December 31, 2007

PDRM : Tuntutan laksana pembaharuan

Pendahuluan

Tidak Siapa dapat menafikan tentang besarnya peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam melaksanakan undang-undang yang diperuntuk dan dipertanggungjawabkan kepadanya bagi mempastikan keamanan dan ketenteraman berkekalan di tengah masyarakat.

PDRM: Tuntutan Laksanakan Pembaharuan

Menurut Akta Polis 1967 (Akta 344), Bahagian VII, pecahan 19 di bawah tugas-tugas dan kuasa-kuasa pegawai polis menyebut bahawa mereka disifatkan sebagai sentiasa bertugas apabila dikehendaki bertindak sebagai demikian dan hendaklah melaksanakan tugas-tugas dan menjalankan kuasa-kuasa yang diberi kepadanya. Di bawah pecahan 20 tugas-tugas am pegawai polis diperincikan:

Tiap-tiap pegawai polis hendaklah melaksanakan tugas-tugas dan menjalankan kuasa-kuasa yang dipertanggungjawabkan atau diberikan oleh undang-undang ke atas atau kepada seorang pegawai polis, dan hendaklah mematuhi semua arahan yang sah berkenaan dengan perlaksanaan jawatannya yang mungkin diterimanya dari semasa ke semasa dari pegawai atasannya dalam pasukan.

Jika sesuatu tugas, kuasa atau budi bicara dipertanggungjawabkan atau diberi oleh atau di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang lain ke atas atau kepada seorang pegawai polis daripada apa-apa pangkat tertentu atau yang memegang apa-apa jawatan tertentu, pegawai polis itu hendaklah, dalam melaksanakan tugas itu atau menjalankan kuasa-kuasa atau budi bicara itu, tertakluk kepada perintah dan arahan mana-mana pegawai polis yang di bawahnya dia bertugas secara langsung, dan mana-mana pegawai polis yang kemudian tersebut itu, jika keadaan memerlukan dan didapatinya bermanfaat untuk berbuat demikian, hendaklah sendirinya melaksanakan tugas itu atau menjalankan kuasa atau budi bicara itu.

Tanpa menjejaskan keluasan peruntukan-peruntukan yang tersebut di atas atau mana-mana undang-undang lain adalah menjadi tugas seorang pegawai polis melaksanakan maksud-maksud yang tersebut dalam subseksyen (3) seksyen (3); dan dia boleh mengambil langkah-langkah yang sah dan melakukan perbuatan-perbuatan yang sah yang perlu berkaitan dengannya, termasuk –

1) Menangkap semua orang yang dia diberi kuasa oleh undang-undang menangkap;

2) Memproses risikan keselamatan;

3) Menjalankan pendakwaan;

4) Memberi bantuan dalam melaksanakan mana-mana undang-undang berhubungan dengan hasil, eksais, kebersihan, kuarantin, imigresen, dan pendaftaran;

5) Memberi bantuan dalam mengekalkan ketenteraman di pelabuhan dan lapangan terbang Malaysia, dan dalam menguatkuasakan peraturan-peraturan kelautan dan pelabuhan;

6) Melaksanakan saman, sepina, waran, perintah memenjara dan proses-proses lain yang dikeluarkan dengan sah oleh mana-mana pihak berkuasa yang kompeten;

7) Mempamerkan maklumat;

8) Melindungi harta yang tidak dituntut dan yang hilang dan mencari pemunyanya;

9) Menyita binatang-binatang yang berkeliaran dan menempatkannya dalam kandang awam;

10) Memberi bantuan dalam melindungi nyawa dan harta;

11) Melindungi harta awam daripada hilang atau rosak;

12) Menghadiri mahkamah jenayah dan, jika diperintah dengan khas, mahkamah sivil, dan menjaga ketenteraman di dalamnya; dan

13) Mengiring dan menjaga banduan-banduan dan orang-orang lain yang ada di dalam jagaan polis.

Dalam pecahan 21 Akta Polis 1967 (Akta 344) memperuntukkan tugas di jalan awam.

(1) Adalah menjadi tugas pegawai-pegawai polis –

1a) Mengatur, mengawal dan melencongkan mana-mana lalulintas;

1b) Menjaga ketenteraman di jalan awam, lorong, jalan tembus dan tempat mendarat, dan tempat kunjungan awam yang lain dan tempat di mana orang awam ada akses; dan

1c) Mencegah halangan pada waktu perhimpunan dan perarakan di jalan awam dan lorong, dan dalam mana-mana hal, bila mana-mana jalan, lorong, jalan tembus dan tempat mendarat atau feri mungkin penuh sesak atau menjadi terhalang.

Pecahan 21 ini juga memperuntukkan,

1) Seseorang yang menghalang, membangkang atau ingkar menurut apa-apa arahan yang munasabah yang diberi oleh mana-mana pegawai polis dalam melaksanakan tugas-tugasnya di bawah seksyen ini, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ratus ringgit atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

2) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini boleh ditangkap tanpa waran melainkan dia memberi kepada pegawai polis itu nama dan alamatnya dan selainnya memuaskan hati pegawai polis itu yang dia akan mematuhi dengan sewajarnya apa-apa saman atau prosiding lain yang mungkin diambil terhadapnya.

Peruntukan lain yang polis diberi tugas ialah berhubung dengan harta yang tidak dituntut, estet yang tidak dituntut, kuasa pegawai polis untuk memeriksa lesen kenderaan, dan lain-lain, kuasa untuk menahan dan memeriksa pesawat udara, kuasa untuk mendirikan sekatan-sekatan jalan, kuasa untuk mengawalselia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan, kuasa untuk menghentikan aktiviti-aktiviti tertentu yang diadakan di tempat selain daripada di suatu tempat awam.

Penggunaan kekerasan dalam menyuraikan atau menangkap orang-orang menurut seksyen 27 atau 27A, keizinan untuk mendakwa kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 27 atau 27A, kuasa untuk mengawalselia permainan muzik di tempat awam, kuasa untuk membuat kaedah-kaedah dan perintah-perintah bagi mengawal lalulintas, kuasa untuk membuat perintah-perintah bagi mengawal penunjukan bendera-bendera, dan lain-lain, kuasa untuk membuat perintah-perintah bagi menghendaki orang-orang berada dalam rumah, tiada liability terhadap perbuatan yang dilakukan di bawah kuasa waran dan pengecualian berkenaan dengan proses sivil.Dekat Di mata Dekat Di Hati

Dengan tugas-tugas yang diamanahkan dapat dikatakan bahawa polis di samping beberapa jabatan yang lain merupakan salah satu institusi yang bekerja dan berfungsi 24 jam. Balai Polis, walaupun bagi setengah pihak tempat yang menggerunkan, tetapi ianya adalah tempat menggantungkan harapan.

Balai polis tempat aduan dan pertolongan seperti berlakunya malapetaka seperti kecurian, rompakan, hilang keluarga, hilang harta, kematian, kebakaran (bersama bomba), banjir, perbalahan, kacauganggu, penipuan dan berbagai-bagai lagi.

Di berbagai-bagai tempat kelihatan polis menjalankan tugas seperti mengawal lalu lintas, membuat rondaan keselamatan di Bandar dan taman-taman perumahan, mengawal perhimpunan, meronda lebuhraya dan mengawal terutama di musim-musim perayaan, memberi pertolongan dalam kes-kes kecemasan seperti kemalangan dan sebagainya.

Pendeknya banyak khidmat yang diberi oleh polis kepada masyarakat sebagaimana diperuntukkan dalam tugas-tugas mereka selaras dengan harapan yang tinggi diperlui masyarakat terhadap polis. Tanpa polis keamanan tergugat dan masyarakat di dalam kebimbangan dan kerisauan.

Pada waktu-waktu tertentu polis terpaksa bertindak tegas dan mengggunakan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepadanya seperti menangkap pesalah-pesalah dan seterusnya membawa ke muka pengadilan, menyiasat kes-kes seperti pembunuhan, penipuan, pecah amanah, rasuah, mencuri, mengugut, merompak, merogol, menangkap pendatang haram, penyeludup dadah, menangkap sindiket-sindeket haram yang beroperasi dalam dan luar Negara, bekerjasama dengan Interpol mengesan penjenayah-penjenayah yang bergerak di dalam dan luar Negara, mengesan jenayah-jenayah komersil dan sebagainya.

Dalam menjalankan tugas-tugas terbukti kecekapan-kecekapan pihak polis secara terserlah dan setengahnya dapat menyelesaikan kes-kes secara cepat, cekap, tepat dan betul.Pertembungan Hak Dan Kekuasaan

Walau bagaimana di dalam menjalankan tugas, kadangkala berlaku pertembungan umpamnya dengan parti-parti politik, khususnya dari pihak pembangkang yang sering menganggap mereka didiskriminasikan. Masing-masing berhujah berdasarkan hak masing-masing. Misalnya di dalam Perlembagaan Malaysia diperuntukkan di dalam artikal 10 menyatakan:

``Subject to Clauses (2) and (3):

a) every citizen has the right to freedom of speech and expression;

b) all citizens have the right to assemble peaceably and without arms,

c) all citizens have the right to form associations.

(The Constitution of Malaysia, 1964: 206-207).

Walaupun perlembagaan memperuntukkan kebebasan bercakap dan mengeluarkan pendapat dan mengadakan perhimpunan secara aman tanpa senjata, dari segi praktiknya tidak dapat dilakukan. Sebarang perhimpunan dan ceramah di tempat awam memerlukan keizinan polis dan tidak jarang tidak diizinkan dengan alasan-alasan tertentu.

Keadaan ini selalunya tidak dikenakan terhadap perhimpunan yang dianjur pihak kerajaan dan parti politik kerajaan. Bahkan perhimpunan dan ceramah di kawasan persendirian dan dalam bangunan turut dikacauganggu. Pihak Polis menggunakan Akta Polis 27A Kuasa untuk menghentikan aktiviti-aktiviti tertentu yang diadakan di tempat selain daripada di suatu tempat awam.

(1) Jika apa-apa aktiviti berlangsung di atas atau di dalam mana-mana tanah atau premis yang tidak merupakan suatu tempat awam dan –

(a) aktiviti itu ditujukan kepada, atau dimaksud untuk disaksikan atau didengar atau disertai oleh, orang-orang di luar tanah atau premis itu, atau dari segala hal keadaan ia dapat difahamkan sebagai ditujukan atau dimaksudkan sedemikian; atau

(b) aktiviti itu menarik kehadiran dua puluh atau lebih di luar tanah atau premis itu; atau

© aktiviti itu mungkin memudaratkan kepentingan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau membangkitkan kekacauan keamanan.

Atas alasan ini perhimpunan di dalam kawasan atau premis persendirian walaupn tidak mengganggu, tetapi sering diganggu polis, bahkan ada antara mereka ditangkap dan dibicarakan di mahkamah.

Tindakan sedemikian adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia, bahkan bercanggah dengan Hak Asasi Manusia berdasarkan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 yang mengandungi 30 perkara yang dipersetujui PBB berdasarkan Resolusi 2625 (XXV) antaranya perkara (19) kebebasan bependapat dan mengeluarkan pendapat dan perkara (21) Pengiktirafan hak berhimpun secara aman dan perkara (22) Hak kebebasan berpersatuan. (Hak Asasai & Hak Bersuara, 2002: 28-34).

Perlanggaran Hak Asasi Manusia juga berlaku apabila mereka yang ditangkap diseksa dan ditorture dengan berbagai-bagai cara semasa di dalam tahanan polis. Pada hal sejak Disember 1975:

``the United Nations General Assembly adopted the Declaration on the Protection of all persons From Being Subjected to Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment.``Penyelewengan di Dalam PDRM

Sebagai rakyat biasa ada dari kalangan individu polis terlibat di dalam kesalahan yang antaranya dipapar di dalam media antaranya seperti terlibat di dalam rasuah, perompakan, perogolan, dadah, perasugut bahkan pembunuhan. Di dalam buku Policing Malaysian Police (2005: 7 – 17) antaranya di dalam Memorandum yang dihantar kepada Pengerusi Suruhanjaya Diraja Memperbaiki Operasi dan Pentadbiran PDRM bertarikh 4 Mac 2004 menyatakan:

Angka yang membimbangkan tembakan oleh pihak polis melibatkan seorang meninggal bagi setiap dua minggu, polis tidak melindungi pihak minoriti di dalam pergaduhan di Kg. Medan diakibatkan oleh mereka yang datang dari luar dari kampung tersebut, pihak polis mencabuli hak berhimpun secara aman dengan menembak air mengandungi bahan kimia yang membahayakan kesihatan, kematian yang meragukan dalam masa tahanan polis dan beberapa insiden tembakan yang menyebabkan kematian warganegara India.

Satu yang lebih serius ialah keterlibatan anggota polis dengan amalan rasuah. Berhubung dengan rasuah ini kata Suruhanjaya Diraja:

``Despite various efforts by PDRM to act against corruption in it ranks, the finding of the Commission from the feedback it has received and inquiries it has conducted suggest that corruption is still widespread among police personel. The Commission`s recommends zero tolerance for corruption in PDRM. Corruption in a law enforcement agency with such powerful discretionary powers is specially dangerous. (Report of The Royal Commission, 2005: 9).

Dengan berbagai perkara yang memburukkan imej polis, maka arahan Perdana Menteri agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi Memperbaiki Operasi dan Pentadbiran PDRM sesuatu yang amat kena pada tempat. Polis sebagai tempat harapan dan perliundungan rakyat wajarlah menjadi sati institusi yang bersih dan berwibawa dan disanjungi rakyat.Ke Arah Ketelusan ?

Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipengerusikan oleh Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah menyiap dan mengumumkan Laporan Suruhanjaya yang mengandungi 125 syor pada 16 Mei 2005 lepas.

Lahirnya Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia oleh kerana timbulnya rasa tidak puashati masyarakat terhadap PDRM. Kata Laporan:

``The establishment of the Commission was initiated by the Government amidst widespread concerns regarding the high incidence of crime, perception of corruption in the Royal Malaysia Police (Polis Diraja Malaysia – PDRM), general dissatisfaction with the conduct and performance of police personnel, and desire to see improvements in the service provided by the police. The Government also felt that PDRM capacity and facilities needed to be modernised and upgraded where necessary,`` (Report, p. 1).

Bagi menambahbaikan PDRM daripada 125 syor yang dicadangkan oleh Suruhanjaya antaranya mencadangkan memodenkan tugas, fungsi dan organisasi PDRM, melancarkan gerakan menyeluruh membenteras jenayah, meningkatkan kaedah selidikan, menghapuskan rasuah di dalam PDRM, tindakan berasaskan undang-undang dengan menghormati hak asasi termasuk hak wanita dan kanak-kanak, memperbaiki skim perkhidmatan PDRM, meningkatkan tenaga kerja dari segi pentadbiran dan pencapaian, memperbaiki peralatan dan logistic, menyediakan premis dan perumahan yang lebih selesa, mengimbangkan tenaga PDRM dari segi gender dan kaum, memberi elaun khas kepada mereka yang berkhidmat di Lembah Kelang dan Bandar-bandar besar yang lain, mewujudkan dua jawatan Timbalan Inspektor General, mewujudkan motto baru bagi PDRM, PDRM perlu merubah kedudukannya dari menguatkuasa kepada `service paradigm` dan pengukuhan masyarakat, lebih mesra NGO dan mewujudkan Badan Bebas yang menerima aduan tentang salahlaku polis.

Ternyata jika cadangan-cadangan Suruhanjaya itu diterima dan dipraktikkan oleh PDRM, maka PDRM yang selama ini yang disudut hati rakyat amat memerlukan lindungan dan pembelaan dari PDRM, tetapi begitu gerun didekati, kecuali jika terpaksa akan bertukar menjadi PDRM yang mesra rakyat.

Walau bagaimana selepas dikeluarkan Laporan Suruhanjaya dan pengakuan PDRM menerima dan meningkatkan perkhidmatan dan prestasi mereka, namun terdapat insiden-insiden yang mencalarkan imej PDRM, contoh peristiwa tahanan mangsa perempuan yang diarah berbogel dan melakukan ketuk ketampi.

Mangsa yang pada awalnya dianggap perempuan dari negeri Cina ini telah meresahkan kerajaan sehingga terpaksa dihantar delegasi yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri ke negeri Cina untuk memohon maaf.

Tetapi kemudian ternyata, selepas dilantik Suruhanjaya Penyiasat juga diketuai oleh Tun Mohammed Dzaiddin didapati perempuan yang menjadi mangsa adalah rakyat tempatan, perempuan Melayu beragama Islam ! PDRM terpukul betapa kes dalam kawalan PDRM tidak dapat diselesaikan dari peringkat awal sehingga perkara ini heboh dan melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan.

Lebih dari itu PDRM sekali lagi dihadapi tuntutan hasil dari cadangan Suruhanjaya yang menyiasat insiden ketuk ketampi agar ditubuh Suruhanjaya Bebas dan Salahlaku Polis untuk memantau perjalanan polis.

Akibat dari cadangan-cadangan suruhanjaya-suruhanjaya bersiri ini pihak polis tertekan dan ada semacam keengganan beberapa persatuan dalam PDRM untuk menerima cadangan mengujudkan Suruhanjaya Bebas bagi memantau salah laku polis ini.

Ini menyebabkan Tun Mohammed Dzaiddin membuat teguran dan melahirkan rasa kecewa terhadap PDRM yang bersikap menentang perubahan dan tak sensitif terhadap isu hak asasi, walaupun sudah dua suruhanjaya ditubuh.

Walaupun pihak PDRM menjawab bahawa mereka telah melaksanakan 12 cadangan dalam Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK), namun tidak memada. Sebaliknya belum reda isu hak asasi manusia, timbul pula isu membotak kepala 11 pemain mahjung di Balai Polis Kajang, Hulu Langat yang nampaknya kes ini dalam proses untuk dibawa ke mahkamah. Begitu banyak masalah di dalam PDRM yang nampaknya tak terkawal. Apakah perlu ditubuh satu lagi Suruhanjaya ?Penutup

Nampaknya isu mengenai polis bertubi-tubi datang. Belum sempat cadangan Suruhanjaya Pertama dilaksanakan, cadangan suruhanjaya kedua ditambah dan sedang cadangan Suruhanjaya kedua dituntutlaksanakan, ada dikalangan polis mempertikaikan sehingga Perdana Menteri sendiri minta PDRM perlu terima sebarang keputusan kerajaan berhubung syor tubuh suruhanjaya. Kini banyak jari menuding ke arah polis dan tentulah polis berada di bawah tekanan.

Banyak pengajaran yang dapat diambil. Antaranya perjalanan polis selama ini tidak dipantau, terbukti banyak salahlaku perjalanan bila ditubuhkan suruhanjaya penyiasat. Polis nampaknya kurang senang dengan cadangan-cadangan yang selama ini selesa dengan budaya lama.

Polis juga kena sedar, banyak pihak selama ini yang merasa tidak senang terutama parti pembangkang yang selama ini tertekan kerana hak dan kebebasan mereka dari segi perundangan dan kemanusiaan dicabuli. Rasa tidak senang ini kini dialami polis sendiri, sebab itu mereka perlu peka dan berperikemanusiaan pada masa akan datang.

Proses pemantauan dan pembaikan polis kini adalah sesuatu yang positif bukan pada polis sahaja, tetapi juga bagi rakyat memahami peranan polis dalam masyarakat. Kita berharap penubuhan suruhanjaya tidak terhad kepada polis sahaja, tetapi perlu diperluaskan misalnya kepada perjalanan demokrasi di Negara ini yang melibatkan kerajaan, SPR, badan kehakiman, media, hak asasi manusia, perundangan, pendidikan dan sebagainya. Sekian.

Bangi (9 Muharram 1427, 8 Februari 2006).

No comments:

Post a Comment