May 7, 2017

AL-WARID ITU ILHAM ? TITIK PERSAMAAN


BBB,  09 Sha`ban 1438H. =  06 Mei 2017 (Sabtu):
Antara istilah kesufian yang dibicarakan oleh Al-Qushairy di dalam Al-Risalat al-Qushairiyyahnya ialah istilah `Al-Warid`. Apakah maksud  al-warid itu ?
Menurut Al-Qushairy, `` Al-warid ialah apa yang datang ke atas hati daripada lintasan-lintasan (al-khawat*ir) yang terpuji daripada perkara yang bukan dari kesengajaan hamba dan dia juga bukan  dari perkara yang berlaku sebelum sedikit daripada khawat*ir. Warid terkadang dari Haqq dan terkadang dari keilmuan. Menurut Al-Qushairy, al-waridat lebih umum daripada khawat*ir, kerana khawat*ir khas kepada jenis ucapan (al-khitab) atau yang mengandungi makna khitab itu. Sedang waridat terkadang warid yang bersifat gembira dan kadang kala bersifat dukacita, terkadang bersifat tertutup (qabdh) dan terkadang bersifat terbuka (bast*) dan makna-makna yang seumpama dengannya.
Membaca keterangan Al-Qushairy berhubung dengan waridat yang secara lafaz lughahnya bererti `sesuatu yang datang`, `yang mendatang dan yang menjelma di luar jangkaan. Penulis melihat dan mendapati ia adalah bermaksud `ilham`. Istilah ini tidak termasuk sebagai istilah dalam pilihan Al-Qushairy.
Melihat kepada Kamus Dewan, maka Ilham dberi maksud:
Ilham adalah petunjuk dari Tuhan, memberi sesauatu sebagai ilham atau petunjuk yang diberi, sebagai contoh Ibu Nabi Musa diberi ilham oleh Tuhan untuk menghanyutkan anaknya (Musa) di dalam perahu kecil di Sungai Nil sehingga perahu ini hanyut ke pinggir istana  Fir`aun dan diselamatkan oleh isteri Fir`aun (Asiah).
Jadi al-warid, sesuatu yang tiba (bukan secara fizikal), tetapi adalah merupakan penjelmaan tanpa disangka-sangka  ke dalam hati dan amat dihargai dengan penerimaan. Ianya dianggap sebagai pemberian atau anugerah.
Al-warid dan ilham ada kesamaan di antara ahli sufi  dan seniawan  (ahli seni). –bersifat  kudus – murni.
Sebagaimana Penulis berulang kali menyatakan bahawa  kesufian dan kesenian mempunyai titik persamaan di dalam proses peningkatan kualiti  dalaman diri dan proses penghayatan dan `penemuan`, sebagai contoh ialah istilah al-warid yang ada persaamaan dengan konsep ilham yang merupakan proses penghasilan, Cuma al-warid lebih dikaitkan dengan pengalaman kerohanian yang dilihat lebih kudus dan ilham adalah proses yang sama yang dilihat bersifat kealaman dan lebih terbuka.
Al-warid dan ilham ialah penerimaan sesuatu – al-warid dan ilham adalah secara spontan dan bukan dibuat-buat. Walau bagaimana baik al-warid dan ilham adalah merupakan cetusan dari suasana yang telah terbina di dalam hati dan jiwa penerima warid dan ilham yang menjadi infra-struktur bagi penerima al-warid dan ilham, ertinya ia tidak berlaku dalam kekeringan dan kekosongan.
Sebelum menerima al-warid seorang sufi telah berada di dalam alam dan suasana kesufian terlebih dahulu. Ia bermula dari kepatuhan diri seorang muslim sebagai abid yang salih. Ia mendapat tarbiah kerohanian dari peringkat awal melalui pengajian dengan guru-guru kerohanian dan dia beramal dan praktik dengan ilmu, tarbiah dan alam kesufian. Ia melalui pendidikan yang meningkatkan kualiti dirinya dengan maqam dan hal. Jiwa digilat dan dibersih dengan amal-amal kesufian. Dengan jiwanya yang gemerlap dengan nilai-nilai kerohanian yang tinggi mencetuskan kepadanya warid-warid yang tercermin di dalamnya ketinggian mutu kerohanian. Misalnya apabila Al-Junayd ditanya tentang tauhid yang , maka katanya:
``Bahawasanya hamba adalah bayang dihadapan Allah `Azza wa Jalla, berlari di atasnya larian tadbirNya menurut hukum qudratNya di dalam gelombang lautan tauhidnya dengan fana` dari dakwaan  daripada diri dan makhluk. Dia adalah jawapan dengan hakikat wujud wahdaniyyatNya pada haqiqat kedekatanNya dengan hilang rasa dan geraknya dengan mendirikan haqq bagiNya  menurut apa yang dikehendaki darinya. Dia adalah kembali akhir hamba kepada awalnya, maka adalah Dia seperti mana telah ada Ia sebelum  dan  kekinian. Tambah Al-Junayd lagi: Tauhid ialah keluar dari kesempitan garisan zaman kepada keluasan fana al-samadaniyyah (Al-Luma`).
Ungkapan apakah ini ? Sesungguhnya ungkapan sedemikian  tidak lahir dari jiwa yang kosong dari kekuatan akidah, kebersihan jiwa dan gemerlap rohani. Apa yang keluar yang diungkapkan hanyalah helai-helaian kata dari rimbun yang kaya dengan gugus-gugus kerohanian. Hayatilah bahasanya yang bersifat intuitif dan kaya dengan cita rasa kerohanian. Di dalam ungkapan ini kaya dengan elemen-elemen bahasa yang segar dan indah, bahkan kreatif.
Keadaan yang sama berlaku kepada para sasterawan dan seniawan, mereka juga mengalami masa yang lama untuk menjadi sasterawan dari pembelajaran, menghimpun pengalaman, mempertajam persepsi, meperturunkannya ilham kepada pengungkapan dan mengkreatifkannya di dalam penulisan.
Tidak jarang warid diperturunkan sebagai ilham, bahkan kedua-duanya  dengan menggunakan mekanisme puisi bagi mengungkapkan apa yang diterima sebagaimana kita katakan sebagai ilham. Contohnya sebagaimana ungkapan  Abdul Rahman Jami tentang:
Kawanku
Kawanku seharusnya bagai cermin cerlang
Memantulkan cermin kelemahanku dari depan
Tiada rasa dipendam jauh di dalam
Bukan seperti sisir bergigi ratusan
Menyelip, menyikat ke sana ke mari
Menyingkap, menyatakan kelemahanku dari belakang
Seraya berlindung mencemohku seorang demi seorang.
                                    (Sastra Sufi, Abdul Hadi W.M.).
Jelas memperlihatkan bahawa eratnya hubungan antara tasawuf dan seni. Kedua-duanya mengalami pengalaman intuisi sama ada alami atau rohani, mereka mengungkapkan pengalaman yang bersifat kreatif, mereka menggunakan istilah-istilah yang sama atau sama maksudnya seperti al-warid, ilham dan sebagainya, kedua-dua bidang memperhaluskan perasaan dan kerohanian sama ada pendekatan kealaman, kerohanian bahkan ketuhanan.

Sekian.

May 6, 2017

`AYN AL-YAQIN, `ILMU AL-YAQIN DAN HAQQ AL-YAQIN: MEMPASTIKAN KEBENARAN


BBB,  10 Sha`ban 1438H. =  07 Mei 2017M. (Sabtu):
Ketiga-tiga istilah di atas dapat didekati secara ilmiah, selain dari pendekatan tasawuf. Menurut Al-Qushairy istilah-istilah ini mencerminkan taraf keilmuan yang tinggi – Jika didekati secara ilmiah.
 Yaqin kata Al-Qushairy ialah ilmu yang tidak dimasuki kepada minda seseorang sebarang keraguan tentang kemutlaqan yang diyakini.
Adapun ilmu al-yaqin ialah keyakinan, begitu juga `ayn al-yaqin ialah diri yaqin dan menurut Al-Qushairy,  haqq al-yaqin juga nafsu  (diri) al-yaqin.
 Menurut Al-Qushairy,
Adapun ilmu al-yaqin menurut kewajipan istilah mereka itu, iaitu  perkara yang disertai dengan burhan, dan `ayn al- yaqin  apa yang dihukum oleh keterangan (al-bayan), dan haqq al-yaqin apa yang disifatkan yang menyertai kenyataan.
Maka ilmu al-yaqin bagi mereka yang mempunyai akal
Aynu al-yaqin bagi mereka yang mempunyai ilmu
Dan haqqal-yaqin bagi mereka yang mempunyai ma`rifat.
Al-Qushairi tidak menghurai lanjut tentang istilah-istilah ini yang sepatut dapat diberi contoh dan huraian secara panjang lebar.
Istilah-istilah di atas penting dan bukan saja digunakan sebagai istilah tasawuf  bagi menerangkan aspek-aspek yang berhubung dengan tasawuf, tetapi istilah-istilah di atas dapat digunakan di dalam berbagai-bagai ilmu – termasuklah ilmu akidah.
Di dalam penggunaan kepelbagaian ilmu susunan pembicaraan seharusnya bermula dengan:
`Ayn al-yaqin, diikuti dengan ilmu al-yaqin dan seterusnya  haqq al-yaqin.
`Ayn al-yaqin adalah berada pada tahap rendah dan sepatutnya tidak digandingkan dengan perkataan al-yaqin, kerana  tahap kebolehpercayaannya lebih rendah dan kadang-kadang boleh dipersoalkan.
Bermaksud `ayn, ialah salah satu panca indera yang ada pada manusia iaitu `mata` (`ayn bererti mata) dan tarafnya sebagaimana indera yang lain iaitu mendengar, mengecapi, merasa, mencium dan melihat sendiri. Sememangnya salah satu cara mempastikan sesuatu adalah dengan melihat seperti melihat sebuah rumah, kenderaan,  pokok dan sebagainya yang dengan melihat kita mengenali perkara-perkara tersebut.
Tetapi mata mempunyai kelemahan-kelemahannya misalnya kepastian dan kejelasan bergantung pada jauh dan dekat atau setakat mana kemampuan melihat seseorang, kalau matanya rabun dan kelabu, penglihatannya tidak jelas dan tidak dapat melihat secara betul secara perfect. Kadang-kadang mata dikelirukan , misanya jika diletak pensil dalam sebuah gelas berisi air, maka kelihatan dari luar pensil bengkok, kerana bias. Jadi penglihatan tidak lagi tepat.
Keadaan yang sama berlaku pada panca indera yang lain. Misalnya mendengar sesuatu bunyi bergantung pada jauh dan dekat dan bergantung pada kesihatan telinga seseorang. Kiranya telinga tidak jelas pendengaran, maka pendengarannya tidak jelas, sebab itu kebolehpercayaan pada pendengaran berlebih kurang dan tidak tepat.
Keadaan yang sama bagi indera hidung. Hidung yang sihat tidak sama kemampuan mencerap bau dengan hidung orang sakit, selsema umpamanya. Begiti juga indera kecapan seperti lidah, seorang yang sihat mengecapi gula adalah manis, tapi bagi orang yang sakit, maka gula dirasanya pahit. Begitu juga dengan sentuhan kulit bagi yang sihat berlainan dari kulit orang yang sakit.
Pokoknya maklumat yang didapati melalui panca indera ada menimbulkan keraguan dan tidak tepat. Sebab itu maklumat yang didapati dari panca indera tidak tepat dan rendah dari segi keyakinan.
Adapun ilmu al-yaqin adalah dapatan yang betul dan tepat. Ianya didasarkan pada akal dan bersifat rasional. Sesuatu yang dinamakan ilmu adalah benar, dan jika tidak benar, maka dianya tidak dikatakan ilmu. Berbagai kaedah bagi memastikan sesuatu itu betul dan bertaraf ilmu.  Sebagai contoh ialah penggunaan kaedah metamatik adalah merupakan kaedah yang betul dan menghasilkan jawapan yang betul. Misalnya dengan menggunakan kaedah campur, tolak dan bahagi dapat menghasilkan jawapan yang betul dan dapat diberi dengan angka yang tepat dan tidak diragukan.
Selain dari menggunakan kaedah matematik, ialah menggunakan kaedah logik, yang hampir kaedahnya dengan matematik yang menghasilkan jawapan yang logik. Misalnya dalam membuktikan wujudnya Allah dan bukti-bukti sifat-sifat-sifat wajibNya ialah dengan kaedah dalil,  burhan dan logik yang mempunyai premis pertama dan kedua dan natijah.
Kaedah yang lain ialah dengan menggunakan kaedah-kaedah penyelidikan yang memberi jawapan yang tepat. Pendeknya `ilmu al-yaqin adalah ilmu yang tepat dan diterima kebenarannya dan ia adalah merupakan ilmu.
Haqq al-yaqin, haqq  bererti benar  dan hakikat, iaitu sesuatu adalah hak dan benar. Dia adalah di atas bagi ilmu setelah terbukti dengan ilmu. Maka dia adalah hakikat. Misalnya kewujudan Tuhan Yang Maha Esa adalah haqq dan hakikat yang dibukti secara akli dan logik, maka dia adalah hakikat sebenarnya dan tidak dipersoal dari segi benarnya.
Ketiga-ketiga tahap mempastikan kebenaran sesuatu itu penting di dalam perbincangan keilmuan. Tarap dapatan secara pannca indera  adalah rendah dan oleh kerana dapatanya berbeza, maka kebolehpercayaannya rendah dan tidak boleh dipercayai sepenuhnya kecuali dengan sokongan kaedah keilmuan yang lain. Adapun taraf ilmu yang dipastikan terutama berdasarkan kaedah rasional akal adalah menepati kebenaran dan boleh diterima secara ilmiah. Adapun haqq al-yaqin adalah taraf yang telah melalui ilmu dan diterima secara haqq. Ianya disandarkan bukan saja oleh akli, tetapi juga rohani.

Sekian.

May 5, 2017

NAFAS DAN AL-KHAWATIR: KEPENTINGAN DAN INGATAN


BBB, 09 Sha`ban 1438H. =  06 Mei 2017M. (Khamis):

Dua istilah agak halus maksudnya dari segi kesufian. Melihat dari segi zahirnya, nafas bererti nafas yang setiap yang bernyawa bernafas, tetapi di sini adalah dengan maksud tersendiri dari segi peristilahan tasawuf.
Nafas bermaksud  ialah pengrihatan hati dengan kelembutan-kelembutan secara ghaib  bagi  tuan bagi nafas.  Nafas berkenaan dirasa lebih lembut dan lebih jernih dan hening dari pengalaman orang yang dalam ahwal. Pemilik waktu adalah pemula dan pemilik ahwal adalah di antara keduanya . Orang-orang yang berada pada ahwal adalah melibatkan roh dan  nafas-nafas adalah pada ketinggian peningkatan, maka waktu-waktu ialah bagi pemilik-pemilik hati dan ahwal-ahwal  mengawasai arwah dan nafas-nafas  bagi ahli-ahli asrar.
Sesungguhnya dalam kehidupan biasa, kadang-kadang tidak disedari   bahawa nafas kita terus berulang keluar masuk, seolah-olah tanpa disedari. Ini adalah kerana kita dalam keadaan normal dan sihat. Bila kita sakit yang melibatkan kesusahan bernafas, kita dengan sedar mengingati  kepentingan bernafas dan amat menghargainya, dan bimbang terganggu pernafasan yang boleh membawa kepada kematian.
Mekanisme bernafas yang secara terus dan mudah, seharusnya ianya menjadi lebih mudah dan lawas sebagai kegiatan dan detik yang berterusan mengingati diri bagi mengingatkan (dzikir)  Allah. Sesungguhnya kesedaran dari aspek ini menjadi tabhil di dalam mentasbihkan Allah dengan nafas dan detik, bahkan kejip mata sebagaimana diungkapka:
``Subhanallah pada setiap kejip dan pada setiap nafas seluas dan sebanyak di dalam ilmu Allah.``
Seterusnya bagi mereka melihat, sebaik-baik ibadat adalah berterusan sebagai gerak (bilangan)  dalam mengingati Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Mereka berkata Allah menciptakan hati dan menjadikannya bandingan sebagai `logam` ma`rifat` (mengingatkan kita kepada sabda Rasulullah s.a.w. membandingkan hati sebagai logam yang boleh berkarat dan juga dapat digilat) dan tempat asrar dan menjadikannya tempat bagi tauhid, maka setiap nafas yang terhasil  tanpa menjadi dalil bagi ma`rifah dan isyarat kepada tauhid, maka seolah-olah dia adalah mati hatinya  dan tuannya disoal berhubung dengannya.
Berhubung dengan huraian berkenaan dengan hati ini diulas oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady di dalam Akademika, UKM, Bil. 1`, Julai 1972 terhadap konsep pendidikan sebagai pendekatan  dilakukan oleh  Shaykh  `Abdul Samad al-Falimbani di dalam kitabnya Siyar al-Salikin , bahawa pendidikan Islam  - termasuk tasawuf adalah sebagai usaha membersih hati yang dibandingkan sebagai seketol  logam yang terjatuh di dalam kotoran yang bukan saja kotor, tetapi berkarat. Pendidikan, termasuk tasawuf adalah proses  bagi menghilangkan kotoran dan karat berkenaan. Pada satu peringkat yang lebih tinggi pendidikan yang lebih tinggi adalah usaha bagi menggilatkan logam berkenaan dari berkarat menjadi bersih dan berkilat. Menurut Shaykh `Abdul Samad al-Falimbani penggilatan hati, dimaksudkan juga penggilatan melalui tasawuf hingga kogam berkenaan dapat mengeluarkan cahaya. Dengan cahaya ini ianya bukan setakat mnenerangkan kelilingan, tetapi dengan cahaya ini dapat menarik gambaran-gambaran luaran sebagai cerminan dan sikap yang perlu diambil. Ini merupakan  satu contoh konsep pemurnian dalam tasawuf melalui pembersihan logam hati.
Di samping pendidikan yang dapat mentransformkan hati yang kotor kepada yang bersih dan gemerlap, di sana ada satu lagi aspek hati, yang dikenali dengan `dhamir` atau kita istilahkan sebagai `Hati Kecil`. Hati kecil ini terbina menurut pembinaan jiwa diri hasil dari kehidupan dan amalan di dalam hidupnya. Jika dia seorang yang terdidik dan baik, mengamalkan apa yang disuruh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang dan beramal dengan amalan yang salih, maka hati kecilnya  menjadi hati yang baik dan menolak perkara-perkara yang jahat.
 Menurut Al-Qushairy hati menerima khawat*ir lintasan-lintasan  yang baik dan juga buruk. Jika hati kecil baik dia menolak perkara yang buruk. Hati kecil seharusnya, jangan dibiarkan menerima perkara jahat, namun kalau trersalah laku, maka hati kecil ini akan menempelak diri, sehingga timbul rasa tidak tenteram, lantaran kutukan oleh perkara yang jahat itu, tetapi kalau dikuti lagi dengan perkara yang jahat, maka penolakan hati kecil, makin berkurang dan jika berterusan melakukan kejahatan, maka kuasa penolakan akan lemah dan seorang itu akan kehilangan tenaga pengawal dan pelindung diri yang jika berterusan perlakuan jahat dan dosa, maka hati kecil seolah-olah mati, dan sukar dipulih kembali, lantaran memerlukan pemulihan dari segi pendidikan dan memerlukan latihan yang lama.
Antara  elemen-elemen yang merosakkan hati kecil ialah lintasan dan bisikan syaitan yang menghasut diri dengan elemen-elemen nafsu yang jika iman tidak teguh, maka benteng akan rubuh dan individu berkenaan boleh terjerumus ke dalam amalan-amalan yang mungkar. Antara perkara yang boleh merosakkan benteng hati kecil, ialah mainan iblis  terhadap hati kecil, antaranya menimbulkan waswas di dalam berbagai perkara. Misalnya waswas dari segi mengambil wudhu` yang kerana waswas mengambil masa yang panjang dan masih tidak puashati, begitu juga di dalam menunaikan solat, misalnya tidak dapat bertakbir –takbiratul ihram, berulang-ulang kali sebelum dapat menyempurnakan. Ia mengganggu amalan ibadat, bahkan tidak dapat melakukannya dengan  sempurna. Adalah lebih  merbahaya jika bisikan iblis ini membawa kepada waswas  dan keraguan dari aspek-aspek akidah yang membawa kerosakan dari segi akidah. Hati kecil juga menjadi  fokus bagi syaitan menggoda diri seseorang dengan elemen-elemen nafsu terutama yang bersifat ammarah yang membawa kepada  terpengaruh dengan perkara-perkara yang mungkar.
Al-Qushairy menampilkan istilah nafas dan khawatir (lintasan-lintasan), agar kita memahami konsep nafas dan bagaimana ianya dapat diaplikasikan di dalam ibadat dan amalan-amalan kerohanian, sebagaimana ia juga membicarakan tentang istilah `khawatir` lintasan-lintasan agar kita mengenalinya dan memberi ruang kepada kebaikan dan menutupnya dari diselinapi oleh iblis dan syaitan agar kita tidak terpengaruh dengan perkara-perkara negatif yang menjadi mainan iblis dan syaitan.

Sekian.

May 4, 2017

SHARI`AT DAN HAKIKAT : PEMBICARAAN POPULAR


BBB, 08 Sha`ban 1438H. =  05 Mei, 2017M. (Rabu):
Adalah dua istilah yang popular di dalam tasawuf yang biasanya didahulukan dengan t*ariqat dan baru diikuti dengan shari`at, kemudian hakikat dan ma`rifat.
Namun penekanan berbeza dan ada yang melihat bahawa ma`rifat adalah yang paling utama yang ditekankan dan pendekatan ini berorientasikan aqidah, lantaran di dalam keilmuan tersebut ditekankan bahawa:
Awwalu wajibin `ala al-nsan ma`rifat Allah
Bermaksud, seawal-awal kewajiban di atas insan ialah ma`rifat  (mengenal Allah)
Atau di dalam ungkapan Matan Jauharat al-Tauhid:
Fa kullu man kullifa shar`an wajaba    `Alayhi an ya`rifa ma qad wajaba
Bermaksud:
Maka setiap orang ditaklif shara` wajib
Ke atasanya mengenal apa  yang diwajib.
Tokku Paloh (Syed `Abdul Rahman bin Muhammad) dari Terengganu di dalam kitabnya yang berjudul Ma`arij al-Lahfan sebuah kitab tasawuf mengambil pendekatan, bahawa ma`rifat berkedudukan utama dan pertama di dalam keilmuan tasawufnya. Pendekatannya adalah bersamaan dengan pendekatan keilmuan akidah, bahawa seorang itu perlu mengenal Allah dan RasulNya dan rukun-rukun iman yang lain. Penekanan terhadap ma`rifat Allah dan Rasulnya selari dengan `Shahadat Tokku` yang disusunnya berhubung dengan huraian terhadap dua kalimah Shahadat.
Kembali kepada penyusunan biasa yang didahului oleh tariqat.
Tariqat dari segi lughah biasa bererti jalan – bagi mengenal.
Maksud jalan dari segi biasa, ialah pembelajaran dengan sesuatu ilmu yang membuka jalan ke arah pengenalan,  kefahaman dan amalan ilmu berkenaan. Bagi memahami ilmu akidah perlu memahami tariqatnya misalnya memahami rukun akal yang membawa kepada pengenalan Allah Ta`ala, sifat-sifatNya yang wajib, mustahil dan harus. Demikian juga dengan kewajipan memahami terhadap Rasul dan sifat-sifat. Seterusnya berhubung dengan rukun-rukun iman yang lain.
Di dalam ilmu tasawuf, tariaqatnya ialah memahami dan mengamali tahap-tahap dari peningkatan kerohanian di dalam keilmuan yang berkenaan dari segi maqam-maqam seperti taubah, zuhud,  sabar, faqr, tawadhu`, tawakkal dan redha.
Begitu juga dengan tahap-tahap ahwal seperti khauf,  taqwa, ikhlas, syukur, uns, qurb, mahabbah dan yaqin.
Manakala di sana ada tariqat dinisbahkan kepada amalan bertariqat yang dipimpin oleh guru-guru, maka pengikut-pengikut dikehendaki mengikuti dan beramal mengikut kaedah yang dianjur oleh guru bagi tariqat berkenaan seperti dzikir, wirid dan pembacaan-pembazaan yang dianjur dan diamalkan di dalam tariqat-tariqat tertentu. Misalnya tariqat, Shadzili, Sammani, Naqshabandi dan sebagainya.
Di dalam pendekatan yang dibuat oleh Al-Qushairy, dua istilah yang diberi tumpuan iaitu Shari`at dan Haqiqat.
Shari`at ialah bidang yang berhubung dengan ibadat, mu`amalat, munakahat, jinayah dan jihad. Bidang-bidang ini seharusnya dipatuhi dan dijalankan di dalam masyarakat dan umat Islam. Tiap-tiap bidang mempunyai pecahan dan huraian secara detail yang telah dihuraikan oleh `ulama`-`ulama` Islam. Adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam melaksanakan kewajipan ke atasnya, misalnya dari segi ibadat dengan pecahan-pecahan, begitu juga di dalam bidang mu`amalat, munakahat dan sebagainya.
Al-Qushairy tidak membicarakan bidang shari`at secara detail, sebaliknya dikatakan:
``Shari`at ialah perkara yang diiltizamkan dengan `ubudiyyah``.
Sebenarnya dari segi kedudukan di dalam Islam shari`ah adalah penting, ia adalah manifestasi dari akidah. Bahawa dengan keyakinan dengan keesaan Allah, maka dilaksanakan segala suruhanNya terutama di dalam bidang ibadat yang prinsip-pribsip terdapat di dalam Al-Qur`an. Jika disifatkan Islam sebagai sebuah bangunan, maka bentuk lahir dari bangunan itu adalah aspek-aspek shari`at. Tanpanya tiada manifestasi lahir dari segi keislaman.
Manakala hakikat dari makna biasa, ialah kebenaran dari sesuatu yang ada itu dari segi lahir dan maknawinya. Ibarat ibadat kesempurnaan ialah dari segi kebersihan jiwa dan niat yang melakukan solat dan solatnya dilakukan dengan betul dari segi lahir dan maknawinya, tidak bersifat luaran sahja. Fokusnya penyempurnaan lahir batin, termasuk niat dan keikhlasan dan fokus sepenuhnya kepada Allah dari segi ta`abbudiyyah.
Tentang hakikat ini kata Al-Qushairy:
``Hakiklat ialah mushahadah Rububiyyah.``
 Tambah Al-Qushairy,  ``Maka tiap-tiap shari`at yang tidak diperteguhkan dengan hakikat, maka tidak diterima (?).`` dan lagi, Tiap-tiap hakikat yang tidak diqaydkan dengan shari`at maka tidak berhasil.``
Tambahnya lagi, Shari`at datang mentaklifkan makhluk dan hakikat menyatakan perkara haq, maka shari`at engkau menyembahNya dan hakikat engkau menyaksikanNya. Shari`at mendirikan apa yang disuruh dan hakikat menyaksikan apa yang berlaku dari qadha` dan qadar dan dari segi sembunyi dan zahir.
Al-Qushairy juga memetik pendapat Abu `Ali al-Daqqaq yang mengatakan:
``Iyyaka na`budu  menjaga shari`ah dan Iyyaka nast`in ialah iqrar dengan shari`ah, dan ketahuilah bahawa shari`ah hakikat dari sekira-kira bahawasanya kewajipan dengan suruhan dan hakikat juga shari`ah dengan sekira-kira dia adalah ma`rifat dengannya akan Allah Subhanahu wa Ta`ala yang diwajibkan dengan suruhanNya.``
Ma`rifat dari segi tasawuf adalah peringkat penyempurnaan tertinggi dari segi rohani.
Walau apapun tasawuf adalah aspek ihsan yang berperanan meningkatkan kualiti rohani agar dengannya meningkatkan mutu akidah, ibadah dan kehidupan. Ianya merupakan nilai tambah yang mempertingkat dan memperkukuhkan selagi ianya tidak bercanggah dengan akidah dan shari`at. Nilai tambah ini tidak sekali-kali boleh menghukum tentang akidah dan shari`ah, sebaliknya ia perlu mematuhinya. Allah jua yang menentu, menerima atau menolak amalan. Semoga kita diterima amalan dan mendapat keredhaanNya.

Sekian.

May 3, 2017

DEKAT DAN JAUH - BUKAN KETENTUAN


BBB, 07 Sha`ban 1438H. = 03 Mei 2017M. (Selasa):
Istilah `Dekat` dan  `Jauh` pada asalnya bermaksud kedudukan sesuatu dinisbahkan jarak kepada sesuatu yang lain dengan ukuran seperti batu, kilometer dan sebagainya. Misalnya jika kedudukan sebuah kampung jauhnya 10 km dengan tempat yang dirujuk berbanding dengan sebuah lagi kampung jauhnya 30km. Maka dikatakan kampung yang awal lebih dekat berbanding yang kedua lebih jauh. Ukuran juga dibuat dengan penisbahan kepada masa, misalnya waktu zohor sudah dekat, berbanding dengan waktu asar lebih lambat (jauh). Ukuran dibuat dengan minggu, hari, jam dan sebagainya.  Namun  istilah dekat dan jauh juga diisti`arah juga kepada yang bersifat nilai seperti `Dekat Di hati` mencerminkan keakraban seseorang dengan seorang yang lain, begitu juga dengan `Jauh Di Hati` bermaksud tidak rapat atau tidak mesra seorang itu kepada seseorang tertentu.
Istilah dekat dan jauh dari segi kualiti kerohanian juga dipinjam bagi maksud, misalnya `Dekat dengan Allah` atau ` Jauh dari Allah`.
Menurut Al-Qushairy, istilah Dekat (al-Qurb) digunakan antaranya di dalam mengukur (kualiti) dekatnya seseorang hamba terhadap Allah, ukurannya bersifat hati-rohani misalnya dikatakan;
``Dekatnya seorang hamba dari segi ketaatannya kepada Allah dan dia memenuhi waktu-waktunya di dalam beribadat kepada Allah. Demikian sifat jauh dipinjam bagi menunjukkan  ukuran yang sebalik dari dekat, misalnya dia jauh dari mendapat hidayah daripada Allah.
Al-Qushairy mengambil contoh dekat (juga jauh sebaliknya) daripada Hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud (Hadith Arba`in al-Nawawiyyah – Hadih ke 38, Hadith Qudsi) bermaksud:
Dari Abi Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
``Sesungguhnya Allah Ta`ala berfirman, ``Barangsiapa yang menyakiti waliKu, maka sesungguhnya Aku memaklumkan perang  kepadanya. Dan tiada MENDEKATI  hambaKu kepadaKu dengan suatu (pekerjaan) yang lebih Aku sukai dari (mengerjakan) yang Aku telah fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan melakukan segala yang sunnat hingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya adalah Aku yang (menjadi) pendengarannya yang ia dengar dengan dia, dan penglihatannya yang ia melihat dengan dia dan tangannya yang ia tamparkan dengan dia, dan kakinya yang ia berjalan dengan dia, dan demi jika ia meminta kepadaKu, nescaya Aku berikan kepada dia dan demi jika ia meminta perlindungan kepadaKu, nescaya Aku memperlindungi dia. Diriwayatkan oleh Bukhari.
Tentang istilah dekat ini Al-Qushairy memetik firman Allah bermaksud:
``Dan kami lebih DEKAT kepadanya daripada urat lehernya.`` (Qaf: 16).
Dan firman Allah Ta`ala lagi bermaksud:
``Dan Kami lebih  DEKAT kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.`` (Al-Waqi`ah:  85).
Di sebalik perkataan dekat,  tardapat pula di dalam Al-Qur`an  ayat-ayat yang mengandungi istilah yang bererti jauh. Contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Mereka (orang-orang kafir) tidak memperoleh suatu faedah pun dari apa yang  mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang JAUH dari dasar kebenaran.`` (Ibrahim:  18). Atau ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya, dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya. Itulah kesesatan yang JAUH terpesong.`` (Al-Hajj:  12).
Konsep jauh di dalam kedua-dua ayat di atas adalah jauh bermaksud nilai.
Contoh penggunaan istilah dekat dan jauh terungkap dalam puisi oleh Abu `Ali al-Daqqaq:
``Cinta padamu tapi  hijrah menguji kalbu
DEKAT  berseteru  JAUH kecamuk rindu.``
Penekanan dari segi dekat dan jauh di dalam pembicaraan kerohanian adalah dari segi kualiti. Bermaksud `Dekat Dengan Allah` ialah dengan mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan dan beramal salih, manakala `Jauh Dari Allah` ialah yang tidak mendapat hidayah dari Allah, melakukan perkara yang dilarang oleh Allah dan berterusan di dalam maksiat dan kejahatan.
Namun bagi mereka yang menjangka dirinya sebagai orang dekat dengan Allah, dan yang menjangka diri jauh dari Allah, bukan ketentuan yang dipastikan. Ianya boleh berubah. Contoh potongan dari Hadith riwayat Abu `Abdul Rahman `Abdullah bin Mas`ud, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud (fragmen):
``Bahawa antara seorang daripada kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan, lalu iapun  mengerjakan dengan amal ahli neraka, maka masuklah ia ke dalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli neraka, sehingga antaranya dan antara neraka melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan pula dengan amal ahli syurga, maka masuklah ia ke dalamnya. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim (Hadith al-Arba`in al-Nawawiyyah – Hadith ke 4).
Jauh dan dekat ke syurga bukan jaminan dari amalan kita, begitu juga sebaliknya. Kita berusaha beramal dengan amalan-amalan kebaikan dan mendoakan kepada Allah semoga  kita diberi hidayah di atas jalan yang lurus berterusan.

Sekian.

May 2, 2017

SOAL AL-TALWIN DAN AL-TAMKIN: PENGUKURAN DAN KEDUDUKAN


BBB, 04 Sha`ban 1438H. = 01 Mei 2017M. (Isnin):
Dua istilah tidak begitu dibicarakan di kalangan sufi yang lain, tetapi dikemukakan dan disenaraikan oleh Al-Qushairi. Istlah dimaksudkan ialah `al-Talwin` dan `al-Tamkin.``
Makna  al-talwin dari segi loghah, ialah `kepelbagaian warna`, `kepelbagaian pengalaman.
Tetapi sebagaimana yang diberi makna oleh Al-Qushairy ialah `sifat kepelbagaian ahwal`,  kepelbagaian  ujian dalam perjalananan kerohanian, sifat jiwa yang belum mantap, atau proses hal jiwa dalam menuju kemantapan.
Al-Tamkin dari segi loghah, mendapat, mencapai tujuan, kedudukan dan ketenangan.
Manakala  istilah `al-tamkin` dari segi istilah ialah, bertapak, tetap, berpeluang menguasai dan mantap.
Dapat difahami antara dua istilah di atas ada  jurang perbezaan, al-talwin, ialah peringkat permulaan dari segi perjalanan kualiti kerohanian dan masih terus mendapat ujian, manakala al-tamkin sudah bertapak dan mantap. Juga bererti mencapai matlamat dan ketenangan.
Dilihat dari segi proses pendidikan, baik pendidikan formal biasa seperti pengajian persekolahan dari peringkat rendah hingga kepada peringkat tertinggi dan juga proses pendidikan kerohanian melalui pendekatan dan guru kerohanian, bahawa konsep talwin adalah biasa, bahkan perlu, tanpa melalui proses sedemikian  seorang yang dididik tidak mencapai kematangan dan kejayaan. Dan pendidikan memakan masa dan melalui pentahapan dan yang dididik perlu sabar dengan berbagai ujian. Keadaan yang sama juga harus dilalui oleh yang melalui pendidikan rohani. Dia mesti melalui  peringkat bawah dari segi keilmuan dan juga mesti bermula dari bawah bagi pendidikan kerohanian. Tanpa pendidikan sedemikian tidak akan mencapai kejayaan. Adalah dilihat melalui pendidikan pentahapan dan memakan masa ini adalah terbaik bagi mencapai kematangan. Tanpanya tidak akan mencapai kematangan. Pentahapan secara berubah, dan menuju kepada pemantapan memang proses yang terdapat di dalam pendidikan kerohanian. Sebagai contoh pentahapan dan peningkatan memang proses biasa melalui tahaf khauf, raja`, ikhlas, shukur dan taqwa. Bahkan aspek-aspek maqam, juga mencerminkan perubahan dan peningkat, sebagai contoh seperti taubat, zuhd, sabar, faqr, tawadhu`, tawakkal dan redha juga menggambarkan proses dan perkembangan yang berlaku dan berlakunya peningkatan kualiti  bagi yang terlibat di dalam pengajian yang bersifat kerohanian.
Pendek kata al-talwin adalah proses biasa yang seharusnya dilalui oleh setiap orang yang melalui aspek pendidikan. Aspek talwin dan kepelbagaian ini sebenarnya memperkayakan pembelajaran dan pengalaman yang dapat meningkatkan kualiti  yang dididik dan mutu pendidikan itu.
Jelas persoalan berkenaan dengan talwin adalah menjadi pendekatan di dalam bidang pendidikan. Bagaimana pula dengan konsep tamkin ?.
Sebagaimana kata Al-Qushairy ``Sifat atau gambaran ahli al-haqa`iq`
Aspek talwin mudah kita tanggapi dan memahami, kerana ianya berada di atas landasan biasa pendidikan. Bagaimanakah hakikat sebenarnya orang bertahap hakikat ini. Aspek ini lenih sukar untuk dikenal pasti, bahkan sukar untuk dibicarakan – Orang yang mantap dengan ilmu-ilmu hakikat.
Mantap dan tamkin bagi keilmuan umum dan akademik mudah dilihat. Tahap tinggi mereka  dengan tanda  kelulusan mereka seperti  Dr. Falsafahm lebih dari itu drngan kepakaran mereka  dianugerah title  misalnya profesor yang mencerminkan pencapaian akademik mereka. Walau macam mana pencapaian kelulusan pada peringkat Dr. Falsafah, bukan bererti dia  mahir di dalam bidang, Lantaran selepas lulus, kalau dia kaku dari kegiatan ilmiah, menghasilkan buku dan penulisan dan berbagai lagi kegiatan akademik  maka dia sukar berkembang dan mungkin berlalu dan menghilang. Kepakaran dan pencapaian seseorang dalam bidang akademik, bukan dari dakwaan pemilik lulusan tertnggi, tetapi lebih diiktiraf dari segi penyelidikan dan berbagai kegiatan keilmuan. Pengiktirafan adalah dilakukan pihal lain, dan bukan oleh individu berkenaan dan jelas dari segi kelayakan.
Masalah yang lebih rumit ialah konsep tamkin yang dinisbahkan  kalangan sufi, bagaimana kriteria menilainya dan bagaimana mempastikan bahawa seorang sufi itu mantap – tamkin dengan kedudukannya. Sudah tentulah setiap sufi yang benar-benar sufi tidak mau mengaku apa lagi untuk meletakkan diri pada tempat tertentu, jika demikian dia tidak layak sebagai seorang sufi. Untuk mengenal pasti secara yang lebih selamat, ialah dengan mengambil contoh ketara dan tidak dapat dipertikaikan, sebagai contoh Nabi Allah Yusof sebagai seorang yang mantap dari segi kerohanian, sedang adik beradiknya serta juga Zulaikha adalah mereka yang pernah berada pada tahap rendah dari segi kedudukan. Hidup adik beradik Nabi Allah Yusof ditalwin dengan sifat hasad dengki dengan tindakan untuk membunuhnya dan sifat berdusta terhadap bapanya Nabi Allah Ya`kob. Banyak pengalaman yang mereka lalu dari berbagai warna kehidupan dan unjian yang akhirnya membawa mereka kepada keinsafan. Begitu juga dengan Zulaikha diuji dengan sifat nafsu syahwat dengan menggoda Nabi Allah Yusof yang membawa ujian terhadap Nabi Yusof sehingga ia terpenjara, hinggalah beliau keluar dari penjara dan akhirnya hidup sentosa bersama keluarganya. Contoh bagi yang mencapai peringkat tamkin, khususnyua dari segi kerohanian adalah Nabi Allah Ya`kob yang memperlihatkan sifat tabah dan sabar sehingga akhirnya ujian terhadapnya dari karinah anak-anak dapat diselesaikan. Juga contoh dari segi tamkin ialah Nabi Allah Yusof sendiri yang banyak menghadapi ujian sejak dari remaja dibuang ke perigi buta, terjual sebagai hamba, menghadapi godaan Zulaikha yang menyebabkannya terpenjara sehinggalah konflik dapat diselesaikan. Sudah tentulah contoh yang paling utama dari segi ketamkinan ialah Nabi Muhammad s.a.w.
Adapun dari tokoh sufi sendiri, sebagaimana disebutkan tidak mungkin kalangan mereka  meletakkan diri mereka pada tempat tertentu dari segi kerohanian, sebarang pengakuan dan meletekkan diri mereka, bererti menjatuhkan diri mereka sendiri. Walau bagaimana contoh tamkin dari kalangan sufi ialah dari sebutan dan pentarafan yang diberi oleh kalangan sufi terhadap sufi-sufi berkenaan seperti diterima dikalangan mereka ialah seperti Al-Junayd al-Baghdadi, Ibrahim al-Adham, Shaqiq al-Balakh, Sahl al-Tustari, Al-Harith  al-Muhasibi, al-Ghazali dan sebagainya.

Sekian.

May 1, 2017

AL-BUWADAH DAN AL-HUJUM: PERUBAHAN POSITIF


BBB,  03 Sha`ban 1438H. = 30 April 2017M. (Ahad):
Dua istilah di atas, iaitu  `al-Buwadah dan al-Hujum` dapat diterjemahkan kepada makna  `Spontan dan Pertapakan (Hajama bererti Menyerang).
Dalam huraian ringkas oleh Al-Qushairy terhadap dua perkataan di atas, bahawa:
Al-Buwadah  ialah apa yang berlaku secara mengejut ke atas hatimu daripada dimensi  waktu pada ketika dirimu dalam keadaan riang atau di dalam keadaan kedukacitaan.
Manakala `al-Hujum` apa yang datang ke atas hati dengan kekuatan suasana waktu yang tanpa dibuat-buat. Dia adalah berlainan dari segi jenis menurut kuat warid atau sebaliknya. Ada yang berubah dari segi buwadah dan kesan impak dari hujum. Antara mereka  mengatasi kejutan, hal dan kekuatan waktu, sebagaimana dipuisikan:
Jangan  berpandu pada pakaian zaman kepada mereka
Bagi mereka ada  pengendali juru cakap bersama.
Apa yang diberi pengertian di atas, ianya adalah merupakan  tahap-tahap yang berlaku kepada hati dan perubahan yang berlaku padanya.
Apa yang dimaksudkan ialah proses yang berlaku pada hati (sebenarnya juga terlibat  akli dan rohani).
 Di dalam memahami berhubung dengan  warid yang datang dengan mengejut dan sponton ini sekali lagi kita menggunakan kaedah perbandingan antara pengalaman yang biasa dilalui dan alami dengan pegalaman  hati-rohani yang merupakan bidang yang khusus dan tersendiri dan sukar difahami apa lagi bagi yang tidak mengetahui berhubung dengan bidang hati-rohani ini. Namun kita berkeyakinan sebagaimana kita pernah berulang kali menyebut bahawa pengalaman seni dan perjalanan kualitinya, apa lagi yang memuncak kepada Ilahi ada persamaan, walaupun tidak sepenuhnya sama dengan pengalaman tasawuf.
Disebutkan oleh Al-Qushairy berhubung dengan sesuatu yang warid, kadang datang secara mnengejut kepada seorang menjalani aspek kerohanian. Perkara yang seumpama ini berlaku  di dalam bidang seni. Bagi seorang seniawan idea, hati nuraninya sering fokus mencari bagi mendapat sesuatu bagi bahan seninya, katakan tema, tajuk dan persoalan bagi sesebuah puisinya. Dicari dan dintai melalui pengalaman, pembacaan dan interaksinya dengan masyarakat, alam dan kuasa tertinggi, namun tidak semestinya mencapai tujuan. Musim kekeringan mungkin berlaku bukan sehari, seminggu, bahkan hingga berbulan.
Sesuatu yang bersifat ilham adalah kurniaan dari Tuhan, kadang-kadang apa yang dinamakan idea, tema, persoalan, cetusan sesuatu dapatan, tidak jangka,  kadang-kadang, misalnya terjaga dari tidur tengah malam, atau berdepan dengan keindahan dan peristiwa tertentu yang menyentuh hati,  kadang-kadang dari peristiwa gembira, lebih-lebih lagi duka dan menyayat hati spontan dan segera mencetuskan ilham yang baik dan indah yang tidak disangka-sangka tercetus dan menjelma. Apa yang disifatkan sebagai, terkaman, tekanan (hujum), bahawa sesuatu cambahan ilham ini perlu dilayan oleh seniawan dan suasana adalah mendesak dirinya bukan setakat layan, tetapi hendaklah mencatat cetusan ilham ini agar tidak hilang dan dapat diolah pada masa berikut. Apa yang disifatkan sebagai serangan terhadap minda ini merupakan paksaan yang seharusnya diberi respond terbaik, jika tidak dia akan kehilangan sesuatu yang berharga. Jika ditangguh cetusan yang datang untuk dicatat besoknya, biasanya dia tidak datang sebaik dan seindah cetesan awalnya. Jika ditangguh mood yang diusaha dibawa datang untuk esok, tidak sama datangnya dan tidak jarang, ianya langsung tidak menjadi.
Berhubung dengan cetusan secara sponton yang berlaku  kepada pengamal aspek rohani – tasawuf. Perlu diingat kehidupan sufi, bukan kehidupan sekali sekali yang jika mahu boleh terlibat dan jika tidak mahu boleh ditarik diri bagi tempoh masa tertentu.  Keterlibatan dengan bidang kerohanian adalah keterlibatan secara berterusan, di dalamnya dialami, bahkan dilatih diri dengan kepahitan hidup, misalnya mengalami suasana kafaqiran jiwa, kekesalan silam dan bagaimana menebusnya dalam kekinian, kesal dengan ketidakmampuan diri menunaikan tuntutan rohani.
Dalam bidang rohani tiada siapa yang dapat menentukan dia diterima atau ditolak. Tetapi tahap-tahap yang dilalui dan peningkatana menandakan kurniaan-kurniaan. Misalnya timbulnya keinsafan  bagi yang bergelumang dengan dosa dan kesalahan, tidak kira sebab yang membawa kepada keinsafan sama ada menerima bala dan ujian kematian orang yang dikasihi, atau dia sendiri mengalami kemalangan yang menginsafkan, atau hidayah yang dicampakkan di dalam hatinya selepas menghadiri pengajian-pengajian, maka saat  menerima hidayah secara spontan dapat dikira sebagai `mengejut` bagi yang menerimanya. Seharusnya bagi yang menerimanya bersyukur kepada Allah dengan apa yang diterima dari kurniaNya.
Peristiwa-peristiwa yang mengejut dan spontan juga boleh berlaku dalam menghadapi dan mengalami proses peningktana kualiti diri misalnya selepas daripada taubat, menukarkan wataknya daripada seorang yang berpoya-poya kepada hidup yang sederhana, kalau dulu seorang yang kedekut bertukar watak menjadi seorang yang pemurah dan bersifat kasihan belas, suka menderma, menolong orang-orang yang susah, khususnya terhadap anak-anak yatim dan faqir miskin. Perubahan yang baik yang diterima secara sponton akibat dari keinsafan, menjadikan seorang perungus, kasar kepada bersifat sabar, tawadhu` an menghormati orang. Akhirnya meningkat  menjadi seorang yang bertaqwa, tawakkal , ikhlas dan syukur.
Ciri-ciri perubahan di atas boleh berlaku kepada ramai orang yang mungkin  berlaku perubahan disebabkan oleh sebab-sebab yang berlainan yang dialami seseorang. Keinsafan yang berlaku bukan dibuat-buat dan bagi yang mencapainya tidak mendakwa dengan pencapaian, tetapi hal dirinya dapat dilihat dari luar oleh mereka yang ada hubungan dan rapat dengannya.
Keinsapan yang dikurnia secara sponton oleh Tuhan terhadap seseorang adalah peningkatan yang positif bagi seseorang sama ada kesedaran secara  akhlak melalui orientasi kehidupan dan masyarakat sekeliling atau melalui disiplin secara treratur menurut dididkan dan latihan kesufian. Ianya adalah menandakan peningkatan perjalanan kualiti diri bagi seseorang yang menjalaninya yang seharusnya ia bersyukur dengannya kepada Allah.

Sekian.