December 1, 2015

Siapakah Dhu Al-Qarnain ?


BBB,  18 Safar 1437 = 30 November 2015 (Isnin):
Kembali kepada pembicaraan tentang Surah Al-Kahfi. Di dalam surah ini terdapat dua buah cerita. Pertama ialah Cerita Al-Kahfi (Gua) yang utama yang menjadi judul bagi Surah al-Kahfi ( Surah 18), manakala cerita kedua ialah mengenai Nabi Khidhir, tanpa menyebut namanya secara langsung. Tetapi di dalam surah tersebut disentuh juga berkenaan Dhu al-Qarnain dan Ya`juj dan Ma`juj.  Siapa itu Dhu al-Qarnain ?
Ayat Al-Qur`an yang menyentuh tentang Dhu al -Qarnain ialah bermula dan sehingga ayat ke (18.83-99) Ayat permulaan bermaksud:



`Dan mereka  bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Dhu al-Qarnain, katakanlah, ``Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Alla) yang menerangkan sedikit tentang perihalnya``. (18.93)
Dhu al-Qarnain bermaksud `Yang Mempunyai Dua Tanduk`. Ianya melambangkan pihak berkuasa – Raja, yang kekuasaan dan pemerintahannya meluas  menyentuh sempadan di sebelah barat jatuhnya matahari dan sebelah lagi menyentuh sempadan ke sebelah timur – naiknya matahari. (18.86 & 90).
Rasulullah dimaklumkan tentang  Dhu al-Qarnain, bagi menjawab pertanyaan pembesar Quraisy yang sengaja diusulkan oleh Yahudi untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagi membuktikan kebenaran perutusan Rasulullah.
Tentang Dhu al-Qarnain, bagi tafsir yang ringkas seperti Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an menyebut secara ringkas, bahawa Dhu Al-Qarnain ialah seorang Raja yang beriman lagi  Salih yang dikurniakan oleh Allah Ta`ala kepadanya kekuasaan , kekayaan dan kemudahan tentera baginya memerintah. Dua tanduk bermaksud pemerintahannya  hingga ke sempadan ke sebelah Barat dan Timur.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, diusahakan oleh Haji Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1985: 604).
Bagi Wahbah al-Zuhaily di dalam tafsir ringkasnya Al-Tafsir al-Wajiz juga mentafsir secara ringkas tentang tokoh Dhu al-Qarnain, Al-Zuhaily menyebut bahawa Dhu al-Qarnain ialah seorang raja. Beliau memetik pendapat Abdul Kalam `Azad Bekas seorang Menteri Kerajaan India yang mendalam mengenai pengetahuan Islam, bahawa raja dimaksudkan ialah seorang Raja Parsi yang salih. Dia mendakwah dan membuka kawasan penguasaan hingga ke Maghrib, kemudian ke Mashriq dan ke selatan dari selatan ke utara. Menurutnya kekuasaan ini sampai ke dua pergunungan iaitu di antara Armenia dan Azerbaijan atau di antara Laut Qazwin dan Laut Hitam. Menurutnya difahami mereka  adalah Monghul dan Tatar di utara dan kawasan Asia di Selatan. Di dalam penjarahan Dhu al-Qarnain mendapati penduduk bersebelahan pada bahagian selatan ialah kaum yang tidak memahami percakapan yang lain. Adapun penduduk pada bahagian utara, iaitu bangsa Tatar dan Moghul di utara Asia adalah bangsa-bangsa perosak di muka bumi dengan menjarah dan melakukan peperangan, pembunuhan, merosakkan tanaman dan merompak harta. Di satu pihak di Timur musuh yang dikenali dengan Ya`juj dan Ma`juj disekat kemaraan dan kejahatan mereka dengan membina tembok dan benteng dari leburan besi yang kukuh. Bila tiba masa berlakunya kerosakan benteng dan limpahan mereka keluar dan ia  adalah pertanda Hari Kiamat.
(Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Suriah, 1431H: 303-305).
Maklumat tentang Dhu al-Qarnain ini membuka ruang tafsiran yang luas, tentang tokoh ini sebagai legenda yang melibatkan masa lepas dan merentasi masa depan.
Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar menyebut Dhu a-Qarnain ialah Raja Islam yang cerdik dan pahlawan yang kekuasaannya merentas maghrib ke mashriq. Hamka juga menyebut perluasan peringkat ketiga selepas maghrib ke masyriq ialah ke perbatasan dua gunung iaitu ke Armenia dan Azerbaijan. Hamka menyebut tentang tembok besar dimaksudkan ialah Tembok Besar Cina yang terkenal dalam sejarah itu. Berbagai pendapat tentang tokoh legenda Dhu al-Qarnain. Dia dikatakan tokoh sezaman dengan Nabi Allah Ibrahim dan turut sama tawaf di Ka`bah. Hamka juga mengemukakan pendapat bahawa Dhu al-Qarnain ialah Iskandar anak Philip Raja Mercedonia yang pernah menjadi murid Aristotles. Dikatakan Iskandar hidup hingga tahun 333 S.M. sebelum zaman Nabi Isa a.s.
Sebagaimana Al-Zuhaily, Hamka juga memetik pendapat Maulana Abdul Kalam Azad tokoh ulama`, ahli politik Islam, pendukung Parti Kongres India dan pernah menjadi Menteri Pelajaran dan Kebudayaan India. Menurut Abdul Kalam `Azad, Dhu al-Qarnain dimaksudkan ialah Cyrus Raja Parsi dari Empayar Dinasti Hakamanisy. Pada zaman Cyrus ada dua negara besar, iaitu Media dan Parsi. Pada zamannya raja besar ini pernah menakluk Juruselam dan kerajaan Babilon dengan mengalahkan kerajaan  Nabukadnesar. Raja ini juga dikatakan megembalikan orang Yahudi ke Juruselam yang pernah ditawan oleh Babilon dan di bawa semua Yahudi ke Babilon menjadi hamba abdi.



Di dalam sejarah sehingga kebangkitan Rasulullah s.a.w. pada masa itu terdapat dua empayar besar yang menguasai dunia, iaitu Rum dan Parsi. Sudah tentulah zaman kegemilangan kedua-dua kerajaan ini melahirkan tokoh-tokoh pahlawan dan pemerintah-pemerintah terkenal. Kaitan tokoh Dhu al-Qarnain adalah ada kewajarannya. Al-Qur`an tidak menyebut secara direct tentang tokoh Dhu al-Qarnain ini ada mempunyai hikmatnya dalam mana dengan demikian menggerak para ilmuan menyelidik dan mengetahui tentang sejarah dua empayar sebelum dan zaman permulaan Islam ini. Berhubung dengan fakta yang mengatakan bahawa Dhu al-Qarnain adalah Raja yang beragama Islam dan menegakkan pemerintahan Islam, bahawa memang ada yang berpendapat, bahawa di dalam kepercayaan Islam jumlah Nabi-Nabi yang dibangkitkan sebelum Nabi Muhammad s.a.w. begitu banyak sekali, maka tidaklah mustahil tokoh-tokoh berkenaan adalah merupakan antara mereka yang diberi hidayat oleh Allah.
Sebagai kesimpulan Surah al-Kahfi membawa watak-watak dan tokoh-tokoh legenda yang bersifat mistri yang maklumat tentang mereka tidak diberi kenyataan yang jelas yang mencabar pembaca-pembaca terutama pengkaji-pengkaji supaya mendalami tentang watak-watak dan tokog-tokoh berkenaan baik dari segi sejarah, maupun tentang keistimewaan mereka seterusnya sebagaii pengajaran yang dapat dipelajari dari cerita-cerita berkenaan. Dari satu segi Al-Qur`an tidak sahaja memberi perhatian terhadap rasul-rasul yang diutuskan dan pengajaran-pengajaran yang mereka bawa, tetapi juga turut membawa tentang tamadun dan peradaban yang dibawa oleh kerajaan-kerajaan, pemerintah-pemerintah dan tokoh-tokoh besar untuk dikaji tentang sejarah dan perjalanan pemerintahan mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan keistimewaan-keistimewaan yang ada pada mereka agar dapat dijadikan contoh tauladan dan juga persempadanan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment