December 17, 2015

Kampus Terbuka Bagi Jami`ah Al-Umm


BBB, 04 Rabiul Awal 1437 = 16 Disember 2015 (Rabu):
Rancangan menjadikan Masjid Al-Umm sebagai pengajian tinggi yang dikenali dengan `Jami`ah Al-Umm` atau `Al-Umm University` seharusnya pengurusan bagi melaksanakannya mesti dilakukan dari sekarang. Ini adalah bersesuaian dengan pembinaan fizikal Masjid Al-Umm hampir siap yang menjadi pusat utama bagi pengajian. Menjadikan Masjid Al-Umm sebagai pusat pengajian tinggi adalah mengambil ilham dan contoh tauladan dari Masjid Qayrawan di Maghribi dan Masjid Al-Azhar di Mesir yang kedua-duanya merupakan universiti-universiti terawal di dunia. Pengajian di Masjid Al-Umm hendaklah berasaskan turath tradisi dan tempatan, di samping meneroka keilmuan kini. Jami`ah Al-Umm hendaklah mempunyai ciri dan identiti tersendiri.



 Berhubung dengan keperluan mendirikan Kompleks Ilmu bagi Jami`ah Al-Umm yang baru pada peringkat permulaan, seharusnya tidak menghalang dari usaha bagi menggerakkan kegiatan melaksanakan Jami`ah Al-Umm berkenaan. Perancangan tidak boleh menunggu terdirinya bangunan tersebut, pengurusan mendapat keizinan menggunakan tapak dan mencari dana yang melebihi RM100 juta itu akan memakan  masa. Usaha membina bangunan Kompleks Ilmu bagi Jami`ah  Al-Umm hendaklah berjalan serentak dan ia merupakan projek bagi melengkapkan keperluan bagi Jami`ah Al-Umm. Sebenarnya bagi melengkapkan keperluan fizikal bagi Jami`ah Al-Umm banyak lagi bangunan-bangunan tambahan yang diperlukan dan perlu ditambah dari masa ke semasa.
Sebagai satu pendekatan yang pernah dibincangkan di dalam `Bengkel Merealisasikan  Bangi Bandar Ilmu` pada  16 Sya`ban 1435 bersamaan 14 Jun 2014 bertemput di Hotel Puri Pujangga UKM, ada dua pendekatan bagi merealisasikan Bangi Bandar Ilmu, iaitu Pendekatan Makro yang dibentangkan oleh Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri Rektor KUIS, iaitu pendekatan menjadikan seluruh Bandar Baru Bangi sebagai kampus terbuka secara serentak yang memerlukan tenaga, kepakaran dan kewangan yang banyak dan kertaskerja kedua ialah merealisasikan Bangi Bandar Ilmu secara mikro yang dibentangkan oleh Penulis, bermaksud usaha merealisasikan Bangi Bandar Ilmu bermula dari bahagian kecil kemudian berkembang luas bagi seluruh Bandar Baru Bangi.
Pembinaan Masjid Al-Umm adalah dalam rangka pendekatan mikro di atas, iaitu mengimarahkan ilmu dari Masjid Al-Umm terlebih dahulu termasuk  didukung oleh surau-surau dan institusi-institusi pengajian sekelilingnya. Usaha bagi menaiktaraf Masjid Al-Umm adalah sebahagian dari pendekatan bagi merealisasikan Bangi Bandar Ilmu. Pendekatan yang dicadangkan, bahawa Masjid Al-Umm adalah berada di Wadi Ilmu yang sekeliling dan sekitarnya ada:
10 surau, 4 sekolah, 1 Kompleks Pendidikan Islam Bangi dan 1 Dar al-Shifa`.
Kesemuanya ini adalah berada di bawah Wilayah Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu. Dalam kata lain Wadi Ilmu hendaklah menjadi `Kampus Terbuka`  pengajian bagi Jami`ah Al-Umm (Al-Umm University).
Pendekatan ini lebih praktikal dan releven, dari segi infra-struktur fizikalnya, iaitu:
·         Masjid Al-Umm adalah Pusat Pengajian dan Pentadbiran bagi Jami`ah Al-Umm.
·         Surau-surau  sekeliling Masjid Al-Umm, Kompleks Pendidikan Islam dan Dar al-Shifa` menjadi fakulti-fakulti atau sebahagian daripadanya menjadi jabatan-jabatan bagi fakulti-fakulti tertentu.
·         Empat sekolah adalah kekal dengan status sebagai sekolah menengah dan rendah Bandar Baru Bangi. Tetapi sebaiknya sekolah menengah dijadikan sekolah terpilih yang lulusan darinya dapat menyambung pengajian ke Jami`ah Al-Umm dan universiti-universiti lain. Rundingan dengan Kementerian Pendidikan dan negeri perlu di adakan, supaya pihak Jami`ah Al-Umm dapat memberi perhatian sama bagi meningkatkan prestasi sekolah-sekolah berkenaan yang berada di Wadi Ilmu, Bangi Bandar Ilmu.


Dari segi fizikal juga, bahawa kediaman bagi pelajar-pelajar boleh diusahakan oleh Jami`ah Al-Umm menyewa rumah-rumah berdekatan dengan kampus terbuka, atau para pelajar mengusahakan sendiri bagi mendapat kediaman. Untuk jangka panjang Jami`ah Al-Umm perlu mempunyai rumah-rumah di sekitar Bangi bagi menjadikan asrama di samping menjadikannya aset bagi Jami`ah Al-Umm.
Sebagaimana disebutkan bahawa pada peringkat permulaan Jami`ah Al-Umm tidak berhasrat mengambil pelajar dalam jumlah yang ramai. Setelah beroperasi dengan baik mungkin jumlah yang ideal adalah 150 orang sahaja.
50 orang bagi peringkat diploma
80 orang bagi ijazah pertama
15   orang bagi peringkat sarjana
5   orang bagi peringkat doktor falsafah
Adapun tenaga pengajar dan pentadbir adalah dari bekas-bekas tenaga pengajar yang bertaraf profesor dan pentadbir yang banyak terdapat di Bandar Baru Bangi yang diharap mereka akan dapat berkhidmat di Jami`ah Al-Umm sebagai tenaga akademik dan pentadbir, kalau pun tidak sepenuh masa adalah sebagai sambilan.
Pengajian tidak semestinya berlangsung secara serentak bagi semua peringkat. Memandangkan kemudahan-kemudahan belum cukup, maka pengajian boleh bermula bagi tahap diploma, namun jika ada kemampuan, maka peringkat-peringkat yang lebih tinggi dapat dijalankan
Skop dan ruanglingkup pengajian yang ditumpukan oleh Jami` Al-Umm adalah;
!)   Falsafah Dan Turath Islam Memperkasa  Peradaban
2).  Menjana Ekonomi Islam
3)  Sains Dan Pembangunan Ummah
4)  Perundangan Dan Islam Mensejahterakan
5)  Kemanusiaan Dan Kesejagatan Islam
Dari skop dan ruanglingkup keilmuan di atas diolah sebagai pecahan keilmuan-keilmuan yang diajar pada semua peringkat.
Tidak dapat dinafikan, bahawa bagi peringkat permulaan banyak kekurangan yang dihadapi oleh Jami`ah Al-Umm. Kekurangan dari segi fizikal, tenaga pengajar, perpustakaan juga dari segi kewangan, sebab itu operasinya perlu bersifat bertahap. Antaranya perlu mendapat kerjasama dari pengajian-pengajian tinggi yang ada di Bangi dan di sekeliling bandar tersebut. Antaranya tentulah mendapat tunjangan dari pihak pemerintah dan derma dari para dermawan bagi menggerakkan kemajuan Jami`ah Al-Umm yang dihasratkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment