August 5, 2015

Nur Al-Ihsan Tafsir Lengkap Pertama Dalam Bahasa Melayu - Bukan Terjemahan


BBB,  18 Syawal 1436 =  03 Ogos 2015 (Selasa):
Sebagai kitab Tafsir Melayu-Indonisia awal secara terjemahan ialah Tafsir Anwar al-Tanzil Wa Asrar al-T`a`wil oleh Shaykh Abdul Rauf Ali al-Fansuri al-Jawi abad ke 17M. sebagai terjemahan dari Tafsir Baydawi oleh Shaykh Abdullah bin `umar bin Muhammad al-Shirazi al-Baydawi. Tetapi lama selepas itu, maka pada abad ke 21, baik di Malaysia (Malaya) atau di Indonesia baru ada usaha menghasilkan penulisan kitab tafsir di dalam bahasa Melayu. Usaha ini dilakukan oleh seorang ulama dari Kedah iaitu Al-Alim al-Fadhil Haji Muhammad Said bin Umar Kadhi Jitra al-Qadahi dengan kitab tafsirnya yang berjudul Tafsir Nur al-Ihsan sebanyak empat jilid lengkap bagi tafsir Al-Qur`an sebanyak 30 juz` itu.


Dari segi latarnya Muhammad Said dilahirkan pada tahun 1275H./1854M. di sebuah kampung bernama Kampung Kuar, Jerlun, Kedah Darul Aman. Muhammad Said mendapat pendidikan antaranya di pondok di Patani sebelum melanjutkan pengajiannya di Makkah. Beliau kembali ke tanahairnya di Kedah dan berkhidmat sebagai gurudan mengajar terutama di dalam bidang tafsir. Di atas kealimannya beliau telah dilantik menjadi Kadhi di Jitra, Kedah pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid, Kedah. Hj. Muhammad Sai`d telah berusaha menghasilkan kitab tafsir 4 jilid yang diberi judul Tafsir Nur Al-Ihsan yang pernah dicetk di Makkah, Persama Press, Penang (1375/1956) dan juga di Bangkok, Thailand. Sebagai sebuah tafsir yang tunggal berbahasa Melayu maka tafsir Nur al-Ihsan mendapat sambutan di kalangan umat Islam di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia), Thailand, Singapura dan Indonesia. Ini terbukti bahawa Tafsir Nur Al-Ihsan beberapa kali diulang cetak. Selain dari Tafsir Nur al-Ihsan Haji Muhammad Said juga mengarang kitab Fatwa Kedah, tetapi tidak diterbitkan (Mazlan Ibrahim, Jawiah Dakir, Muhd. Najib Abdul Kadir, Pengenalan Tokoh-Tokoh Dan Kitab Tafsir Melayu Ulama Nusantara, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2014: 25-27).
Walaupun selepas judul Tafsir Nur al-Ihsan pada halaman permulaan bagi kitab tafsir Nur al Ihsan dikatakan ``Pada mentafsirkan Qur`an tarjamah al-Alim al-Fadhil Haji Muhammad Said bin `Umar Kadhi Jitra al-Qadahi``, bukan bermaksud terjemah dari sebarang kitab tafsir, tarjamah di sini lebih bermaksud bersifat huraian kandungan. Sebaliknya Haji Muhammad Said tidaklah mengarang tafsir secara bebas berdasarkan fikirannya semata-mata. Bahkan kita dapati semua pentafsir di dalam mengarang dan menyusun kitab tafsir akan membuat rujukan kepada tafsir-tafsir sebelumnya sebanyak mungkin. Haji Muhammad demikian juga di dalam mengarang Tafsur Nur al-Ihsan membuat rujukan terhadap tafsir-tafsir sebelumnya terutama Tafsir Al-Jalalayn oleh Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli dan Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Suyuti bermazhab Shafie yang terkenal dan luas dipelajari di Alam Melayu. Beliau juga membuat rujukan terhadap kitab Tafsir Baydawi oleh Abdullah bin Umar bin Muhammad al-Shirazi al-Baydawi yang diterjemah oleh Shaykh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri yang terkenal digunakan di Alam Melayu dan beliau juga menggunakan sebagai rujukan terhadap Tafsir Al-Jamal oleh Shaykh Al-Jamal. Beliau juga membaca kitab-kitab aqidah dan fiqh di dalam membicarakan aqidah dan hukum hakam keislaman.                         
Dari segi format karangan dan penyusunan kitab Tafsir Nur Al-Ihsan adalah  menurut susunan ayat demi ayat Al-Qur`an bagi sesuatu surah secara seturut. Bagi terjemahan teks asal Al-Qur`an pada kebiasaannya tidak banyak perbezaan dari segi terjemahan dan maksud, bahasanya kuat dengan pengaruh bahasa kitab dan terpengaruh dengan gaya susunan nahu Arab, tetapi di samping terjemahan terdapat huraian tambahan sebagai mencerminkan ianya adalah tafsir dan bukan terjemahan semata-mata. Namun huraian dan tafsiran adalah bersifat ringkas.
Sebagai contoh tafsiran bagi Surah al-Mu`min Makkiyyah mengandungi 85 ayat
Pentafsir tidak  menyebut kedududukan surah sebagai surah ke 40 dalam susunan Al-Qur`an, tetapi menyebut jumlah ayat. Daripada ayat pertama (tidak disebut bilangan ayat dalam surah sebagaimana dalam tafsir Al-Wajiz al-Zuhaily yang memudahkan untuk dirujuk) iaitu (Ha mim) Allah terlebih ketahui dengan kehendaknya – sebagai permulaan tafsir sebenarnya lebih bersifat terjemahan hingga kepada ayat 5 - lebih bersifat terjemahan, tanpa huraian secara tafsir. Tetapi mulai ayat 6 huraian lebih panjang dan bersifat tafsir (Dalam kurungan terjemahan teks):
Ayat 6 - (Dan seperti demikian itulah telah wajib kalimah hukum Tuhan engkau ya Muhammad atas segala kafir-kafir itu bahawasa mereka itu empunya neraka) diakhirat jika tiada Islam kekal selama-lamanya – tafsiran mulai di akhirat ke akhir ayat sebagai tafsiran.
Mulai ayat 7 makin luas tafsiran:
Bermula segala malaikat (yang menanggung arasy Tuhan Al-Rahman dan segala malaikat yang sekelilingnya itu mengucap tasbih mereka itu dengan puji-pujian Tuhan mereka itu) dengan wahdaniyyah keesaan Allah semata-mata.
Lanjutan ayat 7 lebih luas tafsiran:
(Dan beriman mereka itu) dengan mata hati mereka itu membenar dengan wahdaniyyah keesaan bagi Allah semata-mata.. (Dn minta ampun mereka itu bagi segala orang yang beriman) dengan Allah dan Rasul. Maka adalah malaikat yang tanggung arasy masa sekarang ini empat orang dan hari kiamat lapan orang dan malaikat yang keliling arasy itu tujuh puluh ribu saff mengucap tasbih mereka itu dan beriman mereka itu dan minta ampun mereka itu bagi orang mu`minin dengan perkataan mereka itu
(Hai Tuhan kami telah Engkau luas akan tiap-tiap sesuatu itu rahmat Engkau dan ilmu Engkau), maka tiada suatu melainkan kena rahmat Allah seperti tiada terlindung sesuatu daripada ilmuNya. (Maka ampun olehMu bagi segala mereka-mereka yang taubat daripada dosa dan ikut mereka itu akan jalan agama Engkau dan pelihara mereka itu azab neraka).
(Muhammad Said bin Umar, Tafsir Nur al-Ihsan, Juz` Empat, Persama Press, Pulau Pinang, 1375/1956: 2-3).
Jelas dari petikan di atas, bahawa tafsir Nur al-Ihsan adalah tafsir di dalam bahasa Melayu yang ringkas yang sebahagian darinya adalah bersifat terjemahan terhadap teks ayat Al-Qur`an dan ada tafsiran yang dibuat secara ringkas sekadar melengkapkan maklumat sebagai huraian yang difikirkan perlu. Di dalam menterjemahkan teks Al-Qur`an Haji Muhmmad Said adalah menurut susuk gaya susunan bahasa dan nahu Arab. Namun tidak dibicarakan soal bahasa dalam tafsirnya. Gaya bahasa Melayunya adalah gaya bahasa lama atau lebih tepat dikatakan bahasa kitab. Haji Muhammad Said membuat tafsiran secara terus menurut susunan ayat dan surah, tetapi tidak memberi perhatian, misalnya terhadap asbab al-nuzul. Bagi tiap surah ada diberi jumlah ayat.
Tafsir Nur al-Ihsan  mengisi kekosongn kitab tafsir di dalam bahasa Melayu yang menjelang kemerdekaan Malaysia (Malaya) – cetak 1956 baru terhasil kitab tafsir di dalam bahasa Melayu secara lengkap. Ini bererti Tafsir Nur al-Ihsan adalah begitu penting sebagai kitab tafsir dalam bahasa Melayu terawal, sebab itu ianya patut diberi perhatian dan wajar diterbitkan kembali dengan cara yang lebih sempurna dan cetakan yang lebih baik.

Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum dr,
    Bagaimana untuk saya dapatkan buku ini?

    ReplyDelete