June 19, 2016

WATAK-WATAK KESUFIAN - SUMBER TASAWUF


BBB, 13  Ramadhan  1437 =  18 Jun  2016 (Sabtu):


Di samping Ketuhanan, Al-Qur`an dan Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. turut menjadi sumber kesufian  ialah watak-watak sufi.  Di dalam mengenalpasti tentang watak-watak sufi kita berdepan dengan dua persoalan iaitu;
Pertama: Kecenderungan memilih watak-watak sufi ialah berlaku selepas dari kelahiran keilmuan tasawuf iaitu bermula pada pertengahan abad ke 2H. Ciri-ciri ketara ialah zuhud.
Kedua:  Watak-watak kesufian sebenarnya adalah pada Rasulullah dan ramai  dari kalangan sahabat. Bererti elemen kesufian sudah wujud sebelum dari kelahiran ilmu tasawuf.
Kita mengambil pendirian peribadi Rasulullah s.a.w. dan ramai dari sahabat-sahabat mencerminkan sebagai watak kesufian disamping menerima watak-watak yang diiktiraf sebagai watak-watak sufi seperti yang disusun oleh Abu Asbdul Rahman al-Sulamiyy (m. 412H.) di dalam bukunya berjudul Tabaqat al-Sufiyyah (Sebanyak 5 generasi kesufian).
Sebenarnya sebelum dari lahirnya aliran sufi,  pada zaman sahabat ramai dari mereka dapat digolongkan mereka yang bersifat sufi. Sebagai contoh seperti Abu  Dharr al-Ghifari yang nama sebenarnya Jundub bin Junadah dari Kabilah al-Ghifar yang sengaja datang ke Makkah menempuh padang pasir kerana mau menemui Rasulullah secara senyap dengan tujuan ingin memeluk agama Islam. Beliau disifatkan sebagai dari golongan al-awwalun al-sabiqun menerima Islam.  Abu Dharr kembali ke kampungnya menyeru kaumnya seorang demi seorang menganut Islam , bahkan turut di dakwahnya kaum dari Kabilah Bani Aslam. Bila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah dia dan rombongan dari Kabilah al-Ghifari dan Aslam turut sama berhijrah mendakwah Islam. Abu Dharr merasa syukur menjadi pengikut Rasulullah yang hidup secara sederhana, tetapi umur Abu Dhar yang agak panjang selepas berada di bawah pentadbiran Khalifah Abu Bakar dan `Umar Ibn al-Khattab kelainan mulai dirasai, di bawah Khalifah `Uthman bin Affan di mana masyarakat mulai bermewah-mewah dan beliau yang bersikap lantang menentang cara hidup sedemikian. Pada zaman Mu`awiyah cara hidup bermewah-mewah makin ketara sehingga beliau memimpin semacam badan NGO dengan rakyat jelata memprotes gaya hidup terutama oleh Muawiyah. Tetapi apakan daya dengan tenaganya yang terhad beliau bersama-sama pengikut tidak terdaya menentang arus kemewahan  yang melampau pada masa itu sehingga beliau mengambil sikap mengasing diri ke pinggiran kota di padang pasir  Rabazah hidup sebatang  kara sehingga menghembuskan nafas akhirnya. Pada zaman hayat Rasulullah Baginda pernah bersabda bermaksud:
``Allah merahmati Abu Dharr yang berjalan keseorangan dan mati keseorangan dan akan dibangkit keseorangan.``
Di samping Abu Dharr terdapat tokoh-tokoh kecil tetapi berjiwa besar di dalam mempertahankan kemurnian Islam dengan kehidupan sederhana mereka seperti Mu`adh bin Jabal seorang yang mendalami soal halal dan haram bagi menjaga kebersihan zahir dan batin umat. Dia juga seorang duta yang telah dihantar Rasulullah ke Yaman bagi mengajar dan mendakwah agama Islam di sana. Bilal bin Rabah  dan Ammar bin Yasir  yang menderita seksaan  oleh tuan-tuan mereka kerana menganut Islam, Salman al-Farisi pencari kebenaran yang akhir menemui kebenaran di dalam Islam. Beliau juga sebagai  pengatur strategi perang bagi Rasulullah.
Contoh-contoh kesufian, selain dari kalangan penganut Islam yang dianggap bawahan, perlu sama dikira sebagai mereka yang membawa contoh kesufian ialah dari kalangan ilmuan-ilmuan, lantaran merekalah yang mengajar keilmuan Islam yang menjadi panduan masyarakat. Contoh ketara ialah seperti Abdullah bin `Umar yang disifatkan bukan saja sebagai tokoh ilmuan terkenal, tetapi juga kuat beribadat. Beliau langsung menerima keilmuan dari Rasulullah dan banyak meriwayatkan Hadith dari Baginda. Beliau amat teliti di dalam mengeluarkan fatwa dan pendapat mengenai hukum hakam keislaman. Sebagaimana Abdullah bin `Umar, demikian juga `Abdullah bin `Abbas  adalah paling rapat dengan Rasulullah sejak kecil. Beliau menerima keilmuan secara langsung dari Rasulullah, banyak Hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin `Abbas. Beliau juga merupakan pentafsir Al-Qur`an pada peringkat awal. Banyak huraian-huraian tentang tafsir dirujuk kepada pendapatnya sebagaimana dilakukan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Sebagaimana Abdullah bin `Umar dan `Abdullah bin Abbas ramai lagi tokoh-tokoh keilmuan pada peringkat awal yang sebenarnya sama membawa nilai-nilai kesufian seperti `Abdullah bin Mas`ud yang pakar di dalam pembacaan dan keilmuan al-Qur`an, Zaud bin Harithah antara penulis wahyu Rasulullah, Abu al-Darda` yang disifatkan sebagai budiman dan ahli hikmah yang luar biasa, Zaid bin Thabit Penghimpun kitab Suci, Abu Hurairah sebagai ketua golongan Suffah dan banyak meriwayat Hadith Rasulullah s.a.w.  dan ramai lagi.
Selain dari kalangan orang biasa dan ilmuan, tidak dapat dinafikan bahawa ciri kesufian juga dapat diambil contoh tauladan ialah dari kalanghan pemerintah terkenal, Sebagai contoh tentang kezuhudan Abu Bakar al-Siddiq sahabat Rasulullah yang paling dekat, apabila beliau dilantik menjadi Khalifah Islam yang pertama beliau turun ke pasar menjalankan  perniagaannya, kerana mencari nafkah hidup. Apabila beliau dicadangkan mendapatkan nafkah dari baitul mal, beliau tidak mengambil, kecuali sekadar yang diperlukan. Keadaan sedemikian juga berlaku kepada `Umar bin Al-Khattab bila dilantik menjadi Khalifah, beliau juga menggunakan  keperluan diri dan keluarga secara perlu, bahkan bila didapati ada kelebihan diarah memulangkan kembali kepada baitul mal. Beliau terkenal memerintah dengan adil.  Dari kalangan pemerintah zaman Umawiyyah, `Umar bin Abdul Aziz seorang Khalifah yang terkenal adil dan zuhud. Beliau tidak menggunakan harta negara dalam urusan  peribadinya. Pada zaman  pemerintahannya yang adil tiada rakyat yang miskin dan sukar untuk mencari asnaf yang layak menerima zakat, lantaran makmurnya umat Islam, pada zaman poemerintahannya.
Apa yang dibentangkan bahawa kita mengambil pendekatan bahawa konsep dan ruang lingkup kesufian hendaklah diperluaskan bukan sahaja dalam maksud bersifat zuhud, tetapi juga tergolong di bawahnya segala kebersihan  amal yang dilakukan oleh umat sama ada mereka dari rakyat bawahan, umat biasa yang beramal ibadat dan melakukan amalan-amalan kebajikan secara ikhlas, murni dan bersih, termasuk juga dari kalangan pemerintah yang adil, jujur, taat kepada Allah dan melakukan tugas bagi kepentingan umat. Tasawuf seharusnya bersifat terbuka dan tidak terhad kepada mereka yang bersifat zuhud semata-mata, tetapi termasuk di bawahnya mereka yang beramal salih secara jujur dan kerana Allah. Model ketasawufan yang utama ialah Rasulullah s.a.w. sendiri dan ramai dari kalangan sahabat-sahabat. Kita tidak menolak kalangan sufi yang diiktiraf mereka adalah sebahagian dari kalangan sufi yang boleh dilihat sebagai satu aliran di dalam kesufian, sedang di sana ada lagi mereka yang membawa ciri-ciri kesufian yang dapat dijadikan tauladan kesufian.

Sekian.


June 18, 2016

KASIHKAN RASULULLAH S.A.W., BAGINDA MODEL KETASAWUFAN


BBB, 12 Ramadhan 1437 =  17 Jun 2016 (Juma`at):


Topik mengenai `Kasihkan Rasulullah` bukanlah topik  popular dalam pembicaraan ilmu tasawuf. Melihatkan kepada kitab-kitab seperti Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq oleh Abdullah al-Mubarak (m. 181H.), Kitab Al-Ri`ayat li Huquq Allah oleh Abu Abdullah al-Harith bin Asad al-Muhasibi (m. 243H.)  dan kitab al-Ta`arruf li Madhhab Ahli al-Tasawwuf oleh Abu Bakar Muhammad al-Kalabadhi (m. 380H.) tidak menjadikan topik tentang Kasih, Cinta atau Tentang Rasulullah s.a.w. sebagai satu aspek ketasawufan. Jika adapun maka ianya bukan dikira sebagai bahagian dari bab atau persoalan tasawuf yang penting. Misalnya di dalam kitab Al-Luma`  karangan Abu Nasr Abdullah bin `Ali al-Sarraj al-Tusi (m. 378H.) dan kitab Ihya` `Ulum al-Din al-Ghazali (m. 505H.) terdapat sedikit pembicaraan tentang Rasulullah s.a.w..
Di dalam kitab Al-Luma` dibicarakan tentang Rasulullah s.a.w. di bawah judul, `Kitab Uswah dan Ikutan Dengan Rasulullah s. a.w.`
Iaitu tentang kefahaman dan muafakat dalam mengikuti Rasulullah, iaitu riwayat-riwayat tentang Hadith Rasulullah yang maksudnya berhubung dengan tasawuf, tetapi tidak disertkan perawi-perawi. Contoh:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda bermaksud:
``Allah mengadabkan daku, maka eloklah adabku.`` dan maksud:
``Aku mengajar kamu tentang Allah dan Aku lebih takutkan Allah daripada kamu.``
Mencatat lagi oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi bahawa sah sabda Nabi bermaksud:
``Aku diberi pilih antara Nabi berstatus Raja dan Nabi berstatus Hamba, maka diisyarat  oleh  Jibril a.s. bahawa ``engkau wajar bertawadu``, maka aku memilih Nabi bersifat ubudiyyah, aku kenyang sehari dan lapar sehari.``
Dan terdapat lagi lebih dari 10 Hadith yang diunjurkan yang semuanya bernada kesufian. Kemudian diikuti dengan do`a Nabi serta riwayat tentang Baginda secara berawi yang diriwayat oleh  Abu Sa`id al-Khudri tentang kewarakan Nabi yang banyak melakukan kerja-kerja sendiri seperti menunggang unta, menjahit baju Baginda yang carit dan memerah susu biri-biri dan berbagai-bagai kerja lagi.
Begitu juga riwayat-riwayat `Aishah tentang Nabi, disamping-riwayat-riwayat yang tidak berawi dan diakhiri dengan riwayat-riwayat tokoh-tokoh sufi pada mengikuti Rasulullah s.a.w. seperti Junayd, al-Hiri, al-Bistami, al-Rudhbari, Dhu  al-Nun al-Misri, Sahl al-Tustari dan Sulaiman al-Darani. Semua pengriwayatan adalah bersuasana dan berintuisi tasawuf (Al-Sarraj al-Tusi, Al-Luma`:  130-146).
Manakala di dalam kitab Ihya` `Ulum al-Din oleh Al-Ghazali dibicarakan tentang Nabi s.a.w. di bawah Kitab Kesepuluh bahagian  Rub`u al-`Adat, iaitu tentang
Allah menta`dibkan Kekasih dan PilihanNya Nabi Muhammad s.a.w.
Keelokan akhlak Rasulullah s.a.w. sebagaimana dihimpun oleh para `ulama`
Tentang adab Baginda bercakap, cara makan, cara berpakaian, kemaafan Baginda, ketidaksenangan Baginda dengan apa yang tidak disukai, sifat pemurah Baginda, keberanian, tawaduk, gambaran wajah dan binaan badan, mu`jizat dan dalil-dali kebenaran Baginda.
Tentang ta`dib  Baginda dari Allah Al-Ghazali bertolak dari do`a Rasulullah terhadap Allah yang bermaksud:  `Ya Allah elokkan tubuh dan akhlakku``
Dan dicatat tentang Sa`ad bin Hisham bertanya kepada Aishah tentang akhlak Rasulullah s.a.w. Aishah bertanya Sa`ad, Tidakkah engkau membaca al-Qur`an ?, jawab  Sa`ad, `Ya`, maka berkata A`shah, ``Adapun akhlak Rasulullah adalah Al-Qur`an.``
Sebagaimana Al-Qur`an juga menegaskan bermaksud:
``Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang agung.`` (Al-Qalam: 4).
Demikianlah diberi huraian lanjut aspek-aspek yang tersebut di atas.
Pendekatan Al-Ghazali keseluruhannya adalah berorientasikan akhlak (Ihya`, Jil. 2, Dar al-Fikr: 386-419).
Dapat dikatakan topik tentang Rasulullah berkenaan kesufian tidak merupakan topik biasa di dalam kitab-kitab tasawuf. Kita berpendapat tentang Rasulullah hendaklah merupakan sebahagian dari pendekatan tasawuf. Tasawuf seharusnya tidak dilihat dari aspek yang memperlihatkan kezuhudan sahaja, tetapi hendaklah dilihat secara `Pembersihan yang lebih luas` yang melibatkan akhlak, hubungan kemasyarakatan contoh kejiranan, kejujuran, misalnya di dalam kerja, keberanian, misalnya bercakap benar walaupun pahit, muamalah yang baik dalam kira bicara, kebersihan dari segi alam sekitar, bahkan apa yang melibatkan kebersihan dalaman diri, kebersihan kemasyarakatan, sosial, tanggung jawab, alam sekitar dan apa jua yang melibatkan kebersihan, kemurnian, kejujuran dan berbagai lagi. Dengan demikian tasawuf tidak dilihat  sebagai peminggiran diri dari masyarakat, tetapi seharusnya berada dan terlibat dengan masyarakat.
Kewajaran diberi pendekatan tentang tasawuf Kerasulan ialah oleh kerana, Al-Qur`an mempunyai hubungan yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. Ianya adalah kewahyuan yang diturunkan melalui Rasulullah dan di dalamnya disifat dan digambarkan tentang Rasulullah s..a.w.. Bahkan peristiwa di dalam Al-Qur`an dan asbab al-Nuzul banyak berhubung dengan Rasulullah. Jadi jika Al-Qur`an menjadi sumber utama bagi tasawuf, maka Kerasulan juga menjadi sumber kedua yang bukan saja tentang keakhlakan, tetapi tentang berbagai kemurnian dan kebersihan dari segi kehidupan, bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri keseluruhan adalah sebagai model ketasawufan yang lengkap.
Selama ini aspek Kerasulan didekati paling utama ialah dari aspek pensejarahan, tetapi sejarah atau sirah mempunyai pendekatan dan huraian tersendiri sebagai satu disiplin sejarah. Selama ini juga tanda kasih sayang terhadap Rasulullah s.a.w. didekati secara sastera seperti bnarzanji, nasyid, qasidah, marhaban, penyebutan bersalawat, syarahan, forum, kuliah dan sebagainya. Semuanya ini adalah pendekatan  sebagai pernyataan kasih sayang terhadap Rasulullah yang wajar diteruskan, tetapi bagi tasawuf juga seharusnya – Kerasulan menjadi sebahagian dari pendekatan tasawuf. Jika di dalam pendekatan tasawuf memberi ruang memperkatakan tokoh-tokoh sufi, bahkan sebagai bab dan buku tentang ketokohan mereka, maka Kerasulan sepatutnya lebih dari itu dibicarakan secara tasawuf, lantaran seluruh diri Rasulullah adalah model ketasawufan.

Sekian.


June 17, 2016

KETUHANAN PERSOALAN UTAMA DALAM AL_QUR`AN


BBB, 11  Ramadhan 1437 = 17 Jun 2016 (Khamis):


Selepas membicarakan tentang Surah Al-Fatihah sebagai  `Pembuka Al-Qur`an` yang pada hakikatnya sebagai `Pembuka Maklumat Kewujudan` yang darinya juga ditimba elemen tasawuf,  maka kita berpindah kepada kandungan Al-Qur`an itu sendiri, sesungguhnya Al-Qur`an  adalah sebagai sumber utama tasawuf. Fokus utama di dalam tasawuf ialah mengenai Ketuhanan. Ini dapat difahami dari definisi-definisi tasawuf. Misalnya dipetik pendapat Al-Junayd (m. 297H.),
``Tasawuf mempraktikkan segala  keakhlakan yang tinggi dan meninggalkan segala keakhlakan yang keji.``.
Abu  al-Hasan al-Shadhili (m. 656H.) berkata:
``Tasawuf melatih diri dengan berubudiyyah menurut hukum-hukum ditentu Ilahi.``
Dan kata Ibn `Ajibah yang juga pendukung Tariqat al-Shadhili bahawa:
``Tasawuf  ialah ilmu yang dikenali dengannya bagaimana `Mendekati ke hadrat Malikul Muluk`, membersih batin daripada kotoran, menghiasinya  dengan berbagai kelebihan. Awalnya ilmu, pertengahgannya amal dan akhirannya kurnian-kurniaan.`` (Abdul Qadir `Isa, Haqa`iq  `an al-Tasawwuf: 14).
Daripada definisi-definisi  di atas dapatlah difahamkan bahawa, tasawuf hendaklah berasaskan ilmu-ilmu terutama ilmu akidah, shari`at dan keilmuan tasawuf itu sendiri. Keilmuan tasawuf bertujuan membersih diri dalam erti kata yang luas. Bersih akal dengan akidah yang betul, bersih ibadat dengan menunaikan semua kewajipan terutama yang fardhu ditambah dengan yang sunat dan bersih hati nurani dengan luarannya berakhlak dengan akhlak yang terpuji dan dalaman berhati suci, tujuannya tidak lain dari `Mendekati` Allah Rabbul Jalil`.
Fokus utama di dalam bertasawuf ialah Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Kalau dilihat di dalam Al-Qur`an sendiri persoalan paling pokok dan paling utama serta sentral ialah persoalan Ketuhanan. Ianya adalah selari dengan kandungan Al-Fatihah sebagaimana telah dibicarakan `Ketuhanan bagi semua alam dan makhluk kejadian` yang Dia saja layak disembah dan dipohon pertolongan.
Di dalam Al-Qur`an sendiri  adalah didapati kalimah Allah adalah istilah yang paling  banyak terdapat di dalam Al-Qur`an. Berdasarkan kepada buku Al-Mu`jam al-Mufahris  li al-alfaz al-Qur`an al-Karim (Dar al-Fikr, 1407H./1987). Terdapat 38 halaman rujukan yang terdapat di dalam istilah Allah dalam ayat-ayat al-Qur`an. Bagi setiap halaman terdapat penggunaan istilah Allah tak kurang daripada 76 kali (terdapat penyebutan lebih dari sekali). Ini bererti terdapat tidak kurang dari  76 x 38  penyebutan, iaitu  sebanyak 2,888  kali. Ini tidak termasuk penyebutan nama-nama Allah yang berjumlah 99 yang antaranya dikenali sebagai al-Asma` al-Husna`. Jadi penyebutan tentang ketuhanan secara kasar  antara 3,000 +  Nama-nama Allah yang lain sehingga  5,000 kali.
Dari ayat-ayat Al-Qur`an khususnya yang langsung menyebut nama Allah adalah menjadi pegangan dan penghayatan kkesufian. Misalnya ayat bertmaksud:
``Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat dan ke mana saja kamu arahkan diri maka berdepan wajah Allah dan sesungguhnya Allah Amat Luas lagi sentiasa mengetahui. (Al-Baqarah: 115).
Juga ayat yang bermaksud:
``Dia bersama  kamu di mana kamu berada.  Dan Allah dengan  apa yang kamu lakukan amat melihat (Al-Hadid: 4)
Ini mengingatkan setiap orang bahawa dia adalah di dalam perhatian Allah yang seharusnya  dia melakukan apa yang disuruh dan tidak melakukan apa yang dilarang
Kesedaran tentang Allah seharusnya intim dan berterusan lantaran sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Oleh itu ingatlah kamu kepada Aku (dengan mematuhi hukum dan undang-undangku), supaya aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada Aku dan janganlah kamu kufur. (Al-Baqarah: 152).
Asas utama di dalam mendekati Allah ialah melalui ibadat, khususnya  solat  yang merupakam mi`raj rohani sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Wahai sekalian orang-orang beriman mintalah pertolongan dengan bersabar dan  mengerjakan solat. Kerana sesungguhnya Allah menyertai orang-orang yang sabar (Al-Baqarah: 153).
Begitulah juga dengan berbagai-bagai ibadat dan amal-amal kebaikan dan kebajikan yang lain.
Terlu banyak sumber ketasawufan di dalam Al-Qur`an yang sebanyak 114 surah itu, khususnya berhubung dengan Allah yang boleh  menjadi sumber ketasawufan, antaranya tentang:
1)       Keyakinan dengan ketauhidan Allah yang menjadi puncak keyakinan
2)      Menanggapi keagungan dan kebesaran Allah yang kepadanya tertumpah ketaatan
3)      Menggeruni azab yang akan dikenakan terhadap yang berdosa
4)      Mengharapkan rahmat dan hidayat daripada Allah.
5)      Allah  tumpuan cinta dan kasih sayang
6)      Allah tempat memohon keselamatan di dunia dan akhirat
7)      Allah menjadi tumpuan mohonan diampunkan dosa dan segala kesalahan
8)      Mohon hanya kepada Allah yang dapat mempermudahkan  urusan di Hari Hisab
9)      Memohon dari Allah husnu al-khatimah
10)   Memohon dari Allah semoga  diri dan keluarga  dan mereka yang dikasihi tergolong di kalangan mereka yang  sama menerima nikmat syurga dan dijauhi  dari azab api neraka.
Dan banyak lagi persoalan ketasawufan yang dapat dihayati dari berbagai perkara yang berhubung dengan ketuhanan yang dapat dihayati dari Al-Qur`an.

Sekian.


June 16, 2016

AL-QUR`AN SUMBER KEILMUAN DAN KEROHANIAN: SURAH AL-FATIHAH


BBB,  10  Ramadhan 1437 = 15 Jun 2016 (Rabu):


Al-Qur`an  Kitab Suci adalah sumber utama bagi keilmuan dan kerohanian bagi bidang ketasawufan. Al-Qur`an memaklumkan semua segala yang maujud – ghaib dan shahadah dari Ketuhanan, kerasulan, cakerawala tidak terbayang ketepian luasnya, insan yang bermula  dengan Adam yang fungsi khalifah Alam dengan ubudiyyah kepada Tuhan. Bagaimana seharusnya interaksi sesama insan dan kelilingan ?. Al-Qur`an memberi pujian terhadap perlakuan baik dengan janji syurga balasan, demikian sebaliknya dengan neraka penangan. Ilmu dan rohani ibarat sayap kanan dan kiri bagi tasawuf terbang memahami menanggapi , mengamali  dan menghayati persoalan-persoalan  fizik dan metafizik , bahkan melebur diri  di dalam persoalan-persoalan berkenaan.
Apakah sikap ketasawufan di tengah-tengah gambaran ringkas di atas. Apakah  setakat membersih dan membetuli dan melebur diri dengan kehendak Tertinggi  ? Sambil mencetuskan pandangan bagi panduan. Jika  pembaikan dan pemurnian bersifat secara sendiri adalah terlampau  individualis sifatnya. Bukankah Islam itu secara jamaah ? Beramal digalakkan secara berjama`ah, keilmuan sama dipelajari, ibadat sama didiri, kerohanian sama  dihayati, kebaikan sama dimanfaatkan kemungkaran sama dijauhkan. Misi  ketasawufan seharusnya selari dengan misi Islam:
Bahawa Rasulullah s.a.w. diutus menyampaikan kesempurnaan Islam, sama-sama menikmati hidayah Allah dan mencari keredaanNya dan mensyukurinya.
Merenungi   kandungan Surah Al-Fatihah, maka didapati terkandung   di dalamnnya intisari sebagai visi dan misi tasawuf:

AL-FATIHAH
Adalah pembukaan menyeluruh
Jendela  dari  Al-Qur`an itu terhadap  luas  kewujudan
Selepas basmalah mengenal Tuhan bersifat Rahman dan Rahim
Pernyataan Allahlah Pemilik sekalian alam – ghaib dan  shahadah
Termasuk insan   kecil di tengah alam – permata kejadian
Diistimewakan dengan Perutusan Pembawa Hidayah
Menerima Islam, meyakini  keimanan, menghayati ihsan
Tidak lain dari Rahman dan RahimNya
Seharusnya tumpah setia  sepenuh kepadaNya
Mesra   pujian, taqwa dan kecintaan
Jalan tasawuf  mencari keredhaan
Lantaran tidak ada erti keseluruhan
Kesetiaan, kebajikan dan kasih sayang
Tanpa penerimaanNya.

Sesungguhnya  Allah berkuasa mewujudkan
Dia juga berkuasa meniadakan  memiliki Hari Pembalasan
Tiada siapa mengatasi  kehendak dan kemahuanNya.
Lantaran  kepadanya penyerahan ubudiyyah
Kepadanya juga  dipohon  pertolongan.
Landasan kewujudan tidak lain dari dua jalan
Jalan lurus dan jalan songsang
Alangkah rugi seluruh kehidupan
Jika  berada di Jalan menyimpang jalan kebatilan
Dengan mohonan dan azam berterusan
Dengan amal dan bersih perjalanan
Mohon dalam penerimaan.

Terlalu banyak contoh tauladan
Mereka yang diberi pertunjukan
Para siddiqin, atqiya` dan salihin
Mendapat nikmat, hidayah keredhaan
Begitu banyak pula  yang  menyimpang
Munafik, menentang sesat di perjalanan
Mohon  tidak tergolong sesat songsang
 Tulus di jalan lurus jalan pilihan dikabulkan.

Apa yang  terumus di dalam Al-Fatihah adalah inti dari kandungan Al-Qur`an yang antaranya  menjelaskan jalan kebenaran yang harus diikuti dan juga menyebut  jalan kebatilan yang harus dijauhi. Jalan lurus inilah juga seharusnya dijalani oleh kalangan sufi.

Sekian.


June 15, 2016

MARTABAT KEINSANAN SECARA TRADISI


BBB, 09 Ramadhan 1437 = 14 Jun  2016 (Selasa):
Tujuan keilmuan dipelajari ialah agar yang mempelajari bidang berkenaan menjadi seorang berilmu dalam bidang atau bidang-bidang  yang dipelajarinya. Jika dia belajar bidang akidah, maka dia dapat memahami bidang akidah yang sebenar yang seharusnya  menjadi iktikad dan pegangan baginya. Jika dia belajar ilmu pertanian, maka membolehkan dia menjadi petani yang baik dan menghasilkan keluaran pertanian yang bermutu dan dia boleh menjadikannya bidang kerjayanya. Demikianlah jika dia mempelajari ilmu tasawuf, maka dia dapat memperbaiki diri dengan nilai-nilai kerohanian yang baik yang bukan sahaja dapat meningkatkan hubungan baiknya dengan Allah dengan berbagai-bagai mekanisme, tetapi juga meningkatkan hubungan baik dengan manusia dan alam keliling. Biasanya seseorang itu tidak mempelajari hanya satu ilmu sahaja, tetapi ada kelompok dan bidang-bidang keilmuan yang dipelajari sehingga dia mendalami di dalam bidang-bidang dan jaringan bidang-bidang yang dipelajari sehingga kepada satu peringkat menyerlah dirinya dengan bidang-bidang  yang dipelajari. Misalnya ianya dikenali dan diiktiraf sebagai  seorang `Ustas` kerana kepakarannya di dalam bidang-bidang ilmu keislaman, atau seseorang itu dikenali sebagai seorang  `Arkitek` kerana kemampuan di dalam bidang berkenaan yang mungkin mempunyai  firma sendiri. Demikianlah lagi  misalnya sebagai usahawan, jurutera dan sebagainya.
Mempelajari dan melibatkan diri di dalam bidang  tasawuf dan kerohanian – walaupun yang terlibat tidak berkehendak dan bukan menjadi tujuan untuk diiktiraf dan diberi martabat kedudukan, tetapi bagi orang luar, lebih-lebih pengkaji  menilai dan mengkategori kedudukan dan martabat-martabat keberadaan seseorng pelajar dan pengamal tasawuf berkenaan. Sebenarnya di dalam keadaan biasa, masyarakat melihat dan menilai kedudukan seseorang yang piawayan penilaian  asas adalah dari segi baik dan tidak baik. Sebab itu timbul istilah yang dinisbahkan kepada watak dan pembawaan seseorang. Misalnya:
``Seorang yang baik,  berbudi,  jujur, ikhlas, dermawan, warak dan sebagainya``. Istilah-istilah berkenaan sebenarnya sudah menyentuh persoalan akhlak dan tasawuf. Timbulnya sifat-sifat murni  ini adalah hasil dari dididkan dan pelajaran yang dilalui sama ada secara formal dan tidak formal. Keadaan boleh terjadi  kepada seseorang nilai-nilai kontra dari sifat-sifat  di atas yang dikeji dan dikutuk masyarakat. Ianya juga adalah merupakan hasil didikan yang dilalui oleh individu berkenaan sama ada secara tidak formal misalnya dari dididkan keluarga yang bermasalah atau dari pergaulan yang tidak baik yang memberi kesan tidak baik kepadanya. Namun  kedua-dua elemen baik dan tidak baik ini berguna dari segi nilai dan kajian.
Secara formal dan tradisi ada kategori dan martabat keinsanan sebagai  dalam perjalanan kualiti bagi martabat keinsanan, Misalnya:
Insan  Awam
Insan  Khalifah
Insan  Rabbani
Insan Kamil
Di atas ialah peningkatan kualiti secara positif dari insan biasa meningkat kepada peringkat tertinggi, iaitu Insan Kamil.
Di sebalik daripada di atas iaitu peningkatan kualiti secara negatif ialah bermula dari insan:
Insan  Awam
Insan  syahwani
Insan Haiwani
Insan  Syaitani
Ukuran  dibuat terhadap ukuran dalaman diri berdasarkan ukuran – neraca Nafs yang dikenali dari aspek positif, iaitu dari:
Nafsu Normal
Nafsu Mutmainnah
Nafsu  Radhiah
Nafsu Mardhiah.
Manakala bagi peringkat  negatif dikenali dan diklasifikasikan kepada:
Nafsu Normal
Nafsu Lawwamah
Nafsu Mulhamah
Nafsu  Ammarah
Demikianlah kualiti dan kategori  nilai-nilai yang menjadi sebagai batu tanda (station) yang seharusnya dilalui oleh pejalan rohani (salik) dalam meningkatkan kualiti peribadi diri. Antara  station yang popular yang seharusnya dilalui oleh seorang yang dinamakan salik ialah:
Station   Tariqat
Station   Shari`at
Station    Hakikat
Station   Ma`rifat.
Peristilahan-peristilahan yang digunakan di dalam tradisi ketasawufan di atas mungkin agak asing bagi yang tidak biasa dengan bidang kerohanian, tetap sebenarnya baik nilai terpuji dan keji yang dibicarakan di atas adalah realiti yang dialami oleh manusia. Nilai-nilai kebaikan yang disebut di atas adalah nilai-nilai yang berlaku di dalam kehidupan kini dan demikianlah dengan nilai keburukan yang kontra dengan nilai-nilai kebaikan di atas. Lantaran itu kita tidak mau dengan melihat kepada istilah-istilah yang agak asing, maka ianya menjadi asing bagi kehidupan di dalam masyarakat. Kita cuba membawa  persoalan tasawuf yang dianggap asing dan ideal itu kepada realiti kehidupan masyarakat dan tidak terpisah dari masyarakat. Mempelajari tasawuf seharusnya bukan mempelajari ilmu bagi mengasing dan meminggir diri dari masyarakat, tetapi bagi menjadi benteng diri di tengah masyarakat seperti apa yang  pernah diungkapkan oleh Al-Marhum  Kiyai Haji Anuar Mushaddad dari Indonesia bahawa, `
``Dengan mempunyai benteng keilmuan tasawuf menjadikan diri seperi ikan yang hidup di tengah segara lautan, biarpun kelilingan adalah air masin, tetapi kerana dirinya hidup, maka diri tidak terpengaruh dengan  kemasiman air berkenaan, tetapi jika ikan mati dan digarami, maka segera daging ikan akan menjadi masin, oleh  kerana tubuhnya sudah mati`. Dalam hal ini kita antaranya  berusaha menjejaki Prof. Dr. Hamka dengan bukunya berjudul `Tasawuf Moden` membawa persoalan tasawuf kepada kehidupan moden. Kita Mengkaji `Turath Tasawuf: Praktik Kini`.
Insya Allah.

Sekian.

June 14, 2016

POTENSI INSAN


BBB, 08 Ramadhan 1437 = 13 Jun 2016 Isnin):  
Tidak  dapat dinafikan bahawa insan adalah sesempurna makhluk kejadian. Ini ditegaskan oleh  Allah dalam Al-Qur`an al-Karim, bermaksud:
``Sesungguhnya Kami  jadikan insan sesempurna kejadian``. (Al-Tin:  4). 
Kesempurnaan dapat dilihat dari segi bentuk  kejadian yang sederhana dari  segi bentuk fizikal,  tidak terlampau kecil dan tidak terlampau besar hingga menyukarkan pergerakan, tegak kepala   ke atas menjunjung mahkota kemuliaannya, iaitu akal. Semua deria utama berada pada bahagian kepala ini dari penglihatan, pendengaran,  penciuman, perasaan dan penyentuhan. Pada bahagian tengah binaan tubuh terletak hati nurani yang diibaratkan sebagai sentral diri yang pada bawahnya tangki bagi tenaga diri yang bahannya dimasukkan melalui saluran mulut.  Manakala pada bahagian tengah bawah ialah ialah alat kelamin yang produktif bagi melanjutkan turunan manusia bersama pasangannya. Dua tangan pada bahagian atas kiri kanan dan dua kaki pada bahagian bawah ialah  sebagai roda pergerakan diri dengan dua tangan sebagai pengawal dan pengimbang  dan mengambil dan memberi.
Binaan diri dan komponan di atas sebenarnya, bukan setakat struktur dan posisi binaan badan itu semata-mata. Sebenarnya  fungsi setiap satu daripadanya mempunyai isyarat bagi sesempurna kejadian di atas yang dilengkap oleh Pencipta, selepas ianya melalui kejadian pada peringkat janin dari kandungan perut ibu dari peringkat benih kepada ketul darah kepada ketul daging yang disalut tulang temalang dan lahir sebagai bayi yang lengkap sempurna kejadia (Al-Mu`minun, 12 -14).
Sebenarnya pada mahkota kepala insan – bernama akal itu memberi isyarat bahawa potensi ini adalah boleh dikembang bersama dengan bahagian yang lain melalui didikan  yang memungkin seorang insan memahami ciptaan Allah   -  beriman denganNya. Melalui potensi akal memungkin insan meneroka alam, membongkar rahsia-rahsia hakikat ciptaan Allah. Menggunakan segala kemudahan bagi pergerakan dan kemudahan komunikasi. Mereka jelas berbanding dengan kejadian-kejadian yang lain adalah Khalifah yang dilantik Allah mentadbir bumi  (Al-Baqarah: 30). Dan Alam kejadian yang maha luas ialah wadah keilmuan yang boleh diteroka insan, maka sebagaimana pernah dikatakan tidak mustahil pada masa mendatang, ia adalah ruang pergerakan insan yang menjelajah antara planet ke planet dan dari bintang  ke bintang setelah mereka mampu merekacipta peralatan yang dicabar Allah mencipta peralatan  bagi menguasainya (Al-Rahman: 33).
Kejadian semua inderawi yang lima, bukan setakat kejadian biasa, tetapi melalui inderawi yang berpemerintahan di akal dan berkawal dihati  adalah sebagai jendela yang melihat segala fenomena alam dan membacanya yang dihantar ke pusat pemerintahan dan pusat kawalan bagi dinilai untuk memanfaatkan sesuatu yang ditemui melalui penelitian akal. Demikian juga dengan pendengaran yang menangkap segala gelombang bunyi yang dapat diteliti dan difahami. Telinga juga adalah alat yang membaca segala melodi dan bunyi yang dapat dibaca secara pendengaran dan bersekali menghantar rumusan kepada akal dan hati bagi menggunakan kepentingan bagi potensi keinsanan. Keadaan yang sama berlaku kepada penciuman,  sentuhan dan rasaan yang semuanya adalah sebagai medium maklumat yang disampaikan kepada akal dan hati bagi simpanan maklumat dan kegunaan.
Sebenarnya  pada potensi akal, hati dan inderawi adalah sebagai pusat yang jika diibaratkan diri sebagai sebuah  negara, maka pusat tamadunnya berada pada `Kota Akal` dan pusat peradaban berada pada`Wadi Hati`.   Proses pembinaan Kota Akal dan Wadi Hati berlaku yang mencerminkan potensi insan berkembang maju dan terus berlaku.
Walau bagaimana apa yang dibicarakan di atas adalah dari aspek positif yang posisi berkenaan seharusnya  diisi dan dipenuhi oleh insan. Tetapi dari satu pihak ada aspek-aspek negatif sebagai  parasit  yang  menyerang dan merosakkan potensi dan kemajuan insan.  Kerosakan ini boleh berlaku dari dalam dan dari luar insan itu sendiri.  Ini  boleh berlaku:
1) Dalaman
a)      Potensi diri insan yang sepatutnya berdaya maju dari awal lagi tidak mempunyai ciri-ciri  daya  maju  dan  tidsak menggerak kepada potensi maju dan berkembang. Ia merupakan fenomena umum bagi kebanyakan manusia, tidak ada padanya daya kemajuan apa lagi dari segi kepimpinan.
b)      Diri insan yang mungkin dirosak oleh unsur dalaman dari anggota-anggota diri misalnya anggota kelamin yang melambangkan nafsu yang tidak dikawal dan boleh  merosakkan, atau dari anggota perut yang  diibaratkan kepada sifat haiwan yang tamak, dengki dan sebagainya. Begitu juga dengan kerosakan  darah  yang diibaratkan sebagai syaitan yang bergerak di dalam darah yang rosak seperti sifat marah dan bertindak di luar dari rasional dan semuanya boleh merosakkan. Manakala bagi anggota tangan dan kaki melambangkan perjalanan yang tidak betul, penyelewengan, korup dan sebagainya.
2)  Luaran
Sebagaimana diibaratkan diri sebuah negara yang mempunyai pusat tamadun dan peradaban  di bawah pimpinan insan yang berwibawa. Maka sebagaimana dalam hubungan antara negara secara realiti, maka ada masa oleh kerana bercanggah kepentingan, perebututan kawasan dan mengawal  atau mau menguasai ekonomi, maka antara negara berlaku peperangan yang mengakibatkan kalah perang yang melambangkan kerosakan tamadun dan peradaban manusia itu sendiri dan bagi yang menang tidak semestinya mencapai hasrat yang diidamkan. Permusuhan tidak semestinya hanya melalui  peperangan, ianya berlaku melalui sekatan, boikut dan sekatan.
Apa yang dibawa dari contoh di atas, insan di samping mempunyai potensi berkembang maju di dalam membina tamadun dan peradaban, tidak terkecuali dari menghadapi kerosakan dan kemusnahan dari dalam dan lebih dari itu dari luaran. Persahabatan dan perseteruan adalah episod-episod yang dilalui manusia di dalam kehidupan. Demikian bagi sebuah negara di dalam membina tamadun dan peradaban. Kemajuan dan kerjasama di dalam kehidupan melambangkan  perkembangan dan perjalanan yang baik bagi insan di dalam memperkembangkan potensi. Nilai yang baik ini seharusnya dipupuk bagi perkembangan potensi diri  tamadun dan peradaban. Sebaliknya musuh diri dan manusia keseluruhan adalah nilai-nilai negatif yang disifatkan jahat yang tidak terlepas dihadapi manusia dan keseluruhan. Bagi diri maka pertarungan diri di dalam mencapai kemurnian dan kebersihan ialah musuh dalaman diri yang dikenali dengan syahwat, kehewanan dan kesyaitanan. Bagi kelompok atau satu negara juga menghadapi musuh dan seteru yang berbagai nama atas nama politik, ekonomi dan kekuasaan.

Sekian.

June 13, 2016

PENDEKATAN MENDALAMI TURATH TASAWUF


BBB, 07 Ramadhan 1437 = 12 Jun 2016  (Ahad):
Pendekatan  adalah lebih dari susunan. Ia adalah rangka menyeluruh yang ibarat jika mau membina sebuah rumah, maka dia adalah merupakan plan arkitek yang disediakan  yang kontrektor atau juru bina mengikutinya sehingga sebuah binaan yang dihasratkan  lengkap terbina. Sudah tentulah apa yang hendak dibina itu berada di dalam kefahaman pihak yang mau membinanya.
Sifat keilmuan tasawuf adalah berbeza dengan  bidang keilmuan-keilmuan  yang lain. Ia  adalah lebih bersifat jiwa ,rohani,  subjektif, ubudiyyah, bahkan estetik. Memperkatakan tasawuf adalah memperkatakan pengalaman kerohanian yang dilalui oleh tokoh-tokoh sufi di dalam perjalanan dan penujuan kesufiannya  yang diungkap dan yang tidak terungkap.
Tetapi sebagaimana diibaratkan kepada keilmuan dan kema`rifatan sufi sebagai rangka binaan yang sebenarnya lebih subjektif dari konkrit, tentulah ada  asas, sumber, infra-struktur dan bahan-bahan bagi  membina `Teratak Sufi` yang  di bawah lindungan subjektif ini khazanah sang sufi  asyik dengan praktif kerohanian  dapat dihimpun. Yang paling penting ialah diri insan itu sendiri sebagai ``Rumah Rohani`. Persoalan timbul, apakah `Kalbu` rumah rohani mempunyai  kelayakan bagi pengisian aspek-aspek kerohanian, bersih dari elemen-elemem  negatif, kerana pada puri hati inilah menjadi wadah utama  penyuburan. Ibarat `sarang lebah`  kepadanya mendatang segala kemanisan rasa  dari ketaatsetia terhadap Pencipta.
Bagi menyubur jiwa ketasawufan itu situasi kelilingan seharusnya kondusif   dengan  alam keliling dapat menyuburkan pohon dan rimbun dengan bunga-bunga yang dapat menyumbangkan kepada madu rohani. Dalam bahasa biasa dengan diri insan sebagai wadah utama, maka alam keliling sama menjadi wadah ketasawufan.
Sungguhpun hati dan jiwa insan secara fitrah terdorong kepada pencarian yang bersifat  mistri, tetapi bagi pencarian yang bersifat persendirian adalah lebih banyak yang terdorong kepada kesilapan dan ketidakbenaran dan penyelewengan. Sebab itu di dalam pelayaran penujuan kepada yang bersifat hakikat yang benar, ibarat berjalan malam dapat berpandukan isyarat bintang-bintang dan jika siang sudah tentulah cahaya benderang menyuluh arah kebenaran. Jadi perjalanan kerohanian  seharusnya berdasarkan panduan  Kitab Suci Al-Qur`an dan Panduan Kerasulan. Inilah sebenarnya segara lautan kerohanian yang mendepani pejalan rohani. Sumber yang didepani adalah wadah yang tak terterokai. Sumber alam yang didepani diri dalam perjalanan sama membuka ruang perjalanan bagi mendalami   kandungan dan rahsia-rahsian Qur`ani. Sesungguhnya sumber Qur`ani  dan alami ini tidak henti-henti di kaji dan tidak mungkin kehabisan diterokai.
Lantaran diri, alam dan kitab panduan membuka  ruang  mendekati yang hakiki – Allahu Rabbi Inilah medan jihad rohani yang didepani sufi. Mendepaninya berbagai-bagai ungkapan dapat disebutkan bahawa:
1)      Tuntutan memperbaiki  diri sesuai dengan tuntutan yang Hakiki
2)       Medan asyik yang mendepani sufi  tidak bertepi
3)      Terhambur ungkapan-ungkapan  pujian mesra dan mengagungkan
Pada hakikatnya  kewujudan sama ada yang bersifat ghaib dan shahadah  adalah penyaksian dan rahsia Tuhan. Ianya dapat dilihat dari dua dimensi, dimensi lahiri dan akli yang  menjadi wadah keilmuan yang terus dikaji insan di dalam berbagai nama keilmuan dan dapatan untuk kepentingan kehidupan dan dapat dilihat dari segi dimensi rohani yang  pada hakikatnya lebih luas dan dalam yang dihayati dan menjadi sumber kerohanian.
Sebagaimana  kewujudan dikaji dari segi keilmuan tidak habis-habisnya yang pada hakikatnya makin menyerlahkan hakikat Pencipta, demikianlah juga bidang kerohanian. Tidak semua yang mengalami dan menghayati membuat catatan kerohanian yang dilalui.
Tapi sebagaimana bidang ilmu ada usaha-usaha murni yang melakukan pendokumentasian yang menjadi panduan bagi generas-generasi mempelajari dan meluaskannya, demikian juga dengan bidang kerohanian, bahawa ada di kalangan mereka yang terlibat di dalam bidang kerohanian yang membuat catatan pengalaman dan kajian-kajian. Sesungguhnya usaha kalangan mereka inilah menjadi warisan yang dapat dijadi panduan untuk dipelajari dan menghayati. Inilah apa yang kita maksudkan `Turath Tasawuf`  yang menjadi fokus tulisan ini.
Dalam kata lain Turath Tasawuf atau Perbendaharaan tasawuf ini menjadi bahan penelitian dan pengajian kita. Antara yang akan dilakukan:
1)       Meneliti  sumber dan akar tasawuf Islam
2)      Pertumbuhan awal bagi tasawuf
3)      Hasil-hasil penulisan awal dalam bidang tasawuf
4)      Kelahiran karya-karya tasawuf secara kronologi
5)      Ciri keistimewaan dan penambahan maklumat yang dibawa oleh karya/tokoh
6)      Madrasah-madrasah  dan aliran-aliran yang dibawa oleh karya/tokoh
7)      Pendekatan-pendekatan ketasawufan
8)      Tokoh-tokoh sufi sebagai bahan kajian
9)      Ketasawufan dan estetika
10)   Kesan pada individu, jamaah dan ummah
Sudah tentulah apa yang disenaraikan di atas bukanlah sesuatu yang sempurna dan lengkap. Sesungguhnya dalam kajian, penghayatan dan penulisan akan lahir dan bertembung dengan bahan-bahan baru yang diharapkan akan menambahkan lagi maklumat dan melengkapkan kajian dan poenulisan.
Di dalam membicarakan tentang ketasawufan, sesungguhnya  telah  lahir berbagai pendapat  yang pro- dan kontra, tetapi kita mau menegaskan bahawa tiada siapa yang dapat menafikan bahawa diri insan tidak terdiri dari binaan fizikal  semata-mata, tetapi ada elemen akli dan rohani. Menyempurnakan kedua-duanya merupakan tuntutan diri. Sebagaimana tuntut akli melahirkan keilmuan, maka demikian juga dengan kerohanian melahirkan  ketasawufan. Kalangan yang menentang kerohanian dan ilmu yang berkait dengan kerohanian  sebagai menentang dirinya dan cuba menafikan apa yang diperlui oleh masyarakat dan umat. Perkembangan ini sebenarnya seiringan berlaku di dalam perkembangan  tamaduan   dan peradaban umat. Walau bagaimana majunya manusia, bidang rohani tetap mendapat tempat dan seharusnya bergandingan  serta  sempurna dan menyempurnakan.

Sekian.