February 24, 2018

MEMPERKUKUH PENTADBIRAN. LANTIK DR. HARON DIN MENJADI PENAUNG


BBB, 07 Jamadil Akhir 1439H. = 23 Februari 2018M. (Juma`at):
Sebelum tiba fasa pembangunan fizikal bermula dengan `Masuk Tapak` pada 10.12.2013 sebagaimana telah disebutkan, sebelumnya berlaku beberapa perubahan di dalam pentadbiran, terutama di dalam Ahli Jawatankuasa Pembangunan.
Antara keputusan yang diambil di dalam Mesyuarat bulanan, ialah supaya melantik Dato` Dr. Haron Din menjadi Penanung bagi Ahli Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm. Bagi melaksanakan tujuan ini pada  6 Julai 2013 beberapa AJK Pembangunan Masjid Al-Umm yang terdiri dari Pengerusi, Setiausaha, Dr. Tajul Ariffin Noordin, Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas, Tuan Haji Sufi Munasir, Tuan Hji Abdul Rahman Daud dan beberapa yang lain menemui Dato` Dr. Haron Din pada pagi Sabtu. Pada pagi hari itu Dato` Dr. Haron Din berceramah di Kompleks Pendidikan Islam   Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.
Selepas beliau berceramah pihak AJK menemui beliau di bilik berhampiran ruang ceramah.
Pengerusi berucap ringkas menyatakan hasrat AJK ialah untuk melantik Dato` Dr. Haron Din mejadi Penaung bagi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm. Pada pertemuan itu diserah Wathiqah Perlantikan dan dokumen-dokumen berhubung dengan pembangunan Masjid Al-Umm. Dato` Dr. Haron Din menerima perlantikan secara terbuka dan berjanji akan membantu membangunkan Masjid Al-Umm. Pertemuan diakhiri dengan jamuan tengahari.
Perubahan juga berlaku dengan penraikan diri Tuan Haji Hussin Yunos daripada Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm kepada AJK biasa pada pertengahan Ogos 2013. Tempat beliau diisi oleh Tuan Haji Suib Maulud, Bekas Pendaftar UPM dan Bekas Pendaftar UMT. Beliau memperkemaskan pentadbiran AJK Pembangunan dengan mengadakan mesyuarat dan membuat minit mesyuarat lebih teratur.
Pada  masa yang sama Tuan Haji Omar Ja`far Bekas Pegawai Tadbir UKM yang berpengalaman, menarik diri dari AJK Pembangunan Masjid Al-Umm,. Kerana tidak senang dengan suasana – terutama mesyuarat-mesyuarat yang sering menimbulkan kehangatan dan bertikam lidah. Walau pun beliau tidak hadir mesyuarat sejak Ogos 2013, tetapi beliau dikekalkan hingga akhir tahun 2013.
Penyusunan pentadbiran  seterusnya melibatkan Yang Mulia Ar. Haji Fuaddin bin Raja Ahmad. Beliau sering diserang dan dikecam di dalam mesyuarat AJK, tetapi dengan sifatnya yang lembut beliau tidak mengambil sikap keras, tetapi berlembut. Tapi hujah yang  sering dikemukakan ialah meminta beliau berundur dari AJK Pembangunan Masjid Al-Umm, kerana boleh dianggap berlaku `conflict of interest`, bermaksud sebagai mana beliau adalah dari Syarikat Arkitek  Urusbina yang berkepentingan, beliau seharusnya tidak ada di dalam mesyuarat dan mendapat maklumat dari mesyuarat yang tidak sepatutnya diketahui oleh pihak arkitek. Permintaan beliau berundur dan berada hanya di dalam AJK Teknikal (ditubuhkan awal 2013) bersama dengan kontrektor dan perunding-perunding adalah wajar sebagai badan pengantara AJK Pembangunan dan pihak kontrektor, arkitek dan perunding-perunding. Tuan Haji Ar. Fuaddin mengambil langkah meninggakkan dari menjadi ahli Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm adalah mulai  Julai 2014. Beliau adalah menjadi AJK Teknikal yang dipengerusikan oleh Tuan Ir. Haji Ishak bin Arshad dan turut hadir ke Mesyuarat Tapak bila dipanggil. Jawatankuasa Tapak ini diwujudkan mulai dari awal 2014 dan bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Teknikal tetapi Jawatankuasa Tapak berakhir fungsinya pada akhir 2015.
Perlantikan-perlantikan membawa kepada perubahan perjalanan Jawatankuasa Pentadbiran ke arah yang lebih dinamik dan Takmilah. Misalnya mesyuarat bulanan sebagai kemastian diadakakan dengan persediaan bahan mesyuarat lebih kemas. Dalam mesyuarat ini adalah menjadi kemestian pihak AJK Teknikal melaporkan perkembangan pembangunan kepada Mesyuarat Induk, iaitu Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm.
Dengan perubahan  Ahli Jawatankuasa ini menjadikan pentadbiran lebih kemas dan licin.
Sekian.

No comments:

Post a Comment