October 18, 2016

ABU AL-DARDA`: DARI KESERONOKAN HARTA KEPADA KENIKMATAN JIWA


BBB, 16 Muharram 1438H. = 17 Oktober 2016M. (Isnin):
Abu Nasr al-Sarraj mengambil Abu al-Darda` dari kalangan sahabat  sebagai contoh kesufian  di dalam kehidupan kerohanian.
Siapa Abu al-Darda`, dapat ditanggapi dari petikan ringkas berhubung dengan tokoh kerohanian   ini. Catatan Al-Sarraj adalah sebagaimana berikut:
``Adapun Abu al-Darda` r.a., maka sesungguhnya ia telah berkata:
``Adalah aku seorang saudagar pada zaman Jahiliyyah, maka sesungguhnya aku telah masuk Islam, maka aku berkehendak menghimpunkan antara perniagaan dan ibadah, maka aku tidak mampu menghimpun antara keduanya. Aku merasa ibadah lebih memberi kesan kepadaku daripada perniagaan. Katanya ditanya (mendapat fikiran)  Ummal-Darda` r.`anha tentang kelebihan ibadat Abi al-Darda` r.a., maka katanya, tafakkur dan i`tibar.
Dapat difahami bahawa Abu al-Darda` sebelum Islam adalah saudagar atau tokoh perniagaan seperti Abu Sufyan dan sebagainya. Ia tergolong sebagai hartawan pada zamannya. Dia sebenarnya dapat mencapai keseronokan  daripada kekayaan harta yang dimiliki. Namun selepas keislamannya dia menemui kenikmatan yang lebih tinggi dari keseronokan kekayaan yang didapati. Dia mau merangkumi dan memiliki secara serentak antara keseronokan memiliki harta yang dengan banyak kemudahan yang dapat dicapai berbanding dengan yang tidak berharta dan dalam masa yang sama dia juga mau mencapai semaksimum kenikmatan dari segi kerohanian ! Sebenarnya hasrat sedemikian bukan menjadi larangan di dalam Islam, lantaran ramai tokoh yang kaya dan berkedudukan di dalam Islam dan dipandang tinggi dari segi agama dan masyarakat, seperti Sayyidina `Uthman bin`Affan, Abdul Rahman bin `Auf dan ramai lagi. Lagi pula dengan mempunyai harta banyak kebajikan yang dapat dilakukan . Misalnya  dengan mempunyai harta yang banyak dapat dikeluarkan zakat bagi membantu asnaf-asnaf, dapat memberi sedekah dan bantuan, dapat mewakafkan kepada orang ramai dan berbagai kebajikan yang dapat dibuat. Tetapi bagi Abu al-Darda` merasakan bahawa dia tidak dapat mencapai kedua-dua tujuan secara  serentak dan maksimum, baik mencari harta untuk kebajikan dan mencapai kesempurnaan ibadat dalam masa bersamaan.
Abu al-Darda`sebenarnya sudah dapat merasai keseronokan memiliki harta kekayaan yang ketara keseronokan bersifat nyata, misalnya mempunyai kediaman yang besar, mempunyai kenderaan yang selesa , berpakaian yang mahal, makan minum yang lazat dan sebagainya. Umumnya keseronokan dirasai secara fizikal dan nyata. Kini dengan mendalami keilmuan, hikmat dan hakikat didapati, bahawa nikmat akal dengan berilmu lebih tinggi darjatnya daripada nikmat kekayaan yang bersifat nyata. Bukankah dengan berilmu banyak pengetahuan dinikmati, banyak rahsia-rahsia kejadian Allah dapat difahami. Ianya merupakan nikmat akli yang tidak boleh dibeli dengan harta lahiri, juga Abu al-Darda` melalui berbagai pengajian keilmuan, khususnya yang bersifat rohani didapati bahawa, ianya lebih nikmat dan membahagiakan jiwa dan memberi ketenangan yang tidak dicapai melalui harta. Lantaran itu Abu al-Darda` memilih dan memberi tumpuan kepada ilmu dan aspek-aspek kerohanian.
Abu al-Darda` menuju kepada apa yang dikatakan oleh Umm al-Darda`, iaitu kepada tafakkur dan i`tibar dari kejadian Allah yang mendorong diri dan jiwanya kepada kekaguman terhadap ciptaan Allah, ta`abbudiyyah terhadapNya dan kecintaan terhadapNya. Semuanya adalah merupakan kenikmatan akal, jiwa dan rohani yang bersatu ke dalam dirinya.
Adalah satu yang lumrah apabila akal tergarap dengan kefahaman terhadap hakikat alam dan rohani meningkat tinggi dari persepsi dan penghayatan, maka ianya menggarap jiwa yang mengalami dan menghayati  dan meningkat jiwa berkenaan dari jiwa yang biasa kepada akal dan jiwa yang gemerlap dengan keindahan dapatan dan kehalusan perasaan, maka adalah menjadi kebiasaan membawa kepada  seseorang itu terkeluar dan terhambur dari kata-katanya sebagai kata-kata hikmat yang mendalam  maknanya. Ini misalnya berlaku kepada Sayyiduna `Ali bin Abi Talib k.w. yang mana minda dan jiwanya  bagai perbendaharaan intan permata, dan setiap yang terkeluar dari mulutnya ianya sebagai taburan intan permata. Dalam maksud terkeluar kata-kata hikmat yang tinggi maknanya. Demikian adalah menjadi kebiasaan bagi tokoh-tokoh rohani yang mendalam dari segi kerohanian, maka apa yang diucapkankannya mendalam dan indah berseni rohani dari segi ungkapan sebagaimana dapat dihayati dari kata-kata Al-Junayd, Sari al-Saqati, Al-Tustari,  Zakariyya al-Ansari dan sebagainya. Ada pula ungkapan-ungkapan yang bersifat falsafah dan rohani sebagaimana yang dingkapkan olehj  Al-Shadzili, Ibn `Ata Allah al-Sakandari, Ahmad Zarruq, Ibn `Ajibah dan sebagainya.
Dalam perkembangan jiwanya dari orientasi ibadat dan kerohanian Abu al-Darda` terarah kepada peningkatan perbendaharaan dalaman dirinya. Orientasi utama yang mempengaruhi  diri dan ungkapan-ungkapannya adalah dari ayat-ayat- Al-Qur`an yang mempunyai aspek kerohanian dan juga hakikat-hakikat kejadian. Dalam hal ini boleh dikatakan Abu al-Darda` antara yang mula mencetuskan pandangan –pandangan ketasawufan secara rohani dan kefalsafahan. Misalnya  ungkapan yang dikaitkan dengannya, seperti,
``Kebaikan, walaupun sebesar zarrah dari orang bertaqwa lebih berat dan lebih baik dari orang yang terpedaya dan lalai.``
Dan katanya tatkala beliau diminta panduan, maka dijawabnya secara tawaduk dan merendah diri, katanya;
``Aku bukan ahli renang... aku takut tenggelam !. (Petikan dari Sejarah 133 Wira Terbilang, 2009: 248-249).
Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda` bermaksud:
Daripada Abi al-Darda` r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w., ``Adalah dari do`a  Nabi Daud a.s. Ya Allah sesusungguhnya aku memohon kecintaan Engkau dan kecintaan orang yang mengasihi Engkau dan kerja yang menyampaikan daku kecintaan akan Dikau. Wahai Tuhanku, jadikanlah kecintaan Engkau  lebih cinta kepadaku dari diriku dan keluargaku dan daripada air sejuk.`` Riwayat Al-Tirmidzi.
Tidak banyak Hadith yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda` tetapi Hadith di atas menjadi amalan dan kecintaannya. Kenikmatan yang jauh berbeza dari keseronokan harta yang pernah dikecapinya.

Sekian.

October 17, 2016

SALMAN AL-FARISI PENCARI KEBENARAN DAN PAKAR STRATEGIS PERTAHANAN


BBB. 15 Muharram  1438H. = 16 Oktober 2016 (Ahad):
Dalam masa Rasulullah s.a.w. sedang menghadapi berbagai sekatan semasa  berdakwah di Makkah, seorang anak muda tampan yang terkenal dengan nama Salman di Parsi masih mengikuti agama tradisi kaumnya – Agama Majusi di sebuah pekan di Isfahan, Parsi, Bapanya seorang penghulu di pekan yang di diami. Antara tugas yang dilakukan oleh Salman ialah menyalakan obor yang disembah di tempat ibadatnya. Di dalam menghadapi rutin tugasnya, ia pernah meninjau ke luar pekannya dan bersua dengan tempat ibadat kaum Nasrani yang berasal dari Syria. Tertarik dengan amalan dan ibadat mereka yang dilihat lebih teratur berbanding dengan penyembahan api  Salman pernah menyelinap memerhatikan upacara yang dilakukan mereka. Dia tertarik dan melalui  penditanya dia menyatakan keinginannya  untuk memeluk agama Kristian dan dia diterima baik. Walau bagaimana dia masih tidak tenteram dengan agama Nasrani yang dianuti. Pada satu masa dia bertembung dengan rombongan kafilah `Arab yang datang ke Syria, dia mendapat maklumat tentang kebangkitan Rasul s.a.w. Jiwanya mendesak untuk mencari kebenaran dan  mau membuat bandingan antara agama Majusi dan Kristian, tergerak untuk bergerak ke tanah `Arab bagi mengetahui lebih lanjut tentang kedatangan agama baharu - Islam itu. Beliau bergerak ke negeri `Arab dan mencari panduan ke tempat yang mau dituju – tempat agama baru Islam. Ia mendapat perolongan orang Yahudi, tetapi malangnya Yahudi berkenaan telah menjualnya kepada Yahudi dari Madinah, iaitu Yahudi dari  Banu Quraiz*ah dan dibawa ke Madinah menjadi hamba bagi keluarga  Yahudi berkenaan.
Kebetulan masa Salman dibawa ke Madinah, berlakunya peristiwa Hijratul Rasul s.a.w. Berita tersebut sampai kepada Salman dan dia bercakap-cakap dengan tuannya yang beragama Yahudi itu tentang perutusan Rasulullah s.a.w. Percakapannya tidak digemari tuannya, bahkan Salman dipukul.
Semasa Hijrah pada peringkat awal dan yang berhijrah, termasuk Rasulullah s.a.w. tiba di Quba` secara senyap-senyap beliau menemui Nabi s.a.w.dan mendapat penerangan dari Rasulullah sendiri tentang Islam. Melihat kepada Rasulullah yang mempunyai kehaibatan dari segi wajah, tampan dan berkesan dari segi dakwah dan kepimpinan, lebih-lebih lagi agama Islam dilihat secara praktik dari segi pegangan keimanan, amalan dan perhubungan, Salman  memeluk agama Islam dan membebaskan diri dari belenggu kehambaan di bawah kaum Yahudi Bani Quraiz*ah. Dalam kata lain Salman bergabung diri dalam menyambut kehadiran Nabi dalam rangka hijrah Baginda ke Madinah. Salman bersama kalangan Ansar dan Muhajirin sama menegakkan negara Islam dan mengisinya dengan pembangunan dan pengimarahan.
Salman yang kemudiannya dikenali dengan  Salman al-Farisi – kerana berasal dari Parsi, menemui di Madinah apa yang dicari-cari selama ini. Dengan berepegang kepada Islam dapat memenuhi tuntutan mentalnya yang selama ini dicari dari agama Majusi, Nasrani, bahkan Yahudi tidak diketemui,. Kepuasan akli tentang Ketuhanan dan rohani dengan pengibadatan ditemuinya di dalam Islam. Dia berada pada tempat sumber Islam itu sendiri dan dia dapat mengikuti perkembangannya dan dia sama  dapat mengikuti secara `life` dan berada di  bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. dapat berjamaah bersama dan mengikuti berbagai perkembangan yang berlaku. Dia dapat mengikuti bersama kehangatan peperangan Badar dan Uhud dan merasa syukur di atas kemenangan dan bersabar dan berusaha membela Islam.
Salman Al-Farisi dapat merasa dan terlibat dengan jihad bagi mempertahankan Islam, bahkan apabila pihak kafir Quraisy bersekongkol dengan Yahudi di Madinah (Bani Quraiz*ah) untuk menyerang Madinah dalam mana pihak Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufyan dsengan 24,000 tentera merancang mau menyerang Madinah dan Yahudi Quraiz*ah menyerang dari belakang di dalam Madinah, maka Rasulullah s.a.w. bermesyuarat dengan sahabat-sahabat bagaimana mempertahankan Madinah. Berbagai cadangan dibuat, Salman al-Farisi membuat cadangan yang sebelum ini belum pernah dilakukan peperangan antara Quraisy dan orang Islam, iaitu cadangan menggali parit pada bahagian tanah rata, yang bahagian lain di kelilingi bukit. Cadangan Salman al-Farisi diterima. Dengan itu semua  penduduk Madinah termasuklah Rasulullah dan para sahabat, khususnya Salman al-Farisi sama bekerja bergotong- royong menggali parit bagi menyekat kemaraan tentera Quraisy ke dalam bandar Madinah.
Peristiwa penyerangan ini berlaku pada tahun ke 5 H. Bila tentera-tentera Quraisy datang menyerang, mereka terkejut melihat parit (Khandak) digali keliling kota Madinah yang menghalang mereka dan kuda-kuda mereka untuk merentasi dan melompat masuk ke kawasan kota Madinah. Ini menyebabkan tentera Quraisy terpaksa menunggu dan memasang khemah berhadapan dengan kawasan khandak. Dalam pada itu pihak pengintip dari kalangan Islam telah menjalankan tektik memecahbelah dan memfitnahkan mereka dan menjadikan mereka ragu. Akhirnya dengan pertolongan Allah turun ribut pasir yang kuat yang mencabut khemah-khemah mereka dan menterbalikkan peralatan mereka. Mereka juga menyangkakan pihak tentera Islam menyerang mereka menyebabkan mereka cabut lari dan meninggalkan medan perang. Perang Khandak ini juga dikenali dengan `Perang Ahzab` kerana puhak musuh – Quraisy bersekutu dengan pihak Yahudi di Madinah.
Firman Allah di dalam Surah al-Ahzab yang menggambarkan peperangan tersebut, bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah ni`mat Allah yang melimpahkannya kepada kamu, pada masa kamu didatangi oleh tentera-tentera (al-Ahzab), lalu kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan. `` (Al-Ahzab: 9).
Salman hidup di Madinah di dalam keadaan sederhana berqana`ah dan zuhud, meskipun dia diberi tugas sebagai penjaga bagi sebahagian kawasan di Madinah dan mempunyai elaun tetap, tetapi dia tidak mengambil bayaran tersebut, sebaliknya untuk membiayai kehidupan beliau dengan isterinya dia bekerja menganyam daun khurma bagi membuat bakul dan sebagainya dan bergantung pendapatan dari usahanya. Rumah kediamannya di pinggir Madinah amat kecil yang tinggi atapnya sekadar telus untuk berdiri. Namun dia dan isterinya merasa bahagia dengan kehidupan mereka. Salman al-Farisi menghabiskan usia tuanya dengan beribadat dan mendekati diri kepada Allah. Beliau berkesempatan dengan zaman tiga orang khalifah, dan meninggal pada zaman Khalifah `Uthman bin `Affan.
Ketokohan dan perwatakan Salman al-Farisi adalah perwatakan yang kukuh dari segi tasawuf. Seorang pencari kebenaran dan merupakan turunan Parsi terawal menerima Islam. Banyak jasanya di dalam menegakkan Islam. Beliaulah yang mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w. agar menggali parit keliling Madinah bagi mempertahankan Madinah dari seranmgan kuffar Makkah yang bersekongkol dengan Yahudi di Madinah yang menyebabkan rancangan kuffar untuk menawan Madinah gagal.
Perwatakan dan pembawaan Salman al-Farisi mencerminkan peribadi dan akhlak yang tinggi. Al-Sarraj memilihnya sebagai salah seorang contoh kesufian di dalam pendekatan  tasawufnya..

Sekian.

October 16, 2016

`IMRAN BIN HUS*AYN MESRA BERIBADAT; PENCINTA DAMAI


BBB, 14 Muharram 1438H. = 15  Oktober 2016M. (Sabtu):
Antara tokoh kesufian yang disebut oleh Al-Sarraj ialah `Imran bin  Hus*ayn  (S*= S*ad).
Dari segi sejarah `Imran bin Hus*ayn pada peperangan Khaibar tahun ke 7H. beliau datang kepada Rasulullah s.a.w. berbai`ah dan menerima Islam. Beliau memilih Islam secara jujur dan tulus hati dan berikutan penerimaan Islam wataknya menyerlah sebagai seorang yang kuat beribadat dan sangat menyintai Allah Subhanahu wa Ta`ala. Jiwanya amat sensitif dan lembut diorientasi seni alami dan seni rohani yang dialami dari kehidupan dan pengalaman ta`abbudiyyahnya.
Sebagai seorang sahabat dan turut berinteraksi dengan Rasulullah s.a.w. terdapat sejumlah Hadith yang diriwayatkan oleh Imran bin Hus*ayn. Antaranya - bermaksud:
Daripada `Imran bin Hus*ayn r.`anhuma berkata, bersabda Nabi s.a.w.,`` Sebaik-baik kamu ialah yang berada pada kurunku, kemudian yang mengikuti mereka itu, kemudian yang mengikut mereka itu. Berkata `Imran, Aku tidak tahu aku menyebut Nabi s.a.w. selepas dua kurun atau tiga. Bersabda Nabi s.a.w., sesungguhnya selepas kamu kaum yang khianat dan tidak amanah, mereka menjadi saksi dan tidak dapat dipegang dengan penyaksian mereka. Mereka bernazar dan tidak tunaikan, ternyata mereka amat loba kepada dunia.`` Riwayat Bukhari.
Hadith: Daripada `Imran bin Hus*ayn r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. bermaksud:
``Malu tidak datang melainkan dengan kebaikan.``  Riwayat Bukhari.
Hadith: `Imran bin Hus*ayn r.a. berkata, Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Keluar kaum dari neraka dengan shafa`at Rasulullah s.a.w., maka mereka masuk syurga. Mereka dinamakan `Bekas Jahannamiyyin`. Riwayat Bukhari.
Hadith: Daripada Imran bin Hus*ayn r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda (berdo`a) bermaksud:
``Wahai Tuhanku ilhamkan daku jalan pertunjukan (rushdi) dan selamatkan daku dari kejahatan diriku.``. Hadith Bukhari.
Amran bin Hus*ayn adalah merupakan seorang yang alim pada zamannya, kuat beribadat dan takut kepada Allah. Dengan kedudukan kealimannya, maka pada zaman Sayyiduna `Umar al-Khattab beliau dipilih oleh Khalifah `Umar Al-Khattab sebagai guru bagi mengajar dan membimbing penduduk Basrah dengan keilmuan Islam.
Di sana `Imran bin Hus*ayn menjalankan tugasnya dengan  baik. Walau pun sebok dengan tugas mengajar dan menerima aduan dan pertanyaan tidak mengganggunya di dalam tumpuan ibadatnya kepada Allah. Namun di dalam beribadatnya, beliau tidak suka diganggu, agar tidak hilang konsentrasi hati dan jiwanya terhadap Allah.
Sifat ta`abbudiyyah dan jiwa kesufian yang ada pada diri `Imran bin Hus*ayn menjadikan jiwanya lembut, cintakan keharmonian dan kedamaian. `Imran berkesempatan hingga zaman Khalifah `Ali bin Abi Talib, tetapi tatkala berlaku konflik antara `Ali dan Mu`awiyah dan terjadinya peperangan yang terkenal dengan peperangan Siffin dan pertikaian politik yang berlarut-larutan, `Imran bin al-Hus*ayn tidak menggemari konflik yang berlaku di dalam kalangan umat Islam sendiri. Oleh kerana tidak bersetuju dengan konflik berkenaan yang membawa kepada perpecahan umat, `Imran bin Hus*ayn mengambil sikap berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Sebaliknya beliau menggesa kalangan  umat agar berusaha membela dan menegakkan Islam. Jiwanya sentiasa cenderung kepada masjid dan lebih banyak dihabiskan masanya di sana beribadat dan mengajar.
Namun mutakhir dari umunrnya `Imran bin Hus*ayn mendsepani ujian Allah. Dia mengalami penyakit di dalam perut yang berlanjutan. Apa yang digambarkan oleh Al-Sarraj di dalam kitabnya Al-Luma` adalah antara rintihan `Imran yang menghadapi ujian sakit, bercampur dengan perasaan seni dan seni rohani. Menurut Al-Sarraj `Imran bin Hus*ayn pernah mengungkap dengan bahasa puitis dan intuitif;
``Inginku kiranya diriku menjadi tanah, nescaya menmghembus ke permukaanku angin sepoi-sepoi bahasa, dengan demikian aku tidak mengalami azab dari Allah !``
Ungkapan ini  lebih bersifat perluahan rasa hati yang sebenarnya tidak mungkin terjadi, tatapi sebagai pengluahan perasaan, kelembutan perasaan, juga mencerminkan kebimbangan diri `Imran  dengan dosanya menyebabkan dirinya kena azab di akhirat kelak.
Berkata Thabit al-Bannani, juga seorang sufi, bahawa rintihan yang dikeluarkan oleh `Imran bin Hus*ayn adalah cerminan dari penderitaan yang dialami. Menurut Thabit al-Bannani, bahawa ~Imran bin Hus*ayn menderia sakit di dalam perutnya dalam masa yang lama – dikatakan selama 33 tahun. Dia mengadu dan mengharapkan kepada Allah kesembuhan penyakit, dari satu segi penyakit yang dialaminya membawa diri makin dekat  dengan Allah, walaupun ada masa dia meikirkan, kadang-kadang menjadi kejadian Allah seperti bumi lebih baik dan  tak bermasalah – tiada dosa. Ini sebenarnya mencerminkan keinginannya mendekati Allah tanpa membawa kotoran.
Menurut Thabit al-Bannani sahabat-sahabatnya pernah menziarahinya dalam masa sakitnya, `Imran tidak melarang mereka menziarah, bahkan melahirkan harapan, semoga ianya sebagai kaffarah yang dapat membuka jalan bagi dirinya  mendekati Allah dan meningkatkan kecintaan terhadapNya.
Daripada apa yang telah dipaparkan jelas `Imran bin Hus*ayn,  sejak menerima Islam merupakan seorang yang patuh kepada ajaran Islam. Dia mendalami agama Islam dan mempraktikkannya di dalkam kehidupan. Dia terkenal sebagai seorang yang kuat beribadat. Kelayakannya di dalam keilmuan Islam sehingga melayakkannya menjadi pendakwah sehingga dihantar oleh Sayyiduna `Umar al-Khattab ke Basrah – Kota Keilmuan, mengajar di sana.
Kehalusan jiwa `Imran ditambah lagi dengan ujian yang dihadapinya, iaitu mengalami sakit di dalam perutnya yang berpanjangan. Ini mempertingkatkan lagi rasa keinsafan. Dari jiwa seni dan kehalusan ketasawufan mempertajamkan persepsinya terhadap makna kehidupan yang fana ini. Pandangan hidupnya diungkapkan di dalam luahan rasanya, bersama dengan permohonan kepada Allah agar terus terbimbing ke jalan yang lurus dan benar dan tidak menjadikan dosa sebagai penghalang, bahkan menjadikan dirinya terus memohon keampunan Allah

Sekian.

October 15, 2016

MENCONTOHI MU`ADZ BIN JABAL: ELEMEN TASAWUF


BBB,   13  Muharram  1438H. = 1`4 Oktober 2016 (Juma`at):
Mu`adz bin Jabal,  adalah seorang yang berilmu, tahu membezakan antara yang halal dan haram dan berkemampuan mengeluarkan fatwa, maka menurut Al-Sarraj, bahawa Mu`adz bin Jabal adalah tergolong dari kalangan sahabat yang berjiwa sufi. Al-Sarraj di dalam menyebut para sahabat Nabi s.a.w. meletakkan Mu`adz adalah tokoh yang menjadi teladan kesufian. Al-Sarraj hanya menyebut  satu riwayat sahaja tentang Mu`adz bin Jabal menurutnya,
``Adapun mengenai Muadz bin Jabal r.a, maka sesungguhnya  meriwayatkan  mengenainya oleh Al-Harith bin `Umayrah berkata, ``Aku duduk bersama Mu`adz bin Jabal, r.a. dan dia dengan cara duduk yang baik berkata, ``Bercermat dengan tindakan, maka aku berjanji mengasihi engkau.``.
Mu`adz bi Jabal adalah dari kalangan kaum Ansar. Beliau adalah salah seorang daripada 70 orang yang menyertai kumpulan yang pergi ke Bai`ah  al-`Aqabah Kedua. Pada masa itu Mu`adz adalah merupakan seorang anak muda yang berseri-seri muka, bergigi putih teratur dan berwajah tampan. Seorang muda yang cekap menarik dan berpotensi sebagai pemimpin. Jadi Mu`adz adalah merupakan salah seorang yang dikategorikan sebagai `Al-Sabiqun  al-Awwalun`.
Mu`adz sebagai seorang yang cerdas mendalami keilmuan Islam dan menguasai bidang fiqh dengan baik dan mahir berhubung dengan hukum hakam keislaman, sehingga beliau mendapat pujian Rasulullah s.a.w. Baginda pernah menyebut bermaksud:
``Yang terlebih alim dari kalangan umatku tentang halal dan haram ialah Mu`adz bin Jabal.``.
Beliau menghampiri dari segi kecerdasan dengan `Umar al-Khattab.
Bila Islam bertambah luas perkembangannya hingga ke Yaman, Rasulullah dipohon untuk menghantar guru bagi mengajar dan membimbing penduduk Yaman hal ehwal Islam. Orang paling layak dilihat Rasulullah s.a.w. tidak lain dari Mu`adz bin Jabal.
Bila Mu`adz mau dihantar sebagai misi dakwah dan pengajaran ke Yaman, Rasulullah s.a.w. bertanya Mu`adz, Dengan apakah engkau menghukum wahai Mu`adz ?
Maka dijawab oleh Mu`adz.
``Dengan Kitab Allah.``. Maka berkata Rasulullah, ``Kalau engkau tidak dapati di dalam Kitab Allah  ?
Maka jawab Mu`adz, aku menghukum dengan Sunnah Rasulullah. Maka kata Rasulullah, Kalau engkau tidak dapat dalam Sunnah Rasulnya ?, Maka kata Mu`adz, ``Aku berijtihad dengan fikiranku tanpa melakukan sia-sia. Maka berseri-serilah wajah Rasulullah dan Baginda berkata,
``Al-hamdulillah yang mentaufik perutusan Rasulullah dengan apa yang diredha oleh Rasaulullah.
Semasa di Yaman Mu`adz bin Jabal telah menjalankan peranan dan memutuskan hukuman dengan baik. Perutusan Mu`adz sebagai pendakwah dan guru yang menyampaikan dakwah dan pengajaran berdasarkan kepada kitab Allah dan Sunnah Rasul menjadi panduan penting bagi kalangan yang terlibat dengan dakwah dan pengajaran perlu mendalami kedua-dua bidang keilmuan. Konsep ijtihad yang difahamkan dari jawapan Mu`adz terhadap soalan Rasulullah menjadi asas penting dari segi fatwa.  Konsep ijtihad dan kemampun berijtihad mempunyai pra-syarat yang seharusnya dipatuhi. Antaranya berilmu, mendalami Al-Qur`an dan Hadith di samping perunbdangan Islam itu sendiri. Kini mengeluarkan fatwa dan ijtihad tentang sesuatu perkara yang baharu, dikendalikan oleh institusi Mufti, bahkan ada lembaga yang lebih tinggi seperti di Malaysia dikenali sebagai `Jawatankuasa  Fatwa Kebangsaan.
Semasa Rasulullah s.a.w. wafat di Madinah, Mu`adz yang dilantik oleh Rasulullah s.a.w. k e Yaman  masih bertugas di Yaman, bahkan pada masa Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq menjadi Khalkifah al-Rashidin  Pertama, Mu`adz dihantar kembali oleh Abu Bakar bertugas mengajar di Yaman. Tetapi pada zaman Khalifah `Umar bin al-Khattab beliau diperintah `Umar berkhidmat di Syria. Tetapi beliau tidak sempat berkhidmat lama di Syria.
Walau apapun Mu`adz adalah lambang ulama` yang mengeluarkan fatwa dan mengajar keilmuan Islam. Kedudukannya diakui dan diperkukuh oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda Baginda yang bermaksud:
``Mu`adz bin Jabal Imam `ulama di hari kiamat.
Dari segi tasawuf sebagaimana Al-Sarraj mengambil Mu`adz bin Jabal sebagai contoh kesaufian, maka dapat diambil panduan bahawa.
Ketasawufan adalah melibatkan sama keilmuan, bahawa orang Islam yang berilmu dan komited dengan keilmuannya, jujur dan menyebarkan keilmuannya dengan dakwah dan pengajaran adalah merupkan ciri ketasawufan dan orang yang sedemikian juga membawa elemen sufi. Lebih dari itu dilihat bahawa kesufian tidak terhad kepada yang bersifat peribadi, tetapi juga melibatkan masyarakat. Contoh berjuang dengan ikhlas bagi menyebarkan ilmu pengetahuan, khususnya keilmuan yang berkait dengan Islam adalah juga merupakan elemen kesufian. Bahkan usaha memperbaiki kehidupan masyarakat misalnya mendidik masyarakat dengan ilmu dan akhlak supaya ikhlas dari segi amalan, menjauhi diri dari perkara-perkara dilarang seperti menipu, rasuah dan menyuruh berbuat baik adalah merupakan elemen ketasawufan. Tasawuf bukanlah dilihat hanya kepada individu tersendiri terasing bagi mendekati Allah, tetapi melibatkan segala amalan yang baik yang melibatkan masayarakat adalah merupakan peranan dan tujuan ketasawufan. Bukankah aspek-aspek keakhlakan adalah merupakan sebahagian dari bidang ketasawufan ?, Jadiu tasawuf hendaklah dilihat sebagai wasilah bagi memperbaiki dalaman diri dan wasilah bagi memperbaiki masyarakat dengan nilai-nilai murni sebagaimana yang dapat dicontohi dari misi Mu`adz bin Jabal yang dihantar oleh Rasulullah ke Yaman dan pilihan Rasulullah s.a.w. ini  dikekalkan oleh para sahabat Baginda.
Mu`adz bin Jabal adalah contoh `ulama`, pendakwah dan pendidik sepanjang zaman.

Sekian.

October 14, 2016

CONTOH KESUFIAN DARI KALANGAN SAHABAT - TALHAH


BBB, 12 Muharram 1438H. =  13 Oktober 2016 (Khamis):
Al-Saeeaj telah memberi contoh kesufian dari kalangan sahabat yang keutamaan tinggi ialah dari kalanagan Khulafa` al-Rashidin yang empat, iaitu Abu Bakar `Umar, `Uthman dan `Ali r. `anhum. Beriukutnya keutamaan diberi kepada kalangan Ahlu al-Suffah yang berjumlah lebih kurang 300 orang itu, tetapi tidak disebut nama-nama mereka itu secara langsung. Dan berikut ialah kalangan para sahabat . Dari ribuan yang bertaraf sahabat yang berkesempatan hayat mereka dengan Rasulullah s.`a.w., lebih khusus berinteraksi dengan Baginda disebut di dalam kitabnya `Al-Luma`, ialah sebanyak 35 orang. Itupun disentuh setiap orang daripada mereka dengan ringkas. Walau bagaimana dengan penyebutan nama mereka dan dengan maklumat tambahan dapat kita memahami, latar dan pembawaan ketasawufan yang menjadi model bagi Al-Sarraj memilih mereka dan juga menjadi contoh ikutabn bagi kita.
Dengan mensenaraikan nama-nama tokoh dan sufi  dengan latar atau kegiatan mereka berhubung dengan tasawuf sebenarnya Al-Sarraj secara tak langsung memulakan satu kaedah penulisan  tentang tokoh, biografi atau tabaqat atau generasi sufi sebagaimana sempurnanya di hasilkan secara lebih sempurna oleh seperti Al-Sulami dengan  Tabaqat al-Sufiyyat dan Al-Sha`rani dengan Al-Tabaqat al-Kubra.
Berhubung dengan para sahabat ini tidak ada pembukaan bagi bab yang diberi  judul:
``Bab Pada Menyebutkan Kalangan Saahabat Bagi Makna Ini (Tasawuf) dan terus disebut watak kesufian pertama ialah:
Talhah bin `Ubaidillah r.`a.
Berkata Shaykh (Al-Sarraj) r.h.a. sesungguhnya diriwayatkan daripada Ziyad bin Hudayr bahawa sesungguhnya dia berkata, ``Aku melihat Talhah bin `Ubaidillah r.a. bersama seratus ribu di dalam satu majlis dan dia menjahit tepi bajunya dengan tangannya.``
Itu saja petikan yang berhubung dengan Talhah bin `Ubaidillah yang mencerminkan bahawa begitu ramai beliau mempunyai pengikut atau penyokong, tetapi beliau tetap dengan kezuhudannya, iaitu, memakai baju yang menunjukkan bahawa beliau tidak menunjukkan  kemewahan. Bajunya yang dipakai carit atau koyak, maka sebagaimana Rasulullah s.a.w. dan juga `Umar bin al-Khattab dan beberapa individu yang lain dari kalangan sahabat memakai baju yang tidak menunjukkan kemewahan dan baju carik atau koyak, maka dia menjahit atau menampal sendiri bajunya yang koyak berkenaan !
Sebenarnya kisah Talhah membawa elemen yang kudus dan tragis. Talhah adalah seorang peniaga terkenal di Makkah sejak zaman jahiliyyah. Dia berniaga antara Makkah dan Basrah. Di Basrah selain dari berniaga dengan dagangan-dagangan yang banyak, beliau bergaul dengan penduduk di sana dan menemui rahib-rahib di sana. Beliau dimaklumkan oleh rahib, tentang perutusan kerasulan dari kalangan bangsa `Arab. Sepulangnya ke Makkah membawa dagangan, beliau mendengar, bisikan-bisikan yang dicakapkan dengan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. Beliau menemui Abu Bakar sahabat rapat Rasulullah s.a.w. dan beliau meyakini dengan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. dan melalui Abu Bakar, beliau menemui Rasulullah s.a.w. dan menyatakan keislamannya. Jadi Talhah adalah tergolong dari generasi pertama penerima Islam. Beliau  turut menerima gangguan dari pihak kaum Quraisy dan memberi kesan terhadap perniagaannya, tetapi beliau mendapat perlindungan dari Naufal bin Khuwailid yang terkenal dengan gelaran Singa Makkah yang juga merupakan bapa saudara bagi Saidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri Nabi.
Apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, maka Talhah turut sama berhijrah dengan Rasulullah s.a.w. dan menggunakan kekayaan bagi membantu kaum muhajirin dan bagi perkembangan Islam di Madinah.
Semasa di Madinah Talhah tidak berkesempatan menyertai peperangan pertama di dalam Islam, iaitu peperangan Badar. Ini ialah kerana Talhah dan seorang lagi sahabat, iaitu Sa`id bin Zaid ditugaskan oleh Rasulullah  dengan satu tugas di luar dari Madinah. Beliau amat kesal tidak berpeluang sama di dalam peperangan Badar – peperangan fi Sabilillah, tetapi Rasulullah menghargai mereka dan turut menerima rampasan perang berkenaan.
Cita-cita Talhah untuk menyertai peperangan terkabul, apabila berlaku peperangan Uhud. Beliau tidak saja menyertai peperangan, tetapi berpeluang menggunakan harta kekayaannya mimbiayai peperangan tersebut. Dalam peperangan sebagaimana dimaklumi, ada pihak yang tidak mematuhi perintah Rasulullah s.a.w., terutama pasukan pemanah supaya tidak meninggalkan bukit Uhud, tetapi arahan ini tidak dipatuhi.  Pasukan berkenaan turun kerana mau membolot sama harta rampasan. Tindakan balas pasukan kufar Quraisy mengkucar-kacirkan tentera Islam dan Rasulullah sendiri menjadi fokus penyerangan. Talhah adalah antara yang melindungi Rasulullah dalam peperangan tersebut. Walaupun  tujuh puluh tentera Islam syahid, Talhah terselamat.
Tatkala berlaku fitnah besar pada zaman pemerintahan Khalifah `Uthman bin `Affan dan bangkit pihak yang tidak merasa  puashati dengan  pemerintahannya yang bagi mereka menmganggap `Uthman lemah, Talhah nampaknya berpihak kepada yang menentang `Uthman  bagi tujuan memperbaiki dan membetul kembali pemerintahan `Uthman. Namun sebagaimana termaklum `Uthman syahid.
Selepas  wafat `Uthman, `Ali dilantik menjadi Khalifah al-Rashidin keempat. Zaman pemerintahan `Ali tidak tenteram, kerana bangkit pihak yang mau menuntut bela terhadap kematian `Uthman.  A`ishah sendiri terpengaruh dan memihak kepada pihak yang menentang `Ali dan dengan pasukan yang antaranya terdiri dari Talhah dan al-Zubair terlibat sama dalam peperangan Jamal. `Ali amat sedih dengan peristiwa ini yang memecahbelahkan umat Islam. Beliau memanggil Talhah dan Zaubair berdepan dengannya dan mengingatkan apa yang pernah disebut oleh Rasulullah tentang mereka. Talhah dan Zubair akur dengan apa yang diminta oleh `Ali  dan menarik diri dari menyertai peperangan. Tetapi pada masa itu ada musuh-musuh yang mengintai mereka. Talhah dan Zubair, walaupun sudah menarik diri dari meneruskan peperangan, tetapi mereka  terbunuh secara curi oleh musuh-musuh mereka. Manakala A`ishah yang kesal kerana silap langkan terlibat di dalam peperangan tidak diapa-apakan oleh `Ali, bahkan dimuliakan sebagai Ummul-Mu`minin dan dihantar pulang ke Madinah dengan pasukan pengiring bagi menjamin keselematannya. Sekembali ke Madinah A`ishah menyepi diri seolah-olah menyesal dengan silap langkahnya melibatkan diri di dalam peperangan.
Keterlibatan, khususnya watak yang kita bicarakan, iaitu Talhah dengan ijtihad dan jangkaan dia dan yang lain seperti al-Zubair, khususnya A`ishah sebagai pihak yang benar, tetapi kesedaran berlaku pada peringkat akhir, tetapi mereka terjebak di dalam kemelut pihak yang berdendam dan mereka menjadi mangsa tragis peperangan. Ayat Al-Qur`an menyebut tentang peristiwa seumpama ini bermaksud:
``Dari kalangan mukminin ada yang bersikap benar dengan apa yang dijanji Allah kepada mereka, Dari kalangan mereka ada yang meninggal shahid dan dari kalanagan mereka yang menunggu dan mereka pula tidak mengubah sebagaimana dijanjikan. (Al-Ahzab: 23).
Dan firman Allah bermaksud:
``Dan kami cabutkan apa yang ada di dalam dada mereka itu – perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.`` (Al-Hijr: 47). 
`Ali sendiri tidak mendendami Talhah dan Zubayr dan lebih rasa kasihan dan memohon dari Allah rahmat terhadap mereka sebagaimana dikatakan `Ali pernah berkata:
``Aku mendengar dengan dua telingaku ini Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Talhah dan Zubayr berjiran di dalam syurga.``
Dapatlah diambil kesimpulan dari segi ketasawufan}Talhah adalah antara generasi awal memeluk Islam.
Beliau berjihad dengan harta dan jiwa raga dalam peperangan (Uhud) bagi menegakkan Islam.
Beliau berijtihad membela yang benar, walaupun mungkin tersilap dan menarik diri dari melibatkan diri dalam penentangan terhadap `Ali, tetapi tidak terlepas diri dar pihak memusuhi mereka, sehingga mereka menjadi mangsa pembunuhan.
Talhah tidak lokek dengar hartanya. Dia menjadi penderma utama. Dalam pada itu dia tidak bermegah dengan hartanya, bahkan dia bersifat seperti mereka yang susah sebagaimana kata Al-Sarraj yang Talhah turut sama berdikari menampal bajunya yang koyak.
Berharta tidak menghalang diri dari bertasawuf yang membersih diri dan harta yang dimiliki.

Sekian.

October 13, 2016

AHLU AL-SUFFAH LAMBANG KESUFIAN


BBB, 11 Muharram 1438H. =  12 Oktober 2016 (Rabu):
Ahlu al-Suffah adalah kalangan muhajirin pada peringkat awal yang berpindah ke Madinah sempena Hijrah al-Rasul s.a.w. ke Madinah. Sebagai muhajirin terawal pada peringkat awal, mereka tidak mempunyai tempat tinggal dan tinggal di anjung Masjid Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w. selepas pembinaan Masjid Quba`. Mereka ini berjumlah lebih kurang 300 orang. Bayangkan dengan jumlah seramai itu berlindung di anjung Masjid Madinah yang tidak sebesar mana binaannya. Binaan dari batang tamar dan atap dari daun-daunnya dan berlantaikan  batu krikil. Namun mereka inilah kelompok pertama dari kalangan muhajirin berjiwa cekal dan sanggup menempuhi kesempitan dan kesusahan demi menegakkan agama Islam. Mereka jugalah nuklias muhajirin yang disatukan oleh Rasulullah dengan kaum Ansar yang terdiri dari kaum Aus dan khazraj yang mengukuhkan umat Islam di Madinah. Mereka diisyaratkan oleh ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan orang-orang yang terdahulu, yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari antara orang-orang muhajirin dan ansar dan orang-orang yang (menurut jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat). Allah redha akan mereka dan mereka  pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.`` (Al-Taubah: 100).
Sebagaimana telah disebut antara pendapat tentang asal usul istilah tasawuf ada dikaitkan dengan `Ahlu al-Suffah` yang mencerminkan kehidupan mereka di dalam kesempitan, tetapi cekal di dalam menghadapi dugaan. Menurut Al-Sarraj, ``Kalangan Ahlu al-Suffah yang berlindung di anjung Masjid Madinah atau Masjid Nabawi ini dimuliakan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda duduk meraikan mereka, makan bersama mereka dan menmggalakkan orang ramai memuliakan mereka dan mengenal kelebihan mereka.
Terdapat beberapa ayat Al-Qur`an yang menyebut dan memuji tentang mereka. Antaranya firman Allah yang bermaksud:
``Mereka adalah dari kalangan fuqara` yang mengungsi ke Madinah demi menegakkan jalan Allah.`` (Al-Baqarah: 273).
Dan ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdo`a kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredhaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari golongan orang-orang yang zalim.`` (Al-An`am: 52).
dan firman Allah lagi bermaksud:
``Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia, dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam Al-Qur`an, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya adalah melampaui kebenaran.`` (Al-Kahfi: 28).
Antara Ahlu al-Suffah yang peristiwanya terakam di dalam Al-Qur`an ialah Ibn Maktum seorang Ahlu al-Suffah yang buta, Rasulullah tidak menyenanginya  datang, apabila Rasulullah  menerima tamu, lalu turun ayat bermaksud:
``Ia memasamkan muka dan berpaling, kerana ia didatangi orang buta.`` (`Abas: 1 -2). Adalah dikatakan selepas turun ayat itu berhubung dengan peristiwa di atas, Rasulullah s.a.w. apabila berjumpa dengan Umm Maktum, Baginda berkata bermaksud, ``Wahai orang  yang menempelak Allah Ta`ala kepadaku kerananya.``
Adalah dikatakan Rasulullah amat memuliakan ahlu al-Suffah, Baginda tidak berdiri dalam majlis apabila Baginda di kelilingi  duduk ahlu al-suffah hinggalah mereka bangun dan adalah Rasulullah s.a.w. apabila berjabat tangan dengan mereka, Rasulullah tidak menarik tangannya sebelum ditarik oleh Ahlu al-Suffah.
Keadaan Ahlu al-Suffah digambarkan oleh Abu Hurairah yang juga salah seorang yang pernah menjadi Ahlu al-Suffah dan mengetuai mereka  diriwayatkan,  Abu Hirairah r.a, berkata:
``Aku melihat tujuh puluh orang daripada Ahlu al-Suffah, mereka bersolat,  antara baju mereka hanya sampai ke paras dua lutut, apabila rukuk dipegang hujung baju, takut terbuka aurat.``
Berkata Abu Musa al-Ash`ari, ``Adalah bau mereka seperti bau pakaian selimut yang dibuat daripada bulu biri-biri.``
Rasulullah membela  Ahlu al-Suffah dan memperbaiki pandangan yang tidak elok terhadap mereka. Misalnya Abdullah bin Talhah berkata, ``Kami bersahabat dengan satu jamaah Ahlu al-Suffah pada satu hari, maka kata kami, Wahai Rasulullah, ``Terbakar perut kami dengan buah tamar (hanya makan buah tamar sahaja), sedangkan perut kami tidak layak dengan bangkai . Kata-kata ini terdengar kepada Rasulullah, maka Baginda menaiki mimbar dan berkata; ``Ada kaum yang memperlekeh dan berkata, terbakar perut kami dengan tamar. Tidakkah kamu tahu, bahawa tamar inilah menjadi makanan penduduk Madinah,berawasilah dengan kata-kata. Demi yang diri Muhammad di tanganNya, bahawa ada kala sebulan atau dua bulan tidak berasap dapur rumah Muhammad memasak ruti dan tidak ada bagi mereka makanan kecuali tamar dan air !``
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. berdiri di tengah jamaah Ahlu al-Suffah, mereka duduk berdepan Rasulullah s.a.w. secara rapat-rapat untuk melindungi tubuh-tubuh mereka yang bertelanjang dan tiada pakaian. Bila Rasulullah membaca ayat-ayat Al-Qur`an, mereka menangis.
Inilah gambaran kalangan Ahli  al-Suffah yang merupakan sebahagian dari masyarakat umat Islam pada peringkat awal di Madinah, tetapi dari kalangan mereka inilah ditingkatkan kedudukan kepada golongan muhajirin yang menegakkan Islam. Antara mereka menjadi  pahlawan di dalam peperangan bagi mempertahankan Islam.  Antara mereka menjadi perawi-perawi Hadith, dijadikan duta ke luar Madinah, menjadi guru yang menyebarkan Islam dan tak kurang yang menjadi peniaga yang berjaya yang turut sama meningkatkan ekonomi ummah dan berbagai lagi.

Sekian.

October 12, 2016

`UMAR, `UTHMAN DAN `ALI: ELEMEN TASAWUF


BBB,  10 Muharram 1438H.  =    11  Oktober  2016  (Selasa):
Sebagaimana Sayyiduna Abu Bakar, demikian dengan `Umar, `Uthman dan `Ali   r. `anhum juga dikaitakan dengan elemen-elemen ketasawufan.
Tentang Sayyiduna `Umar al-Khattab,  Al-Sarraj memetik sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Adalah di kalangan umat ada jurucakap dan yang menerangkan, maka  bagi ini ummah ialah `Umar.``
Peristiwa terkenal yang berkait dengan sifat kashaf, `Umar, bahawa sedang beliau berkhutbah (di Madinah), beliau bertempik memberi arahan kepada pasukan tentera Islam yang sedang  berperang di Nahawan. Beliau mengarahkan pergerakan tentera berkenaan. Adalah dimaklumkan bahawa suara `umar didengar tentera dan arahan diikut dan tentera mencapai kemenangan.
`Umar juga terkenal dengan sifat zuhudnya berpakaian bertampal, walaupun dia sebagai seorang khalifah. Diriwayatkan daripada `Uthman al-Nahdi bahawasanya dia berkata, ``Aku melihat  `Umar yang  sedang berdiri  menyampaikan khutbah, aku melihat bajunya bertampal 12 tampalan.
Diriwayatkan dari `Umar r.a. berkata, ``Allah memeberi rahmat terhadap seseorang yang menunjukkan keaibanku.``
Menurut Al-Sarraj, `Umar al-Khattab pernah berkata, ``Tidaklah aku ditimpa bala melainkan aku dapati sekurang-kurang empat pengajaran. Membaiki pegangan agamnaku, menginsafkan tiada kebesaran bagi diriku, mengajar kepadaku  erti redha dan mengharapkan pahala dari peristiwa.
`Umar tidak senang terhadap mereka yang bermalas-malas di masjid. Dia menggesa mereka berusaha mencari rezeki,
Diriwayatkan daripada `Umar r.a. berkata, ``Aku dapati ibadah dalam empat perkara:
Pertama:  menunaikan segala yang difardhu Allah
Kedua: Menjauhi segala larangan Allah Ta`ala
Ketiga: Menyuruh melakukan kebajikan bagi mendapat pahala dari Allah.
Keempat:  Menegah dari perkara munkar untuk berlindung dari kemarahan Allah.
Adapun `Uthman bin `Affan adalah seorang yang berada, maka dia mendapat kebajikan dari hartanya. Lantaran itu dia mengutamakan mengeluarkan bantuan dari menyimpan, dia mengeluarkan peruntukan bagi peperangan. Dia membeli telaga mata air (dari Yahudi) untuk digunakan mereka yang memerlukan. Dengan tindakannya membeli mata air itu Rasulullah s.a.w. memuji `Uthman dengan sabdanya bermaksud, ```Uthman tiada bermasalah, tiada siapa melakukan seumpamanya.``
Usaha terkenal yang dilakukan oleh `Uthman ialah mengeluarkan beberapa mushaf Al-Qur`an yang diedarkan bagi penggunaan dan panduan di beberapa kawasan Islam. Beliau memiliki satu daripadanya. Dengan mushaf ini beliau menumpukan masa membacanya, sehingga ke akhir peristiwa, ketika  rumahnya dikepung oleh penderhaka-penderhaka, beliau terus  membaca Al-Qur`an sehingga kesan pembunuhan terhadapnya terpercik darahnya pada Al-Qur`an dan kesannya terlihat pada ayat, ``Fa sayakfikahumu Allah wa Huwa al-Sami` al-`Alim`` (Al-Baqarah: 137). Ayat bermaksud: (Janganlah engkau khuatir, wahai Muhammad), kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka. Dan Dialah jua Yang Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.
Adalah dicatat dari `Uthman berkata, ``Aku dapati kebaikan dalam empat perkara:
Pertama: Bermesra (cinta) kepada Allah Ta`ala dengan perkara-perkara nawafil (sunat).
Kedua: Sabar di atas hukum-hukum Allah Ta`ala
Ketiga: Redha dengan takdir Allah `Azza wa Jalla.
Keempat:  Bersungguh agar dalam perhatian Allah Ta`ala.
Adapun Sayyiduna `Ali k.w. khalifah al-Rashidin yang keempat  adalah seorang yang disifatkan mempunyai ilmu ladunni.
Berkata Al-Sarraj, aku mendengar Ahmad bin`Ali al-Wajihi berkata, aku mendengar Abu `Ali al-Ruzbari berkata, aku mendengar Junayd  r. h.a. berkata, ``Kalaulah tidak `Ali k.w. sebok dengan peperangan terhadap pihak-pihak yang menentangnya, nescaya  Baginda berpeluang mencurahkan keilmuan yang ada padanya dan nescaya banyaklah keilmuan yang kita dapat mendalami keilmuannya. Baginda ini adalah seorang yang diberi Allah kepadanya ilmu ladunni. Ilmu ladunni ialah  seperti ilmu yang dikurniakan kepada Nabi Khidhir a.s. sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud ``
``Dan Kami telah mengajarnya  dari sisi Kami ilmu ladunni.`` (Al-Kahfi: 65).
Keistimewaan Sayyiduna `Ali k.w. ialah dengan pemikirannya yang tinggi bersifat hikmah dan bahasanya yang indah, makna yang dalam, isyarat yang lataif,, lafaz yang mendalam  dan ibarat yang bersifat tauhid, ma`rifat dan iman Dengannya juga terdapat  elemen-elemen kesufian.
Sayyiduna `Ali k.w. ditanya, ``Dengan apakah engkau mengenal Tuhan engkau ?
Dia  menjawab, Dengan Dia mengenalkan daku diriNya. Yang tidak ditashbih dengan gambaran, tidak dicapai dengan panca indera, tidak boleh dikiaskan dengan manusia, hampir dengan kejauhanNya, Dia di atas segala sesuatu, dan tidak dikata sesuatu di bawahNya, dan tidak dikatakan di bawah tiap-tiap sesuatu dan tidak dikatakan sesuatu di atasnya, tidak di depan tiap-tiap sesuatu, dan tidak dikatakan sesuatu didepanNya,tidak  masuk pada sesuatu, tidak seperti sesuatu dan tidak daripada sesuatu dan tidak pada sesuatu . Mahasuci siapa dia seperti itu dan tidak seperti itu yang lainnya.``
Seorang lelaki bertanya `Ali tentang iman, dia berkata.Iman di atas empat tonggak, iaitu, sabar, yakin, adil dan jihad dan dia mensifatkan sabar di atas sepuluh maqam, begitulah juga yakin, adil dan jihad yang tiap-tiap satu daripadanya sepuluh maqam. Kata Al-Sarraj, jika demikian maka Sayyiduna `Ali k.w. orang yang mula-mula meletakkan pendekatan berhubung dengan ahwal dan maqamat.
Adalah diriwayatkan, bahawa `Ali apabila tiba waktu solat bergetar dan berubah warna wajahnya, Ditanya, Mengapa wahai Amir al-Mu`minin ? Maka katanya, ``Tiba waktunya amanah Allah ke atas langit dan bumi dan gunung ganang, maka enggan menerimanya dan  ditawarkan kepada insan, maka diterima oleh insan, Aku tidak mengetahui adakah aku melaksanakan tugas dengan baik atau tidak.``
Demikian  sebahagian dari elemen-elemen tasawuf yang berkait dengan keempat-empat khulafa` al-Rashidin.

Sekian.