May 18, 2020

KOMUNIKASI : DULU DAN KINI


KOMUNIKASI:  DULU DAN  KINI
(Sempena Hari Komunikasi – 17 Mei)

Bayangkan  di awal kemerdekaan
Aku masih ingat dalam keadaan cemas
Mau hubungi keluarga jauh tentang kematian
Perlu ke `Rumah Pasung` mohon penggunaan telefon
Tidak mudah mendapat kebenaran  menggunakan.

Bayangkan hingga  awal 1960
Jika dari Kuala Terengganu  ke Kuala Lumpur
Perlu menaiki bas atau teksi bersambung
Merentasi sungai sepuluh buah feri
Untuk sampai memakan masa dua hari
Untuk tunai  Hajii naik kapal laut 20 hari
Tiga bulan masa pergi dan pulang.

Sumber berita adalah dari Radio Malaya
Naskhah akhbar berharga  10 sen
Tiba sehari lebih lewat dari tarikh diterbitkan
Dibaca oleh kalangan  yang dianggap terpelajar.

Kini di zaman komunikasi canggih
Ke Makkah dalam tempoh lapan jam
Maklumat  dicapai di hujung jari
Komunikasi dan urusan atas  talian
Transaksi  tanpa perlu kehadiran
Sidang  dan mesyuarat secara maya
Segalanya dilakukan dengan segera.

Komunikasi makin canggih
Dunia hilang peta dan sempadan
Sepatut manusia makin bersaudara
Realitinya  mereka  sering bersengketa.

(Fikrah Bangi:  565).
BBB: 25 Ramadhan 1441H. = 18 Mei 2020 (Isnin).

May 17, 2020

GURU DAN ILMU PERTINGKAT DARAJAT


GURU  DAN ILMU  PERTINGKAT  DARAJAT
(Sempena Hari Guru 16 Mei)

Bermula dari mengenal
Huruf  dan angka
Dari ABC  ke  123
Hinggalah ke pringkat profesor
Ulama`  , teknokrat ke pemimpin negara
Dan semua peringkat warga membaca
Dicelik sedar  oleh guru berjasa.


Guru adalah permata cahaya
Menyinar  minda dan hati nurani  manusia
Tiap daripada kita dicanai guru dengan ilmu
Hingga kita berada di mana  kita.

Pun begitu setiap kita
Berpeluang memperbaiki diri
Melalui guru dengan berusaha
Menurut bidang, kemahuan dan kepakaran
Melalui guru dipelajari ilmu  meningkat diri
Di mana ada kemahuan di sana guru  membimbingkan
Guru dan ilmu faktor  tingkat  kemajuan
Pun begitu ilmu tiada batasnya
Tuntutan mempelajainya sepanjang hayat
Bukan  semata  untuk kedudukan dan pangkat
Tetapi kepuasan  ilmu  demi  ilmu
Bekalan dunia akhirat.

(Fikrah Bangi:  564),
BBB:  24 Ramadhan 1441H. = 17 Mei 2020M. (Ahad).

May 15, 2020

MASJID KEMBALI DIIMARAHKAN DENGAN JUMA`AT


MASJID  KEMBALI DIIMARAHKAN DENGAN JUMA`AT

Ai-hamdulillah setelah dua bulan  Juma`tat  ditangguhkan
Terakhir 18 Rajab 1441 bersamaan 13 Mac 2020
Pada hari ini  Covid-19  diisytihar wabak negara
Dan tiada Juma`at pada minggu berikutnya
Sesungguhnya Covid-19 musuh dunia dan umat
 mengubah norma ibadat termasuk solat Juma`at.

Pun begitu kembali Juma`at secara bertahap
Mulai dari masjid  pilihan  - di Selangor kemudian
Diluaskan  pada minggu-minggu berikutnya
Namun ada sedikit perbezaan dengan  Persekutuan
Minimum tiga dan maksimum tiga puluh
Manakala Selangor sama minimum
Tapi maksimum tidak lebih dua belas
Perbezaan ini didasarkan  pendapat kuat
Dari  kalangan fuqaha` dijadikan pegangan.

Para jama`ah Juma`at  yang terpilih
Dikehendaki mematuhi SOP ketentuan
Usia tidak melebihi  60  tahun
Kehadiran dicatat pada buku disediakan
Berwudhuk dari rumah, memakai maska
Bersuhu tidak lebih 37.4C dan membawa sajadah sendiri
Pihak masjid dikehendaki menyediakan hand sanitizer
Di pintu-pintu masuk  ke masjid diguna jama`ah
Jama`ah menjarakkan diri dua meter elak jangkitan
Khatib membaca khutbah disediakan
Perjalanan solat  adalah secara ringkas diiringi
Do`a keselamatan  dan pulih dari wabak
Jama`ah dikehendaki segera bersurai sebaik Juma`at selesai
Adapun solat waktu  masih mengikuti SOP ditentukan
Imam, Bilal dan Siak menurut giliran.

Cahaya Juma`at mulai bersinar
Diharap dalam masa terdekat
Semuanya kembali kepada normal
Insya Allah.

(Fikrah Bangi: 563),
BBB:  22 Ramadhan 1441H. = 15 Mei 2020M. (Juma`at).

May 14, 2020

KEHIDUPAN RAHMAT DARI AL-RAHMAN


KEHIDUPAN RAHMAT DARI AL-RAHMAN
Sempena  World Qur`ani Hour  (20 Ramadhan 1441H.
=  13 Mei 2020M.)

Kehidupan adalah kurniaan
Mari kita menekuni  keilmuan
Dengan membaca Al-Qur`an
Memahami,  mendalami dan menghayati
Lempah rahmat mencurah diterima  insan.

Puji-pujian pada keagungan Tuhan
Kehidupan juga  adalah ujian
Dengan bala, ketakutan dan kematian
Seperti ancaman Covid-19 menyerang
Seluruh dunia menuju ke angka  juta kematian
Akibat  kemungkaran dilaku tangan  manusia
Mari kita munajat dan mencari penawar
Dengan mengharap sebagaimana sabda Baginda
Tiap penyakit ada obat kecuali mati.
Kita sebenarnya tiada upaya menentang
Walaupun sekecil virus tiada kelihatan
Tanpa lindungan  dari  Rahmat  Al-Rahman.

Kehidupan mengajar kita
Keangkuhan semata  memusnahkan
Covid-19 sebaik pengajaran
Yang mengaku berkuasa
Lebih teruk menerima penangan
Tiada yang lebih mulia dalam kehidupan
Dari kasih sayang dan bertolong-tolongan
Mesej penting dari Al-Rahman.

(Fikrah Bangi:  562),
BBB: 21 Ramadhan 1441H. = 14 Mei 2020M. (Khamis).