June 8, 2009

Muktamar Pas: Satu Sorotan




Shah Alam, 13 Jamadilakhir 1430 / 7 Jun 2009: Muktamar Pas kali ke-55 di Stadium Melawati, Shah Alam dari 5 Jun hingga 7 Jun didominasi beberapa isu penting yang mencorak pola politik semasa Pas dan dijangka menjadi isu hangat untuk terus diperbincangkan.

Isu ulama patut menguasai pimpinan Pas dan isu kerajaan perpaduan adalah dua isu besar mendepani pendukung PAS. Isu ini dibawa ke dalam perbahasan muktamar. Ia turut dieksploitasi media arus perdana.


Isu ulama turut dikaitkan dengan golongan profesional yang wujud di dalam Pas. Golongan ini diakui berperanan, tetapi lebih dilihat sebagai pelengkap.


Sementara itu, isu kerajaan perpaduan dikaitkan dengan presiden dan timbalan presiden. Oleh kerana YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa bertanding mempertahankan kerusi timbalan presiden, beliau dilihat sebagai pendukung dan proksi bagi kerajaan perpaduan.


Malah beliau dituduh sebagai rapat dengan Umno, manakala pihak yang menentang kerajaan perpaduan disokong oleh YAB Tuan Guru Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pendokong utamanya, YB Dato' Paduka Husam Musa.


Penentang kerajaan perpaduan dilabelkan sebagai golongan 'Erdogen'. Isu ini turut dibahas oleh perwakilan di dalam muktamar. Di dalam perbahasan, ramai perwakilan menentang idea kerajaan perpaduan, tetapi keputusan pengundian jawatan tertinggi parti nampaknya tidak menyebelahi pihak penentang.


Sokongan terhadap pimpinan Pas seharusnya dipimpin oleh golongan ulama ditambah dengan faktor wala`, mendominasi keputusan yang dilambangkan oleh kemenangan YB Ustaz Nasharuddin dengan majoriti besar dan diperkukuh dengan sejumlah kemenangan AJK Pusat dari kalangan ulama, manakala kekalahan Dato` Paduka Husam memberi kesan kepada pendukung-pendukungnya, khususnya dari Kelantan yang dilihat tidak mencapai kemenangan, kecuali Dato` Kamaruddin Jaafar.


Ada beberapa implikasi berkait dengan keputusan ini. Pihak Umno, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri menyambut baik terhadap cadangan kerajaan perpaduan dan akan membawa cadangan ini kepada perbincangan peringkat tinggi parti.


Namun di pihak kerajaan Pakatan Rakytat, idea kerajaan perpaduan dianggap tidak pernah dibawa ke peringkat pemimpin tertinggi pakatan itu. Kecuali sekali Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta memberi penjelasan mengenai kerajaan perpaduan, idea itu tidak pernah dibincang secara khusus di dalam mana-mana mesyuarat pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.


Pas memang sentiasa terbuka kepada perbincangan dengan pelbagai pihak. Tetapi dalam senario politik semasa, apakah keperluan yang terlalu mendesak untuk Pas mengadakan kerajaan perpaduan dengan Umno tanpa mengambil kira pelbagai natijah buruk kepada kesinambungan perjuangan parti Islam ini sendiri?


Sebenarnya, banyak pihak menolak idea ini. Antaranya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak cadangan kerajaan pakatan. Idea kerajaan perpaduan ini juga memberi kesan terhadap sokongan pelbagai kaum terhadap Pakatan Rakyat. Ini adalah cabaran yang dihadapi Pas dan Pakatan Rakyat.


Kekeliruan mengenainya akan merugikan semua pihak. Justeru, penerangan dan keyakinan perlu diberi dan tindakan konkrit perlu diambil terlebih dahulu. Apakah kerajaan perpaduan yang dimaksudkan ialah kerjasama antara PAS-UMNO sebagaimana yang diekploitasi oleh media perdana atau kerjasama Pakatan Rakyat-BN sebagaimana KSN dari Republikan dalam kabinet Obama(Demokrat)?



LIGA BOLASEPAK

June 3, 2009

Perhimpunan Nazir Peringkat Hulu Langat-Serdang


Kajang: 9 J. Akhir 1430=3 Jun 2009: Mulai awal Jun pentadbiran masjid-masjid di Negeri Selangor mulai diambilalih oleh pentadbiran baru. Masjid-masjid diarah oleh JAIS mengadakan acara timbang-terima tugas dari AJK lama kepada AJK Baru dalam tempoh dua minggu. Pagi ini pihak Pejabat Agama Daerah Hulu Langat mengadakan pertemuan nazir-nazir Hulu Langat -Serdang bertempat di Dewan Orang Ramai Kajang dan dihadiri lebih kurang 120 nazir, penghulu dan ketua kampong. Dalam pertemuan ini ADUN Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar yang juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu, YB Dr. Che Rusli Che Mat selaku Ahli Parlimen Hulu Langat dan Haji Mohd Amin selaku Pentadbir PAID Hulu Langat menyampaikan ucapan masing-masing. Perkara yang ditekankan bahawa Kerajaan Negeri Selangor memberi perhatian terhadap perkembangan agama Islam di negeri Selangor. Banyak peruntukan diberi bagi mendirikan masjid, surau dan sekolah agama. Tahniah kepada nazir-nazir yang dilantik dan terima kasih kepada nazir-nazir yang telah memberi khidmat sebelumnya. Perlantikan adalah satu amanah, nazir selaku pentadbir hendaklah berusaha memakmurkan masjid. Jadikan masjid, bukan semata-mata sebagai tempat beribadat, tetapi juga sebagai tempat kegiatan masyarakat seperti sambutan-sambutan keagamaan contoh hariraya, maulid ar-Rasul, sambutan Awal Hijrah dan sebagainya. Masjid juga seharusnya menjadi sumber ilmu bagi penduduk setempat, bimbingan remaja seperti mengadakan tuisyen, bimbingan agama, sukan dan lain-lain. Melalui masjid dan surau diharap dapat membentuk masyarakat yang harmoni dan aman damai.

Seminar Kelab Penyokong PAS Peringkat Pusat



Tarikh: 5 Jamadil Akhir 1430 = 30 Mei 2009

Tempat: Dewan Serbaguna , Pejabat Daerah, Kelang

Masa: 9.00 pagi – 1.00 tengahari

Seminar ini telah dirasmikan oleh YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Murshidul Am PAS. Tuan Guru menekankan Islam tidak membezakan kaum dan semua manusia dari satu keturunan, iaitu dari Adam dan Hawa. Seminar dihadiri 500 penyokong PAS, terutama dari kalangan kaum India. Sebahagian besar negeri-negeri telah menghantar perwakilan masing-masing. Pengucap Utama dan Pembentang kertas kerja ialah YB Mujahid Yusof selaku Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat. Pada akhir Seminar dibacakan resolusi bahawa Kelab Penyokong PAS hendaklah:

a) Memperkukuhkan struktur Kelab Penyokong PAS pada peringkat negeri dan kawasan

b) Menyediakan data base keahlian pada semua peringkat

c) Menyelaraskan aktiviti Kelab Penyokong PAS

d) Menyesuaikan aktiviti dengan kepentingan PASe) Menyediakan tapak yang kukuh bagi transformasi Kelab Penyokong PAS menjadi sayap penting yang diiktiraf dalam Perlembagaan parti

June 2, 2009

Seminar Krisis Murtad




Tarikh 30 Mei 2009 = 05 Jamadil Akhir 1430

Masa: 9.00 pagi – 5.00 petang

Tempat: Dewan Seminar Utama, Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Seminar dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMCS). Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Selangor. Peserta 400 orang. Enam buah kertas kerja dibentangkan.Perasmi YB Dr. Shafie Abu Bakar mewakili Dato` Dr. Hassan Ali Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan kemudahan Awam. Antara perkara yang dibangkitkan oleh Perasmi:

  • Ulama selaku pewaris nabi-nabi adalah mereka yang paling layak membicarakan gejala murtad dan mempertahankan kemurnian aqidah Islam.
  • Murtad isu besar di dalam Islam dan tidak boleh dipandang ringan. Jika wabak HI NI perlu dicegah secara total, maka murtad adalah anggota yang rosak dan beracun di dalam Islam dan perlu dipotong dan dihapuskan bagi menjamin keselamatan dan kemantapan Islam.
  • Ulama perlu mencegah gejala murtad yang jumlahnya menurut Mufti Perak menjangkau 250 ribu orang.
  • Ulama, khususnya peguam syar`I perlu membela dan mempertahankan kesucian Islam agar tidak berlaku gejala murtad seperti kes Nor A`ishah, Hartini (Fatimah) Kamaruddin, Jamaluddin @ Yushua bin Othman yang bukan saja murtad, tetapi menyebarkan kristian di kalangan remaja Melayu.
  • Ulama juga perlu berusaha dan merubah perundangan yang bercanggah dengan Islam. Contoh anak-anak di bawah umur kekal dengan agama asal, walaupun ibu atau bapa mereka memeluk agama Islam sebagaimana dilulus parlimen baru-baru ini. Contoh kes Saravanan memeluk agama Islam (Mohd .Shafie – nama Islam). Isteri beliau kekal beragama Hindu dan Shafie tidak berjaya membawa anak-anak beliau di bawah umur memeluk agama Islam
  • Mahkamah Shariyyah hendaklah mempunyai kekuasaan setaraf dengan mahkamah civil dan mahkamah civil tidak berhak campurtangan apalagi menguasai mahkamah shar`yyah.
  • Ulama hendaklah menentang usaha menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama yang meletakkan agama Islam setaraf dengan agama-agama yang lain dan Suruhanjaya ini pula berkuasa menentukan polisi dan arahan, khususnya terhadap agama Islam.
  • Ulama perlu berwaspada terhadap faham liberal dan pejuang-pejuang hak asasi manusia yang berpendapat soal agama adalah soal peribadi dan tak boleh dipaksakan.
  • Perhatian juga perlu diberi terhadap mereka yang mempersoalkan perundangan Islam dan keadilan. Contoh dari segi pembahagian harta pusaka di dalam Islam dan sebagainya sebagaimana dibangkitkan oleh Sister`s In Islam.
  • Ulama juga perlu memberi perhatian terhadap gejala ajaran sesat dan berusaha membasmikannya seperti ajaran Qadiani sebagaimana di Gombak dan beberapa tempat yang lain, Kerajaan Langit yang pimpinannya `Ayah Pin` yang masih bebas.

Kesimpulan

Perlu bersifat positif dan agresif dan jangan hanya bersifat defensif.

  • Perlu memperkukuhkan akidah umat Islam melalui pendidikan
  • Malaysia medan yang baik bagi dakwah Islam. JAKIM, Jabatan-jabatan Agama Islam di neger-negeri, universiti-universiti Islam, fakulti-fakulti dan jabatan-jabatan pengajian Islam di universiti-universiti, berbagai pusat pengajian Islam dan NGO-NGO Islam hendaklah menjalankan peranan masing-masing di dalam menjalan dan menyebarkan dakwah Islam secara hikmah dan bijaksana

Dengan lafaz Bismillah`r-Rahmani`r-Rahim saya merasmikan Seminar Krises Murtad dengan mendoakan kepada Allah semoga diberikan kepada kita hidayah dan kejayaan.

Sekian. Wassalam.