March 15, 2019

ANCAMAN RACUN KIMIA PENGAJARAN DARI KECUAIAN


ANCAMAN RACUN KIMIA: PENGAJARAN DARI KECUAIAN
(Fikrah Bangi: 176),
BBB,  08 Rejab 1440H. = 15 Mac 2019M. (Juma`at):
Pasir Gudang adalah kawasan industri terbesar di Johor sebagai koridur Selatan Malaysia. Sejak dibuka terdapat 254 kilang beroperasi di sana. Kilamg ini sepatutnya mengikut SOP yang sepatutnya mematuhi keperluan memberi maklumat apa jenis bahan kimia yang digunakan dan melaporkan bagaimana bahan-bahan berkenaan dilupuskan dan seharusnya ada  kawasan dan kaedah perlupusan yang dikawal oleh bahagian Alam Sekitar dan  Kerajaan Tempatan. Tetapi sejak berpuluh tahun, antara bahan-bahan beracun ini dibuang ke dalam sungai. Antara sungai yang menjadi mangsa ialah Sungai Kim Kim. Akibatnya sejak seminggu lepas (7.3.2019), keracunan bahan kimia mulai dikesan. Ianya bukan setakat apa yang terlarut di dalam air sungai tersebut, tetapi kesannya yang mengancam terbawa di dalam udara yang tersebar lima km.  radius mengancam penduduk di sekelilingnya, terutama murid-murid sekolah.  Sehingga semalam (14.3.2019 –Khamis).  statistik menunjukkan 111 buah sekolah dan beberapa pengajian tinggi  mengalami kesan toksik kimia beracun dan taman-taman kediaman penduduk. Mereka yang berada di dalam kawasan bahaya ini ialah 17,568penduduk. Daripada mereka 1,171 dirawat – melibatkan 336 pelajar. 397 daripada mereka dimasuk ke wad, 13 daripada mereka serius (bagaimana semalam tinggal  7 dirawat).
Ancaman dari racun kimia ini menyebabkan pihak berkuasa persekutuan dan negeri seperti kakitangan hospital, pihak bomba dan pertahanan awam, polis, kakitangan Jabatan Alam Sekitar, kakitangan Kerajaan Tempatan, Jabatan Pendidikan,  wakil-wakil rakyat parlimen dan DUN setempat , NGO-NGO dan berbagai agensi turun padang bersama-sama berusaha mengatasi ancaman racun toksik berkenaan. Kerajaan Negeri Johor telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta bagi membiayai operasi. Sultan Johor sendiri menderma sebanyak satu juta ringgit.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besarnya telah memanjangkan persoalan kepada pihak kerajaan Persekutuan agar mengambil langkah bagi mengatasi ancaman. Perkara ancaman toksik ini dibawa ke sidang Parlimen yang sedang bersidang  sebagai usul tergempar  dan diterima oleh semua ahli Parlimen baik dari pihak kerajaan maupun dari pihak pembangkang. Usul yang dibawa pada sebelah petang 14.3.2019 dibahas oleh beberapa ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang menyesali peristiwa berlaku. Antara ahli Parlimen yang bercakap meminta supaya diketatkan prosedur agar  kilang dikehendsaki melaporkan bahan kimia yang dibawa masuk, termasuk bagaimana bahan berkenaan dilupuskan. Setiap kilang dikehendaki mempunyai tapak dan kaedah pelupusan. Wakil dari Pas Tuan Ibrahim Tuan Man merujuk kepada ayat Al-Qur`an (Al-Rum: 41), bahawa kerosakan di darat dan di laut adalah diakibatkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab. Beliau menyebut tentang perlunya ada hukuman yang berat perlu dikenakan terhadap mereka yang menyebabkan berlakunya keracunan kimia.
Situasi yang agak panik ini menyebabkan Tun Dr. Mahathir Perdana Menteri Malaysia mengambil keputusan turun sendiri ke Pasir Gudang bagi melihat sendiri  kesan  diakibatkan oleh bahan kimia dari Sngai Kim Kim, turut sama turun ke Pasir Gudang ialah Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bagaimana dalam sidang akhbar disampaikan oleh Perdana Menteri yang disertai sama oleh Timbalan Perdana Menteri, bahawa pihak kerajaan berpendapat, ``Tidak perlu diisytiharkan darurat, kerana keadaan masih terkawal. Banyak mangsa racun kimia telah pulih``.
Walau bagaimana untuk membersih Sungai Kim Kim perlu kepada peruntukan yang besar dan perlu pakar bagi mengendalikannya. Pertolongan adalah  perlu dari pihak Pusat.
Peristiwa keracunan kimia di Sungai Kim KIm adalah ingatan dan pengajaran bahawa:
·         Pengawalan alam sekitar perlu ditingkatkan dari segi SOPnya.
·         Denda yang lebih tinggi perlu dikenakan bagi mereka yang melakukan pencemaran.
·         Siapsiaga hendaklah diwujudkan secara berterusan, bukan bila berlaku baru hendak bertindak.
·         Kawasan yang berpotensi bahaya hendaklah terus berada di dalam perhatian dan pemantauan seperti kemungkina berlaku tsunami, pecahnya Empangan  Kenyir, gempa di Gunung Kinabalu, nahas kapal terbang dan sebagainya.
·         Latihan juga perlu dilakukan dari masa ke semasa. Dan berbagai lagi.
Sekian.

No comments:

Post a Comment