February 28, 2018

PERATURAN DAN KESUKARAN MENDAPAT KELULUSAN



BBB, 11 Jamadil Akhir 1439H. = 27 Februari 2019M. (Selasa):
Membina rumah, khususnya masjid yang mempunyai plan arkitek sebelum siap adalah melalui beberapa proses `check` dan penilaian. Dalam kata lain kontrektor tidak dapat melakukan pembinaan sembarangan. Dia dan pekerjanya mesti mengikuti spesifikasi pembinaan sebagaimana telah dlakar dan digariskan oleh arkitek dalam plan arkiteknya. Dia juga dicheck oleh Perunding ukur bahan tentang bahan-bahan yang digunakan apakah menepati dengan bahan yang ditentukan pemilik melalui Perunding Ukur Bahan, demikian juga dia dicheck oleh Perunding mekanikal dan Letrik di dalam pembinaan dan pemasangan letrik dan bagi keseluruhan dikawal oleh Kejeruteraan awam. Pengawakan bukan pada peringkat awal, tetapi adalah berterusan dan dilaporkan di dalam buku `Kemajuan Pembinaan` yang dibentangkan di dalam mesyuarat bulanan – Mesyuarat induk Jawatankuasa Pembinaan.
Check yang dapat dikatakan pada peringkat puncak ialah pada peringkat Majlis Perbandaran Daerah untuk mendapat kelulusan penggunaan bangunan.
Sebelum dari itu check berlaku, bagi melayakkan penerimaan apa yang diistilahkan sebagai  CPC
(Certificate of Practical Completion) yang dikeluarkan oleh arkitek professional.
Tahap ini telah dilalui oleh Masjid Al-Umm dan berjaya mendapat CPC pada 14.12.2017 yang membawa kepada penggunaan Masjid Al-Umm pada 16.12.2017, iaitu mendirikan solat waktu sahaja.
Tahap yang paling mencabar ialah untuk mendapat CCC, iaitu Certificate of Complete Compliance`
Tahap ini yang sedang dilalui oleh pihak Masjid Al-Umm, iaitu kelulusan dari semua 21 jabatan yang menilai tentang kesempurnaan binaan, misalnya dari segi Perbandaran, JKR, Kesihatan, perparitan, kesihatan, alam sekitar, bomba dan sebagainya. Sebarang perubahan dan tambahan yang melibatkan plan, maka hendaklah diangkat kepada MPKj dan mendapat kelulusan.
Dua tahap yang sedang  dalam penungguan yang melayakkan Masjid Al-Umm mendapat kelulusan CCC ialahkelulusan dari segi penambahan-penambahan yang dilakukan terhadap bangunan yang mesti ditambah juga di dalam plan arkitek yang perlu diangkat kepada MPKj dan perlu mendapat kelulusan. Pemeriksaan dari bomba juga dalam penungguan. Demikianlah syarat-syarat dan uji-ujian yang semestinya dilalui oleh Masjid Al-Umm.
Sesungguhnya pembinaan Masjid Al-Umm memakan masa agak lama:
1)      Masa  Persediaan dari tahun 2010 -2013
2)      Masa Pembinaan  dari  2013-2017
3)      Masa Menunggu Kelulusan  2017-2018
4)      Masa Perasmian  2018 ini ?
5)      Masa Pengimarahan selepas Perasmian dan seterusnya.
Dalam masa tersebut berlaku perubahan dalam jawatankuasa:
1)       Jawatankuasa Persediaan bagi Pembinaan Masjid Al-Umm 2010-2013.
2)      Jawatankuasa  Pembinaan Masjid Al-Umm 2013-2018.
3)      Jawatankuasa Sementara sehingga diadakan pemilihan AJK oleh ahli kariah.
AJK Sementara (juga tetap) terdiri dari 21 orang yang dari mereka dipilih mengendalikan biro-biro, iaitu sebanyak 10 biro bagi melicinkan pentadbiran, iaitu biro pembersihan dan penceriaan, belia dan riadhah, kewangan, ekonomi dan harta waqaf, Muslimat, kebajikan dan kemasyarakatan, pendidikan dan dakwah, amar makruf dan nahi munkar, tanah kubur dan khairat kematian, pembangunan dan keselamatan dan khidmat nasihat dan kaunseling.
Perjalanan pentadbiran dan aktiviti masjid dan surau adalah dikehendaki mengikuti Undang-Undang Kerajaan Negeri Selangor dan Enakmen berhubung dengan Masjid dan Surau.
Atas dasar dan peraturan ini diikuti Masjid Al-Umm dan masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negeri Selangor.
Sekian.

February 27, 2018

KEPERLUAN BAGI PEMBINAAN FIZIKAL MASJID



BBB,  10 Jamadil Akhir 1439H. = 26 Februari 2018M. (Isnin):
Antara keperluan yang mungkin tidak berkaitan dengan enakmen masjid secara langsung, tetapi perlu apabila sesudah mendapat keizinan dari pihak berkuasa dari segi gezet tanah, keizinan mendirikan masjid oleh JAIS-MAIS dan juga kebenaran memungut derma, maka perkara penting bagi pembangunan fizikal masjid ialah:
1)      Keperluan peringkat awal ialah Arkitek
Arkitek bagi binaan ini ibarat apa yang ada di dalam minda bagi  bentuk bangunan yang mau didirikan. Sebelum sesebuah masjid mau didirikan perlu kepada `Rangka Gambaran Awal` yang digaris dan dilukis oleh arkitek. Arkitek ialah pihak yang diminta oleh yang mau membina melakarkan gambaran bentuk masjid dan spesifikasi setiap kandungan di dalamnya seperti lantai,  tiang, dinding, kubah, menara, mihrab dan sebagainya ke dalam lakaran lukisan bagi semua bahagian berhubung dengan binaan masjid. Kerja sedemikian memerlukan kepakaran. Yang pakar di dalam bidang ini dikenali sebagai arkitek. Apa yang diingini oleh pemilik dilakarkan secara detail sebagai gambaran awal. Dengan adanya akitek ini dapat menghasilkan plan yang lengkap. Plan yang dihasilkan perlu dihantar kepada pihak perbandaran untuk dinilai dan diluluskan. Tanpa kelulusan maka pembinaan tidak dapat dijalankan.  Dengan plan ini diikuti oleh pekerja-pekerja kontrektor yang mahir berhubung dengan plan dan diperturunkan kepada bentuk binaan yang konkrit dan realiti. Dengan adanya arkitek yang menghasilkan plan arkitek melicinkan pembinaan, plan dapat  dijadikan rujukan oleh pemilik, pembina dan pihak pemeriksa misalnya dari Majlis Perbandaran bagi memastikan ketepatannya.
2)      Keperluan kepada Kontrektor
Kontrektor ialah pihak yang sanggup membina masjid berdasarkan plan yang diluluskan dan juga kontrektor menilai kos yang ditawarkan oleh pihak pemilik sama ada menguntungkan atau sebaliknya. Kontrektor ialah pihak yang berpengalaman di dalam pembinaan dan mempunyai sejumlah pekerja mahir  di dalam bidang-bidang pembinaan. Selain dari kos menjadi perkiraan kontrektor, faktor masa atau tempoh yang dikehendaki siap. Apakah ada kemampuan pekerja, di samping itu yang menjadi perkiraan ialah bahan-bahan bagi binaan bolehkah didapati dengan mudah dan tidak terganggu. Jika dari segi perkiraan menguntungkan, maka kontrektor adalah orang yang sanggup membina dan menghadapi kemungkinan-kemungkinan risiko yang dijangka dapat di atasi. Kelicinan pembinaan juga bergantung pada cash flow dari pihak pemilik mengikut tahap-tahap bayaran yang diperlu mengkut perjanjian. Jika berlaku masalah kewangan – tidak dapat menjelaskan bayaran, maka pembinaan terganggu, dan merosakkan perjalanan yang lain termasuk tempoh siap pembinaan tidak dapat disiapkan dalam masa yang dijanjikan.
3)      Keperluan kepada Perunding-Perunding
Bagi pembinaan yang  berskala besar dan melibatkan kos yang tinggi, agar tidak berlaku penyelewengan, kesilapan, kerosakan atau tidak berjalannya projek, maka dari segi perkiraan adalah wajar dan menguntungkan  bagi pemilik melantik  atau mendapat fikiran dari mereka yang mempunyai kemahiran di dalam bidang-bidag berkaitan  dengan pembinaan. Mereka dikenali sebagai Perunding. Antara perunding yang dilantik yang menjaga kepentingan pemilik dan membuat cadangan-cadangan bagi kebaikan pembinaan ialah:
a)      Kejuruteraan Awam
Melibatkan misalnya struktur dan kaedah pembinaan, atap yang bersesuaian dengan keadaan cuaca yang hujan dan panas, perparitan, kemudahan dalaman bagi orang biasa, lebih-lebih bagi orang kurang upaya, kesesuaian kedudukan sesuatu binaan, misalnya menara dan sebagainya. Tugas bagi kejuruteraan awam adalah melibatkan keseluruhan binaan, bahkan kawasan, termasuk jalan. Dia mempastikan segala teratur dan berjalan dengan baik.
b)      Perunding Mekanikal dan Letrik
Bidang yang penting diberi perhatian, khususnya dari segi kaedah pembinaan dan keselamatan dari segi  penggunaan selepas siap diguna dan dipasang. Begitu juga perlu ketelitian dari segi pemasangan bahan-bahan dan saliran elektrik, seperti lampu, kipas  air-cond. , pembesar suara dan sebagainya, tanpa kepakaran dan ketelitian boleh menjadi merbahaya, bahkan boleh menyebabkan kebakaran.
c)       Perunding Ukur Bahan
Pihak jurukur bahan menasihati pemilik atau jawatankuasa seperti masjid tentang apa-apa bahan yang patut dibeli, menyatakan tentang kualiti dan berapa jumlah dan kuantiti agar bahan yang dibeli tidak  berlebihan dan merugikan, atau berlaku kekurangan. Jurukur bahan mempastikan semua bahan  menurut spesifikasi yang dikehendaki dan tidak merugikan, termasuk menolak mana yang tidak menepati dengan kualiti yang dikehendaki.
4. Kewangan
Dana  yang sepatut ada pada pemilik sesuai dengan kos binaan. Ianya dapat dilunaskan menurut keperluan dan perjanjian.  Sesungguhnya jika pihak pemilik tidak pakar atau tidak ada masa, maka urusan kewangan dikendalikan pihak yang dilantik oleh pemikik menguruskannya.
Demikian antara keperluan bagi pembinaan yang dengannya melicinkan pembinaan yang berskala besar.
Sekian.

February 26, 2018

FAHAM ENAKMEN DAN KAEDAH PEMBINAAN MEMUDAHKAN URUSAN MASJID



BBB, 09 Jamadil Akhir 1439H. = 25 Februari 2018M. (Ahad):
Sebelum daripada Ustaz Dr. Ideris Endut menyampaikan kertaskerjanya, Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku Pengerusi Majlis menjemput Penulis selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm menyampaikan kata-kata alu-aluan kepada hadirin.  Selepas salam dan penghormatan kepada Pengerusi, Pembentang kertaskerja, ahli jawatankuasa dan semua yang hadir, Penulis mengucap syukur ke hadhrat Allah Ta`ala,  kerana dapat meneruskan seminar bagi kali kedua selepas kali pertamanya pada Sabtu 3 Februari yang lepas. Kalau dulu lebih kepada fungsi Masjid bagi memartabatkan masyarakat, maka kali ini lebih kepada syarat, aturan dan keperluan teknikal bagi mendirikan masjid. Penulis berkata, dengan memahami enakmen dan aplikasinya pada pembinaan masjid Sungai Ramal Dalam yang ada kesamaan dengan cara pembinaan Masjid Al-Umm dan juga perbezaan, khususnya bagi AJK dapat memahami masalah berkaitan dan dapat memperbaiki dan memajukan masjid, khususnya Masjid Al-Umm, Masjid Sungai Ramal Dalam dan masjid-masjid lain dengan mengikuti seminar ini. Kata Penulis,
``Membina masjid bukanlah sebagaimana membina rumah biasa di kampung yang boleh dibangun dengan secara gotong royong dan dapat disiapkan dalam masa yang cepat. Membina masjid, khususnya pada penempatan ramai seperti di bandar dan pekan melibatkan tanah yang agak luas dan bagi membinanya melibatkan banyak pihak, memerlukan kewangan yang banyak dan perlu mematuhi ciri-ciri keselamatan,  maka hendaklah  mematuhi aturan yang antaranya dikenali sebagai enakmen dan aturan yang berhubung dengan masjid yang bersifat makro dan mikro.
Antara syarat dan keperluan secara makro pra-pembinaan masjid ialah:
·         Ada tapak khas bagi pembinaan masjid dengan keluasan (antara 2 – 5 ekar) dan kedudukan yang sesuai, biasanya pada pertengahan kawasan yang ramai orang Islam, atau di tengah bandar atau pekan.
·         Perlu digezet tanah untuk tapak masjid yang permohonan perlu dibuat kepada kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah (Pejabat Tanah) sesuatu Daerah.
·         Perlu mendapat keizinan dari JAIS bagi kebenaran bagi mendirikan masjid. Masjid berada di bawah JAIS-MAIS. Tanpa kebenaran darinya maka masjid tidak dapat didirikan.
·         Mesti membuat permohonan dengan mengisi borang khas yang dikeluarkan oleh JAIS. Permohonan mestilah mendapat sokongan seperti Ketua Kampung, penghulu, wakil rakyat setempat, Pentadbir agama Daerah dan Orang Besar Daerah yang diangkat kepada JAIS untuk dipertimbang untuk diluluskan.
·         Hendaklah wujud satu jawatankuasa pembinaan masjid yang dipersetujui oleh penduduk setempat bagi mengurus dan membina masjid.
Bagaimanakah dengan dana bagi membina masjid ?
Satu keperluan yang penting bagi membina masjid ialah adanya dana bagi membiayai pembinaan masjid. Sesungguhnya tidak mudah bagi membina masjid yang kosnya berjumlah puluhan juta. Inilah perkara rumit dan sukar yang dihadapi oleh Masjid Al-Umm dan juga Masjid Sungai Ramal Dalam (Masjid al-Falah) yang kedua-dua sedang hadapi setelah mengatasi semua keperluan yang lain sebagaimana disebut di atas.
Ada sekurang-kurangnya tiga kaedah bagi pembinaan:
·         Kaedah gotong royong bagi masjid yang kecil. Setelah mendapat kelulusan segala keperluan yang dikehendaki, penduduk kampung atau ahli kariah bergotong royong membina masjid yang dikehendaki dengan sebahagian mendapatkan bahan-bahan bagi pembinaan, manakala yang pandai bertukang dan membina bekerja membuat bangunan. Biaya adalah sama ditanggung oleh penduduk, termasuk makan minum pekerja-pekerja secara bersama. Masjid dapat disiapkan di dalam masa yang singkat dengan kos yang minimum.
·         Kaedah mendapat derma dari orang ramai sebagaimana dialami oleh Masjid Al-Umm dan juga Masjid Sungai Ramal Dalam (Al-Falah) yang di dalam pembinaan.
Jika kos pembinaan mengharapkan derma dari orang ramai, maka antara syarat bagi memungut derma ialah mendapat keizinan dari pihak MAIS kebenaran memungut derma dari orang ramai sebagaimana dialami oleh pihak Masjid Al-Umm. Keizinan biasanya diberi oleh MAIS dalam tempoh tertentu, misalnya dalam tempoh satu setengah tahun kepada individu-individu dari ahli jawatankuasa pembinaan, biasanya sepuluh orang untuk memungut derma kepada jumlah yang dinyatakan kepada MAIS. Jika sekiranya dalam tempoh berkenaan mereka yang dibenar pungut derma tidak mencapai sasaran jumlah yang dikehendaki, maka permohonan melanjutkan tempoh memungut derma boleh dipohon kepada MAIS. Terpulanglah kepada MAIS untuk memberi perlanjutan tempoh memungut derma atau sebaliknya.

·         Kaedah pembinaan dengan mengharapkan peruntukan dari pihak pemerintah. Peruntukan sepenuh bagi membina masjid tidak dilakukan oleh kerajaan Negeri atau JAIS-MAIS. Ianya hendaklah memohon dari projek kerajaan Pusat dan perlulah dimasukkan ke dalam perancangan kerajaan  - akan datang, dalam Rancangan Malaysia ke 13, 14 dan sebagainya. Permohonan hendaklah dibuat sebelum tiba satu-satu rancangan  (lima tahun bagi satu perancangan), jika  permohonan tidak dapat dimasukkan dalam perancangan yang dipohon, maka hendaklah ditunggu kepada perancangan berikutnya. Cara ini memakan masa dan perlu menunggu giliran dan kelulusan. Kelamaan masa dan tidak ada kepastian dapat (dilulus) atau tidak menyebabkan  sebahagian dari permohonan mendirikan masjid tidak memilih cara ini. Walau bagaimana jika mendapat kelulusan, maka penduduk tidak perlu bersusah payah menubuhkan jawatankuasa pembinaan dan tidak perlu meminta keizinan memungut derma. Penduduk hanya menunggu siap pembinaan oleh kontrektor  dilantik kerajaan.
Cara ini dialami oleh kawasan Bandar Bukit Mahkota, Kajang yang juga sekarang masih dalam pembinaan.
Sekian.

February 25, 2018

SEMINAR KEDUA TENTANG ENAKMEN DAN MASJID BERMAKLUMAT DAN BERMUTU



BBB,  08 Jamadil Akhir 1439H. = 24 Februari 2018M. (Sabtu):
Seminar Masjid Al-Umm kali kedua yang berjudul, `Enakmen dan Cabaran Mendirikan Masjid Al-Falah, Sungai Ramal Dalam, Kajang,  Selangor Darul Ehsan bertempat di Dewan Seminar, Tingkat Satu, Masjid Al-Umm banyak memberi maklumat kepada hadirin dan bermutu. Seminar disampaikan secara berkertaskerja oleh Dr. Ideris Endut, Timbalan Nazir Masjid Al-Falah yang juga Bekas Pensyarah di Fakulti Islam, UKM. Kehadiran tidaklah seramai sebagaimana seminar pada kali pertama (3 Februari 2018), iaitu cuma 24 orang, namun  mutu seminar bukan ditentukan oleh ramai atau kurangnya peserta. Jumlah 24 orang sudah cukup bagi menghidupkan seminar. Seminar yang dikendalikan oleh  Dr. Tajul Ariffin Noordin Bekas YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Bekas Profesor Madya di Fakulti Pendidikan UKM. Kertas yang dibentangkan oleh Dr. Ideris Endut ini dibahaskan oleh Ir. Ishak bin Haji Arshad Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dan juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pembinaan Masjid Al-Umm.


Seminar ini dikatakan bermutu kerana tajuk yang dipilih adalah sesuai dan semasa kerana masjid yang dikaitkan dengan enakmen  adalah sama-sama dalam pembinaan. Masjid Al-Umm hampir siap sepenuhnya dan menunggu pemeriksaan terakhir dari pihak Bomba bagi mendapat CCC selepas mendapat CPC pada 14.12.2017 yang lepas, manakala Masjid Al-Falah Sungai Ramal dalam progress pembinaan dan siap lebih dari 60%. Kedua-dua masjid ini bergantung pada derma dan waqaf orang ramai sebagai dana pembinaan. Kedua-dua masjid ini berada di atas tapak seluas dua ekar dan bagi menjimatkan ruang kedua-dua masjid adalah 3 tingkat yang bagi Masjid Al-Umm mampu memuat para jamaah sampai 4,000 orang, manakala bagi Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam mampu memuatkan jamaah sebagaimana kata Dr. Ideris Endut dapat menampung jamaah antara 5.000 hingga 6,000 jamaah. Jadi pendekatan pembicaraan Masjid Sungai Ramal dapat dilakukan secara perbandingan antara kedua masjid yang mempunyai banyak kesamaan dan juga kelainan.
Seminar dapat mencapai mutu yang baik dan berinformasi oleh kerana mereka yang terlibat bercakap dan membentangkan kertaskerja ialah mereka yang terlibat secara langsung berhubung dengan masjid yang dibicarakan. Pembentang , iaitu Dr. Ideris Endut orang yang terlibat dengan Masjid Al-Falah Sungai Ramal sejak 15 tahun lepas dan kini menjadi Timbalan Nazir bagi Masjid Al-Falah (Lama). Beliau tidak menjadi AJK Masjid dalam pembinaan bagi menggantikan masjid lama – sengaja tidak mau mencampuradukkan antara AJK Masjid al-Falah (Masjid Lama) dengan yang baru dari segi pentadbiran, tetapi kedua-dua adalah bekerjasama, terutama dari segi mendapatkan dana. Beliau amat arif  tentang pembinaan Masjid baru Sungai Ramal Dalam dan berkerjasama rapat dengan pengerusinya Dato` Haji Maulud dan Timbalan Pengerusinya Tuan Haji Ismail dan AJK-AJK yang lain.


Selain dari Dr. Ideris Endut yang membentangkan kertaskerja, mereka yang  bercakap dan mengendalikan  seminar adalah mereka yang  mempunyai pengalaman  dan terlibat secara langsung  di dalam pembinaan masjid. Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku pengerusi seminar adalah merupkan AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang tahu tentang pembinaan dan perkembangan Masjid Al-Umm (Beliau juga membangunkan Kompleks Pendidikan Islam Bangi). Ir. Haji Ishak Arshad adalah seorang engineer dan telah berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan, di Fakulti Engineering, UKM dan sebagaimana telah dikatakan beliau adalah Timbalan  Pengerusi JK Pembinaan dan Pegimarahan Masjid Al-Umm di samping mengetahui bahagian Teknikal. Manakala Pengerusi –  Dr. Shafie Abu Bakar  Pengerusi  Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm terlibat dengan perancangan bagi pembinaan Masjid Al-Umm sejak tahun 2010 lagi.
Seminar ini memberi maklumat tentang aturan dan enakmen yang perlu diketahui bagi mereka yang bercadang untuk mendirikan masjid. Ahli kariah juga wajar memahami tentang enakmen, syarat-syarat yang diperlukan bagi pembinaan masjid,  kaedah-kaedah dan keperluan bagi pembinaan masjid dan bagaimanakah kaedah mendapat dana bagi pembinaan masjid.


Mengaitkan anekmen dengan Masjid Sungai Ramal Dalam dan membandingkan dengan pembinaan Masjid Al-Umm memberi kefahaman antara persamaan , perbedaan, apakah keistimewaan kaedah yang diambil oleh AJK Masjid Sungai Ramal berbanding dengan kaedah yang  dilakukan oleh AJK Masjid Al-Umm. Apakah manfaat-manfaat yang didapati dan mungkin kurang tepatnya pendekatan yang diambil. Sesugguhnya jika seminar pembinaan bagi kedua masjid berkenaan diadakan pada peringkat awal sebelum pembinaan nescaya lebih banyak faedah didapati dan banyak kaedah yang baik dapat diikuti dan banyak perkara  yang tidak menguntungkan  dapat ditinggalkan. Banyak perkara dapat dimanfaatkan oleh kedua pihak. Walau bagaimana dengan seminar yang dijalankan masih ada peluang bagi kedua pihak memperbaiki diri dan memberi faedah bagi kedua-dua masjid.
Sekian.

February 24, 2018

MEMPERKUKUH PENTADBIRAN. LANTIK DR. HARON DIN MENJADI PENAUNG


BBB, 07 Jamadil Akhir 1439H. = 23 Februari 2018M. (Juma`at):
Sebelum tiba fasa pembangunan fizikal bermula dengan `Masuk Tapak` pada 10.12.2013 sebagaimana telah disebutkan, sebelumnya berlaku beberapa perubahan di dalam pentadbiran, terutama di dalam Ahli Jawatankuasa Pembangunan.
Antara keputusan yang diambil di dalam Mesyuarat bulanan, ialah supaya melantik Dato` Dr. Haron Din menjadi Penanung bagi Ahli Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm. Bagi melaksanakan tujuan ini pada  6 Julai 2013 beberapa AJK Pembangunan Masjid Al-Umm yang terdiri dari Pengerusi, Setiausaha, Dr. Tajul Ariffin Noordin, Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas, Tuan Haji Sufi Munasir, Tuan Hji Abdul Rahman Daud dan beberapa yang lain menemui Dato` Dr. Haron Din pada pagi Sabtu. Pada pagi hari itu Dato` Dr. Haron Din berceramah di Kompleks Pendidikan Islam   Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.
Selepas beliau berceramah pihak AJK menemui beliau di bilik berhampiran ruang ceramah.
Pengerusi berucap ringkas menyatakan hasrat AJK ialah untuk melantik Dato` Dr. Haron Din mejadi Penaung bagi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm. Pada pertemuan itu diserah Wathiqah Perlantikan dan dokumen-dokumen berhubung dengan pembangunan Masjid Al-Umm. Dato` Dr. Haron Din menerima perlantikan secara terbuka dan berjanji akan membantu membangunkan Masjid Al-Umm. Pertemuan diakhiri dengan jamuan tengahari.
Perubahan juga berlaku dengan penraikan diri Tuan Haji Hussin Yunos daripada Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm kepada AJK biasa pada pertengahan Ogos 2013. Tempat beliau diisi oleh Tuan Haji Suib Maulud, Bekas Pendaftar UPM dan Bekas Pendaftar UMT. Beliau memperkemaskan pentadbiran AJK Pembangunan dengan mengadakan mesyuarat dan membuat minit mesyuarat lebih teratur.
Pada  masa yang sama Tuan Haji Omar Ja`far Bekas Pegawai Tadbir UKM yang berpengalaman, menarik diri dari AJK Pembangunan Masjid Al-Umm,. Kerana tidak senang dengan suasana – terutama mesyuarat-mesyuarat yang sering menimbulkan kehangatan dan bertikam lidah. Walau pun beliau tidak hadir mesyuarat sejak Ogos 2013, tetapi beliau dikekalkan hingga akhir tahun 2013.
Penyusunan pentadbiran  seterusnya melibatkan Yang Mulia Ar. Haji Fuaddin bin Raja Ahmad. Beliau sering diserang dan dikecam di dalam mesyuarat AJK, tetapi dengan sifatnya yang lembut beliau tidak mengambil sikap keras, tetapi berlembut. Tapi hujah yang  sering dikemukakan ialah meminta beliau berundur dari AJK Pembangunan Masjid Al-Umm, kerana boleh dianggap berlaku `conflict of interest`, bermaksud sebagai mana beliau adalah dari Syarikat Arkitek  Urusbina yang berkepentingan, beliau seharusnya tidak ada di dalam mesyuarat dan mendapat maklumat dari mesyuarat yang tidak sepatutnya diketahui oleh pihak arkitek. Permintaan beliau berundur dan berada hanya di dalam AJK Teknikal (ditubuhkan awal 2013) bersama dengan kontrektor dan perunding-perunding adalah wajar sebagai badan pengantara AJK Pembangunan dan pihak kontrektor, arkitek dan perunding-perunding. Tuan Haji Ar. Fuaddin mengambil langkah meninggakkan dari menjadi ahli Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm adalah mulai  Julai 2014. Beliau adalah menjadi AJK Teknikal yang dipengerusikan oleh Tuan Ir. Haji Ishak bin Arshad dan turut hadir ke Mesyuarat Tapak bila dipanggil. Jawatankuasa Tapak ini diwujudkan mulai dari awal 2014 dan bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Teknikal tetapi Jawatankuasa Tapak berakhir fungsinya pada akhir 2015.
Perlantikan-perlantikan membawa kepada perubahan perjalanan Jawatankuasa Pentadbiran ke arah yang lebih dinamik dan Takmilah. Misalnya mesyuarat bulanan sebagai kemastian diadakakan dengan persediaan bahan mesyuarat lebih kemas. Dalam mesyuarat ini adalah menjadi kemestian pihak AJK Teknikal melaporkan perkembangan pembangunan kepada Mesyuarat Induk, iaitu Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm.
Dengan perubahan  Ahli Jawatankuasa ini menjadikan pentadbiran lebih kemas dan licin.
Sekian.

February 23, 2018

MAJLIS MERAIKAN HAFIZ MUDA - MUHAMMAD MIKHAIL



BBB, 06 Jamadil Akhir 1439H. = 22 Februari 2018M. (Khamis):
Pada malam Juma`at yang berkat ini pihak Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid  Al-Umm meraikan kejayaan Hafiz Muda Mukhail bin Lukman (9 tahun) menjuarai pertandingan Hafaz  Al-Qur`an yang dianjurkan oleh TV Hijrah pada pertengahan Februari ini. Muhammad Mikhail adalah anak kepada tokoh  Qari al-Qur`an  terkenal Dr. Lukman bin Ibrahim yang selalu muncul dalam slot bimbingan Al-Qur`an dalam beberapa  tv, khususnya TV Al-Hijrah. Beliau yang merupakan Pensyarah di USIM adalah merupakan ahli kariah bagi Masjid Al-Umm. Keizinan untuk meraikan Muhammad Mikhail telah dipohon dari Dr. Lukman dan beliau sekeluarga datang memeriahkan lagi Majlis keraian.



Majlis Keraian bermula selepas solat Maghrib dengan pengacara Ustaz Ahmad Hasbullah menjemput Pengerusi Masjid berucap ringkas. Beliau menyatakan Majlis keraian diharap menjadi contoh kepada murid-murid yang datang  untuk meminati Al-Qur`an dan juga contoh bagi ibubapa mendidik anak-anak mereka agar tidak lupa dari mendidik anak-anak dengan pengajian Al-Qur`an, kalau dapat menjadi seperti Muhammad Mikhail, kalau pun tidak menjadi johan, dapat dijadikan amalan dalam kehidupan seharian. Menurut Pengerusi pihak Masjid al-Umm mau menjalinkan hubungan yang baik dengan sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan yang berjiran dengan Masjid al-Umm. Kita mau sama mendidik anak-anak dengan didikan keislaman dengan menjadikan mereka `Mesra Masjid`.  Pihak Masjid telah menubuhkan Biro Belia yang akan mengendalikan kegiatan-kegiatan yang sesuai untuk mereka dengan kerjasama pihak sekolah.


Menurut Pengerusi, kita mau menjadikan suasana setempat berorientasikan ilmu yang melibatkan semua peringkat dari murid-murid dan pelajar-pelajar, kita menyediakan pengajian bagi semua peringkat di Masjid dan pengajian bertaraf tinggi seperti kegiatan seminar dan berbagai wacana ilmiah. Beliau menjemput semua pihak melibat dan menghadiri kegiatan-kegiatan keilmuan yang memperkukuhkan Bangi Bandar Ilmu. Beliau megucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan bagi Majlis Keraian.
Muhammad Mikhail dijemput menyampaikan tilawah Al-Qur`an di hadapan para jamaah yang berjumlah lebih kurang  700 orang.
Muhammad Mikhail yang masih anak-anak itu mempunyai suara yang terang dan mengalunkan Al-Qur`an  dengan jelas dan secara tarannum sebagai seorang Qari berpengalaman. Beliau membaca:
1)      Surah Al-Fatihah sebagai pembukaan
2)      Sebahagian dari Surah Al-Rahman
3)      Sebahagian dari Surah Al-Waqi`ah
Bacaannya yang fasahah dan berlagu itu mempesonakan pendengaran para jamaah. Dan memang selayaknya beliau menjadi Johan Tilawah sebagai Hafiz Muda.
Selepas Muhammad Mikhail menyampaikan tilawah Al-Fadhil Dr. Lukman dijemput menyampaikan ucapan, beliau diminta bercakap tentang, bagaimana beliau mendidik anak-anak. Beliau menyebut, bahawa agak berat untuk bercakap tentang mendidik anak-anak sendiri, takut ianya sebagai memuji diri.


Secara ringkas beliau menyatakan, para bapa, termasuk saya, kata Dr. Lukman, orang yang sebok seharian dan kurang masa bersama dengan anak-anak. Katanya, `` Peranan yang sebenarnya di dalam pendidikan anak-anak di rumah ialah ibu mereka. Jadi para ibu perlu peka dengan pendidikan anak-anak.``
``Mendidik anak-anak  ini bergantung kepada niat dan azam kita``. Tanya Dr. Lukman, `` Apa yang kita mau jadikan anak-anak kita ?``  Katanya,
``Kalau kita mau menjadikan mereka pemain bola, maka jadilah dia pemain bola,``
katanya.
``Kalau kita mau jadikan anak-anak kita berpendidikan agama, maka hendaklah mendidiknya dengan didikan agama. Insya Allah mereka menjadi orang yang berpendidikan agama.``  Kita perlu kawal anak-anak kita jangan terpengaruh dengan nilai-nilai negatif. Sekarang melalui komunikasi moden boleh tiba  dalam waktu segera. Kalau kita tidak kawal, tentulah dia mempengaruhi anak-anak kita.``
Manakala Pengendali Majlis, Ustaz Ahmad Hasbullah memaklumkan pihak Masjid akan menganjurkan beberapa kegiatan seperti akikah, Khatam Al-Qur`am,  Berkhitan, Tilawah al-Qur`an yang akan diumumkan dan menurut kesesuaian masa.
Majlis keraian ditutup dengan Bersalawat Kepada Rasulullah dari Pasukan Solawat Surau Damai.
Penyampaian cenderahati terhadap  Hafiz Muda dilakukan oleh Pegerusi. Dan Solat Isya` diimami oleh Al-Fadhil Dr. Lukman Ibrahim. Semua hadirin kemudiannya menikmati jamuan di ruang  legar pada bahagian masuk ke Masjid.
Sekian.

February 22, 2018

`MASUK TAPAK` - BERMULANYA PEMBANGUNAN FIZIKAL



BBB,  05 Jamadil Akhir 1439H. = 21 Februari 2018M. (Rabu):
`Masuk Tapak` ialah istilah teknikal bagi kerja-kerja pembangunan hartanah. Ianya bermaksud bermulanya kerja di tapak – maksudnya pada tanah bagi bangunan seperti mula meratakan tanah di tapak bagi mendirikan rumah, masjid dan sebagainya.
Masuk Tapak bererti persediaan pra pembinaan telah lengkap sebagaimana diperlukan. Masuk tapak bagi pembinaan Masjid Al-Umm adalah pada 10.12.2013. Pada masa ini, walaupun surat kelulusan dari MPKj belum tiba, tetapi kita dimaklumkan kelulusan telah dibuat  dan surat kelulusan tiba pada 16.12.2013.
 Pada masa masuk tapak pembinaan pada 10.12.2013  tapak  masih ditumbuhi pokok-pokok – terutama pokok akasia (gelam Australia), walaupun sebelumnya telah dilakukan pembersihan, tetapi sebahagian pokok-pokok masih belum ditolak (dibuang). Kerja awal yang dilakukan dengan boldozar menolak dan meratakan tanah yang secara tidak langsung menghilangkan sebahagian daripada pokok-pokok berkenaan.
Sebelum dari permulaan kerja `Masuk Tapak` ini  terpampang  `Papan Tanda Projek` pada bahagian depan masuk ke tapak, papan maklumat didirikan lebih awal dari projek dimulakan, iaitu sejak persetujuan melantik kotrektor  yang butir-butir maklumat menerangkan bahawa:
Tapak adalah cadangan membina dan menyiapkan sebuah masjid Al-Umm tiga tingkat yang dilengkapi dengan kemudahan Tadika, Kelas Tahfiz, Kelas IT, Bilik Sumber dan Ruang Terbuka Serbaguna dan lain-lain  di atas Lot 51177, Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi, Daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan.
Untuk Jabatan Agama Islam Selangor.
Pemilik:  Jabatan Agama Islam Selangor
Arkitek: Arkitek Urusbina
Jurutera: Safar Ingeniurs
Perunding: Perunding Azfar
Jurukur Bahan: May Consult
Kontrektor:  Tekad Nusantara Sdn. Bhd.
Masuk Tapak: 10 Disember 2013
Tarikh Siap:  25 Mei 2015.
No. Lesen.
Menaikkan papan tanda sedemikian adalah menjadi syarat yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran ke atas mana-mana projek (kontrektor) yang membangunkan sesuatu projek.
Dapatlah difahamkan  mengapa dikehendaki dinaikkan maklumat pada setiap projek pembinaan.
Antara maklumat, bahawa tanah yang dinaikkan papan tanda sudah mendapat kelulusan dari pihak berkuasa Kerajaan Tempatan.
Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan dengan tapak atau sebarang kaitan boleh membuat rujukan dan semakan.
Jika ada sebarang masalah yang ditimbulkan oleh projek, maka aduan boleh dibuat kepada pihak berkuasa berdasarkan butir-butir yang terdapat pada papan tanda.
Semua pihak berkenaan yang alamat tiap satu terdapat pada papantanda bertanggungjawab di atas pembinaan. Mereka adalah mempunyai lesen yang sah.
Peringatan kepada kontrektor, bahawa tempoh yang perlu disiapkan sebagaimana tarikh yang tercatat.
Ianya juga sebagai iklan kepada orang ramai tentang kemampuan kontrektor dan yang lain-lain berkemampuan membina bangunan bagi projek. Ini menarik mereka yang mau berurus dengan pembinaan dapat berjumpa dengan pihak-pihak berkenaan.
Segala risiko yang mungkin diterima, seperti kegagalan, kekurangan kewangan, atau pihak kontrektor menghilangkan diri dan sebagainya, maka tindakan boleh diambil mengikut peraturan-peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa. Dan sebagainya.
Dalam kata yang lain projek yang dibina, iaitu masjid menurut procedure dan aturan-aturan pembinaan. Pihak yang mengusahakan bagi mendirikan masjid juga prehatin dan cuba mempastikan segala perjalanan adalah berjalan dengan baik. Mereka bertanggungjawab terhadap orang ramai, khususnya kepada penderma-penderma. Mereka mestilah bersifat amanah.
Masuk Tapak dengan tiada sebarang upacara adat, tapi terus mula kerja di tapak (sudah dilakukan perasmian sebelumnya).
Masuk Tapak dengan duit di tangan adalah sebanyak:  RM2,641,102.35
Masuk Tapak dengan keyakinan orang ramai terus menderma agar sama dapat membuat kebajikan dan insya Allah mendapat ganjaran berganda dari Allah.
Sekian.

February 21, 2018

SENIBINA ADALAH SENIJIWA : MOHON KELULUSAN PLAN DARI MPKJ



BBB,  04 Jamadil-Akhir 1439H. = 20 Februari 2018M. (Selasa):
Beberapa tahap penting perlu dilalui, sebelum dapat dilakukan pembinaan fizikal  Masjid Al-Umm.
Tahap-tahap yang dilalui dan mendapat kelulusan ialah:
1)      Gezet Tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mendirikan masjid
2)      Mendapat keizinan dari JAIS bagi mendirikan Masjid
3)      Mendapat keizinan dari MAIS bagi memungut derma bagi masjid.
Tahap selanjutnya ialah mendirikan bagunan fizikal bagi Masjid Al-Umm. Tapi sebelum dapat mendirikan  masjid, maka seharusnya (mesti) mendapat kelulusan plan dari MPKj.
Sebagaimana telah disebutkan bagi menyiapkan plan pembinaan adalah dilakukan  oleh Syarikat Urusbina dari Perlis yang partner dalam syarikat ini tinggal di Seksyen 2 Bandar Baru Bangi dan tidak jauh dari tapak bagi Masjid Al-Umm. Beliau adalah Tuan Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad yang juga adalah ahli jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm. Beliau melalui syarikat Urusbinanya ditugaskan menyiapkan plan arkitek bagi Masjid Al-Umm.
Seorang arkitek adalah seorang yang seharusnya berjiwa seni dan biasanya mampu menghayati elemen-elemen alam dari segi bentuk dan struktur sesuatu yang memberi ilham baginya menggubah dan mereka bentuk, khususnya dari segi binaan. Takmilah bagi sesebuah bangunan tidak semata-mata dari susunan batu-batu konkrik, tiang, lantai dan atap, tetapi seharusnya ada elemen estetika yang menyempurnakan jiwa dan rupa bentuk sesuatu bangunan. Ciri-ciri estetika yang merupakan pancaran dari jiwa arkitek  menjadi identiti baginya.  Misalnya arkitek Hijaz Kasturi  terkenal dengan bangunan yang teradun dari elemen moden dan klasik. Raja Baharin terkenal menggunakan elemen rumah tradisi di Terengganu yang terkenal dengan rumah peleh  berbuah butung pada bumbung bangunan. Elemen tradisi yang digunakan dapat dilihat pada bangunan Muzium Negeri Terengganu.
Sebagaimana telah disebut pada kebiasaannya, terdapat tiruan dari yang sebelumnya bagi sesebuah bangunan. Dari tiruan ini ditambah dengan unsur kreatif dan inovasi oleh pereka-perekanya. Dalam hubungan dengan Masjid Al-Umm  arkiteknya , khususnya Raja Fuaddin adalah seorang ahli seni yang pengaruh seni tercermin pada wataknya yang lembut dan halus tuturkatanya. Sebagai arkitek bagi Masjid  Al-Umm mewakili syarikatnya, ia tidak lari dari meniru dari elemen masjid yang ada sebelumnya. Antara yang ketara elemen yang sama ialah kubah, menara dan elemen-elemen bulat dan lengkung yang ada pada masjid. Banyak elemen timur tengah di samping tempatan. Tidak mudah sebenarnya untuk menyediakan plan arkitek bagi masjid al-Umm yang setiap bahagian dari masjid sebagaimana telah dibincangkan hendaklah dilakarkan di dalam plan dengan ukuran-ukuran khusus dan tepat.  Plan permulaan disediakan oleh Tuan Ar. Raja Fuaddin adalah untuk pameran  pada Majlis Pelancaran Derma bagi Masjid Al-Umm pada 19 Mei 2012.
Plan ini  dipertingkat dan dibincangkan di dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa pembinaan Masjid Al-Umm. Beliau sendiri tidak terlepas dari kecaman bila berlaku ketidak tepatan dari plan, atau tidak memenuhi perubahan  tambahan yang sepatut dilakukan. Pada satu peringkat dianggap tidak berkemampuan menyediakan plan arkitek yang memuaskan bagi kehendak Masjid Al-Umm, kerana walaupun Syarikat Urusbina telah banyak menghasilkan plan arkitek bagi bangunan, tetapi ini adalah merupakan kali pertama bagi syarikat berkenaan menyediakan plan arkitek bagi sebuah masjid.
Setelah melalui perbincangan yang agak lama , maka plan bagi Masjid Al-Umm baru dapat disiapkan sekitar  bulan Ogos 2012 maka plan bagi Masjid Al-Umm baru dapat diangkatkan kepada pihak MPKj yang memerlukan kepada 21 salinan yang setiap satu dikemukan bagi jabatan-jabatan  yang berjumlah 21 jabatan itu (Contoh, Bomba, JKR, Perparitan, Alam Sekitar TNB, Air,  dan sebagainya).
Untuk mendapat kelulusan pula memakan masa, kena tunggu kelulusan mesyuarat antara jabatan di MPKj, jika  ada perkara yang tidak menepati kehendak, misalnya dari segi keselamatan, perlu dibaiki dan perlu menunggu kelulusan mesyuarat yang lain. Ini menyebabkan kelewatan hingga pada satu masa Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm menulis surat kepada YDP MPKj  pada 8 Oktober 2012 untuk mengadakan pertemuan dengan pihak MPKj dan rundingan  diadakan berikutnya, walaupun nampaknya mudah dan tidak sangat  bermasalah, tapi tidaklah mudah untuk mendapat kelulusan
Sesudah berbagai usaha dilakukan dan kontrektor mulai masuk tapak bagi pembinaan pada 10.12, 2013  maka barulah kelulusan didapati. Rujukan kelulusan ialah Bil. 11 dlm. MPKj 8/P/2/2013. Surat kelulusan diperoleh pada 16 Disember 2013. Ini bererti urusan bagi mendapat kelulusan plan arkitek bagi pembinaan memakan masa lebih dari setahun !
Sekian.

February 20, 2018

TAKMILAH FIZIKAL MASJID AL-UMM BERORIENTASIKAN ILMU : TAMBAHAN DAN IMPLIKASI



BBB, 03 Jamadil Akhir 1439H. = 19 Februari 2018M. (Isnin):
Tiap bangunan yang dibina ada fungsinya. Rumah misalnya untuk kediaman, kedai untuk perniagaan dan masjid adalah untuk ibadat bagi umat Islam. Demikianlah plan arkitek bagi Masjid Al-Umm adalah untuk uamat Islam di BBB atau dari mana jua datang untuk beribadat. Demikian fungsi Masjid Al-Umm yang asasi.
Mungkin tidak boleh dipersalahkan kepada arkitek Urusbina yang jelas meyediakan plan asasi bagi Masjid Al-Umm seperti adanya pada peringkat permulaan, tapi  tiada perbincangan detail sejak   peringkat permulaan yang sepatutnya dijelaskan kehendak dengan fungsi dan misinya. Sejak dari awal kebanyakan ahli jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm bukanlah mereka yang mengetahui tentang arkitektur. Namun ada kesedaran dari awal antara misi dan fungsi mendirikan Masjid Al-Umm selain dari menjadi tempat ibadat (solat),  juga sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu. Sesungguhnya harapan begitu tinggi, bahawa bersama dengan Masjid Al-Umm itu kelak akan dipohon tanah pada kawasan Medan Selera (Usahawan) yang lebih kurang seluas dua ekar itu akan didirikan bangunan belasan tingkat sebagai bangunan pentadbiran, ruang-ruang kuliah, perpustakaan, kedai buku, asrama dan ruang-ruang kegiatan mahasiswa. Dalam kata lain, masjid menjadi induk bagi `Jami`ah (universiti) Al-Umm`. Keinginan ini bukan bersifat angan-angan, bahkan plan bagi pembangunan premis keilmuan bagi masjid Al-Umm telah dihasilkan oleh  Al-Marhum Tuan Haji Ghazali Husein salah seorang ahli jawatankuasa yang dilantik menganggotai jawatankuasa baru bagi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm (Ogos 2012). Bukan setakat melibatkan Medan Selera (Usahawan), tetapi kawasan padang awam yang berdekatan dengan Masjid Al-Umm adalah termasuk di dalam `Greater Area` bagi Masjid Al-Umm yang dapat dikatakan sebagai ruangan `Kampus bagi Jami`ah Al-Umm.`
Pandangan Konsep  `Jami`ah Al-Umm` di atas, lebih khusus sebelum lahirnya konsep `Greater Area Jami`ah Al-Umm` , maka idea mau melihat  Masjid Al-Umm sebagai Pusat Ibadat dan Pengajian bertaraf Jami`ah mau diaplikasikan kepada Masjid Al-Umm. Lantaran itu tempoh antara Ogos 2012 hingga keakhir 2013 mesyuarat-mesyuarat banyak berhubung dengan plan arkitek dan masalah mencari dana bagi Masjid Al-Umm. Digerak oleh misi dan visi Masjid Al-Umm sebagai pusat Ibadat, keilmuan dan kemasyarakatan, maka ianya  menjadi topik perbincangan berterusan. Jika dilihat kepada aras-aras  dan ruang-ruang yang disediakan di Masjid Al-Umm adalah berorientasikan keilmuan bagi mendekati konsep `Al-Jami`ah`.
Pada aras utama yang mempunyai ruang terluas adalah tempat solat, tetapi ruang solat utama ini juga menjadi ruang pengajian. Di sini guru-guru mengajar kitab, khususnya selepas solat  maghrib hingga Isya`, demikian juga selepas solat subuh. Pada bahagian serambi kanan dan kiri, wujud kelompok-kelompok pengajian yang dibimbing oleh guru-guru khusus, termasuk pengajian yang berhubung dengan Al-Qur`an yang ramai guru mengajar keilmuan-keilmuan yang berhubung dengan Al-Qur`an.
Perlu diingat bahawa ruang solat utama ini dapat dijadikan ruang pengajaran secara terbuka terutama pada hari Sabtu dan Ahad pada semua kawasan ruang utama ini boleh memuatkan pengaji-pengaji sehingga jumlah 3,000 orang. Perlu disebut bahawa pada aras utama berdepan ruang pejabat (kini bilik VVIP)  terdapat ruang tarbiah bagi anak-anak. Bermaksud pementingan dari segi pengajian dan pendidikan. Kewujudan ini adalah hasil dari permesyuaratan yang diadakan.
Pada aras satu di atas bagi  aras utama terdapat ruang solat bagi muslimat yang boleh memuatkan jamaah muslimat seramai 500 orang. Ruang ini juga digunakan bagi pengajian bagi muslimat. Manakala pada sebelah kiri bagi ruang muslimat terdapat dua bilik bagi seminar. Dua bilik boleh disatukan dengan menolak pemisah tengahnya menjadikannya sebagai Dewan Seminar, manakala pada sebelah kanan pula terdapat bilik mesyuarat. Pada bahagain belakang pula terdapat 2 bilik kuliah bagi sebarang pengajaran ilmu. Dan terdapat pula bilik bagi perpustakaan bersama IT, dan bilik  tahfiz.
Pada aras bawah tanah terdapat Dewan Besar yang boleh digunakan bagi konvensyen yang jumlah kehadiran lebih  ramai , jika menggunakan kerusi saja boleh memuatkan seramai 1,000 orang. Dewan ini juga boleh digunakan sebagai tempat persidangan. Ianya juga boleh digunakan bagi  majlis  perkahwinan, sambutan hariraya dan berbagai sambutan dan perayaan. Di sebelah kanan bagi dewan ini terdapat bilik untuk akad nikah dan boleh juga digunakan untuk pengajian, mesyuarat dan sebarang majlis yang lebih kecil muatannya (100 orang). Demikianlah ruang-ruang yang disediakan selain dari untuk solat, banyak daripadanya untuk kegiatan keilmuan – berorientasikan ilmu.
Dari segi plan arkitektur, pertambahan-pertambahan yang berlaku menyebabkan berlakunya perubahan pada plan arkitek awal dan banyak berlaku penambahan dan perubahan. Dari satu segi melambatkan usaha bagi mengangkatkannya kepada MPKj dan jabatan-jabatan yang lain (One stop centre di MPKj), dengan kelambatan pengangkatan plan oleh arkitek ke MPKj ini melambatkan urusan mendapat kelulusan plan dan melambatkan pula rancangan pembinaan fizikal bagi Masjid Al-Umm.
Implikasi yang lain dari perubahan dan penambahan plan, ianya menambahkan kos bagi penyiapan plan. Dengan penambahan yang baru, maka kos tambahan akan dikenakan bagi tambahan-tambahan yang dilakukan- Ini mengakibatkan bertambahnya kos pembinaan Masjid Al-Umm. Ini tidak berlaku jika semuanya disiapkan dalam plan asal bagi Masjid Al-Umm.
Keadaan ini berlaku oleh kerana kebanyakan ahli jawatankuasa bukan dari kalangan yang mengetahui soal plan arkitek bagi pembangunan. Mereka boleh disifatkan campurtangan menambah  di sana sini mengikut apa yang difikirkan bersesuaian. Mungkin apa yang ditambah dan diubah menambahbaiki dan menjadi lebih elok, tetapi mempunyai implkasi dari segi penambahan kos, keseluruhannya dilihat sebagai hasil dari yang tidak professional dan bila siap dilihat di sana sini kekurangan. Misalnya ruang terbuka untuk kemasukan angin terpaksa ditutup kerana kononnya tempias, bahagian anjung terpaksa ditambah juga kononnya kerana tempias, sedang ianya menjelikkan pandangan dan menyempitkan ruang dan banyak lagi memperlihatkan tindakan-tindakan yang tidak professional. Perkara ini tidak boleh dipersalahkan arkitek, kerana dia dipaksa oleh juru-juru tambah yang bukan ahli dalam bidang pembinaan. Akhirnya sebagaimana  antara falsafah Takmilah, masjid sempurna dalam ketidaksempurnaan.
Sekian.

February 19, 2018

FAKTOR MANUSIA : ADAB DAN TAKMILAH



BBB, 02 Jamadil-Akhir 1439H. = 18 Februari 2018M. (Ahad):
Faktor manusia adalah faktor utama bagi menghasilkan sesuatu ciptaan seperti rumah, kenderaan, bahkan di dalam konteks pembicaraan kita ialah masjid.  Tanpa kehendak dan ikhtiar dari kelompok berkenaan tidak wujudnya masjid. Kehendak dan kemahuan ini pula berdepan pilihan, misalnya sama ada masjid  satu tingkat, dua tingkat dan sebagainya. Seterusnya pergi kepada yang lebih kecil, apakah yang seharusnya ada pada setiap tingkat dan apakah material yang mau digunakan bagi melengkapkan ruang dan sebagainya.
Dalam kelompok manusia ini pula ada berbagai pendapat,  ada yang mungkin sama dan mungkin berbeza, tidak jarang di dalam menegakkan kemahuan dan pendapat diri tanpa disedari dipengaruhi oleh nafsu ammarah, lantaran  itu mekanisme syura di dalam kelompok seperti yang dinamakan Jawatankuasa Pembinaan perlu bagi mendapat kata sepakat di dalam membuat  keputusan.  Misalnya  bila tercetusnya idea bahagian bawah tanah patut dijadikan satu aras bagi masjid yang dikenali aras bawah tanah, maka melalui mesyuarat disepakati bahawa wajar aras bawah tanah diwujudkan. Demikian misalnya apakah warna atap bagi masjid. Pada awalnya ada kelainan pendapat. Ada yang berpendapat warna kuning, ada yang biru, hijau dan ada yang maukan kelabu. Di dalam hal ini pendapat mejoriti diambil. Misalnya kelabu.
Di dalam mencari pendapat ada yang tidak sepakat. Di dalam menangani kelainan pendapat ini perlu dikawal oleh adab yang mencari Takmilah di dalam bermuamalah. Namun terdapat  watak yang konsisten dengan sikap keras sehigga tidak disenangi ramai. Di dalam sebuah cerita mislnya cerpen dan novel watak seperti ini dipanggil watak `pipih` atau `antoganis`  yang kewujudannya penting bagi menghidupkan cerita dan cerita tidak menjadi tawar dan streotype sehingga adanya unsur tegang dan penyelesaian yang memuaskan. Nampaknya elemen seperti ini wujud juga di dalam berjawatankuasa sehingga di dalam pembinaan masjid pun  boleh dijadikan sebuah penceritaan, yang sebenarnya dan sepatutnya  tidak perlu. Di sini kita menjaga adab sebagaimana konsep cerita di dalam Islam, misalnya watak pipih dan antoganis tidak disebut namanya secara langsung di dalam Al-Qur`an. Oleh kerana ianya realiti kita mematuhi adab bercerita di dalam Al-Qur`an.
Sesungguhnya faktor manusia banyak berlaku perubahan di dalam struktur pentadbiran. Kita telah menyebutkan berlaku penambahan anggota jawatankuasa yang memperkukuhkan jawatankuasa berkenaan. Tetapi di dalam perbahasan dan pertikaian ada pihak yang semacam berterusan dibuli dan tidak tahan terpaksa menarik diri dari jawatan sejak Ogos 2013  dan terpaksa diganti dengan yang lain bagi meneruskan pentadbiran.  Ada pula yang bersikap keras yang boleh disifatkan `Buku bertemu dengan ruas` dengan  melahirkan protes dan cabar mencabar dan kerana tidak bersetuju dengan pihak lawan, maka dia bertindak meletakkan jawatan. Kerana peranannya penting, beliau berkali-kali dipujuk, tetapi tetap berkeras dan dikira menarik diri pada akhir 2013. Keadaan ini juga berlaku kepada Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang tidak senang  dengan kecaman dan serangan dan mengambil sikap tidak menghadiri mesyuarat sejak 2016, walaupun beliau dipujuk berkali-kali untuk bersama di dalam AJK. Perkara yang sama berlaku kepada Wakil Rakyat Bangi yang sama menghadapi serangan (akhir 2016), tetapi tidak menjadi masalah baginya, kerana dia bukanlah AJK. Walau bagaimana sikap yang sedemikian adalah merugikan semua pihak dan mewujudkan ketegangan dan hubungan yang tidak baik. Seharusnya melalui mesyuarah semua seharusnya  kembali kepada nilai Islam dan  seharusnya bersifat musamahah. Dengan menyedari diri di bawah pengaruh ammarah hendaklah kembali mentakmilah diri dengan jiwa yang mutmainnah yang tenang dalam membuat keputusan dan tindakan.
Faktor manusia adalah penting. Dia dinamik membina dan memajukan, tetapi ia boleh berlaku sebaliknya. Proses berorganisasi, berpersatuan dan berjawatankuasa sebenarnya adalah juga proses menuju Takmilah dari berbagai aspek.
Takmilah dari kelemahan  secara individu, maka dengan berjawatankuasa mengukuhkan kedudukan dan pengurusan.
Takmilah dengan kumpulan berlaku penyatuan pendapat yang lebih baik melalui mesyuarat dan persetujuan.
Takmilah dengan kumpulan maka kerja-kerja yang berat, melalui kerjasama menjadi ringan.
Walau betapa silap Islam menyediakan jalan keluar melalui jalan taubat dan kemaafan dan kembali kepada asal dan permulaan sebagai titik bertolak kembali bagi perjalanan menuju Takmilah, kerana kita mau apa yang kita kerjakan  - kita mohon kepada Allah menerima keikhlasan kita yang dapat menghasilkan kerja dengan ikhlas secara taqwa, agar masjid terdiri di atas taqwa. Semoga semua jamaah juga sama di dalam hidayah dan taqwa.
Sekian.

February 18, 2018

PLAN BAGI MASJID AL-UMM : TAKMILAH MELALUI SYURA



BBB, 01 Jamadil-AKHIR 1439H. = 17 Februari 2018M. (Sabtu):
Plan asal bagi bangunan Masjid al-Umm adalah dua tingkat, iaitu tingkat utama dan tingkat satu bagi muslimat. Itulah bentuk yang dipamerkan semasa pelancaran derma bagi Masjid Al-Umm pada 19 Mei 2012 dan gambaran masjid adalah sebagaimana pada kulit buku kecil bagi pelancaran tersebut. Pada kebiasaannya plan yang telah dikeluarkan  adalah  menjadi panduan bagi pembinaan oleh kontrektor. Tetapi tidak sedemikian bagi Masjid Al-Umm, namun  adalah diakui bahawa plan awal ini menjadi panduan, tetapi ianya tidak menjadi panduan sepenuhnya.
Dari satu segi adalah dilihat ketidaktetapan penerimaan plan yang diutarakan oleh pihak arkitek  ada kebaikannya, kerana ia memberi ruang kepada pembaikan ke arah Takmilah dari segi plan arkitek, walaupun ini memberi erti tidak mantapnya plan yang dikemukakan. Namun dari satu segi ketidakmantapan dan kelak berlakunya  pengubahsuaian, penambahan dan pembaikan membawa implikasi pada pertambahan kos binaan dan berlaku perubahan yang mau diangkat kepada MPKj dan jika sudah diangkat, maka perubahan yang dilakukan perlu diangkat lagi  tentang penambahan, pengubahsuaian dan pembaikan kepada MPKj. Ini bererti boleh melambatkan kelulusan plan untuk pembinaan, bahkan merumitkan bagi kelulusan pada peringkat CCC.

Demikianlah  sejak berlakunya penyususunan baru bagi AJK Pembinaan pada bulan Ogos 2012, maka antara perkara yang dibincangkan yang dihadiri AJK Induk dan turut hadir kontrektor, arkitek dan consultant-consultant (belum ditubuhkan AJK Teknikal) ialah tentang tapak dan memantapkan plan sebelum ianya diangkat kepada MPKj untuk kelulusan. Tentang tapak pernah dikatakan bahawa kedudukannya adalah rendah ke belakang (berdekatan dengan Dewan Orang Ramai) dan dikatakan memerlukan penambahan tanah dari luar sekitar 5,000 lori (Angka ini agak besar). Pendapat ini tidak tepat dan tidak terjadi pembawaan tanah dari luar, bahkan keadaan menjadi sebaliknya. Bermaksud ada sebahagian tanah berlebihan dan dikeluarkan ke tempat lain – Termasuk untuk tempat parkir.
Dalam perbincangan tercetus pendapat, bahawa bahagian bawah bangunan akan dijadikan sebahagian daripada tempat parkir dalam mana tanah pada bahagian bawah – mendekati jalan ke Medan Selera (Medan Usahawan) akan dikorek dan dikeluarkan tanah bagi ruang parkir  berkenaan. Dari sini tercetus pendapat yang mencadangkan, bahawa daripada menjadikan bahagian bawah tanah, tempat parkir, mengapa tidak dijadikan ianya  aras bawah tanah bagi masjid yang boleh dijadikan aras bagi ruang  serbaguna, seperti untuk konvensyen, ruang jamuan perkahwinan dan berbagai perhimpunan. Idea bernas yang timbul dalam perbincangan melalui syura ini diterima. Ini bermakna masjid Al-Umm yang plan asalnya  dua tingkat menjadi tiga tingkat.  Aras  Utama untuk solat (lelaki), aras satu (atas) untuk muslimat dan lain-lain dan aras bawah tanah untuk Dewan Serbaguna. Dengan cadangan ini plan asal menerima perubahan bukan setakat tambahan ruang bawah tanah, tetapi pada bahagian-bahagian yang lain.  Ini merupakan perubahan major, terdapat banyak lagi perubahan-perubahan minor yang  meningkatkan kos yang akan dibincangkan kelak. Perubahan-perubahan ini adalah falsafah Takmilah iaitu menuju Takmilah dalam ketidaksempurnaan.
Kedudukan plan arkitek yang menerima perubahan adalah sebagaimana berikut:
a)      Aras Utama mempunyai ruang-ruang:
1)      Ruang solat utama
2)      Ruang serambi (koridor) kanan
3)      Ruang serambi (koridor) kiri
4)      Bilik pengurusan jenazah
5)      Bilik  pentadbiran
6)      Bilik Tadika
7)      Bilik-bilik wudhu` dan tandas (kanan-kiri)
8)      Bilik  simpanan kerusi-meja
9)      Bilik peralatan
10)   Ruang mainan anak-anak dan rehat (santai).

b)      Aras Atas (Tingkat Satu) mempunyai ruang-ruang:
1)      Ruang solat muslimat
2)      Bilik mesyuarat
3)      Dewan seminar (dua bilik boleh disatukan)
4)      Bilik IT & perpustakaan
5)      Kelas tahfiz

c)       Aras Bawah Tanah (luas 5,600 kaki persegi)
1)      Ruang serbaguna
2)      Bilik akad nikah
3)      Bilik air dan bilik persalinan
4)      Bilik persediaan kenduri (makanan)
5)      Bilik peralatan (kerusi meja dan lain-lain).
Pendek kata Masjid Al-Umm masjid yang menyediakan ruang ibadat, ruang pengajian,  pengajaran  dan wacana ilmiah (seminar, konvensyen dan koloqium), kuliah,  kelas dan ruang-ruang  untuk kegiatan kemasyarakatan.
Sekian.

February 17, 2018

TAKMILAH : IRONI DAN KONTRADIKSI



Ke ufuk Takmilah
Ke hujung penujuan yang lelah
Ironi dan kontradiksi
Onak dan duri  perjalanan
Namun tiada bernama
Takmilah kejayaan
Tanpa adanya ujian.

Ibarat seorang bakal graduan
Tidak mudah mencapai  ijazah
Tanpa  dilakari pengorbanan
Masa dan tumpuan
Material dan cagaran
Sokongan dan galakan
Gagal dan kejayaan.

Ibarat membina sebuah keluarga
Tidak sunyi dari sengkita
Namun ada fatwa dan formula
Berpaksi nilai  keyakinan
Qur`an dan Sunnah dihayati
Badai dan ombak  tsunami
Insya Allah kemelut diatasi
Ketenangan menjelang
Sabar dan redha rumusan.

Ironi  kehidupan
Kontradiksi  ujian
Jalan lurus membentang
Ketika segalanya di hujung kesempatan
Segalanya  digaris terlewat
Ketika di sini mau diperbaiki
Di sana pula minta diperhati
Takmilah dihantarkan
Ideal dalam perjalanan
Sempurna dalam ketidaksempurnaan.

Bandar Baru Bangi,
30 Jamadil-Awwal 1439H. (Juma`at)
16  Februari 2018.

February 16, 2018

ASPEK ARKITEK BERCANGGAH DENGAN PRINSIP TAKMILAH ?



BBB, 29 Jamadil Akhir 1439H. = 15 Februari 2018M. (Khamis):
Plan pembinaan pada asalnya ialah apa yang ada di dalam minda seorang pemilik yang mau membina bangunan di atas tanah miliknya. Jika rumah kediaman, maka sudah ada rangka  di dalam pemikirannya bentuk rumah yang didamkan. Mungkin rumah kayu bertiang tinggi ) di bawahnya ruang kosong antara tiang-tiang  - rumah kampung) dengan beberapa bilik dengan beratap bata lama dan dibelakangnya dikorek  telaga sebagai sumber air. Maka dengan tenaganya dan pembantu-pembantu dapat diperturunkan plan di dalam mindanya kepada realiti  bentuk  bangunan yang disiapkan sebagaimana diinginkan.
Namun bagi mendirikan rumah tidak semua pemilik berkemampuan untuk membina sendiri, apa lagi jika lokasinya melibatkan kawasan rumah  dalam taman teratur, bahkan masuk dalam kawasan perbandaran, maka binaan tidak boleh dibuat sembarangan perlu kepada plan arkitek yang diluluskan. Tujuannya adalah supaya bangunan kediaman teratur, tidak merosakkan pandangan, mudah diuruskan misalnya dari segi jalan dan bagi memasukkan letrik, paip air, pembetungan, telefon dan sebagainya. Mudah pula dari segi pengurusan sampah, penghantaran barang-barang kerana berada di tempat yang teratur dan sebagainya.
Lokasi dan tapak  Masjid Al-Umm  adalah berada  pada pertengahan Bandar Baru Bangi.  Sebab itu ia tertakluk pada aturan Perbandaran Kajang di bawah Daerah Hulu Langat, maka plan pembinaannya hendaklah diluluskan oleh pihak Majlis perbandaran Kajang. Urusan penyiapan plan ini hendaklah dilakukan jauh lebih awal sebelum dilakukan pembangunan. Bangunan tidak dapat didirikan sebelum kelulusan plan didapati.
Pada dasarnya untuk membuat plan perlu kepada kepakaran dari segi arkitek.  Plan tidak boleh dibuat lakaran sembarangan tetapi menurut spesifikasi plan yang diterima dan diluluskan oleh pihak perbandaran. Sebagaimana pembinaan memerlukan kepada kontrektor yang berwibawa yang dapat membina binaan  dengan baik dan bermutu, demikianlah pada dasarnya keperluan kepada arkitek. Bermaksud memerlukan arkitek yang berlesen, mampu membuat plan bangunan, di sini masjid Al-Umm yang diinginkan.
Sebagaimana telah disebutkan sebelum ini di dalam jawatankuasa Pembangunan telah dibawa masuk ke dalam jawatankuasa sejak penyusunan semula jawatankuasa sejak Ogos 2012 lagi. Jawatankuasa yang dibawa masuk sebagai ahli jawatankuasa ialah Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad.  Sebagai orang yang berpengalaman di dalam bidang arkitek beliau  banyak memberi pendapat dan membantu Ahli Jawatankuasa dari segi arkitek, bahkan menyediakan rangka plan arkitek bagi  Masjid Al-Umm. Dengan keadaan demikian keperluan memilih arkitek secara iklan dan interview tidak berlaku. Beliau seolah-olah diterima sebagai arkitek bagi Masjid Al-Umm. Jika dapat dikira sebagai kekurangan, maka ia adalah kekurangan, lantaran tidak berlaku pemilihan secara iklan dan pemilihan secara interview bagi pemilihan arkitek. Demikianlah kedudukan dari segi arkitek bagi Masjid Al-Umm. Dilihat dari segi Takmilah, ianya adalah bercanggah dengan prinsip Takmilah yang prinsipnya ialah mencari yang terbaik sesuai dengan falsafah Takmilah. Implikasinya akan berlaku pengubahsuaian bagi mencapai Takmilah yang mungkin tidak tercapai sepenuhnya.
Tuan Ar. Raja Fuaddin, sungguhpun tinggal di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi dan bekerja sebagai arkitek, yang firma arkiteknya yang beliau menjadi partnernya ialah berpangkalan di Perlis yang beralamat penuhnya ialah:
Arkitek Urusbina,
No. 47, Taman Sri Medan,
Jalan Raja Syed `Alwi,
0100 Kangar,  Perlis.
Kejauhan tempat  (Ibu Pejabat) sebenarnya tidak menghalang dari segi pengurusan lantaran wujudnya berbagai kaedah komunikasi moden dengan cawangan di Bangi.
Sejak menjadi ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm beliau telah merangka  plan bagi Masjid Al-Umm dan telah dibentangkan dalam mesyuarat-mesyuarat Ahli Jawatankuasa secara bertahap dan dibincangkan dalam mesyuarat yang pada peringkat awal (sebelum ditubuhkan jawatankuasa Teknikal pada awal 2013) dan dihadiri oleh kontrektor dan perunding-perunding atau wakil-wakil mereka. Sebagai hasil awal pihak arkitek yang diketuai oleh Ar. Tuan Raja Fuaddin Raja Ahmad telah mempamerkan aspek arkitek (plan awal) bagi Masjid Al-Umm dalam Pameran mengenai Masjid Al-Umm, semasa Lawatan Kerja Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 Januari 2013 merasmikan tapak Masjid Al-Umm yang dikenali dengan Majlis Mesra Kenduri Kampung Bersama YAB Dato` Menteri Besar Selangor. Pameran ini adalah dilawati oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor. Plan yang dipamerkan ini belum diangkat ke pihak MPKj. Ianya adalah pada peringkat persiapan awal.
Sekian.