May 7, 2016

Shi`ah Ekstrim: Dipersoal Keislaman Mereka


BBB,  28 Rajab 1437 =  06 Mei 2016 (Juma`at):
Disamping firqah-firqah Shi`ah yang sebahagian besar pecahan dari Shi`ah Imamiyyah 12, sebagaimana telah dibicarakan, terdapat firqah-firqah kecil yang jauh menyeleweng dan dipersoalkan dari segi keislaman. Penyelewengan berlaku antaranya dengan menggunakan konsep batin dan rahsia termasuk pergerakan mereka secara  bersembunyi dan berahsia. Antara firqah dan aliran yang ekstrim ialah:
1`)  Aliran Ghurabiyyah
Istilah  ghurab bererti `gagak` yang berwarna hitam, dan  jika berhimpun dua gagak yang sama serupa dari segi tubuh dan warna, maka sukar untuk membezakan antara keduanya. Perbandingan ini digunakan kepada Rasulullah s.a.w.dan Sayyidina `Ali  yang tubuh dan perwatakan antara keduanya menurut Shi`ah hampir serupa. Aliran Ghurabiyyah ini amat menyanjung Sayyidina `Ali bin Abi Talib yang mempunyai watak unggul hingga dibandingkan dengan Nabi Muhammad s.a.w. bahkan sukar dibezakan kerana serupa menurut Shi`ah. Aliran Ghurabiyyah meletakkan `Ali hampir semacam Tuhan jika pun tidak Tuhan. Keserupaan Sayyidina `Ali dengan Rasulullah deikatakan oleh Shi`ah menyebabkan Jibril terkeliru dan tersalah menyampaikan kerasulan kepada Nabi Muhammad yang sepatutnya perutusan kerasulan disampaikan kepada Sayyidina `Ali.
Penganut Aliran Ghurabiyyah adalah tidak memahami sejarah, bahawa pada masa Rasulullah s.a.w. dilantik menjadi Rasul Sayyiduna `Ali k.w. masih  anak-anak dan belum baligh, lantaran itu belum ditaklif dan tidak layak menerima perutusan. Beliau bersifat anakmuda pada permulaan Hijrah setelah 13 tahun Nabi berdakwah.
2. Aliran Qaramitah
Aliran Qaramitah ini menggunakan mekanisme yang ada di dalam faham Shi`ah bahawa tiap sesuatu ada zahir dan batin. Dan konsep rahsia ada dalam kebatinan. Konsep ini diaplikasikan kepada Al-Qur`an. Bagi golongan ini Al-Qur`an ada zahir dan batin. Dari segi kebatinan ini banyak aspek yang tidak diketahui, sebab itu dalam menggali rahsia kebatinan Al-Qur`an, maka dibuat tafsiran-tafsiran yang jauh dari makna sebenarnya. Kejauhan dan keghariban tafsiran menyebabkan perkara yang di luar kewajaran.  Mereka berpendapat bahawa malaikat-malaikat adalah muballigh mereka, manakala syaitan-syaitan adalah musuh, yang dinamakan sembahyang ialah ikut imam, haji ialah ziarah imam mereka, puasa tidak membuka rahsia imam mereka. Lebih exstrimnya Aliran Qaramitah mengatakan orang mengetahui Allah sedalam-dalamnya, maka pada ketika itu mereka tidak perlu solat, puasa, zakat dan ibadat-ibadat yang lain yang amat mengelirukan, bahkan dipersoalkan keislaman. Bahkan  aliran ini dianggap terputus dari Islam dan iman.
3. Aliran Hakimiyyah
Prof.  Dr. Imam  Muhammad Abu Zahrah menampilkan aliran ini bukan setakat exstrim, bahkan disifatkan sudah tercabut dari akar umbi Islam. Hakimiyyah menafsirkan konsep perlimpahan cahaya sebagai turunnya sesuatu yang dinisbahkan kepada Allah boleh bertempat pada diri seseorang imam dan menyerukan orang untuk menyembahnya. Tokoh ekstrim yang nama aliran dinisbahkan kepadanya ialah al-Hakim bin Amrillah al-Fatimi. Dia berkata Allah bersemayam di dalam dirinya dan dia mengajak orang lain untuk menyembahnya. Dia dibunuh, tapi bagi pengikutnya dengan menggunakan konsep `sembunyi`. Mereka tidak mempercayainya mati, tapi bersembunyi dan bakal turun kembali nanti.
4. Aliran Druz
Manakala Aliran Druz aliran ini adalah bertempat di Sham (Syria) dan mempunyai pertalian dengan Hakimiyyah, dikatakan aliran Hakimiyyah masuk kepada pendukung di Sham adalah melalui seorang bernama Hamzah al-Darazi. Kepadanya dinisbahkan nama Aliran Druz. Tidak jelas perkembangan aliran ini, kerana bersikap sembunyi pegangan mereka dan tidak terbuka. Kelompok ini didapati termasuk di Lubnan, namun mereka tidak digolongkan sebagai kelompok Islam.
5.  Aliran Nashiriyyah
Disifatkan oleh Prof.  Dr. Imam  Muhammad Abu Zahrah Nashiriyyah juga sebagai aliran yang telah tercabut akar umbinya dari Islam. Namun dari penelitian ada pengaruh dari Isma`iliyyah dan Hakimiyyah. Mereka yang bergerak di Sham ini percaya `Ali dan Keluarganya diberi Ilmu dan `Ali tidak mati, bahkan `Ali mendekati Tuhan, kalaupun tidak Tuhan. `Ali menerima limpahan cahaya sebagaimana dipercayai konsep `Ifadhah – limpah` cahaya dan mempunyai kaitan  Shi`ah dari segi aspek batiniyyah dan rahsia. Kumpulan Nashiriyyah banyak menunjukkan penderhakaan dan tidak berpihak kepada Islam. Misalnya tatkala berlaku peperangan salib, mereka memihak kepada tentera Salib bagi mendapat kesempatan, begitu juga bila Tartar menyerang Baghdad, mereka sanggup berpihak kepada tartar dan menjadi talibarut mereka, biarpun mereka diperbudak oleh tartar. Waktu pihak pemerintah Islam berkuasa mereka mundur bersembunyi di pergunungan Sham. Mereka bukan saja bercanggah akidah, tetapi juga menentang pemerintah.
Demikianlah implikasi politik yang berasal pada zaman Sayyidina `Ali  yang berkonflik dengan Mu`awiyah memberi impak yang ketara di dalam politik, yang antaranya melahirkan Shi`ah. Konsep Imam adalah konsep dominan yang berpegang pada prinsip dipilih oleh Nabi dan kemudian `ulama-`ulama`. Ini menyebabkan pimpinan di dalam Shi`ah pada peringkat awal adalah dari `tunjuk` dan turunan Nabi dan `Ali. Prinsip atau penyelewengan berlaku pada tahap imam ini, bahawa Imam mempunyai `authority` tertinggi`, bahawa dilihat kata-katanya sebagai sabda dan tidak boleh dibantah, bahkan ianya semacam hukum syara`. Satu konsep lagi di dalam Shi`ah ialah konsep zahir dan batin bagi tiap-tiap satu. Imam mengetahui batin sesuatu. Kesempatan ini diambil misalnya oleh Imam keenam Ja`afar al-Sadiq bagi melantik cucunya Muhammad al-Maktum didasarkan kepada konsep sembunyi  yang sepatutnya diteruskan oleh Musa al-Kazim, implikasinya melahirkan Ismailiyyah yang melahirkan fiqah-firqah Shi`ah yang lain yang antaranya jauh menyimpang dari Islam.
Dalam aliran Shi`ah dilihat banyak menggugat kemurnian akidah apabila diberi kedudukan melampau, mengetahui perkara ghaib, kata-kata tak boleh dicabar, Imam menerima lempahan cahaya ketuhanan yang antaranya mendakwa ketuhanan bersemayam di dalam dirinya dan meminta orang menyembahnya adalah penyelewengan akidah yang amat jelas.
Penyelewengan ini adalah dari sudut politik, banyak lagi penyelewengan yang berlaku. Misalnya dari sudut shari`at yang membezakan antara konsep-konsep ibadat, kekeluargaan, misalnya isu kahwin mut`ah, konsep perceraian, begitu juga tentang akidah yang telah dibicarakan. Dalam Shi`ah itu sendiri amat bercanggah dan banyak kekeliruan. Ianya merosakkan pegangan, mengelirukan dan boleh menggugatkan keharmonian dan kestabilan.

Sekian. 

May 6, 2016

Aliran Shi`ah Isma`iliyyah - Pecahan Shi`ah 12


BBB, 27 Rajab 1437 = 05 Mei 2016 (Khamis):


Meneliti perkembangan aliran Shi`ah ternyata pertumbuhan dan perkembangannya adalah diakibatkan oleh emosi sentimen, konflik dan pertentangan, bukan atas dasar percambahan idea dan ilmu  akibatnya membawa kepada pecahan-pecahan yang membentuk firqah-firqah.  Dari firqah Shi`ah ini ada sekadar membanyakkan firqah, tetapi jika ada yang berwibawa, maka ianya memberi impak kepada pertumbuhan ilmu, budaya dan peradaban.
Di dalam Shi`ah dua belas sendiri mencerminkan elemen esmosi sentimen dan konflik pertentangan. Tiba kepada Imam ke 6 Shi`ah Imamiyyah 12, iaitu Ja`far al- Siddiq berlaku konflik dikatakan bahawa Ja`afir mewasiat agar anaknya Ismail diangkat menjadi Imam yang sepatutnya menurut rantaian seturut (ke 7), ialah Musa al-Kazim bin Ja`afar al-Siddiq. Tetapi dteruskan atas wasiat Ja`afar terhadap anaknya Ismail, meskipun Ismail meninggal lebih awal dari ayahnaya dan apabila Ja`afar meninggal, maka anak Ismail atau cucu Ja`afat (Muhammad al-Maktum) menggantikan Imam Ja`afar bagi pihak bapanya Ismail yang memberi nama aliran Shi`ah berkenaan sebagai Aliran Isma`iliyyah. Ini dikatakan berasaskan kata-kata Imam (Ja`afar al-Siddiq) adalah sebagai  sabda yang menjadi hukum syara` yang perlu dipatuhi. Ini bererti dalam satu masa lebih dari satu imam wujud dalam aliran Shi`ah 12. Dari aliran Shi`ah Isma`iliyyah ini timbul konsep sesuatu itu ada aspek lahir dan tersembunyi (batin) yang mewajarkan dari segi aspek tersembunyi mengapa perlantikan Muhammad al-Maktum dilantik. Jadi rantaian Shi`ah Ismailiyyah ialah bermula dari:
1)      Ja`afar al-Siddiq bin Muhammad al-Baqir
2)      Ismail bin Ja`afar al-Siddiq  (Tersembunyi – Wasiat)
3)      Muhammad al-Maktum bin Ismail
4)      Muhammad al-Habib bin Muhammad al-Maktum
5)      Abdullah al-Mahdi bin Muhammad al-Habib
Konsep melahirkan diri (lawan sembunyi) berlaku kepada Abdullah al-Mahdi dalam mana ia dan pengikut-pengikutnya melahir dan meluaskan fahamam Shi`ah Isma`iliyyah di Maghribi (Afrika Utara) dan di Mesir yang dikenali dengan kerajaan Fatimi (Sempena nama Puteri Nabi – Fatimah). Aliran Isma`iliyyah ini kemudiannya berkembang ke Iraq.
Kehadiran aliran ini di `Iraq tidak disenangi dan mereka menghadapi tekanan  dan digempur hingga antara mereka melarikan diri seperti ke Iran (Parsi), Khurasan, India (kini termasuk Pakistan) dan Turkistan. Bertembung dengan pengaruh tempatan antara aliran Isma`iliyyah ini pula bercampur dengan faham-faham dan kepercayaan tempatan seperti elemen Hindu terutama dari konsep inkarnasi, aspek agama Parsi terutama dari konsep cahaya (api) dan juga pengaruh agama Budhdha, terutama dari aspek zen Budhdhism. Isma`iliyyah juga bercampur aduk dengan kepercayaan tentang roh, bintang dan planet dan  konsep astronomi dan astrologi budaya Kaldi.. Ini menyebabkan terhakisnya konsep Islam yang masih ketara di dalam Shi`ah 12, kepada campuran yang merosakkan Islam, bahkan membawa konflik dan perpecahan di kalangan umat Islam antaranya akibat dari aliran-aliran Shi`ah seperti yang berlaku di Pakistan, Iraq, Yaman, bahkan juga di Syria.
Satu komsep yang ketara mempengaruhi agama, budaya dan intelektual di kalangan pengikut-pengikut Shi`ah Isma`iliyyah  yang merugikan dari segi sejarah, budaya dan intelektual ialah kepercayaan mereka yang menjadi sebagai doktrin Shi`ah Isma`iliyyah ialah kepercayaan tiap satu itu ada aspek zahir dan batin. Pendapat ini menjadi sumber bahawa kepimpinan ada yang lahir yang dapat dilihat dari segi lahir dan kegiatan-kegiatan lahir, tetapi  ada aspek batin yang digunakan sebagai pelarian atau kesempatan ? Misalnya akan kembalinya pimpinan Shi`ah ke 12 Muhammad bin Hasan al-Mahdi yang dikatakan menghilangkan diri dan akan menjelma kembali pada masa akan datang. Konsep Imam al-Mahdi adalah merupakan keparcayaan bagi orang-orang Shi`ah, bahawa Imam Mahdi akan turun kembali pada akhir kelak. Konsep ini juga digunakan terhadap Imam Muhammad bin Hanafiyyah yang dikatakan menghilangkan diri dan akan kembali kelak. Konsep ghaib dan tersembunyi ini juga digunakan terhadap Ismail anak Imam Ja`afar al-Siddiq yang mati dahulu dan diistilahkan hilang dan dikaitkan dengan konsep wasiat sehingga kaedah ini digunakan bagi menaikkan Muhammad al-Maktum.
Konsep berahsia ini juga digunakan oleh pendukung-pendukung Aliran Shi`ah Ismailiyyah. Kalangan intelektual mereka menghasilkan tulisan-tulisan bermaklumat tentang peperangan salib dan Tartar. Digerak oleh konsep bersembunyi banyak karya-karya yang dihasilkan d Maghribi dan Mesir yang pernah diperintah oleh kerajaan Shi`ah Isma`iliyyah tidak diketahui pengarang, lantaran mereka sengaja menyembunyikan diri dari pengaruh `sengaja menyembunyikan diri` sebagai satu aspek dari segala benda – ada zahir dan batin.  Adalah dipercayai hasil-hasil tulisan Ikhwa al-Safa yang amat berharga itu tetapi tidak diketahui siapa pengarang adalah dipengaruhi pegangan  kosep menyembunyiikan diri tersebut.
Satu yang buruk dari pegangan sesuatu ada aspek lahir dan batin  (rahsia), bahawa aspek zahir dan batin
ini digunakan oleh penafsir-penafsir al-Qur`an mereka. Mengenai aspek lahir mungkin tidak sangat menimbulkan permasalahan, tetapi dari aspek batin mereka menggunakan pada tafsir terhadap Al-Qur`an yang mereka berpendapat mempunyai aspek batin atau tafsir dari segi batin,. Mereka membuat takwil=takwil dan tafsir-tafsir yang jauh dari segi makna dan maksud yang dari segi nyata tidak mempunyai kesesesuaian, bahkan dilihat sebagai tidak releven. Tapi bagi mereka pendapat mereka  dianggap releven. Implikasinya mereka bukan saja tidak tepat tetapi merosakkan..
Sesungguhnya pegangan dan pendapat yang berbagai-bagai yang tidak terkawal merosakkan, termasuk Aliran Isma`iliyyah dan aliran-aliran Shi`ah, bahkan seluruh umat Islam.
Sesungguhnya kepelbagaian prinsip dan pegangan membawa kepada kepelbagaian  pendapat. Perubahan juga berlaku dengan kelainan tempat yang turut terpengaruh dengan falsafah, kepercayaan  dan pemikirian luar.  Di dalam Aliran Isma`iliyyah ada yang dianggap sederhana. Tiiga prinsip pegangan mereka mempengaruhi tindakan dan aplikasi kepada Shi`ah, khususnya Isma`iliyyah itu sendiri:
1)       Konsep lempahan cahaya dalam bentuk ilmu pengetahuan. Konsep digunakan bahawa limpahan sedemikain diterima oleh Imam yang tidak diterima oleh orang biasa. Ini memberi kedudukan Imam pada tahap atas yang tidak dapat dicapai orang biasa.
2)      Konsep `Sembunyi`, bahawa seorang Imam itu tidak semestinya menampakkan diri. Dia mungkin terlindung dan mungkin menzahiirkan diri kelak, sebagaimana dipercayai tentang turun Imam Mahdi kelak. Konsep ini banyak digunakan di dalam perlantikan dan kedudukan seseorang sebagai mekanisme yang mewajarkan dan menolak penentangan yang mungkin timbul. Konsep ini melibatkan kepada keilmuan yang dihasilkan dengan tersembunyi sehingga tidak diketahui punca pengarang dan sumber. Mekanisme ini juga digunakan di dalam menafsirkan ayat-ayat Al-Qur`an kepada maksud tersenbunyi yang dilihat begitu jauh dan boleh dipersoal dari segi kewajarannya..
3)      Bahawa seorang Imam tidak bertanggungjawab kepada sesiapa pun dan tiada seorang boleh mempersalahkannya jika ia melakukan sesuatu perbuatan dan hendaklah menganggap apa yang dilakukan oleh Imam  adalah baik. Ini memberi kebebasan kepada Imam. Dari satu segi tanpa kawalan dan `check and balance` makin mempelbagaikan aliran, bahkan makin mencelarukan ?
Ini adalah dari satu pecahan atau firqah di dalam Shi`ah. Bayangkan pelbagai pendekatan di dalam berbagai firqah yang lain. Ia merupakan kepelbagaian yang mengundang kepelbagaiuan percanggahan diluar kawalan. Sebab itu tumbuh berbagai firqah Shi`ah dengan berbagai pendapat  dan berbagai percanggahan.

Sekian.




May 5, 2016

Aliran Imamiyyah 12 - Mutakhir Iran


BBB, 26 Rajab 1437 = 04 Mei 2016 (Rabu):
Konsep pimpinan secara Imam adalah menjadi ciri penting di dalam kepimpinan mazhab-mazhab Shi`ah. Umumnya semua aliran Shi`ah yang berada sama ada di Iran, Iraq, Pakistan dan lain-lain negara adalah berprinsipkan Imamiyyah. Namun aliran Imamiyyah Dua Belas lebih ketara dari segi kepimpinan keimamannya.
Konsep imam yang dipegang mereka, bahawa mereka mendakwa, bahawa kepimpinan utama mereka iaitu `Ali bin Abi Talib adalah ditunjukkan secara langsung oleh Nabi Muhammad s.a.w. terhadap `Ali sebagai pengganti baginda. Mereka mendasarkan kepada Hadith yang mereka pegang antaranya bermaksud:
``Barangsiapa aku menjadi pemimpinnya, maka `Ali adalah pemimpinnya. Ya Allah tolonglah dan lindungilah orang yang menolong dan melindunginya (`Ali) dan musuhilah orang yang memusuhinya.``
    (Muhammad Abu Zahrah, Aliran Politik Dan Akidah Dalam Islam, 1996: 51).
Konsep tunjuk ini dilanjutkan kepada turunan-turunan `Ali yang dua belas hingga dikenali sebagai Aliran Shi`ah Dua belas. Mereka ialah sebagaimana disusun oleh Tuan Haji Said:
1)      Sayyiduna `Ali bin Abi Talib (m. 40H.)
2)      Sayyiduna Hasan bin `Ali bin Abi Talib (m. 50H.)
3)      Sayyiduna Hussein bin `Ali bin Abi Talib (m.61H.)
4)      `Ali Zainal Abidin bin Hussein (m.94H.)
5)      Muhammad al-Baqir bin `Ali Zainal Abidin (m. 117H.)
6)      Ja`afar al-Siddiq bin Muhammad al-Baqir (m. 148H.)
7)      Musa al-Kazim bin Ja`afar al-Siddiq (183H.)
8)      `Ali Reda bin Musa al-Kazim (m.202H.)
9)      Muhammad al-Jawad bin `Ali al-Reda (m. 220H.)
10)   `Ali bin Muhammad bin `Ali Reda (m. 254H.).
11)   Hasan bin `Ali bin Muhammad al-`Askari (m.260H.).
12)   Muhammad bin Hasan al-Mahdi (m. 260H.).
Mereka mendakwa Imam ke 12, iaitu Muhammad bin Hasan al-Mahdi telah ghaib dan menurut kepercayaan mereka akan kembali ke dunia di akhir zaman bagi menjalankan pemerintahan, keadilan dan kebenaran dan menghukum orang-orang yang tidak mengikut fahaman Shi`ah 
Menurut pandangan Shi`ah 12, bahawa seorang imam menguasai ilmu syariat dan hukum hakam dan mempunyai kemampuan di dalam membentuk undang-undang, segala ucapannya merupakan syari`at dan setaraf dengan sabda. Imam juga hendaklah memelihara dan mengawal syariat. Pada imam mungkin berlaku perkara-perkara yang luar biasa yang disifatkan sebagai mu`jizat.
Pada pandangan Imamiyyah 12, bahawa Imam bukan saja ma`sum tetapi merupakan Hujjatullah yang tegak hingga hari kiamat. Mereka berpegang kepada kata-kata Sayyiduna `Ali.
``Maka  bumi tidak pernah kosong  dari orang yang berdiri sebagai Hujjah Allah, kadang-kadang tersembunyi tertutup  dan  kadang-kadang nyata di balik tabir.``
Menurut mereka para penerima wasiat melaksanakan fungsi Hujjah Allah dan dengan mu`simnya yang menuntut kepatuhan terhadapnya agama menjadi terpelihara sampai hari kiamat.
Menurut Prof. Dr. Imam Muhammad Abu Zahrah bahawa:
``Tentang kedudukan imam dalam pandangan aliran Imamiyyah sepakat dan tidak ada perbedaan pendapat di antara mereka tentang kedudukan imam yang mendekati kedudukan Nabi Muhammad. Mereka dengan tegas mengatakan bahawa perbedaan antara imam dan Nabi hanya satu, iaitu imam tidak diberi wahyu.`` (Muhammad Abu Zahrah: 1996: 56).
Aliran Shiah dua belas adalah paling popular dan kesannya hingga kini. Ada dua kesan politik ketara Imamiyyah, pertama terdirinya kerajaan Fatimi di Mesir iaitu Kerajaan Shi`ah pada pertengahan abad ke 4H. Antara kesan baiknya terdirinya kota Al-Qahirah (Yang Gagah Menguasai) yang melambangkan kepahlawanan tentera Shi`ah membuka Mesir, terdirinya Universiti Al-Azhar dan mewujudkan tradisi sambutan Maulid al-Rasul. Tetapi pemerintahan Shi`ah Imamiyyah 12 terkini ialah pemerintahan Republik Iran. Iran sebelumnya di bawah pemerintahaan Monarki Pahlawi di bawah pengaruh Amerika dan dijatuhkan melalui revolusi yang berinspirasikan Imam Khomeini (1977) yang digerakkan oleh pengikut-pengikut dan pelajar-pelajarnya di Qum, Iran seperti Murtadha Murabbani,, Ali Khameni, Mohammad Bahesti dan Hashimi Rafsanjani. Pada 16 Januari 1978 Khomeini pulang berikut dari revolusi sesudah berada di dalam buangan (1964) di Perancis selama lima belas tahun.
Pada peringkat awal kelihatan pemimpin di bawah pengaruh lama tidak cenderung untuk memerintah secara Islam Shi`ah, sebaliknya masih bersifat sekular seperti di bawah pimpinan Bazargan dan Bani Sadr. Rasa tidak puashati menyebabkan berlaku revolusi pelajar pada 4 November 1979 yang membawa kepada pendudukan pelajar di kedutaan Amerika, seterusnya berlaku revolusi yang menjatuhkan Bani Sadr yang memimpin parti Mujahidin al-Khalq dan membawa kepada kenaikan Rafsanjani yang menguasai parlimen  Jun 1981 (pilihanraya 1980).
Berikutnya Iran berada di bawah golongan Mulla bersifat rohani melalui Dewan Tertinggi revolusi Islam ala Iran memilih Pemimpin Ayatullah Ali Khameini. Selepas kematian Ayatullah Ruhullah Khomeini (4 Julai 1989) Iran memilih pimpinan secara pilihanraya dan melantik Presiden pertama Rafsanjani menjadi Presiden pada  Ogos 1989. Kemudian diikuti perlantikan Ahmadinejad (Teknokrat) dan terakhir kini ialah Hasan Rohani dengan imej Mullah.
Jelas berlaku perubahan dan penyesuaian konsep Imamiyyah di Iran yang dengan Ayatullah Ruhullah Khomeini bersifat sebagai Pemimpin kerohanian. Ada percubaan oleh pihak terpengaruh dengan pemerintahan lama untuk mengekalkan Iran sebagai negara sekular seperti di bawah pimpinan Bani Sadr dengan parti Mujahidin Khalqnya. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan muda dan melancarkan penentangan yang menjatuhkan Bani Sadr. Selepas kematian Imam Khomeini Iran memilih pemimpin melalui pilihanraya dan melantik Presiden. Kini kepimpinan yang meneruskan konsep Imamiyyah 12 atas nama Presiden ditunjuk melalui pilihanraya meneruskan bersama kepimpinan keriohanian ?

Sekian.

May 4, 2016

Zaidiyyah Shi`ah Sederhana Dekat Dengan Sunni


BBB,  25  Rajab 1437 = 03  Mei 2016 (Selasa):


Salah sebuah dari firqah Shi`ah ialah aliran Shi`ah Zaidiyyah. Aliran  ini dianggap mempunyai pendekatan sederhana dan paling dekat dengan aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah berbanding dengan aliran-aliran Shi`ah yang lain.
Sebagaimana nama aliran ini Zaidiyyah, maka aliran Zaidiyyah dinisbahkan kepada Zaid bin `Ali bin Zainal Abidin – turunan Rasulullah s.a.w. Keberadaannya ialah pada zaman Khalifah Umawiyyah – Hisham bin Abdul Malik (105-125H.). Zaid dikatakan seorang yang  sentiasa di dalam jama`ah Islam. Dia adalah mencintai ilmu pengetahuan, mendalami banyak bidang keilmuan dan rapat dengan ulama`-ulama` pada zamannya. Bahkan tergolong sebagai ulama`. Menurut Prof. Dr. Imam Muhammad Abu Zahrah, antara yang berguru dengannya ialah Wasil bin `Ata` Pengasas Mu`tazilah dan juga Abu Hanifah yang dikatakan Abu Hanifah simpati dan berpihak kepadanya. Zaid lebih mendalam di dalam bidang fiqh dan ilmu al-kalam. Di dalam bidang fiqh beliau mempunyai karangannya sendiri iaitu  berjudul `Al-Majmu`.
Di atas ketokohan ini beliau dilihat layak sebagai Imam Shi`ah yang kemudian dinisbahkan kepadanya. Seteru utamanya tidak lain dari pemerintah Umawiyyah dan beliau terlibat di dalam peperangan-peperangan bagi menegakkan aliran Shi`ahnya. Ironinya di samping menghadapi musuh utama dari kerajaan Umawiyyah, kepimpinannya ditentang oleh saudaranya sendiri iaitu Muhammad al-Baqir yang menganggap Zaid masih tidak berkelayakan.
Keterlibatannya dengan banyak bidang keilmuan membentuk pandangannya yang sederhana. Antara pendiriannya:
1)       Imam Tidak Ditentu Nabi
Zaidiyyah menganggap Imam tidak ditentu dan ditunjuk Nabi secara langsung, tetapi diberi tentang sifat-sifat. Namun dengan sifat-sifat  yang dicirikan, `Ali adalah bertepatan dan mencukupi syarat.
2)      Menerima Perlantikan Abu Bakar Dan `Umar
Zaidiyyah menerima perlantikan Abu Bakar dan `Umar sebagai khalifah yang dilantik secara al-Hallu wa al-`aqd dengan mengutamakan maslahah umat.
3)      Tidak Mengkafirkan Para Sahabat
Zaidiyyah tidak mengkafirkan para sahabat sebagai pendirian banyak dari aliran Shi`ah.
4)      Perlantikan Imam Tidak Semestinya Dari Kalangan Terbaik
Boleh dilantik bila mencukupi syarat dan terpilih
5)      Boleh Dilantik Lebih Imam Di Tempat Berlainan
Pada dasarnya hanya satu imam pada suatu masa.
Namun dengan pendirian sederhana Zaidiyyah yang dekat dengan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah  dan percanggahan-percanggahan pendapatnya dari kebiasaan dari satu pihak mengundang musuh menentangnya. Pendapatnya bahawa perlantikan `Imam` tidak semestinya dari kalangan terbaik dari pemimpin, boleh dari kalangan yang ssedikit kurang baik. Pendapat ini memakan dirinya yang dilihat oleh musuh-musuhnya tidak mencukupi syarat sebagai imam. Toleransi Zaidiyyah terhadap perlantikan Abu Bakar dan `Umar tidak disetujui Shi`ah banyak. Pendapat Zaidiyyah yang mempunyai kemiripan dengan aliran Mu`tazilah, lantaran Wasil bin Ata` berguru dengannya. Dan Zaidiyyah selari dengan pendapat Mu`tazilah bahawa yang berdosa besar kekal di dalam nereka. Oleh kerana ada hubungan keilmuan antara Zaid dan Wasil bin `Ata`, maka banyak persoalan akidah Zaidiyyah bersamaan dengan Mu`tazilah dan tidak bersesuaian dengan Ash`ariyyah dan Maturidiyyah. Faktor ini juga menyebabkan beliau tidak disenangi.
Juga pendapat boleh disifat ganjil dan bertentang dengan prinsip imamiah, bahawa boleh dilantik imam pada daerah yang lain yang tidak menimbulkan konflik dengan imam yang ada. Ini kemungkinan untuk memberi ruang kepada perlantikan beliau kepada  tahap Imam ?  Imam seharusnya seorang pada satu masa.
Pendirian Zaidiyyah yang dengan sifat sederhana, mungkin dilihat sebagai baik dan tidak ekstrim bagi yang mau melihat keserasiannya dengan aliran-aliran yang lain, khususnya dengan  Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Tetapi dari satu segi dilihat oleh kalangan Shi`ah terutama yang bersifat ekstrim sebagai pendirian yang lemah dan menggugat Shi`ah itu sendiri, sebab itu Zaidiyyah dan pengikut-pengikutnya menempah seteru dalam masa pengikutnya makin berkurangan kerana protes terhadap pendiriannya yang bercanggah dengan prinsip dan faham Shi`ah yang boleh disifatkan sebagai ekstrim yang  menimbulkan keadaan tidak puas hati di kalangan pengikut-pengikut.
Pada akhirnya Zaidiyyah terpaksa menentang saudaranya sendiri Muhammad al-Baqir yang tidak menyetujuinya, juga menentang Pimpinan Yusuf ibn Amru al-Thaqafi  dan lebih dari itu ancaman berterusan dari pihak pemerintah Khalifah Hisham bin Abdul Malik Khalifah kerajaan Umawiyyah pada zamannya. Akhirnya di tangan pemerintah inilah Zaid gugur. Pimpinannya digantikan oleh Yahya, tetapi dalam masa terdekat Yahya turut terbunuh di dalam peperangan pihak tentera pemerintah Umawiyyah. Kemudian kepimpinan diambil alih dan diteruskan oleh Muhammad al-Imam dan Ibrahim yang kedua-duanya ialah anak Abdullah bin al-Hasan yang juga menjadi guru bagi Imam Abu Hanifah. Dikatakan dari hubungan keilmuan  dan peribadi ini akibat peperangan yang dipimpin Ibrahim di Iraq menyebabkan Imam Abu Hanifah yang bertempat di sana disiksa oleh pemerintah Umawiyyah sedang Muhammad yang memimpin pasukan peperangan di Madinah menyebabkan Imam Malik yang rapat dengannya turut diseksa, lantaran dengan adanya perhubungan berkenaan  mereka dituduh memberi sokongan dan galakan..
Oleh kerana masalah dalaman Zaidiyyah yang bercanggah dengan aliran Shiah yang ektrim dan kepimpinan yang berganti makin lemah, maka aliran Zaidiyyah sendiri berpecah kepada dua firqah, iaitu satu ialah berpihak kepada Aliran Zaidiyyah lama yang diasaskan oleh Zaid dan kedua Aliran Zaidiyyah Baru (Kemudian) yang mengubah pendirian dan mengambil sikap ekstrim dengan tujuan untuk menselarikan aliran Zaidiyyah dengan aliran-aliran Shi`ah yang lain. Aliran Zaidiyyah masih berterusan walaupun tidak popular dan bukan sebagai aliran utama Shi`ah. Adalah dikatakan Aliran Zaidiyyah yang ada di Yaman pada masa ini adalah berpegang pada aliran Zaidiyyah lama. 
Demikianlah akibat dari pergolakan politik dalaman dan luaran Zaidiyyah lemah dan berpecah kepada yang masih lagi bersifat sederhana, di samping lahir aliran Zaidiyyah ekstrim.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          

May 3, 2016

Kaisaniyyah Pecahan Dari Shi`ah


BBB,  24 Rajab 1437 =  02 Mei 2016 (Isnin):
Kelahiran Shi`ah pada  asalnya adalah digerakkan oleh pembelaan terhadap Sayyiduna `Ali dan keluarganya, khususnya Hasan dan Husain sebagai cucu Rasulullah. Mereka dikenali sebagai `Aal al-Bayt`. Namun motif bagi yang berjuang bagi `pembelaan berlainan`. Bagi  aliran Saba`iyyah yang dipelopori oleh Abdullah bin Saba` Pendeta Yahudi, masuk Islam dan keterlibatannya di dalam membela `Ali dapat dibaca bahawa beliau mempunyai motif tersembunyi bertujuan merosakkan Islam, khususnya dari segi akidah dari dalam, sebagaimana telah dibicarakan.
Sebuah aliran Shi`ah yang penting ialah dikenali dengan nama `Al-Kaisaniyyah`. Aliran ini dipelopori oleh watak yang dikenali sebagai Al-Mukhtar bin `Ubaid  al-Thaqafi. Mukhtar pada asalnya adalah pendukung faham  Khawarij yang keluar dari menyokong sama ada kepada `Ali atau Mu`awiyah. Tetapi kemudian ia bertukar pendirian kepada menyokong `Ali. Istilah Kaisaniyyah dikatakan adalah nama kedua bagi Al-Mukhtar. Sementara pendapat yang lain mengatakan ialah nama orang yang dimerdekakan oleh `Ali dan juga dikatakan nama kedua bagi cucu `Ali, iaitu Muhammad bin al-Hanafiyyah yang menjadi watak penting dalam perjuangan Al-Mukhtar.
Atas misi untuk membela Al-Husain,  Al-Mukhtar berhijrah ke Kufah, tetapi beliau bertembung dengan kumpulan penyokong lain antaranya Muslim bin `Aqil dan juga pimpinan Abdullah bin Ziyad, mungkin Al-Mukhtar dicurigai, lantaran beliau sebelumnya pengikut Khawarij, sebab itu beliau ditangkap dan diseksa. Atas permintaan Abdullah bin `Umar beliau dibebaskan dan keluar dari Kufah menuju ke Hijaz.
Di Madinah ia bergabung dengan Abdullah bin Al-Zubayr yang menguasai Madinah dan berjanji memubaya`ahkan Ibn al-Zubayr di dalam perjuangan pembelaan. Mereka juga mendapat sokongan dari penduduk Sham, tetapi kemudiannya selepas Khalifah Yazid bin Mu`awiyah meninggal, beliau kembali ke Kufah dan memberi tahu penduduk Kufah, bahawa perkembaliannya pada kali ini ialah dengan tugas suci dan besar, iaitu bagi mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebabkan Al-Husayn terbunuh. Iaitu dengan mengambil strategi menyokong Muhammad bin Hanafiyyah cucu bagi Sayyiduna `Ali yang rapat dengan Al-Husain. Muhammad al-Hanafiyyah seorang yang mempunyai perwatakan pahlawan, berilmu pengetahuan, tajam fikiran dan dikasihi oleh masyarakat di Kufah. Muhammad Al-Hanafiyyah diberi gelaran sebagai `Al-Mahdi Yang Diwasiatkan`. Al-Mukhtar mengambil kesempatan atas nama Muhammad Hanafiyyah bertindak dan melakukan perbuatan yang setengahnya tidak disenangi oleh Muhammad Hanafiyyah. Memang ramai yang simpati dan menyokong Muhammad Hanafiyyah dan ramai yang diperang dan ramai dibunuh di atas nama pembelaan dan tindakan mereka terhadap yang menyebabkan Al-Husayn terbunuh. Namun Muhammad Hanafiyyah mengingatkan kepada masyarakat yang dia tidak bertanggungjawab di atas tindakan Al-Mukhtar yang di luar batas. Dalam peperangan yang dipimpin Mukhtar yang menyokong Muhammad Hanafiyyah atas nama pembelaan terhadap Al-Husayn akhirnya Mukhtar dibunuh oleh Mus`ab bin al-Zubayr.
Dilihat dari segi pegangan akidah aliran Kaisaniyyah mempunyai pegangan akidah yang sama dan tidak sama dengan  aliran-aliran dalam shi`ah sendiri. Antara pegangannya.
1)      Konsep Imam adalah Suci
Kaisaniyyah mempercayai konsep kepimpinan `Imamiah`, tetapi Kaisaniyyah mempunyai pegangan tersendiri mengenai imam, bahawa ia adalah bersifat suci dan patut dipatuhi. Dia adalah yang berilmu dan adalah ma`sum.
2)       Imam Akan Kembali
Sebagaimana pegangan Shi`ah yang lain mereka mempercayai imam-imam. Mereka ini akan kembali ke dunia pada masa akan datang..
3)        Imam Utama Mereka
Adalah empat iaitui `Ali, Hasan, Hussain dan Muhammad bin Hanafiyyah. Mereka mempercayai Muhammad bin Hanafiyyah tidak mati, tetapi ghaib di dalam peperangan dan masih berada di gunung Radhwa yang dikelilingi madu dan air.
4)       Mempercayai Allah Mengubah Ketetapan
Allah boleh mengubahkan ketentuan selari dengan keilmuanNya
5)       Wahyu Dan Risalah
Mukhtar yang memimpin Kaisaniyyah mendakwa mengetahui perkara mendatang dan menerima wahyu dan risalah dari imam, tetapi bukan mendakwa sebagai rasul atau Nabi.
6)        Percaya Pada Penjelmaan
Al-Kaisaniyyah  mempercayai penjelmaan atau inkarnasi, juga percaya bahawa berlaku perpindahan roh dari jasad kepada jasad yang lain dan Imam kepada Imam  yang lain. Konsep penjelmaan atai inkarnasi  merupakan pengaruh dari agama Hindu.
7)       Tiap satu ada zahir dan batin
Aliran Kaisaniyyah ini mempercayai tiap sesuatu ada aspek zahir dan aspek batinnya dan setiap suatu ada roh.
Aliran Kaisaniyyah adalah lahir dari pertikaian politik. Akibat dari politik melahirkan pimpinan yang mempunyai pandangan tertentu dari segi akidah. Oleh kerana pimpinan kebanyakannya bukan dariu kalangan ilmuan mereka berpegang dan mengeluarkan pendapat yang antaranya tidak mantap dan bercanggah antara satu sama lain dan bercanggah dengan prinsip keislaman. Pandangan dikaitkan dengan kelompok perjuangan mereka, iaitu Shi`ah.
Jelaslah akidah Al-Kaisaniyyah dengan ciri-ciri Shi`ahnya membawa  akidah yang bercanggah dengan pendapat Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.

May 2, 2016

Kelahiran Dan Aliran Shi`ah - Saba`iyyah


BBB,  23 Rajab 1437 = 01 Mei 2016 (Ahad):


Kelahiran Shi`ah bermula pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib, tetapi bukan dari inisiatif Sayyiduna Ali, sebaliknya adalah dari pengikut-pengikutnya yang mau membela Ali pada akhir kekhalifahannya. Pertikaian kekhalifahan menimbulkan pada peringkat awal  ialah mazhab-mazhab politik. Sebagai contoh Shi`ah dan Khawarij adalah antara mazhab politik yang lahir akibat pertentangan politik antara `Ali-Mu`awiyah. Bersama  mazhab politik ini pula lahirnya mazhab-mazhab akidah yang sejalan dengan mazhab politik mereka. Di dalam pembelaan terhadap Ali ada kepelbagaian pendekatan, bahkan ada yang mengambil kesempatan, lantaran itu bukan saja ada berbagai mazhab politik Shi`ah, tetapi juga berbagai mazhab Akidah.
Menurut Prof. Dr. Imam Muhammad Abu Zahrah di dalam bukunya `Aliran Politik Dan Aqidah Dalam Islam (Terjemahan 1996):
``Orang-orang Shi`ah tidak bersikap sama dalam menetapkan posisi `Ali dan keturunannya, sebagian bersikap ekstrim dan bahagian lain bersikap moderat. Kelompok moderat terbatas hanya pada mengutamakan `Ali atas semua sahabat, tidak mengkafirkan seseorang dan tidak mengkultuskan Ali hingga dipandang mengatasi semua manusia.``
Sifat ekstrim dan moderat bergantung pada pimpinan, pengaruh sekitaran dan tekanan politik yang dihadapi, terutama dari Kerajaan Umawiyyah yang mengambil sikap mengutuk sayyiduna Ali dan keturunannya sehingga di dalam khutbah-khutbah Jumaat., sumber-sumber yang dimanfaatkan, bahkan tujuan keterlibatan. Ini menyebabkan lahir, bahkan kecamuknya pendekatan-pendekatan dan aliran-aliran di dalam Shi`ah. Antara aliran terawal yang lahir:
1.       Aliran Saba`iyyah – Pengambil Kesempatan
Saba`iyyah dinisbahkan kepada Abdullah bin Saba`  seorang ulama`  Yahudi dari suku Hirah yang  menyatakan diri masuk Islam bagi merosakkan Islam dari dalam. Ia seorang yang mengambil sikap  paling keras menentang Khalifah `Uthman bin `Affan. Ia mengembangkan pendapat dari dalam Taurat yang diaplikasikan terhadap Nabi s.a.w. dan Sayyiduna `Ali, bahawa setiap Nabi ada penerima wasiat dan `Ali adalah penerima wasiat terbaik dari seorang Nabi terbaik, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Ini bererti `Ali adalah terbaik dan mengatasi sahabat-sahabat yang lain, sebagai terbaik sewajarnya kekhalifahan diberi kepada `Ali.
 Ia juga menyebarkan faham bahawa, Nabi Muhammad akan kembali semula ke dunia, sambil menyatakan kehairanannya, bahawa jika Nabi `Isa dipercayai akan kembali ke dunia, maka Nabi Muhammad lebih wajar lagi akan kembali ke dunia. Abdullah bin Saba` juga menyatakan pandangan ekstrim bahawa di dalam diri `Ali ada sifat ketuhanan. Ajaran ini disebarkan pada masa Sayyiduna Ali masih hidup dan Sayyiduna Ali mengambil tindakan untuk membunuhnya. Tetapi Ali dinasihat oleh Abdullah bin Abbas akan implikasi di tengah-tengah kecamuk kekacauan politik pada masa itu. Akhirnya Abdullah bin Saba` dihukum buang negara, iaitu ke Mada`in yang merapatkan lagi beliau dengan elemen Parsi yang dibawa ke dalam faham Shi`ah..
Apabila `Ali terbunuh, Abdullah bin Saba` mengambil kesempatan merangsangkan kecintaan terhadap `Ali dan menyebarkan pembohongan-pembohongan terhadap `Ali agar dia dipandang sebagai seorang pembela dan seorang yang baik, pada hal mengakibatkan kerosakan dari dalam. Beliau juga menyebarkan pendapat bahawa yang terbunuh bukan `Ali, tetapi adalah syaitan yang menyerupai `Ali. Menurutnya `Ali dinaikkan ke langit sebagaimana dinaikkan Isa  ke langit. Oleh kerana `Ali dinaikkan ke langit, maka Ali  sebagai seorang yang  gagah, maka diassosiasikan, bahawa petir yang berlaku adalah merupakan suara `Ali dan kilat adalkah senyumannya. Sebab itu bagi pengikut Shi`ah aliran ini apabila berbnyi petir, maka diucapkan ``Al-Salamu `alaika ya Amiuru al-Mu`minin - `Ali`
Aliran ini mengajar tentang konsep Imam dan perpindahan roh imam kepada imam yang lain apabila mati. Mengenai kepercayaan ini kata Prof. Dr. Imam Muhammad Abu Zahrah:
``Sebagian penganut aliran Saba`iyyah ada yang berkata,``Sesungguhnya Tuhan bersemayam dalam diri `Ali dan diri para imam sesudah wafatnya.Ungkapan ini mirip dengan ajaran sebagian agama kuno yang mengatakan bahawa Tuhan bersemayam dalam diri orang-orang tertentu dan berpindah-pindah dari seorang imam kepada imam yang lain, sebagaimana anggapan orang-orang Mesir kuno terhadap para Fir`aun. Sebagian penganut lain mengatakan bahawa Tuhan menjelma dalam tubuh `Ali. Mereka berkata kepada `Ali. ``Dia adalah Engkau, Allah.``
Demikianlah serius dan menyimpang fitnah dan penyelewengan yang dibawa oleh Abdullah bin Saba` bagi merosakkan akidah umat Islam. Dia mengambil peluang dari sengkita yang berlaku antara Ali-Mu`awiyah dengan berpura-pura berpihak kepada golongan `Ali dan menanamkan unsur syirik. Ia membawa pandangan yang menyempang yang tidak pernah diperkatakan oleh ulama` bahawa Rasulullah s.a.w. yang telah meninggal itu akan hidup kembali dan kembali memimpin dengan membuat bandingan Rasulullah dengan Nabi Isa yang diangkat ke langit dan akan turun kembali pada masa mendatang. Fitnah yang sama dibuat terhadap Sayyiduna `Ali, kononnya Sayyiduna `Ali juga tidak  dibunuh tapi yang dibunuh ialah syaitan yang menyerupainya. Dia juga menyamakan kematiian `Ali (tidak mati) sebagai Nabi Isa dan juga akan turun kembali. Abdullah bin Saba` juga menyelitkan faham hulul yang mana Tuhan memasuki dan menjelma di dalam tubuh manusia, dan sekaligus menampilkan kesyirikan bahawa manusia boleh meningkat diri kepada tahap ketuhanan, iaitu dengan menggunakan faham ittihad dalam mana makhluk boleh meningkat ke peringkat tertinggi bersatu dengan Tuhan.
Fahaman Shi`ah pada peringkat awal timbul di Basrah bahagian dari Iraq. Turut menjadi tempat berkembangngnya Shi`ah ialah di Mesir sehingga pernah memerintah Mesir yang terkenal sebagai Kerajaan Fatimi, turut berkembang di Yaman, di India (kini Pakistan). Puncak kekuasaannya ialah di Iran yang menjadi pusat kekuasaan Shi`ah kini.
Dalam perkembangan Shi`ah lahir firqah-firqah berlainan dengan lahirnya berbagai pimpinan yang m,embawa faham dan mazhab masing-masing. Kelainan berlaku disebabkan oleh keadaan setempat dan terpengaruh dengan kepercayaan setempat seperti penjelmaan (inkarnasi), hulul (turun dari peringkat ketuhanan kepada hamba) seperti ketuhanan turun dalam diri hamba) dan ittihad (hamba meningkat kepada tahap ketuhanan).
Demikianlah seriusnya apa yang dibawa dan ditanamkan oleh Abdullah bin Sab` ke dalam fikiran Shi`ah. Sebahagian dari elemen dan kepercayaan tersebut masuk ke dalam firqah-firqah yang lain. Dengan kepelbagaian pegangan mempelbagaikan aliran Shi`ah yang jelas bertentang dengan faham Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                  


May 1, 2016

Kepimpinan Shi`ah Berdasarkan Imamiah


BBB,  22 Rajab 1437 = 30 April 2016 (Sabtu):
Politik kepimpinan adalah faktor utama yang melahirkan Shi`ah. Pihak kepimpinan Shi`ah dan pengikut-pengikut tidak mengiktiraf perlantikan khalifah-khalifah Abu Bakar, Umar dan `Uthman. Mereka berpendiririan Sayyiduna Ali k.w. adalah pimpinan yang  `legitimate`  dan berhak menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Mereka berpendapat ketiga-tiga pimpinan adalah berdosa kerana mengambil kepimpinan dari pihak yang berhak, iaitu Sayyiduna Ali k.w. Mereka tidak mengiktiraf konsep `Penunjukan` dan `Pemilihan` secara majoriti yang berlaku di dalam pemilihan termasuk antaranya disertai Sayyiduna Ali. Misalnya pemilihan pimpinan ketiga ialah Sayyiduna Uthman bin Affan., pihak yang diberi mandat memilih ialah Sayyiduna Ali, Sayyiduna `Uthman bin `Affan, Zubair bin al-`Awwam, Sa`ad bin Abi Waqqas, Abdul Rahman bin `Auf, Talhah bin `Ubaidillah dan Abdullah bin `Umar. Sayyiduna Ali memberi kerjasama yang baik dengan khalifajh-khalifah yang dilantik. Misalnga semasa Sayyiduna Umar al-Khattab ke Baitul Maqdis kerana menerima penyerahan Kota Baitul Maqdis dari Kerajaan Rum Timur, maka Sayyiduna Ali k.w. dilantik oleh Khalifah `Umar Ibn al-Khattab mengganti beliau menjalankan pemerintahan dan pentadbiran di Madinah semasa pemergiannya.
Sebagai ganti kalangan Shi`ah mewujudkan konsep kepimpinan di dalam Shi`ah ialah kepimpinan `Imam`. Mereka berpendapat `Imam` ialah pangkat tertinggi menurut Shi`ah di dalam Islam, bahkan menjadi rukun di dalam pengakuan Islam, iaitu (Menurut Shorter Encyc. of Islam, 1974: 535):
Percaya kepada keesaan Allah
Percaya kepada wahyu Al-Qur`an yang bersifat abadi. dan bukan diciptakan dan
Percaya kepimpinan Imam adalah dipilih oleh Allah – Pimpinan lahiri dan rohani .
Mereka berpendapat kedudukan kepimpinan begitu tinggi, sebab itu pimpinan tidak boleh dibiarkan kepada pengikut-pengikut yang rendah dari segi kedudukan dan kerohanian membuat pilihan terhadap kepimpinan. Menurut mereka Imam hendaklah melalui pilihan dan tunjukan sebagaimana pendapat mereka bahawa Sayyiduna Ali ditunjuk oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dan Imam-imam seterusnya ditunjuk pula oleh imam-imam berkedudukan pada zamannya. Mereka berpendapat orang-orang yang memilih khalifah secara bermesyuarat (syura) adalah mereka yang berdosa.
Pihak Shiah juga berpendapat bahawa Imam-imam yang dilantik adalah mereka yang `ma`sum` (tidak berdosa), sebab itu mereka tidak boleh diganggu-gugat dan tidak boleh dikritik.
Bagi kaum Shi`ah, Imam-Imam bagi kaum Shiah, mewarisi Nabi, dan masih menerima wahyu dari Tuhan, walaupun tidak melalui Jibril. Mereka berpendapat imam-imam Shi`ah masih mewarisi kenabian atau jawatan Nabi, walaupun bukan nabi.
Kaum Shi`ah meletakkan Sayyiduna Ali sebagai imam pertama mereka, walaupun konsep kepimpinan Imam dan Shi`ah belum lahir pada zaman Sayyiduna Ali k.w. dan Sayyiduna Ali terlibat sama memilih antara kepimpinan khalifah-khalifah.
Pihak Shi`ah juga meletakkan beberapa sahabat yang tidak rapat dengan khalifah dan suka menyendiri sebagai pendukung-pendukung Shi`ah seperti Abu Dharr al-Ghifari,, Salman Al-Farisi, Al-Miqdad dan beberapa yang lain, pada hal mereka tidak ada kaitan dengan Shi`ah dan tidak terlibat.
Adalah ironi, menurut kepercayaan Shi`ah bahawa imam-imam mereka adalah ma`sum dan dilantik dengan penunjukan dari imam-imam berkedudukan. Tetapi jika dilihat kepada pengiktirafan mereka terhadap Imam sebenarnya lebih kepada keturunan sebagaimana Imam 12 mereka, iaitu:
1.       Sayyiduna `Ali k.w. (m. 40H.)
2.       Sayyiduna Hassan bin Ali bin Abi Talib (m. 50H.)
3.       Sayyiduna Hussein bin Ali bin Abi Talib (m. 61H.)
4.       Ali Zainal Abidin bin Hussein bin Ali bin Abi Talib (m.94H.)
5.       Muhammad al-Baqir bin Ali bin Zainal Abidin (m.117H.)
6.       Ja`afar al-Siddiq bin Muhammad al-Baqir (m. 148H.)
7.       Musa al-Kazim bin Ja`far al-Siddiq (m. 183H.),
8.       Ali Reda bin Musa al-Kazim (m.202H.)
9.       Muhammad al-Jawab bin Ali Reda (m. 220H.)
10.   Ali bin Muhammad bin Ali Reda (m. 254 H.)
11.   Hassan bin Ali bin Muhammad al-`Askari (m. 260H.)
12.   Muhammad bin al-Mahdi (Mereka percaya Ghaib 260H.).
Menurut kepercayaan Shi`ah Imam mereka yang kedua belas iaitu Muhammad bin Hussein al-Mahdi, ialah Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu. Mereka mempercayai ianya tidak meninggal, tetapi ghaib dan akan kembali pada akhir zaman bagi  menegakkan kebenaran dan keadilan di dunia dan akan menghukum orang-orang yang tidak menerima kepercayaan Shi`ah !
Dari segi pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang diiktiraf selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. ialah kepimpinan Khulafa` al-Rashidin, iaitu Abu Bakar, Umar, `Uthman dan Ali.
Pihak Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah tidak menerima dakwaan pihak Shi`ah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berwasiat, bahawa hendaklah melantik khalifah pertama Islam selepas kewafatan Baginda ialah Sayyiduna Ali k.w.
Pada zaman moden ini selain dari konsep melantik pimpinan secara penunjukkan seperti berlaku kepada Imam Khumaini, tetapi pemilihan presiden turut dilakukan pemilihan secara pilihanraya seperti berlaku kepada Rafsanjani, Ahmad bin Nijad dan Hassan Rohani Presiden kini.
Walau bagaimana pemilihan terhadap pimpinan Shi`ah 12 di atas sebagai turunan Rasulullah s.a.w. anak cucu bagi Sayyiduna `Ali dan sebagai Aal al-Bayt adalah dihormati dan dimuliakan, tetapi bukan meletakkan mereka pada tahap Imam atau khalifah.
Jelaslah kelahiran Shi`ah merupakan akibat dari politik pemerintahan, khususnya dari pemilihan Khalifah. Pendukung-pendukung Sayyiduna Ali merasakan Sayyiduna Ali sewajarnya dilantik sebagai khalifah pertama di dalam Islam, walaupun bagi Sayyiduna Ali tidak timbul soal melantiknya atau tidak. Yang memasalahkan ialah pengikut-pengikut ramai yang merasa tidak puashati bukan saja mengenai perlatikan khalifah, tetapi juga persoalan Tahkim dan peristiwa di Padang Karbala`  yang menyayat hati terhadap turunan Rasulullah, iaitu dengan terbunuhnya Sayyiduna Hussein di Padang Kerbala yang terus ditangisi golongan Shi`ah terhadap Sayyiduna Ali dan turunan dan turunan Rasulullah s.a.w. Himpunan segala peristiwa yang menyayat hati meningkatkan pembelaan terhadap Sayyiduna Ali k.w. dan menjadi episod-episod yang terus diingati dan ditangisi dan meneruskan pembelaan terhadap Sayyiduna Ali dan turunannya yang juga merupakan turunan Rasulullah s.a.w.
Demikianlah perjalanan sejarah yang merakam peristiwa.

Sekian.