May 3, 2016

Kaisaniyyah Pecahan Dari Shi`ah


BBB,  24 Rajab 1437 =  02 Mei 2016 (Isnin):
Kelahiran Shi`ah pada  asalnya adalah digerakkan oleh pembelaan terhadap Sayyiduna `Ali dan keluarganya, khususnya Hasan dan Husain sebagai cucu Rasulullah. Mereka dikenali sebagai `Aal al-Bayt`. Namun motif bagi yang berjuang bagi `pembelaan berlainan`. Bagi  aliran Saba`iyyah yang dipelopori oleh Abdullah bin Saba` Pendeta Yahudi, masuk Islam dan keterlibatannya di dalam membela `Ali dapat dibaca bahawa beliau mempunyai motif tersembunyi bertujuan merosakkan Islam, khususnya dari segi akidah dari dalam, sebagaimana telah dibicarakan.
Sebuah aliran Shi`ah yang penting ialah dikenali dengan nama `Al-Kaisaniyyah`. Aliran ini dipelopori oleh watak yang dikenali sebagai Al-Mukhtar bin `Ubaid  al-Thaqafi. Mukhtar pada asalnya adalah pendukung faham  Khawarij yang keluar dari menyokong sama ada kepada `Ali atau Mu`awiyah. Tetapi kemudian ia bertukar pendirian kepada menyokong `Ali. Istilah Kaisaniyyah dikatakan adalah nama kedua bagi Al-Mukhtar. Sementara pendapat yang lain mengatakan ialah nama orang yang dimerdekakan oleh `Ali dan juga dikatakan nama kedua bagi cucu `Ali, iaitu Muhammad bin al-Hanafiyyah yang menjadi watak penting dalam perjuangan Al-Mukhtar.
Atas misi untuk membela Al-Husain,  Al-Mukhtar berhijrah ke Kufah, tetapi beliau bertembung dengan kumpulan penyokong lain antaranya Muslim bin `Aqil dan juga pimpinan Abdullah bin Ziyad, mungkin Al-Mukhtar dicurigai, lantaran beliau sebelumnya pengikut Khawarij, sebab itu beliau ditangkap dan diseksa. Atas permintaan Abdullah bin `Umar beliau dibebaskan dan keluar dari Kufah menuju ke Hijaz.
Di Madinah ia bergabung dengan Abdullah bin Al-Zubayr yang menguasai Madinah dan berjanji memubaya`ahkan Ibn al-Zubayr di dalam perjuangan pembelaan. Mereka juga mendapat sokongan dari penduduk Sham, tetapi kemudiannya selepas Khalifah Yazid bin Mu`awiyah meninggal, beliau kembali ke Kufah dan memberi tahu penduduk Kufah, bahawa perkembaliannya pada kali ini ialah dengan tugas suci dan besar, iaitu bagi mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebabkan Al-Husayn terbunuh. Iaitu dengan mengambil strategi menyokong Muhammad bin Hanafiyyah cucu bagi Sayyiduna `Ali yang rapat dengan Al-Husain. Muhammad al-Hanafiyyah seorang yang mempunyai perwatakan pahlawan, berilmu pengetahuan, tajam fikiran dan dikasihi oleh masyarakat di Kufah. Muhammad Al-Hanafiyyah diberi gelaran sebagai `Al-Mahdi Yang Diwasiatkan`. Al-Mukhtar mengambil kesempatan atas nama Muhammad Hanafiyyah bertindak dan melakukan perbuatan yang setengahnya tidak disenangi oleh Muhammad Hanafiyyah. Memang ramai yang simpati dan menyokong Muhammad Hanafiyyah dan ramai yang diperang dan ramai dibunuh di atas nama pembelaan dan tindakan mereka terhadap yang menyebabkan Al-Husayn terbunuh. Namun Muhammad Hanafiyyah mengingatkan kepada masyarakat yang dia tidak bertanggungjawab di atas tindakan Al-Mukhtar yang di luar batas. Dalam peperangan yang dipimpin Mukhtar yang menyokong Muhammad Hanafiyyah atas nama pembelaan terhadap Al-Husayn akhirnya Mukhtar dibunuh oleh Mus`ab bin al-Zubayr.
Dilihat dari segi pegangan akidah aliran Kaisaniyyah mempunyai pegangan akidah yang sama dan tidak sama dengan  aliran-aliran dalam shi`ah sendiri. Antara pegangannya.
1)      Konsep Imam adalah Suci
Kaisaniyyah mempercayai konsep kepimpinan `Imamiah`, tetapi Kaisaniyyah mempunyai pegangan tersendiri mengenai imam, bahawa ia adalah bersifat suci dan patut dipatuhi. Dia adalah yang berilmu dan adalah ma`sum.
2)       Imam Akan Kembali
Sebagaimana pegangan Shi`ah yang lain mereka mempercayai imam-imam. Mereka ini akan kembali ke dunia pada masa akan datang..
3)        Imam Utama Mereka
Adalah empat iaitui `Ali, Hasan, Hussain dan Muhammad bin Hanafiyyah. Mereka mempercayai Muhammad bin Hanafiyyah tidak mati, tetapi ghaib di dalam peperangan dan masih berada di gunung Radhwa yang dikelilingi madu dan air.
4)       Mempercayai Allah Mengubah Ketetapan
Allah boleh mengubahkan ketentuan selari dengan keilmuanNya
5)       Wahyu Dan Risalah
Mukhtar yang memimpin Kaisaniyyah mendakwa mengetahui perkara mendatang dan menerima wahyu dan risalah dari imam, tetapi bukan mendakwa sebagai rasul atau Nabi.
6)        Percaya Pada Penjelmaan
Al-Kaisaniyyah  mempercayai penjelmaan atau inkarnasi, juga percaya bahawa berlaku perpindahan roh dari jasad kepada jasad yang lain dan Imam kepada Imam  yang lain. Konsep penjelmaan atai inkarnasi  merupakan pengaruh dari agama Hindu.
7)       Tiap satu ada zahir dan batin
Aliran Kaisaniyyah ini mempercayai tiap sesuatu ada aspek zahir dan aspek batinnya dan setiap suatu ada roh.
Aliran Kaisaniyyah adalah lahir dari pertikaian politik. Akibat dari politik melahirkan pimpinan yang mempunyai pandangan tertentu dari segi akidah. Oleh kerana pimpinan kebanyakannya bukan dariu kalangan ilmuan mereka berpegang dan mengeluarkan pendapat yang antaranya tidak mantap dan bercanggah antara satu sama lain dan bercanggah dengan prinsip keislaman. Pandangan dikaitkan dengan kelompok perjuangan mereka, iaitu Shi`ah.
Jelaslah akidah Al-Kaisaniyyah dengan ciri-ciri Shi`ahnya membawa  akidah yang bercanggah dengan pendapat Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment