orang Melayu sahaja. Dalam keadaan sekarang, belum tentu dapat mempertahan kan apa yang dimenangi, kerana pihak lawan makin agresif. Peluang yang ada ialah meluaskan pengaruh atau menguasai Kedah dan menambah keupayaan di kawasan-kawasan Melayu di beberapa negeri yang lain.Itu adalah tahap maksimum yang mungkin dapat dicapai oleh Pas, tetapi kemungkinan kehilangan apa yang dikuasai mungkin terjadi, jika tidak ada alternatif yang dapat ditawarkan kepada masyarakat, khususnya orang Melayu.
Menurutnya Pas tidak boleh mengharapkan kepada Umno, parti yang begitu bermasalah Umno tidak dapat mengukuhkan Pas, bahkan menjadi sebaliknya.
Menurutnya Pas tidak boleh bersifat mengasingkan diri jika mau meluaskan dakwah dan pengaruh di luar dari zon Melayu. Kalangan ulama yang menjadi teras Pas perlu kepada kalangan intelektual dan professional sebagaimana pendekatan yang dibina mulai dari  akhir 1990an hingga  2015 (Dato` Nik `Aziz meninggal (12 Februari 2015).
Sahabat itu berpendapat dan juga Penulis setuju, bagi kepentingan dakwah dan perluasan  pengaruh politik Pas mesti mencari teman politik yang bukan terhad kepada Melayu, tetapi bersifat multi rasial. Tanpa pendekatan sedemikian Pas akan pasang surut hanya di negeri-negeriMelayu yang majoriti umat Islam dan sukar melebarkan pengaruhnya ke luar dari batas tersebut.
Dalam keadaan sekarang, walaupun Pas berkuasa di dua buah negeri, kemampuan untuk berkembang amat terhad dan tidak mustahil kehilangan dari apa yang dicapai. Situasi yang dihadapi Pas di dalam pilihanraya ke 14, ibarat kata pepatah,  ``Untung sekarung, rugi seguni !``.
Pas jangan mengasingkan diri, tetapi harus bersama masyarakat multi-rasial, di sana lebih peluang untuk dakwah  dan sama menguasai politik !.
Sekian.`

November 13, 2018

TAHNIAH YB AZMIN ALI


TAHNIAH  YB AZMIN ALI
(Fikrah Bangi:  56),
BBB,  05 Rabi`ul- Awwal 1440H. = 13 November 2018M. (Selasa):
Sebelum ini  belum ada lagi perebutan  jawatan parti di dalam PKR sehebat yang berlaku kepada saudara Azmin Ali dengan  saudara Rafizi Ramli bagi menrebut dan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR (bagi sdr. Azmin). Gelanggang yang terbuka bagi pertandingan bermula dari 22 September 2018 itu kelihatan tegang dan mendebarkan, lantaran antara keduanya kejar mengejar  yang kadang-kadang mendahului dari jumlah undi bagi saudara Rafizi, terutama bagi negeri-negeri di Pantai Timur dan ada kala mendahuluinya saudara Azmin bagi negeri seperti di Selangor. Perlumbaann ini menjadikan tegang, kerana sering menimbulkan kekecohan , bahkan kadang-kadang pertentangan  fizikal seperti yang berlaku di negerei-negeri di Utara dan juga Pulau Pinang. Ketegangan ini oleh kerana antaranya  oleh sebab-sebab teknikal. Umpamanya bagi pemilihan pimpinan PKR kali ini adalah dengan menggunakan kaedah e-undi. Oleh kerana ini merupakan kali pertama penggunaan media baru, maka tidak sunyi dari kesilapan dan kekeliruan. Antaranya ada pengundian terpaksa dibatalkan dan terpaksa diadakan pengundian semula. Walau bagaimana semuanya ini memperlihatkan bahawa PKR begitu mendapat sambutan di kalangan rakyat dan menjadi ahli apa lagi mendapat peluang merebut jawatan bagi berbagai-bagai kategori adalah peluang bagi menduduki kerusi-kerusi pimpinan. Walau bagaimana dari satu segi ianya mempamerkan imej yang tidak baik yang mencerminkan bahawa ahli-ahli di dalam PKR tidak berdisiplin. Mungkin dari satu segi menjadikan setengah pihak hilang minat untuk menyertai parti itu. Satu yang kurang baik bahawa ada pihak-pihak yang mengaitkan pimpinan tertinggi di dalam parti itu sebagai berpihak. Perbuatan ini tidak wajar kerana ianya melibatkan imej dan maruah kepimpinan.
Di dalam hal ini Dato` Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR menyatakan, ``Saya tiada hak campur tangan pemilihan PKR.`` (BH, 12.11.2018: 37).
Kemuncak daripada perlumbaan kempen mendapat undi sokongan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, ialah pemilihan di Sarawak, apabila dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri yang datang ke kawasan pertandingan dan dikaitkan dengan kempen secara berpihak, walaupun tuduhan itu dinafikan oleh Wan Azizah.
Walau bagaimana hingga ke tarikh 11 November 2018 keputusan pemilihan di Sarawak memperlihatkan Azmin mendapat keputusan yang selesa. Berita Harian (12 November 2018: 16) melaporkan  bahawa jumlah undi diraih calon-calon sebagaimana berikut:
Azmin Ali      67,504
Rafizi Ramli  60,091
Jumlah ini berbeza sedikit dari apa yang dilaporkan oleh  (Star, 12 November 2018: 3). bahawa:
Azmin Ali  67,449

Rafizi  Ramli  62,716
Walau bagaimana  Sinar melaporkan pada halaman depannya bahawa Azmin menang mengatasi Rafizi Ramli dengan majoriti 3,956.
Walaupun jumlah undi yang dilaporkan oleh berlainan akhbar berbeza-beza, tetapi semuanya menunjukkan bahawa saudara Azmin Ali mengatasi jumlah undi saudara Rafizi Ramli. Dengan itu menamatkan satu ketegangan pemilihan di dalam parti itu. Diharap semua pihak kembali berdamai dan bersatu. Diharap  juga yang menang tidak mendapat semua dan yang kalah tidak dinafikan segala-galanya darinya.
Tahniah kepada saudara Azmin Ali !
Sekian.

November 12, 2018

PERINGATAN KEPADA KERAJAAN KELANTAN DAN TERENGGANU


PERINGATAN KEPADA KELANTAN  DAN TERENGGANU
(Fikrah Bangi: 56),
BBB, 04 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 12 November 2018M. (Isnin):
Dakwaan pemimpin PH bahawa mereka akan menawan Kelantan dan Terengganu pada pilihanraya ke 15  bukan pertama kali, tapi telah berulang kali. Semalam  perkara yang sama diulang, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa, ``PRU 15,  Kelantan milik PH,`` bahkan ditegaskan, bahawa,``PM yakin Kelantan milik PH PRU 15.``
Bahkan Mat Sabu, rakan dalam PH, turut menyatakan bahawa, pihak PH, bukan saja mau menguasai Pas, tetapi mereka juga mau menarik sokongan dari ahli Umno di negeri itu.`` (Sinar, 11 November 2018: 2).
Walau apapun mau ditafsirkan seperti sebagai angkuh dan sebagainya, itulah mencerminkan azam mereka. Ungkapan-ungkapan seperti di atas adalah serangan psikologi terhadap rakyat dan pemerintah negeri Kelantan.Mereka tidak bercakap kosong dan pemimpin-pemimpin dari PH sering berkunjung ke Kelantan sama ada secara tugas rasmi atau parti. Ini semua mencerminkan azam mereka dan pihak pemerintah dan parti sepatutnya tidak menganggap mudah.
Di dalam hal ini kita tidak sangat bimbang terhadap  pengaruh orang lama seperti Tok Pa yang berpuluh tahun mau menegak Umno di Kelantan, tiba-tiba berpaling tadah menyertai PH, Kita percaya jika dengan Umno selama ini dia gagal menggerakkan parti itu bersama Tengku Ghazaleigh menguasai Kelantan, kita percaya imej berpaling tadah dan melompat kepada PH, tidak menambah pengaruhnya, bahkan lebih dilihat sebagai tidak setia dan sanggup merubah perjuangan. Keadaan yang sama kita menganggap terhadap saudara Husam Musa yang keluar dari Pas dan mencari peluang  dalam PH bagi menghidupkan karier politiknya.
Apa yang dibimbang ialah, kiranya bangkit kelompok muda yang menguasai media baru dan berjaya membawa perubahan pada landscape politik di negeri-negeri di Pantai Barat berlaku di Kelantan. Kumpulan membela Kelantan  hendaklah diwujudkan bukan saja di Kelantan, tetapi di mana pemuda Kelantan berada di luar Kelantan.
Kita percaya jika Kelantan mampu mewujudkan iklim politik dan pemerintahan yang mantap. Golongan ini akan terus dengan sentimen mempertahankan Kelantan. Semangat terus mempertahankan Kelantan akan terus subur dan setiap kali berlaku pilihanraya  sama ada pada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil, mereka akan berduyung duyung kembali bagi mempertahankan Kelantan. Dalam keadaan sekarang dalam mana kerajaan Pusat lemah dari segi ekononi dan banyak hutang serta banyak janji-janji yang tidak dapat ditunaikan, maka Kerajaan Negeri Kelantan patut menunjukkan kemampuan dan solidariti rakyatnya bersama pemerintah. Kita percaya ramai tokoh-tokoh di dalam berbagai bidang membantu Kelantan  baik dari segi idea dan kepakaran.
Berbanding dengan Terengganu,  melihat dari segi sejarahnya, penukaran pemerintah di Terengganu lebih mudah berlaku bila arus baru mendatang. Sentimen dan soladariti di kalangan rakyatnya kurang mantap berbanding dengan Kelantan. Pada masa lepas Terengganu lebih mudah berubah disebabkan oleh pimpinan atau perubahan selera rakyatnya. Kerajaan Pas terawal wujud di Terengganu dibentuk (1959), tetapi n kerana beberapa orang belot, menyebabkan kerajaan terawal itu tumbang. Selepas itu bertukar ganti pemerintahan antara Pas dan BN. Pendeknya  politik di Terengganu tidak semantap di Kelantan.
Walau bagaimana dengan adanya pemimpin baru di bawah pimpinan Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar adalah diharapkan beliau telah merumuskan pendekatan yang menjadi formula pemerintahannya yang dapat menambat hati rakyat dan terus memberi sokongan terhadap  pemerintahan bersama pasukan yang diamanahkan kepada mereka.
Selain dari memperkukuhkan negeri, kita berpendapat Kelantan,  Terengganu dan Pahang yang berdekatan dari  segi geography dapat mengadakan `Pakatan` yang memperkukhkan ketiga-tiga negeri dalam kesatuan pembangkang – boleh ditambah dengan negeri-negeri  yang lain seperti Perlis dan Sarawak yang memperkukuhkan negeri-negeri berkenaan dari segi solidariti, ekonomi dan berbagai-bagai kegiatan dan tuntutan sehingga tidak dibuli oleh kerajaan Pusat.
Sekian.

November 11, 2018

AHLI KARIAH SURAU-SURAU DI BAWAH MASJID AL-UMM MEMILIH J/K MASJID


AHLI KARIAH  SURAU-SURAU DI BAWAH MASJID AL-UMM MEMILIH J/K MASJID
(Fikrah Bangi: 54),


BBB, 02 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 10 November 2018M. (Sabtu):
Masjid Al-Umm melalui tahap-tahap penting dari segfi penggunaannya, bermula dengan:
1)      Mendapat CPC dari Arkitek Majubina Sdn. Bhd., Arkitek bagi Masjid Al-Umm pada 14.12.2017..
2)      Menggunakan Masjid Al-Umm bermula pada 16.12.2017, iaitu mengadakan sambutan Maulid al-Rasul dan terus menggunakannya dengan bersolat waktu bermula dari fardhu zohor dan berterusan.
3)      Mendapat CCC dari MPKj di JAIS.MAIS pada  4 Oktober 2018.
4)      Didaftarkan Masjid Al-Umm oleh JAIS pada 10 Oktober 2018. No. Pendaftaran  ialah JAI. SEL.BPM/01/025/51.
5)      Penyerahan masjid secara simbolik MAIS menerima dari kontrektor Tekad Nusantara Sdn. Bhd. dan menyerahkannya kepada Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm pada 11 Oktober 2018 di Masjid Al-Umm.
6)      Mulai bersolat Juma`at di Masjid Al-Umm pada Juma`at 12 Oktober 2018.
7)      Kuatkuasa oleh JAIS Persempadanan antara Masjid Al-Umm dengan Masjid Al-Hasanah bermula dari 24 Oktober 2018 setelah dibincangkan pada peringkat permulaan di PAID Hulu Langat pada  17 Oktober 2019.
8)      Surau-surau di bawah Masjid Al-Umm ialah (23 buah)
1)      Al-`Amirin      2)  Al-Ikhlas       3)  An-Nur       4)  Jubli Perak       5) Al-Kauthar
6)   Al-Ittihad        7)  Al-Islah         8)  Al-Ehsan     9)  Al-Madani      10) Al-Munawwarah
            11) Abdul Rahman `Auf  12) Al-Ikhwan  13) Bangi Perdana  `14) NurIdaman  15) Al-Mawaddah
           16) Al-Sabah         17) Al-Raudhah         18) PI Puncak Bangi  19) Al-Mahabbah  20) Al-Hidayah
           21) Al-Shakirin     22) Al-Ukhuwwah     23)  Damai.
9. Pertemuan dengan Pengerusi-Pengerusi Surau
Untuk berkenalan dan meyampaikan maklumat pihak Masjid Al-Umm telah menjemput semua pengerusi surau atau wakil bermesyuarat di Masjid Al-Umm pada  28 Oktober 2018.


10.  Mesyuarat Agung Memilih Jawatankuasa Masjid Al-Umm
Menurut Peraturan Masjid  dan Surau 2017  JAIS-MAIS sebagaimana  masjid dan surau yang lain, maka Masjid Al-Umm dikehendaki mengadakan Mesyuarat  Pemilihan Jawatankuasa Masjid tidak lewat dari 14 November 2018. Masjid Al-Umm  memilih tarikh pada Sabtu 10  November 2018. Mesyuarat dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Sharifuddin bin Sajiman dan Ustaz Khairul Nazri bin Mohd Shakur, mereka pegawai dari PAID  bertempat di Masjid Al-Umm. Para ahli kariah yang hadir lebih kurang 500 orang. Pemilihan bermula dari Jam 10.00 pagi hingga 12.50 tengahari. Keputusan pemilihan adalah seperti berikut:
1.       Nazir:  Dr. Haji  Shafie bin Abu Bakar
2.       Imam:  A. Mohd. Rahmat bin Mohd. Halif dan
             Muhammad Ghazie Najmuddin bin Surtahman.
3.       Bilal:    Ahmad Munawwar bin Razali dan
            Hj. Che Omar bin Dali
4.       Siak:   Nurul Hisham bin Mat Nor dan
           Haji Muhammad Kamaruzzaman bin Marwan
      Mereka di atas dikehendaki melalui interview oleh pihak PAID.
5.       Ahli Jawatankuasa{
a)      Timbalan Nazir:  Dr. Razi Ismail
b)      Setiausaha: Ah Feizal binMohd. Arshad
c)       Penolomg Setiausaha:  Mohd Fadzli bin Mohd Amin
d)      Bendahari: Haji Nazri bin Daud
e)      Penolong Bendahari:  Abdul Karim bin Mohd Sarif
f)       Wakil Pemuda:  Mu`az bin Abdul Hamid
g)      Wakil Muslimat:  Datin Muhibbah bt.Noor
h)      Pengurus Jenazah Muslimat: Hajah Wan Zaidah bt. Wan Abdullah
Ahli Jawatankuasa
1)      Datuk Dr. Wahid bin Samsuddin
2)      Prof. Dr. Amran bin Abdul Majid
3)      Azni bin Othman
4)      Haji Ishak bin Arshad
5)      Hjh. Kamariah bt. Yusof
6)      Siti Khadijah bt. Imam Supaat.
11. Pemeriksa Kira-Kira:  En. Wan Zailan dan
                                             Haji Ishak Fateh.
Diberkati Allah  dan  Selamat Bertugas.
Sekian.

November 10, 2018

BERI KHIDMAT TERBAIK KEPADA RAKYAT: PERLU ADA DASAR RUJUKAN


BERI KHIDMAT TERBAIK KEPADA RAKYAT: PERLU ADA DASAR RUJUKAN
(Fikrah Bangi: 53)
BBB,  01 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 09 November 2018M. (Juma`at):
Tun Daim Zainuddin selaku Ahli  Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), setelah memerhati setengah tahun perjalanan Kerajaan PH (9.5.2018  - 9.11.2018), maka didapati  ada perkara-perkara yang tidak kena. Tumpuan yang patut diberi oleh kerajaan yang baru berkuasa itu, ialah menunaikan janji yang dibuat semasa berkempen yang membawa kepada kemenangan PH. Namun apa yang dilakukan lebih banyak menyalahkan kerajaan yang lepas. Setengahnya dapat dipersoalkan. Misalnya, benarkan kerajaan terdahulu melonggokkan hutang hingga sejumlah RM1 trilion. Kita ingin tahu dan sewajarnya diberitahu kepada rakyat  apakah pecahan jenis hutang dan jumlah setiap satu hingga berjumlah RM1 trilion. Sedangkan ada yang berpendapat jumlah itu tidak betul, sebaliknya ia hanya berjumlah RM680 bilion  (BH, 9/10/2018: 18) sahaja. Kekeliruan dan perbedaan yang begitu jauh seharusnya diberi penjelasan yang memuaskan rakyat.
Apa yang dilihat Tun Zainuddin janji-janji yang dibuat dalam pilihanraya tidak diusaha untuk dilaksanakan. Misalnya:
·         Penghapusan tol tidak dilakukan sebaliknya hanya penangguhan dari kenaikan bagi tahun 2019.
·         Penangguhan bayaran PTPTN tidak jadi. Peminjam dikehendaki terus membayar
·         Gaji minimum hanya RM1,100, hanya RM50 lebih dari yang dahulu. Ianya tidak menepati apa yang dijanji
·         Harga rumah yang diharap turun, tidak berlaku hanya oleh beberapa agensi. Kerajaan berjanji untuk membina sejuta rumah dalam tempoh penggal pemerintahannya.
·         GST memang dihapus, tapi diganti dengan SST dan cukai yang akan ditambah..
·         Harga barang tidak turun, kecuali oleh beberapa agensi kerajaan seperti PKNS di Selangor. Rakyat masih tidak mampu membeli  rumah
·         Nasib nelayan, petani, pekebun getah tidak dberi perhatian.
Belanjawan yang dibentangkan pada 2 November 2018 sebagai bajet pertama kerajaan PH berjumlah RM314 bilion, diharap ianya  belanjawan terbaik dapat disampaikan, tetapi  adalah diakui sebagai lemah dan tidak  lengkap, lantaran ada  bahagian-bahagian tertentu tidak diberi perhatian dan terlepas pandang. Lantaran itu Mantan Perdana Menteri Dato` Seri Najib menganggap Belanjawan yang tidak dapat menjanakan perkembangan ekonomi dan kata Dato` Seri Dr, Zahid Hamidi, Belanjawan yang tidak membawa apa-apa significant.
Oleh kerana menyedari Belanjawan yang tidak lengkap dan penyediaan tidak dilakukan secara teliti terlebih dahulu, maka dalam tempoh seminggu dicadangkan diadakan Belanjawan Tambahan.
Antara tuduhan terhadap kerajaan dahulu selain dari isu rasuah yang di dalam proses pembersihan, ialah berlakunya kerosakan dari segi pentadbiran. Tidaklah jelas sejauh mana berlakunya kerosakan, tetapi sebagaimana maklum ramai dari pemimpin-pemimpin agensi dan korporat kerajaan menarik diri dan meletak jawatan. Adakah wajar dengan kerajaan baru, maka pimpinan yang lama di dalam berbagai sektor dan ajensi semestinya meletak jawatan. Sebahagian mereka adalah menjalkankan tugas dengan baik. Sebagai contoh pimpinan dalam Khazanah dan bank-bank tertentu, dengan penarikan diri atau letak jawatan, negara kerugian kerana kehilangan kepakaran dan hilang kesinambungan san hilang kesinambungan yang juka diganti, belum tentu sebaik mereka yang terdahulu.
Jika Kerajaan  Baru, mau memulakan segalanya yang baru, maka seeloknya disediakan Dasar Pemerintahan Baru, maka hendaklah disediakan satu Dasar Pemerintahan Kerajaan Baru yang  lengkap yang ada visi dan misi melibatkan semua bidang, semua kementerian, agensi kerajaan dan swasta dan segala yang berhubung  dengan kerajaan dan rakyat. Buku ini menjadi panduan bagi segala perkara  bagi pemerintahan Fan menjadi piawayan pemerintahan sama ada dari segi kejayaan atau kegagakan. Tanpa dasar yang menjadi rujukan, maka apa yang dilakukan adalah  bersifat adhoc dan cebisan. Dan ianya akan mengalami perubahan, kerana tidak dirujuk kepada dasar yang menjadi panduan.
Sekian.

November 9, 2018

ADA MASALAH DI DALAM PKR


ADA MASALAH DI DALAM PKR
(Fikrah Bangi: 52):
BBB, 01 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 09 November 2018M. (Juma`at){
Walaupun dalam pemilihan Jawatankuasa  PKR kecoh sepanjang sejak bermulanya pemilihan dari 22 September 2018 lepas, namun dari satu segi kita mengkagumi PKR mau melaksanakan pemilihan pemimpin secara telus dan demokratik. Pemilihan dilakukan oleh akar umbi ahli parti terhadap semua jenis pimpinan. Pemilihan yang paling hebat dan banyak dengan kekocohan, menandakan kurang disiplin ahli dan juga parti ialah terhadap Timbalan Presiden PKR yang ditandingi oleh Dato Seri Azmin Ali (Pertahan Jawatan)dan Rafizi Ramli. Keputusan mutakhir dan tidak rasmi bagi seluruh negara:
Azmin              50,685 undi, manakala
Rafizi Ramli    49,639 undi.
Dato` Seri Anwar telah dipilih sebagai Ketua Tertinggi  dengan menang tanpa bertanding.
Dato` Seri Anwar tentu gembira melihat partinya yang paling popular dan mempuyai kerusi terbanyak di Parlimen, makin mendapat sambutan dan paling kukuh. Dia seharusnya sebagai ketua bersifat adil dan tidak memperlihatkan dirinya berpihak kepada mana-mana kem. Seharusnya di dalam pertandingan tidak wajar ada kem dan seharusnya pertandingan secara perseorangan dan terbuka. Tetapi itulah terjadi di dalam PKR, pertandingan atas nama kem ini wujud sejak awal lagi, iaitu Kem Azmin dan Rafizi. Dengan pemilihan berdasarkan kem ini mewujudkan puak-puak yang jika tidak terkawal ianya membawa kepada perpecahan.
Pada peringkat awal kita dapat kesan bahawa Nurul Izzah anak Anwar Ibrahim yang juga seorang Naib Presiden secara terang berpihak kepada Rafizi. Pada peringkat ini kita masih boleh terima, tetapi bila ternyata Dato` Seri  Anwar Ibrahim menunujukkan ia berpihak kepada Rafizi, maka ia menandakan `Tidak Sihat`. Sepatutnya  ketua tidak menunjukkan ia berpihak. Ini bererti secara lisan al-hal bermaksud Ketua  selah-olah mau yang lain menurut sikapnya. Apa yang menjadikan suasana tidak tenang dan tidak memihak kepada Dato` Seri Anwar, memperlihatkan majoriti pemilihan tokoh-tokoh parti yang menang  adalah dari kem Azmin. Mereka ialah:
Zuraidah Kamaruddin  52,128
Dr. A. Xavier  Jayakumar   47,466
Tian Chua                            42,608
Hanya seorang dari kem Rafizi, iaitu Nurul Izzah Anwar  67,040/
Manakala Ketua Wanita:
Haniza Talha      24,179
Fuziah Salleh    19,662      (Kem Rafizi)
Ketua Pemuda:
Dr Afif Bahardin   14,000
Ikmal Nasai           13,169   (Kem Rafizi)
Jelas majoriti pemimpin yang menang adalah berpihak kepada Azmin (5 orang), manakala yang berpihak kepada Rafizi (3), tetapi yang menang hanya seorang.
Keadaan ini tentu tidak menyenangkan Anwar yang berpihak yang seharusnya tidak berpihak dan seharusnya mendapat sokongan yang solid dari semua pihak.
Dr. Wan Azizah juga dikritik oleh Latheefa Koya Ahli Majlis Pimpinan Pusat, kerana Wan Azizah melawat ke Julau, Sibu, Sarawak, menjelang pilihan diadakan di situ, kerana ianya boleh mempengaruhi pemilihan di situ, khususnya sokongan terhadap Rafizi yang ia berpihak kepadanya (BH, 8 November 2018: 11). Sesungguhnya jika benar pertandaan bahawa `Orang Tiga Beranak` bersikap berpihak amat tidak wajar. Dato` Seri Anway sebagai Perdana Menteri  Menunggu seharusnya  tidak memperlihatkan sikap berpihak,. Sebagai ketua ia seharusnya melihat sama rata terhadap pemimpin di bawah yang bertanding. Demikian juga Wan Azizah. Azmin tidak seharusnya dijadikan musuh dalam parti, kerana ianya memasalahkan dari segi pimpinan dan pentadbiran.
Sekian.

November 8, 2018

POLITIK SEBAGAI SENI MENDAPAT KUASA


POLITIK SEBAGAI SENI MENDAPAT KUASA
(Fikrah Bangi: 51)
BBB,  30 Safar 1440H. = 8 November 2018M. (Khamis):
Kekuasaan, kekayaan dan kemasyhuran adalah menjadi buruan manusia. Pelbagai cara digunakan bagi mencapainya – cara yang dianggap baik dan ada yang sebaliknya. Berfokus kepada kekuasaan, maka  melalui politik adalah sebagai satu cara mencapainya disebalik dari cara merampas kuasa atau berbagai-bagai cara kekerasan.
Berpolitik adalah merupakan seni mendapat kuasa. Untuk mencapai kuasa diguna cara yang dapat diterima, antaranya menggunakan kaedah demokrasi seperti melalui pilihanraya. Kaedah ini diterimapakai  oleh negara kita sejak 1950an lagi. Menubuhkan parti politik adalah mekanisme bagi mendapat kekuasaan melalui sokongan rakyat, iaitu melalui pilihanraya. Berbagai-bagai parti politik telah lahir sejak kemerdekaan seperti UMNO, MCA, MIC, PAS, DAP,  Parti Rakyat, Sosialis. Warisan  dan sebagainya. Telah 14 kali pilihanraya  yang memberi kuasa kepada pihak yang menang yang biasanya melalui gabungan parti-parti seperti Perikatan, BN dan kini selepas pilihanraya terbaru, kali ke 14 ialah Pakatan Harapan (PH).
Oleh kerana melalui parti politik dilihat adalah cara bagi mendapat kuasa, maka walaupun di dalam berpolitik itu ada aturan-aturan di dalam parti dan aturan umum yang dikenali  sebagai Undang-undang Negara, tetapi demi untuk mendapat kuasa berlaku ``persengkitaan``. Persengkitaan ini berlaku dan dapat dibahagikan sebagai luaran dan dalaman.
a)      Sengkita luaran
Sengkita secara luaran, dimaksudkan berlaku antara yang berkuasa yang dikenali sebagai pemerintah yang mendapat kuasa dan parti-parti lawan yang dikenali sebagai pembangkang. Pihak pemerintah berusaha secara berterusan bagi mengekalkan kuasa dengan melakukan berbagai kegiatan yang bermanfaat bagi terus mendapat sokongan rakyat. Pihak pemerintah berada pada pihak lebih baik, kerana dengan kekuasaan yang ada padanya, ia memegang  kuasa politik, pemerintahan, ekonomi dan berbagai peluang yang dapat digunakan bagi megekalkan kekuasaan. Sebagai contoh kerajaan BN (sebelum 1960an dikenali Perikatan). Kerajaan BN mengekalkan kuasa dari sejak kemerdekaan hingga 2018). Walau bagaimana bila pihak pemerintah gagal mendapat sokongan rakyat kerana polisi pemerintah yang tidak disukai rakyat, maka pemerintah tidak diberi lagi mandat oleh rakyat sebagaimana berlaku pada BN. Melalui pilihanya ke 14, PH diberi kuasa memerintah mulai dari 9.5.2018. Walau bagaimana terdapat parti yang memenangi secara terhad seperti PAS yang memerintah Kelantan dan Terengganu dan BN yang mengekalkan kuasa di Pahang  dan Perlis, manakala Sabah di bawah Warisan dan Sarawak kekal dengan kekuasaan negeri yang mengadakan pilihanraya berasingan sebelumnya.  Usaha mendapat kuasa berlaku berterusan antara yang memerintah dan pembangkang. Masing-masing berusaha memenangi hati rakyat dengan berbagai cara agar rakyat memberi sokongan. Puncaknya melalui pilihanraya.
b)      Sengkita Dalaman
Bermaksud sengkita atau dapat digunakan istilah `Perlumbaan` mendapat pengaruh berlaku di dalam komponan parti yang memerintah dan dalaman sesebuah parti itu sendiri. Perlumbaan di dalam parti komponan dapat dilihat misalnya di dalam PH terdapat parti PKR (50 kerusi), DAP (42),Bumiputra Bersatu (14) dan Amanah (11). Antara parti di dalam PH berlaku perlumbaan mendapat kuasa. Misalnya BP Bersatu merasa tidak tenteram dengan jumlah kerusi yang sedikit boleh tergugat dari segi kekuasaan. Lantaran itu ia cuba mempengaruhi ahli parlimen UMNO masuk BP Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan.  BP Bersatu juga berusaha menambahkan cawangan dan keahlian. Keadaan yang sama berlaku pada Amanah yang paling kurang dari segi jumlah kerusi. Parti berkenaan cuba menambahkan  jumlah keahlian kepada 500,000 menjelang pilihanraya ke 15 dan menambahkan cawangan yang setakat ini 159 cawangan. Pertambahan ahli dan cawangan dan kemenangan dan mendapat jumlah kerusi yang lebih sebagai parti pemerintah memberi kuasa rundingan dan penguasaan dalam parti dan pemerintahan. Setakat ini parti yang terkuat dalam PH ialah PKR dan PKR sedang memperkuatkan kedudukan dengan mengadakan pemilihan parti bagi mengangkatkan pimpinan bersama Anwar Ibarahim antara sama ada Azmin Ali yang kini mendapat jumlah undi  (60,075) dan Rafizi (56,083). Parti ini makin mendapat sokongan yang bererti makin mempertingkatkan kekuasaan.
Contoh yang baik persengkitaan dalaman dapat dilihat dari persengkitaan dalam Pas antara sesama pemimpin yang  berakhir dengan keluarnya sebahagian dari pemimpin dan menubuhkan parti Amanah (16 September 2015) dan bersatu dengan PH dan sama berpeluang memerintah.
Politik adalah seni mendapat kekuasaan, namun di dalamnya  berlaku persengkitaan luaran dan dalaman akibat dari perebutan kekuasaan.
Sekian.