December 31, 2007

Kami bantah SPR!!!

Pindaan persempadanan pilihan raya adalah sesuatu yang biasa dilakukan. Artikel 113 (2)(ii) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa persempadanan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen boleh dipinda antara lapan hingga 10 tahun sekali.

Pindaan terakhir ialah pada 1 Mei 2003. Pindaan ini walaupun banyak pihak tidak berpuas hati, khususnya dari parti-parti pembangkang. Antaranya kerana pindaan berpihak dan menguntungkan BN, misalnya pertambahan kerusi pada peringkat DUN dan Parlimen hanya berlaku di negeri-negeri yang bukan didominasi orang-orang Melayu, manakala negeri-negeri yang ramai orang Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kurang atau tidak diberi pertambahan. Ianya semata-mata bermotif politik agar kerusi yang mampu dikuasai PAS tidak bertambah dan cuba menghalang Pas dari menguasai negeri-negeri.

Walaupun rasa tidak puas hati ini disuarakan bahkan dibantah, tetapi oleh kerana pindaan itu dibuat menurut peruntukan perlembagaan dan dalam tempoh yang dibenarkan, maka walau bagaimana dibantah, pindaan persempadanan yang menguntungkan BN itu tetap diluluskan menurut kemahuan BN. Keadaan yang sama juga berlaku pada peringkat Parlimen dan DUN. Misalnya sebelum pindaan 2003 Bangi terletak di bawah DUN Kajang dalam Parlimen Hulu Langat dilihat adalah wajar, kerana dari segi pentadbiran pun sememangnya Bangi dan DUN Kajang berada di dalam Daerah Hulu Langat, begitu juga dengan kedua-dua DUN yang lain, iaitu Semenyih dan Dusun Tua memang berada di dalam Parlimen Hulu Langat. Namun pindaan persempadanan Mei 2003 memperlihatkan keanehan dan ketidakwajaran. Misalnya Bangi yang dijadikan sebuah DUN bukan saja berada di Hulu Langat dan menjadi pusat pentadbiran Hulu Langat dengan Pejabat Daerah dan pejabat-pejabat yang lain bagi Hulu Langat berada di Bangi, diletak di bawah Serdang yang pentadbiran Serdang terletak di bawah Daerah Subang Jaya.

Persempadanan DUN Bangi di garis sempadan begitu rupa agar lebih berpihak kepada BN. Sekali lagi walaupun timbul rasa tidak puas hati, terutama dari kalangan parti pembangkang, tetapi oleh kerana ianya dibuat dalam tempoh yang dibenarkan oleh perlembagaan, maka suka tidak suka, maka itulah yang diterima dan perlu dihadapi.

Manipulasi Politik

Persoalan persempadanan sebelum pilihan raya kesebelas 2004, perjalanan pilihan raya 2004 yang kelam kabut yang di Selangor berlakunya pertambahan masa mengundi selama dua jam, perubahan tempat mengundi dan kelainan penggunaan buku daftar pemilih menjadi isu yang menyebabkan rasa tidak puas hati terutama di kalangan parti-parti pembangkang, manakala di Terengganu peningkatan peratus keluar mengundi yang tinggi, pertambahan pengundi termasuk dari luar melebihi 60,000 yang menyebabkan berlakunya peningkatan peratusan pendaftaran pengundi di negeri itu sebanyak 19% berbanding peningkatan peringkat nasional hanya 7% menjadi tandatanya dan SPR dipersoalkan.

Di tempat-tempat lain persoalan kemasukan pengundi tanpa alamat secara jelas dan sukar dikenal pasti, pengeluaran pengundi dari tempat mengundi asal ke kawasan dan DUN mengundi yang lain tanpa izin dan sebaliknya yakni pengundi dari tempat lain dimasukkan ke kawasan mengundi lain bukan atas permintaan biasa berlaku. Rasa tidak puas hati ini bukan sahaja datang dari parti-parti politik pembangkang, tetapi juga dari NGO-NGO dan penyelidik-penyelidik. Lantaran itu timbul dari parti-parti politik pembangkang, NGO-NGO yang antaranya bersatu di bawah badan yang dikenali dengan BERSIH, mendesak agar SPR membersihkan daftar pemilih, menghapuskan pengundi pos dan menggunakan kaedah yang mempastikan pengundi tidak mengundi lebih dari sekali seperti kaedah mencelup jari pengundi dengan dakwat. Dari desakan kalangan yang tidak berpuas hati berhubung dengan perjalanan pilihan raya yang tidak memuaskan ini Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pernah tunduk dan mencadangkan agar diwujudkan Suruhanjaya yang mengkaji SPR dan membuat cadangan-cadangan memperbaikinya, namun cadangannya tidak diterima oleh pemerintah dengan menganggap perjalanan SPR kini adalah baik, kerana menguntungkan mereka.

Isu DUN Kajang dan Bangi

Menurut jangkaan kita, setelah menghadapi kritikan yang hebat dari pembangkang dan NGO-NGO, pihak SPR lebih berhati-hati dan mengelak diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kontroversi. Jangkaan sedemikian sebenarnya meleset. Di tengah-tengah desakan agar SPR bersifat bersih, telus dan adil, ianya tetap didalangi dan diperkuda pihak BN bagi kepentingan politik mereka. Ianya mungkin tidak disedari jika tidak diteliti. Contohnya Isu DUN Kajang dan Bangi.

Setelah berlalunya pilihan raya Mac 2004 dalam mana DUN Bangi menjadi DUN tersendiri yang terletak di bawah Parlimen Serdang yang dipisah dari DUN Kajang yang terletak di bawah Parlimen Hulu Langat, maka bagi memperkasakan DUN Bangi yang baru diwujudkan pihak PAS Bangi berusaha menjalankan `Pemutihan Ahli` dan juga kajian terhadap Daftar Pemilih.

Dari kajian kita menyedari usaha melakukan pemindahan lokaliti-lokaliti dan pengundi-pengundi dari DUN Kajang ke DUN Bangi sedang dilakukan secara bersembunyi dan menggerak kita menghimpunkan data-data berkenaan.

Isu perpindahan mulai diketengahkan

Adalah menjadi kebiasaan pertemuan antara pimpinan PAS negeri Selangor dengan SPR Selangor diadakan secara tahunan bagi mendapat maklumat dan membincangkan kemusykilan-kemusykilan. Pertemuan kadang-kadang melebihi dari sekali. Maka bagi tahun 2006 pertemuan pertama diadakan pada 2 Februari 2006 di Pejabat SPR Negeri. Ia merupakan pertemuan pertama kali bagi PAS negeri Selangor dengan Pengarah SPR yang baru, iaitu Jailani bin Abdul Majid yang menggantikan Abdullah bin Abdul Rahman, pengarah sebelumnya. Pimpinan Negeri Selangor yang hadir melebihi 10 orang itu diketuai oleh Dato` Dr Hassan Ali Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor.

Penulis selaku salah seorang Timbalan Pesuruhjaya pada masa itu turut sama hadir. Pertemuan yang lebih bersifat berkenalan itu, walau bagaimana bertukar menjadi tegang, apabila penulis menimbulkan wujudnya perpindahan taman, lokaliti dan pengundi dari DUN Kajang kepada DUN Bangi. Suasana agak berlainan dari pertemuan-pertemuan yang pernah kami lakukan semasa SPR Selangor di bawah Pengarah Abdullah bin Abdul Rahman yang selalunya mesra. Selepas dari dibangkitkan soal perpindahan itu, Pengarah SPR yang baru itu, iaitu Encik Jailani menafikan dengan sekeras-kerasnya berlakunya perpindahan taman, lokaliti dan pengundi. Pertemuan berakhir secara tidak selesa.

Membuktikan Berlakunya Perpindahan

Oleh kerana dakwaan penulis berlakunya perpindahan adalah perkara serius hingga mencetuskan pertelingkahan dalam pertemuan di atas, pihak Setiausaha PAS Negeri Selangor, iaitu Haji Yusof Ludin menulis secara rasmi kepada penulis mulai 7 Februari 2006 meminta penulis memberi bukti berlakunya perpindahan taman, lokaliti dan pengundi dari DUN Kajang ke DUN Bangi, bukti dijawab oleh penulis dan diikuti surat yang lain yang meminta penulis melengkapkan bahan dan dokumen hinggalah pada 29 Safar 1427 bersamaan 29 Mac 2006 (PAS BPP.08/3.11(102)2005-2007) pihak Setiausaha menulis kepada Pengarah SPR Selangor, Jailani bin Abdul Majid surat dan bukti tentang berlakunya perpindahan. Ditegaskan bahawa hingga ke tarikh berlakunya pengundian Mac 2004 berdasarkan daftar pemilih Disember 2003 menunjukkan bahawa Taman Kajang Raya, Taman Berjaya, Taman Koperasi LLN, Taman Semarak, Taman Pasir Mas dan Taman Kajang Mewah adalah terletak di bawah DUN Kajang, tetapi berdasrkan Daftar Pemilih Tambahan Suku Keempat tahun 2005 menunjukkan bahawa taman-taman berkenaan, lokaliti dan pengundi-pengundi di kesemua tempat ini dipindahkan ke DUN Bangi. Perkara ini menjadi kemusykilan dan pihak PAS Negeri Selangor memohon penjelasan dari Pengarah SPR Negeri Selangor.

Terlalu Lama Untuk Menjawab

Surat yang dihantar oleh pihak Pejabat PAS Negeri Selangor kepada Pengarah SPR Negeri Selangor yang mengutarakan kemusykilan yang berhubung dengan perpindahan taman-taman, lokaliti-lokaliti dan pengundi-pengundi dari DUN Kajang ini mengambil masa yang terlalu lama untuk dijawab oleh Pengarah SPR. Penulis berkali-kali menanya secara lisan terhadap Setiausaha Pas Negeri Selangor tentang jawapan bagi persoalan yang ditimbulkan PAS Kawasan Serdang, tetapi tiada jawapan yang diterima. Sementara ini Pas Serdang dan Hulu Langat mulai bekerjasama bagi menangani bersama persoalan perpindahan yang dihadapi oleh kedua-dua kawasan.

Pada satu peringkat mesyuarat kedua pihak 4 Januari 2007 mengambil keputusan membuat aduan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, bahawa jawapan mengenai kemusykilan berhubung dengan kemasukan taman, lokaliti dan pengundi dari DUN Kajang Ke DUN Bangi memerlukan jawapan segera dari SPR Negeri Selangor.

Masa diambil terlalu lama dan masih belum berjawab. Pas Kawasan Serdang dan Hulu Langat memohon dari PAS negeri didesak mengambil pendekatan profesional, bahawa segala urusan berhubung dengan perpindahan hendaklah melalui peguam PAS. Dengan ini PAS dapat menunjukkan kepada SPR Negeri tentang keseriusannya mengenai perpindahan dan jika pihak SPR tidak memberi respons sewajarnya pihak PAS Negeri dan Pusat mengambil tindakan mahkamah. Pihak PAS Serdang juga meminta pihak negeri berurusan terus kepada SPR Persekutuan sekiranya pihak negeri terus tidak memberi respons terhadap apa yang ditimbulkan PAS Serdang. Oleh kerana taman-taman yang dipindah dari segi de faktonya dibawah Hulu Langat dan dari segi de jurynya sudah berpindah ke Bangi (sudah digezetkan), maka kedua-dua kawasan berkerjasama bahawa dari segi pentadbiran kawasan berkenaan di bawah Hulu Langat dan dari segi politik dikendalikan oleh Serdang.

Setelah Setahun Baru Turun Jawapan

Berikutan dari desakan-desakan yang telah dibuat dan berikutnya berlaku pertemuan kedua antara pimpinan PAS Negeri Selangor dengan SPR dan perkara perpindahan dibangkit lagi, maka pihak SPR negeri Selangor telah menjawab surat Setiausaha Pas Negeri Selangor, tanpa merujuk kepada bil surat dan tarikh yang dikirim oleh Setiausaha Pas Negeri (29 Safar 1427 = 29 Mac 2006). Surat jawapan SPR Negeri yang dikirim kepada Setiausaha PAS Negeri bertarikh 7 Februari 2007 Ruj. PPRS(0)/PEN/51(49), iaitu selepas setahun 5 hari perkara tersebut dibangkit secara lisan, surat ini merujuk kepada pertemuan kedua 2006 dengan SPR yang dikatakan pada 8 November 2006 (perjumpaan ini sebenarnya tidak berlaku, kerana ditangguh oleh SPR sendiri).

Pertemuan sebenarnya ialah pada 22 November 2006, jam 10.00 pagi di Pejabat SPR Negeri, tetapi tidak dihadiri oleh Pengerusi SPR Negeri, Jailani, sebaliknya diwakilkan kepada Timbalan Pengarahnya iaitu Osman bin Dolah dan dihadiri sama dua orang pegawainya, manakala dari PAS Selangor menghantar 10 orang perwakilan. Dalam pertemuan ini soal perpindahan taman, lokaliti dan pengun di Kajang ke Bangi sekali lagi dibincangkan di samping lima persoalan lain, iaitu soal Pendaftar Sementara, aturan pilihanraya, Pengundi Pos, Penggunaan Cop Jari dan aduan-aduan dalam pilihanraya. Pihak Pas merasa tidak puas hati, kerana pertemuan ini tidak dihadiri Jailani dan tidak mencapai sebarang keputusan yang konkrit.

Merujuk kepada surat SPR bertarikh 7 Februari 2007 di atas, walaupun salah rujuk kepada pertemuan yang tidak wujud, tetapi soal perpindahan itu dibangkit, maka surat bertarikh 7 Februari 2007 mengakui bahawa berlakunya perpindahan taman, lokaliti dan pengundi. Pemindahan adalah melibatkan: a) Taman Kajang Raya b) Taman Berjaya c) Taman Koperasi LLN d) Taman Semarak e) Taman Pasir Mas

Bagi kesemua taman-taman ini melibatkan 33 lokaliti yang asalnya berada di P. 101 Hulu Langat, N.25 Kajang, Daerah mengundi Sungai Chua Satu (101/25/08) dipindahkan ke P.102 Serdang, N.26 Bangi Daerah Mengundi Taman Kajang Mewah (102/26/12).

Manakala sebuah lagi Taman, ialah Kajang Mewah melibatkan 7 lokaliti yang asalnya berada di P 101 Hulu Langat, N.25 Kajang Daerah Mengundi Sungai Chua Dua (101/25/06) dipindahkan ke Parlimen P. 102 Serdang, N. 26 Bangi Daerah Mengundi Taman Kajang Mewah (102/26/12). Bagi mewajarkan perpindahan ini disebutkan sebagai `Pembetulan Kedudukan Alamat/Lokaliti` dan juga diistilahkan sebagai `Urusan Belahbahagi Tahun 2005`.

Yang Dipersoalkan

Setelah perpindahan ini berlaku, pakatan secara kolektif antara kawasan-kawasan dan DUN-DUN terlibat diadakan antara pimpinan PAS Serdang dan Hulu Langat, pimpinan PKR Bangi dan Serdang melalui mesyuarat-mesyuarat di adakan dan bersetuju untuk melahirkan bantahan bersama, antaranya melalui sidang akhbar yang diadakan pada Sabtu 07.07.07 di Pejabat PKR Kajang. Kami melahirkan bantahan terhadap tindakan sewenang-wenang SPR memindah taman-taman, lokaliti-lokaliti dan pengundi-pengundi di Sungai Chua DUN Kajang ke Dun Bangi dan mempersoalkan perkara-perkara berikut:

a) Jika dikatakan pemindahan kerana `Pembetulan Kedudukan Alamat/Lokaliti` bererti kawasan pengundian yang melibatkan DUN Kajang dan DUN Bangi Mac 2004 adalah tidak betul. Ini bermakna urusan kerja dalam masa 8-10 tahun sebelum berlaku perubahan tidak dilakukan secara teliti, tetapi berlebihkurang dan cuai! Oleh kerana pengundian telah dilangsungkan atas lokaliti lama di bawah DUN Kajang, tidak sepatutnya dilakukan pemindahan taman, lokaliti dan pengundi, tetapi yang perlu dilakukan ialah perubahan dan penyesuaian sempadan yang silap itu di atas kertas dan peta semata-mata.

b) Pemindahan taman, lokaliti dan pengundi sama sekali tidak boleh diterima dan dibenarkan, kerana taman, lokaliti dan pengundi telah digezet dan yang lebih penting telah dijalankan pengundian di dalam pilihan raya ke 11 (Mac 2004). Pemindahan yang dilakukan bukan satu kawasan yang kecil, tetapi 6 taman dengan jumlah 40 lokaliti melibatkan hampir separuh kawasan Sungai Chua dengan jumlah pengundi yang besar 1,402 (pendaftaran berakhir Disember 2006) dan kini jumlah pengundi ini makin bertambah. Secara senyap mungkin pemindahan akan bertambah lagi. Ini adalah sesuatu yang serius yang melibatkan perubahan geografi, demografi dan boleh merubah peluang kalah menang bagi calon-calon yang bertanding bagi DUN-DUN yang terlibat.

c) Paling penting pemindahan yang dilakukan oleh SPR adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Artikel 113(2)(ii) yang membenarkan perubahan persempadanan hanya boleh dilakukan selepas lapan hingga sepuluh tahun. Perubahan persempadanan terbaru dilakukan pada 1 Mei 2003. Ini bermakna perubahan persempadanan hanya boleh dilakukan oleh SPR pada Mei 2011. Kalau kita teliti tidak ada tercatat di dalam akta pilihan raya sebarang Klaus yang membenarkan SPR meminda sempadan, memindahkan taman, lokaliti dan pengundi secara sewenang-wenang mengikut selera dan kehendak pihak tertentu di luar dari masa yang dibenarkan berlakunya perubahan persempadanan.. Walau apa pun istilah yang dilakukan oleh SPR, sama ada `pembetulan kedudukan alamat/lokaliti` atau `Urusan Belah Bahagi` dan sebagainya dari segi teknikalnya ianya melibatkan pengurangan taman, lokaliti dan pengundi bagi satu kawasan DUN (Kajang) dan pertambahan taman, lokaliti dan pengundi bagi kawasan DUN yang lain (Bangi) dan ini juga melibatkan perubahan peluang bagi yang terlibat dalam pertandingan di dalam pilihanraya.

d) Jika SPR diberi kebenaran merubah, meminda dan mengalih taman, lokaliti dan pengundi sesuka hati di luar dari masa persempadanan semula dibenarkan, maka ianya boleh menimbulkan kekacauan dan hilang kewibawaan akta pilihanraya yang tidak boleh lagi dipercayai dan digunapakai. Sepatutnya sesuatu yang tertulis dan diaktakan semestinya diikuti, bukan mengikut selera, penyesuaian dan kehendak semasa.

e) Apa yang dilakukan oleh SPR dengan melakukan apa yang disebut sebagai `Pembetulan` dan `Belah bahagi` memberi peluang dan sememangnya diambil peluang oleh pihak berkuasa, di dalam hal ini BN, meminda kedudukan persempadanan, taman, lokaliti dan pengundi menurut kepentingan dan peluang parti mereka. Tempat yang kalah atau lemah boleh ditokok tambah dengan tempat yang kuat dengan jumlah penyokong atau mengeluarkan jumlah tidak menyokong keluar dari kawasan/DUN yang terancam hingga mengurangkan ancaman dan risiko kekalahan. Ingat kemenangan diiktiraf, walaupun dengan kelebihan satu undi, apa lagi yang diubah dan dipindah melibatkan beribu-ribu pengundi !

Motif dan Tujuan Perpindahan

Mengapa dipindahkan taman, lokaliti dan pengundi dari Sungai Chua, Kajang (didominasi pengundi Cina) ke DUN Bangi (Lebih didominasi pengundi Melayu). Pemindahan bertujuan:

a) Pihak BN masih tidak berpuashati dengan persempadanan semula 1 Mei 2003, walaupun dengan persempadanan ini telah memberi kemenangan kepada mereka baik di Kajang yang lawan bagi BN (MCA) iaitu PKR yang kalah paling tipis iaitu 2,773 undi dibandingkan dengan calon-calon BA yang lain di Selangor yang kekalahan mereka lebih besar. Begitu juga mereka menang di DUN Bangi yang lawan bagi mereka ialah calon dari PAS. Dengan memasukkan taman-taman, lokaliti dan pengundi dari Kajang (Sungai Chua) diharap dapat mengurangkan majoriti PKR di DUN Kajang, kerana pengundi-pengundi yang dipindahkan banyak memberi sokongan kepada PKR yang calonnya berketurunan Cina. Secara kebetulan calon PKR ini telah tinggal di taman dan lokaliti yang dipindahkan. Dia amat aktif dan rapat dengan masyarakat setempat dan popular di kalangan mereka. Di sebalik dari itu dengan memindahkan pengundi-pengundi dari taman-taman Sungai Chua, mereka mengharap pengundi-pengundi Cina di sini tidak akan memberi undi kepada calon Pas yang bertanding di Bangi. Dengan ini mereka mengharapkan undi calon Pas yang akan bertanding makin merosot. dan undi bagi BN (UMNO) makin meningkat.

b) Mereka mendapati undi pengundi-pengundi Cina di Kajang meningkat dengan berjumlah lebih dari 51%, sedangkan undi Melayu di bawah 49%. Mereka tidak mau Kajang terlalu didominasi undi Cina, kerana bila satu kawasan baik DUN atau Parlimen didominasi pengundi Cina, mereka mendapat saingin tinggi dari DAP yang mampu mengalahkan MCA. Sebab itu pemimpin-pemimpin MCA menjauhi dari bertanding bagi kawasan yang majoritinya orang Cina bagi mengelak dari risiko kalah. Ini terbukti dari kajian terhadap calon pemimpin MCA bahawa:

`None of them, the president, deputy president, three vice presidents, and youth and wanita chief (who are automatic vice-presidents) – contested in a seat with more than 50% Chinese dominated constituency (The Sun, Tuesday June 26, 2007: 2).

Pemimpin MCA selesa bertanding dan mempunyai peluang tinggi untuk menang di kawasan bercampur yang jumlah pengundi Cina tidak melebihi 50%. Di dalam konteks DUN Kajang MCA yang bertanding bagi kerusi ini mau mempastikan ianya tidak dikuasai DAP atau lain, sebab itu mereka berusaha menurunkan majoriti Cina di Kajang ke bawah dari 50%. Satu cara yang dilakukan ialah dengan memindahkan pengundi Cina Kajang ke Bangi yang secara serampang dua mata boleh mengurangkan majoriti Melayu (65.88%) dan mengurangkan undi yang bakal diperolehi PAS. Walau macam mana diharap tektik kotor yang dilakukan oleh BN ini menyedarkan pengundi Cina untuk memberi undi kepada lawan BN dan makin mengurangkan undi BN (UMNO).

c) Pemindahan pengundi Cina dari taman-taman di Sungai Chua yang majoriti pengundinya dari kalangan pengundi Cina sebagai pengajaran dan ingatan kepada pengundi-pengundi di taman-taman di Sungai Chua yang selama ini memberi sokongan kepada parti lawan dari BN-MCA sama ada DAP dan juga PKR. Mereka diharap menyokong BN sebagai alternative di kawasan majoriti Melayu.

d) Perpindahan pengundi dari taman-taman Sungai Chua di Kajang adalah bertujuan mengurangkan tempat selamat bagi parti lawan – Pas dan meninggikan keselamatan bagi BN. Mereka juga mau menjayakan usaha mereka mau mensifarkan pembangkang. Tapi kita menjangka rakyat tidak rela membiarkan BN bermaharajalela di DUN Selangor tanpa `check and balance` dari pembangkang. Ini dapat dicapai dari kesedaran pengundi yang sepatutnya berstrategi dan menghantar sama suara pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

e) Di sebalik perpindahan yang dilakukan oleh SPR dan harapan tinggi bagi BN mendapat kemenangan yang lebih selesa, kita berharap kebalikan harapan itu akan berlaku. Rakyat, khususnya pengundi diharap sedar dengan manipulasi, tektik dan tipu helah BN yang jijik dan kotor. Lantas mereka sewajarnya bangkit menentang penyelewengan dan tipu helah dengan memberi sokongan kepada pihak lawan BN dan memenangkan mereka bagi memberi peluang kepada mereka menunjukkan kemampuan.

Pengakhiran

Kami dari Kawasan dan DUN yang menerima kesan dari perpindahan sama ada dari PAS Serdang, PAS Hulu Langat dan PKR Bangi, Serdang dan PKR Kajang Hulu Langat akan terus membongkarkan penyelewengan dan terus membantah dan menentang ketidakadilan agar amalan demokrasi terlaksana dan perjalanan pilihan raya berlaku secara telus dan jujur.

`Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan`

28 Jamadil Akhir 1428, 13 Julai 2007, -lanh

Institut Islam Hadhari di UKM: Lanjutan Muzakarah Imam-Imam

Kini para imam yang menyertai 'Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007' yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi selama lima hari (25–29 Jamadilawal 1428=11-15 Jun 2007) telah pulang ke tempat masing-masing.

Setiap imam tentulah membawa pulang gagasan-gagasan yang dianggap bernas yang dicapai di dalam muzakarah dan berazam untuk melaksanakannya di masjid masing-masing. Mereka juga tentulah membawa kenangan manis berdepan dengan pemimpin tertinggi Negara, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Badawi Perdana Menteri dan mendengar amanatnya ketika merasmikan muzakarah.

Menambahkan kemanisan, mereka juga berdepan dengan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak ketika merasmikan majlis penutup pada 29 Jamadilawal bersamaan 15 Jun di Dectar dan juga pada majlis keraian imam-imam di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri berkenaan di Putrajaya, pusat pemerintahan negara.

Khabarnya imam-imam dikejutkan di majlis jamuan makan ini dengan persembahan kugiran dan nyanyian-nyanyian. Muzakarah Imam-Imam ini adalah merupakan perhimpunan terbesar imam-imam pernah diadakan. Mereka adalah imam-imam dijemput dari masjid-masjid seluruh negara yang berjumlah lebih kurang 6,000 buah. Oleh kerana faktor tempat dan penginapan, lebih dari separuh daripada imam-imam sahaja dijemput dan yang hadir dari mereka berjumlah 3,950 orang.

Namun jumlah ini cukup besar memadatkan ruangan di Dectar dan memasalahkan dari segi persediaan makanan, terutama pada tempat penginapan. Secara kebetulan pada hari akhir muzakarah Jumaat 29 Jamadilawal penulis sendiri bersembahyang Jumaat di Masjid UKM. Walaupun penulis pergi agak awal ruang di Masjid UKM dua tingkat itu penuh dan terpaksa dihampar tikar di atas rumput di halaman masjid untuk memberi ruang para jemaah yang berlebihan bersembahyang.

Oleh kerana peserta-peserta muzakarah tidak sempat pulang ke penginapan masing-masing dan sesudah mengikuti agenda muzakarah ke tengah hari hari Jumaat itu, mereka terus ke masjid maka beg galas dipenuhi bahan-bahan muzakarah dan bahan-bahan berharga masing-masing termasuk beg kertas yang dijinjing terpaksa dibawa ke masjid bersama-sama. Lantaran itu di tepi dinding masjid terdampar beg-beg galas peserta muzakarah berwarna kuning dan bercop crest lambang Kerajaan Persekutuan, manakala di hadapan sebahagian dari peserta-peserta terletak beg kertas masing-masing yang merupakan hadiah daripada kerajaan Terengganu.

Pada sebelah beg kertas tertera prinsip-prinsip Islam Hadhari yang berjumlah 10 rukun iaitu Keimanan dan ketakwaan kepada Allah, Kerajaan yang adil dan beramanah, Rakyat berjiwa merdeka, Penguasaan Ilmu Pengetahuan, Pembangunan Ekonomi Seimbang & komprehensif, Kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti & wanita, keutuhan budaya dan moral, pemeliharaan alam semula jadi dan kekuatan pertahanan.

Pada bahagian bawah rukun Islam Hadhari berhias dengan gambar Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, Wilayah Persekutuan pada bahagian bawah dan wajah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Badawi, bersongkok dan berbaju Melayu pada sebelah kanan beserta pada lipatan bersebelahan tertera kata-kata Cemerlang, Gemilang & Terbilang, iaitu slogan paling popular diungkapkan pada zaman era pemerintahan Pak Lah. Pada bahagian permukaan sebelah lagi beg kertas yang dihadiah oleh Kerajaan Terengganu ini tertera lapan Nilai Islam Hadhari, khusus bagi aliran (mazhab?) Islam Hadhari Negeri Terengganu, iaitu negeri yang paling kuat dan paling teguh berpegang kepada Islam Hadhari di Malaysia (di dunia?)

Lapan nilai tambahan itu ialah Ilmu (Iqra`), Akhlak, Mesra, Kompetitif; inovatif & Kreatif, Moden & Kontemporari, Global (Ummatan Wahidah), Syumul dan Seimbang (Ummatan Wasata) dan Cemerlang (Khaira Ummah). Pada bahagian tengahnya gambar Pejabat Pentadbiran Negeri Terengganu (Wisma Darul Iman) dengan crest Kerajaan Terengganu pada bahagian kiri dan gambar Dato' Seri Idris Jusoh bersongkok dan berbaju Melayu pada bahagian sebelah kanan. Pada bahagian lipatan beg kertas hadiah tersebut terakam ungkapan slogan bagi negeri Terengganu iaitu 'Islam Hadhari Terengganu Bestari'.

Di dalam beg kertas yang disumbang oleh Kerajaan Terengganu ini terdapat antaranya buku cenderamata yang berjudul Terengganu Le Ning (Loghat Terengganu bermaksud 'Sekarang Ini') bergambar berhubung dengan projek-projek yang dilaksanakan di Terengganu dan satu risalah empat halaman bergambar berjudul 'Bukan Cakap..! Kita Buat..'. Begitulah peserta-peserta Muzakarah Imam-Imam ini dihormati, dirai, dibekalkan dengan berbagai-bagai kemudahan dan peruntukan. Para-para imam ini dijemput ketibaan mereka, dibawa melawat ke lokasi-lokasi tertentu terutama Putrajaya dan Kuala Lumpur. Untuk kejamuan keraian mereka dibawa oleh sejumlah lebih dari 80 buah bas secara berkonvoi. Pendek kata kampus UKM semasa pelajar-pelajar cuti ini diramaikan oleh para imam dan jalan-jalan dipenuhi konvoi bas-bas disediakan.

Pentingnya Imam

Melihat kepada judul `Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan, tanggapan spontan kita tentulah anjuran bermuzakarah ini dilakukan oleh JAKIM sesuai ianya sebagai institusi yang bersifat sebagai jabatan yang mengawal, mengurus dan menyelaras perkara-perkara yang berhubung dengan kegiatan Islam di negara ini. Sangkaan ini sebenarnya tidak betul, kerana yang menganjurkan muzakarah ini ialah Sekretariat Islam Hadhari di bawah Penasihat Bidang Keagamaan Perdana Menteri Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induknya, iaitu Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan Timbalan Pengerusi Induknya, Dato' Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Penerangan.

Dengan demikian fahamlah kita anjuran muzakarah ini adalah bermotifkan politik dan ianya merupakan pertanda dekatnya pilihan raya. Apakah hubungan imam-imam dengan politik sehingga mereka dikerah datang dari seluruh negara? Muzakarah ini amat penting, bukan bagi imam-imam, tetapi bagi agenda politik Umno-BN. Pentingnya muzakarah ini dapat dilihat dari pembukaannya dirasmikan oleh Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa 12 Jun.

Imam adalah tokoh dan institusi penting di tengah masyarakat. Seorang imam adalah pemimpin sebuah bandar atau kariah yang mungkin terdiri dari puluh ribuan orang. Ianya bukan saja menjadi imam sembahyang Jumaat dan waktu, tetapi juga pemimpin bagi acara agama dan sosial seperti perkahwinan, kelahiran, kematian, kenduri-kendara, sambutan-sambutan keagamaan seperti Maulid al-Rasul, Aidilfitri, Aidiladha, kerja amal masyarakat dan menyempurnakan acara-acara majlis dengan doa dan sebagainya. Bayangkan dengan pengaruh imam yang begitu rupa, jika dapat sokongan seorang imam bererti dapat menarik sokongan pengikut-pengikutnya yang mungkin beribu orang jumlahnya. Di dalam konteks ini dapat dilihat betapa pentingnya perhimpunan imam-imam yang ditaja oleh bahagian Penasihat Bidang Keagamaan Perdana Menteri dan dari bahagian Kementerian Penerangan yang sengaja menggunakan kedua-dua saluran bagi tujuan politik.

Islam Hadhari

Kita difahamkan oleh mereka yang sempat mengikuti muzakarah dan berbincang dengan peserta-peserta, kita dimaklumkan sebenarnya bukan semua imam-imam yang datang mereka yang berpihak kepada Umno dan menurut mereka, mereka datang kerana dipaksa datang dan bukan bersetuju dengan gagasan Islam Hadhari yang terpaksa mereka ikuti. Sememangnya menurut mereka arah muzakarah adalah kepada satu pihak dan program memang sengaja disusun sedemikian rupa, hatta khutbah pada hari Jumaat, hari akhir bermuzakarah juga adalah bertajuk Islam Hadhari sebagaimana pada beg kertas juga tertera rukun Islam Hadhari Persekutuan dan Nilai Islam Hadhari Terengganu. Nampaknya gagasan Islam Hadhari yang bersifat politik itu, jika pada permulaannya dicetus dan diulang-ulang di dalam majlis-majlis dan persidangan, kini telah diangkat di dalam khutbah dan menjadi tajuk muzakarah imam-imam.

Kini semakin nyata, walaupun selalu dinafikan bahawa Islam Hadhari bukan agama, bukan mazhab baru dan cuma ianya satu pendekatan, mau tidak mau, lebih-lebih lagi gagasan ini dibawa oleh pihak atasan dan diperkasakan dengan infra-struktur yang ada pada kekuasaan itu, maka apa yang dinafikan makin menjelma sebagai satu kenyataan. Ianya akan mengulangi sejarah yang melahirkan aliran-aliran di dalam Islam. Sebagai contoh kelahiran Mu`tazilah yang berasal dari perbalahan seorang murid, iaitu Wasil bin `Ata` terhadap gurunya , iaitu Hasan Basari membawa kepada pengasingan diri Wasil dari gurunya dan mengasaskan aliran yang dikenali sebagai Mu`tazilah.

Pengasasan aliran ini menurut dakwaan Mu`tazilah bertujuan baik, iaitu untuk memurnikan akidah keislaman dengan menegakkan keesaan Allah dan keadilanNya hingga mereka menggelarkan aliran mereka sebagai `Ahlul `Adli wa`l-Tawhid`. Namun oleh kerana perbezaan masalah `kuasa` dan `ikhtiar` dan masalah keadilan hingga melahirkan pendapat `tempat antara dua tempat` bagi Mu`tazilah dan beberapa masalah lain yang melibatkan berlakunya kelainan pendapat antara ahlu al-Sunnah wal Jamaah dan Mu`tazilah menyebabkan aliran ini dianggap tidak murni di dalam Islam, bahkan ada yang menganggapnya sebagai menyeleweng dan terkeluar dari Islam.

Kebimbangan yang sedemikian ditakuti berlaku kepada apa yang dikatakan `Islam Hadhari` yang sedang dipopularkan kini di negara ini. Sememangnya dilihat kepada semua prinsip-prinsip yang disusun berdasarkan pemikiran manusia itu semuanya elok, namun implikasinya amat besar bagi Islam dan pendukung-pendukung dan perkembangan masa depannya. Kita bimbang implikasi Islam Hadhari merupakan sebagai satu aliran baru dalam Islam sebagai `Mu`tazilah Moden` dalam Islam ! lantaran ianya seolah-olah memisah diri dari Islam sejati yang dipegang selama ini.

Sesungguhnya dengan meminda dan mengetengahkan apa yang dikatakan Islam Hadhari, secara logiknya meletakkan Islam yang dipegang oleh umat Islam dari dahulu hingga kini sebagai tidak hadhari, ketinggalan zaman, tidak maju, mundur dan sebagainya. Pandangan yang seumpama ini boleh menjejaskan keimanan. Pada hal di dalam Islam bukan saja rukun Islam Hadhari yang sepuluh dan Nilai Islam Hadhari yang lapan wujud, tetapi lebih dari itu wujud di dalam al-Qur`an dan Islam, tanpa perlu meminda dan mengubah terhadap Islam yang asli dan murni itu. Islam tidak perlu dipinda dan diubah. Baik rukun Islam Hadhari dan nilai tambahan bagi negeri Terengganu itu amat menekankan kemajuan yang bersifat material, nyata dan kekinian dan mengabaikan kerasulan dan yang bersifat akidah, kerohanian dan keakhiratan. Sesungguhnya telah ramai para mujaddid Islam berlalu dan mereka adalah golongan bijaksana seperti al-Ghazali, Ibn Taymiyyah, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan sebagainya, tidak ada di kalangan mereka yang cuba dan menganjur perubahan terhadap Islam.

Muzakarah dan Islam Hadhari

Oleh kerana muzakarah berorientasikan `Islam Hadhari`, kita tertanya-tanya dan ingin tahu apakah `Islam Hadhari` yang berhubung dengan masjid. Dari maklumat yang dapat diikuti dari muzakarah seperti dari kertas-kertas kerja yang dibentangkan antaranya,` Masjid Sebagai Sumber Kekuatan Umat` dibentangkan oleh Prof. Dr. Nik Aziz Nik Pa dari Universiti Malaya dan kertas berjudul `Masjid Sebagai Sumber Potensi Pengukuhan Ekonomi (Tinjauan dari Perspektif Penggabungan Dana Umat)` oleh Nik Kamal Wan Mohammad dari Universiti Teknologi Tun Hussein Onn menelurkan pendapat-pendapat antaranya menggesa agar diperkukuhkan gandingan ulama` dan umara` bagi memajukan Negara, mengingatkan agar tidak mempolitikkan khutbah, menggunakan masjid sebagai tempat menimba ilmu pngetahuan, mewujudkan perpustakaan, masjid sebagai pusat sumber dan tempat memupuk perpaduan dan menyelesaikan masalah kemasyarakatan,, masjid sebagai tempat kegiatan ekonomi dan pelajaran, menguruskan masjid secara professional dengan mencontohi Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makakah, persekitaran dan fizikal yang bersih, kemas dan cantik, tempat rekreasi dan riadah, zon masjid sebagai zon tidak merokok dan imam-imam disarankan tidak merokok dan menubuhkan Perbadanan Amanah Masjid.

Meneliti kepada natijah-natijah dari muzakarah di atas, kita bertanya adakah ini merupakan apa yang dikatakan Islam Hadhari berhubung dengan masjid-masjid? Sebenarnya ianya amat terhad dikaitkan dengan Masjid yang merupakan Rumah Allah itu. Fungsi masjid lebih besar dari itu jika dirujuk kepada ayat-ayat Qur`an, hadith Nabi, peranannya semasa sahabat-sahabat, tabi`in dan atba` al-tabi`in dan perjalanannya di dalam sejarah Islam.

Semua yang disebut dan dicadangkan itu bukan sesuatu yang baru dan telah berlaku di dalam Islam dan tidak perlu pun dikaitkan dengan Islam Hadhari. Barangkali cadangan menubuhkan Perbadanan Amanah Masjid dianggap baharu, tetapi sebenarnya bukan baru dan ianya sebagai meniru pandangan original yang dicetuskan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz bagi penubuhan Tabung Haji.

Sebenarnya sebahagian besar dari masjid dan surau sudah mempunyai Tabung Amanah yang bukan saja menjaga kepentingan masjid atau surau, tetapi membantu pengajian pelajar, orang miskin, mereka yang kemalangan dan berbagai-bagai kebajikan yang lain. Lagi pula pelaburan secara institusi ini dapat dipersoalkan dari segi praktiknya berbanding dengan Tabung Haji yang tujuan asal untuk menunaikan haji.

Kita berpendapat masjid dan surau adalah tempat ibadat, sumber ilmu dan kegiatan masyarakat umat. Masjid selain dari fungsi utamanya tempat ibadat perlu diteruskan dengan pengajaran-pengajaran terutama berhubung dengan akidah dan ibadat. Rasulullah s.a.w, mengambil masa 13 tahun di Makkah dengan memberi tumpuan khusus bagi menegakkan akidah Islam di samping ibadat dan memperbaiki akhlak umat. Kemudian diteruskan semasa di Madinah di dalam pembinaan masyarakat, Negara dan umat. Persoalan bagaimana menarik orang ramai ke masjid dan surau perlu diberi penekanan agar mereka dapat menunaikan ibadat, khususnya sembahyang secara jamaah dan dapat mengikuti pengajaran akidah, ibadat, sirah.dan sebagainya Menularnya gejala sosial di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan anak-anak muda oleh kerana mereka tidak mendapat didikan dan bimbingan agama. Penyertaan mereka di masjid dan surau dapat mengurangkan gejala berkenaan.

Gangguan Terhadap Masjid

Kita berpendapat di dalam mengurus masjid ada gangguan yang membelenggui masjid dan surau di negera kita kini dan perlu dibincangkan. Ahli-ahli kariah terutama bagi masjid kini tidak bebas mempraktikkan suruhan Islam yang menggesa supaya memilih pimpinan melalui syura. Diimaksudkan di sini kini pemilihan AJK masjid dan juga surau bukan hak mutlak bagi ahli-ahli kariah bagi masjid dan surau, perlantikan dikehendaki mendapat kelulusan ketua Umno setempat dan setengahnya mensyaratkan orang besar tempatan menjadi penasihat atau AJK dan kuasa penentu akhirnya pada pihak berkuasa Jabatan Agama Negeri yang mengawal masjid-masjid termasuk khutbah-khutbah Jumaat.

Tidak jarang yang dilantik kerana kuasa politik dan bukan `orang masjid` atau `orang surau` dan ada kala akhlak dan pembawaan mereka yang dilantik tidak mencerminkan orang yang berkelayakan menjadi AJK masjid dan surau. Akibat pemilihan yang tidak demokratik dan orang yang tidak berminat dengan masjid atau surau, maka masjid dan surau tidak makmur. Masjid hanya berfungsi pada hari Jumaat bagi sembahyang Jumaat, manakala bagi waktu-waktu yang lain kurang makmum, bahkan lebih berfungsi pada waktu maghrib Isyak dan subuh.

Tiada pengajaran, kerana wujudnya sekatan-sekatan tertentu dan jika ada oleh kerana sekatan, amat kurang dengan mereka yang mendengar dan terpaksa ditutup, maka masjid dan surau dilihat sebagai berfungsi untuk sembahyang pada waktu-waktu tertentu. Ada pula masjid terus dikunci selepas menunaikan sembahyang. Kadang-kadang timbul soalan adakah pihak berkuasa bersifat jujur bagi memakmurkan masjid dan surau atau ada semacam perancangan agar masjid dan surau tidak diimarahkan bagi kepentingan tertentu.

Kita juga persoalkan, dengan keputusan yang diambil di dalam Muzakarah Imam-Imam yang diperkatakan di atas, apakah perkara yang dibincang dan dicapai sebagai rumusan itu sebenarnya akan dilaksanakan di masjid-masjid? ataukah perbincangan sekadar mengisi program dan tidak bertujuan lebih dari itu. Lantaran itu tidak ada program pelaksanaan dan tidak ada sebarang peruntukan disebut bagi meningkatkan prestasi masjid dan muzakarah hanya sekadar muzakarah. Tujuan utama ialah untuk mengawal minda imam-imam, mempengaruhi mereka dengan gagasan Islam Hadhari terutama bagi menyokong kerajaan dan menggunakan isu muzakarah ke arah satu agenda yang lebih besar. Institut Islam Hadhari

Imam-imam tidak menyedari ada agenda yang lebih penting di sebalik himpunan muzakarah terbesar itu, sebenarnya di sebalik himpunan ini dan di tempat berlangsungnya muzakarah, iaitu di Kampus UKM telah dirancang penubuhan `Institut Islam Hadhari`. Institut ini akan mempunyai bangunannya sendiri sebagaimana institut-institut yang lain di Kampus UKM.

Kita dimaklumkan pengarahnya sudah dilantik dari seorang tenaga akademik yang berlatarbelakankan sains dan Timbalan Pengarahnya adalah dari tenaga pengajar berlatarbelakangkan pendidikan Islam. Khabarnya sudah ada tempat parking bagi tenaga-tenaga ini, walaupun mereka masih belum beroperasi pada satu tempat. Khabarnya juga ada surau tertentu di kampus UKM ini dinamakan dengan `Surau Islam Hadhari`. Setakat ini belum diketahui apakah struktur institut dan pendekatan yang akan diambil, tetapi sudah tentulah pemilihan tenaga penyelidik dan pegawai-pegawai sedang dilakukan dan tenaga-tenaga ini akan menumpukan perhatian pada pendekatan dan ruanglingkup kajian Islam Hadhari dan kaedah operasinya. Jelaslah pendekatan Islam Hadhari sedang menuju ke arah yang lebih serius. Identiti aliran ini akan menjadi lebih jelas dan ianya membawa keterbezaan dengan Islam yang dianuti masyarakat selama ini. Penjelmaan mazhab baru ini nampaknya akan menjadi kenyataan dan Malaysia akan menjadi terpisah dan terasing dari aliran perdana umat Islam.

Ada beberapa implikasi dari penubuhan institut ini di UKM. Perlu diingat tidak semua warga UKM bersetuju dengan Islam Hadhari, ini membawa perpecahan bagi warga kampus itu, Ini bererti membawa iklim yang tidak sihat bagi masyarakat kampus dan perkembangan ilmiah di kampus tersebut. Selain daripada itu di kampus UKM ini sendiri sudah ada fakulti yang mengajar dan mengkaji tentang Islam. Tidak semua tenaga di Fakulti berkenaan bersetuju dengan Islam Hadhari. Ini jua membawa kepada perpecahan dan pertentangan pandangan berhubung dengan Islam. Kekacauan dijangka lebih parah dari faedah yang diharapkan. Kita juga bimbang identiti UKM akan tercemar apabila masyarakat kelak akan lebih gemar memanggil secara sindiran terhadap UKM sebagai `Universiti Islam Hadhari`.

Selain dari itu dalam konteks penubuhan institut ini, timbul tanda tanya kita berapa banyakkah lagi institut yang mengkaji tentang Islam ini hendak ditubuh. Kita sudah ada JAKIM, IKIM, YADIM dan Institute of Islamic Thought di bawah UIAM. Apakah tidak dipersoalkan tentang fungsi keberkesanan institusi berkenaan Islam ini di dalam sumbangannya terhadap Islam? Suatu masa dulu Pengarah Yadim amat giat memperkatakan tentang Islam Hadhari, tetapi kini sudah menyepi. Pengarah IKIM kini juga sering menulis tentang Islam Hadhari, kini mahu ditubuhkan pula Institut Islam Hadhari di UKM. Apakah ini memberi faedah atau menjadi satu pembaziran dan lebih dari itu membawa kepada perpecahan kepada umat Islam di Malaysia?

Penutup
Kita tidak anti kepada kemajuan dan peningkatan Islam. Kita cinta dan kasih pada Islam dan mahu mempertahankan kemurniannya. Kita takut Islam Hadhari membawa perpecahan dan isolasi terhadap Islam di Malaysia. Janganlah untuk kepentingan politik sementara Islam sanggup diperkudakan. Sama-samalah kita pertahankan kesucian dan kemurnian Islam.

Sekian. Wallahu a'lam.

Bangi
13 Jamadil Akhir 1428, 28 Jun 200) – lanh

Muktamar dan pemilihan: Satu sorotan

Pendahuluan

Muktamar Pas kali ke 53 di Kota Bharu, Kelantan dari 1-3 Jun 2007 merupakan peristiwa politik penting dan mendebarkan bagi pendukung-pendukung Pas dan tentulah diikuti oleh parti-parti lawan, terutama dari Umno dan pimpinan-pimpinannya serta dibuat sorotan oleh media-media yang dikuasai mereka.

Mereka tentulah mahu tahu siapakah saf kepimpinan Pas dipilih bakal menerajui. Apakah isu dan pendekatan bakal mereka depani.

Pemilihan dwi-tahunan adalah proses biasa menurut perlembagaan parti dan pergi dan datang pimpinan adalah kewajaran bagi mengisi kekosongan dan menjayakan harapan.

Cuma timbulnya ketegangan dan debaran, terutama bagi mereka yang terlibat untuk dipilih dan kepentingan yang diharap pemilih, pendukung dan juga masyarakat menjadikan isu pemilihan hangat dan mendebarkan.

Debaran yang paling tinggi ialah pada peringkat pemilihan Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden.

Penggolongan dan Penglabelan

Berhubung dengan pemilihan ini dari awal Mursyidul Am Pas Yang Berhormat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menekankan bahawa semua pihak di dalam Pas adalah penting, mereka yang berkelayakan wajar dipilih tanpa mengira dari golongan mana mereka. Sebenarnya tidak timbul penggolongan dan penglabelan tentang mereka. Pihak media sengaja membuat spekulasi dan pendekatan yang menjadikan perwakilan dan yang mengikuti perkembangan terpengaruh dan terikut-ikut dengannya. Media mengkelompok dan melabelkan pemilihan kepimpinan Pas kepada dua kelompok yang bertentangan. Ada yang menyebutnya golongan ulama dan professional, konservatif dan `young turks`, konservatif dan moderate, ulama orthodox dan professional progresif, `old guards` dan `young turks, veteran dan muda, dan `ultra konservatif dan `mainstream`.

Semua pengkelompokan bertentangan di atas memaksudkan ada dua kumpulan di dalam Pas yang kononnya sedang berentap dan berebut pengaruh, iaitu golongan tua yang lebih kental dengan entiti keagamaan dengan golongan muda yang lebih terbuka pandangan. Tetapi penggolongan dan penglabelan yang paling popular digunakan ialah `golongan ulama dan Professional. Contoh bagi mereka yang amat ketara ialah perebutan jawatan Timbalan Presiden di antara Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang mempertahankan jawatan dengan Yang Berhormat Datuk Harun Taib dari golongan ulama dan merupakan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat bagi mempastikan penerusan kepimpinan di tangan ulama.

Pengelompokan kepada ulama dan professional khususnya dalam Pas ini lebih bersifat imej, bukannya substen, boleh dipersoalkan dan tidak mutlak. Misalnya YB Datuk Harun Taib dikelompokkan ke dalam golongan ulama kerana latar pendidikannya dari Madinah dan Mesir, tetapi apa kurangnya dari segi pendidikan keagamaan yang dicapai oleh Ustaz Nasharuddin yang mendapat pendidikan di Jordan dan UIA, bahkan pernah menjadi pensyarah di dalam bidang Undang-undang Keislaman di UIA dan UKM. Beliau amat layak untuk dikategorikan sebagai ulama. Apa yang dilihat, dikategori dan dilabelkan dengan ulama bagi Datuk Harun dan professional bagi Ustaz Nasaruddin ialah penilaian dari segi luar yang lebih kepada imej, penampilan, perwatakan, pakaian dan pembawaan, bukan dari segi substan. Dalam kata lain Ustaz Nasaruddin lebih dari mampu dilihat dari segi imej sebagai ulama jika beliau membawa imej, penampilan, pakaian dan pembawaan keulamaan dari awal dan berterusan.

Contoh kebalikan dari ini ada dari kalangan yang terpilih ke AJK Pusat berlatarbelakangkan pendidikan dan berprofession di dalam bidang pendidikan dan pernah mengajar di Fakulti Pendidikan di universiti tempatan yang jelas beliau seorang professional, tetapi dikategorikan sebagai kelompok ulama dan menenggelamkan keprofessionalannya kerana entiti luaran. Puan Hajjah Wan Hasrina Timbalan Ketua Muslimat Pas Pusat lulusan bidang Sains dari UKM dan seorang guru sebagai profession dilihat dari golongan ulama kerana lebih dilihat dari segi penampilan. Banyak contoh-contoh yang lain yang bersifat `cross border` dari segi imej yang tidak mutlak ini boleh ditampilkan. Di dalam hal ini persoalan imej (termasuk di bawahnya penampilan, perwatakan, pakaian dan pembawaan) walaupun dilihat sebagai biasa, tetapi menjadi penting dari segi perkiraan. Lantaran itu timbul usaha `pembetulan kembali` kepimpinan kepada landasan asal. Dalam maksud dalam pemilihan muktamar ke 51 lepas yang juga di Kota Bharu, dilihat gelombang golongan professional terlampau kuat sehingga jawatan Timbalan Presiden, ketiga-tiga Naib Presiden dan sebahagian besar dari AJK Pusat didominasi oleh golongan professional. Ini menggugat kedudukan, imej dan identiti ulama di dalam parti, maka sewajarnya ianya perlu diperbetulkan.

Pertembungan Imej?

Menelusuri pandangan di atas, dapatlah dikatakan pihak media berjaya mencipta batas imej bagi pemilihan di dalam muktamar Pas 2007 atau lebih dari itu, apakakah pendukung-pendukung Pas selama ini juga lebih dipengaruhi imej dari substan ? Pihak yang mempertahankan imej ulama mau identiti ulama menjadi tonggak perwatakan dan tidak sewajarnya turun kepada taraf awam. Ideal ulama diibaratkan cahaya yang menarik khalayak mengelilingi dan mengikuti. Manakala imej bagi yang disifatkan `professional` dilihat sebagai cara memperwatakkan lahiri diri seperti orang awam, turun di tengah mereka, bersama khalayak, merasai apa yang mereka rasa, membela mereka, mudah mendekati dan didekati dan dalam masa yang sama menarik mereka ke arah kebaikan dan kemanfaatan bersama. Bukan saja setakat menampilkan imej, tetapi juga dari segi approach dan penawaran. Ini apa yang dikatakan sebagai `rebranding` dan `repackaging`.

Dari satu segi media nampaknya berjaya memperlihatkan kegelisahan pada satu pihak, bahawa imej ulama yang mendominasi imej Pas akan terhakis dan lebih dibimbangi, jika pembawa imej professional kelak berada pada peringkat pimpinan puncak akan mengubah langsung imej peringkat tertinggi yang selama ini didominasi oleh imej ulama. Lantas alasan tambahan timbul, bahawa pimpinan no. 2 parti masih muda, seharusnya ia melalui pendedahan yang lebih lama pada jawatan Setiausaha Agung dahulu. Juga ditimbulkan pembelian bangunan baru sebagai Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut sebagai hasil dari repackaging dan rebranding itu sebagai membebankan ahli-ahli. Tetapi apakah semua ini merupakan alasan dan hujah yang kukuh ?

Pandangan yang mengkategorikan kelas ulama dan professional terbawa-bawa kepada cara melihat pemilihan Naib-naib Presiden yang dikatakan memerlukan kepada pembetulan itu, dimaksudkan ketiga-tiga jawatan yang dikatakan didominasi kalangan professional itu perlu diperbetulkan dan perlu dibawa kembali ke pangkuan ulama. Akibat penglabelan sedemikian menyebabkan salah seorang Naib Presiden, iaitu Datuk Dr. Hassan Ali menarik diri dari mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden. Namun walaupun lima orang yang menawarkan diri untuk bertanding, kita melihat pemegang jawatan Naib Presiden yang lama yang dikategorikan sebagai professional itu tetap terpilih, iaitu Yang Berhormat Datuk Husam Musa dan Saudara Mohamad Sabu, manakala kerusi yang dikosongkan oleh Datuk Dr. Hassan Ali dipenuhi oleh Ustaz Ahmad Awang.

Pandangan yang mengkelaskan calon-calon kepada ulama dan professional juga terbawa kepada melihat mereka yang diberi mandate menduduki kerusi AJK Pas Pusat yang dikatakan berjaya diperbaiki dengan dikatakan bahawa 10 daripada yang diberi mandate tersebut adalah dari kalangan `ulama, manakala lapan sahaja adalah dari kalangan professional. Manakala bagi Timbalan pemuda, iaitu Ustaz Nasruddin Tantawi dilihat sebagai mewakili ulama`. Ketua Pemuda iaitu Yang Berhormat Sdr. Salahuddin Ayob menang tanpa bertanding dikira sebagai professional.

Hakikat dan Realiti

Usaha melabelkan perwakilan dan pimpinan Pas kepada kelompok seperti ulama dan professional boleh dikatakan berjaya dan tertanam di dalam minda kalangan ahli-ahli Pas sendiri dan sukar untuk dibasmikan, ianya sebagai realiti melihatkan pada perwatakan, penampilan dan pembawaan ahli-ahli Pas sendiri. Dari satu segi ianya kurang baik dan boleh memecahbelahkan perpaduan jamaah dan parti. Namun begitu melihat kepada perwakilan dan pola pemilihan yang dilakukan oleh para perwakilan mereka tidak terpengaruh dengan gembar-gembur media yang mempertajamkan antara apa yang dikatakan golongan ulama dan professional, juga termasuk kempen-kempen yang diterima melalui SMS. Para perwakilan adalah bijaksana dalam menentukan pilihan, bahkan pemilihan bukan ditentukan oleh perwakilan, tetapi telah diputuskan di dalam mesyuarat agung kawasan terlebih dahulu. Mereka membuat pilihan berdasrkan apa yang telah diputuskan.

Jika kita teliti pada mereka yang terpilih baik pada peringkat Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Timbalan dan Naib pemuda, Ketua muslimat dan Timbalan dan ahli-ahli jawatankuasa yang memenangi pilihan, maka kemenangan mereka dipilih oleh para perwakilan berdasarkan kemampuan dan rekod kerja yang telah dilakukan selama ini, bukan atas dasar pertimbangan mereka dari kalangan ulama atau professional. Tidak siapa dapat menafikan sejak dua tahun lepas Ustaz Nasharuddin diberi mandate menjadi Timbalan Presiden banyak perubahan dan impak pada parti berlaku dan interaksi dengan luar dari parti termasuk membawa imej Pas ke tengah kota dengan pembelian bangunan Pas di Jalan Raja Laut itu. Perwakilan tidak bersedia untuk mengubahkan pemilihan, semata-mata kerana maukan imej ulama, maka apa yang dicapai terganggu.

Bagi pemilihan Naib-naib Presiden tidak siapa menafikan ketokohan kepimpinan Yang Berhormat Datuk Husam Musa, baik pada peringkat pimpinan negeri dan juga pada peringkat parti. Di samping kerja-kerjanya yang dilihat berjalan dengan baik, beliau banyak mencurahkan idea yang bernas bagi kemajuan parti. Sebab itu beliau kekal sebagai calon yang mendapat undi tertinggi bagi Naib Presiden, manakala Saudara Mohamad Sabu dilihat mempunyai peranan yang besar di dalam memperkukuhkan parti dan seorang pemimpin yang mempunyai daya tarikan yang tinggi di dalam menyampaikan ceramah dan beliau adalah merupakan aset yang penting bagi parti.

Manakala Ustaz Ahmad Awang dipilih bukan atas dasar ulamanya, tetapi atas kelayakan dan ketokohannya sebagai Bekas YDP Persatuan Ulama Malaysia dan berkemampuan di dalam mengendalikan portfolio penerangan yang dipegang dalam parti selama ini. Kelayakan yang sedemikian juga dapat dilihat pada pimpinan baru dan muda bagi Timbalan dan Naib Pemuda dan juga Ketua Muslimat, Timbalan dan Naibnya. Perkiraan ulama dan professional adalah secara kebetulan dan bukan sebagai perancangan. Pendek kata ia merupakan pemilihan yang bijak dan tepat.

Berhubung dengan keputusan pemilihan ini Yang Berhormat Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas menegaskan dalam sidang akhbarnya di Kota Bharu berikut dari keputusan pemilihan bahawa hasil pemilihan menepiskan tafsiran negatif. Pemilihan mencerminkan satu gabungan yang mantap dari berbagai-bagai bidang. Ia menafikan berlakunya pertembungan antara golongan ulama dan professional sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak media.

Dinamika

Bagi mereka yang meletakkan harapan yang tinggi terhadap pemilihan adalah merupakan satu beban! Tetapi bagi yang bekerja dan melihatnya sebagai amanah akan meneruskan tugasnya seperti biasa sama ada terpilih atau tidak. Manakala ada yang melihat pertandingan bagi pemilihan bukan saja membebankan, tetapi menimbulkan berbagai perkara negatif seperti pelabelan, tuduhan, perpecahan dan merenggangkan hubungan persaudaraan sehingga ada yang mencadangkan agar pemilihan dibuat hanya secara syura sahaja ! Namun adakah ianya menyelesaikan masalah ? Syura di sini lebih bersifat ditunjuk secara kompromi kepada sesiapa yang layak dari segi kepimpinan, jawatan dan kedudukan. Cara yang sedemikian mungkin boleh diselesaikan di dalam jamaah yang kecil, tetapi tidak bagi jamaah yang ramai. Penyelesaian di dalam kelompok yang kecil ini juga tidak terlepas segi kesan dan implikasi.

Berhubung dengan konsep syura ini yang merujuk kepada ayat al-Qur`an yang bermaksud:

Dan segala urusan mereka itu diputuskan dengan secara bermesyuarat (al-Shura, 42: 38)

dan ayat yang bermaksud:

Hendaklah mereka itu bermesyuarat bagi sesuatu urusan (Ali Imran, 3: 159)

ianya hendaklah difahami dalam erti kata yang luas. Berhubung dengan kaedah mesyuarat ini Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam bukunya yang berjudul Sirah Nabawiyyah (2006), bahawa kaedah bermesyuarat di dalam al-Qur`an itu adalah secara prinsip, tetapi dapat diolah secara detail, panduan dapat diikut dari cara Nabi bermesyuarat, bahkan apabila ada dua orang bermusafir Nabi mengarahkan supaya dilantik Amir (Ketua) yang mengendalikan perbincangan dan keputusan mesti dipatuhi bersama. Bagi jumlah dan kumpulan yang ramai Tuan Guru berpendapat kaedah mengundi adalah merupakan juga kaedah bermesyuarat. Beliau tidak bersetuju dan menyanggah pendapat setengah pihak yang pilihanraya sebagai tidak Islamik ! Pendapat ini menurut Tuan Guru suatu kenyataan yang lahir dari sikap gopoh, tidak boleh melihat sesuatu yang baru lantas mereka menolaknya atas alasan tidak wujud di zaman Nabi s.a.w.Kata Tuan Guru:

``Dalam urusan politik mengikut sistem moden, bagi mendapatkan suatu keputusan muktamad di kalangan rakyat, maka sistem pilihanraya telah diperkenalkan supaya setiap individu dapat menyatakan pendirian mereka,`` selanjutnya, ``Sesungguhnya pilihanraya itu juga adalah satu kaedah bermesyuarat, jika ahli mesyuarat itu tidak begitu ramai sudah tentu ia dapat dilakukan dalam suatu majlis yang terhad. Segala permasalahan boleh dibahas bersama, dan kemudiannya pendapat ahli mesyuarat boleh disimpul dengan mengangkat tangan atau dengan menggunakan kertas undi. Tetapi apabila pendapat rakyat dalam sesebuah Negara yang penduduknya berpuluh juta , tidak mungkin ia boleh diadakan dalam suatu majlis. Bagaimana orang yang mengatur mesyuarat itu hendak memperolehi pendapat ahli mesyuarat sama ada mereka setuju atau sebaliknya ? Justeru itu sistem pilihanraya itu diwujudkan sebagai suatu kaedah mesyuarat bagi mencapai satu keputusan, di mana semua orang dapat menyertainya dengan menyatakan pendirian mereka melalui kertas undi yang disediakan.`` (Sirah Nabawiyyah, 2006: 15-16).

Dalam kata lain kaedah bermesyuarat berbagai-bagai. Bagi kelompok kecil keputusan boleh diambil secara persetujuan lisan atau angkat tangan, tetapi bagi mesyuarat seperti muktamar yang perwakilan berjumlah 1,125 orang dari 170 Pas Kawasan mewakili ahli lebih dari 800,000 orang pemilihan secara mengundi melalui kertas masih tetap releven dan paling sesuai dan dapat mengatasi kekecohan dan rasa tidak puashati ahli. Adalah dikhuatiri jika pemilihan dibuat secara tunjuk boleh menyebabkan salah pilih, kronisme, nepotisme dan lobi. Pemilihan yang diadakan bagi setiap dua tahun sekali baik pada peringkat cawangan, kawasan maupun muktamar menggerakkan daya dinamika bagi pemimpin yang dipilih atau yang mau dipilih untuk mereka bekerja dan menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Melalui pilihanraya secara berperaturan dapat digantikan yang berundur, menyaring mereka yang kurang berfungsi dan melantik mereka yang layak pada tempat masing-masing.

Memperluaskan Fungsi Pemilihan

Adalah difikirkan, jika pada peringkat cawangan, kawasan dan pusat pemimpin dipilih melalui pemilihan secara pilihanraya, maka adalah lebih elok pemilihan pemimpin pada peringkat negeri baik dari Pesuruhjaya, timbalan-timbalan, ahli Exco dan ajk-ajk tertentu dipilih melalui pilihanraya pada ijtimak negeri. Pemilihan sekali bagi dua tahun. Dengan itu mesyuarat terdiri dari peringkat Dewan Harian yang dipilih melalui pilihanraya termasuk Wakil Dewan Ulama dan mesyuarat perhubungan negeri yang terdiri dari EXCO yang dipilih melalui mesyuarat Ijtimak negeri dan ketua-ketua yang dipilih dari kawasan-kawasan di dalam negeri termasuk Wakil Dewan Ulama. Dengan itu memperlihatkan setiap ahli adalah dilantik melalui pemilihan secara mengundi, bukan secara ditunjuk. Dengan ini boleh mengelak dari tersilap tunjuk, kronisme, nepotisme dan lobi melobi,

Berkronologi pemilihan secara mengundi ini pada peringkat pusat juga hendaklah mempunyai Dewan Pusat yang ahli mesyuaratnya dipilih secara mengundi di dalam muktamar dan Dewan Negeri-negeri yang ahli mesyuaratnya terdiri dari ahli-ahli Dewan Pusat, Dewan Negeri-negeri dan Dewan Ulama. Dengan ini suara, cadangan dan buah fikiran negeri tidak terhenti setakat mesyuarat perhubungan negeri, tetapi dapat dibawa melalui Dewan Negeri-negeri. Cara ini lebih tersusun dan lebih demokratik dan suara dari pihak yang serendah-rendahnya dapat sampai ke peringkat tertinggi. Jika cadangan ini difikirkan wajar, sesuai dan lebih demokratik, tetapi bercanggah dengan peruntukan perlembagaan, maka perubahan perlembagaan boleh dicadangkan melalui muktamar setelah usul diangkatkan.

Mempersiapkan Diri

Walau apapun muktamar telah selesai, pimpinan telah dipilih secara mantap. Jika ada sebarang perselisihan dan kerenggangan, maka hendaklah kembali kepada ukhwah Islamiah dengan kembali bersatu dan bertaut di dalam jamaah. Tugas yang terdekat dan perlu diberi perhatian utama kini, ialah memperkemaskan jentera pilihanraya yang bakal dihadapai di dalam masa terdekat ini. Menurut Pengarah Pilihanraya Pas Pusat Datuk Mustapha Ali hingga kini tidak sampai separuh jentera pilihanraya negeri-negeri yang lulus dalam persiapan pilihanraya. Itupun persiapan antara 60-70% sahaja, iaitu negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang.

Manakala negeri-negeri yang lain di bawah persediaan tersebut atau masih belum bersedia. Jika negeri-negeri belum bersedia, ini bererti pada peringkat kawasan – parlimen dan DUN juga belum bersedia, lebih-lebih lagi bagi negeri-negeri yang masih dianggap belum bersedia. Bagi peringkat Pusat tentulah memikirkan strategi bagi menghadapi pilihanraya bakal dihadapi, mendesak pihak SPR menjalankan pilihanraya secara telus dan adil, memastikan senarai pemilih dibersih dari sebarang penipuan dan perjalanan pilihanraya berjalan secara teratur dan tiada penyelewengan. Kepada pihak pemerintah didesak tidak menggunakan wang rakyat dan kemudahan kerajaan bagi kepentingan parti juga memanipulasi media bagi menjatuhkan lawan secara tidak beretika dan bermoral.

Pihak pimpinan pusat juga, khususnya jentera pilihanraya bersedia dan membuat jangkaan apakah kaedah-kaedah penipuan yang baru akan dilakukan oleh parti pemerintah dan bersedia mendepani dan menentangnya. Bagi pihak negeri juga, khususnya selepas perlantikan Pesuruhjaya masing-masing memastikan persediaan dan penyelarasan pilihanraya pada peringkat negeri berjalan secara teratur. Kursus pilihanraya berjalan secara tersusun dan memastikan segala keperluan pilihanraya disediakan secara sempurna hingga bila diisytiharkan pilihanraya, maka tidak berlaku kelam kabut dan tergesa-gesa. Pihak kawasan juga memastikan jentera JPRK, MTD dan UPU tertubuh dan berjalan dengan baik dan semua gerakkerja pilihanraya tersusun.

Kita berpendapat adalah menjadi hasrat pimpinan yang baru dilantik dari peringkat pusat membawalah kepada peringkat negeri dan kawasan, bahawa tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka melalui pemilihan yang baru dijalankan dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan adalah menjadi hasrat semua pihak dan peringkat bahawa antara kejayaan yang dihasrat tercapai ialah memenangi pilihanraya yang akan berlangsung di samping kejayaan-kejayaan yang lain sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan. Sekian.

Bangi,

22 Jamadil Awwal 1428 = 08 Jun 2007.

Cabaran terhadap ulama

Ulama tidak dipertikaikan lagi dari segi kedudukan, hieraki dan martabat. Allah mengiktiraf ulama sebagaimana firman-Nya bermaksud: Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan yang dikurniai ilmu berada pada ketinggian darjat. (al-Mujadalah, 58: 11)

Pengiktirafan diperkukuhkan lagi dengan firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hambanya ialah ulama. (Fatir, 35: 28).

Manakala Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda bermaksud: Para ulama adalah pewaris nabi-nabi.

Pada hadis lain diriwayatkan oleh Muadh bahawa baginda bersabda bermaksud: Orang alim adalah pemegang amanah Allah Subhanahu wa Taala di muka bumi.

Sesungguhnya induk bagi Islam ialah al-Quran dan Sirah Nabi Muhammad dengan perbuatan, kalam dan pembawaannya merupakan tafsiran terhadap Islam dan para sahabat dengan penuh amanah melanjutkan maklumat dan keilmuan kepada pendukung-pendukung Islam selanjutnya. Sekadar menyebut beberapa dari kalangan mereka seperti Sayidatina Aishah r. anha, Abdullah Ibn Umar, Abdullah Ibn Abbas, Abdullah Ibn Mas`ud r. anhum dan sebagainya.

2. Membina tradisi ilmu

Generasi Tabi`in dan Tabi` al-Tabi`in dan Atba` Tabi` al-Tabi`in menghuraikan Islam dari perspektif keilmuan khusus yang diwarisi oleh generasi-generasi selanjutnya.

Antara mereka seperti Al-Imam Malik dengan karya al-Muwatta` berhubung dengan keilmuan hadith dan juga fiqh, Ash`ari-Maturidi yang berhubung dengan `aqidah, Ibn Kathir dengan bidang tafsir, Ibn Ishak berhubung dengan Sirah al-Nabawiyyah, Al-Muhasibi di dalam bidang tasawwuf terutama dengan kitab pentingnya al-Ri`ayah li Huquqi Allah, Ibn Aqil berhubung dengan nahu, Ibn Rashiq berhubung dengan sastera terutama dengan kitabnya yang berjudul Al-`Umdah.

Asas yang diletakkan oleh tokoh-tokoh `ulama` ini menjadi induk bagi perkembangan ilmu-ilmu berkenaan dan cabang-cabang keilmuan yang berkembang daripadanya.

Termasuklah berbagai-bagai bidang ilmu sains yang ditokohi oleh berbagai-bagai `ulama`, antaranya Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd, Al-Biruni, Ibn Maskawayh, Jabir bin Hayyan, al-Khawarizmi, al-Battani, al-Farghani, al-Razi, al-Bitruji, al-Zarqali, al-Ghazali dan sebagainya.

Para ulama juga mengarang karya-karya yang berhubung dengan siasah dan pentadbiran seperti Al-Farabi dengan bukunya yang berjudul al-Madinah al-Fadhilah, Al-Mawardi dengan bukunya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Al-Tha`alabi dengan Adab al-Muluk, al-Ghazali dengan Nasihat al-Muluk dan Ibn Khaldun dengan Al-Muqaddimah. Hasilnya Islam bangkit sebagai sebuah tamadun yang menjunjung ilmu pengetahuan. Semuanya menjadi panduan dan pegangan umat Islam dan tamadun ini turut dimanfaat oleh mereka yang bukan Islam.

3. Mengembara demi dakwah

Kalangan ulama tidak saja mengajar dan menghasilkan kitab-kitab keilmuan, tetapi antara mereka turut menghadapi cabaran, setengah daripada mereka menghadapi fitnah dan tekanan seperti yang dihadapi misalnya oleh Imam Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal, Ibn `Arabi dan Al-Hallaj.

Sesetengah mereka mengambil risiko mengembara bagi mengembangkan agama Islam dan keilmuan. Alam Melayu dikunjungi ulama-pengembara bagi mengembangkan ilmu pengetahuan seperti Syeikh Ismail, Syeikh Abdul Aziz, Syeikh Abul Khair, Syeikh Abu Ishaq, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Syeikh Sharif Muhammad al-Baghdadi. Melalui dakwah yang dibawa mereka atau yang seumpama mereka kita di alam Melayu, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu menerima nikmat agama Islam.

4. Perkembangan ilmu tempatan

Di Alam Melayu Islam berkembang atas daya usaha `ulama` membangunkan institusi keilmuan Islam di pusat-pusat keilmuan setempat mengajar, memperkenalkan tulisan jawi sebagaimana bukti terawal terdapat pada Batu Bersurat di Hulu Terengganu (1312M.) dan mengarang kitab-kitab bagi perkembangan keilmuan yang sekali gus memperkembang dan meningkatkan martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.

Tempat-tempat yang menjadi pusat perkembangan Islam ialah seperti Pasai dengan tokoh seperti Makhdum Patakan, Melaka seperti Kadhi Munawir, Terengganu dengan tokoh seperti Abdul Malik bin Abdullah, Aceh seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Singkel, Banjar seperti Muhammad Arshad al-Banjari, Patani seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Zainal Abidin al-Fatani, Syeikh Nik Mat , di Palimbang Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, di Johor seperti Raja Ali Haji dan Tun Seri Lanang, Kedah seperti Tuan Hussein Kedah, manakala dari Kelantan seperti Tuan Tabal dan Tuan Ali Kotan dan sebagainya.

Ulama ini mengarang kitab-kitab, membuka institusi pendidikan dan mengajar keilmuan Islam. Ulama` tidak saja sebagai pendakwah, pengarang dan pembuka institusi pendidikan agama, tetapi juga sebagai penasihat dan pemandu di dalam bidang politik dan pentadbiran. Jika di dalam tradisi peradaban Islam lahirnya penulis di dalam bidang politik dan pentadbiran seperti al-Farabi, al-Mawardi, al-Tha`alabi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun, maka di dalam peradaban Melayu-Islam lahir ulama`-pengarang di dalam bidang politik dan pentadbiran.

Mereka seperti Bukhari al-Jauhari dengan karyanya berjudul Tajul-Salatin, Nuruddin al-Raniri dengan karyanya yang berjudul Bustanul-Salatin, Tun Seri Lanang dengan karyanya Sulalatul-Salatin (Sejarah Melayu), Raja Ali Haji dengan karyanya Tuhfat al-Nafis dan Syeikh Abdul Qadir Patani (?) dengan karya Kitab Nasihat Segala Raja-Raja (Milik Sultan Zainal Abidin III Terengganu).

Tokoh-tokoh `ulama`, pengarang, pendidik dan pembimbing politik dan pentadbiran ini adalah merupakan mujahid yang menyebarkan Islam dan menjadikan rantau alam Melayu sebagai rantau Islam dan kini merupakan kawasan yang paling ramai umat Islam di dunia. Semangat dan jihad serta dakwah mereka ini patut menjadi tauladan dan ikutan bagi para ulama`.

5. Ulama benteng menentang penjajahan

Apabila penjajah tiba dan ingin menguasai politik dan ekonomi Negara-negara Alam Melayu-Islam, tokoh-tokoh ulama dan pengikut-pengikut mereka merupakan benteng Islam dan pejuang-pejuang yang mempertahankan Islam. Lantaran itu kita dapati Syeikh Daud Fatani dan keluarganya selepas berjihad, terpaksa berpindah ke Makkah setelah tidak dapat mempertahankan Patani dari serangan Siam, Syeikh Abdul Samad Palimbang syahid di Senggora kerana mau membebaskan negeri-negeri Melayu Islam di Selatan Siam.

Ulama-ulama Indonesia seperti Imam Bonjol berperang (Perang Paderi) dengan Belanda mempertahankan Islam. Fatahillah yang menyebarkan Islam di Jawa mempertahankan negaranya dari di kuasai penjajah, di Terengganu tokoh `ulama` seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan pengikut-pengikutnya memberontak menentang kemasukan British di Terengganu, manakala di Kelantan Tok Janggut menganjur pemberontakan di Pasir Putih Kelantan menentang kemasukan British di Kelantan dan tokoh-tokoh seperti Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau menentang penjajah British yang mulai masuk menguasai Pahang.

Penjajah mendapat tentangan dari anak tempatan atas dasar cintakan agama dan kasihkan Negara. Ada dua pendekatan yang diambil penjajah. Pertama secara kekerasan sebagaimana dilakukan oleh Sepanyol di Filipina yang memaksakan penduduk yang telah Islam di sana menerima Kristian, walaubagaimana penduduk Islam terus-terusan menentang penjajah Sepanyol hingga kepada pemerintah kini di Selatan Filipina, khususnya di kepulauan Mindanao.

Manakala pihak British di Malaya, mengambil sikap berlembut dengan tidak menyentuh agama Islam yang dianuti penduduk di Malaya. Mereka menguasai politik dan Ekonomi, tetapi membiarkan agama, tanpa memberi perhatian untuk meningkatkannya dan tidak diberi nilai ekonomi. Lantaran itu pendidikan keislaman ketinggalan.

6. Ulama dan perjuangan kemerdekaan

Dalam perjuangan kemerdekaan tanahair para ulama adalah kalangan yang terawal mencetus perjuangan kemerdekaan seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau. Mereka diikuti oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Sulong Patani, Syed Abdul Rahman (Tuan Paloh) Terengganu, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi membawalah kepada Abu Bakar al-Baqir Gunung Semanggol, Haji Muhammad Fuad, Dr. Abbas, Dr. Burhanuddin Hilmi dan Profesor Zulkifli Muhammad.

Ironinya, bahawa pejuang-pejuang Islam yang mempelopori perjuangan kemerdekaan, bukanlah mereka yang dapat menikmati kepimpinan dan hasil kemerdekaan. Mereka disisihkan, sebagaimana Islam itu sendiri disisihkan dari mendapat pembelaan dan pembiyayaan dari segi pendidikan dan tiada peluang dari segi ekonomi.

Sebaliknya perjuangan kemerdekaan diambil alih pihak nasionalis. Apabila perjuangan dicapai melalui nasionalis di Malaysia yang terdapat di dalamnya sedikit elemen keagamaan, tetapi lebih dipinggirkan menjadikan pihak yang memperjuangkan Islam seperti di Malaysia, tidak senang dengan peminggiran dan membawa kepada tertubuhnya Parti Islam Setanah Melayu (PAS) pada tahun 1951.

7. PAS dan ulama

Dewan Ulama PAS adalah Dewan tertinggi dalam parti (Fasal 37) yang dewan ini baik peringkat Pusat maupun pada peringkat negeri antaranya bertujuan menjalankan usaha menyatukan tenaga dan pemikiran `ulama bagi memperkuat dan mempertingkatkan perjuangan Islam serta menyusun dan menjalankan kegiatan tarbiah dan pendidikan di kalangan ahli-ahli Pas dan mengatur program latihan kepimpinan bagi membentuk petugas-petugas parti yang berilmu, beriman, bertaqwa, berpengalaman dan memahami perkembangan semasa.(Fasal 43 (f)(i & ii).

Dewan Ulama adalah pemandu parti yang bertanggungjawab memperkukuhkan dalaman parti dan memperkasakannya dengan nilai-nilai keislaman. Dewan Ulama juga memandu dan menunjukkan arah berhubung dengan interaksi parti dengan pihak luaran seperti mengenai tahaluf siyasi kerjasama Pas dengan parti yang bukan PAS atau ahli PAS dengan yang bukan Islam dan sebagainya. Pada dasarnya arah yang dipandu oleh `ulama` berjaya menegakkan ahli parti beridentitikan Islam, mempunyai watak dan pembawaan yang berbeza dari ahli-ahli parti yang lain.

8. Cabaran luaran

Cabaran yang sukar dihadapi oleh Pas, juga ulama, ialah sedang Pas meletakkan tujuan Pas (Fasal 5), ialah (i) bagi memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah dan (ii) mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara sedangkan pemerintahan negara bergerak daripada Nasionalisme + Agama kepada Liberalisme.

Nasionalisme adalah faham yang timbul pada pertengahan abad ke 19 akibat dari revolusi Perancis dan penguasaannya terhadap negeri-negeri di Eropah yang bangkit menentang Perancis seperti Jerman dan Itali atas platform nasionalis bagi mencapai kemerdekaan. Bagi Negara-negara Islam yang mengambil pendekatan nasionalisme seperti di Mesir (1919), Afghanistan (1919) seterusnya merebak ke Indonesia (1945) termasuk di Malaya (1946) menjadikan platform perjuangan adalah atas faham nasionalisme dan menjadikan keagamaan yang didukung sebagai force perjuangan yang menjadikannya lebih kental kerana berjuang menghalau penjajah, lantaran mereka adalah `kafir` dan `penjajah`.

Tetapi penyatuan antara Nasionalisme + Agama bukan sesuatu yang asli dan sesuai, sebab itu mudah luntur dan terpisah apabila nasionalisme itu cair dan penyatuan dengan keagamaan menjadi longgar. Kelonggaran nampak berlaku di dalam politik di Mesir, Indonesia bahkan Malaysia.

Nasionalisme di Malaysia dipertahankan di dalam politik atas nama kaum seperti Umno bagi orang Melayu, MCA bagi orang Cina dan MIC bagi orang India yang selalu menimbulkan konflik dalaman bagi mempertahankan kepentingan kaum dalam ikatan parti itu.

Bagi Umno mempertahankan Islam sebagai tugas warisan, bukan sebagai dasar perjuangan, bahkan atas dasar desakan dan kehendak orang Melayu, khususnya dari parti yang memperjuangkan Islam seperti PAS. Sebagai contoh kerajaan terpaksa turut meneruskan pendidikan agama di sekolah-sekolah agama dan menjadikannya sebahagian dari kurikulum pendidikan pada peringkat sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi, atas kehendak masyarakat, tetapi tanpa komitmen sepenuhnya.

9. Menipisnya Nasionalisme

Mendepani arus perkembangan semasa yang berorientasikan ekonomi dan kemajuan dan mendepani globalisasi dan dunia tanpa sempadan, nasionalisme yang tanpa ideologi itu semakin terhakis dan menipis. Malaysia memilih pengkoporatan dan penswastaan yang menjadikan Dasar Ekonomi Baru dilemma dan semi gagal, sebenarnya mau tidak mau nasionalisme menipis dan bergerak ke arah falsafah dan ideologi yang lebih munasabah baginya samada sosialis, conservative, anarchisme dan sebagainya.

Tetapi yang paling logik bagi pergerakan politik nasionalisme di Malaysia, khususnya Umno ialah bergerak ke arah Liberalisme demokrasi. Arah inilah pergerakan politik dominan di Malaysia yang secara langsung mencabar PAS, khususnya ulama`. Liberal mengarah kepada `social attitudes` yang bermaksud `keterbukaan fikiran dan pendapat`, memberi hak individu, memberi kebebasan, lebih berpandukan reason, keadilan dan toleransi dan kepelbagaian (Heywood, A., Political Ideologies, 2005: 28).

10. Kesan

Liberalisme yang bergerak dari nasionalis memberi kesan termasuk kepada orang Melayu dan dasar negara sendiri sebagai contohnya pengabaian terhadap Bahasa Melayu yang sebelum itu perjuangan bahasa adalah menjadi teras perjuangan nasionalisme Melayu.

Tetapi kini perjuangan bahasa ini telah longlai, terabai dan terpinggir. Kesan liberalisme ini juga berlaku terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan yang kini mewajibkan penggunaan bahasa Inggreis bagi pelajaran matematik dan Sains yang melemahkan Dasar Pelajaran dan Bahasa Melayu. Selain dari itu ianya memberi kesan ke arah meliberalkan agama, memisahkannya dari urusan keduniaan, mengagungkan kebebasan pergaulan yang menimbulkan krisis moral terutama di kalangan muda muda.

11. Kesan liberalisme terhadap Islam

Kesan Liberalisme yang mencabar PAS, antaranya kebimbangan UMNO bahawa dengan tumpuan kepada Islam akan memperkuatkan lawan dari PAS yang berprinsipkan Islam, maka berlaku manipulasi terhadap Islam, Pada zaman pemerintahan Dr Mahathir yang sering memandang sinis terhadap PAS dan mau mematikan visi Pas yang mau pemerintahan Negara berdasrkan Islam telah mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.

Ia bertujuan mematikan perjuangan PAS, walaupun mereka tahu dari segi perlembagaan dan praktiknya Negara ini adalah Negara sekular. Ini berikutan dari dasar `Menerapkan Nilai-Nilai Islam` dan kini `Islam Hadhari` pada era Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi. Pendekatan ini mencelarukan penganut Islam dan menghalang perkembangan Islam sebenarnya.

Kesan liberalisme dari segi perundangan yang menjadi cabaran dan seharusnya diberi tumpuan oleh Ulama` ialah pertembungan antara perundangan civil dan pengasingan undang-undang Syariah 1988. dan permintaan supaya menghormati (Article 121(1A) dan pertembungan antara kedua-duanya (Respecting the Constitution, The Star, 3 May, 2007: N51).

12. Pertembungan antara perundangan syariah dan sivil

Kesan liberalisme terhadap Islam antaranya timbulnya isu-isu pertembungan perundangan sivil dan syariah seperti permohonan Lina Joy menuntut agar ditiadakan identiti Islamnya dalam kad pengenalannya. Nama Islamnya Azlina Jailani. Perebutan jenazah seorang muallaf M.Moorthy yang meninggal antara Jabatan Agama dengan bekas isteri si mati M. Kaliammal yang bukan Muslim, kes ini masih pada peringkat appeal oleh bekas isteri M.Moorthy, arahan menyerahkan anak-anak di bawah umur kepada suami yang bukan Islam apabila isterinya menganut Islam -Kes Raimah Bibi Noordin yang menganut Islam dengan bekas suami Hindu P. Marimuthu dan 6 orang anaknya (NST, May 3, 2007: 6), masalah nafkah isteri yang tidak Islam menjaga anak-anak apabila suaminya masuk Islam dan melarang suami dari membawa anaknya sama ke dalam Islam (NST, March 31, 2007: 9), bantahan yang bukan Islam terhadap kes yang ada hubungan dengan mahkamah Syariah yang meminta mereka ke mahkamah Syariah (The Sun, Mach 29, 2007: 5).

13. Masalah Moral

Dari segi yang lain pula umat Islam, khususnya ulama` berdepan dengan Masalah `Policing Moral` yang menegah penguatkuasa pejabat agama membuat serbuan terhadap pesalah moral kecuali mendapat kebenaran polis dan mesti disertai pegawai polis senior (the Sun March 25, 2005: 1), bahkan menganggap sebagai tidak wajar pegawai-pegawai agama mengintai, apalagi membuat serbuan terhadap kes-kes khalwat, kerana kononnya Islam tidak menggalakkan melihat orang melakukan dosa (NST, Disember 15, 2006: 11).

Anehnya larangan di atas mendapat sokongan beberapa Menteri dan ahli parlimen muslim. Mereka menyokong memorandum 58 NGOs dan 249 individu membantah `polising moral` yang berkait dengan serbuan oleh JAIS di sebuah kelab di Damansara pada Januari 2005 itu.

Soal hiburan melampau juga melibatkan masalah moral seperti cadangan membuka tempat hiburan hingga jam 5.00 pagi bagi menarik pelancong (BH, 6 Julai 2006: 11), hiburan yang dianggap melampau melalui media letronik hingga pihak JAKIM mengeluarkan garis panduan hiburan, tetapi dibantah oleh Dr. Rais Yatim dari KEKKWA, menyebabkan syor JAKIM itu ditangguhkan (BH: 28 Mei, 2005: 1).

14. Menyentuh kesucian Islam

Persoalan yang lebih serius dan mencabar yang dihadapi Islam dan ulama, ialah tuduhan yang melabelkan Islam sebagai agama ganas. Ianya merupakan konspirasi teratur dipelopori Amerika bagi merosakkan image dan reputasi Islam.

Begitu juga tuntutan yang maukan Islam tertakluk di bawah Interfaith Religious Commission (IRC) dan mendapat bantahan kuat dari kalangan umat Islam. Tetapi mendapat sokongan 10 menteri. Perkara ini dibangkit di parlimen (The Sun March 26-27, 2006:8) dan dijawab oleh Datuk Seri Abdullah yang mengalu-ngalukan penubuhan IRC dengan syarat tidak menyentuh kesucian Islam. Hingga kini perkara ini ditangguh dan digantungkan.

Cabaran yang mendepani ulama termasuklah Persoalan Hak dan Kebebasan Wanita yang selalu dikemukakan oleh Sisters In Islam, Persoalan berhubung dengan Hak dan Kebebasan memilih agama. Desakan yang pernah dikemukakan oleh Lim Keng Yaik yang kemudian ditarik balik agar pengajaran matapelajaran agama dipisahkan dari sekolah kebangsaan (NST, May 2, 2005: 2) Persoalan kongsi raya yang dibimbangi boleh merosakkan akidah (BH, 14 Jun 2006: 7).

Beberapa pandangan terbaru yang menjadi tanda tanya umat Islam berhubung dengan pendapat Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri bin Zainal Abidin bahawa tidak wajar diintip mereka yang berkhalwat, kerana kononnya orang Islam tidak digalakkan melihat orang yang melakukan dosa (NST, 15 Disember, 2006: 1).

Beberapa pandangan beliau yang lain, bahawa orang bukan Islam yang menganut Islam tidak perlu menukarkan nama asal kepada nama baru yang lebih sesuai dengan Islam dan harus menjawab salam dari yang bukan Islam (The Star 4 May, 2007: N6). `Ulama` juga seharusnya memberi respons terhadap cadangan agar diadakan dialog peradaban antara agama yang diharap lebih memberi kefahaman terhadap masyarakat dan menghormati agama.

Ulama adalah pembimbing dan bukan tunduk kepada kehendak institusi tertentu hingga sanggup mengubah identiti ulama kerana tunduk pada kehendak institusi berkenaan demi publisiti.

Pendeknya `ulama` sebagai pemandu dan penunjuk arah, harus memberi respond dan pandangan terutama berhubung isu umat Islam semasa misalnya persoalan ekonomi Islam dan bank Islam yang mendapat dokongan bukan saja dari orang Islam, tetapi juga bukan Islam.

Perjalanan organisasi yang melibatkan umat Islam seperti OIC. `Ulama` wajar memberi pandangan persoalan antarabangsa misalnya penguasaan Amerika di Iraq, konflik antara puak Sunni dan Syiah dan cara penyelesaian yang wajar bagi umat Islam Iraq.

`Ulama` perlu mengeluarkan pendapat berhubung dengan kehadiran Amerika dan kewajaran Nato di Afghanistan, tekanan Amerika terhadap Iran berhubung dengan isu nuklier dan cadangan-cadangan yang patut diambil.

Pandangan-pandangan patut diberi berhubung dengan pergolokan di Dhafur, kemasukan tentera Habshah ke Erietria dan pergolakan di Sudan. Pandangan juga perlu datang dari ulama berhubung dengan konflik di Selatan Thailand dan Filipina dan kekecohan politik di Bangladesh. Setakat ini respond ketara dari Pas dan ulama ialah mengenai keganasan Israel di Palestin dan konflik Israel-Lubnan pada pertengahan tahun 2006.

15. Penutup

Ulama seharusnya bukan saja mampu membicara dan menyelesaikan masalah dalaman, tetapi juga cabaran yang dihadapi umat. Bagi PAS dan `ulama` hendaklah meletakkan dirinya sebagai sebuah kerajaan, walaupun tidak memerintah, ulama sebagai pembimbing harus menjadi pembimbing dan jurucakap parti, memahami segala persoalan yang dihadapi, mampu memperkatakannya dan kalau boleh menyelesaikan persoalan negara dan antarabangsa hingga PAS diyakini berkemampuan oleh masyarakat.

Ulama sebagai pembimbing dan terlibat dengan kegiatan keilmuan, maka Ulama juga sewajarnya dari masa ke masa hendaklah lebih banyak menerbitkan buku bersifat ilmiah bagi panduan ahli dan umat, juga menerbitkan risalah mengenai permasalahan umat Islam, isu-isu semasa dan pandangan mengenai isu-isu khusus. Dengan ini visi dan misi ulama dapat diikuti dan dihayati dengan jelas, ini sesuai dengan kedudukan dan wibawa ulama sebagai `Warathatul Anbiya``pemandu dan pembimbing umat. Sekian. - lanh

*Disesuaikan dari ucapan pembukaan Mesyuarat Agung Dewan Ulama Selangor di Sungai Besar Selangor pada 18 R. Akhir 1428 bersamaan 6 Mei 2007.

Bangi
12 Jamadil Awal 1428, 29 Mei 2007

Ijok peluang terbaik BA buat kejutan

Agak di luar dugaan dan itulah kehendak Tuhan, berlakunya pilihan raya kecil peringkat DUN secara berturut-turut sejak awal 2007 bermula dengan pilihan raya Batu Talam di Pahang (28 Januari), diikuti pilihan raya Machap, Melaka (12 April) dan terbaru di Ijok, Selangor (28 April).

Berbanding pilihan raya Batu Talam dan Machap, pilihan raya Ijok menarik dan mencabar. Ini ialah kerana beberapa faktor. DUN ini adalah merupakan DUN tradisi bagi MIC dari BN. Kerusi DUN N. 11 Ijok yang kosong disebabkan kematian ADUNnya - Datuk K. Sivalingan (59) di Chennai India pada 4 April 2007 secara tradisinya ditandingi calon dari MIC, walaupun di dalam DUN yang majoritinya pengundi Melayu.

Pengumuman telah dibuat oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Khir Toyo di Ijok bahawa calon MIC yang mempertahankan kerusi Ijok ialah K.Parthiban (38) bekas guru berkelulusan Universiti Malaya. Yang menghangatkan keadaan dan mendebarkan MIC dan menjadikan Datuk Seri Samy Vellu melenting lantaran belum sempat parti lawan mengumumkan calon yang akan mencabar K. Parthiban, konflik dalam MIC meletus, S.P.Thirumoorthy, Ketua Bahagian MIC Kuala Selangor yang merasakan dirinya paling layak dipilih bertanding setelah 25 tahun berkecimpung di dalam bidang politik, tapi tidak terpilih menjadi calon MIC (BN).

Beliau mengumumkan peletakan jawatan dari semua jawatan parti MIC yang sekali gus keluar dari parti berkenaan. Menurut Thirumoorthy dia tidak berseorangan, tapi mendakwa turut keluar dari MIC ialah 35 ketua cawangan MIC Bahagian Kuala Selangor termasuk 15 cawangan dari Ijok beserta dengan 2000 pengikutnya.

Mereka akan memberi sokongan kepada parti lawan. Tindakan ini, walaupun kemudiannya dipublisitikan Thirumoorthy menarik balik pengundurannya dari semua jawatan dalam MIC sehari sebelum hari penamaan calon (setelah perangkap dan tujuannya berjaya?) namun perpecahan adalah serius dan tidak dapat disembunyikan keretakan yang ada di dalam MIC.

Kecemasan ini bertambah, memandangkan bahawa keputusan pilihan raya Mac 2004 yang diraih oleh Sivalingan tidaklah begitu memberangsangkan. Daripada jumlah pengundi pada masa itu, iaitu 12,360, maka yang mengundi Sivalingam (BN) ialah 5,213, manakala lawannya dari PKR ialah 3,564, majoriti yang dicapai oleh Sivalingam adalah kecil, iaitu sekadar 1649 undi. Pencapaian ini merupakan yang paling dekat dengan kemenangan oleh BA (PAS & PKR) di Selangor. Bayangkan dengan perpecahan yang berlaku di kalangan MIC Selangor, khususnya di Ijok, walaupun cuba ditutup, boleh menggugat MIC dari mempertahankan kerusi di Ijok.

Kebimbangan

Sebenarnya sejak kekosongan kerusi DUN Ijok, bangkit kebimbangan di kalangan pemimpin BN, melihat kepada keputusan yang lalu dan lawan mendatang bakal berdepan, khususnya bagi pemimpin di Selangor. Khir Toyo pada peringkat permulaan menyuarakan agar calon bagi pilihan raya kecil Ijok buat kali ini biarlah dari UMNO. Hasrat ini memanglah logik, kerana jika dalam pilihan raya di DUN Machap, Melaka 12 April yang lepas diwakili oleh calon dari MCA (Cina), oleh kerana majoriti pengundi di Machap terdiri dari pengundi Cina, iaitu sebanyak 47% Cina, 38% Melayu dan 15% India dari semua jumlah pengundi sekitar 10,000, maka sebab itu Lai Meng Chong dari MCA (Cina) dipilih menjadi calon dan menang di dalam pilihan raya Machap, lantaran itu logik dari perkiraan itu, maka di Ijok yang pengundinya terdiri dari 51.25% Melayu, 21.29% Cina dan hanya 27.47% India dari keseluruhan pengundi 12,272 sewajarnya calon juga dipilih dari UMNO (Melayu).

Ianya bukan bersifat perkauman, tetapi adalah logik dan kewajaran. Tapi ADUN-ADUN Kawasan ini sebelum Sivalingam adalah dari MIC. Apakah tidak wajar sekali sekala kerusi ini ditukarkan kepada wakil dari majoriti kaum yang tertinggi di tempat berkenaan? Bahkan dapat ditafsirkan meningkatnya sokongan terhadap calon PKR pada pilihan raya Mac 2004, iaitu Saudara Abdol Rahman Bin Moharam atas faktor majoriti masyarakat setempat yang rindukan perwakilan dari kalangan kaum mereka yang merupakan majoriti dari pengundi setempat.

Walau bagaimana hasrat awal Khir Toyo terbantut, oleh kerana kelicikan Samy Vellu yang dari awal mengambil tindakan memilih calon dari MIC dan segera mengemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi dan menyetujuinya dan ini segera pula diumumkan sudah wujudnya calon pilihan dari MIC sebelum membuat pengumuman rasmi pada 16 April yang lepas.

Secara diplomasi dan bagi menunjukkan kepada masyarakat dan khususnya pengundi di Ijok bahawa tidak ada pertelingkahan antara Khir Toyo dengan MIC, dan Khir Toyo terpaksa tutup mulut dan bersetuju dengan MIC dan kelulusan Perdana Menteri, maka secara diplomasi Khir Toyo ditugaskan membuat pengumuman calon pilihan MIC, iaitu Parthiban dengan dihadiri sama Samy Vellu dan Timbalan Presiden MCA Datuk Chan Kong Choy bagi menunjukkan sokongan dari kaum Cina.

Calon amat berkelayakan

Kita melihat MIC, khususnya Samy Vellu amat ghairah dan agak gopoh di dalam mengejar kesempatan agar kekosongan kerusi di Ijok tidak diisi oleh calon dari kaum lain, khususnya dari kaum Melayu. Akibat kegopohan ini menimbulkan sengketa di dalam MIC itu sendiri yang merugikan MIC. Kelebihan calon dari MIC yang digembar-gemburkan itu terpaksa berdepan dengan calon berkelayakan PKR, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim yang pemilihannya diumumkan dengan rasminya oleh Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail di Batang Berjuntai pada 17 April.

Pemilihan ini dipersetujui PAS dan juga DAP. Tan Sri Dato` Khalid Ibrahim ialah Bendahari Agung PKR merangkap Pengerusi PKR Selangor di samping Ketua PKR di Kuala Selangor, iaitu kawasan kelahiran calon berkenaan. Tan Seri Khalid adalah berkelulusan Ekonomi dari Universiti Malaya dan MA di dalam bidang Pentadbiran Negara dari Universiti Queensland, Australia. Dari segi kerjaya beliau menjadi Ketua Pengarah Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) antara 1979-1994 dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad 1995 - 2003.

Kerana kepakarannya beliau dilantik sebagai Fellow Penyelidik di Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa (ISIS) serta Fellow Perbadanan Produktiviti Negara (NPC). Beliau juga menjadi jururunding bagi berbagai badan dan firma di dalam dan luar Negara. Dari kepakaran Tan Sri Khalid beliau berjasa besar kepada rakyat Negara ini hasil dari perkembangan PNB dan juga memberi sumbangan kepada ekonomi Negara hasil dari keterlibatan beliau dari kedua-dua institusi berkenaan. Bahkan dapat dilihat perladangan Guthrie yang dibuka termasuk di Kuala Selangor, khususnya di Ijok memberi nikmat ekonomi kepada penduduk setempat dan juga negara.

Mengulangi pola yang sama

Satu pola yang sama dilakukan oleh pihak BN, khusus bagi bertanding pada pilihan raya kecil seperti Ijok ini, ialah melaksanakan projek segera dan membuat berbagai-bagai janji. Sebagai contoh bandingan sebelum tiba hari penamaan calon di Machap Melaka pihak BN mengambil kesempatan menggunakan wang rakyat dan Negara bagi tujuan kempen parti contoh menurap secara segera jalan dari Kampung Bulat ke Machap Baru, pengumuman Timbalan Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak peruntukan sebanyak RM100,000 bagi memperbaiki Masjid Felda Hutan Perca.

Beliau juga mengumumkan pembinaan Taman Rekreasi Datuk Wira Poh Ah Tian di Machap Baru, manakala Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur Menteri Pelancongan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi membina beberapa Taman Rekreasi di Melaka. Di samping itu sengaja diadakan bertujuan politik acara pecah tanah merasmikan Perkampungan Generasi Kedua di Felda yang baru dinamakan dengan Felda Tun Ghafar Manggong, acara bertujuan politik juga diadakan bagi penyampaian geran tanah kepada 95 orang generasi kedua Felda tersebut.

Dalam berkempen, Masjid Datuk Machap (Jailani Mendik) digunakan sebagai alat politik, manakala Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin Kementerian Luar Bandar menjanjikan peruntukan Luar Bandar bagi kemudahan infra-struktur di Machap. Tenaga-tenaga pengajar IPTA dan pegawai-pegawai diperalatkan bagi kepentingan politik BN di Machap. Sekolah juga digunakan bagi tujuan politik dengan menganjurkan kelas tuisyen bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu di SRJK. Ceramah politik juga dilakukan di Masjid al-Ehsan, Kampung Tebung Machap.

Yang lebih serius calon sendiri membuat janji akan memberi bantuan membaiki rumah dari peruntukan negeri kepada penduduk di Kampung Machap Baru. Ini merupakan kesalahan menurut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (pindaan 1 Ogos 1994) Beliau juga bersama pemimpin MCA & BN menganjurkan jamuan yang melibatkan ribuan hadirin yang boleh ditafsirkan bagi menarik sokongan pengundi yang juga merupakan kesalahan menurut Bahagian III, pecahan 8 dan Bahagian III Pecahan II (b). Selain dari itu umum mengetahui bahawa pihak BN menggunakan media letronik milik Kerajaan secara bias. Semuanya merupakan kesalahan dari segi akta atau sekurang-kurangnya dari segi etika pilihanraya yang sewajarnya ditegur oleh SPR.

Pola yang sama berlaku di Ijok sebelum penamaan calon pilihanraya, pihak JKR di bawah Kementerian Kerjaraya yang Menterinya ialah Samy Vellu telah menghantar deretan lori-lori penuh dengan muatan tar menurap jalan-jalan sebelum masuk ke Pekan Ijok dan di Pekan Ijok sendiri. Dari pemerhatian kita jalan-jalan di sini baru ditar dan masih elok, tetapi untuk menarik sokongan pengundi, maka jalan-jalan ini diturap lagi, walaupun bersifat membazir dan mengganggu kelicinan lalu lintas.

Sebagaimana di Machap dijanjikan dengan peruntukan kewangan bagi pembangunan, maka demikian juga di Ijok Menteri Besar Selangor menjanjikan sejumlah RM36 juta bagi menyiapkan projek-projek di Ijot. Agak lucu Menteri Besar mengatakan peruntukan itu telah lama disediakan untuk kawasan Ijok ! Tetapi mengapa sekarang baru digunakan, bahkan dalam masa yang singkat ? Janganlah menganggap mentaliti masyarakat rendah dan bodoh. Tidak kurang lucu, bimbang tidak mendapat sokongan pengundi, maka secara mengejut dan segera, tetapi tidak ikhlas Menteri Besar mengumumkan penutupan tempat pelupusan sampah di Ijok. Adakah tempat pelupusan sampah itu juga telah lama dirancangkan? Tapi kini baru diambil tindakan?

Masyarakat lebih faham pada tindak tanduk murahan. Sebagaimana biasa media-media letronak dan cetak memberi liputan secara bias dan berpihak kepada calon BN. Kempen-kempen yang bercanggah dari segi etika dan mungkin salah dari segi Akta Pilihanraya akan bertambah, khusunya selepas Hari Penamaan Calon pada 19 April (Khamis). Tentulah lebih banyak bantuan, janji pembangunan dan curahan jumlah kewangan akan dilakukan. Memandangkan berlakunya kekacauan pada hari penamaan calon dapat dijangka pertandingan kali ini begitu sengit.

Pihak BN yang merasa tertekan dan terdesak akan mengambil tindakan kasar. Pihak PKR perlu teliti dan mengawasi bukan saja perjalanan kempen pilihanraya, tetapi proses perjalanan mengundi yang dalam masa terdesak berbagai-bagai tektik dan tipu helah akan dilakukan bagi menjamin kemenangan. Pihak Polis dan SPR perlu mengawal dan memoniter segala perkembangan yang berlaku, khusus dari segi kesalahan etika dan akta. Badan-badan bebas, NGO-NGO, pemerhati luar dan dalam negeri, bahkan rakyat setempat patut sama memberi perhatian, peka dan mengawasi sebarang tipu daya dan kesalahan-kesalahan dan mengangkatnya kepada pihak berkenaan.

Kedudukan ADUN si DUN

Di dalam keghairahan dan semangat berkempen untuk mencapai kemenangan, perlu diingatkan, bahawa tujuan mengadakan pilihanraya kecil di Ijok, ialah untuk mengisi kekosongan kerusi DUN Ijok yang telah kosong. Bagi Dewan Undangan Negeri yang berjumlah sebanyak 56 kerusi itu, kekurangan sebuah kerusi, tidak memberi kesan kepada perjalanan pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor. Dalam keadaan sekarang Kerajaan mempunyai 53 kerusi (2 kerusi pembangkang dari DAP) dengan satu kerusi kosong akibat dari kematian. Dengan 53 kerusi Kerajaan yang memerintah tidak menghadapi apa-apa masalah di dalam menjalankan mesyuarat dan di dalam mengambil sebarang keputusan.

Ketiadaan Datuk K. Sivalingam di dalam DUN yang merupakan Exco Pekerja Estet Dan Perpaduan Kaum itu juga tidak bermasalah bagi Kerajaan, kerana jawatan ini boleh diisi oleh ramai lagi ADUN-ADUN yang berkelayakan. Pilihanraya yang diadakan sekarang adalah bagi memenuhi kehendak perlembagaan Malaysia dan Akta Pilihanraya 1958 (Akta 19), Bahagian V, Perjalanan Pilihanraya yang berhubung dengan Writ Pilihan raya No. 12(3) yang menyebut:

"Berhubung dengan sesuatu kekosongan yang hendaklah dipenuhi dalam sesuatu pilihan raya kecil, suatu writ hendaklah dikeluarkan tidak dahulu daripada empat hari dan tidak lewat daripada sepuluh hari dari tarikh kekosongan itu disahkan berlaku oleh Suruhanjaya Pilihan Raya," seterusnya pecahan (4) menyebut:

"Apabila menerima suatu writ yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1), pegawai pengurus hendaklah mengambil langkah-langkah bagi mengadakan suatu pilihanraya mengikut cara yang ditetapkan.``

Maka pilihan raya yang diadakan adalah bagi memenuhi keperluan akta pilihan raya di atas. Sebagaimana dikatakan dengan kedudukan ahli DUN Selangor sekarang yang majoriti besarnya berpihak kepada BN yang memerintah Negeri Selangor, tidak terjejas dari perjalanan mesyuarat DUN, Exco dan pemerintahan kerajaan. Bahkan jika Sivalingam meninggal setelah cukup tiga tahun DUN Selangor bersidang dari kali pertama selepas pilihanraya Mac 2004, (Sidang Pertama pada 13 April 2004- Sivalingam meninggal 4 April), maka pilihanraya Ijok tidak perlu diadakan dan sudah tentu tidak mengganggu dari segi perjalanan DUN, Exco dan pemerintahan Negeri.

Dalam kata lain memberi kerusi kepada BN kembali setelah kekosongan selepas kematian Sivalingam, tidak kritikal, tidak penting, bahkan tidak begitu perlu, ianya sekadar memenuhi kekosongan. Katakan Parthiban menang, ia hanya diletak kembali ditempat kerusi yang kosong. Dia tidak mungkin dengan begitu segera dilantik ke kerusi Exco yang dikosongkan oleh Sivalingam, bahkan ia akan lebih banyak tenggelam dalam kebiasaan sebagaimana kebanyakan ADUN-ADUN BN lain di dalam DUN. Dia tidak mampu mengkritik, bahkan lebih berdiam diri dan bersifat `yes man` semata-mata.

Keperluan serius

Perkara yang lebih serius di dalam pemilihan ADUN dari Ijok ke DUN Selangor sekarang ialah mewujudkan pembangkang yang kuat dan efektif serta menuntut kemampuan ADUN mengkritik dan membaiki situasi di DUN Selangor sekarang, situasi keadaan di dalam Negeri Selangor, situasi di DUN Ijot, bahkan situasi Negara. Harapan-harapan ini tidak boleh diharapkan dari ADUN Ijok jika yang terpilih adalah dari BN. Yang dapat dibuat hanyalah berhubung dengan sedikit sebanyak pembangunan di Ijok. Sebenarnya untuk pembangunan di Ijok secara maximum kini sedang berlaku, iaitu dari kempen pilihanraya sedang berjalan dalam mana pihak berkuasa mencurahkan peruntukan dan pembangunan bagi menarik undi.

Adapun selepas itu akan dihentikan projek dan pembangunan sebagaimana yang berlaku selepas pilihanraya kecil di Kuala Brang, Pengkalan Pasir, Batu Talam dan Machap. Dalam keadaan sekarang dan seterusnya DUN Selangor memerlukan tokoh yang dapat memberikan fikiran yang bernas bagi membaiki perjalanan ekonomi negeri, menghidupkan sesi DUN yang hambar. Peranan ini dapat dipenuhi sebahagiannya oleh dua Wakil Pembangkang dari DAP, terutama dari DUN Sungai Pinang di Kelang, iaitu saudara YB Teng Chang Khim, tetapi suaranya telah disekat secara tidak demokratik dan keahlian beliau untuk menghadiri sidang DUN Selangor digantung sehingga akhir 2007 dan mungkin dilanjutkan.

Peranannya yang selama ini begitu aktif dan digeruni oleh ahli-ahli DUN yang begitu ramai dinafikan. Tan Sri Khalid Ibrahim jika terpilih mampu memecahkan benteng sekatan yang dilakukan oleh BN di DUN. Beliau seorang yang biasa menghadiri dan mengambil bahagian secara functional di dalam dewan-dewan mensyuarat pada peringkat nasional, regional dan antarabangsa.

Beliau dapat memberi fikiran dan memandu Dewan dan Kerajaan negeri dengan cadangan-cadangan yang positif di dalam bidang ekonomi, koporat (Pengalaman memimpin PNB), industri dan pertanian (peranan mengetui Guthrie) yang patut diceburi oleh pihak negeri, bahkan pandangan dan pendekatan yang dicadangkan memberi kesan positif kepada Negara dan negeri. Beliau sepatutnya diberi ruang ke DUN Selangor dan dialu-alukan kehadirannya, kerana ianya merupakan aset yang amat penting bagi DUN dan Negeri Selangor dan Negara.

Hakikatnya Negeri Selangor memerlukan pembangkang berkesan dan lebih seimbang bagi membetulkan penyelewengan-penyelewengan yang ada di DUN dan negeri. Pembetulan perlu dilakukan terhadap salahnya tindakan penggondolan tanah-tanah hutan simpan, penggunaan kawasan rekreasi, pembaziran dari segi pembinaan rumah Exco yang tidak diperlukan.

Kita maklum ADUN Negeri sendiri terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, mencuri hasil bumi negeri. Negeri pula tidak memantau secara teliti perjalanan PBT-PBT yang bermasalah. Negeri patut menangani masalah perumahan dan penganiyaan terhadap peneroka-peneroka Bandar. Juga perlu diselesaikan permasalahan yang berlaku di MPK, MPPJ, MPAJ, MPKj, MPSJ dan sebagainya.

Terlampau banyak perkara yang perlu diperbetulkan dan perlunya DUN Selangor kepada mereka yang berwibawa menangani permasalahan yang dihadapi. Pengundi Ijok sepatutnya memberi laluan kepada Tan Sri Khalid sementara lebih ramai lagi yang muncul mengikutinya ke DUN. Selangor perlu menangani gejala sosial yang menjadi-jadi.

Menurut Rekod Polis, Selangor mengalami kenaikan tertinggi peratusan gejala jenayah. Sejak Januari hingga Mac 2007 sebanyak 14,561 kes berlaku, ianya bertambah sebanyak 1,310 dalam tiga bulan pertama tahun lepas. Bandingkan dengan keseluruhan jenayah di dalam Negara pada tahun lepas (2006) yang berjumlah sebanyak 198,622 kes. Bagi mengatasinya perlu kepada pendekatan yang serius dan tindakan yang berkesan.

Negeri Selangor juga memerlukan pandangan dan cadangan kepakaran misalnya bagi mengatasi kekurangan air yang dijangka lebih serius dihadapi pada masa hadapan, ironinya pula di sebalik kekurangan air, Selangor juga sering menghadapi banjir kilat secara berulang yang menuntut perancangan yang rapi bagi mengatasinya dan juga bagaimana menyimpan air yang melempah dari banjir-banjir dan hujan yang begitu banyak. Selangor juga menghadapi masalah kilang-kilang haram dan pencemaran yang serius terutama sungai-sungai di negeri tersebut. Perancangan dan tindakan rapi perlu diambil.

Selain daripada itu Selangor berhasrat menjadikan negeri ini sebagai hub pendidikan dengan diwujudkan universiti sendiri, iaitu Universiti Industri. Di dalam bidang ini Tan Sri Khalid dapat dimanfaat dan diambil buah fikirannya, kerana beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan di universiti dan dijemput oleh berbagai universiti di dalam dan luar Negara berhubung dengan pengalaman dan kepakarannya.

Dari segi peranannya bagi penduduk setempat, Tan seri Khalid dan pasukannya mampu melonjakkan kawasannya dengan program-program ekonomi, pendidikan, belia dan sosial. Menurutnya tidak banyak perubahan di kawasannya sejak kecil beliau hingga kini. Pendek kata banyak perkara yang perlu diberi perhatian dan pembaikan.

Ini tidak bererti dengan seorang `tokoh` dapat menyelesaikan semua persoalan. tetapi jika kepakaran ini terdapat pada seseorang yang menawarkan dirinya untuk berkhidmat untuk negeri Selangor yang beliau sendiri anak Selangor dan anak jati bagi kawasan kerusi yang beliau tandingi, mengapa orang yang begitu berkelayakan tidak kita terima, bahkan sepatutnya beliau dialu-alukan, diberi ruang dan laluan baginya.

Adapun lawannya dilihat bukan saja tidak dapat memberi impak yang bermakna bagi DUN Selangor, tetapi sebagai seorang yang masih muda, beliau sewajarnya terlebih dahulu memperkayakan dirinya dengan pengalaman dan perkhidmatan terhadap masyarakat. Masa depan beliau masih panjang dan beliau perlu mematangkan dirinya untuk kepentingan masa depannya.

Penutup

Sebagai kesimpulan pertandingan pilihan raya kecil Ijok amat menarik. Apakah pilihan terbaik antara emosi mempertahankan `budaya politik penerusan` dengan realiti menerima kepimpinan yang berjaya dalam bidang ekonomi dan koporat dan ianya merupakan tokoh yang disegani dan dihormati pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Apakah rasional untuk menolak `tawaran berharga` ini ? Sesungguhnya beliau rela turun padang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan tempat kelahiran yang menjadi `root` baginya membina jati dirinya yang darinya dia memperkembangkan dirinya bagi kepentingan bangsa dan Negara ke peringkat nasional dan antarabangsa. Kita kira insya Allah ada kesedaran masyarakat dan pengundi di Ijok. Pertanda kuatnya sokongan menjadiakan penyokong BN bimbang hingga bertindak liar pada hari penamaan calon. Pengundi di Ijok mampu membuat penilaian dan mampu membuat kejutan! Selamat membuat pilihan !

Sekian. 02 R. Akhir 1428, 20 April 2007. - lanh