June 26, 2016

MENCARI ISTILAH KEPADA YANG TELAH WUJUD

  
BBB,  20 Ramadhan 1437 =  25 Jun 2016 (Sabtu):


Sebagaimana telah ditegaskan bahawa ayat-ayat Al-Qur`an juga Al-Hadith berkenaan tasawuf adalah banyak. Ini  berereti bahawa unsur-unsur tasawuf wujud bersama Islam. Model-model sufi juga ramai termasuk di kalangan  sahabat [Termasuk yang bersifat ekstrim  seperti  `Uthman bin Maz`un yang berkelana di padang pasir dan meninggalkan isterinya, juga Ibn `Umar yang berpuasa berhari-hari. Perbuatan ekstrim kedua-duanya ditegah oleh Nabi. Sedang di sana banyak sahabat bersederhana di dalam kehidupan mereka)  (Qasim Ghani, Tarikh al-Tasawwuf fi al-Islam, 1970: 23-24. Juga Khalid Muhammad Khalid, Rijal Hawl al-Rasul, 2007: 1167hlm.). 
Tetapi pada zaman sahabat ini belum dikenali istilah  tasawuf, apa lagi definisinya.
Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi (m.378H.) di dalam kitab tasawuf terkenalnya  berjudul, Al-Luma` menimbulkan persoalan , ``Mengapa tidak didengari atau digunakan istilah tasawuf di kalangan  para sahabat Nabi s.a.w. radiya Allah `anhum  dan tidak selepas daripada mereka itu ? Yang dikenali ialah sebagai `ubbad, zuhhad, pengkelana dan fuqara`, Mengapa tidak digelar atau dinamakan walau seorang dari sahabat Rasulullah s.a.w.  sebagai sufi ?``
Soalan di atas diberi huraian oleh Al-Sarraj, bahawa, ``Gelaran sahabat Rasulullah s.a.w. adalah nama terhormat dan teristimewa bagi mereka,  maka adalah tidak sesuai diberi sebarang gelaran kepada mereka gelaran yang tidak dapat mengatasi gelaran termulia `Sahabat Rasulullah s.a.w.`, yang demikian kerana mulianya Rasulullah s.a.w. dan penghormatan Baginda. Adakah engkau tidak melihat, memang ada di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. mereka yang `ubbad, zuhhad, mutawakkilin, fuqara`, radhiin, sabirin, mukhbitin dan lain-lain, mereka tidak mencapai setinggi panggilan para sahabat dan tidak perlu panggilan lain, lantaran berkatnya sebagai sahabat Rasulullah s.a.w., bahkan kalau dinisbah kepada para sahabat  celaran lain, sedangkan kedudukan sahabat lebih tinggi, dan memberi gelaran lain,  merendahkan mereka dan mustahil sedemikian, lantaran mereka tidak sesuai diberi gelaran lain dari gelaran sahabat yang lebih tinggi  kedudukan itu.``
Al-Sarraj juga merujuk kepada pendapat yang mengatakan, bahawa istilah tasawuf muncul dan wujud pada zaman kerajaan Baghdad (Abbasiyyah) . Pendapat ini disangkal oleh Al-Sarraj bahawa nama `Al-Sufi` katanya, telah ada sejak zaman  Hasan Basari (m. 117H./728M.).
Satu pendapat  yang kukuh ialah sebagaimana yang disebut oleh Sufyan al-Thauri (m. 246H./860M.) seorang tokoh ilmu fiqh,  beliau menyebut bahawa, ``Kalaulah tidak kerana Abu Hashim al-Sufi (m. 150H./761M.) nescaya aku tidak memahami betapa halusnya ciri-ciri riya` itu.`` (Al-Sarraj, Al-Luma`, 1380/1960: 42).
Sufyan al-Thauri, selain dari tokoh ilmu fiqh juga adalah mendalam di dalam bidang kerohanian.
Dapatlah diambil kesimpulan, bahawa kelahiran tasawuf secara formal, khususnya dari segi istilah adalah berlaku pada zaman tercetusnya  perbahasan intelektual akibat dari pertikaian Ali-Muawiyah dan berterusan hingga ke zaman akhir kerajaan Umawiyyah (132H./743M.) bahkan berterusan sehingga kepada pemerintahan `Abbasiyyah yang melahirkan keilmuan-keilmuan seperti akidah, fiqh dan tasawuf – lebih khusus pada pertengahan abad ke 2H. Bahkan boleh ditafsirkan bahawa  selain dari reaksi terhadap kelahiran Khawarij dan Mu`tazilah yang menyebabkan lahirnya Jabariyyah dan Murjiyah, khususnya Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang juga berkait dengan Hasan Basari menyebabkan lahirnya pihak yang tidak berpuashati terhadap pergolakan politik yang menyebabkan berlaku pencemaran terhadap akidah, khususnya kelahiran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah bagi mempertahankan kemurnian akidah.
Dapatlah juga dikatakan lahirnya pihak yang kemudian dikenali dengan `sufi` sebagai manifestasi  rasa tidak puashati mereka terhadap perkembangan yang menggugat, khususnya dari segi akidah. Golongan yang tidak puas hati yang mau mempertahankan kemurnian Islam dan amalan kerohanian ini tidak mempunyai daya untuk menentang kekuatas establishment yang ada pada masa itu, jadi tindakan yang diambil ialah dengan mengasing dan memencilkan diri. Trend ini berlaku kepada  para sahabat seperti dilakukan oleh Abu Dhar al-Ghifari, Hudhaifah al-Yamani, Bilal bin Rabah dan yang lain-lain lagi. Tetapi sebagaimana disebutkan bahawa pada zaman sahabat, istilah ini belum digunakan lagi, tetapi kecenderungan menisbahkan mereka dengan istilah-istilah yang bersifat kerohanian telah wujud. Antara ciri kerohanian ialah:
Zuhhad bermaksud ialah orang-orang zuhud yang menumpukan jiwa mereka terhadap keakhiratan , bahkan memutuskan diri dari keduniaan. Mereka mesra, bahagia dan lazat dengan kehidupan keakhiratan sedemikian.
Sifat zuhud ini ditambah lagi dengan kecenderungan melakukan ibadat sebanyak mungkin sehingga golongan  ini dikenali juga sebagai ubbad yang bermaksud banyak beribadat.
Mereka juga mesra dan rela digolongkan sebagai al-fuqara`  yang bermaksud sebagai orang-orang faqir. Kefakiran dari segi istilah ialah mereka yang ada pada tahap di bawah dari tahap miskin, tetapi faqir dari segi istilah kerohanian ialah mereka yang tidak berhajat selain dari Allah, walaupun mereka sebenarnya tidak faqir dari segi harta benda.
Terhimpun pada jiwa kesufian ialah  tahap tinggi dari segi tawakkal mereka terhadap Allah Ta`ala. Ini bukan bererti mereka tidak berikhtiar, tetapi penyerahan dan pergantungan mereka adalah pada peringkat maksimum  pada Allah. Ini adalah selari dengan sifat yang ada pada mereka iaitu bersifat sabar terutama dari segi ujian-ujian yang  bersifat kepahitan hidup dan mungkin juga ujian-ujian yang bersifat kesenangan dan pada peringkat tertingga mereka redha dengan segala yang ditempuh dan dilalui. Redha dengan nikmat yang diterima dan redha dengan ujian kesabaran yang diterima dan pada peringkat  puncak keredaan ialah kesenagan yang diterima adalah sama dengan kesusahan yang semua di dalam keredhaan.
Semua yang dibawa di dalam kesufian adalah nilai-nilai positif dari tahap biasa ialah bernilai akhlak dan pada peringkat puncak adalah reda. Semuanya indah jika dapat diterapkan kepada jiwa setiap muslim-mu`min, skop dan ruang lingkup kesufian adalah luas dan mempunyai maratib dari yang bersifat akhlah kepada peringkat kerohanian tinggi,  tetapi tidaklah sampai pada peringkat ekstrim sebagaimana dilarang oleh Rasulullah s.a.w. terhadap `Uthman bin Maz`un dan Ibn `Umar. Bagi kita sekurang-kurangnya dapat mengapresiasi keluhuran jiwa sufi, kekaguman kita terhadap keluhuran jiwa mereka sekurang-kurang dapat memberi kesan positif bagi kita menjejaki nilai-nilai murni dan luhur yang menjadi hiasan keperibadian mereka.

Sekian.


June 25, 2016

PERSPEKTIF PERLUASAN KETASAWUFAN


BBB,  19  Ramadhan 1437  = 24  Jun  2016 (Jumaat))


Semalam Khamis (18 Ramadhan) dengan puisi berjudul `Tasawuf Tumbuh` membawa tamsilan bahawa jiwa ketasawufun boleh tumbuh subur  secara   bandingan hasil  siraman hidayah sama ada di gunung, bukit, tanah pamah,  dataran, padang pasir, lembah dan sebagainya.  Bermaksud jiwa kesufian yang sudah tentu seorang yang patuh kepada suruhan Allah dan menjauhi segala larangan, suci bersih jiwa,meningkat perjalanan kualiti diri seperti sabar, tawakkal, taubat, taqwa, syukur dan reda (boleh ditambah dari segi perjalanan dan peningkatan kualiti diri dalam perjalanan kepada Ilahi). Semuanya berasas kepada kandungan Al-Qur`an dan  perjalanan Junjungan Nabi  Muhammad s.a.w.  Adalah dilihat bahawa jiwa ketasawufan ini tidak hanya terhad kepada pembawaan yang bersifat faqr dan zuhud yang biasanya bersifat kendiri.
Sebaliknya:         Lihat Rajah
Perspektif dilihat secara lebih luas  yang  kesannya bukan setakat diri, tetapi  memberi faedah dan kebaikan kepada berbagai pihak.
Tasawuf dilihat dengan secara lebih luas yang merangkumi aspek:
1)       Kukuh iman, patuh beribadah dan tidak takut kecuali kepada Allah (Al-Taubah: 18).
2)      Menyuruh berbuat baik melarang dari kejahatan (Ali Imran: 104).
3)      Tidak lokek  dan suka  membuat kebajikan (Ali `Imran; 92).
4)      Meluaskan dakwah dan keilmuan Islam  (Al-Mujadalah:  11).
5)      Menjalankan pekerjaan dengan jujur dan ikhlas (Al-Bayyinah: 5).
6)      Jihad berhijrah mempertahankan negara dari ancaman musuh (Al-Taubah: 20).
7)      Sentiasa berkeperibadian baik bermodelkan Rasulullah  (Al-Qalam: 4)
8)      Mengutamakan keadilan (Al-Nisa`: 58).
9)      Bersifat kasih sayang (Al-Hujurat: 10-13).
10)   Berbagai-bagai sifat terpuji.
Pendek kata elemen tasawuf begitu luas yang melibatkan segala kebaikan,  persaudaraan, kebajikan, pertolongan membawalah kepada peningkatan nilai dalaman diri dalam perjalanan kualiti di dalam menuju kepada Allah.
Dengan wujudnya ciri-ciri ketasawufan di atas atau sebahagian daripadanya yang bersifat kesucian jiwa, ikhlas, bahkan memberi kebaikan dan faedah kepada orang lain. Ianya boleh melibatkan kalangan
Awam:
Iaitu mereka yang hidup sederhana, patuh kepada perintah Allah, menunaikan ibadat dan melakukan kebaikan. Mementingkan kehidupan yang bersih bagi dirinya dan keluarganya. Ikhlas dan mempunyai hubungan  yang baik dengan masyarakat sekelilingnya. Dirinya amat intim dengan Allah. Dalam kehidupan bukan tidak ada ujian dan kesusahan, tetapi ditempuhi dengan sabar dan menggantung penuh harapan hanya kepada Allah.
Pengusaha
Jiwa ketasawufan juga boleh tumbuh di dalam diri pengusaha, yang berusaha dengan jujur yang menjalankan perusahaan dengan  ikhlas, barangkali dengan perusahaannya dapat membantu memberi pekerjaan kepada yang tidak berperkerjaan. Usahanya juga sebagai jihad bagi memenuhi keperluan masayarakat. Dia tidak sunyi dari melakukan kebajikan dan bila naik tidak lupa dari membantu yang susah
Peniaga:
Adalah kerja yang mulia yang merupakan pekerjaan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah .s.a.w. Dengan berniaga dapat menyediakan  kemudahan  kepada orang ramai. Perniagaan juga merupakan jihad ekonomi yang dapat meningkat umat dari segi ekonomi. Dengan berniaga yang disifatkan oleh Rasulullah bahawa sembilan persepuluh dari kekayaan didapati melalui perniagaan. Dengan keuntungan membuka peluang membantu meningkat ekonomi umat dan juga peringkat setempat. Di kalangan umat perlu ada seperti watak Umar ibn al-As, Uthman bin Affan dan peniaga-peniaga yang jujur sedemikian.
Pentadbir
Adalah mereka yang bekerja di dalam sektor pentadbiran, melicinkan segala perjalanan dan pengurusan, tanpa mereka perjalanan pentadbiran tidak berjalan dengan baik. Mereka seharusnya menjalankan tugas dengan jujur dan tidak rasuah. Kemajuan pentadbiran, kemakmuran adalah bergantung pada kecekapan dan keikhlasan mereka. Jika mereka melakukan pekerjaan dengan jujur dan patuh kepada Allah dan kerjanya sebagai ibadat, kebersihan tugas dan kebaikan yang dihasilkan dari jiwa suci sufi  menghasilkan pentadbiran mapan dan melicinkan segala urusan.
Keselamatan
Keselamatan memberi ketenteraman kepada masyarakat, kesetabilan negara tidak tergugat. Ianya bergantung pada kecekapan dan kekuatan pihak yang menjaminkan keselamatan seperti tentera, polis dan peringkat pertahanan awam. Mereka perlu jujur dan tidak menyeleweng dan rasuah yang dengannya boleh merosakkan  negera dan menjadikan masyarakat tidak tenteram. Negara bertuah jika pasukan keselematan patuh kepada Allah, berjiwa suci dan melakukan pekerjaan dengan ikhlas. Kemurnian jiwa menjadikan mereka bertanggungjawab terhadap Allah, agama, negara dan masyarakat umat.
Pemerintah
Berkedudukan ter tinggi di dalam negara dari peringkat paling atas hinggalah kepada pemerintah pada peringkat biasa. Negara beruntung mempunyai tokoh-tokoh pimpinan yang taat kepada Allah, menjalankan pemerintahan dengan adil, memberi perhatian kepada semua lapisan masyarakat. Mereka yang jujur dan ikhlas, mempunyai wawasan di dalam pentadbiran negara yang memberi keselisaan kepada semua mereka adalah dikasihi. Kebersihan dan ketaatan kepada Allah menjadikan pemerintahan yang baik, dikasihi rakyat dan berhak mendapat ganjaran di dunia dan akhirat.
Ilmuan
Melibatkan berbagai kategori bermula dari peringkat guru membawalah kepada pengajar-pengajar pada pengajian tinggi adalah mereka yang menyebarkan keilmuan dan kebenaran. Mereka mendidik warga negara menjadikan mereka berpengetahuan dan terpelajar yang dapat memajukan negara. Ilmuan seharusnya yang mempraktikkan ilmu dengan amalan yang mendekati diri dengan Tuhan dan menjadi contoh tauladan bagi masyarakat. Dengan tugas, ibadat dan keilmuan mendekatkan mereka dengan Allah.
Selain dari yang tersebut di atas dapat dimasukkan bidang-bidang yang lain. Jika  semua diorientasikan dengan kebersihan jiowa, beribadat kepada Allah dan ikhlas dapat membina masyarakat yang mantap. Pengagungan terhadap Allah Yang Maha Tinggi, patuh kepadaNya, menegak  perkara ma`ruf, mencegah perkara munbgkar, sama-sama insaf dan sedar tentang misi dan visi kehidupan berteraskan kepercayaan kepada Allah beribadat kepadaNya dan berusaha memajukan masyarakat.
Semua sektor penting di dalam membina masyarakat umat yang mantap, tetapi sudah tentulah ada hirarki dari segi kedudukan. Ia bergantung kepada dalaman, hanya Allah Yang M

Sekian.


June 24, 2016

TASAWUF TUMBUH


BBB,   18 Ramadhan 1437 = 23 Jun 2016 (Khamis):

Bagaimana  tasawuf tumbuh ?
Perhatikan pada tabii permukaan bumi
Terdiri dari tanah lembah, datar dan pamah
Padang pasir dari kaki bukit ke puncak gunung
Adalah ruang-ruang sama menerima kurniaan
Setia  bersih suci dengan keadaan
Menurut  selayaknya.

Benih tasawuf tumbuh
Angin menyintak air dari permukaan lautan
Tanpa beza memecahkan awan hitam ke perbatasan
Tanpa beza menurunkan rahmat menurut iklimnya
Semuanya  secara jujur suci patuh khuduk kesetiaan
Tamsil ibaratnya setiap tempat tumbuh setia kemampuan.

Tasawuf itu permukaan hati
Suci jujur setia menerima  rahmat
Tidak secara khusus setempat
Segalanya secara suci  jujur  menerima
Dan menyerah secara taabbudiyyah
Ia mungkin tumbuh di padang pasir gersang
Ujian patuh-tahan tertinggi sufi
Cekal di tengah kepayahan zuhud redha
Manis mesra sepemuh taabbudiyyah
Lambang dominan kesufian.

Tapi pertumbuhan terjadi
Pada puncak bukit dan gunung
Tegak hebat  mengawal kelilingan
Turut dengan kehijauan tumbuhan
Setia dan patuh menerima  rempuhan topan
Tetap  pertahan kelilingan berwawasan
Keadilannya mengalir di kalangan awam
Pada pimpinan ada murni kesufian.

Ketara lebih pada  kalangan ilmuan
Ibarat air turun dari puncak gunung ke lembah
Mengalir di sungai  tenang  ke kualanya
Dengan  bersih jujur setia khidmat pada awam
Panduan tamadun  membina peradaban
Pada ilmuan kesufian  uswah ikutan
Membimbing semua ke jalan lempang.

Benih  tasawuf turut  subur di tanah pamah
Menghijau subur tumbuh tanaman buahan
Kekayaan kesenangan harta dimiliki
Tapi ikhlas  jujur mengalir derma pertolongan
Insaf dia dengan zakat menambah dapatan
Banyak pihak mendapat pertolongan
Tiada halangan kesufian dengan kekayaan
Dengannya  mendapat rahmat oleh dermawan
Fakir  miskin mereka yang memerlukan.

Tasawuf juga tumbuh di padang kehidupan
Bertungkus lumus mengatasi ujian  seharian
Dari hati mereka mengalir suci jujur
Mencari rezeki halalan tayyiban
Amat setia menjaga hubungan dengan Tuhan
Juga setia dengan  manusia  kelilingan
Mereka diibarat ikan hidup di  laut masin
Lantaran hidup jiwa tidak  dipengaruhi kemasiman
Sebagaimana matinya masin bila digaram.

Tasawuf adalah jiwa semua peringkat
Dalilnya wujud dalam Al-Qur`an
Nabi Muhammad contoh ikutan
Kesufian menyuci diri  ikhlas amalan
Patuh insaf sedar akan akhir perkembalian
Pengisian taqwa mohon keredhaan
Tasawuf pada hakikatnya bersama Islam
Di bawa Junjungan  bersama  Al-Qur`an
Pun begitu ada yang megait dengan tokoh tertentu
Dengan takrif dan definisi ketentuan
Tiada percanggahan.

Bandar Baru Bangi,
18  Ramadhan 1437

23     Jun  2016.

June 23, 2016

TASAWUF JUGA MENJELMA DALAM SENIBINA


BBB,  17  Ramadhan  1437  =  22  Jun  2016 (Rabu):


Seni budaya dan seni rohani yang berada di dalam  diri  mampu mengalir dan menghasilkan sesuatu hasil kerja yang dipengaruhi oleh orientasi  seni  dalaman diri. Betapa  seni yang subjektif ini  menjadi sebagai benih atau  prototype atau data asal yang tersimpan dalam jiwa dan bila sesuatu hasil seni dihasilkan maka keaslian  ini turun mewarnai sesuatu hasil kreativiti yang dihasilkan.  Kadang-kadang elemen yang tersimpan  bersifat dalaman bersifat kelompok yang menjadikannya sebagai budaya yang mengidentitikan kelompok berkenaan. Sebagai contoh persoalan imej yang menjadi identiti budaya bagi kelompok atau lebih besar bagi masyarakat seperti dalam pembinaan rumah bagi katakan masyarakat di Negeri Sembilan terkenal dengan bumbung berbentu tanduk kerbau, negeri Melaka dengan tangga rumah yang kukuh dan menarik, Terengganu dengan berbentuk limas dan berbuah butung dan sebagainya.
Bagi  jiwa kesufian yang mempunyai rasa kelembutan dan kekudusan juga mampu mengalir kepada kehalusan dan kekudusan seni bina melalui rekacipta seni bina yang kreatif dan bersifat kudus. Contoh yang dekat dengan kehalusan rasa dan kekudusan cipta ialah seni bina masjid. Seni bina masjid adalah lebih halus lantaran ianya merupakan senibina yang bersifat kejiwaan dalam mengagungkan Allah dan bertambah dengan kekudusan dari jiwa yang tunduk dan khuduk kepada Allah dengan ditambah dengan perasaan kasih cinta. Seni bina masjid ini  sudah menjadi imej dan identiti umum yang terhimpun pada rekabentuk dan kehalusannya adalah himpunan tanggapan berbagai arkitek terhadap bentuk seni bina masjid sehingga umumnya ianya menjadi imej  dan identiti dominan bagi masjid, kecuali ada yang benar-benar  mampu menyimpang dari imej dan identiti dominan, tetapi tetap dikenali sebagai masjid.
Dari manakah rumusan imej dan identiti bagi nasjid terhimpun sehingga ianya  menjadi imej dan identiti sebuah masjid. Ianya ditimba dari jiwa dan  alamiah dan berlaku di dalam masa yang panjang dan mungkin berlaku pengaruh dan pertindihan imej dan identiti yang menjadikannya berasimilasi dan  diterima sebagai kesatuan yang mengharmonikan. Sumber dalaman tidak lain dari rasa jiwa kudus  dan taabbudiyyah hamba terhadap Pencipta Yang Maha Agung, Maha Perkasa, bahkan Maha Indah dan Sempurna dan juga dari bentuk dan imej alamiah yang disifatkan sebagai indah, kudus dan mengharukan. Sebagai contoh bentuk bulat yang dianggap paling perfect dan lambang kesempurnaan yang ada pada bumi dan bulan dan apa saja yang berbentuk bulat, bentuk  memanjang memanjang pada jalan dan berbagai garisan yang panjang, bentuk semi bulat yang ada pada jenis buah-buahan seperti apple, limau   dan berbagai-bagai lagi yang semi bulat, bentuk berombak pada sesuatu objek seperti ombak dan rumpun padi ditiup angin  dalam relung-relung padi, bentuk  lonlong  seperti pada sarang tempua, bentuk rendang atau tinggi melempai pada bentuk pokok, bentuk bengkang bengkok dengan sesuatu yang berlari di dalamnya seperti bentuk sungai yang mengalir deras atau perlahan bagi air sungai tersebut,  bentuk tinggi rendah bersifat bongkok seperti pada bukit bukau dan gunung ganang dan berbagai-bagai lagi bentuk dan rupa yang dapat dihayati dari segala rupa dan bentuk alamiah. Penghayatan terhadap bentuk-bentuk dan kejadian-kejadian yang menarik dan indah berkenaan bukan setakat indah dan menarik tetapi kagum, luhur, halus,  seni dan kudus terhadap ciptaan tabi`i Ilahi berkenaan. Bagi seniman-sufi yang mempunyai jiwa seni rohani segala ciptaan Allah yang seni dan rohani ini ditiru dan dipindah secara kreatif pada seni bina masjid lantas dapat dilihat objek-objek seni yang kudus dan murni.
Dengan tidak mengambil satu masjid khusus, tetap ianya ada pada masjid-masjid yang  menjadi identiti masjid. Masjid biasanya mengambil tapak yang lebih tinggi dan berada di tengah-tengah kawasan kependudukan bagi memudah untuk di datangi dan kelihatan dari mana arah sebagai identiti setempat. Bagi masjid misalnya bentuk bulat bujur yang menyerupai misalnya bentuk bebewang atau telur terdapat elemen sedemikian pada kubah masjid yang menjadi objek terindah masjid.
Bentuk panjang menegak meluru ke atas bagi mau melumcur ke ruang tiada tepi diambil dari bentuk batang  dan sebagainya bentuk ini digunakan bagi menara atau menara-menara yang juga menjadi identiti domionan bagi masjid. Ianya juga melambangkan perjalanan rohani kejiwaan di dalam mi`raj kepada Yang Maha Tinggi. Bentuk bulat juga digunakan bagi tiang-tiang masjid yang mengambil bentuk yang sempurna.
Bentuk dominan bagi masjid juga ialah bentuk semi bulat (lengkung) yang kelihatan seperti bujur tunduk yang asalnya dari bentuk bulat. Bentuk ini banyak digunakan sebagai bentuk pintu-pintu tingkap dan berbagai lengkung  bagi dinding dan ruang dalam masjid. Ianya mencerminkan sifat khusyuk, tunduk, hormat sesuai dengan jiwa jamaah yang beribadat di masjid yang melahirkan ketaatan, kepatuhan dan kesetiaan terhadap Allah. Bentuk semi bulat dan lengkung ini juga digunakan bagi mihrab dan ruang-ruang-lengkung  yang mana sesuai untuk masjid.
Ruang yang paling dominan dan tumpuan utama yang mengambil bentuk padang ialah ruang utama masjid tempat terhimpun para jamaah bagi menunaikan solah atau berada di dalam majlis ilmu. Bentuk terbuka dan bebas untuk dihuni dan memilih tempat seperti pada saf yang memang digalakkan memenuhinya lebi awal mencerminkan sifat jamaah dalam Islam dan juga demokrasi bagi mereka bagi mengambil tempat dan hak bagi diri mereka.
Di dalam konsep ruang terbuka yang bersifat kemasyarakatan, maka di dalam ruang masjid ada bahagian hadapan yang dikhususkan bagi imam memimpin solat. Ini mencerminkan konsep dan falsafah kehidupan kemasyarakatan di dalam Islam perlu ada kepimpinan yang memimpin jamaah. Segala apa yang dilakukan oleh Imam menurut peraturan hendaklah diikuti dan dipatuhi oleh jamaah yang mencerminkan kemasyarakatan di dalam Islam. Konsep kepimpinan ini bukan sahaja pada ibadat solat tetapi juga  dengan khutbah-khutbah yang disampaikan oleh khatib yang kadang-kadang merangkap Imam perlu dipatuhi kepada arahan dan nasihat-nasihat. Pada bahagian hadapan dan mengepalai jamaah ialah guru-guru yang mengajar yang biasanya mengambil ruang hadapan dan berada pada tempat yang lebih sedikit tinggi untuk memudahkan kelihatan yang melkambangkan kepimpinan guru dan ulama yang mempunyai keilmuan dan mampu menyampaikan pengajaran terhadap orang ramai.
Di dalam masjid juga ada pengajaran aturan dan adab, misalnya ruang bagi wudhu`  berada pada bahagian belakang – permuklaan masuk kiri dan kanan  bagi memudahkan mengambil wudhu` yang melambangkan syarat perlu bersih diri dan jiwa bagi beribadat dan juga bila berada pada tempat ibadat. Begitu juga bagi melambangkan kebersihan, bahagian ruang toilet hendaklah berada jauh sedikit dari kawasan binaan utama masjid dan biasanya erpisah sedikit bagi menjamin kebersihan dan bau yang tidak menyenangkan.
Dari segi adab dan kesusilaan bahawa bahagian muslimat biasanya berasingan , umpamanya pada tingkat yang lebih atas atau dibataskan dengan screen pada bahagian di belakang.
Masjid sebagai identiti umat dan masyarakat dan menjadi tempat tumpuan kunjungan menyediakan keperluan yang bersifat fizikal untuk bersolat dan berjamaah. Ianya menyediakan berbagai keperluan pendidikan dari segi kerohanian dari segi bentuk secara tidak langsung dan pendidikan secara langsung. Ianya merupakan tempat ibadat, pendidikan dan keheningan jiwa  dan mental.
Pada masjid terhimpun  elemen ketaabbudiyyah, kekudusan dan kemasyarakatan. Lambang-lambang baginya dapat dihayati dari seni binanya.

Sekian.


June 22, 2016

MANIFESTASI TASAWUF DALAM SASTERA


BBB,  16  Ramadhan  1437 =  21 Jun 2016 (Selasa):


Mengambil ta`rif tasawuf oleh Al-Junayd tokoh sufi Sunni, bahawa,
``Tasawuf ialah mengamalkan segala  nilai akhlak yang tinggi dan meninggalkan segala akhlak yang keji.`` Ditambah lagi dengan pendapat, ``Tasawuf semuanya  akhlak, maka barang siapa bertambah dengan akhlak, maka bertambahlah ketasawufan.`` Manakala Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili berpendapat, ``Tasawuf ialah mendidik diri dengan ubudiyyah menurut hukum-hukum Rububiyyah.`` (`Abdul Qadir `Isa, Haqa`iq  an al-Tasawwuf, 1390/1970: 14).
Dari ta`rif di atas terbayang pada mata lahir dan mata fikir kita tentang watak seorang sufi yang diorientasikan dengan keilmuan tasawuf bahawa watak berkenaan.
1)      Seorang yang kuat beribadat
2)      Seorang berilmu, termasuk  dalam bidang rohani
3)      Seorang yang berakhlak tinggi - jujur dan taqwa.
Dan dapat ditambah lagi dengan ciri-ciri perwatakannya. Kesufian bukan terhad pada pembawa peribadi seseorang sufi semata-mata, tetapi pandangan dan orientasi kesufian juga memberi kesan dan termanifestasi pada hasil-hasil yang dilakukan, khususnya di dalam bidang seni lantaran kesufian dengan kehalusan dan kelembutan jiwa bisa mengalir bersama dengan kehalusan seni bersatu dan termanifestasi di dalam kerja-kerja seni.  Kata Iqbal:
`` Islam memberi kesan kepada jiwa sufi dari segi keindahan dan kesempurnaan, termanifestasi pada jiwanya rasa keinsanan yang tinggi dan persaudaraan global (alamiyyah). Ciri pada ketasawufan ini tidak terdapat pada kalangan fuqaha` dan mutakallimun.`` (Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi, Al-Luma`, 1380/1960: 9-Pengantar).
Tasawuf dikaitkan dengan Muhammad Iqbal relevennya  lantaran  Iqbal seorang tokoh ilmuan (Pakistan) yang mengkaji bidang metafizik Islam (tasawuf) dan seorang penyair terkenal dunia, maka pengaruh tasawuf ketara mengalir dan termanifestasi di dalam puisi-puisinya, khususnya puisi Asrar Khudi Iqbal, bersama dengan unsur tasawuf berbaur dengan nafas perjuangannya bagi menegakkan negara Pakistan. Dalam menggerakkan cita-cita mendirikan negara Pakistan, Iqbal mau masyarakat umat Islam di India (sebelum wujud Pakistan) bergerak bersatu dengan kekuatan sendiri menuntut sebuah negara Pakistan diwujudkan, kata Iqbal:
`Mengapa tidak mengalir sungai hatimu ?
Dan kenapa peribadimu tidak terpancar Muslim hakiki ?
Apa gunanya bermuram durja dan mengeluh takdir Ilahi ?
Mengapa tidak kau sendiri menjadi Pencipta takdirmu ?
(Iqbal Asrar Khudi, Terjemahan  Rangkuti, 1976: 33).
Iqbal tidak sempat melihat kelahiran negera Pakistan. Beliau menghembus nafas terakhir (1947) sebelum kelahiran Pakistan (1948), tetapi beliau mengharapkan perjuangannya diteruskan oleh pejuang-pejuang yang lain, kata Iqbal:
``Melodi selamat tinggal akan menggema atau tidak
Naferi akan berbunyi dari Hijaz atau tidak
Hari faqir ini telah sampai pada batasannya
Pujangga yang lain akan datang atau tidak.``
(Asrar Khudi: 110).
Pakistan akhirnya lahir sebagai sebuah negara merdeka.
Puisi Iqbal di atas adalah tebal dengan jiwa keislaman, seni sufi dan seni sastera yang meningkatkan mutu perpuisiannya  (seperti rangka Teori Takmilah) yang bukan saja dianggap sebagai penyair Islam, tetapi Penyair Dunia.
Di kalangan penyair Melayu Nusantara Amir Hamzah adalah seorang penyair yang mensublimasikan cinta kasih pada seorang perempuan yang dikasihinya kepada Cinta Ilahi bernada tasawuf di dalam banyak puisi yang dihasilkan seperti Kumpulan Buah Rindu, Nyanyi Sunyi dan Setanggi Timur. Contoh puisinya yang bernada Ketuhanan dan Ketasawufan:
PADAMU JUA
Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padaMu
Seperti dahulu.
Kaulah Kandil kemerlap
Pelita jendela di malam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia selalu.
Satu kekasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa.
....                                   (Nyanyi Sunyi, 1963: 5).
Tema ketasawufan juga diungkapkan oleh Hamka, seorang tokoh sufi yang mengarang karya-karya tasawuf dan juga seorang sasterawan terkenal. Beliau mengarang novel, cerpen, bahkan puisi:
Novel  ringkasnya `Di Bawah Lindungan Ka`abah`  indah bertemakan cinta suci antara dua kekasih Hamid dan Zainab yang tak kesampaian dan Hamid  membawa diri ke Makkah. Cerita   - berlatarbelakangkan tanah Suci Makkah. Hamid meninggal dunia di Makkah. Ceritanya begitu indah dan menyayat hati  mengingat dan mengisaffkan kita tentang kekuasaan Ilahi. Tema-tema cinta suci juga terdapat di dalam novel Hamka seperti Tenggelamnya Kapal Ven der wik.
Assimilasi antara unsur tasawuf yang merupakan seni rohani  bersama  dengan seni sastera dan kreativiti penulis mentakmilahkan hasil sastera sebagai hasil sastera yang bermutu tinggi dan dikagumi.

Sekian.


June 21, 2016

ILMU FAKTOR PENTING TASAWUF


BBB,  15  Ramadhan  1437  =  20  Jun  2016 (Isnin):


Apa jua pegangan dan amalan seharusnya  berasaskan ilmu agar pegangan dan  amalan adalah betul. Tasawuf sebagai bukan ilmu  fardhu, tetapi sebagai pelengkap dan menyempurnakan  juga perlukan berasas keilmuan.  Sebenarnya  tasawuf lebih rumit dan subjektif  tiada rangka pendekatan konkrit berbanding dengan keilmuan seperti fiqh misalnya kerana ilmu tasawuf menurut  Al-Qadhi Shaykh Zakaria al-Ansari.r.h.a (m. 929 H.:
``Tasawuf ilmu dikenali dengan ahwal nenbersih diri (jiwa), menggilat (tasfiyah) akhlak, mengimarah dari segi lahir dan batin bagi mencapai kebahagian abadi.`` (Abdul Qadir `Isa, Haqa`iq  `an al-Tasawwuf: 13).
Menurut Shaykh Ahmad Zarruq pendukung Tariqat Shahdhili bahawa,
``Tasawuf nisbah dari segi keagamaan, ialah nisbah ruh kepada jasad, kerana bahawasanya ia  berada pada maqam, ihsan yang ditafsir oleh Rasulullah s.a.w. tatkala ditanya kepada Baginda oleh Jibril a.s. bahawa `Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, dan jika engkau tidak melihatNya, maka Dia melihat engkau.`` maksud  al-Hadith. (Ahmad bin Muhammad bin al-`Ajibah al-Hasaniyy, Iqaz al-Humam: 8).
Dengan keilmuan menunjuk jalan dan liku-liku yang betul untuk dijalani, tanpa keilmuan boleh  menyesat dan merosakkan, lebih-lebih lagi keilmuan tasawuf ini bukan keilmuan yang berciri akli semata-mata, bahkan digolongkan di bawah keilmuan yang ma`rifat dan rohani sifatnya.
Keilmuan ini bukan sesuatu ilmu yang tersendiri dan terasing, tetapi dia datang menyempurnakan keilmuan yang asas dan utama. Sebagai contoh tasawuf tidak berdiri sendiri, tetapi keilmuannya semestinya berasaskan akidah yang betul, amalan syariat yang sebenar dan akhlak yang elok. Bahkan keilmuan-keilmuan inilah menjadi teras ilmu dan amalan, sedangkan tasawuf datang menyempurna dan memperelokkannya.
Ada lima peringkat yang dapat dilihat kepentingan keilmuan – termasuk aspek ma`rifat (kerohanian dan keihsanan).
1)       Melepas diri dari kejahilan
Ia merupakan peringkat paling awal, bahawa seseorang itu perlu mempelajari dari peringkat awal dan asas. Sebagai contoh bagi menunaikan aspek-aspek ibadat yang difadhukan seperti solat umpamanya. Seseorang itu tidak dapat melakukan amalan solat tanpa mempelajarinya dari peringkat awal bermula dari kaedah bersuci hingga memahami rukun-rukun dan sunat-sunat, kemudian dapat mempraktikk dan mengamalkan tuntutan fadhu itu. Bagi tasawuf umpamanya mempertingkatkan kehalusan yang bersifat kejiwaan dan kerohanian semaksimum yang boleh, lantaran solat adalah merupakan mi`raj  rohani kepada  Ilahi didalam meningkatkan kualiti perjalanan rohani di dalam mendepani Allah Ta`ala  seperti peningkatan dari segi kekhusyukan dan ta`abbudiyyah kepada Allah.
2)      Peringkat Mengamalkannya
Adalah peringkat yang menjadi tujuan utama, bahawa keilmuan yang dipelajari ialah untuk mengamalkannya. Didalam mengamalkan ketasawufan ini ia dapat berlaku secara serentak lantaran menyempurnakan. Contoh tasawuf serentak berlaku dan menyempurnkan seseorang dari segi akidah, amalan syariat dan tasawufnya. Dan boleh ditambah yang lain lagi seperti akhlak dan sebagainnya.
3)       Menjadi piawayan dari keilmuan dan amalan
Mendapat ilmu bererti mendapat piawayan maklumat sesuatu bidang keilmuan. Di dalam menunaikan solat, yang berilmu dan tahu hukum dapat membezakan antara amalan yang wajib  (rukun) dan mana yang sunat. Dia tidak sewenang-wenang menegur seseorang yang tidak melakukan sesuatu yang sunat atau meninggalkan aspek yang sunat, kerana diketahuinya status sunatnya. Demikian juga dari segi ketasawufan yang lebih halus sifatnya. Misalnya antara keutamaan dari segi pergaulan yang diharuskan atau dengan meninggalkan.
4)       Mempertingkatkan keilmuan
Dalam tradisi keilmuan, ianya tidak bersifat statik dan beku. Ianya bertambah dan berkembang dengan  perkembangan persoalan semasa, iaitu melalui penyelidikan, lahirnya perkara-perkara baru yang memerlukan fatwa (dari pihak beratoriti) dan penghasilan keilmuan tambahan dengan lahirnya ilmuan  dan tokoh seperti lahirnya Al-Zuhaily (al-Marhum) yang menghasilkan tafsir dan keilmuan lain, juga lahirnya  Dr Yusuf al-Qaradhawi yang banyak menghasilkan buku-buku fiqh semasa yang kita dapat merasa kesegaran idea dan pendapatnya, khususnya persoalan semasa. Demikian juga dengan bidang  kerohanian dengan lahirnya tulisan terbaru misalnya dari Dr. Abdul Halim Mahmud yang banyak menulis dan menghuraikan aspek-aspek  tasawuf dan kerohanian.
5)      Dinamika dan keindahan ilmu
Baik ilmu umum dan khususnya keilmuan tasawuf, bahawa wadah ilmu adalah makanan akli dan rohani, ia adalah merupakan kelazatan bagi penuntut-penuntut ilmu yang bagi pihak luar tidak menyedari, bahkan tidak mengerti. Kesyikan terhadap ilmu dan mencintainya adalah mekanisme memajukan ilmu dan yang mempelajarinya. Sebenarnya golongan ilmuan dan ulama adalah mereka yang benar-benar mempertingkatkan  kualiti peradaban yang meningkat  insan dari generasi ke generasi. Keilmuan adalah mencerminkan kebijaksanaan dan kerohanian mencerminkan keluhuran rohani. Keilmuan dan kerohanian sebenarnya yang mengindahkan kehidupan dan melohorkan kerohanian.
Adalah  indah dan tepat Sabda Rasulullah yang membandingkan bahawa:
Iman  adalah keyakinan
Islam  Ilmu dan amalan
Ihsan kerohanian menyempurnakan.
Ibarat ketiga-tiganya bagi sebuah bangunan, maka iman adalah tapak yang kukuh, Islam adalah binaan yang teguh dan kerohanian adalah estetika yang menyempurnakan bangunan.

Sekian.


June 20, 2016

ALAM TERBENTANG KITAB TERPAMPANG: FENOMENA LAHIRI


BBB,  14 Ramadhan 1437 =  19 Julai 2016 (Ahad):


Antara sumber tasawuf ialah alam ini yang boleh diibaratkan keberadaannya  terbentang nyata sebagai sebuah kitab atau buku yang terbuka yang diibaratkan kandungan di dalamnya sebagai huruf-huruf dan ayat-ayat dapat dibaca dan difahami kandungannya sebagaimana membaca sebuah kitab atau buku. Kandungannya boleh dibaca dari berbagai-bagai perspektif menurut keilmuan dan kepakaran masing-masing. Ianya boleh difahami dari berbagai-bagai ilmu. Misalnya boleh didekati dari segi akidah atau geografi, botani, kajicuaca dan sebagainya, bahkan ianya boleh dihayati dari segi seni, bahkan tasawuf. Permulaan dapat dibaca atau dilihat dari segi lahir.
Al-Qur`an sendiri menyebut bermaksud:
``Bahawasanya pada ciptaan langit-langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang adalah menjadi tanda-tanda (ayat-ayat) bagi mereka yang mempunyai fikiran.`` (Ali Imran: 190).
Bagaimanakah ianya menjadi sumber tasawuf ?
Cara melihat juga berpelbagaian. Penulis telah menyebut bahawa tasawuf antaranya adalah merupakan seni rohani. Gambaran ayat Al-Qur`an di atas boleh dilihat tasawuf dari segi seni rohani, iaitu melihat dengan kagum dan indah terhadap ciptaan Allah tentang keindahan di langit yang mengandungi planet-planet dan bintang-bintang. Lebih indah jika dilihat pada waktu malam dalam mana bintang-bintang sebagai lampu-lampu yang menghias dan menyinari alam. Bumi juga dapat dilihat keindahan  padanya. Pada bumi terbentang  tegak padanya gunung ganang dan bukit bukau, menghijau dipermukaan tumbuh-tumbuhan. Laut pula bergelombang ditiup angin dan mengangkatkan air ke awan-awan dan bergerak ke perbatasan gunung dan bukit menurunkan hujan menyirami tumbuh-tumbuhan dan mengalirkan sungai-sungai  dan memberi faedah bagi berbagai-bagai kehidupan. Manusia di permukaan bumi  bergerak dengan tugas masing-masing memakmurkan kehidupan. Gambaran Allah pada ayat-ayat yang lain tentang proses kehidupan  secara indah bermaksud:
``Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir dan biji  buah-buahan (Al-An`am: 95).
Setereusnya ayat Al-Qur`an menyebut:
``Dan Dialah yang menurunkan  air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala jenis tumbuh-tumbuhan. Kemudian kami keluarkan  daripadanya tanaman yang menghijau. Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar dari mayang-mayangnya (kami keluarka) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun, serta buah delima yang bersamaan (bentuk rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (Al-An`am: 99).
Bukankah gambaran di atas begitu indah menyejukkan mata, menyegarkan dada, mentaakulkan akal tentang kekuasaan dan ciptaan Allah. Rasa indah, kagum dan terpesona tentang ciptaan Allah adalah nikmat kurniaan Allah yang membawa kita bertasbih, memuji dan bersyukur terhadap ciptaan dan kurniaan Allah yang membekalkan rezeki dan kurniaan Allah. Ini adalah merupakan elemen ketasawufan.
Kekaguman seperti di atas boleh dikaitakan dengan pemandangan indah ditepi laut yang pantainya putih pasir memanjang dengan pulau jauh berbalam dan laut bergelombang ditiup angin dan perahu nelayan bergerak ke daratan kembali dari mencari rezeki ilahi dilautan. Begitu juga pemandangan di tepi sawah yang menghijau bergelombang ditiup angin petang, menggerakkan tangkai-tangkai padi yang  menguning sedang pipit-pipt dari petak-ke petak sawah terbang hinggap memakan padi menumpang rezeki yang diusahakan petani. Semua pandangan ini menggetarkan perasaan demi menghayati keindahan yang diciptakan Tuhan, menyebabkan terungkap dalam diri pujian, tahmid, tasbih dan syukur kepada Tuhan. Juga adalah elemen tasawuf.
Banyak lagi nikmat yang membawa kita memuji, mentasbih dan mensyukri nikmat Allah. Pandang pada diri sebagai elemen dari alam, bahawa tubuh kita masih sihat segar, masih dapat bergerak secara bebas, masih dapat menikmati makan dan minum dan masih dapat menunaikan kewajipan yang difadhu oleh Allah dari segi solat, puasa dan segala kebajikan-kebajikan yang lain yang seharusnya kita bersyukur kepada Allah.
Fenomena alam sebagai kitab terbentang yang boleh dibaca dengan mata akal, tidak saja dapat dibaca dari aspek kenikmatan, tetapi juga dari aspek ujian  bala bencana. Bukankah juga bencana sering berlaku dengan berlakunya gempa bumi yang memusnahkan bangunan dan perhubungan, taufan membadai merosakkan pantai dan kependudukan, kebakaran secara besar-besaran yang merosakkan harta benda dan kehidupan, bahkan berbagai-bagai kemusnahan yang berlaku. Semua ini menimbulkan kegerunan, ketakutan dan kerisauan yang membuktikan kekuasaan Yang Maha Pencipta yang dapat melakukan segala-galanya pada bila-bila dan dalam keadaan mengejut dan segera. Ini semua menginsafkan dan tunduk jiwa pada kekuasaan dan kebesaran yang Maha Pencipta. Ia juga adalah sebahagian dari elemen tasawuf yang boleh membawa kepada keinsafan dan pengakuan terhadap kebesaran Allah.
Dengan bacaan terhadap fenomena alam baik dari indah dan menggerunkan terbetik dalam minda akan kehebatan Yang Maha Pencipta melakukan sesuatu dengan kekuasaanNya. Semua fenomena ini ditambah dengan berbagai yang lain memberi keyakinan tentang kekuasaan Yang Mencipta yang menjadikan alam  dan mengatur semuanya secara sempurna, bahawa semuanya menurut ketentuan yang ditentukan dari ciptaan yang besar dari cakerawala, planet-planet dan bintang-bintang membawalah kepada kehidupan dipermukaan bumi semuanya bergerak teratur menyebabkan semuanya selamat, d isebalik dari itu melihat kepada kemusnahan-kemusnahan yang kadang-kadang berlaku meyakinkan diri ianya merupakan pertanda kiamat yang akan berlaku menurut kehendak dan ketentuan Allah. Semuanya menambahkan keimanan bagi mereka yang menggunakan akal dan fikiran.
Kekaguman, keindahan, kegerunan dan ketakutan dan sebagainya adalah elemen-elemen yang mengoinsafkan. Ianya adalah merupakan benih-benih tasawuf bagi jiwa yang insaf dan mebawa diri lebih mendekati Allah.

Sekian.