July 16, 2015

Menganjurkan Kegiatan Bersifat Seni


BBB,  28 Ramadhan 1436 = 15 Julai 2015 (Rabu):


Bagi memvariasikan kegiatan, mencungkil bakat dan menarik golongan yang meminatinya terutama golongan muda masjid wajar melibatkan diri dalm kegiatan seni yang tidak bercanggah dengan Islam.
Antara bidang seni yang wajar diberi perhatian ialah:
1)      Tilawah Al-Qur`an secara bertarannum (Berlagu)
2)      Salawat, Nasyid dan lagu-lagu bertemakan Islam
3)      Menulis Khat
4)      Penulisan Kreatif bertemakan Keislaman
5)      Rekacipta dan Gubahan
Tilawah Al-Qur`an
Pada umumnya kebanyakan anak-anak mempelajari Al-Qur`an sama ada di rumah dan di sekolah. Ada antara mereka ada yang baik dari segi bacaan dan bertarannum. Bagi mencungkil bakat mereka masjid secara tidak berkala wajar menganjurkan pertandingan Tilawah Al-Qur`an pada peringkat Bangi atau daerah bagi memilih qari dan qariah terbaik bagi peringkat daerah. Untuk mendapat calon-calon ialah melalui sekolah dan juga masjid dan surau. Yang terpilih boleh mewakili Bangi ke peringkat negeri, negara dan antarabangsa, bila berkelayakan. Bagi pelajar boleh ditawarkan ke mana-mana ma`had tahfiz, jika berminat. Mereka boleh dilatih menjadi imam dan guru Qur`an setempat.
Bagi meneruskan usaha memupuk bakat, pihak masjid wajar menjemput sekali sekala guru-guru tarannum menympaikan kursus tarannum dari masa ke masa untuk diikuti oleh yang berbakat dan yang berminat.
Salawat, Nasyid dan lagu-lagu bertemakan Islam
Kini lagu-lagu salawat dan nasyid mendapat sambutan yang baik dari masyarakat. Contoh Majlis Malam Salawat Ke Atas Rasul. Majlis-majlis salawat  sedemikian dapat dianjurkan oleh masjid secara tidak berkala bertempat di padang berhampiran dengan masjid. Pertandingan Bersalawat dan Nasyid boleh dianjurkan di kalangan golongan muda pada peringkat daerah dan juga negeri. Lagu-lagu keislaman juga menarik minat masyarakat seperti dihasilkan pada peringkat antarabangsa oleh Maher Zain dan pada peringkat nasional seperti oleh Hamidon. Pertandingan lagu dan menggubah lagu keislaman wajar dianjurkan bagi mencungkil bakat dan melahirkan pelagu-pelagu bertemakan keislaman.


Penulisan Khat
Satu warisan seni Islam yang tinggi mutunya ialah Penulisan Khat. Antara khat-khat terkenal di dalam seni lkat ialah nasakh, raq`ah, thuluth, Diwani dan banyak lagi. Bagi menghidupkan tulisan jawi dan juga tulisan dalam bahasa Arab, maka Masjid menganjurkan kursus penulisan khat dengan menjemput penulis-penulis khat menjalankan kursus dan bengkel penulisan khat kepada terutama pelajar-pelajar sekolah (wakil) dan mereka yang berminat di dalam penulisan khat. Pada satu peringkat dapat diadakan pertandingan penulisan khat di kalangan murid-murid antara sekolah dan juga bagi kategori terbuka di dalam berbagai jenis penulisan khat. Hasil dari pertandingan dan pengumpulan pihak masjid dapat mengadakan `Pameran Khat` di galeri, mana-mana bahagian di masjid sebagai tempat yang sesuai. Jualan hasil penulisan khat juga diadakan.
Penulisan Kreatif dan Esei Bertemakan Keislaman
Bangi sebagai Bandar Ilmu dan ramai intelektual dan pelajar-pelajar adalah dipercayai mempunyai ramai mereka yang berbakat di dalam bidang penulisan esei dan kreatif. Bagi menarik golongan muda ke masjid, antara kegiatan yang boleh dianjurkan ialah peraduan menulis – mungkin pada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.  Kerjasama mungkin dapat dilakukan dengan pihak sekolah-sekolah dan jabatan-jabatan berkenaan. Sebagai galakan dan insentif kepada pemenang-pemenang, mereka bukan sahaja diberi hadiah yang berpatutan, tetapi hasil-hasil yang menang dan bermutu diterbitkan oleh pihak masjid sebagai sebahagian penerbitan yang diterbitkan oleh masjid (di samping penerbitan Ilmiah dalam bidang keislaman).
Rekacipta Dan Gubahan
Bagi menggalak dan memperkembangkan daya kreativiti terutama golongan muda wajar diadakan  peraduan-peraduan  yang dapat menyerlahkan bakat-bakat yang ada pada mereka dengan mengadakan pertandingan secara tidak berkala misalnya:
Pertandingan foto yang mencerminkan keagungan Ilahi. Ini boleh dilibatkan oleh berbagai pihak, lantaran merakam gambar, terutama melalui handphone adalah menjadi kebiasaan bagi pemilik-pemilik handphone. Pertandingan memberi peluang kepada yang berminat mengambil gambar menunjukkan kemahiran mereka. Gambar-gambar terpilih akan dipamerkan digaleri pertandingan di masjid.


Rekacipta yang melibatkan kalangan wanita dan ibu-ibu juga ialah dari segi mencipta feseyen bagi pakaian anak-anak yang pakaian yang dipertanding digaya oleh anak-anak secara pertandingan. Pertandingan juga dapat dikendalikan oleh kalangan wanita dan muslimat dari segi gubahan bunga, jahitan, pertandingan masakan dan sebagainya.
Semua kegiatan yang dianjurkan bagi membuktikan bahawa masjid tidak saja bagi tempat ibadat – solat yang biasanya dihadiri oleh golongan orang tua. Masjid harus melibatkan semua golongan dan berbagai-bagai kegiatan perlu diadakan yang melibatkan semua golongan. Kegiatan-kegiatan hendaklah tidak bercanggah dengan syariat dan akhlak.
Kita mau melihat bahawa Masjid Al-Umm adalah milik semua dan kegiatan adalah melibat semua. Masjid adalah tempat ibadat, namun masjid juga adalah tempat pengajian berbagai-bagai keilmuan Islam. Masjid juga menjadi tempat kegiatan kemasyarakatan. Di masjid ada kenduri perkahwinan, ada kegiatan yang bersifat seni keislaman dan masjid juga menganjurkan kegiatan rekreasi dan sukan.
Sesungguhnya masjid adalah institusi ibadat, pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.

Sekian.

July 15, 2015

Sejarah: Memahami Kebenaran Peristiwa - Meyakinkan


BBB,  27 Ramadhan 1436 =  14 Julai 2015 (Selasa):
Sejarah tidaklah sepenting berbanding dengan pengajian Al-Qur`an, aqidah dan fiqh bagi pengajian Islam. Sememangnya ianya tidak diberi keutamaan dari segi hiraki keilmuan yang dipelajari di masjid dan surau. Pelajaran ini jika diajar di masjid surau, ianya dikenali sebagai `Sirah`, iaitu sejarah khusus tentang sejarah Islam berhubung dengan sejarah kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun sejarah tidak penting berbanding dengan mata-mata pelajaran utama di dalam Islam, tetapi wajar dijadikan sebahagian dari mata pelajaran yang diajar di dalam pengajian di Masjid Al-Umm. Dengan sejarah dapat membantu pengaji-pengaji dapat memahami apa yang dipelajari di dalam Islam dalam perspektif dan skop yang lebih luas dan mendalam dalam mendapat kebenaran.


Sejarah tidak diabaikan di dalam Islam. Contoh ayat Al-Qur`an menyebut yang dari segi maksud ialah,
``Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran).  (Aali Imran: 140).
Dan banyak pula ayat-ayat  mengenai peristiwa sejarah untuk maklumat dan pengajaran. Contoh ayat bermaksud:
``Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhan) ialah Baitullah yang di Makkah yang barakah dan (dijadikan) pertunjuk hidayah bagi umat manusia. (Aali Imran: 96).
Namun begitu sejarah adalah luas, seluas wujud ruang dan masa dan sejarah terus mencatat bersama perjalanan masa di permukaan wujud yang ada. Sebab itu sejarah dikategorikan untuk dipelajari seperti Sejarah Dunia (secara luas), Sejarah Negara-negara (Sejarah Malaysia), Sejarah Peperangan Dunia Pertama, Sejarah Kemerdekaan Negara dan sebagainya. Namun bagi merangkumi semua seharusnya dipelajari konsep dan falsafah sejarah.
Bagi kita umat Islam, selain dari mempelajari sejarah secara luas, kita sendiri mempunyai Sejarah Umat Islam bagi kita memahami sejarah tamadun dan peradaban umat. Ianya tidak lain bagi kepentingn kita memahami sejarah Islam dalam peta sejarah tamadun dan peradaban keseluruhan. Sejarah Islam sendiri dikategorikan bagi kemudahan pengajian seperti Sejarah Kerasulan dan Kenabian, Zaman Jahiliyyah, Sirah Nabi Muhammad s.a.w., Zaman Khalifah Al-Rashidin, Zaman Umawiyyah, Abbasiyyah, Zaman Turki, Islam di Alam Melayu dan sebagainya.
Dengan pengajian sejarah katakan tentang Sirah Nabawiyyah Rasulullah s.a.w. dapat difahami sejarah Nabi  sebelum dibangkit dan bagaimana perjuangan Baginda mendakwah selepas dibangkit semasa di Makkah, Hijrah ke Madinah dan penegakan negara Islam pertama di Madinah dan perluasan negara Islam dan perkembangan Islam. Dengan mempelajari sirah kita tidak menanggapi sesuatu peristiwa secara kosong dari masa dan tempat. Misalnya dengan memahami sejarah dapat difahami latar pengibadatan Rasulullah di Gua Hira` yang membawa kepada Baginda menerima wahyu pertama (Iqra`). Dengan memahami sejarah dapat difahami dakwah Rasulullah tidak semudah diterima kaum Quraisy dan setelah 13 tahun berdakwah di Makkah, tidak seramai mana mereka yang menerima Islam sehingga Rasulullah terpaksa merangka beberapa strategi seperti berpindah ke Habasyah dan akhirnya berhijrah ke Madinah, membuka negara Islam pertama di Madinah. Pun di Madinah tidak sunyi dari menghadapi konfrontsi dan peperangan sebelum negara Mdinah berdiri dengan mantap dan Rasulullah s.a.w. meluaskan dakwah Islam hingga ke luar dari Madinah.


Mempelajari Sirah Rasulullah memperluaskan horizon kefahaman tentang Islam dan mengukuhkan keyakinan. Bahkan antara rukun Islam yang lima adalah mempunyai elemen sejarah. Misalnya dengan Rukun Islam kelima iaitu, menunaikan Haji ke Baitillah al-Haram,  memberi kefahaman kepada pengunjung selain dari menunaikan rukun kewajipan, akan latar tempat dan sejarah tempat dakwah Rasulullah s.a.w. juga dapat difahami sejarah dan tempat pertama kali Nabi Allah Ibrahim menempatkan keluarganya – Saydatina Hajar dan Ismail bermukim di Makkah dan dapat melihat dengan mata kepala tentang binaan Ka`abah yang didirikan oleh Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya Ismail yang kesannya terakam pada Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail. Juga dapat disaksi safa dan marwah serta telaga dan air zamzam yang mempunyai elemen sejarah yang berkait dengan Saydatina Hajar dan anaknya Ismail. Juga dapat dihayati betapa berkat dan luhurnya doa Nabi Allah Ibrahim yang memohon dari Allah agar Ka`abah menjadi tempat kunjungan yang dihadiri umat secara berterusan. Begitu juga dengan doa Nabi Allah Ibrahim agar Makkah menjadi kota yang makmur yang rezeki berlempah ruah dari segi makanan dan buah-buah. Doa tersebut dikabul Allah dan Makkah menjadi tempat makmur serta aman dan dikunjungi secara berterusan.
Demikian bila seorang sama ada bagi menunaikan haji atau umrah bila berziarah ke Madinah dapat menyaksi sendiri kesan-kesan sejarah yang berhubung dengan Rasulullah seperti Masjid Quba`, Masjid Qiblatayn, Masjid Nabawi sendiri yang menjadi pusat ibadat dan pentadbiran serta kegiatan kemnasyarakatan. Serta dapat melihat kesan-kesan sejarah seperti peperangan Badar, Uhud dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain pemergian ke Makkah bagi menunaikan haji dan umrah membuka peluang mendapat maklumat dan kefahaman tentang peristiwa-peristiwa yang berhubung dengan dakwah, perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Islam dan Negara Islam pertama di Madinah.


Di dalam konteks ini dilihat bahawa pelajaran sejarah atau lebih khusus adalah sirah dapat memberi kefahaman terhadap seorang Islam tentang latar perjuangan menegakkan Islam. Kepentingan sejarah bukan setakat sejarah yang berlaku berhubung dengan sejarah semata-mata. Dengan elemen sejarah dapat membantu kefahaman tentang keilmuan-keilmuan Islam. Misalnya dengan sejarah dapat difahami sebab-sebab nuzul satu-satu ayat Qur`an dan juga memahami peristiwa yang berkait dengan sejarah di dalam ayat-ayat Al-Qur`an yang berhubung dengan sejarah. Sejarah juga dapat membantu kefahaman memahami Hadith-Hadith Nabi yang berkait dengan berbagai-bagi peristiwa yang melahirkan sesebuah Hadith. Selain daripada itu sejarah membantu pengajinya memahami sejarah-sejarah yangf lain yang berhubung dengan umat Islam. Dengan sejarah bukan saja membantu dari segi kefahaman, tetapi menanamkan rasa kasih sayang, pengagungan terhadapo kerajaan Islam dan membangkitkan semangat bagi  memperjuang dan mempertahankan Islam.
Sejarah tidak pernah berdusta. Sejarah memperjelaskan hakikat peristiwa pada paksi kebenaran dan memberi keyakinan bagi yang mendepani dan menghayati kebenaran berkenaan.

Sekian.

July 14, 2015

Tasawuf Bukan Sekadar Akhlak, Tapi Kepada Seni Rohani Meningkat


BBB,  26 Ramadhan 1436 = 13 Julai 2015 (Isnin):
Satu bidang pengajian yang wajar dipertimbangkan untuk diajar pada pengajian Al-Umm ialah bidang tasawuf. Tapi pengajian ini adalah pada tahap yang lebih tinggi dan tidak semua peringkat mengikutinya. Mereka yang mengikutinya sewajarnya telah mempunyai kekukuhan di dalam keilmuan-keilmuan asas di dalam Islam, kukuh dari ilmu aqidah dan syariah, minat terhadap bidang kerohanian dan biasanya terdiri dari kalangan mereka yang telah meningkat umur.
Ada yang memberi makna bahawa tasawuf adalah akhlak. Ia merupakan sebahagian – tahap permulaan dan tidak keseluruhan adalah akhlak, tetapi adalah bersifat rohani yang meningkat kepada tahap  kehalusan `seni rohani`. Tasawuf pada tahap permulaan ialah penggilatan dari nilai peribadi lahiri yang rendah bergerak kepada tahap nilai kualiti lahiri yang tinggi yang masih dalam batas akhlak. Namun tahap lahiri mampu meningkat kepada tahap `seni rohani`. Dalam skema ketasawufan selalu dirujuk kepada Hadith Rasulullah s.a.w. diriwayat oleh Abu Hurairah yang merujuk kepada pertanyaan  Jibril kepada Rasulullah s.a.w. tentang iman, Islam dan Ihsan (Hadith Bukhari). Ihsan adalah  tahap peningkatan tinggi dari segi rohani.


Tasawuf dari segi akhlak sebenarnya terhasil dan manifestasi dari pegangan akidah yang betul seseorang muslim, khususnya kefahaman dan keyakinan terhadap rukun iman yang enam. Dengan keyakinan ini membentuk pandangan wujud seseorang muslim. Keyakinan ini membentuk perlakuan dan tingkah laku serta akhlak seseorang muslim. Kekukuhan dari segi akhlak bertambah dan mantap dengan amalan terhadap rukun Islam  yang lima seperti dari syahadat, solat, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji ke Baitillah al-Haram. Semua amalan ini adalah sebagai benteng yang mencegah seseorang dari melakukan kejahatan, bahkan membentuk nilai-nilai murni yang dituntut dari solat, puasa dan zakat. Lantaran itu dengan rukun iman dan rukun Islam membentuk nilai akhlak pada diri seseorang.
Pendekatan tasawuf yang berciri akhlak ini dibuat pendekatan oleh Al-Imam Al-Ghazali rahmatullah `alayhi di dalam karangan tasauf-akhlak terkenalnya, iaitu Kitab Ihya` `Ulum al-Din.
Di dalam pendekatannya Al-Imam Al-Ghazali memecahkan pembicaraan kitabnya kepada empat pecahan (empat rubu`) penting iaitu:
1)      Rubu` Ibadat
2)      Rubu` Adat
3)      Rubu` Munjiyat
4)      Rubu` Muhlikat
Di dalam kitab Ihya`nya Al-Imam Al-Ghazali membicarakan pada peringkat awal kitabnya persoalan yang berhubung dengan akidah dan significant setiap aspek dari rukun iman dan rukun Islam.
Berdasarkan kepada pecahan yang dibuat. Al-Imam Al-Ghazali membicarakan dengan panjang lebar persoalan yang berhubung dengan rubu` (satu perempat pecahan kitab) ibadat, khususnya berhubung dengan solat, puasa, zakat dan haji yang dengan ibadat berkenaan dapat membina akhlak peribadi seseorang muslim. Contoh Solat, firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya solat mencegah seseorang dari kejahatan dan kemunkaran.``
(Al-`Ankabut: 45).
Tentang puasa: Hadith riwayat Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud;
``Siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kewaspadaan nescaya diampun apa yang berlalu dari dosanya . Dan barang siapa mendirikan malam laylatul Qadr dengan penuh keimanan dan kewaspadaan diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu.`` (Riwayat Bukhari).


Adapun dari rubu` (satu perempat) dari bahagian adat, ialah mengamalkan kehidupan adat atau sosial menurut perintah agama contoh. Bekerja, berniaga, bertani, berkahwin dan kehidupan kemasyarakatan yang lain. Dengan mengikut aturan kehidupan sosial yang digaris oleh Islam, maka kehidupan individu, keluarga dan masyarakat di dalam keadaan aman tenteram.
Rubu` al-Munjiyat pula ialah melakukan amalan-amalan yang baik seperti, tolong menolong, bersifat sabar, membantu faqir miskin, bersadakah dan sebagainya adalah merupakan perbuatan-perbuatan terpuji yang membahagiakan individu dan masyarakat.
Manakala aspek muhlikat, ialah sifat-sifat yang membinasakan yang seharusnya dihindar oleh individu dan masyarakat. Aspek-aspek berkenaan dikategorikan kepada jenis nafsu. Antaranya yang dikenali dengan nafsu ammarah yang selalu cenderung kepada melakukan kejahatan seperti mengupat keji, hasad dengki dan sebagainya, manakala nafsu berikutnya ialah nafus lawwamah, yang pelakunya sedar dengan kekejian, tetapi ia terjatuh padanya dan kesalahan menggugatnya.(Manakala dua pecahan nafsu lain yang dikategorikan kepada yang baik ialah nafsu mutmainnah dan radiah). Jelaslah pendekatan yang dibawa oleh Al-Ghazali di dalam kitab Ihya`nya adalah pendekatan yang bersifat akhlak.


 Adapun pada peringkat yang lebih tinggi dari segi pembicaraan tasawuf  ada yang membahagikan kepada syariat, tariqat, hakikat dan ma`rifat. Ini merupakan pendekatan kualiti yang bergerak dari aspek syariat sebagaimana telah dibicarakan, kepada peringkat tariqat, kepada hakikat dan ma`rifat. Pendekatan selepas syariat agak kabur dan bermacam-macam kaedah pendekatan. Tetapi yang paling popular bagi peningkatan yang bersifat kerohanian ialah melalui praktik rohani yang merupakan peningkatan kualiti dari segi ahwal dan maqam bermula dengan taubat, warak, zuhud, faqr, sabar, tawakkal, reda, muraqabah, qurb, mahabbah, khawf, raja`, shauq, uns, tamakninah, hal musyahadah dan hal yaqin. (Al-Tusi, Abu Nasr Al-Sarraj, Al-Luma`, 1380/1960: 65-102).
Perjalanan disebutkan adalah perjalanan kualiti rohani seorang sufi yang menghadapi ujian kerohanian di dalam ibadat dan praktik kerohanian yang dari kegetiran jiwa membawa kepada kemesraan dan memuncak kepada cinta Ilahi yang merupakan peningkatan seni rohani yang tinggi. Dari jiwa yang penuh cinta ini, mengalir ungkapan-ungkapan yang indah sebagai percikan rasa kecintaan terhadap Allah. Jika sufi sedemikian seorang penyair, terluah puisi-puisi yang tinggi mutunya seperti oleh Rabi`ah al-`Adawiyah, Rumi, Attar, Jami, Iqbal dan sebagainya. Jika jiwa sedemikian dimiliki oleh ahli arkitek maka mengalir ilham keseni-binaan yang berciri kerohanian. Demikianlah dengan bidang-bidang kesenian dan kemanusiaan yang lain.
Sememangnya kesufian satu bidang tersendiri yang tidak terpish, tetapi merangkumi akidah, syariat dan kerohanian, sebagaimana kata Imam Malik:
Siapa bertasawuf tidak berfiqah membawa kepada zindiq
Siapa berfiqah tidak bertasawuf membawa kepada fasik
Siapa yang menghimpun antara keduanya mencapai tahqiq.
Tasawuf mampu dipelajari oleh mereka yang mempunyai asas keilmuan rohani. Pengajian sedemikian dianjurkan oleh masjid lebih kepada memahami pendekatan dan praktik yang dilalui sufi, tetapi jika ada yang berminat, maka dia boleh menerokai dan mendalaminya dengan lebih jauh tentang aspek-aspek kerohanian yang penuh dengan kerahsiaan.

Sekian.

July 13, 2015

Pentingnya Mempelajari Bahasa Al-Qur`an


BBB, 25 Ramadhan 1436 = 12 Julai 2015 (Ahad):
Menyebut Bahasa Al-Qur`an, tetapi tidak menyebut `Bahasa `Arab` bagi memberi tanggapan, bahawa dengan menyebut Bahasa Al-Qur`an adalah sebagai bahasa Umat yang merapatkan hubungan kita dengan bahasa tersebut, sebaliknya dengan menyebut Bahasa Arab adalah bahasa orang-orang Arab. Bahasa Al-Qur`an adalah bahasa fusha yang mantap serta baku dan mempunyai kaedah nahu-saraf yang teratur serta mempunyai kedalaman dari segi balaghah. Sedangkan bahasa Arab, khususnya yang moden banyak berubah dan bukan lagi bersifat fusha.


Hubungan rapat kita dengan Bahasa Al-Qur`an, lantaran penurunan Al-Qur`an kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan bahasa Al-Qur`an (`Arab) dan Al-Qur`an menjadi prinsip, perlembagaan, induk dan kitab panduan bagi umat Islam. Termasuk juga penggunaan bahasa Al-Qur`an ialah  Al-Hadith yang menggunakan bahasa yang teratur mengikut kaedah nahu dan sarafnya.
Di dalam membicarakan keilmuan yang patut dipelajari di Masjid Al-Umm, kita telah membicarakan tentang Al-Qur`an (serta tajwid), aqidah, fiqh, tafsir dan Hadith. Ianya merupakan ilmu yang utama di dalam Islam yang melibatkan peraturan dan amalan dalaman (aqidah) dan peraturan luaran dan amalan (fiqh) dan memahami lebih dalam terhadap kandungan Al-Qur`an (tafsir), termasuk Al-Hadith. Keilmuan-keilmuan berkenaan adalah tumbuh dan berkembang di dalam rahim peradaban Islam adalah bermula di dalam bahasa Al-Qur`an. Sudah tentulah bagi yang tidak menguasai dan memahami Bahasa Al-Qur`an mampu mendengar seperti mampu membaca dan mendengar ayat-ayat Al-Qur`an tanpa memahami kandungan. Kalau tidak menguasai dan tidak memahami Bahasa Al-Qur`an, maka sudah pastilah tidak dapat mempelajari keilmuan-keilmuan berkenaan  yang di dalam bahasa Al-Qur`an. Mungkin dapat dikatakan pemahaman terhadap keilmuan-keilmuan, ialah melalui terjemahan. Lantaran kini memang banyak dilakukan terjemahan terhadap keilmuan-keilmuan Islam, bahkan terjemahan terhadap Al-Qur`an termasuk terjemahan terhadap tafsir dan juga Al-Hadith. Memang terjemahan-terjemahan banyak dilakukan terhadap bidang-bidang keilmuan yang diperkatakan. Tetapi tanpa menguasai dan memahami bahasa Al-Qur`an (Arab) kunci keilmuan terhadap sumber-sumber utama tersebut adalah terhad. Sebagaimana di dalam pengajian moden kini, dengan hanya menguasai satu bahasa sahaja – Bahasa Melayu, tanpa menguasai katakan bahasa Inggeris, bahasa antarabangsa, maka ibarat tiada kunci keilmuan penting yang dengannya dapat menerokai bahan-bahan keilmuan di dalam bahasa yang penting itu.
Meguasai bahasa Al-Qur`an bererti mempunyai kunci keilmun yang dapat memahami kandungan Al-Qur`an dan Al-Hadith dan membuka khazanah keilmuan Islam yang dihasilkan sejak di zaman permulaan Islam yang diterokai oleh ulama` di dalam bidang masing-masing sejak dahulu hingga kini. Sebaliknya tanpa menguasai dan memahami melalui Bahasa Al-Qur`an, tetapi melalui bahasa terjemahan atau huraian secara langsung dalam bahasa selain dari Bahasa Al-Qur`an seperti dalam bahasa Melayu, maka kefahaman adalah terhad. Kefahaman pula  tidak asli dan mendalam sebagaimana di dalam Bahasa Al-Qur`an yang asal. Walaupun pembelajaran dan kefahman dapat dilakukan melalui bahasa katakan bahasa Melayu, tetapi di dalam bahasa Melayu itu sendiri, terutama bahasa kitab dan bahasa Melayu yang mendukung keilmuan Islam, maka sebenarnya yang mempelajarinya tidak  dapat terlepas dari bertembung dengan ayat-ayat  Al-Qur`an, Hadith dan istilah-istilah yang berasal dari Bahasa Al-Qur`an sama ada di dalam bidang aqidah, fiqh dan bidang-bidang keilmun Islam yang lain. Sebenarnya sebahagian dari bahasa Umat Islam menerima sebahagian besar istilah dari Bahasa Al-Qur`an yang membina bahasa tersebut. Contohnya bahasa Melayu, Urdu, Parsi dan Turki. Bagi bahasa Melayu adalah diakui  bahasa Melayu yang berasal dari bahasa terpencil dan bersifat daerah. apabila Islam memilih bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi dakwah dan pengajaran Islam, maka bahasa tersebut sejak kedatangan Islam berkembang maju menjadi bahasa yang mampu menjunjung keilmuan dan bersifat saintifik. Keadaan sedemikian berlaku juga terhadap bahasa-bahasa yang lain. Contoh bahasa Urdu yang bahasa tersebut terhasil dari kemasukan Islam ke India.


Point yang hendak diperkatakan, bahawa, walaupun keilmuan Islam dapat dipelajari melalui bukan bahasa Al-Qur`an, tetapi menguasai dan memahami keilmuan Islam, khususnya keilmuan-keilmuan utama di dalam Islam lebih bermanfaat dan terlebih mendalam dengan menguasai keilmuan berkenaan melalui bahasa Al-Qur`an.
Pengajian keilmuan-keilmuan Islam yang akan ditawarkan di Masjid Al-Umm, antaranya ialah pengajian Bahasa Al-Qur`an (Bahasa Arab). Bahasa tersebut hendaklah ditawarkan dari peringkat rendah membawalah kepada peringkat atas. Tujuan diadakan pengajian dalam bahasa Al-Qur`an ini bukanlah untuk percakapan (al-Muhawarah), kalau dapat adalah baik, tetapi ialah bagi membolehkan pelajar-pelajar memahami turath keilmuan Islam, bukan setakat pada peringkat menadah kitab sahaja, bermaksud semasa berdepan guru, tetapi dengan menguasai dan memahami Bahasa Al-Qur`an ini ianya sebagai kunci bagi pelajar dan pengaji membuka kunci keilmuan – termasuk membaca kitab-kitab di dalam bahasa Al-Qur`an secara sendiri, bahkan dengan kunci ini dia boleh membuka khazanah keilmuan Islam dengan kunci Bahasa Al-Qur`an terhadap turath keilmuan Islam di dalam Bahasa Al-Qur`an di perpustakaan-perpustkaan dan di mana juga sumber keilmuan Islam adalah wujud.

Walau bagaimana pengajaran Bahasa Al-Qur`an hendaklah dbimbing oleh guru yang berkemahiran di dalam Bahasa Al-Qur`an dan mempunyai (sudah mempelajari) kaedah pengajaran Bahasa Al-Qur`an secara teratur dan efektif. Pengajaran yang tidak mengikut kaedah yang sistematik, menjadikan bahasa tersebut dianggap sukar untuk dipelajari. Keadaan sedemikian berlaku pada pengajian pondok tradisi yang belajar ilmu nahu tetapi tidak begitu memahami sehingga begitu lama `mengaji` tidak memahami dan tidak dapat menggunakannya di dalam pengajian-pengajian yang menggunakan Bahasa Al-Qur`an. Pada masa kini banyak kaedah-kaedah pengajaran moden dan banyak pula guru Bahasa Al-Qur`an yang lulus dari pengajian di Timur Tengah yang boleh dimanfaatkan, jika tidak ada guru yang sedia berkemahiran di dalam bahasa tersebut. Dengan penawaran Bahasa Al-Qur`an dan ramai yang dapat menguasai bahasa tersebut, maka secara tidak langsung akan wujud pengajaran keilmuan Islam pada peringkat rendah, iaitu bagi yang tidak menguasai Bahasa Al-Qur`an dan pengajaran pada peringkat tinggi, iaitu bagi mereka yang menguasai Bahasa Al-Qur`an. Kini di zaman moden bahasa Inggeris sendiri digunakan di dalam pengajaran Islam dan menghasilkan buku-buku bersifat ilmiah di dalam bahasa berkenaan. Contoh berlaku di universiti=universiti yang menamakan dirinya sebagai Universiti Islam.
Sesungguhnya penguasaan dan kefahaman terhadap Bahasa Al-Qur`an memberi faedah kepada pelajar-pelajar mendalami sumber-sumber keilmuan Islam di dalam Bahasa l-Qur`an, malah dengan menguasai bahasa-bahasa lain menjunjung Islam membuka ruang luas bagi pemahaman dan pendalaman terhadap sumber keislaman. Bagi jangka panjang pelajar-pelajar yang menguasai Bahasa Al-Qur`an dari Pengajian Masjid Al-Umm dapat dihantar bagi menyambung pengajaian bahasa, khususnya dalam Bahasa Al-Qur`an di mana-mana universiti di Timur Tengah yang terkenal dengan bidang Bahasa Al-Qur`an. Mereka dihantar agar kembali berkhidmat di pengajiuan Al-Umm.

Sekian.

July 12, 2015

Rumusan Pembangunan, Pentadbiran, Dan Pengimarahan Masjid Al-Umm


BBB, 24 Ramadhan 1436 = 11 Julai 2015 (Sabtu):
Perbincangan dalam mesyuarat khas 22 Ramadhan 1436 bersamaan 9 Julai 2015 berlangsung di Hotel Puri Pujangga, UKM adalah selama 2 jam dari jam 5.00 – 7.15 petang sebelum berbuka puasa. Setiausaha Tuan Haji Suib Maulud membentangkan carta yang melibatkan kedudukan pegawai-pegawai masjid oleh JAIS dan kemudian diikuti perbincangan.


 Rumusan-rumusan perbincangan melibatkan pembangunan, pentadbiran, pengimarahan dan kewangan.
1)      Pembangunan

a)      Bangunan Fizikal Masjid Al-Umm
Cadangan untuk memulakan penggunaan Masjid Al-Umm pada hariraya Idul Adhha 10 Zulhijjah 1436 bersamaan 24 September 2015 dengan menjemput TG Dato` Dr. Haron Din Penaung dan Penasihat AJK Pembangunan Masjid Al-Umm sebagai Imam dan Khatib Pertama dan Utama (cadangan sempena lawatan TG ke bangunan Masjid Al-Umm pada 29 Jun 2015) membuka perbincangan sama ada pada tarikh tersebut masjid dapat disiapkan atau tidak. Sedangkan pada masa kini kubah masjid dalam pembinaan dan dijangka memerlukan masa  lewat dari raya Idul Adhha berkenaan -  dijangka Oktober 2015. Pendingin udara juga masih belum dipasang, letrik dan air belum disalurkan. Infra-struktur luar seperti lanskap, jalan dan pagar belum dibina. Ini tidak termasuk aspek dekorasi dalaman, perabut dan carpet. Terpenting apakah CF boleh didapati dan tanpa Cf apakah boleh mendapat keizinan JAIS bagi mendirikan solat Idul Adhha. Mesyuarat khas yang berlangsung di Hotel Puri Pujangga pada 9 Julai 2015 itu berpendapat, pada hariraya Idul Adhha masjid tidak dapat disiapkan. Lantaran itu mesyuarat bersetuju untuk menemui TG bagi menangguhkan penggunaan masjid pada hari raya berkenaan.
(Catatan: Pertemuan Pengerusi dan 7 AJK Induk pada pagi Sabtu 11 Julai 2015 dengan Tuan Guru di Kompleks Pendidikan Islam, Bangi pagi ini Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din bersetuju dengan penangguhan).
b)      Pembangunan Fasa 2
Hasrat bagi meluaskan fungsi masjid dalam bidang pendidikan diteruskan. Iaitu usaha bagi mendapat kelulusan dari MPKj dan Kerajaan Negeri Selangor (tanah) bagi mendirikan kompleks pendidikan dan pengajian setinggi 10 tingkat di kawasan Medan Usahawan berdekatan dengan masjid Al-Umm. Dengan wujudnya kompleks ini memberi ruang yang lebih bagi peningkatan pendidikan dan merealisasikan konsep Wadi Ilmu berindukkan Masjid Al-Umm di Bangi Bandar Ilmu.
c)       Penjimatan Perbelanjaan
Dengan keadaan kewangan yang berbaki makin kecil (kini RM1.2 juta), mesyuarat bersetuju mengambil langkah berjimat cermat, di samping berusaha mendapat dana. Antara langkah ialah:
      i)  Memberi keutamaan kepada projek yang penting
      ii) Menangguhkan perlaksanaan projek yang kurang penting
     iii) Menukar dari yang melibatkan kos tinggi kepada yang lebih rendah
     iv) Mencari alternatif sebagai menggantikan bagi yang mewajarkan pertukaran
     v)  Tidak melaksanakan apa yang dianggap tidak penting
Penjimatan perlu, bukan setakat bagi pembinaan, tetapi pengimarahan dan pengurusan yang  juga memerlukan kewangan.


2. Pentadbiran
Meneruskan tugas AJK Pembangunan. Antara yang diputus dalam perbincangan:
·         Pengerusi:  Dr. Shafie Abu Bakar
·         Timbalan Pengerusi: Ir. Haji Ishak Arshad
·         Bendahari: Tuan Haji Mohd. Nor bin Haji Mohd Yasin
·         Setiausaha: Tuan Haji Suib bin Maulud
·         Pengurusan: Tuan Haji Mohd. Kalok bin A. Latiff & Tuan Haji Suib Maulud
·         Pengimarahan: Tuan Haji Ghazali Abbas
·         Pendidikan: Dr. Tajul Ariffin Noordin
·         Fellow Pendidikan: Dr. Mohamad Sabri bin Haron
·         Projek Pembangunan Fasa 2: Ir. Haji Ghazali Husin
·         Penjana Dana: Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud (cadangan)
·         Penyelaras Pegawai Masjid dan Pelajar Tahfiz dan Kebajikan mereka: Haji Ahmad bin Hasbullah (cadangan)
·         Pembangunan Koperasi: Tuan Haji Mohd. Kalok bin A. Latiff
·         Publisiti: Nik Adham bin Nik Anuar
Tugas-tugas selain dipastikan di atas akan ditentukan oleh mesyuarat bagi AJK lain.
AJK diminta mengenalpasti yang berkelayakan bagi jawatan seperti nazir, imam, bilal dan siak untuk dikemukakan kepada pihak JAIS bila tiba masanya.


3. Pengimarahn
* Menurut rumusan yang telah dibuat di dalam bengkel-bengkel lepas
* Menjemput pakar dalam bidang pengimarahan menyampaikan pendapat dan cadangan
* Membuat lawatan kerja sambil belajar dengan menemui AJK masjid-masjid pilihan dan pengetua pusat-pusat tahfiz
Catatan: Bahagian pengimarahan dibenarkan membuka akaun di Bank Muamalat bagi menyalurkan kewangan.
4.  Kewangan
* Meneruskan usaha mendapat derma dari orang ramai
* Mendapatkan penderma tetap
* Mendapat pinjaman dari mereka yang berkelayakan
* Mengadakan kegiatan amal
* Memiliki aset yang dapat menjadi sumber kewangan
5.  Rumusan
Perbincangan masih belum bersifat menyeluruh. Banyak lagi bidang-bidang, contoh pendidikan yang perlu diperluaskan. Perbincangan akan diteruskan pada masa akan datang.
Majlis berakhir dengan iftar dan solat Maghri berjamaah.

Sekian.

July 11, 2015

Menilai Kemajuan Pembinaan Masjid, Merancang Pentadbiran Dan Pengimarahan


Hotel Puri Pujangga UKM, 22 Ramadhan 1436 = 09 Julai 2015 (Khamis):
Tempoh dijangka siap pembinaan Masjid Al-Umm, selepas penangguhan kali pertama (25 Mei 2015), ialah pada akhir Ogos 2015 ini. Namun, sekali lagi, adakah pihak kontrektor mampu menyiapkan pembinaan kepada tarikh yang ditangguhkan ini ?
Bagi penilaian secara serius, selain daripada isu ini dibincangkan di dalam mesyuarat-mesyuarat biasa pada peringkat `Tapak dan Teknikal` serta peringkat induk, maka untuk melihatnya secara objektif, maka sengaja diadakan Mesyuarat Khas pada petang ini bagi menilai pembangunan fizikal Masjid Al-Umm yang juga dibincangkan persediaan bagi Pentadbiran dan Pengimarahan bila Masjid Al-Umm benar-benar siap. Hadir ke mesyuarat AJK Induk, AJK Teknikal yang diketuai Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad dan AJK Tapak yang diketuai Ir. Haji Ghazali bin Husin.


Tapi sebelum masuk kepada perbincangan tentang progres pembinaan Masjid Al-Umm, Penulis yang mempengerusikan mesyuarat mengalu-alukan kehadiran dan menyampaikan perkembangan mutakhir, senario pembangunan, perancangan pentadbiran dan pengimarahan. Penulis mengucapkan terima kasih di atas khidmat semua AJK secara dedikasi dan ikhlas, kini setelah satu setengah tahun pembangunan bangunan Masjid Al-Umm yang 80% siap jelas tersergam, telah dicat luar dan dalam bagai benar-benar telah siap. Tambah Penulis, tapi makin ke hujung makin menirus kewangan. Di dalam konteks ini Penulis memaklumkan kepada AJK, bahawa 6 AJK pada petang semalam (08 Julai 2015) telah menemui Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Tuan Mohamed Azmin bin Ali di Pejabatnya di Shah Alam yang turut sama  ialah TG Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat AJK Pembangunan Masjid Al-Umm. Perbincangan bagi mendapatkan sejumlah RM6 juta, nampaknya tipis. Tapi janji Y.A.B. Tuan Azmin, bahawa beliau akan berusaha mendapat peruntukan dari lebihan peruntukan kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi. Walau macam mana Y.A.B. Dato` Menteri Besar tidak menjamin dari segi `Jumlah yang dapat disumbangkan`. Kita mengharapkan priority diberi kepada Masjid Al-Umm dengan jumlah yang memuaskan dan menurutnya, ``Usaha bagi mendapat peruntukan ini dilakukan selepas Raya Idul Fitri` nanti.``
Dalam masa kita mengharapkan bangunan Masjid Al-Umm siap dalam tempoh yang diharapkan dan kewangan makin menirus – baki di tangan tidak sampai dua juta, kita perlu mengambil tindakan dengan sikap berjimat cermat dan memberi priority kepada yang lebih penting, mengurangkan projek yang bersifat mewah, menangguhkan yang tidak penting dan meneliti dan menilai kembali apa yang dicadang oleh pihak perunding dari segi kewajaran, pengurangan dan penangguhan yang tidak penting bagi mengawal perbelanjaan.
Dalam hubungan mengenai jangkaan siap binaan masjid pada akhir Ogos 2015, Penulis juga memaklumkan bahawa pada tarikh lawatan Penaung dan Penasihat TG Dato` Dr. Haron Din ke Bangunan Masjid Al-Umm pada 12 Ramadhan 1436 bersamaan 29 Jun 2015, Penulis memaklumkan yang pihak AJK bercadang untuk menggunakan bangunan Masjid Al-Umm pada hariraya Idul Adhha 10 Zulhijjah 1436 bersamaan 24 September 2015, pihak AJK menawarkan kepada TG Dato` Dr. Haron Din untuk menjadi Imam dan Khatib pertama bagi penggunaan masjid pada hariraya tersebut. TG pada dasarnya menerima tawaran tersebut.
Berhubung dengan pentadbiran Masjid, kata Penulis, kita akan menurut aturan yang ditetapkan oleh MAIS-JAIS selepas masjid mendapat kelulusan CF dan sampai tempoh waktu pemilihan AJK. Walau bagaimana sebelum tempoh pendaftaran dan pemilihan pihak AJK yang ada pada hari ini akan terus berperanan di dalam mentadbir dan mengimarahkan Masjid Al-Umm. AJK berkenaan perlu dikemaskini. Dalam masa tersebut pihak AJK akan berusaha mencari dan menilai kakitangan masjid seperti nazir, imam, bilal, siak, rekreasi, kebersihan dan keselamatan. Mana yang berkelayakan akan dicadang dan ditawarkan jawatan dan diangkat kepada pihak atasan.


Pihak masjid tidak saja berfungsi sebagai pusat ibadat, tetapi juga memberi perhatian pada pengimarahan dari segi pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan dan akan menggerakkan pembangunan fasa kedua bagi  mendirikan kompleks pendidikan bagi memperluaskan bidang pengajian dan pendidikan. Lantaran itu bagi melaksanakan perancangan ini perlu disediakan carter susunan organisasi pentadbiran. Penulis menyebut bahawa jika AJK-AJK yang sedia ada telah berjaya melaksanakan tugas dari segi pembangunan pembinaan, maka kita percaya, bahawa AJK ini juga mampu meneruskan khidmat memikul tugas pentadbiran dan meneruskan pembinaan bagi fasa kedua. Sudah tentu perlu kepada pengemasan organisasi yang melibatkan penambahan staf atau pengurangan. Demikian  hasrat untuk menubuhkan koperasi masjid perlu digerakkan.
Berhubung dengan pengimarahan masjid Penulis berharap dapat dirumuskan hasil dua bengkel pengimarahan yang telah dilakukan iaitu Bengkel Untuk Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi yang telah diadakan di Hotel Puri Pujangga UKM pada 26 Zulkaedah 1435 bersamaan 21 September 2014 dan Bengkel Penentuan Dan Penulisan Program Pengimarahan Masjid Al-Umm yang juga diadakan di Hotel Puri Pujangga pada 3 Rabiul Akhir 1436 = 24 Januari 2015. Penulis berharap rumusan dari kedua-dua bengkel itu dapat dijadikan panduan bagi melaksanakan pengimarahan di Masajid Al-Umm yang sudah tentu berlaku penambahbaikan.
Projek dan program yang mau dilaksanakanb adalah besar, jika pembinaan bangunan fizikal Masjid Al-Umm memerlukan peruntukan belasan juta, maka pengimarahan secara berterusan dan pembangunan fasa dua tentu memerlukan peruntukan yang lebih besar. Walau bagaimana menurut Penulis, jika projek awal telah berjaya dilaksanakan, maka kita bercaya dengan kepakaran dan kesungguhan AJK yang ada dengan tambahan yang lain yang berwibawa bahawa projek berkenaan akan juga berjaya.
Penulis mengakhiri ucapan sebagai latar perbincangan bagi agenda ringkas yang disediakan, disamping pihak Setiausaha menyediakan kertas Pengurusan Masjid berdasarkan format standard oleh pihak MAIS-JAIS.
Sebelum mesyuarat diteruskan, majlis ditangguhkan sementara untuk AJK menunaikan solat Asar berjamaah di Surau Hotel Puri Pujangga.

Sekian.

July 10, 2015

Kunjungan Menemui Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor: Urusan Masjid


Shah Alam, 21 Ramadhan 1436 =  08 Julai 2015 (Rabu):
Sebagaimana telah ditetapkan bagi temu janji, jam 3.00 petang hari ini, kami dari AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang terdiri dari TG Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat AJK, Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi, Tuan Haji Mohd Nor bin Haji Yasin Bendahari, Tuan Haji Suib Maulud Bendahari, Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud AJK, Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar Setiausah Kerja dan saudara Azizi bahagian Dokumentasi tiba di Pejabat Y.A.B. Dato` Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


Kehadiran kami diterima mesra oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar Tuan Mohamed Azmin Ali. Penulis, mengcapkan terima kasih di atas penerimaan kunjungan kami dan tahniah di atas perlantikan Y.A.B menjadi Menteri Besar Selangor. Beliau mengucapkan `terima kasih`. Semasa menerima kehadiran TG Dato` Dr. Haron Din, Y.A.B.  mengatakan.
``Kehadiran Tuan Guru sama sudah tentu mempunyai tujuan yang besar.``
Selepas mengambil tempat duduk Penulis menyatakan hasrat kunjungan,
``Kehadiran kami ialah bagi mendapat kepastian, sebagaimana surat (terakhir) kepada Y.A.B Dato` Menteri Besar pada 01 Julai 2015 berhubung dengan janji Kerajaan Negeri semasa Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim berkunjung ke tapak Masjid Al-Umm pada 06 Januari 2013 berjanji akan membiyai pembinaan Masjid Al-Umm berdasarkan sumbangan `Ringgit ke Ringgit` hingga kepada jumlah RM6 juta.``
 Y.A.B. membalas di atas apa yang Penulis luahkan tujuan kunjungan, secara bergurau beliau menyatakan,
``Janji Kerajaan Negeri atau Janji Peribadi ?``.
Jawab Penulis, ``Oleh kerana Tan Sri Khalid pada masa itu adalah Menteri Besar Selangor, jadi janji yang dibuatnya, pada pemahaman kami adalah janji Kerajaan Negeri.``
TG  Dato` Dr. Haron Din memaklumlan, ``Kunjungan kami buat makluman Y.A.B, setakat ini keperluan kepada kewangan adalah mendesak, tanpa bantuan, khususnya janji yang dibuat adalah dikhuatiri mengganggu progress pembinaan Masjid Al-Umm.``
Y.A.B memahami dan mengiakan mengapa TG turut serta hadir, kerana desakan berkenaan.
Saudara Setiausaha Tuan Haji Suib bin Maulud menerangkan tentang perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm yang kini adalah 80%, tetapi dalam keadaan sekarang, kos asal pembinaan makin meningkat dan dengan bajet awal sebanyak RM12 juta tidak mencukupi.
Y.A.B. bertanya jumlah kewangan yang sudah didapati. Tuan Haji Abdul Rahman memaklumkan kutipan yang didapati adalah RM10.5, tetapi perbelanjaan yang dibuat menghampiri jumlah yang didapati.
Tuan Haji Mohd Nor Haji Yasin menambah, ``Baki di tangan adalah kurang dari RM2 juta, setelah pembayaran terakhir dibuat pada 7 Julai 2015 lepas.``
Kemudian Y.A.B. dengan nada yang lebih serius menegaskan bahawa, ``Janji seperti ringgit per ringgit, sebenarnya tidak menjadi polisi kerjaan negeri.`` Menurutnya, ``Akibat janji yang dibuat, bukan sahaja terhadap Masjid Al-Umm, tetapi banyak lagi, menyebabkan Kerajaan Negeri Terperangkap dan setengahnya menjadi kes mahkamah.``
Kata Y.A.B. Dato` Menteri Besar, ``Sesuatu peruntukan yang hendak dikeluarkan mestilah berdasarkan permohonan yang dibawa kepada peruntukan bajet Kerajaan dan melalui kelulusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.`` Kata Y.A.B. Dato` Menteri Basar, ``Sdr. Shafie tentu tahu dari pengalaman beliau bersama di dalam Dewan Negeri dulu.``
Tegasnya kita tidak dapat menggunakan atau mengeluarkan peruntukan di luar dari bajet yang diluluskan.`` Tambahnya, ``Polisi Kerajaan Negeri sekarang tidak seperti dulu berdasarkan `Bajet Berimbang` yang difisit tahunan berlaku dan terpaksa ditambah, tetapi Kerajaan Sekarang berdasrkan peruntukan sebenar dan cuba mengelak dari perbelanjaan defisit. Jadi permohonan di luar dari peruntukan sukar untuk didapati.``
Penulis bertanya, ``Tidakkah ada sebarang ruang bagi mendapat sebarang peruntukan sebagaimana yang telah dijanjikan ?``


Y.A.B. meyatakan, ``Kalau ada ruang ialah dengan melihat lebihan-lebihan dari mana-mana peruntukan yang dibuat terhadap badan-badan atau jabatan-jabatan tertentu, mungkin jika ada lebihan, kita boleh guna sebahagian.``
Tapi katanya, ``Mungkin tidak sampai sejumlah RM6 juta.``
TG mencelah, ``Kita berharap kalau tidak sampai jumlah yang dijanjikan, mungkin kurang sedikit kepada jumlah RM5 juta.`` Semua ketawa !
Tetapi Y.A.B. Tuan Azmin, tetap menegaskan bahawa, `Saya akan berusaha, tetapi tidak menjamin berapa jumlahnya.`` Katanya lagi, ``Perkara ini akan diusahakan selepas Hari Raya Idul Fitri nanti.``
Penulis mencelah, ``Harap periority diberi kepada Masjid Al-Umm, bila membincangkan peruntukan yang cuba didapatkan dari mana-mana lebihan yang boleh didapati.``
Selain dari membincangkan kekurangan dana Masjid Al-Umm, Penulis juga memaklumkan tentang rancangan pembagunan Masjid Al-Umm bagi fasa kedua, iaitu penekanan dari segi pendidikan dan pengajian yang akan dilakukan di masjid, antaranya rancangan untuk mendirikan bangunan pengajian 10 tingkat di kawasan yang berhampiran dengan masjid. Adalah diharapkan untuk merundingkan dengan pihak MPKj untuk menggunakan tanah ``Medan Usahawan` yang terbengkalai bagi dibangunkan bangunan yang menjadi pusat pengajian bagi Masjid Al-Umm.
``Y.A.B. bersetuju, bahawa masjid bukan saja tempat ibadat, tetapi juga bagi kegiatan-kegiatan yang lain seperti pendidikan dan kemasyarakatan.`` Beliau memaklumkan pihak Kerajaan Negeri melalui JAIS akan membina `Surau Model` bagi setiap jajahan yang lengkap dengan berbagai kemudahan bagi berbagai kegiatan yang dapat dijadikan contoh bagi surau-surau yang lain.
Tuan Haji Abdul Rahman menimbulkan tentang surau lama Al-Umm yang telah dipohon bagi dijadikan rumah imam, guru dan pelajar Tahfiz.. Permohonan telah dibuat terhadap PKNS dan telah dipersetujui dengan kos RM500,000, tetapi setakat ini belum menerima jawapan bertulis secara rasmi.
Apa jua,  AJK mengucapkan terima kasih di atas kesudian Y.A.B. menerima kunjungan rombongan. Sebagai tanda mata Penulis menyampaikan 7 buah buku kepada Y.A.B. Dato` Menteri Besar dan Y.A.B. juga menyampaikan cenderahati kepada setiap yang datang, sebagai oleh-oleh Ramadhan dan kenangan.
Pertemuan berakhir jam 4.00 petang.

Sekian.