December 19, 2016

KONSEP TAJRID DAN TAFRID


BBB, 18  Rabi`ul Awwal  1438H. =  18 Disember 2016 (Ahad):
Sesungguhnya di dalam sesuatu bidang ilmu ada istilah-istilah khusus bagi keilmuan itu yang diketahui oleh mereka yang pakar di dalam bidang berkenaan. Bagi memahami keilmuan berkenaan dengan secara lebih tepat dan mendalam, maka perlulah dipelajari istilah-istilah dan keilmuan berkenaan. Bagi istilah-istilah tasawuf  ada istilah-istilah khusus bagi aspek-aspek khusus yang sebenarnya telah kita membicarakan istilah-istilah berkenaan baik secara langsung atau tidak langsung.
 Namun bagi kitab Al-Ta`arruf li Madzhab Ahli al-Tasawwuf, diberi ruang dan tumpuan bagi sebahagain daripada istilah-istilah yang difkirkan wajar diberi penerangan. Antara istilah yang dibicarakan di dalam bab lima puluh  dua ialah `Al-Tajrid dan Al-Tafrid` yang istilah-istilah seperti ini  tidak dibicarakan oleh kitab-kitab tasawuf lain sebelumnya , kecualki oleh  Abu  Nasr al-Sarraj al-Tusi di dalam kitab Al-Luma` yang  merupakan kitab penting di dalam pengolahan terhadap ilmu tasawuf pada peringkat awal. Al-Sarraj sebenarnya memberi ruang sebagai `Kitab al-Bayan min al-Mushkilat` - Kitab Keterangan Tentang Kemusykilan-kemusykilan yang di bawahnya diberi bab – berjudul, ``Bab fi Sharh al-alFaz* al-Jariah fi Kalam al-Sufiyah – iaitu Bab pada  mensharahkan Lafaz*-Lafaz* Yang Mengalir Di Dalam  Kesufian`. Terdapat dua halaman yang dimuatkan dengan berbagai-bagai istilah yang biasa dan tidak biasa kita ketemui sebagai istlah-istilah kesufian. Selepas itu diberi penerangan bagi satu persatu  istilah berkenaan yang memakan ruang sebanyak empat puluh satu halaman. Antara istilah-istilah berkenaan  ialah `Tajrid dan Tafrid` yang sukar didapati dari kitab-kitab yang lain. Bahkan  kitab Al-Luma` membantu kefahaman terhadap kedua istilah di atas.
Sebenarnya sebagaimana di dalam ilmu akidah terdapat istilah seperti `Tunggal. Esa dan Satu` yang dari segi lahirnya seperti satu dari segi makna, tetapi dari segi falsafah dan istilah keilmuan  akidah atau lebih khusus dilihat dari segi ilmu theosofik mempunyai perbedaan makna dan digunakan pada tempat dan maksud yang tepat berkenaan.
Menurut Al-Sarraj, istilah `Al-Tajrid, Al-Tafrid, bahkan Al-Tauhid` adalah lafaz*-lafaz*  yang berlainan bagi makna-makna yang bersepakatan, tetapi mempunyai tafsilan yang berlaian menurut tahap dhauq dan wujdan yang dialami oleh yang berintuisi rohani ketasawufan berkenaan.
Menurut Al-Sarraj, `Tajrid, ialah apa yang ditajarrad kepada hati daripada penyaksian ketuhanan apabila bersihnya jiwa dari keruh dan kotoran keinsanan. Adalah diungkapkan tentang tajrid ini:
Haqiqat al-haqq ialah haqq tidak mengetahuinya
Melainkan oleh yang mentajrid padanya benar-benar tajrid.
Adalah disoal kepada shaykh-shaykh tentang tajrid, maka katanya ialah, Ifrad (menunggalkan) yang Haqq daripada sesuatu yang berlaku dan menggugurkan hamba dari apa-apa yang ternyata.
Adapun maksud al-tauhid, iaitu mengesakan Allah dan salah satu daripada sifat yang menjelaskan tentang keesaan Allah ialah wahdaniyyah, ertinya esa dan maknanya tiada ia mendua ia akan Allah Ta`ala pada dzatNya dan tiada pada sifatNya dan tiada pada perbuatanNya, maka menafikan banyak pada dzatNya, melazimkan bahawa  bukan ia jisim yang menerima bahagi dan dinamai akan dia menafikan kam muttasil dan menafikan juga dari kam munfasil (seperti tersusun dari beberapa jauhar) dan sebagainya.
Menurut Al-Kalabadzi, makna tajrid baginya ialah mentajrid pada z*ahirnya dari a`radh dan batinnya daripada a`wadh, bermaksud Dia tidak mengambil sesuatu daripada sifat dunia dan tidak menuntut di atas apa yang ditinggal daripadanya sebagai ganti sama ada segera atau lambat, bahkan dia adalah kewajiban haqq Allah Ta`ala tidak dengan `illah yang lain dan tidak dengan sebab selainnya. Dia juga tajarrud dengan sirrNya daripada keperluan kepada maqamat bagi kedudukan dan daripada ahwal sebagai pencapaian, ya`ni tanpa berkait dengannya.
Manakala Al-tafrid bagi  Al-Kalabadzi bahawa Dia adalah infirad dari segala bentuk dan infirad dari segala ahwal dan Dia Esa pada af`al, bahawasanya perbuatanNya bagi Allah Yang Esa. Dan Dia infirad pada ahwal dari segala ahwal, bahkan tidak dilihat bagi dirinya  ahwal.
Dan adalah dikatakan secara ringkas dan padat sebagaimana diperturunkan  oleh Al-Kalabadzi, bahawa Al-Tajrid bahawa dia tidak memiliki dan al-Tafrid bahawa dia tidak  dimiliki.
Mengapa ditimbulkan persoalan tajrid dan tafrid ?
Sebagaimana di dalam bidang tauhid, dipelajari ilmu akidah, khususnya mengenai Ketuhanan, maka bagi ma`rifat dari segi akidah dipelajari konsep dzat, sifat  dan af`al. Maka dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan dzat yang tidak tersusun dari ajza` dan sebagainya dan keesaan dari segi sifat yang sifat-sifat tidak sama dengan sifat makhluk (sifat wajib, mustahil dan harus –pembahagian sifat dan sebagainya) .Dan juga perbuatan Allah tidak sama dengan perbuatan makhluk. Semuanya bagi menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta`ala adalah Tuhan yang `Ahad` yang Sempurna, Kamal, Jamal-Qahhar, Jalal. Tuhan yang sama sekali tidak sama dengan makhluk.
Demikianlah mengapa Al-Kalabadzi, membawa persoalan  `Tajrid dan Tafrid, bahawa selepas membicarakan tentang ahwal seperti al-muraqabah, al-qurb, al-mahabbah, al-khauf, al-raja`, al-shauq, al-uns, al-tama`ninah, al-mahabbah dan al-yaqin dan juga membicarakan tentang al-maqam seperti al-taubah, al-wara`, al-zuhd, al-faqr, al-sabr, al-tawakkal dan al-redha. Sama ada ianya dibahagikan kepada dua sedemikian rupa (maqam dan hal), atau dilihat kedua-duanya sebagai ahwal sebagaimana dilihat oleh Al-Kalabadzi, tetapi menyebut juga tentang aspek-aspek maqam atau melihat kedua-duanya sebagai jalan dan tahap-tahap menuju kepada Allah, maka hendak diingatkan oleh Al-Kalabadzi, bahawa pergerakan maqam ke maqam dan pentahapan dengan ahwal, ialah hal-hal dan maqam-maqam dan jalan-jalan yang dilalui oleh hamba `abid sufi dan dia tidak sekali-kali mengubah atau menjadikan sebarang kelainan bagi Allah yang bersifat tauhid dan segala kesempurnaan. Sebagaimana kata Al-Kalabadzi di dalam bab berjudul: Al-Tajrid dan al-Tafriq:

``Allah adalah tajrid dengan sirrNya dari sebarang mulahaz*ah yang bersifat maqamat yang bagaikan tempat atau ahwal yang seolah-olah dicapai, sebagaimana dicapai hamba. Dia tidak cenderung dan berkait dengan kesemuanya.``
Dalam kata lain ia adalah bertujuan mentanzih, mentajrid dan mentafrid Allah Ta`ala dengan sebarang sifat, keadaan, maqam dan hal makhluk.

Sekian.

No comments:

Post a Comment