BBB,
27 Ramadhan 1437 = 02 Julai
2016 (Sabtu):
Kita telah membicarakan tentang pertunbuhan
keilmuan tasawuf dan cuba
melihatnya sejak pada peringkat awal
sebagai satu ilmu `Tasawuf`. Ianya adalah sebagaimana keilmuan yang lain contoh
akidah dan fiqh. Sebagaimana keilmuan-keilmuan tersebut berasal dari Al-Qur`an,
baik dari segi istilah apalagi dari segi kandungan persoalan, demikian juga
dengan `Tasawuf` unsurnya terdapat di dalam Al-Qur`an – dan juga Hadith Nabi,
tetapi untuk kelahiran dari segi istilah, lebih-lebih lagi dari segi pendekatan
mengambil masa. Dari segi fiqh misalnya dengan kelahiran Imam Malik dengan
kitab al-Muwatta` dari segi fiqh, manakala dalam bidang akidah dengan kelahiran
Ash`ari yang antara kitabnya, Maqalat
al-Ash`ariyyin.
Keadaan yang sama berlaku bagi pertumbuhan
keilmuan tasawuf. Pertumbuhannya agak sederhana lambatnya, bermula pencarian
terhadap kewujudan istilah tasawuf itu pada peringkat permulaan yang ketara
terawal dikaitkan dengan Hasan Basar (m. 110H.)
dan juga Abu Hashim al-Sufi (m. 150H.), maka diambil kesimpulan bahawa
istilaha tasawuf lahir pada awal abad ke
2H. atau paling lewat pada
pertengahannya. Kemudian diikuti dengan
pencarian kelahiran definisi tasawuf itu sendiri yang berlaku pada akhir abad
ke 2H. atau selepasnya.
Sesungguhnya pendapat-pendapat mengenai
tasawuf itu dilahirkan oleh berbagai-bagai
tokoh sufi. Antara seorang sufi dengan yang lain berlainan bergantung
kepada sudut pandangan, keadaan semasa dan tumpuan yang diberikan.
Kadang-kadang seorang sufi memberi pandangan yang berlainan bila berada pada
situasi berlainan. Pendapat-pendapat sufi atau pengkaji tasawuf pada peringkat
permulaan biasanya diwarisi berdasrkan riwayat yang dicatat oleh perawi-perawi
sebagaimana gaya riwayat Hadith.
Walau bagaimana pengukuhan dari segi pendapat seharusnya bersifat
penulisan oleh seorang sufi atau yang mengarang berkenaan tasawuf berkenaan.
Sesungguhnya karangan bersifat kitab atau buku amat penting sebagai bukti
tertulis yang dapat dijadikan hujah, bukan sahaja dari segi tarikh penghasilan
kitab, tetapi ialah dari segi kandungan kitab yang bersifat tasawuf berkenaan.
Sebagaimana telah diperkatakan bahawa istilah tasawuf bukan istilah terawal
yang membawa ciri-ciri ketasawufan,
sebaliknya pada peringkat awal istlah
`Zuhud` adalah istilah popular terkenal
sebagai pembawa maksud kandungan
tasawuf. Istilah zuhud sebenarnya
istilah yang terdapat di dalam Al-Qur`an (Yusuf: 20) disamping terdapat di
dalam Hadith-Hadith sebagaimana telah diperkatakan. (Zuhudlah engkau di dunia engkau dikasihi Allah dan zuhudlah
daripada apa yang ada pada tangan manusia nescaya engkau dikasihi mereka
–Maksud Hadith- riwayat Ibn Majah) dan Hadith-Hadith yang
lain.
Sebenarnya, walaupun sesudah istilah
tasawuf dipopularkan, maka didapati bahawa penulisan-penulisan yang lebih awal,
masih mengambil istilah zuhud sebagai tajuk bagi tulisan atau kitab-kitab
penulisan mereka. Bahkan kitab tasawuf
dijangka terawal adakah juga mengambil judul zuhud.
Kitab di maksudkan ialah `Kitab al-Zuhdi wa al-Raqa`iq` yang dihasilkan oleh Al-Imam Shaykh al-Islam Abdullah bin
al-Mubarak al-Maruzi (m. 181H.) Ini bererti terhasilnya karangan ini dalam
tempoh lahirnya definisi-definisi tasawuf. Penekanan pada aspek zuhud
membayangkan bahawa keilmuan tasawuf adalah menekankan pada aspek dalaman yang
membawa kesan pada pembawaan diri secara tasawuf. Zuhud adalah pembawaan
termanifestasi pada luaran dan pembawaan sebagai pancaran dalaman yang pada
peringkat awal ini belum lagi ditekan pada aspek hati sebagaimana menjadi
pendekatan popular kemudiannya membicarakan aspek hati, khususnya oleh al-Imam
al-Ghazali.
Di dalam kitab `Al-Zuhdi wa al-Raqa`iq` juga diterangkan betapa popularnya istilah
zuhd, sehingga terdapat pada zaman permulaan
(abad 2 & 3H.) tidak kurang
daripada 17 judul karangan tasawuf yang
mengambil judul al-zuhd (tidak diberi
judul lengkap) yang pengarangnya, iaitu:
1) `Amran
al-Musili (m. 185H.)
2) Al-Hafiz Muhammad bi Fudail bin Ghazwan al-Kufi
(m. 195H.)
3) Imam al-Waqi` al-Jarrah guru Imam Ahmad bin
Hanbal (m. 197H.)
4) Al-Hafiz Asad bin Musa terkenal dengan Asad
al-Sunnah (m.212H.)
5) Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal (m. 241H.).
6) Al-Hafiz al-Zahid Hannad bin al-Sarri sahabat
Waki` (m. 243H.)
7) Ahmad bin Harb bin Abdullah al-Zahid (m. 234H.)
8) Imam Abu
Daud Sulaiman al-Ash al-Sijistani (m.
275H.)
9) Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin `Abid (m.
281H.)
10) Al-Hafiz al`Alim Ibrahim bin al-Junayd (m. 260H.)
11) Al-Hafiz al-Qadhi Abu Ahmad muhammad bin Ahmad al-Asal al-Asbahani (m.
249H.)
12) Muhammad bin Hussain Abu Bakar
al-Ajra (m. 360H.)
13) Al-Hafiz
al-Mufid Abu Hafs `Umar bin Ahmad (m. 385H.)
14) Al-Hafiz Abu Bakar Ahmad bin al-Husayn
al-Bayhaqi (m. 458H.)
15) Al-Imam Abu al-Qasim Khalaf bin al-Qasim
al-Andalusi (m. 393H.)
16) Al-Faqih Abu Ahmad Muhammad bin
Ahmad bin Shu`ayb al-Shu`bi al-Nisaburi (m. 357H.)
17) Al-Hafiz al`Allamah `Abd al-Haqq bin Abdul
Rahman al-Ishbili (m. 581H.).
(Abdullah al-Mubarak. Kitab al-Zuhd wa
al-Raqa`iq, tt. 14-16).
Demikianlah popularnya tajuk Al-Zuhd yang
menjadi judul karangan-karangan mereka.
Berkata Ibn Qudamah tujuh perkara yang
menjadi kemegahan bagi manusia dan perlu dikawal dengan zuhud supaya tidak menjadi diri bermegah dan merosakkan, iaitu:
1) Zuhud
Dan Mengawal Makan Minum
Makan minum yang melimpah ruah seperti yang berlaku pada
bulan Ramadhan, sepatutnya dikawal supaya tidak berlaku pembaziran dan jika
berlaku lebihan patut disedekahkan. Berlebihan makan minum bukan saja membazir,
tetapi menyebabkan banyak penyakit.
2) Zuhud Dari Segi Pakaian
Kadang-kadang pakaian
bukan untuk menutup aurat, tetapi lebih kepada hendak menunjuk-nunjuk dan
bermegah-megah dengan fesyen dan
kemahalan harga. Wajar jika ada kelebihan disedekahkan kepada anak yatim, ibu
tunggal dan mereka yang memerlukan.
3) Zuhud
Dengan Tempat Tinggal
Rumah sewajarnya cukup
dengan keperluan penggunaan. Rumah menjadi bahan kemegahan, dengan bangunan
besar, berada pada tempat strtegik dan menarik. Menjadi kawasan larangan. Jurang
perbezaan status dari orang awam.
4) Zuhud Dengan Peralatan
Menunjuk-nunjuk misalnya
dengan kenderaan besar tanpa memikir ianya kadang-kadang mengundang bahaya dari
pihak penjenayah dan mereka yang dengki
5) Zuhud
Dari Segi Majlis
Mengadakan majlis mewah
seperti perkahwinan dengan peruntukan yang besar, lebih bersifat megah dari
melaksanakan tuntutan agama. Kadang-kadang menjadi beban hutang.
6) Zuhud Dari Segi Harta
Adalah tidak dilarang dari
pemilikan harta, tapi harus sederhana dan tidak bersifat menunjuk-nunjuk yang
mengundang penjahat mengambil kesempatan dan mengundang jenayah dan kemalangan.
7) Zuhud Dengan Pangkat Kedudukan
Sewajarnya pangkit sebagai
pengiktirafan dan bukan sebagai kemegahan yang mewujudkan jurang dengan masayrakat awam.
(Abdullah al-Mubarak: 10).
Demikian Abdullah al-Mubarak menampilkan pendapat Ibn
Qudamah yang sebenarnya jika dapat dikawal diri dengan kezuhudan dan kesyukuran
lebih selamat dan lebih menjamin
kebahagiaan.
Sekian.




