March 8, 2021

 

KERJASAMA  MASJID  AL-UMM  DENGAN  MPKj

(Fikrah Bangi: 884),

BBB:  24 Rejab 1442H. = 08 Mac 2021M. (Isnin).

Pihak Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi telah menerima tawaran pihak MPKj menyewa tiga unit (No. 1, 2 & 3 - bersambung) warung Medan Usahawan, Seksyen 1, berhadapan Masjid Al-Umm. Tawaran bertarikh 31 Januari 2021 itu diterima oleh pihak Masjid dan menguruskan segala bayaran berkenaan.

Ada beberapa tujuan penyewaan berkenaan.

1)    Menjadikan warung sebagai `Pusat Aktiviti (Luar) Masjid Al-Umm` seperti bagi menyalurkan kegiatan kebajikan, pendidikan, hubungan dengan peniaga-peniaga warung serta masyarakat  dan menyewakannya untuk mesyuarat, tuisyen, jualan dan promosi barang-barang.

2)    Oleh kerana warung-warung berkenaan (28 warung) betul-betul berhadapan dan berdekatan dengan masjid, maka ianya memberi kesan dari segi kebersihan, landscaping, alam sekitar dan budaya kemasyarakatan dan niai setempat.

3)    Dengan menyewa tiga unit – terbanyak penyewaan berbanding dengan penyewa-penyewa yang lain, maka ianya adalah menjadi saluran bagi pihak Masjid dengan pihak MPKj bekerjasama bagi memperbaiki kekurangan dan menaiktaraf warung-warung dan kawasan sekitar, termasuk bagi kawasan Masjid Al-Umm.

Sebaik maklumat mendapat tawaran  pihak Masjid telah mengadakan dua mesyuarat permulaan, iaitu pada 21 Januari (maklumat tidak rasmi)  dan 10 Februari 2021. Mesyuarat pertama menilai kerosakan pada warung-warung yang ditawarkan dan penambahan keperluan seperti  memasang dua unit air-cond. menggantikan tempat yang dikosongkan oleh penyewa dahulu, membeli mangga-mangga  untuk keselamatan dan pembersihan yang perlu dilakukan.

Mesyuarat kedua ialah melaporkan pembaikan dan pembersihan yang telah dilakukan yang memakan kos pembaikan sahaja ialah RM2,200/= dan pengisian ruang dengan kerusi-kerusi, meja dan barang-barang perlu disimpan di dalam ruang penyimpanan.

Setelah semua dibaiki dan sesuai dijadikan tempat pertemuan,maka diadakan mesyuarat penting – Mesyuarat bagi kali Ke 3 yang melibatkan pihak Ahli MPKj bagi  Zon 17, termasuk di bawahnya Masjid Al-Umm, Warung Medan Usahawan, kawasan Pasar  dan Seksyen Satu hinggalah kepada kawasan Seksyen 16. Wakil Ahli MPKj bagi zon tersebut ialah Puan Rozeeta @ Hidayah Binti Ramli dan empat wakil dari MPKj yang datang bersama Puan Hidayah, iaitu:

Puan A`ida bahagian Pentadbiran, En. Farizul bahagian Harta dan En. Zulkarnain bahagian Landscaping yang semuanya di bawah MPKj. Turut sama hadir atas jemputan ialah En. Juahirni Nazar dan seorang sahabatnya selaku wakil bagi penyewa-penyewa warung.

Manakala pihak Masjid al-Umm diwakili oleh Nazirnya Dr. Haji Shafie bin Abu Bakar, Tuan Haji Nadzri bin Daud Bendahari Masjid al-Umm, Dato` Dr. Mohd Wahid bin Samsudin yang mengetuai Biro Kebersihan, Hajah Kamarian bt. Mohd Yusof yang mengetuai Biro Kebajikan, Haji Azni bin Osman Timbalan bagi Biro Kebajikan, Ir. Haji Ishak bin Arshad - Ketua Biro Pembangunan , Che` Khadijah bt. Imam Supaat Ketua bahagian Beliawanis, Encik Tompang bin Jamal Technician.

Mereka semua adalah mewakili bidang-bidang yang ada hubungan dengan masjid dan warung.

Adalah menjadi hasrat Masjid Al-Umm mau meningkat dan menaiktaraf kawasan  masjid, warung, pasar dan seksyen Satu dari segi imejnya yang selama ini dianggap sebagai  `Old Town` di Bandar Baru Bangi.

 Kawasan ini sebagai namanya `Seksyen Satu` adalah kawasan terawal dibangun di Bandar Baru Bangi. Pada awal pembangunan Bandar Baru Bangi pada tahun 1977 hingga 1 akhir 1980an, maka tempat ini adalah tempat yang termaju di Bandar Baru Bangi, kerana tiada seksyen lain membangun sepertinya. Pada peringkat awal  di warung inilah menjadi tempat pertemuan dan makan-makan, terutama bagi pelajar-pelajar UKM berihat dari belajar dan makan-makan di tempat ini, terutama  pada waktu malam. Tempat ini menjadikannya  hidup dengan adanya sekolah rendah dan menengah tidak jauh dari kawasan masjid dan warung.

Tetapi selepas 1990an selepas terbukanya seksyen-seksyen yang lain seperti Seksyen 16 dan Seksyen Empat tambahan, maka daya tarikan kepada Seksyen Satu,khususnya ke warung ini makin berkurang, bahkan sebagai mati, walaupun cuba dihidupkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dengan menjenamakan tempat ini sebagai `Medan Usahawan`.

Pendek kata siapnya pembangunan fizikal Masjid Al-Umm pada tahun 2018, Medan Usahawan sudah mati. Yang segikit  menghidupkan kawasan ini hanyalah kerana ada pasar basah yang beroperasi hanya pada sebelah pagi.

Misi Masjid Al-Umm dengan kerjasama MPKj dan peniaga-peniaga yang mulai dipulihkan pada awal tahun 2021 ini  (tawaran baru bagi peniaga) bagi membaikpulih, menghidup dan menceriakan kawasan ini bersama wujudnya Masjid al-Umm.

Sekian.

No comments:

Post a Comment