January 17, 2017

AL-BIST*AMI SUFI KONTROVERSI ?


BBB, 17 Rabi`ul-Akhir 1438H. =  16 Januari 2017 (Isnin):
Al-Bist*ami nama penuhnya ialah T*aifur bin `Isa al-Bist*ami bin Sarushan (Bistami m.234H atau 261H.).  Datuknya iaitu Sarushan adalah majusi yang mnganut Islam. Ketiga-tiga anaknya, iaitu Adam, Ali dan Abu Yazid T*aifur al-Bist*ami adalah dari kalangan para zuhhad, terutama Abu Yazid Taifur. Melihat kepada latar dan keterangan mengenai Abu Yazid T*aifur al-Bist*ami yang dibuat oleh Al-Qushairy, maka Abu Yazid adalah sebagaimana sufi-sufi yang lain yang diperkatakan (tanpa kontroversi).
Tetapi merujuk kepada kajian-kajian yang lan antaranya membariskan Abu Yazid sebagai tokoh yang berpegang atau terpengaruh  dengan  wahdatul-wujud (Qasim Ghani, Tarikh al-Tasawwuf al-Islami, 1970: 79). Ada pula yang mengaitkannya dengan konsep al-hulul. Timbulnya tuduhan-tuduhan kemungkinan disebabkan  oleh beberapa perkara.
1)      Ramai daripada kalangan sufi mengungkapkan ungkapan di bawah situasi jiwa mereka memuncak dari pengalaman rohani. Ucapan adalah pengaruh dari situasi dalaman kerohanian tersebut. Ia merupakan ungkapan terlepas kawalan yang kadang-kadang perlu kepada takwilan.
2)      Pengaruh berkenaan ditebalkan pula dengan pengalaman estetika rohaniah berkenaan yang kadang-kadang tidak ada istilah bahasa yang sama dan setara dengan pengalaman dalaman yang dialami, sebab itu keluar ungkapan yang di luar kawalan dan kontroversi.
3)      Sememangnya  seorang sufi jika jelas dia menganut satu fahaman tertentu, seperti Ibn `Arabi dengan wahdatul wujud atau Hamzah Fansuri yang juga berfahan wahdatul wujud, maka terbayang pegangan aliran fahaman  dalam ungkapan-ungkapan mereka.
Namun bagi Abu Yazid al-Bist*ami tidak ada beliau membina faham falsafah kesufian yang nyata. Mungkin jika timbul, maka ia di bawah pengaruh  intuisi  kerohanian mendalam atau ditambah unsur estetika keinsanan dan keihsanan.
Apa yang nyata Abu Yazid al-Bist*ami adalah tokoh rohani yang bermujahadah secara mendalam. Beliau pernah ditanya, bagaimana beliau mencapai ma`rifat ?  Beliau menjawab:
``Iaitu dengan perut yang lapar dan badan yang bertelanjang (kurus).``
Bermaksud orang sufi adalah orang yang beramal. Antaranya dengan banyak berpuasa sunat dan melakukan ibadat-ibadat yang lain. Perut tidak wajar diisi  sekenyang-kenyang sehingga mengganggu ibadat, bahkan dengan terlampau banyak makan, menyebabkan mata mengantuk dan kemungkinan dilawati berbagai-bagai penyakit  seperti obesiti,  kencing manis, darah tinggi,  komplikasi jantung dan sebagainya.
Abu Yazid al-Bist*ami, juga mengungkapkan sebagaimana  yang diungkapkan oleh Da`wud al-T*a`i, iaitu satu tanggungjawab yang besar ke atas mereka yang berilmu adalah mengamalkan ilmu yang dketahui dan dipelajari.
Dari kenyataan dan ungkapan Abu Yazid al-Bist*ami, bahawa beliau adalah sufi yang kukuh dengan pegangan akidah tauhid.
Beliau diriwayatkan sebagai berkata, ``Bahawa ikhtilaf `ulama` adalah rahmat, kecuali soal tajrid dari segi tauhid`.
Ini bererti Al-Bistami adalah sepakat dengan  `ulama` tauhid dan al-kalam, bahawa soal ketunggalan Allah tidak ada kompromi dan tidak ada takwilan yang membenarkan pendapat selain dari keesaan Tuhan seperti firman Allah yang bermaksud:
``Katakah, bahawa Dia adalah Tuhan Yang Esa (Tunggal) (Al-Ikhlas: 1).
Jelas memperlihatkan pegangan akidah ketauhidan Al-Bist*ami yang begitu jelas.
Berhubung dengan pegangan shari`ah, bahawa beliau pernah mengatakan, Jangan tertipu, andainya anda melihat seseorang mendakwa karamat, umpamanya dikatakan dapat berjalan di atas air atau terbang di udara, tetapi sekiranya ianya tidak menunaikan kewajipan-kewajipan fardhu, misalnya tidak bersolat dan tidak berpuasa, tidak melakukan perkara ma`ruf dan tidak menahan daripada perkara munkar,  maka janganlah percaya kepadanya. Dia sebenarnya bukan karamat dan bukan pengikut Islam yang sejati. Keanihan-keanihan yang dilakukan mungkin bersifat sihir dan bercanggah dengan Islam.
Dari segi akhlak, diceritakan juga Abu Yazid keluar untuk meraikan seorang yang alim dan tokoh sufi terkenal, semasa perjalanan untuk menemuinya,  kelihatan tokoh berkenaan sampai untuk memasuki masjid, tiba-tiba Abu Yazid melihat tokoh berkenaan berkahak dan meludahkannya secara terbuka menepati ke arah Kiblat. Melihat peristiwa kecil, tapi menjijikkan itu, membuat Abu Yazid tidak jadi untuk menemui tokoh berkenaan, semata-mata sikapnya yang tidak menjaga kesopanan dan tidak menghormati arah Kiblat. Dia tidak jadi menemui tokoh berkenaan.
Berhubung dengan adab dan akhlak juga, Abu Yazid dikatakan bercadang untuk mendoa`kan kepada Allah agar mengurniainya kecukupan makan, pakai dan keperluan-keperluan lain, tapi tiba-tiba dia mengingati bahawa Rasulullah s.a.w.  tidak memohon sedemikian yang bersifat kepentingan diri. Maka dia tidak berdo`a sedemikian. Menurutnya dia masih mendapat kurniaan dari Allah.  Moral yang hendak ditekankan bahawa Abu Yazid amat menekankan dirinya dengan mengikut apa yang dilaku, disuruh dan dilarang Rasulullah s.a.w. serta tidak mementingkan diri semata-mata.
Kembali kepada apa yang dikatakan bahawa Abu Yazid adalah tokoh kontroversi dan beliau dikaitkan dengan aliran tertentu, namun melihat kepada pembawaan dan amalan beliau amat menekankan  kesahihan dari segi akidah tauhid dan tidak ada kecuali dari aspek ini, beliau adalah seorang yang mendukung shari`at dan amat menekankan dari segi adab dan akhlak, maka secara zahir dia adalah pendukung Sunni, kita tidak boleh menghukumkan perkara yang bersifat dalaman yang hanya Allah mengetahui dari segi hakikat.
Larangan membuat hukuman terhadap perkara tak nyata ini berlaku pada masa Rasulullah berhubung dengan sebab turunnya ayat (Al-Nisa`, 92 & 94), iaitu berhubung dengan peristiwa seorang sahabat membunuh seorang yang dianggap masih musuh Islam, maka tatkala dia hendak dibunuh dia mengucap shahadah, namun dia dibunuh. Perkara ini sampai kepada Rasulullah s.a.w. Sahabat berkenaan ditanya sebab pembunuhan berkenaan. Dia menjawab dia bershahadah bagi menyelamatkan nyawanya dan bukan betul-betul menerima Islam. Rasulullah s.a.w. bertanya, apakah sahabat berkenaan dapat membuktikan tuduhan dengan membelah dadanya, umpamanya ?. Pengajaran, bahawa jika bukti lahirnya Islam, maka kita tidak berhak mempertikaikan dalamannya. Persoalan dalaman adalah hak Allah.

Sekian. 

January 16, 2017

SEBAB-SEBAB KEINSAFAN: ASPIRASI DARI DA`WUD AL-T*A`I DAN SHAQIQ AL-BALAKHI


BBB,  16 Rabi`ul-Akhir 1438H. = 15 Januari 2017M. (Ahad):
Sebagaimana di dalam sebuah cerita termasuk anekdot, maka cerita tidak berlaku dan berkembang tanpa ada masalah. Konflik misalnya mengundang pendekatan bagi menyelesaikan. Semakin besar konflik, semakin besar cabaran dan perlunya kebijaksanaan dan cara sampai kepada penyelesaian menjadikan cerita atau masalah lebih menarik.
Alam kesufian yang dilalui oleh tokoh-tokohnya tidak kurang bermula dari mengalami konflik, membawa kepada cabaran, membawalah kepada keinsafan dan  melakukan tindakan dan amalan.
Tokoh-tokoh  sufi seperti Daud al-T*a`i dan Shaqiq al-Balakhi menghadapi situasi sedemikian.
Daud al-T*a`i. Nama lengkapnya ialah Abu Sulaiman, Dawud bin Nus*air al-T*a`i (m. 165H.) seorang yang berwibawa. Dia bertalaqqi ilmu dengan gurunya Abu Hanifah dan di dalam pengajiannya dia mengalami keperitan untuk mendapat ilmu pengetahuan, iaitu keperluan nafkah bagi membiyayai pengajian dan dia pernah ditanya tugasnya selepas  mendapat ilmu, maka jawapannya ialah tanggungjawab mengamalkan dan menyebarkan ilmu.
Di dalam kehidupannya Da`wud al-T+a`i  menghadapi dua konflik yang menuntut dia menyelesaikannya. Pertama kefakirannya di dalam menuntut ilmu pengetahuan. Adalah menjadi budaya pengajian pada zaman tradisi menghadapi  kesempitan perbelanjaan.  Sebagai contoh dalam  pengajian tradisi pondok pelajar  menghadapi kehidupan yang daif. Tiada siapa yang menaja pengajian kecuali dari sedekah masyarakat keliling, makan minum adalah terhad dan biasanya pelajar-pelajar memasak sendiri secara ala kadar dan tidak mencukupi dari segi keperluan kesihatan. Setengah pelajar terpaksa mengambil upah menuai pada pada musim menuai bagi mendapat sedikit beras sebagai sumber makanan dengan lauk ala kadar dan biasanya berlaukkan ikan kering. Cara hidup dan belajar mereka dapatlah dikatakan sebagai suasana kesufian.
Sebanding dengan kesempitan pelajar pada zaman tradisi, begitu sukar juga bagi Da`wud al-T*a`i menghadapai pelajaran pada zaman awal Islam dalam mana dia berguru dengan Al-Imam Abu Hanifah. Sebagaimana dikhabarkan oleh Abu `Abdul Rahman al-Sulami r.h.a. berkata, mengkhabarkan kami oleh Abu `Umar al-Mat*ar berkata, mengkhabarkan kami oleh Muhammad bin al-Musayyab, berkata, bercakap kepada kami Ibn Khabiq berkata, berkata Yusuf  bahawa mewarisi Da`wud al-T*a`i wang sebanyak 20 dinar (emas), maka dengan kewangan tersebut dia membelanjakan di dalam pengajian dan kehidupannya selama 20 tahun !
Dengan keberkatan pengajian dan perbelanjaannya, maka Da`wud al-T*a`i adalah ulama dan tokoh terbesar pada zamannya. Sebagai ilmuan dan sufi terbesar, beliau pernah ditanya, masalah keilmuan yang dihadapi. Jawapannya adalah amat menarik dan penuh bertanggungjawab yang juga merupakan sebagai ilmuan sejati. Beliau menjawab ialah `Masalah Mengamalkannya – termasuk menyebarkannya`.
Demikianlah masalah jahil, ialah tidak mau belajar. Manakala masalah bagi ilmuan, ialah mengamalkannya. Konsep mengamalkan ini adalah luas. Ini termasuk mengamalkan bagi dirinya apa yang diepelajari dan diketahui, lantaran jika tidak beramal tidak memberi erti kepada diri sebagaimana kata pepatah:
`Berilmu tidak beramal seperti pokok yang subur rendang, tetapi tidak mengeluarkan buah.
Konsep amal juga ialah mengajar kepada orang ramai yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas bagi mengembangkan ilmu dan menjadikan orang ramai tahu tentang ilmu dan kewajipan mereka. Antara maksud amal ialah meluaskan ilmu itu dengan kajian, penyelidikan dan penerbitan. Dengan itu ilmu berlanjutan dan dapat diwarisi-generasi mendatang.
Disebalik dari apa yang dihadapi oleh Da`wud al-T*a`i, ialah apa yang dihadapi oleh Abu `Ali Shaqiq bin Ibrahim al-Balakhi (m.139H.). Shaqiq al-Balakhi adalah seorang berada dan giat berniaga sehingga ke Turki (Rum). Dalam pemergiannya ke Rum dia amat terkesan dan keciwa, terhadap golongan yang memperhambakan diri terhadap berhala yang dibuat dengan tangan sendiri. Selain dari rasa keinsapan terhadap perhambaan manusia kepada berhala, dia juga amat terkesan  dan mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi, iaitu kasihan terhadap golongan yang miskin dan papa kedana dan hidup merempat. Kedudukannya sebagai orang berada dia menumpukan perhatian pada menyedarkan manusia terhadap mengesakan Tuhan dan menyembah tidak lain daripadaNya. Ianya tidak lain daripada berdakwah dan mendidik manusia dengan didikan keislaman, manakala  dari segi kemiskinan tidak lain dari membantu mereka dari segi kewangan dengan bersadaqah dan mewaqafkan sebagaian daripada harta kepada badan-badan yang menjalankan kegiatan membantu mereka dan memberi peluang bagi mereka mendapat pekerjaan.
Apa yang berlaku kepada Da`wud al-T*a`i dan Shaqiq al-Balakh adalah releven dengan suasana semasa di dalam kehidupan moden kini. Misalnya masalah kemiskinan dan menyediakan peluang belajar  bagi anak-anak terutama mereka yang dari kalangan miskin adalah menjadi tugas pemerintah. Tentulah pada zaman moden ini melalui institusi-institusi pengajian yang disediakan oleh kerajaan, bahkan di dalam pemerintahan peruntukan yang besar perlu diperuntukkan bagi mendidik masayarakat di dalam pelajaran dari peringkat rendah hinggalah kepada peringkat menengah dan kepada peringkat universiti, lantaran memberi pelajaran adalah faktor penting yang dapat mengangkat masyarakat dan menjadikan mereka kalangan yang berilmu. Sebagaimana peluang ekonomi dan pekerjaan wajar disediakan, maka dengan masyarakat yang berpelajaran adalah lebih mudah bagi menggerakkan kemajuan bagi masyarakat dan negara sendiri. Sebagaimana dikatakan oleh Da`wud al-T*a`i, bahawa tugas dan tanggungjawab yang penting dan berat bagi kalangan ilmuan ialah mengamalkan ilmu yang dipelajari. Jika kesedaran demikian ada di kalangan ilmuan, iaitu berusaha memperkembangkan keilmuan yang dimiliki, maka makin mudahlah maju masyarakat, apa lagi jika galakan dan infra-struktur disediakan kepada golongan berkenaan ditambah dengan inisiatif yang tinggi yang ada di kalangan mereka..
Kemajuan tentulah lebih tinggi, jika ada kalangan yang kaya, seperti kesedaran yang timbul dari Shaqiq al-Balakhi bersama ilmuan mengambil inisiatif bagi meningkatkan keilmuan masyarakat, mengangkat mereka dari jahil kepada kesedaran keilmuan yang tinggi. Adalah kesedaran berkenaan lebih  murni, bahawa walau bagaimana digerakkan masyarakat ke arah kemajuan, tetapi sudah pasti ada yang ketinggalan, disebabkan oleh halangan-halangan tertentu, mereka tetap terbelenggu dengan kemiskinan, maka dengan kekayaan yang ada dan keinsafan dan kemanusiaan yang tinggi masyarakat yang kurang bernasib baik ini tetap dibela dengan berbagai cara, sehingga mereka tidak tertinggal jauh ke belakang.

Sekian.

January 15, 2017

AL-MUHASIBI: PRIHATIN, ELAK DARI PERKARA SHUBHAH


BBB,  15 Rabi`ul-Akhir 1438H. =  14 Januari 2017 (Sabtu):
Hadith Rasulullah daripada Abi `Abdullah  al-Nu`man bin Bashir r. `anhuma berkata, Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang). Dan antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barang siapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya  ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barang siapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakan) makan di dalamnya.  Ketahuilah !  bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan.  Ketahuilah larangan Allah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah ! bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah !  Inilah yang dikatakan  hati.  (Riwayat oleh Bukhari dan Muslim).
Di dalam Hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Tiap-tiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak baginya``.
Tokoh yang kita bicarakan, iaitu Al-Muhasibi ialah seorang sufi yang amat prihatin terhadap sesuatu sama ada halal dan haram.
Al-Muhasibi, nama penuhnya ialah Abu `Abdullah  al-Harith bin Asad al-Muhasibi (m. 243H.), mendapat pendidikan di Basrah dan berpindah dan menetap di Baghdad dan meninggal di sini. Beliau dikatakan tiada tandingan pada zamannya dari segi kewarakan dan keilmuan. Beliau adalah pemula yang mengambil pendekatan bertasawuf adalah berasaskan akhlak. Beliau mempunyai sanad Hadith kepada Rasulullah s.a.w. yang matannya bermaksud:
``Seberat-berat apa yang ditimbangkan di dalam neraca timbangan ialah elok akhlak``
Semaksud  Hadith ini, berhubung dengan akhlak ayat Al-Qur`an antaranya bermaksud:
``Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia (Al-Qalam: 4).
Dan ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-Hadith berhubung dengan akhlak maka Al-Muhasibi membina pendekatan akhlaknya dan Konsep Hati. Beliau telah mengarang beberapa kitab tasawuf terkenalnya. Antaranya:
1)       Al-Ri`ayat li Huquq Allah
2)      A`mal- al-Qulub wa al-Jawarih.
Dengan kesedaran tinggi dari segi tasawuf, sebagaimana dikatakan Al-Muhasibi amat berwaspada tentang perkara yang halal, haram dan shubhah. Lantaran itu nama beliau dinisbahkan sebagai `Al-Muhasibi` bermaksud `Orang yang amat bermuhasabah.
Sebagai contoh, Al-Muhasibi adalah dari turunan orang yang berada, semasa ayahnya (Asad) meninggal dia meninggalkan  70,000 dirham. Satu jumlah yang banyak pada zamannya, tetapi Al-Muhasibi tidak mau mewarisi harta pesaka tinggalan ayahnya, lantaran ayahnya seorang yang berpegang kepada Qadariyyah, sedang beliau adalah pendukung Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Beliau bimbang dengan kelainan pegangan ayahnya, menjadikan akidahnya tidak betul dan dia tidak mau mewarisi harta shubhah. Ini menunjukkan sifat wara` Al-Muhasibi. Mengenai mewarisi dari pegangan berlaianan,  Hadith Nabi yang dibawa oleh Al-Qushairy bermaksud:
``Tidak mewarisi ahli yang berlainan pegangan akan sesuatu (daripada harta warisan)``.
Adalah dikatakan bahawa oleh kerana Al-Muhasibi terlalu sensitif terhadap perkara shubhah, bahawa apabila dia mahu mencapai sesuatu makanan, maka jika makanan itu dari perkara yang shubhah, maka jarinya tergerak-gerak dan berpeluh sebagai mengisyaratkan keengganan terhadap makanan berkenaan, maka dia enggan mengambil makanan tersebut.
Menurut `Uthman al-Baladi, Al-Muhasibi  berkata, ``Siapa yang batinnya benar dengan muraqabah dan ikhlas, maka Allah menghiasi lahirnya dengan mujahadah dan mengikuti Sunnah.``
Bercerita oleh Al-Junayd, bahawa pada satu hari,  aku melihat Al-Muhasibi di dalam keadaan lemah lantaran tidak makan, maka aku mempelawanya masuk ke dalam sebuah kedai dan menghidangkan kepadanya makanan, tatkala dia mahu menyuapkan makanan berkenaan, kelihatan dia ragu-ragu dan menolak makanan berkenaan. Dia menanyakan dari mana makanan berkenaan. Aku menyatakan ianya dari makanan yang disediakan oleh pekerja di situ. Kelihatan dia mengangguk  dan mendapati apa yang disangkanya betul. Dalam kata lain dia rela menahan memakan makanan, walaupun dalam kelaparan, kerana mengelak dari makanan yang shubhah. Sebaliknya menurut Al-Junayd, pada satu hari, dia dihidang dengan makanan kering dari seorang miskin, dia bersama kami begitu berselira memakan makanan tersebut, walaupun makanan itu tidak seenak mana. !
Demikianlah Al-Muhasibi berpegang teguh dengan dua prinsip, iaitu mengelak diri dari perkara shubhah dan mengikut  akhlak Nabi yang membawa nilai-nilai akhlak yang agung.
Sesungguhnya Al-Muhasibi menjadikan dua prinsip ini pegangan utamanya. Dia mempraktiknya dalam kehidupannya di atas dua asas dari Al-Qur`an dan al-Sunnah yang menjadi suruhan Allah dan diamal Nabi.
Al-Muhasibi adalah berkata:
``Apabila engkau tidak mendengar seruan Allah, bagaimana Allah hendak menjawab (memustajab) permohonan engkau. Siapa yang tidak berhajat kepada Allah, Allah tidak berhajat kepadanya.`` (Al-Ri`ayah).
Sesungguhnya Al-Muhasibi berusaha mematuhi diri dengan perintah Allah dan mengikut Sunnah Rasulullah, khususnya dari segi akhlak dan pembersihan hati.

Sekian.

January 14, 2017

CATATAN DAN RIWAYAT MEMPERKENALKAN TOKOH: AL-SAQAT*I DAN AL-HAFI


BBB,  14 Rabi`ul-Akhir 1438H. =  13 Januari 201`7M. (Juma`at):
Catatan  dan riwayat berkenaan tokoh tidak setakat menampilkan pendapat-pendapat menarik  tentang sufi, tetapi melalui konsep riwayat menurut gaya Hadith dan cerita ringkas secara langsung atau tidak langsung memberi ruang kepada merakamkan sejarah dan latar belakang tokoh yang jika tidak,  tidak dapat diketahui tentang tokoh, lantaran antara mereka , bahkan kebanyakan kaum sufi, walaupun terkenal tidak menghasilkan sebarang karya. Misalnya tentang Sari Al-Saaqati dan Bishr al-Hafi tidak menghasilkan sebarang kitab, mereka  berdua tokoh sufi terkenal dan mempunyai murid-murid dan pengkiut-pengikut. Tanpa catatan dan riwayat mengenai mereka tidak diketahui tentang mereka. Biasa tokoh sufi tidak memperkatakan tentang diri mereka, sebaliknya , terutama anak-anak muridlah yang memperkatakan tentang mereka. Melalui catatan dan anekdot ini juga dapat diketahui tentang pendapat, aliran dan pemikiran mereka.
Demikianlah dengan dua tokoh selanjutnya, iaitu pertama,iaitu:
Sari  al-Saqati yang nama penuhnya ialah Abu al-Hasan, Sari Ibn al-Mughallas al-Saqati (m. 253H.). Beliau tokoh sufi terkenal dan merupakan bapa saudsara sebelah ibu bagi tokoh sufi terkenal, iaitu Al-Junayd. Beliau sendiri merupakan guru kepada Al-Junayd dan mempunyai murid-murid terkenal antaranya ialah Ma`ruf al-Karkhi sebagaimana telah dibicarakan. Beliau terkenal sebagai seorang  yang wara`, pendukung Al-Sunnah dan mempertahankan tauhid.  Sari berumur lanjut dan menurut Al-Junayd muridnya  dikatakan selama  98 tahun umurnya,  gurunya ini  tidak tidur meyenggeng, kerana  prihatin terhadap ibadat.
Adalah diriwayatkan dari Sari al-Saqati bahawa dia berkata, ``Tasawuf adalah makna bagi tiga maksud:
1)      Tidak memadam  akan cahaya ma`rifatnya oleh cahaya wara`nya.
2)      Dia tidak bercakap tentang kebatinan ilmu yang boleh bercanggah dengan Al-Kitab (Al-Qur`an) dan Al-Sunnah
3)      Tidak bercakap tentang karamat yang bercanggah dengan larangan-larangan Allah.
Menunjukkan bahawa Al-Saqati seorang yang wara`. Dia berpendapat setinggi mana ilmu dan ma`rifat seharusnya tidak menjadikannya sombong dan angkuh, sebaliknya ia seharusnya lebih wara` . Ibarat kata pepatah, `Ibarat padi semakin berisi semakin runduk ke bumi. Begitu juga  Sari al-Saqati berpendapat, walau apa kedalaman kebatinan dicapai seseorang tidak seharus  berlaku perkara yang bercanggah dengan shara`. Dia mempertahankan Al-Qur`an dan al-Sunnah yang menjadi sumber Islam dalam apa bidang jua. Begitu juga, jika berlaku karamat di kalangfan sufi, maka seharusnya tidak berlaku perkara-perkara yang bertentang   dengan larangan Allah.
Menurut Al-Junayd, bahawa Al-Saqati ditanya tentang `Cinta`, maka dijawabnya, iaitu `muwafaqat, antara yang mencinta dan yang dicintai, lantaran jika berbalah dan benci, maka bukan bererti cinta, tetapi adalah `bersalahan dan benci.``
Al-Junayd juga berkata, ``Aku mendengar Sari al-Saqati berkata, tiga jalan pintas yang menyegerakan seseorang masuk syurga, iaitu:
Pertama:  jangan banyak meminta-minta dari seseorang akan sesuatu, hingga merosakkan berhubungan akibat dari perkara-perkara yang tidak menyenangkan.
Kedua: Jangan mengambil sesuatu dari seseorang, apa lagi jika tidak diketahui tuannya, yang boleh disifatkan  mencuri. Atau mungkin  yang diambil, diketahui tuannya, tapi apakah dia barang yang halal atau yang haram. Jika perkara yang haram,  maka akibatnya ditanggung sama oleh yang mengambil.
Ketiga: Hendaklah banyak memberi dari apa yang dimiliki, iaitu seseorang itu, terutama yang berada hendaklah bersifat pemurah, suka menolong orang yang susah. Dia suka membelanjakan harta dan pendapatannya kepada perkara kebajikan seperti menolong anak yatim dan orang yang susah dan  melaburkan hartanya ke dalam berbagai-bagai amal kebajikan sebagai saham di akhirat..
Sufi yang lain ialah Bishr al-Hafi:
Bishr berasal dari Marwi dan tinggal di Baghdad dan meninggal di situ (m. 227H.).
Catatan ringkas tentangnya, dikatakan dia mendapat keinsafan, lantaran melihat ayat Al-Qur`an tidak dihormati, terbiar terjatuh dibumi dan dipijak oleh orang-orang yang lalu lalang. Dia mengambil kepingan yang mengandungi ayat Al-Qur`an dan membersihkannya dan meletakkan pada tempat sesuai dan terhormat. Dengan kesedaran dan tindakan baiknya dia menerima hidayat dari Allah dan trergerak kepada mendalami Islam, khususnya dalam bidang kerohanian.
Berhubung dengan Bishr al-Hafi ini, ada disebutkan bahawa dia bermimpi menemui Nabi Khidir. Bermimpi menemui Rasulullah s.a.w. yang  membenar dan menmgukuhkan kedudukan  Al-Imam al-Shafie dan Muhammad bin Hanbal sebagai imam ikutan ummah.
Dari cerita dan maklumat yang berhubung dengan Bishr al-Hafi, bahawa adalah pendukung aliran Sunni selari dengan sufi-sufi terkenal pada zamannya seperti Al-Junayd,  Abu `Ali al-Daqqaq, Ma`ruf al-Karkhi dan mereka yang sezaman dengan mereka.
Apa yang dapat dikesan daripada tokoh-tokoh yang dibicarakan bahawa antara akhir abad ke 2H.  hingga  ke pertengahan  abad ke 3H. begitu ramai lahir tokoh-tokoh sufi terkenal. Ini mengukuhkan bahawa tasawuf tumbuh dari pertengahan abad ke 2H dan berkembang secara ketara dengan kelahiran tokoh-tokoh terkenal ialah pada awal abad ke 3 H. yang membawa kepada perkembangan seterusnya.

Sekian.

January 13, 2017

DARI DHU AL-NUN AL-MISRI, AL-FUDHAIL BIN `IYADH DAN MA`RUF AL-KARKHI PENGAJARAN DIDAPATI


BBB, 13  Rabi`uyl Akhir 1438H. = 12 Januari,  2017 (Khamis):
Penceritaan di dalam cerita ringkas (anekdot) tidak semestinya ada cerita lain berhubung dengan watak seperti cerita `berburu` berkait dengan watak Ibrahim bin Adham, tetapi  cerita juga boleh berlegar  pada watak langsung dengan orang lain menceritakannya sebagai objek cerita. Sebagai contoh cerita kedua dalam penyusunan dalam kitab yang Penulis gunakan, iaitu Dzu al-Nun al-Misri yang nama penuhnya ialah Thauban bin Ibrahim atau Al-Faydh bin Ibrahim (m. 245H.). ( Tidak disertakan rawi dan sanad bagi memendekkan tulisan).  Significantnya ialah kepakarannya sebagai seorang wa`iz* dan pernah dijemput dari Mesir ke istana Al-Mutawakkil  di Baghdad mewa`az*kan khalifah berkenaan. Nasihatnya memberi kesan mendalam sehingga apabi;la Al-Mutawakkil melihat kalangan orang wara` membuatnya menangis. Antara nasihat yang diriwayatkan daripadanya bahawa percakapan seharusnya berlegar tentang empat perkara, iaitu mencintai Ilahi, membenci yang tidak bermanfaat, menurut apa yang diwahyukan dan takut melakukan kesalahan. Daripada nasihatnya, alamat cinta terhadap Allah ialah menurut  Habibillah Muhammad s.a.w. pada akhlaknya, perbuatannya, suruhan dan sunnahnya. Bila ditanya tentang sunnah, maka katanya, ``Barangsiapa tidak mengenali jalan kepadaNya tidaklah ia mengenali Sunnah. Dan disoal Dzu al-Nun al-Misri tentang taubah,maka katanya, taubat awam ialah dari dosa dilakukan dan taubat al-khawass ialah daripada kelalaian. Di dalam cerita di atas watak Dzu al-Nun al-Misri adalah menjadi watak yang menjadi fokus penceritaan yang  mengelilinginya adalah anak-anak cerita yang menarik dan kerohanian sifatnya dan dapat dihayati dari segi estetikanya.
Cerita  seterusnya ialah mengenai sufi  Al-Fudhail bin `Iyadh. Dia berasal dari Marwi di Khurasan, dikatakan dia  dilahirkan di Samarqand dan terdidik di Ahward dan meninggal di Makkah pada bulan Muharram (187H.). Menurut riwayat bahawa Al-Fudhail pada satu masa sesat dan kehilangan arah antara Abi Ward dan Sharkhas. Dikatakan sebelumnya dia pernah jatuh hati dengan seorang wanita. Dia berhasrat untuk menemuinya dan dalam usaha menemuinya ia memanjat sebuah dinding dan dia terhempap  jatuh. Dalam kesakitan dia mendengar tempelakan dan  ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Apakah belum datang waktunya bagi orang-orang beriman khusyuk hati mereka itu dengan berzikir kepada Allah ? (Al-Hadid: 16)
Al-Fudhail merasa tersindir dan tergerak hatinya menjawab, bahawa kini juga Ya Allah aku insaf !
Dalam kegelapan malam itu dia cuba mencari jalan keselamatan. Dia terbawa kepada satu kumpulan orang ramai yang dalam persediaan untuk bergerak. Di antara mereka mencadangkan untuk bergerak segera, manakala yang lain mencadangkan untuk menunggu hingga terpancarnya cahaya pagi. Kata yang mencadang menunggu berkata, ``Kalau kita tidak tunggu, Fudhail yang bakal tiba tidak mengetahui jalan dan terputus dengan kita.
`Menfdengar cadangan itu Fudhail terkejut, kerana dia tidak menjangka antara mereka itu yang mengetahui tentang dirinya. Bersama kumpulan itu Fudhail  bergerak. Dari kumpulan itu banyak dapat dia pelajari keilmuan dan panduan kerohanian.  Cetusan kesedaran dan bimbingan yang diterima menggerak dirinya bukan saja keinsafan, tetapi mendalami keilmuan dan hidup dalam kesufian.
Antara kata-kata Fudhail yang dikutip:
``Apabila Allah mengasihi seseorang banyak mendapat ujian baginya bagi membuka jalan keinsafan, sebaliknya apabila seseorang dimurkai Alla, dunia melebarkan jalan kesesatan baginya,.
Antara tokoh sufi yang lain ialah  Ma`ruf al-Karkhi:
Nama  penuhnya ialah Abu Mahfuz*  Ma`ruf bin Firuz al-Karkhi. Dia dikatakan seorang Shaykh yang dimustajab Allah do`anya. Dia adalah orang suruhan `Ali bin Musa al-Ridha r.a. Ma`ruf meninggal (200H. atau 201H.). Dia adalah guru bagi Sari al-Saqati. Adalah dikatakan oleh Abu `Ali al-Daqqaq bahawa ibu bapa bagi Ma`ruf adalah penganut agama Nasrani. Pada masa kecil ia dididik dengan akidah Nasrani. Ibu bapa mengatakan kepadanya akidah Nasrani, bahawa Allah adalah satu daripada tiga(Thalitu thalathah), tetap Ma`ruf yang pada masa itu masih kecil menjawab, ``Allah Esa``. Jawapamini menyebabkan ibu bapanya marah. Dia dipukul.  Ibu bapanya berterusan menekankan doktrin Nasrani itu, menyebabkan Ma`rif bertindak melarikan diri dari rumah. Ini menyebabkan kegusaran bagi kedua ibu bapanya dan berdo`a semoga ia kembali kepada pangkuan keluarga. Sedang Ma`ruf selepas keluar daripada rumahnya pergi menemui `Ali bin Musa al-Ridha. Dia masuk Islam melalui `Ali dan belajar dengannya mengenai Islam dan berdo`a agar dapat mengislamkan kedua ibu bapanya. Dengan hasrat yang baik ini dia memberitahu gurunya. Gurunya -`Ali  bin Musa al-Ridha bersetuju dan sama mendoakan kejayaan baginya. Dia pun pulang ke rumahnya pada satu pagi sambil berdoa` dia  mengetuk pintu rumah ibu bapanya. Bila mendengar ketukan pintu dua ibu bapa yang sentiasa mendo`akan kepulangan anaknya, segera meluru , dengan jangkaan anaknya pulang dan bertanya sebelum membuka pintu,
``Siapa yang mengetuk pintu di luar ?
Dijawab, ``Yang sentiasa mendoakan kesejahteraan – adalah anakmu !
Dua ibu bapa itu bertanya, ``Atas apa agama  engkau pulang ?
Dijawab oleh Ma`ruf, ``Di atas agama Keselamatan – Hanifan``
Maka pintu dibuka, maka dilihat  oleh kedua ibu bapa, wajah Ma`ruf bercahaya-cahaya. Mereka berpeluk-pelukan.`   `
Berikut itu Ma`ruf menceritakan tentang pengajiannya dengan gurunya Ali bin Musa al-Ridha.
Ketukan pintu yang dilakukan oleh Ma`ruf, sebenarnya adalah merupakan ketukan terhadap dada, hati  dan minda kedua ibu bapa mereka. Dengan Do`anya terhadap Allah dimakbulkan dan kedua ibu bapanya menganut agama Islam.
Antara kata-kata Ma`ruf, ``Jangan engkau mengabaikan amal, kerana yang demikian membawa kepada keredhaan tuan engkau. Maka ditanya siapakah tuan dan  apakah amal itu >
Katanya , ``Berterusan taat kepada Tuhan engkau, khidmat kepada orang muslimin dan nasihat kepada mereka.``
Jelaslah dari  episod-episod penceritaan bersifat anekdot di atas banyak pengajaran, nasihat, hikmat dan kerohanian dapat dimanfaatkan.

Sekian.

January 12, 2017

ANEKDOT KESUFIAN: IBRAHIM BIN ADHAM


BBB, 12 Rabi`ul-Akhir 1438H. = 11 Januari 2017 (Rabu):
Telah dibicarakan, bahawa salah satu bidang yang tumbuh di dalam tasawuf, ialah konsep cerita atau kisah. Maka adalah ceritanya  padat dan ringkas. Bentuk berkenaan dikenali dengan `anekdot`.
Sebagai contoh buku kecil `Kisah-Kisah Sufi` yang dihimpunkan oleh Idries Shah dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Thinker`s Library (1995).
Antara ciri anekdot kesufian adalah:
1)      Cerita membawa tema dan watak kesufian.
2)      Cerita padat dan ringkas dan kaya dengan pengajaran
3)      Ada episod yang menarik sebagai puncak bagi pencertaan.
4)      Terkadang ada elemen yang bersifat penyimpangan dalam penceritaan.
5)      5ebagai sebuah cerita ada elemen-elemen cerita seperti watak, tema, jalan cerita, teknik, kreativiti, estetika  dan perutusan.
Sebagaimana telah disebutkan Al-Qushairy  di dalam Risah al-Qushairiyyahnya  di samping membawa  bentuk-bentuk puisi, turut sama membawa  bentuk  anekdot berhubung dengan tokoh-tokoh sufi yang disenaraikan seramai 83 orang.
Satu daripada anekdot terawal dari senarai berkenaan ialah anekdot berhubung dengan Ibrahim bin Adham. Nama penuhnya ialah Abu Ishaq Ibrahim bin Adham bin Mansur. Dia adalah salah seorang putera diraja di negeri  Al-Balakh.  Sebagai putera diraja hidupnya mewah dan suka berpoya-poya. Antara hobi putera raja berkenaan ialah berburu. Pada satu hari dalam perburuan beliau memanah seekor kijang. Ketika putera raja mengejar kijang luka yang dipanahnya, tiba-tiba dia terdengar suatu suara ghaib yang menempelaknya. ``Wahai Ibrahim !  Apakah ini kerjamu menyiksa haiwan tidak berdosa, semata-mata untuk memuaskan naluri nafsu ammarahmu ?  Engkau tidak dijadikan untuk kerja sedemikian dan bukanlah engkau disuruh melakukan sedemikian !
Ibrahim tersentak dan tergamam dari suara berkenaan lantas berhenti dari mengejar kijang luka berkenaan. Pada masa itu hatinya yang keras bertukar menjadi lembut, bahkan menyesal di atas kezaliman yang dilakukan terhadap haiwan berkenaan. Beliau menjadi insaf dan menyesal terhadap perlakuan-perlakuan zalimnya  selama ini. Lantas dia turun dari kuda buruannya dan menuju ke kebun bapanya (raja) dan menemui pengembala di kebun tersebut. Dia  mengambil baju bulu pegembala dan menyerahkan kuda dan peralatan kepada tukang kebun raja (bapanya).
Dari Balakh Ibrahim berkelana sebagai sufi merentasi padang pasir menuju ke Makkah. Di Makkah beliau bersahabat dengan beberapa sufi terkenal sepert Sufyan al-Thauri dan al-Fudhail bin `Iyadh. Selepas perkelanaannya Ibrahim hidup sebagai manusia biasa, bahkan di dalam kefaqiran dengan bertani di kebun-kebun dan menternak binatang-binatang ternakan. Dia merasa amat bahagia dengan kehidupannya.  Dikatakan dia pernah menemui Nabi Khidhir dan menerima berbagai-bagai hikmat darinya . Dengan itu hatinya tenang mesra beribadat  dan lazat jiwa dalam mendekan diri dengan  Tuhan. Dalam perkelanaannya beliau bergerak bermusafir dan akhirnya tiba di Sham meneruskan kehidupan kerohanian dan meninggal di sana dalam keadaan tenang.
Anekdot di atas adalah melengkapi elemen-elemen penceritaan yang membawa tema kesufian dan wataknya dari seorang anak raja bertukar kepada watak sufi. Sememangnya ceritanya padat, ringkas dan menarik dan kaya dengan nilai-nilai estetika dan kemanusiaan. Episod menarik ialah kitika Ibrahim berburu dan mendengar suara menempelak di atas perbuatan zalimnya semata-mata untuk memenuhi nafsu dan kemahuan untuk membunuh haiwan yang tidak berdosa.  Manakala penyimpangan dari kebiasaan di dalam cerita, ialah keputusan Ibrahium putera raja meninggalkan takhta bakal diwarisi menjadi manusia biasa yang taat kepada Allah dan hidup beribadat yang menenangkan jiwa dan rohaninya dalam mendekati Ilahi. Sebagai sebuah cerita ringkas –anekdot, banyak lagi elemen yang dapat dikupas dari segi kesusasteraan dan kerohanian seperti elemen kreativiti didalam penceritaan. Misalnya menggambarkan tentang episod pemburuan dan kehidupan beliau di dalam alam kesufian. Cerita  tidak saja kaya dengan pengajaran kesufian, tetapi mempunyai nilai estetika yang mengangkatnya sebagai sebuah anekdot atau cerita yang menarik.
Di dalam menceritakan watak – Maksud Ibrahim bin Adham, cerita tidak berakhir dengan pengakhiran cerita. Al-Qushairy menambahkan satu elemen di dalam menceritakan tentang watak apa yang berhubungan dengannya, iaitu dengan menggunakan elemen  riwayat dan sanad  seperti gaya Hadith dari segi riwayat bagi mengukuhkan cerita tentang watak dan menambahkan maklumat dari apa yang diriwayatkan melalui sanad.  Kaedah menggunakan riwayat adalah kaedah kepengarangan pada peringkat awal tradisi persuratan Islam.
Tentang kaedah riwayat Ibrahim bin Adham ini, bahawa  mengkhabarkan kami oleh al-Shaykh `Abdul Rahman al-Sulami r.h.a berkata, mengkhabarkan kami Muhammad bin  al-Husayn bin al-Khashshab berkata, bercakap kepada kami oleh Abu al-Husain `Ali bin Muhammad al-Misri berkata, bercakap kepada kami oleh Abu Sa`id al-Kharraz berkata, bercakap kepada kami Ibrahim bin Bashshar berkata, ``Aku bersahabat dengan Ibrahim bin Adham, maka kataku kepadanya, ``Khabarkan daku tentang dirimu dari permulaan. Maka dinyatakan bahawa Ibrahim bin Adham sangat menekankan soal wara` dan diriwayatkan daripadanya bahawa dia berkata. ``Jagalah makanan-minummu dari segi halal dan haram, kalau tidak, tidak bererti bagimu beribadat pada malam hari dan berpuasa pada siang hari.`` Antara do`anya, ``Wahai Tuhanku ubahlah diriku dari kehinaan melakukan maksiat  kepada kemuliaan  melakukan taat.``
Dibuat aduan kepada Ibrahim  tentang mahalnya barang-barang, maka jawabnya, ``Permurahkan dia,`` sebagaimana diungkap secara puisi sebagaimana berikut:
Apabila kuberdepan kenaikan harga barang kutinggalkan
Maka dengan sendirinya  barang menjadi murah tidak dibelikan.
Berkata Muhammad bin al-Husain r. h.a., aku mendengar Mansur bin `Abdullah berkata, aku mendengar Muhammad bn Hamid berkata, aku mendengar Ahmad bin Khudhrawayh berkata, berkata Ibrahim bin Adham kepada  seorang lelaki yang sedang bertawaf, `` Katahuilah engkau tidak mencapai darajat orang salihin  sehingga engkau mengatasi enam halangan:
Pertama: Tertutup pintu ni`mat dan terbuka pintu ujian
Kedua:: Tertutup pintu kemuliaan terbuka pintu kehinaan
Ketiga: Tertutup pintu rihat terbuka pintu jihad
Keempat: Tertutup pintu tidur terbuka pintu berjaga
Kelima: Tertutup pintu kaya terbuka pintu papa
Keenam: Tertutup pintu panjang angan-angan dan terbuka pintu kuburan !
Sesungguhnya tidak mudah untuk dikatakan sebagai seorang yang salih sehingga dia dapat mengatasi ujian-ujian, yang sebahagiannya  sebagaimana disebutkan oleh Ibrahim bin Adham di atas.
Anekdot  berdasarkan watak Ibrahim bin Adham di atas lengkap sebagai sebuah cerita ringkas, cukup dari  segi sebuah karya sastera dan jelas bahawa medium sastera, khususnya anekdot menjadi mekanisme yang dapat menyampaikan pengajaran kesufian.

Sekian.

January 11, 2017

ANEKDOT BERDASARKAN TOKOH-TOKOH SUFI


BBB, 11 Rabi`ul-Akhir 1438H. =  10 Januari2017M. (Selasa):
Ada sedikit perbezaan antara versi  kitab yang penulis gunakan (Bulaq, 219 hlm.) dengan terjemahan yang dilakukan di dalam bahasa Indonesia yang tidak jelas teks mana yang digunakan. Perbezaan seperti berikut:
1)      Bab pada menyebut shaykh-shaykh tarikat menunjukkan perjalanan dan kata-kata mereka  adalah membesarkan shari`at.  Bab yang menjadi  bab pertama, selepasa Fasal pada menyatakan  i`tiqad kaum sufi tentang masalah-masalah usuluddin tidak ada di dalam versi terjemahan Indonesia, sebaliknya fasal pertama bagi versi Penulis gunakan menjadi bab pertama bagi versi Indonesia. Manakala bab pertama versi Penulis gunakan  menjadi bab terakhir (Bab 5) bagi versi terjemahan Indonesia. Namun tokoh-tokoh sufi  di dalam bab pertama Penulis gunakan disenaraikan sebagai bab 5 bagi versi Indonesia (83 orang) dengan diberi keterangan latarbelakang dan cerita berkenaan setiap orang daripada mereka. Manakala tokoh-tokoh yang diceritakan tentang mereka ini disenaraikan pada bahagian akhir kitab dengan jumlah yang sama (83 orang), tetapi tidak sama dari segi penyusunan.
2)      Versi `Arab yang Penulis gunakan yang menyatakan bahawa dari perjalanan mereka dan perkataan mereka  menunjukkan kaum sufi membesarkan shari`at sebagaimana berlaku pada kalangan sahabat, bahkan tabi`in dan atba`  al-Tabi`in sebagaimana kita huraikan sebelum ini sebenarnya,  selain dari sahabat-sahabat tidak ditunjukkan secara jelas bagaimana mereka membesarkan  shari`at yang disebutkan. Sebaliknya ianya difaham secara luas, bahawa mereka melakukan perkara yang baik dan tidak melanggarkan  soal-soal agama dan shari`at, maka mereka disifatkan sebagai membesarkan shari`at. Mungkin atas faktor ini tiada bab `Membesarkan Shari`at` bagi versi Indonesia dan dijadikan bab satu pada versi yang Penulis gunaklan menjadi bab 5 tokoh-tokoh sufi sebagai bab terakhir.
Significant bab pertama:
Bahawa telah disebutkan  pengalaman jiwa dan rohani yang halus mendalam adalah merupakan puncak dari pengalaman hati yang menimbulkan rasa mesra, kasih, sayang, rasa kemanusiaan, kealaman membawalah kepada cinta Ketuhanan. Bahawa ianya  mempunyai hubungan antara keindahan alamiah, insaniah dan membawa kepada Ketuhanan. Dari satu segi dapat dikatakan ianya mempunyai pertalian dari seni hati nurani, meningkat kepada seni rohani dan memuncak kepada cinta Ilahi. Dalam erti kata lain kehalusan jiwa dari segi ibadat, ta`abbudiyyah boleh meningkat kepada seni rohani yang puncaknya membawa kepada cinta Ilahi.
Bidang tasawuf dari satu segi dapat dikatakan juga bidang yang memaparkan jalan-jalan  seni dari seni alamaiah, kepada seni insaniah, meniungkat kepada  seni kalbiah, meningkat kepada seni rohaniah yang meyentuh cinta Ilahi.
Al-Imam Abu al-Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qushairy adalah tokoh sufi yang meniti landasan  ibadat dan seni. Ibadat adalah dari segi kepatuhan terhadap suruhan-suruhan Ilahi yang dia bersungguh-sungguh  memperlihatkan bahawa kaum sufi adalah kaum yang berpegang teguh pada akidah sunni dan mereka patuh dan menjalani ibadat dan hukum shara` yang ditentukan oleh Ilahi. Namun dalam perjalanan diri,  jiwa dan rohani Al-Qushairy  patuh kepada ta`abbudiyyah beribadat  dan terpaut kepada kehalusan seni rohani hasil dari kelazatan  ibadat,  kemanisan dan kehalusan seni rohani yang dialami sehingga semua ini tercurah kedalam kata-kata yang diluahkan, sebagaimana kata Ibn `At*aillah al-Sakandari:
Tiap-tiap kalam yang lahir
Dari pakaian hati terukir
Orientasi keilmuan, kealaman, kemanusiaan dan hati-rohani  yang dilalui oleh Al-Qushairy membentuknya  menjadi  seorang yang mahir di dalam bidang bahasa, maka sebab itu kita dapat merasai kehalusan bahasa Al-Qushairy, bukan itu sahaja, penguasaan bahasa dan intuisi rasanya menjadikan Al-Qushairy seorang  yang berbakat besar di dalam bidang puisi, lantaran itu sebagaimana tokoh-tokoh sufi lain yang mengarang bidang tasawuf biasa menyelitkan puisi-puisi yang bertemakan tasawuf di dalam karangan-karangan tasawuf, demikianlah dengan Al-Qushairy. Beliau  tidak saja memetik puisi-puisi orang lain, tetapi berkemampuan menmggubah puisi-puisi indahnya sendiri  menjadi hiasan dan pengkuhan bagi persoalan-persoalan tasawuf yang dibicarakan.
Al-Qushairi  yang mahir di dalam bidang puisi yang merupakan pancaran seni rohaninya,  Al-Qushairy juga dengan sengaja menggunakan bentuk cerita ringkas yang dikenali dengan anekdot di dalam kitabnya. Walaupun sebelum darinya sudah ada yang membicarakan tentang tokoh-tokoh sufi seperti oleh Al-Sarraj dan lain-lain,  adalah sebagai maklumat keilmuan, tetapi Al-Qushairy adalah dengan kesengajaan menjadikan tokoh-tokoh sufi sebagai watak dalam cerita-cerita ringkas bagi berbagai tema yang dikemukakan. Anekdot yang dikemukakan bukan setakat beberapa orang sufi, tetapi adalah dengan jumlah yang banyak, iaitu 83 orang yang sebenarnya sudah cukup jikalau mau diterbitkan secara berasingan sebagai satu kumpulan anekdot.
Sebenarnya bidang tasawuf sendiri telah memupuk dan berperanan menghasilkan sastera-sastera yang berbentuk puisi, cerita, anekdot dan ungkapan-ungkapan berhikmah yang jika diibaratkan alam ketasawufan sebagai taman bunga, maka ungkapan-ungkapan indah, dari puisi, anekdot dan ungkapan-ungkapan hikmah adalah merupakan bunga-bunga dan buah-buah yang bukan setakat hiasan, tetapi dapat dinikmatai seseiapa yang tertarik dan berminat menikmatinya.
Seramai 83 tokoh yang disifatkan oleh Al-Qushairy ini sebagai kaum sufi yang membesarkan shari`ah ini juga adalah menjadi tokoh teladan yang dijadikan tamsil ibarat kesufian, lantaran penyampaian keilmuan dan pendidikan tidak saja dapat disampaikan pengajaran secara langsung, tetapi juga dapat disampaiakan melalui medium seni yang kita sifatkan sebagai seni rohani dan inilah yang digunakan oleh Al-Qushairy di dalam menyampaikan dakwah dan pendidikan rohani, iaitu dengan menggunakan kaedah bahasa pengajaran biasa, bentuk-bentuk puisi dan menggunakan kaedah anekdot, iaitu cerita ringkat yang padat dengan pengajaran dengan bahasa yang padat mengesankan, ianya merupakan pengajaran secara seni, hikmah, bersiufat hiburan hati-rohani bertaraf tinggi – berdasarkan cerita tentang 83 orang sufi.

Sekian.