December 18, 2015

Konvensyen Pengajian Di Masjid Al-Umm: Fokus Pengajian Tinggi


BBB, 05 Rabiul Akhir 1437 = 17 Disember 2015 (Khamis):


Bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm – persediaan sebaik masjid mula digunakan telah dilaksanakan dua bengkel  ialtu pada 21 September 2014 dan 24 Januari 2015 yang kedua-duanya diadakan di Hotel Puri Pujangga UKM, rumusan pengajian bagi masjid telah dibuat, bahkan pertemuan dengan Pengerusi-Pengerusi Surau-Surau telah dibuat pada                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                              17 November 2015 dan pertemuan dengan bakal Imam, Guru dan Muslimat telah diadakan pada 8 Disember 2015 bagi mengatur kegiatan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm.
Sebagaimana dirancang untuk kegiatan jangka panjang,  pihak AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm merancang bagi mendirikan bangunan 17 tingkat sebagai pusat kegiatan keilmuan pada tahap tinggi di Masjid Al-Umm. Persoalannya bilakan bengunan berkenaan dapat disiapkan ? Apakah perlu menunggu siapnya bangunan ini yang masih pada peringkat permulaan perancangan  bagi mengusahakan mendapat tapak, apakah rancangan pengajian peringkat tinggi perlu menantikan siap bangunan ini ? Tidakkah dengan siapnya bangunan Masjid Al-Umm sebenarnya boleh disemarakkan dengan berbagai kegiatan, bahkan menjadikan Masjid Al-Umm  sebagai induk pengajian Tinggi keilmuan Islam dalam Kampus Terbuka yang di kenali dengan Wadi Ilmu. Dalam Kampus Terbuka itu ada sepuluh surau, 4 sekolah ada Dar al-Shifa dan ada Kompleks Pendidikan Islam Bangi. Dengan Bangi mempunyai ramai tenaga akademik, yang sebahagian daripada mereka telah bersara, tidakkah elok mereka ini diajak bersama bagi mengimarah Masjid Al-Umm. Dengan kepakaran yang ada pada mereka tidakkah wajar mereka diajak sama di dalam  ``Persyarikatan Ilmu` bagi memasyarakatkan ilmu`` yang  terbuka kepada mereka yang berminat dari mana jua tempat untuk sama menghadiri dan mengambil manfaat dari keilmuan yang dianjurkan oleh Masjid Al-Umm.  
Perancangan mau melihat Masjid Al-Umm, bukan sebagaimana masjid biasa, tapi sebagai Pusat Kegiatan Ibadat Dan Kecemerlangan Ilmu Pengetahuan, bertarap pengajian tinggi bahkan mencontohi Universiti Qayrawan dan Universiti Al-Azhar dan ditambah dengan berpelbagaian pendekatan dan keilmuan terkini adalah sesuatu yang besar dan memerlukan berbagai cadangan dan saranan. Bagi mendapat cadangan-cadangan dan saranan-saranan  yang bernas, bahkan  menyatukan pendapat, maka adalah wajar  gagasan besar ini dibincangkan di dalam perbincangan bersifat konvensyen, iaitu:
``Konvensyen Mengimarahkan Masjid Al-Umm: Fokus Pengajian Tinggi``.
Adalah dicadangkan bahawa Konvensyen Masjid Al-Umm,melalui  beberapa peringkat, lantaran gagasan besar sedemikian tidak dapat diselesai dan diambil keputusan secara jitu dalam satu knvensyen, wacana atau seminar, sebaliknya akan melalui beberapa peringkat. Peringkat pertama dan seterusnya diikuti peringkat-peringkat yang lain. Dengan mengadakan konvensyen peringkat permulaan ini sebagai satu keistimewaan dan memberi impak yang baik bagi Masjid Al-Umm.
Antaranya:
1)      Sempena dengan penggunaan Masjid Al-Umm, maka adalah sesuai disediakan perancangan dan program pengajian, secara jangka pendek dan panjang.
2)      Bagi menjadikan Masjid Al-Umm sebagai pengajian tinggi, maka perlu kepada perancangan yang rapi dan menyeluruh sejak dari peringkat awal agar menjadi panduan pada masa akan datang.
3)      Memperlihatkan visi dan misi AJK Pembinaan dan pengimarahan Masjid Al-Umm yang memang mereka berpengalaman yang pengalaman ini perlu diabadikan.
4)      Menilai sejauhmanakah kemampuan Masjid Al-Umm  mengendalikan pengajian berstatus pengajian tinggi, lantaran adanya infra-struktur dan ramainya tokoh ilmuan di Bangi Bandar Ilmu
5)      Konvensyen menilai tempoh bersesuaian memulakan pengajian.
6)      Mendapat pandangan bagaimana konsep kampus terbuka – Masjid Al-Umm di tengah taman, dikelilingi surau-surau dapat dilaksanakan sebagai Wadi Ilmu
7)      Konvensyen diharap dapat merumuskan pendekatan terbaik Masjid sebagai Institusi Ilmu dan ditadbirkan oleh Institusi.
8)      Sejauhmanakah kemampuan menjadi institusi ilmu yang mendapat pengiktirafan oleh institusi-institusi yang lain dan juga masyarakat
9)      Menilai kemampuan Masjid Al-Umm menjadi `Mercu Tanda` bagi Bangi Bandar Ilmu bukan saja dari segi fizikal sahaja, bahkan lebih dari segi intelektual, kerohanian, estetika dan kemasyarakatan
10)   Konvensyen permulaan menjadi bahan penilaian bagi konvensyen atau seminar akan datang bagi memartabatkan Masjid Al-Umm sebagai pengajian tinggi yang berwibawa dan berprestej.
Dengan mengadakan konvensyen, melengkapkan persediaan bagi kegiatan Masjid Al-Umm di dalam menjalankan kegiatan pada masa akan datang, ia adalah merupakan sebagai kalendar yang dapat dituruti secara terancang dan teratur. Perancangan ini dicampur dengan perancangan-perancangan yang telah dibuat melalui bengkel-bengkel yang telah diadakan sebelum ini. Dengan program-program yang diatur ini dapatkah dibuat tindakan  apakah semua program yang diatur itu mampu dijalankan saecara serentak ataukah dijalankan secara bertahap atau dipilih mana-mana yang lebih bersesuaian dengan kemampuan yang ada, manakala program yang belum dilaksanakan akan dilaksanakan bila bersesuaian dan berkemampuan.
Apa yang diharapkan bahawa Masjid Al-Umm bila diimarahkan, maka ianya bersemarak dengan berbagai-bagai kegiatan. Masjid hidup dengan kegiatan ibadat, keilmuan dan kegiatan kemasyarakatan. Adalah diharapkan dengan adanya pengajian pada peringkat tinggi, maka Masjid Al-Umm, bukan saja menjadi tumpuan  bagi penduduk tempatan, tetapi menjadi tumpuan bagi pelajar-pelajar dari luar, bahkan menjadi tumpuan bagi mereka yang meminati ilmu pengetahuan dari kalangan orang ramai  baik bersifat tempatan dan dari luar.

Sekian.

December 17, 2015

Kampus Terbuka Bagi Jami`ah Al-Umm


BBB, 04 Rabiul Awal 1437 = 16 Disember 2015 (Rabu):
Rancangan menjadikan Masjid Al-Umm sebagai pengajian tinggi yang dikenali dengan `Jami`ah Al-Umm` atau `Al-Umm University` seharusnya pengurusan bagi melaksanakannya mesti dilakukan dari sekarang. Ini adalah bersesuaian dengan pembinaan fizikal Masjid Al-Umm hampir siap yang menjadi pusat utama bagi pengajian. Menjadikan Masjid Al-Umm sebagai pusat pengajian tinggi adalah mengambil ilham dan contoh tauladan dari Masjid Qayrawan di Maghribi dan Masjid Al-Azhar di Mesir yang kedua-duanya merupakan universiti-universiti terawal di dunia. Pengajian di Masjid Al-Umm hendaklah berasaskan turath tradisi dan tempatan, di samping meneroka keilmuan kini. Jami`ah Al-Umm hendaklah mempunyai ciri dan identiti tersendiri.



 Berhubung dengan keperluan mendirikan Kompleks Ilmu bagi Jami`ah Al-Umm yang baru pada peringkat permulaan, seharusnya tidak menghalang dari usaha bagi menggerakkan kegiatan melaksanakan Jami`ah Al-Umm berkenaan. Perancangan tidak boleh menunggu terdirinya bangunan tersebut, pengurusan mendapat keizinan menggunakan tapak dan mencari dana yang melebihi RM100 juta itu akan memakan  masa. Usaha membina bangunan Kompleks Ilmu bagi Jami`ah  Al-Umm hendaklah berjalan serentak dan ia merupakan projek bagi melengkapkan keperluan bagi Jami`ah Al-Umm. Sebenarnya bagi melengkapkan keperluan fizikal bagi Jami`ah Al-Umm banyak lagi bangunan-bangunan tambahan yang diperlukan dan perlu ditambah dari masa ke semasa.
Sebagai satu pendekatan yang pernah dibincangkan di dalam `Bengkel Merealisasikan  Bangi Bandar Ilmu` pada  16 Sya`ban 1435 bersamaan 14 Jun 2014 bertemput di Hotel Puri Pujangga UKM, ada dua pendekatan bagi merealisasikan Bangi Bandar Ilmu, iaitu Pendekatan Makro yang dibentangkan oleh Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri Rektor KUIS, iaitu pendekatan menjadikan seluruh Bandar Baru Bangi sebagai kampus terbuka secara serentak yang memerlukan tenaga, kepakaran dan kewangan yang banyak dan kertaskerja kedua ialah merealisasikan Bangi Bandar Ilmu secara mikro yang dibentangkan oleh Penulis, bermaksud usaha merealisasikan Bangi Bandar Ilmu bermula dari bahagian kecil kemudian berkembang luas bagi seluruh Bandar Baru Bangi.
Pembinaan Masjid Al-Umm adalah dalam rangka pendekatan mikro di atas, iaitu mengimarahkan ilmu dari Masjid Al-Umm terlebih dahulu termasuk  didukung oleh surau-surau dan institusi-institusi pengajian sekelilingnya. Usaha bagi menaiktaraf Masjid Al-Umm adalah sebahagian dari pendekatan bagi merealisasikan Bangi Bandar Ilmu. Pendekatan yang dicadangkan, bahawa Masjid Al-Umm adalah berada di Wadi Ilmu yang sekeliling dan sekitarnya ada:
10 surau, 4 sekolah, 1 Kompleks Pendidikan Islam Bangi dan 1 Dar al-Shifa`.
Kesemuanya ini adalah berada di bawah Wilayah Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu. Dalam kata lain Wadi Ilmu hendaklah menjadi `Kampus Terbuka`  pengajian bagi Jami`ah Al-Umm (Al-Umm University).
Pendekatan ini lebih praktikal dan releven, dari segi infra-struktur fizikalnya, iaitu:
·         Masjid Al-Umm adalah Pusat Pengajian dan Pentadbiran bagi Jami`ah Al-Umm.
·         Surau-surau  sekeliling Masjid Al-Umm, Kompleks Pendidikan Islam dan Dar al-Shifa` menjadi fakulti-fakulti atau sebahagian daripadanya menjadi jabatan-jabatan bagi fakulti-fakulti tertentu.
·         Empat sekolah adalah kekal dengan status sebagai sekolah menengah dan rendah Bandar Baru Bangi. Tetapi sebaiknya sekolah menengah dijadikan sekolah terpilih yang lulusan darinya dapat menyambung pengajian ke Jami`ah Al-Umm dan universiti-universiti lain. Rundingan dengan Kementerian Pendidikan dan negeri perlu di adakan, supaya pihak Jami`ah Al-Umm dapat memberi perhatian sama bagi meningkatkan prestasi sekolah-sekolah berkenaan yang berada di Wadi Ilmu, Bangi Bandar Ilmu.


Dari segi fizikal juga, bahawa kediaman bagi pelajar-pelajar boleh diusahakan oleh Jami`ah Al-Umm menyewa rumah-rumah berdekatan dengan kampus terbuka, atau para pelajar mengusahakan sendiri bagi mendapat kediaman. Untuk jangka panjang Jami`ah Al-Umm perlu mempunyai rumah-rumah di sekitar Bangi bagi menjadikan asrama di samping menjadikannya aset bagi Jami`ah Al-Umm.
Sebagaimana disebutkan bahawa pada peringkat permulaan Jami`ah Al-Umm tidak berhasrat mengambil pelajar dalam jumlah yang ramai. Setelah beroperasi dengan baik mungkin jumlah yang ideal adalah 150 orang sahaja.
50 orang bagi peringkat diploma
80 orang bagi ijazah pertama
15   orang bagi peringkat sarjana
5   orang bagi peringkat doktor falsafah
Adapun tenaga pengajar dan pentadbir adalah dari bekas-bekas tenaga pengajar yang bertaraf profesor dan pentadbir yang banyak terdapat di Bandar Baru Bangi yang diharap mereka akan dapat berkhidmat di Jami`ah Al-Umm sebagai tenaga akademik dan pentadbir, kalau pun tidak sepenuh masa adalah sebagai sambilan.
Pengajian tidak semestinya berlangsung secara serentak bagi semua peringkat. Memandangkan kemudahan-kemudahan belum cukup, maka pengajian boleh bermula bagi tahap diploma, namun jika ada kemampuan, maka peringkat-peringkat yang lebih tinggi dapat dijalankan
Skop dan ruanglingkup pengajian yang ditumpukan oleh Jami` Al-Umm adalah;
!)   Falsafah Dan Turath Islam Memperkasa  Peradaban
2).  Menjana Ekonomi Islam
3)  Sains Dan Pembangunan Ummah
4)  Perundangan Dan Islam Mensejahterakan
5)  Kemanusiaan Dan Kesejagatan Islam
Dari skop dan ruanglingkup keilmuan di atas diolah sebagai pecahan keilmuan-keilmuan yang diajar pada semua peringkat.
Tidak dapat dinafikan, bahawa bagi peringkat permulaan banyak kekurangan yang dihadapi oleh Jami`ah Al-Umm. Kekurangan dari segi fizikal, tenaga pengajar, perpustakaan juga dari segi kewangan, sebab itu operasinya perlu bersifat bertahap. Antaranya perlu mendapat kerjasama dari pengajian-pengajian tinggi yang ada di Bangi dan di sekeliling bandar tersebut. Antaranya tentulah mendapat tunjangan dari pihak pemerintah dan derma dari para dermawan bagi menggerakkan kemajuan Jami`ah Al-Umm yang dihasratkan.

Sekian.

December 16, 2015

Fungsi Kompleks Ilmu Bagi Masjid Al-Umm


BBB, 03 Rabiul Awwal 1437 = 15 Disember 2015 (Selasa):


Cadangan bagi mendapatkan ruang tanah bagi membina Kompleks Ilmu Masjid ini dirancangkan sejak dari awal tarikh pembinaan fizikal Masjid Al-Umm (akhir 2013). Antara tanah yang dikenalpasti bagi pembinaan Kompleks Keilmuan ini ialah kawasan tanah Medan Usahawan yang warung-warung di sini terbiar sejak berpuluh tahun yang lepas. Usaha ke arah ini telah dilakukan. Misalnya merangka plan architect oleh Ir. Tuan Haji Ghazali Hussin. Namun tumpuan tinggi tidak diberi, lantaran tumpuan utama ialah lebih mencari dana bagi pembinaan Masjid Al-Umm.
Kini Masjid Al-Umm hampir siap, maka inilah masa yang paling sesuai bagi menggerakkan pembinaan infra-struktur, khususnya pembinaan Kompleks Ilmu bagi hasrat menjadikan Masjid Al-Umm induk bagi pengajian tinggi yang dihasratkan. Sebagaimana dibicarakan bahawa bangunan ini adalah sebanyak 17 tingkat dan gambaran kasar – architect impression telah dilakarkan. Bangunan ini secara menyeluruhnya dapat dikatakan sebagai `Kompleks Pentadbiran` bagi pengajian tinggi – bertaraf universiti – Jami`ah Al-Umm – Al-Umm University. Walau bagaimana ianya bukan berfungsi semata-mata untuk pentadbiran, tetapi melibatkan aspek-aspek yang lain bagi sebuah pengajian tinggi.
Secara kasar dapat dipecahkan bahagian-bahagian bagi bangunan 17 tingkat itu kepada pecahan-pecahan berikut:
1-      2 = Tingkat - Ground level dan Tingkat 2
Pada tingkat ini terdapat kedai-kedai makan, kedai pakaian, peralatan harian, peralatan tulis dan sukan, manakala tingkat dua ialah seperti kedai buku, komputer dan Alat-Alat Komunikasi
Pendek kata tingkat bawah ini menyediakan keperluan harian dan biasa
3 –   Tingkat Tiga
Tingkat bagi kegiatan pelajar, termasuk persatuan-persatuan
4 - 8  Tingkat Empat hingga Lapan
Ruang untuk kuliah dan tutorial (selain dari menggunakan ruang yang ada di Masjid Al-Umm).
9 – 12 Tingkat Sembilan hingga Dua Belas
Tingkat  untuk Shaykh, Rektor, Canselor, Presiden dan kakitangan
Tingkat untuk Timbalan-Timbalan Akademik, Pembangunan, Pelajar dan Hubungan Luar
Pendaftar dan kakitangan
Bendahari dan kakitangan
13 – 15 Tiga Belas hingga Lima Belas
Asrama terhad bagi pelajar-pelajar
14 – 17  Empat Belas hingga Tujuh Belas
Pejabat bagi kakitangan akademik bagi berbagai-bagai bidang.
Sesungguhnya walaupun bangunan mempunyai 17 tingkat, sebenarnya begitu terhad dan setengahnya tidak sesuai berada di bangunan itu, contohnya asrama para pelajar sewajarnya berada pada bangunan-bangunan tersendiri.
Sebenarnya dengan sebuah bangunan Masjid Al-Umm – dan Kompleks Ilmu Masjid Al-Umm, terasa masih kekurangan ruang, jika pengajian `Jami`ah al-Umm mulai beroperasi. Apa yang perlu dilakukan bagaimana dapat mengatasi masalah ruang dan menjadikan Jami`ah al-Umm menjadi sebuah Pusat Pengajian yang Unik, Unggul Dengan Ilmu, Bermutu dan Identitik dengan ciri-ciri yang ada padanya.
Jami`ah Al-Umm hendaklah mengutamakan Mutu dan kecemerlangan ilmu, jangan ikut trend semua universiti yang ada yang lebih bersifat kilang yang mengeluarkan keluarannya secara  `mass production` yang berlambak keluaran dan tiada pasaran dan jika mendapat pasaran, maka ianya mencerminkan kualiti umum yang tidak mampu menunujukkan kecemerlangan yang dihasratkan. Oleh kerana keluaran pada peringkat ijazah pertama berlambak hingga tiada ruang untuk dipasarkan, maka tujuan utama bagi Jami`ah  al-Umm, bukan mengutamakan pelajar-pelajar ijazah pertama yang amat berlebihan dalam pasaran.
Tugas Jami`ah al-Umm, ialah mengambil sejumlah terhad dan minimum pada peringkat ijazah pertama, tetapi lebih memilih pelajar-pelajar  ijazah sarjana di dalam bidang-bidang terpilih. Dalam kata lain, Jami`ah al-Umm jangan tamak membuka berbagai bidang pengajian pada peringkat ijazah pertama. Tetapi lenih menumpukan pada peringkat sarjana dan Dr. Falsafah, tetapi hendaklah memilih bidang-bidang pengajian yang baik yang mempunyai pakar-pakar yang dapat membimbing pelajar-pelajar pada peringkat sarjana dan Doktor Falsafah yang tokoh-tokoh mahaguru sebenarnya ramai kedapatan di Bandar Baru Bangi ini sendiri. Penentuan bidang-bidang ini terpulang kepada usaha Jami`ah Al-Umm mendapat pakar-pakar yang ramai di Bandar Baru Bangi. Tentulah keutamaan terhadap bidang keislaman. Tetapi janganlah dikelirukan bila menyebut bidang keislaman hanya terhad kepada bidang yang kita fahami sebagai bidang agama yang dalam erti kata yang sempit.
Pada peringkat awal Jami`ah Al-Umm ini perlu berusaha untuk kerjasama dengan berbagai-bagai universiti yang ada di Bangi dan sekelilingnya. Ijazah secara bersama mungkin perlu pada peringkat permulaan sebelum Jami`ah Al-Umm mendapat kepercayaan dari pelajar setempat dan  dari luar.
Sebagai rumusan apa yang diutamakan oleh Jami Al-Umm ialah menyampaikan pengajaran bermutu oleh mahaguru-mahaguru bermutu kepada pelajar yang bermutu dengan semua  pihak dapat menjanakan ilmu dan menghasilkan penerbitan-penerbitan bermutu atas nama Jami`ah  Al-Umm.

Kita berharap hasrat murni ini dapat dijayakan dalam masa terdekat. Insya Allah.

Sekian.

December 15, 2015

Tahap Ketiga: Memartabatkan Masjid Al-Umm Ke Tahaf Pengajian Tinggi


BBB, 02 Rabi`ul Awal 1437 = 14  Disember 2015 (Isnin):
Puncak daripada pengajian di Masjid Al-Umm yang selari dengan unjuran dan pembangunan fizikalnya ialah meningkatkan pengajiannya kepada tahap pengajian tinggi. Bagi memperluaskan pengajian yang dapat ditawarkan oleh Masjid Al-Umm memerlukan kawasan yang lebih luas, tapak masjid yang seluas 2 ekar sudah tidak mempunyai ruang untuk sebarang penambahan bangunan. Bagi melaksanakan hasrat jangka panjang ini masjid memerlukan kawasan  tapak bagi pembangunan fizikal bagi pengajian tinggi berkenaan.


Ada dua tapak berdekatan dengan Masjid Al-Umm kini yang boleh menjadi kampus, kita gunakan istilah  Jami`ah Al-Umm - Pengajian Tinggi atau Universiti Al-Umm, iaitu:
1)      Medan Usahawan yang berhadapan dengan Masjid Al-Umm yang luas kira-kira 2 ekar
2)      Padang Awam yang berkedudukan sebelah kanan Masjid Al-Umm yang juga luas kira-kira dua ekar.
Kesedaran untuk meningkatkan pengajian di Masjid Al-Umm dan memperluaskan kawasan kampus pengajian memang sudah lama dibangkitkan dan ada cadangan agar semua Medan Usahawan – termasuk hingga ke kawasan Pasar Basah Bandar Baru Bangi yang luasnya sebanyak  5 ekar itu dibangunkan secara bersepadu sebagai kampus pengajian dan pasar basah dinaik taraf sebagai pasar moden bagi keperluan penduduk setempat dan Bandar Baru Bangi seluruhnya.
Namun ada kekangannya:
a)      Mengambil kawasan Padang Awam, melalui rundingan dengan pihak berkuasa merupakan isu sensitif. Kerana ini adalah merupakan satu-satunya padang awam dan tanah lapang setempat. Kalangan penduduk, khususnya kalangan generasi muda menentang pengambilan Padang Awam. Mereka lebih suka Padang Awam ini terus sedemikian dan dapat digunakan sebagai Padang Bola dan kegiatan sukan setempat. Pihak masjid juga dapat mengguna dan mengambil faedah bagi berbagai-bagai kegiatan selain dari sukan, ialah ruangan bagi ceramah terbuka dan kawasan perhimpunan bagi berbagai-bagai sambutan keagamaan dan awam. Cuma wajar ditingkatkan padang berkenaan sebagai padang yang standard dengan menanam pokok-pokok menghijau kelilingnya dan mungkin di tambah dengan `stands bertingkat di lereng bukit bagi padang tersebut, termasuk ada pentas pada bahagian tengah di tepi bukit di tengah-tengah stands berkenaan. Pokoknya padang awam ini menjadi padang serbaguna.
b)      Membangunkan seluruh kawasan `Medan Usahawan` hingga ke kawasan Pasar Basah, memerlukan kos yang tinggi dan kurang berkenaan dengan pembangunan bagi `Jamiah al-Umm. Membangun kawasan pasar ini adalah merupakan tugas MPKj. Permohonan hendaklah ditujukan kepada pihak MPKj membangunkan kawasan pasar berkenaan selari dengan pembangunan yang akan dilakukan terhadap `Jami`ah al-Umm`. Ini mengurangkan beban kewangan yang dihadapi masjid terhadap tugas yang tidak berkenaan baginya.
Tumpuan Utama
Sebaiknya dan buat permulaan ialah menumpukan kepada pembangunan Kampus Jami`ah Al-Umm, ialah mengusahakan dari pihak MPKj atau terus kepada Kerajaan Negeri Selangor dan melalui Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat bagi mendapat keizinan bagi Masjid Al-Umm menggunakan tanah yang dua ekar berhadapan dengan Masjid Al-Umm itu bagi mendirikan Kompleks Ilmu  bagi Jami`ah Al-Umm (Al-Umm University).
Sememangnya cadangan mendirikan Kompleks Ilmu sebanyak 17 tingkat pernah dibincangkan dan rangka plan telah disedia dan dibincangkan. Ianya merupakan pembangunan tahap ketiga selepas pembangunan Masjid Al-Umm dan Surau Al-Umm  yang akan dijadikan Kediaman Imam dan Asrama. Dengan tumpuan kepada pembangunan Kompleks Ilmu bagi Jami`ah al-Umm, tanpa melibatkan padang dan kawasan pasar pada peringkat permulaan, sebenarnya adalah merupakan cabaran besar bagi AJK Masjid Al-Umm untuk mendapat keizinan dari Kerajaan Negeri Selangor bagi mendapat kawasan Medan Usahawan bagi dijadikan sebahagian dari Kampus Jami`ah al-Umm. Cabaran yang lebih besar lagi ialah bagaimana untuk mendapat peruntukan sebagai kos pembinaan bagi Kompleks Ilmu Jami`ah Al-Umm. Adalah dijangka dengan bangunan 17 tingkat ini kos pembinaannya memerlukan kos lebih dari RM100 juta !
Bangunan yang mau didirikan ini bukan sekadar bangunan biasa, tetapi sesuai dan seharmoni dengan bangunan Masjid Al-Umm yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai `Masjid Yang Indah`.


Maka seni binanya adalah seni bina Islam yang harmoni dengan seni bina Masjid Al-Umm  yang hampir siap itu. Jika Masjid Al-Umm mempunyai aras bawah tanah, kubah indah, menara seperti Masjid al-Haram Makkah, maka Kompleks Ilmu bagi Jami`ah Al-Umm hendaklah mempunyai ciri-ciri keunikannya. Misalnya pada bahagian atasnya mempunyai elemen kubah dan menara bagi mengharmoni, mengidentiti dan mengasosiasikannya dengan Masjid Al-Umm dan dari Kompleks Ilmu ini dihubungkan ke masjid dengan `Jambatan Ilmu` yang sekaligus memudahkan mereka yang dari Kompleks ilmu ke masjid dan dari masjid ke Kompleks ilmu dalam urusan solat dan pengajian keilmuan. Sebenarnya secara tidak langsung Bangunan Masjid Al-Umm (bakal Jami`ah Al-Umm) dalam satu kedudukan dalam satu bulatan menyambungkan bangunan masjid dengan Kompleks Ilmu  dan bersambung dengan Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah yang berdekatan dan bersambung dengan Masjid Al-Umm (kelak Jami`ah Al-Umm-Universiti Al-Umm). Dalam kata lain secara simbolik pengajian di sini mempunyai pertalian rohani dan maknawi  antara sekolah rendah, menengah dan Kompleks dan Masjid sebagai Jami`ah Al-Umm.
Persoalan yang besar ialah, dari manakah untuk mendapatkan jumlah dana yang melebihi RM100 juta bagi membangunkan kompleks Ilmu bagi Jami`ah  itu ?  Sekali pandang tentulah berat, tetapi jalan bagi  menjanakan dana banyak cara dan kita jangka dengan adanya pihak-pihak yang berjaya menjanakan dana bagi masjid  Al-Umm secara derma orang ramai, maka kita percaya dana bagi pembangunan kompleks Ilmu bagi Jami`ah Al-Umm dapat dilaksanakan. Sebab itu bagi merealisasikan hasrat murni di atas sebuah konvensyen perlu diadakan:
``Konvensyen Ke Arah Memartabatkan Masjid Al-Umm Bertaraf Pengajian Tinggi``
Sebenarnya dengan ada misi dan visi yang jelas, ada azam dan komitmen yang tinggi dari pihak AJK dan semua pihak bekerja secara ikhlas demi meningkatkan syiar Islam dan mengukuhkannya dengan keilmuan insya Allah akan mencapai kejayaan !

Sekian.

December 14, 2015

Pengajian Berpakej


BBB,  01 Rabiul Awal 1437 = 13 Disember 2015 (Ahad):


Termasuk di bawah perkembangan pengajian pada tahap dua ialah pengajian berpakej.
Maksud pengajian berpakej, bahawa Masjid Al-Umm menyediakan satu anjuran kursus pengajian dalam masa terhad. Contoh dalam tempoh tiga hari, seminggu atau sebulan. Di dalam kursus yang diadakan ini diisikan dengan keilmuan-keilmuan secara berfokus bagi mencapai objektif yang digariskan. Sasaran peserta kepada kelompok tertentu, misalnya dari institusi tertentu yang mungkin dibiayai oleh institusi berkenaan, agar peserta memahami kursus yang dianjurkan. Bagi menjayakan pengajian berpakej ini, pihak penganjur – masjid, menyediakan modul-modul kursus, misalnya dengan sejumlah kertaskerja yang dihasil dan disampaikan oleh mereka yang pakar di dalam bidang-bidang keilmuan yang terkandung dalam pakej keilmuan berkenaan. Di dalam pengajian berpakej berkenaan ada disertakan secara  praktik amal ibadat, forum, bengkel, ceramah, soal jawab dan juga jawapan-jawapan bertulis dari peserta sebagai penilaian.
Pengajian berpakeg boleh bersifat dalaman dan luaran.
Pengajian Pakeg Dalaman.
Bermaksud masjid menyediakan modul lengkap bagi menganjurkan pengajian atau boleh dinamakan sebagai kursus yang melibatkan peringkat-peringkat tertentu. Misalnya bagi kalangan ilmuan, pelajar-pelajar sekolah, bagi kalangan muslimat (wanita), muslimin dan muslimat.
Pakej bagi kalangan Ilmuan ini bermaksud pihak masjid berusaha mengadakan pakej kursus yang bersifat tinggi yang dihadiri oleh kalangan ilmuan tempatan dan institusi-institusi dari luar misalnya bersifat konsep konvensyen, seminar, muzakarah dan sebagainya membincangkan topik menarik semasa seperti `Ancaman Terhadap Akidah dari NGO Liberal Sekular`, `Sistem Ekonomi Islam: Cabaran`, `Malaysia Sebagai Hub Halal dan Haram: Sejauhmanakah Kemampuan ?`. Masjid Al-Umm menjadi tempat berwacana dengan peserta-peserta adalah datang dari dalam dan luar dan bagi mereka dibekalkan senarai hotel-hotel penginapan terdekat dalam tempoh beberapa hari seminar. Seminar diisi dengan kertas-kertaskerja oleh tokoh-tokoh ilmuan terkenal tanah air dan kemungkinan dijemput khusus dari luar.
Pakej kursus yang bernama konvensyen, seminar atau muzakarah sedemikian dibuat hanya sekali sekali yang mungkin bersifat tahunan atau dwi-tahunan, tetapi topiknya hendaklah menarik dan menyentuh isu semasa. Topik-topik di atas sememangnya besar dan mencabar, bahkan ianya bersifat nasional, bahkan umat sejagat, tetapi adalah penting bagi kefahaman dan pengluasan keilmuan dalam bidang-bidang berkenaan. Pakej keilmuan yang sedemikian dapat memberi peluang bagi masjid mendapat lertas-kertaskerja dan rumusan perbincangan-perbincangan bersifat ilmiah yang kemudian dapat diterbitkan di atas nama masjid, jadi masjid berperanan di dalam melebarkluaskan keilmuan-keilmuan Islam yang bersifat semasa.
Konvensyen, seminar dan muzakarah yang lebih kecil dan bersifat nasional dan tempatan yang lain dapat diadakan bagi menjana keilmuan dari semasa ke masa. Contoh yang terbaik bagi peringkat sekolah, ialah kursus bagi pelajar-pelajar sekolah selama katakan seminggu dari masa tempoh mereka menghadapi cuti panjang sekolah dari November hingga Disember bagi satu-satu tahun. Bagi mengisi masa lapang mereka agar mereka tidak lalai pihak masjid misalnya menyediakan pakeg `Pendidikan Islam` bagi satu kumpulan pelajar bagi tempoh seminggu yang di dalamnya diisi dengan kursus membaca Al-Qur`an, memperbaiki solat dan lain-lain ibadat, memahami akidah dan meningkat kesedaran akhlak. Kursus berpakeg ini disampaikan oleh guru-guru terlatih, pakar motivasi dan disertakan dengan kegiatan sukan dan rekreasi. Kursus bersifat kemahiran dan seni juga dapat dianjurkan dalam tempoh terhad ialah seperti `Menulis Khat dan Jawi` atau `Kursus Tarannum` sebagai satu pakej yang ditawarkan. Pakeg ini boleh dianjurkan juga kepada kumpulan-kumpulan yang lain dalam masa baki tutup persekolahan. Bagi kumpulan remaja pula masjid boleh menganjurkan kursus perkahwinan mengikut kurikulum yang disediakan oleh JAIS, bahkan pihak masjid boleh berusaha mendapat pengiktirafan dari JAIS bagi menganjurkan kursus pakej perkahwinan ini dari masa ke masa.
Untuk kalangan muslimat pula pihak masjid dengan kerjasama jawatankuasa muslimat mengadakan pakej kursus `Keluarga Bahagia` yang diisi misalnya dengan Mu`asharah dalam keluarga Islam, Ibadat dalam keluarga, Kursus masakan, Asas-asas jahitan, Kaedah mendidik anak, Adab dan akhlak kekeluargaan`.  Kursus ini diisi dengan kurikulum yang menarik dan disampaikan oleh guru-guru berkemahiran bagi setiap pelajaran. Kursus ini dapat dianjurkan berulang kali bagi kelompok berlainan dan penambahan baikan kandungan dilakukan bagi kandungan kursus dari masa ke masa. Kursus juga diadakan melibatkan kalangan kalangan remaja lelaki dan perempuan ialah mengenai misalnya, tentang kerjaya, menjadi usahawan muda, menghasilkan produk halal dan haram. Bagi bidang sedemikian mungkin antara tenaga pengajar dijemput dari institusi-institusi berkenaan.
Satu contoh yang baik untuk kepentingan ramai ialah  menganjurkan pakej kursus Haji, maka pakej bagi kursus Haji ini dapat dianjurkan oleh masjid dengan mendapat keizinan dan pengiktirafan dari Tabung Haji dan JAIS. Pihak Masjid boleh mengadakan kursus ini secara ulangan bagi setiap tahun bagi mereka yang hendak menunaikan haji atau umrah. Tenaga pengajar dilatih khas oleh pihak masjid di samping menjemput guru-guru yang diiktiraf oleh pihak Tabung Haji dan JAIS.
Di samping pakej-pakej di atas pihak masjid boleh mengadakan pakej pengajian secara kecil-kecilan seperti pengajian Al-Qur`an Bertajwid, Kursus mengurus jenazah dan sebagainya.
Apa yang dibicarakan bahawa pakej bagi kursus-kursus di atas adalah bersifat dalaman, bermaksud semua kegiatan dilakukan di masjid dengan peserta-peserta tempatan atau luar datang mengikuti pakej kursus di atas di masjid dan dikendalikan oleh pihak masjid.
Satu cara lagi pengajian berpakej luaran iaitu dengan membawa pakej bagi kursus keilmuan keluar dari kawasan masjid yang antaranya bersifat kreasi seperti melalui kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah masjid menjalankan kursus intensif ibadat ke kawasan rekreasi di musim cuti sekolah seperti ke kawasan hutan lipur, ke kawasan-kawasan inap di tepi pantai. Cara sedemikian lebih sesuai bagi pelajar-pelajar sekolah, di samping menyampaikan keilmuan agama dan praktis ibadat, pelajar-pelajar yang aktif ini melibatkan diri dalam sukan dan kegiatan fizikal yang bersesuaian.
Satu cara bagi pakej yang dibawa keluar ialah menawarkan kursus berpakej kepada pihak-jabatan-jabatan dan institusi-institusi tertentu di tempat mereka bagi mengikuti kursus, katakan mengenai pakej Ibadat, halal dan haram dan sebagainya yang pihak masjid menyampaikan kursus menurut modul yang sedemikian dalam tempoh sehari atau separuh hari dan sebagainya.
Demikianlah berbagai pakej yang sesuai dilibatkan oleh masjid dengan tujuan untuk berdakwah dan menyibarkan ilmu-ilmu keislaman di samping mendapat pulangan bagi masjid meneruskan kegiatannya.

Sekian.

December 13, 2015

Tahap Dua - Imarah Keilmuan Di Masjid Al-Umm


BBB, 30 Safar 1437 = 12 Disember 2015 (Sabtu):


Tahap dua pengajian bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm ialah dengan mengadakan pengajian yang bersifat formal, khusus dan diikuti oleh golongan atau kelompok khusus, mempunyai kandungan pengajian tersendiri yang kurikulum dirangka bagi tujuan-tujuan pengajian khusus berkenaan. Perlaksanaannya lebih kemudian dari peringkat pertama  - Pengajian bersifat Fardu dan Asas. Ruangnya masih menggunakan ruang dan kemudahan Masjid Al-Umm.
Pengajian pada Tahap Dua ialah:
1.       Pengajian Tahfiz
2.       Pengajian Ala Pondok Moden
3.       Pengajian berpakej

1)      Pengajian Tahfiz
Adalah menjadi hasrat Masjid Al-Umm untuk membuka Pengajian Tahfiz. Sebagai buktinya bahawa dalam plan pembinaan Masjid Al-Umm terdapat bilik khas  pada aras satu (tingkat tiga) bagi bangunan tersebut. Namun pertanyaan yang timbul, adakah pihak Masjid Al-Umm akan mengadakan pengajian lengkap sebagai Ma`had Tahfiz ? Bermaksud ianya sebagai sebuah madrasah khas dan lengkap dengan kurikulum dan matapelajaran-matapelajaran dan guru-guru. Manakala pelajar-pelajar yang keluar dengan sijil diktiraf dan keluaran layak untuk menyambung pengajian ke institusi-institusi pengajian yang selari dengannya. Contoh sebagaimana Ma`had Tahfiz, Kuala Kubu Baru yang mutakhir akan ditingkatkan kepada tahap universiti.
Bagi mengadakan Ma`had Tahfiz yang lengkap sebagai sebuah madarasah atau ma`had tahfiz yang sempurna yang akan mengeluarkan sijil yang diktiraf, boleh memohon pekerjaan atau melanjutkan pelajaran  maka pihak masjid tidak mempunyai kemampuan, sekurang-kurang buat masa ini. Satu cara ialah dengan mengadakan `Kelas Tahfiz` terhad. Bermaksud Masjid bekerjasama dengan sekolah rendah dan menengah yang berdekatan dengan Masjid Al-Umm  dan juga boleh diperluaskan kepada Sekolah Agama Integrasi dan  Sekolah Hamidiah yang kedudukannya tidak berapa jauh dari Masjid Al-Umm. Pembukaan kelas Tahfiz adalah dengan mengambil pelajar secara terhad yang jumlahnya dalam lingkungan belasan orang sahaja. Pihak masjid  boleh berunding dengan pihak sekolah  baik pada peringkat rendah (paling baik) atau menengah menawarkan kepada pelajar berkelayakan dan bersesuaian dua tempat dari satu sekolah atau dari luar bagi memasuki Kelas Tahfiz. Pelajar-pelajar berkenaan sebaiknya tinggal di asrama yang disediakan oleh masjid. Tetapi pelajar-pelajar berkenaan mereka terus belajar di sekolah masing-masing.  Dalam kata lain pihak Masjid Al-Umm menyediakan guru tahfis yang berkelayakan yang mengendalikan pengajian tahfiz kepada pelajar-pelajar berkenaan menurut jadual waktu yang ditentukan. Semasa tinggal di asrama masjid, mereka dilatih menjadi imam dan bilal serta bertilawah Al-Qur`an pada masa-masa bersesuaian. Bagi pelajar-pelajar tahfiz yang dididik oleh Masjid dan berjaya menghafal  Al-Qur`an akan diusahakan oleh Masjid untuk menyambung pengajian tinggi di dalam jurusan yang bersesuaian. Antara mereka mungkin akan berkhidmat di masjid atau di bahagian-bahagian lain yang bersesuaian.
2. Pengajian Ala Pondok Moden
Pengajian pada tahap ini dicadangkan, ialah bagi memenuhi keperluan bagi kalangan mereka yang telah bersara dari kerja-kerja rasmi dan mempunyai masa yang tak dapat diisi dan masih di dalam suasana kesihatan yang baik, di dalam hal ini sewajarnya ianya diisi dengan pengajian agama dalam maksud pengajian keilmuan Islam.  Bagi yang umur sedemikian yang lebih cenderung kepada ibadat,  dengan cara kehidupan ala pondok, maka pengajian bukan lagi bertujuan untuk mencari kedudukan di dalam pekerjaan dan pangkat, maka pengajian ala pondok ini adalah lebih ideal, lantaran pengajian di masjid ala pondok, memungkin mereka lebih banyak menumpukan perhatian untuk beribadat dan pengajian bagi lebih memahami soal-soal Islam, khususnya aspek beribadat membantu diri lebih menyempurnakan diri bagi menjalankan amal ibadat serentak dengan memahami aspek-aspek keislaman dengan lebih mendalam. Walaupun pengajian ala pondok moden ini lebih ditujukan kepada mereka yang sudah bersara dan mereka yang sudah lanjut usia – warga emas, tetapi tidak menghalang dari kalangan mereka yang dari golongan yang lain bagi mengikutinya. Lantaran pengajian pondok adalah pengajian yang boleh diikuti oleh pelbagai peringkat umur. Bagi mereka yang pernah melawat sesebuah pengajian pondok tradisional yang masih terdapat di Kelantan, Kedah dan beberapa negeri yang lain, mereka dapat melihat konsep pengajian sedemikian adalah berpaksikan masjid atau surau, atau balai atau madrasah yang berada di tengah-tengah pusat pengajian pondok. Manakala pondok-pondok mengambil tempat dan didirikan keliling dari bangunan masjid berkenaan. Ianya sebagai `Kiblat` bagi pusat pengajian. Selain dari pondok-pondok, maka terdapat rumah Tuk Guru dan pembantu-pembantunya pada bahagian sedikit jauh dari pondok-pondok. Pengajian berkenaan mempunyai pengajian keagamaan terutama seperti Al-Qur`an, Hadith, `aqidah, fiqh, tasawuf, nahu, saraf, mantiq, balaghah dengan kitab-kitab di dalam bidang-bidang keilmuan tersebut. Keilmuan-keilmuan tersebut diajar oleh Tuan Guru utama dan guru-guru pembantu. Pengajian adalah bertempat di masjid atau madrasah dan biasanya mengiringi waktu-waktu solat dengan tambahan dan intensif pada waktu-waktu pengajian sebelah pagi dan sebelah petang. Mereka yang mengaji ini berdikari mengurus kehidupan diri dengan memasak sendiri di pondok-pondok masing-masing. Suami isteri bersara juga boleh sama mengikuti pengajian. Maksimam bagi satu pondok dihuni dua orang, tetapi pada kebiasaan satu pondok adalah satu orang. Sumber kewangan bagi mereka ialah dari peruntukan dari orang tua atau sendiri, tetapi kebiasaan juga mereka berdikari  dari mendapat derma dan hasil  kerja-kerja sambilan yang tidak mengganggu pembelajaran mereka.

Di dalam konteks pengajian pondok moden di Masjid Al-Umm, maka format dan susun atur sebagaimana  format dan susun atur pondok tradisi, tentulah tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Namun semangat dan tujuan pengajian pondok tradisi itu dapat dipadankan secara terhad dan merupakan penambahbaikan dapat dilakukan. Ada beberapa halangan yang tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya aspek dan ciri pondok tradisi kepada pondok moden. Halangan utama ialah ruang tanah tidak ada bagi mendirikan pondok-pondok kecil keliling masjid. Sifat sedemikian tidak sesuai bagi ciri keselamatan diakibatkan oleh kebakaran dan dari segi pandangan. Tetapi hal ini dapat di atasi dengan mengadakan rumah asrama – antaranya disewa bagi menempatkan mereka dalam kawasan berdekatan dengan masjid. Mereka tidak perlu berdikari memasak sendiri, tetapi adanya kantin untuk mereka makan bagi waktu-waktu tertentu. Ini adalah bagi pengaji-pengaji yang datang dari luar dan jauh, tetapi bagi penduduk setempat yang tinggal bersama keluarga dan meminati pengajian sedemikian, mereka boleh datang dari rumah mereka dan pulang pada waktu-waktu tertentu sahaja.
Kurikulum bagi pengajian ala pondok moden ini, adalah berdasarkan bidang-bidang pengajian agama yang memang terkenal selama ini termasuk pemilihan kitab-kitab, tetapi bahan pengajaran seharusnya disertai dengan pengajian dan bahan-bahan pengajian yang semasa. Misalnya kitab-kitab pengajian di dalam banyak bidang yang dikarang oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Dr. Al-Zuhaily di dalam bidang tafsir, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman di dalam bidang fiqh dan ekonomi Islam, Dr. Zulkifli Abu Bakar di dalam bidang tasawuf, begitulah sebagai contoh di dalam bidang-bidang yang lain. Pendek kata selain dari menggunakan kitab-kitab turath yang diwarisi seperti kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari, atau Sharh Hikam Melayu oleh Tuk Pulau Manis, Sayr al-Salikin oleh Syeikh Abdul Samad al-Falimbani hendaklah juga menggunakan buku-buku keilmuan semasa seperti Ekonomi Islam, Keluarga Islam, Perusahaan Kecil, Panduan Kesihatan dan berbagai-bagai lagi.
Jadi bagi mewujudkan pengajian ala pondok moden ini perlu ada kurikulum terpilih dan bersesuaian dengan keadaan pengaji dan suasana pembelajaran. Ada guru-guru berkelayakan, ada pengaji-pengaji yang komited dengan pengajian, mereka diberi perhatian dari segi makan minum dan diberi perhatian dari segi kesihatan dan kebajikan mereka. Seharusnya ada kerjasama dan bantuan dari pihak berkuasa, pihak masjid mempunyai waqaf dan aset harta, di samping mendapat  derma kewangan dan bantuan kebajikan dari orang ramai.

Sekian.