October 15, 2020

 

NEGARA BERILMU  DAN  BUKU

(Fikrah Bangi: 776).

BBB:  27 Safar 1442H. = 15 Oktober 2020M. (Khamis).

Keilmuan rapat dengan kitab atau buku. Keilmuan diwarisi lantaran dirakam  oleh para ilmuan ilmu-ilmu yang  didalami. Tradisi keilmuan adalah dipelajari oleh pelajar-pelajar melalui guru dan kitab atau buku. Kitab atau buku adalah merangkuni berbagai-bagai bidang. Keilmuan di dalam Islam misalnya tafsir, hadith, akidah, fiqh, tasawuf, hisab, mantiq, falaq, ilmu alam, sejarah dan berbagai-bagai lagi. Keilmuan berkenaan dipelajari dari generasi ke generasi hingga kini. Demikianlah dengan ilmu-ilmu yang lain.

Negara berilmu adalah negara yang mempunyai ramai ulama atau ilmuan yang merakamkan ilmu-ilmu mereka,  diwarisi dan dipelajari oleh generasi-ke generasi. Buku-buku keilmuan yang lain dari di atas, ialah seperti ilmu ekonomi,  pertanian, perniagaan, sains ,teknologi, statistik, perubatan, pertanian, pelayaran, persenjataan, peperangan, komunikasi dan sebagainya.

Banyak bidang keilmuan, tetapi seseorang tidak dapat menguasai semua. Negara yang mempunyai kesedaran keilmuan mengatur pengajian kepadarakyatnya melalui pengajian pra-sekolah, sekolah rendah, menengah, atas, kolej dan universiti. Bagi menjadikan rakyat mereka yang berpelajaran,  anak-anak dihantar belajar menurut tahap tahap pengajian di atas. Mereka diajar oleh guru-guru berpengalaman sehingga pelajar-pelajar menguasai ilmu yang dipelajari dan meningkat maju hingga tahap pengajian tertinggi dan dengan keilmuan yang dipelajari, mereka bekerja dan berkhidmat kepada keluarga dan negara. Jika keseluruhan atau sebahagian besar rakyat terpelajar, maka masyarakat  dan negara akan maju.

Ilmu adalah dinamik, ianya terus dihasil dan dikembangkan. Pakar-pakar di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan terus menghasilkan buku-buku dan menjadi tambahan maklumat dan pelajaran bagi generasi. Penghasilan buku sama ada yang bersifat agama, sains, kemanusiaan dan sebagainya tidak harus dibiarkan berdasarkan minat ilmuan dan penulis semata-mata. Negara berilmu dan pemerintah seharusnya mengambil inisiatif menggalakkan para ilmuan menghasilkan buku. Bagi tenaga pengajar misalnya di universiti diberi galakan kepada yang menghasikan buku dengan kenaikan pangkat. Bagi mereka yang lain sepatutnya mendapat galakan dari kerajaan dengan bantuan dan subsidi, kerana tidak semua penjualan buku mendapat pulangan modal. Sebab itu bagi para ilmuan dan penulis seharusnya diadakan skim insentif, bila buku yang dihasilkan dan bernilai, maka diberi ganjaran.

Berbagai cara bagi menggalakkan penghasilan buku-buku di dalam berbagai bidang. Misalnya dengan mengadakan hadiah buku secara tahunan diberi kepada penulis yang menghasilkan buku yang baik. Ini melibatkan berbagai bidang penulisan seperti bidang ilmiah, sastera, agama dan berbagai-bagai lagi.

Bagi menggalakkan perkembangan buku kerajaan sepatutnya menganjurkan konvensyen tentang buku dan memperkenalkan buku-buku dan memberi ruang kepada kedai buku syarikat dan pengarang-pengarang memasarkan buku mereka. Hadiah-hadiah diberi kepada pengunjung dan pembeli buku bagi terus menggalak pengarang dan pembaca terus  menghasil  dan membeli  buku.

Kerajaan dan pihak berkenaan terus mendirikan perpustakaan di bandar-bandar dan luar bandar agar orang ramai, khususnya pelajar-pelajar datang membaca dan membuat rujukan. Bagi menggalakkan penulis menghasilkan buku-buku, kerajaan hendaklah membeli hasil-hasil buku yang baik dan dibahagian ke berbagai-bagai perpustakaan besar dan kecil. Dengan demikian sebahagian dari masalah pemasaran yang dihadapi penulis dan kedai-kedai buku dapat diatasi. Di dalam zaman IT ini, maka peralatan IT dan komunikasi kini seharusnya disediakan oleh perpustkaan. Masalah tiada capaian internet bagi pelajar-pelajar luar bandar dapat diatasi dengan menjadikan  perpustakaan pusat pembelajaran.

Bangsa yang maju ialah bangsa yang berilmu. Salah satu cara penambahan ilmu ialah dengan cara membaca. Rakyat hendaklah digalakkan membaca sejak dari kecil. Setiap pelajar digalakkan membaca sejumlah buku, katakan di dalam sebulan 5 buah buku. Jika anak-anak dapat dipupuk minat membaca sejak dari awal usia, umpamanya ada anak-anak yang diajar sejak pra-sekolah rendah dan membaca buku-buku, bahkan novel-novel  atau buku-buku cerita untuk anak-anak, insya Allah dengan minat yang ditanam ini, maka anak-anak yang sedemikian akan terus minat membaca dan anak-anak yang rajin membaca akan menjadi anak-anak yang pandai dan menjadikan mereka anak-anak yang maju dan berjaya di dalam pelajaran.

Orang dewasa juga seharusnya  digalakkan terus membaca dan kini boleh dicapai maklumat maklumat melalui internet. Kita tidak mau rakyat Malaysia, malas membaca. Kita tidak mau mendapat maklumat, rakyat Malaysia hanya  membaca sekadar 10 halaman di dalam setahun. Semua pihak digalakkan membaca yang bahan-bahan bacaan  dengan mudah boleh didapati.

Jadilah rakyat Malaysia, rakyat yang membaca berbagai-bagai buku. Jadikan negara Malaysia sebagai Negara Berilmu.

Sekian.

October 14, 2020

 

DUKA  BERGANDA

 

Ketika ancaman Covid-19 makin meningkat

Dengan  660 kes baru 163 kematian dan 16,880 positif

Negara  keheranan dengan tuntutan seorang

Yang kemarut  kuasa  berkeinginan menjadi Perdana Menteri

Dengan membawa dakwaan kepada Yang Di Pertuan Agong

Membelakang perlembagaan derita rakyat dikesampingkan

Muak kita dengan  permainan politik tak kesudahan

Tumpukanlah pada pemulihan dari wabak dan  meningkatkan ekonomi.

 

Ketika  ternyata  kesan pilihanraya Sabah 26 September menular

Jangkitan ke berbagai negeri, malangnya ada kematian di Batu Sapi

Suruhanjaya Pilihanraya terikat dengan aturan menyatakan

Pilihanraya adalah pada 5 Disember mendatang mengundang bimbang

Tidakkah akibat dari pilihanraya September menjadi pengajaran

Sanggupkah mengorbankan mangsa berganda tanpa  ihsan

Tiadakah jalan menangguh atau digantungkan

Demi muslihat kepentingan rakyat ?

 

Duka berganda akibat wabak menular

Bermulanya PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya

Mengiringi sebelumnya Sabah dan  Kedah

Menjadikan rakyat semakin gundah

Dan pagi ini masjid termasuk di Bangiku

Lengang dari jama`ah dengan adanya arahan

Kini masjid kembali sepi dari pengajaran

Terganggu program-program diaturkan

Meski sebelum ini tiada klaster masjid

Jama`ah adalah mereka yang patuh

Sepatuh ibadat mereka pada  Tuhan

Masjid seharusnya tempat perlindungan

Memanjatkan harapan merungkai permasalahan.

 

Fikrah Bangi: 775,

BBB:  26 Safar 1442H. = 14 Oktober 2020.

October 13, 2020

 

CIRI  NEGARA  BERILMU

(Fikrah Bangi:  774),

BBB:  25 Safar 1442H. = 13 Oktober 2020M. (Selasa).

Negara berilmu adalah negara maju. Berbahagialah negara jika warga negaranya adalah pencinta ilmu. Ciri negara berilmu adalah:

Pemimpin di dalam negara adalah mereka yang cintakan ilmu. Mereka berusaha menyemarakkan keilmuan di dalam negara. Jika bercakap selalu bersifat ilmu dan gemar memetik pendapat-pendapat ilmuan di dalam percakapan dan ucapan.

Lantaran pemimpin orang berilmu dan cintakan ilmu, maka banyak usaha dilakukan bagi memperkembangkan ilmu. Lantaran itu negara dilengkapkan  dengan infra-struktur keilmuan. Didirikan tempat belajar dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan tinggi. Pada peringkat tinggi didirikan universiti menurut bidang dan keperluan.

Sebahagian bajet negera digunaklan untuk  memajukan ilmu di kalangan masyarakat. Setiap warga negara  diwajibkan belajar bagi golongan muda dan digalakkan belajar bagi semua peringkat dengan peruntukan yang mencukupi..

Tanda negara berilmu, pimpinan dan masyarakat menghormati mereka yang berilmu. Pendapat-pendapat ilmuan didengari dan dirujuk. Mereka terhormat dan berkedudukan tinggi di tengah masyarakat.

Para ilmuan adalah melibatkan diri dengan masyarakat. Mereka menyampaikan ilmu secara ikhlas, menyedarkan masyarakat dan membimbing mereka ke arah kejayaan.

Negara ilmu, selain dari mempunyai pengajian-pengajian tinggi terkenal, mempunyai ramai ilmuan dan pelajar-pelajar cemerlang. Lantaran negara terkenal dengan perkembangan keilmuan, tidak saja cenderung dan terlibat diri dengan ilmu dan masyarakat berilmu, lantaran itu negera berilmu menjadi tempat yang didatangi pelajar-pelajar dari luar negara untuk menikmati pengajian yang terkenal di negara berkenaan.

Negara yang mempunyai ramai ilmuan, ramai daripada ilmuan menghasilkan penerbitan-penerbitan terkenal yang dirujuk oleh pelajar dan masyarakat. Mereka mencetuskan idea-idea yang bernas yang dimanfaatkan oleh masyarakat.

Pendapat-pendapat ilmuan diberi ruang dan disalurkan  melalui konvensyen, seminar, syarahan, forum, diskusi dan sebagainya dan pendapat mereka dihebahkan melalui media-media.

Pendapat-pendapat ilmuan diturunkan ke tengah masyarakat melalui institusi ibadat seperti masjid dan surau, dewan-dewan orang ramai dan perhimpunan-perhimpunan.

Dengan memasyarakatkan ilmu di tengah masyarakat menghasilkan kesedaran  keilmuan tinggi di tengah masyarakat. Misalnya kesedaran tentang ekonomi,  peluang dan pembahagian yang adil. Bayangkan negara Malaysia yang kaya raya ini, jika kesaksamaan ekonomi dilakukan dengan adil, tidak ada yang terlampau kaya dan tidak ada yang terlampau miskin, bererti semua kecukupan dari  segi keperluan, maka dapat dikurangkan jurang kemiskinan. Jika semuanya mendapat hak yang wajar dan mereka berilmu, maka akan mengurangkan masalah sosial. Kurang dari pelaku-pelaku rasuah, kurang dari pencuri, kurang dari  mereka yang melakukan jenayah. Dengan berkurangnya mereka yang susah, maka bererti masyarakat dapat menikmati ketenangan di dalam kehidupan. Dengan demikian mereka hidup dalam keadaan lebih berbahagia. Mereka semua mempunyai pekerjaan yang sesuai, mempunyai  perumahan hasil dari projek perumahan untuk rakyat. Dengan ketenangan dan  kebahagiaan membuka ruang kepada mereka melakukan perkara yang lebih bermanfaat seperti menggalakkan keluarga di dalam mendalami ilmu,mengamalkan di dalam kehidupan yang mengharmonikan masyarakat.

Dengan ilmu meningkatkan akhlak masyarakat  dengan peribadi-peribadi mulia. Mereka menghargai nilai-nilai kemanusiaan seperti tolong menolong dan menghormati antara satu sama lain. Menghargai dan menjaga alam sekitar yang merupakan sebagai ruang untuk semua. Jika kesedaran menjaga alam sekitar timbul, kebersihan dapat dijaga. Semua berada di dalam suasana alam sekitar yang sihat dan menyenangkan.

Masyarakat yang berpelajaran ialah masyarakat yang menghormati dan menjaga nilai budaya murni masyarakat yang mencirikan imej dan identiti masyarakat. Nilai budaya mengukuhkan kemajuan fizikal yang dicapai dan menjadikan masyarakat bertamadun dan berperadaban  tinggi.

Sekian.

October 11, 2020

 

ILMUAN  MEMIMPIN

(Fikrah Bangi: 773),

BBB: 23 Safar 1442H. = 11 Oktober 2020M. (Ahad).

Tugas para ilmuan di universiti adalah mengajar dan membuat penyelidikan yang dengannya menghasil dan menambahkan ilmu. Mereka disifatkan sebagai elit yang berada  di menara gading. Tapi peranan  dan kedudukan yang sedemikian perlu diubah atau ditambah, bahawa para ilmuan seharusnya  dengan keilmuan mereka adalah pemimpin. Mereka seharusnya mempunyai komitmen terhadap masyarakat dan  tidak terasing di menara gading.

Para ilmuan yang dengan ilmu mereka dipandang tinggi dan berada pada darjat terkeatas. Mereka seharusnya  tidak setakat mengajar dan menyelidik, tetapi turun kepada masyarakat dan menggunakan keilmuan mereka bagi membimbing masyarakat. Dalam keadaan negara, bahkan dunia menghadapi Covid-19 mereka seharusnya tidak sahaja membicarakan kaedah mengajar pelajar secara atas talian, tetapi pakar-pakar di dalam bidang-bidang berkaitan sama membantu dan memberi idea, misalnya dari bidang perubatan,  menyedarkan orang ramai akan bahayanya wabak Covid-19  dan mencadangkan kaedah-kaedah mencegah dan menjauhi penyalit ini. Bagaimana masyarakat menyesuaikan diri dengan nilai baru akibat dari wabak ini.  Kiranya di kalangan mereka rela turun padang dan menjadi front liners tentulah amat dialu-alukan.

Dalam masa menghadapi wabak ini, bekalan makanan harian perlu cukup. Mereka yang di dalam bidang pertanian, patut memberi nasihat dan dengan kerjasama pihak berkuasa memberi cadangan kaedah bertani yang dapat menambahkan hasil makanan negara. Juga nasihat kepada nelayan kaedah yang dapat menambahkan hasi .  Bagi yang di dalam bidang ekonomi dan perniagaan memberi nasihat bagaimana menjalankan perniagaan  dalam musim Covid-19. Memberi nasihat kepada kerajaan di dalam membantu kalangan peniaga-peniaga. Juga memberi idea dan cadangan bagi mengurangkan jumlah pengangguran dengan mencadangkan kaedah-kaedah yang dapat menjanakan pekerjaan.

Antara sektor yang terjejas akibat dari Covid-19 ialah sektor pendidikan. Hampir setahun pelajar-pelajar terganggu di dalam pelajaran, walaupun ada  kaedah pembelajaran secara atas talian, tetapi tidak sama secara semuka. Pelajar-pelajar yang hendak menghadapi peperiksaan SPM dan STPM yang hampir tiba, patut diberi keutamaan dari segi bimbingan, bantuan dan keselesaan mereka hendak menghadapi peperiksaan. Malang bagi mereka terpaksa menghadapi peperiksaan di dalam keadaan yang sukar. Bantuan dari guru-guru, ilmuan-ilmuan, swasta dan berbagai pihak, termasuk yang dihadapi oleh pelajar universiti yang dikehendaki mendaftar secara hadir dan diubah kepada atas talian, banyak menyusahkan mereka. Para ilmuan patut sama memberi pendapat kaedah terbaik bagi mengendalikan pembelajaran pelajar-pelajar universiti agar mereka tidak terganggu menghadapi pelajaran dan terbeban dengan pelbagai masalah. Apa lagi masalah pelajar di pengajian tinggi adalah masalah ilmuan yang amat dekat dengan mereka.

Banyak kalau hendak diperkatakan harapan bimbingan terhadap para ilmuan. Sebagai contoh terakhir bagi ilmuan di dalam bidang sains politik patut memberi nasihat melihat, bahawa di dalam masa menghadapi wabak Covid-19, ada  ahli-ahli politik yang terus ghairah bermain politik, mau terus mengadakan pilihanraya seperti di Batu Sapi dengan kematian ahli parlimen kawasan berkenaan, pada hal diketahui betapa kesan pilihanraya Negeri Sabah pada 26 September 2020 yang lepas mengakibatkan semakin menular wabak, bukan saja di Sabah, tetapi hampir ke seluruh negara. Bayangkan akibat yang akan terjadi jika diadakah pilihanraya di Batu Sapi, apa lagi pilihanraya umum peringkat negara akan mengundang bertambah merebaknya wabak berkenaan. Para ilmuan patut bercakap dan memberi nasihat, terutama bagi yang ghirah untuk mengadakan pilihanraya. Mereka juga harus memberi pandangan tidak wajarnya pihak yang ghirah mau menjatuhkan kerajaan dengan mendakwa mendapat sokongan majoriti, tanpa bukti agar berhenti menggugat kestabilan politik tanah air dalam masa wabak  ini.

Kita berpendapat, sememangnya ada suara-suara yang memberi pandangan tentang jijiknya situasi politik tanahair yang secara terang-terangan ada pihak yang tidak segan  silu mau membawa persoalan kepimpinan negera kepada pihak tertinggi, walaupun dipandang perkara ini tidak wajar dalam situasi kini dan tiada bukti.

Kita berpendapat kedudukan para ilmuan dapat diperkukuhkan adalah melalui persatuan dan tidak bercakap atas individu yang tidak diberi  perhatian. Para ilmuan wajar membentuk Persatuan Ilmuan Universiti yang  terdiri dari kesemua universiti awam, maupun swasta. Kepimpinan persatuan dan bidang-bidang hendaklah menyatakan pendapat dan cadangan terhadap isu-isu yang timbul yang melibatkan berbagai-bagai bidang seperti politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Melalui pandangan keseluruhan melalui persatuan akan lebih didengar dan mendapat dokongan rakyat.

Sesungguhnya dari ilmuan  diharap pemikiran dan pandangan yang bernas yang dapat memandu masyarakat dan negara kepada kebenaran dan kemajuan.

Sekian.

October 10, 2020

 

PEMIMPIN  KEILMUAN

(Fikrah Bangi:  772),

BBB:  22 Safar 1442H. = 10 Oktober 2020M. (Sabtu).

Imej dan identiti sebuah institusi pengajian bergantung pada pimpinan keilmuan yang harus ada dan mengajar di institusi pengajian berkenaan. Dilihat kepada zaman tradisi, misalnya keilmuan pada zaman tradisi di Terengganu ditokohi oleh Syeikh Abdul Malik bin Abdullah  -Tok Pulau Manis (1650-1736) yang menghasilkan karangan-karangan untuk institusi pengajarannya dan masyarakat  seperti Hikam Melayu, Kifayah dan Bayan Kayfiyat al-Niyyah . Peradaban keilmuan di Pulau Riau banyak diserlahkan oleh Raja Ali Haji (1809-1870) yang mengarang antaranya Tuhfat al-Nafis dan Gurindam 12, Thamarat al-Muhimmah, Bustan al-Katibin dan lain-lain.

Pada peringkat yang lebih kemudian Za`ba Guru di Maktab Perguruan Tanjung Malim dan kemudian mengajar di Universiti Malaya terkenal sebagai seorang pakar bahasa yang mengarang Pelita Bahasa Melayu dan berbagai karangan yang lain dan mempunyai  pengikut seperti Profesor Haji Omar di Universiti Malaya. Dalam bidang ekonomi Profesor Ungku Aziz selain dari menjadi Naib Canselor di Universiti Malaya terkenal sebagai Pakar Ekonomi dan ianya mencadangkan ditubuhkan Tabung Haji  (1963) yang berkembang hingga kini. Beliau mempunyai pengikut seperti Rafidah Aziz Pensyarah Ekonomi Universiti Malaya sebelum beliau terlibat di dalam bidang politik.

Ketokohan di dalam bidang keilmuan yang mengharumkan universiti yang dia berkhidmat ialah Profesor Dr. Syed Naguib al-Attas dengan cetusan pendapatnya bahawa Islamlah yang merubah dan meningkatkan peradaban Melayu, beliau juga mempelupuri  tentang Falsafah dan Pemikiran Islam semasa memimpin Institut Pemikiran Islam  di UIAM. Banyak buku dihasikan beliau seperti Islam Dalam Pemikiran dan Peradaban, The Mysticism of Hamzah Fansuri dan lain-lain. Beliau mempunyai pengikut-pengikut yang ramai mendukung falsafah dan pemikirannya.

Tokoh Besar di dalam bidang keilmuan Islam ialah Al-Imam Al-Ghazali (m.1111). Beliau bukan setakat memimpin Universiti Nizamiyyah, tetapi memimpin pemikiran Islam. Beliau menyatu dan mengintegrasikan ketiga-tiga keilmuan Islam, iaitu akidah, fiqh dan tasawuf dengan menghasilkan begitu banyak karya seperti  Ihya` `Ulum al-Din, Al-Iqtisal fi al-I`tiqad, Tahafut al-Falasifah dan banyak lagi. Pengajaran al-Ghazali menjadi pengikut keilmuan bagi umat Islam.

Bagi universiti-universiti di negara kita yang banyak itu, seharusnya mempunyai pemimpin keilmuan di dalam bidang-bidang keilmuan utama yang ditawarkan oleh sesuatu universiti. Universiti mempunyai ranking dari segi tenaga pengajar yang mencerminkan tahap keilmuan mereka. Di universiti ada tenaga pengajar bermula dari  tutor (pengajar), pensyarah, pensyarah kanan, profesor madya, profesor, bahkan kini `Profesor Emiratus`  yang merupakan tenaga pengajar dan ilmuan terkenal di dalam bidang keilmuan tertentu di universiti.

Kita merenung kepada puluhan universiti yang ada di negara kita. Ada kalangan mereka bertaraf profesor, bahkan profesor emiratus, sukar bagi kita mengenali tokoh-tokoh keilmuan yang diberi title keilmuan yang gah itu, lebih sukar bagi kita untuk mengetahui apakah bidang dan kaedah keilmuan yang disumbangkan, lebih daripada itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Universiti ada, tokoh ilmuan yang beritle ada, tetapi sumbangan mereka, sekurang-kurangnya dalam bentuk tulisan mengapa tidak disebarkan ? Salah siapakah ? Apakah pihak Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai perancangan bagi memperkenalkan sumbangan tokoh-tokoh akademik ini kepada masyarakat ? Sebenarnya  tokoh berkenaan tidak memerlukan perkenalan dan promosi dari kementerian. Sebenarnya kerja mereka sebagai contoh Profesor Ungku Aziz, Profesor Syed Naguib al-Atas, kerja-kerja yang mereka lakukan, pengajaran, lebih-lebih lagi buku-buku yang mereka hasilkan adalah jurucakap bagi diri mereka. Ianya mencerminkan tahap keilmuan dan komitmen tarhadap kerja-kerja mereka.

Antara kaedah yang patut dilakukan dan pernah dilakukan, hendaklah diwajibkan sebelum seorang diberi title profesor, apa lagi profesor  emiratus, hendaklah dimestikan ada buku yang diterbitkan dan dimestikan menyampaikan syarahan perdana profesorship yang disiarkan secara terbuka dan disaksikan oleh orang ramai dan dapat dinilaikan tahap kedalaman keilmuan yang ada pada dirinya dan melayakkannya mendapat gelaran profesor atau sebaliknya.

Universiti dilihat sebagai institusi yang unggul dengan keilmuan. Tenaga pengajar adalah tonggak keilmuan. Jika tenaga pengajar tidak berkemampuan menyampai keilmuanya dengan baik dan tidak meyakinkan, maka adalah suatu tragidi bagi universiti yang menghakiskan kepercayaan masyarakat terhadap universiti. Universiti seharusnya mempunyai tokoh-tokoh yang  unggul ilmu yang memandu  negara dan masyarakat.

Sekian.

October 9, 2020

 

RANKING UNIVERSITI – PENGIKTIRAFAN

(Fikrah Bangi: 771),

BBB:  21 Safar 1332H. = 09 Oktober 2020M. (Juma`at).

Menghasilkan  sesuatu, baik bidang pelajaran atau penghasilan barangan, kita mau sesuatu yang baik dan bermutu. Di dalam bidang pelajaran, khususnya pengajian tinggi kita mempunyai 30 buah universiti. Sebagai institusi pendidikan di dalam negara  kita mau semuanya terbaik, menjadi pilihan bagi pelajar dan menjadi institusi rujukan kepakaran bagi berbagai bidang, khususnya keilmuan. Tetapi dengan banyak institusi berkenaan, maka sudah tentu ada di kalangan semua yang dianggap terbaik, baik dan kurang baik.  Mutu dilihat oleh profesional dan juga kalangan  awam. Misalnya dilihat dari segi kewibawaan para pengajar, kelulusan, kedalaman ilmu pada mereka. Penghasilan karya-karya ilmiah yang dihasilkan, pemikiran ilmiah disumbangkan,  infra-struktur keilmuan yang ada, kerja-kerja luar dan lapangan, mutu pelajar-pelajar yang dikeluarkan, berbagai kajian ilmiah yang dihasilkan, keterlibatan dengan masyarakat, sukan  dan berbagai projek yang dihasilkan yang memanfaatkan.

Universiti-universiti di negara kita sama dinilai. Kedudukan universiti-universiti di negara kita  dari segi ranking terkini adalah sebagaimana berikut:

1)     Universiti  Malaya           

2)     Universiti Kebangsaan Malaysia,

3)     Universiti Putra Malaysia

4)     Universiti  Teknologi Malaysia

5)     Universiti Teknologi Petronas

6)     Universiti Tenaga Nasional

7)     Universiti Kuala Lumpur

8)     Universiti Malaysia Perlis

9)     Universiti Malaysia Sarawak

10)                       Universiti Multi Media

11)                       Universiti Teknikal Malaysia

12)                       Universiti Teknologi MARA

13)                       Universiti Tunku Abdul Rahman.

     (The Star, 5 Sept. 2020: 6).

Dengan adanya ranking sedemikian, maka bagi setiap universiti akan berusaha meningkatkan prestasi dan kedudukan atau sekurang-kurang mempertahankan kedudukan yang ada, manakala bagi universiti  tidak disenaraikan, diharap akan berusaha agar universiti akan termasuk di dalam ranking pada masa akan datang.

Selain dari penilaian dalam negara, ranking bagi universiti peringkat Asia juga  dibuat dalam mana daripada 200 universiti 16 daripadanya adalah dari Asean. Ini termasuk sebahagian daripada  universiti terbaik kita. Ini juga bermakna, kedudukan universiti kita adalah antara yang terbaik di Asia.

Pada peringkat dunia  dijumlahkan 1,527 universiti dari 93 negara. Dari jumlah tersebut,  lima buah universiti terbaik nampaknya  semuanya dari  England dan  Amerika, satu yang boleh dipersoalkan. Universiti-universiti dimaksudkan ialah:

1)    Oxford  University, England

2)    Stanford University Amerika

3)     Harvard University  Amerika

4)     California Institute Technology Amerika

5)     Matsuchussets Institute of Technology, Amerika

Tentulah berbagai keistimewaan dan kecemerlangan yang dicapai oleh universiti-universiti berkenaan yang wajar dipelajari oleh universiti-universiti lain.

Walau bagaimana, bagi universiti  kita, tidak perlu sangat terikut-ikut dengan ranking yang dibuat menurut kriteria yang sesuai dengan mereka yang setengah mungkin tidak perlu dan sesuai bagi kita. Walau bagaimana menyenaraikan secara ranking universiti-universiti kita secara tempatan dan membandingkan dengan  luar seperti negara Jepun,German, Korea  dan Australia yang tidak tersenarai  dan  dari  negara maju perlu dibuat, tetapi  kita tidak terikat dengan pandangan hanya universiti di Barat sahaja yang terbaik.

Barangkali untuk mempertingkatkan mutu bagi universiti kita kita perlu mempunyai kriteria tersendiri yang sesuai dengan keperluan tempatan dan negara  kita sendiri, di samping membanding dengan peringkat jiran, Asia dan dunia dengan lebih bersifat terbuka.

Ranking perlu bagi kesedaran menilai universiti kita, bagi memperbaiki dan mempertingkat kualiti universiti kita. Ianya menjadi ukuran bagi pelajar dalam dan luar negara mohon menyambung pengajian di universiti kita. Lebih dari itu menjadi wibawa dan keyakinan bagi masyarakat dan negara kita.

Sekian.

October 8, 2020

 

PENGAWASAN  DAN  MUTU  UNIVERSITI

(Fikrah Bangi:  770),

BBB:  20 Safar 1442H. = 08 Oktober 2020M. (Khamis).

Kita bersyukur kepada Allah dan merasa senang, bahawa di negara kita mempunyai sejumlah 30 universiti awam dan swasta. Satu jumlah mencukupi bagi warga negara dan dari luar negara untuk mendapat pelajaran.

Walau bagaimana  dengan jumlah yang begitu banyak, tentulah ada perbedaan penyampaian keilmuan, antaranya kepakaran keilmuan dari kalangan tenaga pengajar,  perbedaan antara bidang, perbedaan pencapaian yang dilihat dari kebolehan pelajar yang dikeluarkan dan perbedaan menyeluruh antara satu universiti dengan universiti yang lain. Perbedaan juga dapat dilihat kepada yang lebih kecil. Misalnya:

·         Mutu kandungan kursus di dalam bidang-bidang yang ditawarkan.

·        Infra-struktur seperti kampus dan kemudahan peralatan pengajaran.

·        Kemampuan pensyarah  dari segi keilmuan dan penyampaian.

·        Persediaan sumber ilmu seperti perpustakaan dan berbagai kaedah capaian.

·        Kegiatan pelajar di dalam kerja lapangan, hubungan kemasyarakatan, sukan

 dan berbagai kegiatan kemahasiswaan.

Kita percaya negara yang melihat universiti sebagai mekanisme memajukan negara memberi perhatian terhadap universiti, lebih-lebih lagi swasta dan cawangan universiti negara lain di negara ini agar:

·        Universiti benar-benar berperanan memajukan negara.

·        Walaupun universiti diberi otonomi, tetapi seharusnya dipantau agar mutu terkawal,  tidak timbul penentangan  akibat dari unsur negatif yang ditimbulkan, terutama dari  pihak swasta dan cawangan universiti dari luar.

·        Mempastikan imej,  identiti Malaysia dan kecintaan terhadap negara. Ini perlu ditanamkan terutama pada universiti swasta dan cawangan universiti dari luar negara.

·        Berdaya saing yang tinggi antara universiti. Dengan yang demikian melonjakkan imej universiti di kalangan universiti tempatan dan di kalangan antarabangsa.

·        Menjadi tarikan bagi pelajar sama ada tempatan dan dari luar untuk menyambung pengajian di negara ini.

Bagi menjamin terutama dari segi mutu, kerajaan,khususnya kementerian yang berhubung dengan pengajian tinggi janganlah dikenali hanya dengan isu-isu yang berbangkit, tetapi seharusnya mempunyai perancangan dan pemantauan bagi semua universiti sama ada uiversiti awam, swasta dan cawangan universiti dari luar negara

Kementerian hendaklah mempunyai dasar, polisi, perancangan dan pelaksanaan yang setiap universiti yang diwujudkan menurut dasar berkenaan. Kerajaan tidak seharusnya mengikut kehendak dan cadangan  pihat tertentu dan mengikut tanpa menurut dasar yang ditentukan. Janganlah penubuhan satu universiti bersifat `universiti-universitian`  semata-mata, hanya sekadar nama, tetapi dari segi hakikat dan mutu bukan bertaraf universiti.

Penilaian terhadap mutu universiti terpancar dari dalaman dan luaran. Dari segi dalaman sebelum ditubuh sudah tentu ada jawatankuasa pakar dan berwibawa yang dapat menampilkan pra-sarana dan pengisian bagi universiti. Kerajaan adalah penilai utama tentang kesesuaian penubuhan, manakala di dalam universiti itu sendiri ada penapisan nilai yang terdiri dari, unit, jabatan, fakulti, senet dan jama`ah, tahap-tahap yang menilai dan mempastikan mutu universiti terkawal.

Penilaian dari segi luaran dilihat kepada pencapaian universiti. Misalnya kini ada badan penilai yang melihat ranking sesebuah universiti pada peringkat misalnya antara bangsa,  Asia, Asean dan ada yang menilai dari segi bidang-bidang tertentu.

Masyarakat melihat dan menilai sejauh mana komitmen universiti terhadap ilmu dan memberi bimbingan dan manfa`at bagi masyarakat misalnya melalui perancangan tertentu terhadap masyarakat. Mereka menilai terhadap mutu keluaran universiti bila berkhidmat dengan masyarakat, apakah ianya cemerlang atau sebaliknya.

Masyarakat juga menilai terhadap  tokoh tenaga pengajar yang berjasa terhadap masyarakat. Misalnya idea Ungku Aziz mencadangkan supaya ditubuhkan Tabung Haji pada tahun 1960an benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat umat. Profesor Ahmad Ibrahim dilihat tokoh yang mengusahakan penyatuan antara bidang perundangan Islam dengan civil. Bank Islam (cetusan dari kalangan akademik) dilihat sebagai pelopor berbagai produk kewangan Islam yang kini diiktiraf dan diamalkan oleh berbagai negara dan oleh mereka yang Islam dan bukan Islam.

Tidak banyak sebenarnya kecemerlangan yang ditunjuk oleh universiti dan ilmuan darinya, namun kecemerlangan sedemikianlah diharapkan.

Sekian.