December 7, 2015

Kisah Nabi Musa Dengan Fir`aun Sebagai Tema Utama


BBB,  24 Safar 1437 = 06 Disember 2015 (Ahad):


Kisah Nabi Musa dari segi cerita adalah menarik dan indah, jika pun tidak seindah Kisah Nabi Yusuf. Menarik adalah dari segi tema, latar, jalan cerita, episod, perwatakan, pertembungan nilai dan perutusan.
Ada lebih dari satu tema yang dapat diberikan kepada cerita di dalam Surah Taha, iaitu cerita mengenai Nabi Musa. Tetapi tema utama yang paling terkenal dan menonjol ialah:
`Keangkuhan Dan Kezaliman Fir`aun Bertdepan Berdepan Kebenaran Nabi Musa`
Ini adalah merupakan tema utama bagi cerita Nabi Musa yang berdepan dengan keangkuhan Fir`aun. Ada beberapa bukti keangkuhan Fir`aun, khususnya dalam hubungan dengan Nabi Musa.
1)      Arahan membunuh anak lelaki Bani Israil
Melalui mimpinya yang melihat kebakaran yang memusnahkan kota pemmerintahannya, menimbulkan kebimbangan bagi Fir`aun, bahawa ia merupakan pertanda atau alamat buruk bagi dirinya dan bagi pemerintahannya, lantas Fir`aun memanggil tukang tilik dan ahli nujumnya agar mentakwilkan apa maksud dari mimpinya. Para tukang tilik dan tukang nujum memaklumkan bahawa, satu malapetaka yang akan menggugat pemerintahan Fir`aun disebabkan penentangan yang akan dibawa dari anak lelaki dari keturunan Bani Israil yang bakal lahir di Mesir. Fir`aun yang angkuh mengeluarkan arahan kepada pengawal dan pemerintah negeri agar membuat kepastian, sebarang anak lelaki dilahirkan di kalangan Bani Israil agar dibunuh. Ayat Al-Qur`an menyebut perintah sedemikian bermaksud:
``Ingatlah, ketika Kami melepaskan kamu daripada keluarga Fir`aun. Mereka menyiksa kamu sebesar-besar siksaan, disembelihnya anak-anak lelaki kamu dan dipeliharanya anak-anak perempuan. Demikian itu adalah cabaran yang besar dari Tuhanmu``. (Al-Baqarah: 49).
Fir`aun menyangka bahawa dengan arahannya yang angkuh dan zalim itu, ia dapat menyekat dari wujudnya anak-anak lelaki  yang antaranya akan menggugat pemerintahannya pada zamannya.
Tetapi ironinya, seorang anak lelaki yang dihanyut oleh ibunya (di Sungai Nil)  melalui istananya, diselamatkan oleh isterinya (Asiah) dan lebih ironinya bila dicari `Penyusu`, maka ibunyalah yang dapat berkhidmat menyusuinya.
2. Peristiwa Tukang Sihir Berpihak Kepada Nabi Musa
Keangkuhan Fir`aun juga dapat dilihat dari peristiwa dalam mana apabila Nabi Musa dapat mengalahkan ular-ular tukang sihir dengan penjelmaan tungkatnya menjadi ular dan menelan ular-ular tukang-tukang sihir menyebabkan tukang-tukang sihir berpaling tadah kepada Nabi Musa. Ayat Al-Qur`an di dalam hal ini menerangkan bermaksud:
``Nabi Musa pun terus mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka itu, maka keadaan yang demikian itu menjadikan ahli-ahli sihir itu merebahkan diri mereka sujud, sambil berkata, kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa``. (20. 70).
Dengan keadaan yang demikian Fir`aun yang angkuh itu berkata, sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``(Fir`aun), berkata, ``Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu ? Sesungguhnya dialah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Tetapi tentu aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan berselang, dan aku akan memalang kamu pada batang pohon tamar, dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kelak siapakah antara kita yang lebih berat azab siksanya dan lebih kekal``. (20.71).
Sikap Fir`aun tidak memalingkan tukang-tukang sihir kepada beriman kepada apa yang didakwah oleh Nabi Musa dan ia merupakan tamparan kepada Fir`aun yang angkuh dan zalim itu.
3. Ancaman membunuh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya
Oleh kerana Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dianggap menderhaka kepada Fir`aun yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan, maka Fir`aun berazam untuk menghapuskan Nabi Musa yang dianggap sebagai ancaman kepada Fir`aun dan pemerintahannya. Allah memberitahu kepada Nabi Musa tentang perancangan jahat Fir`aun tersebut, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dan demi sesungguhnya, kami telah wahyukan kepada Nabi Musa, ``Hendaklah engkau membawa hamba-hambaku keluar berjalan pada waktu malam. Kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu tanpa menaruh bimbang daripada ditangkap (oleh Fir`aun itu) tanpa perasaan takut (tentang apa-apa  perkara yang lain lagi)`` (20.77).
Sebaliknya apa yang dialami oleh Fir`aun sebagaimana yang disebut oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Maka Fir`aun pun mengejar mereka bersama-sama dengan bala tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya dilitupi oleh air laut yang menenggelamkan mereka itu semuanya dengan cara yang sedahsyatnya``. (20.78).
Demikianlah Fir`aun yang angkuh dan zalim menerima balasan, bukan setakat dirinya, pengikut-pengikut dan bala tenteranya terbunuh, tetapi mereka adalah dalam kesesatan (20.79)
Sesungguhnya berbanding dengan beberapa episod cerita Nabi Musa yang lain seperti kedegilan kaum Bani Israil menurut perintah Allah dengan mempersoalkan suruhan dengan berbagaii helah dan pertanyaan – Menyuruh sembelih lembu bagi mendapat kepastian pembunuh (Al-Baqarah: 66-75) dan juga berbanding dengan episod pengikut-pengikut Nabi Musa yang syirik kerana diselewengkan oleh Al-Samiri, hingga mereka menyembah patung anak lembu yang dibuat oleh Al-Samiri (Al-Baqarah: 54) dan beberapa episod yang lain, maka ternyata tema Nabi Musa Dengan Fir`aun lebih utama. Hubungan dengan Fir`aun ini bukan setakat sekali, tetapi beberapa kali yang mendominasi jalan cerita, iaitu sejak dari zaman kelahiran Nabi Musa yang terselamat dari dibunuh, bahkan dipelihara di istana Fir`aun, Nabi Musa bertentang dengan ahli-ahli sihir dan mengalahkan mereka, Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dikejar Fir`aun dengan tenteranya, lantaran mau membunuh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya sehingga Fir`aun dan pengikut-pengikutnya terbunuh di dalkam laut.
Sesungguhnya tema ialah pokok dan persoalan cerita yang dominan sehingga ianya menjadi topik dan identiti sesuatu cerita berkenaan. Di dalam hal ini Nabi Musa Dengan Fi`r`aun adalah tema  yang utama. Tema ini dapat dispesifikkan lagi, misalnya ``Fir`aun Menerima Balasan Dari Keangkuhan dan Kezalimannya`, atau `Fir`aun Teggelam Di Laut Bersama Tenteranya: Balasan Tuhan`` atau `Keangkuhan Dan Kezaliman Bertentang Kebenaran` dan sebagainya.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                     

December 6, 2015

Estetika Surah Taha


BBB, 23 Safar 1437 = 05 Disember 2015 (Sabtu):



Elemen ketara di dalam Surah Taha ialah dari segi estetiknya. Ciri estetikanya dapat dilihat dari dua aspek, iaitu aspek lahiri dan aspek maknawi.
Dari aspek lahiri dilihat Surah Taha adalah meneruskan ciri-ciri surah Maryam yang hujung pada setiap ayat (qafiyah) mempunyai persamaan bunyi dengan hujung ayat-ayat sebelumnya, terutama  bunyi `ya - a`. Ciri ini juga diteruskan di dalam Surah Taha, di samping ada perbezaan. Bagi Surah Taha yang berjumlah 135 ayat dapat dilihat penghujung bagi ayat-ayatnya sebagaimana berikut (secara berturut):
1)      a        Ayat 1 - 13   (Bacaan Taha, akhirnya alif  atau alif maqsurah)
2)      i                  14
3)      a                 15 – 24
4)      i                   25 – 32
5)      a                  33- 38
6)      i                   39
7)      a                  40
8)      i                   41 – 42
9)      a                  43 – 77
10)   m                 78
11)   a                  79 – 84
12)   i                   85 -87
13)   a                  88 -89
14)   i                   90
15)   a                  91
16)   u                  92
17)   i                    93 – 96
18)   a                   97 – 135
Jika dilihat di atas, maka hampir keseluruhan (113) ayat berakhir dengan a, diikuti hanya 20 berakhir dengan i dan hanya 1 berakhir dengan m dan 1 berakhir dengan u.
Sesungguhnya ayat-ayat yang berakhir dengan (ya, a) adalah merupakan ciri estetika lahiri bagi Surah Taha yang juga bersifat demikian pada Surah Maryam. Ini adalah merupakan salah satu gaya ungkapan di dalam Al-Qur`an, khususnya bagi Surah Taha dan yang seumpama dengannya. Meskipun ciri sedemikian ada misalnya pada ciri syair yang antara ciri bagi hujung bagi syair biasanya sama, tetapi ditentukan juga oleh pertimbangan wazan, tetapi ayat Al-Qur`an, khususnya bagi Surah Taha tidak dan bukan syair. Meskipun katakan diambil empat ayat bermula dari ayat 1 & 2,  3 & 4, 5 & 6, 7 & 8, dan seterusnya boleh diletak dalam susunan gaya syair, tetapi ia bukan seperti syair, meskipun bersamaan bunyi bagi sebutan bagi hujung setiap baris, lantaran pada umumnya setiap ayat tidak sama dari segi panjang dan pendek dan setiap ayat bukan disusun menurut wazan-wazan bagi pertimbangan baris-baris syair. Dapat dikatakan bahagian daripada ayat-ayat Al-Qur`an mempunyai ciri-ciri estetika dari segi ejaan dan bunyi yang menimbulkan keindahan dan kemerduan apabila dibaca.
Dari segi estetika maknawi, adalah bermaksud, di dalam menyampaikan dakwah keislaman Al-Qur`an sebagaimana telah dibicarakan turut mengambil metod sastera di dalam bentuk cerita, lantaran cerita salah satu cara menyampaikan dakwah dan menarik perhatian pendengar. Di dalam Surah Taha, terdapat sebahagian besar daripadanya ialah menggunakn metod cerita berhubung dengan Nabi Musa. Dari segi kedudukan cerita , maka didapati Cerita berkenaan dengan Nabi Musa adalah  merupakan cerita utama di dalam Al-Qur`an selepas cerita secara langsung berkenaan Nabi Yusuf di dalam Surah Yusuf, Cerita Ashab al-Kahfi di dalam Surah al-Kahfi, Cerita berkenaan Maryam di dalam Surah Maryam dan Cerita berkenaan dengan Nabi Musa di dalam surah yang tidak diberi nama dengan Musa, tetapi Taha.
Dari segi  intro dan gaya bercerita bagi cerita-cerita di atas mempunyai kelainan intro dan pendekatan.
Bagi Surah Yusuf intro adalah pernyataan secara langsung bahawa Allah mengkisahkan kepada Nabi Muhammad seindah-indah kisah (Yusuf: 3)
Bagi Surah Al-Kahfi bahawa Rasulullah s.a.w. akan ditanya oleh penanya (proksi dari Yahudi) bagi menguji kebenaran perutusan Rasulullah s.a.w, maka gaya penceritaan bagi cerita ini ialah dengan bertanya balik, ``Adakah engkau menjangka bahawa Ashab al-Kahfi dan Al-Raqim mereka adalah sebagai tanda-tanda keajaiban ? (Al-Kahfi: 9).
Manakala intro bagi Surah Maryam adalah bersifat perluahan rasa dari kerendahan jiwa Nabi Zakariyya dan Saydatina Maryam berhubung dengan  perasaan dan pengalaman yang mereka alami dan ayat-ayat diungkap secara lembut dan merayu dan mengharapkan  simpati dan pengkabulan di atas permohonan (Maryam: 4-6 & 18-34).
Adapun intro bagi Surah Taha, adalah merupakan pertanyaan langsung Allah Subhanahu wa Ta`ala kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang ayat di dalam Surah Taha adalah bermaksud:
``Dan sudahkah sampai kepada engkau (wahai Muhammad) kisah Nabi Musa ? (20.9).
Sesungguhnya bagi melahir dan menyampaikan pernyataan, maka berbagai cara digunakan bagi menarik perhatian dan penerimaan maklumat yang mau disampaikan. Pada zaman tradisi beduk dan canang dipukul bagi menarik pendengar mendengar maklumat, makin moden makin canggih medium bagi komunikasi dari radia, tv, internet dan berbagai-bagai lagi.
Bercerita adalah satu cara menyampaikan maklumat, tetapi penyampaiannya adalah dengan menggunakan bahasa yang dikreatifkan di dalam bercerita dengan menggunakan berbagai teknik penceritaan. Ada yang menggunakan elemen kejutan, keanihan, gambaran suasana alam yang menarik termasuklah pertanyaan.
Dengan pendekatan bertanya segera menarik perhatian pendengar atau pihak yang dituju dengan pertanyaan. Pendengar yang pada permulaan mungkin bersifat pasif dan tidak memberi perhatian, langsung dituntut memberi perhatian dengan pertanyaan.
Demikian salah satu pendekatan wahyu yang ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan pertanyaan dan penerangan dengan menggunakan cara bercerita.

Sekian.

December 5, 2015

Surah Taha, Umar Mengkaguminya, Terbuka Jiwanya Menerima Islam

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  
BBB,  22 Safar 1437 =  04 Disember 2015 (Jumaat):


Surah ke 20 ini diturun di Makkah, Mengandungi 135 ayat.
Sebagaimana dimaklum semasa Rasulullah s.a.w. mendakwah agama Islam kepada kaumnya – Kaum Quraisy, Baginda mendapat tentangan yang hebat. Antara penentang yang paling kuat ialah Abu Jahal dan Umar Ibn al-Khattab. Penyebaran Islam pada peringkat awal ialah dengan cara sembunyi-sembunyi untuk mengelak dari penentangan langsung dari musuh-musuh Islam. Antaranya dilakukan secara senyap-senyap di rumah-rumah seperti di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam dan di rumah mereka yang menerima Islam.
Antara episod dakwah yang menarik, iaitu kira-kira tujuh tahun sebelum Hijrah, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Hisham dalam karya sejarahnya, iaitu Sirah Ibn Hisham (Al-Qur`an al-Karim Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jilid 3, Diusahakan oleh `Uthman El-Muhammady (Terjemah Tafsir), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 1489), juga diriwayatkan oleh  Al-Daruqutni di dalam Musnadnya yang diterima sanadnya daripada Anas bin Malik r.a. dan juga ditulis oleh Ibn Ishaq di dalam Kitabnya Sirah Ibn Ishaq sebagai Kitab Sirah atau Sejarah Islam terawal dalam Islam, bahawa berita sampai kepada Umar Ibn al-Khattab yang pada tahun  ketujuh sebelum Hijrah masih merupakan musuh utama dalam Islam, dan beliau dan penentang-penantang dari Quraisy berusaha menentang Islam, bahkan berusaha untuk membunuh Rasulullah s.a.w,. Dalam usahanya mencari Rasulullah s.aw. pada satu hari – untuk membunuhnya ia terserempak dengan Na`im bin Abdullah, lalu Naim bertanya Umar, ``Hendak ke manakah engkau wahai Umar ? Beliau segera menjawab, ``Hendak mencari musuh aku, iaitu Muhammad  ! Orang yang telah belot dari agama nenek moyang kita !`` Secara sinis Naim menjawab, ``Engkau  sepatutnya mengurus kaum keluargamu sendiri``. Umar terkejut dengan kata-kata Naim dan bertanya, ``Apa maksudmu ?``
Naim memberitahunya, bahawa adiknya Fatimah Binti Al-Khattab bersama suaminya – adik iparnya, dan bapa saudaranya Said bin Zaid telah masuk Islam ! Mendengar berita yang mengejutkan itu, makin bangkitlah kemarahannya, maka Umar yang garang itu dengan pedangnya terhunus, segera  mencari mereka untuk menghukum mereka.
Umar membuat keputusan menuju ke rumah suami adiknya. Pada masa itu terdapat bersama yang datang mempelajari agama Islam ialah Khabbab bin al-Arathi. Umar dikatakan memukul adik dan suaminya hingga berdarah, sedang Khabbab pada masa itu bersembunyi. Pada masa itu Umar merampas helaian surah yang dibaca oleh mereka. Iaitu Surah Taha. Umar yang memang salah seorang dari pembesar-pembesar Quraisy yang pandai membaca tertegun dengan keindahan kata yang bermula dengan `Taha`, kata anih yang belum diketahui atau didengar sebelum itu dan juga kandungan ayat-ayat berikut, sebagaimana maksud di dalam Al-Qur`an:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Mengasihani
Taha.
Kami tidak menurunkan Al-Qur`an kepadamu, (wahai Muhammad), supaya engkau menanggung kesusahan.
Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah
(Al-Qur`an) itu diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi
Iaitu (Allah) Al-Rahman yang bersemayam di atas `Arasy
Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit, dan yang ada dibumi, serta yang ada di antara keduanya, dan juga yang ada di bawah tanah di perut bumi
Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, maka yang demikian tidaklah perlu., Kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi
Allah tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. Baginyalah segala nama yang baik.`` (20.1-8).
Menurut satu maklumat yang lain, ketika Umar tiba di rumah adiknya, tanpa diketahui mereka, Umar mendengar mereka secara jamaah mempelajari Al-Qur`an. Fatimah adik Umar sendiri pada masa ketibaannya sedang mentartil bacaan Surah Taha. Umar seorang tokoh bahasa dan mahir berpuisi amat memahami soal bahasa dan sastera Arab sebagaimana Al-Mughirah, Labid dan Hassan bin Thabit. Beliau sendiri banyak menggubah puisi (bersifat jahiliyyah). Mendengar kemerduan dan keindahan ungkapan bahasa Al-Qur`an menerusi Surah Taha itu, beliau terpegun dan kagum, lantaran belum pernah beliau mendengar bahasa seindah Qur`an dan merdu dengan ungkapan. Kata Taha sendiri mengejutkannya dan ingin benar untuk mengetahui apa maksud gerangan. Serentak dengan itu kemarahan beliau terhadap adiknya dan terhadap mereka yang sedang mempelajari Al-Qur`an mendadak hilang. Dadanya seolah-olah mulai disuluh dengan nur iman. Umar sendiri dikatakan mendapat cebisan naskhah yang dibaca mereka dan menelitinya dengan penuh keasyikan.
Sesungguhnya doa Rasulullah s.a.w. dikabul Allah. Lantaran Rasulullah pernah berdoa memohon dari Allah agar membuka hati pemimpin Quraisy sama ada Abu Jahal atau Umar Ibn al-Khattab menerima Islam yang dengannya dapat mengukuhkan dakwah keislaman. Umar diberi rahmat dan hidayat menerima Islam, melalui peristiwa yang paling baik dan berkat, tidak lain dari mendengar dan membaca keindahan dan keistimewaan kandungan Al-Qur`an. Benarlah cabaran Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan jika kamu ragu dengan apa yang Kami turunkan ke atas Hamba Kami (Muhammad), maka kemukakanlah satu surah seumpamanya dan jemputlah saksi-saksi berwibawa , selain daripada Allah, sekiranya kamu adalah mereka yang bersifat benar``. (Al-Baqarah: 23).
Apa maksud Taha ?
Tiada siapa mengetahui maksud sebenarnya, melainkan Allah. Ia merupakan salah satu mu`jizat.
Surah Taha sebagaimana Yasin, ada yang mengaitkan maksud kepada Rasulullah sendiri, sebagaimana nama baginya. Lantaran itu Taha dan Yasin menjadi nama bagi kalangan orang Islam sebagai  mengambil keindahan dan keberkatan dari ayat-ayat  Al-Qur`an itu sendiri.

Sekian.

December 4, 2015

Yang Syukur,Pasrah Dan Berbalah: Islam Menyerlah


BBB,  21 Safar 1437 = 03 Disember 2015 (Khamis):


Pergi lebih mendalam selepas menghayati tentang keindahan dan kelembutan ayat-ayat Al-Qur`an di dalam Surah Maryam yang kebanyakan ayat-ayatnya berhujung dengan `ya` itu, maka pada perlapisan yang lebih dalam  tersentuh jiwa dengan `Gundah-Syukur, Pasrah & Mewariskan Perbalahan pendapat berterusan`. Terumus pendapat itulah watak-watak dan suasana-suasana  mewariskan kepada manusia yang diterima dan dibawa dalam perjalanan.
Keluarga Zakaria menghadapi permasalahan tidak semudah untuk diselesaikan, tetapi ianya bukan di luar dari pengalaman normal. Sebagai ketua keluarga yang menumpahkan jiwa raga dalam berkhidmat ke pada Allah di Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis, Nabi Zakariyya yang sudah lanjut usianya amat mengharap dan terus memohon kepada Allah agar Allah mengurniainya zuriat bersama isterinya yang selama ini dianggap mandul. Dia mau khidmat yang selama ini dicurahkan dapat disambung anaknya – sebaik-baiknya lelaki. Rintih Zakariyya sebagaimana dimaksudkan ayat Al-Qur`an:
``Ia merayu dan berkata, ``Wahai Tuhanku, sesungguhnya telah lemahlah tulang-temalang tubuhku dan telah putih melepaklah uban rambut kepalaku dan aku, wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan do`a permohonanku kepadaMu``. (19.4)
 Bagi Allah tidak ada kerumitan bagiNya untuk mengkabulkan permintaan sedemikian. Dengan doa dan ketulusan hati Zakaria akhirnya doanya dikabulkan  dengan kurniaan anak lelaki terus dengan pemberian nama `Yahya` nama yang belum pernah diguna seumpamanya sebelumnya. Yahya meneruskan khidmat sebagai penerusan yang dilakukan oleh bapanya Zakariyya dan menurut syariat seperti di dalam  Taurat.
Sebagaimana Zakariyya maukan anak lelaki dari keturunan sendiri demikianlah juga keluarga Imran memohon dari Allah mengurnianya bersama isterinya `Hannah` untuk mendapat anak lelaki. Mereka bernazar bila besar untuk menyerah anaknya bagi mengabdikan dirinya berkhidmat di tempat ibadat di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis. Allah jua mengkabulkan permintaan mereka, tetapi bukan anak lelaki, tetapi sebaliknya perempuan yang diberi nama Maryam. Mereka pasrah dengan kurniaan dan oleh kerana nazar, maka mereka menyerahkan juga anak perempuan ini beribadat dan mencurahkan baktinya kepada Allah dan beribadat di dalam Masjid Al-Aqsa berkenaan.
Berlainan warna, nasib dan ketentuan yang dialami Maryam sebagai Rahib Wanita, dia menghadapi ujian yang paling getir. Sebagai Rahibah dia semata-mata menumpukan ibadat dan khidmat di pusat ibadat, dan dia tidak memohon untuk mendapat sebarang zuriat, lantaran dia tahu dia seorang yang tidak bersuami, tetapi atas kehendak Allah dia diberitahu oleh Malaikat, bahawa dia dikurnia anak tanpa bapa dan mengandung, dia tidak dapat menolak dan mengandung. Dia menerima cemuhan dan tuduhan liar dan mengasingkan diri beribadat sambil menunggu tarikh kelahiran, bahkan dia berpuasa dari bercakap. Apabila anaknya lahir yang dinamai Isa, kepada yang bertanya, dia mengisyaratkan supaya  menanyakan anak tersebut. Dan  Isa menjawab sebagaimana dimaksudkan di dalam Al-Qur`an:
``Ia menjawab, ``Sesungguhnya aku ini hamba Allah. Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi``. (19.30)
Isu Maryam dan anaknya Isa bukan sekadar kelahiran semata-mata, tetapi mencetuskan pertikaian bukan saja dari segi menerima dan menolaknya, tetapi kedudukannya dari segi falsafah dan aqidah yang sifatnya amat serius dan diwarisi perbalahan oleh generasi zaman.
Dari segi lahirnya Isa menyebabkan melahirkan berbagai pendapat. Antaranya melihat Jesus Isa al-Masih mempunyai dua identiti, iaitu Lahir sebagai kemanusiaan dan Batin sebagai Ketuhanan.
Dari segi penerimaan terhadapnya berlaku perselisihan.
Antara Yahudi tidak mengaku kenabiannya dan menganggapnya sebagai anak zina. Mereka menuduh Al-Masih anak Yusuf Tukang Kayu yang bila lahir Al-Masih dikahwinkan dengan Maryam. Dari satu segi terdapat pendapat-pendapat:
1)      Golongan Ya`kubin Isa itu ialah Allah
2)      Golongan Nasturiyyin Isa Anak Allah
3)      Pendeapat Isa itu Yang Ketiga dan Yang Bertiga. Dia Allah, Dia Anak Allah dan Dia Ruhul Qudus
4)      Pendapat yang mempercayai Oknum Ketiga ialah Ibunya Maryam.
Tetapi yang dijadikan keputusan Kaisar Konstantin di perhimpunan di Necea, ialah Triniti Allah Bapa, Allah Putera dan Allah Ruhul Qudus, Yang Satu Di Dalam Tiga dan Tiga Di Dalam Satu.
Hamka mencatat, ``Injil yang ada sekarang bukan lagi yang turun kepada Isa Al-Masih. Apa yang ditulis oleh Matius, Markus, Lukas dan Yohannes itu bukan wahyu. Di dalam kesemuanya tidak terdapat tentang Isa bercakap-cakap membenarkan ibunya daripada tuduhan-tuduhan yang bukan-bukan dan pengakuan bahawa dia akan menjadi Nabi dan menerima kitab Injil dari Tuhan sebagaimana keterangan terdapat di dalam Al-Qur`an sebagaimana ayat di atas. Demikianlah kekacauan pendapat tentang Isa di kalangan Israil dan golongan Kristian yang mengelirukan.
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil.6, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: 4,300).
Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul akhir zaman menyibarkan agama Islam dan antaranya membetulkan tentang kedudukan Al-Masih yang dia bukan dibunuh sebagaimana cuba  dilakukan oleh Bani Israil , tetapi diangkat oleh Allah kesampingNya.
Kedatangan Islam dengan bukti Al-Qur`an yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad  s.a.w. tidak saja memperbetulkan tanggapan terhadap Nabi Isa Al-Masih sebagai Rasulullah, tetapi juga terhadap nabi-nabi yang lain sebagaimana sebahagian daripada mereka disebut di dalam Surah Maryam, iaitu tentang:
Nabi Ibrahim yang mendakwah agama Hanif (Islam), termasuk terhadap ayahnya yang merupakan sebagai pemahat patung-patung. Ibrahim adalah Siddiq lagi benar (19.41). Dia diancam oleh pemerintah pada masanya iaitu Namrud dari zaman Babilon. Dia melakukan Hijrah termasuk ke Makkah mendirikan Ka`bah.
Nabi Musa yang cirinya ialah `Berbicara Dengan Tuhan` (Al-Nisa`: 164) dan mendapat tentangan dari Fir`aun semasa di Mesir.
Nabi Ismail yang disifatkan sebagai `Penunai Janji` (19.54) dan
Nabi Idris yang disifatkan sebagai Kenabian Yang Benar (19.56)
Islam dan Al-Qur`an yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bukan setakat memperbetulkan persepsi dan tanggapan terhadap Maryam dan Nabi Isa, tetapi memperbetulkan pegangan terhadap kerasulan dan kenabian yang telah diutuskan Allah, tetapi juga menunjuk jalan  kehadapan untuk dijalani secara lurus dan betul.

Sekian.

December 3, 2015

Surah Maryam: Keistimewaan Lahiri Dan Maknawi


BBB, 20 Safar 1437 = 02 Disember 2015 (Rabu):
Surah Maryam adalah Surah Makkiyyah, Surah Ke 19 mengandungi 98 ayat.
Meneliti dan menghayati surah Maryam dari segi lahiri dan maknawi tertanggap beberapa keistimewaan.


a)      Keistimewaan Lahiri
1.       Satu-Satunya Surah Membawa Tajuk Dengan Nama Wanita
Di dalam Al-Qur`an banyak menyentuh tentang tokoh dan watak seperti Nabi Ibrahim, Ya`klub, Yusuf, Musa, Isa dan lain-lain. Setengahnya langsung sebagai judul surah seperti Ibrahim dan Yusuf dan setengah kisahnya terkandung di dalam surah dan tidak menjadi judul seperti Ya`kub, Musa dan Isa dan lain-lain, tetapi semua tokoh dan watak-watak berkenaan adalah dari kalangan lelaki. Menariknya Surah Maryam adalah satu-satunya surah yang membawa judul bertajuk mengenai wanita, iaitu Maryam. Ini menunjukkan bahawa dari segi surah – Maryam, diberi tempat istimewa di dalam Al-Qur`an dan sudah tentulah lebih istimewa tentang tokoh dan watak yang diperkatakan, iaitu Maryam. Di dalam Al-Qur`an selain dari menceritakan tokoh wanita secara menyebut secara jelas – Maryam, terdapat banyak tempat yang merujuk kepada tokoh wanita, tetapi tidak disebut  namanya secara jelas. Misalnya mengenai `Isteri Fir`aun – Asiah` , isteri Abu Lahab – Ummu Jamil`, watak utama perempuan di dalam Surah Yusuf – Zulaikha. Tetapi dirujuk kepada mereka secara isyarat dan tidak menyebut secara langsung. Penyebutan tentang nama `Maryam` menunjukkan keistimewaan watak ini. Kalau kita meneliti di dalam Surah Al-Nisa` - Perempuan (ke 4), maka tidak kedapatan penyebutan nama wanita secara langsung, tetapi yang ditekankan di dalam surah ini ialah hukum-hukum mengenai perempuan seperti hukum berkahwin lebih dari satu,, tentang maskawin, perintah bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, perintah jangan terburu-buru menceraikan isteri jika timbul perkara-perkara yang tidak menyenangkan dan larangan mengambil balik harta dan pemberian yang telah diberi jika berlaku perceraian dan hendaklah menggauli isteri atau isteri-istreri secara baik., Pendek kata walaupun surah ini mengenai wanita, tetapi tidak menyebut secara langsung tentang tokoh wanita. Surah Maryam memberi kedudukan istimewa berkenaan Maryam !
2.       Keistimewaan Dari Segi Bahasa
Sebagaimana sebahagian dari surah-surah Al-Qur`an bermula dengan huruf-huruf (19), maka demikian dengan surah Maryam ini bermula dengan huruf. Ada yang bermula dengan satu huruf seperti Sad, Qaf dan lebih dari itu. Tetapi bagi Surah Maryam ini ia adalah merupakan antara huruf terbanyak iaitu  Kaf, Ha`, Ya` `Ayn dan Sad. Sebagaimana bagi surah-surah lain yang bermula dengan huruf, tidak diketahui makna, melainkan oleh Allah, dan merupakan mu`jizat Al-Qur`an, tetapi antara pentafsir ada yang membuat tafsiran bagi awalan  Surah Maryam ini. Ada yang berpendapat secara terhad, bahawa `Sad` pada huruf kelima adalah bermaksud kepada `Qissah` lantaran di dalam surah tersebut menceritakan tentang Zakariyya, Yahya, Isa, Maryam dan Ibrahim. Manakala Al-Imam Fakhrul Razi berpendapat bahawa huruf-huruf berkenaan merujuk kepada sifat-sifat Tuhan, iaitu:
Kaf bermaksud Kafi (Tuhan Yang Memadai Pada DiriNya Sendiri)
Ha` bermaksud Hadi (Tuhan Yang Memberi Hidayah)
Ya` bermaksud Yad (Tangan Allah Di atas Tangan-Tangan Mereka)
`Ayn bermaksud `Alim (Tuhan Yang Maha Mengetahui)
Sad bermaksud Sadiq  (Tuhan Yang Maha Benar)
(Al-Qur`an Al-Karim Terjemahan Dan Huraian Maksud, Diusahakan oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady (Menterjemah), Jil. 3, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 1450).
3.       Keistimewaan Dari Segi Sastera (Adabiyy)
Kalau kita perhatikan  mulai dari Surah Al-Fatihah (Surah Pertama) hingga kepada Surah Al-Kahfi (Surah ke 18), maka bahasa di dalam surah-surah berkenaan adalah bahasa bersifat prosa atau nathar (bukan berciri puisi), tetapi mulai Surah Maryam maka kita dapati mempunyai elemen seni yang pada akhir tiap-tiap ayat mempunyai bunyi hujungan yang sama – Kecuali 6 ayat pada bahagian 1/3 ayat-ayat dari bahagian awal Surah Maryam, lebih khusus ialah dari ayat 34 – 40:
1)      34—35 berakhir dengan huruf nun
2)      36 -37  berakhir dengan huru mim
3)      38 – 39 berakhir dengan huruf nun
4)      40 berakhir dengan huruf nun.
Selain dari tujuh ayat di atas maka dari ayat kedua hingga ayat 74 kesemuanya berakhir dengan bunyi akhir yang sama ia `ya`. Adapun mulai dari ayat ke 75 hingga akhir surah (98), maka diakhiri bunyi dengan bunyi akhir `da`, kecuali tiga ayat berakhir dengan `za` iaitu ayat 81 , 83 & 98.
Kebanyakan ayat cukup bagi satu-satu ayat dibaca dengan satu nafas, dengan demikian dapat membangkitkan keindahan bunyi oleh kerana kesamaan sebutan bagi setiap ayat berkenaan. Ini merupakan salah satu style atau gaya susunan dan ungkapan ayat Al-Qur`an yang melahirkan bunyi indah dan menarik terutama apabila dilagukan.
B)      Keistimewaan Maknawi
Dimaksudkan keistimewaan yang tidak dapat dilihat dengan mata lahir, tetapi lebih kepada persepsi maknawi dan rohani.
1.       Sifat Sabar
Ini adalah sebagai dialami oleh Nabi Zakaria yang tidak berputus asa dari rahmat Allah yang akhirnya menerima zuriat kurniaan Allah, walaupun dalam usia yang lebih lanjut.
2.       Cekal Mendepani Fitnah
Sebagaimana yang dihadapi Maryam kerana mengandung tanpa diketahui bapa. Beliau dituduh melakukan zina, tetapi dibersih oleh Allah dan anaknya  - Isa.
3.       Menghadapi Berbagai Ujian
Sebagaimana dikisahkan di dalam Surah Maryam. Dakwah rasul-rasul tidak sunyi dari menghadapi rintangan dan ujian sebagaimana dialami oleh Nabi Ibrahim, Zakaria, Yahya dan Isa seperti dikisahkan di dalam Surah Maryam tersebut.

Sekian.

December 2, 2015

Iskandar Dhu Al-Qarnain Legenda Dunia Dalam Legenda Melayu

BBB, 19 Safar 1437 = 01 Disember 2015 (Selasa):
Ketokohan Dhu al-Qarnain (yang dikenali sebagai Iskandar Dhu al-Qarnain) sebagaimana disebut di dalam Al-Qur`an tidak saja terkenal sebagai Tokoh Legenda Islam, tetapi juga sebagai `Legenda Dunia` yang dikenali di Barat dan di Timur. Tokoh ini juga dikenali di dalam peradaban dan tamadun Melayu. Nama Iskandar begitu terkenal sebagai nama dan gelaran bagi raja dan turunan raja-raja Melayu, misalnya Sultan Iskandar Shah sebagai Raja Melayu Terawal di Melaka di akhir abad ke 14M. Demikian juga dengan gelaran Sultan Iskandar Mahkota Alam dan Iskandar Thani di Acheh pada pertengahan abad ke 17M. Demikianlah dengan beberapa lagi gelaran bagi raja-raja Melayu. Iskandar Dhu al-Qarnain dianggap sebagai nasab keturunan bagi raja-raja Melayu, bahkan di Barat keturunan raja-rajanya dikaitkan  dari nasab ketururunan Raja Iskandar Dhu al-Qarnain. (Hikayat Iskandar Zulkarnain, Diusahakan oleh Khalid Hussain, Dewan Bahasa dan Pusaka, Kuala Lumpur, 1967: IX).


Ada berbagai pendapat mengenai bilakah zaman beradanya Iskandar Dhu al-Qarnain. Ada yang berpendapat bahawa Iskandar Dhu al-Qarnain berada pada zaman Nabi Allah Ibrahim a.s. yang dikaitkan wujudnya pada zaman itu bersama Nabi Ibrahim ialah Nabi Khidhir. Dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain disebut bahawa Iskandar adalah berada pada zaman kerajaan Rum. Iskandar Dhu al-Qarnain berketurunan dari bapa yang bernama Raja Durab, beribukan Puteri Safiya Arqiya puteri Raja Rum anak kepada Raja Qilas (Hikayat Iskandar Zulkarnain: 41). Iskandar pada zaman kanak-kanak diserah mengaji dengan seorang guru bernama Aristatalis, iaitu seorang pendita terkenal dari negeri Istanbul.(Ibid. 42). Setelah kematian Raja Qilas maka ditaballah Iskandar menjadi Raja di negeri Rum. Dalam masa pemerintahannya Raja Iskandar Dhu al-Qarnain meluaskan jajahan takluk pemerintahannya. Adalah dikatakan bahawa Nabi Khidhir banyak membantu Raja Iskandar di dalam peperangan dan pemerintahan (Ibid. 53-70). Dikatakan perluasan pemerintahan Iskandar Dhu al-Qarnain ke Maghrib dan ke Masyriq adalah di dalam misi menyibarkan agama Islam di atas agama Nabi Allah Ibrahim. (Ibid. 71-134).                                                                                 

Di dalam Surah al-Kahfi disebutkan bahawa Dhu al-Qurnain telah meluaskan kekuasaannya hingga ke Barat ke sempadan jatuhnya matahari dan hingga ke Timur ke sempadan naiknya matahari (18. 86-90). Dikatakan  sempadan kekuasaan Iskandar Dhu al-Qarnain adalah sampai ke negeri Hindi (India). Kemaraan bala tentera Iskandar Dhu al-Qarnain  ke Masyriq membawa kepada penawanan negeri Hindi. Di sini Raja Iskandar Dhu al-Qarnain dikahwinkan oleh Nabi Khidhir dengan puteri raja Kida Hindi bernama Puteri Shahrul Bariyah yang digambarkan sebagai seorang puteri yang amat cantik serta amat elok perangainya. Dengan puteri Shahrul Bariyah ini Raja Iskandar Dhu al-Qarnayn mendapat putera lelaki yang diberi nama Aristun. Kemudian Aristun berkahwin dengan puteri Raja Turkistan (mendapat anak yang diberi nama Aftus). Daripada Raja Aristun lahirnya generasi-generasi turunan yang berhubung dengan Raja Iskandar Dhu al-Karnain di Hindi yang antaranya berkahwin dengan anak Raja Nushirwan dari Parsi yang selanjutnya memperturunkan keturunan kepada Raja yang dikenali dengan Raja Suran yang dikatakan menguasai negeri-negeri maghrib dan Masyriq, kecuali negeri Cina.

Pada masa pemerintahan Raja Suran ini baginda menggerakkan bala tentera melalui jalan laut untuk menyerang negeri Cina. Dalam perjalanan tentera Baginda menyerang negera Gangga Negara, iaitu berdekatan dengan Dinding, Perak dengan Rajanya ialah Raja Shah Johan. Mereka dikalahkamn oleh Raja Suran. Turut dikalahkan pihak Siam, rakyat di Kelang dan Raja Chulan di Kota Ganggayu. Raja Suran berkahwin dengan anak Raja Culan bernama Onang Kiu dan baginda bergerak ke Temasek.
Dari Temasek Raja Suran bersama bala tenteranya bergerak ke Cina. Mendengar berita demikian Perdana Negeri Cina memasang helah dengan menghantar perahu yang dilayari orang tua dengan pokok yang ditanam di dalamnya. Apabila perahu di temui pihak Raja Suran dimaklumkan mereka datang dari Cina semasa muda, kini setua dirinya baru sampai ke Temasek dan pokok yang benihnya ditanam masa bertolak dari negeri Cina sudah begitu besar begitu juga batang besi yang dibawa sebesar lengan, kini sekecil jarum dimakan karat. Maka pihak tentera Raja Suran membatalkan niat menyerang Cina, kerana dijangka memakan masa begitu lama - lantaran helah dari pihak Cina.


Selepas itu Raja Suran turun ke perut laut melalui peti kaca dan sampai ke negeri di bawah laut yang rajanya bernama Aftabul Ardz. Raja Suran berkahwin dengan anak raja tersebut yang bernama Puteri Mahtabul Bahri. Mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki.Yang tua dinamai Nila Pahlawan, kedua Krishna Pendita dan yang bungsu Nila Utama. Mereka kembali ke permukaan bumi dan turun di Bukit Seguntang. Nila Pahlawan dikahwinkan dengan Wan Empo dan Nila Krishna dengan Wan Malini dan Nila Utama berkahwin dengan Wan Seri Beni anak Raja Bentan. Nila Utama kemudiannya membuka Singapura yang asalnya nama Temasek itu. Baginda mendapat seorang putera yang dinamakan Raja Kecil Besar. Dari jalur keturunan inilah dikatakan membuka negeri Melaka yang memulakan pemerintahan negeri Melaka dan maju pemerintahannya berikut dari penerimaan Islam bermula dengan Sultan Muhammad yang juga dikenali dengan Sultan Iskandar. Dari keturunan inilah dikatakan menjadi turunan bagi raja-raja Melayu.
(Sejarah Melayu, Versi G. Shellabear, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 4-87).

Tanpa mempersoalkan dari segi kebenaran fakta, tetapi melihatnya dari segi budaya memperlihatkan bahawa turunan Iskandar Dhu al-Qarnain dilihat begitu agung. Fakta yang terdapat di dalam Al-Qur`an secara ringkas ini diolah secarea kreatif dan lahirlah berbagai pendapat mengenai asal usul keturunan Raja Iskandar Dhu al-Qarnain ini. Setiap pihak cuba menggalurkan keturunan raja dan pemerintahan masing-masing dengan turunan Iskandar Dhu al-Qarnain ini termasuklah juga di dalam hikayat-hikayat Melayu seperti Hikayat Iskandar Zulkarnain, Sejarah Melayu dan beberapa hikayat yang lain.

Yang menarik Iskandar Dhu al-Qarnain dilihat tokoh yang menyibarkan Agama Islam, tetapi oleh keberadaannya di dalam sejarah mendahului zaman Rasulullah s.a.w., maka sebagai kewajaran dikatakan bahawa Iskandar Dhu al-Qarnain adalah berada pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Nabi Khidhir, bahkan menjadi pembantu utamanya. Manakala yang lain melihat Iskandar Dhu al-Qarnain berada pada zaman kerajaan Rum, bahkan mengaitkannya dengan tokoh pemikir Greek, iaitu Aristotles sebagai gurunya, manakala bagi budaya Melayu yang mengaitkan raja-raja Melayu dari turunannya, menimbulkan pertanyaan dari segi misi agama yang dibawa oleh Iskandar Dhu al-Qarnain lantaran terputus dengan pertalian turunannya dari Kida Hindi hinggalah kepada zaman Nila Utama di Temasek. Misi sebagai pemeluk dan pendukung Islam hanya timbul kembali setelah raja Melaka menerima Islam dengan Raja Islam pertamanya Sultan Muhammad. Iskandar Dhu al-Qarnain dalam jalur Melayu dilihat ialah dari aspek budaya dan sastera, bukan sepenuhnya dari segi fakta. Iskandar Dhu al-Qarnain diterima sebagai tokoh agung dan sebagai legenda dunia. Banyak pihak yang mau mengaitkan pertalian turunan dengan tokoh berkenaan sebagai turunan agung.
Sekian.

December 1, 2015

Siapakah Dhu Al-Qarnain ?


BBB,  18 Safar 1437 = 30 November 2015 (Isnin):
Kembali kepada pembicaraan tentang Surah Al-Kahfi. Di dalam surah ini terdapat dua buah cerita. Pertama ialah Cerita Al-Kahfi (Gua) yang utama yang menjadi judul bagi Surah al-Kahfi ( Surah 18), manakala cerita kedua ialah mengenai Nabi Khidhir, tanpa menyebut namanya secara langsung. Tetapi di dalam surah tersebut disentuh juga berkenaan Dhu al-Qarnain dan Ya`juj dan Ma`juj.  Siapa itu Dhu al-Qarnain ?
Ayat Al-Qur`an yang menyentuh tentang Dhu al -Qarnain ialah bermula dan sehingga ayat ke (18.83-99) Ayat permulaan bermaksud:



`Dan mereka  bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Dhu al-Qarnain, katakanlah, ``Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Alla) yang menerangkan sedikit tentang perihalnya``. (18.93)
Dhu al-Qarnain bermaksud `Yang Mempunyai Dua Tanduk`. Ianya melambangkan pihak berkuasa – Raja, yang kekuasaan dan pemerintahannya meluas  menyentuh sempadan di sebelah barat jatuhnya matahari dan sebelah lagi menyentuh sempadan ke sebelah timur – naiknya matahari. (18.86 & 90).
Rasulullah dimaklumkan tentang  Dhu al-Qarnain, bagi menjawab pertanyaan pembesar Quraisy yang sengaja diusulkan oleh Yahudi untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagi membuktikan kebenaran perutusan Rasulullah.
Tentang Dhu al-Qarnain, bagi tafsir yang ringkas seperti Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an menyebut secara ringkas, bahawa Dhu Al-Qarnain ialah seorang Raja yang beriman lagi  Salih yang dikurniakan oleh Allah Ta`ala kepadanya kekuasaan , kekayaan dan kemudahan tentera baginya memerintah. Dua tanduk bermaksud pemerintahannya  hingga ke sempadan ke sebelah Barat dan Timur.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, diusahakan oleh Haji Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1985: 604).
Bagi Wahbah al-Zuhaily di dalam tafsir ringkasnya Al-Tafsir al-Wajiz juga mentafsir secara ringkas tentang tokoh Dhu al-Qarnain, Al-Zuhaily menyebut bahawa Dhu al-Qarnain ialah seorang raja. Beliau memetik pendapat Abdul Kalam `Azad Bekas seorang Menteri Kerajaan India yang mendalam mengenai pengetahuan Islam, bahawa raja dimaksudkan ialah seorang Raja Parsi yang salih. Dia mendakwah dan membuka kawasan penguasaan hingga ke Maghrib, kemudian ke Mashriq dan ke selatan dari selatan ke utara. Menurutnya kekuasaan ini sampai ke dua pergunungan iaitu di antara Armenia dan Azerbaijan atau di antara Laut Qazwin dan Laut Hitam. Menurutnya difahami mereka  adalah Monghul dan Tatar di utara dan kawasan Asia di Selatan. Di dalam penjarahan Dhu al-Qarnain mendapati penduduk bersebelahan pada bahagian selatan ialah kaum yang tidak memahami percakapan yang lain. Adapun penduduk pada bahagian utara, iaitu bangsa Tatar dan Moghul di utara Asia adalah bangsa-bangsa perosak di muka bumi dengan menjarah dan melakukan peperangan, pembunuhan, merosakkan tanaman dan merompak harta. Di satu pihak di Timur musuh yang dikenali dengan Ya`juj dan Ma`juj disekat kemaraan dan kejahatan mereka dengan membina tembok dan benteng dari leburan besi yang kukuh. Bila tiba masa berlakunya kerosakan benteng dan limpahan mereka keluar dan ia  adalah pertanda Hari Kiamat.
(Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Suriah, 1431H: 303-305).
Maklumat tentang Dhu al-Qarnain ini membuka ruang tafsiran yang luas, tentang tokoh ini sebagai legenda yang melibatkan masa lepas dan merentasi masa depan.
Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar menyebut Dhu a-Qarnain ialah Raja Islam yang cerdik dan pahlawan yang kekuasaannya merentas maghrib ke mashriq. Hamka juga menyebut perluasan peringkat ketiga selepas maghrib ke masyriq ialah ke perbatasan dua gunung iaitu ke Armenia dan Azerbaijan. Hamka menyebut tentang tembok besar dimaksudkan ialah Tembok Besar Cina yang terkenal dalam sejarah itu. Berbagai pendapat tentang tokoh legenda Dhu al-Qarnain. Dia dikatakan tokoh sezaman dengan Nabi Allah Ibrahim dan turut sama tawaf di Ka`bah. Hamka juga mengemukakan pendapat bahawa Dhu al-Qarnain ialah Iskandar anak Philip Raja Mercedonia yang pernah menjadi murid Aristotles. Dikatakan Iskandar hidup hingga tahun 333 S.M. sebelum zaman Nabi Isa a.s.
Sebagaimana Al-Zuhaily, Hamka juga memetik pendapat Maulana Abdul Kalam Azad tokoh ulama`, ahli politik Islam, pendukung Parti Kongres India dan pernah menjadi Menteri Pelajaran dan Kebudayaan India. Menurut Abdul Kalam `Azad, Dhu al-Qarnain dimaksudkan ialah Cyrus Raja Parsi dari Empayar Dinasti Hakamanisy. Pada zaman Cyrus ada dua negara besar, iaitu Media dan Parsi. Pada zamannya raja besar ini pernah menakluk Juruselam dan kerajaan Babilon dengan mengalahkan kerajaan  Nabukadnesar. Raja ini juga dikatakan megembalikan orang Yahudi ke Juruselam yang pernah ditawan oleh Babilon dan di bawa semua Yahudi ke Babilon menjadi hamba abdi.



Di dalam sejarah sehingga kebangkitan Rasulullah s.a.w. pada masa itu terdapat dua empayar besar yang menguasai dunia, iaitu Rum dan Parsi. Sudah tentulah zaman kegemilangan kedua-dua kerajaan ini melahirkan tokoh-tokoh pahlawan dan pemerintah-pemerintah terkenal. Kaitan tokoh Dhu al-Qarnain adalah ada kewajarannya. Al-Qur`an tidak menyebut secara direct tentang tokoh Dhu al-Qarnain ini ada mempunyai hikmatnya dalam mana dengan demikian menggerak para ilmuan menyelidik dan mengetahui tentang sejarah dua empayar sebelum dan zaman permulaan Islam ini. Berhubung dengan fakta yang mengatakan bahawa Dhu al-Qarnain adalah Raja yang beragama Islam dan menegakkan pemerintahan Islam, bahawa memang ada yang berpendapat, bahawa di dalam kepercayaan Islam jumlah Nabi-Nabi yang dibangkitkan sebelum Nabi Muhammad s.a.w. begitu banyak sekali, maka tidaklah mustahil tokoh-tokoh berkenaan adalah merupakan antara mereka yang diberi hidayat oleh Allah.
Sebagai kesimpulan Surah al-Kahfi membawa watak-watak dan tokoh-tokoh legenda yang bersifat mistri yang maklumat tentang mereka tidak diberi kenyataan yang jelas yang mencabar pembaca-pembaca terutama pengkaji-pengkaji supaya mendalami tentang watak-watak dan tokog-tokoh berkenaan baik dari segi sejarah, maupun tentang keistimewaan mereka seterusnya sebagaii pengajaran yang dapat dipelajari dari cerita-cerita berkenaan. Dari satu segi Al-Qur`an tidak sahaja memberi perhatian terhadap rasul-rasul yang diutuskan dan pengajaran-pengajaran yang mereka bawa, tetapi juga turut membawa tentang tamadun dan peradaban yang dibawa oleh kerajaan-kerajaan, pemerintah-pemerintah dan tokoh-tokoh besar untuk dikaji tentang sejarah dan perjalanan pemerintahan mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan keistimewaan-keistimewaan yang ada pada mereka agar dapat dijadikan contoh tauladan dan juga persempadanan.

Sekian.