October 13, 2020

 

CIRI  NEGARA  BERILMU

(Fikrah Bangi:  774),

BBB:  25 Safar 1442H. = 13 Oktober 2020M. (Selasa).

Negara berilmu adalah negara maju. Berbahagialah negara jika warga negaranya adalah pencinta ilmu. Ciri negara berilmu adalah:

Pemimpin di dalam negara adalah mereka yang cintakan ilmu. Mereka berusaha menyemarakkan keilmuan di dalam negara. Jika bercakap selalu bersifat ilmu dan gemar memetik pendapat-pendapat ilmuan di dalam percakapan dan ucapan.

Lantaran pemimpin orang berilmu dan cintakan ilmu, maka banyak usaha dilakukan bagi memperkembangkan ilmu. Lantaran itu negara dilengkapkan  dengan infra-struktur keilmuan. Didirikan tempat belajar dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan tinggi. Pada peringkat tinggi didirikan universiti menurut bidang dan keperluan.

Sebahagian bajet negera digunaklan untuk  memajukan ilmu di kalangan masyarakat. Setiap warga negara  diwajibkan belajar bagi golongan muda dan digalakkan belajar bagi semua peringkat dengan peruntukan yang mencukupi..

Tanda negara berilmu, pimpinan dan masyarakat menghormati mereka yang berilmu. Pendapat-pendapat ilmuan didengari dan dirujuk. Mereka terhormat dan berkedudukan tinggi di tengah masyarakat.

Para ilmuan adalah melibatkan diri dengan masyarakat. Mereka menyampaikan ilmu secara ikhlas, menyedarkan masyarakat dan membimbing mereka ke arah kejayaan.

Negara ilmu, selain dari mempunyai pengajian-pengajian tinggi terkenal, mempunyai ramai ilmuan dan pelajar-pelajar cemerlang. Lantaran negara terkenal dengan perkembangan keilmuan, tidak saja cenderung dan terlibat diri dengan ilmu dan masyarakat berilmu, lantaran itu negera berilmu menjadi tempat yang didatangi pelajar-pelajar dari luar negara untuk menikmati pengajian yang terkenal di negara berkenaan.

Negara yang mempunyai ramai ilmuan, ramai daripada ilmuan menghasilkan penerbitan-penerbitan terkenal yang dirujuk oleh pelajar dan masyarakat. Mereka mencetuskan idea-idea yang bernas yang dimanfaatkan oleh masyarakat.

Pendapat-pendapat ilmuan diberi ruang dan disalurkan  melalui konvensyen, seminar, syarahan, forum, diskusi dan sebagainya dan pendapat mereka dihebahkan melalui media-media.

Pendapat-pendapat ilmuan diturunkan ke tengah masyarakat melalui institusi ibadat seperti masjid dan surau, dewan-dewan orang ramai dan perhimpunan-perhimpunan.

Dengan memasyarakatkan ilmu di tengah masyarakat menghasilkan kesedaran  keilmuan tinggi di tengah masyarakat. Misalnya kesedaran tentang ekonomi,  peluang dan pembahagian yang adil. Bayangkan negara Malaysia yang kaya raya ini, jika kesaksamaan ekonomi dilakukan dengan adil, tidak ada yang terlampau kaya dan tidak ada yang terlampau miskin, bererti semua kecukupan dari  segi keperluan, maka dapat dikurangkan jurang kemiskinan. Jika semuanya mendapat hak yang wajar dan mereka berilmu, maka akan mengurangkan masalah sosial. Kurang dari pelaku-pelaku rasuah, kurang dari pencuri, kurang dari  mereka yang melakukan jenayah. Dengan berkurangnya mereka yang susah, maka bererti masyarakat dapat menikmati ketenangan di dalam kehidupan. Dengan demikian mereka hidup dalam keadaan lebih berbahagia. Mereka semua mempunyai pekerjaan yang sesuai, mempunyai  perumahan hasil dari projek perumahan untuk rakyat. Dengan ketenangan dan  kebahagiaan membuka ruang kepada mereka melakukan perkara yang lebih bermanfaat seperti menggalakkan keluarga di dalam mendalami ilmu,mengamalkan di dalam kehidupan yang mengharmonikan masyarakat.

Dengan ilmu meningkatkan akhlak masyarakat  dengan peribadi-peribadi mulia. Mereka menghargai nilai-nilai kemanusiaan seperti tolong menolong dan menghormati antara satu sama lain. Menghargai dan menjaga alam sekitar yang merupakan sebagai ruang untuk semua. Jika kesedaran menjaga alam sekitar timbul, kebersihan dapat dijaga. Semua berada di dalam suasana alam sekitar yang sihat dan menyenangkan.

Masyarakat yang berpelajaran ialah masyarakat yang menghormati dan menjaga nilai budaya murni masyarakat yang mencirikan imej dan identiti masyarakat. Nilai budaya mengukuhkan kemajuan fizikal yang dicapai dan menjadikan masyarakat bertamadun dan berperadaban  tinggi.

Sekian.

October 11, 2020

 

ILMUAN  MEMIMPIN

(Fikrah Bangi: 773),

BBB: 23 Safar 1442H. = 11 Oktober 2020M. (Ahad).

Tugas para ilmuan di universiti adalah mengajar dan membuat penyelidikan yang dengannya menghasil dan menambahkan ilmu. Mereka disifatkan sebagai elit yang berada  di menara gading. Tapi peranan  dan kedudukan yang sedemikian perlu diubah atau ditambah, bahawa para ilmuan seharusnya  dengan keilmuan mereka adalah pemimpin. Mereka seharusnya mempunyai komitmen terhadap masyarakat dan  tidak terasing di menara gading.

Para ilmuan yang dengan ilmu mereka dipandang tinggi dan berada pada darjat terkeatas. Mereka seharusnya  tidak setakat mengajar dan menyelidik, tetapi turun kepada masyarakat dan menggunakan keilmuan mereka bagi membimbing masyarakat. Dalam keadaan negara, bahkan dunia menghadapi Covid-19 mereka seharusnya tidak sahaja membicarakan kaedah mengajar pelajar secara atas talian, tetapi pakar-pakar di dalam bidang-bidang berkaitan sama membantu dan memberi idea, misalnya dari bidang perubatan,  menyedarkan orang ramai akan bahayanya wabak Covid-19  dan mencadangkan kaedah-kaedah mencegah dan menjauhi penyalit ini. Bagaimana masyarakat menyesuaikan diri dengan nilai baru akibat dari wabak ini.  Kiranya di kalangan mereka rela turun padang dan menjadi front liners tentulah amat dialu-alukan.

Dalam masa menghadapi wabak ini, bekalan makanan harian perlu cukup. Mereka yang di dalam bidang pertanian, patut memberi nasihat dan dengan kerjasama pihak berkuasa memberi cadangan kaedah bertani yang dapat menambahkan hasil makanan negara. Juga nasihat kepada nelayan kaedah yang dapat menambahkan hasi .  Bagi yang di dalam bidang ekonomi dan perniagaan memberi nasihat bagaimana menjalankan perniagaan  dalam musim Covid-19. Memberi nasihat kepada kerajaan di dalam membantu kalangan peniaga-peniaga. Juga memberi idea dan cadangan bagi mengurangkan jumlah pengangguran dengan mencadangkan kaedah-kaedah yang dapat menjanakan pekerjaan.

Antara sektor yang terjejas akibat dari Covid-19 ialah sektor pendidikan. Hampir setahun pelajar-pelajar terganggu di dalam pelajaran, walaupun ada  kaedah pembelajaran secara atas talian, tetapi tidak sama secara semuka. Pelajar-pelajar yang hendak menghadapi peperiksaan SPM dan STPM yang hampir tiba, patut diberi keutamaan dari segi bimbingan, bantuan dan keselesaan mereka hendak menghadapi peperiksaan. Malang bagi mereka terpaksa menghadapi peperiksaan di dalam keadaan yang sukar. Bantuan dari guru-guru, ilmuan-ilmuan, swasta dan berbagai pihak, termasuk yang dihadapi oleh pelajar universiti yang dikehendaki mendaftar secara hadir dan diubah kepada atas talian, banyak menyusahkan mereka. Para ilmuan patut sama memberi pendapat kaedah terbaik bagi mengendalikan pembelajaran pelajar-pelajar universiti agar mereka tidak terganggu menghadapi pelajaran dan terbeban dengan pelbagai masalah. Apa lagi masalah pelajar di pengajian tinggi adalah masalah ilmuan yang amat dekat dengan mereka.

Banyak kalau hendak diperkatakan harapan bimbingan terhadap para ilmuan. Sebagai contoh terakhir bagi ilmuan di dalam bidang sains politik patut memberi nasihat melihat, bahawa di dalam masa menghadapi wabak Covid-19, ada  ahli-ahli politik yang terus ghairah bermain politik, mau terus mengadakan pilihanraya seperti di Batu Sapi dengan kematian ahli parlimen kawasan berkenaan, pada hal diketahui betapa kesan pilihanraya Negeri Sabah pada 26 September 2020 yang lepas mengakibatkan semakin menular wabak, bukan saja di Sabah, tetapi hampir ke seluruh negara. Bayangkan akibat yang akan terjadi jika diadakah pilihanraya di Batu Sapi, apa lagi pilihanraya umum peringkat negara akan mengundang bertambah merebaknya wabak berkenaan. Para ilmuan patut bercakap dan memberi nasihat, terutama bagi yang ghirah untuk mengadakan pilihanraya. Mereka juga harus memberi pandangan tidak wajarnya pihak yang ghirah mau menjatuhkan kerajaan dengan mendakwa mendapat sokongan majoriti, tanpa bukti agar berhenti menggugat kestabilan politik tanah air dalam masa wabak  ini.

Kita berpendapat, sememangnya ada suara-suara yang memberi pandangan tentang jijiknya situasi politik tanahair yang secara terang-terangan ada pihak yang tidak segan  silu mau membawa persoalan kepimpinan negera kepada pihak tertinggi, walaupun dipandang perkara ini tidak wajar dalam situasi kini dan tiada bukti.

Kita berpendapat kedudukan para ilmuan dapat diperkukuhkan adalah melalui persatuan dan tidak bercakap atas individu yang tidak diberi  perhatian. Para ilmuan wajar membentuk Persatuan Ilmuan Universiti yang  terdiri dari kesemua universiti awam, maupun swasta. Kepimpinan persatuan dan bidang-bidang hendaklah menyatakan pendapat dan cadangan terhadap isu-isu yang timbul yang melibatkan berbagai-bagai bidang seperti politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Melalui pandangan keseluruhan melalui persatuan akan lebih didengar dan mendapat dokongan rakyat.

Sesungguhnya dari ilmuan  diharap pemikiran dan pandangan yang bernas yang dapat memandu masyarakat dan negara kepada kebenaran dan kemajuan.

Sekian.

October 10, 2020

 

PEMIMPIN  KEILMUAN

(Fikrah Bangi:  772),

BBB:  22 Safar 1442H. = 10 Oktober 2020M. (Sabtu).

Imej dan identiti sebuah institusi pengajian bergantung pada pimpinan keilmuan yang harus ada dan mengajar di institusi pengajian berkenaan. Dilihat kepada zaman tradisi, misalnya keilmuan pada zaman tradisi di Terengganu ditokohi oleh Syeikh Abdul Malik bin Abdullah  -Tok Pulau Manis (1650-1736) yang menghasilkan karangan-karangan untuk institusi pengajarannya dan masyarakat  seperti Hikam Melayu, Kifayah dan Bayan Kayfiyat al-Niyyah . Peradaban keilmuan di Pulau Riau banyak diserlahkan oleh Raja Ali Haji (1809-1870) yang mengarang antaranya Tuhfat al-Nafis dan Gurindam 12, Thamarat al-Muhimmah, Bustan al-Katibin dan lain-lain.

Pada peringkat yang lebih kemudian Za`ba Guru di Maktab Perguruan Tanjung Malim dan kemudian mengajar di Universiti Malaya terkenal sebagai seorang pakar bahasa yang mengarang Pelita Bahasa Melayu dan berbagai karangan yang lain dan mempunyai  pengikut seperti Profesor Haji Omar di Universiti Malaya. Dalam bidang ekonomi Profesor Ungku Aziz selain dari menjadi Naib Canselor di Universiti Malaya terkenal sebagai Pakar Ekonomi dan ianya mencadangkan ditubuhkan Tabung Haji  (1963) yang berkembang hingga kini. Beliau mempunyai pengikut seperti Rafidah Aziz Pensyarah Ekonomi Universiti Malaya sebelum beliau terlibat di dalam bidang politik.

Ketokohan di dalam bidang keilmuan yang mengharumkan universiti yang dia berkhidmat ialah Profesor Dr. Syed Naguib al-Attas dengan cetusan pendapatnya bahawa Islamlah yang merubah dan meningkatkan peradaban Melayu, beliau juga mempelupuri  tentang Falsafah dan Pemikiran Islam semasa memimpin Institut Pemikiran Islam  di UIAM. Banyak buku dihasikan beliau seperti Islam Dalam Pemikiran dan Peradaban, The Mysticism of Hamzah Fansuri dan lain-lain. Beliau mempunyai pengikut-pengikut yang ramai mendukung falsafah dan pemikirannya.

Tokoh Besar di dalam bidang keilmuan Islam ialah Al-Imam Al-Ghazali (m.1111). Beliau bukan setakat memimpin Universiti Nizamiyyah, tetapi memimpin pemikiran Islam. Beliau menyatu dan mengintegrasikan ketiga-tiga keilmuan Islam, iaitu akidah, fiqh dan tasawuf dengan menghasilkan begitu banyak karya seperti  Ihya` `Ulum al-Din, Al-Iqtisal fi al-I`tiqad, Tahafut al-Falasifah dan banyak lagi. Pengajaran al-Ghazali menjadi pengikut keilmuan bagi umat Islam.

Bagi universiti-universiti di negara kita yang banyak itu, seharusnya mempunyai pemimpin keilmuan di dalam bidang-bidang keilmuan utama yang ditawarkan oleh sesuatu universiti. Universiti mempunyai ranking dari segi tenaga pengajar yang mencerminkan tahap keilmuan mereka. Di universiti ada tenaga pengajar bermula dari  tutor (pengajar), pensyarah, pensyarah kanan, profesor madya, profesor, bahkan kini `Profesor Emiratus`  yang merupakan tenaga pengajar dan ilmuan terkenal di dalam bidang keilmuan tertentu di universiti.

Kita merenung kepada puluhan universiti yang ada di negara kita. Ada kalangan mereka bertaraf profesor, bahkan profesor emiratus, sukar bagi kita mengenali tokoh-tokoh keilmuan yang diberi title keilmuan yang gah itu, lebih sukar bagi kita untuk mengetahui apakah bidang dan kaedah keilmuan yang disumbangkan, lebih daripada itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Universiti ada, tokoh ilmuan yang beritle ada, tetapi sumbangan mereka, sekurang-kurangnya dalam bentuk tulisan mengapa tidak disebarkan ? Salah siapakah ? Apakah pihak Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai perancangan bagi memperkenalkan sumbangan tokoh-tokoh akademik ini kepada masyarakat ? Sebenarnya  tokoh berkenaan tidak memerlukan perkenalan dan promosi dari kementerian. Sebenarnya kerja mereka sebagai contoh Profesor Ungku Aziz, Profesor Syed Naguib al-Atas, kerja-kerja yang mereka lakukan, pengajaran, lebih-lebih lagi buku-buku yang mereka hasilkan adalah jurucakap bagi diri mereka. Ianya mencerminkan tahap keilmuan dan komitmen tarhadap kerja-kerja mereka.

Antara kaedah yang patut dilakukan dan pernah dilakukan, hendaklah diwajibkan sebelum seorang diberi title profesor, apa lagi profesor  emiratus, hendaklah dimestikan ada buku yang diterbitkan dan dimestikan menyampaikan syarahan perdana profesorship yang disiarkan secara terbuka dan disaksikan oleh orang ramai dan dapat dinilaikan tahap kedalaman keilmuan yang ada pada dirinya dan melayakkannya mendapat gelaran profesor atau sebaliknya.

Universiti dilihat sebagai institusi yang unggul dengan keilmuan. Tenaga pengajar adalah tonggak keilmuan. Jika tenaga pengajar tidak berkemampuan menyampai keilmuanya dengan baik dan tidak meyakinkan, maka adalah suatu tragidi bagi universiti yang menghakiskan kepercayaan masyarakat terhadap universiti. Universiti seharusnya mempunyai tokoh-tokoh yang  unggul ilmu yang memandu  negara dan masyarakat.

Sekian.

October 9, 2020

 

RANKING UNIVERSITI – PENGIKTIRAFAN

(Fikrah Bangi: 771),

BBB:  21 Safar 1332H. = 09 Oktober 2020M. (Juma`at).

Menghasilkan  sesuatu, baik bidang pelajaran atau penghasilan barangan, kita mau sesuatu yang baik dan bermutu. Di dalam bidang pelajaran, khususnya pengajian tinggi kita mempunyai 30 buah universiti. Sebagai institusi pendidikan di dalam negara  kita mau semuanya terbaik, menjadi pilihan bagi pelajar dan menjadi institusi rujukan kepakaran bagi berbagai bidang, khususnya keilmuan. Tetapi dengan banyak institusi berkenaan, maka sudah tentu ada di kalangan semua yang dianggap terbaik, baik dan kurang baik.  Mutu dilihat oleh profesional dan juga kalangan  awam. Misalnya dilihat dari segi kewibawaan para pengajar, kelulusan, kedalaman ilmu pada mereka. Penghasilan karya-karya ilmiah yang dihasilkan, pemikiran ilmiah disumbangkan,  infra-struktur keilmuan yang ada, kerja-kerja luar dan lapangan, mutu pelajar-pelajar yang dikeluarkan, berbagai kajian ilmiah yang dihasilkan, keterlibatan dengan masyarakat, sukan  dan berbagai projek yang dihasilkan yang memanfaatkan.

Universiti-universiti di negara kita sama dinilai. Kedudukan universiti-universiti di negara kita  dari segi ranking terkini adalah sebagaimana berikut:

1)     Universiti  Malaya           

2)     Universiti Kebangsaan Malaysia,

3)     Universiti Putra Malaysia

4)     Universiti  Teknologi Malaysia

5)     Universiti Teknologi Petronas

6)     Universiti Tenaga Nasional

7)     Universiti Kuala Lumpur

8)     Universiti Malaysia Perlis

9)     Universiti Malaysia Sarawak

10)                       Universiti Multi Media

11)                       Universiti Teknikal Malaysia

12)                       Universiti Teknologi MARA

13)                       Universiti Tunku Abdul Rahman.

     (The Star, 5 Sept. 2020: 6).

Dengan adanya ranking sedemikian, maka bagi setiap universiti akan berusaha meningkatkan prestasi dan kedudukan atau sekurang-kurang mempertahankan kedudukan yang ada, manakala bagi universiti  tidak disenaraikan, diharap akan berusaha agar universiti akan termasuk di dalam ranking pada masa akan datang.

Selain dari penilaian dalam negara, ranking bagi universiti peringkat Asia juga  dibuat dalam mana daripada 200 universiti 16 daripadanya adalah dari Asean. Ini termasuk sebahagian daripada  universiti terbaik kita. Ini juga bermakna, kedudukan universiti kita adalah antara yang terbaik di Asia.

Pada peringkat dunia  dijumlahkan 1,527 universiti dari 93 negara. Dari jumlah tersebut,  lima buah universiti terbaik nampaknya  semuanya dari  England dan  Amerika, satu yang boleh dipersoalkan. Universiti-universiti dimaksudkan ialah:

1)    Oxford  University, England

2)    Stanford University Amerika

3)     Harvard University  Amerika

4)     California Institute Technology Amerika

5)     Matsuchussets Institute of Technology, Amerika

Tentulah berbagai keistimewaan dan kecemerlangan yang dicapai oleh universiti-universiti berkenaan yang wajar dipelajari oleh universiti-universiti lain.

Walau bagaimana, bagi universiti  kita, tidak perlu sangat terikut-ikut dengan ranking yang dibuat menurut kriteria yang sesuai dengan mereka yang setengah mungkin tidak perlu dan sesuai bagi kita. Walau bagaimana menyenaraikan secara ranking universiti-universiti kita secara tempatan dan membandingkan dengan  luar seperti negara Jepun,German, Korea  dan Australia yang tidak tersenarai  dan  dari  negara maju perlu dibuat, tetapi  kita tidak terikat dengan pandangan hanya universiti di Barat sahaja yang terbaik.

Barangkali untuk mempertingkatkan mutu bagi universiti kita kita perlu mempunyai kriteria tersendiri yang sesuai dengan keperluan tempatan dan negara  kita sendiri, di samping membanding dengan peringkat jiran, Asia dan dunia dengan lebih bersifat terbuka.

Ranking perlu bagi kesedaran menilai universiti kita, bagi memperbaiki dan mempertingkat kualiti universiti kita. Ianya menjadi ukuran bagi pelajar dalam dan luar negara mohon menyambung pengajian di universiti kita. Lebih dari itu menjadi wibawa dan keyakinan bagi masyarakat dan negara kita.

Sekian.

October 8, 2020

 

PENGAWASAN  DAN  MUTU  UNIVERSITI

(Fikrah Bangi:  770),

BBB:  20 Safar 1442H. = 08 Oktober 2020M. (Khamis).

Kita bersyukur kepada Allah dan merasa senang, bahawa di negara kita mempunyai sejumlah 30 universiti awam dan swasta. Satu jumlah mencukupi bagi warga negara dan dari luar negara untuk mendapat pelajaran.

Walau bagaimana  dengan jumlah yang begitu banyak, tentulah ada perbedaan penyampaian keilmuan, antaranya kepakaran keilmuan dari kalangan tenaga pengajar,  perbedaan antara bidang, perbedaan pencapaian yang dilihat dari kebolehan pelajar yang dikeluarkan dan perbedaan menyeluruh antara satu universiti dengan universiti yang lain. Perbedaan juga dapat dilihat kepada yang lebih kecil. Misalnya:

·         Mutu kandungan kursus di dalam bidang-bidang yang ditawarkan.

·        Infra-struktur seperti kampus dan kemudahan peralatan pengajaran.

·        Kemampuan pensyarah  dari segi keilmuan dan penyampaian.

·        Persediaan sumber ilmu seperti perpustakaan dan berbagai kaedah capaian.

·        Kegiatan pelajar di dalam kerja lapangan, hubungan kemasyarakatan, sukan

 dan berbagai kegiatan kemahasiswaan.

Kita percaya negara yang melihat universiti sebagai mekanisme memajukan negara memberi perhatian terhadap universiti, lebih-lebih lagi swasta dan cawangan universiti negara lain di negara ini agar:

·        Universiti benar-benar berperanan memajukan negara.

·        Walaupun universiti diberi otonomi, tetapi seharusnya dipantau agar mutu terkawal,  tidak timbul penentangan  akibat dari unsur negatif yang ditimbulkan, terutama dari  pihak swasta dan cawangan universiti dari luar.

·        Mempastikan imej,  identiti Malaysia dan kecintaan terhadap negara. Ini perlu ditanamkan terutama pada universiti swasta dan cawangan universiti dari luar negara.

·        Berdaya saing yang tinggi antara universiti. Dengan yang demikian melonjakkan imej universiti di kalangan universiti tempatan dan di kalangan antarabangsa.

·        Menjadi tarikan bagi pelajar sama ada tempatan dan dari luar untuk menyambung pengajian di negara ini.

Bagi menjamin terutama dari segi mutu, kerajaan,khususnya kementerian yang berhubung dengan pengajian tinggi janganlah dikenali hanya dengan isu-isu yang berbangkit, tetapi seharusnya mempunyai perancangan dan pemantauan bagi semua universiti sama ada uiversiti awam, swasta dan cawangan universiti dari luar negara

Kementerian hendaklah mempunyai dasar, polisi, perancangan dan pelaksanaan yang setiap universiti yang diwujudkan menurut dasar berkenaan. Kerajaan tidak seharusnya mengikut kehendak dan cadangan  pihat tertentu dan mengikut tanpa menurut dasar yang ditentukan. Janganlah penubuhan satu universiti bersifat `universiti-universitian`  semata-mata, hanya sekadar nama, tetapi dari segi hakikat dan mutu bukan bertaraf universiti.

Penilaian terhadap mutu universiti terpancar dari dalaman dan luaran. Dari segi dalaman sebelum ditubuh sudah tentu ada jawatankuasa pakar dan berwibawa yang dapat menampilkan pra-sarana dan pengisian bagi universiti. Kerajaan adalah penilai utama tentang kesesuaian penubuhan, manakala di dalam universiti itu sendiri ada penapisan nilai yang terdiri dari, unit, jabatan, fakulti, senet dan jama`ah, tahap-tahap yang menilai dan mempastikan mutu universiti terkawal.

Penilaian dari segi luaran dilihat kepada pencapaian universiti. Misalnya kini ada badan penilai yang melihat ranking sesebuah universiti pada peringkat misalnya antara bangsa,  Asia, Asean dan ada yang menilai dari segi bidang-bidang tertentu.

Masyarakat melihat dan menilai sejauh mana komitmen universiti terhadap ilmu dan memberi bimbingan dan manfa`at bagi masyarakat misalnya melalui perancangan tertentu terhadap masyarakat. Mereka menilai terhadap mutu keluaran universiti bila berkhidmat dengan masyarakat, apakah ianya cemerlang atau sebaliknya.

Masyarakat juga menilai terhadap  tokoh tenaga pengajar yang berjasa terhadap masyarakat. Misalnya idea Ungku Aziz mencadangkan supaya ditubuhkan Tabung Haji pada tahun 1960an benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat umat. Profesor Ahmad Ibrahim dilihat tokoh yang mengusahakan penyatuan antara bidang perundangan Islam dengan civil. Bank Islam (cetusan dari kalangan akademik) dilihat sebagai pelopor berbagai produk kewangan Islam yang kini diiktiraf dan diamalkan oleh berbagai negara dan oleh mereka yang Islam dan bukan Islam.

Tidak banyak sebenarnya kecemerlangan yang ditunjuk oleh universiti dan ilmuan darinya, namun kecemerlangan sedemikianlah diharapkan.

Sekian.

October 7, 2020

 

TABURAN  UNIVERSITI:  KEWAJARAN ?

(Fikrah Bangi: 760).

BBB:  19 Safar 1442H. = 07 Oktober 2020M. (Rabu).

 

Separuh daripada universiti awam adalah bertempat di Kuala Lumur dan hampirkeseluruhan universiti swasta juga bertempat di Kuala Lumpur. Sememangnya dilihat dari segi kewajaran, selayaknya ia berada di Kuala Lumpur, sebagai ibu kota, pusat kemajuan dan  tumpuan bagi segala keperluan, termasuklah pelajaran. Tetapi dari satu segi, terutama dari segi kesesuaian tidak seharusnya semua universiti  tertumpu di Kuala Lumpur. Adanya universiti di setiap negeri, dilihat sebagai sesuatu yang wajar dan demokratik. Tetapi pilihan utama bagi pelajar adalah untuk belajar di universiti-universiti di Kuala Lumpur, kerana universiti-universiti terkenal  berada di Kuala Lumpur. Kecualilah kelulusan pelajar tidak begitu cemerlang, maka di samping memohon universiti terbaik yang berada di Kuala Lumpur, maka universiti negeri juga sama dipohon.

Walau bagaimana  dilihat dari segi keperluan, misalnya universiti yang menawarkan kursus perubatan wajar ada  di wilayah yang belum ada kursus berkenaan, misalnya  di bahagian selatan tanahair, juga di Sabah dan Sarawak. Dengan adanya pengajian dan perkhidmatan perubatan yang lebih dekat menyenangkan penduduk di satu-satu wilayahj mendapat perkhidmatan. Universiti yang menawarkan kursus yang berhubung dengan pertanian wajar berada di wilayah yang terkenal dengan pertanian.  Selepas UPM yang dulu dikenali dengan Universiti Pertanian Malaysia, dilihat kursus  atau universiti berkaitan tidak ada. Sebenarnya keperluan kepada universiti sedemikian adalah perlu. Misalnya Universiti Agro-Teknologi perlu berada di Kedah. (Kedah memohon untuk mendirikan Universiti Teknikal). Universiti sedemikian juga wajar diadakakan di Sarawak dengan  nama misalnya Agro-industri, juga berada di kawasan yang banyak kelapa sawit seperti di Pahang. Manakala  universiti yang menumpukan bidang marin wajar ditumpukan di Sabah dan di Terengganu (peranannya dilakukan oleh UMT). Demikian dengan universiti yang bersifat invironment dan Pelancungan wajar didirikan di Langkawi dan Sabah.

Satu bidang lagi yang patut diberi perhatian ialah  seni-budaya, walaupunsudah ada Universiti Aswara di Kuala Lumpur, wajar universiti sedemikian didirikan di kawasan yang banyak elemen seni-budaya seperti di Sabah atau Sarawak aau di Kelantan.

Universiti berasaskan teknologi, engineering dan industri dilihat wajar berada di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar seperti sedia ada misalnya di USM, Johor dengan UTM, di Selangor selain dari UTM, ialah UNISAL. Satu bidang  yang  mendominasi hidup masyarakat ialah bidang politik. Setakat ini tidak ada universiti yang bernama politik. Bidang ini  adalah menjadi satu kursus sahaja dengan dikenali dengan Jabatan  Sains Politik dan antaranya diletak di dalam Jabatan Sejarah. Untuk meletakkan arah politik yang wajar dan cadangan-cadangan yang membina, bahkan mencadangkan pendekatan politik yang wajar bagi negara wajar diwujudkan universiti khusus misalnya Geo-Politik Negara dan Antarabangsa. Diharap dengan adanya universiti sedemikian dapat memantapkan politik negara yang senentiasa bergelora itu.

Satu bidang yang agak banyak dianjurkan oleh universiti, bahkan menjenamakan universiti, ialah Islam yang hampir keseluruhan bertapakdi Kuala Lumpur, iaitu seperti Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Sains Islam, di samping bersifat fakulti di UKM, atau akademi di Universiti Malaya. Di samping kewajaran universiti-universiti berkenaan berada di Kuala Lumpur bagi pelajar tempatan dan antarabangsa, wajar pula diadakan di wilayah-wilayah yang  terkenal dengan keutuhan Islam, misalnya di Kedah, di Kelantan, bahkan di Terengganu (sudah ada Universiti Sultan Zainal Abidin ?). Universiti sedemikian tidak semestinya bersifat antarabangsa dan moden, sebaliknya perlu ada yang bersifat tradisi yang menjadi pegangan dan amalan kehidupan rakyat. Turath setempat yang banyak dihasilkan oleh ulama setempat dan Nusantara wajar dibongkar dan dihighlightkan. Islam di Nusantara adalah setara dengan negara-negara Islam yang lain (selain dari Makkah dan Madinah), tetapi selama ini turath yang ada di dalam perbendaharaan kita terabai dan tidak dikaji sewajarnya. Pengajian sedemikian wajar didirikan seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengajian Islam  dari segi pendekatannya dilihat sebagai mengulangi yang sedia ada dan kurang diperkembangkan. Pengajian  Islam di Malaysia hendaklah ditingkatkan, bahkan sewajarnya Islam di Malaysia dan Nusantara menjadi kiblat keilmuan  Islam. Selain dari turath tradisional, di Malaysia berkembang pendekatan moden seperti kewangan Islam, ekonomi Islam, hub halal dan haram, wakaf dan berbagai jenama baru dan keilmuan yang baru yang berkembang di negara ini.

Universiti adalah agent yang meningkatkan ilmu, taburannya selain dari bertempat diibu kota, wajar juga ditempatkan di mana releven dengan keilmuan yang mau dikembangkan, termasuk kewajaran dari segi taburan bidang-bidang tumpuan bagi universiti.

Sekian.

October 6, 2020

 

TABURAN  PENUBUHAN UNIVERSTI  DI MALAYSIA

(Fikrah Bangi: 768),

BBB: 18 Safar 1442H. =  06 Oktober 2020M. (Selasa).

Berbagai cara  penubuhan universiti di Malaysia. Apa yang dapat dikatakan bahawa  penubuhan bukan dari perancangan asal diatur dan diikuti perancangan awal dari  induk yang telah dirangka.

Sebagaimana  dikatakan, bila Malaya merdeka pada tahun 1957 tidak ada universiti di Malaysia. Keperluan kepada wujudnya universiti disedari. Selama ini, bagi menyambung pengajian bagi pelajar di Malaya berkelayakan, maka tempatnya ialah di Singapura. Dari kesedaran kepada keperluan, maka pecahan dari Universiti di Singapura diwujudkan di Malaya pada tahun 1959 di Lembah Pantai, di Kuala Lumpur. Pelajar peringkat menengah sudah wujud di Malaya melalui kelulusan MCE dan HSC. Naib Canselor pertama yang mengetuai Universiti Malaya ialah Profesor Openheimph pakar dalam bidang matematik.

Manakala universiti ditubuh di atas desakan, ialah Universiti Kebangsaan Malaysia. Pihak NGO.  rakyat dan berbagai organisasi mendesak supaya ditubuhkan UKM sebagai saluran bagi Dasar Pelajaran yang dirangka sejak 1956 itu, maka akhirnya kerajaan akur dan UKM ditubuhkan pada 18.5.1970 bermula dengan kampus di Jalan Pantai, berhampiran dengan Universiti Malaya dan kemudian berpindah ke kampus tetap di Bangi (1977). Ada yang ditubuhkan di atas cadangan, msalnya Universiti Pertanian Malaysia ditubuhkan atas cadangan menaikkan taraf  Kolej Pertanian di Serdang dan dipersetujui, maka pada tahun 1973 Kolej Pertanian Serdang dinaikkan kepada taraf  universiti, maka Tan Sri Rashdan Baba yang menjadi Naib Canselor di UKM dikembalikan ke UPM sebagai Naib Canselor di UPM, kerana sebelum ke UKM beliau adalah Pengetua di Kolej berkenaan. Manakala USM, memang dirancangkan untuk ditubuhkan sebelum timbulnya desakan menubuhkan UKM, penubuhan USM dilakukan pada tahun 1973.

Ada beberapa universiti ditubuhkan di atas cadangan, misalnya  beberapa tenaga dari  UKM  mencadangkan agar ditubuhkan Universiti Utara Malaysia, tenaga-tenaga dari UKM pada peringkat awal berusaha  mewujudkan universiti di sana dan antara Naib Canselor awal adalah dari UKM seperti Profesor Dr. Nik Rashid Ismail dari UKM, juga kemudiannya Prof. Dr. Awang Had Salleh. Keadaan yang sama berlaku bagi penubuhan Universiti Malaysia Sabah, tenaga-tenaga dari UKM  merangka keperluan penubuhan Universiti Malaya Sabah dan Naib Canselor pertamanya juga dari UKM. Penubuhan Universiti Malaya Sarawak ialah hasil dari uasaha tenaga pengajar dari UPM. Kolej Pertanian di situ diangkat ke taraf universiti dan pengaruh UPM ketara peringkat awal.

Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa adalah atas cadangan dan usaha dari tenaga-tenaga akademik dari UKM pada masa Anuar Ibrahim menjadi Menteri Pelajaran. Tenaga-tenaga berkenaan seperti Dr. Kamal Hassan, Ghazali Nawawi, Dr. Syed  `Arabi dan beberapa lagi, maka usaha yang dilakukan sejak 1980an itu terlaksana dan UIAM bertempat di Kampus utamanya di Gombak dan kemudian bercawangan di Kuantan Pahang.

Peningkatan taraf dari kolej juga berlaku kepada Kolej Teknik di Jalan Semarak Kuala Lumpur menjadi Universiti Teknologi Malaysia yang kemudian kampus utamanya berpindak ke Skudai Johor dengan Ainuddin Wahid menjadi Naib Canselor pertamanya, manakala kampus awalnya  masih kekal di Jalan Semarak,Kuala Lumpur.

Selepas tahun 2000 ditubuhkan universiti-universiti negeri-negeri. Antaranya ialah Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Terengganu,  Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Malaysia Johor di Pagoh, Johor yang kemudian dikenali dengan Universiti Tun Hussein Onn, manakala MARA meningkatkan taraf institutnya kepada universiti menjadi Universiti ITM dan kemudian mempunyai cawangannya di berbagai tempat di berbagai negeri.  Institut diasas secara kerjasama seperti dengan Perancis di Bangi diangkat menjadi Universiti Kuala Lumpur, manakala Institut German Malaysia yang juga di Bangi masih kekal di Bangi.

Selepas 2000 sebahagian dari universiti diasas oleh Badan Koperat bagi mengeluarkan pelajarnya sendiri yang sesuai dengan keperluan badan berkenaan seperti Uniten di Bangi diasas oleh Tenaga Nasional, Universiti Infra Struktur diasas oleh Kerjaraya, manakala Universiti Petronas diasas oleh Petronas di Tronoh Perak. Sebahagian dari universiti diasas oleh negeri seperti Universiti Darul Iman yang bertukar kepada nama Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu, Universiti Sultan Azlan di Perak dan Universiti Teknikal, Melaka. Beberapa universiti diasaskan secara swasta seperti Universiti Multi Media seperti di Cyber Jaya, Selangor, Universiti Selangor (Unisel) oleh Kerajaan Negeri Selangor, Universiti  Management, Kuala Lumpur dan beberapa yang lain.

Sebahagian dari penubuhan  universiti di negara ini adalah bersifat cawangan  bagi universiti di luar negara seperti Universiti Nottingham, di Semenyih Selangor, Taylor University, Manipal University di Nilai, Negeri Sembilan, Reading University di Kuala Lumpur dan beberapa cawangan universiti lagi.

Sebagai kesimpulan berbagai cara penubuhan universiti di negara ini dan kebanyakannya bukan dari inisiatif asal dari kerajaan. Dari segi taburan, universiti-universiti berkenaan banyak tertumpu di Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan pusat komersil, di sini juga menjadi pusat keilmuan yang menjadi tumpuan pelajar bukan saja di dalam negara, bahkan dari  luar negara.

Sekian.