July 7, 2018



BBB,  22 Syawal 1439H. = 06 Julai 2018M. (Juma`at):
Selepas membicarakan dari segi arkitek Masjid Al-Umm yang menjadi asas bagi senibina Masjid Al-Umm, maka akan  dibicarakan tentang senibina Masjid Al-Umm itu sendiri. Melihat kepada Masjid Al-Umm secara keseluruhan, sebelum turun membicarakan bahagian demi bahagian terjemahan dari plan arkitek selepas perubahan dan dapat dikatakan bahawa apa yang dilihat kini dari segi fizikal, itulah Masjid Al-Umm yang telah diterima dan diluluskan dari segi pemeriksaan (terakhir Bomba pada 3 Julai 2018), insya Allah bakal mendapat kelulusan CCC secara rasmi.
Dengan meyakini pendapat betul atau dianggap bias, kerana kami terlibat dalam pembinaan sebagai Pengerusi dan Jawatankuasa Pembinaan, paling tidak selaku Pengerusi berpendapat bahawa Masjid Al-Umm adalah `Masjid Yang Indah` sebagai sebuah masjid tanpa memerlukan perbandingan dengan mana-mana masjid. Bahkan seindah Taj Mahal (bukan masjid) dari segi senibinanya.
Indah dari segi `Falsafah Takmilah` bahawa perjalanan membina Masjid Al-Umm hingga kini dikira dari tercetusnya Bangi Bandar Ilmu (22Jun 2008) hingga kini (6 Julai 2018) yang Masjid Al-Umm sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu adalah genap 10 tahun – Satu dekad yang penuh berkat (Keizinan Kerajaan Negeri terhadap  JAIS mengenai  tapak bagi Masjid –Ruj. PTD HL. 16/3/5.2008 (3) bertarikh 24 Mei 2008.
Perjalanan 10 tahunbagi pembinaan Masjid Al-Umm adalah perjalanan kuantiti dan kualiti bagi Masjid Al-Umm dalam menuju Takmilah. Dalam konsep Takmilah perjalanan dari permulaan, bukan tidak ada halangan dan gangguan, misalnya dari segi tenaga manusia, dari segi pentadbiran dan dari segi kewangan, tetapi ini adalah merupakan ujian-ujian yang harus dilalui bagi memantapkan pembinaan. Ianya juga adalah proses Takmilah. Proses Takmilah tidak bererti semuanya dilalui dengan baik dan sempurna, bahkan ketidak sempurnaan itu adalah komponen Takmilah. Sebagai contoh dari segi kewangan, bagi mendapat dana bagi pembinaan Masjid Al-Umm, berbagai usaha dan halangan yang didapati, pembayaran yang dilakukan tidak selicin yang diharapkan, berbagai halangan dan tersangkut dari segi kewangan. Bayangkan kos bagi membina Masjid Al-Umm berasal dari RM10 juta meningkat berkali-kali  kepada RM21 juta, kerana perubahan dari segi plan, peningkatan harga barang-barang dan cukai GST (lebih dari RM600,000 amat memeritkan bagi mendapat kewangan dan pembayan). Namun melalui ujian-ujian kewangan berkenaan Masjid Al-Umm dapat disiapkan, itupun masih terhutang RM2 juta dan masih merupakan cabaran bagi kami mendapatkan kewangan bagi melunaskan hutang. Namun pahit maung ujian kewangan ini adalah kemanisan pengalaman yang terpaksa kami lalui dan sedang dan masih kami lalui. Ini adalah merupakan proses Takmilah dari segi kewangan.
Demikian juga dilihat secara keseluruhan kepada pembangunan fizikal Masjid Al-Umm. Selama 5 tahun pembangunannya berlangsung (10.12.2013 kini 6.7.2018). Dilihat dari luaran ianya telah siap, tetapi sebenarnya berbagai masalah berlaku sejak dari permulaan pembangunan, misalnya ruang masuk yang terlampau terbuka dan tiada sekatan dan boleh dicerobohi, pengabaian dari mewujudkan ruang pejabat pentadbiran secara sempurna, sehingga terpaksa menumpang ruang bukan dikhususkan bagi pentadbiran. Kubah yang diharap sebagai sebuah kubah yang canggih sehingga kini tidak pernah sempurna dari segi pembinaan dan pemakaian dan banyak lagi kekurangan-kekurangan, tetapi di atas kekurangan-kekurangan ini yang diharap dapat diperbaiki diharap ianya menyempurnakan pembinaan. Demikian  falsafah Takmilah dari segi pembinaan Masjid Al-Umm adalah dilihat di sebalik dari segi kekurangan  baik dari segi dana dan kekurangan dari segi pembinaan yang diangankan kesempurnaan adalah merupakan proses Takmilah bagi pembinaan dan nilai bagi Masjid Al-Umm. Kekurangan-kekurangan adalah ruang bagi membaiki dan mengimaginasikan kesempurnaan dan perjalanan ke arah itu tiada noktah akhir dan Takmilah Hakiki tidak mungkin dicapai, dan Takmilah di dalam ketidak Takmilah itulah Takmilah yang dapat dicapai. Dalam kata lain hasrat sempurna Takmilah adalah keiginan tidak pernah dicapai dan ia adalah cabaran bagi kita di dalam apa jua bidang bergerak ke arahnya. Dia adalah cahaya yang kita unggas rindu menuju kepadanya.
Demikianlah melihat secara keseluruhan ada yang dianggap mendekati dari segi estetika  dan ada yang tidak menepati, dan ada ruang bagi meningkatkan kualiti dan mengusaha ke arahnya, itulah semangat dan jiwa Takmilah. Ibarat sekuntum mawar, keindahannya adalah terdiri dari kelopaknya yang lembut dan indah yang mengeluarkan serbak wangian, tetapi ada yang kontranya, misalnya duri pada tangkai di bawah kuntuman adalah membahaya dan merosakkan, demikian dengan daunnya yang mungkin tidak sebaik bunganya yang misalnya dirosakkan oleh unggas  dan sebagainya, tetapi kombinasi bagi semua ia adalah sebuah atau sekuntum keindahan. Takmilah dapat dilihat dan digambarkan di mana-mana, tetapi kekurangan juga di mana-mana ia adalah ruang yang terus menerus bagi pembaikan. Kekurangan memang lebih jelas pada bahagian fizikal yang besar, tetapi bila membicarakan dari segi estetika pada bahagian demi bahagian di sana juga elemen Takmilah dan di sana ada kekurangan-kekurangan yang boleh diperbaiki atau diimaginasikan kesempurnaannya. Dalam kata lain tidak ada yang Takmilah alamiah selengkap, tanpa cacat dan Takmilah adalah pada Yang Paling Sempurna !
Dalam hal ini, dengan ketidak sempurnaan pada Masjid Al-Umm, dari segi lahiri dan maknawi ialah Takmilah Kemasjidan Masjid Al-Umm yang kami unggulinya.
Sekian.

July 6, 2018

BERITA MENYENANGKAN MASIH BERHALANGAN


BBB, 21 Syawal  1439H. = 05 Julai 2018M. (Khamis):

Berita
Tentang pemeriksaan bomba 3 Julai
Dan kelulusan amat menyenangkan
Menggugurkan separuh beban penungguan
Ia adalah siri akhir daripada 21 keperluan
Dilulus jabatan-jabatan dari permohonan
Arkitek bertahun mengurus  dan meyelesaikan
Walau bagaimana budaya sub-kontrektor
Saat-saat kita dalam keperluan
Mereka berulang  mengambil kesempatan
Menuntut bayaran belum diselesaikan
Ingatkah betapa lamanya tertangguh
Mereka menangguk di air keruh
Ketika mula mau menggunakan bangunan
(Sebelum 16 Disember 2017)
Mereka mensyaratkan keperluan bayaran
Sebelum memasang bahagian akhir
Bagi memungkin  penggunaan air-cond.
Betapa janji tidak ditunai dengan bayaran
Diagih kepada yang bukan dalam perjanjian
dan mensyaratkan bayaran lagi sebelum pemasangan
hingga  kita terpaksa membuat perjanjian bertulis
pada 26 Oktober 2017 antara Pengerusi, Akbar & Haji Marzuki
Dengan bayaran RM150,000 baru air-cond beroperasi dan
Program berjalan dan penggunaan hingga kini berterusan.

Kini pada peringkat akhir
Dengan kelulusan bomba kita jangka
Urusan memudahkan ke arah CCC
Kini  taktik sama berkali-kali diguna lagi
Hutang lift sekadar RM60,000 dijadikan syarat
Penyerahan surat kelulusan dikeluarkan
Tanpanya CCC trersekat kelulusan.

Dengan demikian
Setiap ugutan berulang
Kita terpaksa duduk berbincang
Dan buat kiraan tentang baki di tangan
Implikasi jika dikeluarkan  semua bayaran
Terhadap pentadbiran dan pengurusan.

Demikianlah betapa
Sepanjang pembinaan
Kita meniti di atas permasalahan
Di dalam kesempitan terpaksa menghuraikan
Permasalahan secara bijaksana dalam kawalan
Seumpama lift disebut kaperluan  bayaran
Bagi mengangkat permasalahan
Insya Allah semua dapat diselesaikan.
Sekian.

July 5, 2018

MENGHORMATI KESETIAAN DAN KESABARAN ARKITEK DAN KONTREKTOR


BBB, 20 Syawal 1439H. = 4 Julai 2018M. (Rabu):
Walaupun ada kelemahan, kekurangan  dan kelewatan dari segi pembangunan fizikal Masjid Al-Umm, namun pihak Ahli Jawatankuasa  Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm adalah mendapati bahawa arkitek dan kontrektor yang membina Masjid Adalah arkitek dan kontrektor yang tepat dari segi pilihan. Mereka menunjukkan komitmen yang tinggi, walaupun tempoh masa melampaui dari tempoh sebenar (76 minggu) melangkaui lebih dari empat tahun.
Keterlibatan Arkitek Urusbina yang diurus di Bangi oleh Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad, walaupun beribu pejabat di Perlis, tetapi kerana beliau adalah penghuni Seksyen Dua, berdekatan dengan Masjid Al-Umm, pembinaan Masjid Al-Umm adalah merupakan pembinaan bagi diri dan kariah sendiri. Beliau terlibat dengan penyediaan plan bagi Masjid Al-Umm sejak peringkat awal, iaitu menyediakan plan bagi pameran  Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm  (19 Mei 2012). Beliau adalah anggota keahlian  yang ditambah bagi kumpulan pertama. Beliau seterusnya menjadi Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm kumpulan kedua yang dilantik pada 14 Ogos 2012 (Mesyuarat Bil. 1/2012) dan menyediakan plan bagi perasmian Pecah Tanah Masjid Al-Umm  oleh Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor pada  6 Januari 2013. Apabila ditubuhkan Jawatankuasa Teknikal yang mesyuarat pertamanya ialah pada 8 Januari 2013 beliau adalah menjadi salah seorang ahli dalam jawatankuasa berkenaan.
Walaupun pembinaan masjid adalah merupakan kali pertama bagi Urusbina, beliau begitu komited dengan tugas  arkiteknya, setia dan bersedia mengubahsuai plan sesuai dengan pengubahan binaan Masjid. Beliau tidak jemu turun naik ke Bangunan MPKj Kajang, kerana urusan plan dan ini berterusan ke peringkat mutakhir. Beliau sebagai `orang seni` adalah berperwatakan lembut dan  menerima kecaman secara tenang dan sabar. Beliau menarik diri dari keanggotaan di dalam Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, selepas Jawatankuasa Teknikal ditubuh, kerana mengelak dari berlaku `conflict of interest.`
Tuntutan-tuntutan yang dibuat  (melebihi RM300,000/=) amat berpatutan dan pihak Ahli Jawatankuasa tidak mempersoalkan dengan tuntutan yang sekali sekala dibuat. Masjid Al-Umm boleh disifatkan setakat ini adalah sebagai `Master Peace`  bagi pembinaan yang dilibatkan oleh Urusbina, khususnya dalam pembinaan masjid.
Di samping arkitek, pihak yang terlibat secara rapat dengan Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm ialah kontrektor. Tekad Nusantara adalah kontrektor yang dipilih bagi membina Masjid Al-Umm. Pemilihan adalah secara terbuka mulai dari:
a)      Keluar Tender pada 5 Mac 2013
b)      Jual Dokumen 02 Oktober 2013
c)       Pemohon 9 kontrektor
d)      Interview mulai 19 November 2013.
e)      Keputusan dikeluarkan pada 25 November 2013.
f)       Kontrektor yang berjaya ialah Tekad Nusantara Sdn. Bhd. No. 13,  Jalan 4/11A, Seksyen 4 Tambahan, 43650 Bandar Baru Bangi.
g)      Masuk Tapak pada 10.12. 2013.
Pemilihan terhadap Tekad oleh kerana prestasi kontrektor ini yang telah banyak membina bangunan kerajaan dan swasta, termasuk yang terbaru pada masa itu ialah Kompleks Pendidikan Islam Bangi. Selain dari merupakan kontrektor tempatan  yang mudah berkira dan berurusan, Tekad bersetuju untuk menanggung kelewatan bayaran sehingga sejumlah RM2 juta.
Sememangnya dalam urusan kontrek banyak  ujian yang dihadapi oleh Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan dan pihak Kontrektor Sdn. Bhd yang Pengarah Urusannya ialah Tuan Haji Marzuki Hj Che Omar. Beliau amat memahami tentang masalah yang dihadapi oleh Masjid, terutama dari segi kewangan. Dalam urusan Tekad tidak saja menghadapi tekanan secara bersendirian, tetapi dari sub-sub kontrektor di bawahnya seperti Majleza (Kubah dan Menara dan beberapa yang lain), dari sub kontrektor letrik dan air cond., Perabut, Landscape, Signage dan sebagainya.
Dari tekanan yang dialami pernah pihak Tekad memohon mau menamatkan kontrek mulai 27 Februari 2017, antaranya disebabkan kelewatan pembayaran yang perlu dibayar kepada sub-sub kontrektor dan tanggungan kos yang terpaksa dihadapi. Sebenarnya pihak AJK Pembinaan dan Pengimarahan tidak menangguhkan  sebarang bayaran bila kewangan mengizinkan – Bayaran telah dibuat sebanyak RM19 juta. Apa yang tinggal selepas bayaran-bayaran dibuat hanya untuk pentadbiran dan pengurusan. Pihak Tekad bertolak ansur dan menerima bayaran seadanya untuk diagihkan kepada pihak sub-sub kontrtektor. Berkat kesabaran pihak Masjid dengan kerjasama dari kontrektor dan arkitek mendapat CPC pada (14.12.21017) dan insya Allah dalam masa terdekat akan mendapat CCC.  Juga - Insya Allah hutang yang ditanggung pada peringkat akhir ini sebanyak RM2 juta akan dapat dilangsaikan secara berperingkat.
Sekian.

July 4, 2018

RENUNGAN: DIMENSI YANG MELEMAHKAN TAKMILAH


BBB, 19 Syawal 1439H. = 03 Julai 2018H. (Selasa):
Mendirikan Masjid Al-Umm adalah dengan hasrat ianya menjadi pusat ibadat, pembelajaran dan kegiatan kemasyarakatan yang masjid adalah merupakan pemangkin  bagi Bangi Bandar Ilmu.
Juga adalah diharapkan Masjid Al-Umm menjadi mercu tanda bagi Bangi Bandar Ilmu, indah dari segi fizikal dan terkenal dengan pengimarahan dan kegiatan keilmuan. Adalah diharapkan  Masjid Al-Umm menjadi model bagi Takmilah  kemasjidan.
Walau bagaimana merenung dan meneliti kembali dari segi perjalanan kualiti keTakmilahannya ada dimensi-dimensi yang mengganggu dan melemahkan pergerakan ke arah kualiti keTakmilahan., Dilihat kepada kelamaan masa yang diambil  adalah melangkaui tempoh kebiasaan yang dapat dipersoalkan:
·         Telah 10 tahun dari permulaan tercetusnya motto `Bangi Bandar Ilmu` (22 Jun 2008). Masjid adalah diharapkan menjadi pemangkin Bangi Bandar Ilmu.
·         Telah 8 tahunpenubuhan Jawatankuasa terawal Pembinaan Masjid Al-Umm (4 Februari 2010).
·         Telah 5 tahun dari permulaan (Masak Tapak) pembinaan fizikal Masjid Al-Umm (10.12.2013).
·         Telah setengah tahun penggunaan Masjid Al-Umm (16.12.2017) selepas mendapat CPS dua hari sebelumnya  (14.12.2017).
·         Dijangka pada hari ini (3 Julai 2018) pemeriksaan Bomba yang berkemungkinan  layak mendapat CCC, tetapi masih tidak berlaku.
Namun sesudah melalui kelewatan dan kejemuan menunggu hingga hari ini masih tidak jelas dan masih menghadapi ketidakpastian.
Mengapa semua ini terjadi ?
Pokok pertama ialah kerana kejahilan, pihak jawatankuasa, khususnya pada peringkat awal. Kejahilan sejak dari peringkat awal banyak menghalang  dari membuat tindakan tepat yang dapat menyelamatkan masa dan peruntukan. Misalnya jika plan disempurnakan dari awal dan tidak berlaku penambahan-penambahan major  pada masa pembangunan boleh menyelamatkan masa dan kos.
Penambahan yang dilakukan terhadap setengah plan yang sedia ada sepatutnya tidak berlaku, tetapi dilakukan menyebabkan bertambah kos. Misalnya dua ruang airwell yang sengaja dibuat untuk kemasukan cahaya matahari, udara dan hujan tidak wajar diganggu, kerana itulah tujuan, sebaliknya ditutup dan berkali-kali diubahsuai menyebabkan meningkatnya kos. Tambahan lengkungan juga tidak perlu dihadapan pintu gerbang masjid, kerana lantai hadapan telah disediakan secara bersesuaian bagi aliran tempias. Penambahan merosakkan ruang hadapan dan mencacatkan pandangan.
Ruang tadahan air dihadapan masjid begitu luas dan membazir dan tidak praktikal dari segi tadahan – tidak berlaku penuhnya tadahan. Sepatutnya ruang tadahan lebih kecil dan ruang di sini tidak perlu dipagar dan ruang berkenaan dapat dijadikan tempat parkir rapat ke tembok asal masjid. Dengan demikian pandangan adalah lebih cantik dan menarik.
Kawasan masjid adalah tempat terbuka dan tidak perlu ada pondok pengawal pada setiap pintu masuk, masjid bukannya istana, cukup dengan ada pintu untuk ditutup pada waktu malam. Adanya dua pondok pengawal tidak digunakan dan ianya lebih bersifat pembaziran.. Tidak ada pondok pengawal di Masjid Sultan Salahuddin dan beberapa masjid besar di Selangor.
Konsultan-konsultan yang dilantik (dengan jemputan), walau banyak memberi faedah, tetapi amat jarang memberi nasihat melarang dari keputusan dibuat dan menasihati agar tidak meneruskan perancangan bagi perkarayang meningkatkan kos, misalnya sepatutnya menasihati tidak mengutamakan pembelian perabut yang mahal sejak awal dan sepatutnya aspek ini dikemudiankan yang tidak menjejaskan pembangunan masjid.
Konsultan-konsultan sama tidak peka dan tidak menasihati beberapa ruang masuk ke masjid bersifat  terlampau terbuka hingga dimasuki kucing dan anjing hingga menyebabkan beberapa kali disamak bila terserempak dengan kemasukan anjing. Untuk menghalang dari kemasukan terpaksa dipasang jaring-jaring buat sementara dan terpaksa ditutup dan dibuka secara manual. Peruntukan terpaksa dicari bagi membuat halangan secara sesuai supaya ruang masjid tidak dimasuki seperti anjing.
Banyak lagi perubahan-perubahan yang dilakukan yang menyebabkan kenaikan kos. Semua perubahan terpaksa disubmit plan tambahan kepada MPKj dan melambatkan kelulusan.
Terfikir juga jika sesebuah projek perumahan memakan masa  sedemikian lama, bagaimanakan projek dapat hidup dan untung ?. Terfikir juga ini adalah merupakan ruang-ruang yang membuka jalan ke arah rasuah yang sepatutnya tidak berlaku.
Sesungguhnya apa yang dibincangkan adalah  dimensi-dimensi gangguan ke Arah Takmilah Pembangunan.
Sekian.

July 3, 2018

MENUNGGU KELULUSAN PLAN


BBB, 18 Syawal 1439H. = 02 Julai 2018M. (Isnin):
Membina bangunan yang melibatkan keperluan bagi mendapat kelulusan plan  dari pihak berwajib – Majlis perbandaran perlu mematuhi syarat-syarat. Antaranya plan yang diangkat berjumlah 21 salinan perlu diluluskan oleh semua jabatan berkenaan melalui Majlis Perbandaran yangf merupakan sebagai `One Stop Centre` bagi  semua jabatan-jabatan. Contoh, bomba, TNB,  perpatitan, kesihatan, alam sekitar, perbandaran dan sebagainya.
Untuk mendapat kelulusan memakan masa. Ada beberapa tahap terpaksa dilalui untuk mendapat kelulusan
a)      Tahap Persediaan
Pada  tahap ini plan disiapkan oleh pihak arkitek, sesempurna yang mungkin sebelum diangkat kepada pihak Perbandaran. Bila dipastikan sempurna, baru diangkat kepada pihak Perbandaran.
b)      Tahap Penungguan
Dalam tempoh penungguan ini, bukan saja menunggu, tetapi di dalam masa menunggu ada perkara-perkara yang dipersoalkan oleh pihak berwajib, maka arkitek dipanggil, biasanya diminta buat pembaikan. Persoalan-persoalan dikemukakan melibatkan banyak kali berhubung dengan banyak perkara. Dalam hal ini pihak arkitek dan yang lain terpaksa naik turun pejabat dan membuat pembaikan-pembaikan hingga pihak berkuasa berpuas hati.
c)       Tahap Kelulusan
Selepas menunggu sekian lama, tiba pada tahap kelulusan yang membolehkan pihak kontrektor `Masuk Tapak` dan memulakan pembinaan.
d)      Pebaikan Dalam Masa Pembinaan
Dalam masa pembinaan berlaku perubahan, adjustment kepada pembinaan yang melibatkan perubahan.  Perubahan-perubahan sedemikian perlu dimaklumkan kepada pihak perbandaran yang kelak dikira dari segi penilaian dan kelulusan.
e)      Tahap Penungguan Setelah Siap
Siap dari segi fizikal tidak bermakna siap sepenuhnya. Segala keperluan di check bagi tahap:
i)                    CPC
ii)                   CCC.
Bagi bangunan yang sempurna dari awal dan pihak kontrektor membina terus dengan mengikuti plan arkitek secara sempurna, mungkin tidak banyak menimbulkan masalah, tetapi bagi Masjid Al-Umm kelima-lima tahap terpaksa dilalui dan memakan masa dan amat membeban dan tertekan pihak Jawatankuasa Pembinaan bagi mendapat kelulusan.
Penghantaran Plan
Oleh kerana target pembinaan Masjid Al-Umm hendaklah dilakukan dalam tempoh tidak lewat dari setahun dari tarikh `Pecah Tanah  (6 Januari 2013), maka di dalam perbincangan dikehendaki menghantar plan yang telah dibincang dan antaranya dipinda sebaik sesudah tarikh `Pecah Tanah`.
Sebelum plan dihantar kepada pihak MPKj.
 Pada 21.1.2013, dua minggu selepas `Pecah Tanah`, maka oleh kerana masjid adalah di bawah JAIS, maka pada tarikh tersebut pihak Jawatankuasa Pembinaan diketuai Pengerusi bersama 5 Jawatankuasa Pembinaan telah menemui pihak JAIS, bahagian Pembangunan dan membincangkan soal plan Masjid Al-Umm, maka selepas perbincangan ini pihak Jawatankuasa telah mengangkatkan plan yang disetujui JAIS itu kepada MPKj pada 11 Februari 2013. Perbincangan dan penyerahan Plan itu dilakukan oleh Pengerusi Pembinaan kepada YDP MPkj melalui Engineernya dan beberapa yang lain, manakala dari pihak Masjid Al-Umm disertai sama oleh Tuan Haji Hussin Yunos Setiausaha, Tuan Haji Mohd. Nor  Yasin Bendahari, Haji Abdul Rahman Daud Jawatankuasa dan saudara Adham Setiauasaha Kerja. Perbincangan tidak lain dari mengharapkan plan binaan Masjid Al-Umm mendapat kelulusan dalam kadar segera.
Walaupun dalam percakapa lisan, kita merasa optimis akan segera mendapat kelulusan, tetapi dari segi realitinya pihak arkitek terpaksa berulang kali turun naik pejabat MPKj  bagi mengangkat perubahan dan pembaikan plan yang dipersoalkan oleh pihak MPKj.
Pihak Jawatankuasa pada masa itu ghairah untuk segera membinakan masjid Al-Umm, walaupun pada hakikatnya, masalah kewangan masih menjadi halangan untuk pembinaan, namum usaha dilakukan bagi mendapat dana sekurang-kurang bagi pembinaan pada peringkat permulaan.
Hingga kepada akhir tahun 2013 pihak Jawatankuasa Pembinaan yang berazam mau melakukan pembinaan dalam tempoh tidak melebihi setahun dari tarikh pecah tanah mengharakan kelulusan plan tidak lewat dari akhir tahun 2013.
Tarikh Masuk Tapak ditentukan ialah pada 10.12.2013. Dalam masa tersebut maklumat tidak resmi diketahui plan telah diluluskan yang kemudian diketahui ialah pada  4 Disember 2013. Namun surat rasmi tiba ke tangan lewat beberapa hari dari tarikh Masuk Tapak, iaitu pada 10 Disember 2013 (Masuk Tapak).
Sekian.

July 2, 2018

SENIBINA MASJID AL-UMM MENURUT FALSAFAH DAN KEPERLUAN - MENUJU TAKMILAH


BBB, 17 Syawal 1439H. = 01 Julai 2018M. (Ahad):
Pada peringkat awal penghasilan plan arkitek bagi pelancaran Tabung Masjid Al-Umm (19 Mei 2012) oleh Urusbina Arkitek masih belum jelas baginya tentang falsafah, tujuan, visi dan misi pembinaan Masjid Al-Umm, bahkan hingga ke setengah tahun kemudian, iaitu ketika `Pecah Tanah  (6 Januari 2013), plan arkitek bagi Masjid Al-Umm  masih berdasarkan kepada plan arkitek pertama.
Perbincangan tentang plan arkitek lebih mendalam apabila berlaku perlantikan consultant-consultant  selepas pelancaran Tabung Masjid Al-Umm dan pengwujudan Jawatankuasa Teknikal  (9 April 2013). Persoalan plan adalah menjadi tumpuan utama dan harus dihantar ke MPKj dan perlu mendapat kelulusan sebelum akhir tahun 2013, kerana adalah menjadi hasrat Jawatankuasa Pembinaan mau memulakan pembinaan fizikal tidak lewat dari setahun dari `Pecah Tanah` (6 Januari 2013).
Dalam perbincangan, sebagai contoh,  antaranya timbul cadangan bagi menggunakan ruang bawah tanah yang asalnya untuk dijadikan tempat parkir agak dijadikan sebagai ruang aras bawah tanah yang dapat dijadikan ruang serbaguna.
Adalah dibuat anggaran akibat dari cadangan dan perubahan terhadap plan arkitek asal, ianya melibatkan  perubahan 62% peratus bagi plan arkitek asal. Perubahan berlaku bagi menepati falsafah pembinaan fizikal Masjid Al-Umm bagi memenuhi tujuan dan fungsi ianya sebagai tempat ibadat, orientasi keilmuan  (pengajian dan penjanaan ilmu), pendidikan, kemasyarakatan, Takmilah Senibina masjid dan keunggulan.
Perubahan-perubahan ke arah pertambahbaikan dapat dilihat pada perubahanperubahan fizikal berikut:
1)      Sebagaimana disebut berlaku pertambahan satu aras baru bagi Masjid Al-Umm yang dikenali dengan aras bawah tanah yang merupakan secara kasar 1/3 pertambahan bagi bangunan Masjid A-Umm. Pertambahan ini didorong oleh faktor keilmuan dan kemasyarakatan. Kerana ruang yang dapat memuatkan peserta maksimum 1,000 orang ini dapat dijadikan dewan konvensyen dan perbincangan keilmuan dalam skala yang lebih besar, juga sebagai dewan seminar  atau kursus yang dihadiri peserta secara lebih ramai. Pertambahan aras bawah tanah ini juga boleh dijadikan sebagai perhimpunan masyarakat seperti mengadakan majlis pertemuan, hariraya, perkahwinan dan berbagai kegiatan kemasyarakatan.
2)      Perubahan dan penambahan berorientasikan ilmu  ketara dalam mana pada aras pertama – di atas ruang solat utama, yakni bersebelahan dengan  ruang solat muslimat terdapat Dewan Seminar (Dua bilik seminar) dan dapat dibuka dan disatukan menjadi dewan seminar, jika kehadiran dalam jumlah seratus orang. Dewan ini kini sering digunakan sebagai Dewan Seminar Bulanan` bagi Masjid Al-Umm. Pada bahagian kanan dari ruang solat muslimat ini juga terdapat bilik mesyuarat yang juga boleh digunakan sebagai bilik seminar dalam jumlah 50 orang. Manakala pada bahagian belakang bagi ruang solat muslimat terdapat 4 bilik, iaitu dua bilik kuliah (kelas pengajaran), bilik tahfiz, bilik IT dan sumber. Ruang solat utama  juga sering  digunakan bagi pengajaran dan ceramahbersifat terbuka.
3)      Perubahan pada bahagian permulaan masuk ke ruang solat utama yang dikenali dengan `ruang legar` yang juga dapat dijadikan ruang untuk berkursus dan berceramah yang boleh memuatkan peserta 500 orang.  Boleh juga dijadikan majlis-majlis pertemuan dan jamuan seperti digunakan kawasan untuk iftar sepanjang bulan Ramadhan, untuk bermoreh dan bersahur.
4)      Perubahan juga berlaku terhadap tiang kedua menara yang pada asalnya berbentuk bersegi dengan menukarkannya kepada tiang berbentuk bulat yang kelihatan lebih kudus. Pada puncaknya dicadang oleh Dato` Dr. Haron Din diubah kepada mencontohi menara di Masjidil Haram.
5)      Perubahan juga berlaku terhadap kubah yang asalnya kecil yang kosnya dalam lengkongan RM200,000 kepada kubah yang lebih besar , lagi canggih yang kosnya melebihi RM1  juta.
6)      Ruangan airwell pada aras satu ditepi kawasan wudhu` lelaki dan perempuan, diubah kedua-dua belah dengan menutup kedua-dua ruang kosong ke atas ini dengan menambah penutup sebagai atap, kononnya untuk melindungi dari tempias. Tujuan asal adalah untuk kemasukan cahaya dan pertukaran udara dari kawasan toilet berdekatan.
7)      Banyak berlaku perubahan kecil di sana sini seperti mihrab bagi aras utama dilihat sebagai tong tergantung ditambah kepada ketiga-tiga aras, kecuraman atap yang sebelum dilihat lebih rata, perubahan peralatan dan ruang bilik air dan wudhu`, juga toilet, diadakan bilik jenazah, juga diadakan kolah sebagai simpanan air, penambahan ruang bahagian hadapan bagi pintu gerbang, konon untuk mengelak dari tempias. Membina ruang kawasan terbuka masjid dari ditarkan kepada `concrete prints`, perubahan jalan masuk dari bawah bersebelah rumah TNB kepada jalan kaki bertangga, begitu juga dari segi pagar dan pintu-pintu pagar. Juga penambahan dan perubahan-perubahan yang lain-lain lagi.
Sesungguhnya dengan perubahan-perubahan ini melibatkan pengubahsuaian plan Masjid Al-Umm yang telah dihantar kepada MPKj dengan menarik balik atau pengubahsuaian yang lama dengan yang baru. Ianya dinilai balik dan  merupakan antara faktor lambatnya kelulusan plan. Perubahan-perubahan ini melibatkan kos bukan saja kepada arkitek, tetapi kepada kontrektor yang setengahnya telah dibina dan terpaksa diubahsuai yang melibatkan penambahan material dan kerja yang baru.
Sesungguhnya tiada Takmilah plan dan tiada Takmilah pembinaan sepenuhnya, lantaran ianya masih di dalam perubahan dan penujuan ke arah Takmilah dan Keunggulan yang diharapkan.
Sekian.

July 1, 2018

FALSAFAH DAN TUJUAN MENDIRIKAN MASJID AL-UMM


BBB, 16 Syawal 1439H. = 30 Jun 2018M. (Sabtu):
Tujuan mendirikan Masjid Al-Umm, bukan sekadar untuk mendirikan solat-solat waktu dan Juma`at, tapi adalah lebih dari itu. Telah disebutkan bahawa pada sambutan 30 tahun Bandar Baru Bangi (30 Julai – 1 September 2007) Penulis ketika itu selaku Ketua Pengarah Program di bawah Persatuan Penduduk Bandar baru Bangi yang YDPnya ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin menampilkan slogan `Bangi Bandar Ilmu`  (Tidak dapat dinafikan ada sama faktor politik pada masa itu). Apabila Penulis menjadi ADUN Bangi (2008-2013, sebelumnya ADUN Kajang 1999-2004) konsep Bangi Bandar Ilmu ini dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada masa itu pada 22 Jun 2008  (Hari Ilmu Bangi) bertempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa di Seri Putera, Bangi pada masa itu. Mendirikan Masjid Al-Umm adalah salah satu pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu, lantaran Penulis yang menjadi ADUN Bangi menjemput 30 orang pengerusi  surau dan pemimpin semasa  bermesyuarat bagi mendirikan Masjid Al-Umm bertempat di Surau Al-Umm pada 4 Februari 2010. Dengan melihat kepada rentetan peristiwa di atas usaha mendirikan Masjid Al-Umm  mempunyai visi dan misi. Ianya bukan sekadar mendirikan masjid sebagaimana biasa yang tidak dinafikan termasuk di dalam tujuan mendirikan Masjid Al-Umm, tetapi mendirikan Masjid Al-Umm ada falsafah, tujuan, visi dan misinya yang antara lain dapat disebutkan:
a)      Sebagai Pusat Ibadat setempat dan menjadi induk bagi surau-surau yang diletak di bawah persempadanan kawasan masjid yang ditentukan oleh pihak Berkuasa.
b)      Menjadi Pusat Pengajian bagi semua lapisan masyarakat, termasuk kalangan intelektual yang Bangi adalah merupakan Bandar Universiti dan lantaran itu menjadi salah satu faktor yang melayakkan Bangi dipanggil sebagai Bangi Bandar Ilmu.
c)       Menjadi Pusat Pendidikan bagi semua peringkat, khususnya bagi kalangan anak-anak dan juga kalangan remaja.
d)      Melalui penjanaan ilmu, maka Masjid Al-Umm diharap akan mengeluarkan bahan-bahan pengajian seperti buku dankaedah-kaedah penerbitan dan penyebaran keilmuan terkini.
e)      Menjadi pusat kegiatan kemasyarakatan, khususnya bagi penduduk setempat dan umumnya bagi penduduk Bangi seluruhnya.
f)       Menjadi sebuah masjid yang sempurna dan indah dari segi lahiri dan maknawi
g)      Model Takmilah kemasjidan.
Dari falsafah, tujuan, visi dan misi di atas, adalah diharap Masjid Al-Umm dapat membina imej dirinya dari segi fizikal (maksud bangunan dan perluasan serta perkembangannya), keilmuan, tarbiah dan kegiatan kemasyarakatan. Masjid Al-Umm diharap akan menjadi  `Masjid Terindah`  dari segi lahiri dan maknawi.  Ia adalah Takmilah kemasjidan bagi Masjid Al-Umm. Falsafah, tujuan, visi dan misi ini tidak dapat dicapai di dalam masa singkat dan terdekat, tetapi hendaklah didukung oleh Masjid dan sesiapa yang akan terus berganti mengendalikan pentadbiran dan pengurusan Masjid Al-Umm.
Falsafah, tujuan, visi dan misi mendirikan Masjid Al-Umm ini memang disedari dari awal, iaitu sejak dari awal  konsep `Bangi Bandar Ilmu` tercetus dan Masjid Al-Umm dipersetujui untuk didirikan.
Apa yang diperkatakan di atas bukan setakat percakapan lisan, tetapi adalah disokong dengan dokumen-dokumen bertulis seperti:
1)      Buku Program Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Julai-September 2007.
2)      Buku Majlis Pelancaran Bangi Bandar Ilmu, 22 Jun 2008, Pejabat ADUN Bangi,  2008.
3)      Buletin N26 Bangi, Bulan  Julai 2008 – Siri Buletin Bulanan ADUN Bangi (2008-2013).
4)      Buku Bangi Bandar Ilmu, Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, Bangi, 2012.
5)      Buku Gagasan Bangi, Sekretariat Bangi Bandar  Ilmu, Bangi, 2012.
6)      Buku Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu, Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, 2014.
7)      Buku 40 Tahun (1977-2017) Bandar Baru Bangi, Galeri Bangi Bandar Ilmu, Bangi, 2018.
Dan berbagai dokumen lagi yang mengukuhkan tentang Falsafah, tujuan, visi dan misi pembinaan Masjid Al-Umm yang menjadi salah satu pemangkin utama bagi Bangi Bandar Ilmu.
Sekian.