December 12, 2015

Mengedarkan Buku `Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan` Sebagai Panduan


BBB,  29 Safar 1437 – 11 Disember 2015 (Jumaat):


Salah satu bidang yang penting bagi pengimarahan Masjid Al-Umm ialah menjalankan kegiatan keilmuan. Apalagi hasrat mau menjadikan Masjid Al-Umm Pusat Kecemerlangan Ilmu di Bangi Bandar Ilmu. Sebagaimana disebutkan antara perkara yang dibincangkan di dalam pertemuan antara imam-imam, guru-guru, muslimat-muslimat dan yang lain ialah mendapatkan guru-guru yang berkelayakan dan bersesuaian dengan keilmuan yang mau diajar di Masjid Al-Umm.
Sebagaimana telah disebutkan persediaan ke arah mengimarahkan masjid, khususnya di dalam bidang pendidikan telah diadakan dua kali bengkel iaitu, Bengkel Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm pada 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014 dan Bengkel Penentuan Dan Penulisan Program Pengimarahn Masjid Al-Umm pada 03 Rabiul Akhir 1436 = 24 Januari 2015 yang kedua-duanya diadakan di Hotel Puri Pujangga, UKM.
Memikirkan wajar ada bahan maklumat dan panduan bagi Imam-imam, guru-guru, para muslimat dan yang lain-lain, maka bagi  tujuan demikian Penulis selaku Pengerusi Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm mengambil inisiatif menerbitkan kertaskerja `Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan` yang Penulis sendiri hasilkan dan bentangkan dalam seminar pertama di atas. Penerbitan adalah secara rasmi di bawah Lesen Penerbitan Sekretariat Bangi Bandar Ilmu. Buku kecil yang siap sehari sebelum Majlis Pertemuan Dengan Imam, Guru dan Muslimat` dapat diedarkan kepada peserta-peserta pada pagi  8 Disember 2015 tersebut. Dengan buku ini peserta-peserta yang hadir dapat gambaran awal tentang keperluan-keperluan bagi pengimarahan peringkat awal di Masjid Al-Umm, khususnya imam, bilal, siak, guru, keperluan tenaga muslimat dan keperluan-keperluan yang lain dalam kadar segera.
Dalam buku kecil ini membentangkan secara ringkas tentang pembangunan dan pengimarahan Masjid Al-Umm – Termasuk dari segi perkembangan pendidikan dan keilmuan. Pengajian di Masjid Al-Umm adalah mendukung visi dan misi masjid sebagai pusat ibadat dan keilmuan di Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu. Jika pembangunan fizikal Masjid Al-Umm terbahagi kepada tiga peringkat – Pertama Pembangunan fizikal masjid, kedua pembangunan fizikal Rumah Imam dan Asrama dan ketiga untuk jangka panjang pembangunan fizikal bangunan pentadbiran dan Perkuliahan (Dar al-Ilmi Masjid), maka dari segi perkembangan pengajian juga terbahagi kepada tiga tahap
1.       Tahap Pemantapan Keilmuan Fardu Dan Asas
Tahap ini amat penting dan inilah fungsi utama masjid terhadap masayarakat umat kelilingnya. Masjid sebagai institusi masyarakat adalah memberi ruang dan khidmat kepada semua generasi masyarakat setempat, mulai dari anak pra-sekolah membawa anak-anak sekolah, golongan belia, orang tua lelaki dan perempuan. Secara imaginasi di anjung masjid ternampak ustaz lelaki mengajar anak-anak lelaki mengenal huruf dan membaca muqaddam, demikian pada bahagian yang lain, mungkin pada masa yang lain anak-anak perempuan pula diajar oleh ustazah juga mengenal huruf dan juga membaca muqaddam, manakala anak-anak lelaki pada waktu selepas atau sebelum ke sekolah mengaji Qur`an yang lelaki dengan ustaz  lelaki dan yang perempuan dengan ustazah perempuan.
Manakala pada waktu-waktu mengiringi solat fardu juga ada pembacaan tazkirah dan tadabbur dari ayat Al-Qur`an dan juga Hadith. Pada waktu selepas Maghrib hingga Isya` para jamaah mengikuti pengajian menurut ilmu-ilmu disampaikan oleh guru-guru yang berkemahiran di dalam bidang masing-masing. Manakala pada hujung minggu pengajian lebih rancak lagi dipelajari dan diikuti pengajaran oleh ramai pengaji-pengaji dari kalangan  lelaki dan perempuan
Manakala bagi kalangan muslimat pula, selain dari mengikuti pengajian bersama lelaki dan muslimat bagi pelajaran tertentu, mereka juga mempunyai jadual khusus bagi pengajian muslimat.
Bagi menjadikan pengajian lebih teratur, maka dipilih keilmuan-keilmuan yang sesuai untuk diajar di masjid dan dapat diikuti oleh ramai. Di dalam buku `Pengajian di Masjid Al-Umm: Cadangan` disusun keilmuan yang dicadang untuk diajar di Masjid Al-Umm dengan jadual yang sesuai. Pengajian yang dicadang dan memang menjadi keilmuan fardu dan asas yang dipelajari di masjid-masjid ialah Al-Qur`an dan Tajwid, `Aqidah, Fiqh, Tafsir, Hadith, Tasawuf, Sirah, Ekonomi Islam (sebagai matapelajaran yang baru), bahasa Arab (juga Melayu dan Inggeris), dan Seni (Khat, Tarannum, Nasyid,, marhaban dan lain-lain). Matapelajaran-matapelajaran berkenaan dapat diatur sepanjang seminggu mengikut kesesuaian dengan masa guru. Di dalam buku `Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan) diatur jadual waktu bagi semua pelajaran, tetapi boleh diubah mengikut keperluan dan kesesuaian.
Di dalam buku `Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan`` bagi setiap mata pelajaran ada penerangan tentang kandungan bagi sesuatu bidang ilmu, iaitu sebagai kurikulum ringkas. Selepas itu disenarai kitab-kitab atau buku-buku panduan, iaitu antara 7 hingga 10 buah dan dibuat cadangan antara dua atau tiga buah untuk dijadikan sebagai teks pengajara, Buku panduan adalah buku-buku yang seharusnya dibaca dan dijadikan rujukan dan bahan tambahan bagi guru, pengaji-pengaji juga boleh merujuk kitab-kitab yang dijadikan bahan panduan dan buku teks cadangan. Buku-buku dan kitab-kitab yang dicadang bagi rujukan dan bagi teks ini hendaklah ada dalam perpustakaan masjid yang boleh dirujuk mereka yang mengaji dan kalau boleh sebahagian kitab-kitab berkenaan turut dimiliki oleh pengaji-pengaji. Guru seharusnya mengajar berasaskan kitab dan pengaji juga menadah atau mengaji berdasarkan kitab.
Dengan adanya kurikulum bagi setiap bidang keilmuan dan adanya kitab-kitab utama yang digunakan di samping kitab-kitab atau buku-buku tambahan untuk dirujukkan, maka rangka keilmuan menjadi jelas, guru dan pengaji juga dapat mengikuti perkembangan secara bertahap dan berkembang secara teratur. Dengan adanya kurikulum dan kitab mudah dirujuk bagi persoalan-persoalan yang dibangkitkan. Andainya pengajian tersebut disambung oleh guru yang lain, lantaran guru asal tidak dapat meneruskan pengajian, maka dengan adanya kurikulum dan kitab penggunaan, maka ianya mudah diteruskan oleh guru lain. Penambahan juga dapat dilakukan berdasarkan apa yang diajar selama ini berasaskan kurikulum dan kitab yang digunakan dan jika diadakan penilaian maka ianya tidak terkeluar dari skop dan ruanglingkup pembelajaran.
Adalah diharapkan dengan tahap keilmuan fardu dan asas, maka masyarakat setempat adalah celik keilmuan agama dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Hasil dari didikan agama diharap mereka menjadi masyarakat yang salih yang hati mereka sentiasa terpaut terhadap masjid. Mereka hidup berjiran tetangga secara harmoni dan damai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment