August 22, 2019

NOSTALGIK TENTANG UTUSAN DI SAMPING PENERUSAN


NOSTALGIK TENTANG UTUSAN DI SAMPING PENERUSAN
(Fikrah Bangi: 3243),
BBB:  21 Zulhijjah 1440H. = 22 Ogos 2019M. (Khamis).
Biarpun Utusan Malaysia diteruskan, selepas disebut-sebut akan dihentikan operasinya, namun kita memandang Utusan secara nostalgik dan banyak ranjau yang bakal ditempoh. Utusan pada hari ini merayu:  ``Beli akhbar Utusan bantulah kami.`` (hal. 11). Ini menggambarkan kedaifan yang dialami Utusan akhbar Melayu tertua di negara ini yang diterbitkan sejak 1939 di Singapura sebelum berpindah  ke Kuala Lumpur di Jalan Chow Sow Lin, Kuala Lumpur selepas merdeka.
Pada Utusan dapat dilihat imej-imej sejarah yang dilaluinya. Utusan disifatkan sebagai darah daging orang Melayu. Dia adalah lidah yang melaporkan perjuangan kemerdekaan tanahair dari zaman Dato` Onn Ja`far yang juga seorang wartawan bersama Abu Bakar al-Baqir agamawan hingga kepada Tunku Abdul Rahman bapa kemerdekaan dan Burhanuddin Hilmi. Utusan berkembang, khususnya selepas kemerdekaan dan berpindah ke Kuala Lumpur. Utusan menerbitkan Utusan Melayu, Utusan Zaman. Pada masa yang sama menerbitkan Majalah Mustika. Sejak dari awal penerbitan hingga ke pertengahan 1960an semua penerbitan di dalam tulisan jawi, termasuklah majalah agama bulanan yang diberi judul Kiblat.
Pada awal 1960an timbul polemik di dada akhbar tentang Tulisan Jawi dan  Rumi antaranya didokong oleh Asas 50. Ashraf seorang pendukung Asas dan pakar bahasa ,mendukung pendapat Tulisan rumi lebih baik dan praktikal digunakan sebagai tulisan Melayu. Pendapat ini berpengaruh dan Berita Harian yang mula diterbit pada 1960an menerbitkan akhbar berkenaan di dalam tulisan rumi. Utusan juga mengikut menerbitkan akhbar Utusan Malaysia di dalam tulisan rumi, tetapi masih mengekalkan penerbitan Utusan Melayu di dalam tulisan Jawi, kemudsian tinggal Utusanb Zamnan dalam tulisan jawi sebelum Utusan Zaman terkubur dan didokong oleh Mingguan Malaysia. Selepas Utusan Kiblat – Majalah Agama bertulisan jawi dihentikan, maka Utusan menerbitkan Al-Islam dalam tulisan rumi pada 1980an. Majalah Mestika lebih awal menukarkan penerbitan dari tulisan jawi kepada tulisan rumi.
Walaupun perubahan yang berlaku tidak menggugat kedudukan Syarikat Kumpulan Utusan Melayu dengan berbagai-bagai penerbitannya. Ini ialah kerana Utusan dikira pada zaman itu adalah sebuah  syarikat penerbitan yang kukuh, di samping Syarikat The New Strait Times yang berasal dari Singapura dan menerbitkan akhbar Berita Harian akhbar Melayu bertulisan rumi di samping NST berbahasa Inggeris.
Kekukuhan Syarikat Utusan Melayu ialah kerana ianya  mendukung pemerintah semasa dan tiada tandingan oleh akhbar-akhbar lain. Pernah Syarikat berkenaan mau dibawa ke kiri dan mogok terhadap  pimpinan oleh antaranya  Said  Zahari dan pengikut-pengikut , tetapi dapat ditumpaskan apabila Ibrahim Fikri bertindak memadamkan gerakan kiri ini. Dapat dikatakan kekuatan utusan kerana ianya menjadi secara tidak rasmi sebagai lidah kerajaan.
Gugatan diterima mutakhir sebagai serentak ialah kemerosotan penggunaan media cetak kepada media letronik  dan digital. Ini menyebabkan pasaran buku dan akhbar menurun, kerana masyarakat mendapat berita secara segera dan tidak memerlukan kos tinggi, jadi bahan-bahan bercetak menurun dari segi penggunaan. Bahkan komunikasi lebih kepada paperless dan penggunaan secara online. Akibatnya perpustakaan menurun dari segi penggunaan dan pasaran buku juga  kurang dari segi kelarisan.
Faktor yang lebih besar yang menimpa Utusan, ialah kekalahan BN dalam pilihanraya ke 14. BN, khususnya Umno adalah pendukung bagi Utusan. Lantaran itu Utusan terpaksa berdikari. Akibatnya ialah apa yang dialami oleh Utusan. Walaupun pihak Umno tidak akan melepas tangan dan ada komitmen dari pihak-pihak tertentu, tetapi sejauhmanakah kemampuan yang dapat diberi ?
Utusan tidak seharusnya mengubah haluan dan perlu diperingatkan kepada Umno, tanpa  ada media, maka Umno akan lebih terpinggir dari segi perjuangan. Sebab itu Utusan seharusnya didukung dan dibela.
Kreativiti perlu agar Utusan terus releven.
Sekian.

No comments:

Post a Comment