October 7, 2020

 

TABURAN  UNIVERSITI:  KEWAJARAN ?

(Fikrah Bangi: 760).

BBB:  19 Safar 1442H. = 07 Oktober 2020M. (Rabu).

 

Separuh daripada universiti awam adalah bertempat di Kuala Lumur dan hampirkeseluruhan universiti swasta juga bertempat di Kuala Lumpur. Sememangnya dilihat dari segi kewajaran, selayaknya ia berada di Kuala Lumpur, sebagai ibu kota, pusat kemajuan dan  tumpuan bagi segala keperluan, termasuklah pelajaran. Tetapi dari satu segi, terutama dari segi kesesuaian tidak seharusnya semua universiti  tertumpu di Kuala Lumpur. Adanya universiti di setiap negeri, dilihat sebagai sesuatu yang wajar dan demokratik. Tetapi pilihan utama bagi pelajar adalah untuk belajar di universiti-universiti di Kuala Lumpur, kerana universiti-universiti terkenal  berada di Kuala Lumpur. Kecualilah kelulusan pelajar tidak begitu cemerlang, maka di samping memohon universiti terbaik yang berada di Kuala Lumpur, maka universiti negeri juga sama dipohon.

Walau bagaimana  dilihat dari segi keperluan, misalnya universiti yang menawarkan kursus perubatan wajar ada  di wilayah yang belum ada kursus berkenaan, misalnya  di bahagian selatan tanahair, juga di Sabah dan Sarawak. Dengan adanya pengajian dan perkhidmatan perubatan yang lebih dekat menyenangkan penduduk di satu-satu wilayahj mendapat perkhidmatan. Universiti yang menawarkan kursus yang berhubung dengan pertanian wajar berada di wilayah yang terkenal dengan pertanian.  Selepas UPM yang dulu dikenali dengan Universiti Pertanian Malaysia, dilihat kursus  atau universiti berkaitan tidak ada. Sebenarnya keperluan kepada universiti sedemikian adalah perlu. Misalnya Universiti Agro-Teknologi perlu berada di Kedah. (Kedah memohon untuk mendirikan Universiti Teknikal). Universiti sedemikian juga wajar diadakakan di Sarawak dengan  nama misalnya Agro-industri, juga berada di kawasan yang banyak kelapa sawit seperti di Pahang. Manakala  universiti yang menumpukan bidang marin wajar ditumpukan di Sabah dan di Terengganu (peranannya dilakukan oleh UMT). Demikian dengan universiti yang bersifat invironment dan Pelancungan wajar didirikan di Langkawi dan Sabah.

Satu bidang lagi yang patut diberi perhatian ialah  seni-budaya, walaupunsudah ada Universiti Aswara di Kuala Lumpur, wajar universiti sedemikian didirikan di kawasan yang banyak elemen seni-budaya seperti di Sabah atau Sarawak aau di Kelantan.

Universiti berasaskan teknologi, engineering dan industri dilihat wajar berada di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar seperti sedia ada misalnya di USM, Johor dengan UTM, di Selangor selain dari UTM, ialah UNISAL. Satu bidang  yang  mendominasi hidup masyarakat ialah bidang politik. Setakat ini tidak ada universiti yang bernama politik. Bidang ini  adalah menjadi satu kursus sahaja dengan dikenali dengan Jabatan  Sains Politik dan antaranya diletak di dalam Jabatan Sejarah. Untuk meletakkan arah politik yang wajar dan cadangan-cadangan yang membina, bahkan mencadangkan pendekatan politik yang wajar bagi negara wajar diwujudkan universiti khusus misalnya Geo-Politik Negara dan Antarabangsa. Diharap dengan adanya universiti sedemikian dapat memantapkan politik negara yang senentiasa bergelora itu.

Satu bidang yang agak banyak dianjurkan oleh universiti, bahkan menjenamakan universiti, ialah Islam yang hampir keseluruhan bertapakdi Kuala Lumpur, iaitu seperti Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Sains Islam, di samping bersifat fakulti di UKM, atau akademi di Universiti Malaya. Di samping kewajaran universiti-universiti berkenaan berada di Kuala Lumpur bagi pelajar tempatan dan antarabangsa, wajar pula diadakan di wilayah-wilayah yang  terkenal dengan keutuhan Islam, misalnya di Kedah, di Kelantan, bahkan di Terengganu (sudah ada Universiti Sultan Zainal Abidin ?). Universiti sedemikian tidak semestinya bersifat antarabangsa dan moden, sebaliknya perlu ada yang bersifat tradisi yang menjadi pegangan dan amalan kehidupan rakyat. Turath setempat yang banyak dihasilkan oleh ulama setempat dan Nusantara wajar dibongkar dan dihighlightkan. Islam di Nusantara adalah setara dengan negara-negara Islam yang lain (selain dari Makkah dan Madinah), tetapi selama ini turath yang ada di dalam perbendaharaan kita terabai dan tidak dikaji sewajarnya. Pengajian sedemikian wajar didirikan seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengajian Islam  dari segi pendekatannya dilihat sebagai mengulangi yang sedia ada dan kurang diperkembangkan. Pengajian  Islam di Malaysia hendaklah ditingkatkan, bahkan sewajarnya Islam di Malaysia dan Nusantara menjadi kiblat keilmuan  Islam. Selain dari turath tradisional, di Malaysia berkembang pendekatan moden seperti kewangan Islam, ekonomi Islam, hub halal dan haram, wakaf dan berbagai jenama baru dan keilmuan yang baru yang berkembang di negara ini.

Universiti adalah agent yang meningkatkan ilmu, taburannya selain dari bertempat diibu kota, wajar juga ditempatkan di mana releven dengan keilmuan yang mau dikembangkan, termasuk kewajaran dari segi taburan bidang-bidang tumpuan bagi universiti.

Sekian.

October 6, 2020

 

TABURAN  PENUBUHAN UNIVERSTI  DI MALAYSIA

(Fikrah Bangi: 768),

BBB: 18 Safar 1442H. =  06 Oktober 2020M. (Selasa).

Berbagai cara  penubuhan universiti di Malaysia. Apa yang dapat dikatakan bahawa  penubuhan bukan dari perancangan asal diatur dan diikuti perancangan awal dari  induk yang telah dirangka.

Sebagaimana  dikatakan, bila Malaya merdeka pada tahun 1957 tidak ada universiti di Malaysia. Keperluan kepada wujudnya universiti disedari. Selama ini, bagi menyambung pengajian bagi pelajar di Malaya berkelayakan, maka tempatnya ialah di Singapura. Dari kesedaran kepada keperluan, maka pecahan dari Universiti di Singapura diwujudkan di Malaya pada tahun 1959 di Lembah Pantai, di Kuala Lumpur. Pelajar peringkat menengah sudah wujud di Malaya melalui kelulusan MCE dan HSC. Naib Canselor pertama yang mengetuai Universiti Malaya ialah Profesor Openheimph pakar dalam bidang matematik.

Manakala universiti ditubuh di atas desakan, ialah Universiti Kebangsaan Malaysia. Pihak NGO.  rakyat dan berbagai organisasi mendesak supaya ditubuhkan UKM sebagai saluran bagi Dasar Pelajaran yang dirangka sejak 1956 itu, maka akhirnya kerajaan akur dan UKM ditubuhkan pada 18.5.1970 bermula dengan kampus di Jalan Pantai, berhampiran dengan Universiti Malaya dan kemudian berpindah ke kampus tetap di Bangi (1977). Ada yang ditubuhkan di atas cadangan, msalnya Universiti Pertanian Malaysia ditubuhkan atas cadangan menaikkan taraf  Kolej Pertanian di Serdang dan dipersetujui, maka pada tahun 1973 Kolej Pertanian Serdang dinaikkan kepada taraf  universiti, maka Tan Sri Rashdan Baba yang menjadi Naib Canselor di UKM dikembalikan ke UPM sebagai Naib Canselor di UPM, kerana sebelum ke UKM beliau adalah Pengetua di Kolej berkenaan. Manakala USM, memang dirancangkan untuk ditubuhkan sebelum timbulnya desakan menubuhkan UKM, penubuhan USM dilakukan pada tahun 1973.

Ada beberapa universiti ditubuhkan di atas cadangan, misalnya  beberapa tenaga dari  UKM  mencadangkan agar ditubuhkan Universiti Utara Malaysia, tenaga-tenaga dari UKM pada peringkat awal berusaha  mewujudkan universiti di sana dan antara Naib Canselor awal adalah dari UKM seperti Profesor Dr. Nik Rashid Ismail dari UKM, juga kemudiannya Prof. Dr. Awang Had Salleh. Keadaan yang sama berlaku bagi penubuhan Universiti Malaysia Sabah, tenaga-tenaga dari UKM  merangka keperluan penubuhan Universiti Malaya Sabah dan Naib Canselor pertamanya juga dari UKM. Penubuhan Universiti Malaya Sarawak ialah hasil dari uasaha tenaga pengajar dari UPM. Kolej Pertanian di situ diangkat ke taraf universiti dan pengaruh UPM ketara peringkat awal.

Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa adalah atas cadangan dan usaha dari tenaga-tenaga akademik dari UKM pada masa Anuar Ibrahim menjadi Menteri Pelajaran. Tenaga-tenaga berkenaan seperti Dr. Kamal Hassan, Ghazali Nawawi, Dr. Syed  `Arabi dan beberapa lagi, maka usaha yang dilakukan sejak 1980an itu terlaksana dan UIAM bertempat di Kampus utamanya di Gombak dan kemudian bercawangan di Kuantan Pahang.

Peningkatan taraf dari kolej juga berlaku kepada Kolej Teknik di Jalan Semarak Kuala Lumpur menjadi Universiti Teknologi Malaysia yang kemudian kampus utamanya berpindak ke Skudai Johor dengan Ainuddin Wahid menjadi Naib Canselor pertamanya, manakala kampus awalnya  masih kekal di Jalan Semarak,Kuala Lumpur.

Selepas tahun 2000 ditubuhkan universiti-universiti negeri-negeri. Antaranya ialah Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Terengganu,  Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Malaysia Johor di Pagoh, Johor yang kemudian dikenali dengan Universiti Tun Hussein Onn, manakala MARA meningkatkan taraf institutnya kepada universiti menjadi Universiti ITM dan kemudian mempunyai cawangannya di berbagai tempat di berbagai negeri.  Institut diasas secara kerjasama seperti dengan Perancis di Bangi diangkat menjadi Universiti Kuala Lumpur, manakala Institut German Malaysia yang juga di Bangi masih kekal di Bangi.

Selepas 2000 sebahagian dari universiti diasas oleh Badan Koperat bagi mengeluarkan pelajarnya sendiri yang sesuai dengan keperluan badan berkenaan seperti Uniten di Bangi diasas oleh Tenaga Nasional, Universiti Infra Struktur diasas oleh Kerjaraya, manakala Universiti Petronas diasas oleh Petronas di Tronoh Perak. Sebahagian dari universiti diasas oleh negeri seperti Universiti Darul Iman yang bertukar kepada nama Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu, Universiti Sultan Azlan di Perak dan Universiti Teknikal, Melaka. Beberapa universiti diasaskan secara swasta seperti Universiti Multi Media seperti di Cyber Jaya, Selangor, Universiti Selangor (Unisel) oleh Kerajaan Negeri Selangor, Universiti  Management, Kuala Lumpur dan beberapa yang lain.

Sebahagian dari penubuhan  universiti di negara ini adalah bersifat cawangan  bagi universiti di luar negara seperti Universiti Nottingham, di Semenyih Selangor, Taylor University, Manipal University di Nilai, Negeri Sembilan, Reading University di Kuala Lumpur dan beberapa cawangan universiti lagi.

Sebagai kesimpulan berbagai cara penubuhan universiti di negara ini dan kebanyakannya bukan dari inisiatif asal dari kerajaan. Dari segi taburan, universiti-universiti berkenaan banyak tertumpu di Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan pusat komersil, di sini juga menjadi pusat keilmuan yang menjadi tumpuan pelajar bukan saja di dalam negara, bahkan dari  luar negara.

Sekian.

October 5, 2020

 

PELUANG  KE UNIVERSITI

(Fikrah Bangi:  767),

BBB: 17 Safar 1442M. = 05 Oktober 2020M. (Isnin).

Peluang belajar di universiti adalah satu rahmat. Peluang ini tidak dapat melainkan oleh orang yang rajin dan cintakan keilmuan. Sebagaimana disebut sebelum 1970an peluang belajar di universiti amat sukar, kerana universiti di negara ini hanya sebuah,iaitu Universiti Malaya (1959).

Peluang  belajar di universiti makin terbuka selepas  1970, kerana bertambahnya  pengajian pada peringkat menengah dan hingga ke akhir 1990an terdapat hampir  10 buah universiti Awam di negara ini. Sehingga kini terdapat 20 IPTA dan 10 buah IPTS. Peluang bagi 5.7 juta pelajar di negara ini menyambung pelajaran ke universiti semakin luas.

Belajar di universiti memberi peluang bagi pelajar meningkatkan keilmuan yang dipilih. Dengan ilmu mengangkat darjat seseorang pelajar dan dapat mengubah nasib dan banyak peluang.  Mendapat pelajaran selepas 1970  mendapat banyak peluang . Pada masa itu pekerjaan mencari pelajar. Untuk mendapat pekerjaan tidak sukar, sebaliknya pelajar ditawarkan dengan berbagai peluang pekerjaan. Kerja boleh dipilih. Hingga ke akhir 1990an dapat dikatakan pelajar yang lulus universiti masih tidak sukar mendapat pekerjaan.

Dengan peluang belajar di universiti memperingkatkan kualiti rakyat dan negara.

Sekitar 1960an kelulusan sekolah rendah dengan baik,masih berpeluang mendapat pekerjaan termasuk menjadi guru sekolah rendah, tetapi selepas 1970an kelulusan SRP menjadi syarat minimum bagi mendapat pekerjaan  dan kini SPM adalah menjadi syarat minimum bagi mendapat pekerjaan yang baik. Ini mencerminkan tingkat keilmuan rakyat bertambah baik yang bererti meningkatkan kualiti taraf rakyat dan negara.

Namun  selepas peluang pengajian di universiti makin terbuka dan ramai graduan yang keluar, mutu dan peluang pekerjaan bagi lulusan universiti semakin berubah. Dalam tempoh  60 tahun (1959-2020) perubahan ketara  berlaku. Kalau separuh pertama tempoh perkembangan universiti graduan dari bidang apa pun  tidak sukar memilih pekerjaan, tetapi selepas 1990an. Peluang pekerjaan yang baik terbuka kepada lulusan bidang yang lebih diperlukan. Dalam masa universiti menawarkan berbagai bidang pengajian, maka bidang-bidang  utama seperti doktor perubatan, jurutera, bidang ekonomi, perniagaan dan penindustrian lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan yang lulus dalam bidang sastera dan bidang-bidang yang kurang diperlukan di dalam pekerjaan.

Dalam  bidang pekerjaan mutakhir, para  graduan  lebih diperlukan jika ada kelulusan di dalam bidang kemahiran, lantaran itu, bagi melariskan pasaran graduan, maka  universiti-universiti merangka kursus bersama dengan keperluan kemahiran. Misalnya mensyaratkan pelajar mengambil kursus  industri dan praktikal menurut bidang-bidang yang dipelajari. Lantaran itu pengajian yang bersifat amali saeperti Universiti Teknikal mendapat sambutan pelajar dan industri-industri yang menawarkan pekerjaan.

Dengan banyaknya universiti dan ramainya graduan makin menyukarkan peluang pekerjaan, terutama bagi lulusan yang tidak  begitu berkait dengan pasaran pekerjaan. Bagi meningkatkan kualiti universiti  menawarkan peluang pembelajaran pada peringkat yang lebih tinggi, kalau dulu bidang pengajian pada tahap sarjana muda cukup untuk menjadi pegawai pada peringkat yang baik, juga bagi menjadi guru pada peringkat menengah, kini bagi meningkatkan kelulusan dan peluang pekerjaan, bahkan meningkat kualiti keilmuan dan kemahiran bagi mereka yang sedang bekerja, maka pembelajaran pada peringkat sarjana  menjadi tahap pengajian yang lebih bermutu. Kini ramai dari pelajar meneruskan pengajian pada peringkat sarjana, bahkan bagi keperluan  sebagai seorang pensyarah pada peringkat pengajian tinggi dan bidang-bidang khusus diperlukan kelulusan pada peringkat Dr. Falsafah. Bidang-bidang pilihan bagi menyambung pengajian adalah bidang-bidang terpilih, lantaran jika bidang yang tidak berkait dengan pasaran pekerjaan tidak mendapat sambutan.

Dalam masa keperluan kepada bidang  keilmuan yang baik, pihak universiti juga tercabar. Lantaran dalam masa bidang-bidang utama pengajian menjadi pilihan pelajar, maka kualiti universiti juga menjadi pilihan. Universiti yang terbaik di dalam berbagai bidang  dan bidang khusus adalah lebih menjadi pilihan bagi pelajar yang tentunya pelajar yang tinggi mutu kelulusan. Lantaran itu universiti-universiti memperbaiki prestasi dan kedudukan. Ranking universiti pada peringkat dunia, Asia atau Asia Tenggara diterbitkan oleh badan penilai universiti-universiti. Ini adalah salah satu ukuran dan kedudukan universiti.

Kita melihat semarak keilmuan sedang berlaku di negara kita dan kita berharap keutamaan terhadap ilmu menjadi matlamat negara, agar negara kita dapat disifatkan `Negara Berilmu` .

Sekian.

October 4, 2020

 

UNIVERSITI AMAT TINGGI PADA TANGGAPAN

(Fikrah Bangi:  766),

BBB:   16 Safar 1442H. = 04 Oktober 2020M. (Ahad).

Pada ketika diri masih pada peringkat sekolah rendah, bahkan pada ketika umur pada peringkat permulaan sekolah menengah pengajian di universiti sesuatu yang  tidak mungkin dicapai. Ia adalah pengajian begitu tinggi dicapai dan tidak mungkin bagi orang biasa. Universiti pengajian yang amat tinggi. Tanggapan  pada masa orang mengaji di universiti ialah yang mampu menguasai semua ilmu !

Semasa negara sedang berjuang untuk kemerdekaan, individu yang lulus universiti boleh dibilang dengan jari. Tiada wujud lagi universiti di negara ini. Seolah tiada rakyat yang layak. Menjelang kemerdekaan yang tercetus bagi mewujudkan pengajian tinggi di negara ini ialah  pada peringkat kolej. Atas kemurahan hati  DYMM Sultan Hishamuddin Sultan Selangor Baginda menghadiahkan bangunan istana di Klang menjadi kampus bagi pengajian  tinggi terawal di negara ini, iaitu Kolej Islam Malaya (1956). Untuk mencari anak tempatan mengetuai kolej ini menjadi kesukaran,lalu Profesor Dr. Abdul Rauf dari Timur Tengah dijemput menjadi Pengetua Pertama. Sememangnya berkat dari keikhlasan Tuanku Sultan, ramai cendekiawan dan pemuka-pemuka tanah air lahir dari sini.

Menjelang kemerdekaan, negara belum mempunyai universiti, yang ada pada masa itu ialah Universiti Singapura. Tiada mudah bagi rakyat negara ini untuk menyambung pengajian di sini. Hanya yang benar-benar berkelayakan dapat menyambung pengajian di sana. Permulaan kemerdekaan mereka yang lulus dari universiti dapat dibilang dengan jari. Yang diketahui dari Malaya yang lulus dari universiti Singapura kebanyakannya di dalam bidang sastera seperti Ali Ahmad (Nora) yang pernah menjadi Menteri Kabinet Malaya, Hasan Ahmad (Pengarah Dewan Bahasa),  Anis Sabirin (Penulis), Aminuddin Baki (Pendidikan)  dan beberapa yang lain. Manakala bidang sains lebih sedikit, mereka seperti Mahathir Mohamad, Hasmah Ali, Ungku Omar dan beberapa yang lain. Dalam bidang agama seperti Abdul Jalil Hasan, Nik Mahyuddin dan beberapa  pensyarah Kolej Islam yang mereka lulus dari Mesir. Yang lulus dari England seperti Tunku Abdul Rahman dalam bidang undang-undang dari  England  dan Abdul Razak Hussein juga dari England. Dalam bidang ekonomi seperti Ismail Ali dari London. Dan beberapa yang lain dalam bidang-bidang yang lain. Apa yang dapat dikatakan pada zaman permulaan kemerdekaan amat kurang yang berkelulusan universiti.

Kelulusan yang dianggap tinggi di dalam negara yang layak menjadi pegawai dan pentadbir ialah yang lulus Malayan Certificate of Education  (MCE), iaitu taraf pengajian menengah yang menggunakan bahasa Inggeris.

Ketiadaan pengajian pada peringkat universiti di negara ini adalah merupakan kekurangan. Menjelang kemerdekaan sudah diwujudkan Dasar Pelajaran di negara ini yang dikenali dengan Dasar Pelajaran Razak (1956) yang menjadi panduan bagi Dasar Pelajaran Negara dan juga Dasar Bahasa Negara. Menurut perancangan 10 tahun selepas kemerdekaan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi dan sepatutnya sepuluh tahun selepas itu selepas diwujudkan pengajian pada peringkat menengah,maka universiti  yang menggunakan bahasa kebangsaan diwujudkan. Tetapi sebelum wujudnya universiti beraliran kebangsaan, universiti yang diwujudkan di negara ini ialah Universiti Malaya (1959) di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Ia adalah belahan dari Universiti Singapura yang menampung pelajar yang lulus MCE dan HSC terbaik di Malaya. Dalam tempoh transisi pengajian menengah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu yang diberi peluang menyambung ke pengajian  di Universiti Malaya bermasalah,kerana tidak mampu menguasaibahasa Inggeris ? Ramai dari pelajar berkenaan tidak mencapai kelulusan yang baik,bahkan ada yang gagal. Sepatutnya menguasai bahasa Inggeris ini bukan bermasalah, kerana bahasa ini dipelajari sama pada peringkat menengah.

Lantaran  itu perjuangan mewujudkan universiti yang beraliran kebangsaan menjadi isu dalam dekad 1960an. Apa yang nyata hingga ke akhir 1960an negara kurang dari pengajian peringkat universiti. Sebuah universiti saja di negara ini tidak memadai. Kesedaran sepatutnya tidak pada isu bahasa sahaja, tetapi pada isu mutu pengajian yang sepatutnya  dituntut bersama mewujudkan  universiti-universiti di negara ini.

Mulai dari dekad 1970an  memperlihatkan kelahiran beberapa universiti di negara ini,  misalnya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak.

Universiti amat dipandang tinggi. Dengan pertambahan pengajian tinggi di negara ini diharap mempertingkatkan mutu pengajian dan mempertingkatkan kemajuan negara yang diharap antaranya  digerakkan  oleh daya intelektual dari pengajian-pengajian tinggi di negara ini.

Sekian.

October 3, 2020

 

COVID-19 MENINGKAT, GANGGU PENGAJIAN

(Fikrah Bangi: 765),

BBB: 15  Safar  1442H. =  03 Oktober 2020M. (Sabtu).

Pada  siri yang  lepas kita  telah membicarakan  tentang sistem  persekolahan dari peringkat rendah membawalah kepada Sijil Tinggi Persekolahan yang kita cadangkan ianya merupakan pada  tahap  kolej yang darinya pelajar disalurkan ke universiti, maktab, kolej teknikal dan berbagai-bagai latihan bagi pasaran pekerjaan.

Semua peringkat pengajian hendaklah ditingkatkan mutu pengajian  supaya kualiti pengajian di negara  ini bernilai tinggi. Gerakan peningkatan mutu hendaklah dilakukan mulai dari 2020 yang dianggap zaman baru bagi negara bagi menuju kepada kecemerlangan. Walau bagaimana, mala petaka di dunia – termasuk di negara kita dengan  berlakunya wabak Covid-19 sejak dari awal Januari 2020. Gangguan  akibat dari wabak ini berlaku, persekolahan yang sepatutnya berjalan seperti biasa terganggu. Persekolahan tertangguh hingga Ogos 2020.  Dalam masa tersebut berlaku norma baru dari segi pembelajaran,walau bagaimana  tidak semua dapat mengikutinya oleh ketiadaan internet, ketiadaan  computer dan peralatan diakibatkan oleh kemiskinan atau di luar dari kawasan capaian.

Persekolahan yang dimulai sejak bulan Ogos itu, mengutamakan pelajar-pelajar yang mau mengambil peperiksaan seperti SPM dan STPM, kemudian melibatkan semua pelajar dari peringkat rendah hinggalah ke Menengah. Malangnya selepas Pilihanraya Negeri Sabah pada 26 September yang lepas, tiba-tiba Covid-19 melonjak kembali  di Sabah  dan jangkitan darinya berlaku di berbagai negeri yang dibawa balik oleh mereka yang ke Sabah menyertai kempen pilihanraya.

Pada  3 Oktober 2020 (Sabtu) kes baru tertinggi sejak wabak berlaku dinegara ini iaitu 287 kes dalam sehari dengan kes yang pulih ialah 51, kematian  136, kes positif ialah 11,771 dan yang masih di dalam siasatan ialah 1,540 (BH, 03 Okt. 2020: hlm. 1). Sebagaimana kes Gangga di Kedah sebelumnya mengakibatkan  sebahagian sekolah di negeriitu ditutup, maka  ada sebahagian sekolah di Sabah tempat berpuncanya merebak Covid-19  seperti 50  buah sekolah di Semporna ditutup sekolah (The Star,  03  Oct. 2020: 1). Menurut Sinar Harian kemungkinan semua sekolah di Sabah akan ditutup (Sinar Harian, 3 Okt. 2020: 6).

Kesan dari Covid-19 ini tidak saja berlaku kepada persekolahan, tetapi kebanyakan universiti yang memulakan pengajian pada awal Oktober ini dengan kehadiran sendiri pelajar bagi pendaftaran terpaksa mengubah jadual kepada pendaftaran secara atas talian. Oleh kerana berita lewat diterima, ada kalangan keluarga dari jauh sudah sampai ke universiti untuk pendaftaran. Setengahnya melahirkan kekeciwaan, lantaran antara mereka telah menempah tiket kapal terbang untuk mengringi anak-anak mereka mendaftar. Sebahagian daripada mereka telah menempah hotel dan rumah sewa.

Kesan Covid-19 tidak saja terhadap pendidikan, tetapi juga kepada berbagai sektor yang merencatkan kegiatan ekonomi. Sebagai contoh sejak Ogos tahun ini sebanyak  745,100 menjadi penganggur yang memburu  pekerjaan. Ia merupakan 4.7% daripada pasaran pekerja di negara  ini yang hilang pekerjaan (The Star, 03 Oct. 2020: 05).

Ancaman Covid-19   tidak saja berlaku di negara kita, tetapi lebih teruk lagi di negera-negara yang lain. Sehingga kini kematian seluruh dunia melebihi satu juta jiwa. Daripada  jumlah negara yang tertinggi dari segi wabak ialah Amerika  (USA)

USA     Confirm Case  7,267,593,   Kematian   209,177     dan  pulih  4,524,408

India           ,,          ,,     5,006823            ,,             94,550        ,        ,,      4,941,627

Brazil           ,,          ,,     4,718,115           ,,            141,441       ,        ,,      4.050.837

Rusia            ,,          ,,     1.151,438           ,,               20,324      ,         ,,         943,218.

 

Dengan angka semakin menurun diikuti oleh negara-negara Colombia, Peru,  Spain,  Mexico, Argentina dan South Africa. (The Star, 28 Sept. 2020: 6).

Antara negarawan yang  diserang oleh Covic-19 sebagai berita terbaru ialah Presiden Amerika Donald Trump dan isterinya Melania sebagai First Lady di America. Turut mengalami wabak ini dan telah pulih ialah Perdana Menteri British Boris Johnson. Berita terbaru beberapa menteri di negara kita yang berkempen di Sabah turut mengalami wabak Covid-19.

Jelas wabak Covid-19 adalah ancaman kepada dunia. Ancaman kepada ekonomi, pekerjaan, pelancungan juga pelajaran.

Kita mendoakan kepada Allah agar Covid-19 segera dapat dihapuskan. Dengan demikian pemerintahan negara dapat kembali licin, rakyat dapat memulihkan pekerjaan dan ekonomi dan pelajar-pelajar dapat kembali belajar dengan tenteram dan menghasilkan pencapaian dengan  cemerlang.

 

Sekian.

October 2, 2020

 

PENDIDIKAN  PRA-SEKOLAH

(Fikrah Bangi: 647).

BBB: 14 Safar 1442H. = 02 Oktober 2020M. (Juma`at).

Dimaksudkan pendidikan pra-sekolah, ialah pendidikan selepas bayi dihantar ke taman  asuhan dan menjelang persekolahan formal, ketika anak-anak berumur antara 4- 6 tahun. Berbagai nama diberi kepada pendidikan pra-sekolah ini, antaranya tadika, tabika, taska, pasti dan berbagai lagi. Adalah menjadi trend pendidikan, bahawa  bagi anak-anak yang berada  di dalam lingkungan  di atas, maka ibu bapa akan menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah tadika atau yang seumpama nama dengannya. Penghantaran  bukan kerana ibu bapa bekerja, tetapi bagi ibu yang tidak bekerja juga. Ibu bapa mengharapkan anak—anak mereka  didedah dengan pendidikan  pra-sekolah,  mampu mengenal huruf, membaca dan mengira. Anak-anak menjadi pandai lebih awal dan lebih mudah bergaul dengan anak-anak yang lain dan tidak ketinggalan mendapat pelajaran berbanding dengan anak-anak yang lain yang kebanyakan mereka mendapat pendidikan  pada peringkat pra-sekolah.

Persesoalan  yang timbul apakah pendekatan pengajian dan mutu pembelajaran dan pendidikan  yang diterima anak-anak ? Apakah pihak yang mengendalikan pendidikan lebih mementingkan aspek komersil dari tujuan pendidikan per se  ? Sewajarnya pihak ibu bapa dan kerajaan memberi  perhatian. Sesungguhnya pendidikan tahap sedemikian sudah menjadi sebagai keperluan,bahkan kemestian bagi ibu bapa.

Kita berpendapat  tahap pendidikan ini wajar diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan. Jika tahap ini tidak diambil secara terus oleh pihak Kementerian, maka sewajarnya pendidikan sedemikian dipantau secara dekat. Perkara-perkara seperti berikut diberi penekanan.

1)    Penyeragaman kurikulum dan penyesuaian hendaklah dipastikan bermutu dan ianya hendaklah disediakan secara profesional oleh Kemnenterian Pendidikan. Ianya hendaklah disedia dan diselia penggunaan dan perjalanannya.

2)    Guru-guru hendaklah berkelayakan. Kementerian Pendidikan hendaklah membuat syarat keperluan, memilih dan memberi kursus yang perlu diikuti dan perlu lulus sebelum seorang guru itu berkhidmat sebagai seorang guru yang bertauliah dan berjawatan tetap.

3)    Mempunyai bangunan yang sesuai sebagai bangunan pendidikan, mempunyai kelas secara teratur dan menurut keperluan dari segi kesaihatan.

4)    Mempunyai kantin bagi makan minum kanak-kanak secara bersih dan sihat. Mutu makanan hendaklah dijaga dan dipantau.

5)    Mempunyai padang permainan anak-anak untuk riadah dan berbagai kegiatan fizikal.

6)    Sebaiknya  bangunan persekolahan bukan milik perseorangan, tetapi oleh pihak kerajaan dan mendapat biaya dari pihak kerajaan.

7)    Ada jawatankuasa tadbir yang terdiri dari pihak sekolah dan ibu bapa.

8)    Ada penilaian dari segi pelajaran  oleh pihak pemerintah. Juga penilaian terhadap aspek-aspek yang lain.

9)    Bayaran yang dikenakan terhadap anak-anak hendaklah berpatutan dan dikawal pihak kerajaan.

10)                       Mendapat subsidi dari pihak kerajaan terhadap anak-anak miskin, bahkan  subsidi terhadap  sekolah.

Dan beberapa perkara lagi yang boleh ditambah. Misalnya penekanan bukan saja terhadap pendidikan pelajaran, tetapi adab dan akhlak dan latihan ibadat.

 

Mutu  pendidikan sejak pendidikan pra-sekolah ini hendaklah dijaga dan  sejak awal ini anak-anak hendaklah ditanam sifat suka kepada pelajaran dan rajin. Kesihatan anak-anak diberi penekanan dengan  beriadah. Pihak kerajaan wajar mengadakan pasukan pemantau kesihatan anak-anak dengan pasukan ini melawat dari masa ke masa menurut  jadual yang ditentukan.

Dengan melahirkan anak-anak yang  maju dalam pelajaran, sihat dan bermotivasi memudahkan anak-anak ini meningkat kepada pengajian pada peringkat pengajian sekolah rendah.

Kita mau anak-anak sejak dari peringkat taman asuhan hingga pra-sekolah diberi perhatian dari segi pendidikan bukan saja oleh pihak ibu bapa, tetapi juga oleh pihak kerajaan.

Sebagai aset negara kita mau warga negara berilmu dan sempurna.

Sekian.

October 1, 2020

 

PENJAGAAN  BAYI

(Fikrah Bangi:  646).

BBB:  13 Safar 1442H. = 01 Oktober 2020M. (Khamis).

 

Adalah tahap yang penting di dalam penjagaan  bayi. Tanpa pengetahuan yang betul boleh mengganggu dari  segi pertumbuhan bayi secara sihat dan kadangkala boleh menyebabkan kerencatan yang  mengganggu perkembangan bayi  secara normal dan sihat.

Sebenarnya dan sewajarnya bagi  satu pasangan yang  mau mendirikan rumahtangga dan bakal akan menerima anak, seharusnya dikehendaki mengikuti pakej kursus  yang lengkap yang seharusnya  diatur oleh pemerintah dengan kerjasama pihak jabatan agama dan dihadiri pasangan, iaitu:

a)      Kursus pra-berumah tangga

b)    Kursus perkahwinan

c)     Panduan keluarga bahagia

d)    Kursus penjagaan bayi

e)     Kursus kesihatan

Sepatutnya kursus disekalikan di bawah `Jabatan Keluarga Negara`.  Bagi kursus penjagaan bayi ini, sebagaimana maklum memang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dalam mana apabila seseorang ibu sudah mengandung dikehendaki  hadir ke klinik ibu bagi menjalani peperiksaan. Kehadiran diteruskan dari masa ke masa. Para ibu diberi kemudahan mendaftar diri untuk melahirkan anak di hospital seterusnya mendapat rawatan di sana sehingga ibu dan bayi pulang ke rumah masing-masing. Ada pihak keluarga yang berkemampuan memilih untuk melahirkan anak di hospital atau klinik swasta. Bagi bayi dan anak yang pulang ke rumah sememangnya mereka disusuli dan didatangi oleh jururawat dan bidan yang memastikan ibu dan anak mendapat penjagaan yang baik dan kesihatan ibu dan bayi  berada di dalam perkembangan normal di samping mengikuti nasihat dari  jururawat dan bidan kerajaan. Sewajarnya para ibu bapa  mendapat panduan dan manual lengkap yang seharusnya diikuti ibubapa di dalam penjagaan bayi  mereka,  sama ada dari segi  permakanan, ubat-ubatan dan berbagai  panduan sewajarnya  bagi  ibu bapa.

Permasalahan  yang  mencabar dihadapi  oleh  pihak  ibu bapa  ialah bagi ibu-ibu  yang bekerja.  Bagi  ibu  yang tidak  bekerja, maka  bayi  dapat  dijaga  terus oleh ibu berkenaan dengan cara  yang  lebih selamat. Adapun bagi ibu yang  bekerja  dan  berkerjaya  bila habis  tempoh  cuti,  maka si ibu dikehendaki  kembali  bekerja  dan  meninggalkan  bayi  dijaga oleh  pihak yang lain. Bagi  kepentingan  kesihatan  dan  perkembangan bayi  dan ketenteraman ibu dan juga bapa pihak kerajaan sewajarnya mempunyai perancangan  bagi kebajikan  kekeluargaan dan  perkembangan  bayi secara sihat. Antaranya:

1)    Para ibu yang melahirkan anak diberi cuti, termasuk tanpa gaji selepas tiga bulan sehingga setahun lamanya

2)    Para  ibu  dan anak dalam masa tersebut  terus mendapat rawatan  susulan dengan pihak kesihatan datang ke rumah ibu dan bayi atau dalam tempoh tertentu datang ke hospital atau klinik ibu untuk mendapat rawatan dan nasihat.

3)    Elak  para ibu yang bekerjaya dari  berhenti kerja atau meletakkan jawatan, kerana ini  merugikan negara. Kalau sesuai bagi ibu boleh menyambungkan cuti  tanpa  gaji  sehingga  dua tahun.

 

Kini adalah menjadi kebiasaan bagi ibu bekerja, selepas  tempoh cuti  bersalin  dan kembali  bekerja, terpaksaa  menghantar  bayi atau anak ke rumah  penjagaan bayi.  Permasalahan  yang dihadapi kelayakan  pengasuh-pengasuh rumah penjagaan, kualiti  makanan dan kesihatan anak yang diasuh secara ramai-ramai yang  tidak  terjamin  dari  segi kesihatan.

Beberapa  cadangan wajar  diberi perhatian:

1)    Pihak kerajaan  atau swasta  dikehendaki  menyediakan ruang perkhidmatan menjaga bayi  di mana para ibu dapat memantau dan menyusu bayi menurut waktu  tertentu.

2)     Rumah penjagaan bayi dikendalikan sepenuhnya oleh pihak kerajaan  dengan  menyediakan bangunan, jururawat  dan pekerja-pekerja sepenuh masa. Semua mereka  yang berkenaan perlu menjalani kursus dan lulus sebelum diterima bekerja di rumah-rumah penjagaan bayi.

3)    Kerajaan mengeluarkan  buku manual bagi panduan rumah jagaan yang bertauliah dan dipantau perjalanan. Ia juga sebagai panduan ibu bapa.

Semua langkah  yang diambil, lantaran  seorang bayi adalah aset negara, perkembangan secara sihat dan teratur  memberi kebaikan dan keuntungan bagi negara. Negara dan sudah tentulah ibu bapa mau seorang bayi berkembang dengan sihat dan maukan anak berkenaan bila besar berjaya di dalam pelajaran dan berjasa kepada ibu bapa, keluarga, agama dan bangsa.

 

Sekian.