October 21, 2020

 

SINDROM  SEPI MAHASISWA UNIVERSITI

(Fikrah Bangi:  581),

BBB: 04 Rabi`ul-Awal 1442H. = 21 Oktober 2020M. (Rabu).

 

Selepas perlaksanaan Akta Universiti dan Universiti Kolej (1974), keriuhan pelajar menunjuk perasaan bertukar sepi, begitu juga debat agung, forum,  seminar  dan perdebatan  di universiti yang terbuka kepada orang ramai, terutama yang berlaku di Universiti Malaya dapat dikatakan terhenti dan mahasiswa dalam sindrom sepi. Kehangatan suasana kampus  menjadi sejuk. Kritikan-kritikan terhadap kerajaan secara terbuka juga terhenti.

Apa yang dilakukan oleh mahasiswa ?  Mereka mengatur program bersama pihak Perhubungan  Universiti bagi menyambut kedatangan pelajar baru, menyusun program orientasi. Bila tiba musim konvokesyen, mereka mengatur kandungan program seperti mendirikan gerai-gerai jualan dan program pengenalan kepada pelajar-pelajar baru, manakala pihak kolej mengatur program orientasi terhadap pelajar baru di kolej, termasuklah sukan dan sebagainya.

Dapat dikatakan selepas Akta Universiti diperkenalkan, mahasiswa adalah menjadi pasif. Jika ada suara adalah suara menentang akta secara pasif dan tidak ke mana. Segala kegiatan mahasiswa dapat dikata dikendalikan oleh pihak Perhubungan Universiti. Walau kemudian ada kelonggaran dari segi akta, sifat pasif dan sindrom sepi ini berterusan. Mereka tidak dapat membuat kenyataan ke luar tanpa kebenaran dan tidak bebas membuat hubungan dengan persatuan-persatuan mahasiswa dari universiti-universiti lain tanpa keizinan. Kalau ada jemputan-jemputan yang mahu dibuat, maka pada surat berkenaan ada cop kelulusan dari  pihak Perhubungan Universiti.

Satu kesan yang ketara dapat dilihat, bahawa  dalam musim Covid-19, banyak permasalahan yang timbul berhubung dengan mahasiswa, misalnya kebajikan mereka selama tersekat di dalam kampus, kemudian exodus mereka untuk pulang ke kampung dan urusan yang berkenaan dengannya sepatutnya Persatuan Mahasiswa di universiti  sama aktif menyuarakan pendapat mahasiswa, sama mengatur kepulangan dan kebajikan mereka yang mau pulang, sepatutnya sama dilibat dan disuarakan oleh Persatuan Mahasiswa, tetapi hal ini tidak kedengaran, bagaikan tidak ada persatuan mahasiswa di universiti.  Begitu juga baru-baru ini, apabila kebanyakan universiti mulai hendak dibuka bermula dari Oktober, tiba-tiba  berlaku peningkatan kembali wabak, selepas pilihanraya di Negeri Sabah pada 26 September,  pihak pelajar telah diberitahu untuk hadir mendaftar secara langsung, tiba-tiba beberapa universiti yang telah memanggil pelajar datang, membuat pengumuman bahawa pendaftaran secara langsung ditangguh kepada pendaftaran atas talian, sedang ada sebahagian dari pelajar diiringi keluarga mereka sudah tiba untuk mendaftar. Maka keluarlah berita, sebahagian dari yang datang telah di hambat keluar dan tidak dibenarkan masuk. Berita berkenaan tular di dalam media dan pihak perhubungan universiti berkenaan terpaksa menjawab, bahawa tidak berlaku, dan merupakan silap faham. Masalah mahasiswa yang datang dari jauh yang setengahnya menempah tiket kapal terbang dan menghadapi kerugian. Yang menjawab dan mengendalikan permasalahan – termasuk memberi peluang tinggal di asrama bagi yang telah tiba dan berusaha dengan pihak penerbangan dan sebagainya bagi membayar balik tiket atau menangguhkan penggunaan semuanya dikendalikan oleh pihak perhubungan universiti. Kita tidak mendengar pihak Persatuan Mahasiswa menyuarakan atau memberi pendapat tentang kebajikan mahasiswa. Ini jelas mencerminkan betapa peranan persatuan mahasiswa tidak berlaku. Mereka adalah pasif dan sindrom bisu. Apakah sikap dan watak ini  sepatutnya berlaku di kalangan mahasiswa, khususnya di kalangan persatuan-persatuan mahasiswa.

Kita ketahui sedang mahasiswa dan persatuan dalam sindrom bisu, berlaku perubahan yang mau mahasiswa dan orang muda berumur 18 tahun ke atas diberi hak mengundi. Dalam suasana yang kontradik, kita menjangka, kalangan mahasiswa yang telah dibisukan akan kurang menyambut perubahan yang berlaku secara mendadak. Misalnya kurangnya minat orang muda mendaftar untuk mengundi, akan terus berlaku, termasuk di kalangan mahasiswa. Kita juga dapat melihat bahawa peluang untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas ini, kurang mendapat respond dari kalangan mahasiswa dan persatuan. Sepatutnya jika mereka diberi kebebasan berorganisasi dan mengeluarkan pendapat peluang baru ini sepatutnya disambut dengan hangat. Walaupun hak mereka mengundi ini belum dilaksanakan, sewajarnya mereka menyambut dengan bersemangat dan membuat persediaan. Dalam keadaan sekarang ada semacam dilema antara harapan terhadap golongan muda untuk mengambil alih pimpinan dengan kebekuan suasana di kalangan mereka.

Bagi orang muda dan mahasiswa mereka mempunyai peluang untuk mengubah suasana politik tanahair dari dominasi golongan tua yang masih kemarut mempertahankan kedudukan kepada suasana dan perubahan baru yang didominasi oleh orang muda dan juga dari kalangan mahasiswa.

Kalangan mahasiswa  dan persatuan mereka hendaklah diberi hak dan menggunakan peluang dan kesedaran yang seharusnya berlaku dari kampus diaplikasikan ke dalam masyarakat bagi perubahan, termasuk politik ke arah  masa depan yang lebih baik.

Sekian.

October 20, 2020

 

OTONOMI  Dan Akta Universiti

(Fikrah Bangi:  780).

BBB:  03 Rabi`ul-Awal 1442H. = 20 Oktober 2020M. (Selasa).

Istilah `Otonomi  Universiti` popular pada pertengahan 1970an, iaitu  menjelang Dr.Mahathir menjadi Menteri Pelajaran Malaysia.  Pada awal 1070an universiti adalah bebas dan berotonomi. Sindrom menunjuk perasaan menjadi-jadi di universiti, khususnya  di universiti Malaya. Kegiatan politik kampus, baik di kalangan tenaga akademik atau di kalangan mahasiswa  dapat dikatakan bebas.

Di universiti Malaya pada masa itu, kalangan tenaga pengajar antara mereka bergiat di dalam gerakan sosialis – gerakan kiri yang dianggap gerakan radikal pada masa itu. Beberapa tenaga pengajar pada masa itu seperti Syed Hamid, Sanusi Osman, Syed Husin Ali dan beberapa lagi lantang  berjuang membela rakyat marhain, selari dengan perjuangan parti di kalangan pemimpin politik kiri  tanahair pada masa itu seperti Boestamam, Kassim Ahmad, Ishak Haji Muhammad dan beberapa yang lain.  Satu kelompok memperjuangkan bagi menegakkan bahasa kebangsaan seperti Abdul Razak, Salleh Yusof dan beberapa lagi selari dengan perjuangan pejuang-pejuang bahasa Melayu pada masa itu seperti Hasan Ahmad, Syed Nasir dan  Osman Awang. Satu golongan lagi memperjuangkan Islam seperti pemimpin-pemimpin PKPIM seperti Ramli Ibrahim, pemimpin ABIM seperti Anuar Ibrahim dan  Fadzil Noor selari dengan pejuang-pejuang politik tanahair seperti Asri Muda,  Muhammad Nasir dan ramai lagi.

Pada masa itu suasana politik tanahair adalah hangat dan memberangsangkan, turut menghangatkan ialah suasana politik kampus. Pimpinan mahasiswa selalu mencetuskan isu-isu hangat yang membawa mereka sering mengadakan tunjuk perasaan. Tunjuk perasaan membantah kerajaan kerana konon tidak membela rakyat marhain yang dianjur oleh mereka yang berfaham sosialis. Tunjuk perasaan bagi menegakkan bahasa kebangsaan, terutama dari Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan disertai pimpinan Mahasiswa UKM yang baru ditubuh. Perjuangan yang bersifat Islam mau mendaulatkan Islam selari dengan parti politik Islam pada masa itu

Di dalam hal menunjuk perasaan ini, semua pimpinan mahasiswa bersatu mengenai isu-isu tertentu. Misalnya menuntut perlaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan di dalam berbagai bidang. Mereka menentang kehadiran Thanom Kiti Kachong melawat Malaysia, kerana Perdana Menteri dan regimnya  yang memerintah Thailand pada masaa itu menekan pejuang-pejuang Melayu-Islam di Selatan Thailand yang mau menuntut kemerdekaan. Mereka mengadakan tunjuk perasaan menyebabkan tersekat perjalanan pemimpin itu. Bulatan universiti menjadi lokasi tunjuk perasaan dan ramai pimpinan mahasiswa cedera dipukul dan ada yang ditangkap. Mereka bersama menunjuk perasaan menentang perlantikan Naib Canselor di UKM yang mereka tidak suka (Abdullah Ayob). Mereka mengadakan tunjuk perasaan hingga ke tengah bandar ke Jalan Dato` Onn dan berlindung di Masjid Negara. Pemimpin mahasiswa ini tidak saja sering turun padang, tetapi membuat kenyataan-kenyataan akhbar yang mengkritik pemerintah.

Pada masa yang sama wujudnya kebebasan bersuara. Di UM dan UKM sering diadakan debat mahasiswa yang dihadiri pelajar dari kedua universiti, orang ramai dan juga pelajar ITM yang baru dibuka. Ketua pimpinan mahasiswa ITM  Shah Alam pada masa itu ialah Ibrahim Ali. Pimpinan pelajar dari pengajian-pengajian tinggi adalah lantang  bersuara dan pandangan mereka diberi tempat di dalam media. Mereka sendiri mempunyai akhbar misalnya mahasiswa  universiti Malaya mengeluarkan akhbar Mahasiswa Negara dan Mahasiswa UKM mengeluarkan akhbar Gema Siswa yang mendapat sambutan di kampus dan di luar kampus (bebas dijual).

Di universiti Malaya dan di universiti Kebangsaan sering diadakan ceamah dan forum yang panelnya  dari dalam dan di luar kampus, selalu dari kalangan yang berfaham sosialis, kebangsaan dan Islam dan mendapat sambutan dan kehadiran ramai dan mendapat liputan akhbar. Biasanya wakil-wakil pihak kerajaan yang menjadi panel perbincanbgan forum dan sebagainya tidak menarik minat, tetapi sering di boo oleh mahasiswa. Oleh itu wakil politik kerajaan jarang datang.

Siri forum yang terkenal dan hangat mendapat sambutan ialah `Debat Agung` yang dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Topik-topik yang menjadi isu dalam  debat agung  ini adalah isu-isu semasa seperti, masalah kemiskinan rakyat, isu bahasa, ekonomi bumiputera,  kekurangan professional di kalangan bumiputera, isu  pejuang-pejuang Melayu Selatan Thailand, isu Palestin dan berbagai-bagai lagi. Setengah-setengah apa yang diperkatakan oleh kalangan tenaga pengajar di universiti dan di kalangan mahasiswa ini tidak menyenangkan kerajaan, bahkan boleh mengurangkan pengaruh parti pemerintah. Sebagai akibat ada di kalangan pemimpin parti, terutama yang kiri ditangkap seperti Syed Husin Ali, Boestamam, Burhanuddin Hilmi, Ishak Haji Muhammad dan beberapa lagi.

Gerakan mahasiswa yang agak hangat sekitar 1970am juga terbantut, khusus apabila pada tahun1974 pada zaman Dr. Mahadhir Mohammad menjadi Menteri Pelajaran diadakan Akta Universiti dan Universiti Kolej. Akta ini dianggap melumpuhkan gerakan kemahasiswaan di universiti.

Sekian.

October 18, 2020

 

GURINDAM  NASIHAT

 

Tanda  sesorang itu bijaksana

Sebelum bertindak ditimbang tara

Bila  berlaku  tidaklah  janggal

Tidaklah pula menjadi kesal.

 

Lain pula dengan orang politik kita

Tidak sabar berebut  kuasa

Tiada peduli rakyat  resah

Akibat Covid-19 terus bertambah.

 

YDPT Agong kembali bertitah

Jangan heret negara  ke kancah

Ketidak tentuan masa depan

Tamak perseorang dan kumpulan.

 

Hormati  pandangan berani Dr. Muzaffar

Mendedah hakikat mereka mencabar

Bersama motif politik demi kekuasaan

Takut pada mahkamah menghukumkan.

 

Perlu menghormati pula ilmuan

Prof.  Dr. Hamidin beri pandangan

Orang politik wajar tunjuk teladan

Jangan gelojah ikutlah  perlembagaan.

 

Veteran politik lebih baik diam

Daripada bercakap pecah tembelang

Sepatut dia memberi nasihat

Pada yang muda jangan terlibat.

 

Di manakah rasa ihsan kemanusiaan

Melihat Dr.Noor Hisham bersama barisan

Berperang dengan ancaman  bertambah

Akibat  pilihanraya dari Negeri Sabah.

 

Maukah mereka  mengganda  derita

Kiranya dalam gawat berpilihanraya

Sekejap bertukar kerajaan bersamaan

Suasana politik tidak ketentuan.

 

Harapan 2020 ke depan cemerlang

Rupanya kacau bilau lentang pukang

Harapan pada generasi baru mereka berlalu

Berdekad berkedudukan  tiada yang baru.

 

Pada negara harapan masa depan

Perkukuh perlembagaan dengan acuan

Gubal  dasar politik baru sejahtera rakyat

Ditentu parlimen tamadun beradab.

 

(Fikrah Bangi:  779),

BBB: 01 Rabi`ul Awal 1442H. = 18 Oktober 2020M. (Ahad).

October 17, 2020

 

SUMBER ILMU DI UNIVERSITI TERABAI ?

(Fikrah Bangi:  778),

BBB:   29 Safar 1442H. = 17 Oktober 2020M. (Sabtu).

Satu tradisi  yang baik bagi pelajar-pelajar di  universiti, bahawa setiap pelajar yang  bakal keluar dari universiti bagi ijazah pertama, baik dari mana jabatan dan fakulti diwajibkan menulis sebuah latihan ilmiah yang dinilai dengan unit yang lebih tinggi dari kursus yang lain diikuti. Sebahagian besar markah adalah dinilai dari latihan ilmiah ini untuk melayakkannya mendapat ijazah sama ada kepujian atau lulus biasa, bahkan gagal. Laihan ilmiah ini adalah merupakan  intisari dari keilmuan yang dipelajari pelajar hingga melayakkannya menerima ijazah.

Bagi ijazah yang lebih tinggi, contoh ijazah sarjana, sama ada ianya  sebahagian dari keperluan di dalam mengikuti ijazah sarjana, atau tesis sepenuhnya, maka kelulusan bergantung kepada tesis sarjana. Pelajar ijazah sarjana perlu menghasilkan tesis yang baik dan bermutu untuk melayakkannya mendapat ijazah secara kepujian. Bagi pelajar ijazah Doktor Falsafah, sama seperti ijazah sarjana, tesis sebahagian dari penilaian yang mengikuti ijazah secara kursus atau sepenhnya menulis tesis Doktor Falsafah. Perlu diingat bagi setiap kerja sama ada latihan ilmiah bagi ijazah pertama, sarjana dan Doktor Falsafat, setiap penulis ada penyelia, seorang bagi ijazah pertama dan seorang dan lebih bagi ijazah  sarjana dan demikian juga bagi ijazah Doktor Falsafah. Apa yang mahu ditekankan, bahawa setiap pelajar bagi semua peringkat dengan penyelia masing-masing berusaha menghasilkan kajian dan penulisan yang terbaik. Bagi penyelia juga  kerja menyelia adalah sebahagian keperluan bagi kenaikan pangkat. Pendek kata kerja menghasilkan latihan ilmiah dan tesis adalah kerja bersungguh-sungguh agar ianya merupakan satu hasil kerja bermutu sebagai bukti kejayaan dalam pelajaran.

Apa yang hendak ditarik perhatian,  kerja-kerja bermutu ini pada kebiasaan selepas tamat pengajian  tersimpan dan tidak dimanfaatkan, kecuali bagi yang berusaha, biasanya dengan inisiatif sendiri berusaha menerbitkan.

Penulisan bersifat akademik sedemikian adalah sumber ilmu yang dihasilkan di universiti. Banyak sumber ilmu yang dapat dimanfaatkan. Bayangkan jika jumlah

Lulusan Doktor Falsafa (Ph. D.) seluruh negara, termasuk yang belajar di luar negara seramai:

Lulusan   Doktor Falsafah              1,500 orang

Lulusan  Sarjana                             3,500 orang

Latihan Ilmiah                                15,000  orang

 Bererti ada  20,000 penulisan  (tentu lebih banyak  lagi) tersimpan di universiti).

Sudah tentu sebahagian besar dari tulisan-tulisan ilmiah di atas ada yang bermutu dan wajar disebar dan diketahui, bahkan dijadikan bahan pengajian dan rujukan pelajar-pelajar dan mereka yang berminat. Pertanyaan kita apakah perkara ini tidak dlihat oleh pihak pengajian tinggi  untuk mewujudkan satu sekretariat bagi meneliti bahan-bahan yang terbaik, diwujudkan penerbit-penerbit khas dan dipasarkan. Ianya memberi faedah.

1)    Memperkayakan sumber keilmuan di dalam berbagai bidang, dimanfaatkan.

2)    Merancakkan penerbitan buku atau bentuk baru sesuai dengan  perkembangan teknologi.

3)    Menjadikan sumber  industri dan perniagaan buku

4)    Menjadi sumber kewangan bagi universiti.

5)    Penulis mendapat royalti dari penerbitan bahan penulisan yang dihasilkan.

6)    Penulis dapat melunaskan hutang pengajian.

7)    Bagi hasil penulisan bermutu dan diterbitkan mengagkat nama penulis dan memudahkan mendapat pekerjaan dan kenaikan pangkat.

8)    Dengan mutu penulisan yang dihasilkan menggalakkan penulis untuk menulis hasil penulisan yang lain.

9)    Dengan banyaknya sesuatu universiti menerbitkan bahan-bahan penulisan bermutu meningkatkan nilai universiti sebagai universiti berprestage.

10)                       Negara yang banyak menghasilkan buku yang bermutu menandakan ianya adalah negara berilmu – contohnya negara jepun. Negara yang mementingkan ilmu adalah negara yang maju.

Oleh kerana penulisan ilmiah, sarjana dan Dr. Falsafah mencerminkan tingkat dan tahap ilmu yang dicapai seorang pelajar, maka tradisi mewajibkan pelajar menghasilkan tahap-tahap penulisan sedemikian terus dikekalkan, ditambah baik dan diangkat di dalam penilaian. Pihak universiti dan pengajian tinggi perlu memberi perhatian dan galakan. Misalnya secara tahunan dianugerahkan tesis terbaik di dalam bidang-bidang tertentu dan diterbitkan.

Pihak kementerian dan universiti perlu mengadakan acara tahunan konvensyen, pameran dan penjualan buku-buku serta menggalakkan pelajar r dan orang ramai berminat dan terus membudayakan masyarakat membeli dan membaca buku. Dengan demikian  universiti rancak dengan ilmu dan penerbitan buku. Orang ramai menjadi masyarakat yang menghargai buku dan ilmu dan negara pula menjadi negara buku dan berilmu.

Sekian.

October 16, 2020

 

SAKITNYA  JIWA-RAGA-MENTAL RAKYAT

 

Bala itu turun  bertimpa-timpa

Permulaan Covid-19  amat asing

Kini berada di kalangan  kita keliling

Maharajalela bermula dari awal tahun

Hingga kini masih tiada akhiran

Meragut jutaan jiwa seluruh dunia

Termasuk di negara kita Malaysia

170 jiwa kematian terkini

Dari 18,129  kes, memuncak 10 hari lalu

5,316 kes positif baharu.

 

Dalam  mengekang ancaman wabak itu

Amat menggganggu kegiatan ekonomi

Juga mengganggu jiwa-raga-mental rakyat

Ramai dari mereka terdampar tanpa pekerjaan

Ramai pula menjadi mangsa dibuang majikan

Terdapat mangsa ketiadaan makanan

Meski bantuan disampaikan

Berjuta anak-anak terganggu pelajaran

Cita-cita  matlamat menjadi ketidaktentuan.

 

Manakala komunikasi dan pergerakan

Terbatas, keluar perlu keizinanan

Amat mengganggu kelicinan urusan

Kebebasan dirobek oleh wabak

Segala masalah himpunan menekan

Jiwa-raga-mental sakit tambahan

Hilang pertimbangan tanpa pegangan.

 

Di tengah  wabak Covid-19  merebak

Wabak politik sama mengancam

Tanpa  mengira negara  gawat ekonomi

Dan rakyat dalam kesusahan

Kuasa, pimpinan hilang pertimbangan

Mengapa sejumlah kecil ahli politik

Dibiar menggugat  ketenteraman rakyat

Tanpa mengira waktu dan kesesuaian.

 

Apakah ini  masa paling sesuai

Digubal peraturan berpolitik

Lebih terjamin dari segi ketenteraman

Tranpa kacau bilau seperti sekarang ?

 

Fikrah Bangi: 777.

BBB: 28 Safar 1442H. = 16 Oktober 2020M. (Juma`at).

October 15, 2020

 

NEGARA BERILMU  DAN  BUKU

(Fikrah Bangi: 776).

BBB:  27 Safar 1442H. = 15 Oktober 2020M. (Khamis).

Keilmuan rapat dengan kitab atau buku. Keilmuan diwarisi lantaran dirakam  oleh para ilmuan ilmu-ilmu yang  didalami. Tradisi keilmuan adalah dipelajari oleh pelajar-pelajar melalui guru dan kitab atau buku. Kitab atau buku adalah merangkuni berbagai-bagai bidang. Keilmuan di dalam Islam misalnya tafsir, hadith, akidah, fiqh, tasawuf, hisab, mantiq, falaq, ilmu alam, sejarah dan berbagai-bagai lagi. Keilmuan berkenaan dipelajari dari generasi ke generasi hingga kini. Demikianlah dengan ilmu-ilmu yang lain.

Negara berilmu adalah negara yang mempunyai ramai ulama atau ilmuan yang merakamkan ilmu-ilmu mereka,  diwarisi dan dipelajari oleh generasi-ke generasi. Buku-buku keilmuan yang lain dari di atas, ialah seperti ilmu ekonomi,  pertanian, perniagaan, sains ,teknologi, statistik, perubatan, pertanian, pelayaran, persenjataan, peperangan, komunikasi dan sebagainya.

Banyak bidang keilmuan, tetapi seseorang tidak dapat menguasai semua. Negara yang mempunyai kesedaran keilmuan mengatur pengajian kepadarakyatnya melalui pengajian pra-sekolah, sekolah rendah, menengah, atas, kolej dan universiti. Bagi menjadikan rakyat mereka yang berpelajaran,  anak-anak dihantar belajar menurut tahap tahap pengajian di atas. Mereka diajar oleh guru-guru berpengalaman sehingga pelajar-pelajar menguasai ilmu yang dipelajari dan meningkat maju hingga tahap pengajian tertinggi dan dengan keilmuan yang dipelajari, mereka bekerja dan berkhidmat kepada keluarga dan negara. Jika keseluruhan atau sebahagian besar rakyat terpelajar, maka masyarakat  dan negara akan maju.

Ilmu adalah dinamik, ianya terus dihasil dan dikembangkan. Pakar-pakar di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan terus menghasilkan buku-buku dan menjadi tambahan maklumat dan pelajaran bagi generasi. Penghasilan buku sama ada yang bersifat agama, sains, kemanusiaan dan sebagainya tidak harus dibiarkan berdasarkan minat ilmuan dan penulis semata-mata. Negara berilmu dan pemerintah seharusnya mengambil inisiatif menggalakkan para ilmuan menghasilkan buku. Bagi tenaga pengajar misalnya di universiti diberi galakan kepada yang menghasikan buku dengan kenaikan pangkat. Bagi mereka yang lain sepatutnya mendapat galakan dari kerajaan dengan bantuan dan subsidi, kerana tidak semua penjualan buku mendapat pulangan modal. Sebab itu bagi para ilmuan dan penulis seharusnya diadakan skim insentif, bila buku yang dihasilkan dan bernilai, maka diberi ganjaran.

Berbagai cara bagi menggalakkan penghasilan buku-buku di dalam berbagai bidang. Misalnya dengan mengadakan hadiah buku secara tahunan diberi kepada penulis yang menghasilkan buku yang baik. Ini melibatkan berbagai bidang penulisan seperti bidang ilmiah, sastera, agama dan berbagai-bagai lagi.

Bagi menggalakkan perkembangan buku kerajaan sepatutnya menganjurkan konvensyen tentang buku dan memperkenalkan buku-buku dan memberi ruang kepada kedai buku syarikat dan pengarang-pengarang memasarkan buku mereka. Hadiah-hadiah diberi kepada pengunjung dan pembeli buku bagi terus menggalak pengarang dan pembaca terus  menghasil  dan membeli  buku.

Kerajaan dan pihak berkenaan terus mendirikan perpustakaan di bandar-bandar dan luar bandar agar orang ramai, khususnya pelajar-pelajar datang membaca dan membuat rujukan. Bagi menggalakkan penulis menghasilkan buku-buku, kerajaan hendaklah membeli hasil-hasil buku yang baik dan dibahagian ke berbagai-bagai perpustakaan besar dan kecil. Dengan demikian sebahagian dari masalah pemasaran yang dihadapi penulis dan kedai-kedai buku dapat diatasi. Di dalam zaman IT ini, maka peralatan IT dan komunikasi kini seharusnya disediakan oleh perpustkaan. Masalah tiada capaian internet bagi pelajar-pelajar luar bandar dapat diatasi dengan menjadikan  perpustakaan pusat pembelajaran.

Bangsa yang maju ialah bangsa yang berilmu. Salah satu cara penambahan ilmu ialah dengan cara membaca. Rakyat hendaklah digalakkan membaca sejak dari kecil. Setiap pelajar digalakkan membaca sejumlah buku, katakan di dalam sebulan 5 buah buku. Jika anak-anak dapat dipupuk minat membaca sejak dari awal usia, umpamanya ada anak-anak yang diajar sejak pra-sekolah rendah dan membaca buku-buku, bahkan novel-novel  atau buku-buku cerita untuk anak-anak, insya Allah dengan minat yang ditanam ini, maka anak-anak yang sedemikian akan terus minat membaca dan anak-anak yang rajin membaca akan menjadi anak-anak yang pandai dan menjadikan mereka anak-anak yang maju dan berjaya di dalam pelajaran.

Orang dewasa juga seharusnya  digalakkan terus membaca dan kini boleh dicapai maklumat maklumat melalui internet. Kita tidak mau rakyat Malaysia, malas membaca. Kita tidak mau mendapat maklumat, rakyat Malaysia hanya  membaca sekadar 10 halaman di dalam setahun. Semua pihak digalakkan membaca yang bahan-bahan bacaan  dengan mudah boleh didapati.

Jadilah rakyat Malaysia, rakyat yang membaca berbagai-bagai buku. Jadikan negara Malaysia sebagai Negara Berilmu.

Sekian.

October 14, 2020

 

DUKA  BERGANDA

 

Ketika ancaman Covid-19 makin meningkat

Dengan  660 kes baru 163 kematian dan 16,880 positif

Negara  keheranan dengan tuntutan seorang

Yang kemarut  kuasa  berkeinginan menjadi Perdana Menteri

Dengan membawa dakwaan kepada Yang Di Pertuan Agong

Membelakang perlembagaan derita rakyat dikesampingkan

Muak kita dengan  permainan politik tak kesudahan

Tumpukanlah pada pemulihan dari wabak dan  meningkatkan ekonomi.

 

Ketika  ternyata  kesan pilihanraya Sabah 26 September menular

Jangkitan ke berbagai negeri, malangnya ada kematian di Batu Sapi

Suruhanjaya Pilihanraya terikat dengan aturan menyatakan

Pilihanraya adalah pada 5 Disember mendatang mengundang bimbang

Tidakkah akibat dari pilihanraya September menjadi pengajaran

Sanggupkah mengorbankan mangsa berganda tanpa  ihsan

Tiadakah jalan menangguh atau digantungkan

Demi muslihat kepentingan rakyat ?

 

Duka berganda akibat wabak menular

Bermulanya PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya

Mengiringi sebelumnya Sabah dan  Kedah

Menjadikan rakyat semakin gundah

Dan pagi ini masjid termasuk di Bangiku

Lengang dari jama`ah dengan adanya arahan

Kini masjid kembali sepi dari pengajaran

Terganggu program-program diaturkan

Meski sebelum ini tiada klaster masjid

Jama`ah adalah mereka yang patuh

Sepatuh ibadat mereka pada  Tuhan

Masjid seharusnya tempat perlindungan

Memanjatkan harapan merungkai permasalahan.

 

Fikrah Bangi: 775,

BBB:  26 Safar 1442H. = 14 Oktober 2020.